Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 72
October 24, 2012
Aidiladha: Kisah Cinta Terhangat Lagi Tertinggi
Ibrahim ‘alayhi al-Salaam menginginkan seorang anak.
Keinginan yang pasti luar biasa, kerana menginginkannya pada usia diri dan isteri yang sudah lanjut umur, dan memintanya ketika mana baginda adalah KHALIL Allah.
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan (KHALIL)Nya. [Al-Nisaa' 4:125]
Khalil bukan kekasih biasa. Khalil adalah kekasih yang berkasih dengan kasih yang sangat istimewa. Ia bukan HUBB atau MAHABBAH, ia adalah KHULLAH. Cinta eksklusif yang tidak dikongsi.
Seperti junjungan mulia kita Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam. Baginda juga adalah KHALIL Allah.
ولو كنت متخذا من أهل الأرض خليلا لاتخذت أبا بكر خليلا ، ولكن صاحبكم خليل الرحمن
“Seandainya aku ingin mengambil penduduk bumi ini sebagai kekasihku, nescaya aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku (khalil), akan tetamu sahabatmu ini (yakni diriku) adalah kekasih Allah yang Rahman (Khalil al-Rahman)” [Hadith riwayat Muslim]
Seorang Khalil tidak berkongsi KHULLAH (cinta tertinggi) dengan sesiapa. Justeru kehadiran Ismail alayhi al-Salaam sebagai anak yang diminta dan dihajat, kasih Ibrahim kepada anak ini mengundang ujian. Apakah kasih Ibrahim kepada Ismail, telah menjejaskan kasihnya kepada Allah?
Justeru datang perintah menyembelih.
Perintah yang menguji sistem nilai, keutamaan dan pengorbanan.
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]
IBRAH
Kisah Ibrahim sinonim dengan pengorbanan.
Namun sebelum pengorbanan, ujiannya adalah pada keutamaan.
Melafazkan kesaksian Laa Ilaaha Illallaah bererti meletakkan Allah sebagai keutamaan tertinggi kehidupan. Di dalam bahasa cinta, ia disebut sebagai KHALIL dan KHULLAH. Kedudukan istimewa berkaitan hubungan Ibrahim dengan Allah, demikian juga Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Ibrahim sangat mencintai Ismail. Cinta yang tinggi, cinta yang mendalam.
Tetapi tekad Ibrahim melaksanakan perintah Allah untuk cintanya dikorban, membuktikan Ibrahim telah dan terus mencintai Allah, mengatasi segala-galanya, hatta Ismail, si anak, buah hati pengarang jiwa. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Ibrahim kepada ALLAH itulah, yang menjadikan kasih Ibrahim kepada Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.
KISAH CINTA TERTINGGI
Simbol cinta tinggi bukan antara kekasih dengan kekasih, jauh sekali antara Laila dan Majnun atau Uda dan Diri. Cinta tertinggi adalah cinta seorang bapa kepada anak, kerana cintanya berhubung dengan tanggungjawab, amanah, keutamaan, pengorbanan, jauh daripada sekadar naluri emosi dan keinginan.
Dan segalanya, selepas cinta kepada Allah kekal tertinggi, tiada kompromi.
Kisah Ibrahim dan Ibadah Korban menginsafkan kita tentang keutamaan hidup ini. Mengungkapkan kesaksian bahawa “AKU BERIMAN DENGAN ALLAH” malah “AKU MENCINTAI ALLAH” bukan kesaksian sebarangan.
Andai Allah keutamaan tertinggi hidup ini, apakah ada yang lebih penting daripada apa yang Allah pentingkan? Apakah ada kerunsingan pada memikirkan perkara yang tiada dalam kepentingan-Nya?
Iman membuahkan cinta.
Cinta membentuk nilai dan keutamaan.
Keutamaan menentukan pengorbanan.
Dalam sebuah hidup bernama PERJUANGAN.
Salam Aidiladha!
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1231) Pelawat
October 23, 2012
Dakwah ‘Hati Kering’!
