Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 64

March 19, 2013

Hikayat Tengah Bawang

20130320-123834.jpg


Ada sebuah kisah rakyat, saya belajar daripada rakan Turki berketurunan Laz. Kisah yang datang daripada sebuah keluarga.


Salah seorang anak telah ditanya, “apakah yang paling kamu inginkan, jika kamu menjadi orang yang sangat kaya?”


Anak muda itu termenung.


Katanya, “saya nak makan ‘tengah’ bawang, puas-puas!”


KETERANGAN


Selabu bawang besar, bahagian paling sedap dan manis ialah bahagian tengahnya. Di dalam keluarga yang miskin, apabila makan bawang, bahagian tengah bawang itu diberikan kepada ayah, atau anak sulung kerana keistimewaannya yang hanya boleh dimakan oleh ‘VIP’ di dalam keluarga berkenaan.


Maka bagi anak muda ini, jika dia kaya nanti, ‘barangan’ paling mewah yang boleh beliau bayangkan ialah tengah bawang. Justeru, jika satu hari dia menjadi kaya, dia boleh beli bawang banyak-banyak, dan makan tengah bawang sebanyak mungkin sesuka hati!


IBRAH


Kita tidak mampu membayangkan sesuatu yang tiada di dalam fikiran dan pengalaman. Kecilnya impian kita ialah kerana kecilnya ilmu, pengalaman dan pengamatan kita. Lalu ia menjadikan kita manusia yang sangat mudah teruja dengan benda remeh temeh, benda yang bagi kita hebat sangat, tetapi menjadi bahan ketawa orang lain.


Makin kuat kita mewarwarkan pelan kita untuk mencapai impian kecil kita itu, makin terserlah kemiskinan kita dalam serba serbi maknanya.


Maka dalam perjuangan ini, terutamanya semasa tanpa sedar kita terlebih keyakinan diri, janganlah terlalu kuat menjerit kepada dunia, tentang cita-cita kita untuk ‘makan tengah bawang’ itu.


Ia hanya menyerlahkan kemiskinan diri.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3033) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 19, 2013 21:37

March 18, 2013

Senang Masuk Susah Keluar

image


Tiba-tiba ada insan yang saya kenal, menjadi pengeluar produk kesihatan.


Tiba-tiba mengungguli jenama tertentu berkaitan barangan atau perkhidmatan yang tidak dapat saya kaitkan latar belakangnya, dengan apa yang diniagakan.


Mungkinkah hanya di Malaysia?


Meneliti peraturan yang diletakkan oleh U.S. Food and Drug Administration (FDA) di Amerika Syarikat, saya terfikir berapakah wang yang dilaburkan untuk memenuhi tuntutan sebelum, semasa dan selepas produksi, untuk mematuhi peraturan ketat yang dikenakan sebelum sesuatu boleh dijual di pasaran.


Di negara kita lain ceritanya.


Cerita produk-produk Islamik yang memenuhi pasaran kita.


Apabila peniaga mahu mengeluarkan produk dan servis berjenama Islam, mereka sangat pantas mengeluarkannya. Makanan, tidak melalui prosedur yang ketat, ubat-ubatan penyembuh 1001 penyakit, apatah lagi. Demikian juga buku-buku, modul-modul berjenama sensitif, belum pun modulnya diuji sejauh mana ia sihat dan sahih, sudah dilontar ke pasaran.


Belum pun sempat disemak, sudah melekat dalam emosi pengguna akan khasiat dan kelebihannya.


Tetapi apabila dikesan ada penyakit yang berbahaya pada produk dan servis tersebut, sungguh banyak protokol sivil dan agama yang mesti dipatuhi untuk menegur dan membetulkannya.


Itulah yang saya rasa semasa mengkritik buku dan modul-modul latihan berjenama Islam di pasaran semasa.


Sila lakukannya secara tertutup!


Face to face!


Mohon bentangkan kajian lengkap!


Apa alternatifnya?


Masha Allah…


Hingga timbul persoalan, kita sebenarnya sayang atau tidak agama kita ini? Teringat saya perumpamaan yang Imam al-Ghazzali berikan di dalam Kitab al-Ihya’ tentang manusia yang cintakan dunia… hingga semasa sakaratul maut pun, masih sempat terkilan kerana ada baju baru yang dibeli, belum sempat dipakai!


Pentingnya bisnes, wang dan keperluan-keperluan duniawi kita.


Tetapi ada masanya, ia seperti sungguh ‘sial’ hingga kelabu perjalanan hidup mencari redha-Nya.


Bantulah kami ya Allah!


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1040) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 18, 2013 08:53

March 16, 2013

Seruan ke Jahannam di Pandangan Yang Kelam

lazy


kredit foto www.popgive.com


“Tapi, benda tu baik. Hidup saya berubah kerananya” kata seorang peserta.


“Agamawan jumud. Yang dia tahu hanya mengkritik. Diri sendiri entah apa hasilnya” kata seorang pemegang mikrofon.


“Kita ini jahil dan lemah. Bukankah kekurangan kita patut pendakwah raikan!” tegas seorang lelaki di sofanya pada pagi Ahad.


“Kita ada cara kita sendiri. Tidak semestinya ikut cara yang biasa itu sahaja” sarjana mempertahankan inovasinya.


Hidup di zaman ini adalah hidup di zaman kebaikan yang diselubungi asap. Asap yang memedihkan mata hingga sukar untuk menjernihkan pandangan, mencari yang benar di celah yang mungkar.


Betapa besarnya peringatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam agar kita berusaha untuk bertahan dengan apa yang benar, tidak keliru dalam asap yang kelabu di mata, menyesakkan dada, dibayangi penyeru-penyeru ke Jahannam oleh yang berkulit sama, berlisan serupa…


Biar berbagai-bagai pertanyaan Huzaifah meminta agar Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam lebih memperincikan tentang siapa dan apa yang menjadi ancaman kepada ummah, baginda terus menerus memberikan ‘petunjuk’ tanpa jari telunjuk. Tidak spesifik, tetapi “kamu tahu siapa mereka, dan kamu mengingkarinya”


Kamu sendiri tahu. Hati kamu pun tidak dapat menerimanya.


Tetapi sejauh mana kamu jujur terhadap bisikan hati kamu sendiri? Hati kecil yang tidak pernah menipu.


Justeru jangan mengambil mudah dalam urusan agama, menurunkan standard ilmu untuk meraikan kejahilan yang lebih sebenarnya berupa kemalasan berusaha, hingga hilang petunjuk pada mencari mana yang benar mana yang mengajak kepada AN-NAAR.


Ya Allah, bantulah kami.


Untuk setia dengan kebenaran, biar pun mati kering menggigit akar pokok kerananya.


SUCI DALAM DEBU


كان الناسُ يسألونَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عن الخيرِ ، وكنتُ أسألُهُ عن الشرِّ مخافةَ أن يُدركني ، فقلتُ : يا رسولَ اللهِ ، إنَّا كُنَّا في الجاهليةِ وشرٍّ ، فجاءنا اللهُ بهذا الخيرِ ، فهل بعد هذا الخيرِ من شرٍّ ؟ قال : ( نعم ) . قلتُ : وهل بعد ذلك الشرِّ من خيرٍ ؟ قال : نعم ، وفيه دَخَنٌ ) . قلتُ وما دَخَنُهُ ؟ قال : ( قومٌ يهدونَ بغيرِ هديي ، تعرفُ منهم وتُنكر ) . قلتُ : فهل بعد ذلك الخيرِ من شرٍّ ؟ قال : ( نعم ، دعاةٌ إلى أبوابِ جهنمَ ، من أجابهم إليها قذفوهُ فيها ) . قلتُ : يا رسولَ اللهِ ، صِفْهُمْ لنا ؟ فقال : ( هم من جلدتنا ، ويتكلَّمونَ بألسنتنا ) . قلتُ : فما تأمرني إن أدركني ذلك ؟ قال : تَلْزَمُ جماعةَ المسلمينَ وإمامهم ، قلتُ : فإن لم يكن لهم جماعةٌ ولا إمامٌ ؟ قال : ( فاعتزلْ تلك الفِرَقَ كلَّها ، ولو أن تَعَضَّ بأصلِ شجرةٍ ، حتى يُدرككَ الموتُ وأنت على ذلك )

Orang ramai lazimnya bertanya kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam tentang kebaikan. Aku pula bertanyakan baginda tentang kejahatan kerana khuatir terjebak dengannya.


Lalu aku bertanya, “wahai Rasulullah, dahulunya kami berada dalam jahiliah dan kejahatan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini (perutusan Islam oleh Muhammad), apakah selepas kebaikan ini ada lagi kejahatan?”


Baginda menjawab, “ADA”


Aku bertanya lagi, “apakah selepas kejahatan itu ada lagi kebaikan?”


Baginda menjawab, “ADA. Akan tetapi ia diselubungi asap”


Aku bertanya, “apakah asap itu?”


Baginda menjawab, “iaitulah kaum yang mengambil petunjuk bukan daripada petunjukku. kamu tahu siapa mereka dan kami mengingkarinya”


Aku bertanya lagi, “apakah selepas kebaikan (yang diselubungi asap) itu ada pula kejahatan (yang seterusnya)?”


Baginda menjawab, “ADA. Iaitulah pendakwah ke pintu Jahannam. Sesiapa yang menyahut seruan tersebut akan dicampakkan ke Jahannam”


Huzaifah berkata, “Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami karakter mereka”


Baginda menjawab, “mereka itu kulitnya seperti kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita sendiri”


Huzaifah bertanya, “apakah yang engkau perintahkan seandainya aku bertemu dengan zaman itu?”


Baginda menjawab, “hendaklah engkau beriltizam dengan kesepakatan (jemaah) kaum Muslimin dan imam-imam mereka”


Huzaifah bertanya, “apakah yang perlu aku lakukan jika ketika itu tiada jemaah dan tiada imam?”


Baginda menjawab, “tinggalkan kesemua kelompok itu walaupun engkau terpaksa berkeadaan menggigit akar pokok, sehinggalah maut mendatangimu dan engkau kekal dalam keadaan itu”


Hadih riwayat al-Bukhari, no. 3606.


HASRIZAL @ 43000 BSP


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2420) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 16, 2013 20:24

March 15, 2013

Inovasi Dalam Motivasi: Mula-mula Indah, Kemudian Jadi Bid’ah

idea_bulb


kredit foto: www.inventionmachine.com


Kritikan saya kepada modul-modul motivasi Islamik di pasaran hari ini banyak tertumpu kepada metod modul itu dibangunkan.


Cara metod itu dihasilkan.


Kita tidak boleh menilai kebenaran satu-satu metod itu pada kesan yang dialami oleh peserta. Jika peserta insaf, berubah jadi baik, maka ia dianggap modul yang benar. Sebaliknya keabsahan modul amat bergantung kepada faktor bagaimana ia dihasilkan. Justeru, Islam merupakan agama yang mementingkan kaedah.


