Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 79

May 18, 2012

Kami Ustaz, Kami Mahu Sihat. Jom Berforum Ahad Ini

[image error]

Jom berforum Ahad ini.

Saya bersama Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman dan Ustaz Johari Abdul Wahab akan bersama dengan Timeless Clinic bagi menjayakan Forum Rawatan Kecantikan dan Kesihatan Diri Menurut Islam di Hotel Midah, Kuala Lumpur, jam 9 pagi hingga 1 tengah hari. Topik perbincangan meliputi:

Pandangan Islam tentang rawatan jerawat menggunakan laser dan acid peel.

Rawatan botox.

Pengambilan uri biri-biri kambing untuk memperbaharui sel tua dalam badan.

Rawatan hormon untuk menopaus.

Amalan-amalan Rasulullah SAW untuk kesihatan tubuh.

Pandangan dan kaedah Islam dalam penjagaan kesihatan tubuh badan

Kaedah sedut lemak untuk kesihatan diri

Rawatan tanam rambut untuk masalah kebotakan

Rawatan pembuangan bulu dan rambut kekal di wajah

Kaedah-kaedah serta panduan kesihatan serta penurunan berat badan.

Datanglah… pendaftaran masih dibuka. Hubungi www.timelessclinic.com atau telefon 03-78808486 atau 017-2661868 atau email: timeless.timeless@gmail.com. Boleh juga ke page FB: facebook.com/pages/Timeless-Anti-Aging-and-Skin-Rejuvenation-Clinic

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 18, 2012 05:09

May 16, 2012

Motivasi Pagi Radio IKIM: Cara Berfikir Orang Berjaya

[image error]

Saya cuba keluar daripada persetujuan atau bantahan terhadap BERSIH.

Cuba meneliti sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Cuba memerhati daripada sudut pandang seorang pendakwah dan pendidik.

Manalah tahu, terjumpa hasil yang mungkin membawa kepada BN bertukar kepada PR atau PR bertukar kepada BN, masalahnya mungkin tidak mudah untuk selesai.

Selepas dua minggu, saya yakin, salah satu titik penting yang mesti diberi perhatian, adalah pada cabaran CARA BERFIKIR. Ia mengingatkan saya kepada pendapat Muhammad al-Ghazali di dalam bukunya Jaddid Hayaatak (Perbaharui Kehidupanmu), “sesungguhnya aku yakin tanpa ragu-ragu bahawa masalah terbesar kita pada hari ini adalah bagaimana memilih pemikiran yang benar…!”

Pendidikan formal banyak memberi penekanan pada apa yang hendak difikirkan, tetapi tidak kepada bagaimana hendak memikirkannya.

KURA-KURA SEKELUARGA

[image error]

Teringat saya kepada sebuah kisah popular tentang keluarga seekor kura-kura. Mereka pergi ke taman untuk berkelah sekeluarga. Apabila si ibu mengeluarkan makanan, mereka dapati makanan yang terhidang itu kekurangan garam. Lalu salah seorang daripada anak mereka, diminta untuk pergi mendapatkan garam.

“Saya tidak mahu. Nanti semasa saya tiada, kalian akan habiskan semua makanan” kata si anak.

“Tidak. Mana mungkin. Kami akan tetap menunggu” jawab si ibu.

“Betul. Lagi pun tidak enak makan tanpa garam. Pergilah!” pinta si ayah.

“Adik janji, adik tak usik makanan itu sampai abang pulang!” ikrar si kecil.

Setelah puas dipujuk, akhirnya kura-kura itu bersetuju. Dengan hati yang berbelah bagi, beliau pergi mencari garam.

10 minit.

20 minit.

1 jam.

2 jam.

Kura-kura itu tidak pulang. Keluarganya sudah amat kelaparan. Mereka hairan mengapa sukar benar hendak mendapatkan garam. Dek rasa lapar yang bersangatan, akhirnya si bapa mencubit makanan yang terhidang, demikian juga si ibu dan adik kecilnya.

“Hah!!!” tiba-tiba kura-kura itu menyergah dari balik semak.

Mereka sekeluarga terkejut.

