Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 93
August 10, 2011
Menguruskan Sebuah Hijrah
Lama sungguh saya tidak mengemaskinikan blog.
Proses berpindah rumah dari Ampang ke Bandar Seri Putra sungguh menekan. Terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan dalam masa yang singkat. Namun syukur, segalanya berjalan lancar, walaupun Tragedi 1 Ramadan hasil sebuah keletihan yang bersangatan, masih menghantui diri.
Saya cuba menguatkan semangat untuk mengekalkan anak-anak bersekolah di Khalifah Model School, Ampang. Setakat ini segalanya masih teratur. Sejurus selepas solat Subuh, saya atau isteri bergilir-gilir bergerak menuju ke Ampang sejauh 30km untuk memastikan anak-anak kami mendapat pendidikan yang kami dan mereka harapkan.
Moga semangat itu kekal hingga ke sekurang-kurangnya 15 tahun akan datang.
Rindu pada jiran tetangga di Ampang.
Namun bersyukur juga mendapat jiran-jiran yang baik.
Surau juga berdekatan, dan indah sekali kerana ramai warga Surau al-Hijrah di Bandar Seri Putra adalah kenalan lama dan baru saya. Subhanallah, tiada yang lebih daripada rumah baru ditemukan dengan surau baru. Lebih indah apabila surau baru pula dimakmurkan oleh insan-insan yang dekat di hati.
Cuma, hasrat menjadi John Doe itu agak terjejas.
Semoga Allah melimpahkan Rahmah dan Barakah.
Mungkin saya tiada membuat 'Doa Selamat', sebaliknya hanya mengajak pasukan kerja datang ke rumah sama-sama membaca Surah al-Baqarah untuk mengambil nasihat Baginda Sallaahu 'alayhi wa sallam:
"Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya Syaitan lari meninggalkan rumah yang dibacakan di dalamnya Surah al-Baqarah" [Hadith riwayat Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Related posts:Hijrah Kali Ini – Update
Menguruskan Fikiran Tentang Perkahwinan
Sebuah Hijrah Kerana CINTA
August 3, 2011
Memilih Kerjaya Antara P, I, E dan S
[image error]
Merancang untuk mengubah dunia, bermula dengan mengubah diri!
"Nak ambil tawaran yang mana satu?" saya bertanya kepada isteri.
Beliau termenung.
Mungkin kedua-dua tawaran ada pro dan kontranya.
Tawaran pertama ialah sebagai pegawai penyelidik. Gaji RM1400 sebulan. Pejabat berhampiran dengan stesyen LRT dan saya belum ada lesen kereta. Menyelidik memang keseronokan saya. Dibayar gaji untuk berfikir, apakah ada yang lebih baik daripada itu?
Tawaran kedua ialah sebagai co-trainer, membantu pengarah di sebuah syarikat motivasi, perlu out station mungkin mencecah beberapa belas hari dalam sebulan, dan gaji yang ditawarkan ialah RM800 sebulan. Insya Allah elaun out station akan ditambah serba sedikit bergantung kepada komitmen.
ANTARA TANGGUNGAN DAN TAWARAN
Ketika itu saya sudah mempunyai dua cahaya mata.
Sedang mengendalikan perang dalaman kerana berasa malu tatkala isteri yang seorang doktor, gajinya hampir tiga kali ganda berbanding gaji suami.
Rumusannya pada masa itu ialah menghitung pertimbangan antara perkembangan PIES. P mewakili Physical, I mewakili Intellectual, E mewakili Emotional dan S pula mewakili Spiritual.
Kedua-dua pekerjaan itu tidak mempunyai konflik dengan S.
Kepercayaan saya melihat bahawa kedua-duanya adalah pekerjaan yang halal, murni dan selari dengan tujuan hidup saya.
Ada pun P, nyata sekali tawaran kerja yang pertama itu lebih kondusif. Gajinya hampir sekali ganda. Usaha hendak ke pejabat juga lebih mudah kerana berhampiran dengan stesyen LRT. Namun saya ada konflik dengan I dan E.
Dari aspek I, saya belum mempunyai metodologi yang kemas untuk menjadi seorang penyelidik, walaupun sesi temuduga sudah berjaya saya manfaatkan untuk meyakinkan panel tentang keupayaan saya menganalisa situasi dan mendatangkan hasil kajian. Saya juga merasakan betapa pekerjaan itu akan banyak menuntut aspek I dan kurang menyumbang kepada pembangunan I sedia ada, sedangkan saya masih di peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan tanah air selepas 11 tahun hidup di perantauan.
Manakala E, saya ini bernafsu besar terhadapnya.
Jika saya minatkan sesuatu, demam pun saya sanggup datang kerja. Emotional Quotient saya amat berdominasi. Malah cabang E iaitu aspek Social turut saya pentingkan. Saya sangat berat hati kerana 11 tahun hidup di perantauan dan didahului dengan 5 tahun menjadi anak asrama semasa di sekolah menengah, saya tidak kenal ramai orang. Saya kurang pergaulan. Lama duduk di luar negara, saya tidak tahu orang Malaysia ini sebenarnya bagaimana. Dan aspek S yang melantik saya sebagai pendakwah, saya dahagakan input E.
Atas pertimbangan itu, akhirnya saya membuat keputusan yang berat.
Saya memilih tawaran kedua.
JUSTIFIKASINYA
Saya yakin pekerjaan di bidang jururunding dan latihan akan membuka lembaran baru dalam kehidupan.
