Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 78

June 10, 2012

Kebodohan Yang Menjadi Istidraj

[image error]


Istidraj itu luar biasa.


Luar biasa bukan untuk mengangkat penerimanya.


Ia adalah suatu keluarbiasaan yang membinasakan golongan yang menjamahnya.


Keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang menjamah keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah binasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa.


Bukan sahaja mereka lupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.


Itulah penangan istidraj.


[image error]


Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [Al-A'raaf : 182]


Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya.


Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa… namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu.


Sokongan yang luar biasa.


Kepatuhan yang tiada duanya.


Biar ditipu entah kali yang ke berapa.


Sokong terus sokong… tidak berganjak biar sehasta.


Sungguh luar biasa.


Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat dari kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala ‘kemanisan’ itu mungkin sekadar ISTIDRAJ dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman mereka.


Agar bila sampai masa Allah menghukum dan mengazab mereka… tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.


[image error]


Daripada Nabi sallaLlahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah ISTIDRAJ”.


Lalu Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallam membaca (surah al-An’aam ayat 44):


Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). [Hadith riwayat Ahmad]


Mereka sangat zalim, tetapi mereka terus mewah dengan kemewahan yang luar biasa.


Mereka sangat menindas, tetapi mereka terus gembira dengan kegembiraan yang luar biasa.


Mereka sangat berdusta, tetapi mereka terus diangkat dan disokong dengan sokongan yang luar biasa.


Mereka sangat sombong, tetapi mereka terus dikasihi dengan sepenuh hati dengan kasih yang luar biasa.


Kezaliman, penindasan, pendustaan dan kesombongan mereka mendungukan manusia.


Marhaen jadi dungu, ilmuan jadi dungu, sarjana jadi dungu, manhaji jadi dungu. Sesiapa sahaja yang menyentuhnya beransur dungu. Kezaliman yang luar biasa, mencetuskan kedunguan yang luar biasa. Kezaliman yang dibalas istidraj oleh Dia.


 [image error]


Sesungguhnya apakah kita mahu membuktikan, bahawa kita sebahagian dari kedunguan itu?


Apakah kita mahu kebodohan kita yang luar biasa ini untuk terus ditipu buat entah kali yang ke berapa, menjadi istidraj dari Allah untuk menyempurnakan kezaliman MEREKA? Lantas yang zalim dibinasakan Dia, kemudian yang cenderung kepada yang zalim disambar api Murka?


Di dalam sejarah, bukan hanya kuasa zalim musnah. Kemusnahan juga boleh menimpa kaum mazlum yang mengalah. Membiarkan diri diperlaku secara zalim, dalam kebodohan.


Semoga Allah menyelamatkan kita dari kebodohan yang luar biasa itu, sebelum kebodohan menyempurnakan asbab untuk BINASA.


 


Abu Saif @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


Versi asal: 28 Februari 2008


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 10, 2012 17:02

June 9, 2012

Sains Sosial Untuk Memenangkan Islam?


[image error]


“Antara manusia, mekanisma dan mesin, serta matlamat, manakah antara ketiga-tiga ini faktor penentu kecemerlangan?” saya bertanya.


“Matlamat!” jawab salah seorang hadirin.


Ia jawapan standard bagi mereka yang melihat sesuatu secara idealistik.


“Siapa yang menentukan matlamat?” saya menyambung soalan.


“Manusia” jawab mereka.


Demikianlah realiti hidup. Berubah manusia, berubahlah matlamat. Maka untuk mengekalkan matlamat, jangan lengah dalam membentuk manusianya.


“Tiada siapakah yang menganggap mekanisma dan mesin sebagai faktor kecemerlangan?” saya mahu menyelesaikan persoalan berbaki.


Diam.


Senyum.


Menggelengkan kepala belaka…


Semua orang mengaku bahawa manusia adalah ‘harta’ paling berharga dan paling utama dalam menentukan kejayaan setiap tahap kehidupan. Kecemerlangan rumahtangga, syarikat perniagaan, sebuah gerakan Islam dan ummah keseluruhannya. Tetapi sejauh mana kita mengambil berat faktor manusia? Sejauh mana kita mementingkan manusia dalam pembangunan hidup ini?


Modal insan?


Berapa banyak agenda kita membangunkan modal insan, berbanding modal kita menjahanamkan setiap insan yang ada hari ini?


JIKA BENAR MANUSIA PENTING


Jika kita bersungguh-sungguh berpakat di atas suatu persetujuan bahawa manusia adalah yang paling utama, bagaimanakah sikap kita terhadap manusia? Usah dulu ke peringkat yang lebih rumit, cukup sekadar dinilai dalam kehidupan seharian.


Andai anak pecahkan pasu bunga, lupakah kita pada kelakuan ibu yang membelasah anaknya seolah-olah anak, kalau mahu, boleh beranak pinak lagi? Pasu yang pecah tiada duanya. Beli di Beijing!


Jika mat rempit menjunam terguling di atas jalan, diperiksanya motor terlebih dahulu atau kakinya yang sudah separuh tergantung?


[image error]


Menyebut manusia sebagai keutamaan memang mudah. Tetapi setiap hari kita akan diuji sejauh manakah manusia kekal sebagai keutamaan dalam bekalan, dan penghasilan. Hakikatnya, kita tidaklah begitu menghargai manusia.


Bukan sahaja anak versus pasu bunga dan motor mat rempit versus kakinya sendiri, tetapi dalam konteks yang lebih besar, sejauh mana prihatin kita kepada bidang-bidang yang membentuk manusia?


Sains sosial (sains kemanusiaan)?


Sejauh mana peduli kita kepada bidang sejarah, sains politik, sosiologi, antropologi, psikologi dan komunikasi? Malah pendidikan dan ekonomi?


Jika seorang lepasan SPM mendapat 16A+ ditawarkan menyambung pengajian di bidang kejuruteraan kimia di universiti terkemuka dunia, namun memilih untuk menyambung pengajian di bidang sejarah, pendidikan atau ‘bidang ugama’, mampukah kita mempertimbangkannya atas pegangan PEOPLE FIRST?


SAINS SOSIAL UNTUK UMMAH SERTA GERAKAN DAKWAH DAN ISLAH


Apa perlunya ummah kepada sains sosial?


Tidak cukupkah pada sentuhan tradisi keilmuan Islam yang kaya raya itu untuk menjawab persoalan-persoalan memaknakan slogan “ISLAM PENYELESAIAN”?


Jangan pergi kepada ummah yang termanya terlalu dramatik itu. Perlu dijawab terlebih dahulu, perlukah sebuah gerakan Islam kepada sains sosial?


Soalan ini sering menghantui fikiran saya.


