Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 63
April 9, 2013
Penangan Tabiat ‘Loyar Buruk’
“Sesungguhnya ada perbuatan yang menjadi kebiasaan kita hari ini, membawa ke Neraka!” Kata Ustaz Ali.
“Heee, takutnya. Insaf!” sampuk Udin.
Kawan-kawannya ketawa kecil.
Ustaz Ali sering terganggu dengan sikap anak muridnya yang berkelakuan begini. Anak muda sering melakukannya. Orang tua menjadi contoh ikutan mereka.
Berdakwah dengan masyarakat hari ini, sering menemukan kita dengan satu sikap yang meletihkan kita dan merugikan mereka iaitu kelakuan yang disebut sebagai ‘loyar buruk’. Ia sering memomokkan nasihat yang bersungguh kepada sesuatu yang cuba dilucukan. Ia mengingatkan kita kepada tingkah laku raja zalim yang memerintah di zaman Ibrāhīm ‘alayhi al-Salām:
Firman Allāh SWT:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. [Al-Baqarah 2: 258]
Apabila Ibrāhīm berhujah bahawa Tuhannya itulah yang sebenarnya menghidupkan dan mematikan, raja yang zalim itu mengeluarkan kenyataan bernada ‘loyar buruk’ apabila beliau juga mendakwa boleh menghidupkan dan mematikan iaitu dua lelaki, satu dibunuhnya dan satu lagi dilepaskan, seperti keterangan riwayat Qatādah dan lain-lain di dalam Tafsir ibn Kathīr berkenaan ayat ini.
Raja yang zalim itu tahu, beliau tidak seperti Allāh yang mampu menghidupkan dan mematikan, tetapi membuat dakwaan itu sebagai ‘defence mechanism’. Kerana itu dakwaannya dibuat tanpa kalimah الّذي seperti yang terdapat dalam penghujahan Ibrāhīm.
Biar pun bergurau itu lumrah kehidupan, janganlah sampai kita tidak dapat membezakan suasana, malah lebih buruk lagi, menjadikan gurauan itu sebagai cara untuk kita bersikap angkuh dalam penghujahan. Menyembunyikan sifat degil terhadap kebenaran, dengan melucukannya dalam ungkapan bahasa Melayu, sebuah ‘loyar buruk’!
Berhati-hatilah.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1439) Pelawat
Schadenfreude: Menikmati Paparan Tragedi
“Tengok ni. Ish… ngeri sungguh!” kata Abu.
“Pergh… sampai patah dua pinggang dia. Mesti mati punya tu!” ulas Ali pula. “Aku pernah tengok accident lebih kurang macam ni. Memang termuntah aku dibuatnya” Ali menyambung cerita.
Mereka berdua tercegat di hadapan skrin komputer menonton klip video yang memaparkan imej seorang lelaki yang badannya terlipat dua dan berlumuran darah kerana digilis sebuah lori besar.
Pemandangan yang sepatutnya amat mengerikan itu, tanpa disedari berubah menjadi satu bentuk keseronokan dan kepuasan hingga tanpa bertangguh, Abu segera menekan butang share di rangkaian halaman sosial Facebook beliau agar pemandangan ngeri itu boleh ditonton oleh orang lain pula.
Tabiat ini juga membabitkan foto-foto anak kecil di Palestin yang hilang separuh kepala akibat letupan bom, atau imej wanita di sebuah negara direjam dengan batu bata hingga berkecai muka dan kepalanya. Siri ini berterusan tanpa henti.
Ada garis pemisah yang halus di antara sisi baik keadaan ini, dengan sisi buruknya.
Ramai di kalangan pengguna internet menyebarkan foto dan klip video seperti ini dengan tanggapan bahawa ia adalah materi yang berkesan untuk menimbulkan kesedaran. Ingat mati. Bersyukur dengan keselamatan. Mengambil iktibar. Bertaubat. Semua itu mewarnai lapisan pertama motif mengapa mereka gemar kepada bahan-bahan yang mengerikan seperti ini.
Tetapi ketika mana perbuatan menonton dan menyebar bahan sebegini berubah menjadi seperti suatu ketagihan, ia bukan lagi sebuah keprihatinan. Sebaliknya ia berubah menjadi penyakit mental!
‘Keinsafan’ yang dirasai itu bukan lagi sebuah keinsafan, sebaliknya kepuasan luar biasa, hasil melihat dan mengulang lihat foto serta imej yang ngeri itu.
REGARDING THE PAIN OF OTHERS: SUSAN SONTAG
Lambakan foto peperangan ini mengingatkan kita kepada sebuah buku yang secara khusus membincangkan tentang implikasinya terhadap jiwa manusia. Susan Sontag (1933 – 2004), di dalam bukunya, Regarding the Pain of Others meneliti secara terpeinci berkenaan dengan peranan yang dimain serta ditinggalkan oleh foto kepada jiwa dan moral manusia. Fotografi yang kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan dan dinikmati hasilnya oleh sesiapa sahaja, telah membentuk satu kod visual yang baru. Di satu ketika, manusia menghadkan hak dirinya untuk melihat apa yang hanya bersangkutan dengan dirinya, lambakan foto semasa telah mengubah itu kepada suatu tanggapan bahawa setiap kita boleh berasa mahu dan berhak untuk menatap hampir apa sahaja yang boleh divisualkan di dalam bentuk foto. Ini merupakan satu set pemikiran yang baru, yang mungkin kita sendiri tidak sedar akan kewujudannya setiap kali kita berada di atas talian (online).
Fotografi daripada satu sudut yang lain, membantu kita di dalam proses pendidikan. Ia membantu kita meluaskan penglihatan ke masa silam dan mencapah realiti semasa, sedangkan tanpa foto hanya segelintir sahaja di kalangan kita yang tahu bagaimanakah yang dikatakan Piramid di sebuah negara bernama Mesir. Namun, apa yang paling menjadi tumpuan kebimbangan kita adalah sentuhan tentang PEMBIUSAN FOTO.
Lambakan foto kejam berkaitan dengan peperangan, pembunuhan atau kemalangan telah membunuh sensitiviti para penatap. Desensitization yang berlaku itu memberikan kesan yang amat buruk kepada jiwa manusia. Sontag sendiri bercerita tentang pengalaman dirinya berkenaan hal ini.
Dirinya sebagai seorang remaja, pengalaman melihat imej-imej Holocaust Camps, mencetuskan sesuatu yang membimbangkan. Katanya, “when I looked at those photographs something broke… something went dead, something is still crying.”
Entah di mana kebaikannya bagi seorang remaja untuk beliau mengakses imej-imej tersebut tanpa pengetahuan dan kematangan yang sebenar di dalam memahami apakah Holocaust itu sendiri. Apa yang pasti, imej-imej itu menjadi seperti bius, meninggalkan rasa lumpuh dan kebas pada jiwa hingga hilang sensitiviti terhadap REALITI. Images anesthetize dan akses tanpa had, adalah implikasi negatif daripada lambakan foto sadistik ini.
ASHAAB AL-UKHDOOD DAN SCHADENFREUDE
Kisah Ashaab al-Ukhdood amat menyayat hati. Pemerintah yang zalim, berasa amat tergugat dengan keimanan yang dijulang oleh seorang remaja, telah mencetuskan fenomena apabila kematiannya akibat pembunuhan yang beliau sendiri ajarkan kepada pihak pemerintah itu, menyebabkan masyarakat berpaling daripada mentaati raja kepada mengimani Tauhid Allah Subhanahu wa Ta’aala. Ikhtiar akhir… mereka dibunuh. Pembunuhan beramai-ramai itu pula dibuat dalam bentuk yang paling kejam. Sebuah parit besar disediakan. Api yang marak dinyalakan. Orang-orang yang beriman dicampak atau dipaksa terjun ke dalam kemarakan api itu. Termasuk kanak-kanak dan bayi yang belum mengerti.
Bagaimanakah jika pemandangan ini diimejkan? Sebelum soalan itu dijawab, ayuh kita lihat bagaimanakah Allah Subhanahu wa Ta’aala membentangkan kisah ini:
قُتِلَ أَصْحَابُ الْأُخْدُودِ
النَّارِ ذَاتِ الْوَقُودِ
إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌ
وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ
مَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
“Celakalah kaum yang menggali parit itu. Parit yang penuh dengan api yang dinyalakan itu. (Mereka itu dilaknat) tatkala kejadian (yang mengerikan) itu mereka duduk mengelilinginya. Mereka itu, perbuatan kejam yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman… disaksikan (dengan kepuasan). Dan tidaklah mereka melakukan sedemikian rupa melainkan kerana dendam mereka hanya kerana kaum tersebut beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [al-Burooj 85: 4-8]
Jiwa penjenayah itu berada di kemuncak kejam.
Mereka bukan sahaja membunuh kaum yang beriman itu dengan membakarnya, malah mereka duduk di keliling parit berapi, menikmati pemandangan yang sangat kejam itu.
Jiwa manusia apakah ini?
Manusiakah mereka?
Tingkah laku yang amat buruk ini boleh difahami sebagai fenomena Schadenfreude.
Ia adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Jerman yang memberikan maksud, KEPUASAN YANG DINIKMATI DARIPADA PENDERITAAN ORANG LAIN.
Ia adalah suatu kecacatan jiwa yang amat luar biasa. Menonton atau menyaksikan pemandangan-pemandangan ngeri, sama ada secara realiti, video atau foto, telah dikaji pada tahun 2009 dan hasilnya memperlihatkan bagaimana perbuatan tersebut telah mengaktifkan anterior cingulate cortex di dalam otak, iaitu bahagian yang turut berfungsi sebagai pusat penganugerahan otak. Timbul rasa nikmat, puas bersama rembesan oxytocin [Simone G. Shamay-Tsoorya, et. al., "Intranasal Administration of Oxytocin Increases Envy and Schadenfreude (Gloating)," Biological Psychiatry, Volume 66 Issue 9, Pages 864–870 (1 November 2009)].
Jangan tertipu dengan fungsi foto.
Pendedahan yang asalnya bermaksud mahu mencetuskan kesedaran, berubah menjadi pembiusan jiwa yang mematikan sensitiviti. Adakah anda membaca berita dengan hanya menatap slide BERITA BERGAMBAR?
Anda sentiasa tertarik pada imej darah, kecederaan, kesakitan, penderaan, pembunuhan dan kematian?
Adakah anda mendapat tabiat suka menghantar gambar-gambar sadistik itu melalui emel ke kenalan dan bukan kenalan? Adakah anda mempunyai tabiat gemar mengedit gambar-gambar anak Palestin yang cedera parah dan terbunuh, lalu menghasilkan poster tanpa disuruh?
Tanyalah kepada diri.
KLIP VIDEO PEMBUNUHAN SHEIKH MUHAMMAD SAED RAMADAN AL-BUTI
Sheikh Muhammad Saed Ramadan al-Buti telah pergi meninggalkan kita dalam sebuah tragedi.
Di tengah-tengah medan pertempuran bumi Syam.
Dalam suasana yang diselubungi misteri dan tanda tanya.
Namun, rakaman video yang menunjukkan serangan bunuh Sheikh muncul sehari dua ini amat menyayat hati dan mengerikan kita. Ia seperti biasa, tersebar melalui media sosial dan setiap perkongsian diiringi dengan keluhan, “Allah!”, “sedihnya!”, “sampai hati!” dan yang seumpama dengannya.
Tetapi, saya tidak tergamak untuk berkongsi serta menyebarkannya kerana video itu bukan sekadar SALAH SATU video. Ia adalah video yang sangat besar maknanya. Ia sepatutnya hanya ditonton sebagai BAHAN BUKTI untuk pendakwaan, atau untuk satu tindakan yang signifikan lagi besar.
Menonton video tersebut, kemudian beralih ke klip -klip video yang lain, sebagai satu rutin biasa melayari internet, saya rasa seperti terdedah kepada ‘laknat’, apabila menonton seorang ulama mati dibunuh, saya saksinya, dan saya tidak berbuat apa-apa!
Allah…
Semoga Allah memelihara kita daripada fitnah akhir zaman yang sungguh rencam ini!
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3562) Pelawat
March 31, 2013
Merawat Sebuah ‘Tidak Faham’
Pengalaman saya sebagai murid, apabila saya tidak faham sesuatu, saya akan perhatikan keliling saya, adakah saya seorang yang tidak faham, atau kebanyakannya tidak faham belaka. Jika saya dapati ada yang mampu memahami apa yang sedang diajar, saya akan cari jalan supaya saya boleh faham ia. Adakalanya sesuatu yang saya hendak faham itu, memerlukan saya faham banyak benda lain terlebih dahulu.
Misalnya, saya pernah belajar tentang sekularisme di dalam silibus usrah dan buku-buku karangan tokoh gerakan Islam. Tetapi apabila buku The Prince karya Niccolò Machiavelli yang ‘disembelih’ di dalam usrah itu saya baca, saya sukar memahaminya. Apabila membaca buku Islam and Secularism oleh Syed Muhammad al Naquib al-Attas, saya tidak memahaminya.
Saya tidak mengecam al-Attas mahu pun Machiavelli kerana menulis sesuatu yang saya tidak faham, jauh sekali meremehnya sebagai karya ‘syok sendiri’.
Saya menyambung pelajaran, masuk ke bidang sains sosial, belajar sejarah Eropah. Ambil tahu, asalnya bagaimanakah latar belakang sejarahnya hingga muncul buku Niccolò Machiavelli, kemudian menelusinya melalui buku yang pro dan kontra sebelum sampai kepada berusaha memahami kembali karya al-Attas. Kini saya tidaklah faham sepenuh-penuhnya, tetapi saya sudah tahu bagaimana hendak mengungkaikan apa yang saya tidak faham.
