Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 91

September 26, 2011

Saya Bukan Superman

[image error]


Subhanallah.


Hujung minggu yang sungguh dahsyat.


Entah dari mana puncanya, komitemen muncul bertimpa-timpa.


Hari Rabu saya bertemankan Pembantu, memandu ke Universiti Malaysia Pahang untuk 3 slot ceramah motivasi organisasi. Tiba jam 2 pagi, selepas Subuh saya sudah masuk gear lima untuk berprogram.


Kami pulang ke KL perlahan-lahan, tiba di Bandar Seri Putra jam 1 pagi.



KHAMIS


Khamis, saya bersiap dan terbang ke Miri jam 1 tengah hari. Pasukan Synergy Training & Consulting menyusul dengan penerbangan jam 4 petang.


Di Miri, saya mengendalikan usrah bulanan guru-guru SMK Agama Miri. Sekolah ini secara logistiknya jauh dari kaitannya dengan saya, tetapi ditakdirkan dekat di hati.


Gembira hati menyambut ketibaan Zainal Lutfi, Firdaus, Ariff Jauhar Iskandar, Syed Faizz dan Tuan Fazrul, usai ceramah itu, kam berkumpul mendengar taklimat para guru tentang pelajar yang bakal menjadi peserta Kem HIjRI kami esok.


[image error]


JUMAAT


Jumaat, Kem Hijrah Remaja Islam pelajar SMK Agama Miri bermula di Kem Baraya Laut. 42 pelajar dipilih dan seperti biasa mereka datang dengan pelbagai persepsi.


"Kenapa aku dipilih?"


"Aku jahat ke?"


"Ni kem ni nak torture aku ke?"


Atas apa alasan sekali pun mereka dipilih, hakikatnya Allah jua yang menjadi Pengatur dan Penjemputnya. Kita semua dalam senarai-Nya.


Selepas Solat Jumaat para pelajar berkumpul dan mula memasang khemah. Saya mengimamkan Solat Asar dan mengalu-alukan kedatangan peserta. Muka mereka penuh harapan (dan sangkaan).


Seperti biasa, pendekatan kami adalah positive reinforcement. Targheeb sebelum Tarheeb. Oleh kerana kami adalah orang luar, maka ketiadaan beban otoriti seperti di bahu guru-guru mereka, kami manfaatkan untuk mendekati mereka secara penuh rasa hormat dan meraikan, tanpa menggadaikan ketegasan.


Selepas Maghrib dan makan malam, saya mengendalikan sesi Zero to Hero menggunakan modul Kungfu Panda. Biar pun banyak masalah teknikal, Alhamdulillah peserta sangat komited.


Tidak mampu menunggu hingga habis, saya segera ke Lapangan Terbang dan mengambil penerbangan akhir Air Asia pulang ke Kuala Lumpur. Saya mesti pulang kerana awal pagi Sabtu, isteri tercinta bakal diraikan di dalam Konvokesyen UKM untuk Sarjana Kepakaran Perubatan Kecemasan beliau.


Tiba di LCCT jam 12:30 tengah malam, sahabat saya Shakir setia menanti. Beliau membantu menghantar saya pulang ke rumah dan bantuannya itu amat signifikan kerana saya sendiri sudah terhoyong hayang keletihan. Kami tiba di Bandar Seri Putra jam 1:30 pagi.


Berehat selama 10 minit, saya menerima kunjung istimewa sahabat lama yang pulang bercuti dari Ireland. Abang Kamaruzzaman singgah di rumah saya. Jam 1:45 pagi terpaksa dipilih kerana itu sahajalah peluang kami bertemu setelah bertahun tidak bersua. Beliau akan pulang ke Ireland esoknya. Berbual sehingga jam 3 pagi, beliau beransur pulang.


Tidak sempat berfikir apa-apa, saya terlelap seperti batang kayu hanyut di sungai.


SABTU


Selepas Subuh saya dan isteri segera keluar menuju ke UKM


Naurah Sabihah yang terbangun terus memeluk saya tanpa berkata apa-apa.


