Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 76
July 23, 2012
Puasa Zama’ al-Hawajir dan Olimpik 2012!
[image error]
Ada masa, Ramadan jatuh musim sejuk.
Ada masa, Ramadan jatuh musim panas.
Ada sesetengah tempat, sejuk atau panas, Ramadan sama sahaja, seperti di Malaysia.
Oleh kerana Ramadan hadir 11 hari lebih awal pada setiap tahun, kerana perbezaan kalendar lunar dan kalendar solar, Ramadan pernah jatuh di bulan Disember, Ramadan kini jatuh di bulan Julai.
Di Australia dan Afrika Selatan, Ramadan 1433 hadir dalam suasana yang nyaman di musim sejuk, serta waktu siang yang lebih pendek.
Namun lain kisahnya bagi umat Islam di Eropah. Ramadan kali ini tiba di kemuncak musim Panas. Bukan sekadar cuacanya panas, malah tempoh waktu siangnya juga amat panjang. Di sekitar England, Subuh masuk sekitar jam 3 pagi dan Maghrib pula pada jam 9 malam!
Mujur saya sudah pulang ke Malaysia!
BERPUASA DI MUSIM PANAS
Berpuasa di musim panas, ada nilainya yang tersendiri. Nilainya bukan sebarangan, tetapi nilai yang mencetus kekuatan luar biasa. Biar pun Fiqh akan menjaga kepentingan-kepentingan asas manusia, dan mewajibkan seorang Muslim untuk berbuka puasa andai meneruskan puasa berisiko memutus nyawa, berbuka puasa bukan pilihan mudah-mudah untuk umat ini di dalam sejarah.
Di dalam sepotong hadith riwayat al-Imam Muslim:
قال أبو الدرداء لقد رأيتنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره في يوم شديد الحر حتى إن الرجل ليضع يده على رأسه من شدة الحر وما منا أحد صائم إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم وعبد الله بن رواحة
Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada Ramadan ketika musim panas yang amat sangat, sehinggakan seorang antara kami meletakkan tangannya di atas kepala kerana panas yang sangat menyengat. Tidak ada antara kami yang berpuasa kecuali Rasulullah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Abdullah bin Rawahah.” [Hadith riwayat Muslim]
Semasa bermusafir, memang ada pilihan antara berbuka dan terus berpuasa. Kedua-duanya diterima tanpa yang tidak berpuasa diaibkan oleh mereka yang berpuasa.
Namun, dalam kepanasan Ramadan seperti itu, ada beberapa individu yang luar biasa. Ada dua insan yang terus berpuasa, iaitu Penghulu kita Rasulullah allallaahu ‘alayhi wa sallam, dan Abdullah bin Rawahah radhiyallahu ‘anhu. Dua insan yang mengambil kepanasan Ramadan sebagai sebuah cabaran. Kedua-duanya adalah wira besar umat. Sudah tentu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah hasanah kita, mendahului keperwiraan itu.
Kemudian Abdullah bin Rawahah, insan berjiwa seni, yang akhirnya gugur sebagai syahid dalam perjuangannya di Medan Mu’tah!
Apa motivasi mereka?
MOTIVASI GENERASI EMAS
Abu Darda’ sendiri pernah berpesan:
صوموا يوما شديدا حره لحر يوم النشور وصلوا ركعتين في ظلمة الليل لظلمة القبور
Berpuasalah kamu pada hari yang panas, pada memikirkan panasnya Mahsyar itu nanti. Dirikanlah solat dua rakaat pada malam yang gelap, dek memikirkan gelapnya liang lahad di alam kubur nanti
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu semasa di baringan maut, berpesan kepada anaknya Abdullah:
عليك بخصال الإيمان وسمى أولها : الصوم في شدة الحر في الصيف
Hendaklah kamu memelihara cabang-cabang Iman… lalu Umar menyatakan yang pertamanya: berpuasa pada hari yang sangat panas di Musim Panas
Berpuasa di musim panas yang terik ini, dikenali di kalangan Salafussoleh sebagai Zama’ al-Hawajir.
Bukan sekadar Ramadan, malah puasa-puasa yang sunat, amat diutamakan oleh para Sahabat untuk dilakukan di musim panas yang terik dan siang panjang itu. Antaranya adalah Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu.
