Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 86
January 10, 2012
Hukuman Gantung Dalam Memori Tahanan
[image error]
Ketika di dalam tahanan, saya punya banyak masa.
Terlalu banyak masa.
Quran dibaca, zikir tak berhenti.
Tetapi jam seperti merangkak lesu.
Malam masih pekat dan mentari subuh masih jauh untuk memulangkan sinar melihat hari.
Saya cuba melelapkan mata, namun fikiran terbang entah ke mana. Pelbagai catatan semalam muncul kembali mengganggu usaha untuk mendamaikan diri. Saya tahu perjalanan hidup tidak akan sama lagi, apabila abah pergi mengejut meninggalkan kami. Kembalinya abah ke rahmatullah meyakinkan saya, bahawa jalan hidup tidak akan mengikut template yang popular.
Tanpa Yusha' bin Nun, 'Musa' perlu memulakan perjalanan membaca. Bukan membaca buku, tetapi membaca kehidupan.
EMPAT TAHUN YANG LALU…
"Emak baru dapat surat ini. Biasiswa kamu digantung!" kata emak di corong telefon.
Jantung saya berdegup kencang. Terasa gelap dunia di sekeliling.
"Macam mana boleh jadi macam ini? Emak tak mampu nak tanggung kamu," emak menangis.
Kalaulah ibu saya berada di depan mata, mahu saja saya memeluknya untuk mententeramkan dia. Tetapi ibu jauh di seberang lautan. Di kampung halaman, ditimpa perasaan tatkala menerima sepucuk surat berpuaka yang mengubah hidup saya.
Sungguh saya tidak tahu menahu. Tiada penjelasan yang mampu saya berikan kepada emak. Hanya sebuah keyakinan, bahawa saya tidak bersalah. Saya tidak takut. Saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Saya yakin surat itu hanyalah fitnah yang bertujuan untuk menjadikan saya sebagai kambing hitam.
TIGA BULAN SEBELUMNYA
1997 adalah tahun musibah buat pelajar Malaysia di seluruh dunia.
Selain kejatuhan matawang Malaysia yang amat menakutkan, kami di Jordan ada kisah tambahan yang mengiringinya.
Pelbagai insiden menimpa. Kemuncaknya ialah, kerajaan Jordan menaikkan yuran kami daripada 25 Dinar bagi satu subjek, kepada 150 Dinar. Bayangkan, daripada RM125 bagi satu subjek, kami berdepan dengan kenaikan yuran mencecah RM750 bagi setiap satu subjek! Dan kami ada 44 ke 46 subjek untuk dihabiskan. Tentu sahaja bagi pelajar-pelajar yang menerima biasiswa, kenaikan ini tidaklah begitu besar kesannya kerana pihak penaja yang akan membuat keputusan untuk terus membayar, atau apa-apa jalan keluar yang lain. Namun bagi ribuan pelajar persendirian yang lain, mereka terumbang-ambing.
Segala-galanya datang bertimpa-timpa.
Asalnya, saya tidaklah begitu berhajat untuk bertindak balas secara aktif memandangkan diri sudah masuk ke tahun akhir pengajian. Tetapi atas rasa tanggungjawab sebagai orang tua, saya bersama ramai lagi pemimpin pelajar mengusahakan memorandum, mengutip tandatangan pelajar seramai mungkin, untuk merayu kepada kerajaan Jordan supaya menarik balik kenaikan yuran tersebut.
Lebih menyedihkan, kenaikan itu turut sama membabitkan kumpulan pelajar asing minoriti dari Indonesia dan Thailand. Mereka juga dikenakan yuran baru yang amat tinggi itu. Dan mereka mengharapkan kami para pelajar Malaysia untuk bertindak selaku kelompok majoriti dari kalangan pelajar asing.
Tetapi ikhtiar dan susah payah kami itu disekat. Ada pihak yang lebih berotoriti, mencadangkan penyelesaian secara diplomatik. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah penyelesaian yang sepatutnya. Kami kembali semula ke mood pengajian sementara menanti perkembangan selanjutnya.
Sebulan berlalu…
Kelas sudah masuk minggu ketiga.
Tiada sebarang khabar berita.
Pihak penaja di Malaysia sudah bising. Mengapa kami tidak masuk ke kuliah seperti yang sepatutnya?
Apabila kami merisik dengan Kementerian Pengajian Tinggi Jordan, berita yang diterima amat mengejutkan. Mereka tidak menerima sebarang bantahan daripada pihak berwajib ketiga-tiga negara!
Di manakah penyelesaian diplomatik yang dicadangkan dulu?
Sejujurnya, saya tidak tahu.
Banyak kekecohan yang berlaku. Saya, antara mengambil tahu dan tidak, enggan terlalu membabitkan diri kerana sudah penat melayan hal-hal seperti ini semenjak di tahun pertama kembara saya di bumi Syam. Namun dalam rasa hati yang berbelah bagi itu, saya didatangi rasa bimbang. Kali terakhir biasiswa masuk adalah kira-kira lima bulan yang lalu. Elaun kami yang sepatutnya diagihkan setiap tiga bulan sekali, sudah dua bulan lewat. Perit… setelah bekerja keras belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM, demi melayakkan diri mendapatkan biasiswa yang ditawarkan, tiba-tiba hidup kami pula yang menjadi sengsara kerana pembayaran hampir tidak pernah tepat mengikut jadual. Namun, belum pernah selewat ini…
Apa yang ganjil, hanya saya seorang sahaja yang mengalaminya kali ini. Dan kelewatannya bukan sebarangan.
Nyata sekali, kerisauan saya itu amat berasas.
KECELAKAAN
Panggilan telefon daripada bonda di kampung mengiyakan segalanya. Ia bukan lagi masalah-masalah teknikal yang sering dialasankan sebelum ini. Biasiswa saya digantung!
Saya tidak mengetahuinya sehinggalah diberitahu oleh bonda. Insan yang sepatutnya menjadi manusia terakhir tahu tentang insiden yang menimpa ini.
Di dalam surat berkenaan, saya dituduh menghasut pelajar Malaysia di seluruh Jordan agar tidak mendaftarkan diri di universiti ekoran kenaikan yuran kami itu! Saya juga dituduh menghasut pelajar-pelajar lain untuk bertindak secara anti establishment, menentang pembabitan di dalam program-program anjuran pihak berwajib. Ia adalah suatu pertuduhan jahat yang amat mengejutkan saya.
Bukti kepada semua itu, adalah bersandarkan kepada beberapa cop imigresen yang kedapatan di pasport saya. Saya dituduh pulang ke Malaysia pada tarikh tertentu tanpa pengetahuan pihak penaja dan saya terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang salah di sisi perjanjian saya bersama penaja.
Allah!
Memang benar, setiap pelajar yang ditaja, tatkala bermusafir ke mana-mana, hatta pulang ke Malaysia sekali pun, sepatutnya memaklumkan keberadaan mereka itu kepada pihak penaja. Namun dengan puluhan ribu pelajar tajaan, hampir tiada seorang pun yang berbuat demikian. Ia dimanipulasi oleh pegawai yang memfitnah saya itu. Mereka bertemu 'bahan' untuk mencipta kes terhadap saya. Demi melepaskan diri daripada kesalahannya yang tidak menjalankan tugas dengan baik, saya dipilih sebagai kambing hitam untuk disembelih.
Saya berusaha untuk menenangkan emak yang panik. Dalam keadaan dirinya uzur dimamah sunyi dan pertambahan usia, berita penggantungan biasiswa saya memburukkan keadaan. Saya berjanji untuk terus berjuang mendapatkan kembali hak saya. Bonda harus yakin dengan saya, kerana saya TIDAK BERSALAH.
BERSEMUKA
"Kamu nak apa?" tanya pegawai itu kepada saya.
"Benarkah saya digantung biasiswa?" saya menyoal pegawai tersebut.
"Masuk ke dalam!" dia menarik tangan saya masuk ke pejabatnya.
"Saya mahu tahu, apa alasan encik memfitnah saya seperti ini?" saya bertanya. Dada seperti tepu dengan api.
"Itu rahsia kerajaan!" katanya sambil menjeling dengan sinikal kepada saya.
"Rahsia kerajaan apa??? Ini surat apa? Ini tandatangan siapa?" saya mengeluarkan salinan surat yang difaks oleh bonda. Beliau yang menandatanganinya.
Beliau amat terkejut.
"Mana kamu dapat surat ini?" tanyanya kepada saya.
"Hai, kalau encik ada rahsia kerajaan, saya pun ada rahsia saya juga!" saya memulang paku buah keras.
"Beri surat itu kepada saya!" beliau cuba merampas surat itu daripada tangan saya.
Saya menepis tangannya. Beliau sudah berusia akhir 50′an. Tetapi kejam hatinya, saya simpati kepada wanita yang melahirkannya!
"Kalau encik ambil sekali pun, saya sudah buat banyak salinan. Encik fikirlah sendiri, kalau surat ini dikeluarkan kepada emak saya, takkanlah ia tidak sampai kepada saya? Itu pun tak boleh fikir ke?" saya semakin hilang sabar.
