Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 85

January 22, 2012

Tajdid Antara Dunia Islam dan Eropah: Keraguan Sebagai Jalan Islah?

[image error]


Islam serba sedikitnya sudah saya pelajari dengan penilaian pada menghasilkan sekeping ijazah.


Dunia Arab menjadi gelanggang mastautin pada mengenali serendah-rendah perbuatan kencing berdiri di tepi jalan, hinggalah pada semulia-mulia manusia pada alim Ulama' dan tradisi ilmu serta perjuangannya.


Mastautin di Eropah itu perlu.


Perlu buat diri saya yang hilang separuh keyakinan untuk mendepani masyarakat, tatkala saya sedar bahawa idea yang mendominasi kehidupan hari ini adalah idea Eropah. Hatta kampung halaman saya itu pun dipetakan di Asia Tenggara. Tenggara Eropah!


Lama merenung dan berfikir tentang Eropah, Barat, tamadun, Islam, Kristian, Rasional, Sains… akhir  saya jatuh kasihan kepada Eropah. Kasihan melihat suatu kumpulan manusia yang hakikatnya mencari jalan untuk cuba bertuhan dengan betul, tetapi asyik mengulangi pusingan kesilapan yang sama.



Saya tidak lagi boleh bersetuju jika ada yang menegaskan kepada saya bahawa Eropah itu membuang tuhan, seperti yang saya percaya selama ini. Di sepanjang zaman Eropah yang dapat dikesan dari sejarah bertulis, hanya dua kurun terakhir ini sahaja yang menyaksikan penguasaan trend membuang Tuhan dari kehidupan. Dan semenjak itulah, penyakit Eropah semakin tenat dan hilang kekuatan.


Ajaran Kristian yang diwarisi secara tradisi telah membentangkan syariat yang caca merba. Sikap gereja yang sombong, enggan menerima pendapat orang lain, dan mengambil langkah mudah dengan menghukum sesiapa sahaja yang bertentang pendapat, telah memakan diri mereka sendiri. Sekurun demi sekurun, gereja dan sesiapa sahaja yang bergantung pengaruh dengannya, termasuk golongan istana dan bangsawan, hilang kewibawaan, dominasi dan seterusnya renyuk dipijak kemarahan rakyat.


ZAMAN EROPAH JUMUD


Sesungguhnya agama yang diselubungi ketaksuban telah membunuh watak manusia yang berfikir. Mereka bertaqlid sama ada kerana kemalasan berfikir, atau bimbangkan tindakan pemuka agama yang berkuasa. Inilah kecelaan Kristian yang mengheret dunia Eropah ke zaman Gelap, kurun demi kurun.


Mendung itu akhirnya disapu pergi oleh kebangkitan golongan pembaharuan. Mereka mempersoalkan benda yang tidak pernah dipersoalkan, mereka menyemai benih keraguan di kalangan masyarakat agar kepercayaan masyarakat kepada kebodohan agama di Eropah itu tercabar dan terbongkar. Di atas keraguan itulah, akhirnya masyarakat Eropah berjaya memanfaatkan otak mereka untuk kembali menjadi manusia pemikir, dan berpemikiran sebagai jati diri.


Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.


MERANGKAK MENCARI CAHAYA


Eropah cuba bangun kepada Pencerahan (Enlightenment) dan mereka bangun dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan jalan yang dipilih oleh seorang ahli falsafah Perancis iaitu Rene Descartes (31 Mac, 1596 – 11 Februari, 1650), atau juga dikenali sebagai Cartesius. Antara kata-kata Descartes yang masyhur sebagai asas era Pencerahan ialah:


Cogito, ergo sum

I think, therefore I am


Punca Descartes menimbulkan pencariannya itu adalah kerana beliau hidup di dalam dunia yang mengelirukan dan penuh keraguan. Agama yang mendominasi kehidupan masa itu, sungguh bertentangan dengan naluri kemanusiaan. Paderi yang manusia, boleh pula menjadi pegawai menghapus dosa manusia. Penjelasan mengenai Tuhan oleh gereja hanya mengundang kecelaruan pemikiran. Descartes ditimpa keraguan lantas akhirnya mengesyaki segala-galanya. Kerana itulah, kata-kata Descartes itu selengkapnya berbunyi:


I doubt, I think. I think, therefore I am


Apabila Descartes meragui semua benda termasuk hakikat dirinya, akhirnya beliau bertemu dengan 'fikir'. Keupayaannya untuk berfikirlah yang menjadi satu-satunya 'bekal yang ada yakin' untuk beliau mencari kebenaran. Falsafah Descartes ini akhirnya menjadi pendorong besar kepada masyarakat Eropah untuk merangsang diri mereka agar mempersoalkan semua benda dan idea yang wujud selama ini, dan memikirkan persoalan itu dengan 'sebab musabbab' supaya akhirnya bertemu dengan apa yang diyakini sebagai kebenaran.


Tradisi berfikir itu telah menyebabkan gereja mudah kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Jangan bercakap jika tidak logik. Tidak mungkin logik jika tidak bersebab lagi berdalil. Di era inilah ilmu Sains Kemanusiaan berkembang. Kesahihan sesuatu mesti ditentukan dengan disiplin Sains. Kaedah empirical studies yang dipopularkan oleh tokoh seperti John Locke (29 Ogos 1632  - 28 Oktober 1704) menjadi teras penentuan di mana sesuatu fakta yang mahu diterima, hendaklah ditentukan menerusi eksperimen dan pemerhatian. Ada sandaran.


Sedikit demi sedikit, pemikiran saintifik menguasai masyarakat, menggantikan pemikiran agama yang dilihat sebagai dogmatik dan anti logik.


MENGAGUMI PENCERAHAN EROPAH


Sungguh hebat era Pencerahan di Eropah. Sesiapa sahaja yang berjiwa Islah dan Tajdid akan mengaguminya. Sesiapa sahaja yang sudah bosan dengan keangkuhan tradisionalisma akan mengambil inspirasi dari era Pencerahan Eropah. Bukan sahaja pengkaji barat, malah tokoh-tokoh Islam juga mendapat suntikan semangat untuk menjalankan perubahan di kalangan umat Islam sendiri hasil pembacaan dan kajian mereka terhadap era Pencerahan Eropah.


Di situlah munculnya nama-nama seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Keinsafan yang terbit dari memahami era Pencerahan Eropah juga mengundang Muhammad Shakib Arslan untuk melontarkan idea pembaharuan yang segar.


Dari Dunia Arab, kesedaran itu berkembang ke seluruh dunia. Ia terus berlangsung hingga ke hari ini. Tidak menghairankan, khususnya golongan profesional yang berpendidikan Barat tetapi berjiwa Islam, menyeru masyarakat kita hari ini agar mencontohi era Pencerahan Eropah. Tulisan-tulisan dan siri ucapan dari Forum Muslim Profesional misalnya, berulang kali mengajak generasi pembaharuan hari ini agar mencontohi strategi Martin Luther (10 November 1483 – 18 February 1546) yang mencabar tradisionalisma Katholik hingga berjaya mencetuskan reformasi agama bergelar gerakan Protestant.


Berfikir tentang 'Tajdid' dalam kerangka Eropah, pada melihat watak dan tingkah manusia di sebalik peristiwa demi peristiwa menimbulkan menung yang panjang.


Apa yang menjadi persoalan saya ialah mengapakah tindak tanduk orang Eropah di era Pencerahan ini semacam banyak persamaan dengan kita umat Islam? Semacam ada banyak pengulangan. Walhal, Eropah mewarisi masalah dan mengusahakan penyelesaian, kedua-duanya di dalam kerangka agama Kristian. Bagaimana kita yang Islam dan Muslim ini boleh ditimpa atau mengalami pengalaman yang sama?


DUA PENYOKONG ALIRAN SALAFI


Hari ini saya melihat, perkembangan aliran Salafi yang berlangsung di dalam masyarakat telah menarik sokongan dua pihak.


Golongan pertama, adalah golongan yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka tidak sanggup melihat al-Quran dicemar oleh tafsiran-tafsiran yang menghilangkan keindahan dan ketulenan al-Quran. Kumpulan ini juga tidak sanggup melihat Muhammad s.a.w. dikhianati, apabila pelbagai hadith palsu disebar dan dinisbahkan kepada baginda. Menonton pendakwah popular bercakap songsang dan menisbahkan kesongsangan itu kepada Rasulullah s.a.w adalah seperti melihat kaum Quraish menyimbah perut unta ke tubuh baginda. Suatu penghinaan.


Golongan ini mendukung aliran Salafi kerana mahu memurnikan komitmen ummah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mereka sayangkan al-Quran dan al-Sunnah, dan mereka juga sayangkan Ummah. Al-Quran dan al-Sunnah hanya terzahir tinggi apabila dijunjung Ummah. Dan Ummah pula akan tinggi apabila menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.


Manakala golongan kedua pula, adalah golongan ahli sains dan profesional. Mereka ini mudah untuk menerima seruan manhaj Salafi kerana ia bersesuaian dengan kerangka pemikiran saintifik. Mereka dididik dengan ilmu Sains, sama ada ilmu kejuruteraan, perubatan, sains politik, sejarah atau antropologi, di mana kesahihan sesuatu teori mestilah dengan justifikasi dalil dan sebab.


Tiada doktor yang bertaqlid dalam kedoktorannya kerana ia mengundang bencana. Tiada jurutera yang menerima teori kejuruteraan pensyarahnya semata-mata atas ketaksubannya terhadap pensyarah itu. Ia tidak mungkin berlaku kerana fakta perubatan yang ditaqlid dan teori kejuruteraan yang diterima atas ketaksuban, akan segera mempamerkan kesan negatifnya pada hasil kerja mereka di dunia, sebelum mati. Kaedah saintifik ini begitu meyakinkan. Menganalisa agama dengan pendekatan yang saintifik juga, menghasilkan keyakinan yang sama.


PEMIKIRAN SAINTIFIK DAN SALAFI


Orientasi begini bersesuaian dengan seruan Salafi. Tiada urusan agama yang wajar diwarisi tanpa kefahaman. Agama tidak ditanam melalui doktrinisasi atau penguatkuasaan. Ia perlu dibahas, ia perlu dimatangkan. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil. Hujah tersebut juga dianalisa dan perlu sahih. Hasilnya, kita memilih yang paling tepat.


Perbahasan ini, bagi dunia sains kemanusiaan, adalah lanjutan latihan Dialektik oleh Socrates.


Mungkin inilah punca, mengapa keterbukaan untuk menerima manhaj Salafi ini lebih mudah berlaku di kalangan orang sains berbanding dengan orang agama.


Malah orang agama pula yang bertindak menjadi penghalang kepada gerakan pemurnian ini.


GOLONGAN AGAMA


Saya terdiam.


Tidakkah di era Pencerahan Eropah dahulu, golongan agama juga bertindak sama? Mereka menyindir golongan saintis yang menjadi pesaing. Malah di masa-masa yang golongan agama ini mempunyai kuasa pemerintah, mereka menghukum sahaja saintis yang menyeru ala Descartes itu.


"Raguilah segala tentang agamamu. Tanyakan semuanya semula. Jangan takut dengan keraguan itu kerana kita manusia yang ada upaya fikir. Fikir, mana-mana yang terbukti oleh logik fikir, ia benar. Mana-mana yang tahyul, doktrin buta dan misteri, tinggalkan sahaja"


Golongan agama tidak menyetujuinya. Ada saintis dihukum, golongan yang menuntut pembebasan dari kekeliruan agama ini dilabel sebagai anti keamanan dan pencetus kacau bilau. Istana segera mengguna kuasa. Pemerintah dan rakyat bertempur, golongan agama tersenyum di gereja.


PERBANDINGAN YANG PAHIT


"Prof., saya amat terganggu dengan hal ini. Tidakkah ini jawapannya kepada masalah umat Islam kebelakangan ini?" saya bertanya kepada Profesor Abdullah al-Ahsan.


Wacana bersama guru saya yang banyak membantu menyusun pandangan saya terhadap Eropah.


"Masalah yang mana?" Prof meminta kepastian dari saya.


"Masyarakat Malaysia semakin sinis kepada golongan agama. Kumpulan Islam Liberal lebih-lebih lagi. Mereka sedang memerhati golongan agama, seperti masyarakat Eropah melihat kerenah paderi-paderi mereka dahulu" saya meluahkan apa yang terpendam.


"Ia boleh jadi begitu, jika masyarakat Malaysia hari ini mendukung sistem nilai Eropah. Mereka menilai agama dan orang agama seperti Eropah menilainya" kata Prof kepada saya.