BARANG MAHAL
Sekumpulan wanita solehat seperti yang dinukilkan kisahnya di dalam Lathaif al-Ma’aarif oleh Ibn Rajab al-Hanbali, mereka berpuasa di musim panas dengan penuh keteguhan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka berkata:
إن السعر إذا رخص اشتراه كل أحد
“Sesuatu yang murah, boleh sahaja dibeli oleh sesiapa!”
Wanita ini mencabar diri mereka, bahawa untuk berdiri mulia di hadapan Allah, mereka mesti mencabar diri. Mereka bukan mengambil ruang-ruang kelonggaran dengan seadanya, tetapi memilih musim-musim yang sukar untuk bertanding dengan diri sendiri. Zama’ al-Hawajir, benar-benar musim ‘Olimpik’ para Salafussoleh!
OLIMPIK LONDON 2012
Semangat inilah yang ingin saya tiupkan kepada para atlet negara yang menyertai Temasya Sukan Olimpik di London pada 27 Julai – 12 Ogos akan datang.
Pingat emas Olimpik bukan untuk atlet sebarangan. Ia adalah pengiktirafan untuk YANG TERBAIK.
Kali ini Olimpik berlangsung di bulan Ramadan dan Musim Panas.
Atlet kita menjadi pejuang di era Zama’ al-Hawajir!
Semoga dengan semangat luar biasa melalui ibadah puasa yang mencetuskan kekuatan terbaik, kita akan melihat sinar emas di Temasya kali ini. Bukan nilai emas itu yang dikejar. Tetapi membuktikan bahawa atlet Muslim yang berpuasa di musim Zama’ al-Hawajir, jangan main-main dengan mereka.
Sokongan saya buat seluruh pasukan negara di London.
[image error]
Sokongan khusus saya buat atlet terbaik yang sentiasa saya doakan kemajuannya, pelumba basikal negara, AZIZULHASNI AWANG!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Puasa Zama’ al-Hawajir dan Olimpik 2012! was first posted on July 24, 2012 at 1:34 am.
Allah Engkau Dekat
“Hisham, udah-udahlah tu. Bawa-bawalah sembahyang berjemaah!” kata Kamarul.
“Kenapa pula?” tanya Hisham.
“Ada ke tanya kenapa? Bukankah sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang seorang diri?” Kamarul menggelengkan kepala.
“Sembahyang seorang diri lebih baik daripada tidak sembahyang langsung!” bidas Hisham.
Selamba.
“Hadith palsu?” tanya Kamarul dengan nada mencabar.
“Ye la, ye la. Kau alim. Orang musolla. Aku jahat!” jawab Hisham.
Mencebik muka.
Saya sering ketawa sendirian semasa terkenangkan dialog di atas. Kamarul memang sering bercakaran dengan Hisham, sahabat kami yang sering bersikap selamba dalam banyak perkara, namun ada kalanya komen beliau menyebabkan kita menggaru kepala, termenung sendiri.
Memang benar solat berjemaah itu amat besar tuntutannya. Ia menjadi sesuatu yang maklum kepada sesiapa sahaja yang belajar tentang solat. Hanya tinggal hendak buat atau tidak buat. Itu sahaja.
Namun dari satu sudut yang lain, saya terfikir tentang satu nilai tersembunyi di sebalik sembahyang sendiri-sendiri. Untuk melihat nilai itu, perbandingan solat sendiri bukanlah dengan solat berjemaah. Tidak juga dengan meninggalkan solat seperti hujah Hisham. Tetapi dengan sembahyang sebagai ritual agama lain.
Allah Subhanahu wa Ta’aala berfirman:
[image error]
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul [Al-Baqarah 2: 186]
Allah memberitahu, “Jika kamu ditanya oleh hamba-hambaKu tentang diriKu”, Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam berada di posisi Tabligh iaitu pada memberitahu kepada kita bahawa SESUNGGUHNYA ALLAH ITU DEKAT.
Namun Allah tidak menyuruh Baginda memberitahu kepada kita.
Allah tidak menggunakan pendekatan “QUL” yakni “KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD” seperti yang banyak kedapatan dalam ayat-ayat seperti:
[image error]Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya” [Al-Baqarah 2: 220]
Sebaliknya Allah menjawab sendiri dengan firmanNya:
[image error]Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) [Al-Baqarah 2: 186]
Pada menyatakan bahawa Allah itu DEKAT kepada hamba-hambaNYA, Allah membuat pengumuman secara langsung. Tanpa perlu kepada Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam sebagai orang tengah terhadap kenyataan ini.
