Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 68

January 3, 2013

Psikologi Berbilang Jemaah – 1 (Pemikiran Scarcity vs Abundance)

20130104-191150.jpg


Gambar Hiasan


Fenomena berbilang jemaah dan kumpulan dakwah adalah realiti.


Sesuatu yang kita tidak dapat lari daripadanya, dan menuntut keupayaan diri untuk menguruskannya.


Jika ulama membahagikan berbilang (ta’addud) itu kepada yang harus dan tidak harus, realitinya perjuangan kita adalah untuk menarik apa yang ada kepada yang harus, bermanfaat, serta mengecilkan mudarat yang sedia menanti. Ta’addud yang tudhad (تضاد) kepada ta’addud yang saling melengkapkan.


Namakan ia impian, namakan ia angan-angan. Hakikatnya ia sesuatu yang telah pun Allah berikan amaran:


ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ

“Dan tegakkanlah urusan agama, namun jangan sekali-kali kamu berpecah belah dalam melakukannya” [Al-Shura 42: 13]

Berbilang jemaah ini semakin merumitkan apabila bebanan sejarah silam, dibiarkan tanpa meraikan perubahan yang berlaku terhadap cara berfikir generasi semasa. Apatah lagi mereka merupakan generasi yang tidak mengalami luka-luka semalam, seperti abang kakak serta pakcik makcik mereka.


Maka mengulang-ulang cerita semalam, jika maksudnya adalah untuk meraih sokongan mungkin boleh bertukar menjadi sebaliknya.


Fakta tidak boleh diubah.


Hanya yang berdusta sahaja berani mengubah fakta. Semoga Allah melindungi jemaah dakwah daripada sifat dusta yang amat dikeji ini.


Tetapi fakta yang sama boleh diolah secara yang lebih positif. Secara yang boleh meraih sokongan, tanpa mencipta musuh dan pertentangan.


Bagi jemaah PAS, fakta PAS sebagai jemaah terawal, tertua, pertama dan mendahului jemaah kontemporari yang lain, adalah fakta yang kekal di dalam sejarah. Tetapi bagaimana ia ditafsir dalam konteks berbilang jemaah?


Apabila fakta ini dilihat daripada sudut SCARCITY MENTALITY, pendukung PAS akan berkata, “oleh kerana PAS jemaah pertama, maka jemaah inilah yang mesti diikut. Kemunculan jemaah lain selepasnya adalah tidak syar’i, justeru memilih PAS adalah tuntutan syara’!”


Pendapat seperti ini, diterima dan tidak dicabar secara terbuka di era abang kakak dan pakcik makcik. Tetapi sejauh manakah ia mampu mencapai objektif semasa?


Apabila hakikat PAS sebagai jemaah pertama dioleh sedemikian rupa, ia meletakkan hanya dua pilihan di hadapan. Dua pilihan yang saling bertentangan. Bahawa memilih PAS adalah memilih kebenaran dan tidak memilih PAS adalah memilih kebatilan. Jika tawaran itu (jika boleh dinamakan sebagai tawaran) disambut maka bertambahlah rakan dan saudara seperjuangan. Tetapi jika ditolak (atas apa jua alasan dan sebab), maka secara otomatik ia menjadikan prospek kawan itu tadi kepada LAWAN.


Maka terhasillah ramai LAWAN PAS di dalam program PAS sendiri.


Kerangka sebegini disebut sebagai SCARCITY MENTALITY. Ia melihat dunia ini sangat sempit pilihan, kemenangan lawannya adalah kekalahan, maka risiko menerima kekalahan sentiasa dihindari. Akibatnya, kekalahan jua yang sering berlaku.


Itu belum lagi dikira ada anak muda yang menempelak dengan berkata, “sebab itulah jemaahnya nyanyuk. Sudah tua!”


Bagaimana jika fakta yang sama diolah dalam bentuk yang lebih meraikan?


PAS sebagai jemaah pertama, maka PAS kaya dengan pengalaman. Sudah menempuh pelbagai ijtihad dakwah dan politik. Pernah bekerjasama dengan kerajaan pemerintah, pernah dikhianati, pernah kehilangan Presiden dan Timbalan Presiden yang berpaling arah, dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat dan mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia, justeru dengan memilih PAS, inilah yang ‘kami’ tawarkan!


Jika tawaran disampaikan dalam bentuk menawarkan kelebihan, ia tidak memerangkap manusia dalam dilema. Jika prospek menerima pelawaan, maka dia menjadi rakan dan saudara seperjuangan. Namun jika tidak menolaknya, ia tidak secara otomatik menjadikan beliau itu musuh. Malah jika dia kemudiannya menyertai jemaah lain, ada ahli dalam jemaah itu yang memahami PAS!


Akhirnya, dia menerima atau menolak, dakwah ‘kita’ tetap menang. Dia terima, kita menang. Dia tolak pun, kita menang.


Itulah kuasa pendekatan positif.


Pendekatan yang berada di dalam kerangka ABUNDANCE MINDSET. Satu cara pandang yang melihat kebaikan di dalam masyarakat itu sangat luas dan banyak.


Biar seteruk mana sekali pun sebuah jemaah itu dikhianati oleh jemaah lain (malangnya), keupayaan untuk memilih sikap positif sentiasa menjadikan sebuah jemaah itu menang.


Menang ahli.


Menang moraliti.


Dan inilah yang disebutkan oleh Allah:


وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]

Mampukah kita meyakini janji Allah ini, dan mengubah sikap kita dalam mengajak kepada sokongan?


وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41: 35]

Keimanan kepada keluasan bahagian dunia dan Akhirat, menjadikan kita berupaya untuk menghayati pemikiran menang-menang, lebih daripada teori Scarcity Mindset vs Abundance Mindset yang diutarakan oleh Stephen Covey di dalam gagasan 7 Habits beliau.


Ini bukan soal mengutamakan akal lebih daripada nas.


Ini soal menjauhkan akal dari nas.


Hingga nas diabaikan.


Hingga akal menumpulkan.


Kita juga yang rugi.


Ummah juga menanggung rugi.


Pertimbangkanlah!


HASRIZAL

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3091) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 03, 2013 20:48

December 27, 2012

Biar Pun Bangkrap Ekonomi, Jangan Bangkrap Moraliti


Warga Malaysia di Galway yang sempat beramah mesra


“Apa cerita Ireland?” saya bertanya kepada rakan.


“Macam biasa. Inflasi. Bankruptcy, pengangguran, macam dalam berita” katanya.


Saya mengangguk.


Ramai rakan yang tinggal di Ireland, menghadapi pelbagai cabaran. Ekonomi, sosial, pendidikan, malah kerjaya.