Sebagai seorang pelajar yang muhajir dari Syariah kepada Sains Sosial, soalan sebegini sering mencabut ketenteraman diri saya. Tentu sahaja setiap orang akan menganggap bidang yang dipelajarinya sebagai penting belaka untuk ummah ini. Namun saya runsing memikirkan tentang kedudukan sains sosial bukanlah untuk bertanding tentang bidang siapa yang lebih penting daripada bidang yang lain. Tetapi saya memikirkan bagaimanakah kesan sains sosial meminggirkan gerakan Islam, dan bagaimanakah kesan gerakan Islam meminggirkan sains sosial?


Walaupun gerakan Islam mendabik dada bahawa imej ‘parti kampung’nya telah lama ditinggalkan berikutan penglibatan golongan profesional yang cukup memberangsangkan, malah dikatakan berupaya untuk kembali ke imej asal dengan nama-nama tokoh penggerak seperti Zulkifli Muhammad dan Burhanuddin al-Helmi yang juga dikategorikan sebagai golongan profesional, hakikatnya kenyataan ini mesti lebih dihalusi. Biar pun keterlibatan golongan profesional di dalam politik Islam semakin memberangsangkan, namun golongan profesional itu kebanyakannya adalah mereka yang datang dari disiplin HARD SCIENCE.


Gerakan Islam menikmati lambakan jurutera.


Gerakan Islam menerima lambakan doktor.


Ia suatu perkembangan yang memberangsangkan. Tetapi ke mana perginya golongan profesional daripada SOFT SCIENCE? Jika soft scientist mahu dianggap profesional?


Di mana ahli sejarah dalam gerakan Islam?


Di mana political scientists?


Ke mana sociologists, anthropologists, psychologists, economists malah educationists dalam arus perdana gerakan Islam?


[image error]


ASAL USUL KETERLIBATAN


Mengajak seorang pelajar kejuruteraan dan kedoktoran kepada kegiatan dakwah dan mungkin juga siasah, adalah lebih responsif dan ketara berhasil berbanding dengan usaha mengajak pelajar sejarah, sosiologi dan sains politik kepada kegiatan seperti ini.


Ini adalah kerana pelajar kejuruteraan dan perubatan akan dengan cepat melihat gerakan dakwah itu sebagai pelengkap kepada ‘kekurangan’ dirinya sebagai pelajar ‘bukan agama’. Mereka akan melihat peluang terlibat di dalam usrah dan dakwah sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan seterusnya meletakkan diri mereka di atas landasan yang betul dalam beragama.


Tetapi mereka tidak akan mencabar content Tarbiyah apatah lagi retorik dakwah dan siasah!


“Saya tersinggung apabila ustaz menganggap pelajar kejuruteraan tidak cukup cerdik untuk mengkritik dakwah!” keluh seorang teman.


Maafkan saya.


Saya bukan menyentuh soal cerdik atau kurang cerdik. Keupayaan mengkritik ini tidak bersangkut kepada cerdik atau tidaknya seorang pelajar, tetapi ia berkaitan dengan nature pembelajarannya terutamanya jika pelajar itu mengikat dirinya hanya kepada silibus dan hidupnya hanya untuk lulus periksa.


Teori-teori yang dipelajari di dalam pure science, tidak menuju secara langsung kepada menghasilkan contradiction terhadap usrah, dakwah dan siasah yang ada di sekelilingnya.


Ketika seorang pelajar kejuruteraan kimia sedang belajar tentang ChE process dan berurusan dengan Gibbs phase rule dan bezanya dengan Degrees-of-freedom analysis, amat sulit untuk dirinya berfikir pada masa yang sama tentang hubungkait subjek ini dengan dakwah yang disertainya. Kecuali hingga anda mengorek falsafah di sebalik aplikasi teori-teori ini dan pasti you have to be exteremely smart to do so!


Internet meme?


Begitu juga dengan pelajar perubatan. Semasa dirinya meneroka molecular dan cellular systems, the integumentary system dan the skeletal system, adalah terlalu jauh untuk dirinya berfikir tentang usrah dan dakwah yang disertainya kecuali di sekitar persoalan “betapa agungnya ciptaan Allah hasil kajianku terhadap tubuh manusia ini”. Namun bagaimanakah kesedaran itu boleh membawa dirinya kepada mengkaji mekanisma rasional perbuatan manusia dan implikasinya kepada kehidupan… you have to be extremely smart to do so!


Maka tarbiyah dan dakwah lebih disambut secara subur oleh pelajar di bidang hard science tanpa ada sebarang konflik dengan bidang pengajiannya. Malah gerakan dakwah juga berebut-rebut mahu menerima keahlian mereka kerana ia meningkatkan imej kumpulan masing-masing.


Kumpulan saya ada ramai doktor.


Kumpulan saya ada ramai jurutera.


SAINS SOSIAL MENCETUSKAN KONFLIK


Tolaklah ke tepi pelajar-pelajar dari kategori yang belajar sekadar mahu lulus periksa.


Perbincangan saya ini tidak ada kena mengena dengan pelajar atau sesiapa yang berkata “entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku ambil bidang ini!” Golongan seperti ini mungkin lulus cemerlang di dalam bidang sains politik, namun tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di sekitarnya dan menjadi mangsa pertama percaturan politik aplikasi biar pun dia itu wira politik teori di atas sekeping ijazah.


“Belajar Sarjana Pendidikan untuk akhirnya tahu bahawa pendidikan itu tidak penting!” lelucon petikan filem ALANGKAH LUCUNYA NEGERI INI!


Namun, apa yang menjadi fokus saya ialah kepada pelajar yang sentiasa peka, belajar dan memikirkan tentang pelajarannya, serta apa hubung kait pelajarannya itu dengan kehidupannya di luar bilik kuliah dan perpustakaan.


Seorang pelajar sejarah, akan belajar tentang sejarah kemunculan idea-idea yang ada hari ini.


Sebelum bercakap tentang ancaman sekularisma kepada ummah, mereka telah terlebih dahulu perlu belajar tentang sekularisma era George Holyoake malah dikorek hingga ke akar umbinya seawal Ibn Rushd dan Averroism school of philosophy.


“Sekularisma ialah memisahkan agama dari politik. Sekularisma adalah jalan terpantas untuk seseorang itu menuju Riddah!” kata seorang naqib di dalam usrahnya.


Idea-idea sebegini akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah dan sains politik rasa terganggu. Mereka akan segera merasakan bahawa kefahaman tentang sekularisma yang sedemikian rupa adalah terlalu dangkal dan tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai rubbish! Apakah content Tarbiyah kumpulan dakwah ini? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka perkatakan? Soalan-soalan sebegini datang bertubi-tubi on daily basis kepada seorang pelajar sains sosial.


