Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 77
July 3, 2012
Di Mana SENI di Sebuah Negara Bernama Malaysia
[image error]
EMEL INI DIHANTAR OLEH SEORANG SAHABAT. DENGAN PERSETUJUAN BELIAU, EMEL INI SAYA NUKILKAN UNTUK TATAPAN DAN KEFAHAMAN KITA BERSAMA
Assalamualaikum Ustaz Hasrizal yang dikasihi,
Pertamanya maaf andai emel ini menggangu masa ustaz yang cukup padat. Semoga ustaz terus diberi kekuatan untuk berjuang.
Saya menulis emel ini kepada pihak ustaz sekadar untuk berkongsi luahan atau sedikit coretan berkenaan post yang ustaz tulis sebentar tadi iaitu mengenai drama yang syariah compliance di TV Al-Hijrah. Ini sekadar perkongsian mengenai pengalaman dan juga sedikit pengetahuan yang membabitkan bidang saya. Ustaz jauh lebih arif dan mulia dari saya, oleh yang demikian saya mohon maaf andai apa yang saya coretkan disini kurang bermanfaat.
Ustaz,
DISIPLIN SENI
Seni dan rekabentuk adalah seperti adik beradik dan ini merupakan asas kepada cabang-cabang disiplin yang lain seperti seni halus, rekabentuk grafik, rekabentuk multimedia, nyanyian, tarian, persembahan, lakonan, rekabentuk produk, rekabentuk fesyen dan banyak lagi. Di Malaysia, penekanan kepada disiplin ini hanya bermula secara jelas pada peringkat ipt, setelah seseorang mengambil kursus-kursus yang berkaitan. Subjek sokongan di sekolah menengah hanyalah pendidikan seni, pendidikan muzik, kemahiran hidup dan juga rekacipta. Subjek terakhir iaitu rekacipta itupun menjadi subjek pilihan bergantung kepada sekolah. Pendidikan seni yang diajar pada setiap tahun atau tingkatan pula, sememangnya tidak salah jika saya katakan hanya menjadi subjek picisan.
Apa yang saya cuba sampaikan disini, ialah asas kepada disiplin seni dan rekabentuk bagi pelajar-pelajar di Malaysia adalah rapuh. Tidak seperti subjek Sains dan Matematik yang begitu ditekankan disekolah-sekolah yang sememangnya menjadi tunjang disiplin kejuruteraan. Ini antara lain disebabkan juga oleh dasar negara. Bukan sahaja seni dan rekabentuk, disiplin ilmu falsafah juga masih tidak punya banyak subjek asas di sekolah-sekolah.
Foundation atau asas kepada seni pelajar-pelajar tidak kuat. Apabila mereka mengambil jurusan seni/ rekabentuk di peringkat ipt, barulah secara tiba-tiba yang tidak reti melukis belajar melukis, yang tidak reti menyanyi belajar menyanyi dan banyak lagi ‘penekanan’ secara ‘tiba-tiba’ terpaksa dilakukan dalam proses pengajaran dan pelajaran. Ini berbeza sama sekali dengan pendidikan di negara maju yang mana asas seni telah wujud/ dipupuk sewaktu sekolah. Contoh, subjek bahasa inggeris memerlukan pelajar di US menghasilkan sebuah diorama negara Thailand. Bermakna, subjek pelajarannya ialah bahasa Inggeris, namun kreativiti dipupuk melalui penciptaan diorama, sambil mempelajari seni atau budaya negara asing.
PEMIKIRAN ANALITIKAL
Disiplin seni dan rekabentuk memerlukan pemikiran analitikal yang sangat tinggi. Penilaian besar di ipta adalah melalui projek / project based learning. Sama sekali berbeza dengan kejuruteraan, kedoktoran, sains dan disiplin ‘pena dan kertas’, walaupun di tahun1 universiti, pelajar seni / rekabentuk sudah terpaksa berfikiran kritis secara subjektif. Asas yang tidak kuat, yang tidak dapat diwujudkan sewaktu sekolah, menyebabkan mutu dan kualiti pelajar ipt seni dan rekabnetuk tidak kompetitif. Ini adalah sedikit kontra dengan pencapaian disiplin sains, kedoktoran, kejuruteraan dsb yang mana disiplin ini memungkinkan ada pelajar daripada ipta begitu cemerlang, setanding global.
Di ipt, silibus seni dan rekabentuk secara umumnya bersifat liberal. Saya sedikit kurang selesa untuk mengeluarkan kenyataan ini secara menyeluruh namun ini realiti apa yang berlaku. Meskipun terdapat kursus rekabentuk di UIA contohnya yang melakukan proses ‘islamization’ yang seiring dengan dasar universiti tersebut, namun realitinya kadangkala ia sekadar penjenamaan luaran tanpa isi kandungan subjek-subjek rekabentuk ini dapat digarap lebih baik nilai Islamnya.Mungkin bagi pelajar agama, keseluruhan besar subjek yang dipelajarinya berkaitan falsafah dan agama. Namun bagi pelajar jurusan rekabentuk di UIA misalnya, mereka hadir bertanyakan soalan: saya ni bakal menjadi designer, kenapa kena hafaz ayat2 Quran bagi subjek hafazan?
Disiplin seni/rekabentuk terpisah dengan agama dan ia tidak mudah untuk diIslamkan seperti kursus sains, kejuruteraan dan kedoktoran. Ini antara lain adalah disebabkan beberapa faktor yang mungkin kurang ‘akademik’ untuk dijadikan fakta, namun hakikatnya, mereka yang berlatarkan agama/ fikrah agama kurang berminat untuk menyertai kursus-kursus ini. Penglibatan yang saya maksudkan disini ialah sebagai pelajar, tenaga pengajar, berminat untuk mengambil tahu, mahupun mengambil peduli. Maaf bunyinya keras, jauh sekali saya ingin menghentam. Namun bagi disiplin seni, cabarannya begitu hebat. Saya pasti ustaz sedia maklum, bagaimana environment kursus-kursus seni dan rekabentuk ini.
Saya pernah menulis di komen fb ustaz beberapa bulan yang lalu, pada masa itu isu yang ustaz bawakan ialah berkaitan kartun/ilustrasi syabab musafir kasih. Kursus seni yang baik masih berada di luar negara. Dan asas kepada kursus grafik ialah lukisan yang salah satu silibusnya ialah tubuh badan manusia, bermula dengan lukisan bogel, atau sekiranya di Malaysia ini diganti dengan anggota tubuh. Ini belum lagi saya perincikan berkenaan kursus fesyen yang jauh liberalnya walaupun yang dijalankan di ipta negara kita.
