Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 80

April 29, 2012

VLOG: BERSIHkan Diri Daripada KEZALIMAN Diri Terhadap Diri Sendiri


AKAL YANG SEJAHTERA BERADA PADA FIZIKAL YANG SEJAHTERA



VLOG dan entri blog ini adalah mesej peribadi saya dan BUKAN merupakan promosi rasmi bagi pihak Timeless Clinic selaku penganjur seminar


[image error]


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 29, 2012 19:14

Cinta Berlainan Warna

[image error]


Tangan sangat ‘gatal’ hendak mengemaskinikan blog.


Setiap hari sukar hendak melelapkan mata.


Termenung hingga dinihari.


Hendak menulis tentang banyak isu.


Khususnya tentang BERSIH 3.0.



Tetapi saya khuatir.


Bukan khuatirkan keselamatan atau apa. Bertuhankan Allah tidak membenarkan kita takut untuk berkata-kata yang benar.


Saya takutkan diri saya. Takut kembali menjadi impulsif. Jadi resah, gelisah.


Lebih membimbangkan, mereka yang pendapatnya baik-baik hanya Like, kalau di Facebook. Malas memberi komen. Paling rajin pun, “saya setuju”.


Tetapi yang berpendapat entah di mana hujung pangkal, cukup rajin menulis. Hingga terasa kekerasan pihak PDRM dan FRU semasa 428 tempoh hari, tidak seganas Facebookians dan Twitterians. Malah stamina Fizikal pada hari yang luar biasa tempoh hari, tidak seletih stamina Intelektual dan Emosional yang diperlukan untuk berkejar-kejar dalam bidas membidas antara yang sokong dengan yang bantah. Antara yang pergi dengan yang tidak pergi. Antara yang sibuk dengan yang menyibuk.


Hingga akhirnya isu utama BERSIH 3.0 tenggelam.


Dan itu sia-sia.


Tak apalah, saya biarkan dahulu. Biar blog ini bersawang seketika. Nanti-nanti tulislah semula. Kembali menulis tentang cinta yang ramai suka.


Biar pun mungkin nanti, cinta itu berlainan warnanya.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 29, 2012 06:35

April 23, 2012

Tidak Serupa Tetapi Sama

[image error]


Kuliah Maghrib malam tadi terasa agak ‘keras’.


Harapnya ia tegas, bukan keras.


Penegasan bahawa hanya dengan membersihkan anasir Syirik di dalam diri, baru datang rasa ‘aman’ dalam beragama [AL-AN’AAM 6: 82]. Selagi hak Allah masih dirasakan ada di tangan manusia yang manusia seperti kita, selagi itulah perjalanan hidup akan terus menerus seperti memanjat ke langit dan menyesakkan dada:



[image error]


Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya ( membuka hatinya ) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya , nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya , seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit ( dengan susah payahnya ). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman . [AL-AN’AAM 6: 125]


Islam seperti oksigen.


Makin sedikit makin sesak dada.


Kata al-Imam al-Thabari:


الصدر الذي لا تصل إليه الموعظة ولا يدخله نور الإيمان لرين الشرك عليه


 Jiwa yang tidak berupaya sampai kepadanya peringatan, tidak masuk ke dalamnya cahaya iman dek karat Syirik yang meliputi – Al-Thabari


SYIRIK DAN HIDUP YANG TERAWANG-AWANG


Jika Syirik tidak dihindari, kehidupan bakal menjadi seperti ungkapan Sayyid Qutb di dalam al-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan; tidak berdahan, tidak berakar, tidak bertahan dan tidak stabil (terawang-awang) dan musnah dirobek sebelum sempat jatuh ke tanah:


[image error]


( Amalkanlah perkara-perkara itu ) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya ; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung , atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan ) . [AL-HAJJ 22: 31]


Kuliah malam tadi bertemakan GAMBARAN INSAN DI DALAM ANALOGI AL-QURAN.



