Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 74
August 31, 2012
Selamat Mencari Damai Diri
[image error]
“Arghh… tension! Tension!”, saya gelisah berbaring di atas katil.
Kadang-kadang rasa tertekan itu muncul tanpa sebab yang jelas. Tiba-tiba sahaja kepala rasa berserabut, dan disusuli dengan perasaan enggan bertemu dengan sesiapa, malah berkurung sahaja di dalam bilik mencari tenang diri.
Mujurlah tingkap bilik saya betul-betul mengadap makam Abdullah bin Rawahah. Melepaskan pandangan ke arah bangunan usang berkubah hijau itu, sedikit sebanyak mencetus damai. Redup dan rendang pohon pine dan kebun zaitun di halaman makam sahabat dan penyair kesayangan Nabi SAW itu, meredakan tekanan diri saya… buat seketika.
Medan ini medan yang susah dan payah,
Sesusah Medan Mu’tah di puncak sana,
Dan penghuninya juga harus gagah,
Segagah Kota Karak perakam sejarah.
Bait-bait nasyid karangan saya sendiri, diratib berulang-ulang kali di dalam kepala… mencari secebis damai.
[image error]
Kadang-kadang, gangguan perasaan itu datang tanpa sebab yang jelas. Tiba-tiba sahaja, gelisah dan terbawa-bawa hingga timbul rasa enggan bertemu dengan sesiapa, selesa berkurung di dalam bilik sahaja. Buku demi buku tentang Othmaniyyah saya buka. Radio dipasang dengan iringan Ilahiler dari Turki.
Koleksi foto lama dari lembaran sejarah Othmaniyyah saya belek. Merenung wajah-wajah yang dirakam pada foto itu. Kesemuanya sudah menjadi debu. Dari tanah mereka berasal, kepada tanah jua kembali kesemunya. Baik raja, mahu pun rakyat jelata.
Ada kalanya perasaan rungsing itu mampu terubat dengan khayalan saya melihat lembaran sejarah bersama iringan Yagmur oleh Mehmet Emin Ay. Saya suka ‘masuk’ ke lembaran sejarah kerana ada secebis damai di situ. Kehidupan di hari-hari itu, tidak cemar oleh kehancuran kelakuan manusia yang menjadi sebahagian daripada kerungsingan saya hari ini.
[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=Iv5B2d...]
Lembaran sejarah itu adalah sebahagian tempat saya ‘melarikan diri’ demi secebis damai.
Tetapi adakalanya iringan ilahiler yang sama menambah rasa seksa di jiwa. Terasa bagai ada satu kerinduan yang mendalam dan terluah sebagai suatu pemberontakan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin kerana ribut perasaan yang sering melanda ini menjadikan saya tidak mesra dengan persekitaran, selama mastautin saya di bumi Syuhada’ Mu’tah.
Sejarahnya hebat, tanahnya suci pernah tersimbah darah pejuang, nisan sahabat Nabi masih terpahat teguh di bawah rendang pohon zaitun kehijauan. Tetapi segala-galanya itulah yang menjadikan saya derita. Semakin jelas simbol-simbol kehebatan semalam Islam, semakin menebal kuman nifaq yang menyerap ke jiwa penghuni Islam hari ini. Saya sering jadi ‘separuh gila’ kerana terperangkap dalam dunia hari ini, sedangkan jiwa saya merintih menginginkan kehidupan semalam.
“Argh… lepaskan aku!”, saya menggenggam bendera hijau Othmaniyyah yang tergantung di hujung katil.
[image error]
Rakan-rakan yang berkunjung ke ‘Dunia Kecil Othmaniyyah’ saya
Saya bingkas bangun… mengambil sehelai kain pelekat dan sehelai dua persalinan dan terus meninggalkan rumah.
MELARIKAN DIRI
Padang pasir yang pernah menjadi saksi pengkhianatan bangsa Arab yang diperkudakan oleh Lawrence of Arabia, saya rentasi dengan perasaan bercampur aduk. Dari tingkap bas, saya merenung stesyen keretapi Qatranah yang dibina hasil titah Sultan Abdul Hamid II, menjadi sebahagian landasan penghubung Istanbul dan kota Nabi Madinah… semuanya nostalgia, manis seketika, tetapi sering menjadi pahit kepada jiwa dan perasaan saya.
[image error]
Stesyen Keretapi Qatranah
“Nak ke mana ni?”, saya termenung sendirian.
Selepas meneguk segelas air jus asam jawa pembasah tekak di hadapan Masjid Husein, saya pergi ke bank untuk mengeluarkan sedikit wang saku.
[image error]
Wast al-Balad di Amman… seribu kenangan
“Alhamdulillah… duit dah masuk”, saya menarik nafas lega.
Elaun yang dibayar 3 bulan sekali jarang sekali tiba tepat pada masanya. Namun pada kali ini, ia tiba tepat pada waktu yang sepatutnya. Seperti biasa, sebahagian wang tersebut saya simpankan untuk sewa rumah, bayaran bil dan lain-lain, sebahagian untuk buku, dan sebahagian lagi untuk ‘melarikan diri’.
“Hmm..!”, saya terfikirkan sesuatu.
Dalam keadaan jiwa yang tidak tenteram, satu-satunya cara yang boleh membantu saya kembali tenang, ialah ‘melarikan diri’ ke dunia saya yang tidak dikongsi dengan sesiapa. Saya ke Turki!
Tanpa lengah, saya menuju ke travel agent berhampiran dengan bank dan bertanyakan harga tiket ke Istanbul. Alhamdulillah musim sejuk sering memberikan harga tiket yang berpatutan. Dengan JD145, saya membayar harga tiket dan terus mengambil bas untuk ke lapangan terbang. Menunggu selama beberapa jam sebelum penerbangan Amman ke Istanbul tidaklah menjadi masalah. Saya sentiasa membawa sebuah dua buku di dalam beg, dan saat-saat menunggu sebeginilah saya gunakan untuk habis membacanya.
[image error]
Penerbangan 3 jam dari Amman ke Istanbul sungguh mendamaikan. Cuaca yang baik selalu memberi peluang kepada saya untuk melihat Masjid al-Aqsa dari atas serta Bandar Tel Aviv yang mengunjur di persisiran Mediterranean. Pelbagai perasaan muncul tetapi ia hilang seketika apabila gersang padang pasir beralih kepada hamparan biru Mediterranean yang sarat dengan pelbagai catatan suka duka sejarah manusia yang pernah melayarinya.
AROMA ISTANBUL
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk Istanbul, saya segera mengambil bas menuju ke Aksaray.
“Ahh… Alhamdulillah”, saya menarik nafas dalam-dalam.
Bau angin Istanbul yang bertiup antara masjid Othmaniyyah dan tembok Constantinople itu sudah meragut pergi sebahagian kerunsingan saya. Melihat menara Masjid Biru dari persisiran pantai Marmara sudah memadai untuk saya melupakan seketika segala keserabutan minda dan jiwa.
[image error]
Tiba di Aksaray, saya turun dan melangkah perlahan menuju ke stesyen tram.
“Nak telefon Fatihkah?”, saya berkira-kira.
“Tentu dia terkejut dan seronok kalau dia tahu aku datang ke Istanbul hari ini”, terus bermonolog sambil tangan menghulur beberapa juta lira untuk membayar tiket tram.
Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan hasrat menghubungi Fatih. Saya terus ke Sultanahmet dan menempah bilik di sebuah hotel murah. Dengan kadar kira-kira RM20 satu malam, saya sudah dapat sebuah bilik dengan katil bujang dan bilik air sendiri, berserta sarapan.
Bermusafir sendirian ke Istanbul adalah suatu kelaziman yang saya lakukan, terutamanya ketika kerungsingan saya memuncak. Sukar untuk saya gambarkan perasaan runsing yang saya maksudkan itu. Kadang-kadang ia saya gambarkan seperti diri ini terjatuh ke sebuah perigi… mulut perigi semakin jauh dan sayup di hujung sana, dan dasarnya tidak tercecah-cecah… saya terawang-awang.
Apakah saya tidak siuman ketika itu? Mungkin juga…
SENDIRIAN BERTEMANKAN DIA
Demi mencari kewarasan semula, saya membawa diri ke titik sejarah yang mendamaikan ini. Seawal subuh saya keluar dan solat berjemaah di Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru). Mendamaikan diri bersandar di dinding merenung kalam-kalam Allah yang indah menghiasi dinding dan bumbung masjid itu. Sesekali mata terlepas melihat tingkap besar yang mengadap Selat Bhosporus menanti terbit mentari untuk solat sunat sebelum keluar menyambut siang baru… sendirian di Istanbul.
[image error]
Tempat rahsia saya tidaklah terlalu tersembunyi. Saya berjalan kaki menyusuri lorong-lorong tua di belakang Aya Sofya. Sesekali pandangan terpaku membaca nama-nama di batu nesan pelbagai rupa, bersemadinya warga sejarah yang sudah berdebu dimamah perjalanan masa semalam.
Setibanya di Eminonu, saya menjamah ikan bakar yang diapit dengan roti… ikan segar yang dibakar kosong kemudian ditabur dengan sedikit garam dan air limau… sungguh menyegarkan. Bunyi camar laut yang terbang rendah menambahkan rasa tenteram. Sebagai upah mendamaikan jiwa ini, saya cubit secebis roti dan melambungkannya ke udara lalu disambut oleh si camar yang setia menanti.
[image error]
Feri yang membawa saya dari jeti Eminonu ke Uskudar berlayar perlahan. Perjalanan kira-kira 15 minit itu tidak pernah menjemukan, biar pun berpuluh kali saya berulang alik. Selagi tidak hujan, saya pasti akan memilih untuk duduk di luar feri, membiarkan wajah disapa angin sejuk kebasahan.
Uskudar sentiasa nostalgia. Lagu “Katibim” yang disadur masuk ke filem P. Ramlee terngiang-ngiang di telinga saya. Lagu klasik dari era Othmaniyyah itu menghimpunkan pelbagai memori di telinga siapa sahaja yang mendengarnya.
[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=nDp-3D...]
LOKASI RAHSIA
Dari Uskudar saya menunggu bas di hadapan pasar raya Yimpas untuk ke ‘lokasi rahsia’ saya. Tidaklah terlalu rahsia, tetapi sekadar tidak pernah berkongsi mengenainya dengan sesiapa.
Saya turun di kaki bukit Camlica dan berjalan kaki menuju ke puncaknya. Dari satu sudut yang rendang dan mengadap Selat Bosphorus, saya duduk di bangku yang sama.Bangku tempat saya melabuhkan diri mencari damai. Seluruh Istanbul dapat dilihat dengan jelas dan segala yang saya tahu tentang Istanbul melintasi fikiran.
“Abang, mahu beli simit?”, tiba-tiba saya disapa oleh seorang anak kecil yang memikul kotak kayu berisi simit, roti bijan yang kini popular di KLCC.
[image error]
“Ya, berikan saya satu”, saya tersenyum. Biar pun perut tidak lapar, tetapi membalas senyuman anak kecil itu yang gigih mencari rezeki membantu keluarganya, mencairkan perasaan saya.
“Yok! Simpan sahaja duit baki itu”, saya menolak wang baki.
“Terima kasih hocam”, beliau membalasnya dengan sopan.
“Sagol. Jaga diri baik-baik ya!”, saya menjerit kepadanya.
Beliau melambai dan mencari pelanggan seterusnya. Pandangan saya kembali merenung kapal-kapal yang lalu di sepanjang selat itu, dari Mediterranean ke Laut Hitam. Mungkin seperti pemandangan yang sama di mata Sultan Muhammad al-Fatih yang saban hari menggenggam azam “suatu hari, engkau pasti jatuh ke tanganku!” semasa merenung Constantinople dari daratan Asia yang dikuasainya.
[image error]
Renungan lepas dari kemuncak Camlica (www.vinagre.net)
Sehingga lewat petang, barulah saya pulang semula ke hotel. Beberapa akhbar tempatan saya beli kerana setiap muka surat akhbar di Turki seperti Zaman, Vakit dan lain-lain, berbaloi untuk dibaca.
MENCARI FATIH
Setelah pasti bahawa diri saya telah tenang dan kembali ceria, barulah saya memanjangkan langkah kembali ke Uskudar menuju ke Yeni Sahra.
“Selam Aleykum!”, saya memberi salam.
“Yok ya!!! Hasrizal datang laaa!”, Fatih menyambut saya dan kami berpelukan tanda ukhuwwah.
“Ini mesti pening kepala duduk Jordan, kan?”, Fatih bertanya semacam sudah tahu.
“Ya… boleh masakkan saya teh untuk bertenang di Istanbul?”, saya bergurau.
“Oh sudah tentu agabey. Mari-mari…!”, Fatih menarik tangan saya.
[image error]
Biar pun tiba mengejut tanpa diundang, Fatih tidak pernah menghampakan saya. Gelak ketawa kami tentang cerita terkini melegakan kerunsingan saya yang berpanjangan.
Selepas tiga hari bermastautin ‘sendirian’ di Istanbul, saya pulang ke bumi Syam dengan jiwa yang lebih damai, hasil upaya memisahkan diri dari kebiasaan dan persekitaran, yang sentiasa mengasak jiwa dengan fitnah hujung zaman.
PENGURUSAN EMOSI
Dulu, saya fikir saya sahaja yang tidak siuman kerana sering mengalami keadaan seperti ini. Tetapi selepas bersara dari dunia remaja dan mula beransur tua, saya tersedar yang ia suatu perkara biasa yang sering menimpa anak muda. Pergaulan saya bersama anak-anak muda di universiti, sering mendedahkan saya kepada cerita tentang depression mereka dalam pelbagai bentuk.
Ada yang kerana cinta.
Ada yang kerana pelajaran.
Ada yang kerana dakwah.
Malah ramai juga yang tidak pasti apa sebabnya… seperti saya.
Mungkin hormon belum seimbang dan gangguan emosi menjadi kebiasaan.
“Carilah satu dunia asing…untuk kamu keluar dari diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah… sama ada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah”, itu nasihat saya.
Carilah damai untuk diri sendiri.
Khususnya buat anak muda berjiwa dai, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi… hanya kamu dan Dia… tiada yang ketiga.
Selamat mencari damai dan tenteram jiwa, wahai anak muda.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
August 27, 2012
Alam Tercemar Kerana Iman Tercalar
[image error]
“Ini amaran pertama. Kami telah menemui dua keping plastik di dalam bungkusan sisa makanan dari tong sampah berwarna perang pada tarikh 25 Mac 2002″ jelas surat yang berada di tangan saya.