Tidak perlu berdoa dengan suara kuat semasa berdoa.
Tidak perlu kepada orang tengah atau pihak ketiga untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Agama kita tidak seperti agama lain yang proses mendekatkan diri kepada Tuhan mesti melalui orang agama atau institusi agama.
Setiap kita berhubung secara langsung dengan Allah.
Fikir.
Zikir.
Doa.
Imam di dalam solat berjemaah hanya memimpin proses solat. Namun setiap musolli berhubung secara langsung dengan Allah.
Sembahyang kita digalakkan berjemaah untuk meluaskan manfaat habl min an-Naas di sisi habl min Allah.
Namun solat sendirian juga sah dikerjakan kerana kita tidak perlukan imam untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Tidak perlu kepada pihak ketiga atau orang tengah untuk merasa dekatnya Allah kepada diri.
Kehidupan berimam menjadikan hidup kita berdisiplin, sistematik dan teratur. Ia tidak menjadikan kita terikat kepada orang lain untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Sentiasa berasa dekat dengan Allah, memberikan kekuatan yang luar biasa kepada seorang Mukmin. Jiwanya kaya dengan keyakinan, luas dengan harapan dan kukuh dengan kekuatan.
Jika engkau bertanya tentang Allah…
Sesungguhnya Dia itu hampir.
Sesungguhnya ibadah puasa, menambahkan rasa dekat itu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Allah Engkau Dekat was first posted on July 23, 2012 at 5:20 pm.
July 21, 2012
Selamat Menyambut Ketibaan Ramadan Daripada Kami
Salam Ukhuwwah
Selamat Menyambut Ketibaan Ramadan Daripada Kami was first posted on July 22, 2012 at 12:20 am.
July 20, 2012
Ramadan: Segalanya Berbalik Kepada Diri
Ramadan tidak datang lagi.
Ini bukan Ramadan itu.
Ini Ramadan INI.
Ramadan tahun ini.
Setiap Ramadan datang bukan mengulang Ramadan yang pernah datang. Setiap Ramadan akan berdiri sendiri bersama DIRI di hari berdiri Mahsyar, untuk dihisab setiap Ramadan, apakah terisi dengan isi yang diperintahkan kita mendirikannya, atau ia telah berlalu kosong tidak bermakna?
Ya Allah…
Beberapa kenalanku menjadi saksi, bahawa mereka tidak pernah tahu Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir bertandang hadir. Sahabatku pergi hanya beberapa detik sebelum Ramadan, mengesahkan hakikat bahawa kita sentiasa mati di antara dua Ramadan. Bagaimana mungkin kita begitu mudah mensesiakan kedatangan sebuah Ramadan, kerana yakin masih punya masa. Masih ada usia.
Panjang angan-angan, dekatlah destinasi kebinasaan.
Selamat datang Ramadan 1433.
Ramadan yang tidak pernah ditempuh hatta oleh Baginda Junjungan Mulia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Ramadan yang kali ini ada darah tumpah di bumi Syria. Ada luka derita dan hilang nyawa di halaman Rohingya. Ada banyak air mata nestapa, yang berbeza sekali dengan Ramadan Badar, Ramadan Fath Makkah. Jauh benar dengan Ramadan Tariq bin Ziad mendarat di Andalus, Ramadan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan al-Masjid al-Aqsa, Ramadan Sultan Saifuddin al-Qatz menumpaskan Moghul di medan ‘Ain Jalut.
Allah Maha Kekal.
Rasul sudah memberi bekal.
Ramadan datang dengan janji-janji yang sama. Kemenangan, kekuatan, kegemilangan dan kejayaan.
Apa yang berbaki hanya DIRI.
Setelah syaitan dirantai, siapa lagi yang mahu ditunding jari, bahawa di sebalik segala peluang Ramadan, segala-galanya berbalik kepada DIRI.
Tanggungjawab DIRI ke atas DIRI.
Bimbinglah diri ini ya Allah.
Untuk merdeka bukan daripada penjajahan luar.
Tetapi merdeka daripada penjajahan dalam.
Oleh nafsu.
Oleh DIRI.
Ameen…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Ramadan: Segalanya Berbalik Kepada Diri was first posted on July 21, 2012 at 12:35 am.
