Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 88

November 16, 2011

Mengisi Tangki Perjuangan Sekolah dan Pendidikan

[image error] RUMUSAN TRAINING OF TRAINERS DI SMITA BARU-BARU INI


"Ustaz buatlah sekolah sendiri. Insya Allah ada pelabur yang berminat untuk melabur" seorang rakan mengajak bual.


Sudah beberapa kali saya menerima 'tawaran' sebegitu.


Potensinya besar, sebesar cabaran yang menanti.



Mewujudkan sebuah sekolah, hakikatnya lebih susah daripada bayangan kebanyakan kita. Semasa tawaran dibuat, imaginasi kita berkisar tentang tuntutan menyediakan kemudahan infrastruktur, menyediakan tenaga pengajar dan pentadbiran, serta memperkasakan pemasaran untuk mendapatkan pelajar.


Cabaran terbesar sebuah sekolah terletak pada content.


Teringat kepada kritikan Muhammad Abduh kepada sistem pendidikan di Mesir:


"They neither can make their mark in government service, nor can they utter a word in the high Durbar, nor yet can they haul goods on their backs in the bazaar, and no longer are they able to till fields, either! Were they not "educated" they could have earned livelihood in a hundred ways. But they are completely lost – thanks to their 'education'!"


 Sesuatu yang menjadikan sama ada sekolah itu, sebuah lagi sekolah, atau sekolah yang mendukung keunikannya yang tersendiri.


Justeru buat masa ini, idea bersama hajat untuk melihat sekolah mithali, pada mendukung Islam, lebih sejahtera saya usahakan di peringkat peribadi melalui perkongsian pintar. Saya mengintai peluang untuk mewacanakan ide Islam bersama tenaga tadbir dan akademik sekolah-sekolah yang punya cita-cita besar. Bercita-cita bukan hanya sekadar membuka sekolah Islamik, tetapi sekolah ISLAM.


Terjemahannya, sekolah yang menjawab cabaran Islam mendepani realiti. Modernisasi dan materialisma.


Sekolah ISLAM bukan hanya 'menghimpunkan' subjek-subjek agama dan sains di dalam sebuah sekolah. Malah Tidak juga menghimpunkannya di dalam sekujur tubuh diri. Seorang pelajar yang cemerlang subjek Kimia, juga cemerlang subjek Mustalahat al-Hadith, tidak semestinya telah berjaya mencapai maksud 'ISLAM' itu. Seorang doktor yang juga hafiz al-Quran 30 juzuk, bisa sahaja masih seorang sekular!


Sehinggalah ilmu agama dan sains itu beradun, bersinergi, berpadu menjadi satu, sekularisasi paradigma berjaya dirawat.


Ibnu Sina sangat jauh untuk dihasilkan dengan hanya mengusahakan seorang mahasiswa hafal 30 juzuk, kemudian mengambil jurusan kejuruteraan.


Dua dalam satu, masih sekular.


Hanya apabila dalam satu ada dua, baru ISLAM benar-benar kembali menjadi apa yang sebenarnya ia.


Sekolah agama, dan sekolah sains, sama-sama boleh menjadi sekolah sekular, selagi dua cabang itu masih bercabang.


[image error]


Semoga perkongsian ringkas saya bersama warga pentadbiran dan pendidik Sekolah Menengah Islam Tahfiz al-Amin (SMITA) di Chenderong Balai, bermanfaat untuk semua. Saya doakan sekolah yang bakal menerima pelajar batch pertamanya Januari 2012 ini, cemerlang dan teguh menyahut cabaran 'jihad' yang satu ini.


Proses pengambilan pelajar baru kini dibuka.


Seeru 'ala barakatillaah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya
KMS: Khalifatullah Bermula Dengan Pendidikan
Jom ke Sekolah Belajar Jadi Hamba dan Khalifah-Nya

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 16, 2011 19:54

November 13, 2011

Dyslexia: Andai Diriku Lebih Berusaha

[image error]


"Amir Sab, let me go" kata Salman.


"You stay with me" saya memeluk erat.


Murid Year 4 itu meronta mahu melepaskan diri. Kawan-kawan di dalam kelas ketawa kecil melihat gelagat kami.


Salman tidak boleh duduk diam. Dia sentiasa berjalan ke sana sini. Sesekali menjenguk ke luar tingkap. Fikirannya seperti penuh khayalan. Akibatnya, rakan-rakan yang lain sukar memberi tumpuan.



Saya tidak pasti mengapa.


Nama Salman juga disebut beberapa kali oleh pengetua yang lalu sebagai murid bermasalah.


Tetapi tanpa sebab yang jelas, saya mempunyai 'perasaan' yang berbeza. Mahu Salman diberi peluang. Biar pun harganya, keputusan saya 'mengganggu' hak murid lain untuk belajar dengan tenang.


HARI PEPERIKSAAN


"Selain matahari, apakah lagi objek yang disangka sebagai Tuhan, dalam kembara anak kecil bernama Ibrahim itu?" saya melontarkan soalan.


Sunday School pagi ini menjalankan ujian bulanan kepada murid-murid. Sirah Nabi Ibrahim 'alayhi al-Salam itu berada di dalam buku teks. Oleh kerana kisah itu Israiliyyat, maka saya namakan sahaja watak utama kisah itu sebagai anak kecil bernama Ibrahim dan menukar tema kisah daripada Kisah Nabi, kepada topik Belajar Dari Alam.


Murid-murid segera menulis jawapan di atas kertas.


Saya mengadakan ujian dengan soalan disampaikan secara lisan, kerana saya tidak sempat mencetak kertas soalan. Kelam kabut. Maklum sahaja, selain menjadi pengetua di Belfast Islamic School, saya juga menjadi guru, kerani, dan cleaner!


Salah seorang murid memutar-mutar pensil di tangan. Tidak menulis. Hanya merenung ke tingkap dan sesekali menoleh ke arah saya.


Salman masih enggan bekerjasama.


"Salman, do you know the answer?" saya bertanya.


Beliau terkejut disapa.


Mengangguk tanda tahu.


"So, write down the answer!" saya menyuruh.


Salman menggelengkan kepala.


"Well, what is the answer?" saya menyoal.


"Moon!" jawabnya pantas.


"Then, write it down" saya terus memandu beliau.


"I can't" katanya.


Kawan-kawan sekelas ketawa. Memanggil Salman dengan gelaran stupid, idiot, loser! Masakan tidak, sudah Year 4 boleh 'mengada-ngada' berkata tidak tahu menulis perkataan MOON.


"Why? Why can't you write? Didn't you write your name there, just now?" saya menunding kepada namanya di kepala kertas jawapan.


