Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 65

March 10, 2013

13. Dakwah Kreatif Perlu Cermat Antara Hikmah dan Bid’ah

20130310-193210.jpg


[IA ADALAH PERKONGSIAN PANDANGAN SAYA TENTANG PENDEKATAN YANG DIPAKAI OLEH PEMBANGUN-PEMBANGUN MODUL LATIHAN YANG MENYANDARKAN MODUS OPERANDI INOVASINYA KEPADA PEMIKIRAN LATERAL EDWARD DE BONO YANG BANYAK DIKONGSI OLEH PUAN AINON MOHD DI DALAM BUKU-BUKU PEMIKIRAN BELIAU YANG SAYA LANGGANI. NAMUN IA MENJADI MUHASABAH BERSAMA SEBAB SAYA PUN SANGAT BERMINAT LAGI TERKESAN DENGAN PEMIKIRAN LATERAL INI DAN SERING MENGGUNA PAKAI IA DALAM SEDIKIT MASA PEMBABITAN SAYA DI INDUSTRI LATIHAN]

Berfikir secara kreatif, sangat diperlukan untuk merobohkan halangan kepada sesuatu yang lebih baik, lebih bermanfaat buat diri dan umat. Oleh kerana kreativiti itu terhasil melalui ruang akal yang dijamin oleh agama, umat Islam semenjak kurunnya yang awal telah melakukan 1001 inovasi tanpa terjebak ke dalam perangkap bid’ah. Bekalannya adalah pada benar-benar menguasai ilmu-ilmu alat, yang sifatnya bukan pengongkong kepada kreativiti umat, sebaliknya alat selamat paling berkesan untuk terus progres merentas zaman.


Dalam kerangka itulah, Islam mengalu-alukan aplikasi pemikiran kreatif dalam pelbagai jenama semasa.


Akan tetapi, manusia harus sedar akan permainan akalnya, yang bersimpang siur dengan nafsu di dalam diri. Seorang yang sangat kreatif, dalam pemikiran lateral yang diguna pakai untuk meroboh kebekuan inovasi, boleh menjadi sangat angkuh hingga memperlekehkan sebarang kritikan terhadap kreativitinya dengan menganggap kritikan sebagai bukti kebenarannya kerana ada banyak inovasi akan kelihatan menyanggah status quo. Maka sanggahan yang datang, akan membuktikan ‘kebenaran’ yang diperjuangkannya secara kreatif itu.


Ini sudah diperingatkan sendiri oleh De Bono tentang ‘pride’ yang boleh menimpa seorang yang berpemikiran lateral.


Akhirnya, lahir satu ironi apabila yang lateral itu lebih vertikal dalam pemikirannya.


Sebab itu, aplikasi Surah Yusuf ayat 67 yang sering dirujuk dalam pengembangan kreativiti, tidak wajar diambil separuh jalan.


وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُّتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنكُم مِّنَ اللَّهِ مِن شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ


“Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”"


Biar pun Yaaqub alayhi al-salaam menasihatkan anaknya agar kreatif dalam menerobos Mesir melalui lebih daripada satu pintu, ia harus terus tertakluk kepada kepada ketentuan Allah sama ada pada hukum asal (Syariatullah) atau hukum kemudian pada bukti masa terhadap sebab musabab (Sunnatullah).


Penentu kepada pemikiran kreatif itu, sama ada masih di landasan yang benar atau tidak, ialah pada titik mula yang sejahtera. Sebab itu, kritikan saya kepada modul-modul latihan berjenama Islam adalah pada langkah mula penghasilannya, bukan produk akhir yang pada hari semasa, sedang berkesan dan mengundang testimoni positif pengguna. Krisisnya adalah di ‘kilang’, bukan di pasar.


Jangan berkreatif, kemudian meminta kreativiti itu dilesenkan sebagai mesra Syariah, andai permulaannya sudah tidak di atas premis yang benar.


Penolak al-Quran sudah besar. Pengamalnya pula, berhadapan dengan fitnah berupa liku-liku Syaitan sebagai faktor luar dan nafsu kita semua sebagai ancaman dari dalam.


Sama-samalah kita merendah diri dalam saling mangajak makruf dan menegur munkar. Saya juga terbuka kepada pembetulan agar pendapat saya ini, andai salah, dibetulkan dalam wacana yang sejahtera.


Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan rezekikan kami untuk mengikutnya. Tunjukkan kami batil itu batil dan rezekikan kami untuk menjauhinya, ameen.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (554) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 10, 2013 04:30

March 9, 2013

Jangan Berhalakan Pemimpin dan Parti

20130310-082756.jpg


Bersama Pakcik Mehmed Kayacan di rumah serba sederhananya di Eyup


“Pakcik Mehmed datang dengan apa?” saya bertanya.


“Dia datang dengan bas. Memang dia yang mahu begitu” jelas Fatih.


Selepas tidak lagi memegang jawatan Datuk Bandar dan bersara sepenuhnya daripada politik, Pakcik Mehmed Kayacan tidak lagi tinggal di Bolvadin. Agar dekat dengan anak-anak, beliau dan makcik berpindah ke Eyup di Istanbul dan hanya menjenguk rumah di Bolvadin pada musim panas.


Kakak-kakak Fatih tinggal di Eyup.


Fatih dan perniagaannya tertumpu di Uskudar.


Hampir setiap hari, Pakcik Mehmed akan menaiki bas, menyeberang Selat Bosphorus dari tebing Eropah ke Asia, menjenguk kedai Fatih. Kadang-kadang lucu juga saya melihat gelagat Pakcik Mehmed yang sentiasa memberi pendapat tentang serba serbi perniagaan Fatih, hingga memeningkan Fatih.


“Sebagai anak, saya hanya mengiyakan semua saranan ayah. Ada barakahnya, bukan pada melaksanakan nasihat ayah, tapi menerima dan meraikannya” kata Fatih antara bergurau dan serius.


“Tentu susah bagi pakcik untuk bersara, bukan?” saya menyoal.


“Sungguh. Kamu pun tahu, kan? Ayah keluar awal pagi, balik hingga lewat malam, setiap hari. Daripada sudut bekerja dan beraktiviti, memang sangat berat buat ayah untuk bersara dan meninggalkan dunia pekerjaannya. Tetapi ayah sendiri tidak mahu terus bertanding selepas menang dua penggal. Tidak mahu Bolvadin menjadi seperti ‘milik’ Mehmed Kayacan” jelas Fatih.


Ada sesuatu yang menarik untuk saya pelajari di situ. Jika dilihat kepada sejarahnya, Pakcik Mehmed semenjak memenangi pilihanraya Majlis Perbandaran pada 1994, merupakan antara Datuk Bandar paling lama tempoh pentadbirannya, berlangsung hingga ke tahun 2004.


Ada kestabilan yang terhasil pada masa itu.


Dan selama 10 tahun itu jugalah saya berulang alik ke Bolvadin, melihat sendiri bagaimana sedikit demi sedikit bandar itu dibangunkan, disusun dan kehidupan masyarakat dipertingkatkan dengan baik. Tentu sahaja, pada kiraan saya, Pakcik Mehmed disayangi penduduk Bolvadin. Dan jika bertanding sekali lagi, mungkin boleh menang.


Namun, itu tidak sihat.


Sebagus mana pun kita memimpin, kita tidak boleh membentuk satu suasana yang menjadikan persekitaran berpaut kepada peribadi. Itu pandangan Pakcik Mehmed.


10 tahun pentabiran Pakcik Mehmed di Bolvadin, ia menjadi simbol kepada era kebangkitan Islam di Turki. Era kegemilangan Parti Refah yang dipimpin oleh al-Marhum Prof Necmettin Erbakan. Era, Bolvadin menjadi satu-satunya bandar di wilayah Ege (Aegean) yang dimenangi oleh Parti Islam ketika mana wilayah itu terkenal menjadi kubu kuat CHP dan MHP.



“Tapi kamu pun masih ingat, kan Hasrizal? Semasa kali pertama ayahku menang pilihanraya, beliau menang dengan jumlah majoriti yang amat kecil. Mujurlah pakcik-pakcikku tidak tidur di hari pengundian. Jika mereka ponteng, tentu kalah!” kata Fatih.


Kami ketawa.


Teringat kepada kisah ini yang pernah saya catatkan di dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih.


Memang benar. Pakcik Mehmed menang dalam seribu satu kepayahan. Ketika keadaan tidak berpihak kepadanya. Namun penduduk memilih untuk menukar parti yang memerintah kerana mahukan perubahan.


Tetapi selepas sepuluh tahun mentadbir, masyarakat sudah biasa dengan Parti Refah dan Fazilet. Sebab itu dalam pilihanraya 2004, Ahmet Naci Helvaci menang dengan mudah. Meneruskan kesinambungan legasi Mehmed Kayacan.


