Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 56

January 2, 2014

Bertuahkah Islam Mendapat Melayu?

20140102-171218.jpg


Malam itu aku menangis.


Qiyam Ramadan aku beriring sendu.


Aku tidak dapat menahan rasa sedih dan kesal, bagai ada batu besar terbuku menjadi beban di lubuk hatiku.


Rasa terkilan itu juga bersulam silang dengan rindu.


Aku rindu pada saat-saat kelanaku di bumi yang amat jauh dan terpencil daripada dunia Islam. Merindui kelana dakwahku semasa menggalas tugas mengimamkan umat di tapak krisis Protestant – Katholik itu.


Di bumi Ulster.


Kenanganku kepada Belfast bukan pada kemeriahan pelancongan atau bersenang lenang di rantau orang.


Apa yang lebih mengundang rindu, menusuk kalbu, adalah pada manis yang dijamu. Kemanisan bekerja untuk Islam, tatkala masjid kecilku itu menyaksikan begitu ramai anak tempatan disentuh hidayah Allah, khususnya di bulan Ramadan. Di lindungan bumbung Ramadan, masjidku dilimpahi rahmat dengan ungkapan Shahadah lelaki dan perempuan, yang semenjak lahir mereka tidak kenal Allah dan Muhammad, namun di masjidku, mereka kembali.


Kembali kepada fitrah.


Mereka bersyahadah.


Itulah Ramadan di bumi Eropah.


Bukan hanya di masjid kami, malah di kebanyakan masjid yang ada.


Di masjidku, kami mahu ia seperti Masjid Nabi. Sesiapa yang mencari teduh, dijemput berteduh. Sesiapa mencari hidayah, disambut dengan ramah. Hampir setiap hari tetamu datang dengan pelbagai agama dan latar belakang. Namun mereka bertemu di maksud yang satu. Mereka mahu tahu.


Apa Islam? Siapa Muslim? Mengapa Islam? Bagaimana Muslim?


Mereka tidak pernah mengotorkan masjid. Mereka tidak pernah mencemari masjid. Mencabut kasut, kami beritahu. Berpakaian sopan, mereka sudah tahu. Menghormati jemaah, memang cara hidup mereka begitu, hingga kami tidak terbayang berkemungkinan mengulang perbuatan Nabi, membasuh kencing Badwi, tanpa merungut dan mencela caci.


Pada mereka, datang bertamu.


Pada kami, Allah yang menyeru.


Tugas kami menyambut tetamu.


Bukankah itu amanah di bahu?


Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Bukan hanya pada segala kebaikan yang sedia terjanji di lisan Nabi yang berpesan. Malah bulan ramai anak tempatan memeluk Islam. Hidayah daripada Allah, namun ikhtiarnya tidak pernah menghela lelah.


Itulah yang mengundang tangisanku malam ini.


Ramadan dalam kenanganku di perantauan, adalah bulan Allah menghadirkan tetamu-tetamu al-Rahmaan ke setiap rumah-Nya.


Ramadan dalam realitiku di kampung halaman sendiri…


Muslim yang tidak datang ke masjid tidak pernah diendah dalam kerisauan.


Bukan Muslim yang datang ke masjid, dihalau, dicaci penuh prejudis, dan dimurkai sesuka hati.


Kalimah Allah mahu dieksklusifkan, Doa Khutbah mahu dieksklusifkan, Masjid dan Surau mahu dieksklusifkan. Agama menjadi topik sensasi tetapi keberagamaan terumbang ambing antara suram fajar dan senja.


Teringat diriku kepada coretan Kang Agus Mustofa di dalam karyanya Membela Allah:


Berjuta-juta penduduk dunia

Yang menyatakan dirinya beragama pun

Tanpa sengaja melupakan-Nya

Termasuk orang-orang

Yang merasa dirinya Islam

Ternyata juga tidak melakukan

Pembelaan untuk Dia

Siapalah yang dibelanya?

Ada yang sibuk membela status sosialnya

Ada yang sibuk membela kekuasaannya

Ada yang sibuk membela investasinya

Ada yang sibuk membela partai politiknya

Ada yang sibuk membela organisasi massanya

Ada yang sibuk membela madzhab pemikirannya

Ada yang sibuk membela 'agamanya'

Tapi tidak membela Tuhannya

'Agama' telah menjadi berhala

Dalam jiwanya

Rupanya dia lupa

Bahawa agama hanyalah 'jalan'

Untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya


Aku terbelenggu dalam fikiran, betapa bertuahnya Melayu mendapat Islam, namun bertuahkah Islam mendapat Melayu?


Mahsyar akan menuntut jawapan kepada persoalan itu…


Hasrizal @ www.saifulislam

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (30) Pelawat

 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on January 02, 2014 01:21

December 31, 2013

Selamat Datang Tahun 2014, Tahun Melunaskan Perjuangan

2013-1


2013-2


2013-3


Tahun 2013 adalah tahun pengalaman.


Semoga tahun 2014 menjadi tahun pencapaian. Melunaskan pengajian Sarjana saya yang sudah lama tertangguh.


“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran” [Al-'Asr 103: 1-3]

Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (26) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 31, 2013 20:36

December 27, 2013

Budaya Memberi Masyarakat Turki: Institusi Waqaf

mts


Foto ihsan MTSPIBG


Di dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih, banyak saya nukilkan pengalaman menerima layanan sebagai tetamu di Turki.


Layanan yang menambat hati, dan mengundang saya hadir berulang-ulang kali.


Layanan yang menjadi asbab untuk ramai orang Eropah mendapat hidayah daripada Allah, seperti yang kemudiannya saya coretkan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.


Keramahan dan kesungguhan masyarakat Turki melayan tetamu ada sejarah yang panjang. Budaya philanthropic yang menjadikan mereka suka memberi.


