Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 75

August 6, 2012

KEIRIN: This Is Your Day, Pocketroketman!

[image error]


Men’s Keirin 5.00pm 7 August 2012 #pocketroketman is in HEAT 3


SEERU ‘ALAA BARAKAATILLAAH, SAHABAT!



Bagaimana boleh saya ‘terheret’ ke persaingan Olimpik London 2012 ini?


Saya dihubungi oleh seorang atlet yang berjiwa perubahan, mahu menjadikan pencapaian-pencapaiannya bukan nikmat peribadi, tetapi modal untuk beliau membuat perubahan. Di pentas sukan, Azizulhasni Awang adalah seorang atlet. Di mata saya, beliau adalah seorang pejuang perubahan. Setiap pejuang yang memperjuangkan perubahan, adalah emas di mata saya.


Saya memotivasikan Azizulhasni Awang bukan kerana beliau perlukan motivasi saya. Tetapi saya yang menjadikan motivasi saya kepada beliau sebagai motivasi kepada diri saya untuk terus berjuang.


[image error]


“Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh. [Hadith riwayat al-Bukhari]


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






KEIRIN: This Is Your Day, Pocketroketman! was first posted on August 7, 2012 at 10:30 am.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 06, 2012 19:30

BERAPA BANYAK?

[image error]


Hari ini sudah Ramadan ke-18.


Muhasabah khusus kepada satu agenda yang membabitkan ramai kaum Muslimin di Malaysia, iaitu Tazkirah Ramadan.


Dari hari pertama hingga ke hari ini, apakah yang telah para penceramah sampaikan?



BERAPA BANYAK


Berapa banyak jambatan dibina?


Berapa banyak tembok diruntuh?


Berapa banyak keliru dilurus?


Berapa banyak jahil disembuh?


Berapa banyak taubat disambut?


Berapa banyak insaf disokong?


Berapa banyak jauh didekat?


Berapa banyak dekat dikenal?


Berapa banyak luka dirawat?


Berapa banyak lesu dibangkit? 


Atau dalam keghairahan kita berbicara;


 Yang dibina adalah tembok


Yang diruntuh adalah jambatan


Yang ditambah adalah keliru


Yang disakiti adalah jahil


Yang disindir adalah taubat


Yang dihentam adalah insaf


Yang dijauh adalah harapan


Yang didekat adalah kepentingan


Yang diluka adalah saudara


Yang terus berkuasa adalah khianat


Tanyalah, tanyalah, tanyalah. Jawapan bukan kepada sesama penceramah, tetapi hujah berdiri di hadapan Tuhan


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






BERAPA BANYAK? was first posted on August 7, 2012 at 6:27 am.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 06, 2012 15:27

August 4, 2012

Perjuangan Bermula. All The Best Pocketroketman!

[image error]



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Perjuangan Bermula. All The Best Pocketroketman! was first posted on August 4, 2012 at 3:01 pm.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 04, 2012 00:01

August 3, 2012

“Sesungguhnya Aku Berpuasa” Ungkapan Juara

[image error]


“Sesungguhnya aku berpuasa!” – petikan ebook TAK KENAL MAKA TAK CINTA


“Jom, dekat masjid ada bengkel dakwah” ajak Haziq.


“Isyy, engkau sahajalah pergi. Sesungguhnya aku berpuasa!” balas Razi.


Tangan kirinya menutup mulut.


Menguap, tanda Ramadan tiba lagi.



SALAH KONTEKS SALAH MAKSUD


Sering benar ungkapan-ungkapan berkuasa tinggi, dizalimi oleh kefahaman yang salah oleh sesetengah kita. Apabila menyebut “Insha Allah”, kita maksud “mungkin tidak”. Apabila menyebut “Assalamualaikum”, itu sebenarnya muqaddimah pertengkaran yang sedang hendak dibina. Entah di mana SALAMnya.


Termasuklah dalam ungkapan-ungkapan yang dizalimi ini adalah kenyataan bermusim di bulan Ramadan berbunyi “INNI SOIM” yakni “SESUNGGUHNYA AKU BERPUASA”.


Kita sebut ia dalam konteks yang salah. Bukan sahaja kita gagal mendapat hikmahnya, malah turut menjadi fitnah, menjadikan puasa alasan untuk bermalas-malasan.


Asal kenyataan ini adalah daripada beberapa hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Antaranya ialah:


[image error]



Ungkapan “Sesungguhnya aku berpuasa” bukanlah ungkapan mangsa. Ia juga bukan ungkapan alasan. Ia adalah perkataan pilihan yang disarankan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai komunikasi tinggi yang positif pada menimbulkan pelbagai manfaat buat diri.


MENOLAK SECARA BERADAB


Di dalam satu riwayat yang lain, ungkapan “Sesungguhnya aku berpuasa” disarankan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai cara beradab untuk menjelaskan penolakan kita terhadap jemputan makan atau minum oleh saudara.