[image error]


Sebelum bercakap tentang ancaman Islam Liberal, atau mengkritik Nurcholis Majid (Cak Nur), pelajar sains sosial telah terlebih dahulu dituntut agar mendefiniskan liberalism dalam konteks yang betul. Mereka telah terlebih dahulu perlu mengetahui pandangan orang-orang seperti Adam Smith, dan mengenal pasti perbezaan trend yang wujud di bawah slogan liberalism seperti Manchester Liberalism, Cultural Liberalism, Political Liberalism, Sosial or Neo Liberalism dan sebagainya.


“Liberalisma ialah usaha untuk membebaskan manusia dari ikatan kepada agama. Ia membuka ruang kepada manusia untuk bebas memilih sama ada mahu berdosa atau berpahala dan kita tidak berhak berkata apa-apa. Antum mahu negara kita jadi seperti ini?” tanya seorang naqib kepada ahli usrahnya.


Pandangan penuh emosi dan bernada tinggi ini, akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah, sains politik dan ekonomi akan berasa terganggu.


“Naqib aku ni faham ke apa benda yang dia cakapkan ini?” rungut hati seorang pelajar sains sosial yang juga dididik agar sami’na wa atha’na atas nama amal jama’ie.


Itu di peringkat teori dan kefahaman.


Dalam ertikata yang lain, saya cuba untuk mengajak kita semua melihat di mana rasionalnya pelajar sains sosial enggan mendekati kumpulan dakwah terutamanya yang berpegang dengan agenda Islamism. Mereka akan menganggap kumpulan ini hanya beretorik dan tidak mempunyai apa-apa kefahaman yang bersifat substantial kerana untuk berjuang menentang kebejatan sekularisma, mereka hanya berpada dengan definisi sekularisma yang dihafal dari mulut amir atau pemimpin mereka yang mursyid.


Cakap kosong semata.


APLIKASI SAINS SOSIAL


Itu di peringkat teori dan kefahaman.


Apabila persoalan ini dibawa ke peringkat mengaplikasikan teori sains sosial, konflik di antara gerakan dakwah dan islah dengan sains sosial akan jadi lebih meruncing.


Bagi sebuah gerakan yang berhasrat untuk mengubah masyarakat dan sistemnya, mereka perlu mempunyai kaedah yang jelas dan tepat dalam menganalisa masyarakat. Ahli sains sosial seperti sociologist dan anthropologist akan menganalisa masyarakat dengan disiplin dan metodologi yang boleh diukur dan berasas.


Misalnya, untuk sebuah gerakan Islam membuat keputusan tentang pendiriannya berhubung dengan trend yang wujud di dalam masyarakat terhadap isu-isu yang diperjuangkannya, mereka perlu melakukan kaji selidik. Survey sebegini mesti dilakukan dengan cara yang betul, memenuhi tuntutan kualitatif dan kuantitatif terhadap sampel yang terbabit supaya mereka mendapat keputusan yang tepat tentang gambaran sebenar kefahaman serta reaksi masyarakat kepada apa yang mereka perjuangkan.


Tetapi, sejauh manakah gerakan Islam memperlengkapkan dirinya dengan hal ini?


Apakah setiap kali gerakan Islam di mana-mana bahagian dunia kalah di dalam pilihanraya maka ia mesti berpunca daripada penyelewengan pemerintah dalam mengendalikan proses pengundian semata-mata?


[image error]


Bagaimana pula kemungkinan perjuangan yang tidak bersandarkan asas? Memperjuangkan satu isu tanpa mempedulikan sejauh mana kefahaman masyarakat tentang isu tersebut, sejauh mana mereka memahaminya, sejauh mana relevannya isu yang dibawa… dan semua ini gagal dijawab kerana gerakan Islam tidak menyelidiknya?


Malah jika ada dakwaan bahawa penyelidikan dibuat, apakah asas penyeldikan berkenaan? Mampukah ia berdiri teguh jika ditimbang dengan neraca sains? Atau hanya sangkaan semata-mata?


KERISAUAN YANG BERASAS


Inilah yang mencetuskan kerisauan kepada saya.


Isu ini bukan sahaja isu gerakan Islam, malah isu masyarakat kita secara keseluruhannya. Kita menganggap manusia itu mudah kerana setiap kita ini juga adalah manusia. Kita lupa bahawa manusialah yang menentukan matlamat, manusialah yang menghasilkan mesin dan manusialah yang menghasil dan menggunakan teknologi. Sebelum matlamat dicabar, mesin dianalisa, teknologi dinilai dari segi etika, kita lupa kepada keperluan mendalami prima causa dan pemula segalanya… manusia.


PENYELESAIAN


Tidak sedikit pelajar kejuruteraan dan perubatan malah jurutera dan doktor sendiri yang dinamik dalam fikrah dan gerak kerjanya. Tetapi mereka berupaya untuk menjadi begitu apabila mereka keluar dari sekadar memperhambakan diri kepada silibus dan profesyen masing-masing. Mereka tidak hanya membaca buku teks kejuruteraan untuk profesyen dan buku teks Hasan al-Banna dan Mustafa Masyhur untuk dakwahnya, sebaliknya mereka meluaskan bacaan dan kefahaman dengan mengambil buku-buku Current Affairs, Political Science, Falsafah, Sejarah dan menganggap semua itu sebagai sebahagian dari keperluan Tarbiyah dan BEKALAN UNTUK MEMENANGKAN ISLAM.


Tidak sedikit pelajar Syariah dan ustaz ustazah yang dinamik, tetapi mereka menjadi dinamik hanya selepas mereka berjaya memecahkan tembok sangkaan bahawa “ilmu itu ialah apa yang Allah cakap, apa yang Nabi cakap: maka jika sudah faham Tafsir dan faham Hadith, saya telah faham segala-galanya”.


Saya setengah mati mahu keluar dari tembok itu.


Sesungguhnya jalan untuk memenangkan Islam itu tidak semudah yang disangka…


Sejauh mana kita semua bersedia KE ARAH MEMENANGKAN ISLAM?


Terkini, kerajaan sudah mula menghantar pelajar Sains Sosial ke Amerika Syarikat dan Kanada. Kerisauan seterusnya, apakah usul Islam lepasan SPM ini ampuh mendepani serangan teori dari dalam kubunya sendiri?


Kerisauan, terus meleret-leret mencari sinar kemenangan!


Abu Saif @ www.saifulislam.com

43000 BANDAR SERI PUTRA


versi asal: 22 Januari 2008


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 09, 2012 00:25

June 4, 2012

Doa si Mazlum


[image error]


Tuhan…

Ramadhan…

Keadilan…

Kemanusiaan…

Regim itu sudah hilang kewarasan!



Terdiam seketika.


