Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 66
March 1, 2013
05. Novel Sejarah Dan Konflik Asbab al-Nuzul
Novel Sejarah karya Ayahanda Abdul Latip Talip turut dianalisa oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Shahrizal Nasir daripada UNISZA daripada sisi penisbahan ayat-ayat al-Quran kepada peristiwa secara tidak tepat dan mengganggu kefahaman tentang Asbab al-Nuzul ayat al-Quran.
[Klik Untuk Mendapatkan Salinan Kajian Berkenaan]
Agak janggal apabila sebuah novel dikarang tanpa meraikan disiplin akademik sebagai alat merujuk, menghasilkan pelbagai bentuk kecamuk yang mempunyai kesan jangka panjang kepada tradisi ilmu masyarakat. Ia harus menjadi iktibar kepada semua, bahawa dalam niat baik untuk menjadikan agama menarik dan mudah, membelakangkan disiplin ilmu akan merapuhkan tempat berdirinya agama. Sesungguhnya agama kita dibina di atas asas ilmu, membelakangkan ilmu menjadikan rumah indah di tepi pantai, menanti badai untuk mengundang kecai.
Semoga Allah memelihara kita semua, ameen.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (279) Pelawat
04. Qaulan Sadida: Kritikan Dalam Gelanggang Akhlaq
ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 1 MAC 2013:
Kita perlu belajar untuk memberi pandangan dengan amanah, tenang, jujur serta kuat berpegang dengan akhlaq Islam, pada memilih perkataan yang benar adabnya. Barulah kita terdidik untuk menjadi masyarakat yang berpeadaban tinggi.
Saya cuba sedaya upaya untuk menyampaikan pandangan saya tentang novel fiksyen sejarah, industri motivasi dan latihan di negara kita secara yang sangat berhemah. Ia tidak sempurna tetapi saya masih mencuba.
Tetapi apabila pandangan itu bertentangan dengan pendirian kita, pantas budi bahasa itu disimpulkan sebagai:
SERANGAN
TUDUHAN
PERCUBAAN MENJATUHKAN
MENGAIBKAN
… hingga butir-butir perbincangan seperti tidak relevan, dan sopan budi dalam berkata tidak diberi harga.
Saya berkempen semenjak tahun lalu agar kita tidak menyindir (sarcasm / sukhriyyah). Sejak itu saya sendiri berusaha untuk berterus terang, berkata langsung, untuk meneroka seni berbicara secara amanah.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. (Al-Ahzaab 33: 70-71)
Intipati nasihat itu lebih berat. Isi sebenarnya ialah:
Jangan jadi pendusta. Jangan dustakan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam. Jika tidak berilmu, jangan tulis buku, jahil kena terima hakikat kejahilan diri, jangan jual air liur basi, jangan menjual agama dan macam-macam lagi nada yang merosakkan suasana.
Tetapi yang dipilih adalah kalimah cadangan, nasihat, perkongsian. Jika teguran kepada sesuatu yang sudah berunit ratusan ribu di tangan masyarakat, bernilai jutaan ringgit pada nilaian pasaran, dilakukan secara sorok-sorok, secara jujurnya saya ingin bertanya, apakah saranan ini diterima?
Apakah tidak ada sebelum ini teguran demi teguran telah dibuat?
Sudahkah teguran itu mendapat tindak balas yang sewajarnya?
Cinta kita kepada Allah, Rasul dan Islam, adalah nyawa yang menadikan degup jantung di perjalanan hidup yang fana ini. Bersungguhlah dalam beragama.
Ini era Ruwaibidhah.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (203) Pelawat
03. Teknik Penulisan ‘Pemungkin’ Novel Sejarah Dihasilkan
ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 1 MAC 2013:
Saya mengikuti kursus penulisan anjuran PTS pada tahun 2005 di Taman Permata, KL. Saya belajar dengan sifu penulisan saya Puan Ainon, teknik menyampaikan agama melalui cerita. Sampaikan agama melalui cerita, menjadi tema saya di blog www.saifulislam.com semenjak itu dan dengan teknik yang sama jugalah terhasilnya buku Aku Terima Nikahnya, dan KESEMUA buku saya yang lain. Namun ketentuan Allah, buku-buku saya diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd dan bukannya PTS.
Berulang-ulang kali usaha dibuat untuk saya boleh menulis dengan PTS tetapi sentiasa terhalang dan saya menganggap halangan itu berpunca daripada kelemahan saya.
Semenjak 2005-2006 sudah ada dorongan untuk menulis tentang sejarah Islam melalui penceritaan atau kemudiannya disebut sebagai Novel Sejarah Islam. Saya juga mendapat pelawaan dalam bentuk cadangan oleh penerbit melalui editor (maaf saya tidak ingat siapa) untuk menulis tema ini. Tetapi sesiapa sahaja yang belajar ilmu Syariah akan tahu betapa hajat ini AMAT-AMAT SUKAR untuk dibuat.
Saya tidak mampu melakukannya.
Saya hanya mampu menulis sebuah artikel yang kemudiannya menjadi penutup di dalam buku saya yang bertajuk MURABBI CINTA. Saya gunakan riwayat-riwayat yang sahih untuk membina dialog detik-detik akhir hayat Baginda SAW. Sedikit demi sedikit riwayat saya pecahkan, perenggankan ia, tanpa mereka sendiri dialog kerana apa sahaja teori novel, pencerekaan, penghasilan novel, asalkan ia mahu dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, ia wajib tunduk kepada peraturan syara’ yang ketat.
Saya hanya mampu menghasilkan sebuah artikel. Jauh sekali berpuluh buku.
Akan tetapi di dalam travelog Rindu Bau Pohon Tin dan Secangkir Teh Pengubat Letih, saya sampaikan fakta sejarah melalui penceritaan saya kepada rakan, merujuk kisah benar perbualan saya dengan mereka, atau pun penceritaan saya kepada pembaca. Monolog yang berlaku, ialah monolog saya tentang peristiwa. Bukan monolog insan-insan benar di alam barzakh yang ingin saya ceritakan tentang mereka.
Apabila kita belajar sejarah, asas paling besar ilmu sejarah adalah SUMBER.
Saya menilai Sirah Nabawiyyah oleh Ibnu Hisham sebagai salah satu rujukan yang disenaraikan oleh Ayahanda Pak Latip sebagai rujukannya dalam penghasilan Novel HIJRAH, sebab ia adalah rujukan PRIMER (MASDAR). Jika tiada di dalam Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam, mungkin boleh rujuk riwayat-riwayat lain yang dibawa oleh al-Bukhari dan rujukan-rujukan berotoriti lain.
