Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 69
December 11, 2012
Penghargaan dan Doaku Buat Sheikh Solah al-Khalidi
Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh al-Quran kelahiran Palestin 1947
Bagi sahabat yang sering mengikuti kuliah pengajian saya, khususnya Siri Ibrah Daripada al-Quran, penyampaian saya sangat banyak mengambil manfaat daripada huraian-huraian yang disampaikan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, hafizahullah.
Saya, bukanlah anak murid yang Sheikh Solah kenali. Malah untuk menganggap diri ini sebagai anak murid pun tidak layak.
Sepanjang saya menuntut ilmu di Jordan, saya hanya berpeluang hadir bertalaqqi ke majlis-majlis pengajian beliau sebanyak beberapa kali. Tidak cukup untuk dinamakan sebagai talaqqi.
Saya hanya menadah daripada Sheikh melalui kuliah Subuh harian beliau di Masjid Abd al-Rahman bin Auf, Sweileh, Amman ketika mana saya berada di Amman pada hujung minggu. Saya belajar di Mu’tah, kira-kira 200km ke selatan Amman.
Juga siri Khutbah Jumaat beliau di masjid yang sama, berselang seli dengan mashaikh yang lain.
JASA DR MAZA
Mungkin sahabat yang paling berjasa memperkenalkan saya kepada Sheikh Solah adalah Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin. Pertemuan pertama saya dengan Sheikh Solah juga adalah bersama Ustaz Asri. Antara yang beliau pesankan kepada saya dan rakan-rakan usai pengajiannya dan pulang ke tanah air, ialah agar kami terus mengaji dengan Sheikh Solah dan menjaga hubungan dengannya.
Walau bagaimanapun, ketika itu kami tidak dapat banyak menghadiri kuliah Sheikh Solah kerana Jordan sedang bergolak dengan bantahan besar-besaran rakyatnya terhadap Perjanjian Damai Jordan – Zionis di Palestin. Sheikh Solah tidak begitu menggalakkan kami ‘rapat’ dengannya demi keselamatan kami sendiri.
Selain khutbah-khutbah dan tazkirah beliau yang banyak menyentuh perkembangan semasa di seberang (Palestin), Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi juga mencelikkan hati dan pemikiran kami dengan pelbagai persoalan hidup melalui suluhan al-Quran, yang seperti saya tidak pernah tahu atau nampak. Sheikh Solah menekuni elemen-elemen halus (latha’if) al-Quran hingga menyebabkan kami bukan sahaja berasa kenyang memahami al-Quran dengan al-Quran dan al-Sunnah, malah tiada langsung rasa berhajat untuk menjenguk Israiliyyat atau apa-apa riwayat yang tidak berasal usul, walau sepopular mana pun ia.
Misalnya, Dzulqarnain sendiri, sudah sangat cukup untuk dikenali melalui Surah al-Kahf dan beberapa hadith sahih berkaitan, tanpa perlu berkusut masai dalam rimba perbahasan yang jauh daripada apa yang al-Quran kehendaki kita mengetahuinya tentang Dzulqarnain!
MEMUDAHKAN PENYAMPAIAN
Sesungguhnya saya amat terkesan dengan metodologi Sheikh Solah dalam memahami ayat-ayat al-Quran. Selain komitmen tegas dan jernih beliau untuk hanya berpegang kepada hadith yang sahih dalam menafsir al-Quran, kepakaran Sheikh Solah adalah pada memudahkan teks yang rumit kepada huraian yang difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang tidak mendalam penguasaan bahasa arabnya.
Sheikh Solah tidak menggunakan perkataan yang bersastera, mungkin sedikit berbeza daripada karya-karya Sheikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah yang memerlukan kepada upaya bahasa yang lebih tinggi untuk memahami kitabnya.
Antara proses memudahkan penyampaian yang paling besar disumbangkan oleh Sheikh Solah adalah saringan riwayat-riwayat sahih berkenaan Sirah al-Khulafa’ al-Rashidin di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Ia diolah semula dalam bahasa yang mudah di dalam bukunya al-Khulafa’ al-Rashidun Bayna al-Istikhlaaf wa al-Istisyhaad (Al-Khulafa’ al-Rashidun Daripada Perlantikan Sebagai Khalifah Sehingga Syahid).
Tidak dilupakan ringkasan Tafsir al-Tabari yang beliau usahakan, yang mana hanya riwayat sahih terpilih sahaja dipetik dan terhimpun di dalam 6 jilid berbanding Tafsir Tabari yang hampir sedepa besarnya!
SHEIKH SOLAH DAN SAYYID QUTB
Sheikh Solah tidak pernah bertemu dengan Sayyid Qutb.
Beliau mula mengenali Sayyid Qutb melalui buku karya asy-Syahid, Mashahid al-Qiyaamah fi al-Quran semasa Sheikh Solah di bangku sekolah. Seperti saya mengenali Sayyid Qutb melalui bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan, semasa di Tingkatan 1. Di situlah Sheikh Solah mula menekuni pemikiran Sayyid Qutb, namun ketentuan Allah, Sheikh Solah menyambung pengajian di Universiti al-Azhar Mesir pada tahun 1965 sejurus selepas Sayyid Qutb mati syahid di tali gantung pada tahun yang sama, di Bumi Kinanah itu.
