Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 83

March 7, 2012

Mencari Kunci Yang Hilang

[image error]


"Hmm, ke mana pulalah hilangnya kunci aku ini?" Nasrettin Hoca mengeluh.


Puas dicari  tetapi tidak ketemu.


"Mana mungkin aku menemuinya. Rumah ini sangat gelap!" beliau bermonolog.


Nasrettin Hoca ke luar rumah. Terbongkok-bongkok beliau mencari. Terus mencari.



Dalam suasana yang serba meletihkan itu, Nasrettin Hoca ditegur oleh seorang jirannya.


"Apa yang tuan cari itu?" tanya beliau.


"Aku mencari kunciku yang hilang!' jawab Nasrettin Hoca.


"Boleh aku bantu?" tanya si jiran yang baik hati.


"Ayuh!" beliau bersetuju.


Si jiran tadi turut sama berusaha mencari kunci yang hilang. Terbongkok-bongkok menguis rumput dan kerikil di halaman. Setelah lama berusaha, terlintas di hati jiran bertanya, " di mana tuan kehilangan kunci itu?"


"Aku kehilangannya di dalam rumah!" jawab Nasrettin Hoca.


Si jiran kaget. Ada sesuatu yang tidak kena.


"Kalau hilang di dalam rumah, mengapa tuan mencarinya di luar rumah?" tanya si jiran yang kehairanan.


"Oh, itulah masalahnya. Di dalam rumah saya keadaannya terlalu gelap. Sebab itu saya mencarinya di luar rumah" balas Nasrettin Hoca, penuh yakin.


MENCARI KUNCI YANG HILANG


Kisah ini merupakan salah satu daripada kisah yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca, sebagai sebahagian kisah berbentuk kritikal sosial semenjak era Seljuk. Sungguh menghairankan, bagaimana seseorang itu tahu bahawa beliau kehilangan sesuatu, dan benda yang hilang itu ada di dalam, dia mencarinya di luar, dengan alasan keadaan di dalam terlalu gelap.


Mungkinkah pencarian itu akan berhasil?


Mustahil.


Kitakah Nasrettin Hoca itu? Kita sedar kita bermasalah. Kita kehilangan sesuatu. Kehilangan yang menjadi punca kita hina. Bercakap tentang hak kita, mengundang ketawa ejek. Bercakap tentang silam kita, mengundang khayalan seperti tidak 'masuk' dengan masa depan. Lalu kita mencari-cari penyelesaian. Kita mencari di luar semasa kita sedar apa yang hilang itu ada di dalam. Semuanya kerana kita takut gelap.


Bukan gelap hakiki.


Tetapi kita menjadi kelawar yang tidak dapat melihat di dalam terang yang terlalu terang hingga menyangka kita terbang di dalam gelap.


Apa yang hilang masih ada di dalam rumah.


Sebagaimana yang dinyatakan oleh Umar al-Khattab radhiyallahu 'anhu:


نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله


"Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Tatkala kita mencari kemuliaan dengan selain Islam, kita akan dihina oleh Allah" [Dikeluarkan oleh Ibn Mubarak di dalam Kitab al-Zuhd]


Kunci yang hilang pada menyelesaikan masalah-masalah umat, adalah petunjuk bernama HIDAYAH.


Hidayah datang daripada Allah, apabila kita menunaikan syarat-syarat untuk hidayah itu datang.


Salah satunya adalah pada belajar mendengar dengan baik. Mendengar tanpa syarat, kemudian memilih yang terbaik. Dengar apa yang ada di luar dan di dalam. Apa kata orang, apa kata kita. Tetapi mendengar dengan telinga Ulul Albaab, seperti panduan dalaman yang disebut al-Quran:


[image error]


"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albaab" [Al-Zumar 39:18]


Hidayah bukan penyelesaian. Hidayah adalah petunjuk yang menjadi kunci untuk membuka jalan penyelesaian. Al-Quran yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam untuk membimbing kita hingga ke akhir zaman, menyediakan banyak petunjuk.


Jangan kita segera berasa 'gelap' tatkala tidak bertemu jawapan. Al-Quran tidak gelap. Islam tidak kelam. Apa yang perlu adalah kesungguhan kita untuk bertadabbur, bukan sekadar membaca dan kenyang berenang di permukaan.


[image error]


"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya" [Al-Nisaa' 4: 82]


Tadabbur itu berasal daripada kalimah DA-BA-RA  atau 'DUBUR' yang bermaksud 'HUJUNG SESUATU'.


Tatkala Allah memerintahkan kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-Quran, ia bermaksud kita mesti berusaha untuk sampai ke hujung makna dan mesejnya. Dalam masa yang sama siapakah yang tahu di mana hujung al-Quran? Selepas lebih seribu tahun, dengan jutaan kitab mengkaji mesej al-Quran, hujungnya masih jauh, bukan untuk dicapai tetapi untuk  dimanfaatkan semua yang kita temui di sepanjang jalan tadabbur itu.


Berdampinglah dengan al-Quran.


Hilangkan kegelapan umat ini.


Hilangkan kegelapan diri.


Pada mencari ilmu, hasil tabiat-tabiat yang baik, seperti belajar menjadi pendengar yang baik.