MODUL DOA PETIK JARI


Baru-baru ini saya terkejut apabila membaca komentar Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman tentang wujudnya modul doa petik jari. Saya tidak tahu mengenainya. Hanya mengetahui akan wujudnya ia apabila membaca pos beliau di halaman Facebook. Belum sempat saya mendalaminya, anak saya memberitahu bahawa cikgu di sekolah ada memberitahunya tentang teknik berdoa petik jari tersebut.


Pandangan Ustaz Zaharuddin telah dibalas dengan kecaman oleh pihak yang mempertahankan modul tersebut. Tetapi bagi saya,  apa yang penting ialah, apabila modul berkenaan berpindah daripada dewan kursus ke rantaian-rantaian berikutnya, tatkala sampai kepada anak saya, ia difahami sebagai doa dengan memetik jari.


Inilah bahayanya.


Biar apa pun justifikasi kita terhadap teknik yang dipakai, soalan yang mesti ditanya ialah bagaimanakah akhirnya ia tiba ke amalan masyarakat? Bagaimanakah masyarakat memahaminya?


PERMULAAN SYIRIK DI MUKA BUMI


Di dalam Sahih al-Bukhari, terdapat sebuah riwayat oleh Ibn Abbas radiyallahu anhuma yang menceritakan tentang asal usul berlakunya Syirik di kalangan umat yang menerima perutusan Nabi Nuh alayhi al-salaam.


 عنِ ابنِ عباسٍ رضي اللهُ عنهما : صارَتِ الأوثانُ التي كانتْ في قومِ نوحٍ في العربِ بعدُ، أما وُدٌ : كانتْ لكلبٍ بدَومَةِ الجندَلِ، وأما سُواعٌ : كانتْ لهُذَيلٍ، وأما يَغوثُ : فكانتْ لمُرادٍ، ثم لبني غُطَيفٍ بالجَوفِ عِندَ سبَأ، وأما يَعوقُ : فكانتْ لهَمدانَ، وأما نَسرٌ : فكانتْ لحِميَرَ، لآلِ ذي الكُلاعِ، أسماءَ رجالٍ صالحينَ من قومِ نوحٍ، فلما هلَكوا أوحى الشيطانُ إلى قومِهم : أنِ انصِبوا إلى مجالِسِهمُ التي كانوا يَجلِسونَ أنصابًا وسمُّوها بأسمائِهم، ففَعلوا، فلم تُعبَدْ، حتى إذا هلَك أولئك، وتنَسَّخَ العلمُ عُبِدَتْ


“Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa berhala-berhala yang asalnya merupakan berhala kaum Nuh, kemudiannya menjadi berhala kaum Arab. Berhala yang bernama Wadd menjadi berhala Kilab di Daumah al-Jandal. Suwa’ pula menjadi berhala Huzail. Yaghuth menjadi berhala untuk Murad dan kemudiannya menjadi sembahan Bani Ghutayf di kawasan gua di Saba’. Manakala Ya’ooq ia menjadi berhala untuk Hamdan. Nasr menjadi berhala Himyar, yakni Aal Dzi al-Kula’.


Nama-nama itu adalah nama lelaki-lelaki soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan memberi idea kepada kaum mereka agar membina patung yang dibawa hadir ke majlis-majlis mereka. Patung itu didudukkan bersama mereka dan setiap satunya dinamakan dengan nama-nama lelaki soleh itu. Lalu kaum tersebut melakukan idea Syaitan itu tetapi mereka tidak menyembahnya. Akan tetapi apabila generasi pembuat patung itu mati, dan pengetahuan mengenai tujuan asal patung itu dibuat telah hilang, akhirnya patung itu disembah” [Sahih al-Bukhari, hadith nombor 4920]

permulaan syirik


Biar pun patung itu asalnya dibina tanpa makna-makna penyembahan, hanya sebagai tugu peringatan atau patung kenangan, namun selepas generasi berganti generasi, tujuan asal sudah tidak diketahui dan akhirnya patung itu disembah.


BID’AH MUSUH AGAMA


Inilah sebab besar mengapa Islam amat memusuhi bid’ah.


Apabila satu-satu benda diada-adakan, biar pun ketika itu ia boleh dijustifikasi dengan tujuan-tujuan yang kelihatan baik, tetapi selepas berpindah kepada pihak lain, apa yang terjadi?


Tidak perlulah sampai beberapa generasi. Cukup sekadar daripada modul doa petik jari itu yang masih wujud di pasaran, beralih kepada siapa, saya tidak pasti, kemudian kepada guru di sekolah anak saya, dan apabila pulang ke rumah, anak Ustaz Hasrizal bertanya tentang doa petik jari!


Inilah amaran besar kepada pembuat modul-modul motivasi Islamik supaya tidak meremehkan peringatan kita tentang metod.


Jangan mereka-reka.


Jangan berinovasi tidak tentu hala.


Menggunakan batu untuk ingat Allah.


Guna batang pencungkil gigi untuk ingat jangan buat dosa.


Hari ini, kita pertahankan ia dengan hujah-hujah begini begitu. Esok-esok, samakah kefahaman generasi pelapis dengan sebab asal mengapa kita berbuat demikian? Bolehkah kita memiliki satu lagi peluang untuk merangkak keluar kubur menerangkan bahawa bukan itu yang kita maksudkan?


Ini merupakan salah satu peringatan paling penting, yang ingin kita kemukakan kepada syarikat motivasi Muslim, agar jangan buat bid’ah.


Bid’ah adalah ancaman kepada Sunnah, jalan kita mengenal Allah.


Bertaqwalah kita semua kepada Allah.


Hasrizal @ 43000 BSP


BEBERAPA NOTA TAMBAHAN



Tidak ada solusi pantas kepada isu ini. Sudah tentu penyelesaiannya ialah mana-mana pembuat modul yang mahu menggunakan ayat al-Quran atau Hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, mestilah melengkapkan dirinya dengan ilmu berinteraksi dengan nas-nas tersebut.
Seandainya ia cabaran yang tidak dapat ditunaikan oleh pembuat modul, maka pembuat modul boleh mendapatkan khidmat para ilmuan Islam yang mempunyai kemahiran tersebut untuk menyumbang ilmu dan kemahiran
Adalah tidak mudah untuk mendapatkan ilmuan Islam yang tahu tentang cara-cara menghasilkan modul kerana ia juga merupakan satu ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari.
Solusi sementara kepada polemik di atas ialah agar syarikat-syarikat motivasi memperlahankan proses inovasi masing-masing agar mendapat ruang yang cukup bagi meneliti tuntutan-tuntutan di atas.
Syarikat motivasi hanya boleh memperlahankan proses inovasi masing-masing, apabila benar-benar ikhlas meletakkan kepentingan Islam dan dakwah mengatasi bisnes dan keuntungan.


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1384) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2013 08:40

Book Review: BEYOND BELIEF By V.S.NAIPAUL

naipaul


The book should be examined under the light of relation between Islam and the West. The author V S. Naipaul has brought out a huge volume about his travels in four Muslim countries, which all of them are the non Arab. Obviously the book is a sequel to a book he wrote on the same four places 7 years earlier. The first book was called Among the Believers: An Islamic Journey; the new one is Beyond Belief: Islamic Excursions Among the Converted Peoples.


BEYOND BELIEF received a huge attention and has been reviewed everywhere in the prestige English and American press.


Even though V.S. Naipaul gained a very high reputation and knighted as Sir in 1989, he is neither a professional Orientalist nor a thrill seeker. But his writing in this book has the same language as the one used by Orientalist like Bernard Lewis in his version of “What Went Wrong” and “The Root of Muslim’s Rage”. He believed that it was the nature of Islam that causes the problem among the believers, particularly the non Arabs whom he called as “the converts”.


In Naipaul’s opinion, the underdevelopment of countries and people in Africa and Asia are simply because the people themselves failed to absorb Western ideas like industrialisation and modernisation. These are people, Naipaul says in one of his books, who know how to use a telephone but can neither fix nor invent one. For Naipaul, Islam is worse than most other problems of the Third World. Ironically, Beyond Belief is dedicated to his Muslim wife Nadira whose ideas or feelings are not referred to.


In the first book he does not learn anything — they, the Muslims, prove what he already knows. He always believed that the retreat to Islam is “stupefaction”. He travels among Muslims and writes about it. Muslims provide him with stories, which he records as instances of “Islam.”


Thus the existence of one billion Muslims is summed up in a phrase and dismissed. Islam’s error was at “its origins — the error that ran through Islamic history: to the political issues it raised it offered no political or practical solution. It offered only the faith. It offered only the Prophet, who would settle everything — but who had ceased to exist. This political Islam was rage, anarchy.” All the examples Naipaul gives, all the people he speaks to tend to align themselves under the Islam vs. The West opposition he is determined to find everywhere.


If that is the case, why Naipaul bothered to rewrite again a huge volume of the same repeated ideas later? What can we justify is that he believed that he has a new important views upon Islam and Muslim.


If you are not an Arab — Islam being a religion of the Arabs — then you are a convert. As converts to Islam, Malaysians, Pakistanis, Iranians, and Indonesians necessarily suffer the fate of the inauthentic. For them Islam is an acquired religion which cuts them off from their traditions, leaving them neither here nor there. What Naipaul attempts to document in his new book is the fate of the converted, people who have lost their own past but have gained little from their new religion except more confusion, more unhappiness, more (for the Western reader) comic incompetence, all of it the result of conversion to Islam.


This ridiculous argument would suggest by extension that only a native of Rome can be a good Roman Catholic; other Catholic Italians, Spaniards, Latin Americans, Philipinos who are converts are inauthentic and cut off from their traditions. According to Naipaul, then, Anglicans who are not British are only converts and they too, like the Malaysians or Iranian Muslims, are doomed to a life of imitation and incompetence since they are converts.


In effect, the 400-page Beyond Belief is based on nothing more than this rather idiotic and insulting theory. The greatest pity is that Naipaul’s latest book on Islam will be considered a major interpretation of a great religion, and more Muslims will suffer and be insulted. And the gap between them and the West will increase and deepen.


V.S. Naipaul and his BEYOND BELIEF are indeed serve the new version of “White Men’s Burden’.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (116) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2013 04:45

March 14, 2013

Keraguan: Adakah Ia Jalan Islah?

age of anxiety


[ARTIKEL 2006 YANG MENUNTUT MUHASABAH - Artikel Ini saya tulis sebelum munculnya 'era Aku Terima Nikahnya']


Perjalanan saya di dalam siri kuliah Modern History of Europe pada semester ini, menyebabkan saya banyak berfikir semula. Pengembaraan membongkar tingkah laku manusia semenjak di era pasca kejatuhan Constantinople pada tahun 1453, hinggalah kepada Eropah hari ini, menyebabkan saya jatuh kasihan kepada Eropah. Kasihan melihat suatu kumpulan manusia di bawah idea “Barat”, mencari jalan untuk cuba bertuhan dengan betul, tetapi asyik mengulangi pusingan kesilapan yang sama.