Saya peruntukkan masa beberapa tahun untuk menyelesaikan apa yang saya tidak faham, tidak tergesa-gesa tetapi tidaklah pula bersantai-santai.
Biar pun contoh yang saya kongsikan di atas berbeza-beza madah bagi setiap kita, jalannya tetap sama. Apabila kita tidak faham sesuatu, jangan kita ambil jalan mudah dengan meminta kita difahamkan di kerusi sandar.
Sebaliknya kita tanyalah diri kita mengapa kita tidak faham? Apa yang kita belum tahu hingga kita sukar hendak faham. Maka soalan yang bernas ialah, “bagaimana untuk saya memahami topik ini?” dan bukannya secara spontan segera berkata “maaf saya tidak faham. Tolong jelaskan!”
Soalan kita banyak menampakkan adakah kita sedang cari makan, atau sedang makan bersuap.
Dalam banyak keadaan, kita sering menjadi mangsa sebuah KEMALASAN.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2962) Pelawat
March 29, 2013
Seorang Sejarawan Itu
Di dalam kelas Metodologi Pengkajian Sejarah Islam tempoh hari, kami meneliti naskhah ini.
Jamal Mahmud Hajar dan ‘Adel Hasan Ghanim di dalam kitab mereka Fi Manhaj al-Bahts al-Tarikhi telah menukilkan 10 noktah penting tentang ciri-ciri yang mesti ada pada seorang sejarawan. Saya kongsikan ia dalam bentuk terjemahan longgar, untuk manfaat pembaca.
MELANGSAIKAN PEMBACAAN UTAMA
Seorang sejarawan itu mesti mengenal, membaca, memahami dan menguasai karya-karya utama di dalam bidang sejarah, bermula daripada karya umum seperti naskhah oleh Herodotus, diikuti dengan maha karya ilmuwan Islam seperti Tarikh al-Rusul wa al-Muluk wa Akhbaruhum oleh al-Tabari. Demikian juga dengan al-’Ibar dan khususnya al-Muqaddimah kepadanya karya Ibn Khaldun. Termasuk juga karya-karya yang membentuk disiplin sejarah moden seperti Arnold Joseph Toynbee dengan karyanya A Study of History.
PEMIKIRAN YANG SISTEMATIK
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang pemikirannya sistematik, mampu menyusun, menyelaras dan seterusnya mengambil manfaat daripada bahan-bahan sejarah yang berada di hadapannya. Beliau juga mampu untuk melakarkan garis sempadan kepada idea agar menjadi sebuah topik untuk diberikan fokus kepadanya, dan bukan semata-mata tenggelam dalam lautan maklumat serta perincian hingga ke masalah-masalah cabang dan sisi.
BAKAT MENGANALISA DAN MENGKRITIK
Seorang sejarawan itu juga perlu memiliki bakat dalam menganalisa dan mengkritik. Dia mampu membuat pemeriksaan, melakukan perbandingan dan kaji selidik dan seterusnya memahami hubungan yang mengaitkan beberapa perkara yang dilihat secara kasarnya sebagai saling bertentangan. Beliau juga tidak secara mudah untuk terus mempercayai apa sahaja yang dibaca atau didengar, malah menelitinya dengan terpeinci, menggunakan seluruh upaya akalnya untuk menjernihkan keabsahan mana-mana naskhah yang dirujuk, dan seterusnya mencapai dapatan yang sewajarnya.
SABAR DAN TENANG
Seorang sejarawan itu juga mestilah memiliki sifat sabar, tenang dan tidak tergesa-gesa pada menatijahkan hukum atau penilaian dirinya. Beliau mesti memberikan masa yang cukup untuk kajiannya dibincangkan, dibuat perbandingan dan dihuraikan. Dia tidak perlu membebankan diri menjelaskan segala fakta yang ditemui di dalam topik yang dikaji, sebaliknya tertumpu dan menghadkan diri hanya kepada fakta-fakta yang menyampaikan dirinya kepada natijah yang dikehendaki. Sejarawan itu juga perlu menyediakan ruang untuk fakta-fakta yang tidak mampu beliau jelaskan itu, disambut oleh pengkaji lain untuk mengkajinya pada masa-masa yang menyusul.
BEKERJA KERAS
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang bekerja keras, untuk mendapatkan, dan kemudian memanfaatkan semua sumber kajian yang diperlukan untuk menjayakan kajiannya. Beliau juga tidak harus mengalah dengan apa-apa kesusahan hidup serta bebanan yang terpaksa ditanggung sebagai pengorbanan untuknya. Sejarawan tidak boleh meletakkan pergantungan kepada sebahagian sumber rujukan ketika mana dia tahu ada rujukan lain yang perlu dirujuk ke arah mengukuhkan kefahamannya tentang tajuk yang dikaji, atau yang mungkin boleh mengubah pandangannya terhadap topik yang dikaji. Lihat sahajalah Abu al-Faraj al-Asfahani, meluangkan masa selama lima puluh tahun untuk menyempurnakan kitabnya.
OBJEKTIF DAN ADIL
Seorang sejarawan itu mestilah bersifat adil, objektif dan neutral, tidak terpengaruh oleh kecenderungan peribadi terhadap kajiannya. Dia tidak sepatutnya menjadikan pendapat peribadi, akidahnya dalam beragama, kecenderungannya di dalam politik, mempengaruhi kajian hingga mengubah hakikat kebenaran. Dia juga tidak boleh mengkaji sesuatu dalam keadaan kesimpulan akhir sudah pun dimuktamadkan sebelum kajian hendak dibuat. Teladanilah Abd al-Rahman al-Jabarti, yang telah menempuh pelbagai cabaran di zaman Muhammad Ali Pasha. Walaupun beliau meyakini bahawa orang-orang Muhammad Ali Pasha telah membunuhnya anaknya, tatkala al-Jabarti menulis tentang Muhammad Ali, beliau memberikan hak kebenaran dengan menulis apa yang baik sebagai baik, berkenaan Muhammad Ali. Keadilan yang ditunjukkan oleh al-Jabarti itu menjadi teladan yang sungguh luar biasa untuk eranya.
BERANI DAN TEGAS
Seorang sejarawan itu juga mestilah berani pada mengemukakan pendapatnya, pada menyatakan kebenaran yang sampai kepada pengetahuannya. Beliau mestilah menjauhkan diri daripada sifat bermuka-muka, nifaq, menyembunyikan apa-apa kebenaran yang diketahuinya serta komited meletakkan matlamat kajiannya adalah pada memberikan khidmat untuk kebenaran. Kita boleh meneladani peristiwa ketika mana Muhammad Syafiq Gharbal berdepan dengan Revolusi 1952 di Mesir semasa hendak menerbitkan bukunya. Rakan-rakan beliau menasihatinya agar menarik balik isi penting bukunya daripada penerbitan dan menyemak kembali apa yang telah dicatat kerana beliau telah memberikan kredit yang positif kepada beberapa usaha pemerintahan keluarga Muhammad Ali Pasha, yang sudah tentu akan menimbulkan kemarahan kepada pejuang Revolusi. Gharbal menolak saranan tersebut dan mengambil risiko mendepani apa sahaja tindakan yang bakal dikenakan, tanpa berganjak daripada apa yang diyakininya sebagai benar.
BERUPAYA MEMAHAMI KEPELBAGAIAN KONTEKS
Seorang sejarawan itu juga mesti berupaya untuk membayangkan secara lengkap persekitaran yang melingkungi topik yang dikaji. Beliau mampu memahami perkara-perkara sampingan yang wujud di sekitar tokoh yang dikaji, atau peristiwa yang diteliti mahu pun idea yang dihalusi kerana semua yang wujud di sekitar subjek kajiannya, mempengaruhi apa yang dikaji.
SENSITIF DAN PEKA PANCAINDERA
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang peka pancainderanya, kuat dorongan emosinya, dan mendalam keinsanan pandangannya. Kepekaan itu akan membantu beliau menyelami pemikiran, perasaan dan perkara-perkara yang mungkin tidak nyata pada apa yang dikaji, namun amat mempengaruhi hakikat kebenaran yang dicari.
MENCINTAI PERANAN
Seorang sejarawan itu juga mestilah sentiasa bersemangat dengan apa yang dilakukannya, mencintai peranan yang dimainkannya demi memelihara kebenaran, tanpa cenderung kepada motif-motif lain seperti mengambil manfaat daripada pemerintah, mendapat pangkat atau memperalatkan sejarah untuk kepentingan siasah.
Semakin banyak seorang sejarawan itu memiliki sifat-sifat yang dikemukakan di atas, semakin tinggilah peluang kejayaannya untuk menemui kebenaran.
Sesungguhnya mengkaji sejarah, adalah sebuah perjalanan mencari dan mengenal KEBENARAN, demi Allah Tuhan yang AL-HAQ itu.
Wallahu A’lam.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (757) Pelawat
March 28, 2013
Ustaz dan Ustazah Mahu Jadi Siapa?
Pelajar-pelajar jurusan Pengajian Islam di tahun awal pengajian mereka suka dengan ilmu agama. Mudah-mudahannya.
Namun selepas belajar satu demi satu subjek, pergi ke kedai membeli buku dari semasa ke semasa dan berbual tajuk ilmu dengan kawan-kawan, sepatutnya mula dapat merasakan yang setiap seorang mempunyai kecenderungan masing-masing.
Ia boleh dikesan melalui:
Subjek yang diminati
Topik luar kelas yang diminati
Masyaikh yang dilazimi
Buku yang dibeli
Isu dalam masyarakat yang menarik perhatian
Apabila menamatkan pengajian, biar pun ijazahnya adalah Syariah, Fiqh, Usuluddin dan lain-lain, seorang pelajar itu sepatutnya sudah pun dapat membayangkan siapakah dia pada tahun-tahun yang mendatang.
Secara yang lebih spesifik.
Sekiranya sehingga tamat pengajian, masih tiada petanda kepada hal ini, masih samar-samar, tidak tahu minat apa, ia boleh memberikan indikasi semasa belajar dahulu, mungkin kurang membaca dan kurang mengambil berat tentang apa yang dipelajari.
Sekadar untuk lulus imtihan (peperiksaan).
Dan jika menyambung pengajian di peringkat master, pelajar seperti ini akan ada masalah yang tidak berkesudahan untuk mendapatkan penyataan masalah (problem statement) dan seterusnya tajuk disertasi atau tesis.
Tiada pencegah dan penyembuh kepada masalah ini kecuali BACA, BACA, BACA dan BACA.
Jangan buang masa.
Jangan jadi mangsa.
Masyarakat perlukan ‘seseorang’, bukan sekadar seorang.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3944) Pelawat
March 26, 2013
Fitnah Ukhti Barbie dan Akhi Ken
Dara dan Sara? – Alternatif Barbie and Ken oleh Iran
“Perkara paling sweet ialah ketika dua orang saling rindu, namun tidak berkomunikasi, tetapi keduanya saling mendoakan di dalam sujudnya masing-masing”
Demikian ungkapan yang dikongsi.
‘Kata-kata hikmah’ yang terkini, disertai dengan ilustrasi.
Lama saya berfikir, sejauh manakah seriusnya hal ini. Penting sangatkah ia untuk disentuh, atau dalam bahasa yang lebih langsung, DITEGUR. Banyak isu lain yang lebih membimbangkan. Sejauh ozon berlubang, sekritikal isu Palestin dan Syria, sehangat isu Pilihanraya Umum yang tidak bersih, hinggalah kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna semasa.
Berbaloikah untuk menjentik topik ini?
Saya mencubanya di Facebook. Dari Facebook ia datang, di Facebook juga ia perlu disuarakan.
PASCA CINTA ANTA ANTI
Dulu-dulu, sahabat saya Ustaz Maszlee Malik telah mencetuskan diskusi yang meluas di kalangan anak muda dengan artikelnya ‘Cinta Anta Anti’. Berkongsi nasihat dengan adik-adik yang berperibadi Islam, sebahagiannya aktif dengan kerja-kerja amal Islami, tetapi terperangkap dalam nafsu yang dibungkus dalam pakaian Islam. Seorang ‘akhi’ menghantar sms berisi ‘Tazkirah of the Day’ kepada seorang ‘ukhti’, dan tersenyum-senyum mereka berdua dalam cinta jarak jauh, yang dipisahkan oleh Syariat.
Sesekali sms atau miss call ditujukan pada jam 4:30 pagi, memberi friendly reminder agar si ukhti bangun daripada tidur yang lena, membasahkan wajah dengan wudhu’ dan membawa muka itu sujud kepada Ilahi ketika dunia sedang alpa dalam mimpi dan tidur yang lena.
Mereka terlupa bahawa mereka juga sedang bermimpi dan tidur dalam jaga.
Dalam pelukan ‘akhi Syaitan’!
Terkini, fitnah itu bukan lagi diungkapkan melalui sms, atau teks.
Ia diilustrasikan.
Ilustrasi yang sering kita temui melalui sentuhan artis-artis Korea seperti Lee Tae-Ho, tetapi membawa mesej ‘Islamik’. Sesungguhnya ilustrasi sebegini memberi kesan yang lebih merbahaya kepada anak muda terhadap fitnah Cinta Anta Anti. Jumlahnya semakin besar dan tersebar. Perkongsiannya semakin meluas. Biar pun saya tiada statistik untuk membuktikan implikasi fenomena ini, namun cukuplah dengan pemerhatian peribadi saya terhadap trend cinta semasa melalui pergaulan, jemputan-jemputan ceramah dan reaksi hadirin terhadapnya.
Mata kita memerhati bentuk poster program, bagaimanakah gelagat peserta sesama mereka sebelum ceramah bermula, ungkapan pengerusi majlis semasa memulakan program, serta perbandingan terhadap jumlah kehadiran di bawah tajuk Cinta dan tajuk non-Cinta, oleh penceramah yang sama serta penceramah yang berbeza.