July 18, 2012
Bicara Selebriti Malam Ini Bersama Hero KCB dan Rakan
[image error]
;
Para sahabat di sekitar Kota Bharu, saya dengan rendah dirinya menjemput ikhwah dan akhawat semua hadir ke Balai Islam Lundang, jam 9 malam ini, Rabu 28 Shaaban 1433H bersamaan 18 Julai 2012.
Bicara Selebriti kali ini mengajak saya berkongsi pentas dengan Mas Kholidi Asadil Alam, pemegang watak Mas Azzam, hero filem Ketika Cinta Bertasbih. Turut serta bersama kami adalah Yatt Hamzah dan Ana Raffali. Sudah tentu moderatornya adalah sahabat saya, selebriti TV Al-Hijrah saudara Amin Idris.
Saya kurang pasti apakah topik yang bakal diutarakan.
Namun impression yang diberikan oleh penganjur, perbincangan akan menjurus banyak kepada dakwah kreatif, masa depan industri seni, yang mudah-mudahannya juga membantu Kerajaan Negeri Kelantan melihat secara serius apakah polisi mereka terhadap industri besar ini.
Saya bukan selebriti.
Namun Kerajaan Negeri Kelantan mewajibkan, setiap kali diadakan majlis sebegini, sekurang-kurangnya ada seorang USTAZ yang menjadi panelis.
Siaran langsung juga boleh diikuti di Halaman TV KELANTAN
Ketemu di sana.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
15000 Kota Bharu
Bicara Selebriti Malam Ini Bersama Hero KCB dan Rakan was first posted on July 18, 2012 at 5:30 pm.
July 9, 2012
Jawapan Penting, Soalan Lagi Penting
[image error]
“Saif dan Naurah sudah dapat keputusan peperiksaan?” saya bertanya.
“Ada yang sudah, ada yang belum” jawab Saif.
“Naurah dapat 90 markah untuk Bahasa Arab” jawab Naurah pula.
“Yop dapat 91!” Saif menyampuk dari belakang.
Naurah menoleh dan memberi muka sengetnya kepada Saif.
“Alhamdulillah” saya bertahmid sambil membelok stering kereta masuk ke lebuhraya untuk menghantar mereka ke sekolah.
PELUANG YANG ADA
Saya sudah menempuh empat hari yang sangat penuh.
Malah kelmarin saya tidur selewat jam 4 pagi dan kemudian segera memandu ke UIAM untuk program bersama kakitangannya. Berceramah selama 6 jam sehingga jam 5 petang, kemudian satu lagi sesi ceramah dua jam hingga pukul 10:30 malam, saya hanya tiba di rumah pada jam 12:45 tengah malam, selepas setengah jam tertidur di stesyen minyak. Keletihan.
Pagi ini badan terasa sungguh letih.
Pembantu saya menawarkan bantuan untuk menghantarkan anak-anak saya ke sekolah. Namun saya menolak. Saya perlu gagahkan diri untuk menghantar mereka ke sekolah kerana mahu mengambil peluang berbual selama setengah jam, sebelum sebentar lagi saya terbang ke Labuan, berprogram sehingga Khamis.
“So, Yop dengan Naurah gembira tak dengan keputusan peperiksaan kali ini?” saya bertanya.
“Happy! Tapi Yop punya hafazan dapat 84. Kalau dapat 85, boleh dapat A” kata Saif.
“Akak belum tengok markah hafazan akak” ujar Naurah.
“Kadang-kadang 1 markah tak penting. Kadang-kadang 1 markah boleh buat kita menyesal” saya membuat ayat penyata, tanpa intonasi.
Mereka mengangguk.
BERTANYA
“Di kelas, Yop dan Naurah selalu tanya soalan tak?” saya menyambung perbualan.
“Ada la sikit-sikit” jawab Saif.
“Naurah suka tanya soalan” jelas Naurah pula.
“Masa belajar, kalau kita jawab soalan yang cikgu tanya, kita boleh jadi pandai. Tapi kalau kita tanya soalan kepada cikgu, kita boleh jadi genius. Jawapan penting. Tapi soalan laaaagi penting!” saya berkongsi.
“Kalau kita jawab soalan, jawapan salah, tak apa, kan Abi?” tanya Naurah.
