Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 55
January 20, 2014
Perjalanan Idea Berkenderaankan Kecekalan Jiwa: Tiba di Birgi
“Rugilah kita tukar wang di bank” Halim tidak seronok dengan pilihan yang ada.
“Tak apa. Ana pun, tukar wang tidak banyak mana” saya memberi justifikasi.
Puas kami berpusing di keliling bandar Manisa, tetapi tidak bertemu dengan tempat menukar wang. Akhirnya, kami perlu membuat prioriti bahawa masa lebih utama. Korban beberapa Lira kerana kadar tukaran wang asing di bank lebih rendah berbanding dengan Döviz Bürosu (Money Changer).
Selesai menukar wang, perut kami yang berkeroncong mencari-cari kebab Manisa yang sahabat saya Abdullah Taha katakan. Tetapi rasa lapar yang bersangatan, tambahan pula kami perlu segera bertolak ke Birgi dan cuba tiba di sana sebelum gelap, maka akhirnya saya, Nabhan dan Halim mengambil keputusan untuk singgah sahaja ke sebuah kedai Lahmacun.
“Selamat datang” Pakcik di dalam kedai itu menyambut kami.
Beliau dan anak mudanya beriya-iya menyediakan hidangan kami dan berusaha memastikan segala permintaan kami tertunai.
“Presiden Abdullah Gul melawat Mohamed Morsi di Kaherah nampaknya tu” saya memandang ke arah televisyen.
Rasanya baru sahaja Presiden Iran melawat Mesir. Hari ini Presiden Turki pula. Saya teruja melihat semangat para hadirin di dewan menyambut rombongan dari Turki.
“Ustaz rasa, Mesir dan Morsi ini bagaimana?” tanya Nabhan.
“Ana pun tidak pasti. Antara gembira, bersyukur dan bimbang” saya menjawab.
Sambil berbual, mulut kami terus mengunyah Lahmacun Manisa yang enak itu. Siaran langsung di televisyen juga memperlihatan kenyataan Abdullah Gul dan Morsi berkaitan dengan Palestin yang akan terus diberi kemudahan bersama, juga kebimbangan tentang perang saudara yang baru meletus di Syria.
Tentu sahaja saya berkongsi rasa gembira sebagaimana umat Islam lain di seluruh dunia. Membayangkan Mesir tanpa Hosni Mubarak, adalah seperti mimpi. Untuk melihat Hosni Mubarak diganti dengan Mohamed Morsi, itu lebih luar biasa. Tetapi dalam hidup ini, apabila berlakunya sesuatu sebagai too good to be true, rasa bimbang itu datang. Adakah kemenangan Morsi di Mesir bererti penderitaan umat Islam di Palestin juga akan berakhir?
Semenjak saya boleh berfikir di usia kanak-kanak, Palestin itu begitu.
Konflik.
Peperangan.
Tetapi Tunisia sudah tiada Ben Ali.
Libya sudah tiada Muaammar Gaddafi.
Dan kini Mesir sudah tiada Hosni Mubarak.
Dunia Arab menuju fasa baru.
Dan Palestin tanpa regim Zionis, ia bukan mimpi.
Saya teringat kepada catatan Hasan al-Banna di dalam buku al-Thariq ila al-Qulub oleh Abbas al-Sisi. Katanya,
Wahai saudara sekalian,
Janganlah kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan akhlaq orang Islam. Hakikat hari ini adalah impian semalam. Impian hari ini bakal menjadi realiti esok. ٍSesungguhnya ruang masa itu masa luas dan anasir yang sejahtera itu masih kukuh dan gagah di dalam jiwa anak bangsamu yang beriman biar pun kemusnahan begitu menggila. Yang lemah, tidak akan lemah sepanjang hayatnya dan yang gagah juga tidak akan gagah selama-lamanya.
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka sebagai pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” [Al-Qasas 28: 5-6]
Perubahan besar berlaku di Turki selepas Recep Tayyib Erdoğan dan AKP berjaya mengusahakan pemulihan ekonomi negara. Sedangkan Mesir masih dibelenggu oleh kemiskinan.
“Hari itu Fatih Kayacan ada beritahu ana meminta supaya ana menulis tentang Ergenekon, Derin Devlet. Kerajaan dalam kerajaan. Katanya, itu adalah lubuk masalah di Turki dan ana perlu menulis agar masyarakat faham” saya melangsaikan Lahmacun berbaki.
“Ustaz ada bahan-bahannya?” tanya Halim.