Tidak mungkin jika tiada di dalam al-Sirah oleh Ibnu Hisham, rujuk karya Tarikuddin Hasan. Ia tertib yang amat salah.
PEMBABITAN
Semenjak awal lagi, saya tahu wujudnya geran untuk projek mengkaji novel sejarah islam ini. Dan saya berusaha untuk mengelakkan diri daripada terbabit di dalam projek akademik Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM ini. Saya tahu, jika saya terbabit, saya terpaksa mengkritik insan-insan yang amat dekat dengan diri saya. Tetapi saya patuh kepada keputusan pensyarah saya yang menghendaki saya menyertai usaha ini. Projek ini dilakukan secara berkumpulan. Pasukan yang terbabit di dalam projek ini melawat, menziarahi Pak Latip tetapi saya tidak dapat turut serta kerana berada di Turki selama hampir sebulan.
Semasa di Turki, saya berbual dengan tokoh-tokoh ilmuwan tentang buku-buku populis dalam penyampaian sejarah Islam, terutamanya di Turki. Dr. Hasan Tuncay Başöğlu, Timbalan Direktor İSAM (Centre for Islamic Research) di Istanbul tersenyum dan mengatakan, “ini masalah”.
Itu sahaja.
Saya meluangkan masa yang panjang mengkaji melalui blog Pak Latip terutamanya untuk mendapatkan maklumat motif penulisan novel sejarah Islam beliau. Saya korek blog dan alhamdulillah saya bertemu sebuah entri pada tahun 2008. Saya bentangkan ia di dalam seminar minggu lalu di UKM, bahawa niat Pak Latip mulia, mahu menyampaikan al-Quran dan al-Sunnah. Saya juga nyatakan di dalam seminar, kita semua perlu berasa segan dengan kesungguhan Pak Latip berusaha menulis secara istiqamah. Ahli akademik tidak prolifik seperti Pak Latip malah mungkin anak-anak pensyarah sendiri membaca buku Pak Latip sendiri dan bukan jurnal akademik ibu bapa mereka, seperti kata penyelia akademik saya.
Dalam nada mengusik.
Malah saya bentangkan juga, beberapa perbualan Pak Latip dengan pembaca yang ditulis di blog beliau, tentang persoalan-persoalan fakta sejarah seperti perkahwinan Rasulullah SAW dengan Khadijah pada usia 40′an. Saya buktikan kepada hadirin seminar bahawa Pak Latip sedar tentang isu-isu yang wujud di dalam sejarah Islam dan berusaha menjernihkan mana-mana yang kabur.
Saya juga mengelakkan diri daripada mengkritik novel ini daripada disiplin kesusasteraannya kerana ia tugasan disiplin sejarah islam, dan menghormati disiplin sastera yang mempunyai peraturan-peraturannya yang tersendiri. Jika dikupas daripada sastera, mungkin impaknya lebih besar.
Tetapi saya simpulkan di dalam pembentangan, niat yang murni serta kesedaran tentang manhaj oleh penulis novel HIJRAH, tidak dapat mencegah novel itu daripada kesalahan fakta kerana permasalahan yang wujud semenjak di awal penulisan iaitu
Keterbatasan penulis untuk merujuk (upaya Bahasa Arab dan Inggeris)
Masalah teknik pencairan fakta beku dalam sejarah melalui pengembangan watak dan peristiwa, yang menyebabkan dialog-dialog terhasil.
Saya buat pemeriksaan di MPH serta Popular, dan saya dapati novel sejarah Pak Latip yang bersifat fiksyen (walaupun Pak Latip dan PTS tidak setuju) dan karya asal ilmiah oleh Dr MAZA berkenaan para Sahabat (asalnya tesis beliau) diletakkan di rak yang sama. Masyarakat tidak dapat membezakan antara karya populis, akademik, dan semi ilmiah.
Lebih memburukkan keadaan, pelajar universiti membuat tugasan akademik pun, merujuk novel sejarah Pak Latip.
Saya pilih novel HIJRAH sebab tugasan ini asalnya adalah untuk subjek Fiqh Sirah. Jika diberi pilihan, saya mungkin akan pilih novel berkaitan al-Khulafa’ al-Rashidin yang lebih sarat dengan permasalahan. Tetapi besar hikmahnya novel HIJRAH dipilih sebab disiplin penulis terhadap RASULULLAH SALLALLAAHU ALAYHI WA SALLAM adalah penentu komitmen ilmu tertinggi. Kalau dengan baginda pun, kita tidak jaga, apatah lagi dengan yang lain.
Saya sampaikan semua ini sebagai wacana terbuka sebab jumlah buku Pak Latip di pasaran mencecah ratusan ribu naskhah. Saya sampaikan secara berakhlak, menyantuni, memuji, memberikan saranan sebaik mungkin dan mengharapkan agar hasilnya adalah PENAMBAH BAIKAN.
Walaupun jauh di hati saya berkata, MUSTAHIL novel-novel sejarah ini boleh dibetulkan kerana kecamuk isi kandungannya. Mungkin apa yang boleh dibuat ialah menukar label kategori buku ini. Bukan lagi novel sejarah Islam tetapi novel fiksyen.
Ia fiksyen.
Membaca novel Pak Latip, saya terasa seperti watak di dalam Sirah dan Sejarah ini adalah MELAYU, dan bukan lagi Arab.
Ia memang fiksyen.
Semoga Allah nampakkan kita kebenaran sebagai kebenaran dan direzekikan kita mengikutinya, dan direzekikan kita nampak kebatilan sebagai batil, dan direzekikan kita meghindarinya, ameen.
Salam Jumaat, bacalah surah al-Kahf untuk perlindungan fitnah hidup di akhir zaman ini.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (232) Pelawat
February 28, 2013
02. Kritikan Bukan Tuduhan
Petikan Sirah Ibnu Hisyam pada bahagian Islamnya Khadijah radhiyallahu anha
ENTRI Facebook bertarikh 1 mac 2013:
Kritikan saya kepada novel Hijrah karya Ayahanda Pak Latip, bukan TUDUHAN. Penuduh adalah ahli maksiat yang melakukan permusuhan dengan motif yang dicela oleh Allah.
Supaya dapat difahami oleh sahabat yang mengikuti wacana ini, saya nyatakan di sini, bahawa saya sudah memeriksa rujukan asal buku Sirah Ibnu Hisyam versi Arab terbitan Dar al-Khayr, 1993 daripada ms 188 bab perutusan Rasulullah SAW dengan penerimaan wahyu, sehinggalah ke ms 215 berkenaan pengislaman Khadijah dan para sahabat yang awal, radiyallahu anhum ajma’in. Saya juga membandingkan versi Arab ini dengan terjemahan Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam berbahasa Melayu terbitan al-Hidayah , cetakan 2009.
