Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 57
November 27, 2013
Mengapa Belajar Sejarah?
MENGAPA BELAJAR SEJARAH?
Ramai pelajar menghubungi saya bertanyakan soalan ini. Mereka berminat untuk menyambung pengajian di bidang sejarah. Tetapi mereka tidak dapat menerangkan kepada ibu bapa, mengapa mereka mahu memilih bidang ini, ketika mana bidang-bidang lain yang lebih ‘baik’ hadir sebagai pilihan.
Tidak mudah untuk ibu bapa menyetujui hasrat anak memilih bidang sejarah, ketika mana dia berpeluang belajar di bidang perubatan dan kejuruteraan. Anak-anak dan ibu bapa perlu berkongsi jiwa dan minda yang besar, mungkin juga di luar kotak, untuk melihat sejarah sebagai suatu bidang yang kritikal. Bidang yang diberikan penekanan oleh negara yang mahu bangkit daripada kesilapan semalam.
Tidak ramai di dalam masyarakat kita, ada anak muda seperti Ahmad Ammar yang beribu bapakan ibu bapanya yang berkongsi visi dan misi yang sama. Visi dan misi yang tidak mengendahkan universiti di Turki itu diiktiraf kerajaan Malaysia atau tidak, yang tidak mengendahkan habis belajar nanti apa kerjanya, yang tidak mengendahkan mampukah si anak itu nanti memberi duit bulanan pada usia emas mereka nanti, dan mungkin menghantar ibu bapa ke Mekah mengerjakan umrah.
Buat masa ini, anak-anak yang hendak belajar di bidang sejarah, mengalami kesulitan untuk meyakinkan ibu bapa. Malah untuk meyakinkan sekolah, guru dan dunianya. Ia memerlukan pelajar yang berani berdiri di atas kaki sendiri. Pelajar yang karakternya mengambil sisi-sisi positif seorang Hyperthymic.
Video ini menceritakan secara mudah tetapi mendalam, MENGAPA KITA BELAJAR SEJARAH:
1. AKAR
Ilmu kita adalah seperti pokok. Sejarah adalah akarnya. Kesihatan pokok banyak bergantung kepada kesihatan akar. Tanpa akar, pokok layu dan mati. Kerana mineral dan zat-zat penting yang diperlukan oleh pokok, dan seterusnya menghasilkan buah, tidak diserap kerana ketiadaan akar.
2. MEMAHAMI
Sejarah membantu kita lebih MEMAHAMI dunia tempat kita menumpang hidup ini. Memahami manusianya. Memahami KESAN tindak tanduknya.
3. SEBAB MUSABAB
Belajar SEJARAH melatih kita skil yang penting iaitu keupayaan untuk mengenal pasti cause and effect (sebab musabab) kepada satu situasi, menganalisanya dan menjadikannya sebagai panduan untuk tindak tanduk kita yang seterusnya. Perbuatan manusia tidak rawak (random). Ia mematuhi cause and effect (buat ini jadi ini buat itu jadi itu) dengan pemboleh ubah yang maha luas (ilmu Allah). Maka dengan mempelajari sejarah, kita boleh memahami ke arah manakah kita sedang bergerak pada satu-satu masa dengan berbekalkan sampel perlakuan yang sudah berlaku di dalam sejarah.
4. IDEOLOGI DAN IDEA
Belajar SEJARAH juga menjadikan kita lebih menghargai kepelbagaian pendapat dan perspektif oleh manusia yang sangat pelbagai dan rencam. Kita tidak melihat satu ideologi itu sebagai satu ideologi, sebaliknya ia berasal daripada idea-idea yang terbit daripada fikiran, perasaan, pemerhatian manusia terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Ia mengurangkan pergeseran yang tidak perlu antara ideologi kerana di akar umbinya, ideologi-ideologi itu mungkin bertemu dan berkongsi harapan di peringkat pengalaman manusia.
5. PEMIKIRAN KRITIS
Belajar SEJARAH juga mengukuhkan keupayaan kemahiran pemikiran kritis. Sejarah mencabar kita untuk berfikir di luar kotak, dan tidak secara literalis. Sejarah mencantumkan kepingan-kepingan puzzle berbentuk maklumat sejarah untuk melihat sesuatu daripada saiz mikro kepada gambaran makronya. Bermula daripada Revolusi Petani menentang Penjajah Inggeris di Terengganu, kita pergi kepada melihat polisi imperialis Eropah, kemudian menganalisis Revolusi Industri di sana, pergolakan politik, teori White Man’s Burden, Social Darwinist, Herbert Spencer, Charles Darwin, Teori Evolusi, Ibn Miskawayh, hinggalah kepada penciptaan Adam, Al-Quran dan Allah SWT.
6. MENILAI BAHAN BUKTI
Belajar Sejarah juga akan melatih kita untuk menilai bahan bukti. Sejarah bukan hanya meletakkan asas satu-satu benda mesti dibuktikan, bahan bukti itu juga perlu dinilai kekuatannya untuk diterima sebagai bahan bukti. Pertembungan fahaman begitu meruncing di dalam masyarakat, dan demi memenangkan kumpulan masing-masing golongan yang taksub mengutip apa sahaja maklumat yang ditemui, teruja dengan lamanya naskhah buku, kagum dengan penulis, yakin dengan muktabarnya kitab, mendedahkan diri kepada mencetuskan pertempuran berbekalkan sesuatu yang tidak HAQ dalam situasi sebenarnya. Naskhah buku perlu dianalisa, penulisnya perlu dikaji, kemuktabaran kitab perlu dihalusi, belajar SEJARAH memberikan ilmu yang perlu untuk melakukannya, demi KEBENARAN.
7. MENGAITKAN SEMALAM DAN HARI INI
Sejarah adalah TINGKAP untuk melihat semalam. Memahami semalam adalah kunci untuk memahami SEMASA. Mereka yang buta semalam, akan terjebak dalam bencana mengulangi (kesilapannya).
Seperti kata guru saya, ahli sejarah adalah hakim tanpa mahkamah.
Beliau berdiri di pinggir masa, memisahkan diri daripada terikat dengan kewujudan semasa, dan melihat untuk memahami dalam keterbatasannya sebagai makhluk, ketika mana ciptaan Allah yang sangat agung itu adalah MASA.
Demi MASA, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian yang nyata. Kecuali yang beriman dan beramal soleh. Berpesan-pesan dengan kebenaran. Berpesan-pesan dengan kesabaran. [Al-'Asr 103: 1-3]
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (38) Pelawat
Kajian Semalam Yang Sangat Futuristik
Sudah agak lewat bagi saya untuk menempuh pengalaman ini.
Sesuatu yang menjadi kebiasaan ramai pelajar lain pada usia yang lebih muda.
Malah semasa kelas ini berlangsung, saya adalah pelajar kedua tertua. Paling tua adalah Profesor Liladhar daripada Universiti Berkeley di California USA. Namun beliau masih bujang. Saya yang sudah berumahtangga dan anak empat.
“Oh, Hasrizal. Dia sudah berumahtangga dan ada 4 anak!” itulah ungkapan paling popular rakan-rakan sekelas semasa berbicara tentang saya.
Summer School anjuran İstanbul Bilimler Akademisi (İBA) dan Yünus Emre Enstitut ini diadakan selama hampir sebulan lamanya di Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi. Saya sendiri tidak menyangka permohonan untuk menyertainya berjaya. Hanya 20 kerusi ditawarkan untuk peserta dari seluruh dunia, dan syukur dengan izin Allah saya terpilih sebagai wakil tunggal Malaysia.
Program ini menyediakan kursus intensif pengajian Bahasa Turki Uthmaniyyah (Osmanlıca) dan Sejarah Dawlah Uthmaniyyah. Biar pun tempoh 19 hari pengajian itu singkat, namun cukuplah untuk saya mencapai impian, menuntut ilmu di bumi Turki. Peluang yang sulit sekali untuk terjadi pada usia seperti saya ini.
Kagum.
Itulah yang boleh saya ungkapkan tentang rakan-rakan sepengajian saya.
Kecintaan kepada ilmu, sejarah dan Dawlah Uthmaniyyah menghimpunkan kami di bawah satu bumbung. Saya ada rakan dari Finland, England, Jerman, Itali, USA, Kanada, Sepanyol, termasuk juga daripada negara Muslim seperti Morocco, Algeria, Mesir, Ethiopia, Pakistan, dan tetangga Nusantara, Indonesia.
Keseronokan belajar di dalam program ini, saya dapat menikmati suasana belajar yang saya kejar suatu ketika dahulu, iaitu lari daripada persekitaran Melayu. Bukan isu orangnya, tetapi persekitaran yang selalu hadir apabila Melayu berkumpul lebih dari satu. Tidak mahu bertanya. Mendiamkan diri. Enggan memimpin diskusi. Duduk di belakang. Dan maklum balas pun banyak berlegar di belakang.
Bukan semua.
Tetapi selalu jadi begitu.
Orang Melayu pandai. Bijak. Tetapi kebijaksanaannya selalu terhijab dengan sikap ini.
Jika sikap ini boleh dibuang, kita boleh pergi jauh ke hadapan.
Pengalaman mengikuti Summer School ini penting bagi saya kerana ia membantu saya membina keyakinan diri. Apabila topik kajian saya dikongsi dengan rakan lain, saya boleh menguji adakah kajian saya berada pada standard antarabangsa, untuk pada masa-masa akan datang saya mencuba peluang di seminar luar negara.
Saya ada Ville Suomalainen dari Finland. Beliau mengkaji pemikiran Sheikh Ismail Ankaravi (meninggal dunia 1631), ulama terkenal yang menghasilkan syarah kepada Mesnevi Jalaluddin al-Rumi. Ville merupakan pelajar di Universiti Helsinki, Finland. Kesungguhan beliau mengkaji tokoh ini, di sebuah tempat yang sangat jauh daripada bayangan saya tentang wujudkan bidang pengajian Islam, meniup semangat kepada saya untuk terus belajar.
Demikian juga Zacky Khairul Umam, sahabat saya dari Indonesia. Beliau pula mengkaji pemikiran dan jaringan intelektual Sheikh Ibrahim al-Kurani (meninggal dunia 1690), seorang ulama penting dalam penyediaan fondisi era pencerahan Islam pada kurun ke-18.
Bersama dengan saya yang mengkaji pemikiran Imam Birgivi (meninggal dunia 1573), kami bertiga berkongsi banyak literatur yang sama kerana hanya kami bertiga yang bertumpu kepada Intellectual History.
Di dalam kelas kami juga ada Gemma Norman, pelajar PhD daripada Universiti Birmingham di England. Gemma mengkaji tentang korupsi Janissaries, iaitu tentera Sultan Dawlah Uthmaniyyah yang menjadi tunggak kepada kuasa Dawlah ini selama ratusan tahun sehingga ia dibubarkan pada tahun 1826 di era Sultan Mahmud II .
Bersama kami juga, Ersin Mihci dari Jerman. Beliau mengkaji tentang sejarah muzik dalam penyebaran Nasionalisme di kurun-kurun akhir Dawlah Uthmaniyyah. Ersin mengagumkan kami pada keupayaan beliau menguasai begitu banyak bahasa. Jerman, Itali, Perancis, Greek, Latin, Turki, pada usia pertengahan 20′an beliau.
Kami juga ada Daniele Bruno daripada Napoli, Itali. Peserta paling muda, berusia 21 tahun, Daniele mengkaji beberapa aspek berkaitan dengan komuniti Druze di Lubnan dan Palestin. Daniele bertutur Bahasa Arab dengan baik, walaupun tidak pernah ke negara Arab dan hanya mempelajarinya di universiti beliau di Napoli.