“Itu ana perlukan bantuan antum. Atau sebenarnya, antum yang patut menulis topik-topik sebegini. Ana rasa itu adalah sumbangan terbesar yang antum boleh lakukan iaitu dengan menulis perkembangan semasa di Turki untuk bacaan kami di Malaysia. Dan ia cara kalian mengasah kemahiran menganalisis. Bacaan politik berbeza daripada bacaan biasa. Ia memerlukan minda yang tajam untuk memahami realiti yang berlapis-lapis” saya menjawab.
Usai menghabiskan makanan, anak tauke Lahmacun kami begitu teruja mahu bergambar. Kami juga mengucapkan terima kasih atas layanan baik yang diberikan mereka. Sebuah kedai kecil, yang tiada dalam peta pelancongan, ada hati yang kaya dengan jiwa memuliakan tetamu. Sesuatu yang sentiasa menjadi pautan hati saya dengan Turki.
Melihat kepada peta, rasanya Birgi tidaklah begitu jauh. Tinggal sekitar 100km sahaja lagi.
Dari Manisa kami memandu ke arah Tenggara melalui beberapa bandar kecil seperti Turgutlu dan Ahmetli.
“Cantik betul gunung tu? Somehow itu yang ana suka bermusafir di Turki di waktu seperti ini. Ada bahagian masih sejuk dan bersalji, ada bahagian mula berbunga” saya yang sedang memandu begitu teruja melihat banjaran gunung di sepanjang laluan.
Di Lebuhraya Izmir – Uşak, GPS mengarahkan kami membelok tajam ke kanan. Kereta kami keluar dari Lebuhraya menuju ke jalan yang lebih kecil.
“Nampaknya mughamarah kita baru bermula” saya berkata.
“Mughamarah itu apa?” tanya Halim.
“Pengembaraan. Adventure!” saya menjawab.
Perjalanan beratus-ratus kilometer kami perlu terisi dengan pelbagai perkara. Nasyid, celoteh, belajar bahasa, apa sahaja. Isu Bait Muslim sahaja yang nampaknya tiada sambutan!
Jalan kecil yang kami tempuh ini mula mendaki sedikit demi sedikit. Subhanallah, gunung yang saya nampak dari jauh itu tadi, rupa-rupanya menjadi cabaran yang perlu kami tempuh. Perlu didaki. Sejujurnya saya tidak pasti apakah Birgi itu di tanah rendah, atau di pergunungan. Mungkin Birgi terletak di sebalik gunung berkenaan.
Selepas Imam Birgivi meninggalkan Istanbul dan Edirne, berpindah ke Birgi, beliau berulang alik beberapa kali antara Birgi dan Istanbul. Imam Birgivi pergi bertemu dengan Sadr-ı Azam Sokullu Mehmet Paşa dan Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi untuk menyampaikan saranan-saranan beliau tentang politik pemerintahan Dawlah Uthmaniyyah ketika itu.
Jika inilah lanskap perjalanan Birgi ke Istanbul, saya dapat membayangkan apakah jenis azam yang berada di dalam jiwa Imam Birgivi, dan tokoh-tokoh silam untuk mencapai hajat mereka. Di zaman tiada kereta, tiada telefon malah tiada internet, perjalanan idea dari satu lokasi ke satu lokasi sentiasa mengujakan saya. Idea berpindah berkenderaankan manusia-manusia luar biasa yang bermusafir dari dan kepada empat penjuru alam, demi menyampaikan apa yang mereka yakini sebagai kebenaran dan manfaat buat manusia.
“Wah, sejuknya. Sedap betul cuaca di sini” saya menggosok-gosok telapak tangan.
Kami berhenti seketika di tepi sebatang sungai yang mengalir jernih. Ada banyak gerai di tepi jalan menjual madu, stokin bulu jahitan tangan dan sudah tentu teh serta simit. Saya membeli madu asli yang nampak sangat berkualiti. Rasanya pun sangat enak. Berbaloi untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Menurut peta, kawasan pergunungan ini namanya Bozdağ” saya memerhatikan GPS.
“Kawasan main ski, ustaz. Nampak papan tanda tu?” ujar Nabhan.
Selama ini saya hanya mengenal Uludağ di Bursa sebagai lokasi ski. Fatih memberitahu, di Sapanca juga ada. Dan di kawasan terpencil ini, kami bertemu satu lagi lokasi bermain ski. Patutlah di kampung sebegini, ada sahaja kereta besar-besar yang melintasi kami.
“Kita singgah solat sini ya. Rasanya tidak sempat sampai ke Birgi sebelum matahari terbenam” saya memberi cadangan.
Halim dan Nabhan bersetuju.