Patutlah terlalu sukar untuk menyuruh suara-suara liberal ini tunduk menghormati ulama dan mufti. Apatah lagi para ustaz. Mungkin di mata golongan ini (saya pun sukar hendak menamakan mereka), para ustaz ini adalah pencacai agama! Mereka menilai para ustaz seperti 'ustaz Kristian' di Eropah. Kaki makan duit, ajar agama yang memundurkan, dan terlebih penting, terlalu rendah pemikiran ustaz ini sehingga mustahil untuk mereka faham tentang ketinggian nilai Moden a.k.a. Eropah ini.


Menjadi satu kekuatan kepada golongan liberal ini, dengan ramainya golongan ustaz yang tidak faham tentang Eropah, tidak tahu nilai Eropah dan tidak sekufu untuk bertanding menentang puak liberal ini. Kecerdikan golongan ini, ialah pada kejahilan seterunya.


"Itulah tugas pelajar Sejarah. Sejarah bukan untuk dihafal nama dan tarikhnya. Sejarah adalah belajar tentang manusia. Jika psikologi menganalisa manusia secara individu, Sejarah pula menganalisa manusia secara kolektif, skala makro yang lebih besar" kata Prof.


Ya. Memang benar. Manusia tetap manusia. Tidak kira apa agamanya, penyakit-penyakit yang berpunca dari sikap, akan menimpa sesiapa sahaja. Manusialah yang menghidup serta mematikan watak dan idea Eropah. Manusia juga yang mendukung Islam. Walaupun menganut fakta yang berbeza, sikap mereka sama dan hasil sikap itu juga sama.


PENCERAHAN, POSITIF ATAU NEGATIF?


Habis, kesan era Pencerahan itu positif atau negatif?


Memang benar era Pencerahan itu telah menghasilkan pelbagai kesan yang positif. Paling dibanggakan oleh Eropah, adalah Revolusi Industri yang telah memberikan Eropah kewibawaan untuk memimpin dunia. Itu yang pernah Profesor Abdullah al-Ahsan nukilkan kepada saya.


Saya juga bersetuju dengan Prof. Era Pencerahan Eropah yang berasaskan kepada kekuatan idea dan pemikiran itu, memang banyak kesan positifnya. Tetapi selepas ratusan tahun kita berada di hadapan Revolusi Industri, kita sewajarnya sudah mampu menilai sejauh manakah kebaikan Revolusi Industri itu? Sejauh manakah kehidupan hakiki seorang insan menjadi lebih baik di era moden ini? Tuntutan komersil untuk menghasilkan apa yang menguntungkan manusia ramai, telah membinasakan alam ini dan semua terpaksa percaya bahawa kemusnahan alam dan keracunan persekitaran ini sebagai sesuatu yang terpaksa diadakan.


Demi kemodenan.


Itu sudah cukup menjelekkan.


Tetapi, ada satu petikan kata yang membingungkan saya. Petikan yang menyebabkan saya gementar dengan realiti hari ini.


REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION


Ini adalah kesimpulan Eropah terhadap kehancuran dan kebinasaan dunia selepas Perang Dunia Pertama.


Kesimpulan ini sudah pun disebut oleh Nietsche jauh lebih awal dari itu tetapi selepas Perang Dunia Pertama, kebijaksanaan Eropah rupa-rupanya berakhir dengan kehancuran.


Eropah sangkakan, dengan Reason dan Rationalism, mereka sudah cukup bertamadun. Tetapi kepandaian orang Eropah itu telah menjadi sebab mereka berlaga semasa mereka. Tidak pernah Eropah menyangka, bahawa bangsa mereka berupaya berkelakuan ganas dan kejam, menjelangnya Perang Dunia Pertama. Mereka sangat kecewa dengan diri sendiri dan akhirnya, mereka menyalahkan reasons, di samping punca-punca yang lain.


Eropah menyangkakan bahawa dengan tradisi Pencerahan yang berdalil itu, mereka sudah maju lagi bertamadun. Tetapi apabila tradisi Pencerahan itu disalahgunakan, ia telah mengundang bencana. Charles Darwin (1809 – 1882) telah mengimplimentasikan teori geologi datuknya kepada biologi kehaiwanan.


Tidak lama selepas itu, teori haiwan itu diaplikasikan pula oleh ahli kaji sosial kepada manusia. Jika spesis binatang bersaing untuk hidup, dan yang lemah akan pupus, maka ada pula manusia yang percaya bahawa spesis dan keturunannya lebih berhak untuk hidup berbanding dengan keturunan yang lain.


"Penjajahan adalah fenomena biologi yang semulajadi" kata mereka.


Akhirnya, golongan Social Darwinist telah menyuntik kesombongan ke dalam diri bangsa Eropah. Renung sahaja kata-kata Karl Pearson, seorang profesor matematik British,


"Sejarah hanya menunjukkan kepada saya satu jalan. Iaitu satu-satunya jalan yang telah membawa kepada bangunnya tamadun yang tinggi. Jalan itu adalah jalan persaingan bangsa dengan bangsa, dan berakhir dengan kemenangan bangsa yang lebih baik mengatasi yang bangsa yang rendah" (National Life from the Standpoint of Science '1900)


Nilaikan pula kata-kata seorang senator Amerika Syarikat bernama Albert J. Beveridge:


"Kita mesti patuh terhadap ketentuan kualiti darah (kemuliaan bangsa) kita, lantas perlulah dikuasai pasaran-pasaran yang baru. Dan jika perlu, tanah air yang baru"


Daripada tradisi Pencerahan yang mencerdikkan Eropah, ia telah melahirkan manusia seperti golongan itu tadi. Fahaman Social Darwinism inilah yang mempromosikan kesombongan Anglo-Saxon (British dan Amerika) serta Teutonic (Jerman).


Lanjutan daripada itu, bermulalah gerakan-gerakan yang memporak-perandakan Eropah. Fahaman Nasionalisma berleluasa dan masing-masing mula percaya kepada teori Volkish bahawa setiap satu bangsa ada rohnya sendiri, yang lebih mulia dari roh bangsa lain.


Malang sekali, kesemua golongan ini masih merasakan bahawa mereka sedang menghidupkan tradisi Enlightenment yang dibanggakan walaupun rasional mereka sedang membinasakan masyarakat.


DALIL YANG MENGUNDANG KERAGUAN


Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.


REASON PROMOTES DOUBT


Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah "an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others".


Maksudnya, "mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain".


Sahihkah agamaku selama ini?


Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.


"Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu Sunnah ke Bid'ah" ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.


Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.


Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?


Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan.


Out of hand!


Saya berpendapat secara peribadi, gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.


Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, "kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul".


Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.


MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR


Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. Berbelah bagi menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)


Al-Mutanabbi juga pernah berkata:


Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi


Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.


Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya. Pejuang Islam mesti berani dan yakin dengan perjuangan Islamnya.


Tetapi kebelakangan ini, gerakan Islam menjadi salah satu subjek asakan gerakan Salafi. Asas perjuangan mereka dikritik, kefahaman mereka terhadap perjuangan dipersoalkan, kesahihan dakwah mereka dipertikaian.


ISU GERAKAN ISLAM


Sebahagian daripada saranan gerakan Salafi itu memang benar. Ahli-ahli gerakan Islam sepatutnya mengambil serius terhadap bentuk kefahaman mereka terhadap beberapa nas penting yang mendasari perjuangan mereka. Kesilapan memahami perbezaan maksud Jamaatul Muslimin dan Jamaah min al-Muslimin, mempunyai implikasi yang serius.


Akan tetapi ada di antara saranan yang dikemukakan, menimbulkan tanda tanya. Golongan ultra Salafi bermati-matian memaksa gerakan Islam agar memberhentikan serangan mereka terhadap pemerintah dengan alasan tidak syar'ie untuk menegur pemimpin secara terbuka. Saya kira, bukan sahaja gerakan Islam yang tersentak, malah pemerintah juga jadi terkejut. Tidak sangka, selama ini mereka tidak boleh ditegur oleh pembangkang secara terbuka. Mereka perlu ditegur di dalam majlis yang hanya disaksikan oleh Allah dan Malaikat. Rakyat tidak perlu tahu apa yang ditegur, dan di manakah kepincangan pemerintah.


Apakah rasionalnya pemikiran seperti ini?


Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Jordan, dan amat teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pemikiran, penulisan dan tindakannya, pernah menulis sebuah buku bertajuk "Pembetulan Kefahaman Terhadap Beberapa Ayat al-Quran". Di dalam buku tersebut, beliau telah mengulas tentang kefahaman umat Islam tentang ayat 44-47 surah al-Maidah iaitu:


"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kufur" (Al-Maidah: 44)


"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim" (Al-Maidah: 45)


"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq" (Al-Maidah: 47)


Pandangan pertama terhadap ayat ini, ditolak sepenuhnya oleh Sheikh Solah. Golongan pertama ini beranggapan bahawa ayat ini khusus diturunkan untuk orang Yahudi dan tidak teraplikasi ke atas umat Islam. Kefahaman ini bertentangan dengan kaedah tafsir yang utama iaitu "Pengiktibaran ayat adalah berasaskan umumnya lafaz, dan bukan khususnya sebab (turun ayat itu)".


Tetapi Sheikh Solah amat skeptik dengan pandangan kedua. Pendukung pandangan kedua ini membezakan hukum pemerintah yang tidak melaksanakan Syariat Allah. Sama ada mereka tidak melaksanakannya kerana takut, tidak faham, lemah semangat, sedang berusaha, atau sememangnya menolak hukum itu. Kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, "siapakah pendakwah yang berani dan mampu bertanya kepada pemerintah secara aman, mengapa beliau tidak melaksanakan hukum Allah? Dan jika ada yang berani bertanya, jujur pulakah jawapan pemerintah itu?"


"Sesungguhnya perbuatan pemerintah, adalah lebih benar dalam menunjukkan maksud mereka berbanding dengan kata-kata pengakuan (pemerintah)" ujar Sheikh Solah.


Inilah pendirian seorang tokoh Salafi yang digeruni King Hussein dan kerabatnya. Harapan rakyat kepada Islam berputik apabila adanya gerakan yang memantau secara telus tindak tanduk pemerintah yang absolute.


Jika isu "jangan lawan pemerintah" seperti ini diwar-warkan oleh pendukung Salafi untuk meluruskan gerakan Islam, jika menang di medan debat sekali pun, apakah kesannya kepada masyarakat?


Jika isunya adalah isu teguran yang tidak berakhlak, maka yang perlu diperbetulkan adalah akhlak ahli gerakan Islam, dan bukannya memberikan cadangan yang diketawakan pemerintah.


USAHA PEMURNIAN GERAKAN ISLAM


Gerakan Islam yang keahliannya bersifat terbuka, menerima kemasukan ahli yang pelbagai. Dari pemanjat pokok kelapa, suri rumah yang buta huruf, hinggalah kepada profesor di IPT, kesemuanya memerlukan kepada hikmah kebijaksanaan di dalam membentuk mereka ini. Ada yang masuk melalui pintu politik, ada juga yang masuk melalui pintu Tarbiah. Tokoh-tokoh gerakan Islam seawal Hasan al-Banna di Mesir, hingga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Malaysia, mempunyai pendekatan yang mengambil kira realiti ini.


Selama ini, gerakan-gerakan Islam berlapang dada. Mereka boleh menerima konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam diskusi perkaderan mereka, walaupun di kalangan anggota gerakan itu, bukan kecil jumlah yang datang dari aliran Khalaf. Hasan al-Banna, ketika mensyarahkan Usul 20 kepada rukun bai'ah yang pertama iaitu al-Fahm, secara jelas mengambil manhaj Salafi tetapi ia dikemukakan selepas bersungguh-sungguh mengenengahkan persamaan yang boleh dikongsi di antara Salaf dan Khalaf. Di dalam gerakan Islam, ada pimpinannya yang Salafi, ada yang Khalaf. Mereka menggunakan manhaj masing-masing secara harmoni dalam menyusun saf perjuangan.


Sebelum aliran pembaharuan Salafi semasa ini popular, tokoh-tokoh Salafi boleh berada di dalam pelbagai organisasi. Ia tidak berhasrat menjadi satu kelompok yang berasingan kerana Dakwah Salafiah adalah gerakan pembetulan proses yang boleh dan perlu ada di mana-mana. Ia perlu ada dalam parti-parti politik, NGO, institusi pengajian tinggi, surau dan masjid. Tetapi apabila kesabaran generasi matang tidak dapat dicontohi oleh kegopohan anak muda, satu demi satu ahli yang Salafi itu menarik diri dan pergi kepada pembentukan entiti yang berasingan.