GAMBARAN INSAN DI DALAM TASYBIH AL-QURAN


More PowerPoint presentations from Hasrizal Abdul Jamil


Ada 148 analogi di dalam al-Quran yang mana Allah mengumpamakan manusia dan kehidupannya dengan pelbagai objek juga subjek. TASYBEEH yang lebih tepat jika diterjemahkan sebagai ALLEGORIES merupakan salah satu daripada disiplin al-Quran pada melakukan provokasi kepada manusia supaya mereka BERFIKIR.


HAIWAN TERNAK


Hakikatnya kita sama seperti haiwan ternakan kerana kita dan kambing (contohnya) sama-sama ada mata, otak dan telinga. Namun kambing menggunakan mata, telinga dan otak untuk memenuhi KEPERLUAN, sebaliknya manusia yang beriman menggunakan mata, telinga dan otak untuk memenuhi TUJUAN, itu titik bezanya:


[image error]


Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]


[image error]


Nampakkah kamu keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? [al-Furqan 25: 43]


[image error]


Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. [al-Furqan 25: 44]


[image error]


Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. [Muhammad 47: 12]


Ya Allah, tiga kali Allah mengumpamakan manusia seperti binatang ternak.


Makin diterangkan, makin terang pada sifat-sifat binatang ternak itu bahawa agenda hidupnya hanyalah survival keperluan diri.


Makan dan minum.


Santunilah ayat-ayat ini dengan penuh keinsafan, ia bukan kalam penceramah. Ia amaran Pencipta kita.


Namanya ALLAH.


MUHASABAH


Semasa saya menggunakan perumpamaan HAIWAN TERNAK, sungguh ramai yang marah.


Anjing yang terjelir lidah.


Keldai.


Binatang Ternak.


Kayu rapuh yang tersandar di dinding.


Batu.


Labah-labah.


Gagak.


Cannibal!


Mereka belum bertemu dengan ANJING, KELDAI dan banyak lagi perumpamaan yang ALLAH lakukan di dalam al-Quran pada ‘menampar’ Bani Adam agar saya dan anda semua melakukan muhasabah diri. Perumpamaan itu bukan rekaan saya. Ia datang dari al-Quran. Dan saya tidak mumbling.


Sebaliknya TASYBEEH merupakan satu teknik AL-BAYAN di dalam SASTERA ARAB yang juga mempunya metodologi yang tersendiri apabila dibentangkan oleh ALLAH AZZA WA JALLA di dalam kitab-Nya, AL-QURAN.


Semoga bermanfaat sebagai peringatan kepada diri, dan sekalian saudara seagamaku yang hadir, ameen.


“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang belajar al-Quran, dan mengajarnya” [hadith muttafaq 'alayhi]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


RAKAMAN KULIAH INI BOLEH DIPEROLEHI DI SINI


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 23, 2012 09:44

April 22, 2012

Nasyid Kontemporari Hilang Arah

[image error]


Usrah al-Firdaus Jordan bergabung dengan Usrah al-Wadi Mesir di dalam Konsert Antara Benua, Irbid Jordan 2000


Nasyid sudah bergerak jauh.


Teringat kepada Nadamurni yang membuat persembahan di sebuah kelab malam di Bangsar bersama Zainal Headwind.


Terkenang kepada alunan Abu Ratib bersama rintihannya terhadap kampung halaman, tatkala Syria basah dengan darah anak watan yang tumpah oleh regim Al-Asad.


Masih segar memori pada alunan Mesut Çakmak bersama lagu Başbağlar menukilkan peristiwa berdarah di sebuah daerah kecil Erzincan Turki.


Perjalanan nasyid di sana-sini menempuh pelbagai perkembangan. Ada yang membanggakan. Banyak juga yang mengecamuki fikiran, juga perasaan.


Artikel ini saya nukilkan untuk siaran  majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007. Perspektif lama, namun masih boleh direnung kembali, lima tahun selepas masa berlalu.



NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH?


[image error]


Lebih sedekad sudah berlalu semenjak kemunculan album pertama kumpulan nasyid Raihan “Puji-pujian” pada tahun 1996. Ia mencetuskan fenomena kerana berjaya melakukan anjakan paradigma seluruh masyarakat terhadap identiti nasyid sebagai salah satu cabang seni persembahan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan mengatasi populariti bintang-bintang yang sedia ada, melalui penjualan album yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan, dan sehingga kini mencecah lebih 1 juta. Angka ini menjadikan album “Puji-pujian” sebagai album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara kita daripada segi penjualan rekod.