"No Amir Sab. I didn't write my name. I draw my name" kata Salman.


JAWAPAN YANG MENGEJUTKAN


Jawapannya itu amat mengejutkan saya. Perkataan pertama yang terlintas di fikiran saya ialah DYSLEXIA! Adakah Salman mengalami masalah tersebut?


Saya tidak mempunyai maklumat tentang dyslexia. Hanya pengetahuan am hasil pembacaan saya di akhbar atau internet.


Mengetahuinya sebagai ketidakupayaan membaca dan menulis disebabkan oleh fungsi abnormal di otak seseorang. Ketidakupayaan membaca dan menulis, bukan ketidakupayaan belajar dan memahami.


"Son, bring me all your exercise books!" Saya meminta Salman mengeluarkan buku latihannya.


Beberapa helaiannya saya belek .


Subhanallah, di celah tulisan buruk yang sering menjadi teguran dan kemarahan saya, malah mungkin ibu bapanya, ada corak yang konsisten. Huruf b dan d sentiasa terbalik dan banyak kesilapan yang serupa diulang berulang-ulang kali. Saya amat yakin, budak comel berkaca mata tebal dan nakal bernama Salman itu dyslexic.


"You come with me!" saya menarik Salman masuk ke pejabat.


Beliau akur dan bangun mengikut saya.


"Guys, keep quiet. I'll come back in a minute" murid-murid di kelas saya arahkan menyambung bacaan.


Ujian bulanan yang sedang dijalankan terhenti.


"Salman, when I teach you in the class, do you understand me?" saya bertanya.


Budak itu mengangguk.


"Can you read?" saya bertanya lagi.


Beliau diam.


"Okay, you stay here for a while. I have something to tell your friends in the classroom" saya tinggalkan Salman seketika di pejabat.


Ada banyak benda menarik di atas meja saya untuk dia 'kerjakan'. Saya tidak bimbang.


Di kelas, saya terangkan kepada murid-murid yang lain bahawa Salman bukan stupid, idiot atau loser. Beliau sama bijak dengan rakan-rakannya. Tetapi beliau mengalami cabaran bernama dyslexia. Akibatnya, dia berfikir lain daripada orang lain. Belajar pun lain daripada cara belajar orang lain. Dan kelainan itulah yang melahirkan tokoh-tokoh seperti Einstein, Leonardo da Vinci dan lain-lain.


[image error]


Penemuan pagi itu memberikan anjakan paradigma kepada saya dan seluruh kelas. Jika selama ini Salman dilihat sebagai budak nakal yang sukar dikawal dan 'bodoh', mengenal pasti punca utamanya bernama dyslexia, mengubah cara kami semua melihatnya.


Daripada marah kepada rahmah.


Daripada sakit hati kepada simpati, empati.


REAKSI BAPA SALMAN


"Brother, can I have a word with you. You're Mr. Ahsan, Salman's dad, right?" saya menyapa seorang lelaki Pakistan berbadan tegap.


Kurta yang dipakainya memperlihatkan komitmen beliau kepada jati dirinya yang asal, biar pun mungkin sudah sejak sekian lama menjadi warganegara Britain.


"Yes I am. Did Salman cause you any problem?" tanya beliau.


"No, no. In fact he is one of my favorite students. But do you know that Salman has difficulties in reading and writing. I believe that he should be accessed for dyslexia!" saya memberitahu.


"What! Are you saying that my son is mentally retarded? There's no one like that in our family!" Encik Ahsan sangat marah. Mukanya merah madam.


Belum sempat saya memberikan penjelasan, Encik Ahsan menarik Salman segera meninggalkan perkarangan masjid. Anak kecil itu merenung saya. Renungan terakhir. Hanya jari jemari saya bergerak perlahan mahu melambai Salman.


Anak murid saya itu diberhentikan oleh bapanya daripada persekolahan di Sunday School kami. Melayan ego seorang bapa!


Sedih.


Terkilan.


Salman hilang dan tenggelam dalam rutin harian saya. Hampir dilupakan.


Wajah Salman dalam kejadian 10 tahun yang lalu itu hampir pudar daripada ingatan saya. Bersama memori saya sebagai Pengetua di Belfast Islamic School, Northern Ireland. Kekal sebagai lipatan sejarah yang unik dalam perjalanan hidup saya.


TAARE ZAMEEN PAR


Wajah Salman tiba-tiba menerpa ke ingatan.


Fikiran saya terganggu.


Menonton filem Taare Zameen Par mengundang rasa sedih yang bersangatan.


[image error]


Saya tidak pasti asalnya filem tersebut mengenai apa. Saya membeli pakej DVD filem lakonan Aamir Khan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai bulan lalu. Saya bukan peminat filem Bollywood. Namun pakej DVD filem tersebut yang datang bersama kotak berisi lukisan, buku nota, dua keping DVD dan sebuah Audio CD, sangat menarik perhatian. Lama menyimpannya, saya akhirnya mendapat ruang untuk meluangkan masa selama 3 jam menonton filem lakonan, arahan dan terbitan Aamir Khan ini.


Ia berkisar tentang tekanan hidup yang dihadapi oleh Ishaan Nandkishore Awasthi (lakonan Darsheel Safary), seorang budak sekolah berusia 8 tahun  yang sentiasa gagal menguasai pelajaran, gagal dalam peperiksaan dan sentiasa dilabel dan dimarahi oleh guru-gurunya, keluarga dan sekalian yang berada di sekitar kehidupannya.  Tekanan itu menimbulkan tantrum dan sikap nakal yang menjadikan kitaran turun naik emosi beliau dan manusia di sekelilingnya semakin agresif.


Tekanan itu memuncak apabila bapa Ishaan bertindak menghantar Ishaan ke sekolah asrama. Bermula daripada sikap memberontak, Ishaan tiba ke tahap tekanan emosi paling kritikal apabila tenggelam dalam emotional numbness, hingga terputus atau memutuskan hubungan dengan kehidupan di sekitarnya.


Segalanya berubah apabila sekolah tersebut menerima perkhidmatan guru sementera yang mengajar mata pelajaran seni, Encik Ram Shankar Nikumbh (lakonan Aamir Khan).


Nikumbh menggunakan pendekatan yang berbeza atas keyakinannya yang satu, "setiap anak adalah istimewa".


Interaksi antara Nikumbh dan Ishaan sangat mengingatkan saya kembali kepada kisah Salman.


Nikumbh berusaha untuk menyelamatkan Ishaan hingga berjaya. Pelbagai cara dilakukannya untuk mengubah persepsi ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kita semua tentang Ishaan dan dyslexia.