“Beliau menang besar. Tetapi beliau tidak dapat bekerja dengan baik. Banyak kepincangan” jelas Fatih.


Sudah tentu tidak mudah untuk menyambung apa yang telah Pakcik Mehmed lakukan. Setelah Bolvadin berjaya dipimpin menempuh tahun-tahun politik paling sukar di Turki, rampasan kuasa tentera, kejatuhan ekonomi dan keresahan sosial yang memuncak, Ahmet Naci menerima Bolvadin yang telah stabil. Tugas beliau hanya meneruskannya.


Tetapi menurut Fatih, beliau tidak dapat melakukannya dengan baik.


Banyak timbul rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.


Pada pilihanraya 2009, masyarakat Bolvadin menolak AK Partisi. Mereka beralih kepada MHP dan pilihanraya dimenangi oleh Mehmet KOÇUM. Ketentuan Allah, Mehmet KOÇUM meninggal dunia pada tahun 2010 dan kini jawatan tersebut dipimpin oleh seorang wanita, iaitu Nazmiye Kılçık.


“Aku sedih dengan kekalahan AKP. Tetapi pada masa yang sama, aku bangga dengan penduduk Bolvadin yang berfikir baik. Mereka tidak menyimpan AKP. Sesiapa yang bekerja, akan dipilih. Sesiapa yang tidak bekerja, akan ditolak. Itu politik sihat” kata Fatih.


“Haha, macam perli pulak. Menyindir Malaysia ya?” saya mengusik.


“Betullah tu. Aku masih ingat gurauan engkau dahulu. Walaupun Malaysia mewarisi sistem British, tetapi Malaysia mengambilnya dengan cara yang pelik. Di Britain, Ratunya memerintah sudah berpuluh tahun, Perdana Menteri bertukar-tukar setiap empat atau lima tahun. Di Malaysia, Yang Dipertuan Agong bertukar setiap empat lima tahun, Perdana Menteri tidak bertukar-tukar selama berpuluh tahun!” Fatih memetik cerita lama saya.


“Haha. Mana pula tidak bertukar. Sudah tukarlah. Mahathir sudah digantikan oleh Abdullah. Dan Abdullah sudah digantikan oleh Najib” saya bercerita.


“Ya, tetapi masih parti yang sama. Masih UMNO. Dan di belakangnya masih Mahathir, kan?” soal Fatih.


Nadanya penuh provokasi, dalam gurauan.


Ya.


Sesuatu yang sukar untuk saya nafikan.


Kerisauan saya bukan kepada siapa yang memerintah itu, tetapi mengapa sulit benar masyarakat Malaysia hendak membuat perubahan.


Seolah-olah hanya UMNO yang boleh memerintah.


Sudah menjadi seperti berhala yang disembah.


Tanpa UMNO, Malaysia tidak boleh hidup. Seakan-akan begitu.


“Itu ciri-ciri pemerintah yang zalim. Menanam kepala rakyat bahawa mereka tidak boleh hidup tanpanya” tegas Fatih.


Tidak seperti Dzulqarnain yang selepas menyiapkan projek mega membina tembok penghadang Ya’juj dan Ma’juj, katanya:


قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي

“(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku…” [Al-Kahf 18: 98]

Di Malaysia, semua projek akan dilabel “Satu Lagi Projek Barisan Nasional”.


“Doakanlah kami” saya keletihan. Mahu memberhentikan perbualan.


“Aku berdoa, dan engkau pula masuklah pilihanraya. Kita sama-sama bertanding!” usik Fatih.


“Dan lawatan aku ke Turki ini nanti, akan disensasikan media sebagai menghabiskan duit rakyat!” saya berkata.


“Haha! Selamat maju jaya untuk Malaysia dalam pilihanraya akan datang. Kalau UMNO bermasalah, tukarlah kepada PAS. Kalau PAS tidak bekerja dengan baik, tukarlah semula. Jangan berhalakan UMNO, jangan berhalakan PAS. Ala barakatillah!” simpul Fatih.


Ameen, mohon bantuan-Mu ya Allah.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (6273) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2013 16:27

12. Jangan Tergoda Untuk Menjadi Selebriti

FPI UKM


Ahli akademik dan asatizah janganlah berasa rendah diri di hadapan tetamu-tetamu bicara agama bertaraf selebriti, hanya kerana pengukuran jangka pendek memperlihatkan dakwah mereka lebih berimpak.


Jangan tergoda untuk menjadi selebriti. Biar pun gaji pensyarah memang tidak banyak mana dan sangat susah untuk naik pangkat, jangan terdesak untuk mempopuliskan diri.