Berani memberi.


Pemberian bukan sekadar kepada tetamu secara individu. Sebaliknya budaya yang dijelmakan dalam bentuk pelbagai institusi, terutamanya institusi WAQAF.


Rabu 25 Disember 2013 baru-baru ini, saya menerima jemputan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) untuk menjayakan program Hi-Tea berbentuk fundraising. Tujuannya adalah untuk mengumpul dana menambah baik prasarana sekolah tahfiz berasaskan sistem Turki yang dijayakan oleh guru-guru al-Quran Turki yang menisbahkan diri mereka kepada al-Marhum Sheikh Suleyman Hilmi Tunahan.


Saya diminta mengupas tentang budaya memberi oleh masyarakat Turki, yang menjadi kekuatan maknawi di sebalik kejayaan institusi waqaf mereka. Bukan hanya pada masa ini, malah di era Uthmaniyyah, juga era Seljuk sebelumnya. Ada beberapa dokumen yang sempat saya semak, terutamanya artikel ilmiah oleh Prof. Dr. Bahaeddin Yediyıldız daripada Hacettepe University di Ankara.



Muat turun salinan pembentangan di  http://www.mediafire.com/view/wyepoycswb86cfi/Turki%20dan%20Budaya%20Memberi(3).pdf


Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (41) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2013 07:58

December 18, 2013

PMR dan SPM: Sebuah Persinggahan Kehidupan

wws


“Ini kumpulan paling teruk dalam sejarah sekolah. Semua D dan E” kata cikgu.


Saya teruja.


Jika B atau C, itu kerja cikgu akademik. Tetapi jika D dan E, ini pemberontakan. Mesti ada sesuatu yang menarik.


Saya hadir. Cikgu minta mahu menyertai kursus. Saya tidak benarkan. Hanya saya bersama ‘pelajar bermasalah’ berkenaan.


Selepas berjaya meyakinkan mereka bahawa saya bukan orang upahan sekolah, perbualan jadi makin menarik.


Ringkasannya, saya bertanya kepada setiap seorang, apakah visi dan misi mereka berkaitan dengan PMR. Antara jawapan yang saya terima:


“Saya mahu buktikan dalam PMR ini bahawa tidak lulus PMR tidak semestinya bodoh!”


Wah!


“Maknanya, kalau PMR straight A’s, tak semestinya pandai, betul tak?” saya tanya semula.


“Betul! Betul! Saya suka ustaz ini!” kata pelajar berkenaan.


“Saya tak nak score tinggi-tinggi. Biar cukup-cukup sahaja untuk masuk sekolah ***. Sekolah ini tak best. Tak ada ragbi. Saya minat ragbi!” kata seorang lagi.


“Kerajaan sudah hendak mansuhkan PMR, ustaz. Maknanya PMR ini tidak penting. Saya tidak mahu korbankan usia muda saya untuk benda yang tidak penting. Masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali!” hujah seorang lagi.


Ada sekitar 20 set jawapan yang saya terima daripada mereka. Kesimpulan saya, mereka tidak bodoh. Kepandaian mereka tidak dapat ditampung dan diuruskan oleh sistem yang ada.


DENGAR DAN FAHAM SEBELUM MINTA DIDENGAR DAN DIFAHAMI


Sebagai da’i (dalam kursus itu saya digelar ‘motivator’), tugas saya adalah untuk mendengar terlebih dahulu, cuba memahami, dan membina kepercayaan terlebih dahulu sebelum mereka boleh mendengar saya, memahami, dan sudi mempertimbangkan saranan saya.


Sudah tentu, saya tidaklah bermaksud yang peperiksaan PMR atau SPM itu langsung tidak berguna dan pelajar berkenaan 100% betul pada sikap mereka. Sebaliknya peperiksaan itu boleh jadi berguna apabila diletakkan pada konteks yang betul dan berpada.


“PMR, walaupun tanpa ia kamu tetap boleh meneruskan hidup dan mencapai impian kamu tanpanya, sebab hanya di Malaysia ada PMR, tetapi ada sesuatu pada semua orang di dunia, apabila mereka mahu berjaya. Kamu rasa apa dia?” saya bertanya.


“Doa ibu bapa” jawab seorang.


“Solat” jawab seorang lagi.


Dan ada beberapa jawapan yang mereka kongsi.


kejayaan


kredit foto merdeka-online.com


DISIPLIN


“Betul belaka jawapan itu. Namun yang saya nak tekankan di sini ialah, untuk berjaya, kamu perlukan DISIPLIN” saya menyambung pengisian.


Mendengar perkataan ‘disiplin’, ada peserta sudah berubah muka. Ustaz ini nak bancuh kita barangkali.


“Disiplin yang saya maksudkan ialah, kamu bersabar dengan benda-benda yang kamu tak suka, supaya nanti kamu dapat apa yang kamu suka. Keputusan PMR bukan penentu hidup kamu, tetapi PMR yang kamu tak suka ini, jika bersabar menempuhnya, sabar itu memberi kejayaan lumayan di dunia dan di akhirat”


“Keputusan peperiksaan kamu akan ditelan masa dan dilupakan. Namun pengalaman bersabar dan berusaha, yakni disiplin, kekal sepanjang hayat. Bolehkah berjaya dalam hidup kalau tak lulus PMR dan SPM? Boleh, jika selepas berusaha, kamu masih gagal kerana faktor-faktor yang pelbagai. Tetapi kamu akan gagal dunia dan akhirat, andai kegagalan kamu dalam peperiksaan adalah susulan sikap malas, tidak berdisiplin, semua nak cepat, enggan berusaha” saya merumuskan perbincangan, sebelum masuk ke sesi melakar perancangan untuk mencapai impian masing-masing.


Peperiksaan hanya salah satu. Namun perjalanan, hanya ada satu.