Semenjak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul.


Hingga di suatu ketika, genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita. Ia sama sekali telah mengubah banyak aspek yang lazimnya dikaitkan dengan album nasyid sebelumnya. Jika dahulu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko buku Islam dan pasar-pasar malam, kini nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album utama, di bawah kelolaan syarikat pemasaran bertaraf antarabangsa.


Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja daripada aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.


Setengah dekad yang pertama semenjak kemunculan Raihan dan yang seangkatan dengannya, nasyid dilihat sebagai suatu bentuk ekspresi seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Arab dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab, Pakistan dan Iran memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk genre yang tersendiri.


Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih ‘asing’ mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan ‘nasyid kontemporari’ yang bernada raggae, blues, hip hop dan rock.


[image error]


MENCARI KELAINAN


Perubahan yang sedemikian sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan.


Mencuba.


Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan. Unsur stereotaip pada irama nasyid, dikhuatiri akan menyulitkan persaingan. Kelainan dan unik, adalah kunci penting untuk survival mana-mana sahaja artis di dalam penghasilan setiap album baru mereka.


MEDIUM MESEJ ISLAM


Selain faktor desakan strategi pemasaran, nasyid tidak lari daripada terus dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja. Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah yang berhikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan rock.


Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang menuntut analisa secara mendalam iaitu:


1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam kepada masyarakat?

2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?


NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH


Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80′an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nadamurni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nadamurni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80′an dan 90′an. Konsert-konsert nasyid Nadamurni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nadamurni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa. Peranan Nadamurni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)


Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan ‘agama’ dan ‘dakwah.


Ia bukan untuk santapan massa.


[image error]


Hanya dengan kemunculan album Raihan pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album ‘Puji-pujian’ mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh ‘orang awam’.


Jika nasyid didefinisikan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Da’i terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.


Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.


Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.


Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?


Lagu Islam yang datang daripada masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang daripada masyarakat yang mengimitasi hip hop.


Penghasilan irama hip hop bagi penasyid daripada kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.


Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya ‘Upright Song’ telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen dan Aashiq al-Rasul (AAR).


Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.


Mereka ‘bercakap’ di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.


Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi, iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi kesufian, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.


Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah.


Akan tetapi, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?


Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi?


Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh ‘pseudo hip hop’ bernama nasyid yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.


Mungkin kerana ini, nasyid hip hop Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.


Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop?


Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih onservatif, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar!


Istilah ‘nasyid sebenar’, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah ‘nasyid sebenar’? Bagaimanakah ia didefinisikan?


Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabarang SENI atau tidak?


NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM


Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit daripada disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.


Inilah yang menjadi dilema kepada nasyid di Malaysia. Apakah fondisi kepada nasyid kita?


Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan ‘seni’ mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?


Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam. Mampukah mereka membaca nota lagu?


Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai “penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain”. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.


Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk “The Dimension of Sound” (The World of Islam; diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazzaziyat dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.


Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.


Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.


Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.


Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!


Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai “pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya” dan bukannya sebagai penasyid.


Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.


Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar Fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan ‘evergreen’.


Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah ‘nasyid sebenar’ akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.


NASYID SEBAGAI ‘IKLAN ISLAM’


Berbalik kepada nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan. Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.


Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid cuba-ini-cuba-itu dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

Versi asal: Jan 5, 2007 @ 19:18


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2012 04:18

April 20, 2012

Atas PAGAR Makan Budi

[image error]


Angin Pilihanraya Umum ke-13 semakin kuat bertiup.


Apakah ini suatu spekulasi?


Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU13. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.


Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.


Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.


Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.


AKU PEDULI APA


Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.


Dalam perjuangan mahasiswa, mata terus memberi perhatian kepada pertembungan antara pro BN dengan pro PR. Namun kita terlepas pandang bahawa pertempuran paling besar ialah pertempuran antara golongan PEDULI dengan golongan TIDAK PEDULI.


Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.