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: (إذا دعي أحدكم إلى طعام وهو صائم فليقل: إني صائم


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: jika sesiapa di kalangan kamu diajak untuk makan sedangkan beliau berpuasa, maka katakanlah “sesungguhnya aku berpuasa” [Hadith riwayat Muslim]


Al-Imam al-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa maksud ungkapan ini adalah untuk menjelaskan dengan baik cara menolak jemputan makan semasa berpuasa, sama ada puasa wajib mahu pun puasa sunat. Ia tidak sama sekali bermaksud riya’ atau menunjuk-nunjuk, kecuali si penyebut berniat demikian.


Akan tetapi hadith yang pertama di atas, membawa ungkapan “sesungguhnya aku berpuasa” dalam konteks yang lebih mencabar.


PROVOKASI


Hadith Ibn Khuzaimah berkenaan menggambarkan salah satu proses yang dilakukan oleh ibadah puasa, khususnya puasa Ramadan kepada kita. Apabila sesiapa di kalangan kita diajak bergaduh, atau diperbodohkan, maka ujian yang sama hadir sebagaimana dugaan terjebak dalam makan minum secara haram di siang Ramadan, dugaan terjebak dalam perkara-perkara lagha atau lucah, dan terjebak dalam pertelingkahan.


Ujiannya adalah pada sudut:



Mengekalkan tahap sedar (tidak hilang akal atau pertimbangan waras)
Mengoptimumkan kawalan diri (self control)
Membalas perkara negatif dengan sesuatu yang positif

Kita sering hilang akal, bukan kerana tidur atau mabuk. Tetapi kerana emosi yang tinggi mengatasi rasional. Emosi mungkin terbit akibat marah, sedih, lapar, atau sifat sedia ada pada diri kita yang baran terhadap sebarang bentuk cabaran dan tekanan.


Maka, Ramadan hadir untuk memerdekakan kita daripada sifat REAKTIF ini, yang mempamerkan kelemahan diri daripada mengawal reaksi dan tindakan terhadap situasi-situasi yang hadir kepada diri dari semasa ke semasa. Kawal diri, jangan marah, dan jangan pula diam membatu!


“Bodoh engkau!” kata Tawil.


“Grrr!” Badul mengertap bibir.


Itu tidak jadi latihan.


Itu jadi dendam.


Dendam yang jika ketelaluan, mengundang pelbagai risiko negatif lagi merugikan.


Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu seorang Muslim itu tinggi. Hebat kawalan diri, sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Kaedah popular yang menjadikan mazlum sama hina dengan zalim!


Sebaliknya, cukup sekadar menyebut “SESUNGGUHNYA AKU BERPUASA”.


MAKSUD DI SEBALIKNYA


Ungkapan ini bermaksud:



Engkau sindir aku bukan aku tidak faham
Engkau ajak aku bertumbuk bukan aku tidak mampu tumbuk muka engkau
Engkau berani ajak aku bergaduh, aku bukan pengecut takut bergaduh
Engkau sarkastik dengan aku, bukan aku tidak faham sindiran engkau
Tetapi aku bukan macam engkau
SESUNGGUHNYA AKU BERPUASA
Maka ketahuilah, aku tidak menunaikan apa yang kamu (atau sebenarnya nafsu kamu) yang mahu aku turun rendah seperti kamu, adalah kerana AKU BERPUASA
Aku menang
Engkau kalah
Kalau aku puasa, engkau pula, tak puasa ke???

Semua itu tersimpul dalam sebuah kalimah yang sungguh positif. Kalimah yang menjadikan kita menang dan musuh kalah. Kalimah yang menumpaskan kejahatan dengan kebaikan. Kalimah yang membalas negatif dengan positif. Kalimah yang menzahirkan janji Allah:


[image error]


Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]


Sesungghnya, aku berpuasa!


Ungkapan seorang juara!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






“Sesungguhnya Aku Berpuasa” Ungkapan Juara was first posted on August 3, 2012 at 10:04 pm.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 03, 2012 07:04

August 1, 2012

Motivasi Juara Dunia Tertangguh!

[image error]


“Saya tidak berminat dengan bidang ini. Saya mahu berniaga” kata seorang pelajar.


“Saya sudah bosan dengan isteri saya” keluh seorang suami. Muda.


“Keputusan peperiksaan saya teruk. Saya rasa dunia saya gelap” rintih seorang srikandi menara gading.


“…..” kata seorang remaja. Tanpa suara!



Lama saya menelusi dunia latihan. Lebih popular disebut motivasi.


Dalam pelbagai peningkatan yang bersifat secondary, ada beberapa perkara teras yang terus merudum. Membimbangkan.


KEYAKINAN DIRI


Salah satunya adalah soal keyakinan diri. Lemah keyakinan diri hingga lemah daya mencuba, lemah tenaga berusaha, lemah azam untuk mencapai, lemah tekad untuk bertahan. Akhirnya kita kaya alasan. Dalam banyak keadaan alasan itu disebut-sebut dengan perkataan. Selebihnya, alasan muncul dalam diam, berbentuk kemurungan dan pasrah beridentitikan mangsa.


Menyalahkan keadaan.


Itulah kerisauan terbesar saya.


Kesukaran menyempurnakan proses belajar, keruntuhan rumahtangga, ketidak stabilan kerjaya malah lemah istiqamah dalam kehidupan beragama, berputar pada paksi permasalahan yang sama iaitu kelemahan kuasa dalaman.