KISAH KUMPULAN PELAJAR BERPOTENSI


Itu kisah semasa saya bertemu kumpulan pelajar ‘bermasalah’. Berbeza pula dengan pengalaman saya semasa bertemu dengan pelajar ‘berpotensi.


“Saya harap ustaz dapat beri motivasi kepada ibu bapa calon PMR dan SPM kita agar mereka boleh tekankan lebih sedikit kepada anak-anak mereka”


Ibu bapa dari seluruh pelusuk negeri dikumpul di sekolah, sekolah asrama. Ibu bapa datang dari jauh, untuk pastikan dapat ‘menekan’ anak-anak menduduki peperiksaan. Ia perkataan yang dipakai oleh guru.


Guru bentang statistik perbandingan keputusan PMR dan SPM tahun-tahun lalu, dan merumuskan “harap kamu tidak menghampakan sekolah tahun ini”


“Ini pelajar terbaik peperiksaan percubaan tahun ini. Walaupun beliau pendiam dan jarang bersuara atau bertanya di dalam kelas, apa sahaja yang cikgu ajar, dia faham dengan begitu baik. Contohilah dia” kata pengerusi majlis selepas mempelawa pelajar berkenaan naik ke pentas.


Beliau berjalan lesu. Bahu jatuh, tengok lantai.


“Calon-calon PRM dan SPM sila naik ke atas pentas untuk upacara ikrar, tanda memberi sepenuh diri kepada peperiksaan” pelawa guru.


Bagaimanakah saya hendak berceramah di dalam setting yang saya bantah? Wajah pelajar yang masam mencuka itu sudah sedia merimaskan saya untuk memulakan ceramah.


srp



Biodata penceramah: Saya menjadi pelajar pertama di dalam sejarah sekolah, dan satu-satunya pelajar pada masa itu, mendapat 8A1 di dalam SRP 1990. Pengalaman itu diharapkan boleh menjadi bekal untuk saya ‘boost’ calon PMR, juga SPM mendapat keputusan sebegitu. Itu harapannya.


Namun semua ritual itu tiada pada masa tersebut. Kami sesama pelajar belajar dengan bimbingan guru yang melebihkan sedikit kelas menjelang bulan akhir peperiksaan. Saya juga tidak mensasarkan keputusan tertentu. Hanya berusaha membuat yang terbaik. Ceramah motivasi pun tiada. Hanya nasihat ikhlas guru-guru yang kepuasannya ialah selesai mengajar kami.


Apabila keputusan keluar, saya ambil keputusan peperiksaan di tingkap kerani sekolah sahaja. Tiada banner gilang gemilang, tiada surat khabar, hanya salam-salam persahabatan dengan rakan-rakan, tahniah para guru semasa saya lalu di hadapan bilik guru, bawa keputusan balik rumah, ibu bapa senyum, kata Alhamdulillah, dan hidup diteruskan seperti biasa. Dan selepas SRP, ada banyak lagi peperiksaan lain.


Manakala saya yang dapat 8A1 pada tahun 1990 itu, pada hari ini bukanlah insan paling berjaya di kalangan rakan-rakan saya, 23 tahun selepas ia berlalu.


Saya merayu kepada ibu bapa, jangan hina anak-anak anda dengan muka kecewa, apabila anak anda gagal mendapat keputusan idaman anda. Jika ibu bapa gagal menjadi benteng terakhir anak menyelamatkan diri daripada kegilaan peperiksaan di sekolah, memang wajar anak-anak melebihkan kawan-kawan berbanding ibu bapa mereka sendiri.


Semasa saya ke hadapan pelajar, pesan saya satu sahaja, iaitu pesanan saya kepada diri saya sendiri semasa menduduki SRP lebih 20 tahun lalu, “jadikan PMR dan SPM ini cita-cita kamu, bukan cita-cita ibu bapa atau guru atau pegawai pendidikan daerah atau negeri, atau menteri. Kamu bukan pekerja untuk menghasilkan A di dalam industri pendidikan”


Rahmati kami ya Allah. Kasihanilah anak-anak kami.


Tahniah kepada semua pelajar PMR yang mendapat keputusan peperiksaan kalian baru-baru ini. Apa sahaja keputusannya, kalian wajib lebih pintar dari PMR. Jangan biarkan PMR membataskan potensi semua.


Kejayaan adalah sebuah perjalanan, bukan destinasi.


P/s: saya sudah tidak lagi mengendalikan kursus-kursus motivasi, termasuk untuk pelajar sekolah. Andai ada tips berguna di dalam catatan ini, saya berterima kasih jika ibu bapa, guru, penceramah atau sesiapa sahaja memanfaatkannya dalam interaksi masing-masing bersama anak-anak kita.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (28) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 18, 2013 22:04

December 6, 2013

Memanjangkan Usia Dengan Kualiti, Bukan Kuantiti

ahmadammar-grave


Pusara Ahmad Ammar di Eyüp, sebulan selepas pemergiannya [foto ihsan sahabat kami Muhd Saifuddin Shaharuddin di Istanbul]


PERJALANAN MASA


Sudah sebulan Ahmad Ammar pergi meninggalkan kita.


Pelik juga rasanya. Dalam keadaan biasa, saya sering rasa masa berjalan begitu pantas. Tetapi ada masanya saya rasa masa berjalan begitu perlahan. Pemergian Ammar adakalanya saya rasa seperti sudah sangat lama ia terjadi. Sepertinya saya mengenang seseorang yang telah berkurun pergi. Walhal baru sebulan ia berlaku. Tanah kubur masih merah, seperti ungkapan orang tua-tua kita.