Ada yang perkembangan kerjaya sudah stagnant.


Gaji pun serba sederhana.


Tidak banyak yang boleh diharapkan daripada sebuah negara yang bangkrap. Ekonomi merudum, hampir-hampir sahaja sebaris dengan Greece dan blok Eropah Timur.


Salah benar orang di kampung halaman yang berburuk sangka bahawa mereka tinggal di sana kerana harta, duit dan kemewahan. Mereka tidak mewah. Kehidupan mereka biasa-biasa sahaja. Kalau pulang ke Malaysia mungkin nampak mewah sedikit sebab tukaran matawang yang tinggi antara Euro dan RM. Mungkin nampak mewah kerana kereta mereka bagus. Terlupa yang cukai kereta di sana rendah. Harga kereta murah.


Mercedez bukan mewah.


Volkswagen Golf bersepah-sepah.


Biasa-biasa sahaja.


Namun, rata-rata sahabat saya yang bermastautin di Ireland, bertahan kerana faktor kemanusiaan.


Rumahtangga.


Anak-anak.


Pendidikan.


Di sebuah negara yang berbeza agama, berlainan bangsa, survival minoriti penuh ujian, ada sesuatu yang ‘mahal’ lagi berharga yang para ibu bapa berusaha keras mempertahankannya.


Saya mencari-carinya. Bertanya, berbual, bertanya, bersoal jawab, bergurau, dan akhirnya saya bertemu dengan satu cerita.


Politik!



“Bertie Ahern apa khabar?” saya menambah soalan.


“Habis dah. Sudah berundur daripada politik” jawab rakan.


Menarik. Bertie Ahern karismanya tidak kalah dengan Tony Blair. Sama muda, sama berbakat dan panjang tempoh pentadbiran. Parti  Fianna Fáil yang dipimpinnya juga lama memerintah Republic berkenaan. Selama saya bermastautin di Ireland, nama Bertie Ahern sinonim sebagai  Taoiseach of Ireland (Perdana Menteri).


Bekas Perdana Menteri Republic of Ireland itu rupa-rupanya telah mengundurkan diri daripada politik.


Beliau gagal mempertahankan dirinya daripada dakwaan oleh Mahon Tribunal terhadap transaksi wang tidak jelas di dalam akaunnya membabitkan usahawan terkemuka , Owen O’Callaghan. Ahern tidak disabitkan bersalah. Namun penjelasannya tentang wang tersebut ditolak oleh tribunal.


Jasa Bertie Ahern besar kepada kemajuan Ireland. Tetapi itu tidak menghalang dirinya daripada disiasat secara telus di kemuncak jawatan tertinggi, dan rakyat Ireland yang menderita atas kemunduran ekonomi, tidak menderita moraliti apabila berbohong kekal menjadi kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.



Teringat saya kepada sepotong hadith:


ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة ولا يزكيهم ( قال أبو معاوية : ولا ينظر إليهم ) ولهم عذاب أليم : شيخ زان . وملك كذاب . وعائل مستكبر

“Tiga manusia yang Allah enggan berbicara dengan mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan dibersihkan daripada beban kesalahan (berkata Abu Muawiyah: Allah juga tidak mahu memandang mereka) dan bagi mereka azab yang pedih (iaitulah):  orang tua yang berzina, raja (pemimpin) yang berbohong dan si miskin yang bongkak” [hadith riwayat Muslim]


Perbicaraan Bertie Ahern juga dilakukan dalam keadaan berintegriti. Ejek mengejek jauh sekali, bertepuk tangan pun dilarang sama sekali – photo credit thejournal.ie


Benarlah ungkapan Muhammad Abduh, “aku ke Paris dan aku bertemu dengan Islam tanpa Muslim, aku ke Kaherah dan aku bertemu dengan Muslim tanpa Islam”


Mendidik anak-anak dalam suasana yang tiada Muslim, namun tertegak nilai Islam, menjadikan kehidupan kekal berintegriti. Kehidupan yang membolehkan hitam dilakar hitam dan putih dijernihkan sebagai putih. Rakan-rakan saya mempertahankan harga etika sosial ini dalam suasana pendidikan anak-anak mereka.


Biar pun bangkrap ekonomi, jangan bangkrap moraliti!


Itu kisah Ireland.


Kisah 2008.


Selamat datang 2013.


Ini mungkin tahun kita!


HASRIZAL

Galway, Ireland


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (368) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2012 19:48

December 26, 2012

PUISI 2012 Melabuhkan Tirai: Misi Menjadi Manusia Berperisian


PUISI 2012 melabuhkan tirainya.


Ini PUISI ke-10 semenjak kali pertama ia dianjurkan pada musim sejuk 2003.


Ini pula PUISI ke-3 saya selepas kali pertama menerima jemputan pada 2006 dan kemudiannya 2007.


Kali ini saya dijemput untuk menyampaikan modul Pengurusan Hidup Berpandukan Surah al-Kahf. Komiti menamakan PUISI 2012 ini sebagai The Road Not Taken, berinspirasikan sajak Robert Frost dengan tajuk yang sama.


Saya amat gembira semasa menerima jemputan urusetia. Tanpa banyak berfikir, saya memberikan persetujuan. Sudah tentu salah satu dorongannya adalah perasaan rindu yang mendalam kepada Ireland. Tetapi sebab utama mengapa PUISI kali ini saya anggap sebagai anugerah, adalah kerana peluang untuk mewacanakan modul ini kepada generasi muda.


Biar pun saya baru meninggalkan Ireland kurang sedekad, perubahan semasa kelihatannya begitu pantas. Pengalaman mengendalikan program-program remaja, terutamanya sebagai pihak ketiga, yang berdiri secara bebas daripada sistem rumah dan sistem sekolah, mencetuskan banyak kegusaran saya terhadap apa yang sedang terbentuk dalam kemanusiaan generasi muda semasa.


Jurang antara generasi memang fenomena zaman berzaman. Tetapi bukan semua jurang boleh diterima secara lapang fikir dan jiwa bahawa ia sekadar jurang. Ada jurang yang mencetuskan perbezaan budaya. Namun ada jurang yang menampakkan berlakunya defisit terhadap asas-asas kemanusiaan.


Dan jurang kedua itulah yang sentiasa menggusarkan saya.


Modul Pengurusan Hidup Berpandukan Surah al-Kahf berguna untuk membantu saya menyampaikan saranan solusi terhadap kegusaran itu kerana di dalamnya ada elemen-elemen yang penting. Antaranya ialah:


TADABBUR AL-QURAN


Modul ini berteraskan al-Quran. Ia bukan idea asing. Ia bukan bahan import. Tetapi ia datang daripada al-Quran, yang telah diisytiharkan Allah sebagai HUDA, petunjuk untuk mencari solusi, bagi orang-orang yang bertaqwa (Q2:1-2).