Ulul Albaab.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2012 03:16

March 6, 2012

Lebih Daripada Satu

[image error]


Rasanya beberapa tahun yang lalu saya sudah cukup sibuk.


Tetapi masih sempat mengemaskinikan blog.


Ada sahaja masa untuk menulis.


Sebelum tidur, selepas subuh, malah adakalanya sebelum subuh.



Apa yang sedang berlaku sekarang ini? Mengapa saya sangat susah hendak mengemaskinikan blog? Sudah dua bulan saya meninggalkan aktiviti di Facebook, andai Facebook menjadi punca blog tidak dikemaskini. Sudah dua bulan saya banyak bergelumang dengan bahan bacaan dan buku-buku baru, termasuk berpuluh buah yang diborong di Bandung baru-baru ini, namun masih tidak sempat.


Kepala ada banyak topik yang hendak dan perlu dicatat. Namun masa masih belum berjaya dikuis-kuis di celah tanggungjawab dan tugasan.


Mungkin keberkatan masa. Ya, barakah dari Allah untuk masa saya. Itulah yang saya mohonkan ya Allah.


Jangan hanya diri ini beroleh segala yang diperolehi, namun segalanya datang tanpa barakah. Berkatilah masa dan kehidupanku, agar kebaikan daripada sesuatu, lebih daripada satu, ameen ya Rabb!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2012 23:12

February 27, 2012

February 23, 2012

Saya Gerun 'Kuasa Mahasiswa'

[image error]


"Kenapa Tuan Guru datang dengan business class? Tak elok bermewah-mewah. Dah macam UMNO pula!" saya merungut.


Panas hati.


"Tuan Guru hanya sempat datang melawat kita sebentar. Jadual dia sibuk. Kita mahu dengar ucapan dia. Kita tidak mahu dia penat kerana jemputan kita. Bajet ada untuk rehatkan Tuan Guru dalam perjalanan panjang 12 jam, apa salahnya. Bukan bermewah-mewah" jawab seorang senior.


Kata-katanya itu benar.


Tetapi ledakan idealisma muda saya sukar menghadamnya.



Ia kenangan 'perangai' saya semasa muda dulu. Sekarang pun tidaklah tua, cuma darah muda itu sudah banyak redanya.


Kini giliran saya pula berdepan dengan ledakan darah muda adik-adik (anak-anak?) yang berurusan. Bezanya hari ini, mereka lebih berkuasa. Mereka mampu meledakkan apa yang mereka fikir dan percaya di jaringan sosial, seperti virus!


DILEMA BISNES


Apabila menjalankan program dalam sebuah syarikat, saya mengira banyak benda. Saya bezakan antara ceramah, latihan profesional dan pelbagai format penyampaian. Bagi latihan profesional, ia mempunyai kriteria-kriteria tertentu dan standard operating procedure melaksanakannya menuntut komitmen yang besar. Justeru charge yang dikenakan adalah mengikut lunas biasa yang ada dalam industri latihan.


Saya tidak pernah meninggalkan ceramah dan kuliah.


Namun saya terpaksa mengimbangkannya.


Apabila terlalu banyak ceramah dan kuliah, saya tidak cukup duit untuk membayar gaji para pekerja, sewa pejabat dan pelbagai lagi overhead tetap yang biasa ada dalam sebuah entiti perniagaan.


Demi mengimbangkan semua ini, saya dan rakan-rakan melakukan pelbagai ikhtiar untuk membolehkan tuntutan kewangan tidak menghalang perlaksanaan program. Kami carikan penaja, agar mereka yang tidak berkemampuan tetapi bersungguh untuk hadir, dapat menghadirkan diri. Syukur Alhamdulillah formula yang dipakai, banyak melegakan.


Namun untuk menjayakan kaedah ini, sama seperti rakan-rakan lain di dalam bisnes, pengorbanan tetap diperlukan. Biar pun program berlangsung dari semasa ke semasa, kadar bayaran yang dipersetujui, tambahan pula untuk menampung kelewatan pembayaran terutamanya yang membabitkan L.O. oleh jabatan-jabatan kerajaan, kami terpaksa berjimat, dan saya sendiri bersetuju untuk bekerja tanpa gaji selama lebih 4 bulan! Lelaki yang ada isteri dan empat anak ini mengambil risiko itu kerana proses menjayakan perniagaan, melaksanakan Tarbiah kaderisasi melalui entiti perniagaan, memang memerlukan pengorbanan.


Hal-hal ini amat biasa difahami oleh semua pihak yang terbabit dengan perniagaan. Setiap bayaran yang masuk, kek pecahannya amat banyak, berubah-ubah saiz dan berbagai-bagai bentuk.


Inilah yang mungkin tidak dapat dihayati oleh anak muda. Pada mereka bayaran yang masuk ke akaun syarikat, terus masuk ke poket bos. Apatah lagi jika bos itu seorang ustaz!


Setelah lima tahun menggerakkan entiti perniagaan, saya bertemu dengan ramai mahasiswa yang bukan sahaja bersemangat untuk menganjurkan program, malah bekerja keras untuk menjayakannya. Duit ada di sana sini, tetapi yang membezakan mahasiswa berkualiti dengan tidak berkualiti ialah, mahasiswa berkualiti tidak mudah mengalah. Mereka membuat kertas kerja dengan baik, memanjangkan komunikasi, bertanyakan options sebanyak mungkin dengan keazaman, akhirnya program mesti JADI.