Tetapi saya patah usaha di perjalanan. Akur dengan keputusan bapa Salman. Akur untuk cuai dalam kesibukan.


SUDAH 10 TAHUN


Sudah 10 tahun kejadian itu berlalu.


Salman kini mungkin sudah menjadi anak muda.


Salman tidak mungkin masih mengingati saya. Dia tidak perlu ingat kepada saya.


Hanya perlu berjaya.


Dan untuk diri saya, andai diriku lebih berusaha.


Maafkan Amir Sab, Salman.


Amir Sab bukan Aamir Khan!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Lebih Sabar Daripada Gunung
Larangan Bertudung: Lebih British Daripada Britain
Yusuf Berusaha Mendapatkan Adiknya [Surah Yusuf Ayat 69 - 79]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2011 18:00

November 10, 2011

Seminar & Forum Pendidikan Anak Digital Ibu Bapa Analog

[image error]



PERSPEKTIF ISU


Ibu bapa mahu anak-anak menikmati keseronokan yang pernah mereka alami semasa menonton filem ET, 25 tahun yang lalu. Filem yang mencetuskan pelbagai fenomena, demam basikal BMX dan imaginasi tanpa batasan yang mewarnai pengalaman kanak-kanak mereka.


"Membosankan".


Itulah komen yang diterima daripada anak-anak, usai menonton separuh pertama filem berkenaan.



Fenomena ini merupakan tip of the iceberg kepada jurang besar antara generasi ibu bapa dan anak-anak. Ia bukan sekadar kecenderungan minat terhadap genre filem, tetapi mewakili kesan akumulatif hasil cara hidup, cara berfikir, pendidikan, cabaran dan peluang yang berbeza di dua zaman itu. Hal ini bukan hanya menjadi kegusaran terhadap keupayaan ibu bapa memberikan nasihat serta panduan yang relevan kepada anak-anak, malah turut mempengaruhi sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai mereka.


ANAK DIGITAL IBU BAPA ANALOG merupakan tema sebuah seminar pendidikan yang dianjurkan oleh Khalifah Model School dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, untuk mencetuskan kesedaran serta membekalkan panduan kepada para ibu bapa mendukung proses keibubapaan efektif, agar generasi Z yang diamanahkan oleh Allah sebagai khalifah Allah, dibentuk secara optimum, iaitu pada mengenal dan menguasai jurang karakter antara generasi ini.


OBJEKTIF



Menimbulkan kesedaran kepada ibu bapa, golongan pendidik dan semua pihak yang terbabit di dalam proses pendidikan anak-anak agar mengenal pasti cabaran unik antara generasi analog dan digital ini.
Membina skop pandangan dan kefahaman yang menyeluruh terhadap cabaran jurang antara generasi ini, daripada dimensi pemikiran sistemik, Tarbiyah Islamiah dan akademik.
Membuka ruang wacana ke arah solusi yang menyeluruh untuk dibekalkan kepada peserta agar pendidikan, keibubapaan dan pembangunan modal insan semasa dibentuk dengan acuan kontemporari yang kompeten ke arah melahirkan hamba dan khalifah Allah yang cemerlang.


PENCERAMAH



Tuan Fazrul B Ismail - Pengarah Executive, Total Sucess Training and Consultancy
Ustaz Hasrizal B Abdul Jamil - Pengarah Urusan, Synergy Training and Consultancy
Prof. Madya Dr Faridah Noor Bt Mohd Noor - Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya

PENYERTAAN



Penyertaan adalah terbuka kepada semua golongan yang berminat.
Penyertaan dialu-alukan daripada ibubapa, guru, golongan profesional, pensyarah, penuntut dan orang perseorangan, pertubuhan kebajikan, kelab sukan dan persatuan wanita,

KEMUDAHAN


Peserta akan diberi beg, fail dan kertas kerja seminar, sijil penyertaan, jamuan pagi dan tengahhari.


ATURCARA


8.30am – 9.00am : Pendaftaran

9.00am – 10.30am : Tajuk 1- Membina Sistem Anak Soleh: antara Dunia Digital dan Analog oleh Tuan Fazrul Ismail

10.30am – 11.00am : Minum Pagi

11.00am – 12.30pm : Tajuk 2- Pendekatan Islam dalam Menangani Jurang antara Generasi: Dimensi Keibubapaan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

12.30pm – 2.00pm : Makan Tengahari dan Solat Zohor

2.00pm – 3.30pm : Tajuk 3- Friend and Unfriend: Trends and Social Impact of Facebook oleh Prof. Dr. Faridah Noor Mohd Noor

3.30pm – 5.00pm : Forum / Sesi soal jawab


YURAN DAN PENDAFTARAN


INDIVIDU

Umum: RM180.00 seorang.

Pelajar IPT: RM90.00 seorang


KUMPULAN (3 ORANG ATAU LEBIH)

Umum: RM150.00 seorang

Pelajar IPT: RM70.00 seorang


[image error]


Alamat: Khalifah Institute, Lot 427, Jalan 2 , Taman Ampang Utama, 68000 Ampang, Selangor

Faks : 03-4256 5423

Emel : khalifahproject@yahoo.com

Tel. : 03-4256 6810

019-308 3629


Bayaran melalui CEK/PO/LO hendaklah ditulis atas nama 'Khalifah Institute'




Related posts:Forum Keluarga KMS Bersama Ustaz Hasrizal dan Puan Wardina Safiyyah
Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya
KMS: Khalifatullah Bermula Dengan Pendidikan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 10, 2011 20:03

Memberi Nilai Pada Yang Ada Nilai

Kalau ikut Sunnah Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam dan Al-Khulafa' al-Rashideen radhiyallaahu 'anhum, tarikh hari ini ialah Jumaat 15 Dhulhijjah 1432H.


Boleh ditulis dengan indah sebagai 15/12/32!


11/11/11 tidak seharusnya memberi sebarang makna kepada setiap kita yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilainya adalah al-Islam.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Diet Erti Hidup Pada Memberi
Motivasi Pagi MHI TV3: Erti Hidup Pada Memberi
Erti Hidup Pada Memberi… Hati!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 10, 2011 16:50

November 9, 2011

KEM HIJRAH REMAJA ISLAM 4.0 1433H (KEM HIJRI) :PENDAFTARAN DIBUKA


PENGENALAN


Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) 1433 adalah kem percutian yang dianjurkan bersempena musim cuti sekolah dan pasca peperiksaan. Program ini dibentuk khusus bagi mengisi keperluan remaja semasa, yang berdepan pelbagai cabaran, yang sebahagiannya sulit untuk difahami oleh generasi ibu bapa. Kecelaruan membabitkan persoalan pandangan hidup (worldview), penghayatan agama, krisis nilai, serta pengurusan emosi, cinta, akademik dan kerjaya masa hadapan. Kepercayaan bahawa remaja perlu difahami sebelum mengharapkan mereka memahami, menjadi asas kepada lahirnya KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (HIJRI).


Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) ini, adalah sebuah program bersifat residential selama 4 hari 3 malam, yang kami tawarkan khusus untuk anak-anak remaja berusia di antara 13 ke 19 tahun. Program ini menggabungkan segala unsur pembelajaran membabitkan kuliah, latihan dalam kumpulan, permainan interaktif, aktiviti outdoor, serta slot-slot bicara hati ke hati, yang bukan sekadar menyampaikan mesej kepada peserta, malah membolehkan kami menyelami isi hati, berusaha memahami dan seterusnya berkongsi pandangan secara lebih eksklusif kepada peserta KEM HIJRI ini.


Idea Tasawwur Islam yang segar, dinamik, kontemporari dan praktikal, akan disampaikan kepada remaja dalam bahasa remaja, bersama harapan agar proses untuk menjiwai dan mengamalkan hasil KEM HIJRI ini akan lebih mudah dan sesuai dengan panca roba kehidupan mereka yang serba mencabar hari ini. Kami juga menawarkan ruang buat para peserta berdiskusi mengenai rancangan pelajaran dan kerjaya mereka dengan fasilitator jemputan yang berlatarkan pelbagai bidang pengajian yang syariatik juga saintifik.



 


CORETAN KEM HIJRI TAHUN-TAHUN LALU



A Birthday Present from Allah: Sebuah Catatan Hati Peserta KEM HIJRI 1432 
KEM HIJRI 1432: Kejayaan Teori Positive Reinforcement
Hari Menawan Hati di KEM HIJRI Kali Ini
Kem HIJRI 1431 Melabuhkan Tirainya
Batu Berlaga Air
Berlabuh Tirai Kem HIJRI 1430

 




Related posts:KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430
Hari Menawan Hati di KEM HIJRI Kali Ini
Imej Baru: Melakar Semangat Remaja Islam

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2011 21:37

Berbeza Pendapat Tidak Sinonim Dengan Bermusuh

[image error]


Sesuatu yang mungkin sukar untuk dipercayai sesiapa, artikel saya bertajuk SEKSUALITI MERDEKA: KESONGSANGAN SEKSUALITI DAN KESONGSANGAN KEFAHAMAN ditulis pada pagi Selasa 8 November 2011, sebagai sesuatu yang 'fresh' daripada sesi berfikir saya di Dhuha tersebut.


Semasa balik ke kampung, saya berbual dengan ramai pihak, juga menelusi laporan-laporan akhbar di Malaysiakini, Harakahdaily dan lain-lain, serta memerhati perkembangan News Feed di Facebook. Rangkuman semua itu, bersama sesi-sesi sebelum ini termasuk perbualan kasual saya bersama Menteri Pembangunan Wanita dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, usai membentangkan sebuah kertas kerja di seminar anjuran mereka, saya merumuskan konflik kefahaman yang berlaku di kalangan agamawan.



AGAMAWAN DAN ILMUWAN


Saya juga sedar semasa menggunakan istilah AGAMAWAN, saya merujuk kepada semua pihak yang memperkatakan hal seksualiti songsang dan kempen Seksualiti Merdeka bertemakan agama. Agamawan itu mungkin siak masjid, budak usrah, pemimpin pelajar, golongan profesional berjiwa Islam, juga ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah. Saya tidak menggunakan istilah ILMUWAN secara sedar, kerana kritikan saya bertumpukan bukan kepada alim ulama, sebaliknya kepada semua yang membicarakan hal ini daripada perspektif agama.


Subhanallah.


Sama sekali saya tidak menyangka tulisan saya membentuk satu penghujahan yang kelihatan sebagai 'respond' kepada artikel yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, sahabat yang saya kasihi lagi hormati. Saya tidak membaca artikel beliau atau mana-mana artikel asatizah yang lain berkenaan isu LGBT dan Seksualiti Merdeka ini, dan tulisan saya bukan merupakan kritikan bersifat peribadi kepada peribadi.


Ia adalah satu kebetulan yang menyakitkan.


Lebih menyakitkan apabila, penulis versus penulis tenang sahaja. 'Pengikut' yang berapi-api menyalakan api.


BERBEZA SINONIM BERMUSUH?


Di suatu ketika dahulu, ada yang bertanya kepada saya, macam mana boleh saya tidak bergaduh dengan Sheikh Afifi al-Akiti ketika kami sama-sama di Belfast, sedangkan saya dan beliau mendukung metodologi yang berbeza. Penanya tidak berpuas hati kerana kami yang berbeza ini tidak bergaduh.


Pernah juga, saya dipersoalkan bagaimana boleh bersahabat dengan al-Fadhil Ustaz Maszlee Malik, sedangkan saya mendukung pendapat yang berbeza dengan beliau dalam isu Ummah Centric versus Jamaah Centric.


Berkali-kali saya dipersoalkan, bagaimana boleh saya berkawan dengan al-Fadhil Dr. MAZA, ketika mana banyak pendapat  saya dan beliau yang bertentangan, terutamanya ketika beliau masih bertugas sebagai Mufti di Perlis.


Kehairanan itu, seolah-olah mensinonimkan perbezaan pendapat dengan pergaduhan. Kalau berbeza sahaja pendapat, mesti kena bergaduh.


Saya tidak akan bergaduh dengan sesiapa yang berbeza pendapat dengan saya. Ia sangat jauh daripada ajaran agama saya. Agama saya mengajar, selagi mana kerja kita adalah pada menegakkan agama, maka jangan sekali-kali bergaduh dan berpecah belah.


Bukankah Allah Subhanahu wa Ta'aala telah berpesan:


[image error]


"… bahawa hendaklah kamu menegakkan agama dan jangan pula kamu berpecah belah dalam urusan tersebut…" [Al-Syoora 42: 13]


Musuh kita, hanya yang memusuhi keadilan, mengharuskan kezaliman, dan memperjuangan Syirik dan Bid'ah.


BERLAPANG DADA ANTARA FAKTA DAN AKHLAQ


Mungkin rasional ini menjadi kabur kerana cara saya berbahasa dianggap kasar dan perlu lebih dilunakkan. Saya menerimanya sebagai ruang penambah baikan diri.


Ada pun bagi pembaca yang berpindah dari satu blog ke satu blog, menziarahi seorang ustaz kepada ustaz yang lain, kita juga perlu belajar untuk mengadabkan diri.