POLITIK YANG JENGKEL


Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana.


Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti.


Anak muda bukan punya sabar untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh daripada pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, kedua-duanya bisa gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.


Tetapi mengambil peduli tentang politik memang memerlukan stamina yang tinggi.


Stamina emosi!


Jika kekotoran politik Malaysia menjadi alasan mereka enggan peduli, anak muda Malaysia perlu meninjau  anak muda Turki berdepan dengan politik negara mereka yang lebih dahsyat lagi bangsat (maaf), namun mahasiswa di Turki tidak lelah. Jika stamina tinggi mengambil 16 subjek untuk SPM, seharusnya stamina yang sama dipinjamkan kepada keperluan mengambil tahu tentang politik.


Sama ada atas asas Islam, sosialis, Laiklik (sekularisma Turki), atau apa sahaja, peduli dan melakukan sesuatu berkenaan kepedulian itu ertinya sudah menyelesaikan 50% urusan perubahan.


KESALAHAN PARADIGMA


“Saya pening, tak tahu nak undi mana satu. Dua-dua tak meyakinkan!” kata seorang anak muda di Facebook.


“Senang cakap ustaz sebenarnya sokong siapa kerana apa yang kita lihat ikut hukum logik politik kepentingan perlu buang undi memenangkan kedua-dua kelompok ini? Apakah kedudukan umat Islam bergantung dengan kedua-dua kelompok ini?” tanya seorang anak muda lagi. Di Facebook juga.


Kesalahan paradigma kita ialah undi kita adalah untuk menguntungkan pihak yang diundi.


Itu salah.


Kerja kita bukan hanya mengundi.


Mengundi hanya permulaan.


Kita mengundi untuk menyediakan ruang kita berperanan. Pihak yang perlu dimenangkan ialah pihak yang apabila menang, dia mahu mendengar nasihat, tunjuk ajar dan cadangan kita. Dalam erti kata yang lain, selepas pilihanraya, kita mesti terus bekerjasama untuk mengisi keputusan pilihanraya dengan maslahah-maslahah masyarakat, Yakni kita aktif membantu pihak yang menang mengisi kemenangan.


Bukannya selepas undi, kita tinggalkan politik dan komen dari jauh sama ada orang politik sudah buat kerja atau tidak!


Al-Imam Ahmad dan al-Baihaqi meriwayatkan cerita oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang wasiat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salaam kepada anaknya di ambang kewafatan Baginda. Hadith yang panjang itu menyentuh perkara berikut:


Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”


Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?


Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”


Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”


Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”


Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?


Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”


Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?


Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”


[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]


Perjuangan kita ialah untuk menundukkan kesombongan agar yang memerintah ialah pihak yang mahu mendengar kata. Bukan meremehkan saranan-saranan, mentertawakan kritikan, pandai dalam semua benda hingga politik tidak perlu mendengar pendapat ahli bahasa dalam masalah bahasa, ahli sukan dalam masalah sukan, ahli pendidikan dalam masalah pendidikan, semata-mata kerana AL-KIBR!


Pihak yang masuk ke Parlimen dan Dewan Rakyat itu memang bukan nasib kita bergantung kepada mereka, tetapi keputusan-keputusan mereka menimpa kita secara langsung.


Maka siapa yang mahu dihantar masuk ke bilik-bilik mesyuarat penggubalan dasar pusat dan negeri itu, amat kritikal!


Namun usaha semua orang di bidang masing-masing mesti diteruskan sama ada di ahli politik atau tidak.


Terutamanya kakitangan awam yang mesti terus berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya kepada parti, tanpa mengira apakah bentuk peralihan kuasa pasca Pilihanraya Umum. Kakitangan awam adalah tunggak utama urus tadbir negara.


TERNAKAN AL-MALA’


Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg.


Isunya lebih dari itu.


Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya.


Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan seks.


[image error]


Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.


Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.


Apakah falsafah binatang ternak?


Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!


Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.


Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.


Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.


Neraka Jahannam bukan hanya dihuni oleh manusia jahat lagi ahli jenayah.


Neraka Jahannam juga dihuni oleh orang-orang yang LALAI.