Sesungguhnya Sheikh Solah banyak membantu saya memahami intipati pemikiran Sayyid Qutb, terutamanya di dalam tafsir beliau, Fee Dhilal al-Quran.
Bermanhaj Salaf, berpegang teguh dengan al-Quran, al-Sunnah yang sahih dan tafsiran Salaf, namun sangat menguasai pemikiran Sayyid Qutb hingga Muhammad Qutb sendiri lebih selesa mencadangkan sesiapa yang ingin mengetahui apa-apa tentang abangnya, bertemu dengan Sheikh Solah di Amman!
Saya sering membaca Tafsir fee Dhilal al-Quran dan karya-karya Sayyid Qutb kesan galakan langsung dan tidak langsung yang diterima daripada Sheikh Solah. Kemudiannya, melalui pengajian Sains Sosial di UIAM, saya menambah sisi penghargaan saya kepada pemikiran Sayyid Qutb dan Tafsir Fee Dhilal al-Quran, bahawa ia merupakan respond Islam kepada gagasan idea Barat. Hanya dengan memahami falsafah Barat dan pemikiran-pemikirannya, Tafsir Fee Dhilal al-Quran dan fikrah Sayyid Qutb dapat dilihat kekuatannya, yang menjadikannya unik, berbeza daripada karya semasa yang lain.
DUNIA INTERNET
Ucapan alu-aluan Sheikh Solah untuk pelancaran halaman web beliau
Teringat saya soalan yang ditanya oleh seorang pengunjung blog Saifulislam.Com kira-kira lima tahun yang lalu.Apabila saya menceritakan sedikit tentang Sheikh Solah, beliau bertanya, “Sheikh Solah tak ada blog ke, ustaz?”
Saya ketawa.
Ketika itu saya berasa lucu, mengapakah generasi muda boleh terfikir bahawa semua orang macam dia ada blog, ada Facebook! Tidak sampai seminggu selepas itu, saya diajukan oleh seorang rakan dengan halaman web yang menghimpun artikel Sheikh Solah! Dan kini Sheikh Solah sudah mempunyai halaman web sendiri, Facebook, Ustream dan Youtube!
Aduhai.
Syukur sungguh.
Terubat rindu saya.
Bertambah peluang untuk saya terus belajar.
Walaupun amat ketara nampak pertambahan usia Sheikh Solah, suara dan semangatnya tidak berubah walaupun sedikit.
HALAMAN WEB: http://www.salah-alkhaldi.com/
FACEBOOK: https://www.facebook.com/alkhaledi.salah
YOUTUBE: http://www.youtube.com/user/alkhaledisalah
USTREAM: http://www.ustream.tv/channel/salah-alkhalidi
Terima kasih adik-adik di Jordan yang mengambil manfaat daripada Sheikh Solah, dan mungkin juga terbabit membantu meluaskan penyebaran ilmu Sheikh.
Kitab Sheikh Solah milik saya yang sudah lunyai. Saya berusaha dengan izin Allah menukar isi kandungan ilmu Sheikh Solah kepada modul-modul pengurusan hidup untuk medan pembangunan sumber manusia
Semoga Allah memelihara Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi dan guru-guru kita yang gigih memandaikan umat dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, ameen.
(Sheikh Solah berumahtangga pada usia 26 tahun, demikian juga diriku)
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (699) Pelawat
December 10, 2012
Di Hamparan Shamrock: Hamba Menyeru, Dia Menyampaikan!
Alhamdulillah.
Buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk diedarkan ke perpustakaan desa seluruh negara.
Sungguh benar ibrah seruan haji oleh Ibrahim ‘alayhi al-salaam.
Ibrahim menyeru.
Allah yang menyampaikan.
Pendek benar kaki saya hendak melangkah ke seluruh desa di empat penjuru negara bagi melunaskan tanggungjawab dakwah. Terima kasih kepada semua ‘tentera Allah’ yang bekerja keras menukar sedikit ilmu dan maklumat di hati, minda dan jari, kepada pelbagai medium penyampai.
Moga semuanya menjadi amal jariah untuk hamba-Mu yang pendek usia dan sikit usaha ini.
Allah, kuatkan hatiku, kuatkan tanganku, kuatkan mindaku, kuatkan semangatku, untuk aku tidak lelah menempuh kehidupan yang penuh cabaran ini. Selepas buku ini Engkau sampaikan ke empat penjuru desa, gerakkanlah hati anak desa untuk menjamah buku ini, dan menyertai kembaraku pada memahami kehendak-Mu di dalam sebuah kehidupan.
Dan berkati perjalananku untuk kembali ke Bumi Shamrock 18 Disember ini… ameen.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (337) Pelawat
December 9, 2012
Roda-roda Haq dan Batil Dalam Kehidupan
Empat kisah utama di dalam Surah al-Kahf itu sungguh unik.
Kisah Ashaab al-kahf.
Kisah pemilik dua kebun.
Kisah Musa dan Khidir.
Kisah Dzulqarnain.
Tiga kisah memaparkan pertembungan antara haq dan batil. Namun pertembungan itu bukan sekadar pertembungan. Ia memaparkan saiz yang berubah-ubah antara besar dan kecil yang bertukar tempat antara haq dan batil.
Di dalam kisah Ashaab al-Kahf, yang haq itu kecil dan yang batil itu besar. Ashaab al-Kahf adalah sekumpulan kecil manusia yang lebih kecil daripada minoriti. Manakala raja yang zalim adalah kuasa besar, mewakili batil yang besar.
