Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 81

April 8, 2012

GADIS SEMASA di Masjid Besi Putrajaya

[image error]


Sudah lama saya tidak berpatisipasi di dalam program anjuran Nisa'.


Dulu ada sebuah program di Kompleks PKNS Shah Alam. Pernah juga di Masjid Shah Alam berdekatan. Ada sekali berforum di Hotel Quality. Nisa' merupakan sebuah NGO yang aktif menganjurkan program-program yang berbentuk pemerkasaan ilmu di dalam komuniti wanita kita.


Alhamdulillah pagi tadi, saya berpeluang menyertai sebuah program anjuran Nisa' Putrajaya.  Kuliah Dhuha kali ini diadakan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya. Tajuk yang diberikan adalah GADIS SEMASA.



Di celah-celah kesibukan tugas, saya mengambil peluang menyemak lembaran-lembaran buku berkaitan biografi tokoh-tokoh gadis atau wanita di kurun emas Islam. Kita ada senarai nama yang panjang, bermula daripada Khadijah bin Khuwailid, Aisyah bt. Abu Bakr, Fatimah al-Zahra', Asma' bt. Abu Bakr, Zunairah al-Rumiyyah, Ummu Salamah, Sumayyah dan ramai lagi sahabiyyat, radhiyallaahu 'anhum ajma'een.


Membaca Sirah kehidupan mereka, saya tertanya-tanya bagaimanakah persepsi GADIS SEMASA semasa membacanya. Adakah sama seperti saya? Kita bukan hanya perlu membaca, tetapi kita kena tahu apa yang hendak dicari dalam bacaan itu. Sebab itu ada ribuan buku Sirah, setiap satunya signifikan kerana setiap satunya membantu kita mencari.


Apa yang GADIS SEMASA sepatutnya cari?


[image error]


klik imej untuk besarkan paparan


Sesungguhnya di dalam sejarah, semasa dan masa depan kita, umat telah memiliki Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma' yang telah berdiri untuk zaman mereka.  Apa yang kita mahukan adalah GADIS SEMASA yang memiliki kualiti-kualiti Khadijah, Aisyah, Fatimah dan Asma' untuk berdiri dalam bahasa kita, mendepani cabaran kita dan menjadi srikandi untuk zaman kita.  Kualiti mereka itu yang hendak dipetik dan dipeluk sebagai karakter bawaan semasa.


KHADIJAH


Khadijah radhiyallahu 'anha memaparkan watak seorang wanita yang unik. Mengimani Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam ketika baginda masih keseorangan dalam membawa risalahnya, Khadijah adalah contoh wanita terpuji yang berkerjaya, dinamik, beranak pinak dan berhasil pada mendidik anak-anaknya, cerdas pandangan, berani menongkah arus dan semuanya dilakukan dengan penuh keseimbangan di dalam persekitaran rosak yang penuh tekanan.


AISYAH


Aisyah radhiyallahu 'anha pula kelihatan sebagai seorang wanita yang 'hidup', penuh 'emosi' dan intelektual yang tinggi, menjadi 'pencabar' peribadi kepada pengendalian hidup oleh suami yang mulia, menjadikan Sirah Baginda tidak akan berwarna warni untuk menjadi uswah hasanah kita, tanpa seorang isteri, anak murid, teman karib, penghibur dan sesekali 'perunsing' seorang manusia mulia yang amat manusiawi bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.


FATIMAH


Fatimah al-Zahra', anak perempuan kesayangan Rasulullaah sallaallaahu 'alayhi wa sallam, seorang insan yang amat hampir dengan baginda. Anak seorang VIP yang dipandang mulia, baik dari sudut pandang siapa ayahnya, mahu pun bonda. Namun Fatimah membesar dengan watak wanita berpengaruh. Bijaksana, tegas, tahu apa yang dimahukannya, dan tidak pernah menjadi mangsa status diri. Beliau bukan anak VIP yang 'spoilt'!


Dia penghulu wanita di Syurga.


[image error]


klik imej untuk paparan lebih besar


Semasa berbicara tentang perkakas-perkakas benteng diri semasa, timbul sebuah persoalan.


Antara anak gadis yang suka bertanya, sesekali melawan kata, adakalanya lebih menenangkan kita berbanding dengan anak gadis yang pendiam, dengar, taat dan patuh namun pemikirannya tidak pernah kedengaran, tahap cengkaman kepercayaan tidak sampai ke pengetahuan. Biar pun anak gadis yang 'baik' itu mendengar kata, tetapi kata-kata mereka juga perlu diperdengar dan didengar. Adakah GADIS SEMASA mempunyai karakter itu?


Lebih menjadi keutamaan, adakah karakter diri mereka kuat?


ERA DAJJAL


GADIS SEMASA adalah gadis yang hidup di era fitnah Dajjal.


Justeru, zaman memerlukan bukan wanita lemah lembut sopan longlai yang  'jinak'.


Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pemikirannya tajam. Namun tajamnya tidak sampai meluka!


Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pendiriannya teguh. Tetapi keyakinan dan teguhnya dia tidak sampai jadi taassub.


Kita memerlukan GADIS SEMASA yang pembawaannya degil. Tetapi degilnya tidak sampai tidak boleh diajar.


Jati dirinya tepat dengan pertimbangan semasa, di atas neraca Al-Quran, al-Sunnah, serta Fitrah kemanusiaan yang diperkasa.


[image error] klik imej untuk paparan lebih besar


Semoga perkongsian ringkas Dhuha itu bermanfaat buat semua, ameen.