Saya kehairanan semasa membaca buku al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah oleh tokoh yang sedang saya kaji, Sheikh Mehmed Birgivi (1522-1573M).
Sheikh Mehmed Birgivi datang daripada latar belakang keluarga, pendidikan serta persekitaran Tasawwuf.
Malah pada hari ini, ada beberapa kumpulan Tarekat seperti Tarekat Bayramiyah, yang menyatakan bahawa asas disiplin kumpulan mereka adalah pada legasi Sheikh Mehmed Birgivi. Keturunannya yang masih bergiat dalam pendidikan hari ini iaitu Sheikh Muhammad Amin Siraj di Masjid Fatih, Istanbul, juga adalah seorang tokoh dalam Tasawwuf semasa.
Sedangkan, membaca buku Sheikh Mehmed Birgivi tidak langsung menampakkan kepada saya bahawa beliau seorang Sufi. Di dalam kajian sejarah dan ketamadunan, Sheikh Mehmed Birgivi dianggap ideologue kepada Mehmed Kadizade yang mengasaskan gerakan Kadizadeli, iaitu sebuah gerakan Islah dan Tajdid yang berpendekatan agresif dalam membanteras bid’ah dan khurafat di dalam masyarakat.
Jika hidup di Malaysia, tahun 2012, tidak keterlaluan jika saya katakan, mungkin Sheikh Mehmed Birgivi dilabel sebagai Wahabi, Salafi atau Kaum Muda!
Semalam semasa menghantar sahabat saya, Dr Maszlee Malik pulang ke rumahnya usai Wacana Sinar Harian di Karangkraf, Shah Alam, saya timbulkan persoalan ini.
Ustaz Maszlee menegaskan bahawa, pattern yang sama boleh ditemui pada tokoh-tokoh Islah dan Tajdid yang lain seperti Sheikh Waliyullah al-Dihlawi, Osman dan Fodio, malah Hasan al-Banna. Di dalam disiplin gerak kerja Ikhwan sendiri ada elemen yang memandu kita untuk faham tentang pengaruh Tasawwuf dalam gerakan Islah dan Tajdid ini, seperti konsep Bai’ah, pemimpin yang Mursyid, amalan zikir al-Mathurat dan sebagainya.
Bagaimana Tasawwuf, Tarekat, Sufi berkembang kepada kemudiannya menjadi idea pembaharuan yang kemudiannya sinonim pula dengan apa yang bertentangan dengan Tasawwuf itu sendiri?
Hingga tanpa menjawab persoalan ini, kelompok Tarekat semasa melihat gerakan Islah dan Tajdid sebagai Wahabi dan musuh mereka. Manakala gerakan Salafi pula melihat Islah dan Tajdid sebagai Sufi dan musuh mereka.
Gejala ‘The Otherness’!
MENCARI MAKNA
Satu yang saya pasti, orang Tasawwuf tiada yang literalis. Orientasi Tasawwuf mereka mendalami makna, lebih daripada semantik, mereka mencari sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ia menjadikan seorang Sufi lebih halus dalam mencerakinkan apa yang berlaku di sekitarnya, bersistesis ke dalam dan tidak berenang di permukaan.
Dengan pertemuan orientasi itu bersama pemikiran Rasional, terhasil idea pembaharuan! Islah dan Tajdid.
Kesimpulan yang kembali ke era seawal al-Ghazzali sendiri.
MENGAWAL PEMBAWAAN
Ustaz Maszlee pula berpendapat, orientasi Tasawwuf itu pulalah yang menjadikan idea-idea pembaharuan diterjemahkan secara yang mesra dengan masyarakat, tidak agresif dan radikal.
Mehmed Birgivi itu Islah dan Tajdidnya mesra, mendidik penuh ta’dib. Tetapi anak muridnya Mehmed Kadizade menjadi radikal.
Hal yang sama juga antara Jamaluddin al-Afghani diikuti Muhammad Abduh, kemudian Rashid Ridha, dan seterusnya Hasan al-Banna, diikuti dengan Sayyid Qutb. Antara Tasawwuf, Rasional dan Radikal, hari ini kelompok Ansar al-Sunnah atau umumnya dilabel sebagai Salafi atau Wahabi (susahnya bermain istilah), menjadi literalis dan agresif kerana tiada orientasi Tasawwuf.
