Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 59
July 25, 2013
Derma Organ: Agar Kematian Tidak Mematikan Saya
MENGAPA SAYA MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?
Saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ pada tahun 2007. Saya melakukannya supaya kematian tidak mematikan saya. Dalam hidup ini, saya berusaha menulis buku, menyebarkan ilmu pengetahuan dan apa sahaja kebaikan yang boleh dikongsi, agar apabila tiba saatnya saya mati, ia tidak memberhentikan kebaikan dan manfaat daripada diri saya, yang akhirnya adalah untuk diri saya juga.
SIAPAKAH YANG BOLEH MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN
Secara umumnya, sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama boleh mendaftarkan diri sebagai penderma organ. Sebagai seorang Muslim, saya melihat pendermaan organ ini sebagai suatu ibadah, dan khidmat bakti yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah.
Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memfatwakan keharusan pendermaan organ ini semenjak 1970 lagi. Apa yang diperlukan pada masa ini ialah usaha yang berterusan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat dan seterusnya menggalakkan mereka untuk turut serta.
APAKAH PERASAAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?
Sebagai penderma organ, saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana keputusan ini sangat membantu saya menjadi insan yang lebih menghargai diri dan kehidupan. Saya juga dapat menghayati sabda Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam:
خيرُ الناس أنفعُهم للناس
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia”
[diriwayatkan oleh Jābir bin 'Abdillāh di dalam al-Jāmi' al-Saghīr oleh al-Suyuti, no. 217]
BAGAIMANA CARANYA UNTUK MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?
Sahabat boleh mendaftarkan diri sebagai penderma organ, secara atas talian (online) dengan melayari halaman web A GIFT OF LIFE
“Erti Hidup Pada Memberi”
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (35) Pelawat
Memberi, Menambah Makna Kepada Diri
kredit foto: alegacyofgiving.org
“Saya sudah membuat keputusan muktamad. Setakat ini sahaja perkhidmatan saya bersama tuan. Saya mahu bersara” kata seorang tukang kayu.
Sudah berpuluh tahun beliau bekerja bersama majikannya itu. Penuh dedikasi. Tetapi hatinya dihinggap rasa jemu. Terasa mahu segera pergi.
Meninggalkan tempat kerja dan rutin hariannya.
Pergi bercuti sepuas hati.
Si majikan termenung. Perasaan bercampur aduk.
“Aku ada satu permintaan. Permintaan yang mungkin terakhir daripada aku untuk kamu” ujar si majikan.
“Apakah permintaan itu?” tanya si tukang kayu.
“Aku mahu kamu selesaikan satu sahaja lagi projek. Sebuah rumah kayu terakhir yang aku mahu kamu tumpahkan segala pengalamanmu untuk membinanya” kata si majikan.
Si tukang kayu serba salah.
Sudah terbayang wajah monyok sang isteri di rumah.
Kakinya sudah terasa-rasa pasir di pantai. Wajah sudah dingin-dingin dihembus angin benua. Menangguhkan semua itu untuk kembali bertukang kayu, terasa ralat benar di hati.
Tetapi dek mengenangkan begitu banyak jasa si majikan kepada dirinya dan keluarga selama ini, beliau mengangguk lesu. Setuju.
Terpaksa.
Rumah dibina seadanya. Asalkan siap.
Sifirnya mudah, apa-apa sahaja yang dibuat kerana terpaksa, terseksa.
Malang sekali.
Setelah berpuluh tahun bekerja dengan penuh dedikasi, dengan hasil kerja yang dipuji ramai, beliau mengakhiri hasil tangan seperti melepaskan batok di tangga.
“Alah, bang. Tak payahlah ukir dan paku beriya-iya sangat. Janji siap sudah. Ini pun kira kita dah baik hati nak tolong siapkan!” hasut sang isteri, menambah lagi rasa ‘tidak ikhlas’ di hati suami, si tukang kayu.
Selesai rumah kayu itu ditukang, beliau sendiri berasa tidak suka untuk melihatnya. Tetapi peduli apa. Beliau mahu segera bersara dan pergi bercuti.
“Nah, tuan. Ini kunci rumah itu. Segala tugasan sudah saya selesaikan” kata si tukang kayu.
“Simpanlah kunci itu!” jawab si majikan.
“Kenapa tuan?” si tukang kayu kebingungan.
“Rumah itu adalah hadiah daripada saya untukmu. Tanda penghargaan atas persahabatan kita selama ini” kata si majikan dengan wajah yang tulus penuh keikhlasan.
Menggeletar tangan si tukang kayu.
Hatinya ditaufan rasa sesal.
“Kalaulah aku tahu rumah ini adalah milikku, nescaya akan kubuat dengan sebaik mungkin!” hati kecil yang tidak pernah berbohong itu berbisik kesal.
Siri Silver Spoons Musim 1 Episod 13 bertajuk “The Best Christmas Ever” ini sangat menyentuh hati saya. Biar pun ia mengisahkan tentang sambutan Krismas, namun semangat memberi yang dipamerkan oleh Ricky dan ayahnya Edward di dalam episod ini sangat unik. Nikmat memberi, tiada kalimah untuk mengungkapkannya sepenuh erti. Hanya yang melakukannya, merasai kemanisannya.
ERTI HIDUP PADA MEMBERI
Dalam menghayati makna ERTI HIDUP PADA MEMBERI, hati sering dibisik was-was. Apa gunanya bersusah payah membantu. Cukuplah dengan segala kesusahan hidup kita yang sedia ada, kenapa mahu berpenat lelah untuk orang lain!
“Buat baik berpada-pada!” tokok sebuah peribahasa.
Hati yang akur dengan bisikan-bisikan ini akan mengeluh, “asyik aku sahaja yang memberi. Sesekali kenalah menerima. Terasa bagai dimanipulasi!”
Lalu datanglah segala penyakit sikap. Culas, acuh tidak acuh, ala kadar dan janji siap, menjadi sendi-sendi kerja yang dibuat tanpa sokongan jiwa.
Hakikatnya kehidupan tidak begitu.
Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan.
Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita berikan dalam khidmat kepada umat, tidak pernah kebaikan itu tidak berbalik kepada kita.
Hanya manusia yang lupakan Tuhan, tidak menyedarinya.
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” [Al-Israa' 17: 7]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (21) Pelawat
July 24, 2013
Mengapa Ramadan Kita Tidak Berkesan
“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.
Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan peringatan, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.
MASALAH INPUT
Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.
Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
MASALAH PROSES
Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.
Belajar tidak pernah habis.
Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.
Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.
Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.
Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?
21 jam!
Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.
Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.
Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.
Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?
Di tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansukhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Hindari perbuatan ini.
Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.
Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!
Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.
Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: setiap umatku masuk Syurga, kecuali yang tidak mahu. Mereka (para sahabat) bertanya: Siapa pula yang tidak mahu itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: siapa yang mendurhakai diriku, maka sesungguhnya dia itu yang tidak mahu (masuk Syurga) [HR al-Hakim]
Salam Ramadhan.