Mendapat didikan daripada majikan yang amat berpengalaman di dalam dakwah dan latihan, bakat menulisnya yang sudah diketahui umum, dan peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat amat saya mahukan. Hari ini berkursus dengan Top Management sebuah syarikat gergasi nasional, kemudian dengan murid sekolah bermasalah, diikuti dengan ustaz-ustaz di dalam sebuah organisasi kewangan Islam, kemudian akak-akak penyiram bunga sebuah PBT yang kebanyakannya buta huruf, dan seterusnya pelajar cemerlang di sekolah terbilang, disusuli pula dengan 1001 jenis manusia yang 'dihantar Tuhan' ke program kami… saya lelah, tetapi terasa amat pantas belajar dan berkembang.
"Abang kerja apa gaji seciput macam ni?" tanya seorang pegawai bank semasa saya mahu menunaikan cek.
Muka saya merah padam.
"Hari ini lauk telur!" kata isteri saya.
Pasrah.
Beratnya pekerjaan saya itu ialah, pekerjaannya tidak difahami oleh 'orang luar'. Saya tidak mampu meyakinkan orang tentang prospek kerja saya itu sebab kerja saya tidak difahami oleh ahli keluarga. Apa yang jelas ialah ukurannya banyak berkisar pada insentif P iaitu wang.
Ia krisis besar buat diri saya.
"Makan duit bini ke?" kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.
Apabila insan-insan di keliling kita memandang rendah kepada kerja yang kita lakukan, itu tandanya mereka mempunyai pandangan hidup yang berbeza. Kita ada dua pilihan. Sama ada menukar kerja dan mendapat satu manfaat jangka segera yang mahu dicapai itu. Atau pun menukar pandangan hidup mereka melalui kesungguhan kita dan keyakinan kita sendiri terhadap apa yang kita lakukan. Kuncinya hanya satu iaitu, APAKAH PANDANGAN ANDA SENDIRI TERHADAP PEKERJAAN YANG ANDA LAKUKAN?
Jika kita menghormati dan menyanjungi pekerjaan tersebut, rasa hormat orang lain akan terbina sedikit demi sedikit. Dan dengan pandangan hidup yang semakin sama, manfaat yang terhasil bukan satu atau lima, tetapi infiniti!
Biar pun manfaat P amat terbatas dan saya bekerja keras siang malam untuk menampungnya, manfaat I, E dan akhirnya S amat terasa. Ia sangat bagus untuk masa depan saya, dan masa depan masyarakat yang menanti peranan optimum saya.
TAWARAN DATANG
Selepas beberapa tahun bekerja di syarikat berkenaan, saya didatangi pelbagai tawaran kerja yang menawarkan gaji hingga tiga ke lima kali ganda daripada gaji pada masa tersebut.
Bekerja sebagai content editor di sebuah syarikat penyiaran, bekerja sebagai Pengarah Wilayah bagi sebuah NGO bertaraf antarabangsa, bekerja sebagai Penyelidik Kualitatif di sebuah syarikat Oil and Gas di negara Teluk, serta tawaran mengembangkan kerjaya sebagai kaunselor di sebuah hospital ternama, semuanya memberikan kelegaan yang besar pada tekanan hidup di era gaji RM800 di Kuala Lumpur dengan anak dua dan bakal menjadi tiga.
Namun pekerjaan-pekerjaan itu mengorbankan banyak aspek kehidupan saya yang lain. Saya tidak mampu hidup puas dan gembira dengan tawaran gaji RM6000 sebulan ketika saya gagal diyakinkan tentang kemewahan aspek I, E dan S yang turut penting buat diri ini, tanpa sebarang kompromi.
Saya dengan berat hati namun yakinnya bulat dan keras seperti batu, saya menolak semua tawaran itu.
Saya yakin satu perkara:
Memilih pekerjaan yang besar P tetapi kecil E yakni gaji bagus tetapi kerja tanpa minat akan menyebabkan P berkemungkinan bertambah tetapi bersama E yang semakin mengecil. Akhirnya P terjejas turut terjejas.
Ada pun pekerjaan yang aspek P kecil tetapi E besar, akan sampai masanya E terus subur dan P bertambah.
Apa yang penting I (Intellectual) mesti terus berkembang dan S (Spiritual) mesti sentiasa memandu.
Keyakinan itu saya kongsikan bersama adik-adik yang baru menamatkan pengajian dan sedang berada di persimpangan memilih kerjaya yang mungkin berbeza daripada kelulusan dan jauh daripada manfaat awal jangkaan.
Pertimbangan P sahaja kurang memadai kerana P akan berkembang pesat apabila I, E dan S berkolaborasi bersama. Lebih menyeronokkan, apabila anda bekerja bersama pemimpin yang tidak tidur malam kerana berfikir dan merancang bagaimana hendak menjadikan anda insan berjaya. Saya sudah merasainya, dan saya juga mahukan perkongsian yang sama untuk dirasai oleh adik-adik semua.
Begin with the end in mind…
[Kredit kepada Tuan Fazrul Ismail, jurunding pakar daripada Total Success Training & Consultancy yang berkongsi tatafikir dalam hal ini]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Related posts:Sembang Ahad: Pengkhususan Kerjaya
Antara Syukur dan Kufur
Antara Kak Nor dan Encik M – Update
Mengadu Sepi
[image error]
Manusia bukan Sang Bestari
Membaca luka di hati
Madunya pahit, tidak berperi
Kerana mereka sepertimu, lemah mengerti
Mengadu…
Biar di dalam sunyi
Biar di laman sepi
Tiada suara kanan dan kiri
Namun datang bisikan rohani…
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran)" [Al-Baqarah 2: 186]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Yusuf Dalam Kembara Sepi di Pasar Abdi
Dzulqarnain (i): Memperincikan Biodatanya Bukan Kehendak al-Quran
Fitnah Petunjuk Istikharah
August 1, 2011
Tragedi 1 Ramadan
[image error]
"Mohon maaf, saya sungguh-sungguh tidak dapat hadir sebab saya mengantuk" saya menghantar sms.
Bukan sms betul.
Hanya imaginasi saya.