Rasa lama itu terjadi kerana jarak kejadian dan detik kita mengenang, tepu dengan pelbagai perkara yang signifikan. Begitu banyak kejadian, banyak catatan, banyak interaksi, yang dalam keadaan biasa semua itu memerlukan masa yang panjang untuk ia berlaku. Tetapi untuk pemergian Ammar, segalanya terjadi dalam tempoh hanya sebulan.


Itulah nilai keberkatan masa.


Apabila kita berdoa semoga Allah panjangkan umur kita, ulama’ berselisih pendapat mengenainya. Bisakan umur dipanjang pendek ketika ajal sudah ditentukan oleh-Nya? Kita berpolemik kerana kita tersangka bahawa Allah memanjang dan memendekkan umur secara kuantitatif. Secara menambah bilangan tahun, bulan, minggu, hari, jam dan saat.


Hakikatnya panjang umur itu terjadi secara kualitatif.


20 tahun penuh berisi dengan kegiatan yang bermanfaat, menjadi begitu panjang tempohnya berbanding 20 tahun yang kosong dan sia-sia. Dan kita sering mengeluh masa bergerak terlalu pantas, bukan kerana masa itu pantas, tetapi masa kita kosong dari manfaat dan perkara-perkara yang bermakna.


20 tahun usia Ammar dan sebulan tempoh pemergiannya, semuanya jadi panjang belaka. Panjang kerana kualitinya. Panjang yang perlu kita teladani bersama.


Ia mengingatkan saya kepada ulama terkemuka di dalam sejarah Islam seperti Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf al-Nawawi atau lebih dikenali sebagai Imam Nawawi. Beliau hidup di antara tahun 1233 dan 1277. Meninggal dunia pada usia 40′an.


Demikian juga dengan tokoh yang saya kaji iaitu Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau lebih dikenali sebagai Imam Birgivi. Beliau dilahirkan pada tahun 1523 dan meninggal dunia pada tahun 1573. Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 50 tahun.


Namun tokoh-tokoh ini, kematian tidak mematikan mereka. Mereka hidup kerana legasi yang mereka tinggalkan terus menghidupkan generasi demi generasi dengan cahaya ilmu. Akhirnya, biar pun mereka meninggal dunia pada usia yang muda, mereka hanya meninggalkan dunia ini, berpindah ke alam yang seterusnya.


Jika dahulu mereka berkhidmat untuk ilmu. Kini ilmu berkhidmat untuk mereka.


Sesuatu yang kita cemburui. Sesuatu yang kita ada pilihan untuk sekadar cemburu, atau bertindak melakukan sesuatu.


TEMURAMAH BERSAMA KOSMO


Baru-baru ini wartawan KOSMO menerumah saya tentang Ammar, dan ia sudah pun tersiar di dalam KOSMO 3 Disember lalu.


Segan rasanya untuk temuramah bersama saya, digandingkan oleh Kosmo di sisi artikel penuh. Saya bukanlah insan yang paling mengenali Ammar. Saya juga mempunyai kenangan yang terlalu sedikit bersama Ammar, jika dibandingkan dengan sahabat-sahabatnya yang lain, apatah lagi ahli keluarga al-Marhum.


Semoga apa yang saya kongsikan, yang diolah dengan baik oleh wartawan Kosmo, saudara Syafiq, menjadi hasanah buat kita semua.


ahmadammar-kosmo-1


Sebenarnya saya amat berat hati untuk banyak berbicara tentang Ammar. Ammar sendiri adalah orang yang bukan banyak berbicara. Beliau orang beramal, Orang bekerja. Pemergian Ammar bukan untuk disambut hanya dengan kata-kata, tetapi mesti mencetuskan amal. Terima kasih kepada beberapa orang anak muda yang menyambut fenomena #letsfollowammar dengan perancangan masa depan yang sebenar-benarnya memberi makna kepada pemergian Ammar.


Mengidolakan Ammar, mungkin bukan apa yang Ammar sendiri mahu. Beliau tidak mencari itu.


Mencontohi Ammar, itulah yang sebaiknya. Dan mencontohi Ammar, adalah dengan tindakan. Dengan perbuatan. Buatlah sesuatu, untuk agamamu, untuk ummatmu.


Adinda Ammar, kami sentiasa merinduimu…


HASRIZAL @ www.saifulislam.com

43000 BSP



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (6) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2013 22:51

Risalah al-Nur: Teladan Sebuah Basmalah

Sahrawi men walk in the desert after a c


Ibrah di sebuah padang pasir (kredit foto www.majalla.com)


UTUSAN PERTAMA


“Serahkan semua harta kamu!” arah ketua kumpulan perompak.


“Berani kamu mahu merompak aku? Kamu tahu aku siapa?” tanya si utusan raja.


“Siapa kamu?” tanya ketua kumpulan perompak berkenaan.


Kawan-kawannya juga ketawa. Lucu dengan keyakinan mangsa mereka itu.


“Aku adalah utusan Raja Fulan bin Fulan. Aku sedang melakukan kerja yang diperintahkan olehnya. Engkau tahu siap dia, bukan?” tegas si utusan raja.


Mendengar akan nama Raja Fulan bin Fulan itu, ketua perompak dan rakan-rakannya jadi kecut. Mereka tahu benar akan kekuatan sang Raja. Hajat mahu memangsakan si utusan, mahu sahaja nanti tindakan mereka dibalas oleh Raja dengan serangan. Musnah habis segala-galanya.


Utusan raja terselamat.


Beliau dilepaskan.


UTUSAN KEDUA


Berbeza kisahnya dengan utusan raja yang kedua.


“Serahkan semua harta kamu!” arah ketua lanun.


“Berani kamu mahu merompak aku? Kamu tahu aku siapa?” tanya si utusan raja.


“Siapa kamu?” tanya ketua kumpulan lanun berkenaan.


Kawan-kawannya ketawa besar. Tidak pernah berjumpa dengan mangsa seberani ini.