Ayat ini seharusnya menjadi peringatan paling tegas untuk membanteras gejala AKU TIDAK PEDULISMA.


[image error]

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]


Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?


Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua.


Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.


PASRAH SAHAJA


Dunia adalah ladang Akhirat. Nasib kita di Akhirat sangat berkait rapat dengan reaksi dan aksi kita di dunia.


Perbalahan di zaman ini bukan seperti di zaman Muawiyah vs Ali radhiyallahu ‘anhuma yang amat sukar untuk ditentukan pihak mana yang hendak dihulurkan tangan.


Sesungguhnya di Akhirat nanti, Allah tidak simpati kepada golongan ‘tertindas’ yang semasa hidup di dunia, mereka tidak bertindak. Hanya pasrah sahaja.


[image error]


“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [Al-Nisaa' 4: 97]


ERA PAHLAWAN KEYBOARD


Golongan TIDAK PEDULI itu buat masa ini masih kelompok paling besar.


Ramai dari kalangan mereka, amat rancak duduk di depan laptop atau telefon pintar bersuara BISING.


Kekuatan penguasa di mana-mana sahaja banyak bergantung besar pada golongan ini. Mereka tidak perlu menyokong pembangkang yang memerlukan kepada kesedaran politik, membaca, menganalisa, berusrah dan lain-lain kesusahan. Untuk menghasilkan golongan ini, beri sahaja apa yang nafsu mereka mahu. Hiburan, duit poket, ‘kestabilan sosial’ yang semuanya itu diberikan tanpa golongan ini sedar pun bahawa mereka sedang menikmatinya.


Mereka menganggap tidak berpihak mereka kepada mana-mana pihak itu adalah sebuah intelektualisma, bebas, merdeka, bukan balaci pembangkang dan kemegahan-kemegahan buana yang dicanang.. Tetapi merekalah al-An’aam golongan Al-Mala’!


Hakikatnya, mereka hanyalah golongan yang ‘menyembah Allah di pinggiran’.


Opportunist!


[image error]


“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula. (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” [Al-Hajj 22: 11]


Jika bosan dengar celoteh seorang ustaz, dengarlah nasihat Desmond Tutu:


If you are neutral in situations of injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has its foot on the tail of a mouse and you say that you are neutral, the mouse will not appreciate your neutrality.


 Selamat berpihak.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 20, 2012 08:03

April 17, 2012

Jangan Termakan Kata-kata Sendiri

[image error]


“Sebenarnya…”


“Sepatutnya…”


“Benda mudah macam ini pun nak berbelit-belitkah?”


“Apa susah…”


Gerun saya membaca ekspresi pendapat seperti itu. Gerun yang muncul seiringan dengan rasa gerun saya semasa membaca tulisan saya sendiri semenjak beberapa tahun yang lalu berkaitan rumahtangga. Ada yang menimbulkan rasa tidak selesa.


Rasa kesal, “mengapa aku pernah berkata begitu?”



Selepas 11 tahun berumahtangga, mempunya seorang isteri, empat orang anak antara usia 3 ke 10 tahun, pernah bertunang selama 2 tahun dan sebelum itu 24 tahun hidup membujang, saya masih berhati-hati semasa berbicara tentang rumahtangga. Masih berlapik. Masih berfikir sebelum menulis. Sebelum berkata-kata.


Kerana sesungguhnya saya sedar, semua itu masih terlalu pendek, masih kerdil, ada banyak yang saya belum nampak, banyak juga yang saya belum faham. Ia soal kehidupan. Saya di usia 37 tahun, masih seperti seketul batu di sebuah jalan raya yang pangkalnya masih boleh dihitung dan hujungnya entah di mana.


Justeru tatkala berbicara, ia lebih kepada berkongsi. Jauh sekali hendak mengajar. Jauh sekali bertelunjuk menunding betul dan salah.


Biar pun pengalaman bukan satu-satunya sumber penentu betul atau salah, namun dalam urusan rumahtangga, pengalaman amat besar peranannya dalam menentukan tahap kematangan pendapat seseorang.