Manakala di dalam kisah pemilik dua kebun, hak dan batil diwakili oleh dua pihak yang sama saiz mereka. Pemilik dua kebun yang kaya raya itu adalah pihak yang batil, bersahabat dengan sahabatnya yang mukmin tetapi memiliki harta yang terbatas. Mereka separas, sama saiznya dan saling nasihat menasihati.
Ada pun kisah Dzulqarnain, haq diwakili oleh pemimpin yang agung ini. Gagah, kuat dan besar. Manakala pihak batil adalah Yakjuj dan Makjuj yang keupayaannya kecil berbanding Dzulqarnain. Kebenaran agung, kebatilan mengecil, terkekang dan dibatasi oleh keupayaan golongan haq.
Ada masa kebenaran di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang lemah.
Ada masa kebenaran di pihak yang lemah.
Ada masa kebenaran dan kebatilan itu sama-sama kekuatan dan kelemahan mereka.
Namun ketika kebenaran kuat atau lemah, ketika kebatilan kuat atau lemah, pertembungan antara kebenaran dan kebatilan tidak pernah mati. Sentiasa ada. Sentiasa berlaku. Sentiasa hadir mengisi realiti.
Ketika ‘Islam’ menang, kebatilan menguji.
Ketika ‘Islam’ kalah, kebatilan menguji.
Jangan pula kita tersalah sangka, bahawa jika umat Islam menang, berehatlah kita daripada perjuangan membela kebenaran dan menumpaskan kebatilan.
Dan dalam mana-mana keadaan sekali pun, perjuangan mempertahankan kebenaran menentang kebatilan, memerlukan bekal, senjata dan kekuatan.
Di dalam agama kita, kekuatan yang besar ada pada ilmu.
Maka kisah Musa dan Khidir tidak membicarakan pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Kisah Musa dan Khidir membicarakan tentang perjuangan menyediakan bekalan perjuangan, iaitu ILMU.
Sibuklah wahai umat, dalam perjuangan menuntut ILMU!
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ
“Dan beradalah kamu di dalam keadaan berILMU bahawa sesungguhnya Tiada Ilah Melainkan Allah!” [Muhammad 47:19]
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (569) Pelawat
Al-Hujuraat: Keharmonian antara Badwi dan Bangsawan
“Hoi, sial! Apasal lambat bonar kau balik?” jerit seorang sahabat dari tangga surau.
Rakannya terkasima.
“Huh, nate mu!” ujar seorang kawan.
“Temannya bulat biji mata.
“Bagero kamu. Jenuh aku menunggu!” herdik seorang pakcik.
Pengantin baru itu terpinga-pinga.
Ia ayat yang boleh didengari di sana-sini. Di satu tempat ia berbunyi biasa. Di satu tempat yang lain, ia seperti menyengat bisa.
Demikian jugalah perihalnya tatkala Aqra’ bin Haabis menjerit-jerit dari luar kamar Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Muhammad!
Muhammad!
(Jangan sampai aku hilang sabar)
Aku ini pujiannya manis!
Tapi kejiannya pahit!
Aqra’ bin Haabis tidak sabar-sabar menunggu Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam menyahut dan keluar. Urusannnya bagai terlupa siapa yang berhajat, siapa yang dihajat. Mendesak-desak dan kasar bukan main.
“Allah ‘azza wa jalla juga begitu!!!” kata Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Surah al-Hujuraat secara umumnya turun selepas pembukaan Kota Mekah pada tahun 8H. Ia tahun yang menyaksikan kemasukan Islam oleh kabilah-kabilah yang pelbagai secara berbondong-bondong. Sebahagiannya adalah kabilah badwi dari pedalaman, yang kasar sifat mereka, keras dalam berbahasa.
Cara mereka berkomunikasi berbeza.
Ia mencetus ujian baru bagi umat Islam. Bagaimana mahu membina titik temu antara bangsawan dan badwi kebanyakan? Badwi mungkin ‘mual’ dengan kesantunan bangsawan. Manakala bangsawan pula hangat telinga dengan selamba si badwi.
Itulah fungsi agama. Tidak boleh masing-masing berkomunikasi sesuka hati ikut selesa hanya beralasankan “kami memang macam itu. Kaum kami selesa begini. Negeri kami sudah selama-lamanya sedemikian”
Sebaliknya agama meletakkan satu standard untuk mengatur sosial. Yang bangsawan, yang badwi, semua perlu ada titik temu.
Dan pertemuannya, adalah dalam suluhan etika sosial yang dibentangkan oleh Surah al-Hujuraat.
Bertadabburlah!
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (476) Pelawat
December 7, 2012
Sebuah Kemestian Bagi Misi Mustahil Semasa
Ia adalah jadual yang tidak masuk akal.
Saya tiada pilihan kecuali terus berusaha dan sentiasa memastikan diri dekat kepada-Nya untuk mengekalkan kekuatan.
La Hawla wa Laa Quwwata illa Billaah.