Di dalam kedua-dua versi Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisyam ini, saya tidak bertemu dengan fakta, mahu pun dialog, seperti yang saya baca di dalam Novel HIJRAH karya Ayahanda Pak Latip yang berbunyi berikut:
“Selepas menerima wahyu itu, Nabi Muhammad bangun dari tempat perbaringan lalu melemparkan selimutnya.
“Tidurlah wahai suamiku. Berehatlah dahulu sehingga keadaanmu pulih sepenuhnya,” kata Khadijah.
“Tidak wahai Khadijah. Masa untuk tidur dan berehat sudah pun habis. Jibril memerintahkan aku supaya memberi peringatan kepada manusia, dan menyeru mereka supaya kembali menyembah Allah. Tetapi siapakah yang hendak aku seru? Siapakah pula yang mahu menyahut seruanku? tanya Nabi Muhammad.”
PERSOALAN.
Apakah ada Nabi sallallaahu alayhi wa sallam bertanya / berkata demikian kepada Khadijah radhiyallahu ‘anha?
Apabila penulis Novel Hijrah menisbahkan dialog itu kepada Nabi Muhammad SAW, jika dialog itu benar, maka ia akan dinilai kekuatannya pada sanad riwayat yang dirujuk. Tetapi jika dialog itu tidak wujud, maka menisbahkan ia kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam adalah satu kesalahan.
Jika dalam semua situasi lain ia dinamakan sebagai PENDUSTAAN TERHADAP NABI sallallaahu alayhi wa sallam, maka apakah ia [dihukumkan] harus di dalam industri novel sejarah Islam?
Sekali lagi, jika saya tersilap, ada yang saya belum jumpa, maka saya sedia membetulkan.
Tetapi saya tidak MENUDUH.
Adakah saya mahu novel sejarah DIHARAMKAN?
Tidak.
Saya harap ia dibetulkan.
Namun, secara peribadi saya tidak pasti bagaimanakah novel sejarah yang ditulis sebegini dapat dibetulkan sebab TERLALU BANYAK isu yang sama seperti contoh yang saya berikan di atas.
Puan Ainon Mohd menasihat Pak Latip agar tidak melayan saya.
Saya menerima dengan hati yang terbuka kerana tugas saya hanya menyatakan hal ini sebagai amanah ilmu. Saya tiada sebarang kepentingan kecuali amar makruf nahi munkar.
Betulkan saya jika saya tersilap. Tetapi jangan TUDUH saya MENUDUH.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (246) Pelawat
February 25, 2013
Jejak Birgivi: Jalan Masih Panjang
Banyak yang ditempuh.
Menyusuri satu demi satu langkah dan marhalah kehidupan.
Masuk ke usia 40an, Imam Birgivi meninggalkan jawatan tinggi beliau sebagai Hakim Mahkamah Tentera di Edirne dan sarjana terkenal di Istanbul. Jiwanya gelisah dengan gelagat agamawan di institusi-institusi pengajian di Istanbul dan istana Othmaniyyah.
Atas nasihat gurunya, Imam Abdullah el-Karamânî, Birgivi meletakkan jawatan dan memulangkan kembali seluruh gajinya selama 4 tahun perkhidmatan, pergi ke perkampungan Birgi, hidup dalam kesederhanaan jauh daripada publisiti, mengajar, mengkader dan menulis hingga 35 buah buku.
Sesekali Birgivi ke Istanbul, menyampaikan nasihat-nasihat beliau kepada Perdana Menteri, Sokullu Mehmet Pasha tetapi bergeseran dengan Sheikh al-Islam, Imam Ebussaud kerana isu bayaran mengajar agama.
Imam Birgivi menukar graf hidupnya.
Hilang daripada perhatian masyarakat.
Namun kerja-kerja ‘sebenar’ yang dilakukannya jauh daripada kemasyhuran itu, menyebabkan 500 tahun selepas kematiannya, saya boleh menemui maklumat mengenai Imam Birgivi dan perjuangannya di celah lembaran buku. Semakin didalami mengenainya, semakin banyak yang memaksa saya membuat penilaian diri dan persekitaran.
Sebutlah ia sebagai mid life crisis atau apa sahaja, menjengah usia 40 mendesak setiap insan menilai perjalanannya, yang berdiri di sebuah persimpangan.
Entah mengapa, hati ini sangat ingin menikmati kebahagian seperti pilihan Birgivi.
Lensa, liputan, tidak mempunyai sebarang makna, untuk sebuah perjalanan yang panjang.
JALAN MASIH PANJANG
Jalan masih panjang terbentang dihadapan
Tak hanya sekedar dunia
Lihatlah ke depan yang lalu biar berlalu
Jadikan pemicu kalbu
Jalan hidup takkan pernah lurus
Pasti ada salah lewati segalanya
Tapi Tuhan tak pernah berhenti
Membuka jendela maaf untuk kita
- (edcoustic)
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (650) Pelawat
Antara Khaled El-Rouayheb dan Halil Inalcik : The Triumph of Fanaticism
The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” (Mitos “Kemenangan Fanatisme Pada Kurun ke-17 Empayar Uthmaniah”) merupakan sebuah makalah yang ditulis oleh Khaled El-Rouayheb dan disiarkan di jurnal Die welt des Islams 48 (2008) 196-221.
Makalah ini merupakan sanggahan Khaled El-Rouayheb kepada pendapat yang dikemukakan oleh Halil Inalcik di dalam karya klasik beliau bertajuk The Ottoman Empire. Ia telah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1973 dan diterima sebagai salah sebuah karya ulung dalam kajian Sejarah Daulah Uthmaniah. Di dalam buku berkenaan, Halil Inalcik memperuntukkan sebuah bab bertajuk “The Triumph of Fanaticism”. Di dalam bab ini, Inalcik telah menjelaskan bagaimana gerakan intelektual dan peradaban Daulah Uthmaniah yang begitu pesat berlaku pada kurun ke 15 dan ke 15 mengalami kemerosotan sehingga tamat disebabkan oleh kemunculan gerakan agama yang radikal. Inalcik meletakkan punca utama kepada kemunduran itu ke atas gerakan Kadizadeli yang diasaskan oleh pengasasnya, Mehmed Kadizade yang meninggal dunia pada tahun 1635. Gerakan Kadizadeli ini mengambil inspirasi daripada seorang tokoh awal yang tegar dengan pendapat-pendapatnya yang keras dalam agama, iaitu Mehmed Birgivi yang meninggal dunia pada tahun 1573. Gerakan fanatik dan ganas ini telah menyapu bersih tradisi awal masyarakat Daulah Uthmaniah yang pro kepada sains rasional seperti falsafah dan astronomi. Kemunduran intelektual ini telah membawa kepada kegagalan Daulah Uthmaniah bertindak balas secara positif kepada perkembangan Sains dan falsafah kemajuan yang sedang berkembang ketika itu di era Pencerahan Eropah.