Menyeru ahli gerakan Islam agar lebih ilmiah dan sahih sandaran, bukanlah suatu kerja yang boleh berlaku sekelip mata. Ia soal paradigma dan cara berfikir. Saya berpandangan, ahli-ahli gerakan Islam yang meninggalkan kumpulannya kerana tidak sabar terhadap islah dalaman, adalah berjiwa sempit dan kurang mahu memikul tanggungjawab secara yang berwibawa. Melontar batu dari luar pagar, memang mudah kerana kesan lontaran itu boleh dilupakan. Tidak perlu peduli kepada akibat lontaran itu.


Kesan lontaran itu telah mengakibatkan segelintir ahli gerakan Islam dibelenggu keraguan. Keraguan itu telah membocorkan masa dan tenaga untuk tujuan yang tidak turun ke alam nyata.


Cabaran terus menerus berlaku di dalam masyarakat. Kelompok yang menarik jauh manusia dari agama semakin aktif. Tetapi ahli-ahli dakwah dan islah hilang momentum dan terdorong kepada mencari kemenangan di medan debat, bukannya jihad.


Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.


REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION -


Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif -


Keraguan.


Adakah itu jalan Islah?


Saya masih memikirkannya


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


Versi asal: 5 November 2006


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2012 10:18

January 21, 2012

Sekitar Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahf

[image error]





Sun, 22 Jan 2012 07:03:36 +0000: Tolak ansur amat diperlukan untuk bersinergi. Puncanya ialah apabila mendapat ra... - Dinding Facebook Akademi Sinergi
Tolak ansur amat diperlukan untuk bersinergi. Puncanya ialah apabila mendapat rahmat dari Allah.Sun, 22 Jan 2012 07:00:38 +0000: 'wa shaawirhum' memerlukan saling berinteraksi dan diskusi. Bukan sekadar satu h... - Dinding Facebook Akademi Sinergi
'wa shaawirhum' memerlukan saling berinteraksi dan diskusi. Bukan sekadar satu hala atau mengelakkan daripada isu yang perlu dibetulkan.Sun, 22 Jan 2012 06:55:04 +0000: 'Wal yatalattaf' memerlukan kemahiran empati dalam kehidupan, bukan sekadar simp... - Dinding Facebook Akademi Sinergi
'Wal yatalattaf' memerlukan kemahiran empati dalam kehidupan, bukan sekadar simpati. Ia memerlukan kemahiran mendengar yang baik.Sun, 22 Jan 2012 03:54:13 +0000: Berminat mengikuti 'live' dari program Pengurusan Kehidupan di UPM? Akademi Sine... - Dinding Facebook Akademi Sinergi
Berminat mengikuti 'live' dari program Pengurusan Kehidupan di UPM? Akademi Sinergi memberi akses PERCUMA minggu ini. Daftar di https://www3.gotomeeting.com/register/587755694


Pengurusan Kehidupan
www3.gotomeeting.com
Berteraskan Surah al-KahfSun, 22 Jan 2012 03:35:39 +0000: Islam menyediakan 3 bentuk "support system" untuk seseorang Muslim istiqamah, wa... - Dinding Facebook Akademi Sinergi
Islam menyediakan 3 bentuk "support system" untuk seseorang Muslim istiqamah, walau dimana jua dia berada, iaitu :

1) Jamaah (kumpulan Muslim yang membesarkan Allah)
2) Ummah (Masyarakat/Komuniti)
3) Masjid (Pusat Kehidupan)

Syarat untuk ia berkesan ialah dengan mengambil KETIGA-TIGA "support system", dan bukan salah satu sahaja.

(Sedutan hari ke-2 Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah al-Kahf)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2012 15:56

January 18, 2012

Amir Sab Rindukan Sekolah Itu!

[image error]


Kenangan bersama wartawan British Satelite News ketika rakaman dokumentari "Education of Muslims in Northern Ireland" untuk siaran CNN pada tahun 2001


"Imam, this is your job description" kata Jamal Iweida, Presiden Belfast Islamic Centre.


Sehelai kertas putih A4 dihulurkan kepada saya.


"Meaning?" saya 'buat-buat tidak faham'.


"Anything, everything, related to Islam will be your responsibility" jawab Jamal.


"And Islam is a WAY OF LIFE!" saya menyambut.


Jamal ketawa.



Daripada sangkaan awal bahawa kerja yang saya terima hanya berkisar pada tugasan mengimamkan solat fardhu, solat Jumaat dan solat sunat hari raya, rupa-rupanya seluruh 'tugas Islam' dihimpun untuk digendong di atas pundak saya sebagai seorang Imam.


Menakutkan.


Namun, dalam tekanan dan kesusahan menyambut tugas yang sebegitu besar di usia muda mencecah 26 tahun, di sebalik semua itu ada kemanisannya.


Antara tugas yang menjadi nostalgia kepada diri saya ialah apabila saya dilantik sebagai Pengetua di Belfast Islamic School iaitu sebuah sekolah separuh masa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak komuniti Muslim sekitar Belfast dan kawasan berhampiran. Saya mendapat kira-kira 70 orang pelajar yang berumur di antara 5 ke 16 tahun.


[image error]


Gambar kenangan semasa menyambut kedatangan rombongan pelajar sebuah Sekolah Katholik di Belfast ke sekolah kami. Mereka menggunakan Bahasa Gaelic di sekolah, mengagumi komuniti Muslim Belfast yang bertutur di dalam lebih daripada 20 bahasa




AGM MASJID…


Permulaan tugas saya tidaklah begitu cantik.


Semasa Mesyuarat Agung Jawatankuasa Masjid, Belfast Islamic Centre hampir hendak runtuh disebabkan oleh pergaduhan lantaran rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang sekali pun saya tidak pernah melihat muka mereka bersolat di Masjid.


Namun, saya hanya mendiamkan diri bersila di atas sejadah, ketika Jamal yang memegang jawatan Presiden Masjid, mengawal keadaan.


Tiba-tiba seorang perempuan bangun dan membangkitkan persoalan sekolah.


"Saya tidak berpuas hati, Imam diberi jawatan Pengetua Sekolah. Apa kelayakan dia?" bentak wanita itu.


Saya mengenalinya.


Beliau memegang jawatan sebagai pengetua sekolah 'kecil' kami selama beberapa tahun. Tetapi tidak tahun ini lagi.


Saya sudah 'mencuri' hak miliknya.


"Imam buatlah kerja Imam. Kenapa dia memegang jawatan Pengetua?" katanya sambil menunding jari ke arah saya.


Pelbagai isu dibangkitkannya. Saya dimarahi kerana pandai-pandai menukar silibus, tidak menghormati guru-guru lama dan cuba membolot segala-gala yang berkaitan dengan sekolah itu. Leterannya seperti cuba mempengaruhi hadirin agar percaya yang saya gila kuasa.


Seperti kucing jantan yang kencing merata kerana mahu menanda kuasa… barangkali!


Tiba-tiba dia menerpa ke depan sambil menghulurkan jari telunjuknya kepada saya. "The Imam is misleading!!!"


Beliau memekik ke arah saya di hadapan lebih 200 hadirin di AGM tersebut.


Saya terkejut dan ramai jemaah masjid bangun untuk menolak wanita itu agar tidak menyerang saya.


Saya Imam Muda!


Darah muda!


Akhirnya saya terpaksa bangun dan bersuara…


"Tuan-tuan dan puan-puan. Saya sedar saya masih baru di sini. Hari ini kita bergaduh tentang siapa yang berhak di dalam urusan pentadbiran sekolah. Mari saya kongsi bersama dengan anda semua cerita ini" saya bersuara tenang, walaupun jantung saya berdegup kencang.


"Brothers and sisters, semasa saya mengambil alih sekolah pada akhir tahun lepas, saya telah mengadakan assessment test untuk menentukan pelajar yang mana patut masuk ke kelas mana. Hasil ujian tersebut, saya ingin memberitahu anda semua bahawa kira-kira 20 orang pelajar semasa ditanya who teaches you about God, mereka menjawab Jesus! " saya bercerita.


Jemaah yang hadir tekun mendengar.


"4 orang pelajar, semasa diminta menterjemahkan Kalimah Syahadah ke Bahasa Inggeris, mereka menjawab There is No God but Allah and Abraham is the Messenger of Allah!" saya menyambung kisah.


"Dan hampir 100% pelajar dari umur 5 hingga ke 16 tahun, tidak tahu jawapan kepada soalan siapa nama ayah Muhammad, the Prophet!" saya menjelaskan dengan panjang lebar.


Seluruh masjid hening seketika.


Ramai yang menggeleng-gelengkan kepala.


"Siapakah pelajar-pelajar ini? Adakah mereka anak saya? Tidak, anak saya masih merah di rumah. Tetapi mereka adalah anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian" saya cuba merumuskan.


"Termasuk anak kamu!" sampuk seorang pakcik sambil menunding kepada wanita tadi.


"Saya mengendalikan sekolah ini bukan kerana gilakan kuasa, tetapi atas kesedaran saya tentang tanggungjawab menyelamatkan generasi Muslim di Belfast. Kamu, sister, kamu sudah menjadi Pengetua sekolah selama bertahun-tahun. Apa yang kamu ajar? Inilah hasil keluaran sekolah yang pengetuanya adalah kamu!" saya menggeletar menahan amarah Imam Muda.


[image error]


"Menjadi pengetua bukan satu kemewahan. Bukan ada gaji tambahan. Bukan ada apa-apa kelebihan. Hanya tanggungjawab. Andai anda semua mahu bergaduh tentang Belfast Islamic School, silakan. Saya tiada masa kerana saya ada banyak tugas. Antaranya adalah menyelamatkan akidah anak-anak anda. Thank you!" saya menutup bicara.


Masjid hening, dan Jamal memimpin mesyuarat ke agenda yang seterusnya.


Sememangnya mengendalikan Belfast Islamic School bukanlah suatu kerja yang mudah. Saya berhadapan dengan cabaran merangka silibus untuk pelajar-pelajar luar biasa ini. Maksud saya, mereka luar biasa kerana mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang ibu bapanya Syafie, Hanafi, Maliki, malah Syiah dari Lebanon dan Iraq. Syiah Iran memang tidak berkunjung langsung ke masjid dan saya fikir, mereka mungkin ada komuniti sendiri.


Bagaimanakah caranya untuk saya dan guru-guru di sekolah itu hendak mengajar Solat yang simple kepada pelajar-pelajar ini?


Jika ditinggalkan bacaan Bismillah, ada pelajar yang hairan kerana Solat ayahnya ada Bismillah. Jika diajar selepas rukuk ada doa Qunut, ramai pula anak-anak Pakistan, Turki dan China yang terngaga. Mereka baru berumur 5 ke 16 tahun, mana mungkin boleh terlibat dalam diskusi berkaitan dengan Mazhab.


Ada sebahagian pelajar saya yang bapanya Muslim dan ibunya Kristian. Jika cikgu mengajar bahawa ajaran Kristian itu salah dan tempatnya adalah di Neraka, maka pelajar akan kebingungan kerana ibu mereka yang Kristian itu lebih penyayang dan mulia pekerti berbanding dengan ayah mereka yang Muslim, dan hanya mengejar sekeping pasport British melalui perkahwinan rumit itu.


Habis, bagaimana harus semua ini dihadapi?


Saya berada di dalam keadaan yang amat tertekan.


Dan baru berusia 26 tahun!


GENERASI ANAK


"Fokus kepada anak-anak. Manakala yang sudah tua, uruskan secara damage control!" kata Jamal.


Dalam gurauan, ada kebenarannya.


Teringat kenangan semasa membawa anak murid saya ke Belfast Zoo. Perjalanan yang menyeronokkan itu, terselit di celahnya sebuah tragedi pemikiran.


"Look, it's our grandfather!" kata Asna, murid P2 di kelas Belfast Islamic School.


Kalau diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, "tengok! Itu Tok Wan kita!"


Asna menunding ke arah seekor gorila.


Lemah lutut saya mendengarnya.


Hati saya berkata, "kalaulah tok wan hang ada di sini, mahu melayang satu pelempang!"


Terbayang saya Charles Robert Darwin bertepuk tampar dengan Herbert Spencer!


Kisah ganjil tidak habis di situ. Semasa kami mendekati kawasan farm, anak-anak murid saya berebut-rebut menuju ke kandang anak babi.


"So sweet! So cute!" kata mereka.


Puas para guru mengepung.


"Jangan! Najis! Mughallazah!" kata guru-guru.


Pada mereka si tonggek merah berekor bengkok itu comel!