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (42) Pelawat
July 23, 2013
Kaderisasi Dakwah Antara Gen-X dan Gen-Y
Foto ihsan Ustaz Fazdi Harun
“Sheikh, apabila kapal terbang sudah terbang di udara, baru baca surat ini, ok!” kata Ustaz Syukur.
Saya mengangguk.
Mujur bukan ‘dadah’.
Saya menerima bungkusan daripada ketua kami dan menyimpannya di dalam beg. Seperti yang diarahkan, apabila pesawat Royal Jordanian telah terbang di udara, membawa saya dan rakan-rakan pulang bercuti buat pertama kali semenjak belajar di Jordan, saya membuka sampul berkenaan.
“Sukacita dimaklumkan, bahawa saudara telah dilantik menjadi ketua kepada jawatankuasa gerak kerja cuti musim panas tahun ini. Tugasan-tugasan telah diperincikan seperti yang tertera di dalam surat ini. Sila bentuk ahli jawatankuasa saudara untuk menjayakannya dan hantar laporan kerja dua bulan daripada tarikh surat ini dibaca… ”
Wah, wah!
Mesyuarat tiada, apa pun tiada, tiba-tiba saya menerima lantikan ini. Baru sahaja berangan-angan mahu berseronok balik bercuti ke kampung halaman, angan-angan itu terbantut dek surat keramat yang diterima itu. Dengan berat hati, saya mula membuka buku catatan dan melakarkan jadual jangkaan.
Sebulan setengah untuk peribadi.
Sebulan setengah untuk jemaah.
Untuk perjuangan!
Demikianlah kisahnya pada tahun 1994. Semasa anak-anak mudanya adalah daripada jenis kami. Jika dipandang ke belakang dari tahun 2013, maka ‘jenis kami’ yang saya maksudkan itu adalah ‘Gen-X’. Modus operandi jemaah adalah modus operandi Tarbiyah untuk Gen-X.
Di zaman itu, Gen-X ini tidak banyak maklumat. Mereka menyertai gerakan Islam sebab mahu menolong Islam. Orientasinya adalah kerja, kerja dan kerja. Maka kami obses dengan kerja, kurang peka dengan teori.
Teori kami ringkas. Malah banyak yang salah.
Jemaah ini jadi pilihan sebab ia jemaah pertama dan tertua.
Dalil kami bercampur aduk antara (الأوَّلُ فالأوَّلُ) dalam bab bai’ah khalifah, mahu pun pahala hadir awal solat Jumaat.
Tidak ramai yang kisah, benarkah istidlal hadith itu begitu, kerana yang penting adalah kerja.
Kesedaran tentang pentingnya meletakkan teori yang betul adalah kesedaran yang eksklusif. Hanya segelintir yang mendesak, benarkah jemaah kita jama’ah al-muslimin, atau jama’ah min al-muslimin. Dan kelompok yang ‘sedar’ ini jadi kelompok pembuat masalah. Dan oleh kerana pembuat masalah ini tidak ramai, mereka mudah dicantas.
“Tapi ini bukan pendapat kami sahaja. Sheikh Solah juga berpendapat begitu!” suara ‘sedar’ berhujah.
“Sheikh Solah tidak faham waqi’ Malaysia!” kesedaran tersebut dibidas.
“Sejauh manakah perbezaan waqi’ mengubah makna nas?” suara ‘sedar’ enggan mengalah.
“Anta nak apa sebenarnya?” pertanyaan itu mematikan momentum.
Masa berlalu…
KADERISASI 2013
Kini anak-anak muda di dalam gerakan Islam bukan lagi Gen-X.
Mereka adalah Gen-Y.
Walaupun jurang antara generasi ini fenomena sepanjang zaman, jurang antara generasi hari ini terjadi seiringan dengan revolusi teknologi maklumat. Satu daripada tiga revolusi yang mengubah landskap dunia, selepas Revolusi Pertanian dan Revolusi Industri. Maka teknologi maklumat bukan hanya alat di tangan. Penggunaannya, penguasaannya terhadap pendidikan, penyaluran maklumat, mengubah kognitif manusia. Biar pun Gen-Y itu adik Gen-X, tetapi jurang usia 20 tahun menjadikan rambut sama hitam, kognitif lain-lain!
Maka hari ini, apabila anak muda menyertai gerakan Islam, yang dibawa ke dalam gerakan Islam itu adalah isu Gen-Y. Adakah gerakan Islam sedar tentang hal ini?
Sudah banyak kajian yang dilakukan tentang organizational behavior di kalangan Gen-Y, dalam aplikasi employment di industri dan korporat. Bahawa Gen-Y itu mempunyai ciri yang perlu difahami. Mengeluh tidak ke mana. Marah juga, tidak menyelesaikan apa-apa. Gen-Y yang kurang setia kepada organisasi, tidak suka menerima arahan yang datang secara tradisional, digertak dengan kedudukan ketua, melihat kerja sebagai sebahagian daripada cabang kehidupan yang harus seimbang dengan cabang-cabang yang lain… semua itu sudah tidak boleh dielakkan.
Itulah realitinya.
Gen-Y adalah Gen-Y.
Maka rejuvenasi sebuah gerakan Islam untuk menampung serta memanfaatkan Gen-Ya amat perlu.
Caranya bukan dengan pemimpin-pemimpin Gen-X buang serban ganti dengan baseball cap, atau pecat jubah ganti dengan jeans. Itu canggung. Malah memualkan ramai Gen-Y.
Rejuvenasi sebuah gerakan Islam ialah pada berhenti beretorik. Berhati-hati dan mengukuhkan idea, mewacanakan mesej yang hendak ditawarkan kepada anggota juga massa, dan berhenti berhujah dengan ‘kerja’ dan ‘amal’ semata-mata.
“Kamu tahu cakap sahaja. Kami sudah lama bergelumang dengan kerja-kerja di atas dan di bawah!” kata pemimpin, si Gen-X.
Gen-Y terbahagi dua.
Satu kelompok mentertawakan sahaja kenyataan sebegitu.
Satu kelompok lagi akur dengan kenyataan sebegitu, tetapi dengan pengecutan minda yang serius.
Distortion.
Mengendalikan tamrin untuk menjelaskan fikrah tentang ‘Islamism’ di kalangan Gen-Y, menemukan saya dengan realiti yang menakutkan.
Bukan takut dengan Gen-Y.
Tetapi takut dengan Gen-X.
Generasi saya sendiri.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (41) Pelawat
Ramadan Tetamu Dataran Syam
Foto Ihsan Ustaz Fazdi Harun
“Assalamualaikum!” kedengaran suara memanggil dari luar.
“Eh, siapa pula tu?” saya bertanya kepada Arief. Kami sedang sibuk memasak lauk untuk berbuka puasa malam ini. Maklum sahajalah, hari ini adalah Ramadhan pertama kami di perantauan.
Rupa-rupanya Muhannad, anak jiran kami datang. Beliau membawa sepinggan besar nasi yang dimasak dengan ayam. Maqlubah, kata orang Jordan.