Namun al-Quran itu bukan terhenti setakat qiraah bertajwid dan tilawah bertarannum, ia pergi ke peringkat TADABBUR.


Tadabbur yang mencabar manusia untuk bergerak jauh ke dasar makna. Maka pengalaman PUISI 2012 diharapkan membuka perspektif di kalangan hadirin bagaimana al-Quran perlu diteroka sedalam-dalamnya tanpa hilang cahaya pintu masuk dan jendela menjengah realiti kehidupan.


RANGKA FIKIR


Modul ini juga tidak random.


Bukan tadabbur ayat ke ayat, seperti sistem biasa yang disinonimkan dengan Tafsir.


Sebaliknya modul ini menampakkan kerangka yang berguna untuk mensistematikkan kefahaman.


Surah al-Kahf mengandungi 4 kisah, menyentuh 4+1 bentuk pengurusan iaitu:



S = Spiritual
P = Physical
I = Intellectual
E = Emotional
S = Social

Dan keempat-keempat kisah yang menguruskan lima dimensi tersebut pula, berulang-ulang pada menyentuh perisian manusia (software) iaitu Aqidah (belief system), cara melihat dan berfikir (worldview) dan sistem nilai / qiyam (value system).


Kesemuanya adalah untuk menjadikan kita semua Mukmin yang mampu melihat serta memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Tahu mengapa manusia bertindak tanduk dengan kelakuan tertentu, malah yang lebih utama, memahami tindak tanduk sendiri. Ia menjadikan keberagamaan setiap kita berisi dan jelas lalu boleh diurus tadbir.


Kita faham apa yang kita tahu.


Kita sedar apa yang kita rasa.


Kita nampak apa yang kita lihat.


Lalu dalam setiap kita ada dua kita. Kita yang melakukan kelakuan, dan kita yang memantau kelakuan itu. Ia menjadi asas utama sebuah MUHASABAH.


KUASA IBRAH


Modul ini juga terkandung di dalamnya kuasa ibrah. Apabila al-Quran mengisytiharkan bahawa teladan-teladan al-Quran itu sebagai ibrah, maka dengan sendirinya ibrah yang bermaksud mengaitkan sesuatu dengan sesuatu mendorong mereka yang bertadabbur untuk bukan sekadar tenggelam dalam memahami al-Quran, sebaliknya mengaitkan apa yang difahami dengan diri sendiri dan persekitarannya.


Mungkin kuasa ibrah inilah yang menjadikan ramai pihak takut, tidak gemar malah menghalang pengajian berlaku.


Mereka tidak marah al-Quran dikaji.


Tetapi mereka marah apabila al-Quran berkait dengan diri.


Berkait dengan kepentingan, kuasa, atau nafsu itu sendiri.


Namun apalah ertinya al-Quran dipelajari, jika apa yang dipelajari semuanya adalah tentang orang lain. Sedangkan Allah mewahyukan ia untuk setiap diri. Setiap kita.


Asalkan kaitan itu adalah untuk membina.


Memperbaiki yang rosak.


Membetul yang salah.


Dengan asas-asas yang benar.



Kredit foto: Norsakinah Ahmad Fauzi


Isi kandungan PUISI 2012 kali ini amat berat, namun saya berusaha sedaya mungkin untuk melunakkan penyampaian agar ia menjadi sesuatu yang bersifat simplified, bukan simplistik!


Semoga hasil PUISI 2012, alumninya menjadi insan yang celik mata hati.


Memandang kehidupan dengan pandangan Pencipta kehidupan itu sendiri.


Ameen.


HASRIZAL

Belfast, Northern Ireland


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (244) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 26, 2012 18:35

December 21, 2012

“Anak Saya Minat Lady Gaga, Ustaz!”


“Bagaimana kami hendak menjawab kepada anak-anak yang semakin meningkat remaja, persoalan mengapa mereka perlu bertudung, kenapa kena bataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan serta hal-hal lain yang sering menjadi persoalan mereka?” salah seorang sahabat yang hadir di dalam halaqah kami bertanya.


Ia persoalan yang berat.


Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang remeh dan enteng persoalan itu.


Kepala saya ligat berfikir.


Hari ini, saya sedang berhalaqah dengan rakan-rakan komuniti Malaysia yang berkampung di Lucan, Dublin. Kami berbicara tentang Ibrah Daripada Surah Luqman. Soalan yang hadir daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka di ‘negeri orang’. Ironinya, soalan yang sama telah beberapa kali saya terima daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak di kampung halaman sendiri.


Di Malaysia.


“Saya tiada jawapan mudah untuk soalan puan. Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang persoalan itu remeh sedangkan persoalannya sangat besar” saya berkongsi pandangan.


Satu perkara yang boleh kita analogikan, apabila seorang pesakit sentiasa mengeluh tentang tidurnya yang tidak lena, banyak berdengkur, diabetis yang tidak sembuh, celah peha dijangkiti kulat dan badan sentiasa penat, semua masalah itu serius dan mengganggu saban hari. Namun apakah semua itu masalah sebenar, atau segalanya datang daripada masalah yang lebih mendasar?


Inilah yang membawa perbincangan kami malam tadi kepada kerangka Surah al-Kahf.


Surah al-Kahf memahamkan kepada kita bahawa manusia bertindak tanduk, tidak secara rawak (random). Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut.



Apabila kita memberikan anak-anak pendidikan agama, iceberg ini boleh membantu kita membuat penilaian sejauh manakah anak-anak malah diri kita sendiri telah berjaya ‘beragama’.


Jika ritual yang menjadi penilaian, ritual mungkin berlegar hanya pada tip of the iceberg.


Namun kita perlu bertanya, adakah anak kita mempercayai sesuatu dengan cara percaya Islam?


Apa aqidahnya?


Bagaimanakah cara anak kita berfikir dan melihat? Adakah mereka memandang dengan pandangan Islam? Adakah mereka memandang kehidupan ini dengan pandangan hidup Islam?


Apakah sistem nilai mereka? Adakah mereka menilai baik dan buruk, penting dan tidak penting, berharga dan tidak berharga, berasaskan kepada nilai Islam?


Ini adalah di antara beberapa persoalan dasar yang boleh ibu bapa jadikan ia sebagai asas untuk memantau perkembangan proses beragama anak-anak.


“Anak saya minat benar dengan Lady Gaga!” kata seorang ibu dalam salah sebuah program yang pernah saya kendalikan.