Selepas berjaya bertemu dengan stesyen minyak dan menghabiskan beratus-ratus Lira untuk setangki penuh minyak disel, kami singgah di Bozdağ, sebuah kampung kecil di kaki pergunungan dengan nama yang sama. Di situlah kami berhenti untuk solat Zohor dan Asar. Mengambil wudhu’ sungguh mencabar kerana air yang begitu sejuk. Sekumpulan anak remaja yang sedang bersiap untuk bermain bola selepas bersolat Asar memerhatikan kami yang melangkah masuk ke masjid.
Entah orang negeri manalah kami ini ya.
Selepas menyambung perjalanan kira-kira 30km, akhirnya kami tiba di Birgi.
Allahu Akbar.
Terasa hilang segala letih selama ini.
Saya seperti tidak percaya. Rasa hendak menjerit sekuat hati melepaskan emosi yang terbuku di hati. Pada waktu Maghrib itu, saya memberhentikan kereta di sebuah kawasan lapang. Di tengah-tengah jalan, terdapat sebuah makam iaitu makam Hatuniye (Sultan Şah-Ümmü Sultan), saudara perempuan kepada Aydınoğlu Mehmet Bey yang memerintah Birgi pada kurun ke-14.
SEJARAH BIRGI
Melalui pembacaan, saya mendapat tahu bahawa Birgi merupakan sebuah pekan kecil di daerah Ödemiş yang merupakan sebahagian daripada wilayah İzmir. Nama Birgi itu berasal daripada nama Greek bagi bandar ini iaitu Pyrgion yang bermaksud “Menara Kecil”.
Ertinya, Birgi sudah wujud sebagai sebuah penempatan sejak sekian lama. Jauh lebih lama sebelum persinggahan Muhammad bin Pir Ali yang kemudian ternisbah nama Birgi kepadanya hingga dikenali sejarah sebagai Imam Birgivi.
Di era kegemilangan Tamadun Greco Roman, Birgi dikenali sebagai Dios Hieron yang bermaksud “Sanctuary of Zeus”). Ia kemudiannya dinamakan sebagai Christoupolis pada kurun ke-7 dan kemudiannya ditukar kepada Pyrgion bermula daripada kurun ke-12. Bandar Birgi ini pernah menjadi suffragan bagi Ephesus kerana bandar ini tidak mempunyai Cathedral ia sendiri. Menjelang kurun ke-12, Birgi menjadi bandar dengan identitinya sendiri, sehinggalah jatuh ke tangan orang Turki Muslim pada tahun 1307, dan menjadi ibu negeri bagi Beylik of Aydin. Birgi akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah pada tahun 1390.
Bandar bersejarah ini telah diwartakan sebagai World Cultural Heritage oleh ÇEKÜL (Protection and Promotion of the Environment and Cultural Heritage) semenjak 1994.
Pada mulanya kami bercadang untuk menginap di hotel-hotel di pekan Ödemiş. Syukur kepada Allah rupa-rupanya di pekan sekecil Birgi ini, ada pansiyon yang boleh disewa. Hotel kecil yang diusahakan oleh penduduk tempatan ini dikenali sebagai Birgi Çınaraltı Pansiyon.
Kredit foto: Birgi Çınaraltı Pansiyon
Saya kira bayaran TL200 satu malam untuk kami bertiga itu berbaloi. Saya juga suka dan secara sukarela gemar berbelanja untuk perusahaan kecil seperti ini. Biar pun hadith tangan yang dicium Nabi sallallahu alayhi wa sallam itu bukan hadith sahih, saya yakin Baginda amat mengasihi orang-orang yang gigih bekerja, jauh dari meminta-minta.
Selepas mendapat bilik dan mandi untuk menyegarkan diri, barulah kami tersedar yang perut sudah sangat berkeroncong. Hendak dicari makanan, tiada lagi kedai yang buka.
Alhamdulillah, pemilik pansiyon sewaan kami bersedia untuk memasakkan kami makan malam. Terung dan kentang goreng, daging kebab, dadih dan roti, segalanya rasa sungguh sempurna lagi mengenyangkan.
Cuaca yang begitu sejuk menyebabkan asthma saya mengganggu sedikit proses untuk tidur dan berehat. Alhamdulillah isteri saya sudah membekalkan siap-siapa segala ubat yang biasa menjadi keperluan saya. Inhaler salbutamol, paracetamol, predisolone (jika perlu), anti histamine serta Gaviscon andai perut meragam.
Inshaallah pagi esok penjelajahan Birgi akan bermula.
Dengan nama-Mu ya Allah aku mati dan aku hidup.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (49) Pelawat
January 16, 2014
Masjid Imam Birgivi Tempat Kuberdiri
“Antum sudah pernah datang ke bandar Balıkesir ini?” saya bertanya.