Khaled El-Rouayheb melihat kewibawaan yang ada pada Halil Inalcik telah menyebabkan pendapatnya itu menjadi sandaran kepada pengkaji-pengkaji lain untuk turut berpendapat dengan pendapat yang sama, seperti yang dilakukan oleh Marshall Hodgson di dalam karya besar tiga jilidnya yang bertajuk The Venture of Islam. Hodgson sememangnya terkenal dengan pendiriannya yang amat kritikal terhadap pendapat yang mendakwa berlakunya kemerosotan tamadun Islam pasca kurun yang ke-13. Hodgson berpandangan, pendapat sedemikian rupa terjadi kerana para pengkaji sejarah telah terlepas pandang kepada perkembangan intelektual yang pesat berkembang di dalam wilayah Safavid Iran dan Moghul India. Namun, Hodgson turut memetik pendapat Halil Inalcik bahawa kemerosotan intelektual benar-benar terjadi kepada Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17, berpunca daripada berkembang luasnya gerakan agama yang radikal seperti yang dinyatakan oleh Halil Inalcik.
Apa yang menimbulkan rasa kesal pada Khaled El-Rouayheb ialah kewibawaan Halil Inalcik dan Marshall Hodgson telah menyebabkan pandangan yang sedemikian rupa diterima seakan muktamad oleh pengkaji-pengkaji yang lain.
Makalah The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” yang dihasilkan oleh Khaled El-Rouayheb merupakan satu usaha untuk membuktikan bahawa pendapat Halil Inalcik itu adalah tidak benar. Pendapat-pendapat Halil Inalcik adalah bersandarkan kepada beberapa pembuktian, iaitu:
i. Kemunculan gerakan radikal Kadizadeli pada akhir kurun ke-16.
ii. Pemusnahan Balai Cerap Uthmaniah pada tahun 1580 hanya beberapa tahun selepas operasinya bermula.
iii. Rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh sejarawan Uthmaniah, Ahmed Taşköprüzade (meninggal dunia 1560).
iv. Rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh bibliografi Uthmaniah, Kâtip Çelebi (meninggal dunia 1657).
Gerakan Kadizadeli, menurut Khaled El-Rouayheb, telah digambarkan oleh Halil Inalcik lebih besar daripada realiti yang sebenar. Kemunculan gerakan itu tidak memberikan impak yang cukup besar untuk mencetuskan kemerosotan minat masyarakat ketika itu kepada sains. El-Rouayheb menjelaskan, fokus utama gerakan Kadizadeli adalah pada memerangi idea dan ritual golongan mistik Uthmaniah daripada kelompok sufi. Seandainya gerakan Kadizadeli begitu berpengaruh, sudah tentu ‘mangsa’ utamanya adalah perkembangan gerakan mistik kelompok sufi ini. Namun catatan sumber tidak menunjukkan demikian. Kemunculan gerakan mistik oleh Ismail Rusukhi Ankaravi (meninggal dunia 1631), gerakana Sari Abdullah Efendi (meninggal dunia 1661), gerakan Abdullah Bosnavi (meninggal dunia 1644) dan seterusnya gerakan Hakki Bursevi (meninggal dunia 1724) adalah di antara gerakan-gerakan mistik kelompok sufi yang begitu luas penyebarannya di era sezaman dan lokasi setempat dengan gerakan Kadizadeli. Seandainya gerakan Kadizadeli tidak berhasil pada menundukkan sasaran utamanya, bagaimana mungkin kita gambarkan keupayaan gerakan tersebut untuk mencetuskan keadaan yang menyebabkan kehilangan minat masyarakat kepada ilmu Sains, yang bukan merupakan sasaran utama serangan gerakan radikal Kadizadeli?
Malah, penghujahan Halil Inalcik turut dipersoalkan oleh Khaled El-Rouayheb kerana Mehmed Kadizadeli merupakan anak murid kepada Mehmed Birgivi (meninggal dunia tahun 1573), seorang tokoh yang secara jelas menyatakan sokongan dan galakan beliau kepada usaha mempelajari cabang-cabang ilmu sains seperti logik, dialektik, matematik dan astronomi. Ini dinyatakan oleh Mehmed Birgivi di dalam magnum opus beliau iaitu al-Tariqa al-Muhammadiyya. Mehmed Kadizadeli yang menjadikan sebagai asas ideologinya, tidak dapat digambarkan mengambil sikap menentang pembelajaran ilmu Sains, yang sangat bertentangan dengan mesej yang terkandung di dalam buku itu. Kenyataan Mehmed Kadizadeli di dalam sebuah khutbah seperti yang direkodkan oleh Kâtip Çelebi menyebut, “siapakah yang hendak menitiskan air matanya apabila seorang ahli kalam mati!” telah dihujahkan oleh Halil Inalcik sebagai bukti sikap anti Sains oleh Mehmed Kadizadeli. Khaled El-Rouayheb berpendapat, penghujahan itu bersifat agak ‘membesar-besarkan’.
Tindakan gerakan Kadizadeli mendesak Ketua Mufti agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan pada tahun 1580 sebagai hujah sikap anti Sains mereka juga perlu diteliti semula. Sebagaimana yang telah diketahui, tujuan asal pembinaan Balai Cerap Uthmaniah di bawah seliaan ketuanya, Taqi al-Din Muhammad ibn Ma’ruf (meninggal dunia 1585) adalah untuk perkembangan ilmu astronomi (falak). Tetapi Taqi al-Din telah membuat ramalan berpandukan peristiwa terhempasnya tahi bintang pada tahun 1577 bahawa Daulah Uthmaniah akan berjaya mengalahkan Safavid di dalam peperangan. Ia dianggap oleh gerakan Kadizadeli sebagai satu bentuk penyelewengan motif kerana astronomi sebagai satu cabang ilmu sains Islam telah bertukar kepada astrologi yang bercanggah dengan ajaran Islam. Inilah alasan utama mengapa gerakan Kadizadeli mendesak Ketua Mufti ketika itu agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan. Khaled El-Rouayheb mempersoalkan Halil Inalcik, apakah anti Sains yang didakwa olehnya itu, merujuk kepada astroloji?
