Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 84
February 9, 2012
Seminar MUSLIM 2012: Apa Erti Saya Menganut Islam
SEMINAR MUSLIM 2012 : APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM?
MUSLIM adalah hasil penghayatan seorang manusia kepada ISLAM. Justeru MUSLIM dan ISLAM seharusnya beriringan merentas perjalanan masa. Namun ada ketikanya MUSLIM dan ISLAM boleh menjadi dua subjek yang terpisah. ISLAM berada di satu lembah, MUSLIM berada di lembah yang lain.
Semuanya berpunca daripada ISLAM sebagai satu PILIHAN, diamalkan di dalam kehidupan sebagai satu WARISAN.
Justeru, lontaran persoalan kritikal yang diajukan oleh Fathi Yakan di dalam Magnum Opus beliau, iaitu "APA ERTI SAYA MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA ISLAM" menjadi persoalan malar segar untuk dijawab oleh setiap individu Muslim merentas zaman. Bukunya Maza Ya'ni Intimaa'i li al-Islaam telah diterjemahkan kepada puluhan bahasa di seluruh dunia, pada mewacanakan Islam sebagai satu cara hidup untuk seorang Muslim.
Memasuki tahun 2012, bagaimanakah kita membina identiti sebagai seorang Muslim yang mampu mengemudi kehidupan berteraskan sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai yang berkompaskan al-Quran dan al-Sunnah? Bersediakah kita untuk menyemak pada asas apakah kita berpendirian dalam mendepani cabaran semasa?
MANFAAT SEMINAR
Manfaat seminar ini mahu dipindahkan kepada :
Bagi individu yang sudah mesra dengan buku ini; seminar ini berhasrat membantu menyuntik nafas baru pada membincangkannya, pada menghubungkannya dengan realiti semasa
Bagi individu yang masih belum memiliki buku ini; seminar ini mahu membantu anda memahami komponen-komponen penting yang membentuk sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai seorang Muslim
Bagi naqib atau ahli usrah, pendidik atau anak didik, ibubapa atau anak dan semua yang tergolong dalam kalangan memberi atau menerima
KANDUNGAN SEMINAR
Kandungan seminar akan mengupas komponen-komponen berikut :
Hari Pertama (25 Februari 2012)
Kualiti Intrapersonal
8.30 pagi : Pendaftaran
9.00 pagi : Kata-kata aluan
9.15 pagi : Mengertikan Kembali Islam dan Muslim [Muslim Syariatik dan Saintifik]
10.15 pagi : Rehat & Minum Pagi
10.30 pagi : Muslim Pada Kepercayaan
12.00 tengahari : Rehat
12.15 tengahari : Muslim Pada Ibadah
1.30 petang : Rehat/Makan Tengahari/Solat Zohor
2.45 petang : Muslim Pada Akhlaq
3.45 petang : Soal Jawab
4.30 petang : Bersurai
Hari Kedua (26 Februari 2012)
Kualiti Interpersonal
9.00 pagi : Kata-kata aluan
9.15 pagi : Muslim Pada Rumahtangga
10.15 pagi : Rehat & Minum Pagi
10.30 pagi : Muslim Pada Rumahtangga (sambungan)
12.00 tengahari : Rehat
12.15 tengahari : Muslim Pada Minda Sedar dan Kawal Diri (Taqwa)
1.30 petang : Rehat/Makan Tengahari/Solat Zohor
2.45 petang : Meyakini Prospek Masa Depan Islam
3.45 petang : Soal Jawab
4.30 petang : Bersurai
Hasil program ini mensasarkan pandangan hidup Muslim yang segar lagi dinamik serta mampu membaca cabaran semasa dan memberikan tindak balas terbaik dalam seluruh aspek kehidupannya. Ia sesuai untuk golongan dewasa hingga ke peringkat remaja di sekolah menengah.
February 4, 2012
Cinta Kepada 'Lelaki Ghaib' Itu
[image error]
Bagaimana hendak mencintai seorang manusia yang kita tidak pernah jumpa?
Tidak pernah bertentang mata.
Tidak pernah melihat wajah dan susuk tubuhnya.
Soalan itu menerjah fikiran kita hari ini, tatkala diajak mengasihi seorang lelaki Arab bernama 'Muhammad bin Abdullah'.
Apatah lagi yang diajak itu adalah anak-anak.
Mungkinkah mereka jatuh cinta dengan 'lelaki itu'?
Lelaki yang tidak pernah ditemui. Tidak pernah dikenali.
Namun mencintai seorang secara ghaib bukan sesuatu yang mustahil. Lihat geng-geng rambut pacak itu. Mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Cuba tanya siapa pelopor rambut pacak itu, di mana kampungnya, apa makanan kegemarannya, siapa isterinya, apa nama anak-anaknya dan mengapa nama mereka begitu, dia bermain bola dengan kelab mana, pasti rambut pacak itu mudah disusuli dengan jawapan lengkap pada soalan-soalan itu tadi.
Tetapi pernahkah mereka bertemu dengan David Beckham?
Bertuturkah mereka dengan bahasa Beckham?
Pernah ke Manchester?
Pernah ke Madrid?
Pernah ke Los Angeles?
Majoritinya hanya menggelengkan kepala.
Tetapi mereka sangat memuja lelaki itu. Baik lelaki, mahu pun perempuan. Mereka tidak pernah bertemu dengannya, tetapi 'amat menyintainya'.
[image error]
Kredit Ilustrasi whateverattack.deviantart.com
Tanyalah budak muda rambut lebat sikat ke depan, kurus kering mendedah tulang rusuk dengan gaya seksi seperti K-Pop yang dipaksa menjadi M-Pop, mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Pernahkah mereka ke bumi Sonata? Bertuturkah mereka dengan bahasa Korea? Pasti sahaja genre yang dipaparkan itu lengkap dengan info sirah kehidupan Kim Jaejoong dan Jung Ji-Hoon.
Generasi muda kita memang ramai yang sedang bercinta dengan cinta yang ghaib. Menyintai seorang yang tidak pernah ditemui.
Keupayaan cinta yang sepatutnya membolehkan mereka mencinta lelaki ghaib paling hebat, Muhammad bin Abdullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.
SEPERTI AL-QURAN
Ali bin Hussein bin Ali radhiyallahu 'anhum pernah berkata, "Kami diajari dengan Seerah sebagaimana kami diajari dengan al-Quran"
Seorang cicit juga sudah masuk ke cabaran itu.
Mencintai moyangnya, seorang Rasul yang mulia, lelaki 'ghaib' yang tidak pernah ditemuinya. Namun cintanya kepada Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam datang hasil pendidikan. Beliau didedah, diajar, dibentuk dan membesar dengan mempelajari Sirah Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam, seperti mana dampingannya dengan al-Quran itu sendiri.
Apakah yang menemani anak-anak kita?
Cukupkah beberapa minit di sekolah mereka didedahkan kepada Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam?
Sesungguhnya anak-anak kita mampu mengasihi 'lelaki ghaib yang tidak pernah ditemui itu'.
Asalkan mereka dididik mengenalinya oleh kita yang terlebih dahulu perlu bertanya, "cintakah aku kepada lelaki ghaib itu?"
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." [Al-Ahzaab 33: 56]
=====================================
PETIKAN ARTIKEL: MEMPERKENALKAN SEORANG RASUL KEPADA ANAK-ANAK
The Opposite Game!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
January 31, 2012
Cerita-ceriti di Sebalik 'GUA' (Al-Kahf)
[image error]
Kredit foto: Ummu Zafran
Hajat untuk menganjurkannya sudah disuarakan pada tahun lalu.
Saya bersama-sama sahabat saya, Fazrul Ismail sangat kepingin melihat dan mengusahakan agar industri latihan di kalangan jurulatih Muslim berkembang dalam suasana yang dekat dengan al-Quran dan Sunnah, serta berpaksikan kepada sendi-sendi ilmu yang kukuh.
Kami tidak mahu 'motivasi' menjadi kalimah murahan.
Motivasi adalah salah satu cabang Tarbiyah, yakni pada menyampaikan pendidikan di peringkat EMOSI. Bertujuan bukan untuk memberi TAHU, tetapi untuk menimbulkan MAHU.
Fazrul bersama Firdaus dan Ariff, serta pasukan saya sendiri yakni Zainal dan Shakir dari semasa ke semasa hadir ke kuliah Maghrib saya, terutama yang dijalankan di Surau an-Nur, Bandar Baru Bangi. Mereka hadir bukan hanya sekadar mengisi masa antara Maghrib dan Isyak, tetapi menganalisa kebarangkalian sama ada program yang kami cita-citakan ini boleh dilaksanakan atau sebaliknya.
Kami mahu Surah al-Kahf yang saya syarahkan selama beberapa tahun menjadi kick off event bagi tahun 2012. Surah ke-18 ini mempunyai rangka yang amat kukuh pada menghasilkan panduan pengurusan kehidupan. Pelbagai modul latihan boleh dihasilkan, terutamanya pada mengambil manfaat daripada empat kisah yang terkandung di dalamnya.
Kisah Ashaab al-Kahf memfokuskan kepada pengurusan SPIRITUAL (Aqidah)
Kisah Pemilik Dua Kebun memfokuskan kepada pengurusan FIZIKAL (Harta)
Kisah Perjalanan Musa Bertemu Hamba Allah yang Soleh (Khidir) memfokuskan kepada pengurusan INTELEKTUAL (Ilmu)
Kisah Pemerintahan Dzulqarnain memfokuskan kepada pengurusan EMOSIONAL / SOSIAL (Kuasa & Urus Tadbir)
Kami juga tidak mahu bekerja bersendirian.
Modul perlu dibangunkan secara bersama. Justeru Akademi Sinergi menganjurkan Bengkel Pembangunan Modul Latihan, Teknik Surah al-Kahf secara kecil-kecilan, mengajak jurulatih daripada syarikat lain, tenaga pendidik, pelajar postgraduate, pendakwah, pegawai pembangunan sumber manusia dan pelbagai lapisan peserta menyertai bengkel tersebut untuk belajar dan mengajar.
MODUL LATIHAN TEKNIK SURAH AL-KAHF
Syukur Alhamdulillah, hajat yang dicita-citakan itu tercapai.