MODUL HIJRI


Saya perkenalkan modul HIJRI.


Modul Hijrah Remaja Islam.


Modul ini tidak berbicara tentang strategi SPM atau PMR atau peperiksaan akhir semester. Modul ini fokus kepada peperiksaan yang tiada manusia boleh melepaskan diri daripadanya. Peperiksaan yang pantang gagal. Iaitu peperiksaan yang menguji upaya membuat keputusan dalam kehidupan. Ia memerlukan kepada beberapa nilai teras yang saya rumuskan daripada al-Quran dan al-Sunnah, pengalaman silam individu serta umat yang berjaya. Saya ‘acar rampai’kan ia dengan beberapa petikan teori psikologi seperti Sindrom Anak Gajah dan saya kongsikan dengan anak muda, bagaimana semua ramuan itu saya cuba manfaatkan ia dalam kehidupan peribadi, pada mendepani satu demi satu ujian kehidupan.


“Percaya!” saya bersorak.


“Berjaya!” anak-anak muda menyambut.


“Insya Allah!’ saya kunci.


“Rancang!” saya bertempik.


“Menang!” anak-anak muda menjerit.


“Insya Allah!” saya kunci lagi.


Saya sendiri insan yang menempuh pasang surut. Syukur, kerja saya memotivasikan orang lain, bermula dengan kerja saya memotivasikan diri saya sendiri. Saya mencari motivasi. Mencari cerita, mencari tokoh, mencari rakan, mencari inspirasi.


Inspirasi kontemporari.


HATI BERBUNGA-BUNGA


Itulah sebabnya hati saya jadi berbunga-bunga.


Seperti sebahagian rakan berbunga-bunga hati berjumpa dengan saya (Allah!), saya juga mengalami perasaan yang berbunga-bunga itu.


Ada bunga raya, ada yang gergasi bagai Rafflesia!


Kali pertama rasa berbunga-bunga semasa berpeluang bertemu dengan Karen Armstrong.


Kali kedua semasa dihubungi oleh tokoh muda yang amat saya kagumi.


Tidak lain dan tidak bukan, juara lumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang.


Azizul menghantar emel kepada saya bertanyakan panduan berkaitan ibadah puasa semasa beliau menjalani latihan di Belgium, dan bakal bertempur di kemuncak kerjaya semasanya di Temasya Sukan Olimpik London 2012.


“Ahh, macam tidak percaya!” saya bermonolog,


Segera saya beritahu insan yang kasihi, sang isteri di sisi.


“Yang mana?” tanya Ummu Saif.


“Azizulhasni!” saya memberitahu.


Saya juga segera memberitahu rakan small circle saya di Facebook, bahawa pelumba basikal negara menghubungi saya. Dia minta betis, saya mahu beri peha!


Hukum Fiqh perlu dijawab, namun ia mesti turut memotivasi, sesuai dengan siapa beliau di medan Olimpik nanti.


Saya mahu memotivasi Azizulhasni, walaupun saya yakin beliau sendiri sudah berada di kemuncak motivasi tertinggi. Siapalah saya untuk memotivasi juara dunia. Tetapi saya mahu memotivasi insan di sekeliling saya untuk mengambil inspirasi daripada anak muda luar biasa ini. Dengan motivasi kolektif kita, saya yakin Azizulhasni memiliki satu lagi dorongan tambahan untuk beliau berjuang.


KECEDERAAN LUAR BIASA


Kali pertama saya notify Azizulhasni, The Pocketroketman kita, ialah semasa World Cup Machester 2011. Ketika perlumbaan final di Manchester 2011, kemalangan berlaku dalam lap terakhir. Pelumba Britain, Chris Hoy ‘bernasib baik’ kerana terlepas daripada kemalangan tersebut dan menjadi juara.



Azizulhasni Awang terbabit dengan kemalangan itu.


Jatuh, penuh emosi, semangat bulat terlerai bersama iringan keluhan seluruh stadium terhadap kemalangan itu.


Impian menjadi juara dunia musnah!


Tetapi saya tersilap. Kita semua tersilap.


Azizulhasni segera bangkit dan menyambung kayuhan. Kita kembali bersorak untuknya.


Azizulhasni Awang mendapat pingat gangsa!


Ketika mana kepingan kayu telah menembus betisnya!


[image error]


Saya tidak harus memuji manusia secara berlebih-lebihan.


“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa” [Al-Najm 53: 32]


Tetapi melihat sekeping kayu tembus ke betis Azizulhasni, yang meneruskan kayuhan hingga beroleh pingat gangsa, adalah nikmat Allah yang mesti diperkata!


“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” [Al-Dhuha 93: 11]


Nikmat motivasi.


Semasa berleluasanya rendah keyakinan diri.


Bagi saya, gangsa beliau di Manchester itu lebih besar maknanya daripada pingat emas Olimpik. Namun pingat emas Olimpik London 2012 hujung minggu ini, saya doakan ia menjadi milik The Pocketroketman kita demi menambah pengesahan bahawa Gangsa Keiren Track World Cup Manchester 2011 adalah sebuah KEJUARAAN DUNIA TERTANGGUH!