“Tak mengapa. Markah kurang. Tapi berani bertambah. Kalau berani menjawab, banyaklah peluang jadi pandai. Kalau berani tanya soalan, lagi banyak peluang jadi genius!” saya bercerita.
Saya tahu, anak-anak saya seperti anak-anak lain, lebih biasa dengan jawapan berbanding soalan. Orientasi pembelajaran biasa ialah sering meminta murid-murid menjawab soalan. Tidak banyak ruang digunakan untuk melatih anak murid bertanya soalan. Keupayaan bertanya dan kemudian bertanyakan soalan-soalan bijak, adalah hikmah yang besar dalam sebuah proses pendidikan.
Sebab itu, anak-anak lebih cepat mendaftarkan kepentingan jawapan ke minda mereka berbanding kepentingan soalan.
“Masa sekolah, tiada soalan bodoh. Tapi kalau malas tanya soalan, mungkin jadi bodoh” saya menyambung kata.
Tragedi
ANAK MAKIN DEWASA
Saif termenung. Dia sudah tidak memberikan respon marah apabila mendengar perkataan bodoh, seperti zaman kanak-kanak kecilnya dahulu.
Kereta meluncur laju.
Motivasi Pagi oleh Ustaz Hanafiah di Radio IKIM pun baru selesai. Nilai sebuah kehidupan, topik yang menarik untuk direnungkan.
Selepas membelok ke kiri usai melalui roundabout pertama Bangi, kereta kami menyertai kesesakan jalanraya yang memang sudah dijangka.
[image error]
“Eh, Naurah nampak tupai. Tengok tu!” anak perempuan saya menuding ke arah pokok.
Seekor tupai liar ligat berlari melompat-lompat di atas dahan pohon mangga.
“Lajunya dia berlari!” kata Saif.
“Apa peribahasa Melayu berkaitan dengan tupai?” saya menguji mereka. Sambil melawan rasa mengantuk.
“Apa ye?” Saif menggaru kepala yang tidak gatal.
“Naurah pun tak ingat” kata Naurah.
Kedua-duanya masih asyik memerhatikan tupai berkenaan. Namun telinga mereka rupa-rupanya mendengar soalan saya.
Kanak-kanak.
Sering disalah erti.
Sangka kita mereka tidak peduli.
Walhal, ‘ahli Syurga’ itu memang multi tasking. Mata ke lain, telinga ke lain.
TUPAI LICIK BIJAK
“Pernah dengar tak peribahasa berbunyi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga?” saya menyoal.
“Tak pernah. Tapi maknanya tupai tu lari-lari kemudian dia jatuh ke tanah, kan?” balas Naurah.
“So, maknanya kita doakan tupai tu jatuhlah ya?” saya sengaja mengelirukan mereka.
“Err… ” Saif terputus idea.
“Kalau doakan benda tak elok untuk orang, itu tak baik. Maksud peribahasa itu ialah, ada orang jahat yang macam tupai. Setiap kali buat jahat, dia lari dan dia terlepas tidak ditangkap. Tapi lama-lama akan kena tangkap juga” saya membuat kesimpulan.
Masjid Hasanah sudah di sisi.
Sekolah sebagai destinasi sudah hampir.
“Tupai jahat ke?” tanya Naurah.
“Naurah rasa?” saya menyoalnya kembali.
“Tupai comel!” katanya.
“Comel, tak semestinya baik” saya membelit kenyataan.
“Tapi tupai baik” Saif mahu menamatkan perbualan. Intonasinya berkesimpulan.
“Kalau tupai curi buah?” saya membelit lagi.
“Abi, dah sampai sekolah!” Saif memberitahu.
Baru mereka tahu, betapa letihnya menjawab soalan! Saya ketawa kecil. Kami berpelukan kerana saya hanya akan berjumpa dengan anak-anak saya pada pagi Khamis, Insya Allah.
Mendidik minda anak-anak dengan Metacognition Learning, amat menarik. Anak-anak diajar supaya berfikir tentang apa yang mereka fikir, menguji apa yang mereka belajar supaya mereka sedar dengan apa yang masuk ke dalam minda dan bagaimana mereka memahaminya.
Ia bukan sahaja membantu mereka lebih ingat apa yang mereka perlu ingat, malah mereka mengingatinya dalam ayat dan kefahaman mereka sendiri, bebas daripada hafalan kaku terhadap fakta yang tidak menambah bijak.