Kepada Nisa', teruskan perjuangan. Jangan lelah.


Tajuk Kuliah Dhuha pagi tadi adalah integriti dan kompetensi kalian.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 08, 2012 08:52

April 5, 2012

VLOG: Syaitan Menyesatkan Manusia Melalui Pemakanan


[image error]
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. [Al-Baqarah 2: 168]

[image error]
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah 2: 208]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2012 18:28

Forum di IJN: Mari Tumpaskan 'Syaitan Pemakanan'

[image error]


Forum Ulangtahun ke-20 IJN. [Kredit foto MHusaini Ibrahim]


Alhamdulillah.


Itulah sebaik-baik ungkapan untuk mengungkapkan rezeki yang dikurniakan Allah kepada saya petang tadi.


Selepas 4 tahun, saya berjaya kembali ke Institut Jantung Negara, persinggahan saya selama dua tahun mengutip pengalaman bertugas sebagai kaunselor pelawat suatu ketika dahulu.


Saya dijemput menjadi panelis di dalam Majlis Forum Islam bertajuk "Badan Sihat, Minda Cemerlang" bersama dua tokoh yang tidak asing bagi masyarakat di negara kita, Ustaz Dr. Shauqi Othman (UPM) dan Ustaz Hussain Yee (Yayasan al-Khadim). Forum dikendalikan oleh moderator, Ustaz Abdul Hadi Abdul Wahab (IJN).


Forum ini diadakan bersempena dengan sambutan Ulangtahun ke-20 Institut Jantung Negara.



Biar pun forum berlangsung dalam tempoh masa yang ringkas dan padat, ia memberikan makna yang cukup mendalam buat diri saya. Bangga sekali melihat IJN yang sudah beberapa tahun menikmati bangunan baru yang lebih luas dan canggih, kemudahan-kemudahan seperti Surau Jumaat, di samping pegawai agama yang bukan lagi seorang seperti 5 tahun yang lalu bahkan empat, saya mendoakan agar Institut Jantung Negara terus maju pada menjayakan peranan besarnya menjaga 'jantung' masyarakat.


[image error]


Para hadirin tekun mendengar pengisian


Sungguh teruja bertemu kembali dengan doktor-doktor pakar, terutamanya mereka yang aktif bergiat di dalam Badan Kebajikan Islam (BAKIP) IJN, juga rakan-rakan yang suatu ketika dahulu berjiran kubikel dengan saya di bilik basement. Ada ramai lagi yang ingin saya temui, namun tempoh yang amat singkat itu, tidak memungkinkannya.


SOALAN FORUM


Alhamdulillah soalan-soalan yang diajukan kepada kami juga bersifat mendidik. Terima kasih kepada Ustaz Shauqi Othman dan Ustaz Hussain Yee atas perkongsian bermakna. Saya diberikan soalan berikut sebagai topik perbincangan:


Menurut kajian saintis Mind Research Network, aras bahan kimia di dalam otak iaitu N- acetylaspartate (NAA) bagi individu yang mempunyai kepintaran yang tinggi adalah lebih tinggi berbanding individu yang sedrhana kepintaran nya. Untuk mengekalkan bahan kimia tersebut pada aras yang optimum adalah melalui diet dan amalan pemakanan yang baik.  Jika kita lihat kepada tabiat pemakanan masyarakat kita , mereka kebanyakannya tidak menjaga kesihatan dengan mengambil makanan yang menjejaskan kesihatan seperti junk food, makanan segera dan sebagainya yang boleh membawa kemudhratan kepada kesihatan masyarakat itu sendiri yang mana tahu bahawa tabiat pemakanan sebegitu akan mendatangkan penyakit-penyakit kronik yang boleh membahayakan kesihatan seperti darah tinggi , penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Jadi, Bagaimanakah islam melihat perkara ini dan bagaimanakah caranya dapat kita memperbaiki keadaan tersebut?


Syukur, soalan ini diajukan kepada saya, selepas 36kg berat badan saya berjaya dibuang.


MAKAN ADALAH IBADAH


Pemakanan, sama seperti kebanyakan isu lain, ia bermula dengan bagaimana cara kita melihatnya. Jika pemakanan dilihat sebagai sesuatu yang berasingan daripada keagamaan kita terhadap Islam, maka sikap kita dalam pemakanan akan berbeza dengan sikap yang wujud di dalam solat. Ketika solat kita akan patuh kepada peraturan-peraturan Allah kerana ia urusan yang berkaitan dengan Allah, seharusnya jika pemakanan itu adalah ibadah seorang hamba, maka kita akan makan berdasarkan peraturan Allah mengenainya.


Renungi salah satu firman-Nya berkaitan hal ini:


[image error]


Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. [Al-Baqarah 2: 168]


Makanlah apa sahaja di atas muka bumi ini.


Asalkan makanan itu HALALAN dan TAYYIBAN.


Makanan yang HALAL, sangat jelas keutamaannya. Tiada siapa yang menyanggah kepentingan isu Halal ini. Malah ada yang begitu sensitif dengan status HALAL, pulang dari kelab malam di Ireland dalam keadaan mabuk, bertanya adakah kebab yang dijual itu dagingnya halal!


Penyakit yang datang daripada perbuatan memakan makanan sampah (junk food), itu juga jelas hubungan langsungnya dengan soalan yang ditanya.


Tetapi bagaimana dengan makanan yang biasa-biasa ini?