Mungkin agak kasar, namun kesimpulan saya ialah: GEDIK.
bp = tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok. [KAMUS DEWAN EDISI 4 - VERSI ATAS TALIAN]
SUBLIMATION IN PSYCHOLOGY?
Saya tidak dapat menyetujui saranan pendapat bahawa fenomena ini mesti dilihat sebagai sesuatu yang positif, bersandarkan kepada teori sublimation in psychology yang dihuraikan oleh Sigmund Freud sebagai satu bentuk defense mechanism bagi menukar pelbagai bentuk ekspresi psikologi kepada sesuatu yang diterima sebagai bermanfaat oleh masyarakat. Ia jauh lebih berbahaya daripada kisah J. F. Dieffenbach yang memotong ekor anjingnya semasa kecil secara yang sadis, dan kemudian menjadi titik mula kepada Dieffenbach menjadi pakar bedah yang terkenal!
Teori Sublimation ini mesti diiringi dengan teori Tipu Daya Iblis yang dibentangkan secara terpeinci di dalam naskhah klasik Talbees Iblis oleh Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 597H) betapa Syaitan secara licik menggunakan pendekatan bertahap untuk menyesatkan, bukan hanya orang biasa-biasa seperti kita, hatta para ulama. Bukan hanya secara mikro di peringkat individu, malah secara makro hingga membentuk kelompok Khawarij, Syiah Batiniyyah dan yang seumpama dengannya.
Kerana itu zina, dan sebarang objektif Syaitanik, mesti dikesan daripada langkah-langkah kecil menuju ke arah itu.
“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi” [Al-An'aam 6: 151]
KISAH ABDULLAH BIN ABU BAKAR
Teringat kita kepada ujian yang menimpa Abdullah, anak kepada Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu. Abdullah mengahwini seorang gadis perawan yang serba lengkap kelebihan dirinya iaitu Atiqah binti Zaid. Namun perkahwinan mereka berdua teruji apabila Abdullah yang terlalu mencintai Atiqah tercuai daripada pelbagai tanggungjawab hingga mengabaikan solat dan kesemuanya ini mengecewakan Abu Bakar. Sebagai bapa, beliau bertegas memberikan nasihat yang telah menyebabkan Abdullah ‘terpaksa’ menceraikan Atiqah kerana cinta mereka sudah menjadi FITNAH.
Demikianlah ujian cinta seorang pejuang yang membantu proses Hijrah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bernama Abdullah, anak kepada seorang tokoh terhebat bernama Abu Bakr.
Perceraian yang berlaku kerana cinta yang terlebih dos.
Cinta yang membingungkan.
Cinta Abdullah dan Atiqah hanya terjalin semula dalam sebuah perkahwinan selepas diislahkan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, namun harganya adalah sebuah PERCERAIAN.
Kes ini amat terpencil.
Namun dengan perceraian yang berlaku setiap 15 minit di dalam masyarakat kita, saya kira ‘belajar makna perkahwinan melalui perceraian’ mesti ditangani dengan serius.
PERKAHWINAN DAN MINDA SEDAR
Perkahwinan dan rumahtangga perlu didatangi dengan minda sedar. Minda yang jelas tentang erti sebuah perkahwinan yang lebih daripada sekadar rasa cinta, kemahuan seorang lelaki kepada seorang perempuan, atau perempuan kepada lelaki. Nikah datang dengan tuntutan upaya mengendalikan output perkahwinan, bermula daripada persefahaman dan kerjasama, pengurusan hubungan dua keluarga dalam dimensi mertua dan ipar, anak yang bayi kemudian kanak-kanak, remaja dan seterusnya dewasa, pengurusan kewangan, kesihatan, tekanan kerjaya dan keluarga, yang semua itu perlu didatangi dengan minda sedar, bukan gedik.
Kita bekerja keras untuk menimbulkan minda sedar itu.
Justeru saya perlu menyatakan bahawa, ilustrasi-ilustrasi cinta Islamik ini membinasakannya.
Oh, alternatifnya?
Perlukah ada alternatif?
Fitnah ini timbul bukankah kerana mahu ‘mengalternatifkan’ apa yang tidak perlu kepada alternatif?
Kita perlukan Ukhti Fatimah dan Akhi Ali.
Bukan Ukhti Barbie dan Akhi Ken!
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2132) Pelawat
March 24, 2013
Pensejarahan al-Khulafa’ al-Rashidin: Antara Muhaddith dan Muarrikh
PENDAHULUAN
Al-Khulafa’ al-Rashidin telah memainkan peranan yang penting dalam kelangsungan umat Islam pasca kewafatan Rasulullah SAW pada tahun ke-11H. Abu Bakr al-Siddiq RA mengambil alih kepimpinan baginda dan terus menggalas tanggungjawab yang besar dalam membuat keputusan-keputusan kritikal membabitkan bukan sahaja tindakan politik tetapi membabitkan asas-asas utama agama dalam memerangi golongan Murtad, kelompok yang enggan membayar zakat serta kemunculan pendakwa kenabian palsu, Musailamah al-Kazzab. Tindakan pantas Abu Bakr dalam menyusun kembali fokus umat Islam di Madinah ketika itu, diulas oleh Abu Hurairah, “Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, kalaulah Abu Bakr tidak dilantik menjadi pengganti (Rasulullah SAW), nescaya Allah tidak lagi disembah” (Ibn Kathir: 6/309).
Proses transisi kepimpinan Rasulullah SAW kepada al-Khulafa al-Rashidin berhadapan dengan pelbagai kejadian yang kemudiannya difahami oleh umat Islam sebagai peristiwa-peristiwa paling kontroversi. Ini adalah kerana perpecahan umat Islam kepada pelbagai aliran politik yang kemudiannya menjadi aliran aqidah seperti Syiah dan Khawarij adalah merujuk kepada tafsiran mereka kepada peristiwa-peristiwa yang kontroversi itu tadi. Pemilihan Abu Bakr RA sebagai Amir al-Mu’minin (11H), perselisihan pendapat antara Fatimah binti Muhammad RA dengan beliau, bai’ah Ali RA kepadanya, membawa kepada perlantikan Umar bin al-Khattab RA sebagai pengganti (13H), pembunuhan beliau (23H), perlantikan Uthman bin Affan RA (24), peperangan Jamal (36H), perlantikan Ali bin Abi Thalib RA sebagai pengganti (36H), peperangan Siffin (37H), konflik yang berlarutan antara beliau bersama Muawiyah bin Abi Sufyan RA hinggalah membawa kepada terbunuhnya pula Ali (40H) yang berakhir apabila Hasan bin Ali menyerahkan kepimpinan beliau kepada Muawiyah bin Abi Sufyan RA enam bulan selepas itu. Muawiyah menamatkan konflik dalaman umat Islam selama tiga puluh tahun itu di bawah kepimpinannya pada tahun 41H.
Peristiwa-peristiwa kontroversi berkenaan diketahui dan ditafsir oleh umat Islam melalui riwayat-riwayat yang terdapat di dalam pelbagai sumber rujukan. Selain isu kesahihan riwayat, kaedah periwayatan yang berbeza di antara seorang pengumpul dan penulis buku dengan seorang yang lain, menjadi permasalahan yang boleh dikaji. Justeru makalah ini akan meninjau aspek metode pensejarahan oleh muhaddith dan muarrikh di dalam penulisan sejarah zaman al-Khulafa al-Rashidin.
KEDUDUKAN PARA SAHABAT
Penulisan sejarah berkaitan para sahabat mempunyai implikasi yang berbeza daripada penulisan sejarah Islam era yang lain. Selain daripada sintesis sumber pada membezakan di antara yang betul dan salah, para sahabat mempunyai kedudukannya yang khusus seperti yang diterangkan oleh Al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW.
Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan daripada al-Khatib al-Baghdadi bahawa beliau telah berkata, “Keadilan para sahabat adalah ditetapkan dan maklum dengan ta’dil yang dilakukan oleh Allah berkenaan mereka dan pemberitahuan Allah tentang kesucian mereka serta pilihan-Nya terhadap mereka. Antaranya adalah firman Allah:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” (Q3:110)
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu” (Q2:143)
“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” (Q48:18)
“Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar” (Q9:100)
… di dalam ayat (Al-Quran) yang banyak dan panjang pada menyatakannya serta hadith-hadith yang masyhur, banyak bilangannya. Kesemuanya itu menjurus kepada kemuktamadan pendirian tentang keadilan mereka, tanpa sesiapa pun dari kalangan mereka – dengan adanya ta’dil Allah buat mereka – berhajatkan kepada ta’dil sesiapa dari kalangan makhluk. Bahkan jika tiada sekali pun apa-apa keterangan daripada Allah dan Rasul-Nya berkenaan mereka seperti yang telah kami senaraikan, nescaya keadilan mereka tetap tidak berubah berdasarkan apa yang telah mereka lakukan semasa Hijrah, jihad dan perjuangan membantu Islam, mengorbankan jiwa dan harta, memerangi bapa-bapa dan anak-anak sendiri, nasihat menasihati di dalam agama, kekuatan iman dan keyakinan, maka muktamadlah keadilan mereka serta iktikad tentang kesucian mereka. Mereka seluruhnya lebih mulia daripada sekalian generasi yang datang kemudian, dan diutamakan melebihi sesiapa yang datang sesudah mereka… Sekiranya engkau bertemu dengan seseorang yang menghina sesiapa daripada sahabat Rasulullah SAW maka ketahuilah bahawa beliau itu Zindiq. Demikian itu adalah kerana Rasulullah SAW adalah benar, al-Quran adalah benar, apa yang datang dengannya juga adalah benar. Sesungguhnya semua itu sampai kepada kita melalui para sahabat, manakala mereka (yakni golongan yang mencela sahabat) mahu menjatuhkan saksi-saksi kita, untuk membatalkan al-Kitab dan al-Sunnah…)[1]
Kedudukan para sahabat seperti yang dinyatakan ini, mempengaruhi penulisan sejarah berkenaan mereka. Abdelkader I. Tayob berpendapat persoalan kedudukan para sahabat ini memainkan peranan yang sangat penting dalam Pandangan Alam Islam dan bukan sekadar kesan penyusunan idea oleh ahli sejarah seperti al-Tabari. Beliau mengatakan bahawa Baghdad pada kurun ke-9, motif seperti ini di dalam sumber rujukan, bukan hanya memberikan kesan kepada isu-isu pensejarahan, malah turut diperdebatkan oleh sarjana-sarjana di dalam majlis mereka kerana ia memberikan impak yang mendalam kepada makna dan tabiat Islam itu sendiri (Abdelkader I. Tayob: 204).
Apabila para sahabat dilihat sebagai periwayat kepada hadith Rasulullah SAW yang berada di kedudukan tertinggi di dalam salasilah perawi, sudah tentu kelompok yang paling memberi perhatian kepada hal ehwal para sahabat ini terdiri daripada Muhaddith sebagai golongan pertama yang melakukan pengumpulan serta analisa kepada riwayat-riwayat daripada sahabat, oleh sahabat dan berkenaan sahabat.
Walau bagaimana pun, tradisi ini bukanlah muncul secara tiba-tiba. Sebaliknya ia adalah kesinambungan kepada kaedah pensejarahan kaum Arab yang telah wujud semenjak di era pra Islam lagi. Riwayat-riwayat bersanad dipindahkan secara lisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga tibanya Islam dan mengubah tabiat pensejarahan itu menjadi sesuatu yang baru.
PERKEMBANGAN PENSEJARAHAN AWAL ARAB ISLAM
Kaum Arab mempunyai kaedah mereka sendiri dalam merekodkan sejarah. Semenjak daripada era pra Islam, kaum Arab Selatan di Yaman dan Arab Utara di Sham sudah pun biasa dengan tradisi menukilkan kisah berkenaan raja-raja Arab terdahulu, keperwiraan kabilah masing-masing, berhala-berhala sembahan serta segala kemegahan mereka. Riwayat-riwayat yang juga disebut sebagai Al-Ayyam ini disampaikan secara lisan daripada satu generasi kepada satu generasi.
Abd al-Aziz al-Duri menyatakan bahawa riwayat-riwayat Yamaniyyah wujud di dalam sumber-sumber awalan dan keseluruhannya lebih bersifat hikayat dan mengelirukan. Syair-syair yang menceritakan perihal kehidupan Arab pra Islam ini dinilai oleh al-Duri sebagai tidak berupaya untuk menggambarkan bentuk kehidupan Arab Jahiliah. Dalam erti kata yang lain, riwayat-riwayat sejarah di era pra Islam diriwayatkan tanpa mengambil kira kesahihan isi kandungannya, dan hanya dipilih berdasarkan apa yang memenuhi objektif membuktikan kebanggaan kabilah masing-masing dan bangsa Arab itu sendiri secara umum.
Pensejarahan era Jahiliah ini, biar pun kebanyakannya hilang kerana tiada proses merekodkannya secara sempurna dan pendirian era Islam yang menolak terhadap adat Jahiliah dengan berhala-berhalanya, ia menjadi ciri unik yang membezakan pensejarahan Arab berbanding dengan kaum yang lain, apabila sejarah bergantung kepada riwayat yang bersanad. Ini menyediakan asas yang penting kepada perkembangan ilmu di zaman kenabian Muhammad SAW yang kemudiannya dikenali sebagai al-Hadith.