“Belum pernah” jawab Halim.
“Mengembara macam ini pun, baru sempat sekali. Kami menjejak Badi’uzzaman Said al-Nursi” ujar Nabhan.
“Tentu ada pergi ke Isparta, ya? Teringat lagi dulu-dulu, singgah di Isparta. Bunga ros di sana sini” saya berkongsi.
Mereka berdua mengangguk.
Usai menghabiskan sarapan pagi di hotel, kami segera bersiap untuk memulakan pencarian. Di bandar Balıkesir ini, saya mahu mencari Masjid Imam Birgivi. Setahu saya ia masjid baharu. Bukan masjid lama. Dan walaupun ia baharu, ia boleh menjadi bukti pengaruh Imam Birgivi dan bagaimana persepsi masyarakat semasa terhadap beliau.
SEKITAR BALIKESİR
Mungkin Balıkesir tidak menjadi destinasi popular pilihan pelancong. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkunjung ke bandar ini. Malah saya tidak sempat untuk mengetahui keistimewaan bandar ini, kecuali ia bandar kelahiran Imam Birgivi.
Akan tetapi, sama seperti mana-mana sahaja lokasi di Turki, setiap inci tanahnya mendukung sejarah yang panjang. Demikian juga Balıkesir.
Nama lama bagi Balıkesir ini ialah Karesi. Bandar yang ada pada hari ini, diasaskan oleh Karesi Beg pada tahun 1297. Selepas beberapa ketika berada di bawah pentadbirannya sendiri yakni pemerintahan Karesi Sancağı, Balıkesir telah menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah pada tahun 1345.
Dalam sejarah yang lebih moden, bandar Balıkesir ini pernah dijajah oleh Greece iaitu pada tahun 1920. Akan tetapi pada 6 September 1922, tentera Turki telah berjaya mendapatkan kembali wilayah ini. Sama seperti kebanyakan pekan di wilayah Ege mengadap Laut Marmara, elemen-elemen ‘kebaratan’ itu amat ketara. Iklan minuman keras seperti Efes itu berada di mana-mana, hingga agak menenggelamkan jati diri Islam di wilayah ini.
Terasa asing juga memikirkan Imam Birgivi lahir di sini.
BIRGIVI DI KAMPUNG KELAHIRANNYA
Imam Birgivi telah dilahirkan di Balıkesir pada tahun 1523M, dua tahun selepas pertabalan Sultan Süleyman I. Hampir keseluruhan hidup beliau adalah di bawah era sultan ini, dengan dua tahun terakhir hayatnya adalah di bawah pemerintahan Sultan Selim II.
Keluarga Birgivi mempunyai latar belakang tradisi Sufi dan kesarjanaan Islam yang kukuh. Bapanya, Pîr Ali, merupakan seorang tenaga pengajar (müderris) dan shaykh di dalam gerakan Tarikat Bayramî. Tidak banyak yang diketahui tentang bapa kepada Pîr Ali, İskender.
Ajaran Bayramî diperkenalkan di Balıkesir oleh datuk kepada Pîr Ali, Shaykh Lütfullah, yang bertemu sendiri serta menjadi tetamu kepada pengasaskan gerakan Sufi tersebut, Hacı Bayram-ı Velî (meninggal dunia 1429). Shaykh Lütfullah telah dilantik sendiri oleh Hacı Bayram-ı Velî sebagai Syakh Tarikat di Balıkesir.
Dalam usia yang muda, Imam Birgivi sudah bermusafir ke Istanbul meninggalkan Balıkesir demi ilmu.
Sesungguhnya menuntut ilmu dan bermusafir adalah kembar yang mustahil berpisah.
TINGGALAN SEJARAH DI BALIKESİR
Di sekitar Balıkesir ada beberapa monumen bersejarah yang boleh menceritakan perjalanannya yang panjang, menempuh pelbagai pemerintahan, serta bencana alam yang besar seperti gempa bumi pada tahun 1897. Beberapa dekad akhir Dawlah Uthmaniyyah, banyak gempa bumi besar melanda Anatolia dan Rumeli dan Badi’uzzaman Said al-Nursi juga mengulas mengenainya di dalam al-Kalimāt, salah satu siri Risalah al-Nur.
Oleh kerana kami begitu memfokuskan pencarian kepada Masjid Imam Birgivi, banyak tinggalan sejarah hanya dilintasi tanpa singgahan dan dokumentasi. Menara Jam di Balıkesir telah dibina pada tahun 1827 sebagai replika kepada Menara Galata di Istanbul, tetapi ia musnah dalam gempa bumi 1897 berkenaan. Menara yang berdiri hari ini adalah binaan semula yang diusahakan oleh Gabenor Ömer Ali Bey.