Kita berpenyakit, mati (terbunuh?) bukan akibat makan makanan yang HARAM atau SAMPAH.


Kita menderita disebabkan oleh makanan-makanan yang HALAL, tetapi tidak TAYYIBAN.


JEJAK LANGKAH SYAITAN


Memakan makanan yang tidak Halal, sama seperti membelakangkan TAYYIBAN dalam pemakanan. Bukan soal fiqhnya, tetapi ia adalah jejak langkah Syaitan!


Syaitan amat mahu kita makan makanan yang HARAM.


Syaitan juga amat mahu kita makan makanan yang tercicir daripada pertimbangan TAYYIBAN.


Masakan tidak, namakan satu manfaat yang diperolehi oleh seorang insan (Ahsan al-Taqwim) daripada kegemukan?


Kegemukan mengundang penyakit fizikal, melemahkan mental, beriringan dengan kemerosotan emosional, memanifestasikan pembaziran dan sifat berlebihan, menjurus kepada tragedi spiritual apabila kita dibelenggu kemalasan dan kelesuan dalam beribadah…!


Allah!


Semuanya menjauhkan kita daripada Allah, dan sudah tentu mendekatkan kita kepada makhluk durhaka yang satu itu.


Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.


Ada 'Syaitan sekolah agama', ada 'Syaitan sekolah sekular'.


Syaitan sekolah agama, sesatkan pemakanan Bani Adam agar makan makanan yang tidak HALAL.


Syaitan sekolah sekular, sesatkan pemakanan Bani Adam agar makan makanan yang tidak TAYYIBAN.


Mari tumpaskan Syaitan!


Mulakan dengan menumpaskan nafsu.


Merdeka daripada penjajahan diri ke atas diri sendiri.


Mohonlah bantuan-Nya, ameen ya Rabb!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2012 08:08

April 3, 2012

Tanyalah Soalan ya Akhi!

[image error]


"Doktor menyatakan bahawa seruan kepada Negara Islam ialah seruan kepada mencontohi negara yang ditadbir oleh sahabat Nabi. Tetapi dalam masa yang sama doktor berulang kali menekankan perbalahan yang berlaku di kalangan sahabat berkaitan kepimpinan" saya melontarkan soalan.


Pembentang kertas kerja tekun mendengar soalan yang saya ajukan.


"Jadi, bagaimanakah kita nak meyakinkan masyarakat bahawa Negara Islam ini adalah sebuah agenda yang baik, jika seruannya ialah kepada mencontohi sekumpulan manusia yang bergaduh sejurus selepas kewafatan ketuanya?" saya menyudahkan soalan.


Jantung saya berdebar-debar.



Saya tahu, seluruh dewan sedang memandang ke arah saya. Paling kurang pun, 1000 orang sudah tentu kerana dewan penuh sepenuhnya.


Saya bertanyakan soalan itu kerana saya mengagak bahawa pembentang kertas kerja adalah seorang yang pro-Syiah dan memuja Khomeini. Dalam masa yang sama dia mengajak kepada Negara Islam. Negara yang penuh perbalahan, seperti yang beliau sendiri ceritakan. Maka saya bertanya kerana mahu melihat bagaimana beliau memberikan reaksi, juga supaya hadirin peka dengan konflik besar ini.


"Dalam hal perbalahan generasi Sahabat, kita tidak boleh sebut panjang-panjang. Semoga Allah mengampunkan mereka!" jawab pembentang kertas kerja tersebut.


"Maknanya para Sahabat memang bergaduh seperti yang Doktor sebutkan tadilah ya?" saya bertanya meminta kepastian.


"Ya" jawab beliau. Tegas.


Walaupun saya tidak bersetuju dengan pendapat tokoh tanah air itu, matlamat saya bertanya bukan untuk mengubah pendapat beliau. Siapalah saya, seorang budak Tahun 1 di Universiti Mu'tah, Jordan. Balik bercuti dan hadir ke seminar itu kerana ditugaskan untuk bertemu dengan seseorang. Tujuan saya bertanya, ialah untuk menzahirkan warna Syiah pembentang kertas kerja itu, dan terserahlah kepada hadirin untuk membuat penilaian.


Peristiwa pada tahun 1994 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu itu masih segar di ingatan.


Saya bukan mahu bercerita tentang isu Syiah atau Negara Islam. Saya hanya mahu berkongsi kisah, bahawa 'dulu-dulu', saya dan rakan-rakan memang tidak pernah melepaskan peluang bertanya. Sama ada seminar, forum, ceramah, tamrin, usrah, hatta kuliah di universiti, BERTANYA SOALAN sentiasa menjadi rukun wajib dalam proses belajar.


SEBAB BERTANYA


Kita ada banyak sebab untuk bertanya.


Kita bertanya kerana kita tidak tahu.


Kita bertanya kerana kita tahu, tetapi tidak jelas.


Kita bertanya kerana kita tahu, tetapi kita mahu orang lain tahu.


Kita bertanya supaya yang ditanya menyempurnakan penyampaiannya untuk manfaat semua.


Sentiasa ada sebab untuk bertanya.


Kebelakangan ini saya semakin lemas dengan susahnya mencungkil soalan daripada peserta. Sama ada program umum, seminar dan forum, kursus motivasi, bengkel pengurusan, mahu pun tamrin, usrah dan kuliah, saya jarang-jarang sekali mendapat soalan. Peserta senyum. Tengok kiri kanan. Tunduk. Sesekali datang soalan 'Adabi Gaya Pos' melalui kertas yang dihantar kepada moderator.