Doakan saya…
JUMAAT (07/12/12)
-Bahan Seminar Surah al-Hujuraat
SABTU (08/12/12)
Seminar Surah al-Hujuraat
Ke KLIA
Siap bahan siaran on air TV Al-Hijrah
AHAD (09/12/12)
On Air TV Al-Hijrah (7am – 10am)
Berehat
Kuliah Maghrib Ganti Surau an-Nur Bangi (Penutup Kisah Musa & Khidir)
Siapkan Assignment Metodologi Dakwah Quran (Pendekatan Dakwah al-Quran Terhadap Golongan ‘Asi)
Emel bahan PUISI 2012 ke Dublin
ISNIN (10/12/12)
Lecture tambahan Kajian Teks Sejarah Islam
Siapkan bahan Metodologi Dakwah
Ambil Imad di PPUKM
Meeting Metodologi Dakwah dengan Amin
Ke Perpustakaan Negara Malaysia sign Agreement
Siapkan powerpoint presentation Metodologi Dakwah
SELASA (11/12/12)
Siapkan assignment Sejarah Islam Pra Kejatuhan Baghdad (Perbezaan Pendekatan Muhaddith dan Muarrikh Dalam Penulisan Sejarah Era al-Khulafa al-Rashidin)
Masukkan kes Uthman bin Affan r.a.
Kemaskan senarai rujukan
Siapkan powerpoint presentation Sejarah Islam Pra Kejatuhan Baghdad
Mesti siap by 2am
RABU (12/12/12)
Meeting Ustaz Ezad progres assignment
11am bertolak ke UTeM Melaka
Kursus Penulisan Dakwah Kreatif UTeM
5pm bertolak balik KL
Wacana An-Nidaa’ (Permulaan Kisah Dzulqarnain)
Semak powerpoint Sejarah Islam Pra Kejatuhan Baghdad & Metodologi Dakwah
Cuba tidur by 2am
KHAMIS (13/12/12)
Presentation Sejarah Islam Pra Kejatuhan Baghdad (8am-11am)
Presentation Metodologi Dakwah(11am-2pm)
Berehat sehingga Asar
Siapkan bahan assignment Tamadun Islam – (Pemikiran Islah dan Tajdid Mehmed Birgivi Berdasarkan Bukunya al-Tariqah al-Muhammadiyyah)- mesti siap by 2am
Cuba tidur 2am
JUMAAT (14/12/12)
Beli kuih untuk potluck Tamadun Islam
Lecture Tamadun Islam, bentang progres
Solat Jumaat
ke KLIA berlepas ke Kuching
Ceramah Modul Luqman di Kuching
Siapkan bahan pembentangan Seminar Fiqh Sirah – 10 ms kertas kerja dan powerpoint
SABTU (15/12/12)
Berlepas pulang ke KL
Memandu ke Ipoh bersama keluarga
Berehat di Ipoh, rehat sungguh-sungguh
AHAD (16/12/12)
Sayang ibu, sayang adik beradik, sayang anak-anak
Bersosial di Ipoh
Tinggalkan semua di kampung
Lepas Isyak balik KL
Semakan akhir bahan seminar Fiqh Sirah
ISNIN (17/12/12)
Seminar Fiqh Sirah (Diskusi Ilmiah: Novel Sejarah Islam di Pasaran)
Berehat sedikit
Kemas beg, hantar kucing ke boarding, siapkan makanan ikan untuk dua minggu
Siapkan bahagian akhir Assignment Kajian Teks Sejarah Islam (Muneccimbasi dan Kitabnya Cami’ ud-Duvel)
SELASA (18/12/12)
Pembentangan dan submission projek Kajian Teks Sejarah Islam
Balik rumah, kemas beg
Ke KLIA
Berlepas ke Abu Dhabi, en route ke Dublin
RABU (19/12/12)
Tandoori Pakcik Yusuf Masjid Dublin South Circular Road
Semoga saya terus kekal dalam tekanan maha tinggi ini, menjadi suami penyanyang, bapa pengasih dan sahabat yang baik kepada semua, ameen.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1313) Pelawat
December 5, 2012
Berhati-hati Semasa Memaku Kehidupan
“Penting sangatkah psikologi dalam mendidik anak-anak?” tanya seorang bapa.
Antara soalan yang sering saya terima di hujung mana-mana sesi ceramah keibubapaan.
Herdik.
Tali pinggang.
Rotan.
Hanger baju!
Sekeh dan lempang.
Malah secara lisannya tengking, sindir dan perli.
Semua itu biasa.
Sangat biasa.
Sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Dan lanjutan daripada kebiasaan itu, kita berhujahkan diri sendiri, bahawa kita ok. Maka apa yang kita terima dahulu adalah ok. Lalu menggunakan kaedah yang sama dalam keibubapaan kita kepada anak-anak sendiri juga, adalah ok.
Memang sukar untuk mengatasi cara pandang yang sebegini.
META MUHASABAH
Secara berfalsafahnya, kita seperti perlu keluar daripada diri sendiri, melihat dari luar tentang diri sendiri, mempertimbangkan buruk atau baiknya kita untuk jujur terhadap kesimpulan yang hendak dibuat terhadap cara kita dibesarkan.
Muhasabah.
Dua hala, bukan antara diri kita dengan orang lain. Tetapi diri kita dengan diri kita sendiri.
Andai kita berpuas hati dengan diri sendiri, kita mungkin sedang dibelenggu ego.
AL-KIBR, istilahnya di dalam Islam.
Apa yang pasti, anak-anak berhak untuk menjadi insan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Mereka perlu dibantu untuk bersedia menyambut hari mereka, bukan dibayangi hari-hari kita, yang esok lusa akan pergi buat selamanya.