Pada 21 dan 22 Januari serta 28 dan 29 Januari, Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahf berjaya dilangsungkan.
TELL, THEN SHOW
Di peringkat awal, saya teragak-agak. Mampukah saya melakukannya? 25 ceramah yang memakan masa lebih dua tahun, mahu diringkaskan kepada 16 slot dalam tempoh 4 hari (Double Weekend).
Fazrul meyakinkan saya bahawa saya mampu.
Beliau meletakkan jangkaan, pembangunan modul mesti dimulakan dengan proses TELL. Ada pun elemen SHOW, HOW, REVIEW dan susulannya bagi format latihan, ia akan dibangunkan Insya Allah pada fasa-fasa berikutnya. Saya diamanahkan untuk TELL, melalui 16 slot kurniaan.
Teringat saya kepada catatan yang pernah dimenungkan semasa membaca buku Your Road Map for Succes oleh John C Maxwell:
Growth requires risk. Ronald E. Osborne stated, "Unless you do something beyond what you've already mastered, you will never grow"
Seluruh pasukan Akademi Sinergi sekata.
Program ini mesti diteruskan. Biar pun kami cemas seketika apabila mendapati bahagian pertama seminar jatuh pada hujung minggu panjang membabitkan Cuti Tahun Baru Cina, kami nekad. Di negara yang sangat banyak cuti umum seperti Malaysia, ia risiko yang mesti dirempuh. Syukur Alhamdulillah, rasa gementar kami terubat dengan kesudian TV Al-Hijrah mengajak saya mewacanakan Surah al-Kahfi di dalam program Assalamualaikum, di samping mempromosikan sedikit seminar yang kami anjurkan ini.
Dek banyaknya persiapan yang perlu dibuat, dua minggu jadual kerja kami hampir dikosongkan sepenuhnya.
Saya sendiri berkurung di dalam regim yang sangat menekan untuk membuat persiapan. Beribu muka surat buku perlu disemak merentasi pelbagai disiplin untuk menyiapkan bahan seminar. Semasa saya tidur dan jaga tidak menentu selama dua minggu, saya juga terdesak untuk menyiapkan pelbagai projek lain yang turun mesti disempurnakan pada jangkaan masa yang sama.
GELOMBANG SEORANG INSAN
Sesekali saya memberhentikan kereta di tepi jalan, menangis sendirian seperti budak kecil kebodohan kerana berasa terlalu penat dan bingung dengan pelbagai tanggungjawab yang digalas. Syaitan melontarkan pelbagai bisikan dan hasutan yang menguji niat dan keazaman. Saya mempersoalkan pembahagian kerja, mempersoalkan pengorbanan keluarga, mempersoalkan simpati rakan pasukan, yang kesemuanya saya persoalkan hanya dalam jeritan sepi di dalam hati kerana saya tahu ia bukan suara kebaikan. Ia adalah hasutan Syaitan yang mahu melemahkan usaha saya dan rakan-rakan.
Agenda menumpaskan Dajjal bukan sebarangan.
Nota seminar kelihatan ringkas. Namun untuk meletakkan tajuk bagi satu slide daripada ratusan slide itu pun, hakikatnya ia memerlukan hingga ke 10 atau 15 minit kerana tajuk slide adalah rumusan saya kepada isi utama firman Allah di dalam satu-satu ayat daripada Surah yang mulia ini. Puluhan mukasurat mesti dibaca sebelum semuanya terangkum di dalam tiga atau empat patah perkataan.
Saya sangat kasihan kepada isteri yang hanya mampu memandang dari jauh.
Di tengah malam beliau bancuhkan saya air panas, mengurut kaki, menggerakkan saya yang terlena di merata lantai rumah, beliau berusaha melakukan apa sahaja yang termampu, termasuk menahan perasaan apabila saya hilang ketawa, senyuman, gurauan selama lebih dua minggu. Terkenang Murabbi agung bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu 'alayhi wa sallam semasa menerima Wahyu pertama, baginda yang amat tertekan dengan bebanan amanah IQRA', diselimutkan dalam dakapan cinta dan kasih sayang seorang isteri bernama Khadijah.
Hanya Allah yang bisa membalas kesabaran isteriku, dan memadamkan calar-calar kekurangannya sebagai insan biasa yang sesekali patah hati dengan keserabutan sang suami.
Saya juga sedar rakan-rakan di pejabat hanya mampu mendoakan saya.
Zainal dan Syakir pasti berasa seperti useless apabila tidak dapat membantu saya yang seperti tenggelam di dalam 'dunia' saya sendiri. Terasa amat bersalah membiarkan mereka dalam keadaan sebegitu.
Mereka ingin membantu tetapi saya sendiri tidak tahu apa yang boleh dibantu.
SAAT-SAAT AKHIR
Kekhuatiran saya hanya satu, kelewatan saya menyiapkan bahan seminar akan menyebabkan mereka menjadi huru-hara di saat akhir menjelang seminar. Ternyata itulah yang berlaku. Setelah setiap minit diguna pakai untuk melengkapkan bahan untuk kira-kira 150 ke 200 peserta, saya akhirnya selesai menghantar bahan seminar pada jam 6 petang di hari Jumaat!
Mereka bertungkus lumus berkejar ke satu kedai demi satu kedai untuk mencetaknya, dan percetakan hanya selesai menjelang jam 11 malam. Di tengah malam pulalah pasukan Akademi Sinergi menyusun nota, memasukkannya ke dalam bungkusan di samping kerja-kerja teknikal, demi memastikan program berjalan dengan sempurna.
Syukur Alhamdulillah, urusan pejabat berjaya diselesaikan.
Di rumah, saya masih belum boleh berehat.
Buku dan nota masih disemak. Fikiran yang terlalu ligat menyebabkan saya sukar melelapkan mata. Terbangun di tengah malam, teringat pelbagai perbahasan ulama' tentang isi-isi penting Surah ini, di samping pelbagai isu semasa yang perlu dipertimbangkan kaitannya dengan erti surah ini. Kekurangan tidur dan rehat mengundang pelbagai masalah kesihatan. Saya demam, asthma, sakit kerongkong hingga muka turut ditumbuhi jerawat semula, seperti zaman stress peperiksaan SPM dahulu kala!
Besar sekali beban al-Quran.
Terkenang saya kepada firman Allah:
لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." [Al-Hashr 59: 21]
SELESAI
Setelah puas berhempas pulas, syukur, program selesai.
Faruqi yang menjadi MC puas berpindah kerusi, sebagai isyarat masa, penyampaian saya tinggal 5 minit sebelum majlis berhenti rehat, sudah buleh bertenang.
Dengan 1001 kelemahan, saya berharap agar setiap peserta yang hadir beroleh manfaat daripada pengisian. Terima kasih kepada semua peserta yang hadir, setia mengikuti pengisian intensif selama lebih 20 jam dan memaafkan kelemahan-kelemahan saya serta pasukan Akademi Sinergi. Saya sangat mengagumi kesungguhan mereka menuntut ilmu. Ada yang datang sekeluarga, mengheret diri dari sejauh Sungai Petani dan Batu Pahat, saya hilang rasa letih mengadap keghairahan mereka.
Malah mereka turut menghantar sekotak soalan kepada saya yang sebahagiannya saya masih berhutang jawapan.
Tidak lupa, saya ingin berkongsi penghargaan atas kesudian mereka mencoretkan catatan masing-masing tentang seminar ini di Facebook dan blog masing-masing.
Ashabul Kahfi – Panduan Pengurusan Akidah Untuk Orang Muda oleh Faiz Hamzah
Bangunlah Pemuda oleh Fadzil
Ibrah Daripada Surah al-Kahfi [Siri 1] oleh Daing Fadzil
Kesan Surah al-Kahfi dalam Pengurusan Kehidupan oleh Firdaus Tahir
Ibrah Surah al-Kahfi (1) oleh Muhammad Syamsi Mohd Taufiq
"Keikhlasan Dalam Perjuangan Mencari Redha Allah" : Ibrah Surah Al-Kahfi oleh Nurrul Hidayah Ahmad Fadzlillah
Seminar Pengurusan Kehidupan 21 & 22 Januari 2012 oleh Ummu Zafran
Seminar Surah al-Kahfi #1 oleh Mohd Hafizul Hilmi
KEKAL SEKUFU
Sudah tentu, dalam banyak-banyak catatan yang dibuat, catatan paling istimewa adalah sisi pandang isteri saya yang turut hadir bersama sepanjang berlangsungnya seminar. Dalam 10 tahun perkahwinan kami, ujian demi ujian menduga terutamanya dalam usaha kami untuk kekal sekufu dalam memahami Deen Allah Subhanahu wa Ta'aala. Kesibukan luar biasa selama lima tahun beliau melangsaikan program Clinical Masters untuk menjadi doktor pakar telah mencicirkan insan yang paling hampir dengan saya daripada begitu banyak siri perkongsian ilmu.
Seperti tidak mahu lagi melepaskan peluang yang ada, isteri saya hadir dengan penuh kesungguhan, walaupun sesekali saya geram melihat beliau mengantuk mendengar 'leteran' saya di pentas ceramah. Terima kasih kepada isteri saya yang sudi mencatat sisi pandangnya di artikel Cermin Diri Bersama Al Kahfi…
Saya sudahi penyampaian pada petang Ahad lalu dengan memetik kata-kata pensyarah terakhir yang menandatangani surat graduasi saya lebih 10 tahun yang lalu:
"Berjanjilah kepadaku dan di hadapan Allah, bahawa kamu amanah dengan al-Quran dan akan terus menyebarkannya kepada manusia. Itu sahaja yang aku mahu!" nasihat Dr. Amin. [petikan kisah Medan Itu Masih Belum Berhenti Liku]
Semoga Allah menerima usaha kecil ini sebagai sebahagian daripada pelaburan al-Baaqiyaat al-Soolehaat saya dan pasukan Akademi Sinergi untuk memartabatkan al-Quran di pesada umat akhir zaman.
Kami sedang mengumpul kekuatan untuk program seterusnya, SEMINAR PEMBANGUNAN KARAKTER BERTERASKAN SURAH LUQMAN, April nanti Insya Allah.
[image error]
Doakan kami.