SOALAN SELEPAS TUTUP MAJLIS


Lebih membingungkan, apabila sesi soal jawab berakhir tanpa soalan, majlis ditutup dan kemudian peserta datang kepada saya bertanyakan soalan. Ada yang bersifat peribadi, tetapi banyak yang biasa-biasa sahaja. Kenapa tidak tanya semasa sesi soal jawab? Adakah mereka faham apa yang disampaikan? Tidakkah ada banyak konflik dalam pembentangan kita yang sepatutnya menggelisahkan mereka lalu mereka bangun bertanya?


Adakah mereka memproses apa yang disampaikan?


Adakah mereka BERFIKIR?


PROSES BERFIKIR


Tony Robbins menekankan bahawa berfikir ialah proses bertanya soalan dan menjawab soalan. Adalah sangat penting untuk kita tahu cara bertanyakan soalan yang betul untuk mendapatkan jawapan yang betul, supaya dengan itu kita mendapat hasil yang betul.


Persoalan ini adalah intipati Hadith Jibril 'alayhi al-Salaam semasa bertanya tentang Iman, Islam, Ihsan dan perihal Kiamat.


Lantas Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda, "Inilah Jibril, dia datang mengajar manusia akan agama mereka"


 Bukan sahaja hadith ini. Malah majoriti hadith adalah dalam format soal dan jawab.


Betapa besarnya Sunnah bertanya soalan dalam proses pembelajaran.


Biar pun saya tiada sebarang kaji selidik untuk membuktikannya, saya yakin jika kumpulan peserta banyak bertanya soalan, maka kumpulan itu berprospek untuk kemajuan. Manakala di peringkat individu, mereka yang sering mengambil peluang bertanya, dengan soalan-soalan yang bernas, Insya Allah 10 tahun akan datang mereka akan menjadi somebody!


Jenguk-jenguk di Facebook, blog dan Twitter pula memperlihatkan, soalan online semakin banyak, ketika sesi offline sepi daripada pertanyaan.


Misteri Nusantara!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2012 11:07

April 2, 2012

Biar Pun Kita Tidak Makan Babi

[image error]


"Orang Jepun tanya kenapa orang Islam tak boleh makan babi?" sekumpulan pelajar berbual santai bersama saya.


"Apa yang kamu jawab?" saya ingin tahu.


"Kami beritahulah mereka, selain Allah tidak benarkan, hikmahnya ialah di dalam daging babi itu ada sejenis organisma yang tidak boleh dimatikan walaupun dengan kepanasan 10000 Celcius!" kongsi mereka.


"Habis, apa kata mereka?" saya terus mendengar.


"Mereka tidak percaya!" kata anak-anak muda itu.


Kami ketawa.



Selain keabsahan fakta itu sendiri, memang orang Jepun susahlah hendak percaya. Mereka makan babi semenjak kecil, tetapi mati umur 80 tahun. 100 tahun pun ada. Umur 70 tahun, masih bersemangat membelek topi terkini di pasaraya terkemuka Tokyo dalam keadaan bongkok tiga.


Kita yang makan makanan Halal ini (ada cap JAKIM lagi), umur 35 tahun didiagnos dengan sindrom metabolik. 40 tahun disahkan mengidap diabetis. 50 tahun angina. 55 tahun stroke. 60 tahun, Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji'oon!


Itu sudah dikira 'okay'.


Di situlah mungkin tersilapnya kita. Begitu berhati-hati pada memastikan makanan yang dimakan itu HALAL, terlupa bahawa HALAL sahaja tidak cukup. Kalau mahu makan ikut peraturan Allah, makanan bukan sahaja perlu HALALAN malah TAYYIBAN. Halalan itu adalah kepatuhan kepada Syariatullah. Tayyiban pula adalah kepatuhan kepada Sunnatullah. Mematuhi peraturan Sains Pemakanan.


Halalan tengok ingredients.


Tayyiban tengok nutrition facts.


Dua-dua itu Islam.


Ambil separuh, tinggal separuh, tidak dapat khasiat Islam.


[image error]


Bayangkan contoh berikut:


Seekor unta (haiwan 'Islam'), kelahiran Arab Saudi (berhampiran Mekah), disembelih oleh Imam (bukan sebarang orang), Imam besar (bukan sebarang Imam), Imam besar Masjid negara (bukan sebarang masjid), sembelih pula subuh Jumaat (bukan sebarang masa), Jumaat terakhir bulan Ramadan (bukan sebarang Jumaat), malam tadi Lailatul Qadar!


Allahu Akbar!


Betapa HALALnya unta itu!


Ia dimasak kari, dimakan oleh Pak Haji pesakit darah tinggi…. mati orang tua itu!


Sifirnya ialah, makanan itu sangat Halal, tetapi tidak baik. Tidak Tayyib, untuk pesakit darah tinggi seperti Pak Haji!


Mati makan unta. Bukan makan babi.


DR. HINOHARA SHIGEAKI


[image error]


'Makanan Dr. Hinohara tiada label Halal, tetapi…'


Benar sekali kata-kata seorang manusia luar biasa bernama Dr. Hinohara Shigeaki, seorang doktor berbangsa Jepun kelahiran tahun 1911.


Kata beliau, biar pun ada pelbagai petua, saranan dan pilihan hidup di kalangan mereka yang berusia panjang, satu perkara yang pasti ialah tiada di kalangan mereka itu yang obes!