Di sepanjang usia 13 tahun blog ini 'bernafas', saya dari semasa ke semasa diminta agar lebih terbuka menerima perbezaan pendapat, ketika mana perbezaan yang dirujuk itu adalah perbezaan akhlaq. Masyarakat telah menerima idea bahawa berlapang dada itu baik, tetapi sering keliru antara terbuka kepada perbezaan pendapat, dengan perbezaan akhlaq.


Kita boleh berbeza pendapat.


Tetapi kita tidak boleh berbeza akhlaq.


Apakah beza antara perbezaan pendapat dengan perbezaan akhlaq?


Seorang penulis melihat isu Seksualiti Merdeka daripada perspektif topik Hak Asasi Manusia.


Seorang penulis lagi melihat isu Seksualiti Merdeka daripada perspektif Sadd al-Dzaraa'ie.


Perbezaan pendapat ini boleh dikekalkan, dan berlapang dada menjadi akhlaq terpuji untuk mendamaikan antara dua pendapat yang boleh kelihatannya sangat bertentangan.


Namun perhatikan komen ini:


Alhamdulillah…kebenaran itu memang pahit untuk ditelan.Walaupun komen saya tidak disiarkan (saya pun tak tahu ntah mengapa, adakah saranan saya salah),tapi di akhirat nanti ia akan ditanya. Mengapa pandangan seorang kerdil seperti saya diblock? Adakah mengajak umat Islam dan agamawan membantu LGBT salah? Bukankah lebih baik kita berbincang walau berbeza pandangan? Rupanya sesetengah agamawan pantang dikritik dan tak tahan ujian.Berfikiran satu hala dan gemarkan glamour. Buktikan saya salah dengan melepaskan komen ini.


Berani sikit ok? Macam mana nak jumpa dengan LGBT ni jelaskan keindahan Islam kalau dengan saya tak lepas?


^-^


Komen yang saya terima ini, bukan mengandungi perbezaan pendapat. Tetapi apa yang dibawa adalah kecelaan lisan. Pendapat beliau hakikatnya sama dengan pendapat saya iaitu golongan LGBT mesti didekati, difahami dan dibantu. Namun saya digelar sebagai ustaz blogger, hanya mengadap komputer dan tidak turun bertemu mad'u, gila glamour, pantang dikritik, tak tahan diuji dan sebagainya.


Komen beliau tersekat, kerana semasa komen-komen tentang isu Seksualiti Merdeka dihantar, perkataan Gay, Lesbian, Seks, yang berulang-ulang menyebabkan Sistem Anti Spam AKISMET yang diguna pakai di blog ini dan kebanyakan blog lain akan menyekatnya. Saya perlu masuk ke ruangan komen SPAM untuk memerhati di celah-celah ribuan komen spam, ada komen yang wajar disiarkan, tetapi tersangkut akibat sistem penapisan berkenaan.


Tetapi saya disarankan oleh ramai pengunjung blog supaya berlapang dada menerima komen pengunjung itu tadi kerana ia adalah perbezaan pendapat. Dan saya sebagai pendakwah, mesti berfikiran terbuka untuk menerimanya. Kritikan saya kepada cara beliau berakhlaq difahami sebagai saya tidak berlapang dada.


Sebagaimana fakta juga ada garis panduannya, demikian juga akhlaq.


Akhlaq tidak relatif dan terbuka tanpa panduan.


Membawa akhlaq yang bertentangan tidak sama dengan membawa pendapat yang bertentangan.


Kecelaan akhlaq mesti ditegur. Mesti diperbetulkan. Untuk menyatakan pendapat yang berbeza, kita tidak perlu menjadi kurang ajar, menggunakan perkataan yang kasar, apatah lagi mempersoalkan isi hati orang lain ketika mana kita bukan Tuhan yang boleh menyingkap apa yang ada di sebalik tulisan dan percakapan seseorang. Kita sewajarnya hanya menghukum pada apa yang zahir, kemudian bertaqwa kepada Allah untuk menguruskan apa-apa yang tersembunyi.


Di akhir penulisan ini, saya dengan rendah hati memohon kemaafan daripada sahabat saya al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman atas penulisan saya yang tidak mencapai piawaian ukhuwwah dan hikmah sesama asatizah.


Cuma saya mengekalkan fakta-fakta perbahasan kerana ia valid untuk dipertimbangkan.


Matlamat kita hanya satu, berlaku adil kepada kawan dan lawan, mengusahakan Islam terus mampu dipegang sebagai solusi kepada semua permasalahan, termasuk kesongsangan seksualiti yang semakin membarah dewasa ini.


Semoga Allah mengampunkan khilaf saya dan kita semua, ameen.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Maaf Saya Tidak Suka Buku Ustaz!
Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim
Saya Tidak Suka Buku Ustaz Sebab…

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 09, 2011 20:05

November 7, 2011

Seksualiti Merdeka: Antara Kesongsangan Seksualiti dan Kesongsangan Kefahaman

[image error]


Seperkara yang menghodohkan proses memperbaiki masyarakat berkaitan isu Seksualiti Merdeka ini adalah ketidak telitian semua pihak dalam berkata-kata.


Paling mendukacitakan, ketidak telitian itu paling banyak berlaku kepada para penentang. Setiap ketidak telitian, memberikan tambahan kekuatan kepada apa yang mereka sendiri tentang.


Bagi para agamawan, mereka seharusnya lebih teliti dalam menyatakan bangkangan. Hak-hak LGBT (meminjam istilah mereka) tidak boleh dinafikan dengan membuat perbandingan bersama tuntutan hak perogol untuk merogol, atau hak paedophile mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur. Titik besar yang membezakan antara semua itu ialah, soal persetujuan bersama pelaku seks tersebut. Dalam kes rogol, seks berlaku tanpa persetujuan. Dalam kes seks kanak-kanak di bawah umur, mereka belum 'mempunyai hak' untuk memberikan persetujuan. Konsensus adalah subjek yang besar di dalam topik hak-hak asasi kemanusiaan.



Percayakah agamawan, bahawa golongan yang memperjuangkan Seksualiti Merdeka ini juga adalah golongan yang sangat gigih menentang jenayah rogol, penderaan seksual di rumah dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak? Malah isu suami merogol isteri juga pernah ditimbulkan!


Ini jelas menunjukkan bahawa, di peringkat dasar, Seksualiti Merdeka ialah cabang kepada perjuangan hak asasi manusia, bukan cabang kepada Festival Seks Bebas atau Kelab Tarian Bogel.


Ketidak cermatan agamawan dalam meletakkan ulasan, menyebabkan seluruh hujah mereka tidak dipandang biar pun dengan sebelah mata, kerana konotasinya hanya satu, iaitu MEREKA SENDIRI TIDAK FAHAM APA YANG MEREKA PERKATAKAN!