"Naurah rindukan Abi?" saya bertanya perlahan.


Beliau mengangguk-angguk dan enggan melepaskan saya.


Terharu.


Di UKM, konvokesyen berjalan lancar. Dek banyaknya ucapan demi ucapan, saya mengambil peluang untuk tidur nyenyak. Kepada Allah jua saya memohon agar tidak berdengkur atau terlepas Ipad ke tangga. Saya ini kadang-kadang ada penyakit 'kalut'.


Usai konvokesyen, saya menghantar isteri pulang ke rumah dan terus mengemas beg untuk kembali ke Miri.


[image error]


Lebih mengharukan, anak-anak saya 'babai' tanpa perasaan melepaskan saya pergi. Apakah mereka sudah biasa atau sudah putus harapan? Saya tidak akan membiarkan kedua-dua itu berlaku tanpa usaha memperbaikinya.


Arghh, sudah jam 3:15.


Saya mohon ampun dari Allah kerana memandu laju ke LCCT!


Tiba di terminal jam 4 petang, saya tinggalkan buku-buku kerana sudah tidak sempat check in barang. Segera berlari ke terminal selepas memakir kereta, boarding pass dicetak menggunakan Ipad dan saya segera masuk ke pesawat sebagai penumpang terakhir!


Di dalam pesawat saya tidak boleh tidur kerana banyak bahan yang perlu ditaip.


Tiba di Miri jam 6:45 petang, perjuangan diteruskan bersama peserta Kem HIJRI.


Wajah mereka semakin tenang, biar pun saya ketinggalan berbanding rakan-rakan, pada membina jambatan hati dengan mereka.


AHAD


Semenjak Subuh, saya sudah gunakan kuasa minda untuk mengunci fikiran daripada memikirkan tentang keletihan. Hanya fokus dan fokus, saya mengendalikan sesi Zikir dan Fikir bersama adik-adik ini, dan kemudian mengambil sedikit masa turun dari tebing tinggi ke gigi pantai untuk menangkap ketam. Sekadar beriadah ringan untuk merawat keletihan yang terkunci.


[image error]


Selepas merek bersarapan, saya kendalikan sesi bercerita. Modul asal saya ketepikan. Sudah jelas, apabila peserta dikategorikan sebagai pelajar bermasalah, teknik terbaik untuk mendekati mereka adalah dengan suntikan E (emotional) dan bukannya I (Intellectual). Bercerita adalah cara terbaik setakat ini.


Program berakhir pada waktu Zohor.


Sukses!


Moga kekal lama kesedaran mereka. Rata-rata, memberi komen bahawa mereka sangat sukakan program ini sebab ia sangat relaks!


Tenang luaran yang membentuk tenang dalaman.


Mereka perlukan suasana tenang untuk berfikir tentang diri dan kehidupan.


Saya tidak sempat beramah mesra dengan guru-guru, terpaksa segera ke Lapangan Terbang.


Mengambil pesawat MAS pulang ke KL, saya berdoa agar tiada sebarang kelewatan yang berlaku.


Di dalam pesawat, saya lawan rasa mengantuk, berusaha menyiapkan slaid keynote untuk Ceramah Perdana yang bakal saya sampaikan di Malam 10 Tahun Pertubuhan Kebajikan an-Nidaa' Malaysia di Dewan Sivik MBPJ. Program gilang gemilang itu bakal disempurnakan oleh kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin, Raja Muda Perlis.


Tiba di KLIA, saya gelisah menunggu bas untuk ke LCCT kerana kereta diparkir di sana.


Menyalin pakaian hanya di dalam kereta, saya ketawa sendirian. Mentertawakan 'musibah' adalah cara terakhir untuk meredakan stress.


"Teruknya hidup aku!"


Dari LCCT, saya memandu tenang melalui NKVE dan akhirnya tiba di Dewan jam 8:25 malam. Alhamdulillah.


Tuanku tiba jam 8:50 dan program bermula seperti yang dijadualkan tepat jam 9 malam.


Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut hadir mengiringi ke bawah duli Tuanku.


Syukur Alhamdulillah, Tuanku seorang yang sangat kasual, dan sempat mengusik 'kegilaan' saya mengurangkan berat badan, hingga beliau terganggu untuk menjamah nasi Arab Restoran Hadramaut yang dihidangkan.


[image error]


Alhamdulillah ceramah saya sampaikan secara santai dan berjenaka tetapi diharapkan cukup berimpak untuk memberi ruang semua orang berfikir. Pendekatan dakwah, membaca perubahan semasa, dan krisis pendidikan, segalanya amat kritikal.


Majlis berakhir dengan baik. Objektif mengumpul dana Sekolah Menengah Islam Tahfiz al-Amin oleh an-Nidaa' juga cemerlang.


Saya memandu pulang perlahan-lahan, singgah di R&R Serdang untuk membeli buah potong (rutin harian, walaupun jam 12 malam) dan setibanya di rumah, segalanya hening.


Menatap wajah isteri dan anak-anak yang lena, terasa hilang segala letih.


"You say it best when you say nothing at all!" kata si 'bijak pandai' (hehe).


ISNIN


Alhamdulillah, jadual gila saya sudah selesai dengan baik.


Panggilan telefon oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin subuh Isnin, mendamaikan. Bertukar-tukar pendapat dan menawar nasihat untuk kebaikan.


Selesai menghantar anak ke sekolah, saya tidur di dalam kereta bersama celoteh DJ Erwan dan DJ Pyan tentang kegemukan ustaz-ustaz. Hajat hati mahu berkongsi komen tetapi, zzzz…!


Erti Hidup Pada Memberi!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Saya Bukan Bapa Mithali, Hanya Realiti
PUISI 2007: Saya Diserang!
Entry #1000: Saya Bukan Ahli Politik, Tetapi…

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 26, 2011 00:16

September 23, 2011

Tibanya Hari Yang Dinanti

Alhamdulillah.


Hari yang dinanti telah tiba.


Tahniah buat isteri tercinta.


Abu Saif @ www.saifulislam.com

Dewan Canselor Tun Abdul Razak

Universiti Kebangsaan Malaysia

[image error]


Posted with WordPress for BlackBerry.




Related posts:STC: Yang Patah Tumbuh, Yang Hilang Berganti
Server Saifulislam.Com Kembali Bermasalah
Kehadiranmu Dinanti

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 23, 2011 17:18

September 19, 2011

Sistem Nilai Kebudak-budakan

[image error]


"Kenapa Yop dapat dua, Imad dapat satu?" Imad membantah.


"Yop dapat dua keping duit lima ringgit. Jadi semuanya ialah sepuluh ringgit. Sama macam Imad" kata Uncle Hasan.


"Entah Imad ni. Yop dapat sekeping warna merah. Ini RM10. Imad dapat dua keping RM5, maknanya RM10 jugalah!" Saiful Islam menyampuk.


Rimas dengan rengekan Imad.



"Tapi Yop dapat dua, Imad dapat satu!" Imad terus merungut berulang-ulang kali.


"Warnanya kan lain. Dua keping duit hijau sama dengan satu keping duit merah" Uncle Hasan cuba memujuk.


"Ukkk… tapi Imad nak dua. Yop dapat dua. Imad dapat satu!" Imad masih mempertahankan 'sistem nilai'nya.


"Ye la, ye la! Nah ambil dua keping ni" Saif mengalah.


Imad tersengih. Baru puas hati.


Dunia pun bertambah aman.


Imad tidak faham nilai pada wang itu. Dia baru berusia lima tahun. Apa yang dia faham, dua keping lebih banyak daripada sekeping.


Itu Imad.


Bagaimana pula kita yang sudah tua? Tidak dapat menghargai 27 kali ganda pahala yang ditawarkan Allah pada solat berjemaah?


Sudah diberitahu nilai matawang Akhirat lebih berharga, masih mengutamakan sedikit habuan matawang dunia.