“What! Mereka ni periksa satu-satukah bungkusan sampah kita?” saya terkejut besar.
Isteri saya juga.
Saya mengakui kesilapan saya. Walaupun pengasingan sampah dibuat seteliti mungkin, tetapi ada masanya tersilap juga. Akan tetapi, apa yang mengejutkan saya ialah betapa tegas dan telitinya Galway City Council memastikan penduduknya mengasingkan sampah mereka sebagaimana yang diarahkan.
Saya kagum dengan Galway.
Galway merupakan bandar terawal di Ireland yang mengamalkan sepenuhnya sistem kitar semula sampah secara total. Setiap rumah dibekalkan dengan 3 tong sampah berwarna hijau, perang dan kelabu.
Tong hijau untuk barang-barang yang boleh dikitar semula dan kering, seperti surat khabar lama, kotak-kotak dan sebagainya. Manakala tong perang pula adalah untuk barang organik seperti lebihan makanan dan sebagainya, di mana kesemuanya mesti dibungkus di dalam kertas sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Manakala tong kelabu pula adalah untuk bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula.
Sistem ini telah benar-benar mengubah cara hidup saya sekeluarga. Bagi tetamu yang datang dari bandar lain, sering terpaksa saya ingatkan dan mereka juga terpaksa bertanya ke bahagian mana sampah patut dibuang.
“Ehh, tunggu kejap. Plastik tu masukkan dalam bekas ni. Tulang-tulang tu masukkan di sana” saya terpaksa mendisiplinkan tetamu luar yang datang ke rumah.
[image error]
Tetamu yang datang ke rumah saya di Upper Newcastle, mesti belajar mengasingkan sampah!
Malah semasa saya mula-mula berpindah ke Galway dari Belfast, kotak-kotak dan plastik pembungkus perabot dan barang-barang lain, semuanya saya masukkan kembali ke dalam van, dan terpaksa meminta jasa baik kawan agar sampah itu dibawa balik ke Belfast dan dibuang di sana.
Bukan apa, kepala saya pening untuk biasakan diri pada hari-hari pertama di Galway.
Tetapi saya tidak pernah berasa terbeban dengan peraturan ini, malah saya rasa perbuatan mengasing dan mengitar semulakan sampah, sangat selari dengan Iman saya sebagai Muslim.
Apabila saya rasa seperti mahu culas dengan secara tidak endah memasukkan sampah ke bekas yang salah, serta merta saya rasa tercalar Iman. Terasa Allah memerhati dan terasa betapa perbuatan saya itu merosakkan alam yang Allah beri kepada saya untuk diuruskan sebagai khalifah-Nya.
Kesan daripada disiplin itu, sampai sekarang saya tidak tergamak untuk membuang sampah merata-rata, walaupun hanya sekadar bungkusan gula-gula sebesar tapak tangan saya.
Setiap kali saya makan gula-gula, bungkusannya saya lipat dan masukkan ke dalam kocek, sehinggalah saya berjumpa dengan tong sampah.
Di rumah, apabila pakaian saya mahu dibasuh, poket-poket sering perlu diperiksa kerana bimbang ada bungkusan gula-gula atau apa-apa kertas yang saya simpan, dan ia tidaklah pula menyulitkan saya sekeluarga.
Pada saya, penjagaan alam sekitar adalah soal Iman dan peranan saya sebagai Khalifah. Saya bertanggungjawab memelihara alam sekitar kerana alam ini adalah amanah.
Allah telah menjadikan air sebagai sumber kehidupan, maka menjaga air dan sumbernya adalah sebahagian daripada agenda saya memperelokkan kehidupan manusia. Maka agenda menjaga sumber air, adalah agenda saya sebagai pendakwah dan pekerja Islam.
[image error]
Claddagh, keindahan kuala sungai di Galway yang mendamaikan
“Eleh, macam bagus aje. Tahulah kamu tu lama duduk di Eropah!” sindir rakan saya apabila saya menegurnya membuang tisu dari tingkap kereta.
Mungkin ia hanya isu kecil sekecil kertas tisu itu sendiri. Tetapi saya sendiri terasa begitu malu dilihat berada di dalam kereta berkenaan. Lazimnya saya akan mencabut ketayap dan menyimpannya kerana tidak mahu dikaitkan ketayap itu dengan perbuatan ‘jenayah’ membuang tisu dari tingkap kereta.
Timbul rasa kesal melihat rumah rakan-rakan yang aktif dengan dakwah tetapi gagal terhadap kebersihan. Saya tidak pasti bagaimana kita boleh bercakap tentang Islam dalam keadaan diri yang pengotor, atau menghalalkan kekotoran di dalam kehidupan.
Bukankah Allah sendiri telah menggabungkan kerja dakwah dengan imej yang bersih?
[image error]
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi” (Al-Muddaththir 74 : 1-5)
PENDAKWAH DAN KEBERSIHAN
Pakaian tidak bersih, adalah satu bab.
Tetapi rumah yang kotor, inilah yang paling mendukacitakan.
Bercakap berdentam dentum tentang Islam, tetapi amalan Islam sekecil menjaga kebersihan ini gagal diamalkan. Kita hilang keyakinan.
Teringat saya kepada satu pepatah kaum yang terkenal dengan sensitiviti mereka tentang kebersihan iaitu masyarakat Turki. Ada pepatah mereka yang menyebut ‘arslan yatağından bellidir’. Maksud peribahasa itu ialah, “singa itu diketahui hebat atau tidaknya ia, daripada rupa tempat tidurnya!”
Peribahasa ini sering disebut oleh emak-emak semasa menyuruh anak remajanya mengemas tempat tidur. Hebat atau tidaknya seseorang, diukur pada rupa tempat tidurnya.
Jika pejuang Islam, tidur di katil ladang pijat dan berbantalkan ‘peta Kepulauan Melayu’, saya rasa Iman jadi amat tercalar.
Inilah yang saya temui dari kehidupan saya selama bermastautin di bandar seperti Galway. Walaupun tiada suara Islam, tiada label Islam, tetapi banyak substance Islam itu menjadi sebahagian daripada kehidupan.
[image error]
Tanpa label Islam sekali pun, hidup masih disistemkan dengan kehendak Islam
Ketika negara Islam kita sibuk menswastakan air, di Ireland yang tiada Petroleum sebagai sumber negara itu, tiada bil air. Hanya sedikit jumlah yang dibayar sekali setahun untuk pengurusan. Penjagaan alam sekitar pula sangat dititik beratkan.
Malah ada bandar di Ireland yang tidak membenarkan lampu jalan dipasang dalam keadaan cahayanya terlepas ke atas. Fingal County Council menerima kenyataan bahawa cahaya yang terlalu silau dari lampu di bandar-bandar menyebabkan langit sukar dilihat. Akibatnya, keindahan bulan dan bintang tidak dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan ia dianggap sebagai merampas hak manusia untuk memanfaatkan langit yang membumbungi kehidupannya.
Kalau saya sebut istilah ‘pencemaran cahaya’ di Malaysia, mungkin ramai yang ketawa terguling-guling meremehkan ia.
Terlupa kepada perintah Allah untuk kita mengamati langit. Melihat bintang dan bulan, memikirkan kebesaran-Nya. Menjadi Ulul Albaab.
Sedangkan begitulah sekali prihatinnya orang Ireland kepada alam sekitar. Tanpa Islam sekali pun, alam sekitar mereka lebih kelihatan seperti ada Khalifah yang menjaganya.