Kekalkan keutuhan jiwa cintakan ilmu, jadilah benteng harapan terakhir masyarakat untuk mengkoreksi umat, walaupun mungkin terpaksa menjadi Jack, sang penumbang Gergasi.


Jangan tergoda dengan pasaran.


Jangan kelabu mata dengan wang.


Jangan keliru antara popular dan benar.


Pasaran akan terus menggoda.


Setakat ini, dunia populis sama ada buku atau media siar, tidak menghormati disiplin ilmu yang ada pada ilmuan. Mereka akan menyenaraikan 1001 perubahan yang ahli akademik perlu lakukan agar mesra mad’u (mesra pasaran). Malah ahli akademik diminta membuat kajian untuk menjustifikasi apa yang sudah ‘fixed‘ dalam kehendak industri.


Tulisan akademik, jurnal, buku rujukan akan di’hina’ sebagai tidak dibaca dan tidak berguna. Jangan termakan oleh penghinaan itu.


Penerimaan pasaran (jumlah jualan, royalti, populariti) akan memberikan sangkaan kepada kita bahawa formula populis itu benar. Hinggalah akhirnya kita tersedar, ia tidak membangkitkan apa-apa.


Rekod buku populis baru beberapa tahun dan tidak mencecah sedekad. Namun buku-buku ilmiah yang buruk, tidak menarik, membosankan, berat dan berhabuk itulah rantai-rantai yang menghubungkan kita dengan didikan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam.


Jika bahan ilmiah tidak dibaca, penyelesaiannya bukan dengan mencairkan ia. Tetapi terus berusaha memperbaiki manusia yang tercuai firman IQRA’ itu


Fitnahnya bukan calang-calang diri untuk terlepas daripadanya.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (397) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2013 03:51

March 7, 2013

11. Saya Bukan Pakar, Saya Pelajar

20130307-161122.jpg


Bersama Prof Dr Redzuan Othman, yang selayaknya seorang Pakar


 


Di dalam masyarakat kita, orang yang menulis atau berbicara tentang satu-satu subjek, pantas diangkat menjadi PAKAR di dalam subjek tersebut.


Saya menulis tiga buah buku bertemakan kekeluargaan, saya dianggap pakar subjek kekeluargaan. Kadang-kadang disebut juga sebagai pakar cinta. Ia adalah persepsi. Sama ada saya percaya dengan persepsi itu lalu mengiyakan bahawa saya memang pakar cinta dan rumahtangga, atau saya sedar diri bahawa saya tahu di mana kedudukan diri saya. Biarlah orang terus menganggap saya pakar dalam subjek itu, saya perlu terus menerus merendah diri, membenarkan diri dibetulkan, terus belajar, semasa bercakap berlapik-lapik, menginsafi hakikat diri yang amat jauh daripada gelaran pakar itu.


Bagi subjek yang agak longgar seperti cinta dan kendali rumahtangga, mungkin pakar atau tidak pakar itu sendiri agak subjektif. Jika pendapat kita tidak boleh disanggah dengan ilmu sekali pun, ia boleh dikritik dengan pengalaman. Gerun rasanya mahu mengomel tentang hal-hal rumahtangga, ketika mana rumahtangga kita baru 10 ke 15 tahun, sedangkan di hadapan kita, ada pasangan yang sudah 30 tahun berumahtangga. Tidak perlu dibuka pengalaman, cukup dengan katanya “been there done that” pun sudah menggugat pendapat kita.


Akan tetapi bagi subjek yang mempunyai disiplinnya yang tersendiri, yang ada dasar-dasar ilmu yang tetap, disiplin itu tidak simpati kepada pengalaman, persepsi pakar, populariti atau hal-hal emosi. Jika betul, betullah ia. Jika salah, ia harus dibetulkan.


Bidang sejarah mempunyai disiplinnya yang tersendiri. Apabila sejarah mahu diceramahkan, mahu dinovelkan, mahu didramakan, ia tidak boleh melanggar beberapa peraturan asas. Antaranya:


SUMBER RUJUKAN


Apa yang hendak dirujuk? Sejarah adalah perkara ghaib sebab semasa ia berlaku kita tidak hidup dalam kejadian itu. Jadi, bagaimana kita tahu? Siapa yang beritahu? Di dalam kitab mana? Bagaimana penulis kitab itu tahu? Apa rujukannya? Sahihkah rujukannya? Persoalan timbul bukan hanya pada berapa banyak rujukan, tetapi kualiti rujukan.