Sama-sama kita doakan.


“Percaya!”


“Berjaya!”


“Insya Allah!’


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Motivasi Juara Dunia Tertangguh! was first posted on August 2, 2012 at 8:55 am.
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 01, 2012 17:55

July 31, 2012

Seeru ‘Alaa Barakatillaah, Mr. Pocketroketman!

[image error]


Supporter of Pocketroketman, seen with future Malaysian cyclist, Muiz!


“Seeru ‘alaa barakatillah!” Sheikh Ak Semsettin bersorak.


Selepas bertakbir memuji dan membesarkan Allah, tentera Sultan Muhammad al-Fatih yang berdiri di hadapan tembok gergasi Constantinople dilepaskan oleh Sheikh Ak Semsettin pada dingin pagi Selasa, 23 Mei 1453.


Tentera itu dengan misinya untuk menawan Constantinople, berjaya.


Mencatat sejarah.



Namun Constantinople tinggal sejarah.


Othmaniyyah juga sudah ditelan masa.


Tetapi semangat pagi itu masih membara, untuk umat terus berusaha. Constantinople bukan subjeknya. Tetapi segala ikhtiar, kesungguhan, persiapan, keringat dan darah yang tumpah, menjadi benchmark oleh Allah, bahawa umat telah sampai kepada kematangan tamadun.


Kemenangan tercatat.


Penuh kegemilangan.


Saya memberikan sokongan kepada pasukan Olimpik Malaysia ke London 2012, bukanlah kerana pingat emas atau sebarang habuan material yang menanti.


Tetapi Olimpik adalah medan mengiktiraf yang terbaik. Hanya yang terbaik boleh ke sana, dan yang terbaik pulang dengan Emas sebagai kurniaan.


Sejak sekian lama sukan negara kita berada dalam kelesuan, selesu jati diri anak bangsa yang merisaukan saya. Anak muda seperti tidak bersemangat, tidak pasti apa yang mereka mahu. Dalam pertandingan semenjak tadika hingga ke IPTA, hanya segelintir yang diraikan, tetapi ramai yang tercicir di perjalanan. Kita menjadi umat yang tiada momentum ke hadapan. Bolasepak kita, badminton (anak saya menyebut goodminton kerana mahu positif!), sepak takraw… satu demi satu kekecewaan melanda.


Tiada apa yang boleh dibangga.


Tetapi semenjak kebelakangan ini, seperti ada kebangkitan.


Ada hijrah.


Bahawa atlet sama seperti pejuang di medan Constantinople. Segala persiapan dan latihan boleh dijalankan, namun akhirnya mereka menjadi outstanding dengan upaya luar kuasa alam. Hati yang bulat kepada Allah, kekuatan spiritual yang menjadi teras, memacu mereka ke hadapan. Inilah yang menimbulkan rasa teruja saya dengan Olimpik 2012. Olimpik yang amat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.


Kejar Emas itu wahai anak Malaysia!


Emas akan menjadi catatan sejarah, dan nanti akan tinggal sejarah.


Namun semangat dan pengajarannya kekal menginspirasi. Itulah nilai yang dicari!


Sokongan khusus saya kepada Mohd Azizulhasni Awang, pelumba basikal negara di dalam kategori Keirin.



Sokong Pocketroketman kita.


Tshirt yang saya pakai ini, boleh anda dapatkan dengan menghubungi krew Pocketroketman :


emel pocketroketman@gmail.com  | telefon +60175328669


Go for gold!


Seeru ‘ala Barakaatillaah!


[image error]


Jadual perlumbaan Pocketroketman kita (waktu Malaysia)


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Seeru ‘Alaa Barakatillaah, Mr. Pocketroketman! was first posted on August 1, 2012 at 2:12 pm.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 31, 2012 23:12

July 30, 2012

Undi Sekarang : Projek DVD Ibrah Surah Al-Kahfi


Undi DVD pilihan anda di SAIFULISLAMSTORE



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Undi Sekarang : Projek DVD Ibrah Surah Al-Kahfi was first posted on July 31, 2012 at 2:30 pm.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 30, 2012 23:30

July 29, 2012

Facing the Giants: Hidup Bertuhan di Lapangan Sukan

[image error]


“Apa yang kamu rancangkan untuk PMR ini?” saya bertanya.


“Saya mahu keputusan yang cukup-cukup untuk masuk sekolah lain” jawab anak muda itu.


Tidak mahu lebih-lebih.


Beliau menyebut nama sebuah sekolah terkenal di ibukota.


“Kenapa? Tidak mahu bersekolah di sini lagi?” saya melanjutkan pertanyaan.


“Sekolah ini tidak seronok. Saya minat ragbi. Sekolah ini tiada ragbi!” katanya.


Penuh yakin.



Demikianlah ceritanya.


Biar pun anak muda ini bersekolah di sebuah sekolah agama di ibukota, namun rakan-rakannya adalah murid sekolah bukan sekolah agama. Maka the in thing sesama mereka amat berbeza daripada apa yang biasa ada di sekolah agama berkenaan.


“Kamu mahu menjadi pemain ragbi yang macam mana?” saya menyoal lagi.


“Yang terbaiklah!” jawabnya.