Di mana umat Islam dalam sensitiviti mereka menjaga alam sekitar?
Dalam rindu saya kepada bau pohon tin, terkenang pula kebiasaan saya ternampak anak dara dengan begitu selamba mencampakkan plastik hitam berisi sampahnya dari tingkap rumah di tingkat 4 ke bawah! Ada kalanya plastik itu tersangkut di penyidai baju rumah kami di tingkat 2.
Saya sering ‘bertasbih’ memaki Arab kerana tabiat yang buruk dan keji ini.
Tetapi apabila balik ke Malaysia, sikap yang sama semacam bertambah buruk dari sehari ke sehari. Lihat sahaja setiap sungai dan longkang yang membelah KL. Kawasan yang jarang banjir seperti pekan Kajang juga boleh ditenggelami air dek pencemaran oleh sampah sarap yang memenuhi persekitaran.
PENDAKWAH DAN ISU ALAM SEKITAR
Mengeluh sahaja tiada manfaatnya. Saya yakin, perubahan ini mesti diusahakan bermula dari agenda pendakwah sendiri.
Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.
Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.
Tidakkah di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh Syariat. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?
Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan.
Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.
Pada saya, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan oleh badan swasta tanpa integriti hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi (sebagaimana yang diingatkan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam), maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.
Lebih kuat Iman, lebih kuatlah kita menjaga alam persekitaran.
DUNIA INI
(Lagu: Erwan Johari. Lirik: Hasrizal Abdul Jamil. Nyanyian: Erwan Johari. Persembahan: Usrah al-Firdaus Jordan. Album: Dunia Ini ,1996)
Dunia ini indah cantik dipandang
Rahmat Allah kepada hamba-Nya
Suria tersenyum riang, insan aman bahagia
Menikmati kasih sayang-Nya
Dunia ini insan hidup harmoni
Dengan keadilan Ilahi
Pemerintah bertaqwa rakyat taat setia
Menjunjung Islam yang mulia
Sayangnya itu cuma semalam
Manusia lupa pada Tuhannya
Pohon rebah ke bumi gunung runtuh berkecai
Rakusnya hawa nafsu mereka
Bumi merintih hiba
Tuhan semakin murka
Lantaran makhluk yang durhaka
Dunia ini selamatkan segera
Dari tangan insan durjana
Membina kesombongan lupa kemanusiaan
Bencana tak berkesudahan
Dunia ini kembalikan segera
Kepada sistem Penciptanya
Pemerintahan Islam rahmat untuk semua
Adil diberkati dan saksama
Malangnya jika kita semua
Lupa kepada janji Tuhan
Islam penyelesaian tiada dua dan tiga
Sejarah telah membuktikan
Bumi merintih rindu
Tuhan terus menunggu
Insan pulang ke pangkuan-Nya
Islam adalah Thaharah dan Nazafah.
Jika Nazafah yang fizikal tidak diendahkan, bagaimana dengan Thaharah yang maknawi?
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Versi 1: 16 April 2007
Alam Tercemar Kerana Iman Tercalar was first posted on August 28, 2012 at 5:21 am.
August 17, 2012
Selamat Hariraya Aidilfitri 1433: Salam Ukhuwwah
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Selamat Hariraya Aidilfitri 1433: Salam Ukhuwwah was first posted on August 18, 2012 at 8:39 am.
August 12, 2012
Pocketroketman: Menguji Teori KUASA CINTA di Trek Perlumbaan
[image error]
Kredit foto: Mrs. Pocketroketman
“Berani menyeberang di atas papan ini?” saya bertanya.
Semua peserta mengangguk.
Sekeping papan diletakkan di antara dua meja dengan ketinggian 1.5 meter daripada paras lantai.
“Kalau saya tinggikan pada kadar sebuah almari, katakanlah 3 meter?” saya bertanya lagi.
Peserta ketawa. Ramai yang masih mengangguk. Mungkin sekitar 50% masih punya keberanian.
“Bagaimana pula kalau saya letakkan papan yang sama ini di antara dua bangunan pada ketinggian lima tingkat, ada berani?” saya meneruskan soalan.
Peserta tersenyum simpul. Siapa yang berani? Kalau ada yang berani pun, mungkin seorang sahaja. Itu pun dia mahukan penjelasan, apa yang saya mahu tawarkan?
“Saya tiada nak tawar apa-apa. Sekadar nak beritahu, di tingkat lima itu emak kamu, ayah kamu, isteri kamu, anak-anak kamu dan kucing kesayangan kamu, sedang pengsan kerana asap. Tingkat 1, 2, 3 dan 4 terbakar. Satu-satunya cara untuk mengejut dan menyelamatkan mereka adalah dengan menyeberang papan ini. Sanggup?” saya mencabar.
Wajah mereka berubah sedikit.
Ramai yang berkata sanggup.
Teorilah.
Praktikal belum tentu.
Daripada mana kesanggupan itu datang? Jika tadi tidak sanggup, malah kalau sanggup pun mesti diberikan ganjaran, kenapa tiba-tiba sanggup?
KUASA CINTA
Itulah caranya saya buktikan KUASA CINTA!
Cinta adalah TENAGA. Ia mampu mencetuskan upaya melakukan sesuatu, yang tidak mampu dilakukan tanpa cinta.
“Lautan api sanggup kurenangi!” kata seorang boyfriend kepada ‘gelifriend’, berikrar setia.
Dengan cinta, burning desire terhasil. Kerana hebatnya anugerah Allah ini, saya tidak segan silu menulis banyak tentang cinta. Biarlah digelar Ustaz Cinta, atau Mat Bunga atau apa sahaja, cinta yang saya peduli bukan cinta lemau, tetapi cinta yang membakar untuk setiap kita melakukan perkara-perkara luar biasa dalam hidup ini.
CINTA DAN SUKAN
Kali pertama secara signifikan saya meneliti kuasa cinta dalam pemerkasaan atlet adalah inisiatif Vicente del Bosque González membawa pasukan bolasepak Sepanyol ke mercu Kejuaraan FIFA World Cup 2010. Beliau merangsang para pemain agar dibakar oleh kuasa cinta, memastikan para pemain merupakan individu yang gembira dan bahagia, satu usaha yang amat berbaloi di kemuncak perlawanan paling hebat di Eropah itu.
Demikian perihal Sepanyol.
Baru-baru ini, saya berpeluang menguji teori ini dalam satu bidang yang asing buat saya. Sedikit ruang kerjasama kasual antara saya dan atlet harapan kita, saudara Azizulhasni Awang di Temasya Olimpik London 2012, memberi ruang untuk saya meneliti aspek cetusan burning desire bersumberkan CINTA.
Saya belum berpeluang menelusi teknik-teknik pemerkasaan atlet (athlete empowering) yang digunakan oleh jurulatih Azizul, John Beasley (you’ve done a great job, sir!). Mudah-mudahan satu hari nanti saya berpeluang bertanyakan hal ini sama ada kepada Azizul atau kepada Beasley sendiri. Tetapi saya memerhatikan tindakan-tindakan proaktif yang Azizul lakukan untuk mencipta api yang membakar keupayaannya mencapai tahap tertinggi di dalam kerjaya lumba basikal beliau.
Selain daripada fokus dan disiplin, saya memerhatikan aspek CINTA.