رجماً بالغيب


“…meraba-raba terhadap kebenaran dalam perkara ghaib” [al-Kahf 18: 22]

Buku Sejarah Umat Islam karya Buya Hamka sangat bagus. Namun bagaimanakah Buya Hamka menulis tentang sejarah Daulah Uthmaniah dalam keadaan tidak berbahasa dengan bahasa Uthmaniah (Turki Osmanlica)? Jika Buya Hamka merujuk sumber-sumber di dalam Bahasa Belanda, bagaimanakah kualiti rujukan itu? Kita akan lebih bersederhana pada memetik pendapat Buya Hamka, dan tidak menimbulkan soalan bermasalah misalnya, “hai, takkanlah Buya Hamka silap?”


Bisa sahaja pendapat Buya Hamka tersilap dan harus sahaja pendapatnya dibetulkan. Dan tidak sedikit pun menjejaskan kredibiliti Buya Hamka kerana sisi sumbangannya pasti jauh lebih besar berbanding dengan satu dua kesilapan yang mungkin wujud, sebagai contoh.


PENAFSIRAN


Kita mungkin merujuk sumber yang sama, namun bagaimanakah kita menafsirkan apa yang dirujuk?


Misalnya kita menulis tentang Abu Zar al-Ghifari yang berbeza pendapat dengan Muawiyah radhiyallahu anhuma. Kita merujuk kitab mana? Jika sama-sama merujuk Fajr al-Islam oleh Ahmad Amin, siapakah Ahmad Amin? Bagaimana beliau menafsirkan kejadian itu? Apa rujukannya? Jika kita merujuk Tarikh Tabari, bagaimana dengan kualiti riwayat pertemuan Abu Zar dengan Abdullah bin Saba’ itu? Sahihkah ia? Dan jika sahih, kejadian itu bagaimana kita memahaminya? Adakah ia perselisihan pendapat? Salah faham? Sahabat merajuk dengan sahabat? Sahabat bergaduh dengan sahabat? Atau bagaimana?


Ada dua tugasan untuk menjawab soalan itu.


Pertama, cari sebanyak mungkin maklumat berkaitan dengannya, dengan meraikan kaedah merujuk sumber.


Kedua, komited dengan Aqidah kita sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah yang ada peraturannya semasa berbicara tentang sahabat Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.


AKIBATNYA


“Oh, susahlah begitu. Sampai bila pun kita tidak boleh menulis tentang sejarah!”


Ya, memang susah. Siapa kata senang? Perkara ghaib, hanya Allah yang tahu. Kalau kita mahu tahu, kena bersusah payah mencari jalan untuk mengetahuinya. Itulah sejarah.


Jangan pula kita ini minat sejarah, tetapi tidak minat belajar sejarah.


Seperti manusia banyak penyakit, suka ubat, tetapi tidak mahu belajar tentang jenis ubat, jauh sekali menjadi doktor dan ahli farmasi. Akhirnya kita bertambah sakit sebab makan ubat falasi.


“Ustaz sahajalah yang tulis tentang sejarah. Banyak cakap pula!”


Saya bukan pakar sejarah. Saya tidak tergoda dengan majlis-majlis besar yang memperkenalkan saya sebagai pakar sejarah (huh). Saya tahu di mana tahap saya. Dan sebab saya minat sejarah dan mahu menulis tentang sejarah, pada usia 38 tahun dan ada empat anak, saya ‘berhenti kerja’ dan masuk ke universiti untuk belajar.


Di universiti, saya belajar dengan pensyarah yang sebaya, juga yang lebih muda. Mereka bebas memangkah kertas jawapan saya, menegur kesalahan saya, marahkan saya jika tidak menyiapkan tugasan, kerana siapa saya, hakikatnya dalam timbangan ilmu, saya adalah murid dan mereka guru-guru saya.


Berlaku jujur kepada diri sendiri, adalah pintu pertama ubudiyyah kita kepada Ilahi.


Saya bukan pakar.


Saya hanya pelajar.


Yang masih belajar.


Dan cemburu dengan pelajaran saya yang dicemar.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (210) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2013 00:10

March 4, 2013

10. Kritikan Bukan Menjatuhkan

67079_486696128044584_1520702126_n


ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 5 MAC 2013


Saya menerima banyak saranan yang mencadangkan agar kritikan saya terhadap novel karya Ayahanda Pak Latip dilakukan secara senyap-senyap lagi tertutup. Alasan yang diberikan, saya rumuskan kepada dua:



Ia mengaibkan.
Ia mengelirukan. Pembaca sudah tidak pasti adakah buku-buku berkenaan patut dibeli dan dibaca atau bagaimana.