Demikian juga Masjid Zaganos Pasha yang dibina di era Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1461. Tetapi ada masjid yang lebih tua di Balıkesir iaitu Masjid Yildirim Beyazid yang dibina pada tahun 1388 dan Masjid Umurbey yang dibina pada tahun 1412.
Balıkesir juga terkenal dengan kincir angin di perkampungan Karakol yang terletak di luar pusat bandar. Mungkin kincir angin itu boleh menceritakan tentang perkembangan sains dan teknologi serta interaksi antara tamadun yang berlaku. Ia menarik, namun saya perlu fokus.
Perlu khusyu’.
Saya juga difahamkan melalui carian internet bahawa satu-satunya muzium fotografi di Turki adalah di bandar ini. Ia terletak di Dumlupınar Mahalesi.
“Jom, ustaz. Perjalanan kita masih panjang” Halim dan Nabhan mengingatkan saya.
Kami meneruskan perjalanan dan peta menunjukkan Masjid Imam Birgivi terletak di Bahçelievler Mahallesi. Jika mengikut peta, jaraknya dengan hotel kami hanya sekitar 4km.
“Yang itu, kot” kata Halim.
Kami ternampak sebuah menara masjid di celah kawasan perumahan. Tetapi apabila didekati, masjid itu yang kelihatan agak usang, bukan Masjid Imam Birgivi. Ia adalah Pievne Camii.
“Kena tanya orang ni. Dah berpusing-pusing kita mencari” saya berkata.
Akhirnya kami mengalah. Tersenyum dengan kedegilan enggan bertanya, walaupun jauh di tanah air pepatah orang tua masih menyebut “malu bertanya tersesat jalan”.
Saya memberhentikan kereta kami di sebuah simpang. Ada seorang pakcik bersama isterinya sedang menunggu di dalam kereta. Mereka kelihatannya seperti penduduk tempatan. Syukurlah ada Halim dan Nabhan. Mudah sikit hendak bertanya. Saya yang sudah terkapai-kapai berbahasa Turki terasa ‘dimanjakan’.
Mereka berdua bertanya kepada pakcik tersebut tentang lokasi Masjid Imam Birgivi. Beliau memaklumkan kepada kami bahawa masjid berkenaan terletak di seberang jalan utama yang membelah Bahçelievler. Tanpa berlengah, kami bertiga segera bergerak.
Bismillah.
Berdebar-debar rasanya.
Alhamdulillah, akhirnya masjid yang saya belek-belek fotonya di internet sejak sekian lama kini berada di depan mata. Biar pun Masjid Imam Birgivi adalah masjid baru yang dibina pada tahun 2002, saya mendapat kepuasan dan rasa syukur yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Masjid ini menjadikan saya rasa semakin hampir dengan Imam Birgivi yang sedang saya kaji.
Saya tidak mempunyai sebarang maklumat apakah masjid ini dibina di lokasi ini dengan sempena tertentu. Tiada orang untuk ditanya kerana beberapa orang pekerja yang sedang menyelesaikan renovasi kecil di sekitar masjid kelihatan tidak begitu ramah untuk ditegur.
Hendak masuk ke dalam masjid pun, masjid berkunci disebabkan oleh urusan renovasi tersebut.
“Kunci ada bersama Imam dan beliau tiada di sini” kata pakcik yang menegur kami.
Saya mengambil peluang mengerjakan solat Dhuha di bahagian serambi luar masjid. Adakalanya apabila kita melawat atau melancong, kita terlupa menunaikan hak masjid setiap kali seorang mukmin menziarahinya. Solat sunat dua rakaat sebagai tahiyyat al-masjid mesti dilunaskan.
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ الأَنْصَارِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ صلى الله عليه وسلم : إذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Daripada Abu Qatadah bin Rib’i al-Ansari radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: apabila seseorang dari kalangan kami masuk ke masjid, maka janganlah dia duduk sehingga selesai menunaikan dua rakaat solat [Hadith riwayat al-Bukhari]
“Kalian datang dari mana?”tanya seorang wanita yang lalu di hadapan masjid.
“Kami dari Malaysia. Saya dan rakan saya ini belajar di Istanbul. Hoca ini datang dari Malaysia” ujar Halim.
“Ustaz kami ini sedang mengkaji tentang Imam Birgivi” beritahu Nabhan kepadanya.
“Abla tahu tentang Imam Birgivi?” saya bertanya kepadanya.