Rakan sebilik saya, Eric Halsey berasal dari Washington USA. Beliau merupakan pelajar Fulbright Scholarship dan bermastautin di Bulgaria untuk menyempurnakan kajian beliau tentang sejarah Bulgaria di era Uthmaniyyah.
Abdelwahab Shaker pula, adalah sahabat kami dari Iskandariah Mesir. Beliau merupakan pelajar Phd dengan tumpuan kajian berkaitan dengan Sultan Abdul Hamid II. Demikian juga dengan Rasha El Baz.
Sebahadin Kedir, adalah kenalan istimewa saya yang berasal dari Etiopia. Beliau kini merupakan pelajar sarjana di Universiti Istanbul di dalam bidang pentadbiran. Beliau mahu mengkayakan kajiannya dengan latar belakang sejarah pentadbiran Dawlah Uthmaniyyah. Saya menjangkakan Insha Allah beliau akan menjadi seorang ahli politik yang penting di negaranya suatu hari nanti.
Berada di dalam kelompok peserta Summer School ini, saya dapat merasakan bidang kami sebagai bidang yang mengkaji semalam, tetapi bersifat sangat futuristik. Semoga seluruh rakan dan pensyarah kami, sukses dalam mencapai cita-cita semua, ameen.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (26) Pelawat
November 26, 2013
Tiga Keistimewaan Şehidimiz Ahmad Ammar
Hari ini saya ditemuramah oleh wartawan Kosmo.
Mereka mahu membuat liputan tentang adinda Ahmad Ammar.
Ia satu perkembangan yang baik. Beberapa hari selepas pemergian Ammar pada 2 November lalu, saya terfikir tidakkah kejadian besar ini boleh menembusi media utama sama ada di Turki apatah lagi di Malaysia.
Pertemuan diadakan di Masjid UKM.
Sukar sekali untuk saya ungkapkan apa yang saya tahu tentang Ammar.
Terlalu sedikit.
Dapat saya rasakan, di riak wajah wartawan KOSMO tadi, beliau seperti tidak bertemu dengan apa yang beliau cari. Sesuatu yang sensasi, yang luar biasa, yang dramatik. Barangkali.
Namun itulah Ammar, kepada mereka yang mengenalinya.
Istimewa Ammar, sangat mendalam di hati, tetapi terasa tidak cukup perisa untuk diungkap dengan kata.
Beliau adalah seorang insan biasa yang luar biasa. Seorang yang tidak dikenal ahli Bumi semasa hidupnya, namun menjadi ‘selebriti’ di kalangan ahli Langit dan Bumi selepas matinya.
Dua jam temuramah berlangsung. Saya sentuh tentang visi dan misi Ammar. Tentang Yayasan Hayrat. Tentang Risalah an-Nur. Tentang Badiuzzaman Said al-Nursi. Namun untuk memudahkan wartawan membuat rumusan, saya kongsikan tiga keistimewaan Ammar.
Saya rumuskan bahawa jika ada anak muda terinspirasi dengan Ammar, maka bagi saya Ammar ada tiga keunikan:
1. SEORANG YANG SANGAT IKHLAS
Iaitu bahagian yang paling sukar untuk diungkap. Sesuatu yang tidak di nampak, tapi kuat di rasa. Tidak nampaknya ia, kerana itulah hakikat sebuah IKHLAS. Bagi setiap yang mengenali beliau tahu dan merasakan keikhlasan persahabatan seorang insan bernama Ahmad Ammar.
2. TIDAK MENGAMBIL JALAN PINTAS UNTUK BERDAKWAH
Ammar sentiasa berdakwah dengan dirinya, mungkin tanpa beliau sedari.
Namun sasaran Ammar untuk berdakwah dan berbakti kepada ummah adalah dengan asas ILMU.
Ammar mencari ilmu, dan bukan sebarang ilmu. Ilmu yang dicarinya adalah ilmu yang diyakini penting, tulen, dan cukup dukungannya, di sebuah negeri asing bernama Turki.
3. SOSIAL YANG BERJAYA
Ammar bukan seorang nerd, bukan geek. Pelajar cemerlang SPM, rajin membaca, tetapi tidak timid. Beliau berkarisma. Beliau Abang Long kepada rakan-rakannya di Turki.
Ammar insan ‘normal’.
Ada orang, untuk memenangi hati manusia, mereka membelakangkan Allah.
Ada sesetengah yang lain pula, untuk mendapat redha Allah, mereka membelakangkan manusia.
Tetapi tidak dengan Ammar. Beliau menjadi contoh manusia yang Allah redha, manusia pun suka.
Yang menangisi pemergiannya bukan sekadar keluarga dan rakan terdekat serta orang ‘baik-baik’. Semua orang sedih dengan pemergiannya.
Hatta yang tidak kenal pun rasa kehilangan.
Semua itu rezeki Allah untuk sang Syahid.
Ia mengingatkan saya kepada Imam Birgivi. Beliau menjadi masyhur selepas meninggal dunia pada tahun 1573. Semasa hayat, beliau adalah seorang murabbi yang terpencil di sebuah perkampungan kecil di celah lembah pergunungan Ödemiş. Tetapi tunjuk ajarnya merebak hingga ke seluruh dunia.
Hingga ke meja baca saya, yang lahir dan hidup hampir 500 tahun selepas kematiannya.
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki” [Aal Imran : 169]
Pemergian Ammar, adalah kematian yang menghidupkan.
Dalam rupa yang tidak disangka-sangka.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2) Pelawat
November 20, 2013
Barat, Turki, Orientalis dan Cabaran Mempelajari Sejarah Dawlah Uthmaniyyah
Belajar di Turki adalah permulaan yang penting.
Namun ia bukan jaminan untuk menghalang kita daripada tersangkut pada jerangkap Orientalis.
Hakikatnya Orientalis terkemuka di negara Eropah dan Amerika Syarikat yang menjadi pakar rujuk terhadap kajian Dawlah Uthmaniyyah, dilahirkan oleh dunia akademik Turki itu sendiri.
Bernard Lewis mendapat latihan di Turki, fasih bertutur di dalam bahasa Turki.
Stanford J Shaw
Demikian juga dengan Stanford J Shaw. Beliau berguru dengan nama-nama besar sarjana Turki seperti Professor Ismail Hakki Uzuncarsili, Professors Omer Lutfi Barkan, Halil Sahillioglu, Mukrimin Halil Yinanc dan Zeki Velidi.
Latihan akademik yang mendalam di Turki, tidak mengubah Bernard Lewis kepada bukan Bernard Lewis.
Beliau terkenal dengan pendekatan uniknya pada membuat rumusan halus yang bermasalah, selepas melambakkan fakta-fakta tulen lagi berharga hasil galiannya, yang menjadi rujukan pengkaji lain.
Bernard Lewis
Profesor Fathi Ridwan pernah menegur Bernard Lewis yang mengulas panjang lebar tentang perkembangan pendidikan Dawlah Uthmaniyyah, beliau merumuskan bahawa “pada tahun-tahun selepas Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, bermulalah sistem pendidikan sekolah diraja, dan ia merupakan sekolah diraja yang pertama, berbentuk sivil dan bukannya ketenteraan”
Ayat itu terkandung halus di dalamnya satu dakwaan bahawa sekolah-sekolah Uthmaniyyah selama ini adalah sekolah tentera, sehinggalah sampai ke era Abdul Hamid II pada penghujung abad ke-19. Persepsi ini begitu halus menyelinap, menafikan karakter madani yang wujud bagi medrese Uthmaniyyah semenjak dari era Mehmed II dan Süleyman I lagi. Namun kesimpulan songsang ini diselitkan oleh Bernard Lewis secara begitu halus, untuk mencapai objektifnya. Objektif seorang Yahudi Zionis yang Allah panjangkan umurnya hingga ke hari ini (berusia 97 tahun).
Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb di dalam karyanya al-’Uthmāniyyūn fī al-Tārīkh wa al-Hadhārah, “tidaklah daripada Orientalis Yahudi, kita mengetahui tentang Sejarah kita sendiri”
Inilah antara isu yang saya rancang untuk dikongsi bersama adik-adik di Turki, termasuk al-Marhum Ahmad Ammar tempoh hari. Pengajian sains sosial di Turki, tidak banyak berbeza dengan pengajian yang sama di negara Eropah, kecuali dengan Usuluddin yang kuat dalam dasar ilmu sahabat-sahabat di Turki, untuk menyaring dan mengkritik teori-teori yang dipelajari.
Semoga sahabat-sahabat di Turki teguh mengaji dan kerap berdiskusi untuk saling mengukuhkan pandangan hidup Islam masing-masing. Saya dan sahabat serta keluarga di tanahair, mendoakan jihad kalian semua.
En iyi dileklerimle, kardeşlerim!
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (33) Pelawat
November 19, 2013
Virus Dungu Dalam Budaya Prank dan Shenanigan
Ilustrasi oleh Francis Barlow di dalam hikayat “The Boy who Cried Wolf”, yang beliau gelar sebagai DE PASTORIS PUERO ET AGRICOLIS, 1687 [wikipedia]
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu.
Orang kampung prihatin.
Bergegas mereka memanjat bukit.
Mahu menolong.
Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya.
“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.
Anak muda itu ketawa.
Bergurau katanya.
Menguji iman orang kampung.
Orang kampung geram. Tetapi habis-habis pun, mereka mengurut dada. Seorang dua menunding telunjuk. Budak-budak, memang budak-budak. Tetapi jangan perbudakkan orang tua.
DUA TIGA KALI BULAN MENGAMBANG
Selang dua tiga purnama, anak muda itu ketagih perhatian. Ingin mengulang keinginan.
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.
Orang kampung terkejut.
Serangan serigala bukan khayalan. Ia pernah berlaku. Tidak mustahil berlaku lagi. Tetapi si anak muda itu pernah membuat onar. Ada atau tidak serigala?
“Jangan main-main. Ini tanggungjawab kita” fikir pihak yang ramai.
Bergegas mereka memanjat bukit.
Mahu menolong.
Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya. Serigala lapar, buruk padahnya.
“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.
Anak muda itu ketawa lagi.
“Senang benar mereka ditipu!” kata hatinya.
Penduduk kampung geram. Baik hati mereka jadi permainan. Dipermain-mainkan.
“Siaplah engkau!” kata mereka.
Mengepal tangan.
Anak muda itu ketawa. Seperti ‘tengin’ tidak belajar apa-apa.
SELANG BEBERAPA PURNAMA
“Hmm, bosan sungguh meneman kambing meragut rumput. Aku pula terasa seperti kambing!” anak muda menguis-nguis daun kering di bawah pokok.
“Grrr!” terdengar dengusan penuh nafsu di balik busut.
Seekor serigala besar sedang memilih mangsa antara kambing gembalaanya.
Benar, ia serigala sebenar. Bukan khayalan. Bukan gurauan. Ia di depan mata. Sedang memilih mangsa.
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.
Orang kampung terkejut.
Kemudian mereka ketawa.
“Gembala kambing mahu memperbodohkan kita lagi, seperti kambingnya? Lantakkan dia. pedulikan!” ujar orang kampung.
Tidak pernah terlontar satu kejahatan, kecuali ia akan berpatah kembali kepada pelakunya. Anak muda penggembala kambing, menangis di bukit. Habis kambingnya diratah serigala.
Tangisan yang di luar peduli.
Tiada salah siapa, kecuali diri sendiri.