“Minat lagu atau menjadikan Lady Gaga sebagai idola?” saya cuba mendapatkan kepastian.


“Lady Gaga itu menjadi inspirasinya!” kata ibu berkenaan. Gelisah.


Biar pun si ibu dan anaknya sama-sama beraqidah Islam, tetapi ada missing link antara aqidah mereka dengan cara mereka memandang kehidupan. Lady Gaga itu entahlah apa agamanya, tetapi cara pandang hidupnya, ialah pada melihat setiap manusia memiliki dirinya sendiri dan berhak menentukan apa yang baik dan buruk untuk dirinya, dan manusia lain perlu menghormatinya, biar seganjil mana pun ia.


Hakikatnya itu bukan pandangan hidup Islam.


Bagaimana seorang anak Muslim, yang diajar Aqidah Islam, boleh memiliki pandangan hidup yang bertentangan dengan Islam? Lalu seterusnya berpegang dengan sistem nilai yang jauh daripada Islam?


Mungkin Aqidah yang dipelajari, dipelajari secara random dan tidak akhirnya berumusan. Sedangkan dalam semua-semua topik Aqidah kita, sepatutnya ia berakhir dengan kejayaan menjawab tiga soalan utama iaitu:



Siapa aku?
Siapa Allah?
Apakah makna kehidupan ini?

Jawapan kepada tiga soalan itulah yang membentuk cara pandang dan cara fikir Islam.



Aku hamba Allah.
Allah Tuhan dan Penciptaku.
Hidup ini adalah kehambaanku kepada Allah.

Maka pandangan hidup kita akan menjadi pandangan hidup Islam.


Lalu apa yang penting di sisi Islam, pentinglah di sisi kita.


Apa yang utama di dalam Islam, utamalah di sisi kita.


Solat.


Tudung.


Batas-batas pergaulan.


Mungkin masih culas kerana gangguan nafsu, tetapi tidak lagi berbentuk mempersoalkan.


Pokoknya, mendidik anak-anak di era Dajjal ini tidak cukup sekadar melunaskan tuntutan tip of the iceberg.


Kita perlu mendasar.


Ke dalam.


Dan bertuahlah ibu bapa yang ada upaya berbual dengan anak-anak, kerana perbualan ini menyinarkan harapan untuk persoalan ini dikongsi oleh guru pertama dan guru terbaik anak-anak kita.


Ibu dan bapa!


TUJUH BUAH FIKIRAN



Ibu bapa perlu membezakan di antara masalah yang kelihatan dengan masalah yang sebenar. Masalah anak-anak seperti tudung, solat, pergaulan bebas, perlu dinilai apakah ia masalah yang sebenar atau ia merupakan simptom kepada satu masalah lain yang lebih mendasar.
Manusia tidak bertindak tanduk secara random. Perbuatan manusia mempunyai mekanisme yang jika difahami, boleh membantu kita mengenal pasti mengapa masalah-masalah yang kelihatan itu timbul.
Surah al-Kahf memberikan kerangka bahawa perbuatan manusia adalah hasil daripada

Sistem kepercayaan
Sistem fikir dan lihat (pandangan hidup)
Sistem nilai


Pendidikan agama mesti dicerakinkan kepada elemen-elemen yang membentuk kepercayaan, cara pandang dan fikir, serta cara menilai.
Ibu boleh boleh menilai, semasa anak membuat pilihan (misalnya pakaian), adalah pilihannya merupakan pilihan yang mencerminkan kepercayaan dan pandangan hidup Islam, atau bagaimana?
Perbualan tentang Islam bersama anak-anak boleh dipecahkan kepada elemen-elemen itu tadi, seperti:

“jom kita berdoa, Allah pasti membantu” (kepercayaan)
“kita kena berusaha sebaik mungkin, kemudian baru bertawakkal (kepercayaan)
“kami ibu bapa kamu, tetapi Allah Tuhan kami dan kami. Kita semua hamba Allah” (kepercayaan)
“apa tujuan kita ke sekolah?” (pandangan hidup)
“Kenapa dalam peperiksaan kita mesti yakin dengan usaha sendiri dan tidak meniru?” (pandangan hidup)
“Mengapa kita sambut Aidiladha dan Aidilfitri, kita tidak sambut Krismas?” (pandangan hidup)
“Duit kita, elok kita gunakan sebaik mungkin, tetapi 2.5%, kita asingkan untuk sumbangan” (sistem nilai)
“Jom kita solat dahulu. Cuci kereta yang ayah minta tolong tu kita buat kemudian” (sistem nilai)
“Kalau kawan suka, Allah tak suka, kita pun tidak bahagia. Utamakan Allah suka. Mama pun suka” (sistem nilai)


Sekali lagi, upaya komunikasi yang efektif antara ibu bapa dan anak, akan banyak membantu proses pendidikan berlangsung dengan sebaiknya.

HASRIZAL

LUCAN, DUBLIN


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2062) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 21, 2012 00:42

December 14, 2012

Masih Ada Betul Yang Betul Dan Salah Yang Salah


credit photo: redrumzero.wordpress.com


“Kita kenalah berlapang dada. Tidak semua orang fikir macam kita. Janganlah rigid sangat!” kata seorang lelaki.


“Apabila dia cakap macam itu, tidak semestinya dia bermaksud tidak baik. Mungkin cara dia salah. Tapi niat dia baik!” ulas seorang perempuan.


“Tuhan ciptakan manusia berbeza-beza. Takkanlah semua kena sama. Relaks la bro!” tegas seorang yang lain pula.


Kata-kata seperti ini sering kita dengar. Malah sering juga diajukan kepada kita sendiri. Semasa kita nampak sesuatu itu jelas kesalahannya dan memerlukan pembetulan, tiba-tiba pembetulan kita dibidas semula, bukan dengan pembetulan berbentuk hujah berbalas hujah, tetapi mengguna pakai hujah universal iaitu, manusia diciptakan Tuhan berbeza-beza.


Semakin lama, semakin melarat.


Semua benda tidak muktamad.


Semua benda ada sisi lain.


Mungkin ada kebenarannya. Tetapi kesan besarnya ialah seperti langsung tiada apa yang muktamad dalam kehidupan ini. Hingga tidak tahu apa yang hendak dipegang sebagai ‘pegangan’ dalam hidup ini. Hidup tanpa panduan, semuanya betul belaka.


Relatif.


Subjektif.


Hujahnya seperti ada. Hujah yang disandarkan kepada ayat utama pada membicarakan perbezaan, keunikan dan keistimewaan manusia:



“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujuraat 49: 13]

Tetapi kita perlu ingat.


Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza. Tujuannya bukan untuk berbalah lagi bermasalah. Tetapi untuk kenal mengenal, mengambil tahu antara satu sama lain.


Dan sebelum Allah menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan-Nya berbeza-beza, Allah terlebih dahulu mendatangkan 12 ayat di dalam surah yang sama, berbicara tentang apa yang betul dan apa yang salah dalam berkelakuan kita.


Ada yang betul.


Ada yang salah.


Yang betul itu betul.


Yang salah itu salah.


Kemudian baru datang kenyataan berbentuk kesimpulan, bahawa manusia itu memang pelbagai. Lalu cara mengenal lelaki dan mengenal perempuan, mengenal satu kaum, dan satu kaum yang lain, berbeza-beza.


Demikian satu penegasan penting Surah al-Hujuraat.


Surah al-Akhlaq.


HASRIZAL

KUCHING


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (263) Pelawat

6 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 14, 2012 09:03

December 13, 2012

Geografi ‘Mengantarabangsakan’ Diri


“Kok Meng, kau punya giliran!” kata Chee Mun.


Sahabat kami berpinar-pinar matanya meneliti atlas.


“Ok, cuba cari Kampung Sekreta” katanya.


Kami semua terdiam. Mulut terkunci, mata ligat memerhati. Mencari.


“Hah jumpa dah!” kata Asma.


Sebuah kampung tidak jauh daripada persisiran Sungai Pahang.


“Ok, aku bagi yang susah punya!” ujar Asma pula.


Kami terus menerus bermain Atlas sementara mengisi masa kosong kerana cikgu tidak hadir ke kelas. Sering terjadi, apabila cikgu bermesyuarat dan tidak masuk mengajar, kami sangat gembira. Mengisi masa kami, antaranya adalah dengan bermain Atlas. Permainan popular kami di SRK Raja di Hilir Ekram, Ipoh.


Melalui permainan itu jugalah kami dapat tahu ada sebuah kampung di negeri Pahang, namanya Kampung New Zealand. Rupa-rupanya Pasir Puteh bukan hanya nama kawasan perumahan dan sekolah kami. Ada Pasir Puteh di Kelantan, di Pasir Gudang Johor, malah di Negeri Sembilan.


Atlas dan Geografi memang menarik perhatian.


GEOGRAFI 1980′AN


Tambahan pula topik-topik di dalam buku teks, terasa sangat dekat di hati.


Penanaman ubi kayu di Chemor.


Ladang Nenas di Labis.


Bijih Timah di Lembah Kinta.


Kelapa di Bagan Datoh.


Sebagai budak kampung yang tidak berapa kampung, belajar Geografi menyebabkan fizikal kami fizikal Ipoh, tetapi imaginasi dan minda kami merayap ke merata tempat, bukan setakat di Semenanjung Malaysia malah terbang ke empat penjuru bumi.


Minda antarabangsa.


Apabila ada sesuatu yang bersifat antarabangsa di minda, ia mengubah cara kita memandang. Kita duduk di celah rimbunan pokok, tetapi kepala kita seperti tinggi menjulang ke langit melihat alam. Ia menjelaskan hikmah yang besar apabila salah satu rukun Islam ialah mengerjakan ibadah haji di Mekah.


Ibadah haji dan Mekah menjadikan “musafir ke tempat orang” sebagai agenda kehidupan yang paling kurang ia berlaku sekali seumur hidup. Ia menyuntik cita-cita untuk mampu. Ia memberitahu, ada dunia lain selain dunia harian kita. Malah ia menjadi pendorong kepada perkembangan ilmu Geografi dalam legasi keilmuan Islam.



Naskhah Mu’jam al-Buldan yang ada dalam koleksi buku saya


Yaqut al-Humawi, menghasilkan Mu’jam al-Buldan, antaranya adalah hasil musafir dan rekod musafir ke Tanah Suci. Perjalanan memerhati, bukan sekadar manusia dan aktiviti mereka malah jenis batu batan, permukaan bumi, tumbuh-tumbuhan, segalanya.


Pemetaan.


Ekspedisi.


Kompas.


Minda Antarabangsa menghasilkan tamadun antarabangsa.


GEOGRAFI DAN SEJARAH


Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengambil subjek pre requisite History of the Modern Arab World, pensyarah telah mengedarkan peta negara Arab dan meminta kami menamakan satu demi satu negara Arab di peta tersebut, sebagai pra syarat untuk mempelajari sejarah rantau berkenaan.


Sungguh mengejutkan apabila ada pelajar yang mendapat 0 markah!


Bagaimanakah kita mahu mengkaji sejarah apabila kita tidak dapat memetakannya di minda.


Jika tidak jelas antara Qatar, Bahrain dan Kuwait, tidak mengapa. Jika keliru antara Libya dan Tunisia, masih boleh dimaafkan. Tetapi jika hari-hari solat tidak tahu kiblat kita berada di negara mana, ramai rakan belajar di Al-Azhar namun tidak tahu universiti itu negaranya yang mana satu, malah lebih teruk… bersemangat menentang kekejaman Zionist tetapi tidak tahu di mana kekejaman itu berlaku… ia sukar untuk dibayangkan.


Mungkin markah 0 itu bukanlah kerana langsung tidak tahu, tetapi kekeliruan yang mencetuskan rasa give up untuk berusaha. Dan atas apa sekali pun faktornya, ia bernatijahkan 0.


Teringat saya kenangan semasa mengambil subjek Geografi di SMAP Labu suatu ketika dahulu. Semasa ujian bulanan, cikgu Geografi kami tidak berpuas hati kerana semua pelajar score markah tinggi malah ada beberapa orang rakan yang mendapat markah penuh. Cikgu bertindak mengejutkan apabila membatalkan ujian tersebut dan menggantikannya dengan ujian yang lain.


Kami geram.


Soalan baru lebih mencabar. Kami diminta melukis jenis-jenis perigi semulajadi dan menamakannya mengikut apa yang pernah dipelajari. Tetapi dek rasa geram mengulangi ujian berkenaan, ada rakan-rakan saya yang loyar buruk. Mereka protes dengan memberikan jawapan yang tidak masuk akal.


Perigi Hang Tuah!


Perigi buta!


Dan macam-macam perigi yang kami tidak pernah dengar di dalam subjek Geografi.


Cikgu kami menangis!


“Sampai hati kamu. Saya berjaga malam membuat soalan untuk ujian ini. Kenapa kamu jawab bukan-bukan!” katanya.