Ya Allah, janganlah saya dikenang pada lawak atau sedapnya ceramah. Apa yang saya mahukan adalah pendengar mengalami perubahan cara berfikir, menikmati penambah baik haluan hidup, beroleh impak yang tulen, bukan sekadar kesan subliminal. Kepada-Mu jua kupohon kekuatan, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
p/s: Subuh Isnin selepas berakhirnya seminar, saya diserang sakit dada semasa pulang mengerjakan solat Subuh. Hampir tidak berupaya memandu kenderaan. Tetapi rasa sakit yang dialami amat ketara bertakrifkan otot (muscular) dan bukannya jantung. Syukur Alhamdulillah. Saya masih dalam tempoh berehat. Terima kasih kepada semua pihak yang masih menunggu submission kerja tertangguh, yang setia menanti. Saya sedang bangkit!
January 28, 2012
Menjadi Manusia Yang Peka Makna
[image error]
Surah al-Kahf menimbulkan kesedaran kepada kita tentang apa yang sedang berlaku di dalam diri.
Apa yang kita percaya.
Bagaimana kita memandang dan berfikir. Memandang dan berfikir tentang hakikat kehidupan.
Apakah nilai yang didukung pada menentukan keutamaan dan sikap kita dalam kehidupan seharian.
Menghayati Surah al-Kahf membantu kita memahami diri kita sendiri, sebelum kita memahami mereka di sekitar diri, mengapa kita dan mereka bertindak tanduk sedemikian rupa. Kita tahu apa yang perlu diperbetulkan. Kita jelas apa yang perlu diperbaiki. Ia membantu kita menjadi insan yang lebih baik, insan yang peka dengan MAKNA.
Renungi pilihan-pilihan yang kita buat dalam sehari.
Semasa bertembung antara keperluan-keperluan diri, bagaimanakah kita membuat keutamaan? Antara majlis ilmu dan pertemuan alumni sekolah. Antara buku dan baju. Antara makan dan bersenam. Pertembungan antara dua benda yang saling hukumnya harus. Bagaimanakah kita menentukan pilihan? Ia menterjemahkan NILAI yang dipegang dalam kehidupan.
Nilai akan menentukan antara buku dan baju, mana yang lebih penting dan segera. Mana yang lebih wajar dilakukan pengorbanan untuk mendapatkannya. Mana yang kehilangannya mencetuskan rasa kerugian kepada diri.
Inilah nilai yang ditegur oleh lelaki Mukmin kepada sahabatnya yang Kafir, pemilik dua kebun, dengan sangkaan bahawa kemuliaan diri ialah pada banyaknya harta dan pengikut. Bukan salah membanyakkan harta dan meramaikan pengikut. Namun di situkah kita meletak harga seorang DIRI?
[image error]
Jika pemilik dua kebun itu menganggap bahawa dirinya lebih mulia kerana kebun, harta dan pasukannya lebih hebat daripada sahabatnya yang mukmin, logik yang dilontarkan ialah, andai kebun, harta dan pasukan itu hilang, maka hilangkah harga dirimu? Hilang makna?
Analoginya, jika seseorang berasa megah menjawab panggilan telefon kerana memakai Iphone 4S, tetapi bersembunyi di belakang dinding semasa menjawab panggilan telefon kerana memakai Nokia 3210, apakah kehilangan telefon bererti hilang harga diri?
Kaya tidak menjadikan kita lebih tinggi harga diri.
Miskin juga tidak menjadikan kita lebih mulia.
Kaya dan miskin boleh menjadi sebab manusia kufur.
Kaya dan miskin juga boleh menjadi sebab manusia bersyukur.
Kaya atau miskin hanya ujian. Bagaimanakah kita menguruskan kekayaan dan kemiskinan, antara syukur dan sabar… di situlah nilai diri kita bertambah dan berkurang. Yakni pada sebuah TAQWA.
Sudah tentu nilai itu, terbit daripada pandangan hidup.
Jika hidup ini ialah diri, daripada diri kepada diri, memenuhi kehendak dan keperluan diri, sebagaimana sempitnya keupayaan diri dan luasnya kemahuan diri, manusia akan tertipu dengan apa yang diri perolehi. Terasa harta yang dikumpul adalah petanda tinggi harga diri. Terasa kekurangan harta sebagai rendahnya nilai pada diri.
Jika hidup ini lebih daripada sekadar diri, bahawa diri itu adalah ciptaan yang ada Pencipta, yang penciptaan ciptaan oleh Pencipta itu ada TUJUAN, maka diri bukan untuk diri, tetapi diri untuk Pencipta diri. Datanglah makna menjadi seorang hamba, yang memperhambakan diri bukan kepada diri, tetapi kepada Pencipta diri. Hidup adalah sebuah kehambaan.
Pandangan itu adalah hasil sebuah iktiqad.
Aqidah yang membantu mendefiniskan siapa diri, siapa Pencipta diri, dan apakah erti kehidupan ini.
Surah al-Kahf melalui kisah Ashaab al-Kahf, kisah pemilik dua kebun, kisah Musa dan hamba Allah yang soleh (Khidir) serta kisah Dzulqarnain, memaparkan muhasabah intensif, menyeluruh, menusuk, merombak, meruntuh, dan membina untuk seorang DIRI, agar hidupnya ada MAKNA.
Semoga hari keempat Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahf esok (Ahad 29 Januari 2012) diberkati Allah, dan saya dikurniakan kesembuhan daripada sedikit ujian pengurusan fizikal ini, untuk mengendalikannya.
Terima kasih kepada semua yang hadir.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
January 27, 2012
SESI KEDUA SEMINAR AL-KAHF
[image error]
Dua minggu yang sungguh berhempas pulas.
Usaha untuk mengadakan double weekend seminar bukan calang-calang kecil persiapannya.
Sudah tentu bagi pasukan Akademi Sinergi, mereka bertungkus lumus mengendalikan hal-hal pendaftaran, komunikasi peserta yang pelbagai keperluan mereka, serta urusan logistik. Ada pun bagi saya selaku penceramah, cabaran terbesar saya adalah pada membuat literature review, merumuskan pelbagai topik dan tema yang berkenaan serta tidak berkenaan, ke dalam nota yang bakal dikongsi bersama peserta.
Sesungguhnya dua minggu diperuntukkan dan hampir SEMUA program lain dihentikan kerana setiap minit dan jam dalam sehari diperlukan untuk itu.
Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahf yang asalnya saya sampaikan sebanyak 25 siri memakan masa lebih dua tahun, dipadatkan penyampaiannya kepada 16 slot selama 4 hari. Semoga rumusan yang diusahakan, boleh dihadam oleh hadirin dengan baik, pasukan Akademi Sinergi tidak lelah mengejar komitmen, dan saya sendiri diberikan kekuatan oleh Allah untuk optimum pada fizikal, intelektual, emosional dan spiritual sepanjang berlangsungnya seminar ini.
Hari ini (Sabtu 28 Januari 2012) dan esok, Insya Allah saya akan bentangkan ibrah daripada 3 kisah berbaki di dalam Surah yang mulia ini:
Ikuti perkembangannya secara RSS Feed di halaman Facebook yang kami sediakan.
Selamat berseminar.
Wed, 25 Jan 2012 08:34:20 +0000: Hujung minggu ini, iaitu 28 & 29 Januari 2012, Seminar Pengurusan Kehidupan Bert... - Dinding Facebook (iQ) Ibrah Quran : Surah Al-Kahf
Hujung minggu ini, iaitu 28 & 29 Januari 2012, Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah Al-Kahfi akan meneruskan kembara mengupas secara mendalam kisah Pemilik Dua Kebun, Kembara Musa & Khidir dan kisah Dzulqarnain.
Akademi Sinergi masih membuka peluang kepada semua untuk mengikuti seminar ini, secara OFFLINE (hadir secara fizikal) atau ONLINE (hadir di depan laptop/PC anda). Daftar segera. :)
Akademi Sinergi
akademisinergi.com
Akademi SinergiWed, 25 Jan 2012 04:24:48 +0000: Assalamualaikum..
Lokasi Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al Kahfi... - Dinding Facebook (iQ) Ibrah Quran : Surah Al-Kahf
Assalamualaikum..
Lokasi Seminar Pengurusan Kehidupan berteraskan Surah Al Kahfi pada 28 &29 Januari ini kembali ke Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan UPM, Serdang. Harap maklum.Tue, 24 Jan 2012 00:29:35 +0000: Allah mengulang 5 kali perkataan 'rabatha'. Salah satunya dalam Surah al-Kahf - Dinding Facebook (iQ) Ibrah Quran : Surah Al-Kahf
Allah mengulang 5 kali perkataan 'rabatha'. Salah satunya dalam Surah al-KahfMon, 23 Jan 2012 23:54:38 +0000: Apakah yang akan didalami minggu ini? Perhatikan prebiu bersama Ustaz Hasrizal. - Dinding Facebook (iQ) Ibrah Quran : Surah Al-Kahf
Apakah yang akan didalami minggu ini? Perhatikan prebiu bersama Ustaz Hasrizal.
Kisah-kisah dalam Surah al-Kahf
kias.akademisinergi.comFri, 20 Jan 2012 04:47:09 +0000: Beza cara pandang dijelaskan dalam Surah al-Kahf. Cara pandang pemilik kebun yan... - Dinding Facebook (iQ) Ibrah Quran : Surah Al-Kahf
Beza cara pandang dijelaskan dalam Surah al-Kahf. Cara pandang pemilik kebun yang salah menyebabkan kekufurannya. Panduan dalam surah ini mampu memandu kita dalam melihat urusan kehidupan seharian dengan baik dan saksama.
