Facing the Giants: Atlet Biasa Yang Luar Biasa

[image error]


“Apa yang kamu rancangkan untuk PMR ini?” saya bertanya.


“Saya mahu keputusan yang cukup-cukup untuk masuk sekolah lain” jawab anak muda itu.


Tidak mahu lebih-lebih.


Beliau menyebut nama sebuah sekolah terkenal di ibukota.


“Kenapa? Tidak mahu bersekolah di sini lagi?” saya melanjutkan pertanyaan.


“Sekolah ini tidak seronok. Saya minat ragbi. Sekolah ini tiada ragbi!” katanya.


Penuh yakin.



Demikianlah ceritanya.


Biar pun anak muda ini bersekolah di sebuah sekolah agama di ibukota, namun rakan-rakannya adalah murid sekolah bukan sekolah agama. Maka the in thing sesama mereka amat berbeza daripada apa yang biasa di sekolah agama berkenaan.


“Kamu mahu menjadi pemain ragbi yang macam mana?” saya menyoal lagi.


“Yang terbaiklah!” jawabnya.


“Caranya?” saya terus mengasak beliau.


“Tukar sekolah dan berlatih!” calon PMR itu bertegas.


Beliau kelihatan jelas apa yang dimahukannya.


“Sekadar itu, tidak mungkin boleh menjadikan kamu pemain ragbi terbaik. Kamu hanya akan jadi seorang lagi pemain ragbi selepas sekalian ramai pemain ragbi sedia ada” saya mengomel.


Kursus kali ini sangat unik.


Pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR mencatatkan keputusan yang amat merisaukan sekolah, lalu saya dijemput untuk berprogram dengan mereka. Jika keputusan mereka banyak B atau C, ia mungkin masalah teknik menjawab atau masalah-masalah biasa yang lain. Tetapi kalau semua D dan E, this is interesting!


Ada cikgu yang mahu menyertai program ini. Peminat blog, kata mereka.


Namun saya tolak dan minta kerjasama, kalau boleh biar saya bersama murid-murid sahaja. Demi untuk megorek fikiran dan isi hati mereka.


Hasilnya,saya dapati mereka lebih cerdik daripada biasa. Ada sesuatu tentang mereka.


TENGOK FILEM


“Kamu pernah tengok filem Facing the Giants?” saya bertanya kepadanya.


“Tak!” kata anak muda itu rakan-rakannya.


Filem Facing the Giants merupakan sebuah filem bajet rendah arahan Alex Kendrick pada tahun 2006. Ia mengisahkan tentang seorang coach pasukan American Football bernama Grant Taylor. Hidupnya dibelenggu dengan kegagalan demi kegagalan. Bermula daripada prestasi teruk pasukan di sekolahnya, para ibu bapa pelajar berusaha memujuk sekolah memecat beliau,  tekanan kewangan dan keretanya rosak, hinggalah kepada diagnosis hospital bahawa kegagalan beliau dan isterinya memperolehi cahaya mata adalah berpunca daripada kondisi diri Grant.


Sudah jatuh ditimpa tangga.


Semasa berada di puncak tekanan, Grant Taylor telah meminta kepada Tuhan untuk memberinya petunjuk.



Beliau telah mencipta falsafah latihannya yang tersendiri.


Beliau meyakinkan pasukannya bahawa mereka bermain dengan TUJUAN.


Tuhan mahu kebesaran-Nya ditonjolkan melalui perlawanan-perlawanan mereka.


Grant Taylor mahu pasukannya sentiasa memuji Tuhan sama ada mereka menang atau kalah di dalam perlawanan.