Berkahwin pada usia muda, Azizul berazam untuk membuktikan bahawa cinta dan perkahwinan, tidak mengganggu kerjayanya malah mencetuskan semangat yang lebih hebat hasil daripadanya. Beristerikan seorang graduan arkitek, Athiah Ilyana bt Abd Samat semasa berusia hanya 22 tahun (berkahwin pada 30 Januari 2010 – sumber wikipedia), kerjaya Azizul melonjak naik seiringan dengan perubahan status dirinya.
Ia bukan sahaja menunjukkan upaya survival diri pasca perkahwinan, yang adakalanya menjadi masalah bagi pasangan yang berkahwin muda, malah ia bukan sekadar survival. Azizul memanfaatkannya hingga ke tahap maksima, kuasa kasih sayang dan CINTA pada mendorongnya untuk menjadi ROKET.
Apa yang lebih menarik perhatian saya, semasa Azizul berkayuh kencang di Veledrome Olimpik London, pengacara BBC mengulas bahawa Azizul berazam mahu membawa pulang pingat emas, sebagai hadiah untuk anak sulung mereka yang bakal lahir tidak lama lagi. Gambar ultrasound anak di dalam kandungan yang dipaparkan di blog beliau, mencipta imej tersendiri bahawa Azizul dilihat sebagai atlet yang bersifat ‘family man’ dan itu memberikan kredit kepada dirinya untuk berada di kelas tersendiri.
“… Im praying all night long to Allah S.W.T ..to get the GOLD MEDAL in the LONDON OLYMPIC 2012.
I want to prove to my kids ,once she/he sees the wold..She/He must be proud that her/his dad is the Gold Medalist in the London Olympic 2012.My effort is 200 % goes to my becoming baby and my wife .They are my strength to win the game.Indeed,Allah knows what is the best for us always.So,Malaysians pray for me in this most prestigious competition in the blessing Ramadhan.I feel honored to read all your comments and tweets .Thank you very much for those kind words to me. May Allah bless all of you. – Azizulhasni Awang, The Pocketroketman, August 1, 2012
;
CINTA PENYOKONG
Selain bakaran api CINTA daripada isteri dan anak, Azizul juga mengambil insiatif mewujudkan kelompok penyokong tegar beliau melalui Facebook dan Twitter.
Saya bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada jaringan itu.
Bakaran semangat positif, rasa hormat dan kebersamaan luar biasa penyokong Azizul sepanjang perjuangannya di Olimpik 2012 berkesudahan dalam bentuk yang cukup unik apabila ‘kekalahannya’ tidak langsung menimbulkan rasa terkilan para penyokong, malah semua menyambutnya dengan begitu positif, penuh keyakinan bahawa Azizul telah memberikan persembahan yang terbaiknya sepanjang kerjaya, dan para penyokong terus bersabar, gembira dan berminat untuk terus membantu mencapai kejuaraan yang seterusnya, sesuai dengan usia Azizul yang memberikan prospek tinggi buatnya di masa-masa hadapan.
Biar pun Azizul belum berhasil memperolehi kejuaraan yang disasarkannya, perjalanan luar biasa beliau menjadi fenomena yang penting untuk diteliti, khususnya daripada dimensi pembangunan insan.
Proses pemerkasaan berbekalkan KUASA CINTA.
Memang benar.
CINTA adalah fitrah, bukan fitnah.
CINTA dikurniakan oleh Allah, dengan tujuan dan maksud yang hebat.
Cinta berfungsi sebagai bahan bakar yang menyalakan api usaha.
Tidakkah yang paling mencintai kita untuk berjuang ke Syurga, adalah Murabbi Cinta yang agung, Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam?
ATLET dan CINTA, formula penting menuju puncak JUARA.
Skills win medals, Attitude wins hearts!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Pocketroketman: Menguji Teori KUASA CINTA di Trek Perlumbaan was first posted on August 13, 2012 at 1:09 pm.
Ramadan Sirna: Apa Yang Tambah Apa Yang Kurang
Sahabat,
Ramadan sudah hampir berlalu.
Hanya tinggal beberapa hari dan malam yang berbaki.
Tidak gementarkah hatimu, melepaskan Ramadan pergi?
Sudah terampunkah dosa-dosa yang menggunung tinggi?
Sahabat,
Kalau benar Ramadan sudah berhasil engkau hayati,
Baranmu sudah berkurang, berganti dengan tolak ansur dan memaafkan.
Cacianmu sudah berkurang, berganti dengan pujian dan memberi penghargaan.
Jual belimu sudah berkurang, berganti dengan jimat cermat serta hemah dalam perbelanjaan.
Tidurmu sudah berkurang, berganti dengan Qiyam, munajat dan rintihan memanggil keampunan.
Berat badanmu sudah berkurang, berganti dengan disiplin pemakanan tanda Taqwa mengalir ke pelusuk badan.
Musuhmu sudah berkurang, berganti dengan rakan kerana kejahatan berjaya kaubalas dengan kebaikan dan kemuliaan.
Nafsumu sudah berkurang, berganti rasa ringan tubuh untuk menyahut jemputan-jemputan Tuhan.
Laghamu sudah berkurang, berganti dengan tilawah al-Quran dan zikir khasiat kerohanian.
Kerut dahimu sudah berkurang, berganti senyuman tanda imanmu menimbulkan kedamaian.
Rungut keluhmu sudah berkurang, berganti doa dan cadangan tanda dirimu semakin bersungguh mencari penyelesaian.
Angan-anganmu sudah berkurang, berganti dengan AMAL pada setiap saat sementara pelita hidupmu belum dihembus kematian.
Segala yang buruk makin berkurang,
Segala yang baik semakin bertambah lagi berkembang.
Tandanya Ramadan telah berhasil engkau bangunkan.
Pohonlah istiqamah, untuk bekalan hari-hari mendatang.
Salam kasih sayang, daripadaku sahabatmu yang merancang perhimpunan… di Syurga Abadi, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Ramadan Sirna: Apa Yang Tambah Apa Yang Kurang was first posted on August 13, 2012 at 9:50 am.
August 11, 2012
Istiqamah Dalam ‘Positive Reinforcement’ Kerana Allah
[image error]
“Ya Allah, Tuhan yang mengurniakan anak-anak yang sihat sempurna kepadaku, jadikanlah mereka itu anak-anak yang soleh”
Itu doa yang saya ulang berkali-kali.
Saya tidak mahu sebarang kejayaan saya di dalam hidup, tidak beriringan dengan kejayaan saya mendidik anak-anak”
Semoga Allah memandang doa saya dan menunaikan hajat saya ini.
Pulang ke rumah dari iktikaf di masjid, saya berasa amat mengantuk. Cuba mengambil sedikit masa untuk tidur, menggantikan malam yang menawarkan langit terbuka yang sukar dibiarkan berlalu hanya dengan tidur.
Anak-anak menjerit.
Bergaduh.
Ada yang tarik rambut.
Ada yang koyakkan buku.
Ada yang enggan mandi.
Semua buat semak di empat penjuru rumah.
Tersirap darah saya melayan kerenah mereka dalam keadaan yang amat mengantuk ini. Kenapa kalian berperangai begini?
Tiba-tiba saya terkenangkan doa malam tadi. Doa oleh seorang bapa, yang meminta dengan sepenuh hati kepada Allah, mengharapkan Lailatul Qadar meluaskan lagi ruang untuk permintaan yang satu ini dimaqbulkan Allah. Tetapi pagi ini, doa itu disambut dengan sebaliknya. Anak-anak berperangai yang bukan-bukan.