Di era lambakan artikel berkaitan cinta, buku tentang cinta, ceramah tentang cinta, tatkala negara sedang dihimpit pelbagai kerisauan menjelang Pilihanraya, saya gusar dengan kegilaan anak muda bercinta, melayan cinta, menyerang cinta, berbahas tentang cinta, berhujah berkenaan cinta, saling belajar dan mengajar dalam lingkungan usia dan pengalaman yang kecil, dengan tutur bahasa yang besar khuatirnya bakal mengundang sesal.


Justeru, berhati-hatilah terutamanya wahai adik-adik, semasa berbicara tentang cinta, rumahtangga, poligami, keadilan, perbalahan suami isteri, proses mendidik anak-anak, hubungan menantu mertua dan topik-topik yang sekelompok dengannya.


‘Dimakan sumpah oleh perkataan sendiri’ amat perit untuk ditelan oleh sebuah realiti. Sakitnya kalau kita diuji dengan apa yang kita pernah kata. Apatah lagi kata-kata kita pernah mengguris luka. Pernah seperti bunyinya muktamad tiada kata dua.


Gunakanlah bahasa yang lebih merendah diri. Hindari sifat melampau dalam memberikan pendapat.


 [image error]


“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai” [Luqman 31: 19]


Gunakanlah ayat-ayat yang menunjukkan sifat IQTISAD (bersederhana), misalnya “setahu saya”, “berdasarkan kefahaman saya yang terbatas ini”, “ini hanya pandangan saya, mohon tunjuk ajar” dan yang seumpama dengannya.


Ayat yang boleh dikatakan ‘termakan sumpah’ ini ialah apabila kita bercakap, “apa susah, kalau setuju ok. Kalau tak setuju, jalan” atau banyak menggunakan ungkapan “sepatutnya”, “sebenarnya”, “faham tak?”, saya tidak faham bagaimana benda yang mudah seperti ini pun…” dan yang seumpama dengannya.


Mengeras-ngeraskan pendapat dan suara itu tanda ketidak matangan, kalau tidak sampai ke tahap sebuah kebodohan.


Saya sekadar mengingatkan…


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2012 11:37

KOBOBOOKS: Willpower: Rediscovering Our Greatest Strength

[image error]


Di dalam Surah Luqman ayat 17, Allah SWT menyifatkan melalui nasihat Luqman kepada anaknya bahawa dakwah merupakan tugasan yang memerlukan keazaman tertinggi. AZAM diertikan oleh al-Imam al-Raghib di dalam al-Mufradaat sebagai عقد القلب على إمضاء الأمر yakni keutuhan simpulan hati pada kemahuan menyempurnakan suatu tugasan.


Itulah WILLPOWER.



Di dalam bahasa Islam, willpower adalah hasil TAQWA yang menatijahkan upaya mengawal kemahuan diri. Ia amat diperlukan untuk tsabat di atas taat, khusyuk dalam solat, memberhentikan ketagihan, merawat kegemukan, dan segala perkara yang membabitkan kawalan diri secara berjangka masa.


Semasa seseorang mengungkapkan tentang kualiti-kualiti diri yang dimilikinya, beliau dengan mudah menyebut berterus terang, rajin, jujur, ikhlas, sebagai karakter unik yang ada pada diri. Jarang sekali seseorang itu mengungkapkan tentang kawalan diri yang baik, sebagai kualiti yang ada. Namun tatkala seseorang diajak kepada membicarakan tentang masalah-masalah hidup berkaitan tempat kerja, rumahtangga, kesihatan, hubungan sosial malah ketagihan, kawalan diri yang lemah sering secara jelas menampakkan kecacatannya.


Keupayaan mengawal diri, terutamanya dalam kehidupan semasa yang penuh dengan gangguan (distractions) ini, adalah kualiti yang amat besar keperluannya pada survival diri. Fizikal, intelektual, emosi malah spiritual, banyak bergantung pada sejauh mana kita mengawal diri.


Buku WILLPOWER: REDISCOVERING OUR GREATEST STRENGTH ini, mengajar kepada kita bahawa willpower itu adalah seperti otot yang boleh menjadi kejang apabila terlalu banyak diguna pakai. Ia boleh cedera atau sekurang-kurangnya lumpuh tatkala asid laktik berhimpun terlalu banyak di sekelilingnya.