Beliau mendail telefon dan bercakap dengan seorang pegawai yang lebih tinggi pangkatnya.
"Ini ha, ada pelajar nama Hasrizal ini. Dia kata biasiswanya digantung. You tahu ke?" tanya beliau sambil mencebikkan muka ke arah saya.
"Encik jangan nak main marah anak sindir menantu!" saya semakin meninggikan suara.
Asri yang menemani menepuk bahu saya meminta saya bersabar.
"Habis kamu nak apa?" tanya beliau.
"Nak apa? Encik dengar sini, saya sekarang di tahun akhir pengajian dan berusaha keras untuk segera balik kerana emak saya sakit. Tetapi surat encik telah menyebabkan sakit emak saya menjadi semakin teruk. Encik kena ingat, kalau apa-apa terjadi kepada emak saya, saya tidak akan lepaskan encik!" saya semakin marah.
Pegawai tersebut sudah mempunyai rekod kerja yang amat buruk. Beliau amat dibenci oleh kebanyakan pelajar.
Berita tentang kesan surat fitnah beliau terhadap emak saya benar-benar menjadikannya terkejut.
"Err, saya tidak sangka semuanya jadi seteruk ini. Beginilah Hasrizal, awak buat surat rayuan, saya akan beri sokongan kepada rayuan awak!" katanya, bagai mulut bercakap tanpa bersambung dengan akal.
"Wah sedapnya memberikan cadangan. Encik yang fitnah saya dan menyakitkan emak saya, sekarang encik pula nak ajar macam mana saya nak selesaikan benda ni? Encik pernah dengar kisah Syaitan mengajar Abu Hurairah Ayat Kursi untuk lawan Syaitan?" saya meletup.
"Awak cakap baik-baik sikit!" bentak beliau.
"No! Encik yang cakap baik-baik sikit. Saya tahu encik di Malaysia hanya cikgu sekolah. Selepas dilantik menjadi pegawai diplomat, kerajaan cakap 1 encik cakap 10! Ingat, encik ZALIM! Allah mengharamkan ZALIM ke atas Diri-Nya dan kita semua. Jangan aman dari amaran Allah!" saya bangkit dan meninggalkan pejabat beliau.
Tangan menggeletar. Terasa bagai hati dihiris sembilu, menengking seorang lelaki tua berpangkat bapa kepada saya. Tetapi tuanya tidak mengingatkan dia kepada kubur yang panas untuk manusia yang berlaku zalim sesama manusia.
AZAB DUNIA
Kehidupan tanpa biasiswa amat memeritkan. Ketiadaan biasiswa di Jordan bukanlah sesuatu yang mampu dihadapi oleh mana-mana pelajar. Berbeza dengan negara seperti Mesir, Yaman atau Syria, taraf hidup yang tinggi di Jordan amat memerlukan kepada sumber kewangan dan penggantungan biasiswa saya, mirip kepada hukuman mati ke atas saya kerana soal makan minum, tiada lagi rujukan dan jalan keluarnya.
Ia sebuah kecelakaan.
Hukuman ke atas saya, dan ugutan ke atas pelajar lain.
Namun, dalam sakit yang mendalam itu, saya bertuah kerana mendapat sokongan keluarga.
"Tak apalah, Rizal. Ustaz Ishak Baharom yang baik dan lemah lembut itu pun dipecat!" kata abang saya menerusi telefon.
Air mata saya bercucuran. Pelbagai perasaan menyelubungi jiwa dan raga saya. Hilang selera makan, saya dilanda kemurungan.
Kebetulan, Kejadian Mufti Selangor dipecat kerana kes pertandingan ratu cantik pada tahun 1997 itu sangat banyak membantu. Keluarga saya menganggap era ini adalah era orang agama ditindas dan dizalimi. Saya salah seorang daripadanya.
Bonda sekeluarga di Malaysia terus berusaha berbincang dengan pihak penaja. Selama siasatan berlangsung, biasiswa saya terus digantung.
Sudah masuk tujuh bulan saya hidup terumbang-ambing di Jordan. Satu demi satu barang milik saya terpaksa saya jual untuk menampung belanja. Radio, televisyen, meja dan kerusi mengulangkaji pelajaran, almari, rak buku, lampu, walkman, katil dan hampir segalanya.
Ketika masuk musim sejuk 1997, harta yang tinggal bersama saya hanyalah sebuah sleeping bag, sebuah beg pakaian berisi kain baju saya, dan ratusan buku yang disusun di tepi dinding rumah sewa kerana rak buku itu juga terpaksa dijual. Kesejukan musim sejuk amat memilukan. Demi Allah, buku-buku yang mengepung tiduran saya itulah yang banyak membantu saya mengawal diri.
TITIK TERENDAH
Saya sebagai pelajar berbiasiswa, membayar portion yang lebih sedikit untuk sewa rumah. Ketidak mampuan saya untuk membayar sewa apatah lagi belanja dapur, amat membebankan rakan-rakan ketika itu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpindah dan menumpang tinggal di rumah kawan-kawan dari Turki.
"Kami nak tolong dengan wang, keupayaan kami juga terhad. Tetapi anta pernah berkata dahulu yang anta mencari ketenangan dengan memasak. Apa kata, anta jadi tukang masak di rumah kita!" kata Cenksu kepada saya.
Dia banyak mengajar saya resepi masakan Turki. Kini, kemahiran itu besar gunanya. Saya berpindah ke rumah pelajar-pelajar Turki itu. Perkenalan lebih setahun dengan mereka, membina ukhuwwah yang amat tinggi nilainya dalam hidup ini.
Hasan, Mustafa, Cenksu, Arif, Said… mereka berdiri teguh menguatkan semangat saya.
[image error]
Saya dan Ustaz Hasan yang banyak menyuntik semangat. Di rumah inilah saya memencilkan diri mencari kekuatan untuk bertahan
"Hasrizal… yakinlah, ini pelajaran dari Allah yang hanya diberikan kepada hamba yang dipilih-Nya" kata Ustaz Hasan sambil memeluk saya.
Bagai anak kecil, saya menangis dalam pelukan sahabat. Terasa sempitnya dunia, hingga tidak mampu untuk keluar rumah, bersemuka dengan sesiapa.
DALAM SEPI
Pagi itu, saya menghantar rakan-rakan ke pintu rumah. Mereka pergi ke kelas. Saya yang sudah menyelesaikan semua coursework, hanya duduk di rumah untuk mengulangkaji dan menghafal al-Quran.
Namun pagi itu perasaan hiba amat memuncak.
Saya duduk di tingkap merenung rumah berkotak-kotak yang bagai lautan menghiasi seluruh pandangan mata saya. Bau pasir yang basah disimbah hujan, amat menyegarkan. Namun dada saya bagai ditekan dengan batu yang tidak kelihatan.
Kitab al-Asas fee al-Tafseer karangan Said Hawwa saya buka. Terpana membaca firman Allah Subhanahu wa Ta'aala:
[image error]
"(Orang-orang Munafiq), merekalah yang mengatakan: "Janganlah kamu beri nafkah kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka dengan tekanan itu mereka berpecah belah dan bercerai berai". Padahal bagi Allah jualah segala khazanah langit dan bumi, ; akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak mengerti." [al-Munafiqun 63: 7]
Kata Sheikh Said Hawwa dalam menafsirkan ayat ini, "strategi melaparkan pejuang-pejuang Islam, adalah pendekatan kaum munafiq zaman berzaman!"
Mata saya berkaca-kaca. Terima kasih Allah, menemukan saya dengan kalam-Mu yang besar ini tepat pada masanya.
TUHAN YANG RAZZAAQ
Saya ternampak seekor burung di hujung dahan.
Di paruhnya ada seekor rama-rama, rezeki untuknya dan mungkin untuk anak-anaknya yang menanti di sarang.
"Allah, selama ini aku menanti rezeki datang kepadaku. Mungkin aku harus menjadi seperti burung itu yang tidak kalah dengan misteri rezeki setiap hari. Sesungguhnya belajar tentang-Mu sebagai Tuhan yang Razzaaq di bilik kuliah, tidak sama dengan merasakan sendiri bahawa Engkau benar-benar Tuhan yang Razzaq!" saya mengesat air mata dengan hujung lengan jubah yang kusam.
Saya kembali ke bilik.
Pintu dikunci.
Saya membuka laci.
Sepi pagi itu pecah oleh jeritan saya, "ALLAAAHHHHH!"
Saya mahu melepaskan rasa yang terbuku di dada. Wang hanya tinggal 20 Qirsh… tidak sampai seringgit. Untuk meminta dari keluarga, tidak sekali-kali.
Saya yang memilih jalan ini.
Saya harus menguruskannya sendiri.
Dalam hening pagi, saya membelek foto-foto lama di zaman persekolahan. Foto keluarga. Abah dan emak, abang-abang di kampung halaman. Saya kucup foto kami di lapangan terbang, sejurus sebelum saya memulakan kembara ini.
Kembara yang tidak pernah dibayangkan akan menjadi seperit ini.
PAGI YANG MEMBAWA SINAR
Ting tong!