“Caranya?” saya terus mengasak beliau.


“Tukar sekolah dan berlatih!” calon PMR itu bertegas.


Beliau kelihatan jelas apa yang dimahukannya.


“Sekadar itu, tidak mungkin boleh menjadikan kamu pemain ragbi terbaik. Kamu hanya akan jadi seorang lagi pemain ragbi selepas sekalian ramai pemain ragbi sedia ada” saya mengomel.


Kursus kali ini sangat unik.


Pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR mencatatkan keputusan yang amat merisaukan sekolah, lalu saya dijemput untuk berprogram dengan mereka. Jika keputusan mereka banyak B atau C, ia mungkin masalah teknik menjawab atau masalah-masalah biasa yang lain. Tetapi kalau semua D dan E, this is interesting!


Ada cikgu yang mahu menyertai program ini. Peminat blog, kata mereka.


Namun saya tolak dan minta kerjasama, kalau boleh biar saya bersama murid-murid sahaja. Demi untuk mengorek fikiran dan isi hati mereka.


Hasilnya, saya dapati mereka lebih cerdik daripada biasa. Ada sesuatu tentang mereka.


TENGOK FILEM


“Kamu pernah tengok filem Facing the Giants?” saya bertanya kepadanya.


“Tak!” kata anak muda itu, juga rakan-rakannya.


Filem Facing the Giants merupakan sebuah filem bajet rendah arahan Alex Kendrick pada tahun 2006. Ia mengisahkan tentang seorang coach pasukan American Football bernama Grant Taylor. Hidupnya dibelenggu dengan kegagalan demi kegagalan. Bermula daripada prestasi teruk pasukan di sekolahnya, para ibu bapa pelajar berusaha memujuk sekolah memecat beliau, tekanan kewangan dan keretanya rosak, hinggalah kepada diagnosis hospital bahawa kegagalan beliau dan isterinya memperolehi cahaya mata adalah berpunca daripada kondisi diri Grant.


Sudah jatuh ditimpa tangga.


Semasa berada di puncak tekanan, Grant Taylor telah meminta kepada Tuhan untuk memberinya petunjuk.



Beliau mencari petunjuk di dlam agama.


Grant Taylor mencipta falsafah latihannya yang tersendiri, berpaksikan KUASA PERCAYA.


Beliau meyakinkan pasukannya bahawa mereka bermain dengan TUJUAN.


Tuhan mahu kebesaran-Nya ditonjolkan melalui perlawanan-perlawanan mereka.


Grant Taylor mahu pasukannya sentiasa memuji Tuhan sama ada mereka menang atau kalah di dalam perlawanan.


I want God to bless this team so much people will talk about what He did. But it means we gotta give Him our best in every area. And if we win, we praise Him. And if we lose, we praise Him. Either way we honor Him with our actions and our attitudes. So I’m askin’ you… What are you living for? I resolve to give God everything I’ve got, then I’ll leave the results up to Him. I want to know if you’ll join me. – Grant Taylor, Facing the Giants (2006)


Kata Grant Taylor kepada pasukannya:


Saya mahu Tuhan memberkati pasukan ini hingga manusia akan terus berbicara tentang pertolongan-Nya ini. Tetapi ini bermakna kita mesti memberikan kepada-Nya apa yang terbaik daripada diri kita dalam semua keadaan. Jika kita menang, kita puji Dia. Jika kita kalah, kita puji Dia. Apa keadaan sekali pun, kita mesti berbakti kepada Tuhan dengan perbuatan dan sikap kita.


Jadi saya mahu bertanya kepada kamu… Untuk apa kamu hidup? Saya telah komited untuk memberikan kepada Tuhan segala yang saya ada, dan seterusnya saya bertawakkal kepada-Nya.


Saya mahu tahu adakah kamu mahu menyertai saya!


KEKUATAN SPIRITUAL


Beliau menjadikan kekuatan spiritual sebagai kekuatan yang membangkitkan upaya luar biasa para pemain, dan akhirnya melalui latihan di dalam American Football itu, mereka berjaya mendepani satu demi satu perlawanan hingga mengalahkan pasukan paling digeruni di peringkat nasional iaitu The Giant.


Malah, bukan hanya berjaya sebagai anggota pasukan American Football, setiap individu di dalam pasukan itu juga berjaya memperbaiki pelbagai cabaran kehidupan mereka, berbekalkan kekuatan spiritual.


Sukan menjadi medan Tarbiah buat mereka. Medan mengenal Tuhan, dan membawa Tuhan ke dalam kehidupan.


Saya paparkan petikan video filem Facing the Giants kepada pelajar berkenaan untuk renungan bersama.


Biar pun ia sebuah filem yang menyampaikan nilai-nilai ajaran agama Kristian, ia tidak menjadi soal. Sebagai Muslim, kita seharusnya mampu melihat perkara yang sama, malah lebih daripada Facing the Giants.


“Kamu nampak apa yang ustaz mahu sampaikan?” saya bertanya.


Pelajar itu tersenyum.