January 26, 2012
Kekasihmu Bukan Sekuntum Bunga
[image error]
Di mata manusia kufur yang hatinya tiada Cinta kepada Ilahi, kekasihnya adalah bagai sekuntum bunga. Yang indah dipandang mata, namun tidak lama sebelum layu, hilang seri dan berdebu dibawa pergi. Bercinta, biarlah sebagai benih yang disemai untuk mengejar Cinta Ilahi, Cinta Sejati…
CINTA SEJATI
Cintakan bunga, bunga kan layu
Cintakan manusia, manusia kan mati
Cintakan dunia, dunia kan kautinggalkan pergi
Cintakan Ilahi, cinta sejati
Puas sudah aku harungi
Hamparan dunia yang fana ini
Mencari sebutir permata cinta
Yang tak pudar sinarnya walau ditelan masa
Kini sinar-Mu mula menerangi
Mendung hatiku cerah kembali
Terpancarlah sinar suci di lubuk hati
Menerangi gelita jiwa
Awan mendung berarak pergi
Berganti sinar pancaran Ilahi
Tertautlah perasaan ini
Dengan cinta abadi cinta Ilahi
[Oleh Usrah al-Wadi @ Album Meniti Mega Syawwal]
January 25, 2012
Bahana Cinta
[image error]
http://www.mediafire.com/?8ehwjcc1nta5xmj
Bahana Cinta – Al Wadi
Mengapa ku bercinta dengan kehidupan yang sebentar
Mengapa hati ini terpaut pada insan yang diciptakan
Sedangkan perjuangan merebut cinta Tuhan
Lebih suci dan utama
Terkorban diabaikan
Mengapa ku bercanda dengan badai perasaan
Sehingga bercemamai keimanan ku gadaikan
Sedangkan nun di sana perjuangan memerlukan
Pengorbanan perwira dan serikandi yang sedar
Begitulah bahananya cinta pada dunia
Memunahkan cinta hakiki Ilahi
Memberi kekecewaan di hati sanubari
Berapa ramai insan mendamba pada dunia
Keremajaannya dipandu angan-angan palsu
Terpesona jiwanya dan terpudarlah imannya
Perjudian angkara perasaan yang inginkan perhatian
O Tuhanku ku rafa'kan
Ke hadrat-Mmu pengharapan
Pimpinlah hamba-Mu ini
Agar tidak terpedaya lagi
- Usrah al-Wadi, Mesir (Album Belenggu Fatamorgana)
Bahasa Cinta
[image error]
http://www.mediafire.com/?8ehwjcc1nta5xmj
Bahasa Cinta – Al Wadi
Mengapa ku bercinta dengan kehidupan yang sebentar
Mengapa hati ini terpaut pada insan yang diciptakan
Sedangkan perjuangan merebut cinta Tuhan
Lebih suci dan utama
Terkorban diabaikan
Mengapa ku bercanda dengan badai perasaan
Sehingga bercemamai keimanan ku gadaikan
Sedangkan nun di sana perjuangan memerlukan
Pengorbanan perwira dan serikandi yang sedar
Begitulah bahananya cinta pada dunia
Memunahkan cinta hakiki Ilahi
Memberi kekecewaan di hati sanubari
Berapa ramai insan mendamba pada dunia
Keremajaannya dipandu angan-angan palsu
Terpesona jiwanya dan terpudarlah imannya
Perjudian angkara perasaan yang inginkan perhatian
O Tuhanku ku rafa'kan
Ke hadrat-Mmu pengharapan
Pimpinlah hamba-Mu ini
Agar tidak terpedaya lagi
- Usrah al-Wadi, Mesir (Album Belenggu Fatamorgana)
January 24, 2012
Kejahilan Terhadap Lawan Menghilangkan Kawan
[image error]
"Teks, dan manusia. Dua saluran untuk memahami" itu yang saya pegang.
Setelah meluangkan masa memahami kehidupan pada teks-teks agama sebagai panduan, tiba masanya kita terjun ke alam pekerjaan.
Bekerja bukan hanya bekerja. Tetapi bekerja untuk membina jambatan antara agama dan manusia.
Subhanallah, datang dari sekolah agama yang semuanya Melayu dan Muslim, kemudian bermastautin di Jordan yang semuanya Arab dan Muslim, manusia di sepanjang hidup saya itu bersifat monotonous. Ia tidak menggambarkan cabaran rencam yang menanti kehidupan di hadapan. Islam yang saya belajar, wahyu pertamanya turun di Tanah Arab, namun cabaran semasa yang menanti di hadapan adalah warna warni Empayar Rom dan Parsi.
Itu menungan saya di tingkap. Saya sudah berada di Eropah. Namun saya jahil untuk memahami manusia dan pemikirannya. Kejahilan yang menjadikan kita sukar untuk memahami mad'u di Eropah sendiri, malah turut mencabar upaya saya untuk memahami pemikiran apa yang sedang membentuk minda anak watan di tanah air.
Itu tidak bagus.
Saya yakin 'Barat' lebih berkasar dengan Sayyid Qutb berbanding Hasan al-Banna sendiri selaku pengasas al-Ikhwan al-Muslimun, antara puncanya adalah kerana pengetahuan mendalam Sayyid Qutb tentang Barat. Tafsir Fi Dhilal al-Quran itu sendiri merupakan kritikan langsung Sayyid Qutb kepada gagasan idea Eropah yang menyelinap masuk ke kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai umat Islam semasa.
Saya tidak boleh terus jahil tentang Eropah. Tentang Barat.
KEJAHILAN EROPAH
R.W. Southern pernah menyampaikan syarahannya di Universiti Harvard pada April 1961. Ia dibukukan di bawah tajuk, Western Views of Islam in the Middle Ages (ISBN 0-674-95055-0). Di dalam ucapannya, Southern telah membahagikan era perkembangan persepsi Barat terhadap Islam kepada tiga era iaitu apa yang dinamakan sebagai The Age of Ignorance, The Century of Reason and Hope dan The Moment of Vision.
Di era kejahilan Eropah terhadap agama kita, mereka sangat jahil dan bebal dalam menanggapi Islam. Mereka tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mereka memahami Islam. Contoh terdekat yang boleh mereka gunakan adalah dengan membandingkan Islam dengan tradisi Yahudi. Agama Yahudi mempunyai pelbagai prinsip yang dilihat sama dengan Islam, seperti menegaskan keesaan Tuhan dan menolak Trinity.
Akan tetapi, masalah Eropah ketika itu bukanlah masalah maklumat. Ia lebih kepada masalah sikap dan pemikiran. Mereka sudah lama berjiran dan berhubung dengan umat Islam, tetapi persepsi mereka yang menjadi tembok penghalang.
Selama ini, Eropah memperlekehkan Yahudi yang miskin, melarat, dan dibenci, sebagaimana yang digambarkan oleh William Shakespear di dalam karyanya The Merchant of Venice. Sedangkan di era sekitar kurun ke 10M, Islam begitu gah dan hebat, tidak seperti imej Yahudi. Kelekehan Yahudi membolehkan Eropah untuk mengabaikan sahaja apa-apa idea mereka, tetapi kredibiliti Islam membuatkan Eropah gelisah kerana tidak boleh memejamkan mata terhadap Islam. Maka cubaan untuk memahami Islam dari imej Yahudi, agak membingungkan. Eropah keliru.
"Seperti seorang banduan yang berada di dalam penjara, kemudian mendengar khabar-khabar angin tentang peristiwa yang berlaku di luar, lantas banduan itu cuba melakar peristiwa yang didengarinya itu, dengan bantuan idea yang telah sedia ada di dalam fikirannya!" begitulah analogi R.W. Southern untuk membayangkan keadaan penulis Barat tentang Islam sebelum tahun 1100.
Mereka langsung tidak tahu tentang Islam sebagai sebuah agama. Pada mereka, Islam dan Muslim hanyalah sekumpulan musuh yang mengancam dunia Kristian dari segenap sudut. Pada mereka, tidak perlu dibezakan di antara Tauhid Islam dengan penyembahan berhala primitif kaum Northmen, Slavs dan Magyars. Semuanya diangkut sebakul, semuanya adalah musuh agama Kristian.
Mereka begitu bukan kerana kurang maklumat atau tidak berpeluang mengenal Islam secara dekat. Tetapi lebih kepada sikap, memandang remeh dan menjahilkan diri terhadap musuh. Dan dengan kejahilan mereka terhadap musuh, mereka tidak berupaya untuk mengalahkan musuh!
THE AGE OF MUSLIM IGNORANCE
Pada saya, apa yang telah membelenggu Eropah di era itu, hal yang sama jugalah sedang membelenggu pemikiran umat Islam hari ini. Saya bimbang dengan pemikiran simplistik umat Islam di Malaysia hari ini. Jika Tok Wan di kampung, tentulah saya tidak bimbang. Tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik dan Ulama sendiri.
Di era penghormatan orang ramai terhadap Ulama semakin terhakis, ramai Ulama yang dengan sendiri menambah sebab untuk mereka tidak dihormati.
Suatu ketika, kita beranggapan bahawa semua yang menentang Islam adalah Orientalis. Semua Orientalis adalah musuh Islam. Walaupun mungkin kita bahagikan Orientalis kepada Orientalis klasik, moden, dan pasca moden, namun kita beranggapan bahawa semua kelompok ini bekerja untuk menjayakan agenda penjajahan dan merancang untuk membinasakan Islam. Lantas kita gagal bersikap adil, dan seterusnya terhijab dari mengambil manfaat menerusi kajian Orientalis yang bermaksud baik seperti Arnold Toynbee.
Kita juga marah dengan Orientalis kerana menyalah tafsirkan Islam, bagaimana pula dengan jenayah kita menyalah tafsirkan Eropah? Apakah kita sudah menghasilkan terjemahan Islam terhadap Western Civilization? Orientalis gigih bekerja, dan kita hanya gigih menangkis, semata-mata.
Saya masih ingat di akhir 80an dan awal 90an, kita juga pernah menggunakan pukat tunda untuk melabel musuh Islam. Pada kita, asalkan ada sahaja versi Islam yang 'anti tradisional' dan sedikit berbau 'liberal', kita tuduh ia sebagai agenda IIIT (masyhur disebut sebagai Tripple I-T) dan Islam ala Amerika. Versi Islam yang direstui Amerika!
Hari ini, kritikan terhadap tradisi Islam semakin tajam, dan kita sekali lagi menggunakan pendekatan yang sempit, melabelkan semua anti Islam sebagai Islam Liberal. Kita tidak halusi pengertian Islam, dan kita tidak teliti dalam pengungkapan Liberal. Walhal, suara-suara 'Islam Liberal' yang ada hari ini, Islamnya pun tidak seberapa, Liberalnya pun menimbulkan persoalan.
Kembara di bumi Shamrock bukan kembara melankolik.
Ia mesti menjadi peluang untuk saya mendalami Sejarah Eropah Moden.