Saya tidak lagi boleh bersetuju jika ada yang menegaskan kepada saya bahawa Eropah itu membuang tuhan, seperti yang saya percaya selama ini. Di sepanjang zaman Eropah yang dapat dikesan dari sejarah bertulis, hanya dua kurun terakhir ini sahaja yang menyaksikan penguasaan trend membuang Tuhan dari kehidupan. Dan semenjak itulah, penyakit Eropah semakin tenat dan hilang kekuatan.


Ajaran Kristian yang diwarisi secara tradisi telah membentangkan syariat yang caca merba. Sikap gereja yang sombong, enggan menerima pendapat orang lain, dan mengambil langkah mudah dengan menghukum sesiapa sahaja yang bertentang pendapat, telah memakan diri mereka sendiri. Sekurun demi sekurun, gereja dan sesiapa sahaja yang bergantung pengaruh dengannya, termasuk golongan istana dan bangsawan, hilang kewibawaan, dominasi dan seterusnya renyuk dipijak kemarahan rakyat.


ZAMAN EROPAH JUMUD


Sesungguhnya agama yang diselubungi ketaksuban telah membunuh watak manusia yang berfikir. Mereka bertaqlid sama ada kerana kemalasan berfikir, atau bimbangkan tindakan pemuka agama yang berkuasa. Inilah kecelaan Kristian yang mengheret dunia Eropah ke zaman Gelap, kurun demi kurun.


Mendung itu akhirnya disapu pergi oleh kebangkitan golongan pembaharuan. Mereka mempersoalkan benda yang tidak pernah dipersoalkan, mereka menyemai benih keraguan di kalangan masyarakat agar kepercayaan masyarakat kepada kebodohan agama di Eropah itu tercabar dan terbongkar. Di atas keraguan itulah, akhirnya masyarakat Eropah berjaya memanfaatkan otak mereka untuk kembali menjadi manusia pemikir, dan berpemikiran, sebagai jati diri.


Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.


MERANGKAK MENCARI CAHAYA


descarte


Rene Descartes


Eropah cuba bangun kepada Pencerahan (Enlightenment) dan mereka bangun dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan jalan yang dipilih oleh seorang ahli falsafah Perancis iaitu Rene Descartes (31 Mac, 1596 – 11 Februari, 1650), atau juga dikenali sebagai Cartesius. Antara kata-kata Descartes yang masyhur sebagai asas era Pencerahan ialah:



Cogito, ergo sum�

I think, therefore I am



Punca Descartes menimbulkan pencariannya itu adalah kerana beliau hidup di dalam dunia yang mengelirukan dan penuh keraguan. Agama yang mendominasi kehidupan masa itu, sungguh bertentangan dengan naluri kemanusiaan. Paderi yang manusia, boleh pula menjadi pegawai menghapus dosa manusia. Penjelasan mengenai Tuhan oleh gereja hanya mengundang kecelaruan pemikiran. Descartes ditimpa keraguan lantas akhirnya mengesyaki segala-galanya. Kerana itulah, kata-kata Descartes itu selengkapnya berbunyi:



I doubt, I think. I think, therefore I am



Apabila Descartes meragui semua benda termasuk hakikat dirinya, akhirnya beliau bertemu dengan “fikir”. Keupayaannya untuk berfikirlah yang menjadi satu-satunya “bekal yang ada yakin” untuk beliau mencari kebenaran. Falsafah Descartes ini akhirnya menjadi pendorong besar kepada masyarakat Eropah untuk merangsang diri mereka agar mempersoalkan semua benda dan idea yang wujud selama ini, dan memikirkan persoalan itu dengan “sebab musabbab” supaya akhirnya bertemu dengan apa yang diyakini sebagai kebenaran.


Tradisi berfikir itu telah menyebabkan gereja segera kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Jangan bercakap jika tidak logik. Tidak mungkin logik jika tidak bersebab lagi berdalil. Di era inilah ilmu Sains Kemanusiaan berkembang. Kesahihan sesuatu mesti ditentukan dengan disiplin Sains. Kaedah empirical studies yang dipopularkan oleh tokoh seperti John Locke (29 Ogos 1632 -28 Oktober 1704) menjadi teras penentuan di mana sesuatu fakta yang mahu diterima, hendaklah ditentukan menerusi eksperimen dan pemerhatian. Ada sandaran.


Sedikit demi sedikit, pemikiran saintifik menguasai masyarakat, menggantikan pemikiran agama yang dilihat sebagai dogmatik dan anti logik.


MENGAGUMI PENCERAHAN EROPAH


Sungguh hebat era Pencerahan di Eropah.


Sesiapa sahaja yang berjiwa Islah dan Tajdid akan mengaguminya. Sesiapa sahaja yang sudah bosan dengan keangkuhan tradisionalisma akan mengambil inspirasi dari era Pencerahan Eropah. Bukan sahaja pengkaji barat, malah tokoh-tokoh Islam juga mendapat suntikan semangat untuk menjalankan perubahan di kalangan umat Islam sendiri hasil pembacaan dan kajian mereka terhadap era Pencerahan Eropah.


Di situlah munculnya nama-nama seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Keinsafan yang terbit daripada memahami era Pencerahan Eropah juga mengundang Muhammad Shakib Arslan untuk melontarkan idea pembaharuan yang segar.


Dari Timur Tengah, kesedaran itu berkembang ke seluruh dunia. Ia terus berlangsung hingga ke hari ini. Tidak menghairankan, khususnya golongan profesional yang berpendidikan Barat tetapi berjiwa Islam, menyeru masyarakat kita hari ini agar mencontohi era Pencerahan Eropah. Tulisan-tulisan dan siri ucapan dari Forum Muslim Profesional misalnya, berulang kali mengajak generasi pembaharuan hari ini agar mencontohi strategi Martin Luther (10 November 1483 – 18 February 1546) yang mencabar tradisionalisma Katholik hingga berjaya mencetuskan reformasi agama bergelar gerakan Protestant.


MELIHAT DIRI SENDIRI DI CERMIN SEJARAH


Saya sering termenung di dalam kelas. Pada masa yang sama Prof. Abdullah al-Ahsan yang mengajar subjek ini juga seperti memahami apa yang saya fikirkan. Beliau selalu menjawab persoalan, sebelum saya menyoalnya.


Apa yang menjadi persoalan saya ialah mengapakah tindak tanduk orang Eropah di era Pencerahan ini semacam banyak persamaan dengan kita umat Islam? Semacam ada banyak pengulangan. Walhal, Eropah mewarisi masalah dan mengusahakan penyelesaian, kedua-duanya di dalam kerangka agama Kristian. Bagaimana kita yang Islam dan Muslim ini boleh ditimpa atau mengalami pengalaman yang sama?


Masakan tidak, kekadang saya merasakan bahawa, perubahan masyarakat hari ini banyak menyerupai era Pencerahan Eropah itu. Sebahagiannya sudah saya jelaskan di dalam artikel KEJUTAN BUDAYA DALAM BERAGAMA di Saifulislam.Com.


DUA PENYOKONG ALIRAN SALAFI


Hari ini saya melihat, perkembangan aliran Salafi yang berlangsung di dalam masyarakat telah menarik sokongan dua pihak.


Golongan pertama, adalah golongan yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka tidak sanggup melihat al-Quran dicemar oleh tafsiran-tafsiran yang menghilangkan keindahan dan ketulenan al-Quran. Kumpulan ini juga tidak sanggup melihat Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam dikhianati, apabila pelbagai hadith palsu disebar dan dinisbahkan kepada baginda. Menonton pendakwah popular bercakap songsang dan menisbahkan kesongsangan itu kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam adalah seperti melihat kaum Quraish menyimbah perut unta ke tubuh baginda. Suatu penghinaan.


Golongan ini mendukung aliran Salaf kerana mahu memurnikan komitmen ummah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mereka sayangkan al-Quran dan al-Sunnah, dan mereka juga sayangkan Ummah. Al-Quran dan al-Sunnah hanya terzahir tinggi apabila dijunjung Ummah. Dan Ummah pula akan tinggi apabila menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.


Manakala golongan kedua pula, adalah golongan ahli sains dan profesional. Mereka ini mudah untuk menerima seruan manhaj Salafi kerana ia bersesuaian dengan kerangka pemikiran saintifik. Mereka dididik dengan ilmu Sains, sama ada ilmu kejuruteraan, perubatan, sains politik, sejarah atau antropologi, di mana kesahihan sesuatu teori mestilah dengan justifikasi dalil dan sebab.


Tiada doktor yang bertaqlid dalam kedoktorannya kerana ia mengundang bencana. Tiada jurutera yang menerima teori kejuruteraan pensyarahnya semata-mata atas ketaksubannya terhadap pensyarah itu. Ia tidak mungkin berlaku kerana fakta perubatan yang ditaqlid dan teori kejuruteraan yang diterima atas ketaksuban, akan segera mempamerkan kesan negatifnya pada hasil kerja mereka di dunia, sebelum mati. Kaedah saintifik ini begitu meyakinkan. Menganalisa agama dengan pendekatan yang saintifik juga, menghasilkan keyakinan yang sama.


PEMIKIRAN SAINTIFIK DAN SALAFI


Orientasi begini bersesuaian dengan seruan Salafi. Tiada urusan agama yang wajar diwarisi tanpa kefahaman. Agama tidak ditanam melalui doktrinisasi atau penguatkuasaan. Ia perlu dibahas, ia perlu dimatangkan. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil. Hujah tersebut juga dianalisa dan perlu sahih. Hasilnya, kita memilih yang paling tepat.


Perbahasan ini, bagi dunia sains kemanusiaan, adalah lanjutan latihan Dialektik oleh Socrates.


Mungkin inilah punca, mengapa keterbukaan untuk menerima manhaj Salafi ini lebih mudah berlaku di kalangan orang sains berbanding dengan orang agama.


Malah orang agama pula yang bertindak menjadi penghalang kepada gerakan pemurnian ini.


GOLONGAN AGAMA


Saya terdiam.


Tidakkah di era Pencerahan Eropah dahulu, golongan agama juga bertindak sama? Mereka menyindir golongan saintis yang menjadi pesaing. Malah di masa-masa yang golongan agama ini mempunyai kuasa pemerintah, mereka menghukum sahaja saintis yang menyeru ala Descartes itu.