Cuma ibu bapalah yang kena banyak bersabar.
Untuk saya, sudah lama saya tidak berpeluang melakukannya.
Hanya selepas semangat yang disuntik oleh Prof Dr Muhaya Mohd di Seminar Transformasi Ramadan 2.0 tempoh hari, baru saya terasa kembali segar.
Saya adalah bapa kepada ahli-ahli Syurga.
Dan kerana itu rumahtanggaku, syurgaku.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Jawapan Penting, Soalan Lagi Penting was first posted on July 10, 2012 at 11:33 am.
July 7, 2012
Transformasi Positif Lawan Negatif
[image error]
“Wakakakaka!”
“Umngok!”
“PAS Parti Ajaran Sesat!”
Apabila dialog seperti ini ditemui, saban hari, saban jam dan saban ketika, kita hampir tidak dapat membezakan siapa yang bercakap mengenai siapa. Kata-kata kesat, mencarut, menghina, sarkastik, memaki hamun, diungkapkan oleh pelbagai pihak terutamanya komen-komen di dalam media sosial. Buang label, tempat kosong boleh diisi secara bebas dengan mana-mana label, ayat itu masih kedengaran ‘normal’!
Perkara mungkar itu mungkar.
Kita tidak boleh menafikannya.
Tetapi kita boleh memilih sama ada menyambut kemungkaran itu secara positif, atau negatif.
Benda negatif boleh disambut secara negatif.
Itu biasa.
Benda negatif juga boleh disambut secara positif.
Itu luar biasa.
Luar biasa, yang menjadi kebiasaan Rasulullaah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Menumpaskan negatif dengan positif. Membalas kejahatan dengan sesuatu yang lebih. Membuktikan kebaikan lebih tinggi dan mulia berbanding kejahatan. Bahawa HAQ lebih INDAH dan BERHEMAH berbanding BATIL yang rendah lagi keladak.
Hasilnya juga sungguh luar biasa. Seperti janji Allah di dalam firman-Nya:’
[image error]
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” [Fussilat 41: 34]
Musuh ketat jadi kawan karib.
Itu luar biasa.
Namun itulah realitinya.
Inilah transformasi diri yang saya azamkan sempena kedatangan bulan Ramadan ini, kerana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berpesan secara khusus, lawan negatif dengan positif melalui pesanan ini:
Diperbodohkan.
Dimaki hamun.
Balas cukup dengan kalam yang ‘super positif’ iaitu, “aku puasa!”
Mungkin kerana seteru kita terlalu kerap digelar jahat, jahat, jahat dan jahat, akhirnya mereka jadi benar-benar jahat dengan kejahatan yang kita sendiri ‘mahukan’.
Bagaimanakah menumpaskan seteru yang berbuat jahat itu dengan sesuatu yang positif?
Lawan dengan sindiran: nafsu
Lawan dengan celaan: dosa
Lawan dengan maki hamun: kita serupa
Lawan dengan diam: dendam
Lawan dengan puji: keliru
Lawan dengan doa: hebat
Lawan dengan tindakan: pangkah dengan bijaksana
Sifat keterlaluan dalam mengungkapkan kejahatan pesalah mungkin boleh berakhir dengan si penjahat kalah. Namun penjahat kalah ketika orang baik lemah. Penjahat jadi pembangkang jahat yang gagah. Orang baik jadi pemerintah baik yang lemah.
Jika lebih banyak unsur positif disuburkan, kita mungkin ketawa dengan analisa ini, namun janji Allah ialah: MUSUH BERTUKAR MENJADI TEMAN.
Anda mengimaninya?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Transformasi Positif Lawan Negatif was first posted on July 7, 2012 at 11:09 pm.
July 6, 2012
Asyik-asyik Palestin?
[image error]
“Apa kena mengenanya Palestin dengan kita?” soalan dilontar.
“Buat apalah sibuk-sibuk tentang isu Palestin. Rakyat negara kita pun ramai yang tak cukup makan!” balas seorang lagi.
Jika soalan ini hadir daripada lisan seorang yang tidak peduli kepada apa yang berlaku di sekelilingnya, itu haiwan ternak, seperti kata al-Quran. Hidupnya hanya makan, minum, kerja, rehat dan kahwin.
Tetapi jika soalan ini datang daripada fikiran seorang yang prihatin, maka soal kekaburan ini memang masalah yang serius.