“Wah, terima kasih banyak-banyak Muhannad. Semoga Allah memurahkan rezekimu sekeluarga. Sampaikan ucapan terima kasih kami kepada ibu bapa kamu, ya” Arief menyambut talam yang dihulur.
“Sama-sama. Ini namanya hidup berjiran” Muhannad tersenyum.
Iftar pertama saya dan ahli rumah kami di Jordan penuh kenangan manis. Rumah kami digelar sebagai Darul Kahfi. Pada masa itu, rumah pelajar lelaki semuanya diberi nama tertentu dengan menggunakan perkataan Dar. Manakala rumah pelajar perempuan diberi nama dengan menggunakan istilah Bait.
“Murah rezeki kita. Inilah untungnya duduk di Mu’tah. Orang kampung baik hati” kata Ustaz Syamsul. Beliau adalah di antara ahli rumah kami yang paling senior. Ketika saya sampai di Jordan, beliau sudah berada di tahun dua pengajian.
Ustaz Syamsul suka memujuk kami dengan pelbagai cerita tentang baik budi penduduk tempatan di Mu’tah. Bukan apa, takut-takut kami merajuk sebab seminggu sebelum kami diputuskan untuk belajar di Universiti Mu’tah, pelbagai provokasi membayangi fikiran kami. Kata pelajar di Amman, Mu’tah itu letaknya di hujung dunia. Turab Aswad (Tanah Hitam) kata mereka.
Saya sendiri pun, semasa kali pertama menaiki bas untuk datang ke Mu’tah, berada di dalam keadaan yang serba salah. Perjalanan lebih dua jam, dirasakan begitu panjang. Entah berapa kali saya terlelap di dalam bas, Tuhan sahaja yang tahu.
“Emm, ke manalah mereka nak bawa aku ni” saya termenung di dalam coaster. Jauh benar perjalanan kali ini. Saya tergamam melihat beberapa ekor unta merayau lesu di padang pasir. Sesekali gerun merenung gaung ratusan kaki di kiri jalan.
Tetapi hari ini, saya berasa gembira. Walaupun hati sebak terkenangkan keluarga di Malaysia, sekurang-kurangnya baik hati jiran menghantar hidangan Maqlubah kepada kami, amat saya hargai.
TARAWIH ‘BERSAMA’ SAHABAT RASULULLAH SAW
Makam Jaafar bin Abi Thalib
Malam itu kami bertarawih di Masjid Jaafar ibn Abi Thalib. Sayu-sayu sahaja bacaan imam tua yang memimpin solat kami. Sesekali saya menoleh ke belakang. Kelihatan Maqam Jaafar al-Thayyar jauh di sana. Ganjil sungguh perasaan saya malam itu. Bercampur baur di antara sedih dan bangga. Sedih sebagai naluri biasa saya yang terkenangkan emak di kampung. Ini Ramadhan kedua emak tanpa abah. Abah pulang ke Rahmatullah pada 10 Syawal sebelum itu, di sisi emak. Saya hanya mampu meminjamkan riba tempat emak menghempaskan wajah dukanya atas pemergian abah. Dan kali ini, sunyi emak bertambah lagi dengan ketiadaan saya. Anaknya jauh di perantauan.
Tetapi ada juga terselit rasa bangga kerana malam ini, saya menyambut Ramadan di sisi para Sahabat yang pernah bertarawih bersama baginda Rasulullah SAW. Di belakang saya ada Jaafar bin Abi Thalib. Di kiri masjid pula ada Zaid bin Harithah dan jauh di seberang jalan, Abdullah bin Rawahah bersemadi. Ramadan kali ini saya terasa bagai dekat benar dengan Rasulullah SAW. Segala puji buat-Mu, ya Allah.
Selepas bertarawih, kami bersalam-salaman dengan pakcik-pakcik Arab yang ada di masjid. Mereka memeluk kami, pelajar Malaysia, sambil memberi kata-kata perangsang agar kuat semangat untuk belajar.
“Lihat itu, Jaafar al-Thayyar. Dia datang ke sini sebagai perantau. Seperti kamu!” kata Abu Ma’moon.
Saya dan rakan-rakan tersenyum sambil menganggukkan kepala.
Keesokan harinya saya dan rakan-rakan memasak nasi minyak berlaukkan ayam. Kami berhasrat untuk mengisi kembali pinggan keluarga Muhannad yang diberi semalam dengan nasi minyak ini. Maqlubah Maliziyyah!
“Eh, Hasrizal. Tengok tu. Itu adik Muhannad, Ahmad. Dia bawa pinggan lagi” Munawwar memberitahu saya.
Allah, saya baru sahaja menyelesaikan masalah pinggan semalam. Hari ini pinggan lain pula yang datang. Apa pula yang saya nak isikan esok?
Kami bertukar pinggan. Ahmad tersenyum sambil menyerahkan hidangan waraq ‘inab kepada kami. Oh, ini makanan kesukaan saya. Waraq ‘inab ini adalah nasi yang dimasak dengan daging hancur, kemudian dibalut dengan daun anggur yang telah dijeruk, dan kemudian dikukus. Ia dihidangkan bersama perahan air limau, dan saya teruja ketika kali pertama menjamahnya. Kadang-kadang daun anggur diganti dengan kobis.
Esoknya, saya hanya menggoreng keropok kerana ketandusan idea untuk membalas pinggan Ahmad. Tentu sahaja, bukankah tidak elok kita memulangkan pinggan kosong.
Semasa kami sibuk di dapur, Muhannad sudah muncul.
“Ya syabab, emak saya kata, janganlah kamu bersusah payah untuk membalas pinggan kami. Beri sahaja pinggan kosong itu!” Muhannad memberitahu saya.
Aduh, terasa malu pula saya dibuatnya. Beradat tak bertempat. Saya menyerahkan sepinggan keropok kepada Muhannad dan beliau menyerahkan pula Maqlubah ikan kepada kami.
“Inilah namanya rezeki harimau” saya berseloroh.
“Rezeki harimau itu apa?” Ucop bertanya.
“Laa, takkan rezeki harimau pun anta tak tahu? Rezeki harimau itu, maksudnya rezeki yang sekali datang banyak bertimbun. Lepas tu habuk pun tak ada. Berlapar lagilah kita” kata Ustaz Jamnul. Beliau juga ahli rumah kami yang senior. Tetapi tidak lama lagi beliau akan berpindah rumah sebab hujung semester ini, beliau akan mendirikan rumah tangga.
“Mahunya tidak rezeki harimau. Ini sepinggan maqlubah ikan. Malam ini kita akan berbuka dengan tuan rumah. Mesti banyak masaknya, kan” Munawwar menyampuk.
Kami ketawa.
Petang itu cuaca dingin dan tenang. Angin padang pasir bertiup sepoi-sepoi bahasa. Mata saya lepas memandang kubah hijau Masjid Jaafar al-Thayyar. Kami duduk di tangga sambil merenung anak-anak Arab yang ligat bermain bola di halaman rumah kami. Berpuasakah mereka ini?
Tidak lama selepas itu, Bilal, anak saudara tuan rumah datang kepada kami untuk menjemput kami naik ke atas.