Apa yang menggerunkan saya ialah mahasiswa yang hanya berhubung sekali, mendengar quotation yang dinyatakan, dan terus membuat kesimpulan yang jauh daripada kebenaran. Kesimpulan itu pula disebarkan melalui jaringan sosial pada menggambarkan si fulan gila duit, si fulan menipu umat dan pelbagai perkataan yang tidak sesuai diungkap dalam sangkaan baik sesama Muslim, dan tidak molek untuk menggambarkan jati diri warga menara gading.


Menyedari wasiat Allah di dalam surah al-Kahf, saya menerimanya sebagai amanah.


[image error]


Dan sabarkanlah dirimu berdamping rapat dengan anak-anak muda yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. [Al-Kahf 18: 28]


Kerenah membatalkan program sesuka hati, menukar jumlah di invois, meminta penceramah menanggung sendiri tiket pesawat untuk datang ke program yang mereka jemput, juga menggunakan social network untuk melepaskan ledakan darah muda itu, biar pun boleh ditenteramkan dengan mindset mendidik, rasa tertekannya tetap ada.


Jika mahasiswa mahukan diri mereka digeruni, ketahuilah saya adalah antara mereka yang gerun dengan kuasa mahasiswa!


Gerun.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2012 08:46

February 19, 2012

'Buang' Diri, Jangan Bunuh Diri


[image error]


Perjalanan diet sudah masuk fasa ketiga.


Selama enam bulan, mujahadah yang dilakukan telah mengubah seluruh kehidupan saya, bukan hanya daripada aspek fizikal, malah diri ini secara keseluruhannya.


Secara fizikal, berat badan saya menurun sebanyak 36kg.  Ia seperti membuang seorang anak lelaki berusia 10 tahun yang sentiasa bergayut di badan! Saya berasa lebih ringan, lebih bertenaga, penyakit diabetis sudah hilang sepenuhnya dan rawatan juga sudah lama dihentikan.


Namun demikianlah Allah Subhanahu wa Taala memelihara hamba-Nya.


Dilebihkan sini, dikurangkan sana, agar kita sentiasa ingat kepada-Nya.



Ketika fizikal saya menjadi semakin baik, ujian-ujian kehidupan datang bertimpa-timpa dan saya terpaksa bertarung dengan turun naik emosi di tahap yang paling kritikal sepanjang hayat. Perjuangan untuk mengimbangkan kehidupan rumahtangga, kerjaya dan pelbagai lagi tuntutan yang berlingkar di pinggang lagi terbeban di bahu, mengheret saya ke satu lagi proses kematangan hidup.


Saya menerima semuanya sebagai suatu proses 'wajib' yang Allah datangkan untuk saya menginjak ke usia pertengahan.


Bukan lagi anak muda.


REHAT DIET


Tiga bulan saya berehat daripada diet. Doktor memberikan saranan agar saya memberhentikan seketika proses diet kerana tubuh juga semakin alah dengan teknik dan strategi yang digunakan selama ini. Maka proses penurunan berat badan juga sudah tidak optimum.


Saya kembali makan nasi.


Menjamah karbohidrat yang sudah 'diceraikan' sepanjang tahun 2011.


Ternyata, nasi masih sedap. Masih enak.


Hanya gula yang benar-benar hilang daripada lidah.


Perpindahan ke rumah baru juga menyebabkan saya kehilangan lokasi senaman yang saya gemari. Adjustment terhadap segala-gala yang baru amat mencabar. Biar pun pemakanan masih diberi perhatian, namun gaya hidup yang kurang cergas, beban kerja yang amat berat serta kendalian rumahtangga yang tambah menguji, menyebabkan saya 'tersesat' di perjalanan.


Saya sedar, semasa Seminar Surah al-Kahf tempoh hari, ramai yang berbisik-bisik di belakang, "eh, Ustaz Hasrizal dah gemuk balik la!"


Saya akui, saya gemuk semula.


Syukur, tidaklah sampai ke tahap asal (Naudhubillah). Tetapi badan saya bertambah beratnya lebih 10kg! Saya masih memakai pakaian yang sama semasa berat 96kg, cuma terasa agak ketat. Semasa badan naik semula itu, saya cuba mengawal emosi dalam pertarungan. Doktor sudah beberapa kali menjemput saya datang semula ke klinik, tetapi saya sentiasa 'ada sebab' untuk menangguhkannya.


Akhirnya, isteri saya mengatur temujanji tanpa menunggu persetujuan suaminya, dan kami berdua pergi semacam dalam paksaan. Namun saya tidak mengambilnya sebagai paksaan. Ia adalah desakan yang saya perlukan.


Seperti biasa, Dr Mahathir sentiasa optimis dan positif. Beliau masih mencari sisi positif untuk diberi tumpuan. Keputusan pemeriksaan darah saya jadi sasaran. Catatan menampakkan SEMUAnya normal, termasuk kolestrol yang selama ini sering menghantui diri. Syukur Alhamdulillah. Doktor menyarankan agar saya segera memulakan diet pusingan ketiga.