GEOGRAFI DAN BIOGRAFI DIRI



Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Al-Ankabut 29:20]

Geografi, secara separa minda, menjadikan destinasi pengajian saya adalah Jordan. Geografi membuka jalan saya ke Turki. Geografi juga menyampaikan saya ke London, kemudian ke Belfast dan Dublin. Geografi menjadikan saya HASRIZAL seperti saya hari ini.


Geografi adalah juzuk penting dalam sejarah.


Geografi adalah juzuk penting tamadun insaniah.


Geografi adalah cabang hidup insan beragama.


Demi menanam minda Rahmatan li al-’Alamin ke jiwa kita semua.


HASRIZAL

43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (974) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2012 15:36

Al-Hujuraat 4-5: Masalah Kita Bukan Babi

Saya telah membuat satu kenyataan ringkas yang amat mudah.



“Babi haram dimakan dagingnya oleh Muslim”


Sungguh mengejutkan. Reaksi yang saya terima pergi lebih jauh daripada apa yang saya jangkakan.


haram tak kalau sentuh babi?


42 minutes ago · Like


kenapa haram?


42 minutes ago · Like · 1


selain dagingnya? em… cth: kulit, bulu


40 minutes ago · Like


tidak haram menyentuh binatang tu, hanya perlu disucikan dengan syarat2nya..


40 minutes ago · Like · 3


kalau tersentuh daging babi kena samak tak?


39 minutes ago via mobile · Like


haram qath’ie krn ada dalil. haram krn dalil,bkn haram krn kuman


39 minutes ago via mobile · Like · 7


tkda


38 minutes ago · Like


Kalo darurat, hukumnya? Hehe. (Ustaz nak reply gini ke? Sebenarnya soalan ustaz tuh utk buat org fikir angle yg boleh dibincang atau mmg soalan straight utk dijawab…) *sambil garu tudung*


38 minutes ago · Like · 3


Rizal Radzi Hehe…


38 minutes ago via mobile · Unlike · 1


bentuk darurat yg membolehkan dimakan?


37 minutes ago · Like


Muhammad Ooi ustaz marah pasal tadi ke?


36 minutes ago via mobile · Unlike · 1


kalau kita, muslim bgi org kafir makan, berdosakah kita?


33 minutes ago via mobile · Like


Bagi setengah fahaman kt M’sia ni dagingnya aja haram dimakan, tapu kulitnya boleh digunakan…


Tak perlu disamak sebagaimana anjing.


Wallahualam


30 minutes ago via mobile · Like


Salam ustaz, ini isu panas. Kenapa ada orang bertindak meng-kelabu-asapkan tentang isu babi selain daging babi haram dimakan. Mohon pencerahan. Terima kasih.


28 minutes ago · Like


Berjuta ikan, ayam dlm dunia ni kenapa nk makan BABI? Sorry ustaz..hehehe


28 minutes ago via mobile · Like


salam, sy skrg tgh buat research di ipta. Salah satu bahan yg sy gunakan utk research sy ialah gelatin. selama ini sy x tahu pun gelatin y sy gunakan tu adlh gelatin dr kulit babi sbb lecturer sy x prnh inform kat sy. baru2 ni sy baru tahu y gelatin tu b’asal dr kulit babi..ADAKAH SY PERLU SAMAK SBB SY SENTIASA MENGGUNAKAN GELATIN TU DLM RESEARCH SY DGN JANGKA MASA YG LAMA? mohon sesiapa yg arif dpt beri p’jelasan


28 minutes ago · Like


Bg saya, apa juga yg dh dikatakan haram, maka haramlah. Tiada kompromi lg. Ini adalah ujian buat kita. Samada nk taat atau tidak.


26 minutes ago via mobile · Like


Hasrizal Abdul Jamil OMG!!!


25 minutes ago · Like · 6


Kalau makanan/paleat ikan dibuat dari organ dlman babi..then ikan tu dimakkan oleh muslim, macammana ye?


25 minutes ago · Like


Mohd Nabhan Sanusi Ustaz bosan dengan perbalahan umat Islam. Mungkin pendirian “babi haram dimakan” boleh menyatukan semua pihak.Saya rasa itu kot mesej atau intention Ustaz. Maaf kalau silap.


25 minutes ago · Unlike · 8


Shahirah Shuaib Ustaz, sy tahu post nie utk post sebelum nie.. Dh agak dh. Hehe.


24 minutes ago via mobile · Unlike · 2


Kalau darurat sekalipn, masih ada daun kayu atau buah2 yg boleh dimakan. Ada byk benda lain yg boleh dicari terlbh dulu


24 minutes ago via mobile · Like


Tolongla… sejak kecil sampai dah tua…berpegang pada ajaran ibubapa dan ustaz saya. segala yang berkaitan dengan babi dan anjing adalah haram dimakan, disentuh ataupun digunakan. samada kulit, daging dan juga akstraknya. semua yang sengaja atau tidak sengaja disentuh. dibawa dipakai wajib disamak. kecuali darurat….wallahhualam…jgn la confusekan saya.


22 minutes ago via mobile · Like


Mw Cwl Banyak yang tidak memahami kehendak soalan.


20 minutes ago via mobile · Like


Norhisyam Ismail gajah. babi. hehe.. ada unsur2 sarcasm di situ. waiting for next wallpost.


17 minutes ago · Like


Selalu sebagai seorang pendidik, saya risau dgn soalan straight to the point yang dilencongkan jauh ke laut oleh pelajar2 saya. Saya faham kenapa post ustaz “sengaja” dibiarkan begitu.


17 minutes ago via mobile · Like


babi x haram..yg haram adalah perbuatan manusia tu yg makan daging babi tersebut melainkan dalam keadaan darurat..


16 minutes ago · Like


Hasrizal Abdul Jamil Tidak sarcasm Norhisyam Ismail. Saya sesungguhnya memang nak tengok macam mana kita deal dengan soalan straight forward macam ni. Rasulullah SAW sudah memberitahu, “sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana terlalu banyak persoalan dan perbalahan mereka terhadap ajaran Nabi-nabi mereka!”


Allah…


Dalam lucu, ada kegerunan yang sangat menakutkan


14 minutes ago · Like · 10


ntah la ustaz, nampak macam tiada penafian dalam perkara ini kecuali dalam keadaan darurat….


11 minutes ago · Like


perbahasan kt masjid2 tentang darurat selalu diambil enteng, sy nk pastikan sudut khusus darurat yg bagaimana dibolehkan, kalo xboleh apa perbahasannya?


7 minutes ago · Like


maaf. sya setuju daging babi memang haram. apa shja hasil dri babi jg haram. cuma sy nak bertnya adakah kita berdosa jika mendapati daging babi ( bukan kita beli, ternak ,etc..)