ASAS LEMAH, DISIPLIN LIBERAL
Konklusi yang saya ingin sampaikan disini ialah, asas kepada seni dan rekabentuk di negara kita agak lemah, dan disiplin tersebut masih liberal. Bagi mereka yang ingin menghasilkan grafik Islam, drama Islamik, muzik dsb, maka mereka tercari-cari arah. Perbandingan seringkali dilakukan dengan negara jiran kita iaitu Indonesia. Ayat-ayat Cinta, KCB, Laskar Pelangi dan bagi muzik, lagu-lagu ketuhanan mereka cukup terkesan di hati rakyat Malaysia. Apa yang berlaku? Indonesia mempunyai asas seni budaya yang utuh. Sekiranya ia bukan disebabkan oleh sistem pembelajaran formalnya, seni budaya itu berakar umbi dalam diri mereka. Kita disini tidak begitu.Jauh sekali.
Ustaz yang dikasihi,
Mohon maaf atas perkongsian dengan gaya bahasa yang agak bersepah ini. Saya hanya ingin menyatakan apa yang saya tahu serba sedikit. Dan setiapkali komen/kritik mengenai seni/ rekabentuk berlaku di media, saya selaku mereka yang berlatar belakangkan bidang ini merasakan sebenarnya masalah itu ramai yang tahu, tapi usaha ke arah itu sangat perlahan atau mungkin kerana ia sangat mencabar. Ustaz yang hebat, berguru dengan Syeikh yang hebat, dari Universiti yang hebat. Pembuat drama tangkap muat, yang asas seni pun tiada, mana mungkin menghasilkan karya yang hebat.
Saya tidak nafikan , penghijrahan ramai artis, penggiat seni ke arah Islam, bakal menyemarakkan dunia hiburan / seni Islam. Namun ‘kilang’ seni/rekabentuk/hiburan kita di ipt masih mengeluarkan produk yang sama. Selaku academician pun kadangkala saya terfikir, liberalnya sebahagian kursus-kursus ini, sekiranya ada anak-anak ustaz yang ingin menyertainya, saya mungkin berkata jangan, ia sukar dan mencabar.
Mohon maaf ustaz, sekadar coretan budak mentah.Harapan itu tetap akan ada bagi Islam yang syumul, saya hanya menyatakan realiti semasa. Wallahua’lam, maaf ustaz, doakan saya. InsyaAllah sekiranya ustaz punya masa untuk kita berdiskusi tentang hal ini secara details, dan menstrategikan bagaimana kita boleh mentransformasikannya, dengan tangan terbuka luas saya mohon dihubungi.
SAHABAT.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA
Di Mana SENI di Sebuah Negara Bernama Malaysia was first posted on July 3, 2012 at 10:03 pm.
Sembang Memposisikan Karya Dakwah Dalam Industri Seni
“Drama dan filem hari ini tidak patuh Syariah!” kata Dr. Shark.
Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty daripada Tronoh Theatre Shop tegas.
Ketegasan beliau perlu disambut. Itulah prinsipnya. Bahawa kalau Tuhan kita Allah dan Rasul kita Muhammad, tiada alasan lain untuk bertidak-tidak.
Mana mungkin dunia hadapan kamera dan dunia belakang kamera dilabel-label antara lakonan dan sebenar. Kedua-duanya sebenar. Setiap pilihan, jadi saham ke Syurga, atau saham ke Neraka.
Titik.
Namun, pada menterjemahkannya kepada praktis, pelbagai liku yang timbul.
Buat drama, kena patuh Syariah. Apabila patuh Syariah, tiada yang menonton. Kalau tiada yang menonton, buat apa buat drama?
“Kegiatan membangunkan industri filem di Indonesia mendapat sokongan pesantren, termasuk pada membekalkan penonton tegar. Karya bagus, dan kebagusannya disambut. Kita perlu memikirkan cara untuk ‘menyediakan’ penonton bagi karya Islam” ujar Tuan Zabidi Mohamed pula.
Penulis skrip prolifik itu mengambil giliran berbicara. Beliau enggan drama-dramanya digelar sebagai drama Islamik. Sebaliknya cukuplah sekadar drama keagamaan, kerana tatkala ia usaha memurnikan drama, ia berada di kualiti tinggi. Namun kalau diukur dengan pembaris Islam, jalan menepatinya masih jauh.
Tuan Zabidi Mohamed juga berpendapat, dek pelbagai cabaran pada memperbaiki kualiti seni kreatif dan media di Malaysia, negara kita mempunyai prospek dalam kategori drama, lebih daripada filem. Drama perlu disambut. Khususnya oleh mereka yang kaya dengan content.
“Adakah anda semua bersedia menjadi penggiat seni? Pengarah? Pelakon?” Tuan Zainal Rashid Ahmad bertanya.
General Manager Production daripada TV Al-Hijrah itu mencabar para hadirin.
Saya kira, cabaran itu bertujuan meletakkan bahasa diskusi di sepanjang forum tersebut memakai bahasa buat, bukan bahasa cakap.
Kalau bercakap, memang boleh bercakap. Kalau buat, dengarlah luahan beliau tentang perjuangan di balik tabir semenjak dahulu, hingga kepada usaha memartabatkan penyiaran patuh Syariah oleh TV Al-Hijrah.
Forum petang itu sungguh bernas.
Dalam keadaan yang amat letih dan mengantuk, saya gelisah mendengar setiap butiran kata para panelis. Topik yang saya tidak punya sebarang kemahiran, namun amat minat kerana ia berkaitan dengan manusia.
DUIT OH DUIT
Tuan Zainal Rashid Ahmad memberikan gambaran bahawa TV Al-Hijrah menanggung kos operasi sebanyak lebih RM60 juta setahun. Namun pendapatannya, khususnya melalui iklan, setakat ini hanya kurang RM2 juta. Syarikat besar tidak mengiklankan diri mereka di stesyen ini kerana ‘takut’ dilabel Islamik yang bermasalah dengan ‘persepsi’ rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Untuk sebuah syarikat dilabel sebagai Islamik, tentu sahaja ia risiko yang bukan sebarangan.
Jika begini perihalnya, bagaimanakah stesyen ini 5 tahun akan datang?
Semasa pembentangan itu, saya mencatat beberapa perkara, dengan harapan untuk ditanya.
Saya berpendapat, badan korporat yang sudah sememangnya dilabel Islamik, perlu mengisi kekosongan ini. Tidak lain dan tidak bukan, saya merujuk kepada institusi-institusi kewangan Islam. Jika dipandang secara kasar (tanpa sokongan statistik), produk dan perkhidmatan bank-bank Islam amat kurang diiklankan (kurang pasti apa puncanya), dengan pengecualian Bank Rakyat yang ‘menconteng’ pesawat Air Asia dengan begitu baik.
Banyak produk dan perkhidmatan bank-bank Islam, hanya diketahui apabila kita berkunjung ke premis atau dengan serba sedikit iklan di media cetak. Sedangkan, iklan bukan sahaja melonjakkan prestasi syarikat, malah menjadi dakwah langsung dan tidak langsung sebagai fardhu kifayah di tengah gelanggang umat.
Jika bank-bank seperti Bank Muamalat, CIMB Islamic Bank, al-Rajhi dan lain-lain aktif melabur di dalam segmen iklan televisyen dan radio, selamatlah sedikit TV Al-Hijrah (dan Radio IKIM barangkali), daripada lambakan iklan makanan dan minuman ‘sunnah’ yang menjana pendapatan sederhana tetapi secara besar menjejaskan komitmen penonton serta pendengar terhadap siaran sebegini.