“Jika kamu berusaha melepaskan diri daripada sekolah ini untuk mengejar cita-cita menjadi pemain ragbi di sekolah berkenaan, ustaz fikir kamu mungkin akan hanya menjadi salah seorang pemain ragbi biasa. Tetapi jika kamu mampu berdisiplin, yakni sabar dengan benda yang kamu tidak suka, untuk mendapatkan apa yang kamu suka, serta menjadikan semua ilmu agama di sekolah ini sebagai sumber kekuatan dalaman kamu, Insya Allah 10 tahun daripada sekarang, ustaz akan bertemu dengan kamu bukan sebagai pemain ragbi biasa. Jika kamu tidak jadi pemain ragbi sekali pun, kamu tetap akan menjadi manusia yang luar biasa!” kesimpulan diskusi saya habiskan.


Anak muda itu termenung.


Saya memberi ruang kepada beliau untuk berfikir.


Hanya atlet yang sumber kekuatan dalamannya adalah sesuatu yang melangkaui alam yang lemah seperti lemah dan terbatasnya dia, akan mampu menjadi atlet yang terbaik.


Dia layak mendapat emas di Dunia.


Dia layak mendapat ‘Emas’ di Akhirat.


Sesiapa sahaja yang ‘layak masuk ke Syurga’, akan layak untuk mendapat segala yang terbaik di Dunia.


Itulah insan biasa yang luar biasa.


Ke mana sahaja dia pergi, Tuhan sentiasa keutaman tertingginya.


Biar dikelilingi simbol Illuminati di bawah terik mentari, atlet kita di Olimpik London yang membawa ALLAH dalam perjuangannya, sudah berjaya dan juara, sebelum emas menjadi kurnia.


Allahu Akbar!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Facing the Giants: Hidup Bertuhan di Lapangan Sukan was first posted on July 30, 2012 at 1:33 pm.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 29, 2012 22:33

Facing the Giants: Atlet Biasa Yang Luar Biasa

[image error]


“Apa yang kamu rancangkan untuk PMR ini?” saya bertanya.


“Saya mahu keputusan yang cukup-cukup untuk masuk sekolah lain” jawab anak muda itu.


Tidak mahu lebih-lebih.


Beliau menyebut nama sebuah sekolah terkenal di ibukota.


“Kenapa? Tidak mahu bersekolah di sini lagi?” saya melanjutkan pertanyaan.


“Sekolah ini tidak seronok. Saya minat ragbi. Sekolah ini tiada ragbi!” katanya.


Penuh yakin.



Demikianlah ceritanya.


Biar pun anak muda ini bersekolah di sebuah sekolah agama di ibukota, namun rakan-rakannya adalah murid sekolah bukan sekolah agama. Maka the in thing sesama mereka amat berbeza daripada apa yang biasa di sekolah agama berkenaan.


“Kamu mahu menjadi pemain ragbi yang macam mana?” saya menyoal lagi.


“Yang terbaiklah!” jawabnya.


“Caranya?” saya terus mengasak beliau.


“Tukar sekolah dan berlatih!” calon PMR itu bertegas.


Beliau kelihatan jelas apa yang dimahukannya.


“Sekadar itu, tidak mungkin boleh menjadikan kamu pemain ragbi terbaik. Kamu hanya akan jadi seorang lagi pemain ragbi selepas sekalian ramai pemain ragbi sedia ada” saya mengomel.


Kursus kali ini sangat unik.


Pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR mencatatkan keputusan yang amat merisaukan sekolah, lalu saya dijemput untuk berprogram dengan mereka. Jika keputusan mereka banyak B atau C, ia mungkin masalah teknik menjawab atau masalah-masalah biasa yang lain. Tetapi kalau semua D dan E, this is interesting!


Ada cikgu yang mahu menyertai program ini. Peminat blog, kata mereka.


Namun saya tolak dan minta kerjasama, kalau boleh biar saya bersama murid-murid sahaja. Demi untuk megorek fikiran dan isi hati mereka.


Hasilnya,saya dapati mereka lebih cerdik daripada biasa. Ada sesuatu tentang mereka.


TENGOK FILEM


“Kamu pernah tengok filem Facing the Giants?” saya bertanya kepadanya.


“Tak!” kata anak muda itu rakan-rakannya.


Filem Facing the Giants merupakan sebuah filem bajet rendah arahan Alex Kendrick pada tahun 2006. Ia mengisahkan tentang seorang coach pasukan American Football bernama Grant Taylor. Hidupnya dibelenggu dengan kegagalan demi kegagalan. Bermula daripada prestasi teruk pasukan di sekolahnya, para ibu bapa pelajar berusaha memujuk sekolah memecat beliau,  tekanan kewangan dan keretanya rosak, hinggalah kepada diagnosis hospital bahawa kegagalan beliau dan isterinya memperolehi cahaya mata adalah berpunca daripada kondisi diri Grant.


Sudah jatuh ditimpa tangga.


Semasa berada di puncak tekanan, Grant Taylor telah meminta kepada Tuhan untuk memberinya petunjuk.



Beliau telah mencipta falsafah latihannya yang tersendiri.


Beliau meyakinkan pasukannya bahawa mereka bermain dengan TUJUAN.


Tuhan mahu kebesaran-Nya ditonjolkan melalui perlawanan-perlawanan mereka.