Loceng rumah berbunyi. Ada seseorang di luar. Jarang sekali rumah itu dikunjungi tetamu. Pelajar Malaysia pun sudah agak lama tidak saya ketemu. Masih terasa dengan perbualan saya bersama seorang senior di kauter bas Hijazi di Stesyen Bas 'Abdali.
"Ana terbabit dalam jawatankuasa memorandum tempoh hari adalah hasil keputusan mesyuarat. Sekarang ini biasiswa ana digantung. Ana nak tahu macam mana pendirian persatuan bila kejadian seperti ini berlaku" saya mendesak pendirian beliau.
"Oh, kejadian ini berlaku atas kapasiti peribadi anta. Mungkin anta yang tak pandai bersiasah. Jadi kami tak boleh buat apa-apa!" katanya dengan wajah yang sungguh tulus memaksudkan perkataan itu.
Saya terasa seperti mahu menumbuk mukanya.
Tetapi saya kawal kemarahan, dan segera beredar, menjauhkan diri dari segala sumber kemarahan, ketika emosi saya begitu rapuh.
"Assalamualaikum!" terdengar suara yang saya kenal di luar sana.
"Waalaikum al-Salaam. Ustaz Misbah ya?" saya membuka pintu.
Kami berpelukan.
Alhamdulillah, ada juga teman yang masih ingatkan saya.
"Bagi pasport anta kepada ana!" kata Ustaz Misbah.
"Eh, nak buat apa?" saya terkejut. Masih trauma dengan insiden penahanan pasport di pejabat pegawai tersebut lama dulu.
"Ana nak bawa anta pergi Haji!" jelas Ustaz Misbah.
"Ana tak ada duit la, Ustaz! Manistathoo'a ilayhi Sabeela tu ana tak cukup syarat!" saya menolak dalam perasaan hati yang berbelah bagi.
"Eh, tak payah. Free of charge. Semua ana tanggung. Sampai di Mekah nanti, kita cuba cari kalau-kalau ada orang nak bagi upah buat Haji!" beritahu Ustaz Misbah.
Saya tidak mampu berkata-kata.
Segera memeluk Ustaz Misbah.
"Inilah yang paling ana perlukan, ustaz. Ana nak 'jumpa Allah'. Ana dah terlalu lemah sekarang ini!" saya menahan rasa.
Kebelakangan ini, saya begitu mudah menangis. Rasa diri terlalu rapuh. Fragile!
BERTAMU DI TANAH HARAM
[image error]
Ini musafir ketiga saya ke Mekah. Sekali untuk Umrah dan kemudiannya ibadah Haji.
Istimewanya, kali ini saya pergi tanpa sesen pun di dalam kocek. Benar-benar pergi bagai orang merangkak menyahut panggilan Nabi Allah Ibrahim.
[image error]
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan 'ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." [al-Hajj 22: 27]
Di sepanjang perjalanan selama 26 jam itu, saya banyak mendiamkan diri. Merenung jauh-jauh ke padang pasir, melihat luasnya dataran berdebu yang terbentang, agar saya dapat menikmati rasa Besar dan Agungnya Allah.
Kami tidak singgah di Madinah, sebaliknya terus ke Miqat, berniat Ihram dan segera menuju ke al-Masjid al-Haram. Entah mengapa jantung saya berdegup kencang. Rasa tidak sabar untuk keluar daripada bas dan segera menuju ke sisi Kaabah. Kami tiba lewat malam. Selepas meletakkan beg di tempat sementara yang disediakan, saya segera masuk ke al-Masjid al-Haram. Hajat di hati mahu terus bertawaf, tetapi saya tersepuk di tangga menuju ke Telaga Zam Zam.
Menangis.
Ya Allah, malunya aku kepada Engkau. Dengan sekelumit ujian-Mu ini, sudah terasa imanku goyah dan nipis sekulit bawang. Bagaimana Khabbab yang terbakar belakangnya itu? Bagaimana Sumayyah yang mati di hujung pedang? Ya Allah, ampunkan kehinaan diriku, kelemahan diriku. Berikan aku kekuatan. Aku datang mencari-Mu, jangan biarkan aku tenggelam dalam perasaanku…"
Saya memungut segala kekuatan yang ada untuk melangkah. Tawaf disempurnakan dengan tangisan. Tangan kanan memegang mushaf, tangan kiri menekan dada. Dalam sebak dan beratnya perasaan yang membelenggu diri, sedikit demi sedikit saya beroleh ketenangan dan kekuatan.
Selesai bersa'ie dan bertahallul, saya termenung di tangga Masjid.
Beberapa hari berikutnya, saya isikan dengan munajat kepada Allah, mencari kembali diri yang dulu.
KEMENANGAN ARAFAH
"Assalamualaikum emak. Rizal ni. Ada di tepi al-Masjid al-Haram," saya menelefon emak.
"Waalaikum al-Salaam. Hah, emak baru teringat-ingatkan kamu. Jamnul ada beritahu pesan kamu, kata kamu pergi ke Mekah ya" kata emak saya. Suaranya agak bertenaga. Ceria.
"Ya, emak. Rizal minta maaf tak sempat nak beritahu sendiri. Bertolak mengejut kelmarin. Pagi esok ni Rizal dah nak bertolak ke Arafah. Esok Wuquf di sana. Rizal nak minta ampun. Rizal minta maaf sebab selalu menyusahkan…" saya tidak mampu menghabiskan ayat. Menangis lagi.
Terdengar juga emak teresak-esak jauh di sana.
"Emak nak beritahu kamu sesuatu" kata emak, memutuskan tangisan saya.
"Apa dia, emak?" saya cuba untuk fokus kepada suara emak dalam hiruk pikuk kedai gunting rambut menjerit-jerit memanggil jemaah yang baru selesai bertahallul di bawah sana.
"Pihak penaja berpuas hati dengan bukti-bukti yang kamu beri tempoh hari. Mereka jumpa laporan mesyuarat yang kamu hadir tu. Maknanya kamu bukan balik senyap-senyap, tetapi kamu ada bertemu penaja. Maknanya ia hanya fitnah. Jadi penaja yakin, semua pertuduhan lain juga adalah fitnah!" kata emak.
Ya, semasa saya pulang ke Malaysia beberapa tahun yang lalu, saya telah bertemu dengan pihak penaja untuk berbincang tentang hal ehwal kebajikan pelajar setajaan kami di Jordan. Mujurlah saya teringat akan mesyuarat tersebut. Ia merupakan bahan penting untuk membuktikan yang saya tidak pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan penaja, apatah lagi untuk terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang. Bukti itulah yang saya kemukakan dalam surat rayuan tempoh hari.
"Jadi?" saya tersenyum lebar.
"Kamu menang kes. Penaja akan arahkan bayaran tunggakan dibuat. Tahniah!" beritahu emak.
"Ya Allah!!!! Labbaikallaahumma Labbaik…!" saya menjerit kegirangan.
Musim Haji 1418, saya melangkah ke Arafah benar-benar dengan sebuah kemenangan.
Labbaikallaahumma Labbaik. Labbaikalaa Syareeka Laka Labbaik.
Innal Hamda wan Ni'mata Laka wal Mulk.
Laa Syareeka Lak!
Di musim haji itu, saya tidak berjaya mendapatkan upah haji. Tetapi saya dikejutkan dengan kutipan derma yang dibuat oleh teman-teman saya di UK, dan mereka mengirimkan sejumlah wang buat menampung perbelanjaan saya. Derma tanda persahabatan itu diserahkan kepada saya di bumi Arafah.
"Ya Allah… kau saksikanlah harga ukhuwwah dalam perjuangan ini!" saya mengangkat tangan berdoa tinggi-tinggi di pinggir Masjid Namirah.
SEKEMBALINYA DARI HAJI
"Hah, kamu! Kamu pergi Haji ke?" bentak pegawai tersebut apabila melihat saya datang ke pejabatnya.
Mungkin terkasima melihat kepala saya yang botak.
"Ya!" saya menjawab ringkas.
"Mana kamu dapat duit?" tanya beliau. Masih belum sembuh dari egonya.
"Aih, encik ingat, rezeki encik yang bagi ke? Saya ada Tuhan, tau!" saya menjawab, juga dengan sindiran.
"Apa kamu nak?" soal beliau lagi.
"Tak ada, saya datang ni sekadar nak beritahu encik. Orang-orang yang dizalimi seperti saya ni, apabila berdoa kepada Allah di tepi Kaabah, fikir-fikirkanlah apa yang didoakannya!" saya segera ke pintu, meninggalkan pegawai tersebut yang terpinga-pinga.
Saya segera menuju ke Bank untuk mengambil wang saya yang sudah setahun tertangguh.
Kejutan rupa-rupanya masih belum berakhir. Biar pun usia perkhidmatan pegawai itu tidak panjang, kesan perbuatannya mengheret saya ke belenggu hidup yang hampir memusnahkan segalanya. Penggantungan biasiswa, hanya sebuah permulaan.
[image error]
"Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar" [Al-Baqarah 2: 155]
KEMBALI KE GREENOCK
"Mr. Abdul!" suara di tingkap kecil kedengaran.