“Raguilah segala tentang agamamu. Tanyakan semuanya semula. Jangan takut dengan keraguan itu kerana kita manusia yang ada upaya fikir. Fikir, mana-mana yang terbukti oleh logik fikir, ia benar. Mana-mana yang tahyul, doktrin buta dan misteri, tinggalkan sahaja”�


Golongan agama tidak menyetujuinya. Ada saintis dihukum, golongan yang menuntut pembebasan dari kekeliruan agama ini dilabel sebagai anti keamanan dan pencetus kacau bilau. Istana segera mengguna kuasa. Pemerintah dan rakyat bertempur, golongan agama tersenyum di gereja.


PERBANDINGAN YANG PAHIT


“Prof., saya amat terganggu dengan hal ini. Tidakkah ini jawapannya kepada masalah umat Islam kebelakangan ini?”� saya bertanya kepada Profesor Abdullah al-Ahsan.


“Masalah yang mana?”� Prof meminta kepastian dari saya.


“Masyarakat Malaysia semakin sinis kepada golongan agama. Kumpulan Islam Liberal lebih-lebih lagi. Mereka sedang memerhati golongan agama, seperti masyarakat Eropah melihat kerenah paderi-paderi mereka dahulu”� saya meluahkan apa yang terpendam.


“Ia boleh jadi begitu, jika masyarakat Malaysia hari ini mendukung sistem nilai Eropah. Mereka menilai agama dan orang agama seperti Eropah menilainya”� kata Prof kepada saya.


Patutlah terlalu sukar untuk menyuruh suara-suara liberal ini tunduk menghormati ulama dan mufti. Apatah lagi para ustaz. Mungkin di mata golongan ini (saya pun sukar hendak menamakan mereka), para ustaz ini adalah pencacai agama! Mereka menilai para ustaz seperti “ustaz Kristian” di Eropah. Kaki makan duit, ajar agama yang memundurkan, dan terlebih penting, terlalu rendah pemikiran ustaz ini sehingga mustahil untuk mereka faham tentang ketinggian nilai Moden a.k.a. Eropah ini.


Menjadi satu kekuatan kepada golongan liberal ini, dengan ramainya golongan ustaz yang tidak faham tentang Eropah, tidak tahu nilai Eropah dan tidak sekufu untuk bertanding menentang puak liberal ini. Kecerdikan golongan ini, ialah pada kejahilan seterunya.


SEJARAH MENGAJAR TENTANG MANUSIA


“Itulah tugas pelajar Sejarah. Sejarah bukan untuk dihafal nama dan tarikhnya. Sejarah adalah belajar tentang manusia. Jika psikologi menganalisa manusia secara individu, Sejarah pula menganalisa manusia secara kolektif, skala makro yang lebih besar”� kata Prof.


Ya. Memang benar kata Prof. Setelah satu semester menghadam perilaku manusia di dalam Sejarah Eropah Moden, saya semakin yakin bahawa manusia tetap manusia. Tidak kira apa agamanya, penyakit-penyakit yang berpunca dari sikap, akan menimpa sesiapa sahaja. Manusialah yang menghidup serta mematikan watak dan idea Eropah. Manusia juga yang mendukung Islam. Walaupun menganut fakta yang berbeza, sikap mereka sama dan hasil sikap itu juga sama.


PENCERAHAN, POSITIF ATAU NEGATIF?


“Habis, kesan era Pencerahan itu positif atau negatif?”� tanya Prof kepada kelas.


Jawapan yang berlegar di fikiran saya, tidak sesuai untuk saya lontarkan di hujung kuliah hari itu kerana kesuntukan masa. Kami sudah sampai ke penghujung semester dan Prof. perlu segera menghabiskan silibus subjek ini. Saya hanya diam, walaupun kepala ligat berfikir.


“Memang benar era Pencerahan itu telah menghasilkan pelbagai kesan yang positif. Paling dibanggakan oleh Eropah, adalah Revolusi Industri yang telah memberikan Eropah kewibawaan untuk memimpin dunia”� kata Prof.


Saya juga bersetuju dengan Prof. Era Pencerahan Eropah yang berasaskan kepada kekuatan idea dan pemikiran itu, memang banyak kesan positifnya. Tetapi Prof sendiri mahu kami semua menilai, sejauh manakah kebaikan Revolusi Industri? Sejauh manakah kehidupan hakiki seorang insan menjadi lebih baik di era moden ini? Tuntutan komersil untuk menghasilkan apa yang menguntungkan manusia ramai, telah membinasakan alam ini dan semua terpaksa percaya bahawa kemusnahan alam dan keracunan persekitaran ini sebagai sesuatu yang terpaksa diadakan. Demi kemodenan.


Itu sudah cukup menjelekkan.


Tetapi, ada satu petikan kata yang membingungkan saya. Petikan yang menyebabkan saya gementar dengan realiti hari ini.



REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION



Ini adalah kesimpulan Eropah terhadap kehancuran dan kebinasaan dunia selepas Perang Dunia Pertama. Kesimpulan ini sudah pun disebut oleh Nietsche jauh lebih awal dari itu tetapi selepas Perang Dunia Pertama, kebijaksanaan Eropah rupa-rupanya berakhir dengan kehancuran. Eropah sangkakan, dengan reason dan rationalism, mereka sudah cukup bertamadun. Tetapi “kepandaian” orang Eropah itu telah menjadi sebab mereka berlaga semasa mereka. Tidak pernah Eropah menyangka, bahawa bangsa mereka berupaya berkelakuan ganas dan kejam, menjelangnya Perang Dunia Pertama. Mereka sangat kecewa dengan diri sendiri dan akhirnya, mereka menyalahkan reasons, di samping punca-punca yang lain.


Segalanya bermula begini:


Eropah menyangkakan bahawa dengan tradisi Pencerahan yang berdalil itu, mereka sudah maju lagi bertamadun. Tetapi apabila tradisi Pencerahan itu disalahgunakan, ia telah mengundang bencana. Charles Darwin (1809 – 1882) telah mengimplimentasikan teori geologi datuknya kepada biologi kehaiwanan.


Tidak lama selepas itu, teori haiwan itu diaplikasikan pula oleh ahli kaji sosial kepada manusia. Jika spesis binatang bersaing untuk hidup, dan yang lemah akan pupus, maka ada pula manusia yang percaya bahawa spesis dan keturunannya lebih berhak untuk hidup berbanding dengan keturunan yang lain. “Penjajahan adalah fenomena biologi yang semulajadi”� kata mereka.


Akhirnya, golongan Social Darwinist telah menyuntik kesombongan ke dalam diri bangsa Eropah. Renung sahaja kata-kata Karl Pearson, seorang profesor matematik British,


“Sejarah hanya menunjukkan kepada saya satu jalan. Iaitu satu-satunya jalan yang telah membawa kepada bangunnya tamadun yang tinggi. Jalan itu adalah jalan persaingan bangsa dengan bangsa, dan berakhir dengan kemenangan bangsa yang lebih baik mengatasi yang bangsa yang rendah”� (National Life from the Standpoint of Science 1900)


Nilaikan pula kata-kata seorang senator Amerika Syarikat bernama Albert J. Beveridge:


“Kita mesti patuh terhadap ketentuan kualiti darah (kemuliaan bangsa) kita, lantas perlulah dikuasai pasaran-pasaran yang baru. Dan jika perlu, tanah air yang baru”�


Daripada tradisi Pencerahan yang mencerdikkan Eropah, ia telah melahirkan manusia seperti golongan itu tadi. Fahaman Social Darwinism inilah yang mempromosikan kesombongan Anglo-Saxon (British dan Amerika) serta Teutonic (Jerman).


Lanjutan daripada itu, bermulalah gerakan-gerakan yang memporak-perandakan Eropah. Fahaman Nasionalisma berleluasa dan masing-masing mula percaya kepada teori Volkish bahawa setiap satu bangsa ada rohnya sendiri, yang lebih mulia dari roh bangsa lain.


Malang sekali, kesemua golongan ini masih merasakan bahawa mereka sedang menghidupkan tradisi Enlightenment yang dibanggakan walaupun rasional mereka sedang membinasakan masyarakat.


DALIL YANG MENGUNDANG KERAGUAN


Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.


REASON PROMOTES DOUBT


Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah “an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others”�. Maksudnya, “mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain”�.


Sahihkah agamaku selama ini?


Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.


“Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu Sunnah ke Bid’ah”� ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.


Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.


Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?


Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan (out of hand).


Saya berpendapat secara peribadi (2006), gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.


Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, “kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul”�.


Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.


MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR


Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. ‘Berbelah bagi’ menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)


Al-Mutanabbi juga pernah berkata:


Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi


Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.


Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya. Pejuang Islam mesti berani dan yakin dengan perjuangan Islamnya.


Tetapi kebelakangan ini, gerakan Islam menjadi salah satu subjek asakan gerakan Salafi. Asas perjuangan mereka dikritik, kefahaman mereka terhadap perjuangan dipersoalkan, kesahihan dakwah mereka dipertikaian.


ISU GERAKAN ISLAM


Sebahagian daripada saranan gerakan Salafi itu memang benar. Ahli-ahli gerakan Islam sepatutnya mengambil serius terhadap bentuk kefahaman mereka terhadap beberapa nas penting yang mendasari perjuangan mereka. Kesilapan memahami perbezaan maksud Jamaatul Muslimin dan Jamaah min al-Muslimin, mempunyai implikasi yang serius.


Akan tetapi ada di antara saranan yang dikemukakan, menimbulkan tanda tanya. Golongan ultra Salafi bermati-matian memaksa gerakan Islam agar memberhentikan serangan mereka terhadap pemerintah dengan alasan tidak syar’ie untuk menegur pemimpin secara terbuka. Saya kira, bukan sahaja gerakan Islam yang tersentak, malah pemerintah juga jadi terkejut. Tidak sangka, selama ini mereka tidak boleh ditegur oleh pembangkang secara terbuka. Mereka perlu ditegur di dalam majlis yang hanya disaksikan oleh Allah dan Malaikat. Rakyat tidak perlu tahu apa yang ditegur, dan di manakah kepincangan pemerintah.


Apakah rasionalnya pemikiran seperti ini?


Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Jordan, dan amat teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pemikiran, penulisan dan tindakannya, pernah menulis sebuah buku bertajuk “Pembetulan Kefahaman Terhadap Beberapa Ayat al-Quran”�. Di dalam buku tersebut, beliau telah mengulas tentang kefahaman umat Islam tentang ayat 44-47 surah al-Maidah iaitu:


“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kufur”� (Al-Maidah: 44)


“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim”� (Al-Maidah: 45)


“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq”� (Al-Maidah: 47)


Pandangan pertama terhadap ayat ini, ditolak sepenuhnya oleh Sheikh Solah. Golongan pertama ini beranggapan bahawa ayat ini khusus diturunkan untuk orang Yahudi dan tidak teraplikasi ke atas umat Islam. Kefahaman ini bertentangan dengan kaedah tafsir yang utama iaitu “Pengiktibaran ayat adalah berasaskan umumnya lafaz, dan bukan khususnya sebab (turun ayat itu)”�.