“Aku adalah Fulan bin Fulan. Juara tempur 10 tahun berturut-turut. Tiada juara yang berdiri di hadapanku melainkan aku tundukkan ia!” tegas si utusan.


“Arghh. Kami peduli apa. Serahkan harta kamu!” bentak ketua lanun berkenaan.


Mereka bertempur dan akhirnya utusan raja tumpas. Dibunuh dan hartanya dirompak.


FADHILAT BASMALAH


Itulah bentuk analogi yang dikemukakan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi di dalam al-Kalimāt, salah satu kitab di dalam siri Risalah al-Nur beliau. Beliau menjelaskan tentang kepentingan BASMALAH yakni lafaz Bismillāh al-Rahmān al-Rahīm pada mengiringi amal perbuatan harian kita. Ia diumpamakan seperti utusan ketua kabilah yang menyeberang padang pasir. Pelbagai ujian, ancaman dan dugaan dari musuh yang pelbagai, harus dihadapi oleh utusan tersebut.


Sesungguhnya kitalah utusan itu.


Dan dunia ini adalah padang pasir yang luas terbentang.


Hamba yang merendah diri, memuliakan ketuanya, mengiringi setiap lakunya dengan nama ketua, akan beroleh perlindungan dengan kebesaran nama ketuanya itu. Berbeza dengan utusan yang hanya melihat kebesaran pada dirinya. Lupa akan hakikat dirinya sebagai utusan. Meremehkan kedudukan ketuanya yang sepatutnya boleh berperanan melindunginya di dalam perjalanan. Beliau menempuh risiko demi risiko hanya untuk mempertahankan kebesaran diri.


Bagi mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan nama Allah, dia melakukannya dengan kualiti tertinggi. Dia melakukannya dengan prinsip yang tinggi. Dia melaksanakannya dengan penghormatan yang tinggi. Kerana dia membawa nama Tuhannya.


كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدأُ فيه ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيمِ ، وبالحمدُ للهِ ، أو بحمدِ اللهِ أو بذِكرِ اللهِ ، فهو أجذَمُ أو أقطَعُ أو أبتَرُ


“Setiap urusan yang penting namun tidak dimulakan dengan Bismillāh al-Rahmān al-Rahīm dan memuji Allah dan menyebut serta mengingatinya maka ia terputus” [Hadith sahih riwayat Ibn Daqiq al-'Aid]

Sudah lama kita menggunakan sampul surat rasmi bertulis “Urusan Seri Paduka Baginda”.


HASRIZAL @ www.saifulislam.com

43000 BSP



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (21) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 06, 2013 19:28

December 5, 2013

Lembah Bujang: Tinggalan Sejarah Merentas Agama

ancient_indian


Antara subjek paling susah yang saya pernah belajar ialah Ancient Indian Civilization yang diajar oleh Assc Prof Dr Arshad Islam. Subjek itu sangat susah bagi saya kerana ia merupakan maklumat yang hampir 100% baru buat saya. Dalam masa yang sama Prof mengajar secara ‘old school‘ yang mana sebelum kami dibawa ke peringkat analisis, kami perlu sangat banyak menghafal. Peraturan nahu kitab Veda pun dipaksanya kami hafal.


Mengkaji Tamadun Indus awal, kami meneroka bersama data-data arkeologi dari Lembah Zhob di utara Baluchistan. Kami juga dikehendaki memahami tablet tembaga Mohenjo-daro hinggalah kepada menganalisis pengaruh Trio, Asvaghosa, Nagarjuna dan Aryadeva ke atas seni Gandharan.


Kajian-kajian di dalam subjek ini memahamkan kepada saya bagaimana perkembangan yang berlaku kepada agama Hindu, reformasi Buddha dan tajuk ‘assignment‘ akhir saya ialah “menganalisis kemasukan konotasi agama ke dalam sistem kasta pasca kedatangan kaum Aryan”.


Sejujurnya, banyak fakta yang saya sudah tidak ingat, namun subjek yang sangat perit ini banyak memberi pengetahuan kepada saya tentang perkembangan tamadun manusia di Benua India, yang merebak ke kawasan Teluk seperti Bahrain, hinggalah ke Lembah Bujang dan Borobudur.


Saya berkongsi cerita ini kerana tertampar oleh keangkuhan ahli politik, dan orang ramai yang merumuskan kemusnahan Candi 11 di Lembah Bujang sebagai remeh dan ia sekadar tinggalan HINDU.


al-biruni


Al-Biruni (kredit foto: wikipedia)


AL-BIRUNI DAN TAMADUN INDIA


Mungkin kita terlupa atau tidak pernah tahu tentang Abū al-Rayhān Muhammad ibn Ahmad al-Bīrūnī. Beliau yang dikenali sebagai Alberonius atau Al-Biruni meninggal dunia pada 13 Disember 1048 di Ghazni.


Para pengkaji dalam bidang sejarah dan ketamadunan seperti Francis Robinson berpendapat bahawa al-Biruni yang merupakan seorang ulama Islam dan saintis terkenal, adalah pengasas kepada bidang INDOLOGY iaitu bidang yang mengkaji sejarah dan tamadun benua India. Al-Biruni menghasilkan kitab “Tarikh Al-Hind” (History of India) melalui sedekad keberadaan beliau di India di tengah-tengah masyarakat beragama Hindu.


Al-Biruni juga memberikan kepada kepada satu sampel kaedah penyelidikan yang  adil. Kerana itu beliau juga dianggap sebagai pelopor kepada bidang anthropologi. Al-Biruni tidak bias dalam menilai malah menganalisis dapatannya untuk menjelaskan mengapakah kaum Hindu sangat bermusuh dengan umat Islam. Al-Biruni juga akhirnya disenangi oleh pemuka-pemuka tempatan yang melihat beliau sebagai seorang ‘orang luar’ yang jujur dalam mencari ilmu pengetahuan.