7 minutes ago via mobile · Like


Dalam sstgh prkara, kejahilan akan terserlah jika pertikaikan bnda yg xda pertikaian.


Boleh gitu?


PERMASALAHAN


Saya mohon maaf kerana tidak memberikan sebarang respond kepada persoalan-persoalan Fiqh yang ditimbulkan di atas. Tujuan saya menimbulkan soalan di atas adalah untuk melihat bentuk kesediaan minda pengunjung semasa membaca satu-satu status atau sebarang catatan yang di buat di sini (juga di tempat lain).


Jika kita belajar di sekolah pun, ada subjek-subjek dan kelas yang dikhususnya untuk mengajar subjek tersebut. Walaupun kita sangat terdesak untuk mendapatkan jawapan berkenaan kemusykilan yang timbul dalam bab probabilities matematik, kita tidak akan bertanyakan soalan itu di dalam kelas sejarah dan tasawwur islam. Kita menunggu ruang dan keadaan yang sesuai untuk bertanya. Semata-mata kerana satu isu sahaja iaitu FOKUS.


Apabila kita gagal fokus, hidup kita akan dipenuhi soalan, lebih banyak daripada jawapan. Keghairahan dan kerajinan bertanya soalan tetapi kecelaruan dan kemalasan mengusahakan jawapan, mengundang musibah.


Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib)[Al-Hujuraat 49: 4]

Dan bertanya tanpa mengira tempat, tidak membantu kita mendapat jawapan yang sewajarnya. Suasana mendesak dan mengabaikan adab dalam berinteraksi seperti inilah, yang ditegur oleh Allah di dalam Surah al-Hujuraat ayat 4 dan 5. Biar pun ayat itu merujuk kepada perbuatan fizikal menjerit-jerit di luar kamar Baginda sallallaahu alayhi wa sallam dan mendesak-desak agar kehendak ditunaikan, terjemahannya kepada etika bersosial secara maya tidak berbeza.


Oleh kerana Al-Aqra’ bin Haabis terlalu mendesak Baginda dalam keadaan tidak menjaga adab, hanya separuh daripada hajatnya ditunaikan oleh Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Al-Aqra’ bin Haabis membawa permintaan sebahagian kaum Badwi bukan Islam yang mahu merayu agar tawanan mereka dibebaskan.


Separuh sahaja daripada tawanan perang tersebut dibebaskan. Andai al-Aqra’ bin Haabis bersabar, nescaya seluruh hajatnya tertunai.



Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Al-Hujuraat 49: 5]

Sesungguhnya berbalas jawab ini amat mengingatkan saya kepada amaran Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:


ما نهيتُكم عنهُ فاجتنبوهُ . وما أمرتكم بهِ فافعلوا منهُ ما استطعتم . فإنما أهلكَ الذين من قبلكم كثرةَ مسائلهم ، واختلافهم على أنبيائهم “

 “Apa yang aku tegah kamu daripadanya, maka jauhkanlah diri daripada ia. Manakala apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, lakukanlah ia dengan sepenuh upaya kamu. Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu disebabkan oleh banyaknya permasalahan dan perselisihan pendapat mereka terhadap ajaran Nabi-nabi mereka” [hadith riwayat Muslim]

Bagaimanakah umat ini hendak dibawa kepada persoalan-persoalan yang lebih berat, berliku dan penuh persoalan?


Semoga Allah mengurniakan keteguhan hati untuk ISLAH diri dan umat ini, ameen.



HASRIZAL

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (1984) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2012 03:18

Masalah Kita Bukan Babi

Saya telah membuat satu kenyataan ringkas yang amat mudah.



“Babi haram dimakan dagingnya oleh Muslim”


Sungguh mengejutkan. Reaksi yang saya terima pergi lebih jauh daripada apa yang saya jangkakan.


haram tak kalau sentuh babi?


42 minutes ago · Like


kenapa haram?


42 minutes ago · Like · 1


selain dagingnya? em… cth: kulit, bulu


40 minutes ago · Like


tidak haram menyentuh binatang tu, hanya perlu disucikan dengan syarat2nya..


40 minutes ago · Like · 3


kalau tersentuh daging babi kena samak tak?


39 minutes ago via mobile · Like


haram qath’ie krn ada dalil. haram krn dalil,bkn haram krn kuman


39 minutes ago via mobile · Like · 7


tkda


38 minutes ago · Like


Kalo darurat, hukumnya? Hehe. (Ustaz nak reply gini ke? Sebenarnya soalan ustaz tuh utk buat org fikir angle yg boleh dibincang atau mmg soalan straight utk dijawab…) *sambil garu tudung*


38 minutes ago · Like · 3


Rizal Radzi Hehe…


38 minutes ago via mobile · Unlike · 1


bentuk darurat yg membolehkan dimakan?


37 minutes ago · Like


Muhammad Ooi ustaz marah pasal tadi ke?


36 minutes ago via mobile · Unlike · 1


kalau kita, muslim bgi org kafir makan, berdosakah kita?


33 minutes ago via mobile · Like


Bagi setengah fahaman kt M’sia ni dagingnya aja haram dimakan, tapu kulitnya boleh digunakan…


Tak perlu disamak sebagaimana anjing.


Wallahualam


30 minutes ago via mobile · Like


Salam ustaz, ini isu panas. Kenapa ada orang bertindak meng-kelabu-asapkan tentang isu babi selain daging babi haram dimakan. Mohon pencerahan. Terima kasih.


28 minutes ago · Like


Berjuta ikan, ayam dlm dunia ni kenapa nk makan BABI? Sorry ustaz..hehehe


28 minutes ago via mobile · Like


salam, sy skrg tgh buat research di ipta. Salah satu bahan yg sy gunakan utk research sy ialah gelatin. selama ini sy x tahu pun gelatin y sy gunakan tu adlh gelatin dr kulit babi sbb lecturer sy x prnh inform kat sy. baru2 ni sy baru tahu y gelatin tu b’asal dr kulit babi..ADAKAH SY PERLU SAMAK SBB SY SENTIASA MENGGUNAKAN GELATIN TU DLM RESEARCH SY DGN JANGKA MASA YG LAMA? mohon sesiapa yg arif dpt beri p’jelasan


28 minutes ago · Like


Bg saya, apa juga yg dh dikatakan haram, maka haramlah. Tiada kompromi lg. Ini adalah ujian buat kita. Samada nk taat atau tidak.


26 minutes ago via mobile · Like


Hasrizal Abdul Jamil OMG!!!


25 minutes ago · Like · 6


Kalau makanan/paleat ikan dibuat dari organ dlman babi..then ikan tu dimakkan oleh muslim, macammana ye?