"Yes!" saya tersentak.
Bingkas bangun mengikut arahan.
"Is everything ok?" tanya seorang pegawai. Bukan Michael.
"Hmm. I'm ok. Thanks for asking. Why? Is there any news about me?" saya tidak dapat menyembunyikan keresahan.
"No. Nothing. This doctor wanna ask you a question" kata pegawai itu lagi.
"Mr. Abdul. Do you have any feeling of committing suicide?" tanya seorang doktor yang hadir bersama.
"What? Of course not!" saya terkejut. Sudah dua kali soalan yang sama ditanya.
"Ok then. Thank you!" doktor berkenaan membuat sedikit catatan dan beredar bersama pegawai penjara terbabit.
Tahanan kembali sepi.
Selepas 'hukuman gantung di Jordan', malam ini saya merengkok sebagai tahanan di Scotland.
Terpenjara di dalam sebuah perjalanan.
Yang tiada kesudahan…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Nukilan asal 21 Mei 2009
January 8, 2012
Terbanglah Kalian Dengan Seribu Harapan
"Di dalam Al-Quran, Allah perincikan bagaimanakah keadaan Syurga dan Neraka. Apa makanan penduduknya, rutin kehidupan, rumahnya bagaimana, temannya siapa, apa perbualan sesama mereka, apa doa mereka, apa rintihan mereka, apa kegembiraan mereka, semuanya diperincikan" saya memulakan pengisian.
Slot Fiqh of Travellers diberikan kepada saya sebagai amanah untuk dibentangkan kepada peserta.
Mereka bakal melanjutkan pelajaran di dalam pelbagai bidang, ke Australia dan New Zealand.
"Semuanya untuk membantu kita melihat destinasi yang bakal dituju dengan jelas. Agar dengan gambaran itu kita lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk berusaha sampai kepadanya, dan cukup gerun serta bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada destinasi yang salah. Demikianlah perihalnya dengan FLY HIGH ini" saya menyambung lagi.
Cuma saya berharap agar jangan lambakan maklumat yang dikongsi menjadikan kita kurang adventurous. Semuanya sudah diketahui, hingga kurang peluang untuk elemen-elemen surprise menjadi rencah perjalanan.
TAHUN KEENAM
Penceramah veteran.
Gelaran paling tepat pada mengungkapkan pembabitan saya di dalam program Fly High.
Semenjak lebih enam tahun yang lalu, peluang ini jarang sekali saya lepaskan.
Berwacana bersama para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke luar negara adalah peluang yang amat besar maknanya. Mereka berada di persimpangan, jiwa penuh harapan, perjalanan penuh tandatanya, rasa bergantung yang tinggi, kesemuanya itu menjadi tenaga yang mesti dibentuk dengan betul.
Beralih daripada dunia sekolah ke dunia universiti, apatah lagi jauh di perantauan, saya melihat mereka semua sebagai bakal pencorak masa depan Malaysia. Justeru, alat-alat kehidupan dan pandangan yang selengkap mungkin perlu dibekalkan, demi mengejar cita-cita membangunkan Malaysia Baru.
Hanya yang belum tercapai adalah impian untuk melihat program yang sama, dijalankan untuk para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di bidang Pengajian Islam. Ke Mesir, Jordan, Yaman, Syria, Arab Saudi….
Mengimbas kembali perjalanan hidup saya di usia mereka pada tahun 1993, sesungguhnya usai menyampaikan 4 jam kuliah, saya lepaskan mereka dengan lafaz, seeru 'ala barakatillah…
Tahniah INTELEK!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
January 5, 2012
VLOG: Hujung Akal Pangkal Agama
January 2, 2012
Akhirnya Aku 'Abdullah'
[image error]
HMP Greenock, Glasgow, Scotland
"Are you straight or gay?" tanya Pegawai Penjara.
Saya tergamam.
Apabila penjara di negara Barat disebut, bab inilah yang paling menakutkan.
"Straight!" saya menjawab.
Pegawai tersebut terus mencatat. Biodata saya diambil dengan selengkapnya. Satu demi satu soalan ditanya.
"You're Moslem?" soalnya lagi.
"Yes. Alhamdulillah" saya membalas jawab.
"Sunni or Syi'i?" beliau menyoal soalan seterusnya.
Terkejut.
"Why do you ask that?" saya terkejut dan berminat untuk tahu mengapa soalan itu ditanya.
Pegawai tersebut menjelaskan bahawa dia akan pastikan Sunni tidak duduk dalam satu sel dengan Syiah. Biar sebilik dengan Kristian, atau sesiapa sahaja. Tidak mahu menimbulkan sebarang rasa tidak selesa, atau risiko mencetuskan masalah kerana bagi mereka, Sunni dan Syiah mesti dielak daripada 'dikurung dalam tekanan' di dalam tahanan.
Teliti.
"Open your shirt!" kata pegawai yang seorang lagi.
Saya membuka baju melayu biru yang dipakai. Melipatnya dan meletakkannya di meja samping.
"Stand there!" beliau mengarahkan saya berdiri di sebuah 'tapak' lapang.
Hati berdegup kencang, merayu kepada Allah bahawa selepas berada di dalam tahanan, janganlah 'harta' yang satu ini diragut sama. Maruah dan harga diri. Saya takut jika saya diarahkan berbogel. Tidak tahu apa yang hendak dijangka.
Pegawai HMP Greenock itu memancutkan air kepada saya dengan hos seperti yang digunakan oleh bomba. Tekanan air yang begitu kuat menyebabkan saya hampir rebah. Tambahan pula saya sudah lebih 24 jam tidak menjamah apa-apa makanan. Pancutan itu adalah untuk membersihkan saya. Seketul sabun kecil tanpa bau diberikan kepada saya dan ia diarahkan untuk digunakan pada membersihkan badan sambil beliau terus memancutkan air tersebut.
"Take these clothes and change them in that room. Wait until release" kata pegawai tersebut.
Saya diberikan pakaian seragam penjara. Sehelai t-shirt berwarna hijau pekat. Syukur, ini bukan zaman baju belang lagi. Mendapat sepersalinan, saya diarahkan masuk ke sebuah bilik yang sangat kecil. Dinding, lantai, bumbung dan seluruh bilik sebesar bilik air pesawat itu berwarna merah jambu.
"Inikah 'The Pink Room' yang selalu disebut itu?" hati saya bermonolog.
Selesai menukar pakaian, saya berdiri termenung di dalam bilik itu. Warna merah jambu terang itu agak menekan. Ia melemahkan semangat saya dan terasa bagai 'dirasuk' untuk pasrah.
"Hasrizal, apa yang terjadi kepada dirimu?" saya bertanya kepada diri.
Pelajar cemerlang, anak yang baik, naqib usrah, penceramah, imam, dan sekarang saya tersumbat di dalam penjara. Apa yang sedang berlaku?
TITIK TERENDAH KEHIDUPAN
Tanpa sedar, pipi saya basah dengan linangan air mata. Ada satu perasaan ganjil semasa itu. Seperti buat pertama kalinya dalam hidup, saya sudah tidak memiliki apa-apa selain diri ini dan Allah. Dapat merasakan bahawa susuk tubuh di Bilik Merah Jambu itu tidak lebih daripada sekadar seorang Abdullah. Hamba Allah!
"Siapa kamu mahu memilih bentuk ujian yang datang?" saya menyoal diri.
Kita mengimpikan ujian yang berbau pahlawan. Ditahan kerana demonstrasi. Dibuang daerah, dipecat… semua itu menyakitkan. Tetapi kesannya boleh menjadikan kita perwira. Dikenang sepanjang masa. Nanti inspirasi hukuman ke atas kita menyebabkan semua orang mahu menjadi kita.
"Kulluna Marwan!" antara slogan di Jordan dahulu.
Semua mahu jadi Marwan. Mahasiswa University of Jordan yang terbunuh syahid di Palestin.
Siapa mahu jadi Hasrizal? Tahanan penjara HMP Greenock kerana visa tamat tempoh. Sungguh mengaibkan!
"Tetapi bukankah Nabi Ayyub alayhi al-Salaam begitu? Ujian ke atasnya bukan penindasan pemerintah yang zalim. Hanya penyakit kulit. Tiada kena mengena dengan perjuangan. Lebih berat daripada itu, sakit kulit yang menyebabkan isteri dan anak-anak menjauhkan diri! Itulah ujian Allah ke atas seorang Rasul, yang hakikatnya masih seorang hamba kepada-Nya" saya bercakap sendirian.
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani." [Al-Anbiya' 21:83]
Dinding merah jambu meneman kegusaran dan sepi.
Saya sangat menyayangi pengalaman membasuh pinggan di London. Tok Din pernah beritahu, kerja di London ni peluang belajar mengenal manusia. Tetapi bagi saya, ia bukan sekadar peluang belajar mengenal manusia, sebaliknya juga belajar menjadi manusia. Basuh mangkuk tandas, kena maki dengan Melayu sombong yang datang makan di Kantin Malaysia Hall… pahit tetapi mujarab untuk 'menjatuhkan diri'. Jatuh ke tanah, sesuai dengan hakikat diri.
Rupa-rupanya Allah mahu saya jatuh lebih lagi. Tidak cukup terduduk, perlu tersembam.
Bukan mudah mahu menyedarkan diri bahawa engkau hanya Abdullah. Hamba Allah!
"Mr. Abdul, come out here!" pegawai penjara memanggil saya keluar. Pintu The Pink Room dibuka.
Menggeletar kesejukan, saya menyerahkan baju Melayu dan seluar yang basah. Saya diberikan sehelai seluar lain bersama t-shirt hijau berkenaan.
"Take these clothes, go upstairs, Level Four. Officer Michael is waiting for you there!" arah pegawai tersebut.
Saya mengutip seluruh semangat yang berbaki untuk melangkah menaiki tangga yang terletak betul-betul di tengah ruang terbuka blok penjara tersebut. Melangkah perlahan menaiki tangga, mulut saya berselawat dan berdoa sebanyak-banyaknya.
Kelihatan sekumpulan tahanan yang sedang bermain ping-pong memberhentikan permainan mereka. Memerhatikan saya. Tahanan-tahanan lain juga begitu. Kesemua mereka yang berjumlah ratusan orang itu memerhatikan saya. Dewan terbuka yang tadinya agak riuh rendah, sepi seketika. Ia membina tekanan yang maha dahsyat ke atas diri saya. Terasa perit di dada.
"Ya Allah, hanya Engkau tempatku bergantung" saya memohon kekuatan.
Satu demi satu anak tangga dipanjat.
Officer Michael sudah menampakkan wajahnya dari atas.
Tersenyum melihat saya.
"Ahh, mengapa empat tingkat ini terasa begitu tinggi?" saya geram di dalam diam.
'SELAMAT DATANG'
"Welcome!" Officer Michael menghulurkan tangan menjabat saya.
"Thank you!" saya membalas 'mesra'.
"I'm not sure how to say this. But I'm glad to tell you that you're the first Malaysian here in HMP Greenock. And I'm happy about it!" kata pegawai itu.
Wajah lelaki Scottish itu kelihatan tulus.
Suka saya masuk penjara?
Aduh, bingung seketika.
"Mr. Abdul, remember. You're not a prisoner! You're not a criminal. You're an illegal immigrant" kata pegawai itu.
Beliau menjelaskan begitu kerana tidak mahu saya mengheret beban yang salah ke atas diri. Saya ditahan kerana melanggar akta Imigresen dan bukannya kerana melakukan jenayah. Maka status di penjara juga tidak sama. Tetapi semua itu konsep. Hakikatnya, saya sekarang berada di balik tembok.
Beliau telah menghantar saya ke sel yang ditetapkan. Saya diberikan masa 20 minit untuk ke bilik mandi dan berada di luar sel sebelum pintu sel ditutup secara otomatik pada jam 4 petang.
Sungguh sukar.
Hendak mandi, hendak buang air, semuanya perlu dilakukan di tandas yang tiada pintu. Mustahil!
Saya termenung di dalam sel.
Cellmate saya berbangsa Cina. Beliau kelihatan seperti tidak suka dengan saya. Tanpa berlengah, tahanan itu tiba-tiba batuk teruk dan memanggil-manggil pegawai penjara.
"Infectious! Infectious!" kata tahanan itu.
Dia menjadikan alasan bahawa beliau tidak mahu batuknya berjangkit kepada saya.
"He doesn't like you being with him. I get you another cell!" Officer Michael membantu.
Entah mengapa, saya rasa pegawai itu amat bersungguh membantu saya. Terasa keikhlasannya.
Saya kemudiannya ditempatkan di sel lain bersama seorang tahanan dari Afrika. Tanpa senyuman atau apa-apa reaksi, beliau bersandar di katil atas memerhatikan saya.
Seminit dua sebelum pintu sel ditutup, seorang doktor datang menemui saya.
"Do you have any feeling to attempt suicide?" tanya doktor tersebut.
"What???" saya terkejut.
"Do you have any feeling to attempt suicide?" beliau mengulangi soalannya.
"Of course not!" saya menjawab tegas.
"Ok. Thank you!" balas doktor tersebut.
Selepas mencatatkan sesuatu di fail yang dibawa di tangannya, doktor itu beredar.
Tepat jam 4, Officer Michael menjerit mengumumkan penutupan pintu sel. Semua tahanan sudah pun berada di dalam sel masing-masing.
Tangggg!
Saya berada di dalam kurungan.
Sepi…
Menyambut ketibaan senja menuju Maghrib dan gelap malam.
Segelap pandanganku mencari sinar di hujung jalan.
"Ya Allah, aku ingin semula memperkenalkan diri.
Namaku 'Abdullah'…
Aku hamba-Mu!'
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
January 1, 2012
Sindiket Bonsai!
Nak kata tidak berbuah, ia berbuah.
Malah bunga pun sama indah.
Cukup semua sifat.
Hidup dan bukan mati.
Pasaran juga meletakkan harga yang sepadan.
Mahal!
Tetapi buahnya tidak boleh dimakan.
Bunganya indah tapi tidak ada debunga.
Biar pun dijaga, dibela dan dibelai, hakikatnya ia adalah BONSAI.
Hiasan.
Hidup dalam pasu kecil, pasu yang mengecilkan hidup.
Hapuskan sindiket membonsai MAHASISWA NEGARA!
Abu Saif @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Apakah Ada Lagi Ketakutan Yang Menanti?
[image error]
"Imam, jangan balik ke Jordan dahulu. Tiada orang nak mengimamkan Solat Hari Raya Aidiladha" kata Jamal.
Saya termenung seketika.
Hati memang berat mahu ke Jordan. Tetapi saya wajib ke sana. Tahun ini adalah tahun terakhir untuk saya mencuba. Jika saya gagal melepaskan diri daripada pengajian, maka 8 tahun perjalanan menjadi sia-sia. Malah perlu membayar hutang pengajian mencecah ratusan ribu ringgit.
Kelas sudah tiga tahun selesai.
CGPA sudah tercatat.
Hanya ujian hafalan al-Quran. 2 juzuk sudah selesai. Hanya tinggal 4 juzuk yang berbaki.
HANYA, sebuah perkataan yang penuh bebanan. Ia bukan sebarang HANYA.
"Tetapi saya perlu ke Jordan segera" saya membalas lesu.
"Bila peperiksaan al-Quran Imam?" Jamal bertanya lagi.
"Insya Allah bulan Jun" saya memberitahu.
"Oh, masih lambat lagi. Ada lagi hampir dua bulan" Jamal tersenyum. Berseloroh.
"Dua bulan untuk menyemak 4 juzuk. Sangat sedikit. Saya dah tua!" saya menjawab sambil menyemak kertas jawapan peperiksaan murid Belfast Islamic School.
"Hafalan Imam sudah baik. Hanya musibah demi musibah yang menghalang Imam hadir ke peperiksaan" ujar Jamal. Beliau tahu apa yang telah dan sedang saya alami.
"Kalaulah saya ada duit, tentu saya akan tunggu di Jordan, biar pun terlepas tempoh ujian yang saya sasarkan. Apakan daya, duit habis kepada kemalangan dan pembedahan tahun-tahun lalu" saya mengeluh.
"Insya Allah kali ini boleh. Tapi bolehlah ya. Tolong imamkan solat kami. Susah nak cari Imam. Lagi pun, bukankah Allah sudah berjanji Intansurullah yansurkum!" usik Jamal.
"Bukan apa, visa saya pun sudah hampir tamat. Kalau tunggu sampai Aidiladha, sebaik sahaja selepas raya, saya mesti SEGERA terbang ke Amman" saya menyatakan kerisauan utama. Overstay adalah perkara terakhir yang saya mahu ia berlaku ke atas diri ini.
"Jika kamu menolong Allah, Allah pasti akan menolong kamu….." ayat 7 Surah Muhammad itu terngiang-ngiang di telinga.
Puas Jamal memujuk. Akhirnya saya mengalah.
SELESAI AIDILADHA
"Allahu Akbar!" saya tergamam.
"Kenapa?" Min bertanya.
"Flight penuh. Waiting list pun tak boleh!" saya memberitahu.
"Habis, macam mana ustaz?" Min turut resah.
"Next flight baru boleh confirm" saya merenung tiket pulang ke Amman dengan penerbangan Olympic melalui Athens di Greece itu.
"Oklah tu. Masih sempat mengejar peperiksaan" kata Min lagi.
"Masalahnya, penerbangan berikutnya itu, dua hari selepas visa tamat!" saya rasa lemah. Terduduk.
"Berat tu!" balas Min.
Kami sama-sama terdiam.
Saya nekad. Bersama risiko yang ada, saya bermusafir ke London dengan menaiki bas dan kapal dari Belfast. Mahu mencuba nasib, kalau-kalau ada rezeki untuk menukar penerbangan andai diuruskan di kaunter berbanding melalui telefon.
Di London, ikhtiar saya bertemu jalan buntu. Saya segera pulang ke Belfast untuk mengambil barang dan bersiap untuk berlepas ke Amman.
"Sheikh, singgah Manchester sekejap. Ada tok-tok guru kita singgah" ujar seorang teman yang mendapat tahu perjalanan saya.
"Hmm… singgah sekejap sahajalah. Ana nak segera ke Belfast ambil baju. Ni pun ada sehelai kain pelekat sahaja di dalam beg" saya menjawab.
Singgah sebentar di Manchester, saya kemudiannya mengambil bas petang untuk meneruskan perjalanan ke Belfast. Hati berdebar-debar juga, walaupun saya tahu di Lapangan Terbang England, untuk keluar meninggalkan negara tiada Imigresen yang akan merekodkan tarikh kita keluar. Tetapi ia bukan kesempatan untuk overstay. Ia tetap satu kesalahan.
Sepanjang perjalanan, hati saya resah.
"Ya Allah, ini peluang terakhirku. Lepaskanlah aku daripada beban ini. Aku ingin berjuang dan berbakti. Tetapi sudah 8 tahun aku terperangkap. Aku hamba-Mu yang lemah. Tolonglah aku" saya bermonolog sendirian. Wajah sengaja saya pekupkan di dinding bas yang sejuk. Ada air mata panas bertakung, tumpah daripada sekeping hati yang bingung dan sepi.
Terbayang wajah emak di kampung.
Teringat pelukan emak di Subang.
"Empat tahun sahaja emak!" saya berkata.
Lupa menyebut Insya Allah.
Kini sudah masuk tahun kelapan. Saya masih di awangan.
KEJUTAN DI CARLISLE
Saya baru sahaja melepasi bandar Carlisle.
Tinggal sejam sahaja lagi sebelum tiba di pelabuhan Stranrae. Saya mahu ke Belfast mengambil baju dan kelengkapan, sebelum berlepas ke Amman esok. Insya Allah.
Tiba-tiba jantung saya bagai hendak meletup.
Tergamam.
Ya Allah!
Di persimpangan keluar lebuhraya, bas yang saya naiki ditahan oleh sebuah road block.
Polis?
'JPJ'?
Allahu Akbar. Bagai petir menyambar kepala… Imigresen!
Seluruh tubuh saya menggeletar.
Tamatlah hidupku!
Allah!
Dosa? Kaffarah? Musibah? Mehnah? Apa semua ini?
"Can I see your passport, mate?" pegawai itu meminta.
Tangan saya menggeletar menyerahkannya.
Pegawai itu membelek dan memerhatikan muka saya. Renungannya tajam.
"Your visa is expired! Yesterday!" katanya sambil menunjukkan muka surat yang dirujuk.
"I know. I'm leaving tomorrow. This is my flight ticket. Confirmed!" saya memberi penjelasan.
Jantung berdegup kencang. Berdoa…
"Unfortunately, we have to arrest you!" kata pegawai itu, tegas.
Inna Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji'oon.
Hidup saya musnah!
Saya dibawa masuk ke sebuah van. Seluruh barangan saya dirampas termasuk jam tangan dan telefon bimbit. Air mata mengalir, penuh sesal, kesal.
Jika saya ditakdirkan masuk penjara, biarlah kerana perjuangan. Biarlah kerana sesuatu yang berbaloi. Bukan kerana visa tamat! Ia memalukan. Tiada makna!
Saya dibawa bersama dengan beberapa orang lagi tahanan lain ke Lokap di Balai Polis Stranrae. Di situ, saya dikurung di dalam sebuah bilik berseorangan. Tiada tingkap, tiada cahaya. Saya hilang deria untuk mengenal masa. Cuaca juga amat sejuk. Saya hanya dibekalkan sebuah tilam getah di lantai bersama selimut guni.
"Ya Allah, tolonglah aku!" hati saya merintih.
Badan terasa lemah mengerjakan solat. Qiblat entah ke mana. Tetapi Allah sentiasa ada, bersama.
Dalam keadaan tubuh badan yang amat letih, saya cuba melelapkan mata. Cuba memendekkan masa. Mahu segera sampai ke penjelasan. Apa yang sedang berlaku.
Musa sudah hilang sabar mahu bertanya kepada Khidir.
Tetapi diri ini bukan Musa. Dan di hadapanku hanya dinding tembok empat penjuru.
Sepi…
KEESOKAN HARI
"Mr. Abdul, please come with me!" seorang anggota polis membuka pintu lokap.
Saya yang tidur bersandar di dinding selepas mengerjakan solat Subuh, bangun perlahan seperti yang diarahkan.
Matahari menyinsing. Nampak di dinding jam menunjukkan pukul 8 pagi. Ertinya saya telah ditahan di lokap itu selama 9 jam.
Saya telah dimasukkan ke sebuah van putih. Van itu agak unik kerana di dalamnya, saya dimasukkan pula ke sebuah bilik kecil, sebesar bilik air di dalam pesawat. Hanya ada sebuah tingkap kecil sebesar kotak rokok untuk saya melihat ke luar. Di situ saya termenung. Tiada apa yang mampu saya lakukan. Hanya berserah kepada Allah.
Ke mana saya dibawa?
Tiada jawapan.
Saya juga tidak bertanya.
Apa yang kelihatan, hanyalah pantai yang indah di sepanjang sisi lebuhraya. Keindahan yang tidak dapat menghilangkan taufan dan ribut di hati.
Terkenang wajah emak, wajah tunang, wajah keluarga, wajah sahabat-sahabat di Belfast.
Terbayang Universiti Mu'tah.
Terbayang wajah pensyarah-pensyarah.
Segalanya.
Selepas lebih dua jam perjalanan, van yang membawa saya berhenti. Tingkap kecil itu tadi juga telah ditutup dari luar. Saya tidak pasti berada di mana. Hanya yang kedengaran adalah bunyi dentuman pintu besar sebanyak dua kali. Bunyi yang saya tidak pernah dengar dalam hidup yang nyata.
Hanya di Green Mile!
Di Shawshank Redemption!
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ . وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" [Al-Baqarah 2: 155]
"Welcome to HM Prison, Greenock!" seorang pegawai penjara merenung tajam ke arah saya.
"Selamat datang ke Neraka!" itulah yang terdengar di telinga.
Allah…
Saya pasrah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
December 30, 2011
Travelogue Kemazhaban Budak London
[image error]
"Saya hilang keyakinan terhadap Abu Hurairah sebagai perawi hadith" kata Shah.
Saya terdiam.
Nash gelisah.
"Anta baca buku Tijani?" saya bertanya.
"Buku yang mana satu?" Shah menyoal kembali.
Pelajar Tahun 1 Imperial College itu sendiri berkerut dahinya. Gelisah dengan apa yang beliau sendiri percaya. Ragu barangkali.
"Buku Thummahtadaitu. Naskhah terjemahan UIAM dengan tajuk Akhirnya Kutemui Kebenaran tu" saya menjawab.
"Ya" jawab Shah. Perlahan.
"Apa buku yang anta pernah baca tentang Abu Hurairah?" saya menyambung pertanyaan lagi.
"Tak ada" jawabnya.
"Anta rasa adilkah anta meragui Abu Hurairah akibat kenyataan yang datang daripada musuhnya, sebelum anta mengenali Abu Hurairah itu siapa, berdasarkan keterangan insan-insan yang menggauli dan lebih dekat dengannya?" saya menyambung soalan.
Soal fakta satu bab.
Namun yang lebih perlu dijelaskan ialah kaedah mencari fakta. Usul ilmu itu sendiri.
"Letihlah ustaz. Banyak nak kena baca. Tapi buku Tsummahtadaitu tu sedap dibaca" Shah mengeluh.
"Anta pernah dengar tentang novel Émile, or On Education oleh Jean-Jacques Rousseau?" saya bertanya.
"Tidak" katanya.
"Novel itu mencetuskan fenomena dalam sejarah Eropah Moden. Ia adalah contoh bagaimana fakta disampaikan melalui sastera. Melalui bahasa Romanticism. Bukan sahaja faktanya diterima, malah ia menyuntik fikiran kepada orang Eropah ketika itu bahawa hidup bukan berasaskan kepada logik semata-mata. Unsur emosi juga boleh memandu manusia untuk membuat penilaian dan pertimbangan dalam kehidupan" saya sekadar berkongsi apa yang saya tahu.
"Maksud ustaz, Thummahtadaitu melakukan benda yang sama ke atas diri saya? Bermain dengan emosi saya?" soal Shah.
"Ya, mencapai akal melalui jendela emosi" saya membuat rumusan.
Buku Akhirnya Kutemui Kebenaran oleh Mohammed Al-Tijani Al-Samawi sangat popular di Malaysia. Ia hanyalah salah sebuah buku yang menyampaikan idea-idea Syiah yang terdapat di perpustakaan, namun amat popular di Malaysia, terutamanya selepas naskhah terhad terjemahan oleh UIAM tersebar dan berpindah daripada satu tangan mahasiswa ke tangan mahasiswa yang lain.
Kekuatan buku pengarang Tunisia bernama Muhammad al-Tijani al-Samawi ini ialah penyampaian fakta melalui teknik penceritaan. Kisah pengembaraan beliau bersama Mun'im, seorang pelajar Iraq yang ditemuinya di Mesir, telah membawa beliau ke bandar-bandar utama Syiah, menemukan beliau dengan ramai tokoh besar Syiah seperti Ayatullah Abul-Qassim Khoei (al-Khu'i), Sayyid Muhammad Baqir al-Sadr dan Tabatabaei. Penyampaian fakta melalui soal jawab sangat pantas menggerakkan diri pembaca untuk menyerap apa yang disampaikan.
Perjalanan hidup beliau membawa corak yang sama berlaku kepada ramai di kalangan anak muda kita yang mencari agama.
Seorang yang datang daripada masyarakat tradisional yang kuat pengaruh Sufi, teruja dengan perbahasan-perbahasan berasaskan dalil semasa mengerjakan Haji di Arab Saudi lalu menjadi 'Salafi'. Menyanggah pelbagai amalan dan pendapat yang melata di dalam masyarakatnya. Tetapi kemudiannya 'luka-luka' yang dicetuskan membekas hingga penemuannya dengan rakan bernama Mun'im semasa berada di Mesir, telah membawa beliau meninggalkan satu tebing, pergi ke tebing yang paling jauh di sudut sana.
Idea-idea tentang Abu Hurairah pengampu Bani Umayyah, secara selektif meriwayatkan maklumat tentang kredibiliti Abu Bakr radhiyallahu 'anhu, terjebak di dalam kronisme di era sahabat menggegarkan tiang berilmu dalam beragama setiap yang membaca Akhirnya Kutemui Kebenaran. Masakan tidak, sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith daripada Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam ini digambarkan sebagai seorang pendusta, tenggelam dalam hawa nafsu, yang kesemuanya disampaikan dalam pengolahan Travelogue al-Tijani ini.
Tanpa maklumat yang benar tentang siapakah Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, apakah rasionalnya sahabat yang lewat memeluk Islam dan meluangkan masa sedikit bersama Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam ini boleh meriwayatkan begitu banyak hadith, berdasarkan keterangan-keterangan Sunni yang bukan sahaja Sunni malah boleh diuji keabsahannya secara empirikal seperti yang terkandung di dalam Siyaar A'laam al-Nubalaa' oleh al-Imam al-Dzahabi, pembaca Thummahtadaitu meletakkan dirinya dalam kondisi yang berbahaya. Mental yang penat, emosi yang terangsang, seorang anak muda boleh lemas bukan dalam keyakinannya terhadap kebenaran ajaran Syiah, tetapi cukup dengan lemas dalam lautan keraguannya yang timbul daripada pembacaan itu.
PROPAGANDA SYIAH DI LONDON
Entah bagaimana, di tahun 1998, pergerakan Syiah begitu memuncak di United Kingdom.
Pelajar Malaysia yang gila clubbing itu sudah satu bab. Kini mereka yang mahu kepada Islam pula berdepan dengan ancaman. Ada rakan yang melompat daripada 'orang Tarbiah' gerakan Islam, kepada anti Sahabat, Syiah, dan akhirnya Nikah Mut'ah!
Risalah Cahaya Kebenaran yang diterbitkan oleh sekumpulan orang Melayu yang Syiah di sekitar London disebarkan secara percuma ke rumah-rumah pelajar Malaysia.
London yang pening dengan Muslim College di Ealing bersama idea-idea 'Islam Progresif'nya ketika itu, bertambah pening dengan Islamic College for Advanced Studies (ICAS) yang menjadi tempat mewacanakan Syiah di dalam kelompok akademik.
Tanpa asas agama yang kukuh, anak-anak muda yang bersemangat mendalami Islam, terkapai-kapai mencari model kepada sebuah idea tentang masyarakat Islam dan Negara Islam, kecewa dengan paradigma kelompok Sunni yang bergelumang dengan krisis, mendatangi Syiah untuk memenuhi inspirasi.
Dan buku Thummahtadaitu menjadi senjata yang cukup berkesan ketika itu.
PERJUANGAN DI LONDON
"Sebab itulah ana bermati-matian mendesak ustaz agar datang ke London. Jangan tinggalkan kami. Ancaman Syiah di kalangan kami bukan isu kecil" kata Nash yang diam semenjak tadi.
"Bukankah di UK ini ramai ustaz-ustaz yang buat Masters dan PhD?" saya bertanya.
"Apa yang boleh diharapkan daripada mereka kalau aduan kita dipandang remeh. Mereka menganggap ancaman Syiah di kalangan pelajar Malaysia dibesar-besarkan lebih daripada yang sebenarnya" keluh Nash.
"Dan saya salah seorang mangsanya!" sampuk Shah yang masih gelisah.
"Ana tidak sentiasa ada di sisi kalian. Ilmu pun tidak banyak mana. Cuma, antum sebagai pelajar Sains, antum sudah ada logik yang betul dalam mencari kebenaran. Setiap kenyataan memerlukan pembuktian. Bukti datang melalui penelitian terhadap rujukan. Di situlah kerja keras yang antum perlu lakukan" saya berkongsi pendapat.
"Bila masa nak membuatnya?" Shah bertanya. Lebih kepada diri sendiri.
"Habis, anta ingat ana mengaji Syariah dalam kursus intensif seminggu ke? Perjalanannya memang panjang. No pain, no gain!" saya bergurau.
Resah saya memikirkan pelbagai cabaran yang berada di hadapan mata mereka. Belajar Bible sebelum mahir al-Quran, Belajar Syiah sebelum mahir Sunni. Belajar Khilafiyyat sebelum mahir Fiqh, malah belajar mencabut skru-skru agama sebelum mahir beragama.
BERSEDERHANA
"Satu sahaja yang ana pesankan. Apa-apa pun, hatta pada menjadi Sunni sekali pun, hatta Salafi macam Nash ni pun, atau Sufi mahu pun Syiah, hendaklah bersederhana. Semasa jadi Salafi jangan asyik bid'ahkan semua orang. Nanti kita tersentak dengan pelbagai kemusnahan yang kita lakukan, pada masa itulah guilty conscious boleh mengheret kita mencari 'alternatif'. Sangat ramai Salafi tegar, kemudiannya melompat ke daerah yang dahulu diperanginya. Al-Tijani adalah salah seorangnya! Bukankah salah satu rukun istiqamah ialah 'jangan melampau'?" saya bercerita.
Memetik kembali tazkirah tafsir Surah Hud yang disampaikan tidak lama dulu. Bahawa beragama, perlu tenang dalam rasional. Jangan emosional mengatasi kewarasan berfikir. Itu yang membalut sikap melampau berkenaan.
"Ini buku apa, ustaz?" tanya Nash kepada sebuah buku di tangan saya.
"Oh, ini buku Khalid al-'Asqalani. Jawapan kepada buku Akhirnya Kutemui Kebenaran oleh al-Tijani itu!" saya menjawab.
"Apa tajuknya?" Shah ingin tahu.
"Bal Dhalalta. Bahkan Engkau Sesat!" saya menjawab.
Secara spontan, kami 'terketawa'. Ada kelucuan di sebalik tajuk buku itu.
London oh London.
Ia lebih daripada sekadar tempatku membasuh pinggan!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
December 29, 2011
Ujian Besar-besaran Server Saifulislam.Com
[image error]
Secara jujurnya saya hampir kelemasan dalam memikirkan solusi berkaitan server Saifulislam.Com
Demi memastikan para pengunjung dapat mengakses dan membaca isi kandungan blog ini, saya berusaha memindahkan server daripada satu hosting ke satu hosting, daripada Amerika Syarikat, pulang ke Malaysia dan menempatkannya di DATAKL dan kemudiannya EXABYTES.
Hijrah juga berlaku daripada server percuma, kepada shared server dan akhirnya ke dedicated server.
Bayaran juga berhijrah daripada percuma, RM150 sebulan hinggalah kepada RM850 sebulan.
Semuanya demi memastikan Saifulislam.Com terus bernafas.
Namun dalam sebulan dua ini, pelbagai masalah tercetus. Keterangan-keterangan yang diberikan oleh pihak hosting, tidak menggambarkan yang saya sedang menggunakan perkhidmatan dedicated server, malah tidak ubah seperti shared server berharga RM150 dahulu. Setiap hari selepas waktu pejabat, biasanya blog ini akan lumpuh dan alasan yang diberikan, tiada kakitangan yang bertugas pada waktu petang, malam dan dinihari, kecuali saya 'dipelawa' mengambil pakej yang mahal lebih sekali ganda.
Bantuan teknik yang dikerjakan bersama dengan sahabat saya sering menemui jalan buntu. Panggilan telefon dan emel tidak berjawab dan kami kebuntuan.
Saya dan rakan masih meneliti pelbagai alternatif lain termasuk cloud server serta CDN (Content Delivery Network).
Saya mohon kerjasama para sahabat untuk melayari halaman Facebook saya di facebook.com/hasrizalabduljamil atau di Twitter saya yang beralamat twitter.com/saifulislam untuk mengetahui perkembangan semasa terutamanya ketika halaman ini tidak boleh diakses.
Doakan saya dan kesejahteraan blog ini.
Erti hidup pada memberi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
December 28, 2011
Ujian Besar-besaran Server Saifulislam.Com
[image error]
Secara jujurnya saya hampir kelemasan dalam memikirkan solusi berkaitan server Saifulislam.Com
Demi memastikan para pengunjung dapat mengakses dan membaca isi kandungan blog ini, saya berusaha memindahkan server daripada satu hosting ke satu hosting, daripada Amerika Syarikat, pulang ke Malaysia dan menempatkannya di DATAKL dan kemudiannya EXABYTES.
Hijrah juga berlaku daripada server percuma, kepada shared server dan akhirnya ke dedicated server.
Bayaran juga berhijrah daripada percuma, RM150 sebulan hinggalah kepada RM850 sebulan.
Semuanya demi memastikan Saifulislam.Com terus bernafas.
Namun dalam sebulan dua ini, pelbagai masalah tercetus. Keterangan-keterangan yang diberikan oleh pihak hosting, tidak menggambarkan yang saya sedang menggunakan perkhidmatan dedicated server, malah tidak ubah seperti shared server berharga RM150 dahulu. Setiap hari selepas waktu pejabat, biasanya blog ini akan lumpuh dan alasan yang diberikan, tiada kakitangan yang bertugas pada waktu petang, malam dan dinihari, kecuali saya 'dipelawa' mengambil pakej yang mahal lebih sekali ganda.
Bantuan teknik yang dikerjakan bersama dengan sahabat saya sering menemui jalan buntu. Panggilan telefon dan emel tidak berjawab dan kami kebuntuan.
Saya dan rakan masih meneliti pelbagai alternatif lain termasuk cloud server serta CDN (Content Delivery Network).
Saya mohon kerjasama para sahabat untuk melayari halaman Facebook saya difacebook.com/hasrizalabduljamil atau di Twitter saya yang beralamat twitter.com/saifulislam untuk mengetahui perkembangan semasa terutamanya ketika halaman ini tidak boleh diakses.
Doakan saya dan kesejahteraan blog ini.
Erti hidup pada memberi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
December 27, 2011
PERMAI 2011 JAKARTA: "So Sweeettt!!!"
[image error]
Alhamdulillah. PERMAI 2011 sudah melabuhkan tirainya.
Kali ini Jakarta menjadi tuan rumah kepada persidangan ketiga mahasiswa Islam Malaysia seluruh Indonesia selepas Jogjakarta (2009) dan Bandung (2010).
Saya sekali lagi diberikan kepercayaan mengendalikan pengisian program selama 3 hari 2 malam ini selepas 7 Habits pada 2009 dan Mengertikan Kembali Islam dan Muslim pada 2010. PERMAI 2011 tampil dengan tema "Sebuah Baitul Muslim Buat Ummah: Begin with the End in Mind". "Wajarkah tajuk ini?" ada yang bertanya.
"Cinta?" sinis sebahagian pula.
"Bukankah Baitul Muslim mesti didahului pembentukan Sahsiah Muslim? Mengapa melangkah keutamaan?" ada juga yang menyoal begitu.
Hakikatnya, Baitul Muslim dan Individu Muslim tidak boleh dipisah. Individu Muslim adalah untuk membentuk Baitul Muslim dan Baitul Muslim adalah untuk melahirkan Individu Muslim.
Seperti kata John F. Kennedy, "The time to repair the roof is when the sun is shining!"
Masa untuk memperbaiki bumbung ialah ketika mentari masih bersinar. Malah belajar membuat bumbung perlu mendahulu perbuatan membina dan memperbaikinya. Elok benarlah di usia ini, dan tatkala PERMAI menjengah usianya yang ketiga, tema Baitul Muslim dipilih.
Di awal program, ada banyak video dan petikan kata yang indah.
"So sweeet!" tagline PERMAI kali ini.
Saya berusaha untuk membentangkan topik Baitul Muslim seluas mungkin.
3600.
Berikut adalah isi-isi perbahasan utama yang telah disentuh sepanjang tiga slot yang diberikan kepada saya:
SENARIO TOPIK
MEMENUHI FITRAH
MENYEMPURNAKAN SEPARUH AGAMA
TENAGA TIDAK BOLEH DIMUSNAHKAN
MENGEMBANGKAN TAMADUN MANUSIA
INDIVIDU MUSLIM – KELUARGA MUSLIM – INDIVIDU MUSLIM
KUASA 'CINTA'
MOTIVASI PERBUATAN
ALAT MELATIH IKUT ARAHAN
KUASA MEMAAFKAN
EMPATI DAN HIKMAH DAKWAH
ACUAN ALLAH
SYARIATULLAH: HUKUM HAKAM 'AGAMA'
SUNNATULLAH:
HARD SCIENCE
KESIHATAN
PEMAKANAN
KEPERLUAN FIZIKAL
SOFT SCIENCE
KOMUNIKASI
PSIKOLOGI
PARADIGMA
PEOPLE, PROCESS, PURPOSE
CINTA P.I.E.S
MENTERJEMAHKAN ASAS PERBUATAN MANUSIA
KEPERCAYAAN
PANDANGAN HIDUP
SISTEM NILAI
HAMBA – KEHAMBAAN – IBADAH
ISU-ISU SEMASA
KAHWIN SEMASA BELAJAR
CARA MENDAPATKAN JODOH
KAHWIN BERBEZA 'FIKRAH'
ISU SEKUFU DI AWAL DAN SEPANJANG PERKAHWINAN
BAGAIMANA 'APPROACH' IBU BAPA & BAKAL MERTUA
PERANCANGAN KELUARGA
MERTUA VS MENANTU
SEKSUALITI LURUS & SONGSANG
IMPLIKASI TEKNOLOGI (DIGITAL VS ANALOG)
KEIBUBAPAAN
BERLATAR BELAKANGKAN KELUARGA BAIK VS BERMASALAH
TEKANAN KERJA
FITNAH DI TEMPAT KERJA
PERKAHWINAN JARAK JAUH
PERMAI 2011 turut diserikan dengan kehadiran Al-Fadhil Al-Ustaz Mohd Erfino Johari daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau mengendalikan sebuah slot, dan menyampaikan ucapan penutup yang penuh berisi. Malah, sebagai senior dan sahabat lama yang sama-sama bernasyid di dalam Usrah al-Firdaus semasa di Jordan dahulu, kami bersetuju untuk berduet mengalunkan nasyid "Keluarga Bahagia" sebagai buah tangan kenangan buat peserta yang hadir daripada lokaliti sejauh Medan di Sumatera, Makassar di Sulawesi juga Malaysia.
Saya juga terasa amat bertuah mendapat peluang ditemukan dengan seorang penceramah muda popular di Indonesia iaitu al-Fadhil Al-Ustaz Salim A. Fillah yang saya kenali melalui bukunya SAKSIKAN BAHWA AKU MUSLIM.
Beliau menyampaikan ceramah bertajuk DALAM DEKAPAN UKHWAH yang juga merupakan tajuk salah sebuah buku beliau.
Al-Fadhil Ustaz bermurah hati menghadiahkan saya senaskhah bukunya yang amat lazat dibaca, penuh berkhasiat.
Kesimpulan berat hasil wacana 3 hari 2 malam di Taman Wiladatika Cibubur itu, bukanlah pada memilih antara kahwin semasa belajar atau kahwin selepas belajar yang lebih baik. Sebaliknya, apa sahaja keputusan yang dibuat, semuanya hasil mempertimbangkan isu Baitul Muslim bukan lagi secara reaktif kerana tertekan dengan 'trend' rakan, bukan lagi dengan idea-idea terbang di awan, tetapi secara berpijak di bumi yang nyata.
Terima kasih kepada Urusetia PERMAI 2011 Jakarta yang diketuai oleh Doktor Ahmad Farid Asyraf Ramli.
Terima kasih kepada Dr. Asydad Azaharrudin dan ahli rumah di Tanjung Duren kerana sudi menumpangkan saya dan Pengurus Operasi STC, saudara Zainal Lutfi.
Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat Urusetia PERMAI 2010 yang begitu sentimental dengan baju tahun lepas mereka.
Terima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan semua pihak yang menyokong secara moral dan kewangan bagi menjayakan program ini.
Terima kasih yang teristimewa buat isteri tercinta di rumah yang bermujahadah melepaskan pemergian suaminya, tinggal di rumah bersama empat cahaya mata yang turut menambah rindu dendam. Yang ditinggal memang derita. Namun yang pergi tak kurang peritnya.
Syukur, terima kasih kepada urusetia kerana menyiarkan PERMAI 2011 secara langsung melalui streaming atas talian.
SESUNGGUHNYA…
Rumahtangga ialah sebuah projek yang mesti dibentuk dengan pemikiran seorang 'budak' berusia 26 tahun, tetapi perlu betul dan valid hingga ke usia 62 tahun, dan seterusnya…
Ia bukan mainan.
Ia bukan cuba-cubaan.
Ia projek besar.
Projek ke Syurga, atau ke Neraka.
Namun perkahwinan tetap sebuah perkahwinan.
Ia, 'so sweeettt!'
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Jakarta Barat, Indonesia