Tidak dapat saya bayangkan, memberitahu sesiapa bahawa saya tidak dapat menunaikan komitmen hadir ke program atau buat apa yang perlu dibuat, dengan alasan saya MENGANTUK.
Mengantuk tidak setaraf dengan kanser, serangan jantung atau sakit buah pinggang.
Mengantuk juga tidak seserius diarrhea, atau migrane.
Ia lebih selalu dikaitkan dengan sikap. Atau kelemahan diri.
"Sudah tahu ada program, tidurlah secukupnya" mungkin demikian penegasan kebanyakan kita, kalau isu mengantuk mahu dijadikan alasan.
Dua tiga minggu ini memang jadual saya amat padat. Sama seperti Syaaban di mana-mana tahun semenjak mula pulang bekerja di tanah air, ia memang bulan yang amat sibuk. Namun saya tidaklah ketagih kerja hingga lupa pada keperluan diri. Jika letih, saya berehat.
"Ustaz ok ke, tak cuti-cuti ni?" soalan yang sering Zainal Lutfi, PA saya tanya.
"Jangan bimbang akhi. Kalau ana penat dan tidak larat, ana akan beritahu anta" saya menjawab.
"Staf cuti, bos yang tak cuti. Macam mana tu?" tanya isteri saya.
"Staf tengok bawah ke atas. Bos tengok atas ke bawah. Lain ceritanya. Insya Allah esok abang free !" saya memujuk.
SHELL PORT DICKSON
"Ustaz sampai pejabat dalam pukul berapa?" Zainal menghantar sms.
Terjaga.
Saya sebenarnya sedang berhenti di sebuah stesyen minyak di MRR2. Tidur selama setengah jam. Saya berasa amat letih selepas menghantar anak ke sekolah. Mengetahui yang saya ada tempoh masa sejam sebelum pejabat beroperasi, saya sengaja berhenti di stesyen minyak tersebut untuk tidur sedikit. Setengah jam sudah memadai.
"Maaf, ana tertidur setengah jam. Insha Allah dalam jam 9 ana sampai pejabat" saya membalas.
Memang banyak urusan di pejabat yang perlu diselesaikan, sebelum kami bertolak ke SHELL Port Dickson untuk kuliah Ramadan tengah hari nanti. Banyak emel jemputan belum dijawab. Pelbagai urusan menanti untuk diuruskan. Semasa saya dan PA di Kota Bharu, kami hampir tidak mahu menyentuh tentang soal kerja dan memberi sepenuh hati kepada program Bicara Selebriti anjuran Kerajaan Negeri Kelantan tempoh hari.
Sekitar jam 10:45 kami bertolak ke SHELL Port Dickson.
Saya memandu.
Selalunya saya memandu ke lokasi ceramah, supaya Zainal dapat membantu proses update lokasi serta menyemak arah tuju ke tempat program.
Kami tiba tepat masanya. Urusan ceramah di kawasan operasi pemerosesan minyak SHELL di Port Dickson memerlukan kami mematuhi proses saringan keselamatan yang ketat. Kami perlu memakai pakaian khusus untuk masuk ke kawasan berkenaan. Biar pun agak rumit, ia pengalaman yang menarik buat saya, apatah lagi Zainal yang di usia adventerous beliau.
"Seronok juga jadi penceramah. Macam pelakon, boleh jadi doktor, jadi nelayan, jadi macam-macam. Jadi penceramah pun boleh pakai pakaian sebegini dan masuk ke kawasan berisiko tinggi seperti ini" saya mengomel.
Teruja dengan pelbagai peraturan ketat yang dikenakan. Kereta wajib diparkir secara reverse parking. Macam-macam peraturan besar dan kecil wajib dipatuhi, kerana kawasan ini amat bermusuh dengan 'kecuaian'. Ia boleh menjadi malapetaka besar yang sukar dibayangkan manusia.
Terkenang saya, kalaulah Neraka Akhirat itu pun mampu diawasi oleh kita semua. Betapa inflammable dan kritikal api Neraka itu!
Ceramah berjalan lancar. Saya diberi peluang empat sesi sepanjang Ramadan ini.
Usai berprogram, Zainal menawarkan kepada saya untuk memandu pulang. Sudah tentu saya menyetujuinya. Tambahan pula ada 113 Facebook Notification dan 53 emel menunggu untuk diberi perhatian, apabila 2 jam telefon saya direhatkan di pondok keselamatan SHELL Port Dickson.
Tiba di pejabat di Bangi, saya singgah selama setengah jam untuk menyudahkan beberapa urusan. Syukur kerana dapat juga bertemu dengan Tuan Fazrul Ismail untuk mengemaskini jadual kerja.
"Padat jadual Ramadan, ustaz. Tahun-tahun lepas pun padat juga seperti inikah?" tegur Tuan Fazrul.
"Padat tetapi tidak sepadat ini. Tetapi tahun lepas, kerana tidak padat, besar masalahnya" saya menjawab.
Kami tersenyum. Masing-masing faham.
"Tapi sebelah malam kosong. Memang ana kosongkan. Jadi wajarlah siangnya lebih padat. Ramadan bulan bekerja dan berjuang" saya membuat kesimpulan.
"Maaf, ana kena berangkat balik. Nak ambil anak di sekolah jam 4!" saya meminta izin untuk beredar.
TRAGEDI 1 RAMADAN
Perjalanan dari Bangi ke Ampang memerlukan sekitar setengah jam dalam keadaan trafik biasa.
"Zainal, kalau ada apa-apa, sms ana ye!" saya meninggalkan pesan.
Saya perlu mengambil anak-anak di sekolah. Isteri berada di rumah menguruskan hal ehwal mencabut peralatan elektrik untuk urusan pindah rumah sehari dua lagi.