Sikap menjaga amanah ilmu beliau disebut:


I shall not produce the arguments of our antagonists in order to refute such of them, as I believe to be in the wrong. My book is nothing but a simple historic record of facts. I shall place before the reader the theories of the Hindus exactly as they are, and I shall mention in connection with them similar theories of the Greeks in order to show the relationship existing between them.(1910, Vol. 1, p. 7;1958, p. 5)


Al-Biruni juga menghasilkan sebuah kitab yang mengkaji pemikiran kaum Hindu. Kitab itu dikenali sebagai تحقيق ما للهند من مقولة معقولة في العقل أم مرذولة atau “Critical Study of what India Says, Whether Accepted by Reason or Refused“, yang juga lebih dikenali sebagai Indica.


KEPENTINGAN ILMU MERENTAS AGAMA DAN BANGSA


Sangat tidak wajar untuk kita berkata, “ah, itu tinggalan Hindu”, “itu benda syirik” apatah lagi kita sedang membangunkan sebuah negara yang penduduknya berbilang bangsa dan agama. Aqidah adalah urusan kita sesama umat Islam dan Aqidah Islam mempunyai pandangannya terhadap kepercayaan-kepercayaan yang lain. Agama-agama yang lain juga mempunyai ulasan dan kritikan mereka terhadap kepercayaan kita sebagai umat Islam.


Tetapi aspek ketamadunan, pengalaman manusia dalam membina kehidupan, ia merentas bangsa dan agama. Kita mengkaji segala-galanya. Dan pemusnahan Candi 11 itu mestilah menjadi tragedi terakhir di negara kita, manakala sumber-sumber sejarah yang lain di Lenggong, di Beruas dan lain-lain mestilah dipelihara untuk ilmu.


Dan kerajaan yang bijak, akan memanfaatkan ia untuk tujuan pelancongan yang berfaedah.


birgi


Semasa melakukan projek mendokumentasikan pekan Birgi Februari 2013 yang lalu


Kerajaan Turki memelihara bandar Birgi di Ödemiş Izmir, serta diwartakan seluruh wilayahnya sebagai World Heritage Centre oleh UNESCO pada tahun 2012, tanpa sedikit pun menjejaskan kepentingan pendudukan seperti yang dihujahkan secara dangkal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, malah yang dirisaukan adalah kehilangan satu Dewan Undangan Negeri, jika kawasan Lembah Bujang digazetkan!


lembahbujang011


Khuatir sekali, apa sahaja isu yang timbul di Malaysia, ahli politik akan menyempitkan isu tersebut kepada sentimen parti, bangsa, dan agama. Mangsa sebenarnya adalah ilmu, akademik dan pembodohan jangka panjang masyarakat.


Ya, ia memang sebuah ujian.


Ujian yang menguji sistem nilai kerajaan dan keupayaan mereka mengekalkan khazanah dunia bersama pemeliharaan kepentingan penduduk tempatan. Jika tidak tahu, pergi ke luar negara dan belajar daripada yang tahu.


Ironi sekali pada tahun 2013, kerajaan memutuskan untuk menjadi subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus, pada tahun yang sama Lembah Bujang dimusnahkan untuk projek perumahan.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (18) Pelawat

1 like ·   •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on December 05, 2013 04:50

December 4, 2013

Arkeologi Membantu Memahami Sunnatullah

Ziggurat


Ziggurat, Ur (kredit foto: bucks.instructure.com)


Manusia mengulangi proses yang sama untuk membina atau meruntuhkan kehidupannya. Ia dikaji dalam ilmu ketamadunan. Sebab-sebab manusia dan tamadunnya berkembang adalah sama. Sebab-sebab manusia dan tamadunnya merosot malah menemui ajal juga sama.


Untuk memahami proses jatuh bangun manusia ini, kita memerlukan banyak sampel. Kebanyakan sampel itu terlalu tua untuk ditemui catatan mengenainya dalam bentuk tulisan di dalam buku. Sampel itu dikenali melalui penemuan bahan galian arkeologi.


Apabila sebuah kota ditemui, seperti kota Ur di Iraq, bentuknya geometrik agak sekata. Bahan-bahan yang ditemui dalam penggaliannya, memberikan corak tertentu. Ada barang mewah ditemui dalam struktur rumah dan ada barang biasa ditemui di rumah sebelah.


Ini menjelaskan kepada pengkaji sejarah bahawa rumah orang kaya dan rumah orang kebanyakan adalah berjiran. Corak ini tidak ditemui dalam penggalian kota lama lain seperti Petra. Barang mewah di lokasi tinggi di atas bukit, manakala barang murah ditemui di lokasi berasingan. Ertinya orang kaya tinggal di lokasi berasingan berbanding orang miskin.


Kota Ur itu menampakkan adanya kerjasama yang baik antara orang kaya dan orang miskin. Mereka hidup bersama. Mereka hidup berjiran. Kerjasama terhasil apabila manusia menikmati rasa sama rata. Tiada upaya menimbulkan rasa sama rata dalam komuniti berkasta. Ia hanya tercetus dalam dominasi agama yang luhur. Manusia semua sama, di hadapan Tuhan. Agama kuat di kota Ur. Ia dibuktikan oleh Ziggurat, rumah ibadah yang menjadi paksi kepada kota Ur.


Kota Ur ini digali dan dikaji sekitar tahun1853 dan 1854 oleh John George Taylor, British vice consul di Basra.


Hasil penemuan didokumentasi.


Ia boleh dimanfaatkan oleh semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.


Sebagai Muslim, kita juga mempunyai maklumat tentang kaum terdahulu menerusi Wahyu. Kita kenal Nabi Nuh AS dan banjir besar di zamannya.