MEMPOLITIKKAN SEGALANYA


Hal ini diburukkan lagi oleh kecenderungan biasa masyarakat mempolitikkan segalanya.


Semuanya mahu dilihat daripada sudut political mileage.


Saya tidak faham mengapa Dato' Ambiga Sreenevasan yang menjadi sasaran utama serangan media, terutamanya TV3 yang tiba-tiba mahu menjadi juara moral, sedangkan tokoh utama di sebalik Seksualiti Merdeka adalah Datuk Paduka Marina Mahathir. Beliaulah yang sepatutnya diambil keterangan oleh pihak polis, ditemuramah oleh media dan didapatkan pendapatnya berkenaan dengan tuntutan Seksualiti Merdeka agar isu sebenarnya dapat difahami.


Ambiga adalah Ambiga.


Marina Mahathir, bapanya sendiri dilabel oleh dunia sebagai homophobic kerana memberi amaran keras kepada semua diplomat asing agar jangan cuba membawa pasangan sejantina ke Malaysia, pasca pendakwaan kes DSAI lewat 1998.


PERSPEKTIF UNTUK PERTIMBANGAN PENENTANG


"Bakar sahaja!"


"Campak dari tebing gunung!"


"Terajang sahaja!"


Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh mereka yang menentang LGBT. Kata-kata yang sama juga dihamburkan kepada penagih dadah, pesakit AIDS dan semua kelompok 'sampah masyarakat'.


Memang mudah berkata-kata, sebelum kata-kata itu menjadi ludah ke langit yang jatuh menimpa muka sendiri.


Kita masih melihat kelompok ini sebagai anak orang, orang lain, tiada kena mengena dengan kita.


Tetapi kita terlupa, kesongsangan seksual bukan lagi 'gajah di dalam bilik'. Ia tidak lagi boleh dilayan sebagai 'There's and elephant in the room' yakni menafikan kewujudan kes ini dalam kehidupan kita sendiri. Kes kesongsangsan seksual sudah sangat melata. Saya yang tiada kena mengena dengan gerakan Seksualiti Merdeka pun, tidak putus-putus dihubungi anak muda yang meminta bantuan, biar pun saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu.


Kita sedap menghentam sebab ia belum membabitkan anak kita, suami kita, isteri kita, keluarga kita.


SALAH SIAPA


Artikel CINTA SONGSANG SEMAKIN SONGSANG terus hidup biar pun sudah bertahun ditulis.


Kesongsangan itu penyakit yang tidak boleh dirawat dengan 'fatwa', 'hukum fiqh' apatah lagi cemuhan.


Kesongsangan itu juga bukan sengaja mencari penyakit.


Salah kita juga, membiarkan anak kita mengalami gangguan seksual semasa di usia sekolah rendah.


Salah kita juga, memandang remeh kejadian raba, buli dan liwat di asrama-asrama sekolah terkemuka, tidak terkemuka, agama dan bukan agama.


Salah kita juga, membiarkan anak lelaki dibesarkan oleh sepasang suami isteri yang isterinya lebih dominan berbanding suami yang sepatutnya lebih berperanan.


Salah kita juga, membiarkan ramai kaum ibu yang didera oleh suaminya di hadapan anak-anak perempuan hingga anak perempuan itu rosak naluri dan pandangannya terhadap lelaki.


Salah kita juga, kerana terlalu inginkan anak perempuan, anak lelaki dipakaikan dengan pakaian perempuan untuk 'nafsu kita' yang menginginkan selain yang Tuhan beri.


Salah kita juga, membiarkan anak lelaki yang lembut tidak dibantu mengeraskannya, anak perempuan yang keras tidak dibantu melembutkannya.


Salah kita juga, membiarkan internet berleluasa tanpa sekatan hingga semua kecenderungan seksual mendapat suntikan tenaga, visual, falsafah dan berakhir menjadi sebuah gerakan.


Salah kita juga, mengundi kerajaan yang tidak bersungguh pun dalam menekuni solusi kepada kebejatan kemanusiaan ini.


Salah kita juga, agamawan hanya mampu menghukum, tetapi tidak mampu menawarkan solusi.


SOALAN PRAKTIKAL


Jawab soalan saya, "bagaimanakah seorang gay boleh diluruskan kembali?"


Jawab soalan saya, "bagaimanakah seorang lesbian boleh diharmonikan kembali kejiwaan dan nalurinya?"


Jawab soalan saya, "apakah solusi Islam kepada golongan Mak Nyah? Jika mereka mahu bertaubat, ke pintu manakah jalan taubat hendak dibuka?"


Segulung ijazah Syariah yang saya miliki, tidak membekalkan jawapan yang jelas untuk menawarkan ISLAM sebagai SOLUSI.


Saya mahu bercakap dengan bahasa dosa dan pahala kepada manusia yang tidak mempunyai pertimbangan dosa dan pahala dalam sistem kawalan dirinya. Seperti bercakap tentang taharah (kesucian) kepada manusia yang hanya memahami nazafah (kebersihan). Ia bersangkutan dengan cabaran bercakap tentang agama kepada manusia yang set pemikirannya berbeza daripada set agama.


Ia sangat materialistik.


Mazhab yang sama pada menjadikan pelbagai subjek lain, terpisah daripada Tuhan dan ketuhanan.


Saya sebagai seorang ustaz, mempunyai tuntutan yang besar untuk menelusi missing link tersebut.


Belief system, world view dan value system, adalah fondisi masalah ini, sebagaimana saranan Sayyid Qutb dalam membaca asas tindak tanduk manusia.


KESONGSANGAN SEKSUAL TETAP TIDAK NORMAL


Biar pun banyak kebuntuan pada mencari solusi, ia tidak akan sama sekali menjadikan saya berputus asa, lalu mahu tunduk kepada menganggap seksualiti LGBT sebagai 'normal', 'perlu diterima' malah diberikan hak untuk praktis.


Ia tetap sebuah penyakit.


Penyakit yang membunuh kemanusiaan.


Biar seluruh alam menjadi gay atau lesbian, penyelesaiannya tetap kepada menyatukan kembali lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan untuk melahirkan zuriat yang berhak memiliki ibu dan bapa yang sempurna.


Justeru agamawan perlu menginsafi kejadian ini.


Mungkin ini 'hukuman kecil daripada Allah' untuk agamawan yang kebelakangan ini sangat pantas melabel satu sama lain dengan Wahabi tidak Wahabi, bertauliah tidak bertauliah, hingga akhirnya, Lady Gaga dianggap lebih berhikmah dalam 'berdakwah' berbanding ustaz dan ustazah.