ISU PERTAMA


Saya juga rasa begitu. Tetapi bagi karya yang sudah mencecah ratusan ribu di pasaran, ia sudah menjadi sesuatu yang amat berakar umbi di dalam masyarakat. Jika saya menyampaikan secara tertutup dan tidak mendapat maklum balas yang sewajarnya, lalu saya bertindak menegur secara terbuka, maka ia akan lebih bersifat dendam dan berniat menjatuhkan. Sedangkan sejak awal lagi, motif kritikan adalah berbentuk saranan. Ia telah dilakukan secara yang paling berhemah dan mencontohi banyak kritikan terbuka antara seorang tokoh dengan tokoh yang lain di sepanjang sejarah kesarjanaan Islam. Asalkan teguran kekal berakhlaq, beradab, rasional berbekalkan hujah, menjauhi emosi, maka ia seharusnya dibaca sebagai satu wacana ilmiah yang sejahtera.


Dan saya bukan orang pertama yang menyuarakan kritikan. Semenjak sekurang-kurangnya 2010 sudah ada pelbagai pihak yang membuat kritikan terhadap karya-karya Pak Latip. Ini juga menunjukkan betapa tingginya nilai karya Pak Latip daripada aspek penerimaannya di dalam masyarakat hingga terpilih untuk dinilai dan ditimbang tara secara ilmiah oleh pelbagai pihak daripada pelbagai sudut. Ini tidak termasuk teguran-teguran peribadi yang telah disampaikan oleh pelbagai pihak, luar dan dalam, kepada pengkaryaan Ayahanda Pak Latip.


ISU KEDUA


Semua kritikan, telah saya sampaikan dalam bahasa yang paling mudah, menjauhi jargon-jargon akademik, agar semua yang mampu membaca status FB saya, mampu memahaminya. Beberapa persoalan yang tidak jelas, telah ditanya dan dibincangkan sebahagiannya berdasarkan keupayaan yang ada. Bacalah perbahasan-perbahasan itu dan buatlah keputusan sendiri sama ada mahu terus membaca, mahu berhenti membaca, berdasarkan kefahaman dan penerimaan masing-masing.


Untuk mendesak saya berkata, “jangan baca!” , maka nantinya yang akan meniti di lisan pembaca ialah “ustaz hasrizal kata jangan baca”, dan semua perbincangan menjadi sampah.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (721) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 04, 2013 10:51

March 3, 2013

09. Peranan Editor Buku

601306_486028801444650_825458399_n


ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 4 MAC 2013


Keresahan yang timbul semasa saya melontarkan kritikan kepada novel-novel karya Ayahanda Pak Latip, andai boleh dimanfaatkan, turut memberikan beberapa penekanan kepada peranan editor.


Editor adalah pihak yang meneliti naskhah yang dihantar oleh penulis untuk dinilai, diterima dengan pembetulan atau ditolak. Jika lazimnya aspek yang ditekankan hanyalah membabitkan soal tatabahasa, teknik menulis, aliran idea, kini mudah-mudahan jelaslah bahawa editor tidak boleh meletakkan kepercayaan semata-mata kepada penulis untuk kesahihan fakta dalam tulisan. Seorang editor perlu kenal latar belakang penulis, sama ada beliau seorang yang diyakini berkeupayaan terhadap topik yang ditulis, atau sebaliknya.


Justeru editor perlu berpengetahuan dan terus-menerus menambah pengetahuan. Andai ada terdetik rasa tidak kena semasa mengedit buku, jangan diabaikan perasaan itu. Lakukan sesuatu untuk mencerahkannya.


Peranan editor amat besar.


Antara majikan yang memikirkan bisnes, penulis yang mahukan bukunya terbit, masyarakat pembaca yang mahukan ilmu, editor adalah harapan semua agar buku yang diterbitkan itu halalan tayyiban.


Selain penulis, penerbit-penerbit perlu memelihara, menjaga kebajikan dan mengatur program pembangunan diri para editor.