Subhanallah, banyak sungguh nasi yang dimasak. Seperti kenduri lagaknya. Enam orang mengadap dua talam. Ini penderaan namanya.
“Hah, Hasrizal. Kami perlukan kepakaran anta untuk menghabiskan semua ini” Arief bergurau.
Ramadhan pertama kami di Mu’tah begitu meriah. Hampir setiap malam, ada sahaja jiran yang menjemput kami berbuka puasa di rumah mereka. Jarang benar kami memasak. Kawan-kawan saya di Amman dan Irbid memberitahu yang mereka juga menerima layanan yang sama. Kami tidak terasa asing walaupun jauh dari ibu bapa. Segalanya tentang Ramadhan, indah belaka.
Satu-satunya perkara yang saya tidak suka ialah Tadarus al-Quran di masjid. Bukan apa, saya rasa sesak dada mendengar orang-orang Arab membaca al-Quran. Mereka membaca al-Quran seperti membaca surat khabar. Fathah, Kasrah, Dhammah, semuanya entah ke mana.
“Satu-satunya amalan baik di zaman Rasulullah SAW yang kita tak boleh nak amalkan hari ini ialah menghantar anak ke kampung untuk menguatkan bahasa. Bahasa Arab di kampung ini pun sudah caca merba” kata Munawwar.
Ya, orang Arab juga mengalami krisis yang tidak jauh bezanya dengan kita yang Ajam ini. Jika tidak belajar betul-betul, Bahasa Arab yang mereka tuturkan adalah jauh daripada memberikan upaya memahami agama.
Kami hanya bertadarus secara bergilir di rumah pelajar-pelajar Malaysia. Itu lebih selesa.
SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH
Baik hati penduduk tempatan melayan kami tidak kekal lama. Nampaknya pada beberapa tahun selepas itu, layanan yang diterima sudah tidak sebaik dulu. Mungkin pertambahan pelajar Malaysia yang mendadak, telah menjadikan kehadiran kami sebagai suatu kebiasaan. Bayangkan, di seluruh Jordan pada tahun 1993, jumlah pelajar Malaysia hanya sekitar 300 orang. Tetapi pada tahun 1995, ia melonjak hingga mencecah 1000 orang. Dua tahun selepas itu, jumlah pelajar Malaysia mencecah lebih 3000 orang.
Tetapi saya rasa, kedinginan layanan penduduk tempatan terhadap pelajar Malaysia bukan hanya disebabkan oleh jumlah kami yang ramai. Apa yang lebih ketara adalah penampilan pelajar Malaysia sendiri. Di awal-awal tahun pengajian kami, Jordan belum menjadi destinasi pengajian yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Maka, pelajar yang datang ke Jordan kebanyakannya adalah pelajar yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Manakala pelajar persendirian pula, datang benar-benar atas dorongan yang kuat untuk menuntut ilmu di Bumi Syam ini. Boleh dikatakan, kebanyakan pelajar yang awal di Jordan, terdiri daripada mereka yang benar-benar datang ke Bumi Syam untuk menimba ilmu. Fokus.
Imej pelajar Malaysia amat baik. Malah semasa saya di semester 1 tahun 1, pensyarah menyediakan soalan peperiksaan khas untuk pelajar Malaysia. Mungkin ia bukan tindakan yang baik untuk kami, namun rata-rata kami rasa begitu dihormati dan dirai. Sekali dalam sebulan dua, pihak universiti akan mengumpulkan kami untuk bertanya khabar dan mengambil tahu soal kebajikan pelajar Malaysia.
NASIB JORDAN
Lama kelamaan keadaan mula berubah. Jordan mengalami nasib yang sama seperti sekolah pondok di Malaysia. Daripada sebuah institusi pendidikan yang istimewa, ia berubah menjadi tempat ‘membuang manusia’. Mungkin agak keterlaluan bunyinya, tetapi saya jelek mendengar alasan ibu bapa menghantar anak mereka ke Jordan supaya anak itu ‘menjadi manusia’!
Anak yang sudah tidak dapat dikawal kelakuannya semasa di Malaysia, dihantar ke Jordan. Bumi Anbiya, bumi Sahabat, bumi Israk, tentulah boleh kembali memanusiakan manusia yang sudah tidak berapa manusiawi. Tetapi ibu bapa ini terlupa yang Jordan berjiran dengan Yahudi. Malah, banyak perkara di Jordan ini yang dengan mudah boleh menyebabkan pelajarnya perasan bahawa mereka sedang menuntut di Eropah! Dengan salji yang tebal, pokok pine di sepanjang jalan, dan Arab-arab yang tak banyak beza rupa mereka dengan orang Eropah, kadang-kadang saya lucu bercampur geram melihat gelagat pelajar Malaysia.
Pernah suatu malam, kira-kira jam 12, saya dan rakan pergi ke Safeway. Safeway adalah pasar raya yang paling hebat di Jordan pada suatu ketika. Kami membeli sedikit makanan laut untuk dimasak keesokan harinya. Semasa hendak membayar di kaunter, saya dan rakan-rakan terkejut melihat tiga orang pelajar perempuan Malaysia sedang beratur di hadapan kami.
Saya perhatikan, mereka membeli Cereal Cornflakes, susu, chocolate bar, dan buah strawberi. Wah, sah sah mereka ini adalah sebahagian daripada pelajar Malaysia yang sedang bermimpi bagai berada di Eropah.
“Assalamualaikum. Kalian ada kenderaankah nak balik ke rumah malam-malam buta ini?” saya bertanya.
“Waalaikum al-Salaam. Tak apa, kami ada kereta sendiri!” kata salah seorang mereka sambil memusing-musingkan kunci kereta di jarinya!
Subhanallah, aib sungguh saya rasakan pada masa itu. Ya, kalau di Uptown atau Jalan Telawi saya boleh faham, anak dara keluar malam-malam buta. Tetapi ini di Jordan. Perempuan-perempuan Arab yang tak senonoh pun tak keluar malam. Tenggelam sahaja matahari, jalan raya dan pusat membeli belah bukan tempat perempuan berkeliaran. Tetapi pelajar Malaysia ini memecahkan tradisi ini. Saya hanya mampu mengelengkan kepala.
Imej pelajar Malaysia mula tercalar.
Ya, akhirnya Jordan ditimpa malang. Gelagat pelajar Malaysia banyak yang mengaibkan. Mereka memetik gitar di depan rumah, berpakaian yang tidak sopan dan pelbagai lagi kerenah, khususnya di kalangan mereka yang dihantar ibu bapa ke Jordan untuk menjadi manusia!
Mungkin kita terlupa bahawa anak-anak Malaysia yang dihantar ke Jordan, mahu pun ke Mesir dan negara-negara lain, adalah produk masyarakat Malaysia yang ITU. Maka pelajar-pelajar ini mesti pergi dengan matlamat yang jelas.
Mengapa mereka mahu ke Jordan?
Kerana tidak jelas menjawab soalan itu, penduduk Jordan sedikit demi sedikit mengubah layanan mereka kepada kami.