Perbualan kami terhenti setakat itu.
Apa yang saya fikirkan dalam perjalanan pulang pula ialah, tanpa Zikir Munajat, wirid ramai-ramai lepas solat, nasyid al-Asma’ al-Husna, Nasyid Taubat dan semua yang ‘tidak Salafi’ itu, bagaimanakah pendidikan kerohanian yang dilakukan oleh ikhwah Ansar al-Sunnah dalam mendidik anak-anak serta murid-murid mereka?
Saya tidak memaksudkan itulah Tasawwuf. Tetapi ia cara mudah untuk menjelaskannya dalam konteks kita di akar umbi Malaysia.
Tanpa Tasawwuf, idea Islah dan Tajdid menjadi literalis, agresif…
Malah radikal!
Saya kembali ke naskhah al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah .
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1268) Pelawat
October 22, 2012
Sunnah Meminta Pendapat Anak
“Kalau Abi tanya sikit, boleh?” saya memecah sepi di dalam kereta.
“Tanyalah” jawab Saiful Islam.
“Apa tentang Abi yang paling Yop suka?” saya menyoal.
“Hmm…” anak sulung saya mengeluh perlahan.
Lama beliau berfikir.
Sambil memandu, saya memandang di ekor mata memerhatikan gelagatnya.
“Sabar! Yop rasa Abi seorang yang sabar” jawabnya.
“Kenapa agaknya Yop kata Abi sabar?” saya menyoal lagi.
“Bukan senang jadi bapa. Anak-anak buat perangai macam-macam. Tapi Abi sabar” terang beliau.
“Sesekali Abi marah juga. Yop pun pernah kena rotan juga, kan?” saya mahukan kepastian.
“Sesekali tak apalah. Biasalah tu” jawabnya.
Jawapan yang Saiful Islam berikan itu mencetuskan rasa lega sedikit buat diri saya. Sekurang-kurangnya dia faham mujahadah yang saya alami setiap hari untuk berusaha menjadi bapa yang baik. Adakalanya, kita seperti itik yang berenang. Nampak tenang dan damai di permukaan air, sedangkan kaki terkapai-kapai berkayuh di balik pandangan.
“Apa tentang Abi yang paling Yop tak suka?” saya bertanya soalan bahagian kedua.
“Hmm… hmm… hmm…” beliau mengusap-ngusap dagunya gaya berfikir.
“Apabila Abi tanya, maknanya Abi nak dengar jawapan Yop. Abi tak kisah dan tak marah apa-apa pun jawapan yang Yop bagi” saya cuba meyakinkannya.
“Sibuk!” jawab beliau. Sepatah.
Kereta petang itu meluncur di lebuhraya. Saya hening dalam menyambut jawab balas si anak.
“Rasa-rasanya Yop tahu tak kenapa Abi sibuk?” saya bertanya lagi.
“Tahu. Sebab Abi ustaz. Abi kena berdakwah” jawab beliau lagi.
“Selain kena berdakwah, Abi juga kena kerja cari pendapatan. Keperluan kita pun macam-macam, kan?” saya menambah.
“Memanglah. Sekarang ni semua benda mahal. Nak pakai duit” ujar beliau.
Kami hanya berdua di dalam kereta. Naurah tidak bersekolah hari itu. Jika tidak, saya juga mahukan maklum balas si anak dara yang seorang itu.
“Banyaknya Abi tanya. Penat Yop nak fikir jawapan!” kata Saiful Islam.
Memang penat. Mungkin lebih penat daripada saya. Kelasnya bermula jam 8, berakhir jam 5. Sudah seperti orang bekerja pejabat.
“Ok, soalan terakhir. Abi nak kurangkan ceramah dan kerja, Abi cuba. Tetapi apa penyelesaian yang Yop boleh fikirkan?” saya meminta pendapatnya.