Malah Khaled El-Rouayheb melihat, pendapat Halil Inalcik yang sedemikian rupa banyak berpunca daripada kebergantungan beliau kepada kenyataan-kenyataan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang tidak mencerminkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Seandainya rujukan dibuat kepada sumber-sumber yang lebih luas, kita akan melihat, apa yang berlaku di era itu adalah sebaliknya. Ilmu sains telah berkembang dengan pesat, terutamanya melalui penelitian yang dibuat oleh sejarawan pada era yang sedikit terkehadapan, apabila mereka dapat melihat dengan lebih jelas tentang corak tersebut, berbanding dengan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang melihatnya dari dalam. Misalnya Muhammad Ali b Allan al-Siddiqi (meninggal dunia 1648), Mehmed Saçaklızade Mar’aşı (meninggal dunia 1732-3) memperlihatkan perkembangan pesat yang berlaku kepada ilmu mantiq cabang-cabang sains yang lain pada kurun yang berikutnya. Penghujahan Saçaklızade kukuh pada merumuskan bahawa minat kepada falsafah telah berkembang pesat pada kurun ke-17 dan ke-18 di Daulah Uthmaniah.
Kemunculan tokoh-tokoh falsafah Parsi Sunni, Azeri dan Kurdi turut menyumbang kepada perkembangan ini. Khaled El-Rouayheb telah menyenaraikan ramai tokoh berkenaan di dalam penulisan beliau dan ini juga sejajar dengan pertambahan jumlah sekolah di dalam Daulah Uthmaniah, ketika mana antara subjek teras yang diajar di sekolah-sekolah itu adalah ilmu sains sendiri.
Khaled El-Rouayheb telah membuat kesimpulan, pembuktian-pembuktian yang cuba menyokong idea kemerosotan minat kepada ilmu Sains di Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17 adalah suatu mitos. Pendapat-pendapat yang menjadi sandaran, adalah bersifat serpihan dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Penghujahan juga telah membesa-besarkan beberapa insiden seperti kemunculan gerakan Kadizadeli serta perobohan Balai Cerap Uthmaniah. Malah apa yang berjaya dibuktikan oleh Khaled El-Rouayheb adalah sebaliknya, iaitu kurun yang ke-17 Uthmaniah adalah kurun yang menyaksikan kesuburan minat masyarakat kepada bidang sains seperti yang telah dinyatakan di dalam makalah beliau ini.
Saya berpendapat, artikel Khaled El-Rouayheb ini amat signifikan pada memperbaiki kefahaman kita tentang situasi yang berlaku pada kurun transisi Uthmaniah daripada era klasik kepada era moden. Selain menyanggah pendapat Halil Inalcik berkenaan mitos “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire”, malah turut menimbulkan beberapa persoalan yang menarik untuk dikaji. Paling utama, ia menjelaskan tuntutan untuk meluaskan rujukan untuk menghasilkan pendapat yang konklusif seperti yang berlaku antara Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi kepada Halil Inalcik, dan seterusnya Halil Inalcik kepada Marshall Hodgson dan pengkaji-pengkaji semasa, hari ini.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (42) Pelawat
February 20, 2013
Ukhuwwah Bertaut Semula
“Bahasa Arab kamu jauh lebih baik berbanding dahulu. Saya sangat gembira dan bersyukur” saya berkata.
“Apabila saya dapat tahu yang kamu merancang untuk datang ke Istanbul, saya berlatih untuk ingat kembali Bahasa Arab” kata Fatih.
“Berlatih macam mana?” saya kehairanan.
“Di televisyen Turki, ada rancangan kartun di dalam Bahasa Arab. Mudah. Dan banyak membantu” jelasnya.
“Haha, sudah tua-tua macam kita sekarang pun, menonton kartun masih keperluan” saya ketawa.
Kereta Fatih meluncur di celah-celah lorong Atasehir. Cara pemanduannya masih sama macam dahulu. Jika tidak kenal, memang kecut perut dibuatnya. Sungguh Turki!
Petang itu kami bertemu kembali.
Selepas 10 tahun tidak bersua muka, syukur Alhamdulillah hari ini saya dikurniakan rezeki untuk bertemu kembali dengan Fatih Kayacan. Sahabat, malah rasanya seperti adik beradik. Hilanglah rindu sedekad berjauhan antara dua benua.
Kali terakhir bersua, kami di hujung usia 20′an, kini usia merangkak menuju 40′an. Pantas sungguh masa berlalu.
“Kamu tidak nampak tua. Masih serupa seperti 10 tahun yang lalu!” kata Fatih.
“Kurangkan minum teh!” saya berseloroh.
Sejujurnya, boleh saya katakan Bahasa Arab Fatih jauh lebih baik berbanding Bahasa Turki saya.
Hebat.
“Fakulti Ilahiyat tidak mampu memaksa kamu menguasai Bahasa Arab. Hanya perniagaan sahaja yang memungkinkannya!” saya mengusik.
“Ukhuwwahlah! Tapi bisnes pun, ya juga!” jawabnya.
Tiba di rumah, Fatih dengan segera menelefon ramai kawan lama kami. Ada antaranya yang sudah tidak beliau hubungi bertahun-tahun. Mereka berhubung kembali kerana meraikan kehadiran saya. Fungsi yang memang selalu terjadi pada kehadiran saya, iaitu mengukuhkan asbab untuk berkumpul kembali.
Hasan Ersoy.
Islam Demirci.
Hakkan Ozturk.
Malah sepupunya Murat pun ditelefon.
“Ahhh, Hasrizal. Datanglah ke Istanbul!!!” Murat menjerit di telefon.
Beliau melambai-lambai di CCTV setor di Bolvadin, tempat beliau bekerja, yang dipantau oleh Fatih melalui skrin komputer di Istanbul.
“Sampaikan salam saya kepada Hasan Amca. Jika ada peluang, Insha Allah saya ke Bolvadin!” saya bertatih-tatih dalam Bahasa Turki yang seperti sudah tidak tersisa lagi.
Saya melihat sendiri betapa sibuknya Fatih menguruskan kedai. Memahami kebiasaan itu, saya meyakinkan Fatih agar tidak bimbangkan saya ketika beliau terpaksa menjawab panggilan telefon bertalu-talu dan dikunjungi pelbagai orang yang berurusan.
Terkenang saya kepada buku Secangkir Teh Pengubat Letih. Ia tidak akan terhasil, jika saya sentiasa mahu berprogram. Adakalanya, saya duduk sahaja di pejabat, di rumah, ada kalanya Fatih terlupa dan tertinggal saya di kedai pakcik beliau, dan semua kejadian itu saya isi dengan pemerhatian terhadap sekeliling, dan sesekali berbual dengan sesiapa sahaja yang menjengah.