[image error]"Sedangkan Akhirat itu lebih baik dan kekal buatmu" [Al-A'la 87: 17]


Sudah tua, tetapi sistem nilai masih kebudak-budakan.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

FB.com/hasrizalabduljamil




Related posts:Akhirnya Kutemui Nilai Ukhuwwah
Krisis Nilai Dalam Politik Semasa
Nihonjinron: Secebis Nilai Islam Tanpa Muslim

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2011 01:06

September 16, 2011

Sebulan Sehari Ibadah Dan Bid'ah

[image error]


Hujung minggu ini rumah terbuka di sana sini.


Rumah Terbuka Syawwal.


Bukan Rumah Terbuka Aidilfitri.



Bulan Syawwal bulan ukhuwwah.


Aidilfitri hanya sehari.


Sebulan ukhuwwah jadi ibadah.


Sebulan raya jadi bid'ah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Server Saifulislam.Com Kembali Bermasalah
Kerana Ia Hanya Sebulan
Selamat Datang ke Server Baru

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 16, 2011 23:13

September 14, 2011

10 Tahun Kembara Sakinah, Mawaddah dan Rahmah

[image error]


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ


Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.



14 September 2001.


Setelah seribu satu ujian mengheret saya ke titik terendah kehidupan, hampir dijamah putus asa kerana terbelenggu oleh pelbagai kejadian yang memenjara langkah perjalanan, akhirnya majlis itu tiba.


"Aku terima nikah Nazhatul Muna binti Ahmad Nasarudin dengan mas kahwinnya … Tunai!"


Kami sah diijab kabulkan oleh ayah pengantin perempuan sendiri. Berpakaian serba putih mewakili putihnya hati, harapan dan cinta kami terhadap perkahwinan ini.


Perkahwinan yang dibina atas keringat dan air mata, demi membina cinta yang bukan mudah-mudah ada.


Perjalanan kembara sakinah, mawaddah dan rahmah.


19 September 2001 kembali ke Pulau Ireland.


1 November 2001 berpisah bumbung dek tuntutan kerja antara Galway dan Belfast, Ireland Utara.


6 Julai 2002, ketibaan Muhammad Saiful Islam.


8 Oktober 2004, tiba pula Naurah Sabihah.


30 November 2006, Muhammad Imaduddin hadir membawa seri.


15 Julai 2009, Ahmad Muizzuddin membawa bahagia.


14 September 2011, Selamat Ulangtahun Perkahwinan yang ke-10, buat isteriku tersayang.


Hadiah paling kuharapkan hanyalah satu, bahawa engkau bahagia di sampingku… Semalam, hari ini, hingga ke Syurga.


If you could look into my heart, you'd see all the wonderful things you are to me, and all the thoughts I don't say often enough about our love, our home and our happiness. If you could look into my heart, you'd know you mean the world to me – and you'd know all the reasons why I love you so much…


HAPPY ANNIVERSARY!


ABU SAIF @www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Mehnah Kepada Mawaddah dan Rahmah
7 Tahun Kita Bersama
Sepatutnya 39 Tahun Lebih Dewasa

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 14, 2011 09:52

September 13, 2011

Berakhirnya Ia Dengan Seribu Keindahan

[image error]


Alhamdulillah.


Perjalanan diet saya sudah sampai ke penghujungnya.


Biar pun Aidilfitri kali ini tiada lemang dan nasi himpit untuk saya, hati saya berbunga-bunga meraikannya. Meraikan kemerdekaan diri yang lebih dirasa. Merdeka daripada ketidak upayaan membuat pilihan terbaik di dalam hidup.



Hari ini saya menerima 'pelepasan' rasmi daripada doktor.


Sudah boleh makan apa sahaja, tetapi pada kadar maksimum 115000 kcal seminggu, yakni jumlah yang dirujuk kepada kadar metabolisma semasa saya.


Jumlah itu amat besar bagi saya.


Makan sedikit tetapi berasa kenyang dan tenang, setelah enam bulan, sudah menjadi kebiasaan.