BUDAYA PRANK
Just for Laughs [sumber wikipedia]
Mengenakan orang dengan amaran-amaran palsu ini bukan perkara baru. Ia sudah lama diungkap di dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala ini merupakan salah satu daripada kisah Aesop’s Fables atau Aesopica merujuk kepada legasi Greece Purba antara tahun 620 and 560 BCE. Ia dikaitkan dengan ajaran Aristotle yang menegaskan bahawa orang yang berbohong mendapat habuan iaitu apabila mereka bercakap benar, mereka tidak akan dianggap benar (tidak dipercayai)” [THE LIVES AND OPINIONS OF EMINENT PHILOSOPHERS]
Budaya ini seiringian dengan mentaliti ‘loyar buruk’ yang semakin meraih keberanian untuk membesar. Ia bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan. Malah 1 April menjadi hari ‘ibadah’ untuk budaya prank ini.
Budaya-budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai suatu hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. Bergurau tidak kena tempat. Jika suatu ketika dahulu ia menjadi bahan ketawa seperti siri America’s Funniest People keluaran Amerika Syarikat sekitar 1990′an, juga Just for Laugh (Juste Pour Rire) terbitan Kanada. Tetapi lama kelamaan ia berubah menjadi versi yang agresif Jackass menjelang milenia baru.
Dengan jati diri yang rendah, apa sahaja yang datang ke sini dari sana, ditelan, diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya parody, kedua-duanya menjatuhkan harga diri kita.
Biar pun ‘Prank and Parody‘ itu kini menjadi begitu trending dan digilai ramai, tanpa rasa kolot, saya ingin meletakkan satu saranan iaitu pesanan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:
إن مما أدرك الناس من كلام النبوة : إذا لم تستحي فاصنع ما شئت
“Sesuatu yang telah diketahui oleh sekalian manusia sepanjang zaman sebagai sebahagian daripada pesanan-pesanan kenabian ialah: JIKA KAMU TIDAK MALU, BUATLAH APA SAHAJA YANG KAMU MAHU” [hadith riwayat al-Bukhari nombor 3484]
Parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan perlakuan-perlakuan yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu, ada MALU atau TIDAK ADA RASA MALU. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah memalukan diri sendiri dan mangsa ‘Prank and Parody’, tepuk dada tanya iman.
Manakala prank pula, semakin menjadi fenomena global malah dinanti-nanti bukan hanya di media sosial, bahkan turut rancak di radio dan televisyen.
Ingatlah pesan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:
المسلمُ من سلِم المسلمون من لسانِه ويدِه ، والمهاجرُ من هجر ما نهى اللهُ عنه
Seorang Muslim itu, seseorang yang kaum muslimin lain terselamat daripada kejahatan lisah dan tangannya. Orang yang berhijrah pula, adalah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripadanya” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 6484]
Islam melarang Muslim berdusta, walaupun sekadar gurauan. Baginda Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam memberi amaran:
ويلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بالحدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القوْمَ فيَكَذِبُ ويلٌ لَهُ ويلٌ لَهُ
“Celakalah seseorang yang berbicara dengan suatu perbicaraan untuk menjadikan orang ramai ketawa sedangkan beliau berdusta. Celakalah dia, celakahlah dia” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]
Apatah lagi jika gurauan itu sifatnya adalah menakut-nakutkan saudaranya:
أنَّهم كانوا يسيرون مع النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فنام رجلٌ منهم فانطلق بعضُهم إلى حبلٍ معه فأخذه ففزِع فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لا يحِلُّ لمسلمٍ أن يُروِّعَ مسلمًا
Pada suatu ketika, mereka bersama-sama dengan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam di dalam sebuah perjalanan. Lalu salah seorang daripada mereka tertidur. Kemudian sebahagian mereka pergi mengambil tali dan mengikat lelaki yang tertidur itu tadi, dan beliau terkejut ketakutan. Lalu Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda, “TIDAK HARUS BAGI SEORANG MUSLIM MENAKUT-NAKUTKAN SEORANG MUSLIM YANG LAIN” [Al-Targheeb wa al-Tarheeb, hadith 3/403]
Budaya Prank dan Shenanigan ini adalah sebuah kegelinciran akhlaq yang mesti diberhentikan segera.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (36) Pelawat
November 17, 2013
Ummah Yang Kematian Ibu Bapa
HILANG IBU BAPA
Bagaimanakah reaksi kita apabila seorang anak muda yang berjaya, elok kerjayanya, cukup serba serbi keperluan hidupnya, mengadu tentang kehilangan ibu bapanya?
Hilang ibu bapa.
Bukan hilang anak.
Ibu bapa pula, adalah ibu bapa yang tidak pernah ditemui. Entah hidup entah kan mati.
Orang muda itu ada segala-galanya. Cuma dia risau ibu bapanya hilang. Dia tidak berjumpa dengan ibu bapanya. Tetapi dia tahu dia ada ibu bapa kerana semua manusia ada ibu bapa.
HILANG ANAK
Bagaimanakah pula reaksi kita apabila anak muda itu kehilangan anak?
Anaknya diculik, barangkali.
Selepas dua tahun lalu anaknya yang seorang lagi meninggal dunia kerana kanser.
Orang muda itu ada segala-galanya. Cuma dia risau anaknya hilang.
Manakah yang lebih tragis? Manakah yang lebih mendapat simpati? Manakah yang menjadikan hidup ini bagai hilang makna segala-galanya? Hilang ibu bapa, atau hilang anak?
Tentu sahaja hilang anak.
Tanpa keraguan, ia sebuah tragedi.
Ada pun kehilangan ibu bapa, tidak mengapa. Sedih, namun ibu bapa itu pun anak muda tersebut tidak pernah jumpa. Doakan sahaja mereka. Teruskan hidup.
ANALOGI UMMAH YANG KEHILANGAN IBU BAPA
Saya cuba mengajak sahabat merenung tentang kepentingan sejarah.
Kehilangan ibu bapa, adalah seperti kehilangan sejarah. Pantas dianggap tidak mengapa. Ia tidak sedahsyat kehilangan anak-anak.
Seorang manusia tidak akan mati dengan kematian anak. Kesedihan, kedukaan, hanya dalam lingkungan perasaan. Ia tidak berisiko sebuah kematian. Kecuali dia membunuh diri.
Tetapi manusia boleh mati mengejut kerana tidak kenal ibu bapanya. Bahawa pada ibu bapanya ada rekod. Ada kisah pada gene BRCA1 dan BRCA2, bahawa ibu atau bapanya meninggal dunia kerana kanser ovari dan kanser prostate. Anak muda yang kaya raya, berkerjaya baik dan hidup serba sempurna, tidak dapat membaca ketulan ganjil itu sebagai sebuah simptom, bahawa ia menuju sebuah kematian. Sedangkan dengan mengetahui bahawa bapanya dahulu semasa hidup apa sakitnya, apa punca kematiannya, dia boleh bertindak segera. Rekod silam yang memberitahu bahawa seorang yang bapanya meninggal dunia kerana kanser prostate, harus peka dengan simptom-simptom yang hadir itu.
Tanpa kenal siapa ibu bapa, kita juga kehilangan sebahagian penjelasan tentang siapa diri kita.
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin. [Al-Baqarah 2: 118]
Kita terlupa bahawa hari ini menyambung semalam. Perbualan hari ini pernah dibualkan semalam. Kita mengulang kelakuan semalam, tetapi berangan-angankan hasil yang bukan hari ini.
Seperti seseorang yang terjaga, mendapati dirinya berada di dalam sebuah keretapi yang bergerak laju. Dia tidak tahu bagaimana dia berada di dalam keretapi itu. Dari mana keretapi itu bergerak. Ke mana keretapi itu pergi. Soalan dari mana, hendak ke mana, bagaimana boleh berada di sini, adalah soalan-soalan yang menjawab pertanyaan SIAPA KITA.
Dan ia sebuah soalan yang sangat besar.
Soalan tentang identiti.
Itulah risikonya sebuah bangsa yang tidak mementingkan sejarah.
Sangkanya, yang tragis hanya pada kehilangan milik semasa.
Hakikatnya dia di ambang maut, kerana tidak menoleh ke belakang.
Melupakan ibu bapanya.
Melupakan dirinya yang semalam.
Melupakan semalam.
Hingga hari ini, gagal difahami. Dan esok yang penuh impian, mungkin buatnya tiada fajar lagi.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (6) Pelawat
November 10, 2013
Jangan Sampai Tiada Lagi Kebahagiaan Dalam Beragama
Pada tahun 2007, saya menulis artikel bertajuk MANHAJ SALAF DAN KRISIS KEPERLUAN HATI seperti yang saya sertakan di bawah.
Ketika itu, saya merasakan fenomena “minta dalil” yang muncul secara agresif di dalam masyarakat, adalah satu bentuk ‘rasionalisme dalam beragama’ yang jika tidak diurus dengan baik, akan meresahkan ramai anggota masyarakat. Terutamanya mereka yang tidak berkeupayaan menyertai gelombang tersebut, mereka akan tertekan apabila majlis-majlis ilmu bukan lagi menjadi tempat mereka mendapat ketenangan beragama, sebaliknya medan pertempuran debat antara pendalilan yang berbalas-balas.
Saya menjangkakan, fenomena tersebut akan mencetuskan kemurungan jiwa di kalangan pencinta agama, yang mungkin akan membawa mereka kepada trend seterusnya iaitu daripada RASIONALISM kepada ROMANTICISM.
Romaticism dalam beragama kita, akan muncul dalam bentuk kecenderungan kuat masyarakat untuk mengisi makna keberagamaannya dengan zikir, nasyid, syair, malah wacana-wacana agama juga mesti berbentuk indah, ringan, enak diduduki, dan kurang mendesak peranan minda dalam memproses input agama yang diterima.
Saya bukan ahli nujum.
Saya hanya menjangkakannya dengan melihat kitaran sejarah.
Jika di seberang tembok Vienna, Eropah melihat era pencerahan (Enlightenment) yang tepu dengan RATIONALISM beralih kepada ROMANTICISM pada kurun ke 18. Manakala di tanah air sendiri, ketegangan pertembungan antara gerakan ‘Salafi’ Kadızadeli dengan kumpulan tradisionalis Sufi, memperlihatkan aktiviti ROMANTICISM bertambah, malah tekke dan zaviye Sufi sendiri bertambah pesat.
Inilah mungkin yang sedang masyarakat kita alami. Genre zikir, syair, bacaan burdah mengisi penuh media seperti di TV Al-Hijrah, TV9 dan Radio IKIM, manakala sambutan Maal Hijrah di peringkat Kebangsaan hingga ke surau-surau, ketara terisi dengan kisah-kisah ‘menyentuh hati’ berkaitan sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam, berbanding perbincangan yang berbentuk ‘ilmiah’.
Sama ada era RATIONALISM atau ROMANTICISM, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing, terutamanya apabila masyarakat berlebih-lebihan dalam memaksa genre itu mendominasi masyarakat. Jika keadaan ini berterusan, ia akan beralih kepada trend REALISM yang bersifat agresif.
Secara peribadi, saya melihat bibit-bibit ke arah itu semakin ketara. Anak-anak muda, sama ada mereka begitu komited dengan halaqah-halaqah yang menghidupkan genre ROMANTICISM itu tadi, atau pun sebahagian yang lain pula memerdekakan diri mereka daripada ‘utopia Islamis dan tradisionalis’, menjadi lebih lantang berbicara dalam bahasa isme, hingga ke sosialisme malah komunisme.