Kalau saya mahu menyeru Islam di bumi kelahiran Dr. Hinohara, saya mesti tunduk kepada nasihat beliau itu. Jadi 'ustaz obes' memang tidak kool. Bagilah apa-apa alasan pun.


Harap kita semua pun begitu.


Babi hindarkan. Nasi Arab dan kambing, berpada-padalah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 02, 2012 23:57

Jihad Melawan Obesiti, Ayuh Berforum!

[image error]


Bulan Mac baru-baru ini  genap setahun saya berada di dalam program Transformasi Diri.


Misi mengurangkan 40kg berat badan.


Ia seperti mencabut seorang murid tahun 5 yang melekat di badan, dibawa ke hulu hilir sebagai beban yang menyeksa keseimbangan metabolik diri.


Saya menempuh pasang surutnya. Sehingga penghujung 2011, saya sudah berjaya menurunkan berat badan daripada 133kg kepada 96kg. Alhamdulillah, adalah sebaik-baik perkataan untuk menggambarkan apa yang saya rasa, percaya dan terima mengenainya. Saya diisytiharkan bebas diabetis. Rawatan dihentikan sepenuhnya. Seluruh rekod kolestrol menjadi normal. Saya kembali menjadi 'manusia'.



Semuanya ditempuh dengan pahit manis perjalanan. Penyesuaian sosial, sangat menguji diri. Syukur Alhamdulillah, isteri dan anak-anak menyokong tanpa berbelah bagi. Biar pun ada kalanya mereka turut murung apabila pilihan makanan saya menjadi terbatas terutamanya ketika mahu bergembira makan di luar, mereka berjaya menyesuaikan diri. Isteri saya pun menyertai aktiviti diet ini, dan beliau juga membuat catatan cemerlang yang memuaskan.


Emak saya pun memberi galakan juga sokongan. Dia tidak berkecil hati apabila rendang pedas ayamnya yang menjadi kegemaran saya semenjak kecil, tidak saya jamah. Saya hanya duduk semeja, menemankan emak makan, sambil mengunyah epal ala-ala herbivor.


Selepas 8 bulan berjuang, bersama saranan Dr. Mahathir agar saya 'berehat' dan berlatih untuk mengawal sendiri pemakanan, saya tersedar yang semua perubahan berlaku, ia masih belum menjadi tabiat. Ia masih memerlukan mujahadah. Saya kembali makan nasi, menjamah durian, menebus kembali makanan-makanan yang sudah 8 bulan ditalak! Sangka saya ia talaq ba'in. Rupa-rupanya ia talaq raj'i!


Nasi masih sedap.


Tambahan pula kalau Nasi itu Nasi Arab.


Saya cuba mengawal, menguji keupayaan memilih dalam kebebasan yang diberikan oleh doktor. Berat badan saya naik kembali!


Biar pun hanya 10kg berbanding penurunan lebih 30kg, ia tetap menggusarkan saya.


Syukur, catatan saya di blog banyak membantu. Saya ada rujukan untuk kembali pulang. Kembali ke perjuangan yang belum selesai. Dr. Mahathir sentiasa optimis. Beliau memberikan sokongan, biar pun untuk mengadap beliau kembali dengan berat badan yang naik 10kg, saya 'terpaksa dipaksa' oleh isteri. Beliau tidak mahu saya terus murung. Saya perlu teruskan perjuangan.


Bermula tahun baru, perjuangan diteruskan kembali.


Kawalan makan, pembetulan tidur, dan sebuah cross-trainer di rumah agar tiada lagi alasan untuk tidak bersenam. Semenjak berpindah ke Bandar Seri Putra, saya masih gagal bertemu lokasi yang menyeronokkan untuk aktiviti jogging. Sama ada Tasik Cempaka di Bangi yang kotor berbanding lokasi-lokasi di Cheras dan Ampang, mahu pun terganggu kerana sering ditegur orang.


"Hai ustaz!"


"Assalamualaikum ustaz!"


Sudah tentu secara spiritualnya saya menyambut sapaan itu dengan jiwa Muslim yang gembira. Tetapi secara emosi, saya terganggu.


Hal itu diatasi melalui alat-alat senaman pada lingkungan keupayaan diri, dilengkapkan di rumah. Dumb bell, tali skipping, Resistance Tube, dan sebuah cross trainer, senaman diusahakan menjadi tabiat di rumah. Alhamdulillah dalam masa 40 hari ini, 10kg tambahan itu sudah berhasil dibuang. Masih ada beberapa kilogram yang perlu saya atasi, dan sudah tentu kesihatan menjadi keutamaan, berbanding angka, yang lebih berperanan sebagai petunjuk untuk membimbing.


TREND PARA USTAZ


Syukur Alhamdulillah, Dr. Mahathir memberitahu saya bahawa ada ramai ustaz yang telah menyertai program yang sama. Sudah tentu, saya gembira dan bersyukur. Saya pernah berseloroh mengatakan, "mungkin Men's Health versi Malaysia pada tahun 2012 nanti akan menampilkan para ustaz sebagai model muka depan majalah kesihatan itu!"


Siapa tahu.


Saya ucapkan tahniah kepada para ustaz sama ada yang pernah saya temui berselisih di klinik Dr Mahathir, atau pun yang sememangnya turut menjadi perhatian umum, seperti sahabat yang saya kasihi al-Fadhil Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman al-Mubarak! Tidak dilupakan al-Fadhil Ustaz Johari Abdul Wahab yang menyertai program yang sama.