Al-Quran memberikan makna yang baru kepada sejarah apabila kisah-kisah (Al-Qasas) tentang kaum silam dinyatakan di dalam ayat-ayat Al-Quran dengan motif ibrah. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan ibrah bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman” (Q12:111)
Al-Raghib al-Asfahani menjelaskan pengertian Ibrah (العبرة) atau Iktibar (الاعتبار) sebagai apa yang menghubungkan dengannya pengetahuan pihak yang menyaksikan kejadian dengan yang tidak menyaksikannya[2] (Al-Raghib al-Asfahani: 320). Cerita-cerita di dalam al-Quran disampaikan dengan tujuan memahami sebab dan akibat sesuatu peristiwa serta hubungannya dengan kehidupan semasa. Motif ini mengubah tabiat pensejarahan Arab daripada menerima riwayat seperti pengumpul, kepada membuat penilaian terhadap kesahihan isi kandungannya seperti seorang penganalisa.
Ketelitian para sahabat sendiri dalam memperkatakan sesuatu perkara yang mahu dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW menjadi tabiat yang penting pada diri generasi sahabat selaku perawi pertama. Ia bersesuaian dengan peringatan yang diberikan oleh Baginda SAW sendiri:
“Barangsiapa yang mendustakan aku dengan sengaja maka tersedialah baginya tempat duduk daripada api Neraka” (Hadith riwayat Muslim)
Al-Hadith atau al-Sunnah merupakan satu lagi bentuk keunikan perkembangan ilmu kritikan ke atas riwayat. Ia menjadi asas yang baik pada perkembangan ilmu sejarah. Kaum muslimin di peringkat awal merekod dan menyampaikan secara lisan semua riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Di sesetengah keadaan para sahabat dilarang oleh Baginda SAW daripada menulis kata-katanya kerana bimbang berlaku kekeliruan di kalangan sesetengah sahabat antara Hadith Nabi SAW dengan ayat-ayat al-Quran. Namun dalam masa yang sama, ada juga beberapa orang sahabat yang diberi keizinan khusus oleh Rasulullah SAW untuk menulis Hadith dengan tujuan untuk memeliharanya.
Antara sahabat itu adalah Abdullah bin Amr dan lain-lainnya. Walau bagaimana pun, kita tidak mengetahui secara jelas apakah isi kandungan yang terkandung di dalam lembaran-lembaran yang pernah ditulis oleh penulis di sisi Rasulullah SAW ini kerana kebanyakan mereka memusnahkan lembaran tersebut. Mereka khuatir ia jatuh ke tangan bukan ahli ilmu lalu menafsirnya secara salah (Muhammad Fathi Uthman: 123).
Umar bin Abd al-Aziz RA telah menekankan tentang kepentingan menghimpun hadith-hadith nabi SAW. Beliau pernah menulis surat kepada penduduk Madinah dan berkata, “perhatikan hadith rasulullah SAW dan tuliskan ia. Sesungguhnya aku khuatirkan proses menuntut ilmu dan pupus ahlinya” Perintah ini telah diajukan kepada Abu Bakr bin Muhammad bin Amr bin Hazm. Begitu juga dengan Ibn Shihab al-Zuhri pada menghimpunkan Sunan. Selain daripada itu, antaranya juga ialah al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, salah seorang daripada Tujuh Fuqaha’ Madinah. Akan tetapi Umar bin Abd al-Aziz meninggal dunia sebelum projek berkenaan siap. Beliau hanya sempat menyaksikan usaha-usaha awal yang dilakukan oleh Ibn Shihab al-Zuhri seperti yang beliau nyatakan, “Kami telah diperintahkan oleh Umar bin Abd al-Aziz untuk mengumpulkan Sunan. Lalu kami lakukan ia dengan menulisnya naskhah demi naskhah. Lalu naskhah tersebut di hantar ke setiap negeri yang diperintah” (Muhammad Fathi Uthman: 126).
KEMUNCULAN MAGHAZI DAN SIRAH
Di peringkat ini, hadith-hadith Nabi SAW diriwayatkan lebih kepada motif memeliharanya sebagai sumber hukum. Hadith sebagai sumber hukum, lebih dikenali sebagai al-Sunnah, merujuk kepada riwayat-riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW selepas perlantikan Baginda sebagai Rasul. Di dalam konteks yang lebih luas, pemeliharaan riwayat daripada atau mengenai Rasulullah SAW turut dilihat daripada sudut Baginda sebagai pemimpin yang dikasihi, dan segala mengenainya perlu diketahui. Sisi ini dikenali sebagai Sirah.
Penulisan Sirah Nabi SAW merupakan cabang kepada Sejarah Islam. Di peringkat awal, ia lebih dikenali sebagai al-Maghazi. Walaupun al-Maghazi lebih tertumpu kepada peperangan Rasulullah SAW, ia mencakupi rekod seluruh kehidupan kenabian Baginda. Antara mereka yang banyak mengumpul riwayat al-Maghazi ini adalah anak-anak para sahabat sendiri. Misalnya Aban bin Uthman bin Affan dan Urwah bin al-Zubair.
Aban bin Uthman bin Affan mengumpul riwayat yang banyak diambil daripadanya oleh ahli Hadith. Tidak ramai ahli Sejarah yang meriwayatkan daripada beliau, kecuali al-Ya’qubi. Berbeza dengan Urwah bin al-Zubair. Abd al-Aziz al-Duri berpendapat, Urwah merupakan orang pertama yang menulis al-Maghazi. Tulisan beliau sampai kepada kita melalui apa yang diriwayatkan oleh al-Tabari, Ibn Ishaq, al-Waqidi, Ibn Sayyid al-Nas dan Ibn Kathir. Walaupun pengumpulan riwayat oleh Urwah bin al-Zubair sampai kepada era al-Khulafa al-Rashidin, riwayat-riwayatnya bersifat kucar kacir dan sukar hendak dirumuskan. Abd al-Aziz al-Duri membuat kesimpulan bahawa perkembangan penulisan sejarah hingga ke peringkat al-Maghazi, lebih bersifat pengumpulan. Usaha-usaha individu membina bahagian-bahagian madrasah al-Maghazi ini yang mana setiap seorang menambah apa yang telah dilakukan oleh guru-guru mereka yang terdahulu (Al-Duri: 22).
Turut sama menyumbang kepada perkembangan ilmu al-Maghazi ini adalah Shurahbil bin Sa`d. Beliau telah mengusahakan senarai nama para sahabat yang menyertai peristiwa-peristiwa yang besar seperti Perang Badar dan Uhud, serta mereka yang menyertai Hijrah ke Habshah dan Madinah.
PENGASINGAN ILMU SEJARAH DARIPADA MAGHAZI
Usaha awal yang dilakukan oleh Aban, Urwah dan Shurahbil diteruskan oleh beberapa tokoh lain pada mengembangkan ilmu Maghazi. Abdullah bin Abi Bakr ibn Hazm, Asim bin Umar bin Qatadah, Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri adalah pelopor utama kepada generasi kedua pengusaha Maghazi ini.
Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri dilihat oleh al-Duri sebagai ahli Maghazi pertama yang melakukan proses sintesis ke atas riwayat-riwayat yang sampai kepadanya. Ia menjadikan beliau berbeza daripada mereka sebelumnya dan al-Duri merumuskan bahawa beliau adalah ahli sejarah (Muarrikh) yang pertama. Alasan al-Duri ialah Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri tidak menghadkan pengambilan riwayat beliau hanya daripada Maghazi Urwah bin al-Zubair tetapi beliau berusaha mendapatkan secara meluas riwayat-riwayat Madinah dan hadith-hadith daripada perawinya. Beliau kemudian menulis setiap yang didengarinya untuk membantu ingatan, serta meneliti riwayat-riwayat tersebut serta menyusunnya dalam susunan yang teratur. Usaha itu menjadikan Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri orang pertama yang memberikan Sirah (istilah yang beliau sendiri gunakan) strutur yang spesifik dengan rekabentuk yang jelas.
Di peringkat ini, tidak menjadi satu kesulitan bagi ahli sejarah kita yang awal melazimi kaedah mendatangkan sanad bagi setiap riwayat bagi peristiwa-peristiwa sejarah kerana kebanyakan mereka adalah asalnya Muhaddith sebelum menjadi Muarrikh. Ini dapat dilihat daripada generasi yang menyusul seperti Musa bin Uqbah, Ibnu Ishaq, al-Waqidi dan Ibn Sa’d.
KAEDAH PENULISAN MUHADDITH
Berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku kepada pensejarahan semenjak era periwayatan lisan hingga kepada pembukuan riwayat, kaedah penilaian riwayat yang menjadi ciri utama pensejarahan Islam terbahagi kepada dua iaitu kaedah ahli Hadith (muhaddith) dan kaedah ahli sejarah (muarrikh).
Ahli Hadith menilai riwayat pada rantaian perawi yang meriwayatkannya (sanad) serta matan (lafaz) riwayat tersebut berpandukan syarat-syarat yang sedia diketahui di kalangan muhaddith. Mereka membahagikan riwayat berkenaan kepada sahih, hasan, dan dhaif, berserta cabang-cabang kepada setiap bahagian itu[3] (Al-Sayuti: 1/22).
Riwayat yang benar disebut sebagai hadith sahih. Ia bermaksud riwayat yang sanadnya bersambung oleh perawi-perawi yang adil serta teliti periwayatannya tanpa sebarang keganjilan (shaz) mahu pun kecacatan (illah). Manakala riwayat yang baik disebut sebagai hadith hasan. Ia bermaksud riwayat yang sanadnya kurang daripada apa yang disyaratkan untuk hadith sahih. Riwayat yang lemah pula disebut sebagai hadith dhaif. Ia adalah riwayat yang sanadnya tidak memenuhi kriteria hasan dan terbahagi kepada banyak kategori bergantung kepada bentuk kecacatan yang dikenal pasti pada sanad dan matan.
Muhaddith mensyaratkan perawi bagi sebuah riwayat itu mestilah seorang yang adil, teliti, Muslim, aqil baligh, sejahtera daripada sebab-sebab yang membawa kepada kefasikan dan kerendahan maruah. Beliau juga mestilah seorang yang peka dan hafiz apabila meriwayatkan hafazannya, teliti jika membicarakannya dan berilmu tentang apa yang dikandung makna pada riwayat yang diriwayatkannya itu.
Ilmu menilai perawi ini dikenali sebagai ilmu Jarh wa Ta’dil. Ulama’ jarh wa ta’dil membahagikan para perawi hadith yang disebut sebagai Rijal, kepada kategori-kategori yang berlainan dengan syarat yang ketat. Apabila seorang perawi itu terhimpun padanya kesaksian terhadap kecacatan (jarh) dan keadilan (ta’dil), majoriti ulama berpendapat kesaksian terhadap kecacatan perawi itu lebih diutamakan. Manakala sebahagian ulama yang lain pula berpendapat jika jumlah kesaksian terhadap keadilan perawi itu mengatasi jumlah kesaksian terhadap kecacatannya, maka ta’dil adalah lebih diutamakan.
Syarat yang ketat ini terguna pakai tanpa sebarang pertikaian apabila riwayat-riwayat yang dijadikan penilaian itu merupakan riwayat yang bersangkutan dengan Rasulullah SAW. Bagaimana pula jika riwayat-riwayat ini membabitkan para sahabat Nabi SAW? Lanjutan daripada itu, apakah mungkin kaedah Muhaddith ini boleh diaplikasikan kepada Sejarah Islam secara keseluruhan itu sendiri?
Menjawab persoalan ini, kita perlu berbalik kepada matlamat yang hendak dicapai oleh kedua-dua cabang ilmu ini. Hadith dipelajari dengan tujuan untuk mengetahui hukum yang terbina melaluinya Syariah itu sendiri. Kerana itu, diriwayatkan, “sanad-sanad itu adalah sebahagian daripada agama. Jika tidak kerana sanad, nescaya akan berkatalah sesiapa sahaja apa sahaja yang dimahunya” (Al-Qasimi: 201). Manakala sejarah pula dipelajari untuk tujuan ibrah, pengajaran dan hikmah.
Jika dilihat kepada Muhaddith sendiri, pendirian mereka terhadap riwayat-riwayat yang membabitkan aqidah, serta halal dan haram, adalah berbeza dengan pendirian mereka terhadap riwayat-riwayat membabitkan kelebihan beramal (fadhail al-a’mal) serta targhib dan tarhib. Al-Baihaqi berkata, “apabila kami meriwayatkan sesuatu daripada Nabi SAW pada perkara yang membabitkan Halal dan Haram serta hukum hakam yang lain, kami akan mengetatkan penilaian terhadap sanad dan rijal. Dan apabila kami meriwayatkan sesuatu berkaitan dengan kelebihan beramal, ganjaran dan balasan, kami akan melonggarkan syarat ke atas sanad serta bertolak ansur mengenai rijal.
Seandainya Muhaddith meletakkan syarat yang berbeza bergantung kepada matlamat yang hendak dicapai daripada periwayatan maklumat daripada Nabi SAW, maka sudah tentulah periwayatan di dalam sejarah mempunyai ruang yang sama untuk kelonggaran itu diperolehi. Seandainya syarat ketat yang dikenakan ke atas Muhaddith itu dikenakan juga ke atas riwayat-riwayat sejarah, nescaya sebahagian besar daripada riwayat yang ada akan tertolak dan tidak memungkinkan penulisan sejarah mencapai matlamatnya.
KAEDAH PENULISAN MUARRIKH
Muarrikh menggunakan pendekatan yang agak berbeza berbanding dengan Muhaddith kerana setiap satu riwayat, tidak dinilai secara mikro. Sebaliknya setiap riwayat akan dipertimbangkan konsistensinya dengan latar belakang perawi serta orang tokoh yang disebut di dalam riwayat itu sendiri. Dalam erti kata yang lain, pendekatan muarrikh membabitkan proses menafsir lafaz riwayat. Ini mendedahkan kita kepada terbabitnya pendapat yang pelbagai tentang riwayat yang dikaji serta kecenderungan peribadi pengkaji yang menafsir. Namun kaedah ini mempunyai faedah yang unik terutamanya ketika meneliti riwayat-riwayat yang kita perolehi tanpa sanad, atau yang sanadnya terlalu kabur.