“Hmm… bagi Yop ikut Abi pergi mana-mana ceramah yang Abi rasa Yop boleh ikut” cadangnya.
“Ok! Insha Allah! Tapi jangan tertidur pula! Ceramah Abi kadang-kadang membosankan” saya bergurau sambil menyetujui cadangan.
“Yop suka dengar ceramah Abi. Tapi kadang-kadang Yop dah dengar ceramah tu. Yop pun tak tahu kenapa Yop ketawa” tambah beliau.
Tol sudah dibayar, kereta kami sudah masuk ke Bandar Seri Putra. Saya berpuas hati dengan perbualan kami petang itu. Perbualan yang mengingatkan saya kepada sunnah yang diajar oleh Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dalam komunikasi baginda bersama anaknya Ismail ’alayhi al-Salaam:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]
Biar pun perintah menyembelih itu adalah perintah Allah yang pasti ditunai, Ibrahim melakukan sesuatu yang masih penting dalam mendidik Ismail secara efektif.
Ibrahim meminta pendapat anaknya.
Tidak mudah untuk sunnah yang satu ini dilaksanakan.
Tidak biasa.
Tidak punya masa.
Namun ia perlu.
Dan apabila ia diwartakan sebagai keperluan, mahu tidak mahu, kita tiada pilihan beralasan melainkan terus berusaha agar ia dapat dilaksanakan. Tidak biasa kena dibiasakan. Tiada masa, perlu dicari masa.
Demi anak-anak kesayangan.
Demi Tuhan!
TUJUH BUAH FIKIRAN:
Faktor kualiti masa jauh lebih penting berbanding kuantiti masa
Kualiti masa boleh dihasilkan dengan meningkatkan kualiti komunikasi
Meminta pendapat anak berkenaan kualiti kita sebagai ibu bapa adalah sunnah dan salah satu bentuk komunikasi berkualiti
Untuk menjayakannya, langkah pertama adalah pada membina kepercayaan antara kita dengan anak-anak bahawa kita ikhlas bertanya dan tidak meletakkan syarat pada jawapan
Pertanyaan hendaklah diungkai kepada pertanyaan-pertanyaan yang kecil, satu persatu dan tidak bersifat konsepsual yang sukar anak fahami
Berikan peluang untuk anak memikirkan solusi
Ucapkan terima kasih sebagai penghargaan kepada kesudian anak bekerjasama memberikan maklum balas tersebut
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2020) Pelawat
Kebijaksanaan Karya Al-Asma’ Al-Husna Asmawi (Mawi AF)
Selepas dua bulan mendapatkan album Al-Asma’ Al-Husna oleh Asmawi (Mawi AF) ini melalui iTunes, saya masih mengekalkannya sebagai album terbaik untuk tahun ini.
Tidak keterlaluan saya katakan, penghasilan album ini sangat bernilai tinggi pada bakat dan kebijaksanaan memilih Al-Asma’ Al-Husna sebagai satu-satunya lirik dalam kesemua trek. Hanya dengan Al-Asma’ Al-Husna, 10 lagu disampaikan dengan halus, tenang, sejuk, mendamaikan, bersama susun atur muzik yang cemerlang.
Ia memberi nafas baru di luar kotak untuk pengolahan berbeza Al-Asma’ Al-Husna yang belum pernah saya temui di mana-mana, setakat ini. Saya berhasrat untuk menghadiahkan album ini kepada rakan-rakan di Turki sebagai sebuah album Islami yang universal, boleh dinikmati tanpa batasan bahasa dan budaya, dengan kualiti yang membanggakan. Di sebuah negara yang amat kaya dengan sentuhan Ilahiler seperti karya Muhammad Emin Ay dan Mustafa Demirci, album Al-Asma’ Al-Husna oleh Asmawi (Mawi AF), gembira untuk saya perkenalkan ia sebagai contoh kebijaksanaan karyawan Islami di Malaysia.
Semoga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran atas usaha murni ini dan mengukuhkan perjalanan Mawi dalam ‘pilihan’ yang lebih baik ini, ameen.