Trend kesedaran para agamawan terhadap kesihatan serta penjagaan penampilan diri ini merupakan hal baru, sekurang-kurangnya buat diri saya. Perjuangan mesti diteruskan pada mengikis imej 'geng kepala kambing' yang dikenakan kepada para ustaz dek kegilaan mereka terhadap kaware', ra's al-ghanam dan makanan-makanan eksotik kenangan mastautin negara Arab yang lain. Alhamdulillah 'peminat-peminat para ustaz' sudah beransur-ansur berhenti 'membunuh' ustaz mereka dengan hidangan makanan yang memendekkan nafas pejuang.


[image error]


Insya Allah pada 20 Mei 2012 akan datang, Timeless Clinic akan menganjurkan sebuah Forum Kesihatan dan Kecantikan Menurut Islam. Ia bakal menampilkan Dr. Mahathir Mohamed dan isteri beliau, Dr. Norhalina Azly Minhat sebagai panelis utama, dengan Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman selaku moderator, bersama saya dan Ustaz Johari Abdul Wahab sebagai panelis jemputan. Program yang bakal diadakan di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap KL ini, bakal mengupas pelbagai topik bersangkutan dengan prosedur-prosedur penjagaan penampilan diri, anti penuaan, penjagaan berat badan, daripada aspek Syariatullah dan Sunnatullah, dan saya amat teruja ke arahnya.


Jemput hadir bagi yang berkelapangan. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui halaman web Timeless Clinic:


Akal yang sejahtera, ada pada tubuh yang sentosa. Di situlah Agama didukung dengan Taqwa.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 02, 2012 12:26

Sinergi Pasukan Unggul Bersama KUIS

[image error]


Menerima jemputan untuk berprogram di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) adalah peluang yang ditunggu-tunggu.


Menjadi jiran kepada sebuah institusi pengajian tinggi, saya hanya menjadi pemerhati anak didiknya di pasar malam Bandar Seri Putra, serta menumpang solat Jumaat di Masjid al-Azhar. Kepingin sekali memetik buahnya, sama ada untuk dimakan, atau dikitar menjadi benih perjuangan.


Impian itu menjadi kenyataan.



Jabatan Sains dan Teknologi Maklumat menjemput saya bersama pasukan Synergy Training & Consulting untuk mengendalikan kursus Sinergi Pasukan Unggul selama dua hari bersama warga jabatan, akademik, pentadbiran dan sokongan. Jemputan diterima dengan rasa syukur, bersama harapan agar perkongsian kerdil kami dapat membantu warga jabatan merealisasikan agenda Transformation of KUIS yang diusahakan oleh warganya di bawah kepimpinan Rektor, Profesor Dato' Dr Aziuddin Ahmad.


[image error]


Perbahasan mengenai isu micro management: Anda dan beberapa orang rakan sepejabat telah diagihkan beberapa tugasan oleh Ketua dan ia diterima dengan rasa gembira serta bangga atas kepercayaan yang diberi. Namun Ketua anda hampir setiap hari bertanyakan perkembangan serta mengubah suai keputusan-keputusan anda yang dilakukan bersama pasukan. Bagaimanakah anda bertindak menangani isu pengurusan mikro ini?


[image error]


Pasukan ini melakukan sumbangsaran pada persoalan Sinergi: Anda diberikan sebuah tugasan yang anda fahami dan mempunyai potensi yang baik untuk ia dijayakan. Namun pekerjaan itu memerlukan kepada kerjasama pasukan kerana membabitkan beberapa kemahiran dan pengkhususan yang saling melengkapkan. Pasukan anda tidak memberikan kerjasama dan Ketua anda hanya mahukan 'output' akhir seperti yang dikehendaki. Bagaimanakah anda bertindak terhadap senario ini?


[image error]


Tuan Fazrul Ismail berkongsi maklum balas beliau berkenaan PIES dan CASIC


Program selama dua hari dijalankan pada menelusi topik-topik core pada membentuk sebuah PASUKAN, bukan sekadar sebuah kumpulan:



Manusia sebagai prime cause
Manusia sebagai subjek perubahan dan pemerkasaan
Insan holistik yang berintegriti dan berkompetensi
Memahami iceberg tingkah perbuatan manusia:


Kepercayaan


Aqidah
Keyakinan Diri
Kuasa Niat
Persepsi
Pandangan Hidup


Cara Melihat
Cara Berfikir
Hidup Kehambaan
Sibghah Allah: Al-Islam
Syariatullah
Sunnatullah
Sistem Nilai


Asas Keutamaan (Aulawiyyat)
Penimbul Keinginan Membara
Masukan Nilai Dalam Agenda Pendidikan
Saham KUIS: Permainan Simulasi P.I.E.S
4 Dimensi Manusia


Physical
Intellectual
Emotional / Social
Spiritual
Interaksi antara Intelektual vs Emosional
Komunikasi Efektif CASIC


Connect
Acknowledge
Serve
Inquire
Choice
Kajian Kes:


Konflik PIES
Micro Management
Konflik Keluarga vs Kerjaya
Komunikasi Organisasi

Semoga perkongsian selama dua hari ini membantu warga kerja Jabatan Sains dan Teknologi Maklumat bekerja dengan penuh integriti dan kompetensi, dan sentiasa beroleh 'kunci' yang dijanjikan Allah kepada Ulul Albaab, hasil kemahiran mendengar 3600, dan menuruti apa yang terbaik daripadanya.