Ramadan… semua orang tahu betapa teruknya trafik Ramadan di Kuala Lumpur.
Saya yang keletihan dan dahaga selepas berceramah dan berpeluh sakan semasa di SHELL PD yang panas itu, menahan sabar.
Rasa mengantuk sungguh luar biasa.
Jam sudah hampir pukul 5. Kasihan anak-anak saya termangu di sekolah.
"Abang sedang beristighfar menahan diri daripada 'mencarut'. Jem terukkk!" saya menghantar sms semasa berhenti rehat seketika di SHELL Lebuhraya PLUS.
Terlalu letih dan mengantuk.
Tidaklah terlintas di hati mahu 'mencarut'. Saya hanya memetik kata-kata saya sendiri di dalam ceramah, termasuk di SHELL PD tengah hari tadi. Orang yang reaktif, mencarut apabila jalan sesak, berzikir apabila jalan lapang. Sama ada dia mencarut atau berzikir, penentunya ialah keadaan trafik. Susahlah begitu!
"Ya Allah, mengantuknya!" saya menghantar SMS kepada Zainal.
Mata seperti berpinar-pinar.
Saya tidak berani tidur kerana takut terlajak lama memandangkan anak-anak sudah lama menunggu di sekolah.
Memandu perlahan-lahan, mengesot-esot di celah kesesakan jalanraya, saya memutuskan untuk mengikut jalan dalam untuk ke sekolah anak.
Tidak jauh daripada simpang rumah saya, apa yang paling saya takuti terjadi.
Rempuhan kuat kereta saya kepada lori di hadapan mencetuskan hentaman yang amat kuat. Syukur saya memakai tali pinggang.
Dalam tempoh sesaat, segalanya berubah.
Perkara pertama melintasi fikiran saya hanya satu, "akhirnya ia terjadi!"
Saya tidak rasa terkilan dengan nilai kebendaan kereta. Memang saya masih beruntung kerana saya sendirian di dalam kereta tanpa isteri dan anak-anak. Saya sendiri tidak mengalami apa-apa kecederaan. Tetapi saya berasa amat terkilan kerana akhirnya saya dihukum dengan kegagalan saya mematuhi Sunnatullah.
Mengantuk mesti tidur.
Daripada Anas radhiyallahu 'anhu, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam pernah bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, hendaklah dia itu tidur sehinggalah dia tahu apa yang dibaca akan dia" – riwayat al-Bukhari.
Apakah ada urusan yang lebih penting daripada solat? Sedangkan solat juga jangan sampai melanggar hukum alam ini.
[image error]
Kedi termenung di tepi kereta bersama saya yang kebingungan
Maafkan saya wahai isteri dan anak-anak yang dikasihi.
Maafkan saya wahai kakitangan syarikat.
Kemalangan ini bukan contoh yang baik daripada saya untuk kalian.
Saya akur ia sebagai kaffarah dan tazkirah keras daripada ALLAH, untuk orang degil seperti saya.
Inna Lillaah wa Inna Ilayhi Raaji'oon!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Selamatkan Penceramah Daripada Lautan Kereta Ramadan
Tragedi Emosi Krismas
Ramadan Tetamu Dataran Syam
July 30, 2011
Kami di Serambi Mekah, Terimalah Ia Sebagai Mujahadah dan Ibadah Dalam Ukhuwwah
[image error]
Foto ihsan Urusetia HAI
Tahun lalu, saya terlepas peluang ini.
Berada di Jordan, saya tidak dapat menerima jemputan untuk bergandingan dengan Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazi) dan Wardina Safiyyah Fadhlullah bagi menjayakan Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam 2010 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.
Alhamdulillah tahun ini saya sekali lagi menerima jemputan untuk program yang sama.
Saya tidak melepaskannya.
Kali ini gandingannya mungkin bukan tidak berperingkat Nusantara, tetapi untuk sebuah negara bernama Malaysia, panelis Bicara Selebriti kali ini cukup memberangsangkan. Hingga saya menggelar barisan panelis, "The Trouble Makers of the Nation".
[image error]
30 Julai 2011 cukup bersejarah.
YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah mengatur program dengan menjemput saya menjadi panelis, bersama tokoh-tokoh hebat tanah air. Barisan 'diketuai' oleh 'selebriti pengganas negara', Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, Wardina Safiyyah Fadhlullah, Sham Kamikaze dan moderator daripada TV AL-HIJRAH, Amin Idris.
Kami dihimpunkan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan di dalam sebuah majlis gilang-gemilang. Montaj dan set pentas yang jelas menampakkan kesungguhan pihak penganjur mempromosikan satu takrifan baru bagi sebuah keperluan hidup bernama HIBURAN. Jauh daripada tuntutan sebuah industri, hiburan diketengahkan sebagai suatu cara memanifestasikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna namun kekal manusiawi.
Banyak aspek hiburan Islam dikupas secara ilmiah tetapi santai oleh Dr MAZA membabitkan isu penggunaan alat muzik, suara wanita sebagai aurat, serta prinsip-prinsip yang membentuk apa yang dinamakan sebagai hiburan Islam. Itu yang seronoknya dengan forum, penceramah mengambil peluang belajar daripada penceramah yang lain. Alhamdulillah.
Wardina dan Sham Kamikaze pula banyak diajak mengupas tentang pengalaman masing-masing sebagai artis yang pernah berada di 'dua alam'. Perspektif yang mereka kongsikan, menimbulkan soalan kontroversi daripada hadirin apabila Encik Amin mengajukan soalan, "mengapakah ada artis yang berani menyatakan sokongannya kepada parti Islam, tetapi dalam masa yang sama, ada pula ustaz yang tidak berani melakukan perkara yang sama".
Soalan diajukan kepada saya.