Di setor kedainya, Fatih memperkenalkan saya kepada pekerja-pekerja beliau. Mereka amat menghormatinya dan teruja dengan kunjungan saya.
“Inilah Hasrizal yang saya ceritakan itu!” katanya memperkenalkan saya.
“Hoş geldiniz!” seorang demi seorang berjabat tangan dan berpelukan.
15 tahun sudah berlalu
“Hasrizal, Masha Allah rindunya saya kepada kamu. 10 tahun kita tidak berjumpa!” kata Fatih.
“Ya… 10 tahun saya menunggu peluang ini. Tetapi sedih juga sebab isteri dan anak-anak tidak dapat hadir bersama!” saya memberitahu.
“Benar. Insha Allah untuk pertemuan akan datang, janganlah tunggu 10 tahun lagi. Bawa mereka datang” ujarnya.
“Insha Allah!” saya menjawab.
Terkenang hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu Nabi sallallaahu alayhi wa sallam bersabda yang bermaksud :
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya (Salah satunya) Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
10 tahun yang lalu kami berpisah kerana Allah.
Hari ini bertemu semula, bulat hati juga kerana-Nya.
“Fatih, hebatnya kamu berbahasa Arab!” kata Lukman.
“Haha, Fatih hebat bercakap Arab, tetapi sebenarnya Hasrizal tidak faham apa yang Fatih cakap. Itulah yang sebenarnya!” katanya berseloroh.
Kami ketawa besar.
Dalam tawa, ada banyak isu besar yang menanti untuk disembangkan. Malam nanti, di rumah Insha Allah.
Hasrizal @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1185) Pelawat
February 18, 2013
Sebaik-baik Bekal Adalah Taqwa
“Bahasa Turki tidak sempat disemak, tiada apa-apa persiapan yang sempat dibuat” saya mengomel di dalam pesawat.
Menarik nafas lega.
Lega kerana semalam hingga ke subuh ini, perjalanan minit ke minit sungguh luar biasa. Terdesak untuk menghantar 4 assignments sebelum jam 4 petang, saya menulis seperti orang gila. Tidak keluar bilik, tidak makan, tidak minum, malah tidak sempat mandi!
Anak-anak sudah mengamuk dan bergaduh sesama sendiri. Mendamba perhatian abi mereka.
Isteri pun serabut cuba menyiapkan beg saya. Apa yang hendak dibawa? Apa yang tidak perlu dibawa?
Jam 5 sudah perlu ke KLIA kerana pesawat dijadualkan jam 7 petang.
KELEGAAN
Ketentuan Allah mengatasi segala-galanya… semasa hendak check-in, saya dimaklumkan bahawa pesawat Emirates yang sepatutnya saya naiki, masih belum berlepas dari Dubai kerana cuaca buruk. Ertinya, pesawat delay sekurang-kurangnya 8 ke 10 jam! Biar pun ia bukan berita baik bagi kebanyakan penumpang, saya menarik nafas lega.
“Alhamdulillah. Jom makan semua!” saya menyampaikan khabar gembira.
Blessings in disguise, kata orang London!
Tempoh masa yang ada itulah saya gunakan untuk makan dan minum bersama isteri dan anak-anak, berbual, menggembirakan hati semua agar saya terbang ke Istanbul dalam keadaan radhiyatan mardhiyyah!
Penumpang lain dibawa ke hotel di Subang Jaya. Saya memilih untuk pulang ke rumah yang hanya 20 minit perjalanan daripada KLIA. Mereka berjanji akan menefon saya apabila telah tetap jam penerbangan pesawat. Tiga nombor telefon saya tinggalkan.
MUJUR
Sehingga jam 12 malam saya masih belum mendapat berita. Mahu tidur, mata tidak lena. Kepala berdenyut, tersisa oleh assignments siang tadi.
Saya berijtihad sendiri, datang ke KLIA jam 4 pagi dan… saya penumpang terakhir masuk kerana pesawat terbang jam 5 pagi!
Allahu Akbar.
“Mengapa tidak telefon saya? Tiga nombor telefon saya tinggalkan! Ini buktinya…” saya menunjukkan vaucher makanan yang diberikan kepada penumpang.
Mujurlah saya sudah check in secara online.
Semasa diperiksa sekuriti, sekali lagi saya ditahan kerana boarding pass saya bertarikh ‘semalam’. Aduh!
Setelah satu demi satu halangan, akhirnya dapat juga saya melabuhkan diri di perut Airbus A380 yang gergasi itu.
Di dalam pesawat, saya menarik nafas lega kerana cabaran pertama selesai. Semua peperiksaan sudah selesai, semua tugasan akademik sudah dihantar (walaupun hodoh penulisannya) dan keluarga juga sudah sempat digembirakan hati mereka. Namun timbul rasa berdebar, tatkala memandang ke hadapan.
Sudah 10 tahun saya tidak ke Turki.
Selain Bahasa Turki yang hampir kosong, saya juga tidak sempat menyusun jadual mahu ke mana serta bertemu siapa di sana. Hanya berserah kepada Allah, dan berjanji kepada diri untuk tidak mengabaikan masa. Kewangan tidak pasti, kad bank seperti hampir rosak, ahh, saya hilang semua skill yang lazim ada pada seseorang yang sudah biasa mengembara.
Paling sedih, buku Secangkir Teh Pengubat Letih yang saya janjikan dengan kawan, tidak sempat dibawa bersama.
Saya abaikan semuanya. Utamakan yang utama. Fokus!
Akademik.
Ukhuwwah.
Dakwah.
Tarbiyyah.
Rehlah!
Semuanya perlu disusun dengan sebaik mungkin.
CERITA DI DUBAI
Persinggahan dua hari di Dubai berjalan lancar. Sempat dua kali berprogram. Ceramah Maulid al-Rasul, dan bengkel ringkas Pengurusan Hidup Berteraskan Surah al-Kahf.
Sekali lagi perjalanan saya teruji. Terlewat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, saya hampir-hampir terlepas pesawat. Rug sack 30kg tidak sempat dimasuk, saya perlu membawanya bersama hand luggage berbentuk bag pack 10kg. Berkejaran menggendong 40kg melepasi sekuriti, tangga demi tangga, tingkat demi tingkat, saya hampir pitam.
Alhamdulillah, duduk sahaja di kerusi, saya menarik nafas lega. Pantas tertidur kepenatan.
Hanya beraman jiwa dengan firman-Nya:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“…Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [Al-Talaq 65:2-3]
Pesawat terbang aman.
Mentari semakin merah.
Tepat jam 5:40 petang, penerbangan Emirates mendarat di Istanbul Ataturk International Airport.
Penantian 10 tahun berakhir dan selepas pasport dilunaskan, saya bertemu dengan Emad, Azri dan Syafiq.