Misalnya, Ibn Khaldun di dalam al-Muqaddimah memberikan contoh tentang riwayat-riwayat yang dibawa oleh sumber sejarah Islam yang terdahulu, seperti Tarikh al-Tabari, berkenaan jumlah Bani Israel semasa mereka di Sinai. Sumber sejarah menyatakan bahawa jumlah mereka yang membawa bersama mereka senjata adalah 600 ribu orang atau lebih. Ibnu Khaldun merumuskan bahawa jumlah ini tidak mungkin boleh diterima sebagai kebenaran kerana secara perbandingan, Raja Parsi yang memilik empayar yang begitu luas, ketika berdepan dengan tentera Muslim di Qadisiyyah, jumlah mereka hanya 120 ribu orang malah ada riwayat yang menganggarkan jumlah mereka sekitar 60 ribu sahaja.
Ibnu Khaldun juga berpendapat bahawa jumlah Bani Israel semasa masuk ke Mesir di awal kedatangan mereka hanya berjumlah70 ribu orang. Tempoh mereka bemastautin di Mesir sehingga pengusiran ke Sinai hanya sekitar 220 tahun sahaja. Mustahil 4 generasi mampu mencapai jumlah seramai itu.
PENULISAN SEJARAH AL-KHULAFA AL-RASHIDIN
Muhammad Muhammad Hassan Shurrab berpendapat, pensejarahan Sirah al-Khulafa al-Rashidin hendaklah dibahagikan kepada dua iaitu aspek Aqidah dan Syariah, manakala yang keduanya adalah Tamadun.
Para sahabat di sepanjang era al-Khulafa al-Rashidin membuat pelbagai keputusan dan melaksanakan pelbagai tindakan yang memperincikan aspek Aqidah dan Syariah. Dari sudut Aqidah, para sahabat perlu menentukan kedudukan golongan yang enggan membayar zakat sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Demikian juga dengan golongan yang menyokong Musailamah al-Kazzab. Terdapat juga keputusan-keputusan besar membabitkan masalah Fiqh penyelarasan Mushaf serta siri ijtihad Umar bin al-Khattab RA yang dikenali sebagai Awlawiyyat Umar.
Di dalam hal-hal yang seperti ini, Akram Dhiya’ al-Umari menggariskan secara umum bahawa kaedah yang diguna pakai adalah dengan mengutamakan riwayat-riwayat yang sahih kemudian hasan. Selepas itu, riwayat-riwayat yang dhaif boleh diterima pakai untuk melengkapkan pembentukan gambaran sejarah bagi era awal Islam ini, selagi mana dhaif itu hanya berfungsi mengisi kekosongan pada bahagian yang tiada keterangan sahih dan hasan mengenainya. Sekiranya berlaku percanggahan, maka riwayat yang lebih kuat sentiasa diutamakan. Riwayat yang dhaif itu juga mestilah tidak bersangkutan dengan aspek Aqidah dan Shariah (Al-Umari: 25).
Manakala riwayat-riwayat yang membabitkan aspek ketamadunan seperti perancangan bandar, pembinaan bangunan dan penggalian terusan, maka wajar berlaku kelonggaran di dalamnya, selagi mana ia tidak berlebih-lebihan hingga menjerumuskan riwayat terkeluar daripada realiti, menjadi hikayat berbentuk khayalan.
CONTOH: KISAH ABU DZAR AL-GHIFARI RA
Muhammad Muhammad Hasan Shurrab memetik kisah Abu Dzar al-Ghifari seperti yang diceritakan oleh Ahmad Amin di dalam bukunya Fajr al-Islam. Ahmad Amin mahu membuktikan pengaruh kepercayaan Parsi ke atas Umat Islam melalui kisah Abu Dzar RA. Ahmad Amin menjelaskan di muka surat 110, bahawa di sana terdapat persamaan di antara pendapat Abu Dzar al-Ghifari dengan pendapat Mazdak, pengasas aliran Mazdakism Parsi di dalam isu harta.
Ahmad Amin menyandarkan kenyataan ini kepada riwayat yang dipetik daripada Tarikh al-Tabari yang menyebut:
Abu Dzar telah tinggal di Syam dan beliau berkata, “wahai sekalian hartawan dan seburuk-buruk orang fakir, berikan khabar gembira kepada mereka yang menghimpun emas dan perak tetapi mereka itu tidak menafkahkannya di jalan Allah, bahawa nanti akan dituangkan besi cair daripada api Neraka ke atas, tepi dan hadapan mereka. Mereka akan terus berkeadaan begitu sehinggalah golongan fakir menebusnya daripada golongan kaya dan sehingga golongan kaya mendapat balasan daripada apa yang telah mereka lakukan terhadap orang ramai.” Lalu Muawiyah telah menghantar pergi Abu Dzar kepada Uthman bin Affan di Madinah supaya Abu Dzar tidak merosakkan penduduk Syam. Uthman bertanya kepada beliau, “Apakah perihalnya penduduk Syam mengadu dengan kelancangan mulutmu?” Abu Dzar menjawab, “adalah tidak harus bagi golongan kaya memonopoli harta”
Ahmad Amin menyimpulkan berdasarkan riwayat ini bahawa pendirian Abu Dzar tentang harta, menyerupai pendapat Mazdak. Bagaimanakah Abu Dzar boleh menerima pengaruh Mazdak yang Parsi itu? Ahmad Amin menjelaskan bahawa Tabari sendiri sudah mendatangkan jawapan kepada isu ini dengan berkata, “Sesungguhnya Ibnu Sawda’ (Abdullah bin Saba’ al-Yamani) telah bertemu dengan Abu Dzar dan menghasutnya tentang hal ini. Ibnu Sawda’ yang sama jugalah telah bertemu dengan Abu Darda’ serta Ubadah bin al-Samit tetapi mereka berdoa menolaknya. Ubadah telah membawa Ibnu Sawda’ bertemu dengan Muawiyah dan berkata, “Lelaki ini demi Allah yang telah menghantar Abu Dzar kepadamu…”
Muhammad Muhammad Hasan Shurrab menegaskan bahawa kisah seperti ini adalah contoh keadaan yang memerlukan pendekatan Muhaddith yang lebih ketat dipakai. Abu Dzar al-Ghifari RA adalah salah seorang daripada sahabat yang dijamin Syurga oleh Nabi Muhammad SAW. Beliau juga merupakan seorang perawi yang banyak meriwayatkan hadith iaitu sebanyak 281 hadith di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Dalam masa yang sama, Shurrab berpendapat, riwayat Tabari pada menjelaskan pertemuan Abu Dzar al-Ghifari dengan Abdullah bin Saba’ itu berdiri secara tunggal tanpa sebarang riwayat lain yang menyokongnya. Semua ahli Sejarah yang memetik kisah pertemuan ini, menyandarkannya kepada riwayat Tabari. Tarikh al-Tabari seperti yang diketahui, menghimpunkan riwayat berserta sanad tanpa dibezakan antara sahih dengan yang dusta. Sanad itulah yang menjadi sumber penentuan kesahihan satu-satu riwayat.
Di dalam masa yang sama Tabari juga bersendirian dalam meriwayatkan berita tersebut iaitu melalui Saif bin Umar, yang dikritik oleh ulama’ Jarh dan Ta’dil sebagai pereka riwayat palsu, pendusta, lemah, mungkar, malah disifatkan sebagai Zindiq sebagaimana yang boleh dirujuk di dalam Tahdzib al-Tahdzib oleh Ibnu Hajar al-Asqalani.
Riwayat al-Tabari ini juga bersendirian dalam penyataan kisah pertemuan Abu Dzar dengan Abdullah bin Saba’, berbeza dengan riwayat-riwayat lain yang menceritakan tentang perselisihan faham yang terjadi antara Abu Dzar dengan Uthman dan Muawiyah, namun tiada penjelasan tentang adanya pembabitan Abdullah bin Saba’ berkenaan hal ini. Misalnya riwayat di dalam Musnad al-Imam Ahmad (5/147) di bawah bab Musnah Abu Dzar, Umar bin Shabbah menceritakan di dalam kitabnya, Tarikh al-Madinah beberapa riwayat tentang perbezaan pendapat yang berlaku di antara Abu Dzar dan Uthman, kemudiannya Muawiyah. Di sepanjang kisah, tiada disebutkan pertemuan antara Abu Dzar bersama Abdullah bin Saba’.
Dari aspek matan (lafaz) riwayat pula, Abu Dzar al-Ghifari merupakan seorang sahabat yang alim dan faqih seperti yang diterangkan oleh Ibn Abd al-Barr di dalam al-Isti’ab, Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Isabah serta Ibn Sa’d di dalam al-Tabaqat al-Kubra. Adalah tidak munasabah Abu Dzar yang disifatkan begitu, boleh mendengar dan terpengaruh dengan pendapat seorang yang baru memeluk Islam seperti Abdullah bin Saba. Ibnu Hajar di dalam al-Isabah menjelaskan bahawa Abu Dzar pernah berdebat dengan Ibnu Mas’ud dalam hal keilmuan.
Perintah membelanjakan harta sama ada dalam bentuk zakat, sedekah atau lain-lain penyaluran wang di dalam masyarakat adalah sesuatu yang sedia dimaklumi oleh seluruh umat Islam. Amat janggal apabila Abu Dzar begitu berkeras dalam menyeru hal ini kepada para sahabat.
Kesimpulan kepada hal ini, tindakan Ahmad Amin pada mengaitkan pengaruh Mazdak ke atas Abu Dzar melalui riwayat Tabari itu adalah tertolak, apabila kita mengenakan syarat-syarat Muhaddith ke atas sumber yang dirujuk. Ia bersesuaian dengan kedudukan Abu Dzar sendiri sebagai perawi hadith. Demikian juga Uthman dan Muawiyah yang juga merupakan sahabat utama Nabi Muhammad SAW. Riwayat tersebut juga tertolak oleh kejanggalan yang berlaku pada isi kandungan riwayat yang bertentangan dengan maklumat mengenai Abu Dzar sendiri serta suasana yang wujud di zaman sahabat.
CONTOH RIWAYAT PERANG JAMAL DAN SIFFIN OLEH TABARI
Abdelkader I. Tayob di dalam kertas kerja beliau bertajuk Tabari on the Companions of the Prophet: Moral and Political Contours in Islamic Historial Writing telah melakukan pemeriksaan teliti kepada pendekatan yang diguna pakai oleh Ibn Jarir al-Tabari dalam pengumpulan riwayat berkaitan dengan sahabat Rasulullah SAW, dengan menjadikan Perang Jamal dan Perang Siffin sebagai tumpuan kajian.
Tabari sebagai seorang Muhaddith yang berkecimpung di dalam sejarah menolak had kawalan ke atas laporan-laporan yang diriwayatkannya. Apa sahaja riwayat yang sampai kepada beliau, direkodkan berserta dengan rantaian perawi sebagai penentu antara riwayat yang sahih dengan sebaliknya. Tayob juga memetik pendapat Albrecht Noth yang menyatakan bahawa riwayat-riwayat era awal Islam terdiri daripada laporan yang saling bertentangan berkaitan peristiwa-peristiwa yang penting membabitkan soal agama dan poilitik. Laporan yang cenderung kepada kelompok-kelompok yang pelbagai di dalam masyarakat Islam sukar hendak dikaitkan sumbernya pada wilayah-wilayah yang tertentu kerana kecamukan yang berlaku di kalangan riwayat itu tadi. Malah Noth juga menyimpulkan bahawa ahli Sejarah Muslim yang awal, lebih merupakan pengumpul dan bukan pengusaha sintesis yang menganalisa isi kandungan sumber itu tadi.
Noth juga mempertikaikan pendapat Wellhausen yang mengklasifikasikan ahli Sejarah kepada wilayah iaitu aliran Madinah dan Iraq. Beliau meragui pendapat Wellhausen dengan menekankan bahawa tidak mungkin hasil kerja individu seperti Ibnu Ishaq dan Sayf bin Umar boleh dianggap mewakili wilayah yang dinisbahkan kepada mereka, tanpa menafikan adanya pengaruh persekitaran terhadap periwayatan mereka. Tayob terus memetik pendapat Noth yang mencadangkan agar tumpuan diberi kepada perkara-perkara pokok tentang ajaran Islam dan pengaruhnya kepada pensejarahan Muslim berbanding dengan bergantung kepada prejudis keagamaan, politik dan wilayah.
Tayob menjelaskan bahawa kepercayaan tentang kedudukan istimewa dan khusus sahabat Nabi amat penting dalam membentuk pandangan hidup Islam. Baghdad pada kurun yang ke-9M menyaksikan isu kedudukan sahabat Nabi SAW ini bukan hanya berlegar di dalam permasalahan pensejarahan malah menjadi topik yang dibincangkan di dalam majlis-majlis sarjana. Isu ini mempunyai implikasi yang besar kepada makna dan tabiat Islam itu sendiri. Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, Syiah dan keluarga bani Abbas yang bersikap apologetik mendukung pendapat yang tersendiri berkenaan para sahabat secara umum, dan terhadap beberapa orang sahabat secara khusus.
Jahiz memberikan indikasi bahawa pendapat yang berpihak kepada Muawiyah akan mencetuskan bantahan dan penolakan oleh Bani Abbas.