Grant Taylor mahu pasukannya sentiasa memuji Tuhan sama ada mereka menang atau kalah di dalam perlawanan.


I want God to bless this team so much people will talk about what He did. But it means we gotta give Him our best in every area. And if we win, we praise Him. And if we lose, we praise Him. Either way we honor Him with our actions and our attitudes. So I’m askin’ you… What are you living for? I resolve to give God everything I’ve got, then I’ll leave the results up to Him. I want to know if you’ll join me. – Grant Taylor, Facing the Giants (2006)


Kata Grant Taylor kepada pasukannya:


Saya mahu Tuhan memberkati pasukan ini hingga manusia akan terus berbicara tentang pertolongan-Nya ini. Tetapi ini bermakna kita mesti memberikan kepada-Nya apa yang terbaik daripada diri kita dalam semua keadaan. Jika kita menang, kita puji Dia. Jika kita kalah, kita puji Dia. Apa keadaan sekali pun, kita mesti berbakti kepada Tuhan dengan perbuatan dan sikap kita.


Jadi saya mahu bertanya kepada kamu… Untuk apa kamu hidup? Saya telah komited untuk memberikan kepada Tuhan segala yang saya ada, dan seterusnya saya bertawakkal kepada-Nya.


Saya mahu tahu adakah kamu mahu menyertai saya!


KEKUATAN SPIRITUAL


Beliau menjadikan kekuatan spiritual sebagai kekuatan yang membangkitkan upaya luar biasa para pemain, dan akhirnya melalui latihan di dalam American Football itu, mereka berjaya mendepani satu demi satu perlawanan hingga mengalahkan pasukan paling digeruni di peringkat nasional iaitu The Giants.


Malah, bukan hanya berjaya sebagai anggota pasukan American Football, setiap individu di dalam pasukan itu juga berjaya memperbaiki pelbagai cabaran kehidupan mereka, berbekalkan kekuatan spiritual.


Saya paparkan petikan video filem berkenaan kepada pelajar berkenaan untuk renungan bersama.


Biar pun ia sebuah filem yang menyampaikan nilai-nilai ajaran agama Kristian, ia tidak menjadi soal. Sebagai Muslim, kita seharusnya mampu melihat perkara yang sama, malah lebih daripada Facing the Giants.


“Kamu nampak apa yang ustaz mahu sampaikan?” saya bertanya.


Pelajar itu tersenyum.


“Jika kamu berusaha melepaskan diri daripada sekolah ini untuk mengejar cita-cita menjadi pemain ragbi di sekolah berkenaan, ustaz fikir kamu mungkin akan hanya menjadi salah seorang pemain ragbi biasa. Tetapi jika kamu mampu berdisiplin, yakni sabar dengan benda yang kamu tidak suka, untuk mendapatkan apa yang kamu suka, serta menjadikan semua ilmu agama di sekolah ini sebagai sumber kekuatan dalaman kamu, Insya Allah 10 tahun daripada sekarang, ustaz akan bertemu dengan kamu bukan sebagai pemain ragbi biasa. Jika kamu tidak jadi pemain ragbi sekali pun, kamu tetap akan menjadi manusia yang luar biasa!” kesimpulan diskusi saya habiskan.


Anak muda itu termenung.


Saya memberi ruang kepada beliau untuk berfikir.


Hanya atlet yang sumber kekuatan dalamannya adalah sesuatu yang melangkaui alam yang lemah seperti lemah dan terbatasnya dia, akan mampu menjadi atlet yang terbaik.


Dia layak mendapat emas di Dunia.


Dia layak mendapat ‘Emas’ di Akhirat.


Sesiapa sahaja yang ‘layak masuk ke Syurga’, akan layak untuk mendapat segala yang terbaik di Dunia.


Itulah insan biasa yang luar biasa.


Ke mana sahaja dia pergi, Tuhan sentiasa keutaman tertingginya.


Biar dikelilingi simbol Illuminati di bawah terik mentari, atlet kita di Olimpik London yang membawa ALLAH dalam perjuangannya, sudah berjaya dan juara, sebelum emas menjadi kurnia.


Allahu Akbar!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 






Facing the Giants: Atlet Biasa Yang Luar Biasa was first posted on July 30, 2012 at 1:33 pm.
2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 29, 2012 22:33

July 26, 2012

Apa Yang Saya Belajar Daripada ARTIS Dan ATLET

[image error]


Ada dua perkara yang saya belajar daripada golongan karyawan.


Pertama adalah FOKUS.


Kedua adalah PENGHAYATAN.


Seorang pelakon apabila membaca skrip lakonannya, dia membaca dengan begitu fokus dan penuh penghayatan. Usaha untuk menguasai watak lakonan di dalam skrip, membolehkan seorang gadis clubbing melakonkan watak ustazah hingga kelihatan lebih ustazah daripada ustazah. Mereka membaca dengan khusyuk, sanggup menguruskan badan atau menggemukkannya untuk melakonkan watak yang diberi.



Impak membaca seorang pelakon, lebih dahsyat berbanding impak membaca seorang pelajar Syariah di dalam kuliah universiti jam 8 paginya!