Berhati-hatilah dalam mendidik anak, anak murid, anak buah, dan semua yang bernama kanak-kanak.
Pendidikan buat mereka adalah seperti memaku paku di keping papan. Jika tersalah, pakunya boleh dicabut, namun papan jadi berlubang.
Parut emosi, bukan mudah untuk mengatasinya.
HASRIZAL
43000 BSP
.Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (918) Pelawat
November 30, 2012
Kuasa Sebenar: Antara Magis dan Kasih Sayang
“Tapi Abi, magic lagi hebat” Saiful Islam berdebat dengan saya.
Tetap mahu membuktikan kuasa ILMU bukan kuasa yang diimpikannya.
“Kenapa pula?” saya bertanya.
“Ye la, dengan magic, kita boleh tukar dapat apa yang kita nak” hujahnya.
“Yop memang percaya magic tu wujud ke?” saya mahukan kepastian.
“Takde la. Saja je!” katanya.
Ketawa kecil.
Petang itu kami berbalas debat. Sebagai bapa, ada juga rasa sakit hati apabila hujah kita dinafikan oleh anak. Tetapi jika anak sudah dibiasakan berapa berpendapat dan mempertahankan pendapat, ibu bapa perlulah kuat semangat untuk mengendalikan ‘sesi latihan’ di rumah.
Tumpaskan ego.
Tingkatkan kesungguhan, mahu anak-anak berani berpendapat.
“Okay, Yop ingat tak cerita raja yang ada magic tu? Yang boleh tukar barang jadi emas” saya bertanya.
“Raja apa ya?” anak saya ingat-ingat lupa.
“Raja Midas. King Midas!” saya mengingatkannya.
“Hah, Yop ingat dah. Raja itu apabila dia sentuh barang, terus barang tu bertukar jadi emas. Sampai anak dia pun jadi emas” Saiful Islam menceritakan kembali apa yang beliau ingat tentang cerita ini.
“Hah, itulah contohnya. Kalau sentuh anak dengan magic, anak jadi ketulan emas. Dan emas ketika itu tidak berguna. Tapi kalau sentuh anak dengan kasih sayang, anak lebih berharga daripada emas. Betul tak?” saya menyudahkan kisah.
“Kuasa kasih sayang” Saif menyebut perlahan.
Seperti ada rasa kekok menyebutnya.
Saya juga kekok mendengarnya.
Menyebutnya di dalam ceramah tidak kekok. Menyebutnya dalam kondiri keluarga sendiri, baru teori benar-benar teruji. Rasa kekok itu jika dibiarkan, akan terus menjadi kekok dan menjauhkan diri daripada mencapai hajat. Ia perlu diatasi.
“Maknanya Yop, magic kalah dengan ilmu. Magic juga kalah dengan kasih sayang. Keputusan akhirnya, yang magic dalam hidup ini ialah ilmu dan kasih sayang” saya membuat rumusan.
“Macam mana tu?” tanya Saif.
“Ingat tak Abi pernah cerita kisah Da’thur bin al-Haris? Orang jahat, jumpa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tengah berehat. Da’thur ambil pedang dan hulur ke tengkuk Rasulullah dan ugut dengan katanya “siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” Ingat tak?” saya memetik kisah berkenaan.
“Lepas tu apa ye?” anak saya menyambung pertanyaan.
“Baginda menjawab: ALLAH! Da’thur terkejut dan pedang di tangannya terlepas. Rasulullah ambil pedang tu dan hunus kepada Da’thur dan tanya: siapa yang boleh menyelamatkan kamu? Da’thur takut dan yakin dia akan dihukum. Tetapi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam maafkan. Sebab Baginda pengasih. Pemaaf!” saya berceloteh.
“Lepas tu?” anak saya seperti tidak ingat langsung cerita yang pernah dikisahkan sebelum ini.
“Kalau Rasulullah hukum, memang Da’thur patut dihukum. Tetapi apabila Rasulullah maafkan sebab baginda gunakan kuasa kasih sayang, berlakulah magic. Musuh bertukar jadi kawan!” saya menyudahkan rumusan.
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 37]
Jika Da’thur dihukum, musuh mati, kawan tidak bertambah.
Jika Da’thur dimaafkan, musuh ‘mati’ kawan bertambah.
Itulah kuasa memaafkan. Sesuatu yang hanya boleh berlaku dengan adanya sifat kasih sayang. Keupayaan untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Manusia sendiri pun ramai yang bertaubat apabila kejahatan demi kejahatan yang dilakukannya, akhirnya mereka tersedar yang Allah masih membalas kejahatan mereka, dengan KEBAIKAN!
Anak saya termenung.
Perbualan kami terhenti.
Sama seperti kursus-kursus motivasi yang saya jalankan, menilai keberkesanan bukan melalui tangisan. Apa yang lebih utama adalah mendidik nilai yang betul, dan melaluinya persoalan jadi jelas, dan jalan menemukan jawapan terbuka luas.
Persoalan kehidupan.
Di akhir zaman, di era fitnah Dajjal ini, AGAMA mesti dicerakinkan kepada ritual amali, dan konseptual nilai di dalam diri.
TUJUH BUAH FIKIRAN
Kasih sayang adalah manifestasi sifat RAHMAN dan RAHIM Allah yang paling kerap diulang kerana Allah SWT mahu Diri-Nya lebih dikenali dan diingati oleh para hamba sebagai Tuhan yang Mengasihi, lebih daripada Menghukum dan Membinasa.