Sejarah memutarkan skripnya dengan lakonan kaum-kaum yang bersilih ganti. Tetapi dek kerana segalanya datang dari akal, hati dan nafsu makhluk yang sama bernama manusia, perbezaan zaman tidak membezakan kelakuan.


Hati saya terasa pedih semasa mengulas kisah Yusuf ‘alayhi al-Salam, tatkala tiba ke tafsiran ayat ke-35.


[image error]


Kemudian timbullah fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. [Yusuf 12: 35]


Biar pun telah nyata segala pembuktian, bahawa segala kejadian berpunca dari isteri al-’Aziz dan wanita bangsawan yang bersama, Yusuf jua yang akhirnya dihumban ke penjara. Bahkan Yusuf lebih merelakan dirinya untuk dipenjara bersama kesucian prinsip berbanding hidup bebas tetapi memikul kekotoran nafsu wanita-wanita kelas tinggi itu.


Segalanya ditunjukkan Allah… suami yang menjadi Menteri Utama, bacul dan dayus hingga tiada upaya mengawal kelakuan isteri. Nafsunya pula disokong oleh ‘datin-datin’ yang ber’makar’ untuk menundukkan Yusuf kepada kehendak mereka… segalanya adalah skrip yang sama. Kejelekan golongan bangsawan di sepanjang zaman, hingga akhirnya Yusuf dan figura seperti baginda itu jua yang menelan padah.


Bukanlah penjara itu kemuncak segala derita. Sakitnya hukuman itu ialah pada dua realiti yang ada:



Yusuf tidak bersalah
Pemenjaraannya tanpa had masa.

Dipenjara tanpa kesalahan adalah suatu kezaliman. Ia jadi lebih zalim apabila tiada perbicaraan sempurna yang dijalankan. Pensabitan hanya atas budi bicara manusia pemegang cemeti lagak al-’Aziz dalam kisah Yusuf. Dan segala kezaliman itu disempurnakan dengan hukuman tanpa had masa.


[image error]

Simbol kezaliman


Tatkala Allah SWT mengungkapkan di dalam ayat itu, bahawa hukuman tahanan ke atas Yusuf adalah ‘hingga ke suatu masa’, saya terpaku di hadapan segala keperitan yang ditanggung oleh tahanan ISA di negara kita. Yusuf dan mereka yang terkurung atas nama ISA, bukan dipenjara tetapi mereka DITAHAN. Ia bukan hukuman, tetapi suatu bentuk penyeksaan.


Masakan tidak?


Ditahan tanpa bicara.


Ditahan tanpa had masa.


Biar pun pemenjaraan berlangsung dengan ketetapan 30 tahun, sekurang-kurangnya 30 tahun itu boleh dihitung. Setiap satu hari berlalu, memendekkan tempoh 30 tahun yang telah ditentu. Tetapi tatkala penahanan berlaku tanpa had masa, ia membunuh segala harapan.


Tanpa harapan tiada kekuatan.


Tanpa kekuatan, manusia mati sebelum mati.


Sesungguhnya setiap titis air mata mengiringi penangkapan ISA, adalah minyak yang menyalakan kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap kezaliman yang sudah menjadi pakaian al-’Aziz dan regimnya.


Demi Allah, saya tidak dapat melihat di manakah bezanya antara regim yang mempertahankan kem Guantanamo Bay dan kem ISA Kamunting di negara kita. Jika al-’Aziz dan empayar Mesir serta sekalian yang mengikut jejak kezaliman mereka tumbang di dalam sejarah, mengapa harus kezaliman hari ini, rasa aman dan terkecuali dari hukuman-Nya?


Saya tidak berpendapat bahawa kezaliman ini terbit dari apa-apa ideologi yang menjadi pegangan kuasa yang memerintah. Sama ada kezaliman itu datang dari kelakuan seorang yang ‘muslim’ atau pun ‘kristian’, hakikatnya ia hanyalah kehendak hawa nafsu manusia durjana yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival dan kelangsungan kuasa mereka.


[image error]


Dari Abi Dzar al-Ghifari –semoga Allah meredhainya- dari Nabi saw., menyampaikan apa yang diterimanya dari Rabbnya, bersabda, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.” (H.R. Muslim)


Betapa benci dan murkanya Allah kepada kezaliman, hingga Rasulullah SAW memberi ancaman:


[image error]

“Takutlah kamu kepada doa orang yang dizalimi, biar pun dia itu seorang KAFIR. Sesungguhnya di antara ALLAH dan si KAFIR MAZLUM yang berdoa itu TIADA HIJAB antaranya” [Sahih al-Jaami' 119]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 BANDAR SERI PUTRA


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2012 17:48

June 2, 2012

Pergilah, Asal Bukan di Sini

[image error]


Ramai yang terduduk keharuan semasa mendengar keputusan Mahkamah di Mesir hari ini – Al-Jazeera


Zine El Abidine Ben Ali pergi.


Muammar Muhammad Abu Minyar al-Gaddafi juga pergi, tidak kembali.


Nicolas Sarkozy juga sudah meninggalkan kerusi.


Dan hari ini…


Hosni Mubarak dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Mesir, kurang sedikit daripada hukuman yang dijangka, hukuman MATI.



Di suatu ketika tempoh hari, mereka sungguh angkuh di tampuk kuasa. Mereka tidak peduli tangisan marhaen. Mereka persenda kesusahan rakyat yang memilih mereka, andai masih boleh disebut ‘memilih’.



 


Benarlah pesanan Hasan al-Banna di suatu hari yang telah pergi:


“Wahai saudaraku, janganlah kamu berputus asa. Sesungguhnya putus asa itu bukan akhlaq orang-orang yang beriman. Realiti hari ini hakikatnya adalah impian semalammu dan impianmu hari ini bakal menjadi realiti esokmu. Ruang masa itu masih luas terbentang dan anasir-anasir Islam masih kukuh dan agung di dalam jiwa umatmu biar seganas mana pun ribut kerosakan yang melanda. Yang lemah tidak akan terus lemah sepanjang hayatnya, dan yang kuat tidak akan kuat selama-lamanya!” – petikan buku Jalan Menuju Hati oleh Abbas al-Sisi


Pergilah.


Pergilah para pemimpin zalim yang angkuh itu ke penjara, ke pinggiran, ke liang lahad, ke mana sahaja asal bukan di tampuk kuasa.


Buat para zalimin yang masih angkuh mendabik dada, dengarlah amaran Allah kepada manusia, baik kamu mahu pun kami:


[image error]“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]


Setiap hari yang terisi dengan penindasan, setiap hari yang sama juga, umat mengisi tekad kebangkitan.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 02, 2012 07:07

May 31, 2012

Sepagi Bersama Imam Muda Musim ke-3

 [image error]


Hari ini saya beroleh ruang untuk meluangkan masa bersama peserta Imam Muda Musim ke-3.