Syabas Mawi!
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (380) Pelawat
October 21, 2012
Pengkhianatan Ilmu di Meja Ceramah
“Penceramah berceramah sesuka hati. Tidak berhati-hati dengan kesan percakapannya!” keluh Prof di dalam kelas.
Saya termenung.
Banyak kebenarannya.
Saya sendiri sedang ada dua kaki, sebelah di dalam gelanggang akademik, sebelah lagi di gelanggang ceramah. Gelanggang yang sering menjadi sasaran kritikan para ahli akademik di universiti.
Mungkin sikap kita yang kurang menghormati kebenaran, hingga kita cuai dalam meneliti butir percakapan.
Prof Wan Kamal menegur sikap penceramah yang mengungkapkan makna Jahiliah pra perutusan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Wa’d al-Banaat (menanam mati anak perempuan), sejauh manakah ia menguasai imej zaman Jahiliah itu? Banyakkah? Hingga jadi fenomena massa. Demikian juga soal kejahilan masyarakat Arab Jahiliah, tidak berilmu, tidak bertamadun, yang kesemuanya bercanggah dengan apa yang dipaparkan oleh perincian sejarah.
Saya menginsafi nasihat Prof.
Dalam usaha keras saya untuk tidak terjebak dalam gejala tersebut, sekali sekala saya terbabas juga. Kemalangan orang banyak bercakap.
ISU JUAL BELI TANAH PALESTIN
Teringat saya kepada satu contoh yang diberikan oleh Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab di dalam bukunya Fi Usul Tarikh al-Arab al-Islami (1993) berkenaan hal ini. Ia berkaitan dengan kedudukan bumi Arab di Palestin.
Sheikh Shurrab menjelaskan isu tanah di Palestin mempunyai dua krisis, satu yang lama, kedua yang baru. Ada pun yang lama, adalah dakwaan Zionis bahawa Arab yang menduduki bumi Palestin hari ini adalah keturunan Arab yang ‘menawan’ Palestin dalam al-Fath al-Islami di era Umar al-Khattab. Tujuannya adalah untuk membuktikan bahawa Arab tidak berhak ke atas tanah Palestin kerana sebelum al-Fath al-Islami, kaum Yahudi sudah menduduki tanah itu sebagai penduduk asal.
Manakala krisis baru pula, merujuk kepada propaganda yang disebarkan oleh Zionis sendiri pada tahun 1948 bahawa orang Arab di Palestin telah menjual tanah mereka kepada Yahudi dan sudah pun mendapat bayaran mereka. Tujuannya adalah untuk menyelitkan unsur mengaku salah kerana menceroboh di peringkat awal, tetapi kemudiannya sudah membeli tanah Palestin secara sah dan kerelaan. Ertinya orang Arab di Palestin itu berhijrah bukan daripada tanah milik mereka lagi sebagai MANGSA, kerana pertukaran hak milik sudah berlaku secara sah dan kerelaan hati.
Fitnah di sebalik dakwaan ini adalah untuk menimbulkan permusuhan sesama orang Palestin dan di kalangan Palestin di kaca mata Arab dan Muslim lain, bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah hasil kesilapan dan kecuaian mereka sendiri. Mengaibkan saudara sendiri!
Saya bermuhasabah.
Saya juga pernah memetik kisah ini.
Tentang jualan limau yang merosot. Penduduk Palestin kerugian. Mereka menjual tanah, mengabaikan larangan alim ulama. Dan bermulalah segala bencana di bumi Isra’ itu. Allah Allah!
Ia dramatik. Sedap didengar. Namun sejauh mana kebenarannya?
Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab menjelaskan kaedah disiplin Sejarah dalam melakukan sintesis ke atas isu yang tersebar luas ini. Saya fokuskan kepada krisis kedua.
KAEDAH EMPIRIKAL
Beliau menegaskan bahawa propaganda ini disuntik masuk oleh perisik Zionis dan tersebar melalui lisan kaum bijak pandai dan ahli fikir Arab sendiri, yang termakan racunnya. Dakwaan ini perlu dibuktikan secara empirikal dan rujukan adalah kepada dokumen-dokumen rasmi berkaitan urusan jual beli tanah Palestin yang wujud untuk dikaji.