Paradigma generasi ketiga umat Islam di United Kingdom terhadap agama amat berbeza. Mereka mengalami pendedahan yang berlainan daripada apa yang dialami oleh generasi ibu bapa dan datuk nenek. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, antara penyumbang kepada kegagalan pendidikan Islam untuk anak-anak komuniti Muslim di UK dan Ireland ialah perbuatan mengimport silibus daripada Pakistan, Arab Saudi, Turki, Mesir atau  mana-mana sahaja untuk diimplimentasikan di sekolah-sekolah Islam di sini.


Saya cuba merumuskannya melalui kajian peringkat Sarjana saya di dalam bidang Pendidikan di The Open University, UK.


Ilmu agama satu bab.


Ilmu membuat silibus satu bab.


Pandai agama, tak pandai buat silibus, boleh mengundang musibah.


Seperti doktor dan ahli farmasi yang perlu bekerjasama. Mendiagnos pesakit, kemudian menentukan sukatan ubat, bentuk ubat… semua itu ada ilmu-ilmunya yang tersendiri.


Supervisor saya juga berminat dengan topik tersebut. Soal merumuskan Khilaf Mazhab di dalam Curriculum Studies  dalam sebuah masyarakat Muslim yang amat pluralis.


Sayangnya, TB saya membantutkan program Masters itu. Saya selalu Lebai Malang dalam isu akademik!





[image error]


KISAH SYAZAD DAN SYABAZ…


Kisah pelajar Dyslexic bernama Salman tinggal kenangan.


Dia diberhentikan ayahnya.


Semasa weekdays, saya juga mengajar tiga orang pelajar di antara waktu Asar dengan Maghrib. Dua beradik bernama Syazad dan Syabaz. Manakala seorang lagi ialah Pisol, anak Kashmir yang menggusarkan ayahnya kerana bercita-cita menjadi suicide bomber ketika ditanya oleh cikgu sekolah! Tetapi Pisol selalu tidak hadir ke sekolah dan tumpuan saya banyak kepada Syazad dan Syabaz. Keduanya berumur 10 dan 12 tahun.


Mengajar Syazad dan Syabaz memang memenatkan.


Ketika seorang mengambil giliran, seorang lagi akan berlari-lari di dewan solat Masjid, terutamanya Syabaz.


Syabaz menghadapi masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder atau yang lebih dikenali sebagai ADHD. Dia perlu makan sejenis tablet setiap kali tiba di kelas supaya boleh bertenang dan berhenti daripada memanjat belakang saya, berlari keliling meja dan kadang-kadang menggelungsur di tangga masjid.


"Sorry Imam, I have problems with my brain. I am hyperacive and you can't do anything about it!" kata Syabaz.


Wah, pandai betul dia memberikan alasan apabila saya mengugut untuk mencampakkan dia dari tingkap atas masjid!


Saya hanya bergurau.


Telinga Syabaz saya tarik sambil mengajak dia duduk semula untuk meneruskan bacaan Surah al-Humazah yang sedang dihafalnya. Walaupun setiap hari tekak saya sakit mengajar budak dua orang ini, namun secara tidak sedar saya sudah menganggap mereka seperti anak saya sendiri. Ada masanya saya bawa anakanda Saif ke masjid dan membiarkan dia di atas riba sambil saya mengajar Syazad dan Syabaz.


Budak dua orang itu juga suka bermain dengan Saif.


Tapi minggu itu, saya ada banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Saya meminta jasa baik Udin supaya menggantikan tempat saya mengajar Syazad dan Syabaz. Udin adalah pelajar PhD di The Queen's.


Hari pertama, nampaknya semua berjalan baik.


Tetapi masuk hari kedua, Udin sudah panas telinga dan perut melayan karenah dua beradik ini. Entah macam mana, dalam keadaan Syabaz sedang aktif melayan panjat turun di susunan bangku masjid, tiba-tiba Udin datang dan memarahinya. Syabaz secara impulsive telah meludah muka Udin dan balasannya Udin menampar muka Syabaz!


Kelas terhenti di situ dan saya tiba sejurus sebelum solat Maghrib.


Udin menceritakan kepada saya apa yang berlaku petang itu. Saya memanggil Syabaz dan bertanya kenapa dia meludah ke muka cikgu Qurannya? Syabaz hanya mendiamkan diri dan merenung lantai sambil menguis-nguis kaki Syazad yang berdiri di sebelah.


"I have to tell your mom about what happened just now. You disappointed me!", saya mengeluh sambil memegang bahu Syabaz yang sudah mula bergenang air mata.


Selepas solat Maghrib, ibu mereka berdua datang. Saya berjumpa dengannya di pintu keluar masjid dan memohon izin untuk menceritakan apa yang berlaku. Ibu Syazad dan Syabaz begitu terkejut dan hampir terduduk.


"Never in my family… anyone with that kind of attitude! Syabaz come here!" ibu mereka menjerit memanggil Syabaz dan Syazad yang sedang duduk menongkat dagu di atas tangga masjid.


Syabaz dipukul di depan orang ramai dan ibunya tidak henti-henti mengherdik, "shame on you Syabaz!"


Saya cuba menghalang ibu mereka daripada terus memukul Syabaz. Walau pun perbuatan meludah guru Quran adalah sesuatu yang sangat mengaibkan, namun saya faham yang kanak-kanak hiperaktif seperti Syabaz melakukannya secara tidak sengaja. Impulsif!


Syabaz memeluk kaki saya dan ibunya terus memukul dia di belakang.


"You don't have a father, Syabaz. I don't know where he is, Imam. He left us with nothing. I put my trust on my children but this rascal disappointed me!" ibu mereka menangis dan tidak habis-habis menyebut tentang rasa malunya di atas perbuatan Syabaz itu tadi.


Saya terasa seperti menyesal memberitahu kisah ini kepada ibu Syazad dan Syabaz.


Ketika itu saya memeluk erat Syazad dan Syabaz sambil membisikkan ke telinga mereka supaya belajar rajin-rajin dan menjadi Muslim yang baik. Saya tahu malam itu adalah sesi terakhir saya bersama mereka kerana ibu murid-murid saya ini mengambil keputusan untuk memberhentikan anak-anaknya daripada kelas Quran di masjid.


Sukar untuk saya bayangkan kesedihan tentang hal-hal seperti ini. Semasa Eid, sambil memberi khutbah, mata saya kadang-kadang melilau melihat gelagat anak-anak ahli jemaah masjid. Pernah saya ternampak Syazad dan Syabaz di hujung dewan, namun mereka semacam melarikan diri daripada saya.


[image error]


Pelajar-pelajar Belfast Islamic School hari ini. Sebahagiannya pernah menjadi anak murid saya  [kredit]


Hari ini umur mereka sudah mencecah 20′an. Sudah jadi anak muda.


Saya doakan agar Syazad, Syabaz, Pisol, Salman dan ramai lagi anak murid saya di Belfast Islamic School dapat membesar dengan iman kerana perjuangan untuk itu di bumi Ireland, bukanlah suatu yang mudah.


Hanya hidayah-Nya yang saya pohon moga Allah bersamamu wahai anak-anak muridku…


Amir Sab rindukan sekolah itu!


Rindukan kamu…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2012 20:33

Ujian Kehidupan di Perantauan

[image error]


Galway, pemandangan dari udara


"Sakit sangat dah ni. Bengkak pun dah makin besar" saya memberitahu isteri.


"Insya Allah esok kita buat pemeriksaan" jawab isteri saya.


Seorang doktor secara fitrahnya mudah cenderung kepada salah satu daripada dua reaksi terhadap masalah kesihatan ahli keluarganya. Sama ada dia akan bersikap risau berlebihan, atau tenang berlebihan. Maka ahli keluarganya perlu mengambil inisiatif untuk mengimbangkan antara keduanya.


Jika berlebihan, perlu ditenangkan.


Jika terlebih tenang, perlu diyakinkan.



Bahagian bawah ketiak kiri saya membengkak sejak sebulan lalu. Saiznya makin besar dan kini sudah seperti sebiji lemon dibelah dua.


Kebetulan isteri saya sedang bertugas sebagai Senior House Office (SHO) di Jabatan Haematologi, Hospital Universiti di Galway. Maka saya manfaatkan kemudahan itu untuk pemeriksaan.


Selepas diperiksa oleh doktor pakar di jabatan itu, saya digesa supaya segera menjalani pembedahan. Bimbang kalau-kalau bengkak itu berkait dengan kanser.


RAKAN YANG RINGAN TANGAN


Tentu sahaja, isu paling utama adalah soal Saif. Siapa yang mahu menjaganya jika saya dimasukkan ke wad? Ini adalah dilema kami yang hidup di perantauan. Banyak perkara perlu diselesaikan sendiri. Tiada ibu bapa atau saudara mara untuk membantu.


Di sinilah besarnya hikmah bersahabat. Merekalah teman, dan tangan ketika kita berada di dalam kesusahan. Dr. Fendi sekeluarga menawarkan bantuan, untuk menjaga Saif ketika saya dibedah dan isteri mengawasi di wad.


[image error]


Saif baru setahun usia semasa saya dimasukkan ke hospital


"Saif jangan nakal-nakal tahu. Main dengan kak Aqilah dan adik Sarah, ok, saya mencium Saif sebelum menyerahkannya kepada Dr. Ina, isteri Dr. Fendi.


Saif kebingungan.


Saya telah dibedah dengan general anaesthetic (dibius penuh hingga 'tidur'). Pembedahan memakan masa 1 jam dan kira-kira dua jam selepas memejamkan mata, saya dikejutkan oleh doktor yang merawat.


Rasa sakit yang amat sangat menyucuk-nyucuk di tangan kiri saya. Terasa sendat.


"Besar lubang di tangan tu. Dah disumbat dengan kain kasa" kata isteri saya yang duduk di sisi katil.


Saya hanya mengangguk.


Doktor telah berjaya mengeluarkan sejumlah abses (nanah) yang agak banyak, dan ia telah dihantar ke pemeriksaan unit Patologi. Keesokan harinya, doktor yang merawat saya datang membawa keputusan.



BERITA BAIK VS. BERITA BURUK


"Ada berita baik dan ada berita buruk" katanya kepada saya.


"Mana-mana dahulu pun boleh sahaja" saya membalas perlahan.


"Berita baiknya, ujian untuk mengesan kanser adalah negatif" beliau memberitahu.


"Alhamdulillah" saya menarik nafas lega.


"Berita buruknya ialah, bengkak di ketiak kiri awak adalah Tuberculosis (TB)" doktor tersebut menyambung lagi.


"Allah!" saya termenung. Agak terkejut kerana TB langsung tidak ada dalam jangkaan saya dan isteri.


"Jangan bimbang. TB hari ini boleh disembuhkan. Bukan seperti dahulu lagi" beliau menyudahkan penerangannya.


Saya telah dijangkiti sejenis TB yang agak jarang dialami. Di Ireland, saya adalah pesakit ke-13 yang direkodkan. TB ini bukan batuk kering yang menyerang paru-paru (pulmonary Tuberculosis), tetapi ia adalah jenis yang menyerang lymphatic system. Lymph node di bawah ketiak kiri saya telah dijangkitinya dan pembengkakan berlaku dengan teruk. Kelenjar lymph ini berfungsi sebagai pembekal pertahanan diri apabila berlakunya apa-apa serangan bakteria di dalam tubuh, dan dalam kes saya, kelenjar lymph itu yang diserang.


Doktor memberitahu, TB seperti ini lazimnya masuk ke tubuh pesakit melalui pemakanan bahan-bahan tenusu seperti susu segar, keju dan lain-lain, seandainya lembu atau kambing yang menjadi sumber susu itu, dijangkiti TB.


Oleh kerana TB memakan masa bertahun untuk aktif di dalam tubuh, saya menjangkakan bahawa kuman TB ini mungkin saya perolehi semasa mengembara di bumi Secangkir Teh Pengubat Letih. Sesekali saya tinggal di kampung-kampung, saya memang ada makan keju yang dibuat sendiri dan susu segar daripada ternakan tuan rumah sendiri.


Jika susu itu saya dapati di Ireland, pasti ada pesakit lain yang turut mengalaminya.



MIMPI NGERI


Setiap malam semasa di hospital, rasa sakit yang saya alami memuncak. Tidak boleh tidur. Selepas menerima ubat penahan sakit, kesakitan yang saya alami hilang seketika, tetapi saya terganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan, setiap kali saya cuba melelapkan mata.


Rupa-rupanya, saya tidak tahan dengan Morfin sebagai ubat penahan sakit. Memang salah satu daripada kesan sampingan Morfin ialah 'mimpi ngeri'.


Bagaimanakah dunia penagih dadah yang mengambil morfin secara berlebihan. Ngeri!


Tiga hari kemudian, saya telah dibenarkan untuk pulang ke rumah.