“Kan saya dah kata. Kalian tidak akan menunggu saya pulang. Kalian akan membelakangkan saya. Sudah berjam-jam saya memerhatikan kalian dari balik semak. Dan ternyata, sangkaan saya tepat!” tegas si kura-kura.

Oh, rupa-rupanya selama ini dia tidak pergi mencari garam. Dia hanya berpeluk tubuh di sebalik semak dan menunggu sahaja untuk apa yang difikirkannya terjadi. Dan ia benar-benar terjadi!

Perhatikanlah…

FIKIR, JADI

Berapa banyak kejadian dalam kehidupan ini, berpunca daripada apa yang kita fikirkan, tanpa kita sedar.

Kita bergaduh dengan isteri, kita sakiti hati dia, kita tidak berusaha mengambil hati sang isteri. Akhirnya isteri buat perangai, dan kita kata, “hah, tengok! Engkau memang tak boleh diharap!”

Tidakkah semuanya terjadi berdasarkan apa yang kita fikir? Kita mahu ia terjadi. Ia memilih tindakan-tindakan yang menjurus kepada terjadinya ia. Dan akhirnya, kita ‘berpura-pura’ terkejut apabila ia terjadi.

Saya mengambil risiko ini, bahawa perubahan amat sukar dijana dalam masyarakat semasa yang ada, kerana keserabutan cara kita berfikir. Sesuatu yang mudah, menjadi susah. Masalah kecil menenggelamkan masalah besar. Penyelesaian bersimpang siur dan tidak berfokus. Desakan perubahan pula mengisar pendekatan yang serupa. Kita juga tenggelam dalam masalah yang kelihatan, hingga tidak dapat menyentuh masalah sebenar.

Justeru, saya melihat masalah ini tidak mengenal parti. Tidak mengenal pendirian politik. Tidak juga terikat kepada agama, mahu pun kaum dan bahasa pertuturan. Cognitive distortion amat mencengkam, dan tiada jentera pendidikan yang secara mudah boleh diharapkan untuk menyelesaikan masalah ini.

CARA BERFIKIR ORANG BERJAYA

Biar pun saya amat kerdil, namun peluang yang diberikan oleh Radio IKIM bagi mengisi segmen MOTIVASI PAGI amat besar. Saya membuat keputusan untuk memanfaatkan 10 minit sehari setiap awal pagi pada jam 7:30 untuk berbicara tentang CARA BERFIKIR ORANG-ORANG BERJAYA.

Cabaran besar rancangan Motivasi Pagi di Radio IKIM ini ialah menyesuaikan penyampaian untuk lapisan atas dan bawah.

Golongan atas tidak rasa pengisian yang disampaikan kosong dan longgar tidak berisi.

Golongan ‘santai ‘ pula mesti disantuni agar tidak hilang upaya memahami apa yang disampaikan.

Dan paling sukar adalah menentukan dos agar 10 minit itu ada kepala, badan dan ekor.

Semoga Allah memberkati usaha ini dan mengampunkan kekurangan-kekurangan saya di dalam penyampaian.

Terima kasih kepada Radio IKIM kerana memberi peluang.

Terima kasih kepada pendengar kerana anda yang meminta Radio IKIM ‘memanggil’ saya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 16, 2012 04:53

May 15, 2012

Surat Murid Degil di Hari Guru

[image error]

“Jangan. Jangan buat kerja gila macam ini” kata cikgu.

Beliau menahan si anak murid di tanah lapang sebelah surau.

“Saya berjanji dengan awak, pagi esok awak nak masuk kelas mana pun, masuklah!” beliau memujuk.

Budak berumur 16 tahun itu sangat keras kepala.

“Maafkan saya cikgu. Kalau hati saya sudah bulat, saya tidak akan ubah keputusan saya!” budak itu menjawab.

Cikgu terdiam.

Matanya bergenang.

Sama ada air mata kecewa, atau air mata kesedihan, hatinya terlalu jauh untuk dibaca oleh seorang anak murid yang bercita-cita jauh tetapi pendek sisi pandangnya.

“Tak apalah. Kalau begitu, cikgu doakan kamu berjaya” kata cikgu.

Nadanya lemah. Putus asa untuk memujuk… barangkali.