ATLET OLIMPIK


Apa yang saya belajar daripada seorang ATLET OLIMPIK?


Petikan KOSMO! ONLINE bertarikh 27 Julai 2012 menjelaskannya:


“…Menyentuh soal disiplin pula, perkara ini sangat penting untuk jadi seorang juara. Makan tak boleh seperti orang biasa, tidur tak boleh macam orang biasa. Untuk jadi seorang juara dunia, pelumba kita mesti lakukan perkara yang berbeza dengan orang lain. Kalau mereka lihat, orang biasa tidur pukul 12 tengah malam, mereka pun nak tidur pukul 12 tengah malam, kalau mereka lihat orang makan di kedai mamak, mereka pun nak makan di kedai mamak.


Kalau mereka buat perkara yang sama seperti orang biasa, mereka tak mungkin jadi juara dunia. Kalau mereka nak jadi juara, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa. Kalau nak jadi 10 pelumba terbaik di dunia, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa daripada orang lain. Jika mereka sekadar nak berkayuh di kampung, mereka boleh minum teh tarik dan roti canai. Pengorbanan itu sangat penting kalau mahu berjaya. Mereka tak boleh bersuka ria seperti orang biasa.


Kalau mereka dah sanggup berkorban, barulah kita boleh bercerita soal mahu jadi juara dunia…”


Kualiti fokus, bekerja keras, disiplin itu jugalah kualiti yang diperlukan untuk menjadi JUARA AKHIRAT.


SYURGA FIRDAUSI hanya menerima keahilan orang-orang hebat.


Kehebatan kualiti itu saya tidak belajar daripada AGAMAWAN yang hanya BERCAKAP. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk merendahkan diri di hadapan golongan-golongan tersebut. Jika saya seorang ustaz dan mahu berdakwah kepada masyarakat, juga kepada golongan KARYAWAN dan ATLET, cara terbaik untuk mengajar mereka ialah belajar daripada mereka, terlebih dahulu.


Sebab itu saya teruja dengan Olimpik London 2012.


Saya tidak peduli kepada sejarah Olimpik.


Saya tidak nampak gangguan berita penyebaran kondom kepada atlet seperti yang diwar-warkan media.


Saya hanya nampak wajah-wajah juara.


[image error]


Nor Suryani Mohamad Taibi - foto kredit http://i.telegraph.co.uk/


Saya nampak Penembak Negara, Nur Suryani Mohamad Taibi yang merupakan seorang ibu, sedang sarat mengandung lapan bulan, mengejar Pingat Emas, dengan penuh keyakinan.


Beliau menjadi wanita paling sarat mengandung dalam sejarah penyertaan Olimpik dunia!


 [image error]


Azizulhasni Awang. Foto kredit http://www.baikbike.com/


Saya nampak Pelumba Basikal Negara, Azizulhasni Awang  yang semenjak Tingkatan Tiga, menolak tiga tawaran MRSM dan Sekolah Sains, masuk ke Sekolah Sukan Negara Bukit Jalil kerana sangat jelas apa yang beliau mahu. Cita-cita asal untuk menjadi seorang doktor, diketepikan kerana fokus serta komited dengan cita-citanya menjadi Juara Lumba Basikal Dunia.


Dan Pocketrocketman, pada usia 24 tahun sudah pun bergelar Juara Dunia.


Demikian juga dengan Dato’ Lee Chong Wei (Badminton), Josiah Ng (Lumba Basikal) dan lain-lain.


TERBAIK, KEKAL TERBAIK


Semuanya mengingatkan saya kepada perbualan yang berlaku di antara Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersama para sahabat:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قِيلَ : ” يا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُّ النَّاسِ أَكْرَمُ ؟ قَالَ : أَكْرَمُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاهُمْ . قَالُوا : لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ . قَالَ : فَعَنْ مَعَادِنِ الْعَرَبِ تَسْأَلُونَنِي ؟ قَالُوا : نَعَمْ . قَالَ : خِيَارُكُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الإِسْلامِ إِذَا فَقِهُوا 


Daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW ditanya, siapakah manusia yang paling mulia? Baginda menjawab, “Orang yang paling bertaqwa di antara mereka.” Lalu mereka (yang bertanya) berkata : “Bukan itu yang kami maksudkan.” Maka sabda baginda lagi, “Daripada keturunan Arabkah yang kamu hendak tanyakan? Mereka yang terbaik semasa Jahiliah adalah terbaik semasa Islam apabila mereka benar-benar memahami syariat Islam.” [muttafaq 'alayhi]


Yang terbaik akan terus kekal yang terbaik, apabila mereka benar-benar memahami Syariat Islam.


Sebab itu saya amat bersungguh, apabila atlet negara bertanya garis panduan berpuasa semasa Olimpik musim panas di Kota London.


Isunya bukan sekadar isu Fiqh.


Isunya ialah daripada soalan itu saya mahu memotivasikan mereka.


Kerana mereka telah terdahulu amat memotivasikan diri saya!


SEERU ‘ALAA BARAKATILLAAH!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra






Apa Yang Saya Belajar Daripada ARTIS Dan ATLET was first posted on July 27, 2012 at 8:59 am.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 26, 2012 17:59