Saya menangis.
CARA KERJA ALLAH
Sepanjang Ramadan ini, saya berkempen melalui SEMUA siri tazkirah dan ceramah, bahawa ada satu janji Allah yang amat besar, yang sudah lama kita abaikan. Allah berjanji di dalam Surah Fussilat 41: 34
[image error]
KISAH DA’THUR BIN HARITH
Baginda sallallaahu alayhi wa sallam sedang berehat. Da’thur bin Harith menghampiri Baginda, segera merampas pedangnya dan menghunus pedang itu ke leher Baginda.
“Siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” gertak Da’thur.
“Allah!” Baginda menjawab.
Jawapan ringkas itu meluruhkan semangat Da’thur. Pedang di tangannya jatuh.
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengambil pedang tersebut dan menghunusnya ke tengkuk Da’thur.
“Siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” tegas Baginda.
Da’thur pasrah. Habislah dirinya! Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memaafkan dan melepaskan Da’thur.
Beliau kebingungan. ‘Manusia jenis apa’kah Muhammad itu?
Membalas cubaan bunuh dengan sebuah kemaafan?
Da’thur terpukul. Dia kembali kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersama La Ilaha Illallaah.
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tumpaskan Da’thur bin Harith dengan kaedah yang sama.
Membalas negatif dengan sesuatu yang positif sungguh hebat. Hingga musuh ketat boleh berubah menjadi akrab.
SELURUH ASPEK KEHIDUPAN
Saya sarankan perkara yang sama apabila kita berpolitik.
Saya juga lakukan perkara yang sama semasa mengendalikan kursus motivasi dengan ‘murid-murid bermasalah’. Membalas kejahatan dengan kebaikan itu menjinakkan, menundukkan, melekuk dan mengubah bentuk, dengan izin-Nya.
Namun mampukah saya lakukan perkara yang sama kepada anak-anak saya sendiri?
Video ini menjelaskan dengan baik, bagaimana saya mesti terus yakin bahawa menumpaskan penjahat dan kejahatan dengan kebaikan, mampu mengubah!
Saya berdoa di malam hari meminta Allah mengurniakan saya anak-anak yang soleh.
Saya diberikan oleh Allah anak-anak yang mengamuk dan buat perangai di pagi hari.
Allah menjawab doa saya, bahawa “anak kamu menjadi anak yang soleh, apabila kamu menjadi bapa yang soleh!”
Bimbinglah kami ya Allah…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Istiqamah Dalam ‘Positive Reinforcement’ Kerana Allah was first posted on August 12, 2012 at 12:57 pm.
August 9, 2012
The Synergy Is
[image error]
Knowledge is an asset.
But one can turned into liability.
What determines, is how knowledge being utilised.
Looking for more and more areas of demand, I have the content but demands determine products.
What athletes need? What hospital needs? What media people need? What families need? What non Muslims need?
I cant wait them asking since many would not even know what to ask.
It is me the one who should start, taking the first move, with specific reasons, but lasting benefits…
DREAM COMES TRUE
Alhamdulillah, yesterday was my ‘dreams comes true’ moment. I was blessed with the opportunity to meet my hero, Azizulhasni Awang. Not just him, but the rest of his kindhearted family members.
I wish him a good rest of the day. He looked exhausted, not only from the laps in London, but the entire great Journey he made.
Welcome home.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
The Synergy Is was first posted on August 10, 2012 at 8:35 am.
August 8, 2012
Pocketroketman: Benchmark Tertinggi Terus Didaki
“Saya tidak kisah dengan kata-kata orang. Saya sudah biasa kena ‘kutuk’” itu antara kata-kata awalnya.
Sifat penting seorang pejuang yang saya tahu semasa di awal komunikasi dengan Azizulhasni Awang, adalah keengganan dirinya untuk dipengaruhi oleh kata-kata sekeliling yang tidak membina.
Untuk itu, apa jua bentuk deskripsi media arus perdana seperti RTM yang menyebutnya sebagai “harapan palsu negara musnah”, atau TV3 yang menekankan beliau mendapat tempat TERAKHIR sebagai gantian kepada tempat ke-6, saya yakin ia tidak penting buat Azizul. Pejuang mesti tegar mempertahankan apa yang dirinya percaya tentang dirinya sendiri. Sedikit sahaja hick-up Olimpik 2012 di London, Azizul boleh melangkah kembali untuk fokus kepada Glasgow 2014 serta Incheon 2014, Insya Allah.
Sebagai sahabat, saya cuba memahami apa yang berlaku semasa peringkat akhir Keirin berlangsung tempoh hari.
Usaha memahami ini bukanlah sekadar untuk memberikan saranan membina buat Azizul, malah turut menjadi kerangka buat atlet lain yang mahu berdiri di pentas terbaik dunia, seperti beliau.
PELUMBA LUAR BIASA YANG BIASA
Sir Chris Hoy memang hebat.
Sesuai dengan pengalaman dan usianya. Pecutan dan tekniknya sungguh menimbulkan rasa teruja, biar pun untuk seorang ‘peminat baru’ seperti saya.
Sama seperti pelumba basikal luar biasa yang lain, juara seperti Chris Hoy mahu memanfaatkan kemenangan mereka untuk mengharumkan nama negara, peribadi dan lain-lain mengikut sistem nilai yang dipegang di dalam diri.
PELUMBA LUAR BIASA YANG BUKAN BIASA-BIASA
Tetapi Pocketroketman mahu kemenangannya, di samping mengangkat nama Malaysia, ia juga ke arah meninggikan agama Allah yang tinggi dan mulia itu. Azizul membawa lebih daripada sekadar nama sebuah negara. Dia membawa identiti dirinya yang diberikan oleh Penciptanya sendiri. Dia hamba Allah yang Muslim, mengayuh kerana Allah dengan kekuatan Islam.
Ia syiar tertinggi. Dan ketinggian itu meletakkan standard yang tinggi.
Jika kayuhan Azizul tidak sempurna dan dikritik pakar-pakar lumba basikal, tetapi dia menang, tentulah kemenangannya nanti menjadi fitnah kalau mahu dinisbahkan kepada agama.
Jika mengayuh basikal dengan nama Allah, maka tidak boleh ada cacat cela. Tidak boleh ada yang tidak sempurna. Ketika agama diangkat, yang tidak merujuk agama pun tidak mempertikaikan kemenangannya kerana kemenangan yang mutlaq itu.
“Ihsan itu seperti kamu melihat Allah, atau sekurang-kurangnya kamu berasa yang Allah melihat kamu! Stadium dan seluruh mata memerhati, tetapi hanya perhatian Allah yang kamu peduli! Di stadium itu hanya ada kamu dan Dia!” antara yang sempat dipesan.
Konsep Ihsan menuntut kita melakukan kerja secara yang terbaik. Benchmark Allah adalah hanya yang terbaik. Sempurna!
Sebab itu, Allah mudah beri kemenangan kepada pelumba ‘duniawi’, tetapi Allah ‘berkira’ untuk memberi kemenangan kepada pelumba yang berlumba dengan nama-Nya.
KEMENANGAN TERTANGGUH
Sahabatku yang dikasihi, Azizulhasni Awang, sebagaimana kekalahan di Manchester tempoh hari adalah kemenangan yang tertangguh, demikian jugalah kekalahan Olimpik kali ini adalah penangguhan oleh Allah untuk Azizul lebih menyempurnakan Syariatullah dan Sunnatullah dalam perjuangan.