Sekali lagi, simpati saya kepada golongan LGBT yang berusaha untuk 'kembali'.


Bantahan saya kepada golongan LGBT yang berusaha untuk menutup signifikasi usaha 'kembali'.


Saya percaya, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam tidak bersama dengan kelompok yang membakar sepanduk, sama ada bersongkok tinggi atau berserban. Baginda mahu kita lebih mendasar pada memahami apa yang sedang berlaku. Baginda hanya memalingkan muka daripada pembenci kebenaran.


Pembenci kebenaran boleh berada di kedua-dua tebing.


Antara penyokong LGBT.


Dan penentang Seksualiti Merdeka.


Amanahlah kita, berdiri di hadapan-Nya.


Kesongsangan seksualiti tidak boleh disembuhkan oleh kesongsangan pemikiran.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Seksualiti Merdeka: Penyakit Bukan Alasan Untuk Terus Sakit
Seksualiti Merdeka: Bahasa Atas dan Bahasa Bawah
April Fool: Antara Barat dan Keparat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 07, 2011 17:26

November 5, 2011

Seksualiti Merdeka: Penyakit Bukan Alasan Untuk Terus Sakit

[image error]


Ganjil sekali.


Artikel saya bertajuk SEKSUALITI MERDEKA: BAHASA ATAS DAN BAHASA BAWAH ditulis khusus sebagai peringatan kepada umat Islam yang berakhlaq.


Berakhlaq hatta dalam menyatakan bantahan kepada salah laku dan musuh.


Tetapi kecelaruan dalam menggarap apa yang ditulis dengan bahasa sebegitu jelas menyebabkan konotasinya terbang meninggalkan mesej asal.


Artikel tersebut dipetik untuk disiarkan di halaman rasmi SEKSUALITI MERDEKA. Akan tetapi petikannya hanya pada bahagian akhir. Meninggalkan substance penting di separuh pertama artikel pendek itu. Malah artikel berkenaan juga diguna pakai oleh pendukung ideologi Seksualiti Merdeka untuk menyenaraikan saya sebagai salah seorang manusia yang menyokong mereka.



Subhanallah.


Apa yang cuba diketengahkan di dalam mesej asal artikel tersebut adalah betapa Islam bukan milik agamawan. Bukan milik ustaz-ustaz. Ia milik Tuhan. Milik Allah. Maka para agamawan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya sama ada mengecam dan mengutuk pesalah, mahu pun pada bersikap apologetik dan dengan mudah 'mendoakan kaum minoriti yang dizalimi ini'. Segala tindakan kita mesti berdasarkan ilmu, garis panduan, dan mematuhi peraturan hidup yang terhimpun di dalam deklarasi iman kita:


رضيت بالله رباً،وبمحمدٍ رسولاً، وبالإسلام ديناً


"Aku telah redha Allah itu sebagai Tuhan, Muhammad itu Rasul utusan, Islam agama kepercayaan"


Lalu artikel saya, berusaha membuktikan betapa Islam rasional dalam menangani salah laku. Hatta anak muda yang meminta kebenaran untuk berzina itu, disantuni oleh Baginda dengan akhlak dan kebijaksanaan, lebih tinggi daripada emosi orang ramai ketika itu yang marah, ketika mana marah itu juga merupakan reaksi yang jelas menunjukkan penentangan mereka terhadap kesalahan zina, dan kesalahan meminta kebenaran berzina oleh anak muda itu.


Tetapi zina tetap salah.


Biar pun hubungan seks antara lelaki dan perempuan itu sangat fitrah, tetapi ia tetap salah apabila dilakukan dengan membelakangkan hak Tuhan. Hak manusia untuk mengadakan hubungan seks, hak Tuhan agar seks itu dilakukan sebagai ibadah. Seks itu mulia di sisi Allah. Sebab itu diaturkan tatacaranya.


Agama Islam merupakan sebuah sistem yang membentuk kepercayaan, pandangan hidup dan nilai yang sejahtera. Peraturan-peraturannya membentuk sistem yang meletakkan jaminan pemeliharaan dan galakan perkembangan terhadap lima kemaslahatan utama yang diperlukan oleh manusia untuk hidup secara aman dan harmoni. Kelima-lima maslahat berkenaan dikenali sebagai al-Dharuriyat al-Khamsah yang membabitkan jaminan Islam terhadap nyawa, kepercayaan, akal, keturunan dan harta.


Kesemua peraturan hidup yang berteraskan prinsip Islam sentiasa berlegar di sekitar kepentingan lima maslahat ini. Perintah dan larangan terpakai di dalam semua cabang kehidupan peribadi dan umum.


Seks merupakan sebahagian daripada cabang kehidupan yang diiktiraf oleh Islam. Ia diklasifikasikan sebagai ibadah dan praktikalnya juga berorientasikan tujuan, sama ada tujuan di peringkat individu, mahu pun dalam skala sosial yang lebih besar. Amalan seks bukan sahaja perlu mematuhi peraturan-peraturan yang sejahtera dan bermanfaat untuk keperluan fizikal dan emosional individu, malah mesti turut diamalkan dengan jaminan tanggungjawab terhadap natijah-natijah daripadanya. Seks bukan sahaja diperlukan untuk memenuhi fitrah manusia dan mewujudkan kesejahteraan emosional, malah ia menjadi pendorong untuk manusia bersinergi bagi menghasilkan perkembangan nasab keturunan manusia secara berintegriti lagi terhormat.


Amalan seksual songsang oleh kelompok Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) dianggap bersalahan di sisi agama, bukan sahaja kerana ia bertentangan dengan perintah Allah, malah ia sangat bersifat mementingkan diri sendiri, tidak menyumbang kepada perkembangan ketamadunan manusia serta mengundang kepada kemerosotan. Self centered.


Hak asasi manusia tidak bergantung hanya kepada apa yang manusia anggap sebagai hak mereka semata.


Hak asasi manusia juga tidak bergantung hanya kepada hak manusia secara individu, malah hak manusia secara kolektif turut perlu selari.


Saya berusaha untuk menegaskan peri pentingnya akhlak dalam menyantuni persoalan ini kerana saya sedar, kesongsangan seksual dalam banyak keadaan bukan pilihan asal. Naluri songsang, adalah kesan daripada pelbagai kejadian lain yang berlaku secara asalnya bukan pilihan seseorang. Kesongsangan mungkin berpunca daripada kejadian pencabulan seks ke atas kanak-kanak (kes terbanyak). Ia juga boleh berpunca daripada pengalaman anak yang dibesarkan dengan dominasi ekstrim ibu mengatasi karakter lemah bapa. Ia turut berpunca daripada trauma seorang anak perempuan melihat penderaan lelaki ke atas ibunya. Dan sebahagian pula mengalami ketidak seimbangan hormon hingga menjadikan pembawaan fisiologinya terganggu antara identiti lelaki dan perempuan. Juga kelompok minoriti yang sangat kecil daripada golongan khunsa.