Artis tidak wajar digandingkan dengan ustaz, kerana seolah-olah kedua-duanya berdiri tidak sama tinggi dan duduk tidak sama rendah dalam asas soalan yang ditanya. Hakikatnya Allah menilai manusia berdasarkan TAQWA. Andai seseorang itu bertaqwa, mulialah dia di sisi Allah, sama ada mereka itu artis, mahu pun ustaz.
Ustaz-ustaz yang tidak secara jelas menyatakan pendirian mereka tentang hal-hal politik, tidak wajar diburuk sangkakan sebagai penakut. Apakah dakwah sembunyi di era Mekah itu ditakrifkan sebagai era penakut? Tentu sahaja tidak. Isunya ialah keutamaan. Kita tidak tahu setiap ustaz atau mana-mana pendakwah itu berada di daerah mana dan apakah keutamaan yang dipertimbangkan mereka.
Maklum sahaja dengan Malaysia, pakai baju kuning pun boleh dilabel komunis!
Maka selagi mereka tidak secara jelas menyokong kezaliman, kita mesti ada baik sangka terhadap mereka. Si empunya dirilah yang bakal menjawab soalan Allah tentang hal-hal itu. Kita mesti mengurangkan sikap menilai dan menghukum.
Akan tetapi apabila para ustaz atau siapa sahaja secara jelas menyokong kezaliman, apatah lagi menyokongnya dengan memberikan alasan agama, mereka musuh Allah, biar pun berijazah Syariah!
NILAI UNTUK PERIBADI
Program ini memberikan nilai yang tersendiri kepada diri saya.
Pertamanya, ia adalah tanda sokongan saya kepada sahabat sepengajian yang sudah beberapa penggal menjadi ADUN, iaitu YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, untuk sama-sama membantu mengisi kemenangan di negeri Kelantan, sedaya mungkin.
SHAM KAMIKAZE
Keduanya, ia menjadi pertemuan pertama saya dengan Sham Kamikaze yang sudah saya ikuti perkembangannya melalui liputan media alternatif dan jaringan sosial. Seorang sifu dalam muzik tetapi membawa paradigma Islam, persembahan beliau yang bersahaja malam tadi sangat menusuk kalbu hingga menitiskan air mata, sama seperti alunan yang pernah saya dengar di persembahan seni klasik Uthmaniyyah di khemah-khemah Ramadan selepas Tarawih di Istanbul suatu ketika dahulu.
Subhanallah.
Orangnya juga sungguh baik hati dan tenang, menampakkan bahawa hijrah yang berlaku kepadanya jauh daripada pengaruh emosi, sebaliknya cukup rasional dan tenang sebagai bekalan konsistensi yang penting. Saya mendoakan istiqamah dan sejahteranya perjalanan Abang Sham hingga hujung kembara.
[image error]
WARDINA SAFIYYAH
Saya juga gembira kerana sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan Wardina Safiyyah selepas lama tidak direzekikan menjejak kaki ke Sri Pentas.
Kekentalan dirinya di dalam perjuangan di medannya yang tersendiri, jika tidak sebesar impaknya kepada masyarakat, saya yakin ketegasan dan ketinggian jati diri Wardina banyak memberi inspirasi kepada rakan artis yang lain untuk meyakini ketinggian hidup berteraskan rezeki yang HALAL, menafikan ketuhanan tuhan-tuhan palsu dalam mengenakan kehendak mereka yang sering membelakangkan kehendak Allah, dalam industri hiburan.
AMIN IDRIS
Sudah tentu wacana-wacana ini dikendalikan secara begitu profesional tetapi kekal santai oleh peguam selebriti yang menghormati hak-hak kebebasan bersuara menurut jaminan Perlembagaan Malaysia, iaitu sahabat yang saya kasihi, saudara Amin Idris. Beliau petah mengusik, mengutip peluang dan melontar provokasi hingga Wardina sendiri beberapa kali terkunci mulut tidak mampu berbicara. Seperti persaingan antara TV Al-Hijrah dengan TV3 pula.
Tentu sekali yang menang bukan JAKIM atau Media Prima, tetapi Amin dan Wardina selaku pejuang di medan mereka yang tersendiri.
USTAZ ASRI
Kemuncak kepada segala-galanya, setelah lama terpisah jauh, membawa diri ke medan perjuangan yang berliku-liku, saya kembali digandingkan dengan sifu saya dalam mengertikan hidup berjuang, iaitu Ustaz Asri, yang lebih mesra di hati saya berbanding bintang-bintang semasanya sebagai Profesor Madya, Doktor, atau Pengganas (?), seperti yang dilabelkan secara dungu baru-baru ini.
Jika di suatu ketika, banyak ijtihad beliau yang menimbulkan keresahan di lubuk jiwa saya sebagai saudara yang mengasihinya dari jauh, kini Ustaz Asri kembali berjaya menyuntik kekuatan dan keyakinan di hati saya, agar menetapkan kaki, tidak dipalingkan oleh rencam manusia, sebaliknya hanya melihat satu antara dua, yang dijanjikan Allah sebagai habuan sebuah perjuangan.
Tidak dapat saya sembunyikan, saya rindukan Ustaz Asri.
Pagi Ahad, keluar bersama beliau bersarapan bersama Ustaz Wan Syarafi dan ditemani Zainal Lutfi, saya tidak banyak berkata-kata. Hanya mahu mendengar celoteh Ustaz Asri, ceritanya, dan hati saya memulangkan 1001 Tahmid kepada Dia.
BERNASYID
Demi menyempurnakan permintaan YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, saya menerima hajatnya untuk saya menyampaikan sebuah nasyid yang berfungsi sebagai anchor kepada mesej di dalam program Bicara Selebriti itu. Saya menyampaikan sebuah nasyid dendangan Usrah al-Wadi Mesir pada tahun 1995 iaitu Wasiat Sayyid Qutb (versi 2).