“Oh dia orang alim. Itu sahaja yang saya tahu” kata wanita berkenaan.
Saya rasa gembira kerana keramahan orang Turki yang sebelum-sebelum ini sering saya alami di zaman 1990′an, masih ada untuk ditemui.
Beliau menawarkan diri untuk mengambil foto kami di hadapan Masjid Imam Birgivi.
“Sekejap ya. Saya baru balik dari pasar. Saya mahu bekalkan kamu dengan buah-buahan ini” kata wanita berkenaan.
Baik sungguh hatinya.
Beliau mengeluarkan beberapa biji limau dan buah pear Cina atau disebut sebagai armut di Turki.
“Teşekkürler, abla” kami berterima kasih kepadanya.
“Puas hati ustaz?” tanya Nabhan.
Agaknya beliau pun perasan saya tersengih-sengih seorang diri.
“Tentulah puas. Agak-agaknya ana ni orang Malaysia pertamakah sampai ke masjid ini? Kira macam al-Fatih jugalah, ya?” saya berseloroh.
“Lepas ini ramailah orang Malaysia mahu melawat Masjid Imam Birgivi ini. Sebab Ustaz Hasrizal sebut masjid ini” usik Nabhan.
“Hmm…” saya menghela nafas.
“Kenapa pula, ustaz?” tanya Halim.
“Balıkesir bukan hanya bandar kelahiran Imam Birgivi. Ia juga merupakan bandar kelahiran penyambung legasi Birgivi iaitu Mehmed Kadızade, pengasas kepada gerakan Kadızadeli yang sangat penting dalam sejarah Islah dan Tajdid Dawlah Uthmaniyyah. Oleh kerana rekod sejarah yang penuh tragedi berkaitan gerakan Kadızadeli, ana tidak rasa ada masjid yang didekasikan untuk beliau di Balıkesir ini” saya bercerita.
Kami duduk bersantai-santai di tangga masjid.
Saya bertemu dengan catatan mengenai Imam Birgivi melalui pembacaan saya mengenai gerakan Kadızadeli. Gerakan ini menyeru kepada pemurnian ajaran Islam, kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, namun gerakan tersebut terbabit secara meruncing sebagai antagonis kepada golongan Sufi dan menyertai politik Dawlah Uthmaniyyah secara intensif hingga menumpahkan darah. Seperti Reign of Terror di Perancis bersama Maximilien Robespierre dan Jacobins, yang hakikatnya hampir sezaman dengan gerakan Kadızadeli.
Jika di zaman ini, dengan mudah gerakan Kadızadeli ini terpalit dengan label Wahabi!
Namun, saya lebih tertarik untuk mengkaji berkenaan Imam Birgivi berbanding Mehmed Kadızade dan gerakannya. Dan semakin saya membaca, saya berpendapat Imam Birgivi yang sering dipalit sebagai guru dan pencetus inspirasi kepada gerakan radikal Kadızadeli, mesti dipisahkan daripada perilaku mereka yang menyusulinya.
Imam Birgivi dan Mehmed Kadızade mesti dipisahkan.
“Jom, kita teruskan perjalanan” saya mengajak Halim dan Nabhan.
Kami mahu ke Manisa.
Sebabnya kecil sahaja. Ustaz Abdullah Taha di İSAM yang banyak membantu saya, mahu kami makan kebab terbaik di dunia di kampungnya Manisa.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (16) Pelawat
January 15, 2014
Harapan Untuk Sebuah Legasi Pendidikan: KMSS
Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan meluangkan masa menziarahi sebuah institusi yang saya kasihi. Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah Sekolah Menengah Islam Tahfiz Mithali Khalifah atau lebih dikenali sebagai Khalifah Model Secondary School (KMSS) di Bandar Baru Salak Tinggi.
Sepatutnya saya hadir lebih awal. Semasa Hari Terbuka dianjurkan Disember lalu, saya berada di Indonesia. Manakala pada hari pendaftaran pelajar baru, kesihatan saya tidak mengizinkan diri untuk menjenguk.
Suatu ketika dahulu, semasa anak-anak saya bersekolah di Khalifah Model School (KMS) Ampang, saya bergiat secara aktif dengan sekolah berkenaan. Program bersama guru, bersama ibu bapa, juga bersama pelajar. Ia saya ungkapkan sebagai sekolah Laskar Pelangi, di dalam buku saya bertajuk Murabbi Cinta terbitan 2012 yang lalu. Saya sayangkan sekolah ini bukanlah kerana kesempurnaannya. Ia masih banyak ruang penambah baikan dan setiap hari masih merupakan survival yang diperjuangkan. Tetapi saya menyayanginya kerana visi dan misi sekolah yang besar.