“Selamat datang ke Istanbul, ustaz!’ kata mereka.
Seorang pelajar dan usahawan, seorang jurutera, seorang graduan Mu’tah yang menyambung pengajian sarjana di Konya, saya kaget disambut warga Malaysia, di bumi yang pernah begitu asing bagi semua, Turki!
“Hoş bulduk, terima kasih kerana menyambut ana!” saya berpelukan dengan mereka.
Kembara mencari Imam Birgivi, bermula dengan lafaz Bismillah…
Hasrizal @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (780) Pelawat
February 17, 2013
Dilema Sebuah Persimpangan Diri
“Ana semakin tidak dapat meneruskan program motivasi” saya mengeluh.
“Kenapa ustaz?” tanya Halim.
“Entahlah… Terasa kosong. Bermain kata dan mempermainkan perasaan. Macam yang ana cerita siang tadi” saya menjawab.
Kereta kami membelah gelap malam. Perjalanan Ödemiş Birgi menuju Ankara amat jauh. Sudah beberapa kali kami berhenti untuk menyegarkan diri.
“Ana pun tidak begitu suka dengan motivasi. Tak tahu nak cakap macam mana…” tambah Nabhan.
Saya berfikir panjang.
Sepanjang perjalanan 2000km kami pada menjejak Imam Birgivi.
Semenjak minggu kedua di Turki, saya mengalami kekacauan fikiran dan kali ini kekacauan itu mungkin baik untuk akademik saya, tetapi boleh membunuh identiti saya.
Saya rasa, ceramah-ceramah motivasi yang saya buat selama ini seperti kosong daripada isi. Ia susah hendak dijustifikasi sebab kesan dan feedback peserta memang biasanya baik. Tetapi saya jadi resah melihat iklan-iklan program training, motivasi, tips dll oleh ramai pihak, termasuk yang mengiklankan saya sebagai penyampainya, sebagai sesuatu yang tidak secara sebenar merawat masalah masyarakat.
Mungkin sebab saya terlalu terpukul dengan perubahan yang saya lihat di Turki. Bangsa mereka boleh bangkit. Keluar daripada belenggu masalah yang amat amat kritikal sedekad sudah. Dan sahabat saya bertanya, “kenapa susah sangat Malaysia nak get rid Mahathir?” saya tidak boleh tidur malam dibuatnya. Bukan soal pro atau kontra dengan Mahathir, tetapi kelemahan upaya bertindak individu kita, itu yang meresahkan saya.
Saya terasa seperti tips, teknik-teknik, yang biar pun katanya diekstrak daripada teks agama, seperti ‘menggedikkan’ masyarakat, lembik dan lembab. Dan ini menyebabkan saya rasa diri saya kotor kerana terasa seperti saya turut menyumbang ke arah itu.
Motivasi menjadi seperti makanan ringan. Sedap, namun tidak berkhasiat. Kesan buruknya hadir pada jangka masa panjang.
Walaupun saya tahu, sebenarnya dunia akademik pun belum tentu ada solusi untuknya.
Tapi saya mengalami kehilangan minat untuk menerima jemputan ceramah yang berlambak dalam inbox tu.
Sedangkan saya perlu terus bekerja!
Di Turki tiada sangat motivasi-motivasi ni.
Satu malam, saya dan rakan menonton tv sekitar jam 12 malam, seorang profesor berdebat dengan pengacaranya seorang wanita. Berpakaian daring, dan bertanya soalan bertubi-tubi. Tajuk episod malam tu ialah “Syurga, Neraka, A’raf”
Saya tak faham kebanyakan butir diskusinya, tetapi saya tahu isi yang dikongsi amat tepu dengan ilmu.
Pengacara tu pun asyik tergamam je.
Saya puas menontonnya. Ia bernas dan kukuh dasar ilmunya.
Ceramah motivasi makin kembali terasa seperti berniaga air liur basi. Ia seperti memanipulasi kelemahan masyarakat yang menagih benda lemah, tanpa berusaha mengukuhkan mereka dalam erti kata yang sebenar.
Saya jadi bingung bila tengok pemidato berpakaian hebat, kacak dan anggun bergaya, mempakejkan modul kemas-kemas dan bercakap penuh karisma sedangkan dalam kepala saya terus-menerus berkata, “apa benda yang kau cakap ni?”
Dunia motivasi yang saya ceburi ini terasa semakin kotor. Membuang duit, masa dan tenaga banyak pihak. Ia diburukkan lagi dengan bercambahnya syarikat baru, trainer yang pantas menggelar dirinya pakar motivasi, malah pakar motivasi sendiri yang saya semakin sulit untuk memposisikan penerimaan saya terhadap apa yang dibawa.
Kosong.
SHAM: KEBEJATAN DUNIA MOTIVASI
Mungkin, apa yang paling menepati apa yang saya maksudkan di sini ialah apa yang saya baca dalam buku SHAM: HOW THE SELF-HELP MOVEMENT MADE AMERICA HELPLESS.
http://www.amazon.com/Sham-Self-Help-...
Persoalan yang tertulis di belakang buku itu:
“In the age of self-help, why are so many Americans helpless? Why do so many self help gurus, from Dr Phil on down, create followers rather than independent souls?”
Self-help: To millions of Americans it seems like a godsend. To many others it seems like a joke. But as investigative reporter Steve Salerno reveals in this groundbreaking book, it’s neither—in fact it’s much worse than a joke. Going deep inside the Self-Help and Actualization Movement (fittingly, the words form the acronym SHAM), Salerno offers the first serious exposé of this multibillion-dollar industry and the real damage it is doing—not just to its paying customers, but to all of American society.
Based on the author’s extensive reporting—and the inside look at the industry he got while working at a leading “lifestyle” publisher—SHAM shows how thinly credentialed “experts” now dispense advice on everything from mental health to relationships to diet to personal finance to business strategy. Americans spend upward of $8 billion every year on self-help programs and products. And those staggering financial costs are actually the least of our worries.
SHAM demonstrates how the self-help movement’s core philosophies have infected virtually every aspect of American life—the home, the workplace, the schools, and more. And Salerno exposes the downside of being uplifted, showing how the “empowering” message that dominates self-help today proves just as damaging as the blame-shifting rhetoric of self-help’s “Recovery” movement.