Sedikit sebanyak saya perlu berkenalan dengan karya-karya George Sarton, Adam Smith, John Stuart Mill malah buku teks seperti Western Civilization: A Brief History oleh Marvin Perry, dan sebuah lagi buku dengan tajuk yang sama oleh Jackson J. Spielvogel, demi memperbaiki persepsi saya tentang apa yang disebut sebagai BARAT. Eropah.
Saya teruja kerana melihat betapa asal usul idea seperti Liberalisma, Nasionalisma, malah Sosialisma, terbit dari kerangka pemikiran berteraskan agama! Eropah yang dibelenggu pelbagai krisis hablun minaLlah dan hablun minannaas, cuba menterjemahkan apa yang mereka faham tentang agama, melalui idea-idea liberal, konservatif, nasionalis dan sosialis.
Fahaman liberal mahu memulihkan identiti setiap insan sebagai individu, memberikan hak kepada mereka untuk berhubung dengan Tuhan tanpa melalui pihak ketiga, serta mahu mendefinisikan hak serta peranan mereka sebagai individu. Konservatif pula mahu memfokuskan hakikat insan sebagai manusia yang tabiatnya adalah berjemaah, bersosial dan berkelompok. Kedua-duanya mahu memperjuangkan aspek yang ada justifikasinya.
LIBERALISMA TAJDID DAN 'ISLAM LIBERAL'
Liberalisma muncul di Eropah dalam kerangka agama. Idea tersebut terus berkembang dan mengalami perkembangan dari semasa ke semasa.
Di kalangan masyarakat Islam, golongan Tajdid mahu memulihkan kedudukan individu agar tidak terkongkong oleh taqlid yang bersandarkan kepada institusi agama. Tajdid mahu setiap individu berhak untuk memahami dalil dan sandaran hukum agar dapat beragama tanpa bergantung kepada pihak ketiga. Di sini, prinsip Liberalisma terguna pakai. Malah gerakan Tajdid hari ini, sering pula diseru kepada mencontohi gerakan Liberalisasi Martin Luther yang membawa reformasi agama terhadap institusi Katholik, sebagaimana yang sering dicontohkan oleh Muslim Professional Forum (MPF).
Di satu sudut yang lain, golongan yang sering dilabelkan sebagai 'Islam Liberal' oleh seterunya, turut menentang 'tradisi agama'. Mereka membangkitkan soal kod moral kerana mahu peranan individu lebih terserlah di dalam otoriti beragama. Di atas titik ini, prinsip Liberalisma turut diguna pakai, walaupun dengan versi Liberalisma yang telah berbeza.
Kedua-dua golongan ini mensasarkan kritikan kepada arah yang sama iaitu golongan konservatif agama.
Sedangkan kedua-dua kumpulan ini mempunyai motif yang berbeza. Golongan Tajdid mahu mengukuhkan pegangan individu terhadap agama, sedangkan golongan 'Islam Liberal' pula mahu melonggarkan ikatan agama.
Namun, jika golongan Tajdid tidak berhati-hati, mereka akan pergi senada dengan golongan 'Islam Liberal'.
Kedua-duanya lantang mengkritik konservatif agama, yang ada di dalam institusi kerajaan, juga parti pembangkang Islam. Golongan Tajdid dan 'Islam Liberal' bertemu di pentas LIBERALISMA. Pertemuan itu mudah berlaku kerana idea Liberalisma terbit dari usul agama. Liberalisma Tajdid terbit dari Usul Islam, dan Liberalisma aliran 'Islam Liberal' pula terbit dari Usul Christendom. Jika konservatif yang ditentang adalah konservatif golongan agama, maka Tajdid dan 'Islam Liberal' boleh bangkit senada.
PENJENAYAH DI SEBALIK DARWINISMA
Saya sering melihat Teori Evolusi sebagai suatu bencana, khususnya apabila ia diterjemahkan dalam bentuk 'hak bangsa hebat seperti Barat untuk menjajah bangsa yang lebih lemah'. Saya memperolehi banyak sumber untuk mengutuk Charles Darwin (1809-1882) yang telah mengemukakan teori 'syaitan' ini. Karangan-karangan yang terbit dalam kerangka 'bahasa konspirasi' seperti tulisan Harun Yahya, menambah lagi kebencian saya terhadap Darwinisma.
Tetapi selepas membaca sendiri susur galur perkembangan Darwinisma dari sumber Eropah, saya dapat melihat dengan jelas, benih tumbuhnya idea ini. Bermula dari kajian datuk kepada Charles Darwin iaitu Erasmus Darwin yang telah menulis pada tahun 1794, Zoonomia (The Law of Organic Life), membawa kepada kajian Charles Darwin di dalam Origin of Species (1859) dan Descent of Man (1871), saya dapat melihat bahawa penjenayah terbesarnya adalah golongan yang datang kemudian. Bukannya Erasmus dan Charles itu sendiri. Golongan Social Darwinists adalah golongan yang bertanggungjawab memindahkan teori saintifik Charles Darwin kepada aspek sosial dan ekonomi, yang menjadi teras kepada Kolonialisma.
Berlaku adil kepada kawan dan lawan, adalah prinsip tinggi di dalam Islam.
Jika kita boleh akur bahawa idea-idea yang muncul dari Barat itu banyak yang diaspirasikan oleh agama, maka tidaklah sukar untuk kita melihat faedah idea ini kepada pemulihan Islam. Bukan memulihkan Islam dengan sentuhan Barat, tetapi meminjam prinsip agama Islam yang secara tidak langsung diperhaluskan dalam bentuk polisi oleh tamadun Barat. Asalkan kita adil terhadap kawan dan lawan, boleh menghargai perkembangan sejarah terhadap satu-satu idea.
Tidaklah nanti, kita sentiasa paranoid terhadap apa sahaja yang bernama Barat!
Paranoid inilah yang merugikan umat Islam di Barat hari ini.
PARANOID TERHADAP SEMUA YANG BARAT
Bertugas sebagai Pengetua di Belfast Islamic School memberikan saya 'tiket' untuk menjadi ahli kepada The Islamic Schools League of America. Jika dinilai dari sudut pendidikan sahaja pun, umat Islam di Amerika Syarikat sudah jauh lebih maju meninggalkan pencapaian umat Islam di United Kingdom, Ireland dan Perancis. Malah dari segi politik, Keith Ellison sudah berjaya menempatkan dirinya sebagai anggota Muslim pertama di Dewan Kongress Amerika Syarikat.
Tetapi ramai umat Islam yang masih paranoid. Ada yang melabelkan Keith Ellison sebagai Zionis Muslim, semata-mata beliau menerima undi daripada sejumlah orang Yahudi di tempat beliau bertanding!
Umat Islam di United Kingdom masih melatah-latah apabila Shaykh Haitham Jawwad Al-Haddad menyarankan agar umat Islam yang menghuni United Kingdom mengundi parti yang diputuskan oleh Muslim Council of Britain. Mereka menafsirkan partisipasi umat Islam di dalam policy making di negara di mana mereka tinggal, sebagai penyertaan kepada sistem Kuffar. Maka hadith-hadith tentang imitasi satu kaum ke atas satu kaum, konsep tiada dua hati dalam satu badan, isu al-Wala' dan al-Baraa' diguna pakai. Lantas umat Islam Eropah memilih isolasi (pemencilan) berbanding integrasi yang lebih harmoni dengan maksud dakwah.
Hal yang sama turut membelenggu perkembangan semasa di Malaysia. Kita meremeh temehkan Eropah dan mengaggapnya sebagai bakul sampah falsafah Yunan dan Greek yang tidak perlu dibuka tudung, agar busuknya tidak melata. Apabila Ulama tidak mahu menghalusi asas-asas pemikiran Barat, mereka gagal berinteraksi dengan cabaran semasa secara betul. Apabila golongan yang digelar sebagai Islam Liberal bersuara mengkritik beberapa idea tentang Islam, Ulama kita menjawabnya dengan bahasa sempit yang memalukan Ulama sendiri.
TELETUBBIES
Terkenang saya kepada perbualan bersama beberapa orang rakan tentang rancangan kanak-kanak terkemuka di Britain iaitu Teletubbies. Salah satu watak yang ada di dalam rancangan tersebut, dianggap mewakili watak gay, iaitu Tinky Winky. Seorang 'budak lelaki' yang berwarna ungu dan bersimbol tiga segi di kepala (warna dan simbol yang sering dikaitkan dengan homoseksualiti) serta membawa beg tangan.
[image error]
Lantas rakan-rakan saya mengecam rancangan televisyen tersebut.
"Ini konspirasi Barat mahu merosakkan Islam" kata salah seorang dari kami.
"BBC sengaja mahu menyuntik budaya songsang ini kepada pemikiran kita" kata seorang yang lain.
Saya termenung.
Benarkah bagai yang didakwa? Apakah semua benda yang tidak bersesuaian dengan kita, datang dari sebuah konspirasi?
Pada fikiran saya, pemikiran Liberal kuat mendominasi masyarakat di England. Golongan gay, sama juga seperti golongan berkulit hitam, golongan OKU malah kumpulan minoriti Islam, sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada kumpulan yang membentuk masyarakat Britain berdasarkan kepada terjemahan Liberalisma semasa.
Maka rancangan ini, jika benar Tinky Winky itu dimaksudkan dengan watak gay, adalah rancangan yang bertujuan mendidik kanak-kanak pra sekolah Britain terhadap polisi negara mereka sendiri. Sebagaimana mereka perlu menghormati penganut mazhab Katholik, mereka juga mesti hormat kepada umat Islam, kaum wanita, golongan hispanic, malah golongan gay.
Ia bukan konspirasi. Unsur itu masuk secara telus dan sedar.
Jika kita rasakan NILAI itu tidak sesuai dengan pegangan kita, maka tinggalkan sahaja rancangan tersebut. Untuk melabel penerbit Teletubbies sebagai ahli konspirasi dan berniat jahat, ia hanya menunjukkan kejahilan kita dan sempitnya fikiran yang mengongkong.
Untuk itu, saya kepingin untuk berkongsi cadangan kepada rakan-rakan yang aktif beramal di dalam gerakan Islam, agar berusaha untuk belajar tentang Eropah. Belajar tentang Eropah dari sumber Eropah. Kita tidak perlu berada di Eropah untuk belajar tentang Eropah, sebagaimana masyarakat kita tidak perlu berada di Eropah untuk telah menjadi Eropah.