Belahan minda ini meruncing hingga pelbagai label terpaksa difikirkan untuk menjelaskan ‘who is who’. Sudah tentu label sedia ada paling pantas dicapai untuk menyerang dan mempertahankan diri:
Sufi vs Wahabi
Khalaf vs Salaf
Kaum Tua vs Kaum Muda
Tradisionalis vs Modernis
Konservatif vs Progresif
Ulama vs Profesional
Dan senarai ini berterusan…
REALISM Eropah menyaksikan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche, menekankan bahawa “Tuhan telah mati (Gott ist tot)”.
Apakah bentuk trend keberagamaan anak muda dan masyarakat kita dalam beberapa tahun yang mendatang ini?
Saya kira, kerana itulah para pendakwah disaran oleh misalnya Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam kitabnya, Al-Madkhal ila ‘Ilm al-Da’wah, bahawa dakwah mesti mengimbangkan dengan baik tiga pendekatan iaitu:
Manhaj Emosi (المنهج العاطفي)
Manhaj Rasional (المنهج العقلي)
Manhaj Pancaindera yakni praktikal (المنهج الحسّي / التجريبي)
Kegagalan mengimbangi kesemua ini menyebabkan keperluan naluri kemanusiaan menjadi kucar-kacir. Semakin mereka didakwah, semakin mereka gelisah, dan berbalah.
Paling membimbangkan ialah, ia berakhir dengan tiada lagi kebahagiaan dalam beragama!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
MANHAJ SALAF DAN KRISIS KEPERLUAN HATI (2007)
Kita ada dua cara untuk bercakap tentang Syurga. Cara pertama, kita boleh berbahas mengenai status hadith yang menyebut tentang peluang manusia melihat Allah di Syurga, kedudukan hadith telaga Nabi SAW dan sejauh manakah kita boleh bezakan di antara keterangan sifat-sifat Syurga dari sumber yang sahih dengan sumber yang ditolak.
Cara pertama ini penting kerana ia adalah sebahagian daripada proses untuk membolehkan kita beriman dengan keimanan yang betul tentang Syurga. Keimanan yang bersandarkan kepada nas ini adalah teras kepada Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang tidak mengharuskan taqlid dalam soal Aqidah. Jangan pula nanti, kita mencari Syurga di jalan yang menempah neraka, berdusta ke atas Nabi SAW, malah sebahagiannya mendakwa, berdusta ‘untuk’ Nabi SAW, melalui hadith-hadith palsu tentang Syurga.
Cara kedua untuk berbahas tentang syurga, adalah pada soal menimbulkan ‘rasa’ dan kemahuan manusia kepada Syurga itu sendiri. Baginda SAW menceritakan tentang Syurga kepada para Sahabat sehingga menimbulkan keinginan di hati Sahabat untuk mengejarnya, dan khuatir jika tidak berhasil memperolehinya. Baginda menyampaikan wahyu tentang Syurga tentunya dengan kombinasi ayat-ayat Makki yang provokatif dan menyentak fikiran, serta bahasa tubuh Baginda yang membayangkan kesungguhannya.
Cara kedua ini penting kerana Syurga bukanlah untuk diketahui sebagai maklumat tetapi ia adalah hakikat Akhirat yang memerlukan kita untuk percaya sebelum melihatnya. Percaya sebelum melihat dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya, membabitkan soal tahu dan mahu.
Soalnya mahukah generasi hari ini kepada Syurga? Al-maklumlah, di zaman dulu, ketika era Rasulullah SAW dan Sahabat melihat Mus’ab bin Umair RA berpakaian dhaif, ketika zaman ibu bapa kita makan ubi kayu di bawah pedang Nippon, tentunya bayangan tentang Syurga itu mudah. Kita mudah membayangkan keindahan ketika hidup diselubungi kesusahan.
Namun hari ini, ramai manusia yang sudah ‘mendapat syurga’. Bagi mereka dunia ini sudah okay, mengapa perlu kepada Syurga itu? Zaman ini, hendak apa sahaja, petik jari semuanya ada. Sudah macam di syurga sungguh gayanya.
Maka, apakah caranya untuk manusia yang sudah mendapat syurga (dunia) ini, boleh dibawa kepada perjuangan mendapatkan Syurga di sana?
Cara pertama itu tadi adalah cara yang mententeramkan akal, memuaskan intelek. Daripada tajuk (a+b)² = a²+2ab+b² hinggalah kepada subjek aqidah kita tentang ghaibiyyat, membahaskan sesuatu dengan nas dan dalil, ternyata berupaya menjadikan kita TAHU.
Tetapi, apakah cukup manusia diberi ilmu agar jahil menjadi tahu? Apakah matlamat Islam sekadar memberitahu dan menjadi tahu. Berapa ramai yang tahu Islam di tahap A1 tetapi tidak hidup dengan Islam? Soalnya apakah kita bertindak berdasarkan apa yang kita TAHU? Cuba kita tanya kepada perokok, apakah mereka tidak tahu yang rokok itu membunuh? Kita yakin yang mereka amat tahu tentang bahaya rokok. Habis, jika mereka sudah tahu, mengapa mereka masih merokok? Adakah kerana jiwa mereka jiwa pejuang berani mati? Berani merokok walaupun menempah maut? Selayaknya insan berjiwa seperti inilah yang dihantar ke Palestin.
Ya, manusia tidak bertindak berasaskan apa yang dia tahu. Sebaliknya manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU. Tahu sahaja belum cukup. Tahu mesti mendatangkan MAHU. Dan apabila kita bercakap tentang mahu, ia bukan lagi soal akal. Ia bukan lagi soal rasional dan logik. Ia soal hati, soal perasaan. Mahu itu perbuatan emosi. Dan emosi perlu dilentur dan dibentuk dengan cara hati, bukan cara akal.
Setelah kita menikmati hidangan hadith sahih tentang Syurga, apakah timbul rasa MAHU kepada Syurga?
MENYALAHKAN MANHAJ SALAFI ATAS SIKAP SENDIRI
Hal ini mengingatkan saya kepada perbualan saya bersama dengan seorang ‘x-Salafi’, jika boleh saya sebut begitu.
Semasa di usia mudanya, beliau telah diterima masuk ke suatu program Tamrin yang dianjurkan oleh seorang tokoh pembaharuan dari Indonesia. Peristiwa ini berlaku di zaman 70′an. Di dalam Tamrin tersebut, beliau telah dikosongkan dari segala kepercayaan yang ada, dan diajak mencabar diri sampai ke tahap, benarkah Allah wujud? Segala-galanya dihambur keluar dan selepas terserlah hakikat diri, terus terbawa kepada keyakinan yang keras bagai gunung bahawa Dia itu Allah, Tuhan yang Satu. Timbul yakin yang sukar dibayangkan oleh perkataan.
Kemudian beliau diajak menganalisa Fiqh dan Tasauf. Dipendekkan cerita akhirnya mazhab telah dilabel sebagai punca pecah belah umat, Tasawuf ditinta sebagai perosak kemurnian Islam, hingga yang indah sudah tidak kelihatan lagi indahnya. Lantas mazhab dibuang, tasawuf diperang.
Hasil Tamrin intensif itu, beliau jadi begitu ‘panas’ dan pulang ke kampung berdebat dengan ustaz-ustaz tradisional. Calar bahasa atau luka, kesan debatnya tidak pernah dipeduli. Beliau rasa begitu puas mendapat Islam versi asal, Islam as it is!
Suatu hari, beliau menghadiri satu kuliah umum yang membahaskan kitab Ihya’ oleh al-Ghazzali. Huraian ustaz itu sungguh bersahaja. Jemaah diajak membandingkan nikmat dunia berbanding nikmat Syurga.
“�Katakan kamu seorang yang amat suka kepada sotong sambal kacang. Semasa sarapan pagi, kamu dihidangkan dengan nasi lemak berlaukkan sotong sambal kacang yang paling sedap. Bagaimana perasaan kamu?”�, tanya ustaz itu.
“Tentunya kamu berbesar hati dan kamu makan sepuas hati. Betul?”�, ustaz itu menduga mereka yang mendengar kuliahnya.
“�Semasa makan tengah hari, kamu dihidangkan dengan sotong sambal kacang yang baru dimasak. Apa rasanya?”�, tanya beliau.
“Ketika makan malam, sekali lagi kamu dihidangkan dengan sotong sambal kacang. Maklum sahajalah, kamu memang peminat sotong sambal kacang. Apa perasaan kamu ketika itu?”�, beliau terus membuat provokasi terhadap jemaah yang hadir.
“Ya, tentu jika pagi esoknya kelibat sotong itu muncul, kamu pasti akan mengamuk dan melarikan diri ke gerai. Betul?”�, ustaz tersebut bertanya dan terus bertanya.
Beliau menjelaskan bahawa nikmat dunia ini menjemukan. Hanya sedap seketika. Malah makanan yang lazat hanya sedap di mata, tangan dan lidah. Apabila ia melepasi kerongkong, tiada lagi kelazatannya. Nikmat Syurga tidak begitu. Nikmatnya memberi bahagia. Tiada jemu dan tiada batas mahu.
Bagaimana pula dengan Neraka? Bandingkan derita dunia dengan derita Neraka. Jika derita di dunia, ia boleh hilang selepas beberapa ketika. Jika sakit kepala, ia hilang dengan tidur. Jika sakit terkena duri, ia hilang selepas berlalunya dua tiga hari. Tetapi derita Neraka adalah derita yang lama. Berapa lama? Selama-lamanya. Selama mana? Selama-lamanya.
Huraian ustaz itu terlalu bersahaja tetapi x-salafi ini menangis tidak berhenti-henti. Beliau baru tersedar yang selama ini ada suatu ruang kosong dalam jiwanya yang tidak diisi. Hatinya kosong dari pengisian rohani. Kelakuannya keras membatu kerana hatinya beku tidak terlentur. Hayatnya penuh bantahan dan pemberontakan. Beliau menjadi kasar dan keras. Rupa-rupanya beliau baru berjaya sekadar di reformasi akal.
Akhirnya, beliau merombak kembali pegangan dirinya. Dan seperti kebanyakan x-salafi yang pernah saya temui, mereka menyalahkan aliran Salafi sebagai punca kekerasan diri selama ini. Segala kekasaran yang telah mereka lemparkan kepada kawan-kawan atas nama perjuangan al-Sunnah, dilemparkan kepada manhaj Salaf yang dianggap sebagai punca kering lagi gersangnya diri beliau dari pembentukan jiwa.
Malah ada di kalangan mereka yang bertukar dari Salaf kepada Khalaf lantas berjuang pula memerangi puak Salafi kerana mereka beranggapan bahawa semua Salafi adalah seperti mereka ketika mereka Salafi. Keras, suka menghukum, dan tidak peduli kepada soal hati.
KURSUS MENGIKUT KEHENDAK SALAFI
Hal ini menjadi bahan renungan. Ia lebih mengganggu fikiran ketika saya menjalankan kursus bersama Fitrah Perkasa.
Apabila saya cuba melaksanakan kursus mengikut ‘peraturan’ Salafi atas desakan peserta, saya berhadapan dengan kemusykilan.
Di dalam kursus Fitrah Perkasa, kami menjadikan Solat Jamaah sebagai agenda penting di sepanjang kursus. Kuliah akan dihabiskan sesuai dengan waktu Solat agar peserta dapat bersedia untuk bersolat Jamaah. Kami mengajak peserta agar hadir ke surau 10 minit sebelum masuk waktu. Tujuannya adalah untuk menghening rasa. Ia adalah tips al-Ghazzali ke arah membina fokus dan penghayatan yang baik di dalam Solat. Al-Ghazzali menyarankan agar Solat kita dipisahkan daripada aktiviti yang sedang kita lakukan agar ia tidak ‘masuk’ ke dalam Solat. Kunci kereta hilang, laporan kewangan syarikat dan sebagainya, boleh dijauhkan dari tumpuan kita di dalam Solat jika kita pisahkan Solat itu daripada aktiviti yang sedang kita lakukan. 10 minit adalah jangka waktu yang praktikal di dalam kursus kami.