Secara khusus, permasalahan ini menjadi perhatian utama membabitkan Muhaddith yang juga seorang Muarrikh penting iaitu Tabari. Konflik antara beliau dan Hanabilah, situasi politik yang begitu partisan oleh Bani Abbas, mencetuskan dilema pada mengimbangkan dua tuntutan. Antara kewujudan sebegitu banyak riwayat yang mencetuskan sanggahan terhadap keadilan para sahabat, dan tuntutan prinsip agama yang juga menjurus kepada mempertahankan keadilan para sahabat yang sama.
Tayob berpendapat, Tabari banyak mendatangkan riwayat Sayf bin Umar bagi peristiwa perang Jamal, dan riwayat Abu Mikhnaf bagi Peperangan Siffin. Landau-Tasseron berpendapat, Tabari sepatutnya meletakkan Sayf bin Umar di taraf yang sama dengan perawi-perawi yang lain kerana pendapatnya yang mempertikaikan Sayf bin Umar, tidak lagi menjadikan Tabari seorang yang neutral dalam mengemukakan riwayat (Landau-Tasseron 1990). Cadangan ini dipertikaikan oleh Donner and Blankinship yang meragui keupayaan Sayf bin Umar untuk diambil riwayat daripadanya.
Muhaddith lebih cenderung kepada menggunakan pendekatan yang meletakkan punca krisis Fitnah kepada kelompok bukan sahabat. Tabari mengambil pendiriannya yang tersendiri. Beliau tidak memilih pandangan golongan yang bersikap apologis untuk Bani Abbas seperti Jahiz, mahu pun cenderung kepada golongan yang dominan ketika itu, kelompok Hanabilah. Sebaliknya, sebagai seorang tokoh yang tersendiri, Tabari memilih untuk meneroka aspek fiqh dan kendalian moral serta mengelakkan diri daripada terbabit secara langsung dengan sebarang gerakan sosial dan politik semasa.
Tabari meletakkan tanggungjawab aqidah dan moral sebagai komitmen yang mesti dipegang oleh para pengkaji untuk berinteraksi dengan riwayat-riwayat yang dibentangkannya.
KESIMPULAN
Penulisan sejarah membabitkan era al-Khulafa’ al-Rashidin perlu memanfaatkan kedua-dua kaedah yang diguna pakai oleh muhaddith dan muarrikh untuk membentuk pensejarahan yang sejahtera. Biar pun terdapat perbezaan yang ketara antara syarat penerimaan riwayat oleh muhaddith berbanding dengan muarrikh yang mana syarat ini penting untuk menyaring riwayat-riwayat yang membabitkan persoalan aqidah dan syariah, pendekatan muarrikh dalam mendatangi riwayat-riwayat berkenaan secara kolektif, membuat perbandingan dan menafsir isi kandungannya, membolehkan kebenaran dikenal pasti khususnya semasa berhadapan dengan riwayat-riwayat tidak bersanad, atau yang sanadnya terlalu kabur dan tidak lengkap untuk dinilai secara muhaddith.
RUJUKAN
Abd al-Aziz al-Duri. Bahs fi Nash’ah ‘Ilm al-Tarikh ‘inda al-‘Arab. Beirut. Dar al-Mashriq. 1983. Cetakan Pertama.
Muhammad Fathi Uthman. Al-Madkhal ila al-Tarikh al-Islami. Beirut. Dar al-Nafais. 1992. Cetakan kedua.
Muhammad Muhammad Hasan Shurrab. Fi Usul Tarikh al-Arab al-Islami. Dimashq. Dar al-Qalam. 1993. Cetakan pertama.
Faruq Hamadah. Masadir al-Sirah al-Nabawiyyah wa Taqwimuha. Rabat. Dar al-Tsaqafah. 1989. Cetakan kedua.
Nuruddin Hatum, Nabih Aqil, Ahmad Tarbin, Salah Madani. Al-Madkhal ila al-Tarikh. Dimashq. DaMatba’ah al-Hilal. 1982. Cetakan pertama.
Al-Hafiz Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Sayuti. Tadrib al-Rawi fi Sharh Taqrib al-Nawawi. Beirut. Dar al-Kitab al-Arabi. 1989. Cetakan pertama.
Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad al-Raghib Al-Asfahani,. Al-Mufradat fi Gharib al-Quran. . Beirut. Dar El-Marefah.
Muhammad Jalal al-Din al-Qasimi. Qawa’id al-Tahdith min Funun Mustalah al-Hadith. Beirut. Muassasah al-Risalah. 2004. Cetakan pertama.
Ahmad Amin. Fajr al-Islam. Beirut. Dar al-Kitab al-Arabi. 1969. Cetakan kesepuluh.
Shihab al-Din Abi al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Hajr al-Asqalani. Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah. Beirut. Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi. 1328H. Cetakan pertama.
[1] Al-Asqalani, Shihab al-Din Abi al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Hajar. 1328H. Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah. Jil 1. Dar Ihya’ al-Turas al-Arabi.
[2] Al-Raghib Al-Asfahani, Abu al-Qasim al-Husain bin Muhammad. Al-Mufradat fi Gharib al-Quran. . Beirut. Dar El-Marefah.
[3] Al-Sayuti, al-Hafiz Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakr. 1989. Tadrib al-Rawifi Sharh Taqrib al-Nawawi. Dar al-Kitab al-Arabi. Beirut.
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (369) Pelawat
March 20, 2013
Kesalahan Menggugurkan Selawat dan Salam Dalam Pengucapan dan Penulisan
Kita disyariatkan untuk berselawat kepada Nabi sallallaahu alayhi wa sallam semasa bersolat di dalam bacaan tasyahhud. Juga semasa berucap, berdoa dan beristighfar. Demikian juga selepas azan, semasa masuk dan keluar masjid dan ketika baginda disebut dalam situasi-situasi yang lain.
Ibnu Solah di dalam Muqaddimah Ibnu Solah menyebut di dalam Bab 25 “Pada Menulis Hadith dan Kaedah Penulisan Serta Tuntutan-tuntutannya”, beliau berkata:
Ke-9: Hendak seseorang itu memelihara penulisan selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa menyebut baginda. Tidak menjadi sesuatu yang menyakitkan untuk ia dilakukan secara berulang-ulang kerana ia adalah manfaat agung yang segera hadir buat mereka yang belajar hadith serta menulisnya. Barangsiapa yang cuai daripada melaksanakannya, maka terhalanglah dirinya daripada mendapat kurniaan yang besar.
Ibnu Solah juga menegaskan tentang pentingnya memuji Allah semasa menyebut nama-Nya, seperti pujian Azza wa Jalla dan Tabaraka wa Ta’aala dan yang seumpama dengannya.
Katanya, “dan hendaklah dijauhkan perbuatan memuji itu dengan dua kaedah yang cacat iaitu sama ada (i) menulisnya dengan akronim menggunakan satu dua huruf dan yang seumpama dengannya, atau pun (ii) menulisnya secara tidak lengkap seperti berselawat “sallallaahu alayhi”, dan meninggalkan “wa sallam”
Ibnu Solah mendatangkan riwayat yang direkodkan daripada Hamzah al-Kanani rahimahullah (meninggal dunia 357H) , beliau berkata, “pernah semasa aku menulis, tatkala aku mencatat NABI, aku ikuti dengan “sallallaahu alayhi” dan aku tidak menulis “wa sallam”. Aku telah melihat Nabi sallallaahu alayhi wa sallam di dalam mimpiku dan baginda berkata kepadaku, “mengapakah engkau tidak menyempurnakan selawat ke atasku?” Semenjak itu aku tidak pernah lagi menulis “sallallaahu alayhi” melainkan akan kusempurnakan ia dengan sebutan “wa sallam”.
Ibnu Solah juga berkata, “adalah tidak disukai perbuatan meringkatkan sebutan selawat itu kepada “alayhi al-salam”, Wallahu A’lam.
Al-Allamah Al-Sakhawi rahimahullah menyebut di dalam kitabnya Fath al-Mughith Sharh Alfiyyah al-Hadith li al-Iraqi, “Hindarilah wahai penulis (membuat simbul / akronim) untuknya) yakni selawat dan salam ke atas Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam dalam penulisan kamu dengan meringkaskan ia kepada dua huruf dan yang seumpama dengannya kerana ia adalah cacat, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Al-Katati serta orang-orang yang jahil daripada para Ajam dalam kebanyakan keadaan serta di kalangan pelajar-pelajar. Mereka menggantikan selawat sallallaahu alayhi wa sallam kepada (ص) atau pun ( صم ) atau (صلعم ), yang mana perbuatan itu cacat ganjarannya kerana cacatnya cara menulis, menyalahi apa yang lebih utama.
Al-Imam Al-Suyuti rahimahullah turut menyebut perkara yang sama di dalam kitabnya Tadreeb al-Rawi fi Sharh Taqrib al-Nawawi. Katanya, “Adalah tidak disukai perbuatan memendekkan penyebutan selawat dan salam di sini dan di setiap catatan yang disyariatkan padanya selawat sebagaimana yang terdapat di dalam Sharh Sahih Muslim dan lain-lainnya. Ini adalah kerana firman-Nya, “dan berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan salam yang sempurna” )ِ(Al-Ahzaab 33: 56)” sehingga kepada kata-katanya, “Dan tidak disukai perbuatan menggunakan simbol untuk selawat dan salam itu di dalam penulisan dengan menulis satu huruf atau dua huruf seperti (صلعم ), bahkan hendaklah menulis kedua-duanya dengan lengkap dan sempurna.
Ini adalah terjemahan saya kepada pendapat-pendapat ulama muktabar yang dinukilkan oleh Sheikh Bin Baz di dalam Majmu’ Fatawa beliau. Kelemahan dalam penterjemahan adalah kelemahan saya dan terbuka kepada penambah baikan dan pembetulan.
Sebahagian penerbit di dalam pasaran industri buku kita menggugurkan SEMUA selawat dengan berpada meletakkan galakan selawat dalam satu pesanan di awal naskhah. Dan saya melihat buku-buku terbitan PTS sudah agak lama secara konsisten melakukannya. Saya tidak mempunyai sebarang dokumen untuk dirujuk tentang asal usul idea menggugurkan selawat ini, tetapi kehilangan selawat dan salam semasa menyebut Nabi sallallaahu alayhi wa sallam merebak sama ada kesan daripada teknik PTS dalam hal ini, atau pun mungkin saranan oleh Puan Ainon Mohd selaku ideologue bagi PTS.
Saya melihat kemerosotan ketara sebutan selawat di dalam blog Ayahanda Abdul Latip Talib daripada entri awal beliau, berbanding selepas menjadi penulis PTS.
Tim Hadith Psikologi dan modul-modulnya juga seperti secara ‘conscious’ meninggalkan selawat dalam tulisan, dan merebak hingga ke video-video pun, selawat ditinggalkan.
Selain daripada konteks yang dibicarakan oleh ilmuan muktabar Islam seperti al-Sakhawi, al-Suyuti dan Ibn Solah rahimahumullah sendiri, perbuatan secara sedar menghilangkan selawat dalam bentuk seperti ini mungkin bukan lagi kekurangan dalam penulisan tetapi boleh berubah menjadi BID’AH dan MUNGKAR yang besar.
Ini adalah kerana, pengambilan manfaat daripada Baginda sallallaahu alayhi wa sallam tanpa membayar balik dalam bentuk selawat dan salam yang disyariatkan oleh Allah, bukan sahaja merugikan kita di Akhirat (kerugian yang amat besar), malah mendatangkan fitnah di dunia apabila Sunnah kehilangan rangka spiritualnya. Ia menjadikan ekstrak-ekstrak hadith berupa materialistik dan mendedahkan kepada kecacatan berpanjangan daripada satu generasi ke satu generasi. Apatah lagi buku-buku terbitan kita menjadi rujukan masyarakat dalam mereka mencari AGAMA.
Klien utama kita masih MUSLIM yang merupakan umat Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam, dan bukannya non Muslim untuk kita bersifat apologetik dalam penulisan.
Jika ada ‘apek pencetak buku’ salah faham tentang SAW itu sebagai saw dan bukannya sallallaahu alayhi wa sallam, itu harus disembuhkan dengan SAW itu ditulis sebagai sallallaahu alayhi wa sallam dan bukan dengan membuangnya daripada keseluruhan penulisan.
Saya juga dari semasa ke semasa melakukan kesilapan ini, namun berusaha untuk memperbaikinya dan mengajak kita semua melakukan perkara yang sama.
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzaab 33: 56)
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (672) Pelawat
Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan
“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang lelaki di zaman Andalus.
Namanya Hayy ibn Yaqdhan. Anak muda yang tercampak ke sebuah pulau asing, dan sejak kecil beliau membesar sendirian tanpa pernah bertemu dengan manusia lain. Ala-ala kisah Robinson Crusoekurun ke-18.
Hayy ibn Yaqdhan tidak pernah tahu apa itu ‘agama’. Beliau membesar dengan belajar hukum alam di sekitarnya. Belajar mengajuk cakap binatang, belajar berkomunikasi dengan mereka dan dengan mematuhi hukum alam itu dia selamat.
Tetapi di dalam diri Hayy, ada suatu unsur kuat untuk dia melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Unsur untuk membolehkannya ‘berfikir’ tentang Kuasa Agung di sebalik semua material yang mengelilinginya. Semua ini tidak bermakna kecuali ia dihubungkan kepada Kuasa Agung itu.
Hayy terus menelah kehidupannya dan dia sampai kepada yakin, bahawa tiada kebahagiaan dalam hidup ini kecuali dengan bertafakur dan merenung Kuasa Agung itu, dialah Tuhan.
Hayy hidupnya begitu.
Dorongan fikir dan renungnya terhadap ‘Allah’ melalui mesej-Nya yang disampaikan melalui ciptaan Allah memaksa Hayy untuk dengan sendirinya tunduk rukuk, malah rebah sujud ke bumi. Terasa benar siapa dirinya, hingga tersungkur di depan Dia.