Tetapi Sheikh Solah amat skeptis dengan pandangan kedua. Pendukung pandangan kedua ini membezakan hukum pemerintah yang tidak melaksanakan Syariat Allah. Sama ada mereka tidak melaksanakannya kerana takut, tidak faham, lemah semangat, sedang berusaha, atau sememangnya menolak hukum itu. Kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, “siapakah pendakwah yang berani dan mampu bertanya kepada pemerintah secara aman, mengapa beliau tidak melaksanakan hukum Allah? Dan jika ada yang berani bertanya, jujur pulakah jawapan pemerintah itu?”�


“Sesungguhnya perbuatan pemerintah, adalah lebih benar dalam menunjukkan maksud mereka berbanding dengan kata-kata pengakuan (pemerintah)”� ujar Sheikh Solah.


Inilah pendirian seorang tokoh Salafi yang digeruni King Hussein dan kerabatnya. Harapan rakyat kepada Islam berputik apabila adanya gerakan yang memantau secara telus tindak tanduk pemerintah yang absolute.


Jika isu “jangan lawan pemerintah”� seperti ini diwar-warkan oleh pendukung Salafi untuk meluruskan gerakan Islam, jika menang di medan debat sekali pun, apakah kesannya kepada masyarakat?


Jika isunya adalah isu teguran yang tidak berakhlak, maka yang perlu diperbetulkan adalah akhlak ahli gerakan Islam, dan bukannya memberikan cadangan yang diketawakan pemerintah.


USAHA PEMURNIAN GERAKAN ISLAM


Gerakan Islam yang keahliannya bersifat terbuka, menerima kemasukan ahli yang pelbagai. Dari pemanjat pokok kelapa, suri rumah yang buta huruf, hinggalah kepada profesor di IPT, kesemuanya memerlukan kepada hikmah kebijaksanaan di dalam membentuk mereka ini. Ada yang masuk melalui pintu politik, ada juga yang masuk melalui pintu Tarbiah. Tokoh-tokoh gerakan Islam seawal Hasan al-Banna di Mesir, hingga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Malaysia, mempunyai pendekatan yang mengambil kira realiti ini.


Selama ini, gerakan-gerakan Islam berlapang dada. Mereka boleh menerima konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam diskusi perkaderan mereka, walaupun di kalangan anggota gerakan itu, bukan kecil jumlah yang datang dari aliran Khalaf. Hasan al-Banna, ketika mensyarahkan Usul 20 kepada rukun bai’ah yang pertama iaitu al-Fahm, secara jelas mengambil manhaj Salafi tetapi ia dikemukakan selepas bersungguh-sungguh mengenengahkan persamaan yang boleh dikongsi di antara Salaf dan Khalaf. Di dalam gerakan Islam, ada pimpinannya yang Salafi, ada yang Khalafi. Mereka menggunakan manhaj masing-masing secara harmoni dalam menyusun saf perjuangan.


Sebelum aliran pembaharuan Salafi semasa ini popular, tokoh-tokoh Salafi boleh berada di dalam pelbagai organisasi. Ia tidak berhasrat menjadi satu kelompok yang berasingan kerana Dakwah Salafiah adalah gerakan pembetulan proses yang boleh dan perlu ada di mana-mana. Ia perlu ada dalam parti-parti politik, NGO, institusi pengajian tinggi, surau dan masjid. Tetapi apabila kesabaran generasi matang tidak dapat dicontohi oleh kegopohan anak muda, satu demi satu ahli yang Salafi itu menarik diri dan pergi kepada pembentukan entiti yang berasingan.


Menyeru ahli gerakan Islam agar lebih ilmiah dan sahih sandaran, bukanlah suatu kerja yang boleh berlaku sekelip mata. Ia soal paradigma dan cara berfikir. Saya berpandangan, ahli-ahli gerakan Islam yang meninggalkan kumpulannya kerana tidak sabar terhadap islah dalaman, adalah berjiwa sempit dan kurang mahu memikul tanggungjawab secara yang berwibawa. Melontar batu dari luar pagar, memang mudah kerana kesan lontaran itu boleh dilupakan. Tidak perlu peduli kepada akibat lontaran itu.


Kesan lontaran itu telah mengakibatkan segelintir ahli gerakan Islam dibelenggu keraguan. Keraguan itu telah membocorkan masa dan tenaga untuk tujuan yang tidak turun ke alam nyata.


Cabaran terus menerus berlaku di dalam masyarakat. Kelompok yang menarik jauh manusia dari agama semakin aktif. Tetapi ahli-ahli dakwah dan islah hilang momentum dan terdorong kepada mencari kemenangan di medan debat, bukannya jihad.


Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.


REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION – Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif -


Keraguan. Adakah itu jalan Islah?


Saya masih memikirkannya.


HASRIZAL @ 43000 BSP


Siaran asal: 5 November 2006


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1495) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2013 09:49

Motivasi Memperalatkan Dakwah

Integration


Pada tahun 2004, saya melangkah kaki masuk ke dunia latihan dan motivasi melalui syarikat Fitrah Perkasa Sdn Bhd. (FPSB). Saya memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Modul, iaitu penolong kepada Tuan Pengarah ketika itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.


Sungguh ironi, pekerjaan pertama saya di Malaysia, adalah di dalam bidang yang saya tidak suka. Saya sangat pesimis dengan dunia motivasi kerana pengalaman sebagai peserta kepada program-program motivasi ketika di bangku sekolah, saya rasa ia program yang tidak berisi.


Tetapi semasa menyertai FPSB, rasa pesimis itu beransur hilang. 6 bulan pertama saya belum mendapat kebenaran untuk menyampaikan modul. Saya hanya bekerja petik suis lampu dan susun pensel peserta sebelum mereka tiba. Juga imamkan solat semasa solat Jemaah. Tetapi saya ditugaskan untuk memerhati, memahami, menganalisa dan membiasakan diri mengenainya.


Saya berpeluang bertemu dengan segala jenis manusia yang rencam. Daripada top management bank terkemuka, hinggalah kepada penyiram bunga di jalanraya di Kuching. Daripada 20 pelajar paling cemerlang negara dihantar GLC ke universiti terkemuka dunia, hinggalah kepada murid paling bermasalah, bohsia dan bohjan. Daripada individu sesat yang menyembah busut dan menyepak bini jika bersolat, hinggalah kepada alim ulama yang memerlukan teknik dakwah kreatif bagi merawat kebekuan rutin mereka.


Bagi saya, mentaliti menyertai motivasi ketika itu, DAKWAH MEMERLUKAN MOTIVASI.


motivasi sub dakwah


Motivasi membantu menjadikan dakwah lebih berstruktur, kemas, aliran idea tidak mengganggu kognitif, dan memanfaatkan audio, visual dan segala keinsanan manusia agar menjadi reseptor yang berkesan kepada mesej dakwah.


Alirannya, saya membaca dan mengkaji idea-idea motivasi Barat dan meneliti manakah komponen yang boleh memperkayakan dakwah. Saya telah memanfaatkan idea John C Maxwell, Stephen Covey, John Gray, Gary Chapman, pada memperkayakan dakwah dan melancarkan penyampaian mesej al-Quran dan Al-Sunnah dalam bentuk yang lebih dinamik.


“Oh, ini cara yang lebih mudah untuk menerangkan secara praktikal pengertian SABAR” saya mencatat, selepas membaca konsep PROAKTIF yang dibentangkan oleh Covey di dalam 7 Habits beliau.


Tapaknya masih dakwah.


Modul-modul sedia ada di dalam FPSB juga diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya dan beberapa orang lagi ustaz memberikan pandangan agar penafsiran yang tidak begitu menepati makna nas, dibetulkan. Kisah yang bersumberkan Israiliyyat, ditinggalkan. Maklumat yang tidak dapat dikesan asal usulnya, dihindari.


Saranan-saranan ini diterima, walaupun secara praktis, banyak kesulitan timbul, pada mengubah kebiasaan sedia ada.


MERIAH


Lama kelamaan, dakwah bermotivasi semakin menjadi in-thing. Dunia latihan dan motivasi semakin meriah. Motivasi dan dakwah semakin bersahabat dan bertindan mesra.


Tanpa disedari, di celah dunia dakwah bermotivasi itu muncul idea MOTIVASI PERLUKAN DAKWAH.


dakwah sub motivasi


Apa yang mula berlaku bukan lagi pada memperkayakan dakwah Islam dengan elemen kreatif. Sebaliknya idea motivasi yang diperkayakan dengan elemen-elemen Islam. Kita bukan mengkreatifkan dakwah dengan elemen motivasi, tetapi kita mengkreatifkan motivasi dengan elemen dakwah.


Dakwah menjadi sub kepada motivasi.


IMPLIKASI MERBAHAYA


Saya terbaca di dalam majalah Nebula pada sekitar tahun 2006 atau 2007, satu contoh pemikiran memakaikan pakaian Islam kepada motivasi.


Seorang penulis di dalam majalah berkenaan mengatakan bahawa Zero Mind Process wujud di dalam Islam. Beliau telah memetik hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam tentang takrif Ihsan (Hadith Jibril) untuk membuktikannya. Hadith itu asalnya berbunyi:


أن تعبد الله كأنك تراه

فإن لم تكن تراه فإنه يراك


Terjemahannya:


“(Ihsan itu ialah) seperti kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya

Dan jika tidak sampai kamu dapat seperti melihatnya, maka (ketahuilah / rasakanlah) bahawa sesungguhnya Allah melihat kamu”


Tetapi penulis berkenaan telah ‘menggunting’ nas hadith ini kepada:


فإن لم تكن، تراه


Yang diterjemahkan maksudnya sebagai:


“Jika kamu menafikan wujud dirimu, nescaya kamu akan dapat melihat (kebesaran) Allah”


Inilah dalil kepada teknik Zero Mind Process, tegas penulis tersebut.


Semasa membaca artikel itu, saya tersentak. Mula tersedar bahawa ada golongan motivator yang melakukan jenayah terhadap nas apabila mereka mengolah nas agar sesuai dengan modul dan teknik yang mereka bawa, dalam bentuk yang langsung tidak menepati nas, malah tidak pernah sama sekali dimaksudkan begitu.


Inilah juga yang sedang berleluasa pada masa ini.


Arah penghasilan modul, bukan meneliti isi kandungan nas untuk mencipta modul. Sebaliknya, meneliti isi kandungn nas untuk mengukuhkan modul. Nas duduk di bawah modul, dan bukan modul duduk di bawah nas.


Dan dicarilah para ustaz ustazah untuk bekerja menjustifikasikan keislaman modul yang dicipta oleh motivator yang mencipta modul itu jauh daripada asas Islam. Agamawan dan ahli akademik diperalatkan. Saya pandang ia ‘diperalatkan’ kerana ilmu-ilmu agama yang dikehendaki tunduk kepada epistemologi para motivator.