Saya tidak tahu saya mampu atau tidak. Saya hanya mengambil kaedah Surah al-Kahf iaitu:



Ambil langkah pertama
Allah akan permudahkan
Keazaman akan tersimpul di hati

Bismillah, saya mulakan.


Kini sudah seminggu lebih saya menjalankan proses diet semula.


Perasaannya memang tidak sama seperti pusingan pertama dahulu. Tiada lagi kejutan, semua yang boleh dan tidak boleh dimakan saya sudah tahu. Saya juga tidak lagi berkongsi perkembangan di Facebook dan di pusingan ketiga ini, saya cuba membina kekuatan sendiri.


Sasaran kali ini ialah pada mengurangkan 20kg lagi.


Kini sudah beberapa kilogram turun, dan saya optimis untuk meneruskan perjuangan.


Bukan untuk kurus, tetapi untuk sihat.


Gemuk, confirmed tidak sihat.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2012 19:03

Wasathiyyah Dalam Pendidikan – Nota Kecil

[image error]


Konsep Wasathiyyah amat penting untuk terus disemak dan diberikan perhatian dari semasa ke semasa.


Ia bertindak sebagai alat check and balance antara kecenderungan masyarakat sama ada berlebih-lebihan atau bermudah-mudah di dalam semua lapangan kehidupan mereka. Ziadah dan Nuqsan, adalah adik beradik. Ziadah ertinya menokok tambah. Nuqsan pula erti mengurangkan dos daripada preskripsi asal Islam. Ada kalanya ia juga disebut sebagai ifrat dan tafrit.


[image error]


"Dan dengan demikian itu Kami jadikan kamu Ummah yang Wasathiyyah…" [Al-Baqarah 2: 143]


Akhirnya Wasathiyyah mesti difahami bukan sebagai jalan tengah. Memahaminya sebagai jalan tengah akan mengundang pendirian relatif yakni semuanya betul belaka, termasuk yang nyata salah dan terkeluar daripada wajah yang diterima Islam.


Wasathiyyah mesti difahami sebagai metod yang mencari ketepatan, lalu menghasilkan keseimbangan. Seimbang antara dua yang layak dan lulus ditimbang.



ISU-ISU PENDIDIKAN


Ketiadaan Wasathiyyah dalam pendidikan menatijahkan penekanan-penekanan yang berlebihan atau keterlaluan dalam satu-satu sudut yang hanya merupakan sebahagian daripada keseluruhan.



Berlebih-lebihan menekankan akademik hingga membelakangkan agama.
Berlebih-lebihan menekankan agama hingga membelakangkan akademik.

Atau dalam bahasa yang lebih menampakkan konflik:



Berlebih-lebihan menekankan Sunnatullah hingga membelakangkan Syariatullah.
Berlebih-lebihan menekankan Syariatullah hingga membelakangkan Sunnatullah.

Akibatnya, lahirlah SEKULARISMA.


Sama ada sekular kerana menerima Sains dan membelakangkan Agama, atau sekular pada menerima Agama dan membelakangkan Sains.


Kedua-duanya menatijahkan kelompok yang hidup dalam satu masyarakat, tetapi bergeser dalam menetapkan keutamaan, berkonflik pada memikirkan penyelesaian, serta berkrisis pada melaksanakan tindakan.


Orang-orang akademik, orang Sains, orang sekolah orang putih, orang bukan orang agama menyelesaikan cabaran-cabaran kehidupan daripada sisi bidang mereka sahaja, manakala agama sama ada ditolak terus, atau terbatas hanya pada ibadah-ibadah khusus, hingga agama tidak dapat dilihat fungsinya secara praktikal pada memperbaiki sistem, pengurusan, dan hal-hal pejabat yang bersifat 'Duniawi'.


Manakala orang-orang agama, ustaz-ustaz, lebai-lebai, tok-tok guru pula, menyelesaikan cabaran-cabaran kehidupan daripada sisi bidang mereka sahaja, manakala aspek aqli hanya terbatas pada hal-hal duniawi hingga agama tidak kisah dibiarkan berkembang tidak sejajar antara naqal dan aqal. Lalu lahirlah slogan-slogan agama secara retorik yang kosong daripada upaya praktikal, tatkala Syariat dipisahkan daripada ilmu-ilmu alat yang hakikatnya sebahagian daripada Sunnatullah.


SOLUSI SEMASA


Masalah yang timbul daripada fenomena ini telah disedari oleh ramai lapisan masyarakat.


Usaha untuk mencantumkan kembali bidang-bidang yang didikotomikan oleh nilai sekular cuba dilakukan. Ia suatu kesedaran yang sudah cukup berharga.


Namun usaha itu amat sukar untuk menyentuh dasar masalah, jika ia hanya bersifat permukaan. Menghafal 30 juzuk al-Quran dan kemudian belajar Kejuruteraan, apa yang terhasil mungkin seorang jurutera al-hafiz yang masih sekular. Seorang yang belum mampu mendamaikan antara falsafah al-Quran dan falsafah Kejuruteraannya. Seorang yang mungkin empirikal dalam kejuruteraannya tetapi taqlid dalam al-Qurannya. Dan masalah-masalah itu boleh terus disenaraikan.