[image error]
Nasyid itu saya semak kembali selepas mencari penawar duka atas pemergian srikandi perjuangan, al-Marhumah YB Dr. Lo'lo' Mohd Ghazali baru-baru ini. Wasiat Sayyid Qutb itu saya tujukan kepada setiap pemuda-pemudi agar obor yang ditinggalkan, terus dibakar menyinar cahaya.
WASIAT SAYYID QUTB
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Kita pasti berjaya
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan
Kerna pejuang tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya
Relakanlah pemergianku ini
Iringiku dengan seribu doa
Semoga kita kan berjumpa semula
Di taman Syurga yang indah
Keberadaan di Kota Bharu kali ini bukan pertama kali.
Alhamdulillah, saya beroleh rezeki beberapa kali setahun untuk hadir ke negeri Serambi Mekah ini atas jemputan pelbagai pihak untuk mengisi pelbagai program. Namun jarang sekali saya berpeluang untuk bersiar-siar dan mencari sentimental value peribadi di celah-celah pekan Kota Bharu yang eksotik itu. Lazimnya hanya datang dan terus ke lokasi program, kemudian terus ke Lapangan Terbang usai tamatnya program.
[image error]
ZAINAL LUTFI
Syukur kehadiran kali ini disertai oleh Pengurus Operasi STC yang juga pembantu peribadi saya, Zainal Lutfi.
Tidak penat atau mengeluh sepanjang mengiringi saya bersama urus kerja ke sana sini, kehadiran beliau buat pertama kali di negeri Kelantan selepas kelana menuntut ilmu di bumi Uncle Sam, kami mencelup-celup masa meninjau Kota Bharu serta menghirup hening Subuh di Masjid Muhammadi. Kali terakhir saya bersubuh di masjid itu, mungkin sekitar 17 tahun yang lalu.
Saya juga menjadikan tempoh 24 jam di Kota Bharu kali ini sebagai peluang menemukan Zainal Lutfi dengan semua jaringan sosial saya, mendedahkan beliau dengan pelbagai perkongsian bersama-sama insan hebat seperti YB Ustaz Ahmad Baihaki, Prof Madya Dr Mohd Asri, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Amin Idris, serta beberapa sahabat lama yang sempat saya temukan.
Semoga sesi ini menyuntik keyakinan kepada anak muda ini, juga rakan-rakan segenerasinya, agar semasa tiba masanya generasi kami sirna dimamah masa, obor yang menyala itu disambut penuh optimis oleh mereka pula untuk mengejar sebuah kemenangan.
Jadilah manusia hebat. Manusia biasa yang luar biasa.
Terima kasih kepada TV Kelantan kerana menyiarkan siaran Bicara Selebriti ini secara LIVE di internet. Penonton yang begitu ramai, turut memberi peluang kepada isteri saya mengikutinya dari rumah kami. Jarak yang memisahkan, menjadikan kami kekal dekat, sebagaimana dekatnya Kelantan di hati kami, sebagai negeri tempat Islam dibumikan.
Ramai juga rakan Facebook, Twitter, Blog, tidak dilupakan rakan sepengajian di Jordan, rakan seperjuangan di London, Cardiff, Cork, dan ramai lagi, turut hadir bersama. Namun apakan daya, kekangan masa tidak mengizinkan saya untuk berbual panjang dengan setiap kalian. Namun seribu penghargaan atas kesungguhan hadir bersama.
Saya dan Zainal Lutfi meninggalkan Kota Bharu, demikian juga barisan panelis dan moderator, dengan 1000 doa agar semarak perjuangan diteruskan.
Ya Allah, lindungilah negeri Serambi Mekah ini daripada kejahatan, malapetaka, kezaliman dan pengkhianatan, dengan kebesaran-Mu. Kuatkan kami untuk menumpaskan Jahiliyyah yang tidak pernah berhenti memadam cahaya-Mu, ameen ya Rabb al-'Aalameen
Ambo saye Kelate.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Grand Riverview Hotel, Kota Bharu Kelantan
Related posts:Berdiet Sebagai Ibadah
Jangan Gopoh Dalam Bicara
Projek Komik Digital Dzulqar9 – Super Sinergi Kami
July 29, 2011
DIET: Topik Baru Dakwah
[image error]
Berbual topik diet bersama adik-adik yang menjadi AJK Muslim Overseas Camp. Anak muda ini perlu diingatkan bahawa usaha menjaga kesihatan dan berat badan jauh lebih mudah berbanding menurunkannya di kemudian hari. Mencegah lebih baik daripada mengubat
"Jadi, sudah 30kg ustaz turunkan?" tanya pengerusi majlis.
"Alhamdulillah, lebih kurang begitulah" saya membalas.
Kami mengambil tempat masing-masing di kerusi makan.
"Turun berat badan tu, hanya sekadar dietkah ustaz?" seorang lagi AJK program bertanya.
"Tidak juga. Doktor memberitahu saya, rukun penurunan berat badan mesti digabungkan antara senaman, diet dan perubahan cara hidup yang menyeluruh. Antara yang paling ditegaskan ialah membetulkan 'pattern' tidur" saya menyambung.
"Oh, tidur macam mana?" berminat sekali beliau bertanya.
"Doktor pesan supaya sentiasa berusaha tidur awal. Saya sasarkan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, mesti tidur jam 11 malam. Jadi, lepas ceramah kena tahan muka memberitahu orang masjid, saya nak balik tidur!" saya bercerita.
Mereka ketawa.
"Senaman macam mana pula?" tanya AJK Protokol.
Tangannya rancak mencedok nasi ke pinggan semua. Di pinggan saya nasi tidak menyinggah kerana sudah sedia maklum.