What you give, you get back!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
# petikan buku Rindu Bau Pohon Tin
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (25) Pelawat
July 19, 2013
Generasi Y Teruji Kesetiaannya
Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan mereka menjalani kehidupan di bidang perubatan, khususnya housemanship.
Ada yang mahu beralih ke perniagaan Herbalife©.
Ada yang lebih tenang menjual Tupperware©.
Ada juga yang rasa kerjaya lebih bermakna sebagai ustaz dan ustazah, atau kaunselor.
Sebahagiannya, saya sarankan berhenti. Elok berhenti. Bayar sahaja beberapa ratus ribu RM yang sudah diguna. Ia saranan khusus buat yang sudah pun ada keputusan di minda. Namun ada juga yang saya cuba pujuk. Setakat yang mampu. Yang sempat. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Bimbang.
Semua ini hanya ‘tip of the iceberg’.
Generasi Y (again!) sukar memberi komitmen. Kurang setia.
Internet laju, mesej mudah dimaklumkan hanya dengan SMS dan kini Whatsapp, Tango, Viber dan Skype, kita sangat mudah melepaskan komitmen. Ia bukan lagi sekadar teknologi harian, tetapi ia menjadi diri kita. Kemudahan yang menyebabkan karakter kita sulit menguruskan kesusahan. Walaupun kita anak orang susah.
Digital native!
Saya kongsikan sepotong emel yang saya kirim buat seorang sahabat yang meminta nasihat. Saya tidak pasti baik atau tidak nasihat yang saya berikan ini. Saya hanya nyatakan secara telus, apa yang saya percaya:
Assalamualaikum WBT.
Perjalanan hidup ini sangat panjang. Begitu juga kerjaya. Semasa kita di usia 20′an, kita boleh beri nasihat yang membantu rakan kita yang 20′an juga. Tetapi apabila umur kita meningkat, kita akan mula rasa yang cakap kita kosong dan orang pun tahu cakap kita kosong. Untuk mengelak kekosongan itu, jadikanlah membantu orang itu sebagai tugas pelengkap dalam semua tugasan rasmi yang kita buat.
Kerja jadi doktor memang penat. Sangat penat. Tengoklah muka doktor-doktor senior itu. Sama ada mereka sekarang baik seperti malaikat atau kejam seperti jin tanah, mereka menempuh apa yang doktor sedang tempuh sekarang. Hidup ini kena kuat mengendalikan komitmen. Bersabarlah. Teruskan bekerja. Kalau mengantuk tidur. Kalau penat rehat. Tapi jangan berhenti.
Nanti bila dah jadi MO, Registra, atau Doktor Pakar, nasihat kita adalah nasihat yang bersama dengannya pengalaman menempuh kesusahan. Kemahiran dan pengalaman kita dihormati, lalu nasihat kita pun dihormati. Tetapi kalau kita nasihat tanpa kemahiran dan pengalaman, sekejap sahaja kita rasa nasihat kita berkesan. Kemudian kita akan segera rasa kosong dan pada masa itu untuk kembali ke trek, mungkin tidak lagi.
Kerana tidak mahu memberi nasihat kosong, walaupun saya sudah menempuh pengalaman demi pengalaman, saya sambung belajar walaupun umur dah nak masuk 40. Saya sudah tidak sanggup membuka radio, tv kerana penuh manusia bercakap kosong, sebab sekarang ni bercakap kosong sedang laku. Sedikit masa lagi, atau mungkin sudah pun bermula, cakap kosong ini semakin ditinggalkan orang.
Bersabarlah. tenangkan hati. Take it easy. Pelan-pelan. Sambil jadi HO dan sikit lagi MO, sambil tu kongsikan nasihat. Bagaimana kita hendak nasihat orang lain jika nasihat kita, diri kita sendiri pun menolaknya. Nasihatilah diri untuk bersabar. Kerana sabar itu tiada balasannya kecuali Syurga.
Salam ukhuwwah
Seperti kata pepatah Melayu, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.
Jangan hangat-hangat tahi ayam.
Dua pepatah ini, saya selitkan dalam ilustrasi di atas, petikan ebook Tak Kenal Maka Tak Cinta.
Salam ukhuwwah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (18) Pelawat
July 18, 2013
Menyertai ‘Ottoman Culture and History Summer School’ di Istanbul
Sudah lama saya membaca dan cuba memahami tentang sejarah Daulah Uthmaniah.
Membaca kerana ingin tahu, membaca kerana berminat, membaca kerana jatuh cinta, dan menterjemahkan hasil bacaan itu dalam tulisan, ceramah dan perbualan harian.
Masanya sudah tiba, pembacaan naik ke peringkat mengkaji.
Mengkaji bukan hanya berbekalkan kerajinan membaca, tetapi mengkaji dengan cara yang betul, tahu membezakan antara sumber yang benar dengan sumber yang salah, boleh membezakan di kalangan sumber yang benar itu, mana yang lebih utama antara satu sama lain.
Mengkaji bukan sekadar mengandai-andai sendiri maksud fakta yang ditemui, tetapi menafsir dan membahaskannya berdasarkan asas yang benar.
PERJALANAN AKADEMIK YANG BERLIKU
Saya selalu seperti tidak begitu ‘bernasib baik’ di dalam akademik. Ijazah sarjana muda saya mengambil masa yang amat lama untuk selesai. Untuk pengajian di peringkat sarjana (masters), saya diterima di QUB Belfast di dalam bidang Sosiologi Agama, tetapi menghadapi kekangan kewangan. Saya tidak mendaftar. Kemudian saya menyambung pengajian sarjana di The Open University UK, di bidang Pendidikan. Baru separuh jalan, saya ditimpa penyakit TB yang menyerang kelenjar limfa dan terpaksa dirawat selama 6 bulan. Pengajian terbantut. Tahun berikutnya saya menyambung semula pengajian yang sama, tetapi terpaksa kembali ke tanah air dan pengajian itu ditinggalkan.
Saya telah menyambung pengajian sarjana di UIAM pada tahun 2006 di bidang Sejarah di bawah Sains Sosial, telah menyempurnakan coursework dengan cemerlang, tetapi terkandas di peringkat penulisan tesis. Mungkin kerana kurangnya penekanan kepada kaedah penyelidikan, peringkat menulis amat sukar dan progresnya perlahan. Penyelia saya keluar dari UIAM dan saya juga terkandas tanpa menamatkannya.
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Usia bertambah. Masa terus berjalan. Minat kepada sejarah tidak pernah pudar. Tahun 2012 saya mendesak diri untuk memulakan kembali langkah. Saya mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa di Fakulti Pengajian Islam UKM di dalam program Sarjana Pengajian Islam pengkhususan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Fokus saya masih dengan Daulah Uthmaniah.
Hikmahnya UKM sebagai universiti penyelidikan, semenjak hari pertama pengajian saya dan rakan-rakan sudah diasak dengan penyelidikan. Kami dilatih tubi untuk tahu membuat tinjauan literatur, menganalisanya, mencari lompang pengetahuan (gap of knowledge) di dalam kajian masing-masing, menimbulkan problem statement yang tulen dan seterusnya kami dilambakkan dengan assignment demi assignment yang amat berat.