Jati diri yang bulat kepada-Nya, bersama kualiti skill dan pengetahuan tertinggi, serta pengalaman yang mematangkan diri… ingatlah Constantople akhirnya berjaya berada di tangan al-Fatih pada tahun 1453 selepas lebih sepuluh usaha selama 800 tahun. Setiap kegagalan sebelumnya bukan kegagalan. Ia batu-bata yang membina kemenangan besar perubah sejarah dunia.
Di dalam sukan tidak boleh ada istilah kegagalan kerana menghimpun kegagalan membunuh jiwa yang berjuang. Hakikatnya setiap kekalahan adalah kemenangan yang tertangguh.
Andai ia dipelajari dan diatasi.
Dan oleh kerana itu visi dan misi Azizul, juaralah dirimu walau di atas atau di bawah kamu dikeputusankan.
Allah bersamamu, sahabat!
Selamat kembali ke tanah air!
Kami sokong Pocketroketman untuk perjalanan kemenanganmu yang seterusnya, seperti semalam, seperti biasa!
Biasa yang luar biasa.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Pocketroketman: Benchmark Tertinggi Terus Didaki was first posted on August 9, 2012 at 4:57 am.
August 7, 2012
Kayuhan Memenangi Medal, Semangat Juang Memenangi Hati
[image error]
Saya memang tak tahu nak cerita macam mana, mengapa saya sangat bersemangat menyokong Azizulhasni Awang.
Dalam komunikasi ringkas kami kelmarin juga, jelas dalam sokong menyokong kami, ia bukan berkenaan Azizul, tetapi mengenai perjuangan yang dibawanya.
Untuk diri sendiri, sudah 22 tahun saya diproses di dalam sistem Tarbiyah. Sehingga ke nafas hari ini dan hampir setiap hari, apa yang saya fikir ialah Islam, dakwah dan keluarga. Itulah yang sering menjadi sisi pandang saya. Menilai dan meneliti.
Saya sentiasa memakai cermin mata dakwah, terhadap sebarang aktiviti dan bidang yang disertai.
Apabila saya membuat program, duduk bersama, bergelumang dengan entah berapa ribu murid sekolah dan anak muda, siapakah yang boleh memahami betapa luka, kecewa, geram, benci dan dendamnya hati saya melihat ‘kerosakan dalaman anak-anak kita.
Saya benci melihat kelesuan mereka, tiada keyakinan diri, ‘bengap’, ‘tak reti’ bahasa, biadab yang semua ciri generasi lemah itu terjadi, bukan salah mereka, tetapi mereka dimangsakan oleh sistem di negara kita yang bagi saya lebih kejam dari Syria. Kekejaman kasar al-Assad menyebabkan ramai syahid masuk Syurga. ‘Kesopanan’ sistem kita, menyebabkan ramai seperti macam nak masuk Neraka.
Halus tetapi mendalam!
Sebab itu apabila saya menoleh kepada segelintir artis, juga ahli sukan, saya terperasan bahawa manusia hebat ramai di situ. Kelompok yang selama ini tidak diberi perhatian, malah bahan umpatan orang-orang agama macam saya.
Dan Azizulhasni bagi saya adalah seperti satu daripada 100 unta yang Rasulullah SAW sebut sebagai yang layak ditunggang jauh. Muncul hanya sekali sekala dalam hidup ini, kualiti sepertinya.
Mengenalinya baru sebentar, mengenali guru-gurunya, saya yang sudah menyelami pemikiran dan perasaan ribuan remaja, tidak susah hendak tahu, beliau bukan sebarangan. Saya berdoa dan memberi sokongan Azizul untuk beliau menggapai emas, sebab kalau dia dapat emas, dia boleh buat 1000 benda yang saya tidak mampu buat. Tetapi Azizulhasni berusia 24 tahun, pelumba basikal termuda di trek semalam. Dia masih mempunyai beberapa peluang lagi, namun segala usahanya untuk berada di mana beliau berada semalam, itulah EMAS yang paling saya hargai berkenaan seorang anak muda bernama Mohd Azizulhasni Awang.
Semoga anak-anak saya juga boleh mencontohi Azizul, sebab kalau nak contoh bapa sendiri, saya tahu kelemahan saya untuk dicontohi oleh anak-anak saya sendiri.
Semoga Allah memakbulkan harapan yang amat besar ini. Demi umat, demi anak bangsa, demi keluarga saya, dan seluruh manusia yang sedang saya rancangkan untuk kita semua berolimpik di Syurga Sana, ameen.
Sukan bukan sepak bola kayuh basikal baling guli.
Sukan adalah medan menguji aqidah, pandangan hidup, sistem nilai dan seluruh kemanusiaan.
Di dalam sukan, kekalahan tidak boleh diambil sebagai kekalahan. Jika ia dibaca sebagai kekalahan maka kita sepertinya mengumpul racun yang menyulitkan lagi kemenangan. Sebagaimana Constantinople mengambil masa 800 tahun untuk sukses ditawan pada 1453, semua usaha sebelumnya bukan kegagalan, tetapi batu-bata yang menjadi tangga menggapai kejayaan besar yang divisi misikan di hadapan sana.
Azizulhasni, teruskan perjuanganmu.
Bukan basikal semata.
Bukan emas sahaja.
Tetapi emasnya kualiti yang ada pada perjuanganmu.
Skills win medals, attitude wins heart!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Kayuhan Memenangi Medal, Semangat Juang Memenangi Hati was first posted on August 8, 2012 at 9:34 am.
Pocketroketman: Puji Allah Dalam Semua Berita dan Cerita
[image error]
Ini adalah sebahagian Tweet saya semasa acara Keirin berlangsung sebentar tadi. Alhamdulillah satu pengalaman yang cukup membangkitkan Iman dan rasa bangga menjadi Muslim.
Azizulhasni Awang tetap emas di mata kami semua. Hail to our hero!
“If you want to play a game, you must have the fire of wanting to win but also the balance to see that if you lose, it is okay with you. You never play a game to lose, you always play a game to win, but if you lose, it is all right with you. If you maintain this fundamental with every aspect of life, you are a sport. And that is all the world expects from you, that you are a sport. Wherever you are, whatever you are doing, whatever kind of situation you are in, you are still a sport” – Sadhguru
Tiada doa yang tidak diperkenankan Allah. Sungguh indah melakar jalan mencari jawapan kpd semua doa tadi. Beristiqamahlah kita mentaati-Nya
Jgn berkalau-kalau di dlm bahasa Iman. Kita nantikan @AzizulAWANG pulang dgn penuh kebanggaan Insha Allah. Anak muridnya ini sungguh menanti
“Maka apabila engkau telah selesai, maka bersungguh2lah berusaha (mengerjakan amal soleh yg lain)” (94:7), @AzizulAWANG for RIO2016!!!
@HumairaRaslie We love @AzizulAWANG because we love ISLAM. Alhamdulillah. It’s Islam that bring us together into this big one FAMILY
Apabila hajat tidak tertunai, nazar sunat dilakukan seperti yang dinazarkan. Ingatkan saya untuk berpuasa tiga hari pada menghargai IMAN
@abwayman @AzizulAWANG Saya buat apa yang saya yakin Allah mahu saya buat. Segala puji kembali kpd-Nya. Minggu ini sungguh tarbiah buat saya
@hafizan_hamid seorang sahabat, amat menghormati sahabatnya. Saya sangat menghormati Support Pocketroketman AzizulAwang for Gold Medal at London Olympic 2012
Kejayaan bukan destinasi. Kejayaan adalah perjalanan. Sungguh emas perjalanan @AzizulAWANG dan kami menumpang kebaikannya, Alhamdulillah!