DOKUMENTARI DAN DRAMA
Saya bertanya kepada panelis semasa sesi rehat tentang penerimaan masyarakat terhadap content TV Al-Hijrah.
Dokumentari dan rancangan-rancangan ilmiah di saluran itu memang menarik dan mendapat tempat yang memberangsangkan.
Bagaimana pula dengan drama-dramanya?
Kita tahu drama TV al-Hijrah patuh kepada tuntutan Syara’ pada tidak membuka aurat, tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan dan tidak membawa nilai serta ajaran sesat lagi khurafat. Adakah drama-drama yang Syariah Compliant ini mendapat sambutan?
Tuan Zainal Rashid Ahmad memberitahu, sambutannya amat teruk dan beliau sendiri yang merupakan orang ‘content‘ bagi drama pun, tidak lalu hendak menontonnya.
Isu ini amat kritikal kerana membabitkan tuntutan Perdamaian antara Realism dan Syariah dalam karya kreatif. Drama patuh Syariah seperti tiada kejujuran dalam mengungkapkannya. Manakala drama yang mahu jujur, melanggar pula peraturan Syara’
TIRU INDONESIA DAN IRAN
[image error]
“Tengok Ketika Cinta Bertasbih!”
“Cuba belajar daripada Children of Heaven!”
Lazimnya komen kita pantas pada mendatangkan nama-nama filem ini.
Apabila isu karya kreatif Islam dibangkitkan, majoriti kita akan segera mengusulkan hasilan Iran dan Indonesia sebagai contoh.
Meneliti filem-filem Iran, kita dapati, cerita yang dipaparkan amat kuat (substantial) dan tidak bergantung banyak kepada dialog. Seorang pelakon termenung, menjilat lolipop, mengejar selipar di dalam parit, sudah cukup menyampaikan seribu mesej secara ‘show, don’t tell!’. Malah subteks yang berada di keliling pelakon turut bertugas bercerita secara diam dengan pelbagai kisah.
Masalah filem kita antaranya adalah isi yang lemah. Justeru, filem atau drama kita menjadi seperti manusia hodoh yang perlu dikosmetik berlapis-lapis. Cakap kena membebel bising-bising tapi isinya satu dua. Terpaksa buat pelbagai scene, kena bertepuk tampar, berbaring di katil sambil berbual tentang masalah anak-anak, yang kesemuanya perlu dipapar-paparkan kerana kelemahan dialog dan bahasa tubuh untuk menceritakannya.
Inilah yang mengundang kepada banyaknya ‘keperluan’ melanggar hukum Syara’ kerana susah hendak menyampaikan maksud.
Kelemahan isi ini bukan hanya di dalam filem atau drama, tetapi turut dikesan di dalam lirik-lirik lagu tahun 2000 ke atas yang amat sampah, tiada seni tiada isi.
SENI TIDAK BERLANDASKAN ILMU
Mungkin semua ini bermula bukanlah daripada kurangnya bijaksana pelakon atau penulis skrip atau mana-mana pihak secara mikro, tetapi di negara kita memang seni tidak dipentingkan, tidak diajar secara falsafah dan dasar, tidak dilandaskan kepada ilmu dan kemanusiaan, sebagaimana perubatan dan kejuruteraan yang didahului oleh ilmu-ilmu alat di peringkat sekolah.
Pendidikan seni kita di peringkat sekolah bagaimana?
Di mana seni dalam keutamaan pembangunan modal insan versi Malaysia?
Sesungguhnya jalan masih panjang.
Mengeluh drama dan filem kita tidak bagus memang tidak ke mana.
Ia perlu menjadi perjuangan, sama ada atas ke bawah seperti Iran, atau bawah ke atas seperti Indonesia.
Saya masih memikirkannya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Sembang Memposisikan Karya Dakwah Dalam Industri Seni was first posted on July 3, 2012 at 8:13 pm.
July 1, 2012
Perhimpunan Sebuah E-Keluarga
[image error] Kredit foto SenyumPictures.Com
Tidak pasti dari mana hendak bercerita.
Alhamdulillah, itulah sebaik-baik kalam pemula.
Majlis Sambutan 15 tahun Saifulislam.Com di KUIS pada 30 Jun yang lalu berjalan dengan baik.
Dalam senyuman dan sapaan mesra bersama para pengunjung, hati saya amat berdebar-debar. Gelisah. Tidak sabar menunggu tenggelam matahari, untuk melepaskan diri daripada keresahan berkenaan.
PERIBADI
Masakan tidak.
Blog Saifulislam.Com ini adalah conteng-conteng peribadi saya. Menulis sesuka hati, dengan 5 pengunjung sebulan yang saya kenal setiap seorangnya. Sedar-sedar ia sudah berusia 15 tahun, sudah ada 1500 artikel dan 48,000 komen yang direkod. Daripada sesuatu yang percuma dan menggunakan sahaja platform terbuka yang disediakan oleh Lycos dan Geocities, hinggalah kepada merumahkannya di server khusus dengan kos yang sering menyebabkan saya pening kepala.
Persepsi orang ramai saya tidak tahu.
Apa yang ada di kepala saya, Saifulislam.Com masih sama seperti dahulu. Tempat saya bercerita. Daripada kisah isteri dan anak-anak, kucing, kura-kura dan anak ikan arowana yang saya bela, hinggalah kepada Imam Ghazali, Muhammad Abduh, Rene Descarte dan Recep Tayyib Erdogan. Saya menulis sesuka hati, sesedap rasa, dengan satu semangat iaitu untuk MEMBERI.
“Ana susah hati. Boleh tak jangan pakai nama Karnival” saya merayu di pejabat.
Cadangan asalnya Karnival Saifulislam.Com.
Tetapi Karnival hanya sesuai dengan TV3 atau Radio IKIM. Bukan Saifulislam.Com.
“Takut nanti saya SS. Syok Sendiri!” saya berseloroh di dalam ucapan alu-aluan pagi Sabtu lalu.
Saya hanya berani menyetujui hasrat menganjurkan majlis Sambutan 15 Tahun Saifulislam.Com apabila saya tersedar bahawa artikel saya hanya 1500, sedangkan komen pembaca 48 ribu! Pengunjung dan pembaca, adalah bahagian yang amat besar pada membentuk Saifulislam.Com. Justeru ia bukanlah tentang Hasrizal Abdul Jamil.
Ia tentang kita semua.
SEMANGAT VOLUNTEERISM
Kredit foto SenyumPictures.Com
“Mana nak cari duit?” itu soalan pertama.
Pengalaman menganjurkan pelbagai kursus dan seminar, saya boleh gambarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk menghimpun manusia dalam keadaan selesa, terjaga makan minum, betul suhu dewan serta pencahayaan dan berbaloi pengisian yang disampaikan. Tetapi Saifulislam.Com bukan syarikat. Synergy Training & Consulting pun seperti itik berenang di paras dada. Luar nampak tenang, kaki di bawah air tergapai-gapai hanya puyu yang tahu.