Maka dalam tempoh 10 minit tersebut, peserta diajak melakukan perkara-perkara yang boleh menyuburkan emosi. Bagi yang advance mereka boleh membaca al-Quran, terutamanya ayat-ayat Makki yang banyak menyentuh soal Syurga dan Neraka serta perihal dalaman manusia. Tetapi di dalam kursus, kami bertemu dengan pelbagai lapisan manusia. Ada masanya, kami berdepan dengan ustaz-ustaz lulusan Timur Tengah, ada juga harinya kami bertemu dengan pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang tidak boleh membaca dan Solat masih mencuri-curi tengok orang sebelah.
Untuk memudahkan, maka kami ajak peserta untuk berselawat selama 10 minit itu.
Begitu juga, sesekali selepas solat sudah selesai, kami ajak peserta membaca Doa Taubat. Ia bukan sebahagian dari solat tetapi ia aktiviti menyuburkan emosi agar timbul ‘mood’ taubat.
Akan tetapi, sesekali kami berdepan dengan peserta Salafi yang tidak mahu kepada cara begitu. Lantas mereka menentang Selawat, menolak doa taubat, tidak mahu berwirid dan berdoa secara berjemaah. Sebagai fasilitator, saya menerimanya dengan baik malah ada masanya saya rasa amat berlapang dada kerana saya juga mahu kepada cara yang mengikut Sunnah.
Tetapi, saya mengharapkan agar peserta menggantikan selawat dengan amalan lain yang bertepatan dengan Sunnah, tetapi mestilah berupaya menyuburkan emosi. Kajian menunjukkan bahawa pemikiran separa sedar (subconcious mind) manusia akan diaktifkan hanya apabila kita berada dalam mood yang tenang, hening, ala-ala suasana Qiamullail. Di situlah rasa MAHU dapat ditimbulkan. Di situlah air mata mudah menitis dan kekerdilan diri serta kebesaran Allah yang dibaca dan dikeTAHUi, dapat diRASA untuk menimbulkan MAHU.
Tetapi lazimnya tidak menjadi. Apabila selawat ditinggalkan, peserta akan termenung, bermain telefon bimbit, merenung bumbung di samping seorang dua yang membaca al-Quran. Sepatutnya pemurnian ibadah dilakukan dengan masing-masing berwirid sendiri dengan wirid yang ma’thur dari Sunnah. Tetapi dalam banyak sesi, peserta termenung sendirian, malah ada yang asyik mengorek hidung ketika saya yang mengimamkan Solat sedang membilang Subhanallah pada jari 33 kali, sambil memerhati. Tidak kurang yang terus bangun, pergi ke belakang untuk bersandar ke dinding demi bara’ beliau dari majlis maksiat, iaitu majlis wirid beramai-ramai yang dianggap tidak Sunnah.
Jadi, apa yang dikatakan sebagai bid’ah berwirid beramai-ramai telah diganti bukan dengan wirid sendiri-sendiri, tetapi dengan meninggalkan wirid sepenuhnya.
Akhirnya, kursus yang mengikut manhaj Salafi, menjadi kering, gersang dan tidak memberikan impak yang optimum .
Hal ini menjadi dilema kepada diri saya. Saya cuba bandingkan Ibn Taimiyah dengan anak muridkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Ibn Taimiyah sendiri banyak menulis tentang Tazkiyatunnafs (pembersihan jiwa) tetapi tulisan Ibn Qayyim lebih ketara dan masyhur. Saya cuba mengkaji, apakah faktor yang membolehkan Ibn Qayyim menulis tentang soal pembersihan jiwa dengan begitu baik sekali. Apakah kerana beliau secara peribadinya cenderung ke arah itu, atau Ibn Taimiyyah sudah menyelesaikan perjuangan membina tapak, lantas Ibn Qayyim beroleh ketenangan suasana untuk menulis tentang ketenangan hati? Saya tidak pasti.
Namun, saya benar-benar mahu pendukung aliran Salaf memikirkan hal ini. Apakah cara tazkiyatunnafs mereka? Bagaimanakah mereka membina emosi? Bagaimanakah akhlak mahmudah itu dapat ditanam ke jiwa anak-anak murid mereka (internalizing process), bagaimanakah cara Salaf menitip adab-adab mulia kepada mereka yang memilih jalan Salafi ini?
Saya khuatir, jika segala-galanya mahu dibahaskan secara mood akademik semata-mata, kita terperangkap di dalam PROSES dan gagal menatijahkan OUTPUT yang sewajarnya. Matlamat kita bukan semata-mata berjaya membangunkan Solat dari Takbir kepada Salam sahaja. Solat kita mesti menatijahkan sikap, jiwa, disiplin, pemikiran dan cara hidup yang digambarkan oleh perlakuan kita di dalam Solat.
Jika semasa Solat kita tidak tergamak menelan cebisan makanan yang terlekat di gigi kerana takut batal Solat, maka apakah mekanismanya agar kesedaran itu dapat membentengi seseorang daripada menjamah pendapatan yang tidak halal semasa bekerja, atau makan hasil kerja yang penuh dengan curi masa dan curi tenaga. Ibadah kita semuanya proses. Outputnya adalah akhlak yang mulia, tercegah dari fahsya’ dan munkar.
Mampukah perbahasan ilmiah tentang ibadah membenihkan akhlak yang indah di peribadi pelajar?
Jika soal ini tidak digarap secara serius, maka akan bertambah-tambahlah anggota masyarakat yang akan meng’sinonim’kan Salafi Malizi dengan keras hati dan budi pekerti.
Kesedaran kita tentang peri pentingnya status sanad hadith, mestilah juga sama tinggi dengan peri pentingnya menyuburkan isi yang terdapat di dalam matan hadith. Apabila ada hadith sahih yang bercakap tentang Syurga, maka proses mendidik manusia agar dapat menghayati Syurga itu tidak boleh dilakukan dengan bahasa dan cara belajar sanad. Janganlah kita ditipu oleh Syaitan yang memerangkap ahli Hadith agar hanya sibuk dengan sanad Hadith, tetapi gagal menghidupkan Sunnah yang terdapat di dalam matan hadith itu sendiri.
Perjuangan Sunnah bukan hanya pada menelaah Aqidah dan Ibadah, tetapi membabitkan Pendidikan dan antara cabangnya ialah Tazkiyah al-nafs. Bagaimanakah pendidikan Salafi, dan Tasawuf ‘Salafi’?
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan Akhlaq”
HASRIZAL @ www.saifulislam
56000 BTR
2007
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2) Pelawat
November 4, 2013
Ammar: Antara Tadbir Insani dan Takdir Ilahi
Cuaca hari itu sejuk mengigit diri.
Salji turun tebal, melitupi bumi Istanbul semenjak beberapa hari.
Ia waktu yang enak untuk sesiapa sahaja melenakan diri di bilik, berselimut, berbual-bual kosong bersama teman, menunggu Zohor, Asar, hingga tenggelam matahari dan sehari berlalu, seperti sehari sebelumnya.
Namun bagi saya, setiap saat berada di Istanbul mesti saya manfaatkan. Seminggu yang diperuntukkan untuk lawatan kali itu, setiap detik, mesti ditentukan kegunaannya. Saya sedang mengumpul maklumat yang cukup tentang Sultan Abdul Hamid II, seorang sultan yang dianiaya umat terkemudian yang tidak mengenalinya.
Sultan merah.
Kuku besi.
Anti demokrasi.
Diktator.
Namakan apa sahaja gelaran jelek untuk seorang pemimpin, Sultan Abdul Hamid II dimomokkan sepuasnya.
Tidak banyak buku yang ditulis, untuk membela baginda. Di tanganku hanya ada tiga naskhah buku, kesemuanya ditulis dan diterjemahkan oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb. Beliau adalah sebahagian kecil daripada penyelidik dari Dunia Arab, yang menulis tentang Dawlah Uthmaniyyah dengan merujuk sumber-sumber Turki.
Al-Uthmaniyyun fi al-Tarikh wa al-Hadharah.
Walidi al-Sultan Abdul Hamid, oleh Aishah Osmanoglu, beliau terjemahkan.
Mudzakkirat al-Sultan Abdul Hamid, juga beliau terjemahkan.
Membaca sesuatu daripada penulisan seseorang, atau mendengar sesuatu daripada pengucapannya, kekal sebagai maklumat, bukan ilmu pengetahuan. Sehinggalah sumber ambilannya diketahui, dan kita membaca sendiri. Ilmu bukan apa yang kita dengar, tetapi apa yang kita pelajari. Biar pun buku-buku karya Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb amat bagus sebagai pembetul kefahaman tentang Dawlah Uthmaniyyah, saya tidak boleh sekadar menyandarkan pendirian hanya kepada beliau. Saya perlu mencari apa rujukan beliau. Memendekkan ‘sanad’ maklumat, hingga sampai ke sumbernya yang utama.
Itu yang membawa saya ke Istana Yildiz.
Perpustakaan IRCICA menyediakan maklumat yang cukup banyak.
Saya yang kekurangan masa. Saya bukan warga Istanbul. Saya anak Malaysia yang menuntut di Jordan. Tanggungjawab utama saya di situ. Namun hati saya sentiasa di sini. Di bumi Constantinople ini.
HAMBA DI SINI
The Sultan oleh Joan Haslip [kredit Amazon]
“I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so I am certain that some foreign historian will do me justice.” [THE SULTAN: THE LIFE OF ABDUL HAMID. By Joan Haslip. London: Cassell, 1958]
Saya terkejut.
Ia ungkapan yang dipetik oleh Joan Haslip daripada catatan Sultan Abdul Hamid II semasa dalam buangan di Salonika.
Kata baginda, “Saya pasti ahli sejarah akan membela mempertahankan saya. Dan jika sejarawan Turki tidak melakukannya, saya yakin bahawa sejarawan asing akan menunaikan untukku sebuah keadilan!”
Secara spontan, saya bermonolog, “hamba di sini, tuanku!”
Kata-kata itu sungguh besar ertinya. Saya rasa seperti menerima watikah lantikan Sultan untuk menjadi seorang vakanuvis. Namun kali ini peranannya bukan sekadar seorang vakanuvis yang mencatat kejadian semasa. Sebaliknya sejarawan yang menelusi catatan vakanuvis semalam, untuk menyingkap kebenaran.
Harapan dan keyakinan Sultan Abdul Hamid II, tentang akan adanya nanti sejarawan asing yang membela baginda dan Dawlah Uthmaniyyah, menjadi pembakar semangat buat saya untuk mengkhususkan diri mengkajinya.
Turki dan Dawlah Uthmaniyyah masih sesuatu yang amat asing daripada masyarakat di tanah air. Tamadun 600 tahun itu bukan sekadar masjid dan istana indah yang hendak dibanggakan. Tetapi ia adalah pengalaman membangunkan sistem, merencanakan ideologi dan pemikiran, mengolah Islam mendepani cabaran modenisasi, mentadbir kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, bekalan-bekalan yang diperlukan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang padu reka bentuk dan pembinaannya.
Itu cita-cita saya.
TADBIR INSANI
Musim panas 1996, saya pulang bercuti ke tanah air.
“Ustaz Bukhari Lubis itu kawan pakcik. Biar pakcik temukan Hasrizal dengan dia” kata Pakcik Milatusamsi.