Hasilnya:
Jumlah keluasan tanah Palestin adalah sekitar 27 juta ekar
Jumlah tanah yang dimiliki oleh Yahudi hingga ke era Mandat British adalah 1,588,365 ekar iaitu sekitar 6.5% daripada jumlah keseluruhan Palestin
Jumlah tanah yang berpindah milik daripada orang Palestin kepada Yahudi tidak mencecah kadar suku juta ekar iaitu 1/8 daripada apa yang berjaya diperolehi oleh Yahudi
Adapun 7/8 bahagian berbaki yang berjaya dimiliki oleh Yahudi, ia terhasil melalui tiga sumber iaitu pemerintah Turki, Kerajaan Mandat British serta peniaga hartanah asing yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah atau kekeluargaan dengan penduduk Palestin. Kebanyakan mereka adalah golongan aristokrat Syria dan Lebanon.
Tanah-tanah lain yang jatuh ke tangan Zionis adalah rentetan pertumpahan darah antara penduduk Palestin, yang tidak sama sekali dengan sewenang-wenangnya membiarkan tanah air yang mulia itu dijual secara mudah.
KEINSAFAN
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujuraat 49: 6]
Hal ini menginsafkan saya betapa rendahnya amanah ilmu semasa kita yang begitu mudah menerima atau menolak, tanpa memikirkan risiko ‘gebang’ kita dalam ceramah.
Penceramah berceramah dengan sesedap bicara, tanpa meneliti kesahihan fakta, yang bukan hanya penting pada apa yang mahu disabitkan kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, tetapi terhadap apa sahaja yang namanya KEBENARAN!
Itu FAKTA!
Justeru itu, saya bertekad untuk kembali ke kerusi pengajian. Mahu kembali memurnikan diri agar masyarakat tidak dimangsakan oleh keenakan bicara tentang agama yang semakin laku di sana sini. Saya cuba untuk tidak bersikap terlalu pesimis. Namun sikap saya mesti bersandarkan usaha.
Doakan saya.
Ampunkan saya ya Allah.
Maafkan saya duhai umat semua.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1138) Pelawat
October 20, 2012
Pakar Motivasi di Dalam Rumah Sendiri
“Siapa yang baru balik daripada kem motivasi lain?” saya bertanya.
Seorang pelajar mengangkat tangan.
Mukanya masam mencuka.
“Khair. Jangan sedih ya. Dalam kem ini, kamu akan berehat daripada keletihan kem sebelumnya, Insha Allah” saya memujuk.
“Siapa yang selepas kem ini, akan pergi ke kem lain pula?” saya menyambung pertanyaan.
Pelajar yang sama mengangkat tangan!
“Haha!” saya ‘terketawa’.
Menumpang simpati.
Maknanya pelajar ini ibu bapanya menghantar anak mereka untuk dibesarkan di hutan sepanjang cuti persekolahan. Antara drama yang saya temui dalam kem cuti sekolah yang pernah kami adakan.
Cuti persekolahan tahun ini berbeza sedikit daripada sebelumnya.
Saya tidak menganjurkan Kem Hijrah Remaja Islam (HIJRI) seperti tahun-tahun sebelumnya. Program tahun yang sinonim dengan Synergy Training & Consulting ((STC). Saya amat sukakan program ini biar pun proses menyiapkannya amat memeningkan kepala. Setiap kali bertemu anak remaja, banyak yang saya belajar daripada mereka, tentang mereka dan kehidupan semasa.
Saya perlu memberikan sepenuh komitmen kepada pengajian di UKM. Sebagai universiti penyelidikan, semester ini sahaja saya menerima 10 tugasan penghasilan makalah antara 20 ke40 mukasurat yang mesti ditulis dalam standard penyiaran makalah jurnal. Tiga daripadanya perlu dibentangkan di dalam seminar dalam dan luar.