"Mula-mula, zaman 133kg dahulu hanya lakukan Plank Exercise. Sedikit demi sedikit, boleh tingkatkan. Kini saya sasarkan tiga kali seminggu berjogging. Dapat setengah jam pun jadilah. Untuk sekitar 3000 steps bagi satu sesi. Turunkan jumlah lemak, tingkatkan jumlah otot, naikkan metabolisma, dan terapi emosi. Lebih baik berbanding beriadah di dalam gimnasium" saya berkongsi, sambil menjamah timun, ulam raja dan salad.
"So, ustaz tak pergi ke gimnasium?" sampuk salah seorang lagi AJK yang sebelum ini hanya memerhati.
"Sesekali. Ada benda di gimnasium itu yang susah nak dapat di tempat lain. Kalau nak kempiskan perut yang menggelebeh macam wanita lepas bersalin ini, saya gunakan dumb bell. Berdiri, tegakkan tangan ke atas sambil menggenggam dumb bell dan naik turun ke paras berlutut macam ketok ketampi tu banyak-banyak. Ia akan sasarkan otot di bahagian perut" ujar saya.
[image error]
"Mana ustaz tahu semua tu?" tanyanya lagi.
"Ada yang doktor ajar. Ada yang saya baca. Ebook Kevin Zahri tu bagus. Di dalam iPhone ini pun ada aplikasi ALL FITNESS. Lengkap dengan video demo dan penerangan" saya menunjukkan aplikasi berkenaan di iPhone saya.
Perbualan terus berjalan rancak.
Semenjak memulakan program diet, dan saya sentiasa menyebutnya serba sedikit di celah ceramah, hampir 100% perbualan di meja jamuan selepas program akan tertumpu kepada isu-isu kesihatan, makanan dan diet.
Kasihankan Zainal Lutfi dan Ahmad Shakir sahaja, apabila mereka meneman saya ke lokasi program, hampir pasti mereka akan mendengar topik yang sama.
Saya pun boleh jemu juga.
Tetapi mengubah paradigma berkaitan topik itu daripada sembang kosong atau sekadar tentang diet kepada topik dakwah, maka adrenaline rush saya boleh meningkat semula. Seronok.
Saya juga semakin perlu membetulkan apa yang saya faham tentang pemakanan, penjagaan kesihatan diri, maklumat tentang sistem yang membentuk fisiologi tubuh, kerana semakin lama, mereka yang berada di sekeliling saya semakin menuntut fakta, dan bukan lagi cerita.
Akhirnya, ia menjadi topik dakwah baru.
Penjagaan kesihatan diri.
Diet.
Kesedaran tidur awal.
Mengubah hidup secara holistik.
Ia masih baru buat saya, namun saya amat bersemangat menerokanya. Menawarkan solusi total untuk kehidupan bersendikan TAQWA. Dengan TAQWA, fizikal diperbaiki, dengan taqwa juga intelektual dibina, dengan taqwa emosional dikembangkan dan taqwa terus menjadi tunjang spiritual. Baru lengkap penerangan dan amalan ISLAM sebagai DEEN AL-HAYAH (sistem kehidupan).
Alhamdulillah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Manual Diet Demi Deen
Kekuatan Doa Semasa Diet
Diet Erti Hidup Pada Memberi
July 28, 2011
Bukan Kesalahan Menderma Organ
[image error]
Semasa berkuliah Maghrib baru-baru ini, hati saya sangat tersentuh mendengar khabar berita bahawa seorang anak muda, telah kembali ke rahmatullah, meninggal dunia selepas mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada seorang pesakit. Beliau meninggalkan seorang isteri dan anak yang berada dalam keadaan tersepit akibat kejadian yang tidak dijangka itu.
Kutipan derma kilat dilancarkan untuk membantu isteri almarhum dan anaknya.
Namun hati saya berasa tidak tenteram dengan cakap-cakap orang ramai tentang kejadian tersebut. Ada yang mula mempersoalkan tentang keharusan menderma organ, melabelnya sebagai 'mencampakkan diri ke dalam kebinasaan' dan ada juga yang sampai mempersoalkan motif almarhum menderma organ, adakah kerana mahukan 'nama', keluar surat khabar, dan akibatnya, beliau menemui ajal.
Astaghfirullah.
Seseorang yang sihat hanya dibenarkan menderma organ apabila seluruh ilmu pengetahuan, kemahiran dan teknologi semasa mengesahkan keselamatan beliau selaku penderma apabila menderma. Atas keyakinan itu, pendermaannya adalah satu kebajikan yang sangat besar. Jika berlaku komplikasi dan kemudiannya si penderma itu sakit malah hingga membawa maut, maka kematiannya adalah kematian yang mulia biar pun tidak dikategorikan sebagai mati syahid.
NAMUN, punca kematiannya MESTILAH DISIASAT kerana beliau meninggal dunia bukan kerana pendermaan organ tersebut, tetapi 'perkara-perkara tidak kena' yang berlaku di pihak hospital yang mengendalikan pendermaan itu, atau pihak-pihak ketiga yang lain.
Semoga Allah merahmati almarhum si penderma organ, mengurniakan sabar dan tsabat ke jiwa isteri dan anaknya, dan dikurniakan kesihatan dan kehidupan yang berkualiti lagi berkat buat si penerima organ. Dan buat kita semua, bertaqarrublah kepada Allah pada memelihara lisan dan fikiran daripada hasutan syaitan dan nafsu yang menimbulkan kekeliruan yang memudaratkan.
Wallahu A'lam.
Artikel berkaitan:
BADAN SIHAT, ORGAN DERMAKAN, HIDUP MEMBERI
Related posts:Badan Sihatkan, Organ Dermakan, Hidup Memberi…
Sekalung Doa Buat Siti Salmah
Iman Bukan Warisan
Meletakkan Tanda di Sebuah Perjalanan
Maafkan saya jika perjalanan ini saya perlihatkan ia seperti sesuatu yang mudah.