Semangat alumni Sekolah Izzuddin Shah itu selalu juga membantu.
Saya tidaklah begitu bersungguh untuk mendapatkan tempat di UKM. Ia masih terlalu jauh. Saya perlu menghabiskan pengajian Syariah di Jordan. Manakala kecintaan mendalam kepada bidang sejarah dan Dawlah Uthmaniyyah pula perlu diuruskan tanpa mengabaikan tanggungjawab utama. Tetapi Pakcik Milatusamsi amat berhajat. Beliau mahu saya berkenalan dengan Ustaz Bukhari Lubis, sahabatnya, pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Prof Bukhari Lubis [kredit: UPSI]
“Ana sangat bersetuju dan gembira dengan perancangan anta” kata Ustaz Bukhari Lubis.
Beliau nyata sangat gembira.
Matanya bercahaya galak. Mahukan saya meneruskan cita-cita itu.
Anak Malaysia, berbahasa Turki, belajar di Turki, sesuatu yang sukar dirancang oleh manusia, terjadi dengan aturan Ilahi.
Saya dibawa bertemu dengan pihak atasan, untuk berbual tentang peluang-peluang di masa hadapan.
“Maaf, kita sekarang di era apa yang tertulis di atas kertas. Ijazah anta di bidang Shariah. Bukan Sejarah atau Tamadun Islam” kata ketua di jabatan.
Saya mengangguk.
Terkilan tidak, gembira pun tidak. Mengambilnya sebagai maklumat, bahawa cita-cita saya itu menuntut diri untuk lebih berdikari.
Tetapi Ustaz Bukhari Lubis yang marah.
Beliau kecewa dengan reaksi ketuanya.
“Anta doakanlah ana naik pangkat jadi ketua jabatan. Biar ana ubah birokrasi-birokrasi yang merugikan itu. Bukan senang untuk mencari anak muda yang sanggup mengkaji apa yang anta kaji. Tetapi kerana birokrasi, itu sahajakah yang boleh dikata? Ustaz Bukhari Lubis merungut.
Kami sama-sama melangkah meninggalkan Fakulti Pengajian Islam UKM.
Beberapa butir nasihat beliau bekalkan.
Pertemuan pertama dan terakhir. Saya teruskan perjalanan.
Perjalanan mengkaji sejarah dan tamadun Dawlah Uthmaniyyah, untuk memulangkan kebaikan kepada masyarakat.
Tetapi perjalanannya terasa begitu sukar.
Apa yang dirancang, adalah tadbir insani.
Insan yang dibelenggu oleh pelbagai kemanusiaannya yang melemahkan sebuah perancangan.
Impian saya tidak menjadi.
Pengajian di Jordan bergelombang hingga ke hujung tanduk. Saya berhijrah ke Eropah, bekerja sebagai Imam. Pulang ke Malaysia, terjun ke alam pekerjaan, yang menjauhkan diri daripada impian semalam.
TANGGA KEMASYHURAN
Saya mengukir nama di pelbagai bidang. Penulisan, motivasi, ustaz radio dan tv, biar pun perlahan, saya mendaki sedikit demi sedikit tangga kemasyhuran.
Kemasyhuran yang menjadi impian sesetengah orang.
Tetapi kemasyhuran yang mendera saya di dalam diam.
Ia bukan apa yang saya mahukan. Biar pun manfaat dan kebaikannya tidak saya nafikan, cinta saya kepada bidang sejarah tidak pernah padam. Saya mahu kembali ke buku dan kajian. Saya mahu sejarah dipelajari bukan sebagai bahan permainan.
Saya bukan ‘kecewa’ hanya untuk diri saya sendiri. Tetapi kecewa untuk masyarakat. Tanpa masyarakat sedari, ada keperluan mereka sendiri yang saya hampakan.
Bersama Kang Abik dan Dr Raja Iskandar dalam forum di UTP
Malaysia Hari Ini TV3
Tambahan pula semakin lama, Turki semakin popular, tetapi hanya popular sebagai destinasi pelancongan. Berebut-rebut orang ke Turki melihat masjid, melihat istana. Pulang ke Malaysia, bersama foto dan cerita. Dan tamat begitu sahaja.
Turki bertambah popular, semakin ramai yang kenal Erdogan dan Davudoglu. Bertambah juga mereka yang menamakan anak masing-masing dengan al-Fatih.
Buku demi buku, artikel majalah demi artikel majalah, semakin banyak dihasilkan. Tetapi kebanyakannnya masih ‘permainan’ dan belum menjadi sebuah ILMU untuk tamadun bersandar. Dawlah Uthmaniyyah memerlukan pengkaji yang mengkaji dokumen-dokumen berjumlah lebih 92 juta itu. Dikaji untuk mencari knowledge gap yang tulen untuk diisi dengan ilmu yang dihalusi.
Dawlah Uthmaniyyah di Malaysia, masih jauh daripada kesarjanaan.
Profesor Mohd Redzuan Othman semakin senior. Generasi muda masih lengah menyambut tugasan.
KEMBALI KE MEJA BACA
Saya mencuba di UIAM.
Rezeki tidak di situ.
Biar pun pengajiannya amat bagus, berguna dan saya meletakkan penghargaan tertinggi pada setiap bait ilmu yang dikutip di taman ilmu dan budi itu, Dawlah Uthmaniyyah bukan pengkhususannya. Kelemahan saya, bidang itu tidak berakhir dengan baik. Saya gagal menamatkan pengajian, kecundang dalam peringkat penulisan tesis di sebuah universiti yang kurang melatih.
Saya kembali ke medan populis.
Medan yang memberikan banyak perkara yang saya perlu, tetapi semakin menjauhkan saya daripada apa yang saya mahu. Medan yang memberikan masyarakat banyak yang mereka mahu, tetapi semakin menjauhkan mereka daripada apa yang mereka perlu.
Akhirnya pada tahun 2012, saya nekad meninggalkan segalanya.
Saya kembali ke meja baca. Di UKM yang membuka laluan untuk saya mengejar cita-cita. Biar pun Prof Bukhari Lubis sudah lama meninggalkan UKM ke UPSI, pensyarah-pensyarah semasa tidak kurang handal mereka. Para pensyarah saya, memberikan galakan sepenuhnya, kepada tumpuan saya mengkaji Dawlah Uthmaniyyah.
Biar pun era Sultan Abdul Hamid II telah beralih ke zaman-zaman yang lebih awal kira-kira 300 tahun sebelumnya, tuntutannya masih serupa. Saya perlu mencari jalan untuk belajar semula Bahasa Turki. Syarat pertama untuk menjadi pengkaji sejati.
Ketika diri sudah berkeluarga, isteri berkerjaya dan empat cahaya mata, aturan fokus saya tidak lagi seperti sebelumnya. Saya mesti lebih selektif memberi tumpuan. Dan dalam pertambahan umur, rambut yang gugur di meja baca, dan yang putih bertambah di kepala, saya menginsafi batasan masa, bahawa saya sudah kehilangan banyak ruang usia.
HATI BERBUNGA-BUNGA
Namun hati saya kembali berbunga-bunga, apabila Februari 2012 saya dipertemukan dengan sekumpulan anak muda di Turki. Saya tidak kenal mereka. Mereka juga tidak kenal saya. Mereka datang ke Turki, untuk memenuhi sebuah tuntutan. Bahawa Malaysia memerlukan sarjana, kali ini mendapat latihan ilmiah di bumi Uthmaniyyah.
Saya bertaaruf dengan anak-anak Malaysia yang sungguh mengujakan saya. Bersama Imad dan Azri yang menyambut saya di Lapangan Terbang Ataturk, saya bertaaruf pula dengan sebahagian lagi di kediaman mereka di Mobilyacilar. Sesuatu yang terlalu di luar jangkaan. Bahawa selepas lebih 10 tahun saya meninggalkan Turki, kini ada anak Malaysia yang belajar di sini. Malah dengan biasiswa oleh kerajaan Turki. Manakala sebahagiannya dengan biasiswa universiti.
Sesuatu yang hanya mampu saya lakarkan di dalam mimpi.
Dan antara yang ramai itu, pada malam pertama saya di Istanbul, saya berkenalan dengan dua anak muda yang belajar di bidang sejarah. Halim dan Ammar.
“Ayah ana masih ingat dengan ustaz. Beliau sedih juga sebab ustaz tidak terus mengkaji sejarah. Sedikit sebanyak, saya berada di Turki kerana kejadian pertemuan ayah dengan ustaz, di UKM dahulu!” kata Halim.
Saya terlopong.
Halim adalah anak Prof Bukhari Lubis.
Dan beliau juga adalah bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, sekolah saya.
Halim masih di peringkat menghabiskan kursus persediaan bahasa beliau, sebelum menyambung pengajian di bidang sejarah di Universiti Bogazici, Istanbul.
“Ana baru selesai tahun satu di Universiti Marmara” kata anak muda yang nampak pendiam itu.
Ahmad Ammar memperkenalkan dirinya.
“Di Goztepe?” saya bertanya.
“Ya” beliau tersenyum.
Saya pernah ke Goztepe kira-kira 15 tahun yang lalu. Bertemu dengan pensyarah-pensyarah jabatan untuk mendapat nasihat mereka. Saya ke sana bersama Ustaz Adnan Cevik, pelajar PhD di situ.
Ahmad Ammar adalah anak kepada Tuan Haji Ahmad Azam, mantan Presiden ABIM. Saya mengetahui tentang beradanya Ammar di Istanbul melalui saudaranya yang saya temui di Dubai, semasa dalam perjalanan ke Istanbul.
“Beliau pelajar cemerlang SPM di RMC. Tetapi memilih ke Turki untuk belajar sejarah. Ustaz jumpalah dengan dia nanti” kata saudara Ammar, usai ceramah Maulidurrasul saya di Dubai sehari dua sebelumnya.
Saya teruja berkenalan dengan Ammar dan Halim.
Akhirnya impian saya, disambut oleh generasi adik-adik yang lebih mewah peluang dan masa. Impian Sultan Abdul Hamid II untuk melihat sejarawan asing membela kebenaran.
Sepatutnya saya cemburu. Tetapi saya terlalu tua untuk cemburu. Ia pantas menjadi sebuah rasa gembira, syukur dan bangga. Ungkapan saya kepada Ammar dan rakan-rakan, “kalian berjaya hidup dalam sebuah realiti hari ini yang merupakan impian saya semalam”
CABARAN TERSENDIRI
Semasa di Istanbul, saya meluangkan masa berbincang dengan Ammar, Halim dan sahabat-sahabat mereka yang menuntut di sana, tentang banyak persoalan.
Ammar menyuarakan keprihatinan beliau tentang program pengajian Sejarahnya yang ketiadaan elemen ‘Ilahiyat’ untuk membentuk pandangan hidup Muslim. Ia penting kerana Ammar bukan hanya mahu menjadi sejarawan, tetapi sejarawan yang jati diri dan dasar intelektualnya adalah ISLAM.
Elemen yang Ammar persoalkan itu adalah salah satu sebab mengapa saya bersyukur dengan laluan ‘bukan pilihan’ yang saya lalui sebagai pelajar Syariah di Jordan. Asas penting dalam ilmu Islam, untuk membentuk pandangan hidup (Weltanschauung) dan epistemologi tsaqafah (Wissenschaftslehre), akan menjadi cabaran besar buat Ammar, juga Halim, sebagai pelajar Sejarah semenjak peringkat sarjana muda.
Sejarah yang dipelajari dalam kerangka sains sosial tulen.
Hidup ini memang begitu.
Win some, lose some!