Sekolah yang berani menongkah arus.
Sekolah yang meyakini bahawa pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang benar-benar manusia, dan kecemerlangan akademik adalah bersifat by-product. Sekolah yang tidak mahu pelajarnya A dalam peperiksaan tetapi D, E dan F dalam kehidupan.
Sekolah yang mengahwinkan tradisi pendidikan Islam dengan psikologi dan pedagogi secara saintifik.
Tetapi pembabitan dengan sekolah rendah terpaksa dihentikan kerana halangan logistik. Tiga bulan saya berulang alik dari Bandar Seri Putra ke Ampang bersama anak-anak, keletihan akibat jarak 80km pergi balik setiap hari, menjadikan KMS tidak lagi memenuhi objektif pendidikan. Anak-anak saya telah berpindah ke sekolah yang lebih hampir iaitu di Sri Ayesha Islamic School Bangi. Sekolah yang juga bagus dan bersungguh pada menjayakan visi dan misi mulianya.
Namun, saya meneruskan pembabitan di dalam Yayasan Pendidikan Khalifah, terutamanya di dalam projek membentuk sekolah menengah. Seperti yang pernah saya sebutkan di dalam forum TFTN beberapa bulan yang lalu, jika pelajar miskin memang mudah kita mengesan bahawa mereka adalah golongan kurang bernasib baik lalu segera boleh diusahakan bantuan untuknya. Tetapi dek kerana sistem pendidikan yang bersarang pelbagai isu, mangsa kepada sistem pendidikan ini bukan sekadar mereka yang tercicir daripadanya, sebaliknya mereka yang mendapat manfaat penuh daripada sistem itu juga adalah ‘mangsa’ yang lebih rumit untuk diperincikan masalah-masalah yang mereka hadapi.
Dilema ini memerlukan kerjasama semua pihak. Usaha di dalam, usaha di luar. Usaha di sekolah kerajaan, dan usaha di sekolah swasta. Dan dengan semangat itulah, pencapaian-pencapaian di sekolah peringkat sekolah rendah (Khalifah Model School), diteruskan di peringkat menengah.
HALAMAN WEB: KHALIFAHSCHOOL.COM
Di peringkat awal, semua pihak diselubungi perasaan ragu-ragu tentang keupayaan sekolah menengah ini dibentuk.
Tetapi iman kita kepada Allah mendatangkan keyakinan, mustahil niat yang baik ini tidak dibantu oleh-Nya. Apa yang penting adalah keberanian mengambil risiko serta komitmen semua pihak untuk menjayakannya. Alhamdulillah pengambilan pertama sudah bermula pada sesi persekolahan 2013.
Pelajar hanya beberapa belas orang dan kebanyakan mereka adalah graduan KMS sendiri. Tahun pertama operasi KMSS adalah di bangunan sekolah rendah, dan tidak berasrama. Kami mensasarkan tahun 2014 sebagai tahun permulaan KMSS beroperasi sebagai sekolah berasrama di premisnya sendiri.
Alhamdulillah pada 29 September 2013 yang lalu, kami berhasil menganjurkan Hi Tea untuk Fundraising dengan tetamu istimewa berkongsi nasihat dan mutiara hidayah iaitu Sheikh Yahya Ibrahim dari Australia dan Puan Wardina Safiyyah selaku MC. Program berkenaan berhasil mencetuskan momentum besar bagi budaya philanthropic yang mengundang sumbangan kewangan bagi KMSS.
Syukur, apa yang dirancang, beroleh keizinan dari Allah. Walaupun kampus tetap sekolah masih jauh perjalanannya, KMSS sudah memulakan operasinya di sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Salak Tinggi Business Centre di tepi jalanraya Nilai – KLIA. Dan saya berasa begitu teruja kerana kini dengan 8 orang guru bersama 60 lebih pelajar Tingkatan 1 dan 2, saya yakin Inshaallah KMSS akan berkembang maju untuk mendidik warganya.
Saya sudah agak lama meninggalkan dunia motivasi remaja di kem-kem cuti persekolahan. Begitu juga dengan wacana-wacana keibubapaan. Selain sedang memberikan fokus yang besar kepada akademik dalam pengajian sarjana, saya juga mengundurkan diri atas pelbagai faktor luaran berkaitan industri yang mempengaruhi dalaman diri.
Namun dengan serba sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada, saya bermohon kepada Allah agar pada tahun 2014 ini saya dikurniakan kesihatan dan kelapangan masa yang secukupnya untuk membantu menjayakan KMSS.