Di bandar Ur itukah Nuh berada?


Jawapan itu tidaklah begitu penting.


Yang penting kita memahami corak bahawa apabila manusia kuat agama tauhidic, maka manusia sama rata, bekerjasama, dan tamadunnya makmur. Apabila manusia hamba memperhambakan, manusia tidak bekerjasama, tamadunnya jatuh. Arnold Toynbee mengkaji hal ini dalam karya gergasinya A STUDY OF HISTORY. Nicholas Hagger juga mengkaji tamadun-tamadun yang panjang ini di dalam karyanya THE LIGHT OF CIVILIZATION.



Terkini, kajian di Göbekli Tepe di Turki sangat penting untuk menjawab soalan, manusia ini asalnya primitif atau bertamadun. Tamadun dulu baru agama (agama dicipta manusia) atau agama dulu baru tamadun…


Firman Allah SWT:


 


قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). [Al Imran 3: 137]

 


Meneliti umat-umat terdahulu mustahil terjadi dengan mata kasar tanpa ilmu, gurunya mustahil pemandu pelancong yang memetik apa sahaja cerita yang mencelikkan mata penumpang bas persiaran. Ada ilmu yang diperlukan untuk meneliti umat terdahulu. Ada ilmu yang mesti disuburkan untuk menjadikan umat Islam celik dan bukan sekadar beretorik.


Berilah sokongan kepada bidang arkeologi, sejarah, sains, dan pengajian Islam untuk bidang-bidang ini bersinergi membongkar Sunnatullah yang boleh membantu kita menjawab soalan:


“Ke Arah Manakah Tamadun 2013 Sedang Menuju?”


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (6) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 04, 2013 05:01

December 3, 2013

Fikiran Malang Merobohkan Lembah Bujang

lembahbujang02


 Sebahagian binaan Candi 11 di Lembah Bujang yang musnah (kredit foto: The Malaysian Insider oleh Hasnoor, 4 Disember 2013)


Bukanlah tugas saya asalnya, untuk menjelaskan tentang kepentingan ilmu arkeologi. Ia bukan bidang saya dan bidang itu ada pakar-pakarnya yang tersendiri. Cuma saya berasa amat sedih membaca komen-komen yang dikongsi, yang menampakkan kejahilan (izinkan saya menggunakan perkataan ini) si penulis komen, dan kejahilannya disertakan bersama dengan sifat sombong kerana enggan bertanya tetapi rakus membuat kesimpulan-kesimpulan yang jengkel.


Orang Melayu merumuskan ia sebagai sikap BODOH SOMBONG.


Ada yang kata Candi itu tempat manusia mensyirikkan Allah, apa pentingnya Lembah Bujang itu, robohkan sahaja semuanya dan mana-mana yang penting simpan di muzium, dan pelbagai lagi telahan yang tidak menghormati ilmu pengetahuan. Mereka melihat dengan mata kasar, sedangkan Allah memberi ra’a, nazara dan basara untuk kita memerhati dengan mata kasar, dengan akal, dan dengan hati serta iman. Bukan hanya memandang apa yang terlintas di depan mata, tanpa keinginan memahami mesej-mesej di sebaliknya.


LENGGONG


Kita ke Lenggong seketika.



Di Bukit Bunuh, Lenggong Perak, para arkeologis tempatan telah menemui sebilah kapak, dan setelah dianalisa di sebuah makmal di Jepun, kapak itu dikenal pasti berusia 1.83 juta tahun! Ia adalah kapak buatan tangan manusia yang tertua di dunia. Penemuan ini penting untuk membina pemahaman kita tentang sejarah tamadun manusia. Penemuan-penemuan lain diperlukan untuk mencantumkan kefahaman seperti kepingan puzzle untuk memahami siapa yang tinggal di Lenggong pada masa itu.


Bagi kita umat Islam, pelbagai lagi persoalan timbul.


Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?


Alim ulama dahulu meneroka persoalan ini.


Kita boleh melihat perbahasan al-Tabari, al-Masoudi, walaupun tanpa makmal dan sains arkeologi untuk menyokong proses mereka mencari jawapan.


Atau apakah pembuat kapak di Lenggong itu adalah manusia yang hidup di zaman sebelum Adam kita, iaitu zaman yang telah sempurna keseluruhan perjalanan mereka, dikiamatkan dengan hentaman meteorit dan bermula satu pusingan Adam seterusnya?


Persoalan-persoalan ini adalah penting untuk memahami di mana agama, sains, teknologi, dan kita dalam apa yang dinamakan sebagai kehidupan ini.


Kecualilah jika kita tidak kisah dengan semua itu sebab yang penting cukup makan minum.


Iaitu falsafah lembu dan kambing semasa keluar kandang setiap pagi.


Lembukah kita?


Kambingkah kita?


Jika kita manusia, kita khalifah dan tugas kita adalah untuk memahami kehidupan ini dan mengaturnya menurut kehendak Sang Pencipta.


Bacaan lanjut, jenguk-jenguk artikel lama saya di http://saifulislam.com/2013/07/adam-adam-sebelum-adam/


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 03, 2013 15:22

November 28, 2013

Sheikh Yasin Daradukah Dalam Kenangan

shariah-uoj


Fakulti Shariah, University of Jordan, Amman


“Sheikhuna, kenal tu?” tanya Wan Najmuddin.


“Yang mana?” saya menoleh ke arah yang ditunjukkan.


Seorang alim berjubah putih berjalan ke arah kami menuju ke pintu utama kampus.


“Siapa itu ya?” saya inginkan kepastian.


“Itulah Sheikh Yasin Daradukah yang ana sebut semalam” jelas sahabat saya itu.