Namun di situlah saya ingin berperanan. Membantu adik-adik. Mereka tidak perlu sunyi dan terkapai-kapai seperti saya. Mereka tidak boleh mengulangi kesilapan saya.
Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang timbul, masa perbualan kami membataskan perbincangan. Saya cadangkan kepada mereka, apabila pulang bercuti di Malaysia nanti, datanglah ke rumah saya. Dalam suasana yang lebih kondusif, saya merancang untuk menghimpunkan beberapa buah buku dan artikel, untuk saya serahkan khusus kepada Ammar dan Halim, juga untuk manfaat sahabat-sahabat yang lain, demi membentuk disiplin Islam dalam minda sejarawan mereka.
Buku yang saya simpan untuk diberikan kepada Ammar dan Halim
Saya juga mengambil peluang untuk menemukan mereka dengan beberapa kenalan saya, yang kebetulannya sudah menjadi orang-orang yang berpangkat, serta signifikan untuk kelancaran perancangan akademik mereka.
Semasa di Istanbul, saya temukan Halim dan Syafiq dengan Dr. Hasan Tuncay Basoglu di İslami Araştırmalar Merkezi (İSAM) . Hasan adalah bekas ahli rumah saya, dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Direktor di Pusat Kajian Islam berkenaan.
Selepas perjalanan ke Birgi bersama Nabhan dan Halim, saya membawa Saifuddin Shaharuddin, Halim Khayat dan Ammar yang datang dengan bas dari Istanbul ke Ankara, ke rumah sahabat saya, Dr. Cenksu Ucer. Cenksu adalah teman sebilik saya semasa di Jordan dan kini bertugas di Diyanet Vakfi, Ankara.
Kami berbual dan berbual.
Terlalu banyak persoalan berbangkit. Tidak sempat dibual sepenuhnya.
Saya kembali ke Malaysia, meneruskan pengajian di semester dua.
CUTI MUSIM PANAS
“Ana dan rakan-rakan akan balik bercuti di Malaysia pada musim panas ini. Harap dapat bertemu ustaz. Banyak yang kami hendak bincangkan” Ammar memberitahu saya melalui Facebook.
Arif juga ada memaklumkan perkara yang sama.
Halim Khayat, Saifuddin, Nabhan dan ramai lagi pelajar Malaysia yang saya temui di Turki, akan balik bercuti.
Hati saya begitu gembira, Saya ceritakan kegembiraan itu kepada pensyarah dan rakan di UKM. Saya membayangkan 5 ke 10 tahun akan datang, kekosongan bidang kajian Dawlah Uthmaniyyah akan mula terisi, dengan anak-anak muda ini.
Tetapi sepanjang cuti, Ammar dan rakan-rakan yang lain sibuk dengan pelbagai aktiviti. Saya terkenang pengalaman lama saya semasa menuntut di Jordan. Biar pun tiga bulan kedengarannya seperti panjang, masa itu akan berlalu begitu pantas. Tambahan pula, Ammar aktif mengikut ibu bapanya ke Indo China, Indonesia dan beberapa destinasi lain untuk program bantuan kemanusiaan. Saya memerhatikan dengan senyuman aktiviti-aktiviti itu melalui Facebook beliau dan rakannya.
Sempat juga sesekali saya menyapa ibu Ammar, Puan Nur Azlina, mengucapkan tahniah kepada beliau dan suami. Saya juga terkenang beberapa minggu sebelumnya saya sempat berforum bersama Profesor Shaharuddin, ayahanda Saifuddin di dalam sebuah program wacana politik pasca pilihanraya di Bangi.
Biar pun masih panjang cuti berbaki, tanpa diduga, saya pula terbang ke Istanbul untuk menyertai sebuah summer school anjuran IBA dan Yunus Emre Institute. Sebulan di sana, jadual saya begitu padat. Saya hanya sempat bertemu sebentar dengan Syafiq, Halim dan Imad di Istanbul.
Kami tidak sempat berjumpa.
Biar pun ada rasa terkilan tidak sempat berjumpa, saya sentiasa gembira untuk mereka. Saya doakan agar perjalanan mereka dalam kelana menuntut ilmu dilindungi Allah dalam kebaikan.
Dua minggu lalu, Ammar menghantar mesej kepada saya menceritakan tentang pelan pengajian beliau bagi sesi 2013/2014 ini yang kelihatannya lebih menjurus dan mencabar.
SESUATU YANG TIDAK DIDUGA
Sabtu malam Ahad, 3 November 2013…
Saya terbaca kemaskini status di akaun Facebook Syafiq.
Seorang rakan sepengajiannya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan.
Allah!
Siapakah dia. Saya mencari-cari maklumat.
Saya pantas terbaca pula di akaun Facebook adinda Muhammad bahawa anak muda yang dimaksudkan itu adalah Ahmad Ammar bin Ahmad Azam!
Pandangan saya gelap. Terasa bagai mimpi. Mustahil!
Sedikit demi sedikit saya mendapat tambahan maklumat daripada beberapa rakan yang lain, nyata ia bukan mimpi.
Ammar telah pergi.
Beliau telah dilanggar oleh sebuah ambulan ketika menyeberangi jalan.
Kepahitan kehilangan lima sahabat dalam kemalangan jalanraya di Jordan pada tahun 1995 dahulu pantas menerjah memori. Sesungguhnya mati itu pasti.
Mati itu benar.
Kitalah si ‘bodoh’ yang sering alpa dan melupakannya.
Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata. Air mata degil untuk keluar. Kepala masih berdenyut sakit untuk memahami apa yang berlaku. Hinggalah keesokan paginya, apabila saya bersalam dan memeluk Tuan Haji Ahmad Azam, ayahanda Ammar dan bertemu dengan Puan Nur Azlina, bondanya, yang kedua-duanya berangkat ke Istanbul untuk menguruskan insiden ini, hati saya berkecai.
Saya menangis di dalam kereta.
Kemalangan dan kehilangan ini adalah sebuah tragedi yang terlalu besar buat mereka berdua sekeluarga. Selain Ammar sebagai satu-satunya anak tunggal lelaki dalam keluarga, beliau juga menempuh kehidupan yang terancang dengan baik untuk mendukung cita-cita ummah, yang dinobat sebagai cita-cita keluarga.
“Tidak mengapalah ustaz. Kita sudah rancang sebaik mungkin. Tetapi kehendak Allah itu lain. Kita carilah lagi anak-anak muda lain untuk meneruskannya” kata Tuan Haji Ahmad Azam.
Optimis, biar pun tergaris kesedihan yang mendalam pada riak senyumnya.
“Terima kasih ustaz kerana sudi datang. Ammar selalu sebut tentang ustaz kepada akak. Kita doakanlah dia” ujar Puan Nur Azlina.
Ibu yang sentiasa kuat dan tenang, pada memelihara perasaannya sebagai bonda yang kehilangan anak tersayang.
Pemergian Ammar adalah sebuah kedukaan yang tidak terungkap oleh kata-kata bagi ibu bapanya dan keluarga.
Namun untuk ‘orang luar’ seperti saya, kehilangan Ahmad Ammar adalah suatu kesedihan yang amat mendalam. Kesedihan bukan pada secebis KENANGAN yang singkat itu, tetapi pada sebuah HARAPAN, yang saya terlalu miskin untuk menunaikannya.
Mengapakah usaha untuk menghasilkan seorang sarjana sejarawan Melayu Muslim, yang bertutur di dalam bahasa Turki dan menguasai bidang kajian Dawlah Uthmaniyyah, terlalu sukar untuk dipenuhi? Sepertinya melahirkan seorang saintis dan jurutera bertaraf dunia itu lebih mudah daripada tugas fardhu kifayah yang satu ini!
Allah, ampunkan saya
Kesedaran pentingnya Dawlah Uthmaniyyah
Jatuh ke hati manusia seperti saya
Yang terbelenggu oleh 1001 kelemahan
Tinggi harapan, terkeliru dengan angan-angan
Banyak bermain, yang disangkakan pekerjaan
18 tahun sudah terlalu lama
Bahasa Turki sepatutnya sudah fasih bicara
Kelulusan akademik seharusnya sudah mendapat lesen sarjana
Namun semuanya masih di awang-awangan
Terus menjadi bayang-bayang yang berkejaran
Ey Rabbim günahımı affet!
أن رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم مُرَّ عليه بجنازةٍ، فقال: مُستريحٌ ومُستراحٌ منه . قالوا: يا رسولَ اللهِ، ما المستريحُ والمستراحُ منه ؟ قال: العبدُ المؤمنُ يَستريحُ من نَصَبِ الدنيا وأذاها إلى رحمةِ اللهِ، والعبدُ الفاجرُ يَستريحُ منه العبادُ والبلادُ، والشجرُ والدَّوابُّ
Sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah dibawa melintas di hadapan baginda sekujur jenazah. Lalu Baginda bersabda:
Yang berehat (mustarih), dan yang berehat pihak lain daripadanya (mustarah minhu).
Sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan mustarih dan mustarah minhu itu?
Jawab Baginda, “seorang hamba yang mukmin, (apabila mati), dia berehat daripada kepenatan dunia dan kesakitannya, kepada rahmat Allah. Manakala hamba yang ingkar, (apabila mati), berehatlah daripadanya sekalian hamba yang lain, dan tanah air, pokok yang tumbuh, dan haiwan yang melata!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Tenanglah adinda Ahmad Ammar, dalam persemadian abadinya di pinggir Constantinople, di sisi Abu Ayyub al-Ansari radhiyallahu anhu.
“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!” – Abu Ayyub al-Ansari r.a. 44H
Salam rindu, hingga di Syurga nanti mudah-mudahan kita bertemu!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (129) Pelawat
October 29, 2013
Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween
“Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak kami supaya mereka tidak sibuk menyambut Halloween hujung minggu ini?” tanya seorang bapa kepada saya.
Beliau sedang menunggu Sunday School tamat tengah hari itu untuk mengambil si anak.
“Sulit. Aktiviti membuat kostum, menyiapkan bakul gula-gula, melukis poster, mengukir labu, semua itu sangat menarik perhatian anak-anak, bukan? Tempting!” saya membetulkan ketayap di kepala.
“Betul, Imam. Memberitahu anak-anak bahawa segala keseronokan itu bertentangan dengan Islam memang sulit. Saya masih mencari alternatifnya, ” kata si bapa.
“Mungkin di sinilah kesilapan ibu bapa. Ada yang kuat semangat Islam, menentang sambutan harijadi, tetapi yang ditentang bukan sekadar konotasi ‘tidak Islamik’ pada sambutan harijadi itu, malah memberi hadiah kepada anak-anak pun tanpa disedari turut ditentangnya. Padahal, jika birthday itu salah sekali pun, memberi hadiah dan menyatakan penghargaan kepada anak-anak adalah Sunnah,” saya berkongsi pandangan.
“Betul. Tak sambut birthday, jangan sampai tak pernah beri anak hadiah,” tambah beliau.
“Tak bagi anak berseronok menyambut Halloween, janganlah semasa Aidilfitri pun bapa tidak bercuti untuk bergembira dengan keluarga,” saya turut menokoknya.
Kelas sudah tamat.
Anak-anak sudah keluar dari kelas dan berlari-lari turun naik tangga masjid.
Pada suatu ketika, saya dan guru-guru pening kepala dengan kerenah mereka yang sangat suka berlari di dalam bangunan masjid hingga bergegar bagai gempa bumi. Tetapi apabila memikirkan rumah Victorian masing-masing yang sempit dan berbilik-bilik, maka masjid jualah bangunan lapang yang dilihat di mata mereka seperti trek balapan!