Salam harapan dan ukhuwwah daripada warga Synergy Training & Consulting dan rakan seperjuangan, Total Success Training & Consultancy.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 02, 2012 07:25

April 1, 2012

Jangan Beri Cul-de-Sac Kepada Umat

[image error]


"Aku telah membunuh 99 orang. Apakah pintu taubat masih terbuka buatku?" tanya lelaki itu.


"Tidak!" jawab si Rahib.


Jawapan itu tidak merungkai masalah, ia menimbulkan satu lagi masalah. Rahib itu dibunuh. Genap mangsanya 100 orang. Pertanyaannya kepada penduduk negeri tentang orang alim yang bisa membantu, menemukan beliau dengan seorang rahib yang menawarkan jalan buntu!



Pembunuh 100 mangsa itu bertanya lagi kepada penduduk negeri, siapakah orang alim yang bisa menolong. Dia diajukan kepada seorang tokoh.


"Aku telah membunuh 100 orang. Apakah pintu taubat masih terbuka buatku?" tanya lelaki itu.


"Ya, ia selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat itu buat kamu? Pergilah kamu ke negeri sekian sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri kamu, kerana negeri kamu telah rosak!" jawab orang alim itu.


Jawapan itu mendesak lelaki berkenaan meneruskan perjalanan. Kembara ke negeri yang disebut, demi sebuah penyelesaian. Dia berjalan dengan harapan, 100 manusia yang telah dibunuh dengan darah mereka basah di tangan dan memori, tidak mematahkan semangat si lelaki untuk keluar daripada kebuntuan diri.


Perjalanannya berlangsung dalam bentuk yang tidak diduga.


Dia mati dalam kembara.


Kematian yang menjadi asas khilaf antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Apakah taubatnya yang hendak dihitung, atau dosanya yang tinggi menggunung. Muncul Malaikat ketiga memberitahu agar tubuh yang rebah di bumi Allah itu diukur antara destinasi harapan dan lokasi dosa, nyata dirinya mati dalam perjalanan hijrah yang menjadikan dia lebih hampir ke negeri taubat berbanding negeri dosa. Jasadnya dibawa Malaikat Rahmat.


Demikian Imam Muslim meriwayatkan sebuah kisah oleh Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam daripada Abu Sa'id al-Khudri radhiyallaahu 'anhu.


Kisah penuh teladan.


Pada harapan seorang insan yang tidak putus asa daripada rahmat Tuhan.


Pada fikrah seorang Rahib yang menawarkan jalan buntu pada yang memohon dibantu.


Pada hikmah seorang Alim yang menawarkan harapan dan jalan penyelesaian pada yang memohon pertolongan.


JALAN MATI


Agamawan mesti 'merampas kembali' pengenalan diri 'problem solving' yang kini lebih dirujuk kepada intipati diri seorang jurutera, berbanding diri dan peranan mereka yang dicatat sejarah sebagai kumpulan manusia yang sentiasa sibuk mengantisipasi permasalahan.


Jangan beri cul-de-sac kepada umat.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 01, 2012 17:12

March 26, 2012

Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman


[image error]


SEMINAR PEMBANGUNAN KARAKTER BERTERASKAN SURAH LUQMAN


"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya, 'Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar' " [Luqman 31: 13]


Insha Allah, Synergy Training dan Consulting dengan kerjasama Akademi Sinergi akan menganjurkan Siri ke-2 Ibrah Quran di dalam bulan April 2012 ini, "SEMINAR PEMBANGUNAN KARAKTER BERTERASKAN SURAH LUQMAN".


Pada seminar kali ini, pihak kami berhasrat untuk mengembangkan salah satu kriteria unik pada Ashabul Kahfi, iaitu soal "Pembangunan Karakter", dengan menggali worldview dan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Surah Luqman, sebagai substans kepada usaha membangunkan karakter di semua peringkat, iaitu di peringkat keluarga, tempat kerja, sekolah dan platform seumpamanya.



Penyampainya, tidak asing lagi, adalah AL-Fadhil Ustaz bin Hasrizal Abdul Jamil. Beliau sudah menyampaikan kuliah pengajian Surah Luqman di beberapa buah surau di sekitar Lembah Kelang secara bulanan. Memandangkan respon dan sambutan positif yang ditunjukkan oleh warga surau, pihak Akademi Sinergi mengambil inisiatif menghimpunkannya menjadi 2 hari sahaja, bagi membuka peluang kepada masyarakat umum mempelajarinya secara intensif dan berstruktur.


Manakala kuliah umum terus berlangsung di surau-surau pilihan, yang boleh dirujuk kepada jadual program al-Fadhil ustaz.


MAKLUMAT ASAS:



Hari : Sabtu & Ahad
Tarikh: 21 & 22 April 2012
Masa: 9:00am – 5:00pm
Lokasi: Auditorium Utama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

*Pelaburan: RM 200.00


(tambahan RM40 kepada yang memerlukan jamuan makan tengahari, minum pagi dan minum petang)


Pada akhir seminar ini, peserta akan mampu :



Mengenalpasti cabaran-cabaran semasa yang melibatkan soal karakter di pelbagai peringkat dan melihat secara kritikal proses pembentukannya dalam sistem pendidikan semasa dan masyarakat
Mendefinisikan beberapa kata kunci penting dalam Surah Luqman, bagi membentuk worldview yang tepat dalam mengoperasikan pendekatan-pendekatan dalam usaha pembangunan karakter
Meneroka EMPAT dimensi pembentukan karakter, iaitu Fizikal, Intelektual, Emosi & Spiritual yang terkandung dalam Surah Luqman
Menghubungkan prinsip-prinsip pembangunan karakter dalam Surah Luqman ke dalam konteks dan peranan masing-masing