Biar pun jumlah penurunan berat badan di musim raya tidak mencecah 3kg, jumlah yang lebih perlu diberi perhatian ialah pengurangan hampir 5kg lemak keseluruhan badan dan 4kg pertambahan otot.


Syukur Alhamdulillah.


Lebih sihat, lebih bersemangat, lebih bertenaga untuk memperjuangkan agama.


Fasa 'maintainance' berlangsung selama 3 bulan. Jika kondisi diri berjaya dilakukan dengan stabil, maka usaha akan dilakukan secara manual. Andai ada keperluan, maka Januari 2012 akan saya isi dengan perjuangan fasa ketiga, yang akan berbeza kerana apa yang berbaki bukan lagi penurunan berat badan keseluruhan, tetapi mengemaskini diri pada bahagian-bahagian degil yang memerlukan konsentrasi, latihan di gym serta sokongan minuman protein yang baik.


Insha Allah.


Saya meraikan pelepasan ini dengan candle light dinner bersama isteri sempena ulangtahun kesepuluh perkahwinan kami di Little White Cafe, Bangi.


Subhanallah.


Alhamdulillah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Related posts:Pulang Dengan Debu Seribu Makna
Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Baginda Yang Berbuka Puasa Dengan Tamar Dan Air Itu…

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2011 15:39

September 4, 2011

Lelaki Itu

[image error]


"Abang sibuk dengan kerja. Sebab itu anak-anak buat perangai. Mereka mahukan perhatian" kata Lijah.


Hamid mendengar.


Sepi tanpa jawapan.


Tiada apa yang mahu dijawab. Memang itu hakikatnya.


"Kalau abang lebih bertegas, tidaklah emak abang buat macam itu" Siti berleter.



Abu mengangguk.


Tanpa sebarang kata.


Hatinya bersetuju. Memang dia perlu lebih bertegas, supaya emaknya tidak saban waktu mendesak dia membeli itu dan ini.


"Kalau kau gunakan kuasa kau sebagai suami, tidaklah keadaan jadi sampai macam sekarang" tegas Lan.


Syahrul termenung.


Hajatnya mahu mendapatkan 'sokongan' rakan, berkesudahan dengan telunjuk yang ditunding ke arahnya.


"Aku juga yang salah" keluh hatinya.


Inilah seni menjadi suami dan bapa.


Pusing ke mana pun, akhirnya kita juga yang salah. Kita yang perlu mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku.


Anak buat perangai, salah kita. Isteri berkelakuan tidak betul, suaminya yang dayus. Ibu berkonflik dengan isteri, suami yang lemah kepimpinan, kakitangan pejabat salah laku, kita yang gagal memberitahu.


Pokoknya semua salah kita.


Kalau seorang motivator memberikan sehelai kertas kepada seorang suami dan seorang isteri, kemudian mereka berdua diminta menulis apa-apa yang dia tidak berpuas hati dengan pasangannya, dalam tempoh sejam, hasilnya mungkin begini:


Selepas setengah jam…


Suami menggaru kepala yang tidak gatal, kertas masih kosong.


Isteri mengangkat tangan dan bertanya kepada motivator berkenaan, "boleh saya minta sehelai kertas lagi!"


Jika dirungut dan dipandang negatif, panjanglah keluhan para suami dan bapa.


Bertambah lagi 'remark' kelemahan kita.


"Kalau tak sanggup memikul tanggungjawab, jangan kahwin. Jangan jadi suami. Jangan jadi bapa!" kata mereka.


Tetapi jika dilihat dari sudut yang positif, semua itu menunjukkan kepada banyaknya tanggungjawab kita.


Di sisi manusia, ia tanggungjawab kita dan hak mereka ke atas kita.


Di sisi Tuhan, ia adalah peranan dan peluang mengerjakan kebaikan.


Peluang disayangi Tuhan.


Kemuliaan menjadi suami.


Menjadi bapa.


Menjadi majikan.