Kawal sahaja, tidak kuasa melarangnya.
MURID TUA
Keghairahan menyambut Halloween bukan hanya mengHANTUi kanak-kanak, malah turut menggeletek naluri murid tua daripada kalangan anak muda di universiti. Andaikata mereka itu remaja yang lahir dan membesar di negara Barat, tidaklah sukar untuk difahami dari mana keinginan itu dirangsang. Tetapi jika mereka baru setahun dua menjenguk negeri orang dan ghairah mahu menyertai apa sahaja yang dilakukan massa, ia lebih kepada masalah kejutan budaya berbanding survival identiti yang dialami oleh American atau British Muslim generasi kedua dan ketiga.
“So, bolehkah ustaz kami menyambut Halloween?” tanya pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Ireland, tanah Celtic tempat lahirnya Samhain, Halloween dalam lingkungan Paganism di suatu ketika dahulu.
“Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad untuknya,” saya melayan soalan yang ditanya.
Menjawab secara reverse psychology.
Nampak ceria di wajah pelajar yang bertanya, kerana seperti bakal menerima kurniaan keharusan menyambut Halloween daripada Ustaz Hasrizal. Bolehlah nanti dialasankan, harus menyambut Halloween menurut Ustaz Hasrizal!
“Ia bergantung kepada tahap sensitiviti kamu kepada agama. Tahap kepentingan Allah dalam hidup kamu” saya menyambung.
Berubah sedikit wajahnya.
“Jika kamu anggap, yang salah di dalam Islam hanya jika kamu sujud ke salib di gereja atau menyembah berhala di kuil dan tokong, maka Halloween tidaklah sampai ke situ. Walaupun ia adalah amalan Pagan yang lebih merupakan Festival of the Dead, hari ini perayaan Halloween sudah terpisah daripada sejarahnya. Saya rasa, hanya segelintir kawan Irish kamu yang sedar akan asal usul Halloween ini,” saya meneruskan jawapan.
“Betul ustaz. Sudah jadi budaya, bukan lagi agama. Macam Chinese New Year!” sampuk pelajar itu.
“Budaya sekular!” tokok seorang lagi.
Saya mengiyakan kata-kata mereka.
Halloween dengan sejarahnya yang penuh dengan tahyul itu, tidaklah disambut hari ini dengan kepercayaan yang sama. Labu Jack-o’-lantern itu bukan lagi untuk membantu roh Jack merayau antara langit dan bumi, atau untuk menghalau hantu.
Tetapi tanpa semua itu, Halloween masih Halloween.
Bagaimanakah tahap sensitiviti kita kepada isu-isu berikut?
IMITASI JAHILIAH
Islam mementingkan proses memelihara jati diri penganutnya. Tersendiri dan beridentiti.
Selain cara berpakaian yang ada kod tertentu berkaitan aurat sebagai asas dan keperluan memelihara janggut bagi lelaki, Islam juga menegah perbuatan meniru trend kaum lain yang menghilangkan identiti Islam seorang Muslim. Justeru Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
“Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]
Walaupun hadith ini lemah kerana wujudnya perawi bernama `Abdullah ibn Luhay’ah, ia diperkukuhkan oleh pelbagai riwayat lain yang memperincikan penegasan yang sama oleh Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam seperti penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak.
Tegasnya, meraikan Halloween itu melucutkan jati diri Muslim, dan meniru identiti kaum yang mensyirikkan Allah dan meraikan kufur sebagai gurau senda harian.
PERGAULAN BEBAS
Sambutan Halloween sama ada di jalanan atau di parti-parti yang dianjurkan, sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Bercampur aduk di antara lelaki dan perempuan dalam suasana liar, malah keliru di antara lelaki dan perempuan kerana kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam.
Malah Halloween sangat sinonim dengan pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Biar pun jenayah ini mengalami normalisasi akibat budaya Barat yang bertolak ansur malah menerima seks bebas ini, bagaimana pula dengan Islam, al-Quran, kubur, Akhirat, Syurga, Neraka dan Allah Subhanahu wa Ta’aala itu sendiri?
Soalnya sejauh manakah sensitiviti kita terhadap hal tersebut?
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan)” [al-Israa' 13: 32]
Halloween adalah pakej lengkap untuk anak muda mendekatkan diri kepada zina.
MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM
“Trick or treat?!” sergah anak-anak muda di pintu rumah.
Tuan rumah mempunyai dua pilihan.
Sama ada melayan ‘hantu-hantu’ yang datang ke muka pintu (treat), atau disumpah dengan sial di dalam sejarah atau helah mengena yang dikenakan mengikut kreativiti mereka (trick).
Mengetuk pintu rumah pada waktu malam untuk gurau senda versi Halloween ini amat mengganggu ketenteraman awam. Orang tua dan bayi kecil adalah golongan yang paling terjejas. Tambahan pula dengan penyertaan mercun, Halloween sangat mengganggu malah bisa juga memudaratkan orang lain.
Ia bertentangan dengan definisi Muslim yang disebut oleh Rasulullah sallallaahu `alayhi wa sallam:
“Seorang Muslim itu ialah seseorang yang para Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [Muttafaq 'alayhi]
Muslim mengambil berat dan membantu jiran tetangga.
Muslim tidak menyusah dan mengganggu mereka.
PEMBAZIRAN
Matlamat baiknya tiada.
Belanja meraikan Halloween membabitkan wang dan masa.
Kombinasi antara wang dan masa yang dibelanjakan dengan matlamat baik yang tiada, menghasilkan formula pembaziran.
Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh peniaga-peniaga yang menjual kostum serta segala peralatan untuk menyambut Halloween? Berapakah penjimatan yang boleh dilakukan apabila kita tidak menjadi manusia yang sentiasa mengikut trend, buat apa yang orang lain buat, beli apa yang orang lain beli, pakai apa yang orang lain pakai?
Ada saudara mara yang kesusahan, ada anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan, ada tanggungjawab belajar yang memerlukan buku serta pelbagai proses pembelajaran lain yang perlu diutamakan, mengapa Halloween jadi pilihan?
“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [al-Israa' 17: 26-27]
Ada banyak bentuk pembaziran lain yang menjadikan kita saudara Syaitan. Tetapi membazirkan wang dan masa untuk Halloween, adalah acara rasmi menjadi saudara Syaitan dengan sokongan kostum dan kegilaan laku.
LAGHA
Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha.
Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di Akhirat.
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” [al-Mu'minun 23: 1-3]
Usaha seorang Mukmin mencegah dirinya daripada terbabit dengan sambutan Halloween adalah sebahagian daripada sikapnya yang perlu berterusan pada mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Jelas sekali keupayaan mengawal diri agar kehidupan terisi dengan manfaat, kebajikan dan kebaikan, adalah sikap-sikap manusia berjaya, dan selayaknya golongan yang berjaya itu didahului oleh Mukmin yang sudah sedia menerimanya sebagai sebahagian daripada tujuan hidup.
PENTINGKAH SEMUA ITU?
“Berbalik kepada persoalan asal tadi, pentingkah semua itu kepada kita?” saya mengejutkan pelajar daripada lamunan mereka.
“Nasihat saya ini tidak relevan jika Halloween mahu dihindarkan, sedangkan majlis tari menari, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas dan semua itu masih menjadi kebiasaan harian kita. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti anda. Ia besar bagi seorang Mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Ia remeh bagi Muslim yang lebih cenderung untuk menjamu nafsunya berbanding tujuan hidup yang tinggi. Terpulang.” saya menyudahkan sesi soal jawab.
Teringat kembali kepada sambungan perbualan saya bersama ibu bapa pelajar Belfast Islamic School.
Kami para guru menganjurkan kepada ibu bapa pelajar supaya berhemah dalam menerangkan hal ini kepada anak-anak. Jangan sampai nanti, ada anak-anak yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka menjadikan agama sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan belanja, mengongkong anak-anak sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang mematuhi agama.
Pastikan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha cukup manis untuk dikenang oleh anak-anak. Elakkan bekerja pada hari perayaan kaum Muslim yang dianugerahkan Allah dan Rasul ini.
Berikan keyakinan kepada anak-anak untuk berani tersendiri. Mempunyai identiti dan tidak sentiasa terpaksa serupa dengan orang lain.
Jika terdesak, cutikan sahaja anak-anak daripada hari persekolahan ketika parti Halloween diadakan.
Dan apa yang lebih utama, jadikan Islam benar-benar sebagai sistem nilai keluarga. Jangan tunggu Halloween baru mahu ‘menggunakan’ Islam.
Dalam situasi seperti ini, ‘presenting problem’ yang ada di depan mata adalah Halloween. Tetapi ‘the real problem’ yang perlu diberikan perhatian ialah, di mana Islam dalam hidup kamu?
Soalan itu semakin ganjil apabila ia dirujuk kepada keghairahan warga Malaysia menyertai Halloween kebelakangan ini.
Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu `anhu bahawa Nabi sallallahu `alayhi wa sallam telah bersabda:
Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (13) Pelawat
October 24, 2013
Antara Kekuatan Amal Dan Retorik Kata
Semasa ucapan meninggalkan pejabat pada tahun 2004, Pakcik Mehmet Kayacan tidak menyebut sokongan beliau kepada calon yang bakal bertanding, sama ada calon partinya, AKP mahu pun parti lawan, MHP. Beliau hanya menyatakan bahawa, apa yang paling penting ialah berkhidmat untuk kebaikan penduduk Bolvadin. Sesuatu yang ditunaikannya sepenuh hati selama 10 tahun memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Bolvadin,
Akibat ucapannya itu, kedua-dua calon ‘terpaksa’ bercakap tentang perancangan masing-masing untuk Bolvadin, tanpa menyerang satu sama lain. Bercakap tentang perancangan masing-masing. Tidak mengungkit kelemahan sesiapa. Kedua-duanya takut menjadi si ‘penjahat’ di mata penduduk.
Ia memberi kemenangan moral.
Para pemerhati politik memuji kebijaksanaan Mehmet Kayacan dan mengatakan bahawa strategi itulah yang menyebabkan calon AKP menang. Kemenangan beliau selama 10 tahun, dan diikuti dengan kemenangan Ahmet Naci Helvaci, juga dari AKP, sudah tentu hasil strategi tinggi, kebijakan mithali yang harus dicontohi.
Mereka mahu mengkaji apakah pemikiran beliau.
Fatih Kayacan yang menceritakan kisah ini kepada saya ketawa tempoh hari.
“Ayah tidak ada apa-apa falsafah dan pemikiran yang menjadi sandaran. Dia hanya buat apa yang diyakininya betul, berdasarkan agama yang menjadi pegangan. Percayalah, kalau wartawan tanya ayah, inilah jawapannya” kata Fatih.
Susuk tubuh kecil Datuk Bandar Bolvadin itu, menamatkan perkhidmatannya tanpa sebidang tanah, mahu pun sebuah kereta, sebagai manfaat memegang jawatan berkenaan. Beliau tinggal di rumah pusakanya di Eyüp, dan mengekalkan gaya hidup dan pemikiran mudah, supaya mudah ke Syurga!
Simple, tidak semestinya simplistik.
Jargon, tidak semestinya juara.
Kekuatan adalah pada amal, bukan retorik bermain kata.
Tiba masanya, anakanda beliau Fatih Kayacan turun ke medan perkhidmatan. Fatih merupakan calon AKP untuk Pilihanraya Majlis Perbandaran Bolvadin yang dijadualkan awal 2014 akan datang ini, Insha Allah.
Saya doakan kejayaan beliau, amen.
Halaman Facebook Kempen Fatih Kayacan
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (49) Pelawat