Setiap hari pembantu kesihatan datang ke rumah untuk membersihkan luka saya dan mengganti kain kasa. Beliau menelefon sejam sebelum tiba, agar saya mengambil ubat penahan sakit sebelum kerja membersihkan luka (dressing) dapat dilakukan.


Kasihan Saif kerana tidak dapat saya dukung. Ibunya pun sudah kembali bekerja selepas beberapa hari mengambil cuti. Semua kerja rumah saya lakukan sebelah tangan.


 من يرد الله به خيرا يصب منه



"Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, nescaya akan diujinya dengan beberapa kesusahan" – Al-Bukhari dan Muslim



"TBnya macam tak ada rasa apa-apa. Tapi kesan makan ubat ini yang mengundang derita" saya mengadu.


Isteri saya tersenyum.


Beliau tidak pernah mengeluh, menemani saya di celah-celah jadual kerjanya sendiri yang begitu sesak.


TB yang saya alami tidaklah seteruk mana. Tetapi kesan rawatan itu yang telah menyebabkan hidup saya menderita. Setiap hari, saya dikehendaki memakan 6 biji ubat anti-TB yang terdiri daripada rifampicin dan isoniazid. Tempoh rawatan adalah selama 1 tahun!


Akibat daripada rawatan TB itu, kulit saya menjadi sensitif kepada matahari. Saya tidak boleh keluar rumah kerana sakitnya kulit adalah seperti melecur terkena api. Paling mengerikan saya ialah air liur, air mata dan urin kesemuanya berwarna jingga. Kesan rawatan itu juga, saya telah mengalami masalah gout (metabolic arthritis) yang agak teruk hingga menyukarkan saya untuk berjalan. Pergelangan kaki dan sedikit-sedikit di bahagian tangan, amat sakit dan doktor tidak mahu memberikan apa-apa rawatan kerana ia hanyalah kesan samping daripada rawatan anti TB saya. Apabila rawatan itu berakhir, maka dijangkakan gout itu juga akan sembuh dengan sendiri.


"Na dan Saif juga kena menjalani pemeriksaan" kata isteri saya.


"Mantouc Test jugakah?" saya bertanya.


"Ya. Macam tulah nampaknya" jawab isteri saya perlahan.


Sungguh menyedihkan. Pesakit adalah saya. Tetapi isteri dan anak juga perlu menjalani Mantoux test, di mana PPD tuberculin disuntik kepada kulit dan reaksinya akan diukur selepas 48 – 72 jam.


Menjerit-jerit Saif menangis kerana sakit dicucuk di permukaan kulit. Saya hanya mampu berserah kepada Allah.


[image error]


Mantoux Test


Saya tidak dapat membayangkan jika isteri saya juga dijangkiti kuman tersebut kerana tentunya kami berdua tidak dapat bekerja. Simpanan juga tidak banyak mana untuk menghadapi hari-hari yang kami tidak bekerja.


Syukurlah, Saif dan ibunya terselamat. Mantoux test mereka berdua negatif.


TB yang saya alami ini tidak merebak dan tidak berjangkit kepada sesiapa. Tetapi kefahaman ramai orang, TB itu adalah batuk kering!


Kesannya, orang tidak berani datang ziarah.


SEPI DI RUMAH


Sungguh sepi.


Aktiviti harian saya ialah memandikan Saif dengan sebelah tangan, menyediakan makanan untuknya, membaca buku dan termenung di tingkap rumah menunggu kedatangan jururawat yang akan membersihkan luka.


Beberapa bulan terlantar di rumah, saya terpaksa berhenti daripada pengajian Master saya. Supervisor di Limerick mengucapkan takziah dan kira-kira dua minggu sekali, beliau akan menghantar email kepada saya bertanya khabar.


Sebagai seorang yang sentiasa bersama orang ramai, saya berasa amat tertekan berkurung di dalam rumah. Kelas hadith yang saya kendalikan di NUI Galway terpaksa diberhentikan. Solat Jumaat juga sering tidak dapat saya hadiri, khususnya apabila cuaca panas dan akibat kekurangan mobilisasi saya dan isteri, kami menghadapi masalah kewangan yang agak teruk.



Mempelajari bahawa Allah itu Al-Razzaq, tidak sehebat mengalaminya.



Ada hari, saya tidak dapat ke masjid untuk solat Jumaat kerana kulit yang sensitif kepada cahaya. Tetapi ada harinya saya tidak dapat ke masjid kerana tidak cukup wang. Untuk berjalan kaki, badan tidak berupaya. Untuk membayar tambang teksi sekadar 5 Euro, tiada kemampuan. Tempoh itu adalah saat-saat yang getir semasa kami sekeluarga hidup di perantauan, yang tersembunyi di sebalik gelak tawa dan senyuman.


SELEPAS 6 BULAN


"Saya dapati, anda sudah pulih sepenuhnya. Tidak perlu sambung untuk regim 6 bulan berikutnya" kata doktor yang merawat.


Alhamdulillah!


Kata doktor, oleh kerana saya tidak merokok dan tidak minum arak, proses penyembuhan daripada kuman TB itu berjalan lancar. Saya hanya perlu melengkapkan proses rawatan selama 6 bulan, dan bukannya setahun.


PENGHARGAAN


Terima kasih kepada rakan-rakan di Galway yang membantu selama saya menerima rawatan itu. Terima kasih juga kepada beberapa rakan yang memberanikan diri melawat saya yang kesunyian terkurung di rumah berbulan lamanya. Terima kasih juga kepada kakitangan public health di Galway yang sangat berdedikasi merawat saya di rumah selama lebih sebulan sebelum saya sendiri yang 'memecat' mereka.


[image error]


Pelajar di Galway malah Ireland, sangat bermurah hati membantu


Kehidupan di perantauan amat memerlukan kita untuk saling berukhuwwah. Sahabatlah teman di sisi untuk kita berkongsi kesenangan dan mencari tangan membantu diri tatkala kesusahan.


Terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya yang amat bersabar dengan had mobilisasi saya selama saya menerima rawatan tersebut.


Paling utama, syukur kepada-Mu yang Allah. Tuhan yang menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan yang dikurniakan-Nya, kesembuhan yang tidak berbekas selain ganjaran atas sabar dan tawakkal.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BANDAR SERI PUTRA


Catatan asal: 29 April 2007


 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2012 18:07

Menulis Kelemahan Untuk Mencari Kekuatan

 [image error]


Menulis tentang kelemahan diri bukanlah sesuatu yang mudah.


Ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapat sebuah keyakinan.


Tetapi  setiap kita tidak dapat memadam apa yang telah berlaku. Kita pada hari ini adalah hasil adunan hitam dan putih semalam. Pahit dan manis, suka dan duka, kejayaan dan kegagalan.


Selama saya menulis buku Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta, maklum balas yang paling berat untuk saya hadam adalah kemarahan pembaca pesimis yang menyingkir rasional pandangan saya semata-mata dengan alasan, "ustaz cakap senang la. Rezeki ustaz semuanya smooth belaka!"


Menyangka bahawa pelangi saya bukan muncul selepas hujan.


Menganggap siang saya tiada gelap malam yang mendahuluinya.



Setiap kita ada mimpi ngeri yang tersendiri. Mimpi ngeri yang pada mengenangnya, kita boleh terbangun di tengah malam, berpeluh-peluh, ada kalanya sesak nafas, dan malu untuk ia diketahui orang.


Saya tidak terkecuali.


Teringat saya kepada catatan saya berupa ulasan filem Love Happens pada tahun 2010. Ia menceritakan tentang Burke Ryan, seorang pakar motivasi yang terperangkap dalam kejayaannya hari ini, dengan menyembunyikan kepahitan semalam.


Sering berlaku, kemunculan seorang motivator banyak didorong oleh kejayaan dirinya mengatasi peristiwa-peristiwa luar biasa yang menumbangkan ramai manusia, namun mereka yang terpilih ini berjaya bangkit dengan pegangan dan kepercayaan yang positif. Namun, sejauh manakah titik-titik hitam itu berjaya diputihkan? Atau sebahagiannya masih membebani diri?


Inilah dilema Burke Ryan, seorang jururunding motivasi berkelulusan PhD yang berjaya menghasilkan sebuah buku best seller berkenaan petua mengatasi kesedihan dan kekecewaan akibat kehilangan insan tersayang. Burke menulis buku itu sebagai rakaman usaha dirinya untuk bangkit daripada kesedihan akibat kematian isterinya di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Beliau menyuntik inspirasi kepada orang lain yang menempuh pengalaman-pengalaman yang pahit sepertinya. Mereka diajak melepaskan diri daripada kekecewaan dan ketakutan yang semua itu bukan mewakili realiti semasa, tetapi hanya situasi minda yang membelenggu.


Ramai yang beroleh inspirasi.


Namun Burke Ryan terperangkap di dalam dilemanya yang tersendiri.







Dalam semua yang diceritakan di dalam sebuah buku, tersembunyi beberapa 'missing link' yang disepikan demi sebuah kekuatan. Burke menyembunyikan beberapa hakikat yang menjadikannya seorang 'hipokrit' demi untuk tidak patah jiwa menempuh realiti. Ia memberi beliau sejumlah kekuatan. Namun tiada kekuatan yang lebih bertahan sehebat kekuatan yang terbit daripada sebuah kejujuran.


Sebelum berusaha untuk jujur kepada orang lain, seseorang itu, terutamanya seorang motivator, mesti berusaha untuk jujur kepada hakikat diri.


Semoga dengan terbitnya buku DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMA-MU, memanifestasikan usaha saya untuk jujur kepada diri sendiri, demi sebuah kedamaian. Bahawa saya sama seperti manusia lain, tidak terlepas daripada peraturan sebuah kehidupan, bahawa:


 فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا . إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. [Al-Inshirah 94: 5-6]


Doakan proses penerbitannya berjalan lancar, ameen.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 18, 2012 02:24

January 17, 2012

Di Hamparan Shamrock, Kuseru Nama-Mu!

 [image error]


Astaghfirullah.


Masakan sampai putus tunang.


Sampaikah hati saya?


Adakah setelah segala kesusahan ditempuh, kesusahan yang satu ini saya mengalah?


Saya sudah banyak berhutang. Musibah demi musibah yang menimpa, Alhamdulillah di perjalanan itu ada sahabat dari semasa ke semasa menghulurkan bantuan. Tetapi bagaimana dengan bebanan perkahwinan ini?



Melihat wajah emak, hati saya menjadi sayu. Saya tidak habis-habis menyusahkannya selama ini. Masuk subjek kahwin, tentu lebih sedih hatinya. Almaklum sahaja, lima anak, semuanya lelaki.


"Betul ke ukhti ada keyakinan perkahwinan ini boleh diteruskan?" saya bertanya.


"Insya Allah, kalau kita yakin dan kuat bergantung kepada Allah, adalah rezeki itu nanti" kata tunang saya.


Kasihan dia.


Baru sahaja menamatkan pengajian di bidang perubatan. Kini sedang berhempas pulas menyesuaikan diri dengan beban kerja sebagai Junior Doctor di Ireland. Bakal suaminya sudah diberi tempoh dua tahun sepanjang pertunangan. Tempoh yang asalnya dirasakan cukup panjang. Tanpa sedar, tarikh yang dijanjikan sudah hampir tiba. Sebelum kad jemputan dicetak dan diedarkan, keputusan muktamad mesti dibuat.


Saya tidak nampak jalan.


Tunang saya tidak putus harapan.


Pelbagai nasihat dan perbincangan dilakukan. Tidak sedikit panggilan telefon antara Ipoh dan Galway dilakukan. Akhirnya saya nekad.


"INSYA ALLAH! Ana teruskan!" saya membulatkan tekad.


BEKERJA KERAS


Dalam tempoh sebulan saya bekerja keras. Separuh nyawa!


Semua jemputan kuliah Subuh, Dhuha, Asar, Maghrib, ceramah umum, ceramah di pejabat, upah membuat halaman web, segala kemahiran yang saya ada digunakan untuk mengumpul wang. Hasilnya tidak seberapa, tetapi saya tidak mahu menoleh ke kiri dan ke kanan.


Tekad.


[image error] Tidak pernah mengalah! 


"Inilah yang mampu ana usahakan" kata tunang saya.


Saya berasa sangat malu. Malu kepada diri sendiri. Malu kepada tunang saya. Terasa 'dayus', meminjam istilah kamus Melayu.


Dalam masyarakat Melayu, seperkara yang ramai ibu bapa tidak tahu ialah, wang hantaran yang diberikan oleh bakal menantunya (pengantin lelaki) adalah mungkin duit anaknya sendiri. Si anak dara terpaksa meminjamkan wangnya kepada bakal suami yang perlu menyediakan wang dua kali ganda untuk keperluan rumah keluarganya dan keluarga bakal isteri.