Namun otot itu boleh dikuatkan semula melalui latihan yang spesifik.


Saya menghargai buku ini kerana ia menghimpunkan pengalaman-pengalaman pelbagai manusia yang mengatasi kecelakaan hidup, terutamanya yang berkaitan dengan tabiat, yang pengalaman itu diformulakan kepada langkah-langkah tindakan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan.


Insya Allah buku ini merupakan sebahagian bekalan saya untuk Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman hujung minggu ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2012 07:16

April 16, 2012

Demi Sebuah Fokus

[image error]


Saya mohon maaf daripada pengunjung blog Saifulislam.Com.


Saya tidak berkesempatan mengemaskinikan blog kerana sedang bertungkus lumus menyiapkan bahan pembentengan Seminar Pembentukan Karakter Berteraskan Surah Luqman hujung minggu ini. Bahan-bahan ini perlu disiapkan segera kerana pasukan di pejabat sedang gelisah menunggu masa untuk mencetak dan menyusun handout.


Saya juga perlu menyegerakan semua kerja ini sebelum Khamis, kerana pada hari Jumaat ada kejutan yang berlaku.



Dek kealpaan saya dalam mengatur masa, saya baru ‘terperasan’ bahawa pada Jumaat malam Sabtu selepas Isyak, saya akan menyampaikan ceramah di program GPTD di Kati, tidak jauh dari Kuala Kangsar. Ini bermakna, sejurus selepas program tamat, saya perlu bertolak balik ke Kuala Lumpur pada Jumaat malam Sabtu itu kerana pada pagi Sabtu saya akan mengendalikan Seminar hingga ke petang, dan menyambungnya pula pada hari Ahad.


[image error]


Slaid yang masih jauh daripada sempurna


Teringat saya kepada sebuah kisah perumpamaan, bagaimana seorang perempuan yang baru pulang dari pasar, terkejut apabila mendapati rumahnya terbakar. Dia menjerit ketakutan kerana anak kecilnya berada di dalam rumah. Tanpa berlengah, perempuan itu merempuh api, bagai tidak pernah terfikir tentang keselamatan dirinya demi menyelamatkan anak yang terperangkap di dalam rumah.


Apabila anak kecilnya berjaya diselamatkan, perempuan itu dan anaknya dikejarkan ke hospital.


Semasa terlantar sendirian di katil, barulah perempuan itu tersedar bahawa tubuhnya luka melecur dan sakitnya amat terasa.


Sesungguhnya…


Ketika kita berfikir tentang orang lain, terutamanya mereka yang kita kasihi, kita tidak berasa sakit. Kita nekad melakukan apa sahaja.


Tetapi apabila mula berfikir tentang diri sendiri, datanglah segala sakit, pedih dan derita.


Pendakwah perlu ada seni berfikir tentang orang lain dan menguzurkan perhatian kepada diri sendiri, demi sebuah FOKUS.


Agar tidak jatuh tersepuk.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 16, 2012 04:54

April 14, 2012

Tarikh Itu Datang Lagi

[image error]


Tarikh itu datang lagi.


Saya tidak begitu mengendahkannya.


Namun isteri dan anak-anak sentiasa tidak melupakannya.



Saya menghargai tarikh itu, kerana menghargai penghargaan mereka. Biar pun kedatangan 14 April 2012 kali ini agak tenggelam dalam kesibukan kerja serta tanggungjawab keluarga yang banyak, saya mengenang tarikh itu pada meraikan uban yang sudah tumbuh di janggut.


Saya sudah tua.


Orang muda ketawa mendengarnya.


Orang tua memandang sinis pada rasa tua oleh seseorang yang jauh lebih muda.


Namun saya benar-benar rasa saya tua. Bukan kerana apa, tetapi kerana usia yang semakin mencapai 40 puluh tahun, usia wajib seseorang itu menjadi matang dan bermuhasabah tentang simpang-simpang kehidupannya. Usia yang sepatutnya tiada lagi tindakan yang dikelabui oleh blind spot terhadap sebuah kehidupan. Usia yang sudah sepatutnya faham makna hidup ini.