Semasa wakil Haluan menyampaikan Khutbah Jumaat berkenaan Palestin masjid saya mendirikan solat Jumaat tadi, saya cuba menumpukan perhatian kepada isi khutbah yang disampaikan. Rasa mengantuk dilawan. Bukan mudah untuk bertemu dengan khutbah Jumaat yang di luar kotak biasa.
Pada masa yang sama, saya juga memerhatikan bahasa tubuh para jemaah. Saya nampak ada yang mengutis cekam di kuku kaki, ada yang menaip di telefon bimbit, ada juga seorang warga asing membaca nota peperiksaan, di celah-celah ramai juga yang menumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan.
Nampak juga ramai yang merenung ke luar dan paling ramai adalah yang meniru ‘sunnah’ Ashaab al-Kahf. Tidur.
SOALAN KRITIKAL
Soalan paling kritikal dalam khutbah kedua menjelaskan hal ini iaitu, “apa kena mengenanya aku di Malaysia ini dengan isu Palestin?”
Jika soalan ini wujud di minda tanpa jawapan yang meyakinkan, isu Palestin akan sejuk dan hambar tanpa sambutan.
“Asyik-asyik Palestin!” mungkin ada hati yang merungut begitu.
Usai khutbah Jumaat, saya rakamkan video di bawah untuk berkongsi apa yang saya rasa:
Semoga ia bermanfaat untuk melengkapkan khutbah Jumaat tadi.
Allah, bantulah saudara-saudara kami di Palestin, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Asyik-asyik Palestin? was first posted on July 6, 2012 at 10:24 pm.
July 5, 2012
Meneliti Kualiti Hidup Berpandukan Surah al-Kahf
[image error]
Hari ini hari Jumaat.
Penghulu sekalian hari.
Kehadirannya bukan hanya dengan semangat seronok menyambut hujung minggu dan cuti, tidak juga sekadar ‘rutin’ Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan di solat Fajarnya.
PERMULAAN MINGGU
Jumaat bukan hujung minggu atau permulaan kepada hujung minggu.
Ia adalah hari permulaan kepada minggu yang baru. Perilaku kita pada satu Jumaat, Insya Allah banyak mempengaruhi hari-hari yang berikut dalam minggu tersebut hingga datang Jumaat yang seterusnya. Muhasabahlah keadaan diri kita pada hari Jumaat, untuk sebuah minggu yang lebih baik, mudah-mudahannya.
Hari Jumaat ada banyak amalan untuk memakmurkannya.
Rebutlah beberapa keutamaan penting yang disediakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala khusus dengan kedatangan hari ini.
MEMBACA SURAH AL-KAHF
Antaranya ialah membaca dan bertadabbur dengan Surah al-Kahf.
Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, baginda bersabda, “BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA” [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]
FUNGSI SURAH AL-KAHF
Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools‘ untuk menghasilkan tiga perkara:
(تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
(تصحيح منهج الفكر و النظر) Membetulkan metod berfikir dan memerhati (Pandangan Hidup)
(تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
CHECK LIST
Justeru, usai membaca Surah al-Kahf, jawab soalan-soalan berikut sebagai menilai keberkesanan isi kandungan Surah itu kepada kehidupan kita:
Apabila mempercayai sesuatu dalam hidup ini, atas asas apakah ia dipercayai? Aqidah, Ibadah, urusan jual beli dan kepenggunaan, bagaimanakah kita menetapkan pendirian tentang keputusan ‘buy-in‘ kita terhadap sesuatu yang datang ke dalam hidup?
Bagaimanakah kejadian-kejadian di dalam hidup ini diberikan makna? Kerjaya, keluarga, perancangan hidup, adakah ia sekadar makna kulit bagi setiap perkataan itu atau ada makna yang lebih besar? Jika sistem ganjaran terhadap kerjaya dan keluarga gagal memenuhi jangkaan diri, bagaimanakah ia diatasi dan di sisi manakah kita mendapatkan kepuasan mengenainya?
Apakah yang baik, berguna, penting dan utama dalam hidup ini? Bagaimana pertembungan di antara pelbagai komitmen ke atas diri yang satu, disusun atur antara yang perlu disusun atur, atau dibuang dan diabaikan seandainya tidak perlu? Bagaimanakah keputusan untuk hal-hal ini dibuat? Atas pertimbangan apakah keputusan itu dibuat?