Dan realitinya, budak lelaki selalu tak ada duit.


Tetapi saya tidak mahu mengeluh. Biar pun secara prinsipnya betul, bahawa hantaran tiada dalam agama, namun untuk saya yang menyebutnya ketika itu, ia akan kedengaran seperti alasan. Biarlah ustaz-ustaz yang berwacana dengan ibu bapa untuk anjakan paradigma. Untuk saya, terima sahaja itu sebagai cabaran.


وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ . إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ . وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui" [al-Nur 24: 32]


Perkahwinan itu memberikan kekayaan.


Bukan kaya cara mudah. Tetapi kaya cara susah, yang susah bukan lagi masalah dan alasan. Susah yang mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa. Zon selesa hidup dengan alasan.


Kaya jiwa.


Itu yang lebih utama.


[image error]"Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa" [al-Bukhari 6446]


Tunang saya meminjamkan sebahagian wangnya. Emak pula menggunakan sebahagian wang pusaka tinggalan arwah Atuk.


Dan jumlah itu masih belum seberapa.


Kenduri, tidaklah sebesar mana. Tetapi kenduri tetap kenduri. Rumah yang lusuh dek kesedihan bertahun-tahun, sekurang-kurangnya perlu dicat.


Saya merenung kasut Timberland yang dibeli di Amman.


Kasut Timberland yang jika di kedai berharga mencecah RM1000. Tetapi  sepasang kasut kulit yang bakal diletak di atas talam hantaran itu hanya berharga JD10. Hanya RM50. Itu sahaja yang saya termampu.


Selain kenduri dan hantaran, saya dan bakal isteri juga perlu membeli tiket pesawat untuk kembali ke Ireland, sejurus selepas akad nikah nanti. Juga sedikit perbelanjaan semasa di sana, sementara menunggu hujung bulan.


ANTARA TEKANAN DAN KEJUTAN  


Kesempitan wang yang amat kritikal sungguh membingungkan.


"Ingat abang. Taqwa jangan dilupa!" pesan tunang saya.


Menjelang perkahwinan, saya dan tunang mula mengubah cara kami berbahasa. Secara natural, bukan lagi ber'ana' 'anti', ber'akhi 'ukhti.


Di saat-saat yang kritikal itulah berlakunya kejutan yang tidak disangka-sangka.


Akaun saya dikejutkan dengan wang RM10K yang muncul tiba-tiba.


Ia diberikan oleh seorang pakcik yang dermawan sebagai tanda penghargaan beliau kepada sedikit bantuan saya kepada anaknya di suatu ketika.


Allahu Akbar!


Benarlah firman Allah:


وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا . وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ . وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ . إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ . قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا 


 "…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [Al-Thalaq 65: 2-3]


[image error]


Aku Terima Nikahnya, Nazhatul Muna binti Ahmad Nasarudin dengan mas kahwin RM501 tunai!


Syukur Alhamdulillah, masjlis perkahwinan berlangsung dengan baik.


Saya sangat menghargai kekentalan semangat isteri yang tabah dan tidak patah semangat.


Dalam keletihan bekerja di peringkat Housmanship, beliau terbang  pulang dari Ireland ke tanah air, tiba hanya sehari dua sebelum upacara akad nikah. Terima kasih kepada keluarga mertua saya juga yang sangat baik hati, bertolak ansur, bantu membantu dan mesra menerima saya sebagai ahli keluarga yang baru.


IGAUAN AKHIR


Namun demi Allah, hanya tinggal seperkara yang masih menjadi igauan.


Menakutkan.


Hingga senyum saya di hari 'bersanding' tidak sempurna.


Hingga gelak tawa saya di hari gembira tiada serinya.


Saya bimbang.


"Macam mana kalau abang tidak dibenarkan masuk semula ke Ireland?" saya bertanya.


Isteri saya sugul.  Ada bimbang yang besar di hatinya.


Malah jika ditakdirkan isteri saya berbadan dua, dan suaminya jauh tinggal di Malaysia, Allahu Akbar!


Perjalanan pesawat Royal Jordanian dari Kuala Lumpur ke Amman adalah 'bulan madu' pertama kami. Seribu keindahan. Kerlipan bintang malam mengiringi perjalanan yang cukup bermakna, bukan semata-mata kerana sebuah perkahwinan, tetapi ia adalah simbol kejayaan kami melepasi satu demi satu ujian yang melintang.


Singgah di Amman, biar pun hanya transit selama 8 jam, memberikan perasaan yang luar biasa.


"Macam mana rasanya?" tanya isteri saya.


Tahu betapa peritnya Jordan dalam memori sang suami.


Saya tersenyum.


PENENTUAN 


Debaran bermula semasa pesawat kami terbang dari Amman ke New York melalui Shannon.


Selain kawalan keselamatan yang amat ketat pada tarikh seminggu selepas runtuhnya World Trade Centre NY bagi pesawat kami ke New York itu, keresahan tentang igauan deportation muncul menghantui diri.


"Nanti nak mula kerja di Belfast, mungkin memakan masa sebulan. Na takpe ke?" saya bertanya.


"Abang dah penat. Rehatlah dulu. Jadi surirumah aje. Insya Allah rezeki ada" kata isteri saya.


Tawaran kerja sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre di bawah pembiayaan al-Maktoom Foundation Dubai menanti. Hanya satu halangan yang perlu dilepasi. Biar pun deportation saya berlaku di London, saya tidak pasti sejauh mana ia memberi kesan kepada kemasukan saya ke Republic of Ireland.


Apa yang pasti, risaukan benda yang tiada penyelesaian, hanya membuang masa dan merosakkan perasaan. Lebih baik perjalanan enam jam dari Amman ke Shannon ini kami isikan dengan harapan, doa, cerita yang baik-baik sahaja.


"Ladies and gentleman, welcome to Shannon International Airport" ketua pramugari mengalu-alukan kami.


"Abang sudah habis ikhtiar. Hanya bertawakkal kepada Allah. Kalau ditakdirkan abang ditahan di lapangan terbang dan kena pulang, adakah Na bersedia?" saya bertanya.


Isteri saya mengangguk.


Kami melangkah penuh debaran ke kaunter Imigresen.


"Ya Allah, setelah satu demi satu ujian mendatang, aku pasrah andai ini ujian daripada-Mu yang seterusnya. Namun sebagai tanda syukur aku kepada-Mu, andai aku berjaya melepasi Imigresen ini, aku berpuasa tiga hari untuk taqarrubku kepada-Mu" saya bermonolog.


Hati berdebar menunggu urusan pasport isteri diselesaikan oleh pegawai Imigresen.


Dahi saya berpeluh-peluh.


Saya dipanggil.


Passport diserahkan kepada pegawai.


Tanpa berlengah, passport saya dicop oleh pegawai berkenaan sebagai 'joined spouse'.


"WELCOME TO IRELAND!' katanya.


Subhanallah, Walhamdulillah, wa Laailaaha Illallaah wallaahu Akbar!


[image error]


Dalam kesejukan tibanya musim sejuk Republic of Ireland, saya dan isteri berkongsi cardigan di tepi tembok stesyen Bas Shannon untuk ke Galway.


Berpelukan dan menggigil kesejukan, kami saling berpandangan penuh kelegaan.


Saya rindu dengan kehijauan yang terbentang di depan mata.


Hijau tiga kelompak daun dan bunga yang lama mengiringi perjalanan penuh debaran ini.


Satu kelopak usaha.


Satu kelopak sabar.


Satu kelopak syukur.


Sekuntum bunga juga telah kusunting… kini mekar dalam jambangan di sisiku.


Dengan linangan air mata saya ucapkan ALHAMDULILLAH.


Di hamparan Shamrock, kuseru nama-Mu!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 17, 2012 18:43

January 16, 2012

Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahf


Hujung minggu ini, Insya Allah saya bersama pasukan Akademi Sinergi akan mengendalikan Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahf.


Selepas menghabiskan 25 bulan siri kuliah, saya berpendapat, satu kursus intensif patut diusahakan. Syukur, dengan komitmen dan kerjasama pasukan Akademi Sinergi, hasrat itu direalisasikan melalui seminar yang dirancang rapi ini.


Peluang menyertainya masih terbuka.


Layari www.akademisinergi.com untuk keterangan lanjut.


www.akademisinergi.com 


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 16, 2012 21:10

Medan Itu Masih Belum Berhenti Liku

[image error]


Fulan sudah hampir selesai Masters di Universiti Alul Bayt.


Fulan sedang menyiapkan PhD di UIAM.


Fulanah sekarang di UK, sambung belajar.


Satu demi satu perkembangan rakan-rakan saya kutip. Berita kami sudah banyak yang terputus di sana sini. Ramai rakan yang 'kehilangan' saya. Tidak pasti Hasrizal berada di mana. Khabarnya di UK.



Saya pula melawan sengsara.


Sangka saya, berada dalam tahanan di UK itu kemuncak kesakitan. Rupa-rupanya ada yang lebih menyakitkan. Sakit menanggung sedih dan malu apabila mengetahui rakan-rakan sepengajian di Jordan sudah di sana sini maju ke hadapan.


Saya?


Masih terperangkap.


Terperangkap oleh pelbagai kejadian yang sukar saya yakini ia 'sekadar sebuah takdir', tetapi kelemahan saya dalam mengatur kehidupan. Saya masih belum berjaya melepaskan diri daripada pengajian di Jordan. Kelas sudah tamat tiga tahun yang lalu, namun ujian hafalan al-Quran masih belum saya langsaikan. Syarat graduasi menetapkan 6 juzuk al-Quran perlu dihafal. Dua juzuk sudah selesai. Tinggal empat juzuk yang saya bawa semenjak tiga tahun yang lalu, antara lekat dan tidak lekat, namun belum berjaya tiba ke bilik peperiksaan.


Kini, saya bersendirian.


Teman sepengajian sudah tiada.


Di keliling saya adalah 'adik-adik' yang jauh lebih muda. Sebahagiannya sudi menumpangkan saya.


"Ustaz, jom ke masjid" ajak rakan.


Saya termenung.


"Tak apa. Anta pergi dulu" saya membalas perlahan.


Ke kedai, saya takut. Ke masjid pun saya takut. Takut kemalangan, takut buasir, takut pelbagai sebab yang boleh menyebabkan saya sekali lagi ditimpa tragedi dan menghalang diri daripada hadir ke sesi peperiksaan.


Mungkin tidak rasional, jauh sekali mahu menjustifikasikannya daripada sudut agama. Namun saya sedang bertarung antara sunyi, kecewa, malu, bingung malah trauma, dan semua itu perlu terkawal kerana ada empat juzuk yang masih perlu disemak untuk ujian Tasmi' yang bakal bermula esok.


DI BILIK PEPERIKSAAN


"Tafadhhal!" Dr. Amin mempersilakan saya masuk.


Alhamdulillah, akhirnya saya tiba ke 'bilik keramat' ini. Sudah tiga tahun saya mencuba. 1001 halangan melintang. Perjalanan daripada rumah ke bilik peperiksaan itu telah dilintasi oleh pelbagai takdir yang sukar saya kenang kembali.


Saya serahkan kad matriks.


Dr. Amin tidak membacanya.


[image error]


Dr. Amin Al-Butush yang memeriksa hafalan al-Quran saya [foto ihsan jottumah.blogspot.com]


Sambil menyemak kertas-kertas yang banyak di meja, Dr. Amin menyuruh saya memulakan bacaan.


"Yallaah, baca Surah al-Najm" kata beliau.


Dengan lafaz Bismillah selepas Ta'awwudh, saya memulakan bacaan. Surah ke-53 di juzuk yang ke-27. Perlahan-lahan….


أَمْ لِلْإِنسَانِ مَا تَمَنَّىٰ . فَلِلَّهِ الْآخِرَةُ وَالْأُولَىٰ


"Adakah manusia tetap akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!). Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia." [Al-Najm 53: 24-25]


"Nanti!" Dr. Amin tiba-tiba memberhentikan bacaan saya.


Tertelan air liur, kecut perut!


"Kamu pelajar tahun berapa?" Dr. Amin bertanya dengan suara yang amat tegas.


Allahu Akbar!


Dalam banyak-banyak soalan, mengapakah soalan itu yang ditanya? Saya hampir pitam mendengarnya.


"Err… saya pelajar tahun 1993″ saya menjawab perlahan.


"Kita sekarang di tahun 2001!!! Apa kamu buat di sini???" Dr. Amin menyoal.


Bagai soalan Malaikat Kubur, saya berpeluh menerimanya.