@tyailyana @tunfalyq7 @saifulislam dan kami semua, sangat bangga dengan @AzizulAWANG, keluarlah kita dari sempit dunia ke lapang alam-Nya
Ya Allah, pujuk hati hamba-Mu yang baik bernama @AzizulAWANG itu dengan zikrullah. Dia menang dengan cara-Mu, tidak dengan kelemahan kami
Olimpik belum menjadi bahagian @AzizulAWANG tetapi sesuatu yang amat besar sudah dicetuskannya di tanahair. Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah, menghadirkan insan yg sangat kuat berusaha bernama @AzizulAWANG. Ganjari semua usahanya dgn Hasanah Dunia n Akhirat
Tidak mengapa. Alhamdulillah, puji Allah semasa menang, puji Allah semasa sebaliknya. Sentiasa yang baik itu adalah daripada-Nya, ameen
Bismillah…. hamba-Mu @AzizulAWANG bersedia di gelanggang. Tawakkalna ‘alaLlaah… Alhamdulillah ala kulli haal wa fi kulli haal
Ya Allah, di sisi-Mu sudah jelas pemenangnya. Kami pohon kemenangan kecil ini utk jelaskan kpd dunia ttg kebesaran-Mu. Bantu @AzizulAWANG
Ya Allah, ampunkan diriku andai dalam perkenalan singkatku dgn hamba-Mu bernama @AzizulAWANG , aku terkhilaf pada mentaati-Mu ya Allah
Ya Allah, Rahmati guru-guru @AzizulAWANG di Sek Kebangsaan Batu 48, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar dan Sekolah Sukan Bukit Jalil
Ya Allah, Rahmatilah @tyailyana isteri @AzizulAWANG , jadikan beliau isteri solehah dan ibu mukminah kpd cahaya mata yg menanti Wira, ameen!
Ya Allah, rahmati ibu bapa @AzizulAWANG dan ampunkan dosa-dosa mereka, pelihara mereka dalam Rahmat-Mu, Ameen
Ya Allah, kuaminkan setiap RT sahabatk terhadap Tweetku untuk @AzizulAWANG kerana mereka hamba yg soleh, bersaudara kerana mengasihi-Mu!
Allahumma, doa kami bukan ikhtiar terakhir. Doa kami adalah ikhtiar terbesar kerana tiada penunai hajat kecuali-Mu. Bantulah Support POCKETROKETMAN AZIZULAWANG at London Olympic 2012 – Schedule for Azizulhasni Awang (MALAYSIA) events
Ya Allah, jadikan kemenangan @AzizulAWANG peyakin rakyat Malaysiaku, bahawa tiada kekuatan kecuali dengan-Mu, tiada kemegahan kecuali dgn-Mu
Ya Allah, yang lain menang, sorak mereka kosong daripada nama-Mu. @AzizulAWANG maka penuhlah Tasbih, Takbir dan Tahlil memuji-Mu serata alam
Taqarrubku kepada-Mu, nazarku puasa jika emas 3 hari, perak 2 hari, gangsa 1 hari, pada membersih dosaku dan memuliakan wajah-Mu
“Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Diri-Ku, sesungguhnya Aku Maha Dekat, Menjawab seruan para penyeru jika menyeru (Al-Baqarah 2: 186)
Ya Allah, Tuhan Pembelah si Laut Merah laluan Musa, lapangkan perjalanan hamba-Mu @AzizulAWANG , ameen
Ya Allah, @AzizulAWANG mahukan kemenangan untuk membesarkan-Mu, berikan peluang kepadanya dan kami, wahai Tuhan Penjawab doa
Wahai Tuhan Penerang Madinah. Wahai Tuhan Penghantar Ababil. Wahai Tuhan di BADAR, Wahai Tuhan di Uhud dan Khandaq. Kami hamba-Mu ya Allah
Ya Allah, ingatkan @AzizulAWANG agar memuji-Mu semasa di depan, semasa di belakang. Memuji tanpa syarat, kerana segalanya Baik drpd sisi-Mu
Hamba-Mu bernama @AzizulAWANG mengayuh dengan baik ya Allah. Bantulah dia untuk mengambil kekuatan Ramadan dan 10 malam terakhir ini, ameen
Tiada lagi kebesaran makhluk. Hanya kebesaran Allah. Tiada lagi kepentingan makhluk. Hanya kepentingan Allah. Fana’lah makhluk, Baqa’ Khaliq
Oh Penurun Kitab, Penggerak Awan, Pemusnah Ahzab, Yang Pantas Hisab, Bismillah, tawakkalna ‘alayk. Ya Rabb @AzizulAWANG, abdan min ibaadik
Ya Allah, ubahlah semua mata bahawa yg terserlah nanti adalah Taqdir-Mu mengatasi tadbir kami. Engkau Maha Besar, di Mekah juga di London
Ya Allah, nampakkan kpd Mulder, Volikakis dan Hoy, bahawahebatnya @pocketroketman adalah pada imannya kpd-Mu. Wahai Tuhan Penggerak Awan!
Ya Allah, masanya makin hampir. Kami lepaskan @AzizulAWANG drpd diri kpd-Mu. Di trek itu hanya antara dia dan Engkau. Kami hamba-Mu yg redha
@tyailyana on the other hand, only Allah knows how grateful I am to know @pocketroketman. I learn many new important things from the ‘Abbi’
Maafkan kami andai kami terlalu meminta-minta padaMu ya Allah, sdgkan amal kami sgt sedikit. Allah yg Maha Baik, santuni kami dgn Rahmat-Mu
Ya Allah, perkara ‘itu’ yg kusebut tadi, andai Kau terima di sisi-Mu sbg amal soleh, maqbulkan scr yg terbaik hajat kami ini @AzizulAWANG
Ya Allah, jadikan hajat kami utk @AzizulAWANG ini asbab kami lebih berusaha bertaubat kepada-Mu, krn hanya doa org soleh yg Engkau pandang
Ya Allah, jadikan kemenangan ini asbab yg menjadikan @AzizulAWANG hamba-Mu, suami, bapa n anak yg lebih soleh, dan menjadi contoh utk kami
Ya Mu’iz Ya Mudzill, aku bertawassul dgn nama-Mu yg Maha Baik, agar Kau tunaikan hajat kami utk memuliakan agama-Mu, ameen @pocketroketman
Pocketroketmania deserved a book for me to write. Regardless of the result, @AzizulAWANG is a ‘subject’ to be studied. May Allah bless you
Tkasih kpd semua ‘followers’ saya yg turut RT dan support @pocketroketman @AzizulAWANG kita. Kalian orang soleh, pasti Allah dengar doa itu!
Ya Allah, keyakinanku akan kebersamaan-Mu bersama @AzizulAWANG. Mlm ini lebih kritikal. Kami doa, kami tawasul amal soleh n asmaul husna-Mu
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra
Pocketroketman: Puji Allah Dalam Semua Berita dan Cerita was first posted on August 8, 2012 at 2:12 am.