Modul itu lahir bukan daripada benih Islam, tetapi diberi kad pengenalan Islam apabila berpakaian dengan pakaian Islam. Ia tidak berjiwa Islam kerana Syariah masih sub kepada motivasi.


Inilah fitnah dunia motivasi dakwah, yang menjadikan dakwah sebagai sub kepada motivasi. Bukan lagi dunia dakwah yang memanfaatkan motivasi, yang saya kenali sepuluh tahun yang lalu.


Jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk sembahyang di atas kubur, ia jelas bid’ah dan mungkar. Tetapi jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk idea, metod, manhaj dan pemikiran, ‘makhluk paling Salafi’ pun mungkin terpedaya.


Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya jika pernah terjebak dalam kebejatan itu. Dan mengurniakan basirah ke jiwa sahabat-sahabat saya agar jujur dengan kesarjanaan masing-masing, bahawa adakah dalam dunia latihan hari ini, ilmu Islam sedang menggunakan teori motivasi untuk memajukan dakwah, atau sebenarnya ilmu Islam sedang dipergunakan untuk memajukan teori motivasi, kerana bisnes memang sentiasa perlu berinovasi begitu.


Hakikatnya ia bisnes.


Duit.


Kapitalis.


Periuk nasi saya sedang bertabur pasir… saya merelakannya sebelum perut saya tersumbat pasir dan tanah kubur, pada bila-bila masa nanti.


HASRIZAL @ 43000 BSP


BEBERAPA NOTA:



Perbincangan ini bukan bermaksud motivasi itu salah. Motivasi adalah satu bidang yang ada disiplinnya dan berdiri sendiri
Konflik timbul, apabila percubaan mengintegrasikan motivasi dengan Islam.
Integrasi itu tidak salah, malah mungkin perlu. Tetapi ia perlu dilakukan dengan kaedah yang betul, kerana ia menyentuh nas.
Masyarakat tidak perlu paranoid untuk tertanya-tanya mana satu motivasi yang betul dan tidak betul. Perbincangan ini memerlukan banyak kerja oleh motivator, pembangun modul dan pendakwah.
Masyarakat boleh bertenang, dan hanya perlu mengelakkan diri daripada program motivasi yang amat pelik. Apabila hati rasa program ini seperti ada sesuatu yang amat tidak kena, jangan abaikan ‘instinct’ itu. Lebih baik ia ditinggalkan, pada mematuhi hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam “tinggalkan apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu” [hadith riwayat Tirmidhi: Hasan Sahih]

Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2511) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2013 05:21

Bisnes Dakwah Motivasi Atau Bisnes Motivasi Dakwah

20130314-202415.jpg


Pada tahun 2004, saya melangkah kaki masuk ke dunia latihan dan motivasi melalui syarikat Fitrah Perkasa Sdn Bhd. (FPSB). Saya memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Modul, iaitu penolong kepada Tuan Pengarah ketika itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.


Sungguh ironi, pekerjaan pertama saya di Malaysia, adalah di dalam bidang yang saya tidak suka. Saya sangat pesimis dengan dunia motivasi kerana pengalaman sebagai peserta kepada program-program motivasi ketika di bangku sekolah, saya rasa ia program yang tidak berisi.


Tetapi semasa menyertai FPSB, rasa pesimis itu beransur hilang. 6 bulan pertama saya belum mendapat kebenaran untuk menyampaikan modul. Saya hanya bekerja petik suis lampu dan susun pensel peserta sebelum mereka tiba. Juga imamkan solat semasa solat Jemaah. Tetapi saya ditugaskan untuk memerhati, memahami, menganalisa dan membiasakan diri mengenainya.


Saya berpeluang bertemu dengan segala jenis manusia yang rencam. Daripada top management bank terkemuka, hinggalah kepada penyiram bunga di jalanraya di Kuching. Daripada 20 pelajar paling cemerlang negara dihantar GLC ke universiti terkemuka dunia, hinggalah kepada murid paling bermasalah, bohsia dan bohjan. Daripada individu sesat yang menyembah busut dan menyepak bini jika bersolat, hinggalah kepada alim ulama yang memerlukan teknik dakwah kreatif bagi merawat kebekuan rutin mereka.


Bagi saya, mentaliti menyertai motivasi ketika itu, DAKWAH MEMERLUKAN MOTIVASI.


motivasi sub dakwah


Motivasi membantu menjadikan dakwah lebih berstruktur, kemas, aliran idea tidak mengganggu kognitif, dan memanfaatkan audio, visual dan segala keinsanan manusia agar menjadi reseptor yang berkesan kepada mesej dakwah.


Alirannya, saya membaca dan mengkaji idea-idea motivasi Barat dan meneliti manakah komponen yang boleh memperkayakan dakwah. Saya telah memanfaatkan idea John C Maxwell, Stephen Covey, John Gray, Gary Chapman, pada memperkayakan dakwah dan melancarkan penyampaian mesej al-Quran dan Al-Sunnah dalam bentuk yang lebih dinamik.


“Oh, ini cara yang lebih mudah untuk menerangkan secara praktikal pengertian SABAR” saya mencatat, selepas membaca konsep PROAKTIF yang dibentangkan oleh Covey di dalam 7 Habits beliau.


Tapaknya masih dakwah.


Modul-modul sedia ada di dalam FPSB juga diperbaiki dari semasa ke semasa. Saya dan beberapa orang lagi ustaz memberikan pandangan agar penafsiran yang tidak begitu menepati makna nas, dibetulkan. Kisah yang bersumberkan Israiliyyat, ditinggalkan. Maklumat yang tidak dapat dikesan asal usulnya, dihindari.


Saranan-saranan ini diterima, walaupun secara praktis, banyak kesulitan timbul, pada mengubah kebiasaan sedia ada.


MERIAH


Lama kelamaan, dakwah bermotivasi semakin menjadi in-thing. Dunia latihan dan motivasi semakin meriah. Motivasi dan dakwah semakin bersahabat dan bertindan mesra.


Tanpa disedari, di celah dunia dakwah bermotivasi itu muncul idea MOTIVASI PERLUKAN DAKWAH.


dakwah sub motivasi


Apa yang mula berlaku bukan lagi pada memperkayakan dakwah Islam dengan elemen kreatif. Sebaliknya idea motivasi yang diperkayakan dengan elemen-elemen Islam. Kita bukan mengkreatifkan dakwah dengan elemen motivasi, tetapi kita mengkreatifkan motivasi dengan elemen dakwah.


Dakwah menjadi sub kepada motivasi.


IMPLIKASI MERBAHAYA


Saya terbaca di dalam majalah Nebula pada sekitar tahun 2006 atau 2007, satu contoh pemikiran memakaikan pakaian Islam kepada motivasi.


Seorang penulis di dalam majalah berkenaan mengatakan bahawa Zero Mind Process wujud di dalam Islam. Beliau telah memetik hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam tentang takrif Ihsan (Hadith Jibril) untuk membuktikannya. Hadith itu asalnya berbunyi:


أن تعبد الله كأنك تراه

فإن لم تكن تراه فإنه يراك


Terjemahannya:


“(Ihsan itu ialah) seperti kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya

Dan jika tidak sampai kamu dapat seperti melihatnya, maka (ketahuilah / rasakanlah) bahawa sesungguhnya Allah melihat kamu”


Tetapi penulis berkenaan telah ‘menggunting’ nas hadith ini kepada:


فإن لم تكن، تراه


Yang diterjemahkan maksudnya sebagai:


“Jika kamu menafikan wujud dirimu, nescaya kamu akan dapat melihat (kebesaran) Allah”


Inilah dalil kepada teknik Zero Mind Process, tegas penulis tersebut.


Semasa membaca artikel itu, saya tersentak. Mula tersedar bahawa ada golongan motivator yang melakukan jenayah terhadap nas apabila mereka mengolah nas agar sesuai dengan modul dan teknik yang mereka bawa, dalam bentuk yang langsung tidak menepati nas, malah tidak pernah sama sekali dimaksudkan begitu.


Inilah juga yang sedang berleluasa pada masa ini.


Arah penghasilan modul, bukan meneliti isi kandungan nas untuk mencipta modul. Sebaliknya, meneliti isi kandungn nas untuk mengukuhkan modul. Nas duduk di bawah modul, dan bukan modul duduk di bawah nas.


Dan dicarilah para ustaz ustazah untuk bekerja menjustifikasikan keislaman modul yang dicipta oleh motivator yang mencipta modul itu jauh daripada asas Islam. Agamawan dan ahli akademik diperalatkan. Saya pandang ia ‘diperalatkan’ kerana ilmu-ilmu agama yang dikehendaki tunduk kepada epistemologi para motivator.


Modul itu lahir bukan daripada benih Islam, tetapi diberi kad pengenalan Islam apabila berpakaian dengan pakaian Islam. Ia tidak berjiwa Islam kerana Syariah masih sub kepada motivasi.


Inilah fitnah dunia motivasi dakwah, yang menjadikan dakwah sebagai sub kepada motivasi. Bukan lagi dunia dakwah yang memanfaatkan motivasi, yang saya kenali sepuluh tahun yang lalu.


Jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk sembahyang di atas kubur, ia jelas bid’ah dan mungkar. Tetapi jika bid’ah dan kemungkaran berlaku dalam bentuk idea, metod, manhaj dan pemikiran, ‘makhluk paling Salafi’ pun mungkin terpedaya.


Semoga Allah ampunkan dosa-dosa saya jika pernah terjebak dalam kebejatan itu. Dan mengurniakan basirah ke jiwa sahabat-sahabat saya agar jujur dengan kesarjanaan masing-masing, bahawa adakah dalam dunia latihan hari ini, ilmu Islam sedang menggunakan teori motivasi untuk memajukan dakwah, atau sebenarnya ilmu Islam sedang dipergunakan untuk memajukan teori motivasi, kerana bisnes memang sentiasa perlu berinovasi begitu.


Hakikatnya ia bisnes.


Duit.


Kapitalis.


Periuk nasi saya sedang bertabur pasir… saya merelakannya sebelum perut saya tersumbat pasir dan tanah kubur, pada bila-bila masa nanti.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (402) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2013 05:21

March 12, 2013

14. Penarikan Semula Novel Hijrah dari Pasaran: Kenyataan Media oleh PTS

Hijrah


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Azza wa Jalla dan selawat serta salam buat Rasul-Nya.


Saya bersyukur kepada Allah, pada hari ini Tuan FAUZUL NA’IM ISHAK selaku Pengarah Penerbitan bagi PTS Media Group Sdn Bhd. telah menyiarkan kenyataan rasmi mengenai isu kritikan terhadap novel HIJRAH karya Ayahanda Abdul Latip Talib.