Perlahan-lahan saya ceritakan sedikit demi sedikit rentetan musibah yang menimpa. Bermula daripada terkunci di rumah pada tahun 1997, penggantungan biasiswa, kemalangan jalanraya, pembedahan akibat buasir, dan semuanya mengekalkan saya dalam keadaan tidak berwang, untuk bertahan lama di Jordan setiap kali terlepas satu peluang peperiksaan.


"Laa haula wa Laa Quwwata illa Billaah…" Dr. Amin menggelengkan kepalanya.


Saya tunduk.


Malu.


Kecewa dengan diri sendiri.


Kecewa kerana mengecewakan ibu di kampung.


Takut mendepani detik paling getir. Jika saya gagal ujian hari ini, RM110,000 menanti untuk dilangsaikan kepada penaja!


"Habis, sekarang kamu buat apa?" tanya Dr. Amin.


Terus mengasak saya dengan soalan demi soalan. Soalan kehidupan. Soalan al-Quran juzuk 25-28 terhenti seketika.


"Saya bekerja sambilan sebagai Imam di Ireland Utara. Memaksa diri untuk tidak lari dari al-Quran" saya menjawab perlahan.


"Jika kamu bertugas sebagai Imam, al-Quran dua kali ganda menjadi beban ke atas diri kamu untuk dikuasai. Hafalan, kefahaman dan tafsiran!" tegas Dr. Amin.


Saya mengangguk.


"Berapa mu'addal tarakumi kamu?" Dr. Amin bertanyakan markah terkumpul saya daripada 46 subjek yang telah dilunaskan tiga tahun yang lalu.


"71.93%" saya menjawab.


"Bagus!" katanya.


Dr. Amin mengeluarkan sehelai kertas, menulis beberapa ayat dan kemudian menurunkan tandatangan.


"Seeru 'alaa barakatillah, kamu bebas. Anta khirrij! Graduate!" kata Dr. Amin.


Saya hampir terduduk. Bagai tidak percaya.


"Berjanjilah kepadaku dan di hadapan Allah, bahawa kamu amanah dengan al-Quran dan akan terus menyebarkannya kepada manusia. Itu sahaja yang aku mahu!" nasihat Dr. Amin.


Saya menangis di pintu bilik pejabatnya.


Selesai bersalaman, saya berjalan longlai ke tengah-tengah medan di hadapan bangunan perpustakaan. Keliru, tidak tahu bagaimana hendak melepaskan bebanan 8 tahun yang terkumpul di dalam dada. Tiada teman untuk meraikan. Hanya kesepian yang membalut sebuah syukur dan gembira.


Perlahan-lahan saya duduk di tepi kolam, mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor rumah di kampung.


"Mak, Rizal graduate! Akhirnya!" saya memberitahu.


Emak menangis.


Katanya, sudah lama emak menyiapkan diri untuk menerima hakikat yang saya mungkin tidak akan berjaya menamatkan pengajian dan perlu bersedia membayar kembali RM110,000 biasiswa yang terbatal. Namun akhirnya, anak bongsu beliau yang 'misteri' ini berjaya juga menamatkan pengajian.


KONVOKESYEN


[image error]


Akhirnya !


Terasa amat janggal.


Para graduan disusun mengikut markah. Di hadapan saya ada dua pelajar Malaysia. Saya tidak mengenali mereka. Saya mendapat posisi yang baik dalam barisan itu. Namun amat jelas, saya tersalah tahun.


Syukur ketika itu ada beberapa orang 'anak buah' dari UK datang ke Jordan membuat kursus intensif Bahasa Arab.


Syakir, Mokzani, Abdul Azim dan Aizut Fitri adalah sebahagian daripada mereka yang meraikan konvokesyen saya ini. Oon, Jamil, Hasri, Yusran dan Najib, antara teman di Jordan yang turut bersama, biar pun saya sepatutnya sudah lama 'meninggalkan mereka'.


Selesai konvokesyen, urusan mendapatkan transkrip berjalan lancar. Biar pun terpaksa berdepan dengan birokrasi Arab yang sangat memeningkan, saya terus berusaha melunaskannya kerana tidak sabar untuk kembali ke Malaysia.


Mahu segera meninggalkan Jordan, selepas 8 tahun 'terpenjara' di sini.


MUSIBAH MENANTI


"Encik bekerja di sini?" tanya pramugari MAS.


Selepas menaiki Emirates dari Amman ke Dubai, saya dihubungkan dengan penerbangan MAS ke Kuala Lumpur melalui Karachi. Entah apa rezekinya, saya bersama Asri dan Nasir diberikan tiket kelas perniagaan.


"Oh tidak. Saya belajar!" saya menjawab perlahan.


Mungkin muka sudah terlalu tua untuk kelihatan sebagai graduan peringkat Ijazah Muda.


Sepanjang perjalanan, dalam gembira dan syukurnya saya terlepas daripada 'tahanan akademik' di Jordan, masih ada beberapa isu berbaki yang merunsingkan. Ketibaan di kampung halaman juga disambut dengan syukur oleh bonda dan ahli keluarga.


Segalanya bagai sudah selesai.


Tangan saya berpeluh di dalam kocek.


Hanya tinggal tiga bulan sebelum majlis perkahwinan, dan saya tidak punya sebarang wang. Tiada wang hantaran, tiada wang mas kahwin, tiada wang hatta untuk membeli sebentuk cincin.


Saya bingung.


Di hujung malam, kepala saya buntu mencari jalan keluar.


Andai Taqwa menjanjikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka, termasukkah saya dalam peluang yang Allah janjikan itu?


Ketakutan diri sebagai seorang lelaki, bakal suami, bakal bapa barangkali, yang bakal terbeban dengan 1001 tanggungjawab, saya tidak berdaya untuk meneruskan apa yang telah dirancang.


Dengan hati yang berat saya menghubungi bakal isteri di Ireland.


"Maafkan ana. Kita putus tunang!" saya membuat keputusan.


Mentari cerah bertukar gelap. Dunia seperti menyambut Kiamat.


Benarkah semua ini terjadi?


Ada tangisan yang pilu di hujung talian.


"Maafkan ana!" saya runtuh.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 16, 2012 20:26

January 15, 2012

Lepaskan Diri Daripada Cengkaman

[image error]


"Apa kata pegawai penjara kepada kamu?" tanya Husam.


Tahanan yang berasal dari Yaman itu duduk beratur bersama saya menunggu giliran pemeriksaan kesihatan.


"Katanya, saya mungkin akan dihantar balik ke negara asal saya hari ini atau esok" saya menjawab, perlahan.


Badan terasa amat penat dan saya masih belum menjamah apa-apa makanan dek pahit mulut yang membantutkan selera makan.



Husam merenung saya.


"Saya pun, pegawai penjara kata begitu. Tetapi sudah dua bulan saya di sini!" ujar beliau.


Tangan saya menggeletar.


Terasa benar-benar putus harapan.


Saya tunduk dan membiarkan sahaja air mata jatuh ke lantai.


HMP Greenock pagi itu sepi. Tiada banyak aktiviti.


Saya dan beberapa tahanan lain diarahkan berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Jika diperiksa fizikal, rasanya tubuh badan saya sihat-sihat sahaja. Malah asthma yang sering mengganggu diri tatkala berdepan dengan cuaca yang sejuk sebegini juga tiada. Tetapi kalau doktor boleh menyelongkar emosi dan fikiran saya, mungkin lain ceritanya.


Saya tidak tertekan.


Sebaliknya hilang perasaan.


Terasa kebas emosi.


Membiarkan sahaja apa-apa yang mahu berlaku, terjadi dan terus terjadi.


DI BILIK PEMERIKSAAN


"Take a deep breath" doktor mengarahkan saya.


"Open your mouth" pemeriksaan rutin terus dilakukannya.


"Mr. Abdul, do you feel pressured? How you describe your emotion?" soal doktor Scottish itu.


"I'm doing fine. Just go with the flow" terasa agak malas mahu menjawabnya.


"I've been told that you're a student. Do you have exams?" tanya lagi.


"Yes. It's not written. Oral. Memorization. The Quran" saya menjawab.


Sepatah, sepatah.


"Oh, it must be helpful that you memorize the Quran" beliau seperti mahu berbual.


Bosan barangkali.


"Sort of" saya bermalas-malasan menjawabnya.


"Do you have any feeling to attempt suicide?" tanya doktor itu.


Saya merenung mukanya.


"Doctor, this is the third time I've been asked the same question since yesterday. If you ask me that again, I might consider the idea!" saya menjawab.


Beliau ketawa kecil.


"It's just the procedure. Ok, this is your inhaler. Keep it with you. The weather is getting rough around here!" katanya menamatkan sesi rawatan.


Saya menyambut inhaler itu dengan rasa berbelah bagi. Apakah ini bermakna saya akan lebih lama lagi berada di dalam tahanan ini?


PANGGILAN TELEFON


Selepas sesi pemeriksaan kesihatan, saya diberikan peluang oleh pihak penjara untuk membuat panggilan telefon. Hanya satu panggilan yang dibenarkan. Saya perlu memilih siapa yang patut dihubungi.


Hubungi emak.


Hubungi abang-abang.


Hubungi tunang.


Hubungi kawan.


Dalam situasi seperti ini, pilihan bukan berdasarkan mana yang lebih sayang. Tetapi berfikir secara logik, praktikal.


Saya memilih untuk menelefon seorang SAHABAT.


[image error]


"Assalamualaikum, Min!" saya membuat panggilan.


"Waalaikum al-Salaam. Ustaaaazz!!! Ya Allah, ustaz kat mana?" tanya Nuzaimin.


"Anta jangan terkejut. Anta dengar sini ye. Ana tidak boleh bercakap panjang. Ana kena tahan masa di Carlisle on the way nak balik Belfast.  Masalah visa hari tu. Sekarang ini ana dipenjarakan di HMP Greenock di Scotland. Ana tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Cuma, mohon sampaikan berita ini kepada housemates yang lain. Paling penting, beritahu Kak Muna ye. Ana minta jasa baik, anta tolong pujuk Kak Muna kalau dia panik. Final Med dia dah dekat sangat ni. Please ye, Min" saya bercakap pantas.


"Ustaz. Betul ke ni?" suara sahabat saya kedengaran bercampur baur.


"Betul, Min. Keluarga ana, anta tak perlu beritahu. Ana akan beritahu kemudian. Take care Min. Don't worry about me. Kirim salam pada Jamal dan orang masjid sekali!" saya berpesan.


Saya menamatkan perbualan itu dengan rasa lega bercampur sedih.


Lega kerana sudah berjaya memaklumkan kepada sahabat yang boleh diharap membantu.


Sedih, mendengar suara Nuzaimin yang terkejut dengan berita ini.


Jika Nuzaimin terkejut, bagaimana pula dengan tunang saya. Bagaimana kalau emak tahu?


Saya termenung di tepi serambi tahanan. Di hujung mata saya nampak ada beberapa orang tahanan lain mahu datang kepada saya, tetapi ditahan oleh Husam. Pemuda Yaman itu tahu, saya memerlukan masa untuk bersendirian.


Dalam keperitan menempuh detik demi detik di dalam tahanan, saya bersyukur kerana tiada apa-apa kejadian buruk yang berlaku. Malah saya sebenarnya kagum dengan layanan serta kebajikan yang dijaga oleh pihak penjara. Tidak keterlaluan saya katakan, mungkin kehidupan di dalam tahanan ini jauh lebih selesa daripada ramai umat Islam yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, di luar sana.


Yang tiada hanya satu…


Kebebasan.


TERKEJUT


"Mr. Abdul, come here!" Michael memanggil saya.


Pegawai penjara itu tersenyum. Seperti biasa.


"We are deporting you back to Malaysia now. Please take all your belongings with you!" katanya.


Allahu Akbar!


Terlupa kiblat di mana, saya terus sujud syukur di lantai tahanan. Menitis air mata kesyukuran.


"I have no belonging. I am ready" saya menjawab.


Menoleh ke belakang, saya ternampak wajah sayu Husam dan rakan-rakan. Perasaan saya bersimpang siur. Hiba melihat ada air mata bergenang di pandangan anak muda itu. Beliau yang saya kenali kurang 24 jam, telah meminjamkan saya mushafnya sebagai teman, memberi kata-kata semangat seperti sudah lama bertemu.


"Ambillah mushaf ini sebagai kenangan persaudaraan kita" kata Husam, menolak naskhah yang saya pulangkan.


"Mushaf ini sumber kekuataan. Saya meneruskan perjalanan. Tetapi kamu mesti terus kuat. Kenangan di sini, bukan di mushaf ini" saya meletakkan tangan di dada anak muda itu. Mahu dirinya terus bertahan.