“Kita cuba usahakan penajaan” sahabat di pejabat meletakkan keyakinan.
Saya mengangguk.
Tekak menelan air liur, Allah yang tahu.
Terima kasih kepada sebuah tadika budiman yang menaja kek. Maafkan saya kerana cabutan bertuah sepanjang program tidak menyediakan pengisar makanan, hamper atau jam dinding sebagai hadiah. Hanya sepotong kek buat kenangan manis lagi bergula icing.
BERSAMBUT
Syukur Alhamdulillah, semangat MEMBERI itu bersambut.
Ramai sungguh yang sudi menghulur keringat dan masa.
Paling saya malu, adalah dengan tetamu-tetamu istimewa, mereka datang dekat dan jauh, mencurah pelbagai ilmu, bakat dan nasihat. Pulangannya pula sungguh tidak seberapa. Hampir sahaja tidak bernilai apa-apa.
Hanya satu yang saya harapkan, agar perhimpunan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) tempoh hari, menjadi penyambung nadi, untuk saya terus berusaha, 15 tahun lagi, dan 15 tahun seterusnya juga, andai masih ada nyawa dikandung jasmani. Dan kehadiran nama-nama besar dalam sinergi dakwah – seni kreatif sepanjang hari, menjelaskan bahawa jiwa dan minda besar boleh menjadikan segala yang mustahil, diserlah sebagai bakti.
Namun lucu juga memikirkan, betapa kehadiran tetamu ke program tempoh hari, sama seperti statistik atas talian Saifulislam.Com. Paginya sepi, graf mendatar, dan meresahkan pengarah program.
“Jangan risau akhi. Kita sudah berusaha. Ana personally amat berpuas hati. Namun hati anta, kena perjuangkan sendiri. Yang pasti, semuanya baik-baik belaka, Alhamdulillah” saya cuba meredakan kerut dahi pengarah yang gelisah.
Syukur, menjelang tengah hari, jumlah hadirin bertambah. Majlis jadi semakin meriah. Dan selepas Dialog Karyawan hebat jam 3:30 petang, serta majlis bersurai menjelang Asar, forum di sebelah malam masih terus meriah ke khatimah.
Insya Allah saya akan cuba coretkan beberapa catatan penting sepanjang sambutan berlangsung.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Perhimpunan Sebuah E-Keluarga was first posted on July 1, 2012 at 11:18 pm.
June 29, 2012
Selamat Datang ke Sambutan 15 Tahun Saifulislam.Com
Saifulislam.Com bukan SAYA, tetapi KITA.
Pejam celik pejam celik, sudah 15 tahun ia di talian.
Muncul di skrin masing-masing, berkongsi fikiran dan harapan untuk diri, keluarga dan umat.
Ada suka, ada duka, ada pedih, banyak manis.
Selamat datang sahabat sekalian.
Terima kasih kerana hadir ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk acara sambutan ulangtahun ke-15 Saifulislam.Com.
Wacana, seminar, diskusi, ceramah tentang dakwah kreatif, e-dakwah, industri ebook dan macam-macam lagi.
Berikut adalah jadual penuh acara kita hari ini:
9.00 pagi : Ucapan alu-aluan Timbalan Rektor KUIS
9.30 pagi : Sesi “SAIFULISLAM.COM 15 TAHUN MENGINSPIRASI”
10.00 pagi : Pelancaran E-Book “Tak Kenal Maka Tak Cinta” & Pelancaran Sistem Keahlian Saifulislam.com
10.30 pagi: Bedah Buku: eBook – Tak Kenal Maka Tak Cinta
11.00 pagi : Dunia E-Book : A – Z : Tuan Suhaimy (Klikjer.com)
12.00 tengahari : Sesi 1 : “SINERGI AGAMAWAN & MEDIA KREATIF MEMACU DAKWAH”
Pembentang 1 : Ustaz Zakaria Sungib (Galeri Ilmu Sdn. Bhd.)
Pembentang 2 : Ammar Mohd. Zain (Pengasas Brotherhood Arts Sdn. Bhd.)
Pembentang 3 : Sinergi Kreatif: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.Com)
1.15 petang : Rehat/Makan Tengahari/Solat Zohor
Lokasi : Auditorium KUIS
2.15 petang : Sesi 2 : “MEMPOSISIKAN KARYA DAKWAH DALAM INDUSTRI SENI”
Panel 1 : Tuan Zainal Rashid Ahmad (TV AlHijrah)
Panel 2 : Tuan Zabidi Mohamed (Penulis Skrip)
Panel 3 : Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty (Pengasas TTS)
Lokasi : Sekitar kawasan Auditorium KUIS (Aktiviti bebas)
3:45 petang: Segmen santai mesra pengunjung bersama para tetamu (aktiviti bebas)
Lokasi : Masjid Al-Azhar, KUIS
8.00 malam : Teater Interaktif oleh The Qum Actors
9.00 malam : Forum “Sinergi Khalifah Kreatif” : Serlah Potensi, Bina Legasi”
Panel 1 : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Panel 2 : Ustazah Suriani Sudi (KUIS)
Panel 3 : Hilal Asyraf (LangitIlahi.com)
11.30 malam : Tamat
Dapatkan maklumat lanjut serta daftarkan kehadiran PERCUMA anda di SAIFULISLAM.COM 15 TAHUN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA
June 24, 2012
Antara Kanak-kanak dan Anak-anak
[image error]
“Eh, comelnya. Geram betul tengok baby ini!” kata Nina.
“Tu la. Rasa nak picit-picit. Ceria bukan main!” balas Azli, si suami.
“Masa umur macam inilah yang sweet. Sentiasa bermain. Tak banyak ragam” ujar Nina.
Tangannya pantas menimang-nimang Aiman. Anak jirannya itu baru mencecah usia setahun. Gemar ketawa apabila diagah.
“Tapi… ” Azli menyambung. Tidak bersambung.
Kata-katanya terhenti.
Nina juga terdiam. Seperti faham apa yang hendak Azli nyatakan.
Semasa mereka baru dikurniakan seorang cahaya mata, terasa dunia ini bagai Syurga. Belum pun habis keindahan suasana berbulan madu, rumahtangga yang baru dibina bertambah serinya dengan kehadiran cahaya mata mereka. Sanak saudara dan rakan-rakan berkerumun. Semua orang menumpang gembira.
Semua itu kenangan.
Apabila mereka kini menjadi ibu dan bapa kepada lima orang anak, suasana hidup banyak berubah.
Anak-anak itu semasa bayi memang comel. Tetapi apabila masuk ke usia kanak-kanak, mereka sentiasa menjerit, berkejar ke sana sini, merosakkan pelbagai barangan elektrik di rumah, bergaduh dan menjadikan suasana aman di rumah sendiri seperti sesuatu yang mustahil. Penat bekerja, balik ke rumah penatnya bersambung dengan kerenah anak-anak, ‘bekas’ makhluk yang pernah comel itu!