Kata-kata itu boleh bermaksud sindiran. Boleh juga bermaksud doa. Harapan yang tulus daripada hati seorang guru yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak didiknya.

Anak murid memeluk cikgu dengan hati yang berkecamuk. Dia melangkah dalam linangan air mata. Fikirannya kacau. Terlalu banyak yang membeban  diri. Berat untuknya yang baru berusia 16 tahun. Pandai untuk SRP, tetapi bodoh untuk kehidupan. Anak murid itu termenung di dalam bas Labu Sendayan menuju Seremban. Merenung semak samun di Jalan Labu, seperti melihat kiri kanan hidupnya yang juga penuh semak samun fikiran.

Wajah cikgu itu tidak mahu lekang.

Beliau hanya sempat mengajar si anak murid selama empat bulan. Mengajarnya bahawa Syariat Allah dan Sunnatullah seiringan. Guru itu mewajibkan murid-murid masuk ke makmal biologinya dengan Terjemahan al-Quran oleh Dr Mahmud Yunus. Setiap topik biologi, ada keterangan al-Quran yang mengiringi.

Anak murid itu sangat teruja. Seperti lahir semula ke dunia, kerana cikgu itu berusaha membukakan buatnya mata. Malah cikgu itu bukan sekadar cikgu, beliau juga tidak pernah lelah mendidik murid di luar waktu mengajar. Sepertinya cikgu itu tidak punya kehidupan lain kecuali kehidupan anak muridnya. Seperti…

Kalau cikgu lain yang menahan, mungkin lain kesannya.

Tetapi yang menahan adalah cikgu itu. Cikgu yang mewariskan tanda tanya yang amat besar dalam diri anak murid itu untuk 20 tahun yang seterusnya, adakah keputusan spontan budak 16 tahun tengah hari April 1991 itu adalah keputusan yang benar atau sebaliknya. Hati bulat anak murid itu remuk. Cedera oleh linangan air mata tulus seorang cikgu.

Anak murid itu tidak ada pilihan. Dia terpaksa berjuang agar tindakan nekadnya itu betul.

Kesilapan tidak semestinya perlu terus menjadi kesilapan. Kesilapan adalah sebuah keputusan, sebelum menyusulinya keputusan-keputusan yang lain. Setiap keputusan adalah pilihan. Memilih yang betul selepas silap, peluang yang sentiasa ada. Justeru anak murid itu tidak mahu dibelenggu oleh satu keputusan, dia mesti nekad meneruskan perjalanan.

Namun dek kerana 16 Mei 2012 ini sarat dengan ucapan Selamat Hari Guru, anak murid itu kembali kacau jiwanya. Di sisi puluhan malah mungkin ratusan guru lain yang dikasihi, dikenang, didoakan lagi dihargai setiap masa, anak murid ini teringat kembali kepada cikgu itu.

Buat Cikgu…

Anak murid bernama ini memohon maaf atas linangan air mata cikgu tengah hari itu.

Linangan air mata yang menimbulkan rasa bersalah, hingga anak murid ini tidak mahu sejarah mencatat linangan itu sebagai sebuah kekecewaan. Kerana hidup ini adalah ujian membuat pilihan. Anak murid ini memilih untuk jatuh tetapi jatuhnya adalah ke hadapan.

Maafkan anak murid ini kerana pernah mengguris hati cikgu dengan kedegilannya.

Anak murid ini sedang mengumpul kekuatan untuk mengadap cikgu, memohon kemaafan dan membawa penghargaan.

Selamat Hari Guru, Cikgu…

Daripada anak murid yang degil,

[image error]

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 15, 2012 18:47

May 13, 2012

Dua Jenis Jambu

[image error]

Saya menjalankan Seminar Pembangunan Karakter Berteraskan Surah Luqman.

Menjadi anak muda memang akan jadi anak muda jika sampai umurnya.

Tetapi menjadi pemuda, yang boleh berdiri teguh sebagai tiang umat, perlu ada usaha. Ada ribath!

Ribath dalam ertikata, proses intensif, berfokus dan mengambil masa, agar mudanya muda yang berdiri, bukan bersandar.

Itulah harga sebuah karakter.

Karakter yang berkualiti lebih berharga daripada 100 unta merah.