Kaedah penceritaan amat berguna lagi berkesan dalam menerangkan konsep-konsep yang rumit kepada pelbagai lapisan sasaran, terutamanya kanak-kanak.
Sampaikan cerita dengan menggunakan ayat yang pendek-pendek, berselang seli antara kita yang menyampaikan, dengan sasaran yang mendengar.
Kisah-kisah seperti Raja Midas adalah alegori yang diceritakan untuk menyampaikan mesej nilai. Ibu bapa perlu membaca cerita ini secara tersurat lagi tersirat.
Ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahu mendidik anak-anak secara ini, perlu meluangkan masa membaca kembali kisah-kisah rakyat, koleksi Aesop, juga kisah-kisah yang terdapat di dalam rujukan Islam terutamanya al-Quran dan al-Sunnah untuk memperbanyakkan modal bercerita.
Dari semasa ke semasa, proses ini memerlukan ibu bapa untuk bersabar memperuntukkan masa, secara yang tidak formal, untuk melaksanakan projek ini.
Adakalanya, proses bercerita ini menimbulkan rasa kekok sama ada kepada ibu bapa, mahu pun anak-anak. Rasa kekok itu perlu diatasi bukan dengan memberhentikan perbualan, tetapi meneruskannya dengan melawan rasa tidak selesa yang hinggap di dalam fikiran dan perasaan. Sekali lagi, komunikasi yang efektif adalah fondisi terbesar proses pendidikan.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1730) Pelawat
November 24, 2012
Ibrah Kisah Musa dan Khidir: Belajar Bahasa dan Berbahasa
Kredit foto: www.overarts.com
“Izinkan aku untuk mengikutimu” kata Musa.
Baginda bertemu dengan Khidir selepas menempuh perjalanan yang panjang bersama Yusha’ bin Nun.
‘Alayhim al-solaat wa al-salaam.
“Agar dengannya engkau mengajar aku apa yang telah diajar kepadamu daripada perkara-perkara berupa petunjuk (rushd)” Musa menjelaskan tujuan beliau mahu mengikut Khidir.
Kisah ini tersebut di dalam Surah al-Kahf ayat ke-66:
قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
Nabi Musa berkata kepadanya (Khidir): Bolehkah aku mengikutmu, agar dengannya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” [Al-Kahf 18:66]
Di dalam ayat ini terkandung elemen penting membabitkan teras pengurusan ilmu dan intelektual. Ia membicarakan soal adab. Bukan sekadar meminta izin, tetapi mengungkapkannya dengan lafaz yang unik, yakni pada adab Musa meletakkan dirinya sebagai orang yang berhajat, tanpa menyusah dan membebankan Khidir.
“Benarkan sahaja aku mengikutimu, tanpa perlu engkau melakukan apa-apa untukku. Hanya dengan kebenaran itu sudah memadai, proses belajar itu akan berlaku, aku akan belajar daripadamu, apa yang aku hajatkan” mesej yang terkandung di dalam ungkapan Musa itu.
Musa tidak mahu dirinya menjadi beban kepada Khidir.
Khidir tidak perlu memperuntukkan masa tambahan.
Tidak perlu memikirkan kebajikan Musa.
Hanya sebuah kebenaran untuk mengikut, selebihnya Musa sendiri yang uruskan.
MENGUNDURKAN DIRI
Sikap yang sama ditunjukkan, tatkala Musa tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya, buat kali kedua, selepas masing-masing sudah bersetuju dengan syarat bersama, bahawa apa sahaja yang berlaku, jangan bertanya, sehinggalah Khidir sendiri yang menerangkannya kepada Musa (Q18:70).
Kali pertama, ketika perahu yang ditumpang dirosakkan oleh Khidir, Musa tertanya.
Kali kedua, tatkala seorang budak lelaki dibunuh oleh Khidir, Musa bertanya lagi.
Pertanyaan spontan kerana Musa adalah seorang Rasul.
Utusan Allah yang sifatnya tidak akan mendiamkan diri terhadap kemungkaran. Terlupa kepada satu syarat pengecualian antara seorang Nabi dengan seorang Nabi yang lain.
Dan selepas dua kali melanggar perjanjian, Musa menampilkan satu lagi pendekatan yang konsisten, seperti yang terungkap di dalam firman Allah:
قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku” [Al-Kahf 18:76]
Musa sendiri yang berkata kepada Khidir.
Jika sekali lagi beliau melanggar perjanjian, Khidir tidak perlu menyusahkan dirinya untuk terus diganggu oleh ‘pelajar bermasalah’ bernama Musa.
Musa sendiri yang akan mengundurkan diri.
PROAKTIF
Sikap yang ditunjukkan oleh Musa terhadap Khidir amat penting untuk direnungkan dengan penuh tadabbur oleh kita semua. Ia sebahagian daripada akhlaq yang mendatangkan rahmat Allah beriringan dengan ilmu.
Ilmu bersama rahmat, menjadi aset.
Ilmu tanpa rahmat, segalanya liabiliti.