Namun keperitan ini sangat dialu-alukan. Ia benar-benar menepati pepatah kita yang menyebut:
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Semester 1 selesai dengan baik, Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan juga memberangsangkan. Terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang tekun mengajar, menyelia, menegur malah sering juga menghiburkan hati kami. Saya juga semakin fokus dan jelas arah kajian yang hendak dihala. Biar pun dari kaca mata kerjaya, saya tidak pasti apa prospek pekerjaan pada masa ini dan di masa hadapan, saya tekad untuk memberi sepenuh jiwa dan raga kepada tuntutan akademik ini.
Semasa cuti semester, saya terbang ke Turki selama 3 minggu untuk mengumpul bahan-bahan rujukan untuk penulisan disertasi. Sama seperti ramai rakan yang lain, adakalanya kami kena seimbangkan di antara impian dan kemampuan. Kajian saya untuk disertasi membabitkan kajian biografi, bibliografi dan seterusnya sejarah intelektual seorang tokoh yang hidup pada kurun ke 16 Daulah Uthmaniah. Rujukan-rujukan primer serta kajian-kajian semasa mengenainya hampir tiada di tanah air. Saya perlu ke Turki untuk mencarinya.
Syukurlah, Allah memberikan begitu banyak kemudahan. Dalam kekangan kewangan, masa, komitmen keluarga, Allah temukan saya dengan ramai insan berbudi dan mulia hati, membantu saya di dalam perjalanan tersebut. Alhamdulillah, 3 minggu di Turki, saya berjaya mengumpulkan bahan-bahan rujukan yang diperlukan.
Semester kedua datang bersama enam lagi subjek untuk disempurnakan. Cabarannya sama seperti di semester satu, namun kejelasan fikiran terhadap kajian, bertambah dengan baik.
Tidak saya nafikan, bebanan fizikalnya sungguh luar biasa. Hingga saya berdoa kepada Allah agar janganlah saya diserang sakit jantung, kerana keletihan yang melampau terutamanya di musim peperiksaan dan menyiapkan tugasan akademik. Saya kira, bukanlah kerana pengajian itu terlalu sukar, tetapi lebih kepada kelemahan saya untuk segera menyesuaikan diri dengan mood akademik serta meninggalkan kehidupan silam yang kasual.
Alhamdulillah, semester dua juga sudah selesai. Tugasan akademik semua sudah dihantar. Keputusan masih belum keluar. Mudah-mudahan lulus semuanya. Proposal disertasi juga sudah diterima dan diluluskan oleh jabatan. Kini tiba masa yang kritikal untuk saya menulis disertasi. 6 bab perlu disempurnakan. Saya diberi masa 2 bulan oleh penyelia untuk menyelesaikan pembacaan ke atas kitab al-Tariqah al-Muhammadiyyah oleh Birgivi Mehmed Efendi serta mencerakinkan isi kandungannya.
SUMMER SCHOOL DI ISTANBUL
IBA OTTOMAN CULTURE AND HISTORY SUMMER SCHOOL
Tanpa disangka-sangka, satu lagi rezeki akademik datang menggolek.
Saya telah menerima tawaran untuk menyertai Summer School yang dianjurkan oleh Istanbul Sciences Academy (IBA) di Istanbul. Program ini asalnya dibuka hanya kepada pelajar USA, tetapi kemudiannya ditawarkan ke peringkat antarabangsa. Persaingan begitu sengit kerana hanya 20 kerusi yang ditawarkan untuk calon seluruh dunia. Saya juga menghantar borang pada hari penutup permohonan berbekalkan keputusan peperiksaan semester 1, surat sokongan penyelia dan proposal disertasi.
Program ini merupakan sebuah kursus intensif yang dianjurkan oleh IBA untuk memberi latihan akademik dan penyelidikan kepada pengkaji-pengkaji sejarah Daulah Uthmaniah membabitkan kursus Bahasa Turki Uthmaniah (Osmanlica), Ottoman Art and Culture, Ottoman Political History, Ottoman Social and Economic Life, Ottoman History of Science and Thought.
Insha Allah saya akan berlepas ke Istanbul pada 10 Ogos 2013 akan datang dan akan berada di sana selama kira-kira tiga minggu. Semoga kursus ini mengukuhkan keupayaan akademik saya, bukan sekadar untuk menyempurnakan pengajian sarjana yang dijadualkan tamat pada Jun 2014, malah untuk peringkat doktor falsafah dan jika ada rezeki, menjadi ahli akademik yang berbakti untuk ilmu dan ummah.
Sudah tentu, pengorbanan besar adalah di balik tabir semua ini. Kesabaran isteri dan anak-anak sama ada ketika melayan stress memuncak saya, mahu pun semasa pemergian ke Istanbul tempoh hari dan kali ini. Saya tiada perkataan untuk mengungkapkannya, kecuali sejuta penghargaan, dan segunung doa agar Allah merahmati kami sekeluarga.
Program Summer School ini disertakan bersamanya biasiswa untuk yuran program, penginapan, makan minum, kos seminar, dan lawatan-lawatan yang diadakan sepanjang pengajian. Peserta dikehendaki menyediakan sendiri tambang penerbangan ke Istanbul, takaful kesihatan dan perbelanjaan poket untuk diri sendiri dan membeli buku-buku berdasarkan keperluan masing-masing.
Semoga Allah murahkan rezeki dan membantu mengekalkan istiqamah saya dalam menyempurnakan pengajian kali ini. Demikian juga buat rakan-rakan sepengajian saya yang saya kasihi semua.
Salam Ramadan.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (29) Pelawat
Imaginasi Karyawan Yang Memfitnah Sejarah Orang Beriman
Sebelum ini saya ada melontarkan kritikan, bahawa novel-novel sejarah yang menggunakan secubit fakta, dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang, boleh menyebabkan sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dirasakan sebagai orang Melayu.
Dialog yang dileret-leret, menyebabkan apa yang terdaftar di minda pembaca adalah minda novelis, dan bukannya hakikat sebenar.
Inilah kebejatan yang dibentuk oleh novel yang berinspirasikan sejarah, disangka sedang berbakti untuk sejarah tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran, al-haq yang dimuliakan Allah.
Imaginasi yang sama jugalah yang menjadi punca tamadun Islam difitnah melalui sumber-sumber yang dianggap berotoriti. Karya-karya oleh sejarawan Barat yang mengungkapkan tamadun Islam sangat terdedah kepada penafsiran yang sebenarnya bukan sebuah penafsiran, tetapi imaginasi mereka, kesan sumber yang terbatas serta pandangan alam yang berbeza.
HAREM DAULAH UTHMANIAH
Sudah tentu, contoh terbaik adalah catatan-catatan tentang institusi Harem di dalam Daulah Uthmaniah.