Orang kepercayaan.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Lelaki dan Keluarga, Seperti Imam dengan Makmumnya
Lelaki Itu Yang Bernama Bapa
Kursus Persediaan Aqil Baligh Remaja Lelaki

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 04, 2011 19:43

September 3, 2011

Kembali ke Rutin Kehidupan Yang Biasa-biasa

[image error]


Post Raya Syndrome…


Pergilah ke hospital.


Segalanya meningkat.


Tekanan darah meningkat, kadar gula dalam badan naik, hutang pun mencanak.


Kalau tidak berjaga-jaga, punah semua hasil mujahadah Ramadan.



Di Bandar Seri Putra, saya baru mahu belajar menyesuaikan diri dengan 'kehidupan sebenar' pasca Ramadan. Tiada lagi bazar, tiada lagi musim orang ke surau dan masjid. Yang tinggal hanyalah kehidupan yang biasa-biasa. Untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang biasa-biasa itu, seperkara yang pasti ialah, kejiranan kami memang anak perantau belaka. Bandar Seri Putra seperti dilanggar garuda.


Sepi.


Satu kedai makan pun tidak dibuka.


Bahan untuk memasak di rumah pun tiada.


Mujurlah ada kedai makan orang kampung Chennai yang setia sentiasa.


Hari ini saya cuba memulakan rutin kehidupan biasa.


Berpeluang bangun betul-betul awal setelah malam tadi berjaya tidur awal, solat Subuh di surau al-Hijrah cukup mendamaikan, biar pun jemaah amat kecil kerana masih ramai yang bercuti. Sahabat saya yang mengimamkan solat, kemudiannya mempelawa saya menyampaikan Tazkirah Subuh.


Saya mengambil ruang itu untuk memperingatkan diri sendiri dan sekalian yang hadir dengan tuntutan istiqamah pasca Ramadan. Hanya satu daripada empat rukun istiqamah saya sentuh, berdasarkan tafsir Surah Hud ayat 112 hingga 114.


Usai berkuliah, saya pulang ke rumah dan segera menyarung pakaian riadah.



[image error]


Tidak pasti masyarakat Bangi beriadah di mana, saya kira kawasan kediaman kami sudah cukup baik untuk menjadi trek berjogging. Alhamdulillah, saya berjaya melangsaikan jarak 4km, sebelum isteri saya pula turun bersama dan saya menemankan beliau berjogging untuk sedikit tambahan jarak dan masa.


Terima kasih juga kepada empat ekor anjing yang menyergah saya di sebalik bukit.


Saya perlu membaca huraian ahli Tafsir tentang anjing Ashaab al-Kahf untuk meredakan 'kebencian' saya kepada spesis haiwan yang satu ini. Mungkin pengalaman cedera diserang anjing semasa kanak-kanak dahulu masih menebal traumanya di dalam ingatan.


Saya juga sempat menghantar sms kepada Zainal Lutfi dan Ahmad Shakir, mengajak mereka beriadah di mana-mana sahaja mereka berada, bagi merawat 'lemangitis' yang berbahaya itu. Saya mahu keluarga saya sihat. Saya juga mahu sahabat-sahabat saya sihat. STC perlu menjadi syarikat ikon Halalan Tayyiban.


Bersarapan pagi dengan epal, agak keterlaluan bunyinya. Namun itulah rezeki saya untuk baki seminggu dua program diet yang berbaki.


Catatan ini biasa-biasa sahaja.


Tidak ilmiah dan tiada falsafah.


Hanya mahu mencelikkan hati melihat 1001 perkara luar biasa, di sebalik rutin harian yang biasa-biasa.


Bukankah itu luar biasa?


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Nostalgia Biasa-biasa Yang Luar Biasa
Kepercayaan Biasa dan Luar Biasa
Menghebatkan Tafsiran Sebuah Kehidupan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 03, 2011 19:27

September 2, 2011

Jangan Tutup Mulut Yang Mengata

[image error]


"Hah, macam ini baru smart. Kalau dulu…." ulas seorang rakan.


Ayatnya tidak habis.


Saya tersenyum.


Tidak perlu ayat itu dihabiskan. Saya boleh menyambungnya sendiri dengan realiti semalam yang saya hidup dengannya.