Perjalanan yang sungguh berliku.
Hanya yang empunya diri dapat merasakan apakah 'luka' yang terbit semasa menatap gambar ini.
Semoga tiada lagi jalan berpatah pulang.
Moga istiqamah di perjalanan ini.
Perjalanan menentang sebab-sebab mati.
Agar mati datang bukan lagi mati yang dicari-cari
Related posts:My Life The Movie: Perjalanan Mencari Sebuah Kedamaian
14 April 2010: Mengimbas Sebuah Perjalanan
Ibrah #2 di Perth: Memaknakan Sebuah Percutian
July 27, 2011
Fadhilat Bekerja Sendiri
"Tak sempat. Kesesakan jalan raya menyesakkan dada!" kata-kata orang KL.
Ia bukan alasan yang sengaja diada-adakan. Ia realiti. Memang susah hendak mencari masa beriadah.
Tetapi di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam sendiri berlumba lari dengan isterinya, Aishah radhiyallaahu anha bukan semasa cuti hujung minggu. Baginda mengarahkan para sahabat bergerak dahulu di dalam satu misi, dan apabila baginda dan isteri tinggal berdua di belakang, mereka bersukan!
Nabi sallallaahu alayhi wa sallam sibuk. Tiada masa. Baginda mengadakan masa.
Bagi saya, bekerja sendiri memberikan kelebihan yang besar dalam hal ini.
Selain bebas berpendapat dan memakai lencana serta tshirt kuning semahunya, saya juga boleh berjogging, ber'plank exercise' dan ber'Tabata' sebelum masuk ke pejabat.
Saya juga berharap agar warga kerja saya yang diberi kelonggaran masa untuk masuk ke pejabat, memanfaatkan insentif social and business norm ini bagi faedah fizikal. Berjogginglah, setiap perubahan fizikal sama ada berat badan, kesihatan, atau apa sahaja yang menjadi refleksi hidup sihat, Insha Allah akan saya ganjarkan sebaiknya buat kalian.
Hidup sihat.
Hidup berkat.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Taman Tasik Ampang Hiliran
Related posts:Dirimu Itu Sendiri Adalah Sistemnya
Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
Allah Akan Membuktikan Isi Hatimu
July 25, 2011
Kekuatan Doa Semasa Diet
[image error]
Bergambar bersama Dr Mahathir Mohamed, pembimbing diet saya. Turut bersama Tuan Fazrul Ismail, coach saya, juga adik-adik kepimpinan Mahasiswa UKM, usai Seminar Transformasi Ramadan baru-baru ini.
"Ustaz, apakah doa yang ustaz baca apabila rasa tersangat lapar sepanjang program diet ini?" tanya doktor kepada saya.
Termenung seketika.
Alhamdulillah sepanjang empat bulan saya mengusahakan perubahan diri, saya tidak pernah menjadi terlalu lapar.
Namun sesekali, memang terasa rindu pengalaman mengunyah nasi, biar pun rasa nasi sudah tidak sesedap dulu.
Tetapi apabila dikenang, memang benar. Perubahan fizikal juga berdepan dengan tuntutan istiqamah. Seperti yang saya sebutkan di dalam Seminar Transformasi Ramadan baru-baru ini, bahawa Taqwa memberi kesan kepada keseluruhan aspek hidup kita.
Kesan Taqwa ke atas fizikal
Kesan Taqwa ke atas intelektual
Kesan Taqwa ke atas emosional
Kesan Taqwa ke atas spiritual
Dan sudah tentu, spiritual itu tunjang segala-galanya.
Kekuatan spiritual adalah kekuatan paling besar dan paling diperlukan untuk mengukuhkan azam melakukan perubahan.
Teringat kenangan semasa menaiki pesawat Emirates ke Dubai beberapa bulan yang lalu. Pesawat yang kosong, memberi ruang kepada saya untuk 'menyendiri' di sepanjang perjalanan. Dua kerusi di kiri dan kanan kosong. Tatkala hidangan makan malam dihidang, saya diuji dengan Nasi Briyani ayam, kek span cokelat dan pelbagai makanan, semasa saya memang kelaparan. Ketika itu, boleh sahaja saya makan. Apalah sangat 'tipu sehari', esok kembalilah ke diet. Lagi pun bukan ada sesiapa yang nampak. Tiada siapa yang kenal saya.
Ketika itu fizikal kita menyuruh makan. Intelektual memproses ilmu untuk mencipta alasan mengharuskan. Emosional membuak menyuruh makan. Yang tinggal hanya spiritual. Kerohanian diri yang memberitahu, perubahan yang kulakukan bukan untuk sesiapa melainkan untuk diri sendiri. Hormatilah pandangan diri terhadap diri sendiri. Dan kehormatan itu benar-benar menjadi sesuatu yang kukuh, apabila Allah kita sedari bahawa Dia menjadi saksi.
Bukan hanya Allah sebagai saksi, malah Allah yang Maha Pengasih itu memberikan kepada diri ini tubuh badan yang sejahtera, bukankah menjaga dan memeliharanya adalah manifestasi SYUKUR yang besar.
Keresahan malam itu terubat dengan sepotong doa yang saya ulang-ulang sepanjang masa:
[image error]"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya." [Aal 'Imraan 3: 8]
Rahmat Allah itulah limpahan tenang di dalam hati.
Mintalah ia setiap hari, daripada Tuhan yang Maha Memberi.
Perubahan ini tiada jalan pulang.
Di persimpangan antara hidup dan mati, pilihlah banyak jalan yang membawa kepada kehidupan, agar tinggi harga sebuah kematian, suatu hari nanti.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Related posts:Diet Erti Hidup Pada Memberi
Manual Diet Demi Deen
AGENDA 2008 di Pulau Bugis