Musa tidak mahu hajatnya untuk belajar dengan Khidir sebagai beban ke atas Khidir. Musa hanya mahu peluang belajar, sesuatu yang Allah tegaskan bahawa ia hanya boleh Musa pelajari daripada Khidir. Ia bukan soal ilmu di dalam al-Kitab yang Allah bekalkan di dalam Taurat buat Musa. Ia adalah ilmu tentang cara memandang masalah. Melihat taqdir Allah yang lebih luas daripada tadbir manusia yang terhad.
Bukan sekadar untuk berilmu, yakni ALIM.
Malah berhikmah dan bijaksana, yakni HAKIM.
Semasa mahu belajar, Musa uruskan sendiri keperluan dirinya, tanpa membebankan gurunya Khidir. Semasa melanggar terma dan syarat yang disepakati bersama, Musa juga memberikan komitmen untuk mengundurkan dari tanpa perlu Khidir memecat atau memberhentikannya.
Sikap proaktif Musa itu amat besar impaknya kepada psikologi manusia.
Dan bekalannya hanya pada memilih perkataan yang betul.
Perkataan yang menyampaikan mesej serupa, tetapi mencetuskan kesan psikologi yang amat berbeza.
APLIKASI RUMAHTANGGA
kredit foto: afifahjustsmile.wordpress.com
Andaikan begini.
Seorang suami yang bekerja di pelantar minyak baru berumahtangga. Beliau khuatir isterinya tertekan dengan rutin kerja beliau yang sekali ke pelantar, mereka mungkin terpaksa berpisah berminggu-minggu, malah berbulan.
Kata suami, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Abang harap Yang bersabar dengan keadaan ini”
Ayat yang logik, jelas dan sampai maksudnya.
Bagaimana jika suami mengubah sedikit struktur ayat?
Bandingkan dengan ayat kedua, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Benda ini susah, tetapi Insya Allah kita atasinya bersama, ya”
Ayat kedua ini sama logik, sama jelas dan sama sampai maksudnya.
Namun apakah impak ayat kedua dan pertama ke atas psikologi isteri yang mendengar?
Ayat pertama, belum pun suami ke pelantar, isteri sudah pun mula tertekan. Sudah stress. Ayat suami itu logik, tetapi kesan psikologinya, suami meletakkan tanggungjawab bersabar itu ke atas isteri. Si isterilah yang bertanggjawab untuk bersabar.
Manakala ayat kedua adalah berbeza. Biar pun situasinya sama, suami meletakkan bahawa cabaran itu akan mereka atasi bersama. Kata-kata BERSAMA itu mencabut BEBAN dan menggantikannya dengan HARAPAN dan menghasilkan KEMUDAHAN.
Demikianlah kuasa ayat.
Kuasa memilih perkataan.
Kisah Musa dan Khidir itu, di samping 1001 hikmah dan ibrah yang kita boleh pelajari, harus juga diraikan, bahawa ia mengajar kepada kita kuasa perkataan dan ayat.
Kuasa Kalimah Toyyibah!
Perkataan yang baik.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
لا عدوى ولا طِيرةَ ، ويعجبني الفألُ . قالوا : وما الفألُ ؟ قال : كلمةٌ طيبةٌ
“Tiada kesialan jangkitan atau bala pada burung yang berbunyi. Tetapi yang mengagumkan aku adalah al-Fa’l (sempena yang baik). Sahabat bertanya apakah al-Fa’l itu? Baginda menjawab: Perkataan yang baik-baik” [hadith riwayat al-Bukhari no. 5776]
Perkataan yang baik itu ada kesannya.
Ayuh kita perbaiki pemilihan perkataan dan belajar bahasa.
Bukan sekadar belajar bahasa, tetapi belajar BERBAHASA.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (789) Pelawat
November 23, 2012
VLOG: Petanda al-Kibr : Petikan Kitab al-Tariqah al-Muhammadiyyah
https://www.youtube.com/watch?v=drOw7SJtJZ8
Khusyuk mengkaji kedudukan hadith, sama ada ia sahih atau tidak.
Khidmat yang besar buat umat.
Tetapi kesibukan melayan tugasan menilai sanad hadith, seseorang itu boleh terlupa meninjau matan hadith. Bukan pada nas, tetapi isi kandungannya. Pengajarannya. Tempat di mana sunnah sebenar berada. Bisakah seorang pengkaji hadith tertipu dengan amalnya?
Abu’l-Faraj ibn al-Jawzi (maaf, saya tersilap menyebutnya sebagai Ibn al-Jawziyyah) di dalam karangan beliau bertajuk Talbis Iblis, memperingatkan akan hal ini.
Kerana itu, saya yang sedang mengkaji biografi dan pemikiran Sheikh Mehmed Birgivi (meninggal dunia 1573M) di dalam buku beliau al-Tariqah al-Muhammadiyyah (The Path of Muhammad), tidak seharusnya larut dalam kajian di sudut disiplin sejarah semata. Saya juga sebelum orang lain, mesti mengambil manfaat daripada nasihat-nasihat Sheikh Mehmed Birgivi di dalam bukunya. Itu tujuan sebenar penulis mengarang kitab tersebut.