Ini adalah soalan kehidupan yang boleh digunakan untuk menilai, sama ada ‘tools‘ yang terdapat di dalam Surah al-Kahf berjaya digarap atau sebaliknya.
Fitnah Dajjal tidak datang dalam bentuk ancaman fizikal. Ia muncul dalam keadaan kita pun mungkin tidak sedar dengan kemunculannya. Ia menyelinap masuk mengganggu gugat kepercayaan, merosakkan sistem fikir dan sistem nilai.
MUHASABAH
Surah al-Kahf merumuskan bahawa:
Harta dan sebarang pemilikan fizikal adalah liabiliti. Hanya dengan menghubungkan semua harta dan fizikal dengan Allah, ia menjadi aset.
Ilmu adalah liabiliti. Hanya dengan menghubungkan semua ilmu dengan Allah, ia menjadi aset.
Kuasa adalah liabiliti. Hanya dengan menghubungkan kuasa dengan Allah, ia menjadi aset.
Kepercayaan adalah pembinasa kerana ia punca kita salah menafsir makna. Ia adalah liabiliti. Hanya dengan kepercayaan yang menjadikan kita berhubung dengan Allah, ia menjadi aset.
Muhasabah KEPERCAYAAN anda (cetusan kisah Ashaab al-kahf).
Muhasabah HARTA anda (cetusan kisah lelaki kafir pemilik dua kebun).
Muhasabah ILMU anda (cetusan kisah Musa dan Khaidir).
Muhasabah KUASA anda (cetusan kisah Zulqarnain).
Adakah setiap satunya itu ASET atau LIABILITI?
Jika setiap satunya membawa kita kepada Allah, maka ia adalah aset yang penting bagi pelaburan hidup dunia dan Akhirat.
Jika setiap satunya gagal membawa kita kepada Allah, maka ia adalah liabiliti yang mengundang musibah dunia dan Akhirat.
Ia mesti berhubung dengan Allah.
Terputus hubungan dengan Allah, semua kepercayaan, harta, ilmu dan kuasa akan melekat di dinding Materialisma.
Mazhab Dajjal.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Meneliti Kualiti Hidup Berpandukan Surah al-Kahf was first posted on July 6, 2012 at 6:01 am.
July 4, 2012
Soalan Imad
[image error]
“Abi, kenapa Abi terkenal?” tanya Imad.
“Terkenal tu apa, Imad?” saya bertanya balik.
“Terkenal la. Semua orang tahu abi” kata anak ketiga saya ini.
Dia memang sering bertanya soalan yang pelik-pelik.
“Entahlah, Imad. Abi pun tak tahu. Mungkin suara Abi kuat kot” saya membalas.
“Rasanya, bagus tak kalau Abi terkenal?” saya sengaja meleretkan persoalan.
“Bagus la. Semua orang tahu Abi” ujarnya.
“Tapi, kalau Abi terkenal, nanti Abi selalu kena pergi kerja. Selalu tak ada di rumah” saya lontarkan isu yang paling Imad tidak suka.
“Iiiihhhh!” beliau menggosok-gosok kepalanya.
Tertekan.
“Tak tahu, tak tahu!” Imad mengalah.
Saya hanya ketawa melihat gelagat budak penuh emosi ini.
Kebelakangan ini, Imad yang masuk usia 6 tahun gemar bertanya soalan pelik. Beliau sangat memerhati persekitaran. Rasanya seperti boleh buat koleksi dan dibukukan di bawah tajuk “SOALAN IMAD”!
NOMBOR TELEFON
Teringat kepada perbualan saya dengannya tengah hari yang sama.
“Abi, kalau Imad dah besar nanti, nombor telefon Imad apa?” tanya Imad.
“Sekarang tak tahu. Dah besar nanti, Imad isi borang, dapatlah nombornya” saya menjawab.
“Nak isi dekat mana?” tanyanya lagi.
“Isi dekat TM” jawab si ayah.
“Tapi TM tu dekat mana? Imad tak tahu” katanya pula.
“Nanti Abi bawakanlah ya” saya cuba menamatkan perbualan.
Pening.
“Insya Allah!” kata Imad.
Oh, insaf saya dibuatnya. Penceramah Modul Surah Al-Kahf terlupa menyebut Insya Allah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Soalan Imad was first posted on July 4, 2012 at 11:44 pm.