Mahu tidak mahu, acuan pemikiran dan nilai Eropah itulah yang sedang menguasai umat Islam, juga bukan Islam di negara kita.
Semakin kita menjahilkan diri terhadap musuh, semakin terserlahlah kebodohan kita ketika mendepani mereka.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Versi asal: 16 Januari 2007
January 23, 2012
Kejutan Budaya Dalam Beragama: Era Pencerahan Islam
[image error]
"Pergilah ke pub. Jangan minum, sudah!" 'nasihat' hebat dilontar kepada pelajar kita.
Para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara terdedah kepada pelbagai situasi yang mengelirukan. Mudah terkena kejutan budaya. Tetapi istilah kejutan budaya itu mempunyai makna yang berbeza, sesuai dengan peredaran zaman.
Bagi generasi lama, sama ada insan biasa, pegawai tinggi atau bertaraf menteri, mereka suka mendefinisikan kejutan budaya itu dengan contoh-contoh yang banyak di zaman mereka. Mat Saleh, kawan-kawan sekelas berehat di pub, minum arak ocassionally, dan hal-hal yang seumpama dengannya.
Semuanya demi penguasaan Bahasa Inggeris dan ke arah kelihatan moden dan selari dengan zaman.
Hari ini ramai pelajar yang terpinga-pinga apabila menerima nasihat seumpama itu.
Mereka wajar terpinga-pinga kerana suasana hari ini sudah banyak berbeza. Walaupun Irish, English, Welsh dan Scottish masih ke pub, khususnya Jumaat malam Sabtu, namun pelajar Malaysia sudah mempunyai pertimbangan mereka sendiri. Hari ini, Mat Saleh, pelajar tempatan itu pula yang menerima kejutan, malah mereka sering menerima nasihat, "pergilah ke masjid, jangan masuk Islam, sudah!"
Itu adalah satu dimensi kejutan budaya yang boleh diperhatikan. Namun, kita lebih risau dengan kejutan budaya yang berlaku kepada pelajar dari sudut yang lain iaitu KEJUTAN BUDAYA DALAM BERAGAMA.
Apa yang mengejutkan itu bukanlah agama, kerana Islam itu sama, sumbernya sama, teksnya tidak berubah dan masjidnya masih masjid. Tetapi perkara yang menjadi kejutan ialah tentang interaksi pengikut Islam kepada Islam itu sendiri. Followers, bukannya teks Islam; yang mana manusia Islam inilah yang menjadi subjek kajian ahli sosiologi.
DUA GOLONGAN PELAJAR DI LUAR NEGARA
Apabila pelajar kita pergi ke luar negara, sama ada mereka mengambil peluang melepaskan diri dari Islam dan tradisi yang merimaskan, atau mereka akan berusaha gigih untuk mempertahankan keIslaman dan jati diri masing-masing. Bagi golongan pertama, mereka akan meneguk hidangan nafsu dan serakah dunia seperti manusia dahaga yang meneguk air laut. Makin diteguk makin dahaga, dan sebahagian mereka berakhir di ceruk-ceruk depression hingga hilang pedoman mengenal diri.
Akan tetapi bagi golongan yang kedua, mereka memberikan reaksi yang pelbagai. Ada di antara mereka yang bekerja keras mencari masjid tempat menadah ilmu. Ada juga yang aktif melibatkan diri di dalam persatuan-persatuan Islam untuk mengisi kotak-kotak masa harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Ramai juga yang kebingungan melihat telatah umat Islam pelbagai karenah di masjid, khususnya di bulan berbalah dan marah, bulan Ramadhan.
Kejutan pertama adalah pada pertelingkahan tarikh 1 Ramadhan. Kejutan kedua ialah pada Tarawih 8 atau 20 rakaat. Kejutan ketiga adalah pada qunut sebelum rukuk atau selepas rukuk. Kejutan keempat adalah pada qunut dari malam pertama atau malam ke-15. Kejutan kelima ialah pertelingkahan tarikh 1 Syawwal dan kejutan itu terus berlangsung satu demi satu.
Itu kejutan fiqh yang mudah menimpa semua pelajar. Kejutan lain seperti Aqidah dan prinsip-prinsip agama yang lebih mendasar, juga menimbulkan dilema ke pemikiran pelajar yang 'mencari'.
Maka tidak hairan, ada pelajar yang gelisah merasakan pengajiannya di bidang kejuruteraan dan perubatan adalah tidak Islamik, dan beliau hanya membuang masa, sedangkan di sudut sana dunia, umat Islam sedang disembelih serta meraung memanggil jihad. Pelajar-pelajar ini terkeliru dalam menentukan prioriti, dan mereka kecundang pada kedua-dua matlamat yang dikejar. Agama tidak sampai ke puncak, akademik binasa di tengah jalan.
KURSUS PRE DEPARTURE
Inilah isu yang sering saya rawat setiap kali saya mengadakan kursus Pre Departure bagi pelajar yang akan ke luar negara. Namun, dalam banyak-banyak sudut yang disentuh, isu paling popular adalah kekeliruan dalam soal Fiqh, mazhab dan yang seumpama dengannya.
Di atas kesedaran itu, saya cuba menjelaskan kerangka isu ini dengan cara yang mudah, senang diingat dan praktikal. Fokus utamanya adalah kepada isu pertembungan manhaj Salaf dan Khalaf. Ia telah mengundang banyak kekeliruan dan cara pelajar memberikan reaksi, telah banyak merugikan tenaga muda ini. Energy and Time Sucking…
Secara prinsip, saya gembira dengan perkembangan yang berkaitan dengan kesedaran untuk berdalil dalam beragama ini. Ia sering saya istilahkan sebagai era Rasionalisma agama, merujuk kepada era yang sama di dalam sejarah Eropah Moden. Masyarakat Eropah pernah cemerlang ketika tamadun Greco-Roman berada di puncak kuasa. Tetapi mereka beralih dari zaman cerah ke zaman gelap, apabila agama yang ditafsirkan secara tidak rasional menguasai massa. Gereja memainkan peranan yang besar membunuh logik yang suatu ketika dahulu amat berakar umbi di dalam masyarakat Greco-Roman.
Apabila rasional dibunuh, maka agama menjadi candu masyarakat. Saintis dibunuh dan sedikit demi sedikit, Eropah merangkak masuk ke Zaman Gelap. Zaman Gelap adalah zaman yang tidak rasional. Manusia mengikut agama kerana takutkan hukuman Tuhan yang diancam berulang kali oleh pihak gereja, walaupun seruan itu tidak rasional. Banyak peraturan agama dikenakan, dan kezaliman menjadi kebiasaan, atas nama agama. Agama menjadi antithetical to reason.
Untuk keluar dari kegelapan itu, ahli Falsafah seperti Immanuel Kant dan Voltaire telah menyerang agama. Mereka bukan menyerang konsep Ketuhanan atau menafikan peranan agama, tetapi yang diserang itu adalah tafsiran agama yang dianggap tidak rasional dan menafikan reason.
Sedikit demi sedikit, Eropah merangkak keluar dari zaman Gelap ke zaman Pencerahan (Enlightenment). Pelbagai percubaan dilakukan untuk memperbaiki kehidupan tetapi setiap satu langkah yang diambil, mencungkil kesalahan lain yang kemudiannya dicela oleh percubaan berikutnya. Sejarah Eropah penuh dengan trial and error.
ERA PENCERAHAN ISLAM
Pada kefahaman saya, umat Islam hari ini sedang berhadapan dengan suatu situasi yang menyerupai era Enlightenment Eropah (pada beberapa sudut, bukan keseluruhan). Kita pernah hidup di zaman agama yang ditafsirkan secara tidak rasional. Perbuatan menolak bala dengan mandi Safar di Tanjung Keling, Melaka, amat berakar umbi dalam kehidupan masyarakat. Amalan-amalan mistik yang dianggap sebagai sebahagian agama, menguasai masyarakat kita. Ritual seperti ini menjadi cabaran yang besar kepada golongan yang mahu melaksanakan reformasi agama di tahun 70'an dan 80'an. Banyak aspek pengamalan Islam ketika itu, tidak rasional.
Sedikit demi sedikit, masyarakat semakin terdedah kepada ancaman baru dan keterbukaan langit yang menerbangkan pelajar kita ke serata pelusuk dunia, telah membuka Malaysia kepada dimensi baru. Sebagai sebahagian daripada kesan Globalisasi, masyarakat Malaysia tidak lagi beragama seragam seperti dulu.
Jika dulu, apa sahaja ajaran agama, diterima dengan mudah hanya bersandarkan kepada hujah "Ustaz Fulan cakap begitu".
Tetapi hari ini sudah berbeza. Masyarakat mula menuntut hujah.
Mereka mahu tahu jika hukum sesuatu itu HARAM maka mengapakah ia HARAM?
Jika ada al-Quran yang menyebutnya, maka apakah tafsiran ULAMA terhadap ayat itu. Jika ada Hadith yang menyebutnya, maka apakah status Hadith berkenaan? Sahih? Dha'if? Palsu?
Hal ini mula merebak dan ia memberikan impak yang besar kepada masyarakat.
Ustaz-ustaz dan pendakwah sudah 'tidak bebas' bersuara dan bercakap. Malah bagi mereka yang malas untuk upgrade, akan dengan mudah kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Mereka selesa dengan otoriti agama di zaman tunduk dan patuh, sedangkan masyarakat mula mendaki tangga Pencerahan yang menuntut dalil dan rasional.
Banyak perkara yang boleh disentuh tentang hal ini, tetapi apa yang ingin saya bincangkan kali ini adalah kekeliruan, khususnya di kalangan pelajar yang tidak tahu bagaimana hendak mengambil pendirian agama dalam kehidupan.
KONSEP INPUT PROSES DAN OUTPUT
Di dalam beberapa siri kursus, saya telah memperkenalkan kepada para pelajar, konsep INPUT, PROSES dan OUTPUT dalam memahami isu mazhab, khilaf Ulama' dan sebagainya. Tujuan konsep ini bukanlah untuk menjelaskan secara terpeinci maksud mazhab secara mendalam. Ia perlu kepada sesi lain.