Jantung berdegup kencang. Entah mengapa, seperti ada aura yang mendebarkan. Hendak bertentang mata pun rasa tidak sanggup. Apabila kami menghampiri beliau, kami memberi salam, “Assalamualaikum”


“Waalaikum al-Salam wa Rahmatullah wa Barakatuh” beliau menjawab.


Saya menoleh ke belakang, melihat kelibat Profesor Dr. Yasin Ahmad Ibrahim Daradukah pergi.


Beliau pernah menjadi Dean Fakulti Shariah, University of Jordan antara 1991-1993. Sebelum jawatan itu diambil alih oleh Profesor Mahmood Ali Muslih Al-Sartawi. Di University of Jordan memang ada ramai alim ulama’ yang hebat. Maklum sahaja, ia universiti utama negara, di ibu kota. Sesuatu yang jauh di sudut hati, menyebabkan saya rasa terkilan tidak berpeluang belajar di universiti berkenaan. Terkilan yang menyebabkan hampir setiap minggu saya akan turun ke Amman.


Namun dalam ramainya alim ulama di kampus berkenaan, Sheikh Yasin Daradukah sentiasa lekat di minda saya atas sebab yang sangat khusus. Walaupun beliau merupakan tokoh paling pakar dalam disiplin ilmu pewarisan harta dan muamalat secara umumnya, namun apa yang sentiasa saya kenang tentang beliau adalah usaha luar biasanya terhadap manuskrip sebuah kitab lama.


PROSES TAHQIQ


Sheikh Yasin Daradukah telah menjalankan proses tahqiq ke atas manuskrip kitab  Hulyah al-’Ulamā’ fī Ma’rifah Madzāhib al-Fuqahā’ oleh al-Imām al-Shāshī al-Qaffāl (meninggal dunia 25 Shawwal 507H). Kitab  Hulyah al-’Ulamā’ ini merupakan kitab induk yang sangat penting di dalam Fiqh Mazhab Shafie, serta disiplin perbandingan Mazhab. Ia juga merupakan rujukan utama al-Imam al-Nawawi dalam menghasilkan karya gergasinya, Kitab al-Majmu’, syarah kepada Kitab al-Muhazzab oleh al-Imam al-Shirazi.


1476105_332683076871610_113612567_n


Rupa naskhah manuskrip yang diedit oleh Sheikh Yasin Daradukah


Tahqiq kitab  Hulyah al-’Ulamā’ ini membabitkan proses menyalin kembali teks kitab berkenaan daripada manuskrip dengan membandingkan beberapa naskhah, menganalisa teks berkenaan, melakukan penyusunan dan takhrij kepada hadith-hadith serta pendapat yang dipetik oleh al-Qaffal di dalamnya, membuat pembetulan kepada kesilapan penyalinan antara naskhah-naskhah manuskrip tersebut serta membuat komentar di bahagian-bahagian yang perlu.


Proses ini tidak mudah.


Sheikh Yasin Daradukah memberikan dedikasi tertinggi kepada usaha ini, apabila beliau meluangkan masa sekitar 10 jam sehari selama 13 tahun untuk menyelesaikannya!


Beliau memberi seluruh hidupnya.


Dengan maksud, agar buku yang sangat penting ini, boleh dirujuk oleh generasi semasa.


Saya membeli naskhah buku ini, sungguh-sungguh kerana teruja dan menghargai usaha oleh Sheikh Yasin Daradukah, yang tiada tolok bandingnya ini.


1477386_332683040204947_1850157600_n


Naskhah Kitab Hulyah al-’Ulamā’ fī Ma’rifah Madzāhib al-Fuqahā’  yang saya miliki. Selepas diedit oleh Sheikh Yasin Daradukah, ia diterbitkan dalam 8 jilid


Antara kisah menarik yang pernah diceritakan oleh Sheikh Muhammad Abu Su’aylik adalah semasa Sheikh Yasin Daradukah mengajar subjek Fiqh Pewarisan Harta kepada pelajar-pelajar Fakulti Undang-undang. Sheikh Yasin Daradukah meminta pelajar-pelajar perempuan di dalam kelasnya bertudung. Akan tetapi sebahagian daripada mereka menjawab “kami bukan orang Islam. Maka bertudung tidak wajib ke atas kami!”


Mereka adalah pelajar perempuan Arab beragama Kristian.


Sheikh Yasin Daradukah pergi berjumpa dengan seorang paderi Kristian dan bertanya kepadanya, “adakah engkau membenarkan anak perempuanmu mendedahkan kepala (rambut) mereka?” Paderi itu menjawab, “aku tidak membenarkan yang demikian itu”


Di dalam kelas yang berikutnya, Sheikh Yasin Daradukah berkata di dalam kelas, “kamu juga wajib bertudung kerana aku sudah bertanya kepada paderi kamu tentang hal ini dan beliau menjawab bahawa menutup kepala itu juga wajib berdasarkan agama kamu!”


Semenjak itu, pelajar-pelajar perempuan Kristian di Fakulti Undang-undang itu bertudung dan tidak lagi mendedahkan kepala mereka selepas Sheikh Yasin menjustifikasikan permintaannya secara ilmiah dan amanah.


35_28


Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Fatir 35: 28]

Entah mengapa, tiba-tiba hati saya teringatkan beliau dan merinduinya, walaupun hanya sempat melihatnya sekali seumur hidup. Semoga Allah merahmati Profesor Dr. Yasin Ahmad Ibrahim Daradukah dan melimpahkan rahmat yang seluas-keluasnya ke atas beliau.


Semoga karya-karya Imam Birgivi yang sedang saya kaji ini juga, ada pihak berkepakaran yang boleh melakukan proses tahqiq ke atasnya, demi manfaat umat semasa.


Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Ulama pergi meninggalkan ilmu pengetahuan, untuk umat terus bernafas dalam Tauhid dan Sunnah Nabi Junjungan.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (22) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2013 23:47