25 minutes ago · Like


Mohd Nabhan Sanusi Ustaz bosan dengan perbalahan umat Islam. Mungkin pendirian “babi haram dimakan” boleh menyatukan semua pihak.Saya rasa itu kot mesej atau intention Ustaz. Maaf kalau silap.


25 minutes ago · Unlike · 8


Shahirah Shuaib Ustaz, sy tahu post nie utk post sebelum nie.. Dh agak dh. Hehe.


24 minutes ago via mobile · Unlike · 2


Kalau darurat sekalipn, masih ada daun kayu atau buah2 yg boleh dimakan. Ada byk benda lain yg boleh dicari terlbh dulu


24 minutes ago via mobile · Like


Tolongla… sejak kecil sampai dah tua…berpegang pada ajaran ibubapa dan ustaz saya. segala yang berkaitan dengan babi dan anjing adalah haram dimakan, disentuh ataupun digunakan. samada kulit, daging dan juga akstraknya. semua yang sengaja atau tidak sengaja disentuh. dibawa dipakai wajib disamak. kecuali darurat….wallahhualam…jgn la confusekan saya.


22 minutes ago via mobile · Like


Mw Cwl Banyak yang tidak memahami kehendak soalan.


20 minutes ago via mobile · Like


Norhisyam Ismail gajah. babi. hehe.. ada unsur2 sarcasm di situ. waiting for next wallpost.


17 minutes ago · Like


Selalu sebagai seorang pendidik, saya risau dgn soalan straight to the point yang dilencongkan jauh ke laut oleh pelajar2 saya. Saya faham kenapa post ustaz “sengaja” dibiarkan begitu.


17 minutes ago via mobile · Like


babi x haram..yg haram adalah perbuatan manusia tu yg makan daging babi tersebut melainkan dalam keadaan darurat..


16 minutes ago · Like


Hasrizal Abdul Jamil Tidak sarcasm Norhisyam Ismail. Saya sesungguhnya memang nak tengok macam mana kita deal dengan soalan straight forward macam ni. Rasulullah SAW sudah memberitahu, “sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana terlalu banyak persoalan dan perbalahan mereka terhadap ajaran Nabi-nabi mereka!”


Allah…


Dalam lucu, ada kegerunan yang sangat menakutkan


14 minutes ago · Like · 10


ntah la ustaz, nampak macam tiada penafian dalam perkara ini kecuali dalam keadaan darurat….


11 minutes ago · Like


perbahasan kt masjid2 tentang darurat selalu diambil enteng, sy nk pastikan sudut khusus darurat yg bagaimana dibolehkan, kalo xboleh apa perbahasannya?


7 minutes ago · Like


maaf. sya setuju daging babi memang haram. apa shja hasil dri babi jg haram. cuma sy nak bertnya adakah kita berdosa jika mendapati daging babi ( bukan kita beli, ternak ,etc..)


7 minutes ago via mobile · Like


Dalam sstgh prkara, kejahilan akan terserlah jika pertikaikan bnda yg xda pertikaian.


Boleh gitu?


Sesungguhnya berbalas jawab ini amat mengingatkan saya kepada amaran Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:


ما نهيتُكم عنهُ فاجتنبوهُ . وما أمرتكم بهِ فافعلوا منهُ ما استطعتم . فإنما أهلكَ الذين من قبلكم كثرةَ مسائلهم ، واختلافهم على أنبيائهم “

 “Apa yang aku tegah kamu daripadanya, maka jauhkanlah diri daripada ia. Manakala apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, lakukanlah ia dengan sepenuh upaya kamu. Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu disebabkan oleh banyaknya permasalahan dan perselisihan pendapat mereka terhadap ajaran Nabi-nabi mereka” [hadith riwayat Muslim]

Bagaimanakah umat ini hendak dibawa kepada persoalan-persoalan yang lebih berat, berliku dan penuh persoalan?


Semoga Allah mengurniakan keteguhan hati untuk ISLAH diri dan umat ini, ameen.


HASRIZAL

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (811) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 13, 2012 03:18

December 12, 2012

EBOOK: Tak Kenal Maka Tak Cinta di TV Al-Hijrah


Bual santai di rancangan Assalamualaikum pada 10 Disember 2012 yang lalu.


EBOOK Tak Kenal Maka Tak Cinta boleh dibeli melalui link berikut:



TAK KENAL MAKA TAK CINTA


Sebarang isu teknikal berkaitan pembelian, pembayaran, akses video dan proses muat turun, mohon dirujuk kepada penerbit. Salam ukhuwwah.


HASRIZAL

43000 BSP


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (135) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2012 09:15

December 11, 2012

Khalifah Model School (Secondary): Think Big Act Small, Welcome 2013


Assalamualaikum.


Sejak sekian lama, sebagai pendakwah dan bapa kepada anak-anak sendiri, saya sering berkongsi pendapat tentang pendidikan. Biar pun saya bukan seorang guru, saya sering memposisikan diri saya sebagai pihak ketiga (selain ibu bapa dan sekolah) untuk melihat pendidikan dari sudut yang sentiasa meletakkan keinsanan murid-murid sebagai paksi utama, mengatasi kepentingan ibu bapa, guru, jabatan, kementerian dan pasaran.


Khalifah Model School (Secondary) merupakan sebuah projek besar lanjutan Khalifah Model School (primary) yang telah sedia ada beroperasi semenjak sekian lama. Tahun 2013 ini merupakan tahun pertama sekolah menengah, selain menyertai Board of Directors, saya juga memberikan komitmen menjadi guru bulanan yang mengajar subjek Pandangan Hidup Islam kepada murid-murid sekolah ini.


Untuk tahun 2013, ia beroperasi di premis sekolah rendah di Ampang dan masih belum bergerak sebagai sekolah berasrama. Setelah kampus Sepang siap Insha Allah, Khalifah Model School (Secondary) akan berpindah ke kampus baru itu yang mudah-mudahannya berhasil pada menawarkan satu lagi peluang pendidikan holistik berteraskan Islam yang kekal bertunjangkan tradisi keilmuannya yang unggul, namun progresif dan dinamik dalam menyantuni cabaran semasa.


Pendaftaran dibuka untuk beberapa kerusi kosong lagi, Insha Allah.



Invitation to enroll your son or daughter in Form 1,  Khalifah Model School (Secondary) for 2013,  offering an integrated curriculum of KSSM and Tahfeez program with full application of Khalifah Method.


Places limited to only 20 students, males and females.


Details as in brochure.


Thank you.


KMSS Office

03-42566810 (Sis Zara)

0192281931 (Ust Qayyum)


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (356) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 11, 2012 08:02