Rupa-rupanya, sukakan kanak-kanak tidak sama dengan sukakan anak-anak.
Sukakan kanak-kanak, kita suka bahagian yang menyukakan sahaja. Bahagian comelnya, bahagian suka bermainnya, bahagian suka diagah, bahagian pandai bergaya di hadapan kamera. Semuanya indah dan menjadi kenangan.
Tetapi kita tidak boleh menjadi ibu bapa yang baik jika hanya suka dengan kanak-kanak. Kita kena suka dengan anak-anak.
Anak-anak itu, sukanya tidak bersyarat. Suka semasa mereka comel, suka semasa mereka buat perangai. Suka semasa mereka tidak banyak meragam, suka semasa mereka tidak habis-habis membuat ragam. Semasa menjadi kebanggaan, semasa mencetus keaiban. Semasa menghiburkan, semasa memeningkan.
Kanak-kanak hanya beberapa tahun di peringkat usia.
Anak-anak, semenjak lahir, selagi hayat dikandung badan.
Semasa mereka comel, mereka anak-anak.
Semasa mereka kanak-kanak, mereka anak-anak.
Semasa mereka remaja, mereka anak-anak.
Semasa mereka dewasa, mereka anak-anak.
Semasa mereka menjadi ibu bapa kenapa anak-anak pun, mereka masih anak-anak.
Sebab itu sangat penting untuk ibu bapa mematangkan diri, seiringan dengan proses kematangan kanak-kanak yang anak itu meniti dewasa. Cabaran semasa mereka kecil, berbeza dengan cabaran semasa mereka dewasa. Baik atau buruk, mereka tetap anak-anak. Mengasihi anak-anak semasa mereka menghiburkan kita, itu mudah. Namun tetap mengasihi anak-anak semasa mereka terjebak dalam kesilapan hidup yang mengundang keaiban dan kesusahan, mungkin ada ibu bapa yang kecundang.
Justeru, jangan berhenti berdoa.
Anak-anak bukan selamanya kanak-kanak.
Mereka akan dewasa.
Mereka akan menguji kita, sebagai ujian Allah untuk diri kita juga.
Mereka secara fitrahnya adalah penyejuk hati. Namun kepanasan tekanan hidup, hiruk pikuk gelagat, mesti disembuhkan dengan doa penyejuk hati. Seperti ungkapan al-Quran:
[image error]
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. [Al-Furqan 25: 74]
Sampai harinya, hiruk pikuk itulah kerinduan kita.
Semasa lantai rumah sunyi daripada bunyi anak-anak berlari.
Kecuali sesekala, masa memberi peluang, mereka pulang.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
June 21, 2012
Perjalanan Menulis, Sekolah, Makalah, Majalah Dan Akhirnya Buku
[image error]
1997, Penulisan menjadi rancak mencapai kemuncak
Sudah lama saya menulis.
Tentulah tidak selama orang lain, tetapi cukup lama untuk mendesak saya bersungguh-sungguh berfikir. Mempertimbangkan tentang perlunya semua hasil tulisan saya dibukukan.
Saya menulis atas pelbagai sebab.
Saya banyak berdiskusi dengan al-marhum ayah saya. Pelbagai topik yang kami bualkan semenjak saya masih di bangku sekolah rendah, hinggalah ke saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, kembali ke rahmatullah pada hari lahir saya yang ke 17.
Dialog itu telah banyak memberi bekas kepada personaliti dan pemikiran saya. Tetapi kini, banyak dialog kami yang jadi samar di fikiran lewat perjalanan masa. Terasa bagai suatu kehilangan.
Saya tidak mahu anak-anak saya mengalami perkara yang sama. Semoga dengan peninggalan saya berupa buku yang mengumpulkan wacana fikiran ABI mereka, saya terus hidup di hati mereka selepas jasad ini luluh dimamah bumi.
MENULIS UNTUK MEMBERONTAK
Saya mula menulis kepada masyarakat umum, pada tahun 1992. Tulisan pertama saya adalah surat pembaca yang saya kirimkan ke akhbar Harakah. Tajuknya ringan, iaitu tentang “PELAJAR SEKOLAH AGAMA HILANG IMEJ“. Surat itu saya tulis sebagai reaksi kepada suatu persidangan pondok-pondok pengajian seMalaysia yang diadakan di Pantai Timur.
Ketika itu saya sudah berada di hujung tahun pengajian saya di sekolah. Tingkatan 5. Saya kecewa dengan kualiti pengajian agama yang ada di dalam silibus sekolah ketika itu. Saya merasakannya sebagai suatu pengkhianatan, kerana tidak setanding dengan penghormatan masyarakat kepada orang agama. Berorientasikan peperiksaan dan hafalan. Malah pelajar-pelajar sekolah agama berbangga menjulang piala kemenangan dalam pertandingan syarahan Bahasa Arab, sedangkan teks syarahan dikarang oleh ustaz di sekolah, bukannya pelajar.
Surat saya tersiar hampir separuh muka di Harakah. Ia telah mencetuskan kucar kacir di sekolah saya, hingga saya dipanggil pengetua.
“Kenapa anta menulis di dalam Harakah?”, tegas pengetua kepada saya.
“Lakukah isu itu kalau ana tulis di Berita Harian dan Utusan, ustaz?”, anak muda yang darah mendidih itu menjawab.
Itu pengalaman pertama saya menulis secara serius kepada masyarakat.
MENULIS UNTUK MENYUSUN MINDA
Semasa di Jordan, saya juga banyak menulis kertas kerja. Saya suka menulis khususnya dalam format kertas kerja kerana menulis akan menjadikan kefahaman saya tentang satu-satu tajuk itu tersusun.
Sebahagian kertas kerja, saya tulis atas permintaan pengajur program, sebahagiannya pula sengaja saya tulis dan kemudian saya minta sebuah program diadakan untuk membincangkannya.
Antara artikel awal yang saya tulis, ialah ulasan saya tentang buku Said Hawwa bertajuk “Khomeinisme: Keganjilan Pada Pendirian Politik dan Aqidah“. Ia disusuli dengan beberapa artikel lain seperti “Membersihkan Tuduhan Terhadap Imam Thabari Bahawa Beliau Itu Seorang Syiah“, “Pengenalan Kepada Buku-buku Sumber Sejarah Islam“, “Teknik Pembacaan Sejarah Islam” dan beberapa artikel lain.
Salah sebuah artikel saya yang bertajuk “Permasalahan Sejarah Islam, Punca dan Penyelesaiannya” telah dipanjangkan oleh Ustaz Abdul Rasyid Idris ketika itu, ke akhbar Harakah. Ia telah disiarkan sebanyak 6 siri, di halaman bersama tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Begitu juga, saya pernah menulis sebuah kertas kerja yang agak tebal, yang lebih merupakan proposal saya untuk mengubah cara belajar pelajar Malaysia di Jordan ketika itu. Mengambil inspirasi daripada idea Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin (kini SS Mufti Perlis) yang pernah mengajak saya mengasaskan Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS), saya telah mengubah buku Said Hawwa Jundullah: Tsaqafatan wa Akhlaqan, kepada sebuah projek kelab study group yang dinamakan Madrasah Said Hawwa.