Perubahan yang mahu dilakukan sebaiknya bermula dengan 'circle of influence' yang paling dekat dengan kita. Dengan itu, seminar ini disasarkan kepada :



Ibu bapa yang merancang mahu menjadikan platform keluarga sebagai proses pembentukan karakter yang solid kepada anak-anak
Penggerak atau aktivis masjid yang mahu berperanan membina karakter masyarakat yang kukuh beridentitikan Islam melalui institusi masjid
Wakil organisasi, persatuan atau syarikat yang berminat membangunkan karakter staf atau ahlinya
Individu atau kumpulan pengkaji yang berminat membuat kajian dalam Pembangunan Karakter berintipatikan Surah Luqman
Mahasiswa atau persatuan mahasiswa yang mahu menyerapkan usaha pembangunan karakter sebagai intipati tarbiyah di kampus masing-masing
Guru-guru dan warga pendidik yang berhasrat membentuk karakter anak didik di sekolah masing-masing
Pemimpin-pemimpin masyarakat, politik atau NGO yang mahu menjadikan platform mereka ke arah usaha 'empowering' masyarakat
Penulis atau penggiat seni yang berminat menyebarkan intipati Surah Luqman melalui medium penulisan, karya, novel, skrip drama atau filem dan seumpamanya
Sesiapa sahaja yang mahu mendalaminya atas sebab dan niat murni yang pelbagai

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai seminar ini, mohon hubungi:


Encik Firdaus  : 016-2220782


Encik Zainal  : 019-3624195


Atau emelkan pertanyaan kepada:


info@akademisinergi.com / akademisinergi@gmail.com


Untuk info tambahan, mohon tekan ikon di bawah:


 





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 26, 2012 19:06

March 24, 2012

Lega Dengan Sebuah Kematian?

[image error]


"Kalaulah Tsunami itu berpunca daripada murka Allah, kenapa Tsunami tidak melanda negara orang-orang jahat? Mengapa Acheh?" soal seorang lelaki.


"Kasihan anak kecil itu. Mati tersedak susu!" keluh seorang penonton berita.


"Lu punya perangai, pigi mampos lagi baik maa!" marah seorang warga kota.


Ada pelbagai ungkapan tentang kematian. Ada yang lega. Ada yang mempersoalkan. Ada yang kehairanan. Ada yang seperti tidak berbaloi. Ada yang semacam mempersoalkan nilai keadilan. Persoalan-persoalan yang sukar dijawab kerana si mati sudah tidak boleh bercerita tentang kehidupannya selepas mati.



Urusan alam ghaib.


Kecuali datang penjelasan seorang insan, yang juga manusia seperti kita, tetapi insan mulia itu dipilih Allah menjadi jambatan pada menyampaikan urusan ghaib daripada 'Aalem al-Ghaib wa al-Syahadah kepada makhluq penghuni alam nyata. Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam.


[مَالِكٍ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ كَانَ يُحَدِّثُ


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - مُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ ، فَقَالَ: مُسْتَرِيحٌ وَمُسْتَرَاحٌ مِنْهُ !


قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْمُسْتَرِيحُ وَالْمُسْتَرَاحُ مِنْهُ؟


قَالَ : الْعَبْدُ الْمُؤْمِنُ يَسْتَرِيحُ مِنْ نَصَبِ الدُّنْيَا وَأَذَاهَا إِلَى رَحْمَةِ اللَّهِ ، وَالْعَبْدُ الْفَاجِرُ يَسْتَرِيحُ مِنْهُ الْعِبَادُ وَالْبِلَادُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ ].


رواه البخاري ومسلم


Sekujur jenazah dibawa melintasi Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam. Lalu Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda: KEREHATAN atau DIREHATKAN DARIPADANYA. Baginda ditanya, apakah maksud kerehatan dan direhatkan daripadanya itu? Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam menjawab: Seorang hamba yang beriman, (dengan kematian itu) dia direhatkan daripada kesusahan dunia dan dibawa kepada rahmat Allah. Ada pun hamba yang jahat, kematian itu telah menyebabkan hamba-hamba Allah, tanah air, pohon-pohon dan haiwan-haiwan direhatkan daripadanya! [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]


Dalam Tsunami, orang baik-baik yang mati, direhatkan daripada keletihan dan penderitaan dunia. Orang-orang jahat pula, kematiannya merehatkan alam semesta.


Anak-anak yang meninggal dunia kerana kemalangan yang disabitkan oleh ibu bapa cuai yang tiada common sense, diselamatkan daripada terus hidup bersama dua manusia dewasa yang cacat cara berfikir. Anak-anak yang berisiko ketika bersama ibubapanya sendiri, yang sepatutnya menjadi pelindung kepada diri.


Berapa ramai manusia yang kematiannya adalah sebuah kurniaan kepada diri?


Berapa ramai manusia yang kematiannya adalah sebuah kurniaan kepada semua yang ditinggalkannya?


Muhasabahlah sementara hidup, apakah matimu sebuah kerehatan, atau kejinya kamu hingga manusia hanya dapat berehat daripada kecelaan dirimu tatkala engkau mati? Mati bukan di tangan kita. Hidup, kita diberikan kebebasan membuat pilihan.


Pilihlah sesuatu yang berbaloi, untuk kehidupan yang satu ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 24, 2012 17:48