Sultan yang diselubungi hawa nafsu bersama wanita-wanita bertelanjang dan mandi susu, gundik-gundik yang tidak terbilang, sebahagiannya dipaparkan melalui lukisan-lukisan erotik tergantung di Istana hari ini dan buku-buku rujukan sejarah. Benarkah Harem dan kehidupan di dalamnya begitu?
Persoalan ini memerlukan perbahasan yang khusus. Institusi Harem adalah lambang kecermatan dan kemuliaan para Sultan memelihara batas-batas hubungan, tetapi menerima bayangan yang 180 darjah terbalik daripada apa yang sebenarnya.
Çağatay Uluçay di dalam kitabnya Padişahların Kadınları ve Kızları (Gadis dan Wanita Para Sultan) membuat catatan berikut:
”Hakikatnya, kebanyakan pengembara yang melawat Turki tidak boleh berbahasa Turki, dan mereka menghabiskan masa bersama kaum minoriti yang kebanyakannya adalah Kristian. Pengembara ini tidak mengesahkan maklumat yang diceritakan kepada mereka, yang dalam banyak keadaan adalah tidak tepat, dan membawa pengembara itu (dalam penulisan mereka) melakukan kesalahan-kesalahan yang jelek. Seseorang itu boleh mengagak setakat manakah benarnya tinjauan-tinjauan itu yang sampai kepada kita melalui pengembara asing dan artis-artis mereka. Demikian juga lukisan-lukisan yang mereka lukiskan, serta buku-buku yang mereka karang, ketika mana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan lelaki Turki, apatah lagi wanita Turki! Kita serahkan kepada pembaca untuk berfikir dan membuat keputusan.
Tidakkah ini sudah cukup untuk memaksa kita bertanya, adakah potret Hurram Sultan dan anak perempuannya Mihrimah Sultan, serta Gulnur Sultan di galeri lukisan Istana Topkapi itu adalah lukisan yang tulen?”
Yang sedap dipandang mata, yang enak didengar telinga, yang lazat menjadi santapan baca, belum tentu ia mewakili apa yang benar. Tanyalah kepala kita semua, apakah gambaran kita tentang saudara-saudara kita yang terdahulu? Apakah sumber gambaran itu? Khayalan novelis? Pemandu pelancong?
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu” [al-Hashr 59:10]
Lukisan-lukisan haram yang terdapat di dalam buku-buku berkenaan dengan Harem yang dihasilkan di era Republik, yang sebahagiannya menjadi ilustrasi muka depan buku mereka, adalah hasil karya imaginasi artis Barat. Misalnya, gambar wanita bertelanjang di muka depan buku Osmanli’da Harem karya Meral Altindal, adalah lukisan Karl Bruillov, manakala gambar di muka depan buku Osmanli’da Kadin karya penulis yang sama, adalah lukisan oleh Camille Rogier.
Potret Gabriel Joseph de Froment, Baron de Castille dan Hermine Aline Dorothee de Rohan serta keluarga mereka
Pengarang-pengarang Barat ini menggambarkan Sultan Uthmaniah, dengan bayangan mereka terhadap Maharaja-maharaja Eropah yang memerintah dalam budaya hidup yang menjelekkan. Demikian juga semasa membicarakan tentang golongan sida (eunuch) yang menjadi pengawal Harem, penulis-penulis Barat mengabaikan sumber-sumber Uthmaniah pada menjelaskan tatacara golongan ini dipilih untuk bekerja di Istana. Sebaliknya mereka kelihatannya menanggap golongan sida di dalam Istana Uthmaniah, sama seperti eunuch di dalam istana Maharaja Cina yang dikembiri (dikasi) malah secara yang amat kejam.
Akibatnya, bukan sahaja para Sultan terfitnah, malah yang terfitnah adalah ajaran Islam itu sendiri.
Biarlah yang fiksyen itu dilabel sebagai fiksyen. Apabila hakikat sejarah bercampur aduk dengan fiksyen, khuatir nanti semua itu menjadi penyesalan novelis dan pembaca novel di dalam kubur masing-masing.
Bertaqwalah kepada Allah, kita semua.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (43) Pelawat
July 17, 2013
Antara Orang Agama Dan Orang Beragama
Petikan ebook Tak Kenal Maka Tak Cinta
“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah” itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.
Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.
Saya termenung.
Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.
Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.
Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.
SIMPANG KEHIDUPAN
Panjang likunya.
Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.
1993 saya tiba di Jordan.
“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?” tanya bapa saudara saya.
Terkejut dengan pilihan yang saya buat.
Saya hanya mampu tersenyum, kelat. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.
KEJUTAN
Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.
Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.
Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.
Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.
Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.
Bacaan al-Qurannya…
Kepimpinannya di dalam solat…
Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…
Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.
Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.
Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.
Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.
MINAT DAN KECENDERUNGAN
Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?
Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.
Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.
Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.
Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.
Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.
Daripada Jabir bin ‘Abdillah, sabda Rasulullah SAW:
خيرُ الناسِ أنفعُهمْ للناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia” [al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti no. 4044]
Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.
Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.
KILANG MANUSIA TERCEMAR
Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.
Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!
Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?
Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?
Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.
Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?
Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.
Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?
Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.
Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?
Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.
Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.
Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:
Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
Menjadi pengetua sekolah.
Menjadi guru pada masa yang sama.
Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
Menjadi webmaster halaman web masjid.
Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti
Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.
Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.
Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.
Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.
Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.
Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.
KEMAMPUAN
Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.
Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.
Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.
“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.
Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.
Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.
ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA
Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.
Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.
ALTERNATIF
Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.
Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!
Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (56) Pelawat
July 16, 2013
Taubat Seorang ‘Televangelist’
Ramadan ini saya mengenang kembali permohonan-permohonan saya pada Ramadan lalu.
Doa.
Hajat.
Apakah rentetan hidup yang terjadi selepas Ramadan tahun lalu, ketika Ramadan kali ini sudah surai seminggu?
Pada tahun lalu, saya berasa sangat tertekan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan diri, kaitan masyarakat dengan diri dan dakwah secara keseluruhannya. Tetapi saya tidak pasti apakah ia. Hanya hati yang tidak tenteram. Rasa gelisah semasa berkata-kata, dan gelisah semasa mendengar perkataan.
Saya tidak dapat berfikir dengan baik kerana terlalu sibuk dengan program demi program. Dan program yang menjadi dakwah itulah yang saya minta daripada Allah untuk ia reda seketika agar saya mendapat ruang untuk berfikir.
“Ya Allah, berhentikan aku seketika daripada kesibukan ini agar aku mendapat ruang berfikir”
“Ya Allah, bantulah aku untuk keluar daripada tempat di mana aku berada pada masa ini”
“Ya Allah, bantulah aku untuk menutup syarikatku”
“Ya Allah, selamatkan aku daripada kesibukanku”
“Ya Allah, dekatkanlah aku kepada ilmu, kepada-Mu”
Itulah doa yang saya ulang, berulang-ulang kali, sepanjang Ramadan lalu. Terima kasih juga kepada sahabat saya Azizulhasni Awang yang ketika itu berkomunikasi dengan saya dalam kemuncak Olimpik 2012 yang berlangsung di bulan Ramadan. Semangat beliau memercikkan kemanisan berdoa buat saya, sesuatu yang turut pudar, dalam sebuah kehilangan manisnya perjuangan.