SHAM also reveals:
• How self-help gurus conduct extensive market research to reach the same customers over and over—without ever helping them
• The inside story on the most notorious gurus—from Dr. Phil to Dr. Laura, from Tony Robbins to John Gray
• How your company might be wasting money on motivational speakers, “executive coaches,” and other quick fixes that often hurt quality, productivity, and morale
• How the Recovery movement has eradicated notions of personal responsibility by labeling just about anything—from drug abuse to “sex addiction” to shoplifting—a dysfunction or disease
• How Americans blindly accept that twelve-step programs offer the only hope of treating addiction, when in fact these programs can do more harm than good
• How the self-help movement inspired the disastrous emphasis on self-esteem in our schools
• How self-help rhetoric has pushed people away from proven medical treatments by persuading them that they can cure themselves through sheer application of will
As Salerno shows, to describe self-help as a waste of time and money vastly understates its collateral damage. And with SHAM, the self-help industry has finally been called to account for the damage it has done.
MANGSA TEKNIK PEMASARAN
Betapa kritikalnya masyarakat kita ialah, kerana kepakaran pemasaran, sebuah buku ‘bodoh ‘pun boleh dijual ratusan ribu naskhah. Dan kerana imej serta ketepatan teknik , manusia mengerumuni apa yang sebenarnya tidak menawarkan mereka solusi.
Melihat dari jarak luar sedikit, sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia seperti dirasuk. Possessed… by something, I dunno. Sangat mudah dimanipulasi. Dan ramai yang memanipulasi. Sebahagiannya bukan dengan niat yang tidak baik, tetapi secara tidak sedar. Mengukur kualiti pada penerimaan dan populariti, sedangkan populariti agama semakin seiringan dengan populariti maksiat dan kemusnahan jati diri.
Sebab itu di dalam ceramah saya, walaupun namanya motivasi, saya amat jarang buat game, bersorak-sorak. Dan jika mahu seronokkan peserta, saya akan berhenti seketika, kisahkan mereka kisah benar yang ada isi tapi menyeronokkan… sebab saya tidak dapat meyakinkan diri sendiri bahawa teknik-teknik ‘latihan’ itu sebagai cara yang betul untuk membina manusia.
Tetapi cara ini menyebabkan saya declassified . Term and Condition sedia ada, tidak dapat saya menghadamnya. T&C sendiri, saya terlalu kerdil untuk memperjuangkannya.
Saya berhajat untuk berundur daripada dunia motivasi. Walaupun jalan akademik masih amat jauh. Hanya satu yang saya pertahankan, iaitu dakwah.
Apa sahaja pilihan, kita adalah umat dakwah sebelum segala-galanya.
Motivasi adalah pilihan. Dakwah adalah kewajipan.
Tunjukkan diriku jalan yang lurus ya Allah…
Hasrizal @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3589) Pelawat
February 15, 2013
Turki: Kembara Membuka Mata Hati
Bertuahnya saya dapat bertemu dengan rombongan Raudhatussakinah yang hadir dengan pelbagai misi besar mereka. Gembira dapat belajar dan berkongsi, biar pun seketika
Semasa di Istanbul, saya jarang-jarang sekali pergi ke kawasan Sultanahmet.
Jarang, kerana kebanyakan urusan saya tidak begitu membabitkan kawasan berkenaan. Saya hanya ke sana kerana mahu ke Beyazit, membeli buku-buku yang saya cari di Safarlar Çarşısı dan kedai buku Diyanet di Bab-ı Ali Caddesi.
Ambil juga peluang, menyinggah sebentar di makam Sultan Abdul Hamid II, yang sentiasa dekat di hati.
Kali ini, lintasan saya di kawasan berkenaan memberi banyak rezeki.
Rezeki berselisih dengan rakyat Malaysia yang datang melancong. Ada yang singgah sebagai sebahagian program pra atau pasca umrah, ada yang semata-mata ke Turki, ada yang datang langsung dari Malaysia, ramai juga yang datang dari Mesir, Jordan, UK malah Russia.
Sempat juga saya bertegur sapa, beramah mesra. Mahu menolong lebih-lebih pun, saya juga sedang rancak memperbaharui maklumat kerana jarak 10 tahun memisahkan kunjungan kali ini, dengan yang terakhir, pada tahun 2003. Segalanya terasa seperti baru.
Tidak seperti 15 tahun yang lalu, Turki memang sebuah negara yang amat asing bagi kita orang Malaysia. Terasa amat jauh. Biar pun sekadar terpisah antara Jordan dan Turki itu, sebuah sahaja negara bernama Syria. Mahu ke Turki juga susah. Terutamanya kerana kekurangan maklumat, dan keasingan lisan.
Kini berkunjung ke Turki sudah seakan menjadi trend.
Ramai.
Mudah.
Walaupun berganda-ganda lebih mahal belanjanya berbanding dulu.
Dan apabila datang ke Turki menjadi trend, ia mendatangkan kesan-kesan tidak baik bagi sebuah trend.
Atau lebih tepat, ia seperti sebuah fad.
Kesan tidak baiknya ialah, fad ini tidak ada kesan. Ia ikut-ikutan, dan apa yang dilakukan seperti tidak membekas kepada diri. Tidak pasti apa yang hendak ditengok, apa yang mesti dicari, apa yang perlu ditahu. Semuanya bermula dengan ketiadaan saripati di kepala.
Mata kita tidak mampu melihat apa yang tiada di kepala.
Kepala pula, perlu terisi dengan isi. Dan isinya mesti isi yang betul.
Rugi benar jika datang ke Turki, atau ke mana sahaja, kita hanya berkejar merakam imej di kamera, tidak di kepala, atau di hati, yang semestinya jika berlaku, akan melakukan banyak perubahan kepada diri.
Semasa saya bertugas di Ireland Utara dahulu, ramai juga daripada kalangan saudara baru Irish yang memeluk Islam, yang mendetikkan minat kepada Islam, adalah semasa mereka datang berkunjung ke Turki.
“Budi bahasa orangnya!” kata seorang saudara baru.
“Kebersihannya” kata seorang yang lain.
“Azannya” beritahu seorang lagi.
Macam-macam.
Kunjungan mereka ke Turki berimpak besar. Hingga boleh mengeluarkan mereka daripada gelap kepada cahaya. Mereka pulang dari Turki bukan lagi seperti diri mereka sebelumnya. Giriş dan çıkış pada cop pasport mereka seperti pendaftaran ke sebuah sekolah dan graduasi daripada sebuah madrasah.
Sungguh berimpak.
Sesungguhnya sesiapa sahaja yang melancong, lebih-lebih lagi ke negara seperti Turki, berhutang dengan umat. Sebelum berhutang dengan umat, mereka berhutang kepada diri, dan sudah tentu berhutang kepada Ilahi.
Hutang iktibar.
Apakah iktibar daripada kunjungan itu?
أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. [Al-Hajj 22:46]
Hasrizal
BSP 43000
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1329) Pelawat