Projek itu mendapat sambutan yang baik pada sekitar 1995, tetapi kemudiannya terhapus begitu sahaja, apabila saya sendiri bosan dengan respond yang semakin tidak menggalakkan pada masa itu. Kertas kerja itu hilang dari simpanan saya, dan saya masih berusaha mencarinya.
Artikel paling sukar yang pernah saya tulis, adalah “Hubungan Alam Melayu-Turki Merentasi Sejarah” . Saya telah menghabiskan masa selama setahun dengan modal kira-kira USD500 untuk mengumpul bahan bagi menulis artikel tersebut. Ia termasuklah belanja yang saya keluarkan untuk menyalin buku-buku baru dan lama di perpustakaan IRCICA di Istanbul. Tidak termasuk belanja perjalanan dan sara hidup saya selama di bumi Othmaniyyah itu.
Malang sekali, saya telah terlibat di dalam kemalangan bas di Turki. Ketika itu saya sedang menulis dengan laptop pertama saya. Begitu kuat hentakan laptop saya ke dinding bas, ia telah menyebabkan hard drive serta skrin laptop itu rosak sama sekali. Akibatnya, artikel ini telah hilang sepenuhnya dari simpanan saya.
Mujurlah artikel itu pernah tersiar di dalam Majalah SUKEJ di Al-Azhar Mesir. Namun, banyak nota kakinya telah hilang, berserta dengan isi kandungan yang sedikit diringkaskan. Melalui versi yang telah diedit inilah saya menyalin kembali artikel berkenaan hingga boleh dibaca kembali hari ini.
ERA INTERNET
Penulisan saya mula berpindah ke Internet melalui akaun Tripod yang saya daftarkan untuk memuatkan beberapa nota dan kertas kerja yang ada dalam simpanan. Ia tidak menggalakkan kerana masih bersifat mencuba-cuba teknologi internet, sekitar tahun 1997 yang menyaksikan penggunaan teknologi ini mula merangkak masuk ke kehidupan kami.
Malaysia digemparkan dengan Reformasi 1998. Selain landskap politik akar umbi, perkembangan semasa itu juga memperlihatkan kecenderungan Harakah kepada genre artikel yang terhad. Hanya artikel yang berbentuk politik sahaja yang dilayan. Semua artikel saya tidak menerima sebarang reaksi daripada sidang redaksi.
Inilah yang mendesak saya untuk mencari medium sendiri bagi meneruskan penulisan. Artikel pertama saya versi internet ialah “Sultan Muhammad al-Fatih dan Pembukaan Constantinople” yang dipos pada tahun 1998. Artikel berkenaan memulakan perjalanan saya menulis secara maya hingga ke hari ini.
Semenjak itu artikel saya bertambah pada purata sebulan satu artikel, dan kebanyakannya adalah kertas kerja yang saya sediakan untuk program, dari semasa ke semasa.
[image error]
KOLEKSI KHUTBAH
Semasa bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Center, Northern Ireland, salah satu daripada tugas saya adalah menjadi webmaster kepada halaman web Islamic Center berkenaan. Pada masa itu, saya mengambil peluang untuk mengumpul dan menyiarkan koleksi Khutbah Jumaat saya yang mencecah hampir 200 khutbah.
Hampir setiap Jumaat selama dua tahun, saya menyampaikan khutbah Jumaat di Belfast Islamic Center, dan kebanyakannya saya siarkan di halaman web masjid tersebut.
Di negara Muslim minoriti, berkongsi Khutbah Jumaat secara maya menjadi in-thing kerana solat Jumaat secara kecil-kecilan diadakan di pelbagai ceruk rantau teruatamanya oleh komuniti pelajar Muslim. Koleksi Khutbah Jumaat ini amat membantu. Sesekali, khutbah Jumaat saya di Belfast adalah Khutbah Jumaat yang sama disampaikan di Singapura dan North Carolina, USA.
GENRE BERUBAH
Corak penulisan saya mengalami perubahan yang AMAT ketara sekembalinya saya ke Malaysia pada Julai 2004.
Terkesan oleh kehuru-haraan pemikiran rakyat Malaysia, serta kejutan budaya yang saya alami di tanah air sendiri, ia memaksa saya mengubah cara berfikir, cara menulis dan seterusnya cara berceramah dan berdakwah. Jika dulu saya menganggap artikel yang penuh dengan ayat al-Quran dan quotation dari Sunnah dan Atsar, adalah contoh artikel yang lebih kuat dan Islamik, saya terpaksa mengubah tanggapan itu.
Segala lambakan nas tidak berguna jika cara berfikir pembaca tidak diperbaiki. Oleh kerana kita di Malaysia suka memencilkan falsafah, kita kehilangan essence terpenting falsafah iaitu sistem berfikir. Lantas pemikiran kita menjadi caca merba dan nas yang banyak tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi.
Lantas saya mengubah pendekatan. Satu nas, akan didahului dengan beberapa input yang bertujuan merangsang diri dan pembaca berfikir, dan memeriksa cara berfikir (mindset), lantas dengan sendirinya pemikiran yang berjaya diluruskan akan sangat bersedia dan menghargai satu nas yang didatangkan kemudian.
Saya juga mengambil manfaat dari teknik menulis yang diajarkan oleh Puan Ainon, Sifu PTS yang mengajar saya menulis dengan pemikiran yang tidak lateral, serta banyak menggunakan teknik penceritaan.
WORDPRESS
Kadar penulisan saya mencapai tahap maniac, apabila saya dipaksa oleh sahabat saya Ro Ya Alip Dhod agar berhijrah dari HTML yang membosankan itu, kepada platform lain, khususnya WordPress. Puas beliau memujuk dan membuat sedikit demonstrasi, akhirnya saya berjaya diyakinkan. Teknik HTML yang saya pakai hampir sedekad, ditukar kepada wordpress.
Akibat hijrah itu, saya beroleh keseronokan menulis pada kadar satu artikel sehari. Kaedah pengurusan website menjadi sangat mudah, lantas saya hanya perlu menumpukan tenaga dan fikiran kepada penulisan sepenuhnya, tanpa perlu diletihkan dengan proses upload dan rekabentuk halaman web.
Cuma, sehingga kini saya masih kekok dibahasakan sebagai BLOGGER!
KINI
Sehingga kini, artikel yang berada di dalam simpanan saya sudah mencecah hampir 2000 termasuk koleksi khutbah. Sebahagian besar artikel itu sudah berada di saifulislam.com. Selebihnya adalah artikel-artikel yang hilang emasa insiden kemusnahan server pada awal tahun 2007 ini. Terima kasih kepada pembaca yang menghantar kembali kepada saya koleksi artikel berkenaan.
Dengan jumlah artikel yang mencecah 2000, ia telah mula menyebabkan saya keliru sama ada saya telah menulis tentang satu-satu perkara atau tidak.
1998, saya menyahut seruan.
Saifuislam.Com dibukukan.