Pelajar yang berada di hadapan saya pula terdiri daripada pelbagai peringkat. Ada yang sudah biasa hadir ke majlis-majlis Pencerahan, ada pula yang masih di peringkat berfikir dan membuat pertimbangan, dan ada pula yang masih agak longgar dengan Islam, tetapi ada keinginan untuk mencari pegangan hidup, dalam agama.
[image error]
Saya bertanya kepada pelajar, apakah mereka mahu memilih makanan yang LAZAT, atau BERKHASIAT? Dahulu, soalan ini tidak relevan kerana makanan ketika itu lazat juga berkhasiat. Tetapi dengan kemunculan pelbagai makanan sampah (junk food?), masyarakat terpaksa memilih antara keduanya, bergantung kepada tahap kesedaran mereka.
Jika mereka mahu makan makanan yang lazat, tentu tidak susah. Mereka hanya perlu mencuba dan mengambil sahaja mana yang dirasakan sedap lagi menyelerakan. Soal bahan apa yang digunakan dalam masakan itu (INPUT), bagaimana cara ia disediakan (PROSES), tidak penting. Asalkan SEDAP (OUTPUT).
Bagi yang ada kesedaran, mereka mahu kepada makanan yang berkhasiat. Penentuan kepada soal makanan itu berkhasiat atau tidak, amat memerlukan kepada kita untuk mengambil tahu tentang INPUT dan PROSES. Apakah bahan yang digunakan, bermutu atau tidak, bagaimana cara ia dimasak, adakah dimasak dengan cara yang salah hingga hilang segala vitamin dan zatnya? Semua ini memerlukan masa untuk kita memahami dan mempelajarinya.
Soalnya sanggupkah kita meluangkan masa belajar ke pasar mencari INPUT dan terperosok di dapur belajar PROSES memasak? Jika sanggup, Alhamdulillah. Teruskan dan bersabarlah di atas kesusahan-kesusahan di sepanjang perjalanan mempelajari INPUT DAN PROSES itu.
Tetapi jika tidak sanggup, makan sahajalah apa yang telah dimasak oleh Chef, dan tentunya jangan banyak komen.
"Apalah chef ni, masak tak betul. Bakar tak kena cara. Ikan tak sesuai",kata pelajar tadi.
"Eh eh, awak tu ikan semilang dengan ikan keli pun tak tahu nak bezakan. Masak kukus dengan masak rebus pun tak pasti apa caranya, banyak pula nak komen tentang masakan chef itu tadi. Makan sahajalah!" saya bermetafora.
INPUT PROSES DAN OUTPUT DALAM HUKUM FIQH
Selepas analogi tersebut, saya bertanya kepada pelajar, "kamu mahu memilih hukum yang SENANG atau TEPAT?"
Soalan ini dahulunya tidak relevan. Agama Islam memang bercirikan mudah dan tepat. Jika Rasulullah SAW mempunyai dua pilihan, baginda akan memilih pilihan yang memudahkan perlaksanaannya. Maka kefahaman sesetengah kita bahawa pilihan yang lebih susah itu adalah lebih bertaqwa, merupakan fahaman yang salah.
Tetapi hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran.
30 tahun yang lalu, semua orang di Malaysia adalah orang Malaysia dan mereka bermazhab Syafie. Usaha mendedahkan masyarakat kepada pandangan kedua dan ketiga, lebih berpunca daripada kesedaran untuk mengembangkan pemikiran masyarakat agar tidak terkongkong oleh kekangan satu-satu ajaran semata. Namun hari ini, bukan sahaja kesedaran itu masih relevan, malah keperluan juga semakin mendesak.
Sukar sekali untuk kita bayangkan, polisi-polisi kewangan Islam semasa dikembangkan di dalam kerangka mazhab yang satu. Jika soal solat, puasa, zakat dan haji, mungkin masih upaya. Tetapi ketika mengembangkan sistem ekonomi Islam, disiplin dan etika perubatan, maka hal-hal ini memerlukan kepada keterbukaan.
SENANG ATAU TEPAT?
[image error]
Jika kita mahu memilih hukum yang senang untuk diamalkan, maka kita boleh terus sahaja berpegang dengan apa yang telah kita pelajari. Tidak perlu banyak menyoal dan bertenang dengan apa yang dipegang selama ini. Jika kita belajar bahawa sentuhan antara lelaki dan perempuan membatalkan wudhu', maka pegang sahaja begitu dan berusahalah agar wudhu' tidak batal ketika menaiki bas, tawaf di Masjidil Haram dan sebagainya.
Andaikata kita mahu kepada hukum yang tepat, maka mahu tidak mahu kita perlu mengambil tahu tentang INPUT dan PROSES. Ia bukanlah suatu perkara yang mudah, boleh dipelajari hanya dengan membaca majalah, malah memerlukan kepada pembelajaran yang tersusun dengan menjadikan masa, sebagai sebahagian daripada faktor pematangan.
Misalnya, hukum berkaitan dengan kadar jarak (masafah) yang diperlukan untuk mengharuskan seseorang itu memendekkan Solat (Qasar). INPUT kepada hukum ini, bukanlah satu hadith, tetapi ia mestilah mengumpulkan semua ayat al-Quran dan hadith yang berkaitan. Mana-mana sandaran nas yang diguna pakai hendaklah dikumpulkan dan kemudian barulah diPROSES. Ada di antara hadith ini yang sama sahih, maka untuk menyelesaikan 'konflik' di antara dua hadith sahih itu, maka ilmu berkaitan dengan nasakh mansukh, am dan khas, serta kaedah-kaedah Usul Fiqh, mestilah diguna pakai.
Soalnya, sanggupkah kita mempelajari dan memahami INPUT dan PROSES? Upayakah kita mengumpul nas dari pelbagai sumber hadith? Fahamkah kita bagaimana ahli Fiqh memproses nas-nas itu tadi? Jika kita sanggup mempelajarinya, maka Alhamdulillah, teruskan. Ia bukan kerja yang mudah, dan bersabarlah di dalam usaha mendalami hukum hakam ini, sebelum kita memperolehi OUTPUT iaitu hukum tepat yang dikehendaki itu tadi.
Akan tetapi, jika kita tidak sanggup, maka ikutlah hukum hakam yang telah dibincangkan oleh Ulama' yang berkeahlian dalam INPUT dan PROSES itu, dan jangan banyak komen.
"Wah, macam manalah si Qaradhawi tu boleh kata sembelihan Ahli Kitab hari ini halal dimakan? Maknanya ayam Tesco di UK tu halal lah ye?", seorang pelajar menyindir dengan penuh sacarstic.
"Wah, kamu baca al-Quran masih bertatih, memahami maksud ayat pun melalui terjemahan, Usul Fiqh tidak pandai, bahasa Arab baru ma ismuka, bagaimana kamu boleh begitu celupar mengkritik Ulama seperti al-Qaradhawi? Kamu nak menjadi tali kasutnya pun tidak layak." itu hakikatnya.
Inilah isunya.
Di era lambakan maklumat, dan hukum boleh dicari dengan hanya menyoal Haji Google.Com, ramai yang terlupa kepada latar belakang hukum. Dengan hanya membaca satu nas dari terjemahan ringkasan Sahih al-Bukhari, seseorang itu mahu campur tangan di dalam INPUT dan PROSES itu tadi.
Lebih malang lagi, ramai yang bijak menimbulkan persoalan, tetapi tidak berkemampuan atau malas menyelesaikan persoalan. Mereka cepat mengkritik perbuatan seseorang yang bercanggah dengan pegangannya, tetapi tidak tahu bagaimana hendak menangani kekeliruan dan tanda tanya yang muncul. Akhirnya mereka menjadi seperti kanak-kanak yang pandai mencabut skru dan sendi robot tetapi tidak tahu memasangnya semula.
Sikap ya akhi, sikap!
MAZHAB ITU INPUT, PROSES ATAU OUTPUT?
Soalan ini perlu dijawab dengan teliti. Berdasarkan kefahaman saya, mazhab itu adalah proses. Semua mazhab merujuk kepada sumber yang sama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tetapi mazhab adalah teknik memproses sumber itu tadi, dan setiap satu mazhab berbeza di antara satu sama lain berpunca daripada sebab yang pelbagai. Mazhab yang berkembang dalam suasana hadith yang banyak, mereka lebih selesa untuk menerima hadith yang ada kelemahan berbanding Ijtihad. Tetapi mazhab yang dikelilingi oleh pendusta hadith, maka prosesnya mungkin lebih mengutamakan Ijtihad berbanding dengan menerima hadith yang musykil.
[image error]
Maka, golongan yang memperlekeh mazhab atau menolaknya secara total, adalah golongan yang mahu memperkenalkan proses sendiri terhadap nas al-Quran dan al-Hadith. Mereka mahu memahami al-Quran dan al-Hadith sendiri-sendiri dan ini hanya layak dilakukan oleh seorang yang bertaraf mujtahid.
Sistem pengajian di Jordan boleh menjadi contoh. Walaupun pengajian tidak terikat kepada mazhab, namun diskusi berkenan dengan hukum hakam adalah berpandukan kepada apa yang telah dibahaskan oleh mazhab yang ada. Untuk pelajar undergraduate, mereka tidak berupaya membahaskan nas tanpa bantuan bahan-bahan diskusi yang telah sedia ada di dalam mazhab. Maka pandangan antara mazhab dibandingkan dan dianalisa. Jika ada ruang, maka proses memilih (tarjih) dilakukan. Dan jika sukar atau hasil diskusi menampakkan dua atau tiga hukum bertaraf sama, maka tiada tarjih yang dilakukan. Masing-masing boleh memilih mengikut kesesuaian.
Pelajar di Jordan bukan mujtahid seperti yang disindir oleh sesetengah golongan yang tidak bersetuju. Mereka tidak membina sendiri PROSES tersebut. Mazhab diguna pakai dan ia amat membantu.
Akan tetapi, bagi golongan yang taasub mazhab, mereka melihat MAZHAB lebih dari sekadar PROSES. Ia adalah INPUT.