[image error]


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” [Al-Ahqaaf 46: 15]


Temankan diriku pada meninggalkan usia remaja dan muda, meniti hari-hari tua yang penuh tanggungjawab dalam kekurangan tenaga dan masa.


Hatiku penuh debar.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 14, 2012 08:34

April 10, 2012

Pembunuhan Beramai-ramai di Rumah Allah

[image error]


Pembunuhan beramai-ramai di rumah Allah


"Tapi ustaz tu memang sangat suka dengan Nasi Mandi kambing" sembang seorang jemaah surau.


Saya hanya mendiamkan diri.


Tidak tahu apa yang mahu diperkatakan lagi.



Memanglah nasi-nasi Arab itu sedap. Sangat sedap. Super sedap. Allah jua yang tahu betapa 'syurga'nya hidup ini apabila dapat menjamah nasi basmati yang dimasak dengan kambing dan rempah ratus negara Arab itu. Fizikal dan emosional sama-sama menikmatinya. Selain sedap semasa, sedap nostalgia semasa menuntut di Tanah Arab turut sama mendapat habuannya.


Tetapi…


Susahlah…


Siapa yang berani memberitahu seorang 'Tok Guru', supaya jangan makan nasi arab dan kambing banyak-banyak. Naluri manusia rasa dihargai apabila hidangannya dijamah dengan penuh nikmat oleh tetamu. Apatah lagi tetamu yang paling diraikan. Seorang ustaz. Seorang Tok Guru.


Untuk ustaz itu, dialah yang perlu kembali kepada TAQWA untuk memuhasabah pilihannya sendiri di meja jamuan.


Namun bagi penganjur, anda ada pilihan. Sama ada anda mahu meneruskan tradisi membunuh ustaz-ustaz itu dengan baik hati kalian, atau kalian berbuat sesuatu untuk membantu mereka.


عن أنس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: انصر أخاك ظالماً أو مظلوماً، فقال: رجل يا رسول الله صلى الله عليه وسلم أنصره إذ كان مظلوماً، أفرأيت إذا كان ظالماً كيف أنصره؟! قال: تحجزه أو تمنعه من الظلم، فإن ذلك نصره.


Daripada Anas radhiyallahu 'anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam telah bersabda, "bantulah saudaramu yang zalim dan dizalimi!" Sahabat bertanya, "seorang lelaki wahai Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam, saya membantunya jika dia itu dizalimi. Akan tetapi bagi yang zalim, bagaimanakah saya membantunya?" Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam menjawab, "kamu halang atau sekat dia daripada kezaliman. Demikian itu kamu menolongnya" [Al-Bukhari]


Ustaz itu zalim apabila membiarkan dirinya melayan hawa nafsu makan.


Dialah saudaramu yang zalim itu, yang perlu dihalang daripada kezaliman, dengan menyekatnya daripada makan berlebihan. Dia menzalimi dirinya sendiri, dia juga menzalimi masyarakat dengan kesan kezaliman itu. Sekatlah kezaliman itu dengan memperbaiki rutin Kuliah Maghrib dan ceramah. Selepas solat Isyak, jika mahu berbual, hidangkanlah air tanpa krimer dan gula berlebihan, dengan buah-buahan dan mungkin apa-apa makanan ringan.


Jika ustaz itu kelaparan, duit saguhati yang di dalam sampul itu boleh ustaz berkenaan gunakan untuk makan di mana-mana gerai pilihannya. Dia menzalimi dirinya dengan pilihannya itu. Jemaah di masjid tidak akan dipertanggungjawabkan atas penyakit-penyakit metabolik yang melanda para ustaz.


Buat masa ini, ada sebahagian ustaz dizalimi.


Mereka orang yang baik hati.


Mereka tidak sampai hati.


Tidak sampai hati untuk menyakiti hati jemaah masjid.


Biar pun jemaah itu menghargai ustaz-ustaz dengan membunuh mereka.


Di rumah-rumah Allah.


Atas nama ukhuwwah!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 10, 2012 21:12