CABARAN
Sebelum 1998 sudah ada sebuah syarikat penerbitan yang ‘melamar’ saya tetapi saya berdepan dengan masalah untuk merangka sendiri konsep serta mengkategorikan artikel yang pelbagai. Akhirnya saya hanya mampu terus menulis artikel dari sehari ke sehari, tetapi tidak berupaya menyemak koleksi artikel yang ada untuk diadun menjadi buku.
Kemudian, sebuah lagi syarikat penerbitan telah menawarkan kepada saya projek membukukan artikel saifulislam.com dan mereka telah meminjamkan kepakaran mereka di dalam teknik-teknik pembukuan, lantas jalan ke arah merealisasikan impian saya ini semakin cerah kelihatannya.
FEEDBACK PEMBACA SAIFULISLAM.COM
Semasa artikel ini ditulis di dalam versi asalnya pada tahun 2007, saya cuba mendapatkan feedback para pembaca, khususnya dari kalangan pembaca tetap saifulislam.com tentang idea mereka berkaitan dengan hal ini. Soal genre, kategori, saiz buku, dan hal-hal yang seumpama dengannya.
Banyak komen yang telah dikongsi seperti yang boleh dibaca di ruangan komen di bawah. Ketika artikel ini disemak semula sempena Sambutan 15 Tahun Saifulislam.Com, 8 buah buku sudah berada di pasaran, Alhamdulillah!
5 tahun yang sungguh luar biasa.
Kepada Allah dipulangkan segala pujian dan kebesaran.
ERTI HIDUP PADA MEMBERI
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Versi asal: 1 November 2007
15 Tahun Saifulislam.Com, Bukan SAYA Tetapi KITA
Saifulislam.Com bukan SAYA, tetapi KITA.
Pejam celik pejam celik, sudah 15 tahun ia di talian.
Muncul di skrin masing-masing, berkongsi fikiran dan harapan untuk diri, keluarga dan umat.
Ada suka, ada duka, ada pedih, banyak manis.
Jangan lupa turun ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Sambutan ulangtahun ke-15 Saifulislam.Com.
Wacana, seminar, diskusi, ceramah tentang dakwah kreatif, e-dakwah, industri ebook dan macam-macam lagi.
Paling utama, pelancaran buku ke-9 saya iaitu EBOOK bertajuk TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
Tandakan kalendar anda ya.
Dapatkan maklumat lanjut serta daftarkan kehadiran PERCUMA anda di SAIFULISLAM.COM 15 TAHUN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA
June 20, 2012
Bengkel Penulisan Kreatif Bersama Imam Muda Musim Ke-3
Menulislah…. Di samping berjuang, tintakan perjuangan itu.
Itu antidot kematian.
Agar sebuah kematian, tidak mematikan kamu.
Lihat sahaja kitab-kitab di perpustakaan.
Penulisnya sudah hancur sebati tanah.
Namun mereka kekal hidup.
Dalam sebuah peninggalan berupa penulisan, BUKU!
Pendakwah yang berkata-kata ramai. Kata-kata amat berharga. Seiringan dengan segala macam tindakan. Namun kata-kata yang diterjemahkan kepada tulisan, akan lebih panjang nafasnya. Sebarang agenda membentuk pendakwah, harus mengambil kira peningkatan kemahiran menulis.
Insya Allah esok saya akan mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif bersama Imam Muda Musim ke-3. Semoga melalui perkongsian esok, akan lahir sekurang-kurangnya 10 mujahid berpena yang menggoncang dunia.
Ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
June 15, 2012
Seminar 1453: Enjin Kecemerlangan Tokoh dan Tamadun
[image error]
Berat hati saya menerima undangan program ini.
Sangat suka dengan topik sebegini. Tetapi sedar yang otak sudah berkarat. Subjek Othmaniyyah ini sudah lama saya ‘tinggalkan’. Kurang membaca mengenainya. Namun suka tidak pernah hilang daripada jiwa.
Setahun sekali dua, saya akan menyahut cabaran. Menerima undangan untuk berbicara dalam program sebegini untuk memaksa diri saya membaca dan mengulangkaji. Saya tiada komitmen akademik, justeru saya perlukan sebab-sebab ‘rekaan’ untuk memaksa diri saya komited. Justeru Seminar 1453 kali ini, saya lantik ia menjadi pemaksa diri.
Tajuk yang diberikan kepada saya bunyinya mudah sahaja. “BAGAIMANA AL-FATIH DIBENTUK”, saya diamanahkan berbicara mengenainya. Akan tetapi tajuk ini sifatnya adalah rumusan. Dan seperti biasa, saya tidak boleh membuat sebarang rumusan sehinggalah saya selesai memperolehi gambaran secara 3600 mengenai Sultan Muhammad al-Fatih dan seluruh kehidupan di mana baginda berada. Mengadakan literature review seperti ini mencuri siang dan malam saya. Kecut perut dibuatnya.
Tambahan pula saya perlu membentangkan hasil kajian ini (kalau boleh dinamakan kajian) di hadapan sifu-sifu besar seperti Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Ustaz Syaari Abdul Rahman yang sememangnya amat sinonim dengan topik Muhammad al-Fatih. Aduh, rasanya seperti viva tesis PhD pun ada!
[image error]
Sebahagian buku yang sempat dicapai. Saya rasa benar-benar seperti ‘dibuli’
Lebih merimaskan, banyak buku yang saya semak, kebanyakannya tidak begitu berminat membicarakan tentang sudut ini. Buku-buku sejarah biasa tidak begitu boleh diharapkan. Saya mesti mencari buku yang tidak dilabel sebagai buku Sejarah Othmaniyyah. Perlu mengguna pakai buku pendidikan, serta kajian budaya. Dan dalam keadaan rujukan yang amat terbatas, saya berusaha membuat beberapa rumusan. Semoga program esok berjalan lancar.
Sahabat semua dijemput hadir.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperolehi di halaman web khusus seminar iaitu SEMINAR1453.COM.
Muhammad al-Fatih sudah menguasai Constantinople.
Bagaimana pula dengan kita?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
June 12, 2012
Takut Yang Sudah Lama Tercabut
[image error]
“Kamu tahu tak kalau kamu terbabas, patah riuk tulang tu? Kamu nak ke lumpuh sampai mati menyusahkan aku menjaga kamu? Kecil-kecil kamu berak dalam lampin, dah besar pun aku nak basuh berak kamu!” bebel Mak Jah kepada anaknya Din yang gila merempit.
Si anak membatu.
Sebelum Mak Jah memanjangkan lagi leternya, Din bingkas bangun, menyambar topi keledar tanpa tanda SIRIM itu dan terus memecut keluar. Membiarkan Mak Jah menggelengkan kepala dalam linangan air mata. Anaknya tidak takut mati.
“Rokok boleh membunuh!” jelas terpampang di kotak rokok.
Elin yang perempuan itu, tidak langsung tersentuh dengan nasihat berkenaan. Lagak seorang anggota pasukan berani mati, perkataan bunuh dan mati bagai tidak punya sebarang makna. Semangat tidak takut mati yang sepatutnya disalurkan ke jalan pembebasan umat Islam di Palestin!