"Fee amanillah ya akhi. Jangan lupakan kami dalam doamu. Doa musafir mustajab!" Husam memeluk saya. Air mata kami bercucuran.


"Terima kasih. Doakan saya juga!" saya melepaskan Husam dan berpelukan dengan rakan-rakan yang lain.


BERLEPAS


Selepas prosedur pelepasan selesai, saya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Glasgow. Di sana, saya diberikan taklimat keselamatan. Saya tidak digari kerana saya bukan penjenayah dan tidak mahu menakutkan penumpang pesawat yang lain. Sementara menanti pesawat British Airways yang akan menerbangkan saya ke London Heathrow, saya ditempatkan di dalam sebuah bilik di terminal.


"Hello, may I come in?" tiba-tiba seorang lelaki mengetuk pintu meminta izin masuk.


"Sure!" saya menjawab ringkas.


Wajahnya seperti pernah saya temui.


Beliau merupakan pegawai yang menangkap saya semasa road block di Carlisle tempoh hari. Beliau datang ke lapangan terbang apabila mendapat tahu yang saya akan dihantar pulang hari ini.


"I am sorry for what happened" katanya.


"It's ok. You're just doing your job" saya menjawab.


"I know you're a good man. You don't deserved to be treated that way and imprisoned" ujar beliau, sopan.


Saya sebenarnya sangat terharu. Sangat tersentuh dengan kesungguhan beliau datang ke lapangan terbang, semata-mata mahu meminta maaf daripada saya atas kesalahan yang hakikatnya bukan satu kesalahan. Saya yang bersalah. Bukan dia.


Scotland dan Ireland memang unik. Orangnya santun. Hatta pegawai penguatkuasa pun, masih terasa tinggi budi pekerti mereka. Moga hidayah Allah satu hari nanti menyempurnakan kemuliaan diri itu.


"Thank you, sir. I really appreciate your visit" saya berjabat tangan, berterima kasih kembali kepadanya.


Penerbangan British Airways memakan masa satu jam untuk tiba di London Heathrow. Cuaca yang baik melancarkan perjalanan. Sebaik pesawat mendarat, pihak polis di Heathrow telah bersedia di pintu pesawat untuk 'menyambut' saya dan membawa diri ke bilik tahanan. Di sana ada ramai lagi tahanan yang turut menanti giliran untuk diterbangkan pulang ke negara masing-masing. Saya terasa amat bersalah kerana menyusahkan ramai pihak atas kecuaian yang berlaku.


"Jika kamu 'menolong' Allah, Allah pasti akan menolong kamu!" petikan al-Quran yang Jamal ajukan kepada saya menjelang Aidiladha lalu masih terngiang-ngiang di telinga.


Biar pun penangkapan ini suatu musibah, saya dapat merasakan yang Allah sentiasa membantu. Sentiasa!


Pesawat MAS ke Kuala Lumpur dijadualkan malam ini. Saya membentang kain pelekat dan menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak qasar di tepi kerusi. Berdoa dan merayu kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Usai mengerjakan solat, saya tertidur keletihan.


BELUM SUDAH


"Selepas pesawat ini berlepas dari London Heathrow, kamu boleh dapatkan passport daripada kapten pesawat!" kata pegawai Imigresen UK.


Saya mengangguk.


Saya ditempatkan di kerusi paling belakang pesawat Boeing 747 itu. Prosedur biasa untuk deportation.


Tiba-tiba…


Dumm!!!


Pesawat kami bergoyang sedikit. Seperti dilanggar sesuatu. Para penumpang terpinga-pinga. Kami semua menanti penjelasan.


"Para penumpang sekalian, pesawat kita mengalami sedikit kerosakan kerana bergeser dengan sebuah lori . Terdapat keretakan sepanjang 3sm dan pesawat tidak boleh berlepas sehingga pemeriksaan selesai dilakukan. Para penumpang akan ditempatkan di hotel berhampiran. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku" kapten kapal membuat pengumuman.


Ya Allah!


Mengapa semua ini berlaku?


Penumpang lain ditempatkan di hotel. Saya sudah tentu akan kembali ke tahanan. Apa lagi? Apa lagi yang masih belum cukup berlaku? Mengapa nasib saya begini?


Saya seperti panik dan hilang sabar. Lucut rasional pada pemikiran dek masalah yang datang bertimpa-timpa.


"Ya Allah, terbangkanlah pesawat ini malam ini. Kalau ia meletup di udara pun tidak mengapa. Asalkan aku tidak balik ke bilik tahanan!" naluri saya menjerit penuh kekecewaan.


Hampa.


BERLEPAS PULANG


Jam 3 pagi, kami mendapat pelepasan untuk terbang. Syukur Alhamdulillah.


Akhirnya saya terlepas daripada bebanan emosi berada di UK sebagai orang salah. Di sepanjang penerbangan, saya hanya mendiamkan diri. Tidak mampu lagi bermuhasabah. Hanya terlelap menunggu Tuhan memendekkan masa dan derita.


Usai mendarat, kapten kapal enggan menyerahkan passport kepada saya seperti yang dijanjikan oleh pegawai imigresen UK. Sebaliknya saya dibawa ke bilik tahanan di KLIA, diminta mengisi sehelai borang dan kemudian passport saya ditahan. Saya dilepaskan daripada sempadan, dengan berbekalkan sepucuk surat yang menghendaki saya hadir ke temuduga keselamatan yang bakal diadakan dua minggu lagi.


Di rumah, saya tidak banyak berkata-kata. Bonda juga tidak tahu kejadian yang menimpa. Hanya abang-abang saya arif. Mereka tenang dan memberikan keyakinan kepada saya untuk menyelesaikan keributan luar biasa ini.


Syukur Alhamdulillah, dengan saki baki wang yang ada dalam simpanan, saya meneruskan kehidupan. Saya cuba untuk tidak hilang fokus pada semakan hafalan al-Quran biar pun fikiran saya sangat tidak tenteram. Sekurang-kurangnya saya sudah berasa lega dapat bercakap dengan telefon bersama tunang di Ireland. Tahu yang beliau masih kuat, bertahan, dan tidak hilang fokus pada peperiksaan akhir yang sedang dipersiapkannya.


Saya mengisi masa dengan menyampaikan kuliah-kuliah Subuh, Zohor dan Maghrib di surau, masjid dan pejabat-pejabat sekitar Ipoh. Dakwah perlu diteruskan. Namun saguhati yang diberi, amat besar maknanya buat diri saya.


Selepas temuduga bersama pihak berkuasa, mereka berpuas hati dengan penjelasan saya. Passport saya telah dibatalkan dan digantikan dengan passport baru. Saya segera membeli tiket kapal terbang ke Amman.


Berbekalkan wang USD500, saya terbang ke gelanggang pertempuran terakhir di Medan Mu'tah.


Dua hari sebelum peperiksaan, saya tiba di medan.


Peluang terakhir.


Penuh debaran…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 15, 2012 20:58

Antara Diri, Keluarga dan DIA

[image error]


Macam mana kalau emak tahu?


Macam mana kalau orang kampung mengata?


Sanggupkah tunangku menerima hakikat, bakal suaminya kini dalam tahanan?


Bagaimana pula penerimaan keluarganya?


Kawan-kawan di Belfast apa khabar mereka?


Satu demi satu pertanyaan menerjah fikiran. Mata masih enggan melihat. Semakin gelap malam menelan HMP Greenock bersama kesejukan angin laut di Scotland, semakin banyak wajah dan peristiwa menerpa. Semakin gusar. Semakin gelisah.



Hanya ada satu wajah yang tidak muncul dalam bayangan itu.


Wajah saya!


Wajah diri sendiri.


Semenjak saya ditahan di Carlisle kelmarin, saya sentiasa risaukan orang lain. Bimbang dengan insan-insan tersayang, khuatirkan nasib mereka. Tetapi tidak diri sendiri. Langsung tidak risaukan diri sendiri.


"Paling teruk pun, aku mati. Dan semua orang mati!" itulah kata-kata yang berulang kali melintasi fikiran.


Bagi insan yang terdesak seperti saya, itulah kata-kata azimatnya. Bahawa hanya mati yang berpotensi menjadi worst case scenario, dan mati itu pula sesuatu yang terlalu pasti. Fikir mati, mati. Tak fikir mati pun, mati. Bersedia untuk mati, mati. Tak bersedia untuk mati pun, mati!


Maka saya kehilangan sebab untuk risaukan diri sendiri.


Tetapi memikirkan ibu, tunang, ahli keluarga dan rakan-rakan, dada saya sempit dibuatnya. Saya amat risaukan mereka. Risau andai saya melukakan hati mereka, menyusahkan mereka, mengecewakan mereka. Saya sangat lemah semasa berfikir tentang keluarga.


KELUARGA DAN PERJUANGAN


Subhanallah!


Itulah pelajaran besar saya malam ini.


Patutlah para Anbiya' sentiasa bertindak dengan corak yang sama. Dakwah mereka mesti memberi tumpuan yang besar kepada keluarga. Malah mulakan dengan keluarga.


وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ 


 "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat" [Al-Shu'ara' 26: 214]


Keluarga adalah sumber kekuatan kita, andai mereka bersama.


Keluarga juga adalah titik kelemahan terbesar kita, andai mereka meninggalkan kita.


Semasa Abang berpesan kepada saya, agar tidak khuatir kerana yakin bahawa zaman ini zaman 'orang agama' dizalimi seperti Ustaz Ishak Baharom dipecat daripada jawatannya sebagai Mufti Selangor, kata-kata itu sangat menguatkan. Amat besar anugerah-Nya apabila kita tahu bahawa perjuangan kita disokong oleh keluarga. Memberikan keyakinan terhadap langkah-langkah ke hadapan, lebih daripada perlindungan sepasang baju besi!


Dakwah keluarga.


Pujuk mereka.


Bukan sahaja kerana mereka tanggungjawab kita, bahkan sokongan mereka adalah kekuatan terbesar kita.


Dalam masa yang sama, andai perjuangan kita ditentang keluarga sendiri, bebanannya amat luar biasa.


Lihat sahaja tahanan ISA.


Hubungan tahanan dengan isteri dan anak-anak sengaja dikonflikkan. Malah ada yang diasak dengan fitnah bahawa isteri di kampung sudah main kayu tiga! Atau dalam sesetengah kes, isteri memujuk suami meninggalkan perjuangan.


"Sudahlah tu, bang. Tak bolehkah kita hidup macam orang lain?" pujuk sang isteri.


Besar sekali jihad kita ketika perjuangan kebenaran kita, dipaparkan sebagai punca kesusahan dan penderitaan ahli keluarga. Kita yang membuat pilihan, mereka yang menanggung kesusahan. Kasih sayang kita kepada keluarga, melontarkan soalan tentang kewajaran sebuah pilihan.


Pilihan yang sangat menyakitkan.


Kita yang berjuang sudah membuat persediaan.


Tetapi mengapa insan-insan yang kita sayang menanggung kesakitan.


Sakit yang tidak dapat diabaikan.


Kecuali dengan sebuah kemaafan.


Dan mereka tidak mampu memaafkan, kecuali mereka bersama dalam sebuah perjuangan.


SEPI MALAM


Mata masih enggan lelap.


Tahanan satu sel saya sudah hanyut dalam dengkurannya.


Saya bangkit dan membuka televisyen. Bukan mahu menonton apa-apa. Sekadar mencari sedikit cahaya, buat menatap mushaf:


Adakala, Al-Quran menggambarkan isteri dan anak-anak sebagai amanah.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Al-Tahrim 66: 6]


Adakalanya, Al-Quran menggambarkan mereka yang sama itu, sebagai perhiasan kehidupan di dunia ini.


الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا . وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا


Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. [Al-Kahf 18: 46]


Di suatu ketika, Al-Quran mengancam orang yang mengasihi mereka hingga berkongsi martabat dengan cinta yang sepatutnya hanya untuk Allah.


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ . وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


 Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [Al-Taubah 9: 24]


Keluarga berlegar-legar dalam kehidupan kita, ada masa mereka memberi, ada masa mereka menerima. Ada masa mereka mengukuhkan, ada masa mereka melemahkan. Semuanya bergantung kepada ketepatan kita pada meletakkan diri, keluarga, perjuangan dan kehidupan di posisi-posisi yang betul.


Posisi yang sentiasa di tempat kedua.


Selepas yang pertamanya hanyalah DIA.


Laa Ilaaha Illallaah.


Tiada yang lebih kuutamakan dalam hidup ini selain ALLAH.


Terimalah kesaksianku…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BANDAR SERI PUTRA


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 15, 2012 18:39