Maka, ada nas yang ditolak semata-mata kerana nas itu tidak diguna pakai oleh Imam Mazhab mereka, sedangkan semua Imam Mazhab menjadikan nas al-Quran dan al-Hadith sebagai prioriti keutamaan. Imam Syafie pernah menyebut: "Jika sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku (peganganku)" (Al-Majmuk, ms 63/2)
Mereka ini adalah golongan yang boleh terjerumus ke kategori zalim apabila meletakkan mazhab tidak pada tempatnya.
KESAN SAMPINGAN ALIRAN SALAF DAN KHALAF
Sama ada seseorang itu memilih aliran Salaf mahu pun Khalaf, ia tetap membawa kepada kesan yang diperlukan oleh agama. Aliran itu bertujuan membawa manusia kepada mengamalkan Islam sebagai tujuan hidup mereka diciptakan oleh Allah.
Akan tetapi, di sana terdapat beberapa kesan sampingan daripada kedua-dua aliran, yang mesti diteliti dan dihalusi, agar ia tidak menjejaskan keberkesanan kedua-dua aliran tersebut.
ALIRAN 'PAKEJ KHALAF'
Aliran Khalaf ini semacam sudah dipakejkan oleh masyarakat. Jika Basmalah yang dibaca itu kuat, memperkenalkan dirinya sebagai bermazhab Syafie, jika mereka menghadiri majlis Tahlil dan mentakwilkan beberapa ayat Mutasyabihat dalam al-Quran, maka dengan sendirinya mereka itu dianggap KHALAF. Sukar sekali untuk menjadi Khalaf, tetapi menolak amalan membaca Yasin pada Khamis malam Jumaat. Malah Khalaf yang menyebut Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah pun dilabel sebagai Salafi dan Wahhabi. Semuanya seperti satu pakej.
Aliran Khalaf yang saya maksudkan di dalam perbincangan di sini adalah aliran yang membina kefahaman mereka terhadap hukum Islam di dalam kerangka Mazhab. Apabila seseorang itu belajar Fiqh di dalam kerangka mazhab, dia akan terpimpin dengan satu metodologi yang standard. Ia akan:
1. Melihat pandangan yang berlainan itu sebagai pandangan mazhab lain. Ia akan menolak pandangan itu kerana ia berada di luar mazhabnya. Ia rasional tetapi ia mudah mencetus serta menyuburkan sifat Taasub, sebagai kesan sampingan yang tidak disengajakan, tetapi berlaku secara diam.
2. Ia meletakkan pandangan orang lain setaraf dengan pandangannya, cuma ditolak kerana keterikatan dirinya kepada mazhab.
ALIRAN 'PAKEJ' SALAF
Aliran Salaf juga semacam sudah dipakejkan oleh masyarakat. Jika anda ke masjid, perhatikan jari seseorang semasa membaca Tasyahhud (Tahiyyat). Jika bergerak-gerak, maka dia itu comfirmed Salafi. Jika Basmalahnya senyap, tidak berqunut, dan suka menyebut istilah Bid'ah, maka dia itu Salafi. Sukar untuk seorang itu menjadi Salafi tetapi membaca Basmalah secara jahriah, atau bercakap tentangTakhalli, Tahalli dan Tajalli dalam pembersihan hati. Semuanya semacam sudah dipakejkan.
Aliran Salaf yang saya maksudkan di sini adalah aliran yang membina kefahaman mereka terhadap hukum Islam tanpa terikat kepada Mazhab. Mereka memilih hukum yang paling menepati al-Quran dan al-Sunnah. Aliran ini lebih dikenali di negara kita sebagai aliran Kaum Muda (walaupun pejuangnya kini sudah tua, aliran itu masih dikenali sebagai aliran Kaum Muda semenjak era penjajahan Inggeris hingga ke hari ini. Unik, bukan?)
Apabila seseorang itu memilih pembelajaran secara ini, ia akan:
1. Terbuka di dalam menerima pandangan tanpa mengira ia datang dari mana-mana mazhab. Asalkan berdalil, dan dalil itu dapat dijustifikasikan dengan baik, maka ia diterima. Kumpulan yang ekstrim sahaja yang menolak terus semua mazhab, dan ia bukan sikap semua pendukung aliran ini.
2. Seseorang itu akan melihat pandangan orang lain yang ditolaknya itu, sebagai pandangan yang tidak menepati al-Quran dan al-Sunnah. Maka secara tidak sedar, paradigma seperti ini meletakkan pandangan yang bertentangan dengannya lebih rendah dari pegangannya. Pandangan orang lain akan tanpa disedari, dipandang rendah. Dan jika kebiasaan ini tidak ditampung oleh muhasabah dan tazkiah jiwa, maka pendukung aliran ini mudah memperlekeh pandangan orang lain. Ia adalah kesan samping yang berlaku tanpa disengajakan, namun ia berlaku secara senyap.
AKIBATNYA
Kesan daripada pertembungan "Taasub" vs. "Memandang Rendah Kepada Pandangan Orang Lain" tragedi demi tragedi berlaku di dalam masyarakat. Kedua-duanya masih berbalas hujah untuk menegakkan kebenaran masing-masing, sedangkan krisis antara dua aliran ini bukanlah krisisfakta tetapi krisis SIKAP dan CARA BERFIKIR.
KESAN SAMPINGAN RASIONALISMA ISLAM
Di awal artikel ini, saya telah mencadangkan bahawa perkembangan merasionalkan Islam ini adalah perkembangan yang sihat. Akan tetapi ia mestilah dilakukan dengan tidak memejamkan mata terhadap realiti manusia. Manusia itu ada akal, hatidan nafsu. Merasionalkan Islam melalui perkembangan aliran Salaf ini (khususnya di dalam masalah Fiqh) adalah murni tetapi ia banyak memfokuskan kepada kepuasan akal semata-mata. Akal Islam puas apabila ia dihidangkan dengan sandaran nas dan tidak lagi bergantung kepada pemahaman tradisional yang anti rasional.
Akan tetapi, Eropah telah menyaksikan bagaimana era Enlightenment itu menyebabkan manusia mengalami kekeringan jiwa. Mereka menganggap bahawa rasional adalah satu-satunya sumber pegangan manusia. Mereka berjaya merasionalkan banyak perkara tetapi jiwa manusia menjadi sengsara.
Apabila Jean-Jacques Rousseau (1712 – 1778) menulis novelnya Emile pada tahun 1762, beliau telah menyampaikan mesej yang sama ini melalui cerita yang menyentuh emosi pembaca. Novel ini memberikan impak yang besar kepada masyarakat Eropah sehingga mereka tersedar bahawa rasional bukanlah segala-galanya. Manusia ada perasaan, dan jiwa mereka memerlukan pengisian dan santapan. Maka akhirnya, Rousseau dan novelnya Emile telah dianggap sebagai pencetus kepada gerakan Romanticism iaitu gerakan mencari pengisian jiwa ketika semua perkara mahu dirasionalkan oleh daya intelek manusia semata-mata. Lagu-lagu, lukisan, syair, novel sastera dan pelbagai perkara membiak dan kemudiannya menjadi senjata NASIONALIS menanam fahaman mereka.
Walaupun tidak semua perkara di era ENLIGHTENMENT Eropah itu sama tetapi gerakan Rasionalisma Islam di era Salafi (malah Khalaf juga bangkit merasionalkan banyak pegangan mereka sebagai respond kepada challange ini) mestilah membuka mata kepada orang ramai yang mengalami kegersangan jiwa di dalam majlis agama. Manusia tidak mendapat kepuasan emosi dan jiwa (emotional satisfaction) kerana majlis ilmu kebanyakannya penuh dengan debat ilmiah yang hanya melayan akal.
Saya tidak mencadangkan pendapat bahawa fenomena ini menyumbang kepada hedonisma, tetapi sedikit sebanyak, ramai yang menjadi ketagih nasyid, mendengar lagu secara senyap-senyap, malah terjebak di dalam ajaran sesat, kerana majlis ilmu yang memperjuangkan al-Quran dan al-Sunnah tidak mempunyai unsur emosi dan perasaan.
Malah tidak sedikit majlis ini yang menyeksa jiwa dan emosi apabila banyak berlaku pengucapan yang menatijahkan cedera mencederakan sesama tokoh Islam.
Usaha untuk meminimumkan gejala hedonisma amat sukar hendak dilaksanakan dan di antara cabarannya ialah agama yang diketengahkan sebagai alternatif, tidak melayan keperluan emosi dan perasaan manusia. Ada usaha yang dibuat untuk memasukkan unsur emosi ke dalam agama, tetapi ia menjadi gimik 'tangisan' lucu dan lawak spastik di dalam forum-forum, dan ia menambahkan kesengsaraan jiwa.
Emosi yang dimaksudkan di sini, adalah pendekatan yang tenang dengan bahasa yang baik, memberi ruang kepada manusia untuk berfikir, tidak hanya memberitahu tentang syurga malah berupaya menimbulkan rasa mahu kepadanya, tidak sekadar bercerita tentang realiti neraka, namun menimbulkanperasaan gerun terhadapnya. Belajarlah cara Nabi SAW menyampaikan dakwah, maka akan kelihatan banyak body language, permainan bahasa, kemerahan renungan mata, gurau senda dan analogi, serta pelbagai pendekatan baginda yang sungguh manusiawi. Mesej Rabbani kepada Tamadun Insani, memerlukan dakwah yang manusiawi.
HARAPAN
Saya bercita-cita untuk melihat pendukung gerakan pembaharuan di Malaysia tidak terlalu tekstual hingga tidak manusiawi di dalam pendekatan dakwah mereka. Idea-idea pembaharuan juga hendaklah dikemukakan secara berhemah dan berhikmah. Mungkin salah satu daripadanya adalah dengan menjemput tokoh-tokoh idea pembaharuan yang lebih berumur berada di mainstream. Kematangan dan ketenangan tokoh senior dalam memperjuangkan aliran Salafi sedikit sebanyak boleh merawat kecederaan yang berlaku akibat pemandu-pemandu Muda yang suka memandu laju.
Dan saya akan terus menyelitkan idea-idea pembaharuan melalui cerita yang bertenunkan benang akal dan emosi, supaya manusia yang mencari rasional akal, akan turut mendapat kepuasan jiwa, tanpa perlu pergi kepada hedonisma, akibat tafsiran agama yang pedih dan suka menghukum.
Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang baik buat hamba-Nya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra


