Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 87
December 7, 2011
Seminar Transformasi Pendidikan Islam: Sekularisasi Nilai dan Solusi Islam
Pendidikan penuh cabaran.
Ia membentuk manusia, sama ada kepada menjadi manusia yang benar kemanusiaannya, atau hilang kelebihan diri yang asalnya sudah bergelar Khalifah.
Menerima Islam sebagai titik mula dan fondisi utama pendidikan, sudah pun sedia diterima di dalam masyarakat.
Kemunculan sekolah-sekolah agama, sama ada sekolah kerajaan mahu pun swasta, sangat memberangsangkan.
Sekolah-sekolah 'bukan agama' dan sains juga menyediakan pelbagai program untuk tidak ketinggalan pada melengkapkan diri dengan keperluan agama.
Sejauh manakah kita telah berada di landasan yang tepat untuk mencapai apa yang diidamkan?
Apakah dengan menghasilkan seorang jurutera yang juga hafiz 30 juzuk al-Quran, maka protege Ibnu Sina dan al-Farabi sudah terhasil?
Bagaimanakah kita menilai pencapaian dan keberkesanan apa yang dinamakan sebagai pendidikan Islam.
Di era sekularisasi nilai dan materialisma, dan digital ini, bagaimanakah manusia boleh kekal berseni untuk benar-benar memiliki upaya mencerap keseluruhan dimensi ilmu?
Ibu bapa mahu memilih sekolah yang bagaimana untuk anak mereka?
Jika ada badan korporat yang mahu menaja pembiayaan sebuah sekolah agama baru, apakah yang perlu dipertimbangkan tentang hala tuju, isi kandungan dan pendekatan yang menterjemahkan visi serta misi sekolah itu?
Persoalan-persoalan ini adalah di antara fenomena yang bakal disentuh di dalam SEMINAR TRANSFORMASI PENDIDIKAN ISLAM anjuran Akademi Sinergi. Bertemakan "Sekularisasi Nilai dan Solusi Islam", seminar ini akan menyediakan platform bagi Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Synergy Training & Consulting), Tuan Fazrul Ismail (Total Success Training & Consultancy) dan Ustaz Mohd Hasni Mohamed (Pengetua Sekolah Menengah Islam al-Amin, Gombak) untuk mewacanakannya dari perspektif yang pelbagai.
Terbuka kepada orang ramai, program yang mensasarkan ibu bapa, warga pendidik, kumpulan pendidik sokongan yang terbabit dalam program-program remaja dan aktivis ini bakal berlangsung pada 18 Disember 2011 di Universiti Putera Malaysia.
Untuk keterangan lanjut, layari AKADEMI SINERGI dan mendaftar segera untuk mendapatkan tempat anda.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Mengisi Tangki Perjuangan Sekolah dan Pendidikan
Seminar & Forum Pendidikan Anak Digital Ibu Bapa Analog
Seminar Transformasi Ramadan – Tandakan Kalendar Anda
December 5, 2011
Merawat Sindrom Pasca Taubat
[image error]
"Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…" keluh seorang lelaki.
Sedih.
Keluhan yang amat realiti.
Sukar untuk ditelan.
"Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu" keresahannya berpanjangan.
Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana 'dunia kebaikan' yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.
Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.
Mungkin dalam perbualan sehariannya.
Mungkin dalam ceramahnya.
Mungkin dalam penulisan.
NASIHAT SHEIKH ABD AL-QADIR AL-JAILANI
"Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!" pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.
Tergamam.
Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.
"Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?" tanya anak murid itu kepada gurunya.
Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.
"Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!" kata lelaki soleh itu.
Setiap yang mendengar terkejut.
Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.
Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, "mengapakah engkau berkata demikian?"
Lelaki tersebut menjawab, "Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!'
Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, "Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!"
Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.
Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.
"Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.
Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu"
Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.
Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan Taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.
KISAH PENANGKAP ULAR
Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Di satu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.
Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.
Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.
"Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan" nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.
Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.
Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.
Bersederhanalah dalam membina harapan.
Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.
Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.
Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Taubat Sang Pemalas
Dilema Istiqamah Pasca Ramadhan
Ramadhan Merawat Latah Pendakwah
December 4, 2011
3KIE: Harapan Daripada Sebuah Kedukaan
[image error]
Al-Marhum Illham Ellani berjubah putih, bertemu semasa lawatan saya ke Jordan pada Februari 2010 yang lalu
Hati saya sebak semasa membaca kemaskini status Facebook rakan-rakan malam itu.
Tidak begitu mengenali nama insan yang disebut, berita mengenai pemergian mengejut al-Marhum Illhami Ellani, pelajar perubatan di Jordan cukup menyedihkan.
Anak muda.
Masa depan yang menanti.
Namun percaturan Allah berbeza untuk beliau.
Saya menyangka yang saya tidak mengenali al-Marhum. Tetapi seorang sahabat menyedarkan saya bahawa sebenarnya kami pernah bertemu semasa saya berkunjung ke Jordan pada Februari 2010 yang lalu. Pantas memori saya mengejar kembali apa-apa yang mampu diingati. Anak muda paling tinggi, banyak tersenyum, kurang berkata-kata, berjubah putih dalam pertemuan saya bersama penggerak Akademi Tahfiz az-Zikr di Irbid, Jordan.
Saya difahamkan yang beliau mengalami simptom demam-demam dan hidung berdarah. Beliau telah dimasukkan ke hospital dan didiagnos mengidap Acute Myeloid Leukemia (AML) jenis M3. Hanya beberapa hari selepas didiagnos, anak muda dari Sabah ini menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sungguh tragis dan pilu.
Segunung takziah saya doakan buat ahli keluarga al-Marhum, juga rakan-rakan yang ditinggalkan. Bersamalah kita berdoa agar perjalanan al-Marhum di Sana, diiringi keampunan dan kasih sayang Allah, meniti Barzakh sebelum kita ditemukan kembali di Mahsyar dan mudah-mudahan di Syurga nanti, ameen.
MENGAMBIL IKTIBAR
Pemergian al-Marhum pantas mengingatkan saya kepada beberapa rakan sepengajian di Jordan yang juga telah pergi meninggalkan kami semua.
Terdetik sesuatu.
Mengingati kembali cara hidup kami semasa berada di perantauan, saya berpendapat yang kesedaran kami terhadap kesihatan amat rendah. Bukan sahaja berkaitan dengan penjagaan dan pencegahan, malah tindakan rawatan juga sangat rendah.
Selain begitu 'skeptis' dengan kualiti perkhidmatan orang Arab (dek pengalaman harian bermuamalat di sana), umumnya memang kesedaran dan pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan kita amat rendah. Sangat jarang kami berkunjung ke klinik untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Memori saya tentang hospital hanyalah berkaitan kemalangan jalanraya, kecederaan yang teruk, kelahiran bayi dan kisah seorang pelajar perempuan yang tercekik tulang ayam di tengah malam!
Saya mengidap asthma.
Tetapi saya tidak pernah ke klinik mendapatkan rawatan.
Saya sering demam.
Tetapi sama seperti kebanyakan rakan yang lain, saya hanya menelan paracetamol, menggunakan petua-petua kesihatan sesama kawan dan nasihat tuan rumah yang prihatin. Makan dadih, minum air rebusan herba, habbatussauda', madu dan sebagainya.
Untuk ke hospital bagi mendiagnos penyakit, hampir tidak pernah berlaku. Malah mungkin masalah bahasa, tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkan kesakitan kepada doktor, menjadi salah satu punca, di samping sebab-sebab yang lain.
Fenomena inilah yang mudah meletakkan kami, pelajar di perantauan yang berdikari, di dalam kedudukan yang berbahaya. Apatah lagi di negara yang sistem kesihatan awamnya sederhana seperti di Jordan dan negara-negara Arab yang lain.
Terkenang seorang rakan yang batuk-batuk yang berpanjangan, kesakitannya hanya dirawat dengan ubat batuk yang dibeli di farmasi. Apabila batuknya berlarutan di samping demam, beliau dibawa ke klinik berhampiran. Dikatakan sekadar batuk biasa, sahabat kami ini terus batuk hingga tidak tidur malam selama lebih sebulan. Apabila kondisi fizikalnya semakin membimbangkan, barulah beliau dibawa berjumpa doktor pakar di Hospital Universiti. Tanpa banyak bicara, doktor berkenaan mengarahkan beliau segera pulang ke tanahair!
Di Malaysia, beliau didiagnos dengan penyakit yang berkaitan dengan kanser. Menjalani rawatan kimoterapi selama beberapa bulan, sahabat kami pergi buat selama-lamanya.
Inna Lillaah wa Inna Ilayhi Raaji'oon.
TINDAKAN PROAKTIF
Saya amat berharap agar tragedi mengejut pemergian adinda Illham Ellani, menjadi pencetus untuk adik-adik di Jordan menjalankan kempen di kalangan mahasiswa mahasiswi Malaysia di perantauan, khususnya di Jordan. Cetuskan kempen kesedaran kesihatan. Ajar pelajar-pelajar tentang istilah-istilah sakit seperti batuk, demam, cirit birit, bagaimana menentukan skor kesakitan, jenis-jenis kesakitan, simptom bagaimana yang boleh diuruskan sendiri, simptom bagaimana yang perlu dirujuk ke hospital.
Tambahan pula kini sudah ada ramai pelajar perubatan dan pergigian di dalam komuniti pelajar di Jordan.
Peluang ini mesti diambil.
Saya yakin al-Marhum Illham Ellani tentu 'gembira' andai pemergiannya yang penuh dukacita diganti dengan sebuah tindakan.
"3KIE: Kempen Kesedaran Kesihatan Illham Ellani"
Sekurang-kurangnya artikel ini adalah kempen peribadi saya bukan hanya untuk adik-adik di Jordan, malah di seluruh negara di mana anak-anak kita merantau.
Salam takziah buat keluarga Illham Ellani dan rakan-rakannya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Harga Sebuah Tandatangan
Cita-cita Nuklear Malaysia: Sebuah Harapan
Bukan Memperkecilkan Harapan dan Permintaan
December 3, 2011
Semasa Menyemai Islam, Jangan Nifaq Yang Tumbuh Subur
[image error]
"Imam, kenapa baca panjang-panjang?" bentak seorang jemaah di masjid.
"Saya baca Surah apa tadi?" saya bertanya.
"Surah Sabbihisma rabbika al-A'la. Imam tahu kan, Maghrib sunnah memendekkan bacaan?" beliau meneruskan bantahan.
"Pendek pada kamu, Surah apa cadangannya?" saya meneruskan pertanyaan.
"Baca Qulya ayyuha al-Kaafiroon sudahlah!" beliau bertegas.
"Baiklah" saya mengangguk.
"Tapi, kalau Imam sudah tahu, kenapa baca panjang-panjang tadi?" beliau masih belum berpuas hati.
Saya tersenyum.
Kelat.
Cuba menghias tebu di bibir senyum.
Pengalaman bekerja sebagai Imam yang sangat muda bagi sebuah komuniti yang sangat mencabar, memberikan saya satu pelajaran penting.
Bukan semua soalan perlu dijawab.
Sesetengahnya, iyakan sahaja.
Sesungguhnya itulah satu-satunya petua yang membantu saya bertahan untuk meneruskan tugas sebagai Imam ketika itu. Belajar berhenti daripada mengikut rentak perdebatan. Debat 1 Ramadan dan 1 Syawwal hari apa, debat baca panjang sangat, baca pendek sangat, Arab masak rasa macam plastik, Pakistan masak pedas macam api Neraka masuk ke perut, khutbah mesti banyak Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris, musim panas yang tiada waktu Isyak sepatutnya dijamakkan solat atau dilewatkan Isyak… segala-galanya tidak pernah berakhir, berulang sama ada secara harian, mingguan, bulanan, malah tahunan.
Di peringkat awal, semuanya mahu dijelaskan. Mahu dipertahankan.
Tetapi selepas satu perjalanan masa, saya belajar pelajaran pahit yang manis ini.
Tekan butang pause, berhenti menjawab selepas jawapan yang diperlukan sudah dinyatakan.
Demikian juga yang saya amalkan di blog ini.
Selepas apa yang perlu dijelaskan, telah dijelaskan, bertawakkallah kepada Allah.
Jangan berlebih-lebihan dalam perdebatan. Jangan berkelakuan fajir dalam pertengkaran. Ketika jawapan dianggap alasan, penjelasan dianggap menegak benang yang basah, diamlah, biar pun diam dianggap kalah.
((أربع من كُنَّ فيه كان منافقاً خالصاً، ومن كانت فيه خُلَّة منهن كانت فيه خُلَّة من نفاق حتى يدعها: إذا حدَّث كذب، وإذا عاهد غَدَر، وإذا وعَدَ أخلف، وإذا خاصم فَجَر))
"Empat karakter, barangsiapa memilikinya maka dia itu adalah seorang munafiq yang tulen. Barangsiapa yang memiliki salah satu daripada karakter itu, maka dia berada di atas salah satu cabang nifaq sehingga dia benar-benar meninggalkannya: Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila berpakat dia khianat, apabila bertengkar, dia melampau" [Hadith riwayat al-Bukhari (3007) dan Muslim (58) dengan lafaz Muslim]
Dalam menyemai Islam, jangan nifaq yang subur tumbuh.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:STC: Yang Patah Tumbuh, Yang Hilang Berganti
Jangan Tutup Mulut Yang Mengata
Jangan Bakar Buku!
December 1, 2011
Pembaziran Yang Terhijab Oleh Kebaikan
[image error]
"Pembaziran apakah ini, wahai Sa'ad?" Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bertanya.
"Apakah dalam berwudhu' pun ada pembaziran wahai utusan Allah?" Sa'ad tidak pasti.
Hairan dengan pertanyaan Baginda itu.
"Malah jika kamu berwudhu' di sungai sekali pun!" tegas Baginda.
Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam menegur perbuatan Sa'ad yang menggunakan air secara berlebihan. Ia tetap pembaziran tatkala melebihi keperluan. Niat dan nilai agama pada besarnya tuntutan berwudhu', bukan justifikasi terhadap pembaziran tersebut.
Termenung saya.
Dalam wudhu' ada pembaziran.
Apakah pembaziran juga boleh berlaku dalam kebaikan-kebaikan yang lain?
Pembaziran yang tidak kita sedari.
Terhijab oleh sangkaan kita bahawa kita sedang berbuat baik. Kebajikan.
" Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" [Al-Isra' 17: 27]
Pembaziran itu bukankah persaudaraan Syaitan? Tentu sahaja Syaitan menghias licik agar manusia tidak sedar dirinya sedang membazir. Menyangkakan ia sebuah kebaikan.
PEMBAZIRAN CERAMAH?
Teringat saya kepada kisah Abdullah bin Mas'oud radhiyallahu 'anhu.
Beliau memperuntukan hari Khamis untuk mengajar. Sesekali pada hari Isnin.
Tetapi jemaah yang hadir meminta beliau menjadikan kuliah tersebut setiap hari.
Kuliah yang sedap itu.
Tetapi Abdullah bin Mas'oud menolaknya. Biar pun manfaatnya kelihatan akan menjadi bertambah banyak dengan ilmu yang dikongsi, Ibn Mas'oud menolaknya.
Beliau tidak mahu jemaah menjadi jemu.
Menjemukan mereka yang mendengar, bukan Sunnah Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.
Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah hafizahullah menegaskan di dalam buku beliau al-Rasul al-Mu'allim, salah satu daripada teknik mengajar yang diamalkan oleh Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam sebagai seorang guru, adalah mencegah kejemuan anak murid.
Tentu sahaja dalam hidup kita, ada pelbagai perkara yang perlu dilakukan. Kita kesuntukan masa. Sama ada kerja itu kita sudah kenal atau masih kekal dengan tanggapan 'tak ada benda nak buat', hakikatnya tanggungjawab kita sangat banyak. Namun kita peruntukkan masa yang besar untuk kuliah-kuliah agama.
Kuliah Subuh.
Kuliah Dhuha.
Kuliah Zohor.
Kuliah Asar.
Kuliah Maghrib.
Ceramah Perdana.
Kuliah Online.
Kita menganggap setiap satunya sebagai baik. Ia kuliah. Ia ceramah. Ia taman-taman Syurga. Ia jalan menuju Syurga.
Tetapi pernahkah terlintas di fikiran kita bahawa kuliah-kuliah itu boleh menjadi sebuah pembaziran.
Pembaziran apabila kita gagal menjustifikasikan manfaatnya.
Sama ada pada yang mengajar, mengajar acuh tidak acuh.
Atau yang belajar, belajar acuh tidak acuh.
Yang mengajar tidak buat homework, tidak membuat persediaan, mengajar seperti melepaskan batok di tangga.
Yang belajar, hadir ke kuliah tanpa pensel dan kertas. Tanpa perakam. Bersandar di dinding, mendengar ceramah antara tidur dan jaga, sementara menunggu Isyak.
Bertahun-tahun rutin ini berlaku, kita tidak melakukan muhasabah terhadapnya.
Kata Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam membicarakan tentang Fiqh Keutamaan:
"Sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu'), dan rukun."
Terkenang di zaman masjid tidak banyak ceramah. Kuliah-kuliah dicari, tumpuan banyak diberi kepada isi, biar pun bentuk penyampaian amat sederhana malah adakalanya hambar. Bukan mudah hendak mencari kuliah agama. Setiap satunya dirasakan begitu berharga. Di kala surau dan masjid hampir setiap malam penuh dengan kuliah, apakah manfaatnya semakin bertambah? Manfaat bukan pada bertambah TAHU, tetapi bertambah MAHU dan MAMPU terhadap kehidupan beragama.
Di era lambakan kuliah dah ceramah ini.
"Apakah dalam ceramah pun boleh berlaku pembaziran?"
"Malah jika kamu berjiran dengan 'sepadang' ustaz sekali pun!"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Kuasa Simplisiti: Al-Ghazzali Oleh Deden Himawan
Minta Yang Mahu, Dapat Yang Perlu
Musibah Itu Rahsia Kebaikan
November 30, 2011
KEM HIJRI: Koleksi Status Facebook Sebagai Bahan Fikir Semua
[image error]
Berbicara tentang HIJRAH dan REMAJA serta sedikit promosi KEM HIJRI di rancangan Assalamualaikum di TV al-Hijrah pada 27 November 2011 yang lalu, bersama pengacara Amin Idris dan Tun Nurul Huda
Alhamdulillah.
Pendaftaran ke KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (KEM HIJRI) 1433 telah pun sempurna dan ditutup secara rasminya semalam.
70 orang peserta telah mendaftaran diri ke program musim keempat yang kali ini Insha Allah bakal diadakan di KEM ABC, Kampung Janda Baik, Pahang Darul Makmur.
Terkenang kepada pesanan Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah di dalam bukunya al-Rasool al-Mu'allim, beliau menyenaraikan banyak teknik mengajar oleh Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam yang merupakan satu Sunnah besar bagi kita semua.
Saya berazam untuk tidak jemu berusaha mempelajari dan mempraktikkan teknik-teknik itu di dalam program-program yang kami kendalikan. Semoga usaha ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'aala, ameen.
Berikut adalah koleksi status-status di Facebook halaman KEM HIJRI 1433 sebagai proses kemaskini yang kami lakukan untuk peserta dan ibu bapa mereka:
REMAJA CERMIN SEMUA: Keadaan semasa mereka memperlihatkan apa yang kita telah buat dan tidak buat, serta membantu kita membayangkan apa yang bakal berlaku dan tidak berlaku – Tidak sabar menunggu KEM HIJRI kali ini
SERING MENDEKATI REMAJA GAGAL kerana kita pantas menawarkan CHOICE. Seharusnya bermula dengan CONNECT, ACKNOWLEDGE, SERVE dan INQUIRE terlebih dahulu. Jangan gentar menghormati mereka, remaja akan kembali menghormati kita – Semoga KEM HIJRI kali ini berjalan lancar, ameen.
MEMAKSA REMAJA MENANGIS akan menjadi bahan ketawa mereka. Menjadikan REMAJA terpaksa MENANGIS akan menjadi bahan HIJRAH mereka – Semoga KEM HIJRI kali ini membantu para remaja berhijrah, ameen.
There is no secret ingredient, you just have to believe. We only hold recipes on how to make them believe and the rest, we put trust on Allah. May KEM HIJRI this year blessed by HIM, ameen.
AQIL BALIGH bukan hanya urusan fizikal malah intelektual dan emosional, berpandukan spiritual. Remaja perlu dididik menghormati seks, melihatnya sebagai ibadah dan seterusnya memelihara diri terhadapnya – KEM HIJRI kali ini Insha Allah akan menyentuh topik ini, secara berhemah dan amanah
RASULULLAH SAW menggunakan pelbagai law of learning di dalam menyampaikan agama. Mungkin selama ini remaja kurang menghayati agama bukan kerana mereka tidak menghormati agama, tetapi kerana ia disampaikan kurang daripada piawaian Rasulullah SAW. Semoga KEM HIJRI berjaya menghidupkan 'Sunnah' Law of Learning ini, ameen.
Jika program Kem mendambakan anjakan paradigma remaja dan merangsang mereka berfikir dengan lebih mendalam, raikan kesejahteraan fizikal mereka. Tidur perlu cukup, program perlu berjadual namun jangan memperhambakan diri kepada jadual. Semoga KEM HIJRI makmur dengan pendekatan GENTLE BUT FIRM ini, ameen.
Remaja sekular bukan hanya dihasilkan oleh sekolah sains, malah sekolah agama. Hingga agama dan Sains kembali menjadi SATU, paradigma sekularisma akan terhapus. KEM HIJRI akan memfokuskan kepada anjakan paradigma besar ini, Insha Allah
Remaja diajak berkomunikasi bukan hanya di peringkat manusia vs manusia, tetapi manusia vs Tuhan. Mereka tenggelam dalam kehidupan yang terputus hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. KEM HIJRI akan memfokuskan komunikasi Paksi-X dan Paksi-Y ini, Insha Allah
SYUKUR adalah kunci penting untuk hidup bahagia. Berjaya melihat apa yang ada, tidak terperangkap pada merungut dengan apa yang tiada. REMAJA perlu diajak bersyukur, bukan secara outside-in, tetapi inside-out. KEM HIJRI akan berusaha menyemai dan membaja SYUKUR ini, dengan izin-Nya
FIKIR menjadikan kita bertumpu kepada MAKHLUK, ZIKIR pula membawa kita bertumpu kepada KHALIQ. Remaja yang berzikir dan berfikir akan membawa pandangan yang menyeluruh untuk memahami erti kehidupan. Semoga KEM HIJRI akan menjadi asbab celiknya mata hati pada zikir dan fikir remaja kita, ameen.
Sudah kenal diri, sudah yakin dengan potensi, namun kejayaan sukar berlaku andai jiwa masih ada yang belum selesai. INNER PEACE mesti dicapai untuk menukar diri daripada ZERO kepada HERO. Jawab soalan asal dari mana, hendak ke mana, dan mengapa berada di sini, bahagia. Semoga KEM HIJRI mampu membuka jalan untuknya, ameen.
Sebahagian besar masalah remaja adalah simptomatik. Punca utama ada pada ibu bapa. Kem Remaja jangan hanya memberi bekal kepada remaja, tetapi perlu membantu ibu bapa menghayati HIJRAH anak-anak mereka. Semoga sesi keibubapaan KEM HIJRI nanti mampu membantu ibu bapa menyertai HIJRAH anak-anak mereka, ameen.
Semoga bermanfaat.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:KEM HIJRAH REMAJA ISLAM 4.0 1433H (KEM HIJRI) :PENDAFTARAN DIBUKA
TV Al-Hijrah: Hijrah Buat Remaja
Hari Menawan Hati di KEM HIJRI Kali Ini
November 29, 2011
KEM HIJRI: Tidak Mahu Mengalah Dengan Remaja
[image error]
Berbicara tentang HIJRAH dan REMAJA serta sedikit promosi KEM HIJRI di rancangan Assalamualaikum di TV al-Hijrah pada 27 November 2011 yang lalu, bersama pengacara Amin Idris dan Tun Nurul Huda
Alhamdulillah.
Pendaftaran ke KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (KEM HIJRI) 1433 telah pun sempurna dan ditutup secara rasminya semalam.
70 orang peserta telah mendaftaran diri ke program musim keempat yang kali ini Insha Allah bakal diadakan di KEM ABC, Kampung Janda Baik, Pahang Darul Makmur.
Terkenang kepada pesanan Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah di dalam bukunya al-Rasool al-Mu'allim, beliau menyenaraikan banyak teknik mengajar oleh Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam yang merupakan satu Sunnah besar bagi kita semua.
Saya berazam untuk tidak jemu berusaha mempelajari dan mempraktikkan teknik-teknik itu di dalam program-program yang kami kendalikan. Semoga usaha ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'aala, ameen.
Berikut adalah koleksi status-status di Facebook halaman KEM HIJRI 1433 sebagai proses kemaskini yang kami lakukan untuk peserta dan ibu bapa mereka:
REMAJA CERMIN SEMUA: Keadaan semasa mereka memperlihatkan apa yang kita telah buat dan tidak buat, serta membantu kita membayangkan apa yang bakal berlaku dan tidak berlaku – Tidak sabar menunggu KEM HIJRI kali ini
SERING MENDEKATI REMAJA GAGAL kerana kita pantas menawarkan CHOICE. Seharusnya bermula dengan CONNECT, ACKNOWLEDGE, SERVE dan INQUIRE terlebih dahulu. Jangan gentar menghormati mereka, remaja akan kembali menghormati kita – Semoga KEM HIJRI kali ini berjalan lancar, ameen.
MEMAKSA REMAJA MENANGIS akan menjadi bahan ketawa mereka. Menjadikan REMAJA terpaksa MENANGIS akan menjadi bahan HIJRAH mereka – Semoga KEM HIJRI kali ini membantu para remaja berhijrah, ameen.
There is no secret ingredient, you just have to believe. We only hold recipes on how to make them believe and the rest, we put trust on Allah. May KEM HIJRI this year blessed by HIM, ameen.
AQIL BALIGH bukan hanya urusan fizikal malah intelektual dan emosional, berpandukan spiritual. Remaja perlu dididik menghormati seks, melihatnya sebagai ibadah dan seterusnya memelihara diri terhadapnya – KEM HIJRI kali ini Insha Allah akan menyentuh topik ini, secara berhemah dan amanah
RASULULLAH SAW menggunakan pelbagai law of learning di dalam menyampaikan agama. Mungkin selama ini remaja kurang menghayati agama bukan kerana mereka tidak menghormati agama, tetapi kerana ia disampaikan kurang daripada piawaian Rasulullah SAW. Semoga KEM HIJRI berjaya menghidupkan 'Sunnah' Law of Learning ini, ameen.
Jika program Kem mendambakan anjakan paradigma remaja dan merangsang mereka berfikir dengan lebih mendalam, raikan kesejahteraan fizikal mereka. Tidur perlu cukup, program perlu berjadual namun jangan memperhambakan diri kepada jadual. Semoga KEM HIJRI makmur dengan pendekatan GENTLE BUT FIRM ini, ameen.
Remaja sekular bukan hanya dihasilkan oleh sekolah sains, malah sekolah agama. Hingga agama dan Sains kembali menjadi SATU, paradigma sekularisma akan terhapus. KEM HIJRI akan memfokuskan kepada anjakan paradigma besar ini, Insha Allah
Remaja diajak berkomunikasi bukan hanya di peringkat manusia vs manusia, tetapi manusia vs Tuhan. Mereka tenggelam dalam kehidupan yang terputus hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. KEM HIJRI akan memfokuskan komunikasi Paksi-X dan Paksi-Y ini, Insha Allah
SYUKUR adalah kunci penting untuk hidup bahagia. Berjaya melihat apa yang ada, tidak terperangkap pada merungut dengan apa yang tiada. REMAJA perlu diajak bersyukur, bukan secara outside-in, tetapi inside-out. KEM HIJRI akan berusaha menyemai dan membaja SYUKUR ini, dengan izin-Nya
FIKIR menjadikan kita bertumpu kepada MAKHLUK, ZIKIR pula membawa kita bertumpu kepada KHALIQ. Remaja yang berzikir dan berfikir akan membawa pandangan yang menyeluruh untuk memahami erti kehidupan. Semoga KEM HIJRI akan menjadi asbab celiknya mata hati pada zikir dan fikir remaja kita, ameen.
Sudah kenal diri, sudah yakin dengan potensi, namun kejayaan sukar berlaku andai jiwa masih ada yang belum selesai. INNER PEACE mesti dicapai untuk menukar diri daripada ZERO kepada HERO. Jawab soalan asal dari mana, hendak ke mana, dan mengapa berada di sini, bahagia. Semoga KEM HIJRI mampu membuka jalan untuknya, ameen.
Sebahagian besar masalah remaja adalah simptomatik. Punca utama ada pada ibu bapa. Kem Remaja jangan hanya memberi bekal kepada remaja, tetapi perlu membantu ibu bapa menghayati HIJRAH anak-anak mereka. Semoga sesi keibubapaan KEM HIJRI nanti mampu membantu ibu bapa menyertai HIJRAH anak-anak mereka, ameen.
Semoga bermanfaat.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:KEM HIJRAH REMAJA ISLAM 4.0 1433H (KEM HIJRI)
TV Al-Hijrah: Hijrah Buat Remaja
KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430
November 26, 2011
TV Al-Hijrah: Hijrah Buat Remaja
[image error]
Insha Allah pagi Ahad jam 8 pagi, saya akan ke udara melalui segmen Assalamualaikum di TV al-Hijrah.
Topik yang dibincangkan adalah berkaitan dengan HIJRAH dan REMAJA.
Ada yang sudah 30 tahun menyambut Awwal Muharram. Ada yang 1 Muharram kali ini adalah yang ke-60 atau 70 buatnya.
Namun apakah makna hijrah untuk remaja? Mengapa perlu remaja mengambil tahu tentang hijrah? Persoalan ini akan dikupas, bersama sedikit promosi program KEM HIJRAH REMAJA ISLAM (KEM HIJRI) 1433 kali ini.
Terima kasih kepada yang sudi bersama.
BAGAIMANAKAH PANDANGAN USTAZ TENTANG KEADAAN REMAJA MUSLIM SEMASA KITA?
Cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh remaja
Masalah mereka sekarang merupakah masalah yang kelihatan (presenting problem) atau masalah sebenar (real problem)?
APAKAH KEPENTINGAN HIJRAH DALAM KONTEKS DIRI SEORANG REMAJA?
Hijrah adalah perubahan
Remaja merupakan kelompok yang paling terbabit dengan perubahan. Perubahan diri dan terkesan dengan perubahan persekitaran
Hijrah – Change Management (Pengurusan Perubahan) untuk remaja
APA YANG PERLU SEORANG REMAJA MILIKI JIKA MEREKA MAHU BERHIJRAH
Kepercayaan yang betul
Pandangan hidup yang tepat
Sistem nilai yang benar
APAKAH AKTIVITI-AKTIVITI USTAZ BERKAITAN REMAJA, ATAU MUNGKIN JUGA HIJRAH REMAJA SECARA KHUSUS?
Blog, buku, artikel, kursus-kursus berkaitan pembangunan karakter remaja
Kem Hijrah Remaja Islam (KEM HIJRI 1433)
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:KEM HIJRAH REMAJA ISLAM 4.0 1433H (KEM HIJRI) :PENDAFTARAN DIBUKA
KEM HIJRI: Kem Hijrah Remaja Islam 1430
Imej Baru: Melakar Semangat Remaja Islam
November 23, 2011
Kerana Mereka Adalah Suami Isteri
[image error]
"Bagaimana hendak menulisnya?" soalan yang sering menerjah fikiran.
Aku Terima Nikahnya sudah dilengkapkan dalam tiga siri. Setiap satunya menekankan sudut-sudut yang menjadikan buku sebelumnya tidak 'tergantung'.
Setelah siri Aku Terima Nikahnya landing dengan topik Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam sebagai murabbi kepada cinta kita, saya tidak berhajat untuk membuka semula apa yang telah kemas tersimpul. Biarlah ATN begitu.
Demikian.
Namun saya sedar, ia hanyalah rakaman kepada satu peringkat daripada peringkat-peringkat yang ditempuh oleh sebuah perkahwinan. Andai Mawaddah itu diertikan sebagai cinta yang bertambah hasil kejayaan mengatasi cabaran, ertinya proses Mawaddah tidak pernah selesai. Cabaran-cabaran bagi sebuah rumahtangga menjelang usia 'mid life' akan terus mengunjungi perkahwinan kita.
Ertinya, selepas 10 tahun berumahtangga, benda-benda yang lebih realistik untuk diperkatakan banyak menuntut bicara tentang krisis. Tentang masalah. Dan bagaimana hendak mengatasinya. Cabaran bagi sebuah rumahtangga di usia seperti usia saya dan isteri, semakin dalam dan mencungkil diri saya dan isteri. Semakin peribadi. Semakin menguji.
Bagaimanakah perkara-perkara itu hendak dibicarakan?
Jika ia membuka pekung di dada sendiri, demi sebuah kejujuran dalam bicara, saya mampu melakukannya. Saya akan mengambil tanggungjawab ke atas maruah diri sendiri.
Namun, bagaimanakah hendak membicarakan tentang pahit maung rumahtangga tanpa membicarakan tentang kelemahan isteri? Kesalahannya?
Bagaimana dengan kelemahan dan kesilapan anak-anak? Ketika mereka semakin mumayyiz dan 'Aqil dalam memahami apa yang ditulis dan diperkatakan tentang mereka?
Dari Jabir: Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka. [Hadith riwayat Muslim]
Menulis yang baik-baik, bunyinya seperti cuba menggambarkan seolah-olah rumahtangga saya itu pelanginya pagi ke petang.
Menulis yang buruk-buruk, keji pula saya mengaibkan insan-insan yang saya kasihi di mata ramai.
Melihat kepada hadith-hadith Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam tentang rumahtangga Baginda, kita memang bertemu dengan pelbagai perkara yang boleh difahami sebagai keaiban. Cemburu sang isteri, kesilapan Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam pada mendamaikan cemburu para isteri, kelakuan-kelakuan manusiawi Alul Bayt, semuanya dirakam dengan telus dan tulus. Namun kesemuanya digarap sebagai teladan dan sempadan daripada Bait Nabawi kepada kita.
[image error]
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [Al-Nisaa' 4: 19]
Namun sukar buat saya.
Dek gagal mencari titik jawapan yang jelas kepada persoalan ini, saya hilang momentum dalam menulis tentang keluarga. Majalah ANIS kehilangan saya, dan saya kehilangan Majalah ANIS.
Jarang sekali menulis tentang rumahtangga dan keluarga.
Di tahun ke-10 perkahwinan kami, manisnya hidup berumahtangga semakin lain dari biasa. Ia bukan lagi manis kerana asalnya manis, tetapi manis apabila satu demi satu krisis berjaya diatasi.
Apa yang saya mampu lakukan hanya bersabar.
Sabar apabila ada yang menuduh saya cuba membina bayangan khayalan tentang sebuah rumahtangga dek kurangnya berbicara tentang masalah, pergaduhan, keaiban dan hal-hal yang sinonim dengan realiti sebuah rumahtangga.
Namun syabas bagi mereka yang mampu untuk read between the lines bahawa rumahtangga saya sama seperti rumahtangga orang lain.
Dan syabas juga kepada anak bujang yang faham bahawa, uniknya cinta antara seorang suami dan isteri ialah, seburuk mana pun kelakuan suami kepada isteri, dan seteruk mana pun perangai isteri kepada suami, akhirnya mereka kembali kepada sebuah damai, kerana mereka adalah SUAMI ISTERI.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Bencana Kejahilan Intimasi Suami Isteri
Kerana Akhirnya, Kita Semua Adalah DA'I
Merawat Suami Bisu
November 20, 2011
VLOG: Berleluasanya Pena
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA
Related posts:Vlog: Mengapa Saya Hasilkan Vlog
Pena Jasa Pena Binasa
Akaun Public Bank