[image error]

“Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh.” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Sebarang usaha untuk melembik dan menggedikkan pemuda umat ini, akan saya banteras dengan upaya yang ada, moga dibantu Allah.

Sebab itu anak-anak saya yang comel, saya jemur di bawah matahari. Suruh bermain di luar. Main lecah, main bola, pergi berenang. Legam-legam sikit pun tak apa. Walaupun saya rindu kepada wajah comel mereka suatu ketika dahulu.

Buah Jambu berkhasiat.

Budak Jambu merbahaya.

Dalam pelbagai masalah umat di era fitnah Dajjal ini, tiada ruang untuk pemuda kita bermetro-metro.

IMPIAN UMAR

Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”

Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”

‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”

Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”

Umat mencari pemuda.

Yang muda tenaga, bijaksana fikirannya.

Tegar terhadap kesusahan. Teguh menelusi kesenangan.

Kata Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu lagi:

[image error] “Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya”

Pemuda Islam itu tangannya kasar hatinya lembut.

Jauh sekali tangan lembut berhati kasar!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 13, 2012 09:55

May 12, 2012

Masalah Menulis

 [image error]

Siang tadi selepas masing-masing membentangkan kertas kerja di Nadwah Interaktif Amil 2.0, saya sempat berbual dengan sahabat, Dr. Maszlee Malik.

Selain bergosip-gosip tentang politik Malaysia, sempat juga kami bercerita tentang menulis.

Yang seorang, sibuk dengan makalah ilmiah, sukar hendak menulis santai.

Seorang lagi, sibuk dengan tulisan santai, sukar menulis makalah ilmiah.

Ada blog, tidak dikemas kini.

Moga segeralah sembuh masalah-masalah menulis seperti ini. Mudah-mudahan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 12, 2012 09:47

May 9, 2012

Soft Launch Projek pitchIN Kami Esok

[image error]

SUDAH SELESAI MEMBACA DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMA-MU?

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” [Al-Sharh 94: 7]

Saya mempersilakan sahabat yang berkelapangan untuk hadir ke Seminar GOMOBILE di KL Convention Centre bermula esok 11 Mei hingga Ahad 13 Mei 2012 untuk meninjau booth 106. Esok akan dilancarkan projek crowdfunding bagi penghasilan TRAVELOG kami yang seterusnya, yang terpilih menjadi pioneer project di bawah pitchIN Malaysia. Projek julung-julung kali ini adalah khusus untuk projek-projek kreatif sahaja seperti buku, komik, animasi, games, filem dan fotografi.

Bagi sahabat yang kurang mengetahui tentang crowdfunding project seperti ini, boleh melihat aplikasinya di www.kickstarter.com yang telah berjaya dilaksanakan di USA.

Saya tidak dapat hadir bersama ke program esok, namun booth 106 sedia menerima kunjungan sahabat semua.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 09, 2012 22:20

May 6, 2012

VLOG: Forum Keluarga Bahagia Menuju Syurga

[image error]

Berikut adalah sinopsis kepada jawapan yang saya kongsikan bersama hadirin melalui soalan yang diajukan kepada saya semasa Forum Keluarga Bahagia Menuju Syurga di Masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi, 4 Mei 2012.

KEBAHAGIAN dalam kehidupan berumahtangga dan berkeluarga adalah pada SAKINAH, MAWADDAH dan RAHMAH (Al-Room ayat 21).

Ciri Sakinah ialah (i) berhenti (ii) tenang.

Mawaddah pula adalah Al-Hubb al-Zaaid iaitu cinta yang bertambah (hasil menyelesaikan masalah).

Ada pun Rahmah, ia adalah Ihsan sesama ahli keluarga pada tidak menyakiti antara satu sama lain pada penyelesaian konflik tertinggi.

ANTIBODI untuk anak-anak mendepani cabaran semasa adalah pada ibu bapa menunaikan 4 nafkah iaitu nafkah Fizikal, Intelektual, Emosional dan Spiritual. Didikan agama mesti bukan hanya berbentuk pelajaran, tetapi didikan agama yang membantu anak belajar membuat pilihan yang betul dalam kehidupan.