Ia tidak seharusnya dibaca sebagai ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah. Ia bukan sebuah pertandingan. Tetapi ialah adalah sebuah proses untuk mengukuhkan tradisi keilmuan di dalam masyarakat kita di negara yang dicintai ini. Justeru, tindakan PTS mengalu-alukan kritikan, mengadakan siri perbincangan dalaman mereka dan mengambil keputusan untuk menarik novel HIJRAH daripada pasaran, merupakan tindakan yang sangat terpuji, besar, dan tidak mudah untuk dilakukan. Tindakan ini mesti menjadi teladan yang penting buat penerbit-penerbit lain bahawa demi kebenaran dan kejernihan ilmu, kepentingan-kepentingan lain mesti diuzurkan. Sesungguhnya ia adalah sebuah pengorbanan berbentuk risiko kewangan yang besar.


Saya juga berasa agak lega kerana pengamatan saya melihat bahawa novel HIJRAH bukanlah novel yang berada di carta tertinggi jualan, maka penarikannya mudah-mudahan tidak memberi implikasi kewangan yang rumit sama ada kepada penerbit mahu pun penulisnya sendiri. Ia satu bentuk ‘blessing in disguise’ kerana novel ini membawa isi kandungan paling kritikal kerana ia berkait secara langsung dengan Sirah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, namun ia bukan yang paling rancak di kaunter jual beli di pasaran.


Ini menjadikan kritikan kepada novel HIJRAH mudah-mudahannya jelas dilihat sebagai desakan amanah ilmu, dan tiada kepentingan bisnes.


KECELARUAN METOD PENULISAN


Sebagaimana yang banyak kali saya tegaskan sebelum ini, permasalahan novel sejarah karya Pak Latip, biar pun banyak membabitkan isu fakta, namun lubuk permasalahannya ialah pada metod penulisan. Maka kesilapan fakta adalah akibat, dan bukan punca kepada masalah-masalah mengenainya. Dan oleh kerana lubuk permasalahan itu adalah pada metod penulisan, maka krisis-krisis yang sama seperti novel HIJRAH secara sendirinya harus berada dalam jangkaan kita bahawa ia turut berlaku di dalam novel-novel yang lain.


Secara akademiknya, saya hanya dipertanggungjawabkan oleh pihak jabatan di fakulti, untuk meneliti novel HIJRAH. Maka peranan langsung saya berhenti setakat di situ. Untuk saya meneruskan kajian terhadap puluhan novel yang lain, ia sudah lari daripada fokus akademik saya kerana disertasi saya adalah berkisar kepada Sejarah Daulah Uthmaniah abad ke16 dan 17. Bebanan akademik untuk itu tidak memungkinkan saya untuk mendedikasikan diri meneliti satu demi satu novel sejarah yang lain, sama ada oleh Pak Latip, mahu pun oleh beberapa penulis di dalam genre yang sama. Insya Allah ia akan dilakukan oleh pelajar-pelajar lain serta pengkaji yang berminat untuk melakukannya.


Namun sebagai seorang Muslim, yang memikul amanah ilmu serta amar makruf dsn nahi munkar di atas bahunya, Insha Allah saya akan terus dari semasa ke semasa berkongsi pandangan dan saranan, yang akan secara semulajadinya berbunyi kritikan, terhadap karya-karya yang lain.


ANALOGI


Secara analoginya, apabila masyarakat menolak hospital, doktor, rawatan klinikal dan pergi kepada bomoh, sudah tentu ini menjadi ancaman kepada perkhidmatan kesihatan. Maka Kementerian Kesihatan, para doktor pakar, dan pelajar perubatan perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sistem.


Demikian jugalah dengan polemik novel sejarah ini. Apabila masyarakat begitu berminat dengan novel sejarah yang berkecamuk metod penulisan dan fakta-fakta (walaupun dihujahi bahawa novel tidak wajar faktanya dinilai), dan menganggap penulis novel sejarah sebagai sejarawan serta berbicara dengan otoriti sejarawan, maka ia menjadi suatu ancaman kepada disiplin ilmu tersebut. Maka Fakulti, Jabatan, Profesor, pensyarah dan murid-murid sejarah, perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sistem.


Saya tahu, oleh kerana dalam ranking mereka yang sepatutnya bertindak itu, saya hanyalah murid sejarah yang tidak berotoriti, tindakan saya melontarkan kritikan terhadap novel sejarah karya nama besar Pak Latip, boleh menghanguskan diri sendiri. Tetapi dengan amanah ilmu yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah saya berkaitan kajian ini, saya mengambilnya sebagai suatu tanggungjawab yang perlu dilunaskan, sama ada atas kapasiti akademik, mahu pun sebagai Muslim yang wajib mempertahankan kebenaran.


BUKAN KRITIKAN PERIBADI


Kritikan saya pula, bukanlah kritikan kepada peribadi penulis. Saya tidak menyentuh ibadah penulis, solatnya, auratnya, keluarganya dan hal-hal yang sedemikian rupa. Sebaliknya, saya hanya mengkritik penulisan, berbekalkan buku-buku, interaksi penulis dan pembaca yang sedia ada di blog, yang mana kesemuanya sudah sedari awal bersifat awam. Kritikan juga sangat tertumpu kepada subjek ini, dan saya berusaha keras untuk mengelakkan diri daripada menggunakan maklumat-maklumat peribadi dan sulit, walau sesahih mana pun ia, demi untuk mengekalkan sifat neutral dalam kritikan.


Jika tidak, maka sudah tentu lebih ‘haram’ bagi mana-mana di kalangan kita untuk menganalisa karya Buya Hamka, Raja Ali Haji, al-Tabari, Muneccimbası, Taşköprülüzade dan jutaan lagi penulis yang telah meninggal dunia.


Semoga Allah mengampunkan kekurangan-kekurangan saya selama ini, dan menyejukkan hati Ayahanda Pak Latip untuk memandang saya sebagai seorang anak yang ‘nakal’ tetapi paling mahukan redha Allah dan Syurga buat ‘ayah’nya, ameen.







Kenyataan Media: Penarikan Semula Novel Hijrah dari Pasaran
[sumber] pts.com.my


Assalamualaikum dan salam bahagia,


Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan Muhammad Rasulullah SAW.


Merujuk kepada komen dan pandangan yang diberikan oleh seorang agamawan melalui saluran seminar dan juga facebook mengenai sebuah novel Sejarah Islam terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. bertajuk HIJRAH karangan Tuan Abdul Latip Talib. 


Saya bagi pihak PTS Media Group Sdn. Bhd., mengucapkan jutaan terima kasih kepada para agamawan dan juga pakar-pakar dalam bidang lain yang memberikan pandangan kepada pengisian di dalam buku-buku terbitan kami. Kami amat bersyukur kepada Allah kerana adanya para pakar yang sudi menegur usaha kami yang kerdil ini.


PTS diwujudkan atas 3 dasar utama iaitu menerbitkan karya-karya berkualiti dalam bahasa Melayu bagi membanyakkan bahan bacaan dalam kepustakaan Melayu, menentang rasuah dalam amalan bisnes dan penerbitan, menerbitkan bahan yang patuh syariah. Ini adalah dasar pegangan PTS sejak awal penubuhannya pada tahun 2000. Dasar ini menjadi asas kepada penerbitan karya-karya terbitan kami selama ini.


Para individu di bahagian editorial bertungkus-lumus merealisasikan dasar perjuangan ini dalam gerak kerja harian. Setiap buku yang diterbitkan diteliti sehabis mungkin supaya bahan terbitan kami dijaga keharmonian bahasa dan kesahihan fakta di dalamnya. Apabila ada bahan yang berada di luar daripada kepakaran kami, kami melantik para pakar dalam bidang yang kami percaya dapat memberikan pandangan dan penilaian terbaik bagi memurnikannya. Selagi mana manuskrip itu masih lagi ada kesangsian fakta dan maklumat di dalamnya, selagi itu ia terus diteliti dan disunting.


Pihak kami juga menggunakan teknologi yang terkini bagi memastikan setiap buku yang diterbitkan mencapai tahap kualiti tertinggi. Teknologi ini termasuklah menggunakan perisian susun atur huruf versi terbaru, perisian kamus, prosedur operasi standard dan apa sahaja yang dilihat serta dirasakan dapat meningkatkan kualiti penerbitan kami. Namun sebahagian besar proses ini masih lagi melibatkan unsur ‘manusia’. Pelbagai program latihan editorial dijalankan, latihan suntingan bahasa, latihan suntingan agama, sesi diskusi bersama pakar bidang dan forum-forum secara online dilakukan bagi menangani perkara berbangkit.


Manusia tetap manusia, kita bukan insan sempurna. Walaupun segala usaha dilakukan, kadangkala pasti ada yang terlepas pandang. Walaupun manuskrip-manuskrip sudah diperiksa oleh dua ke tiga editor, masih ada kesilapan di luar kawalan kami. Ini yang pentingnya sistem maklum balas daripada para pembaca dan para pekedai.


Apabila kami memperoleh sebarang pandangan daripada mana-mana pihak berkaitan bahan terbitan kami, Pandangan itu akan diteliti dan bahan terbitan itu dikaji semula. Ini bagi menentukan samada pandangan yang diberikan itu sahih ataupun tidak. Apabila ia dapat dibuktikan dan mempunyai fakta-fakta bersandar, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia diperbetulkan.


Apabila pandangan diberikan kepada produk buku HIJRAH, pihak kami mengadakan perbincangan dalaman pengurusan editorial bersama pengurusan tertinggi PTS Media Group dan perbincangan juga dibuat bersama Tuan Abdul Latip Talib, pengarang buku ini.  Alhamdulillah, Tuan Abdul Latip Talib secara terbuka mengakui sebagai manusia beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Beliau amat terbuka menerima sebarang pandangan mengenai perkara ini dan beliau memohon sebarang pandangan sebegini diajukan kepada beliau secara peribadi.


Hasil daripada perbincangan yang dibuat ini, pihak kami memutuskan bagi membuat penelitian dan pemurnian semula terhadap naskhah penerbitan ini. Tindakan proaktif ini dibuat atas sebab setiap pandangan membina perlu diambil perhatian.


Sehubungan dengan itu, pihak pentadbiran PTS Media Group membuat keputusan untuk menarik balik kesemua naskhah buku HIJRAH daripada pasaran. Arahan penarikan sudah dikeluarkan kepada para eksekutif jualan dan tindakan sudah diambil oleh pihak yang berkenaan.