Bukan sekali, tetapi kerap sekali. Sangat kerap kenalan yang memuji perubahan diri, ada ayat yang tidak habis di hujungnya.


Saya mengambil 'fenomena' itu sebagai hakikat bahawa selama ini, orang mempunyai pendapat tentang keadaan fizikal saya. Mereka mungkin tidak senang, tidak suka, menyampah, atau mungkin kecewa malah skeptis dengan kegemukan yang saya 'miliki'. Namun dek rasa hormat, atau enggan jaga tepi kain orang, maka komen-komen itu tidak sampai ke telinga saya.


Saya menghargainya.


Sekurang-kurangnya pada ketika itu, mereka tidak menyeksa atau menambah seksaan kepada emosi saya. Tidak sekejam mereka yang menulis komen di blog dan Facebook, "ustaz gemuk ini, satu antara dua sahaja; sama ada banyak makan benda haram, atau banyak makan benda halal banyak-banyak, akhirnya haram!"


Sakit.


Tanpa iman, ada orang mungkin boleh nekad membunuh diri kerana kata-kata itu.


Tiada orang gemuk yang gembira dengan kegemukannya. Malah orang-orang gemuk itu sudah secara senyap-senyap mula percaya bahawa mereka ditakdirkan gemuk, dan mati akibat komplikasi kegemukan. Satu bentuk 'bunuh diri' yang halus, kerana berhenti berharap dan menyarung sebuah putus asa.


Tetapi…


Mendiamkan diri (apatah lagi berpendapat namun sekadar mengumpat di belakang) tidak akan mengubah apa-apa. Bagaimana anda boleh mengatakan anda sayang kepada ustaz itu, tetapi anda membiarkan dia menzalimi dirinya sendiri. Atau kerana kononnya sayang, apabila berkata-kata, anda tidak memilih untuk mengurangkan bisa pada bilah perkataan yang diguna?


Orang gemuk itu sakit.


Apakah adabnya menyakiti orang sakit?


Bukankah Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda,



عن أنس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: انصر أخاك ظالماً أو مظلوماً، فقال: رجل يا رسول الله صلى الله عليه وسلم أنصره إذ كان مظلوماً، أفرأيت إذا كان ظالماً كيف أنصره؟! قال: تحجزه أو تمنعه من الظلم، فإن ذلك نصره

Daripada Anas Radhiyallahu 'anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda, "bantulah saudaramu, sama ada dia itu menzalimi atau dizalimi." (Seorang sahabat) bertanya, "seorang lelaki itu wahai Utusan Allah, aku membantunya jika dia dizalimi. Bagaimana pula boleh seorang yang menzalimi itu aku membantunya?" Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam menjawab, "Engkau menyekat atau menghalangnya daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya demikian itu adalah bantuan untuknya" [Hadith riwayat al-Bukhari]


Orang yang kegemukan sedang menzalimi dirinya.


Dan jika dia itu seorang suami, bapa, pemimpin, majikan, dia juga sedang menzalimi mereka yang berada di bawah tanggungannya.


Mereka mesti dibantu.


Mereka perlu diberitahu.


Atas rasa kasih sayang dan ukhuwwah, pada mengimani pesanan Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam, "tidak sempurna iman sesiapa dari kalangan kamu, sehinggalah dia suka untuk saudaranya apa yang dia suka untuk dirinya" izinkan artikel pendek ini memberitahu:


"Ustaz, jangan mengalah. Kena berubah. Kena bermujahadah. Kegemukan itu musibah"


Orang tidak menyebut di hadapan kita. Tetapi di belakang mereka mengata, ustaz.


Tolong mereka agar mereka berhenti menzalimi diri mereka dengan mengumpat lagi mengata.


Jangan cuba tutup mulut mereka.


Buatlah yang lebih mudah.


Iaitu kita berubah.


Susah, tetapi… Insha Allah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra




Related posts:Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Layan Jangan, Lawan Pun Jangan
'Tentang Bulan' Yang Mengecewakan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 02, 2011 19:57