KESILAPAN ibu bapa semasa mendidik anak-anak, antaranya ialah pada menganggap proses mendidik anak-anak boleh berlaku secara otomatik apabila seseorang itu menjadi ibu dan bapa, tanpa memerlukan ILMU. Kesilapan doktor, mencederakan pesakit. Kesilapan jurutera, merosakkan mesin. Kesilapan ibu bapa, tiada u-turn, anak lahir fitrah, berakhir jadi ahli Neraka.

4 mitos dalam isu penderaan kanak-kanak ialah:

penderaan hanya berlaku dalam format keganasan
penderaan hanya dilakukan oleh orang jahat
penderaan hanya berlaku dalam keluarga yang jahat
penderaan hanya dilakukan oleh orang asing daripada sebuah keluarga

Semoga bermanfaat.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2012 23:30

Itu Anak Pakcik, Ya Akhi!

[image error]

Bukan sekali dua.

Sering benar saya ditanya dengan soalan yang sama. Seperti bermusim.

Jika di tahun 2010 saya didatangi soalan-soalan berkisar tentang suami yang bosan dengan isteri di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang berumahtangga semasa belajar, terkini saya dihujani pertanyaan, “bolehkah seorang akhi meminang seorang ukhti tanpa membabitkan bapa ukhti berkenaan kerana si akhi belum bersedia?”

Ya, kalau nikah itu jelas. Pernikahan yang membelakangkan wali memang parah pada Fekah, parah pada walimah.

Tetapi bagaimana pula dengan perbuatan membelakangkan wali semasa ‘menempah’ seorang ukhti?

LANGSUNG ATAU PIHAK KETIGA

Memang tiada halangan syara’ untuk seorang lelaki bertanya secara langsung kepada seorang perempuan tentang hajatnya mahu memperisterikan perempuan itu, asalkan dalam batas syara’ dan adab sopan yang munasabah. Tetapi menggunakan orang tengah, banyak manfaatnya. Kalau si perempuan menolak dengan baik, tidak mengapa. Tetapi kalau dibalasnya dengan peribahasa purba “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong”, “amende la mamat tu perasan bagai!” dan yang seumpama dengannya, maka orang tengah boleh menapisnya dan sekadar menyampaikan apa yang perlu, “beliau tidak dapat menerima risik akhi sebab dia belum bersedia untuk memberikan komitmen”!

Dua insan yang berpotensi menjadi musuh, terselamat daripada perangkap syaitan. Orang tengah pula, membawa kisah sebenar ke kubur kerana amanah.

Tetapi, sama ada orang tengah itu senior, rakan, Exco Bait Muslim atau sesiapa sahaja, selagi ia tidak membabitkan wali, yakni bapa atau mana-mana pihak yang berhak ke atas si perempuan, maka tiada sebarang ikatan yang berlaku. Justeru, pembabitan bapa mesti disegerakan. Jangan ditangguh-tangguh.

SOALAN

Teringat saya kepada soalan yang ditanya oleh seorang pengunjung blog baru-baru ini:

asslm,ustz. maaf sye ingin bertnye. mcmne ye.klo ad seseorg akhi ni merisik seorg uhkti ni tnpe bgtau wali dlu sbb rse xbersedia nk jmpe wali n anta rombongn.dan merisik sbb rsaukn ukhti ni berkhwin ngn org len.mcmmne hukumnya tu ustaz? syukran.

Percaya atau tidak, tahun ini sahaja seingat saya tidak kurang daripada 10 orang bertanyakan hal yang sama. Apakah ia mula menjadi trend semasa?

Saya tolak ke tepi kes-kes luar biasa seperti bapa dalam penjara, atau bapa yang amat buruk tingkah laku di dalam kategori-kategori yang diperincikan Fekah. Namun dalam keadaan biasa, anak muda jangan berbelit pada bermain kebijaksanaan untuk mencapai kemahuan dengan cara yang salah.

Oleh kerana saya sudah menulis tiga buah buku berkenaan hal ini, memanjang-manjangkan jawapan memang tidak membantu. Justeru, saya kongsikan jawapan ringkas, agar jelas apa dan bagaimana hal ini sepatutnya difikirkan.