Kami amat mengalu-alukan mana-mana individu peminat dan pejuang dunia ilmu bagi memberikan pandangan secara terus kepada pihak kami apabila menemui sebarang perkara berbangkit dalam bahan terbitan kami. Sebarang perkara berbangkit boleh dimajukan kepada Pengurus Besar Penerbitan PTS, Tuan Ikram Wazir di talian: (+6) 016 661 1649 | emel: ikram@pts.com.my ataupun terus kepada saya di talian :  (+6) 016 661 1472 | emel: fauzuln@pts.com.my. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengadakan sesi pertemuan dan diskusi dengan pihak kami bagi memberikan pandangan berkenaan buku terbitan kami.


Sekali lagi jutaan terima kasih kepada pihak yang memberikan pelbagai pandangan membina bagi menambah baik karya-karya terbitan kami. Kami doakan Tuan dan Puan sentiasa diberikan rahmat dan redha Allah dalam apa sahaja gerak kerja yang dilakukan seharian. Kami juga memohon maaf kepada para peminat buku terbitan kami yang terkesan daripada perkara berbangkit ini. Kami juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Semoga Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada diri kita semua.


Sekian, terima kasih.


Salam penerbitan dan salam perjuangan,


 FAUZUL NA’IM ISHAK


 


Pengarah Penerbitan 


PTS Media Group Sdn Bhd.


 



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1014) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 12, 2013 20:51

March 11, 2013

Sunnah: Antara Teknik dan Fitrah

20130201_142141


“Aku pun sudah makin risau dengan Beyza. Makin besar cabarannya” kata Fatih.


“Ya, anak-anak kita mula meningkat remaja. Saiful Islam pun sudah 11 tahun” saya membalas.


Beyza lebih setahun usianya berbanding Saiful Islam. Semasa masih kanak-kanak, mereka pernah bermain bersama-sama, ketika saya berkunjung ke Turki pada tahun 2003. Saif setahun, Beyza dua tahun.


“Apa perancangan kamu?” saya bertanya.


“Buat masa ini, cabaran paling besar adalah sekolah. Rasanya dia perlu ditukarkan ke sekolah Ozel (sekolah swasta). Persekitaran penting” jawab Fatih.


“Hmm… setakat ini ketiga-tiga anak kami bersekolah di sekolah swasta. Banyak sebab. Tetapi salah satunya, mungkin sama dengan isu yang engkau timbulkan” saya menyambung.


Terasa yang kami semakin beransur ‘tua’. Sembang pun mula masuk bab cabaran anak remaja.


“Engkau tidak ada baca apa-apa buku tentang teknik mendidik anak?” saya bertanya.


Soalan saya spesifik.


“Errr!” Fatih berpaling ke arah saya.


Hairan dengan pertanyaan itu.


Dalam senyumnya, saya tidak melanjutkan pertanyaan. Saya cantumkan wajah-wajah yang sama ketika saya bertanya tentang anak-anak kepada semua rakan yang sempat ditemui.


Agak ganjil buat saya, boleh dikatakan hampir semua rakan yang sempat saya temui di Turki, tidak kelihatan pada mereka sebarang tanda yang mereka menggunakan teknik-teknik tertentu dalam mendidik, menegur, mendisiplin malah menghukum anak-anak. Saya perhatikan buku mereka di rak masing-masing.


Tiada buku keibubapaan.


Tiada buku teknik.


Di kedai-kedai buku juga, saya hampir tidak bertemu dengan buku-buku Self Help yang menawarkan teknik-teknik berhubung dengan kemanusiaan manusia. Walaupun Fatih tidak menolak pentingnya kursus untuk syarikat, seperti yang dilakukan oleh seorang trainer, jiran beliau yang tidak sempat ditemukan dengan saya walaupun telah berjanji.


“Sesekali perlu. Memberhentikan kebiasaan” ujar Fatih.


Tetapi ia tidak sampai mewarnai kehidupan harian.


Biar pun tiada buku-buku teknik seperti itu, pemerhatian saya terhadap cara para rakan berinteraksi dengan isteri dan anak-anak mereka amat semulajadi. Anak-anak pun bukan tiada yang nakal, tetapi cukup tertibnya.


Cenksu di Ankara.


Hamzah di Maltepe.


Fatih di Uskudar.


Hasan juga.


Pemerhatian ini mendesak saya melontarkan sebuah soalan yang serius. Soalan yang bersifat muhasabah ke atas diri sendiri. Setelah 10 tahun berkecimpung (baru 10 tahun bagi yang lebih berpengalaman) di dalam dunia latihan dengan tumpuan kepada soal keibubapaan, komunikasi efektif suami isteri serta hal ehwal pendidikan formal dan tidak formal, saya tertanya-tanya.


Saya sudah menyaring teori Dr. Haim G. Ginott di dalam bukunya Between Parent and Child berkaitan dengan tragedi cemburu (Jealousy: The Tragic Tradition), memilih kasih dan Sirah Nabi Yaaqub alayhi al-Salaam.


Saya juga sudah meneliti teori 5 Love Languages yang dikemukakan oleh Gary Chapman pada menilainya daripada perspektif Sunnah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.


Tetapi saya agak terlepas pandang.


Apabila Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam mencium Hasan dan Husin, adakah ciuman itu suatu TEKNIK, atau ia merupakan tindakan semulajadi yang terbit secara FITRAH daripada kemurniaan diri Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam?


Tatkala baginda sallallaahu alayhi wa sallam melakarkan garisan di tanah pada menjelaskan jalan Islam berbanding jalan Syaitan dan Jahiliah, adakah perbuatan melakarkan garisan itu merupakan suatu TEKNIK atau FITRAH?


APA BEZANYA?


Jika ia sebuah teknik, maka teknik itu boleh dipetik daripada perbuatan Baginda sallallaahu alayhi wa sallam, dirumuskan, dan diajar kepada orang lain.


Jika ia sebuah tindakan semulajadi yang fitrah, maknanya, perbuatan Baginda itu adalah terbitan peribadi Baginda yang dibentuk oleh Aqidahnya. Maka untuk menghasilkan seorang bapa yang mencium anak sebagai ekspresi kasih sayang, caranya bukan dengan mengajar ciuman sebagai teknik berkasih sayang, tetapi membentuk sistem kepercayaan, pandangan hidup dan nilai di dalam diri bapa agar mencontohi apa yang ada di dalam batang tubuh Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.


Ertinya, ciuman itu adalah output.


Jika ia dianggap sebagai teknik, maka ciuman itu adalah proses.


Implikasi kepada perbezaan ini, perbuatan-perbuatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam mungkin menjadi sasaran pembangun modul untuk merumusnya menjadi sebuah teknik. Apa yang telah dirumuskan itu, boleh diajar kepada manusia lain, hatta kepada manusia yang berbeza perisian dalamannya dengan perisian Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.


Dia mendidik anak gaya Nabi (sallallaahu alayhi wa sallam), tetapi Aqidahnya bukan aqidah baginda.


Dia memujuk muridnya seperti perbuatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam kepada Malik bin al-Huwayrith radhiyallahu ‘anhu yang berkampung 20 malam bersama baginda, tetapi pandangan hidup dan nilainya jauh berbeza daripada apa yang diajarkan oleh Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.


AMAL SELF HELP BARAT TANPA MENJADI KRISTIAN


Sebagaimana saya boleh mengamalkan teknik-teknik yang diajar oleh John C Maxwell tanpa saya menjadi Kristian, demikianlah seseorang boleh mengamalkan teknik-teknik Nabi tanpa menjadi Muslim.


Ada sisinya, ia positif. Ia menjadikan Islam, terpakai untuk semua, hatta kepada non Muslim.


“Islam menjadi rahmat buat alam” kata kita.


Namun sampaikah Islam kepada non Muslim melalui teknik itu? Adakah dengan mengamalkan teknik itu mereka jadi bahagia, tanpa perlu menjadi Muslim? Jika tanpa menjadi Muslim sudah mendapat nikmat kebahagiaan, apa perlunya menjadi Muslim?


Dan Muslim yang mengamalkan teknik Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, sampaikah sebenar-benarnya Sunnah baginda kepada keislaman Muslim?


Memetik teknik Nabi, mengasingkannya daripada Aqidah, apatah lagi dengan melunturkan wajah agama padanya dengan membuang selawat semasa berteknik dengan teknik Nabi, menyebabkan terjadinya MISSING LINK antara ‘SUNNAH’ dan RASULULLAH SALLALLAAHU ALAYHI WA SALLAM.


Missing link ini merbahaya.


Missing link ini mengundang fitnah Dajjal. Apa-apa vakum yang wujud antara Ketuhanan dan alam, akan direbut oleh Dajjal.


Ia adalah seperti yang diberi amaran oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi bahawa mazhab Dajjal adalah materialisme. Materialisme bukan bermaksud gila harta, tetapi memutuskan SPIRITUAL daripada FIZIKAL, EMOSIONAL dan INTELEKTUAL.


Saya masih merenungi dan berusaha untuk memahami akan hal ini.


Apa yang kelihatan setakat pengetahuan dan kefahaman agama yang amat cetek, fakir lagi terbatas ini, seruan Islam adalah pada membetulkan dalaman manusia. Jika umumnya ia disebut sebagai AQIDAH, Sayyid Qutb memecahkan ia kepada tiga komponen itu, sistem kepercayaan, cara berfikir dan melihat (pandangan hidup) serta sistem nilai.


Dalam erti kata yang lain, TEKNIK adalah sesuatu yang rapuh. Ia mungkin cepat pudar, sebagaimana The 7 Habits oleh Covey yang mula dipersoalkan selepas 10 tahun ia berada di pasaran. Lalu keluarlah pelbagai penambahan untuk menampal teknik-teknik yang diajarkan oleh Covey sebelum ini.


Pendekatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam adalah pada membetulkan dalaman manusia. Dan kemudian, segala perilaku positif dan betul dalam mendidik, memimpin dan berinteraksi dengan manusia lain, terjadi secara sejahtera malah tidak terbatas kepada satu dua cara sahaja.


Tetapi untuk mengajar Aqidah dalam kursus motivasi, industri tidak memberi restu.


Kerana itulah saya resah dengan kemunculan pelbagai teknik yang disandarkan kepada Nabi sallallaahu alayhi wa sallam dalam pasaran industri latihan semasa, lantaran ada kebimbangan yang amat besar di dalam diri. Saya kekurangan perkataan untuk mengungkapkannya. Cukup sekadar sebuah analogi:


Buah, bunga, ranting dan dahan yang indah-indah, segera mati dan pupus tanpa akar sebagai sumber.


Bak kata Ustaz Pahrol M Juoi, umat kita dilanda bukan masalah mati pucuk, tetapi masalah mati akar.


Akar Spiritual yang dicabut daripada Intelektual, Emosional dan Fizikal, atas nama sebuah TEKNIK.


Saya masih bermuhasabah pasca pemergian ke Turki. Sebuah negara yang rancak membaja akar. Kita mahu segera memetik pucuk.


Persis monyet, kura-kura dan pokok pisang yang malang!


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (606) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 11, 2013 11:03