Segala-galanya berubah, apabila Hayy dikunjungi buat pertama kalinya oleh seorang lelaki dari ‘negeri bertamadun’. Lelaki itu bernama Absal.
“Manusia apakah ini yang hidup sendirian, bersalut bulu angsa untuk menyembunyikan anggota sulitnya?”, Absal terkejut melihat Hayy.
Setelah puas berusaha meyakinkan Hayy bahawa kedatangannya tidak membawa apa-apa maksud yang tidak baik, Absal dan Hayy bersahabat karib.
Pada renungan Hayy, biar pun Absal ini beragama dengan ‘agama itu’, cara Hayy bertafakkur dan berhubung dengan Tuhannya, selari dengan agama yang dianuti oleh si Absal. Namun, akhirnya mereka berdua akur bahawa ‘agama’ Hayy itu lebih asli berbanding amalan Absal yang hanya berorientasikan ritual semata. Atas kesepakatan ini, Absal membawa Hayy ke negerinya yang bertamadun itu untuk memperkenalkan ‘agama tulen’ si Hayy.
KUASA SEBUAH NOVEL
Kisah di atas bukan catatan sejarah. Hayy ibn Yaqdhan dan Absal hanyalah dua watak fiksyen. Ia merupakan kisah yang dikarang oleh seorang ahli falsafah Arab bernama Ibn Tufayldi negeri Andalusia, untuk mengkritik secara kiasan terhadap masyarakatnya ketika itu.
Ibn Tufayl tidak menyebut apakah agama si Absal yang dikatakan penuh ritual tanpa makna itu. Tetapi agamanya berteraskan sehimpun solat dalam sehari, berpuasa di bulan tertentu, memberi bantuan kepada si miskin dan ziarah ke tempat suci. Sebagaimana agama Hayy ibn Yaqdhan dipraktikkannya tanpa nama, Ibn Tufayl juga tidak menyebut secara jelas bahawa agama yang dikritiknya ketika itu adalah agama Islam yang diamalkan oleh penduduk Andalus.
Mengapa harus dikritik? Mari kita sambung perjalanan Hayy ibn Yaqdhan bersama Absal…
Hayy teruja.
Teruja melihat penduduk negeri Absal beribadah sepertinya. Rukuk, sujud… semuanya serba serbi. Banyak persamannya.
Tetapi Hayy tidak lama begitu. Dia segera mengesan, bahawa segala perbuatan kaum di negeri Absal itu hanya ilusi. Mereka melakukan ibadah secara kosong tanpa makna. Tidak faham mengapa rukuk, tidak tahu mengapa sujud. Justeru ibadah mereka tidak memberi bekas. Tiada kesan.
Kehidupan penduduk negeri itu sibuk dengan huruf-huruf pada teks aturan agama tetapi mereka kehilangan roh aturan agama itu.
Hasrat Hayy untuk mencari manusia pintar yang boleh menerima dan mempelajari ‘agama tanpa nama’nya itu, tidak berhasil. Lantas Hayy dan Absal mengambil keputusan meninggalkan ‘negeri bertamadun’ itu kerana pada hemat mereka, penduduk di situ tidak lebih dari sekadar makhluk yang umpama binatang yang tidak berakal.
Mengapa?
Seperti binatang… hidupnya juga ada peraturan. Malah jarang sekali peraturan itu dilanggar. Tetapi binatang itu tidak mampu memahami maksud agama Hayy, kerana mereka tiada akal. Manusia yang mengikut peraturan tanpa akal, binatanglah mereka!
“Mereka bergantung sepenuhnya pada meniru pesan Nabi dan tradisi agama, secara melulu tanpa berusaha untuk memahami maksud perbuatan mereka itu”, simpul Hayy.
PEMURNIAN AGAMA
Apa yang dilakukan oleh Ibn Tufayl di dalam novel fiksyennya ini, hampir sama dengan apa yang cuba dilakukan olehMoses Maimonides kepada Judaism. Agama yang sudah menjadi ritual.
Moses Maimonides
Tetapi saya lebih terkasima dengan kisah Hayy ibn Yaqdhan. Lebih dari ungkapan tentang Robinson Crusoe sebagai novel pertama Inggeris, lebih dari Moses Maimonides yang hidup lebih awal, sezaman dengan Ibn Tufayl. Kerana hakikatnya, kritikan Ibn Tufayl kepada masyarakat Andalus melalui kisah Hayy ibn Yaqdhan dan Absal ini, masih relevan dan kena dengan kesengsaraan jiwa saya melihat kelakuan Muslim hari ini.
Agama menjadi ritual.
Kita semakin beragama tetapi beragama tanpa Tuhan.
BERTUHAN TANPA AGAMA
Terdahulu, saya kasihan melihat Eropah. Kekecewaan mereka terhadap agama Kristian yang penuh kecelaruan dan bertentangan dengan asas akal manusia, ramai yang lari meninggalkan agama.
Tetapi ini tidak bermakna mereka lari meninggalkan Tuhan. Berbekalkan keyakinan kepada Tuhan, mereka masih terus cuba mengenal pasti kehendak-Nya, tanpa agama. Lantas muncullah para saintis seperti Newton dan terutamanya François-Marie Arouet atau lebih dikenali dengan nama penanyaVoltaire.
Tentu sahaja jika diukur pada soal hablun minallah, maka mereka tidak teratur malah tidak tentu arah dalam cubaan menjustifikasikannya. Tetapi sari pati di sebaliknya masih ada. Fahaman Deism, yang saya simpulkan sebagai berTuhan tanpa agama, sudah cukup untuk memahamkan kepada kita mengapa tanpa Risalah Kenabian dan Syariat yang jelas, Eropah masih boleh bangkit sebagai sebuah masyarakat yang sistematik dan bertamadun.
CETUSAN SEBUAH REVOLUSI
Liberty… pembebasan
Equality… kesama rataan
Fraternity… persaudaraan
Slogan itu adalah intisari Revolusi Perancis. Ia berperanan besar dalam mendefinisikan kembali apakah itu keadilan bagi sebuah pemerintahan. Keadilan yang menjadi subjek tertinggi turunnya Syariat dari Pencipta alam kepada penghuni alam. Berlaku adil dan kehidupan, dan pemerintahan.
Tetapi sedarkah kita bahawa ketiga-tiga elemen itu, merupakan khasiat sebenar Tauhid dan Syahadah kita kepada Allah?
Apabila kita lafazkan ungkapan La Ilah… ia menjadi teras kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dari diperhambakan oleh diri yang lain. Jangan lagi ada manusia yang cuba menindas manusia lain.. La Ilah menyuntik pembebasan. Revolusi Perancis melaungkan La Ilah pada ungkapan Liberté, dan kerana mereka kabur dengan Tuhan sebagai rujukan, Liberté itu berjaya mencetuskan pembebasan tetapi dengan pelbagai kesan sampingan.
Akan tetapi seorang Muslim melaungkan La Ilah demi keluar dari penindasan dan perhambaan, lalu diikat kepada IllaLlaah! Bahawa kita keluar dari perhambaan bukan kepada menjadi Tuan. Kita keluar dari perhambaan sesama manusia, kepada pulang menjadi hamba kepada Dia, Allah Tuhan yang Maha Mencipta.
Kerana itu, antara komen awal yang diterima oleh Baginda SAW tatkala melaungkan seruan La Ilaha IllaLlaah ialah “seruan ini dibenci raja-raja yang memerintah”. Sesiapa sahaja yang memahami maksud Kalimah Tauhid itu akan tahu bahawa ia akan melucutkan hak menindas yang dinikmati oleh pemerintah.
Perancis di Eropah bertolak dari Liberté itu kepada égalité atau equality.
Setelah manusia bebas dari perhambaan sesama manusia, barulah mereka bersedia untuk menerima hakikat bahawa setiap insan dilahirkan sama. Tiada lebih arab ke atas ajam, tiada lebih putih ke atas hitam, malah tiada lebih penguasa dan rakyat, kecuali semuanya sama di hadapan peraturan dan undang-undang. Seruan ini membawa kepada deklarasi tahun 1789 bahawa setiap individu adalah sama statusnya sama ada terhadap hak mendapat perlindungan undang-undang, atau hak dihukum oleh undang-undang.
Inilah juga kesan Tauhid bahawa perlindungan sebuah kerajaan bukan hanya kepada orang kaya, malah turut memberi jaminan kepada si miskin. Hukuman jenayah bukan hanya mengerat tangan si miskin, tetapi juga si kaya serta penguasa. Lupakah kita kepada seruan perpisahan Nabi SAW di Hajinya yang satu itu?
“Wahai manusia sekalian! Sesungguhnya Tuhanmu adalah Satu, dan kamu semua berasal dari bapa yang satu, setiap kalian berasal dari Adam, dan Adam terbuat dari tanah, orang yang paling mulia di antaramu adalah mereka yang paling bertakwa. Tidak ada keutamaan bagi orang arab atas orang non arab, dan (sebaliknya) tidak juga bagi orang non arab atas orang arab. Juga tidak ada keutamaan bagi orang kulit putih atas orang kulit merah, kecuali dengan TAQWA”
Kesamarataan ini adalah intipati keadilan. Dengannya manusia memandang manusia lain dengan rasa kebersamaan. Di atas titik itu mereka berupaya untuk hidup sejahtera, bekerjasama di dalam lingkungan ukhuwwah persaudaraan. Biar pun Eropah memilih pelbagai jalan yang sulit untuk mendefinisikan fraternité atauFraternity itu, namun mereka komited dalam usaha. Daripada Kristianisasi yang berfungsi sebagai tali pengikat di antara sesama manusia, mereka menyeru kepada rasa cinta kepada tanah air, demi sebuah penyatuan.
The storming of the Bastille, 14 July 1789
JELEK DENGAN EROPAH
Kita mungkin jelek dengan Eropah dan jelek dengan usaha saya membuat perbandingan ini.
“Ada apa dengan Patriotisma ala Revolusi Perancis itu?!”, bermuncung-muncung kita mengkritik.
“Sama rata? Sama rata apa kalau perempuan memakan masa yang panjang dan susah payah yang jerih untuk sekadar membolehkan mereka itu ada hak memiliki harta, dan mengundi? Islam sudah lama begitu”, sombong seorang Muslim terhadap Eropah yang dipandangnya penuh jelek.
Ya, jika mahu diungkit kekurangan Eropah, kekurangan itu memang banyak. Apatah lagi jika cerminnya adalah Islam yang silam. Memang jauh sekali hebatnya Islam berbanding Eropah. Tambah pula jangan dilupa, bahawa Eropah itu berTuhan tanpa agama!
Tetapi busuk-busuk Eropah, biar pun dengan ideologi yang pelbagai, mereka mampu bertolak ansur dengan sentimen masing-masing terhadap sempadan negara. Mereka mampu membentuk Kesatuan Eropah. Kita yang Muslim dengan satu Tuhan, satu Rasul, satu Kitab dan satu Syariat itu, mampukah satu itu menghasilkan Kesatuan?
Kesatuan Arab?
Kesatuan Negara Muslim?
Pencapaian terbaik kita setakat ini ialah bersetuju untuk tidak bersetuju.
Jika tanpa agama, Eropah boleh memperelokkan struktur sosial, ekonomi dan politik mereka, apa perlunya dunia ini kepada Islam? Jangan main-main dengan soalan ini, kerana anda wajib bersedia menjawabnya.
Kita bangga dengan konsep Syura, tetapi sejauh mana pandangan orang ramai diambil kira? Usahkan orang ramai, sejauh mana pandangan pihak lawan di dalam medan sekecil parlimen, diambil kira? Tanya sahaja mana-mana negara Muslim, apakah adaFreedom, Equality dan Fraternity yang boleh diketengahkan untuk menandingi Eropah yang dipandang buruk itu?
KEADILAN SOSIAL ALA SUMER
Lawatan 2006 saya ke Dublin mencetuskan sesuatu di minda.
Standard biasa kebanyakan rumah di Dublin
Saya melihat hampir kesemua projek perumahan dalam lingkungan usia sedekad ini, dibina dengan spesifikasi yang hampir sama. Boleh dikatakan kawasan perumahan di mana-mana sahaja yang sedang dibangunkan, ia mempunyai standard yang sama. Pembeza harganya hanyalah lokasi. Atas dasar ini, sesiapa sahaja yang mahu membeli rumah, akan membeli rumah yang ITU. Lantas di sebuah kawasan perumahan, bertemulah kita dengan seorang doktor berjiran dengan guru, tukang paip, akauntan, jurutera dan ahli perniagaan. Rumah mereka sama.
Jika ada yang kayanya lebih, mungkin dia akan membeli lebih dari satu rumah untuk pelaburan, atau beli sahaja istana lama di kawasan rural yang jauh dari penempatan awam. Lantas tidak wujud istilah rumah kos rendah di sisi rumah mewah. Tidak ketara di bandar besar seperti Dublin, adanya golongan elit ala Sierra Mas yang mustahil bertemu dan bercampur gaul dengan komuniti perumahan kos rendah di Damansara Damai di seberang jalan.
Sungguh….. perkataan apa yang patut diguna di sini? Sungguh Islamik!
Teringat saya kepada struktur seni bina bandar Ur kaum Sumer. Rumah ahli agama dan ahli politik serta rakyat jelata duduk di tempat yang sama. Pusat bandarnya pula ada rumah ibadah mereka. Ia menjadi asas tafsiran pengkaji sejarah bahawa struktur begini sulit untuk berlaku kecuali dengan kuasa agama, agama Tauhid yang memberikan equalitykepada sesama manusia.