Sering menjadi the unsung hero, Allah jualah yang memuliakan dan mengganjari mereka. Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu, duhai ahli hisbah industri buku.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (332) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2013 10:48

March 2, 2013

08. Berusaha Adil Walaupun Kepada Ataturk

382194_485937058120491_2130575815_n


Walaupun kisah Atatürk selepas matinya tidak diterima bumi sangat meluas diperkatakan, malah saya juga mendengar kisah itu daripada pakcik-pakcik tua di Turki, namun disebabkan oleh saya tidak pernah bertemu dengan bukti bertulis yang bolehdipercayai mengenai hal ini, saya tidak mencatatnya di buku, dan sudah lama tidak menyebutnya di dalam ceramah.


Untuk Atatürk dikritik kerana dasar pembaratannya, apa yang tercatat di dalam dokumen-dokumen rasmi sudah memadai. Jika kuburnya ditumbuhi rumput hijau yang subur sekali pun, apa yang direkodkan sebagai jenayah terhadap umat Islam, kekal jenayah dan perlu diambil iktibar daripadanya.


Kita berpegang tegas untuk tidak mendustakan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam dalam penceritaan. Dan pendustaan bukan hanya teraplikasi ke atas baginda, malah Atatürk juga tidak harus kita dustakan beliau dengan sesuatu yang tidak benar mengenainya.


Setiap lembaran tulisan penulis, atas genre apa pun ia, adalah liabiliti beliau di hadapan Allah. Andai lulus, barulah ia menjadi aset bernama jariah.


Benarlah peringatan ini:


عن أبي هريرة -رضي الله تعالى عنه- قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع


Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, belia berkata: Rasulullah sallallaahu alayhi wa salla, telah bersabda: “cukuplah seseorang itu (dianggap sebagai) pendusta apabila dia menceritakan semua perkara yang dia dengar” [hadith riwayat Muslim]

Bertaqwalah kita semua setiap kali memegang pena.


HASRIZAL @ 43000 BSP



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (412) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2013 11:41

07. Jangan Simpan Dendam

64145_485233868190810_1709704790_n


ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 2 MAC 2013:


Saya berusaha untuk mengenepikan semua bentuk ekspresi emosi sama ada berbentuk marah, kecewa, jauh sekali sifat cemburu atau iri hati (naudhubillah) semasa mengemukakan kritikan terhadap novel karya Ayahanda Abdul Latip Talip, HIJRAH. Termasuk juga emosi malu dan dilihat jahat oleh pihak yang tidak bersetuju, kerana saya dilihat sebagai antagonist.


Emosi-emosi, kesemuanya sejak sekian lama, menyulitkan sebarang perbahasan yang sihat di dalam masyarakat kita, serta menyuburkan budaya sindir menyindir, kata mengata, dan dendam yang kesemuanya tidak sihat serta membunuh proses mematangkan masyarakat. Saya menulis, berusaha mengekalkan nada tenang, tanpa bias malah terus menerus membahasakan dengan penuh hormat buat Ayahanda Pak Latip, walaupun sesekali saya terbabas.


Semenjak awal, jika disemak balik polemik berusia seminggu ini, saya mengelak daripada menggunakan perkataan yang bersifat menuduh atau mengecam. Ada yang diletak di antara ‘….’, sesetengahnya dalam kurungan (…..), kerana mahu menjelaskan akan maksud yang hendak disampaikan.


Semua yang hadir di dalam pembentangan di UKM menjadi saksi bahawa saya tidak putus-putus memuji usaha-usaha Pak Latip, malah jika Pak Latip masih ingat, semasa pameran buku di KL Sentral juga, saya memberikan beberapa cadangan secara personal kepada Pak Latip yang ketika itu sedang menyiapkan novel Hasan al-Banna.


Sejak sekian lama, banyak pihak sudah berusaha menyampaikan teguran kepada Pak Latip dan PTS. Sudah ada beberapa penambah baikan, malah novel-novel sejarah terbitan semasa juga kelihatannya semakin menipis berbanding sebelumnya. Moga momentum ini berterusan.


Harapan saya ialah:



Pak Latip bersabar dalam proses novel-novelnya dianalisa kerana selepas novel HIJRAH, novel -novel lain akan terus dikritik dan keutamaan menyusul, adalah yang membabitkan sahabat-sahabat Nabi SAW.
Semua kritikan, adalah bertujuan untuk membantu Pak Latip meningkatkan upaya merujuk, memahami bentuk rujukan yang diperlukan untuk setiap tajuk yang mahu ditulis, kerana sama seperti semua penulis, semasa hayat inilah, kita berpeluang membetulkan kesilapan dan ini merupakan suatu proses biasa setiap penulis tanpa mengira kecil atau besar namanya di dalam sejarah umat Islam.
Meningkatnya kesedaran di dalam masyarakat bahawa keistimewaan sejarah Islam ialah, pada disiplin keaslian dan komitmennyan kepada sumber yang benar. Jika aspek ini digolok gadai, runtuhlah salah satu tiang seri berdirinya Islam. Ini merupakan kesedaran yang dihajatkan oleh semua Muslim yang sejati.
Menjadi amaran kepada penulis dan bakal penulis lain agar meningkatkan disiplin, menghormati keterbatasan diri dan menulis hanya dalam sesuatu yang kita benar-benar arif.
PTS dan syarikat penerbitan lain mengambil iktibar, agar tidak memberi galakan kepada penulis yang tidak mampu, memberanikan diri menulis dengan sokongan teknik-teknik yang pelbagai. Lambat laun, tiada teknik yang dapat memintas tuntutan asas yang diperlukan oleh seorang penulis iaitu ilmu mengenai topik yang hendak ditulis.

Saya berlapang dada untuk menjadikan diri saya dipandang serong, dimusuhi, hilang populariti malah buku saya tidak lagi dibeli, kerana semua itu tidak penting. Kita tiada medan seperti Syria, Palestin atau Rohingya. Medan jihad kita di Malaysia adalah menyelamatkan umat Islam daripada fitnah dalam beragama.


Salam kasih sayang buat semua pencinta kebenaran.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (307) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2013 10:37

06. Sebelum Penulis Menulis

ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 2 MAC 2013:


417751_485106914870172_607498932_n


(kredit foto haidatul-territory.blogspot.com)


Apabila seorang artis berhijrah, bertaubat dan mahu mengubah kehidupannya, dia berhadapan dengan kesulitan besar apabila karya-karya seninya yang terdahulu, bukan miliknya untuk dengan mudah ditarik balik. Mungkin sudah bertudung, tetapi imej-imej tidak bertudung yang tersebar, tidak berada dalam upayanya untuk dicegah daripada tersebar. Ia sering menjadi igauan buruk mereka dan semoga Allah membantu.


Demikian juga dalam penulisan. Apabila kita berhadapan dengan penyesalan apabila buku yang pernah ditulis rupa-rupanya salah, bukanlah hak penulis untuk menarik kembali buku tersebut. Hanya penerbit dan pihak berkuasa sahaja yang mempunyai keupayaan untuk menghentikan penjualan sebuah buku yang SALAH.


Kerana beratnya keadaan ini, ia harus menjadi muhasabah kepada penulis baru, lama dan yang baru bercadang hendak menjadi penulis, agar bertaqwa kepada Allah, tanya diri betul-betul, mampukah anda menulis apa yang hendak ditulis? Yakinkah anda penulisan itu adalah sumbangan yang benar di sisi Allah? Mampukah anda berdiri di hadapan Allah dengan buku yang dikarang itu?


Jangan kelabu mata dengan tawaran penerbit akan lumayannya hasil yang boleh diperolehi.


Antara 10% royalti dengan ribuan dan jutaan peratus sunnah yang jahat yang terhasil daripada tulisan kita, tanyalah, mana yang kita mahu?


Hidup ini sementara… namun kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya. Syurga dan Neraka, adalah hakikat yang berada di hujung perjalanan semua.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (292) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 02, 2013 09:34

March 1, 2013

05. Novel Sejarah Dan Konflik Asbab al-Nuzul

uhud


Novel Sejarah karya Ayahanda Abdul Latip Talip turut dianalisa oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Shahrizal Nasir daripada UNISZA daripada sisi penisbahan ayat-ayat al-Quran kepada peristiwa secara tidak tepat dan mengganggu kefahaman tentang Asbab al-Nuzul ayat al-Quran.


academia-edu


[Klik Untuk Mendapatkan Salinan Kajian Berkenaan]

Agak janggal apabila sebuah novel dikarang tanpa meraikan disiplin akademik sebagai alat merujuk, menghasilkan pelbagai bentuk kecamuk yang mempunyai kesan jangka panjang kepada tradisi ilmu masyarakat. Ia harus menjadi iktibar kepada semua, bahawa dalam niat baik untuk menjadikan agama menarik dan mudah, membelakangkan disiplin ilmu akan merapuhkan tempat berdirinya agama. Sesungguhnya agama kita dibina di atas asas ilmu, membelakangkan ilmu menjadikan rumah indah di tepi pantai, menanti badai untuk mengundang kecai.


Semoga Allah memelihara kita semua, ameen.


HASRIZAL @ 43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (279) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 01, 2013 10:35