TAKUT YANG MENYELAMATKAN
“Cicak, cicak!” gertak seorang ibu, menakut-nakutkan anak kecilnya daripada bermain di dapur sendirian.
Si anak kelam kabut lari kerana takutkan cicak itu tadi. Takut yang dilahirkan melalui imej cicak itu tadi tujuannya adalah untuk menyelamatkan si anak daripada benda-benda yang merbahaya di dapur.
Si anak yang masih belum faham, begitu ‘berani’ memegang cerek panas. Akibat tiada takut, dirinya tercedera. Lalu berkembanglah akal manusia seiring dengan pertambahan usianya agar ketakutan itu bertindak mencegah dirinya daripada terdedah kepada bahaya.
Takut itu menyelamatkan.
Tetapi manusia hari ini hilang rasa takut. Jika rancangan Fear Factor, pesertanya diuji tahap keberanian masing-masing. Lebih berani seseorang itu terhadap benda-benda yang lazimnya ditakuti manusia umum, lebih pahlawan dirinya di mata hakim dan penonton yang menyaksikan.
Era ini, takut cuba dibunuh daripada jiwa manusia. Bukan untuk berani berjuang. Tetapi berani yang tidak tentu arah.
Bukan sahaja ketakutan itu hilang daripada jiwa penghisap rokok atau mat rempit, takut sudah tidak punya apa-apa erti dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan semasa. Lebih membimbangkan, rasa takut itu sudah tercabut dari jiwa para penjenayah. Bermula daripada kesalahan kecil meletak kereta sesuka hati di kiri kanan jalan, hinggalah kepada kejadian ragut, rompak, rogol, bunuh dan dadah, sudah tidak ada hukuman yang boleh bertindak menghalang manusia daripada melakukannya.
[image error]
“Dihukum penjara 500 tahun!” terpampang berita di dada akhbar.
Mati hidup balik, mati hidup balik, mati hidup balik, masih belum terbebas dari hukuman penjara yang ekstrim itu. Namun bisakah hukuman itu mencegah penjenayah seks dari terus bermaharajalela?
Tidak…
Rasa takut itu sudah tiada.
Di sebuah negara yang kadar jenayahnya amat menggerunkan seperti Amerika Syarikat, hukuman ganas yang amat kejam seperti kerusi elektrik sudah lama diperkenalkan. Bayangkan sahaja seorang penjenayah diikat di sebuah kerusi kayu, tenaga elektrik arus tinggi disalurkan ke seluruh tubuhnya hingga memancut darah keluar dari sana dan sini, mati dengan penyeksaan yang tidak tertanggung oleh mata yang melihat dan fikiran yang membayangkannya.
Namun, bisakah kekejaman itu mencegah jenayah dan mengurangkan kadar ketakutan masyarakat akibat perbuatan melanggar undang-undang? Jauh sekali! Malah Amerika Syarikat terus menjadi negara paling gila dalam konteks melahirkan pembunuh bersiri dan jenayah-jenayah paranormal yang lain. Seratus orang pemberontak dihukum tembak di khalayak ramai, seribu pemberontak datang menggantikan. Biar terjelir lidah menggelepar menuju kematian oleh pengedar dadah di tali gantung, kadar jenayah tidak pernah berkurang.
Apa sahaja gertakan dan hukuman, seakan-akan manusia sudah tidak mampu untuk menggeruninya.
Kecuali HUDUD!
Belum lagi terlaksana, baru sahaja dimanifestokan perlaksanakannya, seluruh alam menjadi kecoh. Pelbagai komen paranoid terbit dari mulut semua lapisan masyarakat. Yang cerdik menjadi bodoh, yang jahat menjadi hangat. Lalu keluarlah kenyataan-kenyataan yang menggambarkan kekecohan dan ketakutkan itu.
“Makan sup tangan???” kata si bijak pandai.
“Habislah jalan tak cukup batu, habis terguna merejam penzina!” bidas si ilmuan.
“Nanti non Muslim memberontak!” tegas seorang ahli politik.
Seribu satu reaksi ditunjukkan, untuk membantah usaha melaksanakan kanun jenayah Islam itu. Sedangkan segala alternatif yang ada, tidak sedikit pun mencegah penjenayah dari terus menerus melakukan fasad. Mereka mencuba pelbagai wasilah untuk mencegah jenayah sedangkan CEGAHAN hanya bisa datang dari Allah.
[image error]
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu cegahan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Ma'edah 5: 38]
Takut itu adalah perasaan hati.
Hati itu milik Allah.
Allah jua yang mencampakkan rasa gerun di hati manusia yang dikehendaki-Nya. Dan kehendak Allah itu hanya dapat diraih apabila formula dan acuan (sibghah) Allah diguna pakai. Sesungguhnya unsur nakaalan minaLlaah itulah yang tidak wujud di dalam hukum hakam yang lain. Biar sekejam kerusi elektrik, biar sejelek gantung sampai mati, biar sengeri tembak di khalayak ramai, ia tidak mampu menghasilkan nilai cegahan kerana cegahan itu adalah urusan Allah.
Cegahan inilah yang bisa mencegah manusia dari menjamah jenayah. Ketakutan yang dicampakkan Allah ke dalam hati manusia, bertujuan untuk mencegah dirinya, dan manusia lain daripada kerosakan yang membinasakan.
Ia bukan sekadar ketakutan yang mencegah pencuri telur ayam, tetapi juga para bangsawan yang seleranya sebesar perbendaharaan negara. Rasa gerun untuk mengekang manusia berpangkat tinggi dari bermaharajalela menyelewengkan harta rakyat.
Cegahan inilah yang bisa menghentikan kegiatan menjual beli undang-undang. Sebuah negara di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak pernah musnah kerana miskin harta dan pembangunan. Tetapi keseluruhan hidup manusia menyaksikan negara segagah empayar Rom dan Parsi, Utara dan Selatan, Timur dan Barat musnah apabila manusia tidak lagi mampu dicegah dari kejahatan. Apatah lagi kezaliman bangsawan dipejamkan mata dan kesalahan si miskin diheret sepuasnya.
[image error]
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]
Inilah pakej berupa ancaman dari Allah dan Rasul buat sekalian pencuri dan penjenayah, baik dia itu rakyat biasa yang mencuri besi di rumah jiran, mahu pun bangsawan yang merompak perbendaharaan negara untuk kepentingan hawa nafsu mereka.
Apa sahaja ancaman lain, tidak bisa menimbulkan rasa gerun dan takut di hati penjenayah. Walaupun manusia sudah begitu moden, ketakutan mereka masih ortodoks… menggeruni apa yang digeruni oleh manusia zaman berzaman.
Hanya hukuman Allah yang mampu menggerunkan HATI… tempat jatuh pandangan Allah.
[image error]
“…Namun orang-orang Munafiq itu tidak mengerti” [al-Munafiqoon 63: 7]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BANDAR SERI PUTRA