Masalah juga tidak selesai dengan seseorang menjadi ustaz, kemudian belajar di negeri Inggeris. Apa yang terhasil adalah seorang ustaz yang fasih berbahasa Inggeris tetapi mungkin masih sekular apabila maqasid syariah yang dipelajarinya masih tidak dapat ditemu atau diharmonikan dengan prinsip-prinsip sains sosial yang membentuk tamadun Inggeris.


Di sinilah pentingnya Wasathiyyah Dalam Pendidikan.





Sinergi Syariatullah dan Sunnatullah Sebagai Fondisi Pendidikan Islam



More PowerPoint presentations from Hasrizal Abdul Jamil

 


Ia bukan sekadar mencatumkan luaran, tetapi mencantumkan intipati ilmu. Melanggari peraturan-peraturan Syariatullah merupakan kedurhakaan kepada Allah dan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan Duniawi dan Ukhrawi. Melanggari peraturan-peraturan Sunnatullah juga merupakan kedurhakaan kepada Allah dan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan Duniawi dan Ukhrawi.


Sunnatullah perlu di'Rabbani'kan.


Syariatullah perlu di'Manusiawi'kan.


Malah ketepatan dan keseimbangan yang dicari bukan sahaja antara Syariatullah dan Sunnatullah, tetapi juga pada tanggungjawab membangunkan:



Fizikal
Intelektual
Emosional
Spiritual

Bukan hanya menekankan aspek intelektual hingga menjadi KIASU, exam oriented, berpelajaran tidak berpendidikan.


Perjalanannya masih panjang.


Nota kecil ini hanya melontarkan buah fikiran, sebagai langkah permulaan.


Sesuatu yang sepatutnya saya bentangkan di Konvensyen Fiqh Ummah di PWTC pada 18 dan 19 Februari 2012.


Semoga bermanfaat buat renungan kita bersama.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2012 07:20

February 18, 2012

Maaf: Konvensyen Fiqh Ummah (K-FIQH)

[image error]


Assalamualaikum.


Maafkan saya.


Saya faham ada sebilangan kecil peserta yang hadir ke Konvensyen Fiqh Ummah di PWTC berhajat untuk mendengar pembentangan saya. Saya menerima banyak pertanyaan, rungutan juga penyataan rasa kecewa mereka yang hajatnya tidak kesampaian untuk bertemu dengan saya hujung minggu ini di K-FIQH.



Saya secara rasminya sudah pun mengundur diri daripada tugas membentangkan kertas kerja sejak lebih sebulan yang lalu. Namun sudah tentu agak tidak kena bagi pihak penganjur 'mencacatkan' promosi dengan membuat kenyataan berkenaan pengunduran saya. Bagi mereka yang berhubung dengan saya secara peribadi, mereka sudah pun maklum. Cuma pengunduran saya daripada Facebook yang berkadar langsung dengan keputusan itu, menyebabkan pengumuman terbuka saya menjadi tidak begitu meluas.


Tarikh asal Konvensyen Fiqh al-Ummah di peringkat perancangan adalah pada 25 dan 26 Februari 2012. Namun atas beberapa maslahah, tarikh itu dipinda kepada seminggu lebih awal. Keputusan itu dibuat semasa saya berada di luar negara dan tidak berkesempatan hadir ke mesyuarat yang penting berkenaan.


Saya bertanggungjawab mengendalikan hajat besar keluarga yang memerlukan pembabitan saya, lama sebelum tarikh Konvensyen ditetapkan. Saya dengan berat hati terpaksa mengundurkan diri daripada konvensyen, yang mana saya diberi tanggungjawab membentangkan topik Wasathiyyah Dalam Tarbiyah (Pendidikan) .


Mohon maaf sekali lagi.


Saya yakin manfaat yang begitu besar hasil perhimpunan sebegitu ramai tokoh tidak terjejas dengan ketiadaan saya.


Semoga Konvensyen Fiqh al-Ummah berhasil pada mencetuskan momentum pendekatan Wasathiyyah sebenar bagi meninggikan Islam dan bukan sekadar retorik Barisan Nasional pasca Islam Hadhari.


Semoga PTWC juga berehat seketika daripada budaya selak-selak kain yang kita sedia maklum.


Abu Saif @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 18, 2012 06:14

February 15, 2012

Menyantuni Manusia Dengan WALYATALATTHOF

[image error]


Dia peka dengan semua perkara.


Teliti.


Konsentrasi yang amat tinggi.


Bukan kashaf, tetapi seperti tahu apa yang orang lain fikir.


Sensitiviti yang amat tinggi, menjadikan perisik-perisik berprofail tinggi seperti Ethan Hunt di dalam siri filem Mission Impossible mampu menjalankan tugasnya dengan penuh sukses. Masakan tidak, sedikit kecuaian akan mengundang pelbagai bencana. Tidak ada satu perkara kecil pun dianggap tidak signifikan, kerana pada yang kecil-kecil itu ada makna dan kesan yang besar.



Memerhatikan gelagat perisik tersebut memudahkan kita untuk faham, apakah yang dimaksudkan dengan pesan Ashaab al-Kahf kepada rakan mereka yang diutus ke bandar untuk mencari makanan.


[image error]



Nasihat berbunyi (وليتلطف) di dalam ayat berkenaan merupakan pra-syarat untuk si utusan masuk ke bandar secara low-profile.