Semua itu menjadi ujian ke atas individu yang mengalaminya.


Ada yang hidupnya diuji dengan kemiskinan.


Ada yang hidupnya diuji dengan penyakit dan masalah kesihatan.


Ada yang hidupnya diuji dengan kecacatan fizikal.


Tetapi kemiskinan bukan alasan untuk mereka kekal miskin.


Penyakit dan masalah kesihatan bukan alasan untuk mereka dianggap sihat, tidak berpenyakit dan tiada masalah kesihatan.


Malah kecacatan fizikal bukan alasan untuk mereka dianggap tidak cacat.


Semua tanggapan itu akan menyebabkan kemiskinan, penyakit dan cacat anggota tidak dibantu, tidak diatasi dan tidak disokong untuk bangkit mencapai standard kehidupan yang sepatutnya. Yang miskin perlu diperkasakan agar tidak terus hidup meminta dan bergantung. Yang sakit perlu dirawat dan diberikan ubat agar sembuh, sihat dan dapat berfungsi sempurna. Kecacatan fizikal bukan alasan untuk mereka tidak bekerja dan menyuruh dunia menanggung kecacatan mereka. Sebaliknya mereka perlu diberikan ilmu dan kemahiran agar boleh bekerja, berdikari dan menyertai orang ramai dalam usaha membina kehidupan kolektif yang sejahtera.


Demikianlah manusia yang diuji dengan kesongsangan naluri seksual.


Kesongsangan itu perlu dirawat. Disembuhkan. Dibantu.


Supaya manusia dapat memainkan peranannya sebagai manusia. Melahirkan manusia. Mendidik manusia (anak) dan membesarkannya dengan psikologi yang sejahtera. Bukan oleh sepasang lelaki atau sepasang perempuan.


Simpati saya kepada semua individu bernaluri seksual songsang yang terus berjuang untuk sembuh.


Bantahan, bangkangan dan kebencian saya kepada semua individu bernaluri seksual songsang yang mahu menormalisasi, mensyiar dan memperjuangkannya.


Suatu kedunguan untuk golongan LGBT menganggap artikel saya sebagai sokongan kepada perjuangan mereka.


Dua kali dungu apabila ada golongan 'pejuang Islam' yang menganggap artikel saya sebagai sokongan kepada Dato' Ambiga Sreenevasan.


What you see is what you get. Who you are determines how you see.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Seksualiti Merdeka: Bahasa Atas dan Bahasa Bawah
PERISTIWA MERDEKA 2007
Doktor Sakit Mental

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 05, 2011 08:31

November 3, 2011

Seksualiti Merdeka: Bahasa Atas dan Bahasa Bawah

[image error]


"Benarkan aku berzina" pinta anak muda itu.


Berzina itu seperkara.


Meminta agar zina itu beroleh kebenaran adalah seperkara yang lain.


Perbezaan antara dua perkara itu memerlukan pandangan yang tajam untuk menentukan mana satukah masalah yang kelihatan, mana satukah masalah yang sebenar.



Ketika anak muda itu meminta kebenaran daripada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam untuk dirinya berzina, para sahabat marah.


"Mah! Mah!" kata mereka.


Membantah permintaan yang 'mengarut' itu.


[image error]


Tetapi Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam mempunyai pendekatan yang kaya. Pendekatan yang sesekali boleh kelihatan seperti tidak tajam, tetapi itulah ketepatan sebenar yang diperlukan.


Baginda tidak membetulkan anak muda itu dengan perbahasan bertemakan zina. Baginda membetulkan anak muda itu dengan 'meremehkan' permintaan itu. Bukan meremehkannya pada mengatakan bahawa kemaluan dan nafsunya tidak terkawal. Tetapi pada menganggap bahawa permintaan itu datang daripada selfishness. Sifat mementingkan diri sendiri. Cara pandang yang songsang!


Malah Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam selepas membetulkan cara fikir yang salah oleh anak muda itu, baginda mendoakan keampunan dari Allah dan memohon agar hatinya dibersihkan daripada keinginan yang salah.


Sesuatu yang perlu jelas pada diri kita, para pejuang Seksualiti Merdeka daripada kelompok LGBT itu memperjuangkan tuntutan mereka pada apa yang mereka lihat sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia, kebebasan membuat pilihan dan desakan agar masyarakat menghormatinya. Kita pula melihat tuntutan mereka itu hanya sekadar memenuhi kehendak penis dan vagina.


Akibatnya besar.


Mereka memperjuangkan tuntutan mereka dengan BAHASA MINDA dan FALSAFAH.


Kita menentang perjuangan mereka dengan BAHASA PENIS dan VAGINA.


Di mata umum, perjuangan mereka kelihatan seperti punya asas pemikiran dan undang-undang. Manakala bantahan kita yang mencarut, memaki hamun dan mengutuk, kelihatan dungu dan 'tidak berasas'.


Mereka me'minda'kan penis dan vagina.


Kita mem'penis' dan mem'vagina'kan minda.


Tidak hairanlah yang menang itu menang.


Tidak hairanlah yang kalah itu kalah.


Mahukah Ulul Albaab memikirkannya?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Berilmu di Atas, Beramal di Bawah
Bahasa Akal Bahasa Hati
PERISTIWA MERDEKA 2007

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 03, 2011 21:09

October 31, 2011

Kita Semakin Tidak 'Reti Bahasa'?

[image error]


Semakin menjadi-jadi.


Bagi sesetengah orang, ia isu kecil. Malah bukan satu isu pun.


Namun bagi sesetengah yang lain, ia penanda aras kepada perubahan jati diri yang kritikal.



Cukuplah pencemaran bahasa berlaku antara dua telefon bimbit. Antara dua emel. Tetapi untuk menjadi kebiasaan yang disyiarkan di papan iklan syarikat besar bertaraf nasional, saya kira bahasa bukan lagi keutamaan kita.


Kita akur sahaja bahawa kita semakin tidak pandai berbahasa.


'Tidak reti bahasa'.


Saya menulis ini sebagai kunang-kunang kecil yang masih optimis.


Belum pesimis.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Bahasa Akal Bahasa Hati
Kita Dapat Apa Yang Kita Beri
LYNAS: Bencana Yang Tidak Berperi

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2011 06:09