Mereka berkampung di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.


Program santai ini cukup bermakna.



Di dalam sesi selama sejam itu, saya kongsikan pengalaman saya bertugas sebagai Imam di Ireland Utara, serta cabaran-cabaran yang dihadapi, bagaimana semua itu membantu saya berdakwah kepada masyarakat pelbagai warna dan ragam di tanah air. Banyak soalan dikemukakan untuk mengarahkan perbincangan kepada aplikasi diri mereka yang bakal berhadapan dengan pelbagai bentuk tugasan seperti yang disediakan oleh pihak ASTRO.


Peserta Imam Muda Musim ke-3 ini terdiri daripada 10 anak muda pelbagai latar belakang, termasuk seorang peserta dari negara jiran Indonesia, Muhammad Nasir M Yakub Ismail berusia 26 tahun. Beliau ditemani oleh 9 peserta lain iaitu Muhammad Ramadhan Subky Abdullah, 25 (Kuala Lumpur), Fakhrulrazi Ibrahim, 25 (Pulau Pinang), Omar Mohd Mokhtar, 21 (Pahang), Syed Mohd Faris Syed Roslan, 26 (Perak) dan Mohammad Hafiz Abdul Kadir, 27 (Kuala Lumpur). Turut menyertainya Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28 (Selangor), Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin, 26 (Perak), Mohammad Azri Nami Mohd Kamal, 21 (Johor) dan Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21 (Johor).


Saya mengambil peluang di dalam sesi tadi yang turut dibantu oleh Imam Muda Asyraf, juara Imam Muda Musim Pertama, untuk menyampaikan harapan peribadi.


Saya berharap agar Imam Muda menjadi pendakwah yang banyak membaca, dan mempelbagaikan pembacaan, dinamik dan bukan hanya berfikir tentang peluang peningkatan diri melalui program Imam Muda ini, malah berusaha memberi insprasi kepada masyarakat yang mahu melihat dakwah serta pendakwah daripada perspektif yang lebih segar serta menguasai cabaran semasa.


Selamat maju jaya buat mereka semua.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 31, 2012 03:06

May 30, 2012

Motivasi Pagi Menuju Akhir Siri

[image error]


Banyak negara ada minyak.


Tetapi tanpa teknologi mahu pun dana berkaitan, minyak kekal sebagai bahan mentah, di sebuah negara yang terus miskin seperti tidak berharta.


Demikianlah antara bahan mentah, dan bahan guna pakai untuk pengguna. Antara keduanya, ada PROSES yang menukar bahan mentah menjadi produk-produk yang boleh dipakai.



AL-QURAN DAN AL-SUNNAH


Demikian itu adalah gambaran yang ingin saya lakarkan, pada memahamkan kepada kita bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah meninggalkan khazanah paling berharga buat kita, al-Quran dan Sunnah Baginda. Sumber Rabbani itu adalah sumber utama kita beroleh petunjuk bagi memandu kehidupan. Ia dijamin terpelihara oleh Allah, daripada sebarang pencemaran, penyelewengan mahu pun lupa dan kehilangan.


Tetapi Al-Quran dan al-Sunnah, itu selain daripada ia dinikmati sebagai bekalan ibadah khusus pada tilawah, tadabbur, ta’allum juga tahfiz, ia perlu diproses menjadi hukum hakam dalam klasifikasi Fiqh Ibadah, Muamalah, Munakahat, Jinayat dan seterusnya. Ia juga perlu diproses agar menjadi pembimbing dalam Tazkiyatunnafs atau Tasawwuf.


Tatkala kita mendalami Pengajian Islam, kita akan dengan jelas dapat melihat betapa sistematiknya nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah diekstrak hukum daripadanya. Ilmu seperti Ulum al-Quran, Usul Tafsir, Mustalahat al-Hadeeth, Usul al-Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah juga Aqidah, merupakan proses yang membabitkan FIKIR secara bersistem. Demikianlah pentingnya FIKIR dalam membina jambatan antara nas dan panduan kehidupan.


KECELARUAN FIKIR


Di dalam Fiqh, nas-nas yang pelbagai telah membentuk peraturan-peraturan Fiqh seperti yang boleh kita temui di dalam karya klasik seperti  ‘Ilam Al-Muwaqqi’ien oleh Ibn Qayyim . Antaranya adalah:



Banyak itu dikira semua (‘most’ is considered as ‘all’)
Setiap perkara dinilai mengikut niat dan tujuan
Apabila yang wajib tidak sempurna kerana sesuatu perkara, maka perkara itu juga menjadi wajib.
Menolak kerosakan lebih utama dan mengambil manfa’at.
Kerosakan yang sedikit dimaafkan demi untuk mengambil maslahat yang besar.
Ditinggalkan maslahat yang lebih rendah dan dua maslahat yang ada.
Kesulitan akan mendatangkan kemudahan.
Tiada pertimbangan hukum bagi sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Sesuatu yang zanni tidak boleh mengatasi apa yang qat‘ii, apatah lagi untuk mendahulukannya.
Sesuatu yang telah diyakini, tidak dihilangkan kerana keraguan.

Menguasai kaedah-kaedah Fiqh ini, bukan hanya memandu kita mengendalikan proses menentukan hukum Islam terhadap sesuatu, ia juga seharusnya mempengaruhi cara kita mengendalikan isu-isu seharian dalam kehidupan. Kehilangan upaya berfikir secara sistematik, menyebabkan sama ada nas difahami secara salah, atau nas ditolak kerana dilihat seperti tidak relevan.


Bahayanya apabila kita kita belajar cara berfikir.


Tambahan pula, apabila fitnah Dajjal adalah pada merosakkan sistem fikir manusia, saya yakin ada pemikiran Dajjalik yang membinasakan kita secara halus, terselit-selit di celah kesengetan cara berfikir (cognitive distortion). Kebimbangan tentang hal ini menjadi sebab utama, mengapa saya memilih CARA BERFIKIR ORANG-ORANG BERJAYA di dalam segmen Motivasi Pagi di Radio IKIM.


TIBA KE PENGHUJUNG


Bulan Mei sudah sampai ke penghujungnya.


Ini bererti, segmen Motivasi Pagi saya juga sudah sampai ke akhir.


Biar pun ia hanya 10 minit sehari, saya amat berharap agar sedikit sebanyak ia membantu pendengar menstrukturkan kembali cara fikir, demi kehidupan beragama yang mampan terhadap cabaran-cabaran semasa.


CONTOH KES


[image error]


Pagi ini, saya telah kongsikan satu kes sebagai contoh.