Usai Ramadan, saya berusaha mengatur hidup ke arah apa yang saya doakan. Syukur Allah permudahkan segalanya.
BELAJAR SEMULA
Saya diterima masuk ke program sarjana pengajian Islam di UKM sebagai pelajar sepenuh masa. Sahabat di dalam STC berhijrah ke UK dan juga menyambung pelajaran seperti saya. STC berjaya ditutup. Pembelajaran di UKM berjaya mententeramkan kembali diri. Saya kembali dapat membuka kitab, membaca, mengkaji, dan satu kenikmatan besar yang sukar dipercayai ialah, nikmat kembali menjadi ‘orang yang tidak tahu’. Pendapatnya diterima dan ditolak. Ditegur, dibetulkan.
Sedikit demi sedikit elemen selebriti terhakis, walaupun tidak seselebriti mana.
Semester 1 berakhir dengan baik. Saya mendapat peluang yang seterusnya, Allah izinkan saya ke Turki selama 3 minggu. Biar pun perit meninggalkan isteri dan anak-anak, 3 minggu itu sangat penting pada menjernihkan kembali apa yang saya fikir tentang diri, dan kehidupan.
Saya tekad untuk meninggalkan bidang motivasi.
Saya tidak mahu lagi banyak berada di hadapan lensa.
Saya mahu berusaha keras menjauhkan diri daripada menjadi Muslim Televangelist!
TELEVANGELISM
Biar pun istilah ini asing daripada umat Islam, namun kita semakin terkait dengannya. Televangelism adalah fenomena di mana penceramah-penceramah Kristian menggunakan medium Televisyen sebagai saluran untuk mereka menyebarkan ajaran mereka. Ia juga tidaklah terhenti setakat kepada televisyen, malah membabitkan radio pada peringkat awalnya, dan kemudian berkembang kepada media sosial semasa seperti Youtube dan lain-lain.
Ia telah banyak dibahaskan oleh dunia Barat antara pro dan kontra. Seawal S. Parkes Cadman, yang menyampaikan ‘ceramah’nya di radio pada tahun 1923 sehinggalah membawa kepada era Jimmy Swaggart, Jerry Fallwell dan Pat Robertson pada masa ini.
Antara kritikan yang banyak dikemukakan adalah pada elemen komersil, populariti, mengidolakan diri yang kesemuanya itu mengkaburkan realiti sebenar bahawa yang bercakap itu sebenarnya bukan seorang yang berkelayakan, atau dalam bahasa mudahnya jahil yang petah berbicara.
Apabila ‘Amr Khaled menjadi popular di Mesir, diikuti dengan generasi seterusnya seperti Moez Masoud, penganalisis Barat melihat Dunia Islam mula terjebak dalam fenomena ‘ceramah agama versi televangelist’ yang sudah lama wujud di dunia mereka sebelum ini.
Yasmin Moll, di dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh Majalah Economist, menyebut tentang hal ini:
SCREAMING hordes of teenage girls are a common sight at pop concerts and film premières. They are less usual when waiting to hear a religious preacher. But such girls—one gasping “I can see him, I can see him” through the folds of her niqab—awaited Moez Masoud, an Egyptian televangelist, recently in Cairo. He is part of a growing band of Islamic preachers who are true celebrities
Selebriti agama di kaca televisyen keluar daripada imej berjubah berjambang, dengan penerangan-penerangan yang kaku. Kini mereka tampil kacak bergaya dan sedap dipandang mata.
Perubahan yang berlaku juga bukan hanya kepada imej yang diprojekkan ke skrin. Ia turut membabitkan mesej yang disampaikan. Ajarannya lebih lunak, meraikan, mudah dihadam, menjadikan mereka yang bergantung kepada penyampaian sebegini berasa yang agamanya terisi.
Kebaikannya ada.
Kebaikan itulah yang sedang berkembang dan dipertahankan.
Namun dalam kebaikan itu ada keresahan yang membimbangkan. Sesuatu yang sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata. Tetapi setiap insan yang duduk sama ada di hadapan atau di belakang kamera, jika jujur mendengar bisikan hati, dan berusaha menjernihkan fikiran serta perasaan, tidak dapat lari daripada mengakui bahawa ADA SESUATU YANG TIDAK KENA.
‘Ada sesuatu yang tidak kena’ itulah yang menyeksa diri saya.
Kali pertama saya menyebutnya ialah di dalam coretan buku Bercinta Sampai ke Syurga, di bawah tajuk “Fitnah di Hujung Lensa”. Rasa tidak kena itu bertambah sedikit demi sedikit semasa wajah saya ditampal dengan compact powder sebelum ke pentas. Rasa tidak kena itu makin terasa semasa percakapan saya perlu dikawal di pentas dengan soalan-soalan yang dikemukakan, sensitiviti yang mesti dirai, hitungan masa untuk memberi laluan kepada mesej komersil serta wajah yang perlu sentiasa sedap dipandang senyumnya.
Dan paling membebankan saya ialah apabila orang berebut-rebut mahu bergambar bersama, anak muda dan dara berbisik-bisik “eh, Ustaz Hasrizal la tu, kan kan kan!”
Ini bukan kesan yang sepatutnya lahir daripada sebuah dakwah.
Kalau saya yang gemuk dan tidak fotogenik ini, beriya-iya mereka mahu bergambar dan rasa teruja bersua muka, bagaimana pula dengan yang kacak, jelita, baby face penuh bergaya?
Inilah fenomena Muslim Televangelism yang menakutkan saya. Dan ia dikaburi oleh mesej dan imej agama.
Akhirnya cakap yang didengar bukan lagi yang paling kuat ilmunya, tetapi yang paling popular.
Malah populariti itu mungkin boleh mengenengahkan artis-artis dan selebriti yang berhijrah daripada jahiliah kepada Islam, mengatasi agamawan dalam erti kata yang sebenar.
Akhirnya yang diminati terus menerus adalah tazkirah dan motivasi, bukan lagi ilmu yang merupakan isi utama sebuah firman IQRA’.
Dalam budaya televangelism ini, si jahil boleh meletakkan syarat ke atas si alim agar kejahilannya dihormati, justeru si alim yang mesti bekerja keras mencairkan penyampaiannya agar si jahil tidak penat dalam usaha memahami.
Justeru dalam kegilaan semua ini, saya menguatkan semangat untuk berundur selangkah demi selangkah, bersama doa buat rakan-rakan yang lain, agar TAQWA yang menuntut diri sedar dan terkawal itu, menyedari di mana kita sedang berada, dan apakah langkah yang sepatutnya diambil.
Sesungguhnya tidak akan selamat umat hari ini kecuali dengan apa yang telah menyelamatkan umat yang silam. Dan kerana itu, kematu tumit bersila di dalam majlis ilmu saya usap demi mencari sebuah kekuatan, buat perjalanan yang masih panjang.
Rahmati kami ya Allah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (111) Pelawat