Semasa Ashaab al-Kahf itu ditidurkan, mereka berada di era pemerintah yang zalim. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijangka. Tidak pasti tidurnya berapa lama, tidak tahu siapa yang berkuasa dan apa risiko yang perlu dihadapi. Justeru si utusan diberikan pesanan agar walyatalatthof kerana hanya dengan itu, kehadirannya di pasar tidak disedari oleh 'musuh'.


Kalimah walyatalatthof itu sangat unik.


Ia merupakan satu kaedah universal yang penting untuk mengundang manfaat serta mencegah mudarat terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi. Untuk menterjemahkannya sebagai berlemah-lembut, berhalus, berhati-hati, amat sukar untuk menyampaikan keseluruhan maksud, melainkan kita kembali kepada kata akarnya, LA-THO-FA.


Kalimah la-th0-fa itu mempunyai makna 'lembut', 'halus' atau 'teliti pada benda-benda yang kecil'.


Daripada sendi-sendi makna ini, perkataan AL-LUTHF mendatangkan maksud 'ketersembunyian' dan 'ketelitian'.


Salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta'aala di dalam Al-Asmaa' al-Husna ialah AL-LATHEEF (اللطيف). Ia disebut sebanyak tujuh kali di dalam al-Quran, dengan lima kali daripadanya digandingkan bersama AL-KHABEER.


Sifat Allah yang LATHEEF pada menyantuni hamba-hambaNya terserlah di dalam firman-Nya:


اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ


"Allah itu LATHEEF kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." [Al-Shoora 42: 19]


Betapa telitinya Allah dalam menyantuni keperluan kita, dia memberikan kita bukan hanya benda-benda yang kita minta, kita, sedar dan kita tahu, malah sangat banyak keperluan kita yang di luar kesedaran kita sendiri, dipelihara oleh Allah yang MAHA LATHEEF itu. Kita hanya nampak keperluan diri pada pakaian membalut tubuh, makanan disuap ke mulut, oksigen disedut hidung dan vitamin D daripada pancaran matahari Dhuha.


Tetapi jika itu sahaja yang diberikan oleh Allah kepada kita, nescaya pelbagai musibah dan bencana yang datang merosak diri kerana kita ini sendiri tidak peka dengan seluruh keperluan kita. Hanya yang MAHA LATHEEF sahaja mampu meneliti, menyedari dan memeliharanya.


Berkali-kali nama AL-LATHEEF itu diulang di dalam al-Quran, agar kita dapat menginsafi betapa telitinya Allah mencipta kita dan alam ini, serta membekalkan segala keperluan, lebih daripada yang mampu kita fikir, minta, apatah lagi mengusahakannya.


Namun di dalam surah al-Kahf, Allah Subhanahu Wa Ta'aala membentangkan suatu nasihat di atas lisan Ashaab al-Kahf kepada rakan mereka, betapa perlunya kita sebagai hamba Allah dalam serba kedaifan ini, meneladani AL-LATHEEF dalam kehidupan melalui perintah WAL-YATALATTHOF.


Perintah itu mengkehendaki kita menyantuni sesama insan dengan sifat AL-LUTF itu.


Menjadi manusia yang berhalus, teliti, peka dan terpeinci dalam berinteraksi.


MELAYAN TETAMU


"Ini kain pelekat, sejadah dan tualanya. Qiblatnya ke arah sini. Suis bilik air di sini, ya" kata tuan rumah.


"Atas meja itu ada air kosong. Manalah tahu, kalau tengah malam dahaga pula" tambahnya lagi.


"Buatlah macam rumah sendiri. Kalau ada apa-apa panggil sahaja saya. Oh ya, soket ada di tepi katil tu, kalau nak cas telefon bimbit" ujarnya.


Senarai keperluan tetamu itu sudah semacam satu skrip standard bagi tuan rumah generasi ibu bapa kita. Apabila ada sahaja tetamu menyinggah dan bermalam, mereka tahu apa yang diperlukan oleh tetamu supaya mereka selesa. Rumah tidak perlu mewah atau besar, hatta rumah kampung yang serba daif dan sederhana itu pun, tuan rumahnya boleh menyantuni tetamu dengan begitu baik.


Siapa yang mengajarnya?


Tiada di sekolah.


Tiada di kelas mengaji.


Ia datang daripada sifat walyatalatthof, peka dan teliti dalam interaksi.


Di suatu ketika ia adalah amalan biasa hingga tiada kelihatan kelebihan dan keistimewaannya. Tetapi apabila amalan ini mula terhakis daripada generasi muda yang semakin hilang courtesy dalam melayan tetamu, kita mula sedar ada kekurangan besar dalam habl min al-naas kontemporari.


Malah kalau ada yang berbuat begitu, dikatakan terlebih baik pula!


BERMINAT DENGAN MANUSIA


[image error]


"Berikan sekeping foto bergambar ramai, siapakah yang yang akan manusia cari di dalam foto itu?" tanya Dale Carnegie di dalam bukunya How to Win Friends and Influence People.


Setiap orang akan mencari dirinya.


Manusia berminat dengan dirinya sendiri.


Justeru dalam membina keberkesanan dakwah dan persahabatan, kita tidak akan mampu melakukannya jika kaedah yang dipakai adalah berusaha menjadikan orang lain berminat dengan kita. Bukan soal betul atau salah, tetapi kita menyanggah Sunnatullah. Kita hakikatnya manusia lebih berminat dengan diri mereka sendiri, kita pula mahu mereka berminat dengan kita.