Justeru, saya kongsikan petikan muka surat 76 (maaf saya tersilap menyebut muka surat 73) daripada buku The Path of Muhammad. Berikut adalah ringkasan isi kandungan video ini:
Petikan Buku Tariqah Muhammadiyyah oleh Sheikh Mehmed Birgivi (1573M)
Petanda al-Kibr:
Mahu dikenali orang, suka dirai, kehadiran disambut dengan berdiri, tidak malu dan bimbang semasa ia terjadi
Rasa diri penting, suka apabila dikelilingi rakan dan mereka memilih untuk berjalan selangkah di belakang mengiringi kita
Menolak ziarah kerana beranggapan ia tidak berfaedah
Menolak duduk di sebelah orang yang rendah di pandangan diri
Enggan menziarahi dan menemani orang sakit
Enggan melakukan kerja-kerja rumah
Enggan membawa barang berat di khalayak
Enggan memakai pakaian murah dan lama
Suka menerima jemputan orang kaya, menolak jemputan orang miskin
Malu membeli belah di kedai murah
Menonjolkan diri ke depan di dalam majlis
Menonjol diri dalam perdebatan dan perbahasan untuk pendapat diterima, tanpa mementingkan proses memenangkan kebenaran.
The Path of Muhammad ( muka surat164-165)
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kita semua dipelihara oleh Allah di dalam lembayung al-Quran dan Sunnah Nabi-Nya sallallaahu ‘alayhi wa sallam, ameen.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (515) Pelawat
November 21, 2012
Palestin: Antara Ilusi Dengan Realiti
Semua yang hadir di kehidupan dunia ini, hadir dengan realiti, bersama ilusi.
Biar pun kedua-duanya di pandangan mata nampak serupa, hakikatnya amat berbeza.
Insan sebenar itu realiti.
Fotonya hanya ilusi.
Realiti ada bau, ada rasa, ada makna.
Ilusi hanya boleh dipandang, tidak boleh dipegang, jauh sekali hendak memegang.
Bandingkan sahaja buah-buahan sebenar dengan buah plastik. Buah sebenar walaupun tidak sempurna rupanya seperti yang ditakrifkan sempurna oleh mata manusia, ia ada bau, ada rasa, boleh dijamah dan penuh makna. Buah plastik biar pun cantik, hanya jamuan mata, perhiasan semata.
Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara realiti dan ilusi, realiti sentiasa lebih bermakna berbanding ilusi.
ILUSI SEMASA UNTUK REALITI SEMALAM
Seorang tokoh agung yang dipuja lagi disanjung, mati apabila tiba ajalnya. Kerana kasih pengikut kepadanya, sebuah patung diukir indah. Patung yang rupa parasnya tidak ubah seperti tokoh yang asal. Patung itu dimuliakan, diletakkan di sebuah taman yang indah, menzahirkan rasa megah dan bangga terhadap tokoh itu semasa hayatnya. Patung yang mengekalkan rasa bangga dengan semalam.
Tiba-tiba datang seekor burung kecil, terbang petang seperti burung kecil yang lain. Burung yang penat singgah berehat, bertenggek di atas hidung ‘tokoh’ yang agung itu tadi.
Tanpa ada yang menghalang, si burung kecil melepaskan najisnya!
Betul-betul di hidung, di muka tokoh yang agung itu.
Si burung terbang menyambung perjalanan petang.
Tokoh tadi masih megah dengan sejarah semalam, semasa wajahnya berlumuran najis!
Tokoh itu tokoh yang agung. Namun dia hanya sebuah patung. Sebuah ilusi. Burung itu biar pun kecil, dia hidup, dia realiti.
Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara ilusi dan realiti, kemenangan sentiasa berpihak kepada realiti, biar sekecil mana pun realiti itu, dan sebesar mana pun sebuah ilusi.
ILA AL-ISLAM MIN JADID (KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM)
Ini adalah sebahagian daripada analogi yang dirumuskan oleh Sheikh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam min Jadid (Kembali Semula Kepada Islam), tentang hakikat yang perlu diberikan perhatian umat Islam terhadap akar umbi permasalahan hidup mereka.
Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Yahudi. Dan Yahudi di Palestin benar-benar seperti yang diceritakan. Yahudi di Palestin adalah Yahudi tulen. Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Nasrani. Dan Nasrani di Amerika Syarikat dan blok Barat benar-benar seperti yang diceritakan. Nasrani itu adalah Nasrani tulen.
Al-Quran yang sama memperincikan tentang ciri-ciri Muslim.
Samakah Muslim seperti yang digambarkan oleh al-Quran?
Samakah kita seperti apa yang al-Quran gambarkan tentang kita?
Berapakah jarak di antara diri idaman kita dengan diri yang sebenar?
SYARAT KEMENANGAN
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.[Al-Isra' 17: 7]
Dalam pusingan kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan oleh Yahudi kali ini, fasad mereka tidak kekal selamanya. Mereka akan tumpas, mereka akan tewas. Mereka akan kalah dengan kehinaan dan kemuraman wajah, dan yakinilah bahawa mereka juga mengetahui akan hakikat ini.
Namun kemenangan pemenang pada menumpaskan Yahudi di bumi Palestin adalah bersyarat.
Mereka memasuki Palestin seperti kemasukan mereka kali pertama dahulu.
Dengan kualiti yang sama.
Hanya Muslim tulen yang berhak menuntut kemenangan yang dijanjikan Tuhan.
Palestin menunggu Muslim kembali kepada Islam.
Yahudi tulen, Nasrani tulen, ‘menunggu’ kehadiran Muslim tulen.
Pertempuran antara dua realiti, memenangkan kebenaran atas kebatilan.
Pertempuran antara realiti vs ilusi, kita menipu diri sendiri!
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1147) Pelawat