“Perempuan itu setelah berbulan berumahtangga, masih tidak disentuh suami. Beliau kebingungan. Menyalahkan diri, terasa rendah diri, tertekan dengan pertanyaan-pertanyaan ahli keluarga dan membayangkan Talaq di hujung perjalanan. “


Biar pun kes itu amat ganjil, namun ia semakin bertambah dari semasa ke semasa. Semoga dengan 6 cara berfikir di segmen Motivasi Pagi itu, sesiapa yang berhadapan dengan kes seperti ini, atau kes-kes lain yang rumit, tidak buntu dan tenggelam punca. Gunakan 6 cara berfikir itu sebagai check list, untuk mempertimbangkan pelbagai kemungkinan antara pro dan kontra sebelum membuat sebarang keputusan.


Saya serahkan baton segmen Motivasi Pagi kepada Ustaz Ebit Lew bagi siaran Jun.


Teruskan bersama.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 30, 2012 05:39

May 29, 2012

Tahun-tahun Yang Menipu

[image error]


“Susahnya hendak membuat pendirian sekarang ini” keluh seorang kawan.


“Semua benda macam ada berlapis-lapis maklumat hingga tidak pasti mana yang betul mana yang salah” tambah seorang lagi.


Mereka berdua tidak sendirian.


Ia bukan keluhan pinggiran.


Ia menjadi apa yang dirasakan ramai. Malah ia bukan sekadar rasa. Ia kenyataan.



Mengapa susah sangat hendak memahami mana yang betul, mana yang salah? Jika di suatu ketika kesusahan ini berpunca daripada kekurangan maklumat, kini kesusahan yang sama diakibatkan oleh maklumat yang berlambak. Terlalu berlambak. Tambah-tambah pula hal politik, hal ekonomi. Kalau lemah stamina untuk mencantum kepingan puzzle, mungkin jawapan akhirnya ialah, “arghh. Sama sahaja semuanya!”


Mana mungkin sama.


Kalau semua sama, itu bahasa putus asa.


Putus asa dibenci Allah dengan penuh murka.


Sesungguhnya kita sedang hidup di era tahun-tahun yang menipu. Penipuan yang tidak dapat ditunjuk siapa penipunya. Yang jelas, mangsa penipuan itu kita semua. Kecelaruan ini bukan kecelaruan main-main. Ia ujian Allah untuk umat akhir zaman. Renungi pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:


“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]


Segalanya jadi terbalik.


Orang yang bercakap benar dianggap pendusta.


Orang yang berdusta dianggap berkata benar.


Orang yang khianat dianggap amanah.


Orang yang amanah, dikhianati.


Semua jadi terbalik.


Kalau boleh, mahu sahaja saya sarankan satu kaedah mudah iaitu apa sahaja yang diwar-warkan oleh media, carilah yang sebaliknya. Kebenaran ada di situ! Tetapi saya tidak boleh memandu hidup semudah itu. Kita perlu kembali kepada kaedah. Cari panduan. Namun isunya ialah panduan siapa?


Jika SIAPA yang jadi kaedah, siapa itu adalah lubuk masalah.


“…dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]


Ketika kita dahagakan bimbingan, yang rancak membimbing adalah al-Ruwaibidhah.


Al-Ruwaibidhah ini, para sahabat juga tidak arif mengenainya. Mereka meminta penjelasan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.


Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menggelar mereka sebagai AL-SAFEEH. AL-SAFEEH ini bukan sekadar orang bodoh, tetapi si bodoh yang tidak malu untuk menzahirkan kebodohannya melalui apa yang diucapkan. AL-SAFEEH inilah yang memberi penjelasan, penerangan, huraian, agar manusia dapat membezakan antara yang dusta dan benar, antara yang khianat dan amanah, antara yang batil dengan yang hak.


Lalu dengan kebodohannya yang tersebar dalam kepetahan, semakin bingunglah masyarakat. Semakin tertipulah orang ramai dalam tahun-tahun yang menipu ini.


PENYELESAIAN


Saya tiada jawapan mudah.


Oleh kerana tahun-tahun yang menipu ini adalah muqaddimah era Dajjal, maka kita perlu kembali kepada benteng yang dibekalkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Kita perlu membaca, meneliti, menghayati dan mengangkat tinggi SUNTIKAN IMUNISASI diri yang wujud di dalam SURAH AL-KAHF.


[image error]


Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:



(تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
(تصحيح منهج النظر و الفكر) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan Hidup)
(تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)

Justeru, semaklah perkara-perkara berikut:



Apakah yang engkau percaya, dan bagaimanakah cara engkau mempercayainya?
Bagaimanakah cara engkau memerhatikan sesuatu kejadian dan memikirkannya? Apakah pandangan hidup kamu sesuai dengan siapa kamu, siapa Allah dan apa makna kehidupan ini?
Apakah nilai yang engkau pegang dalam hidup ini? Adakah apa yang penting di sisi Allah, penting dalam hidupmu? Apakah apa yang engkau sanggup lakukan, ia sebenar-benarnya ada harga di sisi Allah?

Untuk menjawab soalan itu, jawapannya tidak perlu dikongsi dengan orang lain.


Tanyalah diri masing-masing, adakah aku mangsa, adakah aku pemangsa, adakah aku al-Ruwaibidhah itu, atau adakah aku calon Dajjal yang maha menyesatkan itu?


Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.


“اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه، ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل، واجعلنا للمتقين إماما “


“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap kami hingga kami tersesat, dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang bertaqwa”


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 29, 2012 19:20

May 25, 2012

Abah Muda Abah Tua

[image error]


Cuti sekolah sudah bermula.


Apakah yang dirancang untuk cuti kali ini?


Anak-anak kita mungkin amat seronok jika mereka ke Theme Park dan dihiburkan oleh alat-alat hiburan yang disediakan di sana.


Tetapi kalau kita semua boleh menjadi ibu bapa yang menghiburkan hati mereka, cuti di halaman rumah pun boleh jadi sangat bermakna dan dikenang sehingga dewasa.



CERIA DAN MENCERIAKAN


Menjadi seorang yang ceria, bagi sesetengah orang memang mudah.


Malah mungkin dia tidak dapat membayangkan dirinya selain daripada watak seorang yang ceria. Dia memang ceria. Happy go lucky! Untungnya jadi orang yang begitu. Dia bahagia, dia juga membahagiakan.


Namun untuk ‘kaum bapa’, lain ceritanya.


Para bapa yang muda tiada masalah bab ini. Seronoknya menyambut, memeluk, menimang dan membelai anak yang seorang atau dua itu dengan sepenuh hati. Muka baba, muka mama dan muka ‘tomey-tomey’ itu semuanya ceria lagi berseri dengan mata yang bercahaya.