Orang-orang yang berpengaruh dan berjaya dalam hidup ini, biasanya adalah mereka yang selain mematuhi Syariatullah, mereka juga mematuhi Sunnatullah dalam komunikasi. Mereka berminat dengan manusia. Minat yang tidak boleh dibuat-buat, minat yang lahir daripada dalam diri.


Renungi sahaja kisah yang dipaparkan oleh Abbas al-Sisi di dalam bukunya al-Thariq ila al-Quloob (Jalan Menuju Hati) tentang Hassan al-Banna.


Seorang lelaki datang ke Maktab al-Ikhwan al-Muslimoon mahu mendaftar diri sebagai ahli.


Hasaan al-Banna mempelawa beliau duduk dan mencatat namanya, "Muhammad… apa nama keluarga tuan?"


Lelaki itu kaget.


"Bagaimana tuan tahu nama saya Muhammad?" tanya lelaki itu.


"Oh, pernah suatu hari, semasa menunggu keretapi, saya terdengar rakan kamu memanggil nama kamu Muhammad" jawab Hassan al-Banna.


Sungguh luar biasa, bagaimana dalam manusia yang begitu ramai di stesyen keretapi, Hassan al-Banna boleh mengecap pelbagai benda yang berlaku di sekitarnya, termasuk mendaftar nama Muhammad sebagai nama seorang lelaki, yang tidak disangka-sangka pada suatu hari kemudian, dia hadir menjadi ahli.


Sebagai majikan kepada sebuah syarikat yang besar, kita menyapa pekerja pada nama mesra mereka, bertanya khabar tentang ibu mereka yang sakit, atau anak mereka yang demam, malah kereta rosak yang sudah diperbaiki atau belum, merupakan simptom betapa kita bukan hanya berminat dengan pekerja itu sebagai pekerja yang memberikan manfaat secara spesifik kepada diri, malah berminat dengannnya sebagai seorang MANUSIA.


Al-Marhum Prof. Necmettin Erbakan semasa menjadi Perdana Menteri Turki, melantik ramai pegawai yang membuat kajian tentang latar belakang tetamu yang bakal berkunjung, isu-isu domestik di negaranya hatta di negara terpencil benua Afrika. Setiap yang menemui beliau, terasa istimewa dan dihargai. Itu menjadi salah satu teras sukses beliau sebagai seorang pemimpin.


APLIKASI HARIAN


Semasa kita menjadi tuan rumah kepada sebuah majlis dan menerima kehadiran tetamu kehormat yang diundang, beramal dengan walyatalatthof itu menjadikan kita peka bukan hanya pada tetamu kehormat yang hadir tetapi kita juga peka dia hadir dengan siapa. Jika dia hadir bersama isteri, bukan hanya tetamu kehormat itu yang dirai, malah isterinya juga disantuni.


Tatkala tetamu kehormat itu hadir, kondisinya diberi perhatian. Letihkah dia, apa keperluannya, berikan siap-siap nama-nama 'orang besar' untuk diberi ucap hormat semasa permulaan ceramah (jika itu penting buat tuan rumah) dan membantu pengiringnya untuk duduk di lokasi yang betul tanpa perlu terpinga-pinga.


Kepekaan ini datang daripada sifat rahmah di dalam diri, jujur dengan sebuah perhubungan, berusaha mempelajari teknik-tekniknya serta menghargai pengalaman dalam menjayakannya.


Kegagalan mengaplikasikan walyatalatthof untuk kerja-kerja berisiko akan mendedahkan diri kepada silap langkah serta mengundang bahaya.


Kegagalan mengaplikasikan walyatalatthof untuk kerja-kerja biasa menjadikan kita sering kecewa, kerana sering gagal memperolehi kepuasan dalam perhubungan. Bukan tidak berusaha, tetapi salah cara.


Santunilah manusia dengan ketelitian, kepekaan, kehalusan dalam berurusan.


Ia harus datang daripada hati percaya yang kuat.


Bukan teknik yang dibuat-buat.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2012 02:11

February 11, 2012

Hubungan Kita Dengan Baginda S.A.W

[image error]


Hubungan kita dengan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam adalah hubungan yang menyeluruh.


Sudah tentu, hubungan paling utama adalah hubungan Spiritual kerana kebersamaan kita dalam mentauhidkan Allah.


Hubungan itulah juga yang menjadikan kita bersaudara dengan Anbiya' dan Rasul yang lain sama ada mereka itu Bani Israel atau apa-apa sahaja bangsa yang menghuni alam ini.



FIZIKAL


Ada pun hubungan fizikal, ia sudah tidak mungkin terjadi. Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam sudah wafat. Susuk tubuh baginda tidak lagi bersama kita. Kesedihan yang sudah terlebih dahulu menggemparkan Umar dan ditenangkan oleh Abu Bakar radhiyallahu 'anhuma. Apa yang tinggal hanyalah sebuah makam penanda alam Barzakh tempat bersemadinya junjungan mulia yang dikasihi itu.