Tambahan pula pada bulan Disember ini, Insha Allah saya akan ke Republic of Ireland untuk program PUISI 2012 di Glendalough selama dua minggu.
Synergy Training & Consulting ((STC) juga tinggal saya seorang. Seorang rakan berhijrah ke United Kingdom dan seorang lagi menyambung pengajian, juga di UKM. Saya kembali ke ‘asal’, tinggal seorang.
ALTERNATIF YANG HAKIKATNYA ASAL
Namun apa kata cuti persekolahan ini kita buat sesuatu yang berbeza?
Ibu bapa boleh merancang daripada sekarang untuk bercuti bersama anak-anak, secara bersistem, berpengisian dan bermodul. Hakikatnya, ibu bapa adalah pakar motivasi terbaik untuk anak masing-masing, asalkan mereka TAHU dan lebih pentingnya, MAHU melakukan ia. Soal MAMPU, tiada PhD yang boleh mengatasi upaya seorang ibu dan seorang bapa.
Pergilah bercuti ke kem paling baik, paling selamat, paling berfasiliti, mengikut standard masing-masing. Hanya ibu bapa perlu menginsafi, agar tugas menggembirakan anak-anak tidak diserahkan kepada taman tema, permainan berkomputer dan kemudahan-kemudahan lain. Sebaliknya mereka menguji diri mereka sendiri, sejauh manakah mereka boleh terus berperanan sebagai sumber kebahagiaan dan kebaikan anak-anak. Bukan sumber tekanan, kebosanan dan masalah mereka.
Pakar-pakar motivasi boleh memakmurkan November dengan kempen dan kursus kemahiran berkomunikasi untuk ibu bapa, menyuntik kreativiti buat mereka, serta menimbulkan kemahuan untuk melakukannya.
Jika ibu bapa meYahudikan anak yang asalnya fitrah…
Jika ibu bapa meNasranikan anak yang asalnya fitrah…
Jika ibu bapa meMajusiikan anak yang asalnya fitrah…
Ibu bapa itu jugalah pakar paling berpengaruh meMUSLIMkan anak yang sedia fitrah itu…
Sungguh!
HASRIZAL
43000 BSPArtikel Ini Telah Dibaca Oleh (3) Pelawat
October 18, 2012
Pemuda Berjuang Tidak Akan Bersendirian
Gua disinar mentari.
Cahayanya tidak kena secara langsung ke tubuh anak-anak muda itu.
Mereka duduk di tengah gua.
Manusia yang menjengah, melihat mereka berjaga, mata seperti terbuka.
Sedangkan mereka lena.
Tidur bagai berhibernasi.
Tubuhnya dibolak balik kadang-kadang ke kanan, kadang-kadang ke kiri.
Terhindar daripada cedera luka oleh graviti.
Si anjing tidur bertimpuh di pintu gua, seperti semuanya sangat biasa, yang luar biasa.
Sesiapa sahaja yang terlihatkan anak-anak muda itu akan melarikan diri ketakutan.
Hati pemerhati dicampak gerun yang menjauhkan diri.
Itulah deskripsi al-Quran tentang Ashaab al-Kahf. Anak muda yang beralah bukan mengalah, mengasingkan diri dalam rahmat Allah, kurniaan yang membawa mereka daripada kesempitan dunia kepada keluasan gua!
Semua kejadian alam yang biasa-biasa itu, hakikatnya adalah tentera Allah! Bantuan Allah pada melindungi sekumpulan anak muda yang teguh mempertahankan Tauhid. Perlindungan yang tidak hadir berbentuk baju besi atau menjanik dan pedang. Sesuatu yang hadir kelihatan biasa, namun hakikatnya melindungi Ashaab al-Kahf daripada mudarat dan musibah selama 300 tahun tambah 9!
Sesiapa sahaja yang memilih Tauhid menjauhi Syirik…
Sesiapa sahaja yang memilih Keadilan menjauhi Kezaliman…
Sesiapa sahaja yang memilih Kebaikan menjauhi Kejahatan…
Tuhan tidak akan membiarkan mereka terkontang-kanting sendirian.