Para bapa yang senior pun Insya Allah boleh sahaja. Banyak pengalaman, kurang tekanan rutin harian, dia itu ceria dan menceriakan anak cucunya.


BAPA MID LIFE CRISIS


Tetapi para bapa yang duduk di antara junior dan senior itu, mereka berjuang.


Tekanan kerja, tekanan kewangan, fikiran makin matang untuk memiliki perspektif yang lebih serius tentang isu politik, ekonomi dan sosial negara, mengekalkan diri dalam mood ceria bukan satu perkara yang mudah. Banyak liku-likunya.


Saya menyemak carian Google.Com berkenaan tekanan para bapa, dan hasilnya agak kurang memberansangkan. Para bapa DIKEHENDAKI mengawal stress mereka kerana stress dan kemurungan seorang bapa akan menjejaskan rumahtangga dan keluarga.  Bapa ‘tidak dibenarkan’ stress sebab menjadi stress itu bersifat ‘mementingkan diri sendiri’ serta menyakiti insan tersayang di sekeliling seorang bapa.


Hampir seluruh hasil carian memberitahu para bapa apa yang mereka MESTI buat, dan tidak banyak yang memberitahu BAGAIMANA ia boleh dibuat.


Semua saranan yang dikemukakan menambah tekanan, ketika mana tekanan itu adalah punca kemurungan para bapa. Stress seorang bapa apabila dianggap sebagai suatu kesalahan, akan menambahkan lagi kemurungan itu.


Para bapa… tabahkan hatimu.


Dek kerana engkau dibayangkan sebagai lelaki yang 9 fikiran 1 perasaan, 1 perasaanmu itu sering tidak terpelihara dan diabaikan. Kesannya, ia mengganggu 9 fikiran yang menggalas tanggungjawabmu sebagai pemimpin.


Tenangkan diri.


Saya juga tiada jawapan untuk para bapa yang tertekan.


[image error]


Hanya ajakan untuk kita berbincang sesama kita BLOG dan Facebook ABAH.MY.


Serta membanyakkan doa:


[image error]


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [Al-Furqan 25: 74]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 25, 2012 22:32

May 24, 2012

Kami Ustaz Dan Kami Mahu Sihat

[image error]


Kami ada cerita kami yang tersendiri.


Saya diabetik dan menderita Obstructive Sleep Apnea (OSA).


Ustaz Ahmad Husni pula dilihat oleh jiran tertidur dalam kereta sambil bergerak menuju ke Plaza Tol.


Ustaz Johari… hingga patah kerusi semasa berceramah.



Persamaan kami ketika itu, kami gemuk.


Sangat gemuk.


Gemuk hingga kami hampir-hampir mengunci fikiran dan kepercayaan bahawa kami memang ditakdirkan gemuk dan akan mati gemuk.


Namun kasih sayang Allah lebih luas daripada kekecewaan hamba-Nya. Hidayah ada di sana sini. Bagi sesiapa yang mencari.


Alhamdulillah, Timeless Clinic selepas menemukan kami dalam sesi-sesi yang berasingan di bawah kelolaan Dr Mahathir Mohamed, menemukan kami buat pertama kalinya di dalam sebuah forum anjurannya di Hotel Midah Ahad lalu.


Berbicara tentang pandangan Islam terhadap penjagaan kesihatan diri, rawatan kosmetik, pembedahan baik pulih diri dan penurunan berat badan, kami menjadi panelis forum untuk berkongsi pengalaman bagaimana kami ‘MENGUBAH TAKDIR’.


[image error]


Jangan kecewa wahai teman.


Gemuk itu comel.


Namun penyakit itu sakit.


Kita perlukan umat yang sihat.


Kita perlukan pejuang yang bernafas panjang.


Perjuangan kami masih belum selesai.


Namun ia lebih bermakna andai anda turut serta.


Tiada esok. Mulakan hari ini.


Sekarang.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 24, 2012 02:17

May 22, 2012

Irshad Manji: Kalaulah Boleh Beliau Kuabaikan

[image error]


Kali pertama saya mendengar nama Irshad Manji, kira-kira 10 tahun yang lalu.


Nama itu tenggelam, sebagaimana datang dan perginya nama-nama seperti Astora Jabat dalam lingkungan domestik di sini.


Apabila Irshad Manji menjengah Malaysia, masyarakat kecoh. Saya didesak untuk memberikan pendapat mengenainya, tetapi saya enggan berbicara mengenai apa yang saya tidak pasti. Ia menyalahi sifat adil dalam beragama.


Menyedari akan besarnya idea yang dibawa oleh beliau, saya memaksa diri membaca buku THE TROUBLE WITH ISLAM TODAY, bagi memahami apakah yang melahirkan seorang ‘sarjana’ Muslim Refusenik bernama Irshad Manji. Saya juga mengambil peluang membaca buku ALLAH, LIBERTY AND LOVE yang dimuat turun secara percuma di internet.


Catatan ini bukanlah pendapat muktamad saya mengenai beliau dan ideanya. Ia hanya nota untuk diri saya menjelaskan apa yang berada di fikiran dan masih terbuka kepada kesimpulan-kesimpulan yang seterusnya.


MENETAPKAN SISI PANDANG


Bagi sesetengah kita, isu Irshad Manji hanyalah satu lagi intellectual discourse untuk dijadikan hidangan debat yang menjadi kegemaran kita. Tetapi saya melihat isu beliau dari sudut pandang seorang suami, bapa, ustaz, guru dan pemimpin. Ia mengkehendaki diri saya menilai perbuatan saya sebelum, semasa dan selepas ini, apakah ada tindak tanduk yang menyumbang kepada lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.


Pihak berwajib menjalankan SOP mereka pada mengharamkan buku-buku Irshad Manji. Tetapi dengan ebook, pdf dan dunia internet yang tidak terbatas, segalanya tentang Irshad Manji kekal berada di hujung jari.


Tanggungjawab memahami masalah dan menghadapinya melalui saluran pendidikan, tidak dapat saya abaikan.


Saya mungkin berbunyi tidak cukup sarjana melalui sisi pandang sebegini, tetapi matlamat saya adalah mencari keselamatan Dunia dan Akhirat, bukan mengagungkan analytic philosophy bahawa membuktikan Irshad Manji salah, menjadikan saya betul.


SISI EMOSIONAL


Apabila saya mengajak rakan-rakan untuk meninjau sisi Male Chauvinism dalam memahami mesej Irshad Manji, ia bukan alasan atau satu format escapism.