ANALOGI

[image error]

Jawapan saya ini adalah analogi sahaja. Jangan pula lari daripada konteks dan jangan kecil hati dengan subjeknya.

Saya ada 10 ekor kambing. Jika anda berminat dengan mana-mana kambing itu, berurusanlah dengan saya kerana saya pemiliknya.

Seorang anak perempuan, milik WALInya.

Jangan bypass hakikat itu.

Saya tidak akan benarkan anak saya berkahwin dengan lelaki yang tidak berani berjumpa dengan saya, kerana ia hanya langkah kecil sebelum langkah besar yang lebih menanti di hadapan.

[image error]

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara)” [Al-Ahzaab 33: 70]

Bertanggungjawablah.

Lelaki kena keras.

Tegas.

Berani mendepani cabaran.

[image error]“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan” [Al-Nisaa’ 4: 34

Jangan lembik.

Jangan layan komik, novel, portal, blog, animasi, hatta nasyid yang menjejaskan kelelakianmu!

Be a MAN!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2012 20:30

May 5, 2012

Fitnah Cinta Ukhti Barbie dan Akhi Ken

[image error]

“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”

Demikian ungkapan yang dikongsi.

‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.

Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.

Berbaloikah untuk menjentik topik ini?

Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.

PASCA CINTA ANTA ANTI

Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.

Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.

Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.

Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!

Saya perlu suarakan hal ini. Saya bertanggungjawab menghasilkan tiga buah buku CINTA ke tengah masyarakat. Buku cinta saya ada yang terbit menjadi drama, ada yang diforumkan bersama Kang Abik peneraju fenomena Ayat-ayat Cinta. Buku cinta saya juga menjadi ceramah tajuk cinta yang entah berapa ratus kali semenjak 2008 dan kesemuanya saya simpulkan di dalam catatan terakhir siri ketiga ATN di bawah tajuk MURABBI CINTA.

Tujuannya adalah pada ‘menseriuskan’ topik CINTA.

Membasmi penangan novel-novel cinta yang mengheret pembaca ke dunia fantasi yang menjauhi realiti. Malah lebih membimbangkan, dek penerimaan yang meluas, ia membentuk pula realiti alternatif.

Perjuangan saya (mudah-mudahan diterima Allah) adalah pada membuktikan bahawa cinta merupakan terjemahan AQIDAH, PANDANGAN HIDUP dan SISTEM NILAI seseorang. Tiga komponen itu juga merupakan sisi manusia yang diserang oleh DAJJAL (Sayyid Qutb: Tafsir Surah al-Kahf di dalam Fi Dhilal al-Quran) Justeru proses menterjemahkan Aqidah kepada cinta dan rumahtangga, turut mengalami fitnah Dajjal.

ERA ANIMASI

Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.

Ia diilustrasikan.

Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.

Mata saya memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.

Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.

bp = tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 - VERSI ATAS TALIAN]

SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?

Saya tidak dapat menyetujui saranan pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif, bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F. Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar bedah yang terkenal!

Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.

Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.

[image error]

“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An'aam 6: 151]

Selepas bertanggungjawab ‘menghantar’ hampir 100 ribu naskhah buku cinta ke tengah masyarakat Malaysia, saya tegaskan bahawa tiada isi kandungan buku saya yang menjurus ke arah ini.

Malah buku saya bukan buku cinta.

Ia adalah buku yang menggunakan cinta sebagai alat untuk mengubah kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai. Buku yang sepatutnya menyedarkan, bukan mengkhayalkan. Buku yang membantu pembaca berfikir, bukan membiuskan fikiran mereka.

KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR

Teringat saya kepada ujian yang menimpa Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka sudah menjadi FITNAH.

Demikianlah ujian cinta seorang pejuang yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.

Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.

Cinta yang membingungkan.

Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah PEٌCERAIAN.

Kes ini amat terpencil.

Namun dengan perceraian yang berlaku setiap 15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.

PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR

Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan gedik.

Saya bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.

Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.

[image error]

Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran

Oh, alternatifnya?

Perlukah ada alternatif?

Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?

Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.

Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2012 17:27

Fitnah Ukhti Barbie dan Akhi Ken

Fitnah ini timbulkan kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif.

Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.

Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2012 17:27