I want God to bless this team so much people will talk about what He did. But it means we gotta give Him our best in every area. And if we win, we praise Him. And if we lose, we praise Him. Either way we honor Him with our actions and our attitudes. So I’m askin’ you… What are you living for? I resolve to give God everything I’ve got, then I’ll leave the results up to Him. I want to know if you’ll join me. – Grant Taylor, Facing the Giants (2006)


Kata Grant Taylor kepada pasukannya:


Saya mahu Tuhan memberkati pasukan ini hingga manusia akan terus berbicara tentang pertolongan-Nya ini. Tetapi ini bermakna kita mesti memberikan kepada-Nya apa yang terbaik daripada diri kita dalam semua keadaan. Jika kita menang, kita puji Dia. Jika kita kalah, kita puji Dia. Apa keadaan sekali pun, kita mesti berbakti kepada Tuhan dengan perbuatan dan sikap kita.


Jadi saya mahu bertanya kepada kamu… Untuk apa kamu hidup? Saya telah komited untuk memberikan kepada Tuhan segala yang saya ada, dan seterusnya saya bertawakkal kepada-Nya.


Saya mahu tahu adakah kamu mahu menyertai saya!


KEKUATAN SPIRITUAL


Beliau menjadikan kekuatan spiritual sebagai kekuatan yang membangkitkan upaya luar biasa para pemain, dan akhirnya melalui latihan di dalam American Football itu, mereka berjaya mendepani satu demi satu perlawanan hingga mengalahkan pasukan paling digeruni di peringkat nasional iaitu The Giants.


Malah, bukan hanya berjaya sebagai anggota pasukan American Football, setiap individu di dalam pasukan itu juga berjaya memperbaiki pelbagai cabaran kehidupan mereka, berbekalkan kekuatan spiritual.


Saya paparkan petikan video filem berkenaan kepada pelajar berkenaan untuk renungan bersama.


Biar pun ia sebuah filem yang menyampaikan nilai-nilai ajaran agama Kristian, ia tidak menjadi soal. Sebagai Muslim, kita seharusnya mampu melihat perkara yang sama, malah lebih daripada Facing the Giants.


“Kamu nampak apa yang ustaz mahu sampaikan?” saya bertanya.


Pelajar itu tersenyum.


“Jika kamu berusaha melepaskan diri daripada sekolah ini untuk mengejar cita-cita menjadi pemain ragbi di sekolah berkenaan, ustaz fikir kamu mungkin akan hanya menjadi salah seorang pemain ragbi biasa. Tetapi jika kamu mampu berdisiplin, yakni sabar dengan benda yang kamu tidak suka, untuk mendapatkan apa yang kamu suka, serta menjadikan semua ilmu agama di sekolah ini sebagai sumber kekuatan dalaman kamu, Insya Allah 10 tahun daripada sekarang, ustaz akan bertemu dengan kamu bukan sebagai pemain ragbi biasa. Jika kamu tidak jadi pemain ragbi sekali pun, kamu tetap akan menjadi manusia yang luar biasa!” kesimpulan diskusi saya habiskan.


Anak muda itu termenung.


Saya memberi ruang kepada beliau untuk berfikir.


Hanya atlet yang sumber kekuatan dalamannya adalah sesuatu yang melangkaui alam yang lemah seperti lemah dan terbatasnya dia, akan mampu menjadi atlet yang terbaik.


Dia layak mendapat emas di Dunia.


Dia layak mendapat ‘Emas’ di Akhirat.


Sesiapa sahaja yang ‘layak masuk ke Syurga’, akan layak untuk mendapat segala yang terbaik di Dunia.


Itulah insan biasa yang luar biasa.


Ke mana sahaja dia pergi, Tuhan sentiasa keutaman tertingginya.


Biar dikelilingi simbol Illuminati di bawah terik mentari, atlet kita di Olimpik London yang membawa ALLAH dalam perjuangannya, sudah berjaya dan juara, sebelum emas menjadi kurnia.


Allahu Akbar!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

43000 Bandar Seri Putra


 






Facing the Giants: Atlet Biasa Yang Luar Biasa was first posted on July 30, 2012 at 1:33 pm.
2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 29, 2012 22:33
No comments have been added yet.