Andai ada yang mendakwa bertemu dengan Baginda secara fizikal, dengan apa-apa ikhtiar sekali pun, saksikanlah bahawa beliau itu adalah pendusta.


INTELEKTUAL


Hubungan kita dengan Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam juga adalah pada hubungan intelektual.


Akal dan garapan ilmu di fikiran itu meyakinkan kita (malah secara empirikal) bahawa Baginda adalah benar, risalahnya benar, lantas al-Quran dan al-Hadith menjadi asas-asas pembimbing Ittiba' kita kepada Baginda. Rasional kita menerima sebesar-besar kebenaran yakni pada keabsahan Nubuwwah serta risalah Kenabian Baginda.


[image error]


EMOSIONAL


Namun hubungan kita mesti membabitkan emosional.


Membabitkan rasa cinta.


Cinta yang tidak boleh ditulis di kertas. Tidak mampu diungkapkan bicara. Cinta yang menggetarkan hati semasa mendengar nama Baginda. Cinta yang menimbulkan tenaga semasa mahu melakukan sesuatu kerananya.


Sesuatu yang kita rasa.


Bagai manisnya gula. Hanya boleh dirasa. Tidak mampu diungkap dengan kata-kata.


[image error]


Mencintai Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam yang menjadi syarat kesempurnaan iman.


Cinta yang menjadikan Baginda lebih utama daripada ibu bapa, anak-anak dan sekalian manusia.


Wujudkah cinta itu di hati?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 11, 2012 19:31

February 9, 2012

Seminar MUSLIM 2012: Apa Erti Saya Menganut Islam

[image error]


[image error]



SEMINAR MUSLIM 2012 : APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM?



MUSLIM adalah hasil penghayatan seorang manusia kepada ISLAM.  Justeru MUSLIM dan ISLAM seharusnya beriringan merentas perjalanan masa. Namun ada ketikanya MUSLIM dan ISLAM boleh menjadi dua subjek yang terpisah. ISLAM berada di satu lembah, MUSLIM berada di lembah yang lain.


Semuanya berpunca daripada ISLAM sebagai satu PILIHAN, diamalkan di dalam kehidupan sebagai satu WARISAN.


Justeru, lontaran persoalan kritikal yang diajukan oleh Fathi Yakan di dalam Magnum Opus beliau, iaitu "APA ERTI SAYA MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA ISLAM" menjadi persoalan malar segar untuk dijawab oleh setiap individu Muslim merentas zaman. Bukunya Maza Ya'ni Intimaa'i li al-Islaam telah diterjemahkan kepada puluhan bahasa di seluruh dunia, pada mewacanakan Islam sebagai satu cara hidup untuk seorang Muslim.


Memasuki tahun 2012, bagaimanakah kita membina identiti sebagai seorang Muslim yang mampu mengemudi kehidupan berteraskan sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai yang berkompaskan al-Quran dan al-Sunnah? Bersediakah kita untuk menyemak pada asas apakah kita berpendirian dalam mendepani cabaran semasa?



MANFAAT SEMINAR


Manfaat seminar ini mahu dipindahkan kepada :



Bagi individu yang sudah mesra dengan buku ini; seminar ini berhasrat membantu menyuntik nafas baru pada membincangkannya, pada menghubungkannya dengan realiti semasa
Bagi individu yang masih belum memiliki buku ini; seminar ini mahu membantu anda memahami komponen-komponen penting yang membentuk sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai seorang Muslim
Bagi naqib atau ahli usrah, pendidik atau anak didik, ibubapa atau anak dan semua yang tergolong dalam kalangan memberi atau menerima

KANDUNGAN SEMINAR


Kandungan seminar akan mengupas komponen-komponen berikut :


Hari Pertama (25 Februari 2012)


Kualiti Intrapersonal



8.30 pagi : Pendaftaran




9.00 pagi : Kata-kata aluan




9.15 pagi : Mengertikan Kembali Islam dan Muslim [Muslim Syariatik dan Saintifik]




10.15 pagi : Rehat & Minum Pagi




10.30 pagi : Muslim Pada Kepercayaan




12.00 tengahari : Rehat




12.15 tengahari : Muslim Pada Ibadah




1.30 petang : Rehat/Makan Tengahari/Solat Zohor




2.45 petang : Muslim Pada Akhlaq




3.45 petang : Soal Jawab




4.30 petang : Bersurai



 


Hari Kedua (26 Februari 2012)


 


Kualiti Interpersonal



9.00 pagi : Kata-kata aluan




9.15 pagi : Muslim Pada Rumahtangga




10.15 pagi : Rehat & Minum Pagi




10.30 pagi : Muslim Pada Rumahtangga (sambungan)




12.00 tengahari : Rehat




12.15 tengahari : Muslim Pada Minda Sedar dan Kawal Diri (Taqwa)




1.30 petang : Rehat/Makan Tengahari/Solat Zohor




2.45 petang : Meyakini Prospek Masa Depan Islam




3.45 petang : Soal Jawab




4.30 petang : Bersurai



Hasil program ini mensasarkan pandangan hidup Muslim yang segar lagi dinamik serta mampu membaca cabaran semasa dan memberikan tindak balas terbaik dalam seluruh aspek kehidupannya. Ia sesuai untuk golongan dewasa hingga ke peringkat remaja di sekolah menengah.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 09, 2012 03:44