Seluruh alam akan dibawa oleh-Nya menyokong pilihan.
Kerana ia sebuah perjuangan.
Sebuah kemuliaan.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (522) Pelawat
October 17, 2012
Iqra’: Permulaan Sebuah Perjalanan
Hari ini apabila kita menguasai satu topik, kita sudah digelar pakar. Tatkala meneliti bibliobiografi alim ulamak dulu, terasa betapa kerdilnya kita hari ini, yang miskin segala-galanya, tetapi bercita-cita mahu bergandingan tangan dengan mereka menuju Syurga.
Malas dan jahil, menjauhkan Radhiyatan Mardhiyyah.
Iqra’ menjadi ayat pertama pada memperbaharui Kerasulan yakni mengembalikan manusia kepada kehidupan berTuhan. Membaca dengan nama Tuhan yang Mencipta, adalah asas besar dalam erti kita menjadi Muslim.
Belilah buku, kumpul, baca, fahami, ajak ahli keluarga dan anak-anak berkongsi kemahuan membaca. Umat yang membaca, berilmu, faham dan beriman, terpelihara daripada penyesatan syaitan Jin dan Manusia.
Membaca, jangan hanya banyak membaca, tetapi membanyakkan juga jenis bahan bacaan.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (336) Pelawat
October 16, 2012
Berkomunikasi Dengan Hati
Di zaman sains dan teknologi ini, pelbagai alat canggih dicipta untuk tujuan komunikasi.
Telefon pintar.
Keupayaan internet yang tinggi.
Pengangkutan yang pantas dan efisyen.
Segalanya demi manusia berhubung dengan lebih efektif, mudah-mudahan produktif.
Namun rumahtangga masih berantakan, politik dalaman organisasi di pejabat dan persatuan tidak berkesudahan, salah faham antara bangsa dan negara menumpahkan darah, semacam manusia itu tidak faham antara satu sama lain. Seperti tidak berkomunikasi.
Di era sahabat, berlaku konflik yang kritikal pasca pembunuhan Uthman bin Affan, antara Ali dan Muawiyah radhiyallahu ‘anhum. Ali di Mekah, Muawiyah di Syam, sisi pandang antara satu sama lain tentang keutamaan dalam tindakan, sukar ditemukan kerana logistik yang begitu menjarakkan.
Tetapi krisis yang boleh meruntuhkan kuasa itu berhasil diamankan di era Muawiyah radhiyallahu ‘anhu apabila diskusi, faham memahami, bertolak ansur dan mengutamakan apa yang utama, berjaya dicapai.
Hasil komunikasi.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Kepakaran-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujuraat 49: 13]
Justeru benarlah, alat komunikasi paling canggih bukan telefon pintar atau internet 4G.
Alat komunikasi paling tinggi adalah HATI.
Menjadikan komunikasi bukan subjek teknikal, tetapi sains kemanusiaan.
Memahami tabiat manusia dalam berinteraksi.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1185) Pelawat
Di Musim Segalanya Statik dan Menjemukan
Berat badan saya menjadi statik semenjak sebulan. Saya tahu puncanya. Motivasi yang merosot menyebabkan saya tidak sempat memasak sendiri. Saya makan di luar dan akibatnya, trace of sugar and carb tidak terjaga. Ia menbantutkan peranan HCG.
Keletihan menguruskan akademik dan kerja menyebabkan saya tidak tidur dengan baik, mengganggu mood waktu siang dan menculas workout.
Terima kasih atas nasihat Dr. Mahathir semalam. Walaupun doktor menasihati apa yang telah pernah diberitahu, kali ini saya ingat semula kepada firman Allah:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat buat orang-orang yang beriman” [Al-Dzaariyaat 51: 55]
Hari ini saya memasak sendiri semula…
Saya bakar ikan kod yang mahal itu, sesekali… sebagai motivasi kepada diri yang keletihan. Dan seperti biasa, shiratake menjadi teman setia.
HASRIZAL
43000 BSP