Satu amalan biasa apabila kita membaca pemikiran seseorang, kita akan membaca biografinya. Sama ada dia itu Barrack Obama, Adam Smith, Einstein, Muhammad bin Abdullah mahu pun Irshad Manji. Tujuan kita membaca biografi, adalah untuk memahami, sejauh manakahpengalaman hidup seseorang mempengaruhi kecenderungannya dalam memahami sesuatu.


Teks adalah sesuatu.


Konteks adalah sesuatu.


Kefahaman adalah sesuatu.


Menghubungkan teks dengan konteks untuk menghasilkan kefahaman, banyak dipengaruhi oleh pengalaman sebagai salah satu input dirinya.


Apabila saya menyebut Irshad Manji sebagai ‘mangsa’ Male Chauvinism, ia adalah kerana empati saya yang mahu Irshad Manji lebih difahami oleh kita semua. Lihat sahaja komen-komen di Malaysiakini.Com. Ada yang memaki hamun, mempertikaikan dia memakai tudung atau tidak, malah mengejeknya dengan pelbagai gelaran. Malah ada yang berpendapat tidak perlu berhujah langsung kerana Irshad Manji tidak mempunyai sebarang nilai. Komen-komen itu tidak mengukuhkan Islam malah menyebabkan golongan Religious Scepticists semakin yakin bahawa ‘structured doubt’ mereka itu berasas.


Pendekatan Irshad Manji, mempunyai unsur ‘Tajdid’ iaitu mahu membebaskan Muslim daripada Institutionalized Islam. Tetapi versi yang dibawanya amat keterlaluan. Di dalam Islam, apabila ada unsur keterlaluan, biasanya di sebalik rasional ada emosional. Maka kalau rasional dibahas tanpa mengambil kira unsur emosional, kita akan berpusing-pusing pada presenting problem tanpa menyentuh langsung real problem.


‘MANGSA KELELAKIAN LELAKI’


Selalunya, seseorang yang berpemikiran seperti Irshad Manji ini mempunyai pengalaman pahit dengan lelaki. Sama ada lelaki itu adalah bapa yang abusive, suami yang mengecewakan, ustaz-ustaz yang menyakiti, hinggalah kepada ulama’ tafsir yang disyaki ‘gender bias’.


Ia mempengaruhi paradigma hidupnya hingga semua yang ditentangnya mempunyai unsur lelaki.


Sama ada ulama lelaki, ustaz lelaki, musuh lelaki, kekasih lelaki… kelelakian itu wujud secara subliminal di belakang mindanya.


Agama kelihatan hodoh di matanya kerana unsur male chauvinism.


Male Chauvinism adalah satu fitnah besar ke atas umat Islam kerana ia melahirkan manusia-manusia seperti Irshad Manji. Saya mengambil kes Irshad Manji ini sebagai peringatan kepada diri agar mempunyai empati yang lebih baik semasa berbicara tentang tanggungjawab-tanggungjawab beragama kepada bermasyarakat. Adakalanya kita boleh terlupa bahawa kita sedang berbicara dalam bahasa seorang LELAKI beragama Islam dan bukannya MUSLIM.


Orang Religious Scepticist seperti ini, hujah INTELEKTUAL sukar dibalas dengan INTELEKTUAL. Ia hanya menambah ego. INTELEKTUAL beliau perlu dibalas dengan EMOTIONAL.


“Are you a happy human?”


Soalan untuk Irshad Manji jawab sebelum tidur di atas katilnya sendiri.


SENJATA MAKAN TUAN


Saranan saya pada mengajak masyarakat mempertimbangkan latar belakang sosial dan emosional Irshad Manji, adalah agar pendapatnya tidak ditolak secara semberono. Namun Si Wartawan Malaysiakini ‘menuduh’ saya dengan tuduhan yang bukan-bukan walaupun dia sendiri mendakwa dirinya hanya melaporkan hasil temuramah, tanpa sebarang tanggungjawab untuk membela atau menentang Irshad Manji.


[image error]


Namun saya berlapang dada.


PRE CONCEIVED IDEA


Mungkin golongan ‘Muslim Progresif’ begitu yakin dengan pre conceived idea mereka bahawa lebai kampung seperti saya ini tipikal.


Mereka mungkin (sekali lagi mungkin) tidak sedar bahawa ramai sahaja lebai kampung ini yang membaca buku falsafah, cakap omputeh dan selesa makan Ribeye Steak. Kepala lebai kampung saya ini mungkin berbalut ‘tuala’, tetapi progresifnya minda tidak dijamin oleh kepala yang tidak bersarung!


Mereka itu sahaja  yang mungkin belum habis-habis mengaji Muqaddam Muslim Weltanschauung!


Bukan menyombong, tetapi sukar merendah diri di ‘medan perang’.


IRSHAD MANJI MUNGKIN TIDAK PENTING


Bagi sesetengah kita, nama Irshad Manji mungkin hanya salah satu nama yang keluar entah dari mana, singgah ke telinga, yang boleh ‘dibuat bodoh’ sahaja.


Tetapi Irshad Manji adalah suara besar di pesada antarabangsa.


Dia mungkin tidak penting.


Tetapi idea yang dibawanya adalah realiti.


Idea yang mencabar structured hypocrisy (al-nifaaq al-munazzam) dalam kehidupan beragama kita.


Dan jika itu pun masih tidak mampu menjadi alasan mengapa kita perlu mengambil tahu akan hal ini, cukup saya katakan, di Mont Kiara, Subang, hatta Taiping, Kemaman dan Gua Musang pun boleh ada ramai Irshad Manji tanpa hujah dan suara!


Sesungguhnya, jika saya tidak menyayangi isteri dan anak-anak, mengherdik wanita dalam lingkungan hidup saya, berlawak lucah menjadikan maruah wanita sebagai senda gurau perbualan dan ceramah, saya mesti bertanggungjawab terhadap lahirnya Irshad Manji yang seterusnya.


MERAWAT MALE CHAUVINISM


Dalam pada itu, saya rasa bersyukur dan gembira kerana kebelakangan ini, para penceramah kita semakin selesa bercerita tentang isteri dan anak-anak secara sopan dan penuh nada positif, iaitu sesuatu yang amat jarang berlaku suatu ketika dahulu.


Ini akan sedikit demi sedikit mengembalikan kita kepada Sunnah Baginda SAW yang sangat ‘family-man’ dalam kepimpinannya, malah mencegah male chauvinism yang menghasilkan Islamo-tribalis yang tidak habis-habis dirungutkan oleh Irshad Manji, merujuk kepada budaya sesetengah kaum umat Islam yang menyembunyikan selain lelaki daripada suasana beragama awam.


Saya doakan agar golongan ‘Islamik’ bermulut cabul tidak diuji memiliki anak seperti Irshad Manji kerana jika ia lahir daripada keluarga mereka sendiri, baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah.


Ittaqullah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


3 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2012 07:43