Hampir semua tamadun purba ada kesan wahyu dan kenabian padanya, biar pun sulit untuk kita buktikan secara jazam. Tetapi Tamadun Eropah nyata berbeza. Tiada nabi yang diutus untuk mereka selain Nabi Muhammad SAW sebagaimana kita. Tetapi bagaimana kesan yang hanya mampu dicetus oleh sari pati Tauhid boleh kelihatan dalam banyak aspek kehidupan Eropah hari ini?
Soalan ini terbuka kepada perbincangan.
Equality di Eropah bukan mainan ceramah atau tulisan, ia adalah nilai teras justeru dapat dilihat dalam polisi awam dan dinikmati oleh semua.
Dublin dan Eropah itu tidak punya Islam. Tetapi mereka ada nilai Islam. Eropah berTuhan tanpa agama.
MUSLIM BAGAIMANA?
Kita ada serba serbi.
Rujukan kita lengkap.
Bukan sahaja lengkap, malah jangan dicabar kesahihannya. Persenjataan ilmu kita amat kukuh untuk mempertahankan ketulenan agama kita.
Tetapi, dengan agama yang sahih itu… apakah terbit nilai yang sebenar? Apabila Allah SWT memerintahkan kita agar berlaku adil, dapatkah manusia lekeh setinggan dan manusia elit di puncak bukit menikmati keadilan yang sama?
Bagaimanakah layanan pemerintah di negara-negara Muslim terhadap rakyatnya? Terhadap pembangkang di dalam sistemnya? Terhadap kebolehan bersuara memberikan pandangan? Adakah ruang untuk seorang rakyat biasa di atas kerusi roda masuk ke parlimen untuk menyoal pemimpin tertinggi, seperti nikmat hari Rabu di sebuah Parlimen tanpa Islam bernama Westminster?
Jika semua itu tidak wujud pada amalan, di manakah silapnya?
Hayy ibn Yaqdhan akan lebih terseksa jika ziarahnya sampai ke kehidupan kita hari ini.
Agama kita hanya ritual. Bukan sahaja ritual pada sujud dan rukuk, malah ritual dalam segala-galanya. Tanpa makna.
Kita tegas menentang riba sebagaimana yang diperincikan oleh teks agama, tetapi alternatifnya sama menindas. Riba hilang, tetapi penindasan dan tekanan tetap ada.
Kita solat, berpuasa, berzakat dan berhaji, tetapi sejauh mana solat menjadikan kita ini sujud dan tunduk di luar solat? Sejauh mana puasa membebaskan diri dari perhambaan kepentingan peribadi, kepada mengutamakan kepentingan yang Maha Tinggi? Sejauh mana zakat kita menjadikan komuniti Muslim sebagai komuniti yang saling menjaga kebajikan si miskin yang tiada status sosial? Sejauh mana haji kita menjadi kemuncak Freedom, Equality dan Fraternity?
Kita berusaha keras untuk mensahihkan penampilan luaran ibadah kita, tetapi pedulikah kita kepada roh ibadah itu sendiri?
Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit… ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan. Apakah kita benar-benar berhubung dengan Allah melalui solat kita yang sahih itu? Jika kita berhubung, mengapa Solat kita tidak melahirkan manusia hamba? Lebih ramai yang sahih solatnya, lebih ramai yang berkelakuan seperti tuan, bukan hamba seperti yang sepatutnya.
Itu dalam soal ibadah individu.
Bagaimana pula dalam soal yang lebih besar?
RITUAL DALAM BERPOLITIK
Tunuslu Hayreddin atau Khayr al-Din al-Tunisi, bekas presiden Tunisia yang juga Menteri Utama Khilafah Othmaniyyah di zaman Sultan Abdul Hamid II, sudah mengingatkan kita bahawa keupayaan Eropah untuk maju, misalnya di zaman Charlemagne, bukanlah kerana Kristiannya mereka. Tetapi kemajuan itu dicapai atas komitmen mereka kepada JUSTICE, keadilan!
Inilah yang mesti disedari oleh pemerintah Muslim, bahawa mereka harus sedar bahawa maksud Islam dalam pemerintahan, ialah pada menegakkan keadilan. Tidak cukup menjadi pemerintah Muslim, jika pemerintahannya kosong dari komitmen kepada keadilan.
Apa maknanya tertegak sebuah pemerintahan yang diwartakan sebagai pemerintahan al-Quran dan al-Sunnah, jika ia jauh dari komitmen terhadap keadilan? Keadilan adalah akhlak sebuah kerajaan yang lurus.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (Al-Nisaa’ : 58)
Sebagaimana Hayy ibn Yaqdhan kecewa dengan penduduk negeri Absal yang ‘menyembah teks’ kerana berkelakuan seperti haiwan tanpa akal, saya juga terus berkongsi kekecewaan dengan golongan agama yang berkelakuan yang sama hari ini.
SALAF DAN KHALAF
Salaf dan Khalaf berkongsi masalah yang sama. Fazlur Rahman pernah memberikan komen tentang gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab mahu membasmi taqlid dari masyarakat, tetapi beliau telah membuang instrumen terpenting untuk seseorang keluar dari taqlid, iaitu akal. Lantas mereka yang mengikut manhaj Muhammad bin Abdul Wahhab berpindah dari satu jenis taqlid, kepada taqlid yang lain.
Bagi khalaf pula, biar pun mereka tegas mempertahankan gagasan pembelajaran aqidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Apakah ada sebab untuk Sifat 20 dipertahankan, jika dalam masa yang sama kita menolak fungsi akal dalam memahami agama.
Lantas kedua-dua golongan ini terus berbalah di sepanjang sejarah, atas kesepakatan mereka menolak faculty of reason. Jika ada yang cuba keluar dari dua kelompok ini, segera pula dibungkus dengan plastik berjenama Muktazilah! Habis cerita…
SIASAH
Soal pemerintah yang melakukan kesilapan dan kesalahan, ia adalah sesuatu yang lumrah. Ia terbit dari sifat asli manusia. Kerana itu sains politik diletakkan sebagai cabang disiplin sains sosial (sains kemanusiaan). Apa sahaja ideologi yang menjadi dasar sesebuah negara, ia akan memperuntukkan kaedah check and balance untuk mengawal keadaan ini. Biar pun pemerintah tidak gemar dengan pembangkang, tetapi untuk menafikan peranan pembangkang sebagai pelengkap kepada sebuah sistem, belum ramai yang sampai ke situ, kecuali pemerintah maha diktator.
Tetapi penyembahan teks tanpa peduli kepada maksud Syariat Allah, menjadikan lahir segelintir ilmuan agama lebih rela melihat berleluasanya kemungkaran, berbanding usaha membetulkan keadaan.
Sebagai suatu kajian kes rujukan, munculnya golongan ni atas pegangan mereka kepada teks Sunnah yang menyebut larangan menegur pemerintah secara terbuka, mereka mematuhinya tanpa peduli kepada apakah maksud di sebalik perintah itu. Apa yang mahu dipertahankan ialah, jangan ditegur pemerintah itu. Baik di parlimen, atau di mana sahaja.
Soal maksud pemerintahan untuk menegakkan keadilan terhadap rakyat, semacam terlalu murah untuk diberi perhatian.
Lantas Eropah tanpa agama, lebih telus dan komited dalam melaksanakan keadilan kepada rakyatnya, berbanding negara mahu pun negeri al-Quran dan al-Sunnah. Lihat nasib pembangkang di negera dan negeri itu, lihat kekebalan pemerintah di negara dan negeri itu? Di situlah suburnya maksiat. Mungkin bid’ah rakyat rancak dihapuskan, tetapi maksiat pemerintah dan ketidak telusan dalam pemerintahan, dibiarkan begitu sahaja kerana kepercayaan bahawa pemerintah tidak boleh ditegur, bersabar ke atas maksiat mereka adalah jalan Taqwa.
Sesungguhnya ini adalah kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan, menurut tafsiran Ibn Tufail di dalam novel kritik sosialnya melalui watak Hayy ibn Yaqdhan dan Absal. Apa yang mahu dicapai oleh seruan Baginda SAW langsung tidak dipeduli, Apatah lagi seruan oleh Rasul yang sama terhadap tuntutan kalimatul haq ‘inda Sultan Jaa’ir.
Ketika semua ‘agama’ dan ideologi menerima bahawa kestabilan negara mesti dijaga, kerajaan mesti berlaku adil, dan kesilapannya mesti diperbetulkan, melalui pelbagai sistem yang ada, tiba-tiba hanya ada satu versi sahaja yang muncul memberitahu sebaliknya. Dan ia muncul atas nama al-Sunnah. Bahawa mengkritik pemerintah ialah suatu dosa!
Dosa warisan puak Khawarij!
Jika Hayy ibn Yaqdhan masih hidup, mungkin komennya semasa mendarat di semenanjung ini ialah… this is a pseudo religion, agama saduran!
Tidak hairanlah, Muhammad Abduh pergi ke Paris dan pulang ke Kaherah, membuat kesimpulan bahawa, “aku ke Paris dan kutemui Islam tanpa Muslim, dan aku pulang ke Kaherah dan kutemui Muslim tanpa Islam!”
Kita bersolat sekadar ritual.
Kita berzakat sekadar ritual.
Kita berpuasa secara ritual.
Kita berhaji secara ritual.
Malah kita berekonomi secara ritual, dan malang sekali… kita juga berpolitik secara ritual.
Eropah bertuhan tanpa agama, Muslim beragama tanpa Tuhan. Eropah sesat menuju Akhirat, Muslim muflis dunia dan nasibnya juga belum tentu di Akhirat. Lantas agama kita kosong dari nilai… hanya ritual seperti kepatuhan lembu terhadap naluri laparnya yang menuntut rumput.
Yang enggan hidup dengan akal itulah haiwan ternakan, bal hum adhall!
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1707) Pelawat
Andalus Yang Pernah Kupelajari
Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair digubah untuk mengungkapkan keindahannya, dan keilmuan sains dan teknologinya sering menjadi bahan paparan media. Memang Andalus hebat.
Tetapi ia bukanlah seindah yang digambarkan. Andalus itu pahit dan derita, penuh kebinatangan yang terbit pada wajah manusia, dan kami dengan penuh sabar menekuni liku-liku jatuh dan bangun Andalus bersama Prof Kopanski.
Kelas Andalus ini tidak seperti kelas yang lain. Selama tiga jam (kadang-kadang mencecah 4 jam lebih), kami akan duduk mengelilingi meja bulat bilik kuliah, dan peta Mediterranean Barat akan dibentang. Lagak pegawai tentera sedang mendengar taklimat dari Jeneral yang bertitah merancang strategi. Prof. Kopanski menarik perhatian kami untuk mengaitkan setiap satu peristiwa, kepada lokasinya di atas peta.
Kembara kami bermula, dengan penyiasatan tentang siapakah sebenarnya Tariq bin Ziyad. Seorang tokoh yang muncul dari misteri sejarah, melakar kejayaan luar biasa menguasai Semenanjung Iberia dalam jangka masa yang singkat, terfitnah bersama Musa bin Nusair lalu dipanggil mengadap Khalifah di Dimasyq, dan kemudian hilang dalam misteri sejarah yang matinya tidak bernesan, hidupnya tiada catatan. Prof. Kopanski mengemukakan teori bahawa Tariq bin Ziyad bukan Berber dari Afrika Utara, tidak juga Arab Mesir mahu pun Yaman dan Syam, beliau adalah Visigoth Jerman, dari penduduk Semenanjung Iberia yang kemudiannya menerima Islam di Afrika Utara, sama ada oleh dirinya sendiri, atau melalui bapanya yang berhijrah ke Afrika Utara.
Kembara kami diteruskan lagi dengan pelbagai catatan jatuh bangun, diserikan pula oleh gaya Prof Kopanski yang seperti pelakon teater. 3 jam kami di dalam kelas, seperti menonton filem Andalus yang pengarah, penerbit, penulis skrip dan pelakonnya adalah Prof Kopanski. Hebat…
Minggu lalu kami berbahas tentang Andalus menurut perspektif Ibn Hazm al-Andalusi. Sungguh teruja, dan lucu dengan syair-syair Ibn Hazm yang jatuh hati dengan seorang hamba wanita milik jirannya. Syair itu dianalisa untuk melihat dunia yang berbeza, ketika Islam tinggi, ketika bangsa yang kulitnya berwarna lebih mulia dan berpendidikan, berbanding si kulit putih yang hina, kotor dan digambarkan oleh Ibn Fadlan sebagai berotak beku, mangsa cuaca sejuk yang menjumudkan wujud mereka.
Langkah kami sampai ke penghujungnya malam ini. Selama 4 jam kami di dalam kelas, Prof Kopanski membawakan catatan beliau pada manuskrip yang dikutip dari Maghribi, berkenaan dengan laporan pegawai polis yang menyiasat keadaan sisa-sisa umat Islam selepas pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope pada tahun 1492. Penyiasatan itu merujuk kepada daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador. Catatan itu membuatkan saya dan rakan-rakan tersepit antara lucu, geram, sedih dan terluka… semuanya untuk diteladani oleh mereka yang masih punya akal dan jiwa
Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki, dan kerajaan-kerajaan Eropah hari ini yang gementar dengan kehadiran 58 juta umat Islam di Eropah, pada statistik terkini.
Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi… biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.
Melucukan, laporan siasatan itu mengenal pasti orang Islam di Valencia enggan makan di meja, sebaliknya duduk di lantai! Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Laporan itu juga mencela orang Islam kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya. Orang Islam di Valencia juga didapati melanggar peraturan kerana memohon untuk bekerja pada hari Ahad dan Krismas!
Catatan ini telah membuktikan kepada kami bahawa walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570. Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka. Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!
Saya bangga dengan ketabahan umat Islam ketika itu. Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk, keji, jelek mengatasi binatang, pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu. Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.
Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1504) Pelawat