Oleh kerana para pelajar kita tinggal di asrama (pulang ke rumah pada setiap hujung minggu untuk mengekalkan bonding bersama keluarga), saya mempunyai ruang masa yang lebih kondusif untuk bersama dengan pelajar dan guru. Inshaallah modul Hijrah Remaja Islam (HIJRI) yang sudah dijalankan selama beberapa tahun sebelum ini, akan saya gubalkan ia menjadi program bersiri dalam bulatan mingguan bersama para pelajar.
Saya juga berharap agar perpustakaan dapat disegerakan operasinya dengan mensasarkan setiap ibu bapa dapat menyumbang dalam bentuk waqaf 10 buah buku. Saya juga Inshaallah akan mewaqafkan sebahagian buku saya untuk perpustakaan pelajar. Dalam masa yang sama, majalah-majalah yang baik mudah-mudahan dapat dilanggan untuk perpustakaan ini. Di ruangan yang terhad ini juga, saya amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bagi menjayakan projek perpustakaan ini, dan juga KMSS secara keseluruhannya.
Inshaallah idea-idea terbaik tentang pendidikan akan direalisasikan di KMSS.
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha mengelokkan amalannya. [Al-Baqarah 2: 195]
Membangunkan institusi pendidikan dengan kaedah infaq dan waqaf tidak boleh berdiri hanya dengan sumbangan. Ayat di atas menghadirkan dua tiang yang mesti ditegakkan iaitu “belanjakan milikmu di jalan Allah” dan yang kedua ialah “perelokkanlah kerjamu”. Bahagian yang kedua itu yang sering diabaikan hingga menyebabkan projek-projek membina sekolah dan lain-lain, hanya berjaya direalisasikan di peringkat permulaan tetapi kemudiannya kecundang kerana ia tidak dilakukan dengan sempurna lagi berterusan.
Semoga semangat waqf dalam sejarah Dawlah Uthmaniyyah, serta jiwa mendidik Imam Birgivi dan Darul Hadith beliau di Birgi, mengalir dalam keberkatan Allah ke sekolah kita ini.
Saya bersyukur kepada Allah kerana berpeluang menyertai usahasama ini kerana kerana projek seperti ini adalah projek yang sangat berpijak di bumi nyata, jauh dari retorik dan benar-benar menjadi legasi yang bersinar di dunia dan di Akhirat, ameen.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (36) Pelawat
January 13, 2014
12 Rabi’ul Awwal 11H: Baginda Pergi Tidak Kembali
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SAKIT RASULULLAH
“Kepalaku!” kata Aisyah.
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.
Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.
Baginda menyedarinya.
“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.
Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.
Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.
“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.
“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.
Merajuk.
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.
Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa…” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
لا يُؤمِنُ أحدُكم حتى أكونَ أحبَّ إليهِ من والدِه وولدِه والناسِ أجمعينَ
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (80) Pelawat
January 11, 2014
Jalan Masih Panjang: Menuju Balıkesir
Oh
Jalan masih panjang
Terbentang di hadapan
Tak hanya sekadar dunia
Lihatlah ke depan yang lalu biar berlalu
Jadikan pemicu kalbu
Jalan hidup takkan pernah lurus
Pasti ada salah lewati segalanya
Tapi Tuhan tak pernah berhenti
Membuka jendela maaf untuk kita
“Ustaz menyanyi lagu siapa tu? Saya tak pernah dengar” tanya Nabhan.
“Kumpulan Edcoustic dari Indonesia. Bagus lagu-lagunya. Lirik bermutu, muziknya pun bagus. Dua orang sahaja” saya memberitahu.
Perjalanan kami masih jauh. Sebentar tadi kereta kami menaiki feri untuk menyeberang Laut Marmara dari Eskihisar di Gebze ke Topçular. Biar pun pemandangannya tidak seindah Üsküdar ke Eminönü, banyak kenangan yang sempat saya imbas apabila melakukan perjalanan yang sama lebih 10 tahun yang lalu.
Cuma kali ini saya memandu sendiri.
Bebas untuk berhenti di mana-mana, pada bila-bila masa.
“Ustaz ada mp3 nasyid tu ke?” pinta Halim.
“Ada. Di Istanbul nanti ingatkan ana. Ana simpan dalam Itunes selepas membelinya di situ” saya memberitahu.
Oleh kerana kami tidak mempunyai cd, dan tidak berselera mendengar radio Turki, saya memecah kesunyian dengan melalak seorang diri untuk menghilangkan rasa mengantuk. Habis kesemua trek album kumpulan Edcoustic saya nyanyikan.
Halim dan Nabhan hanya menggelengkan kepala.
“Sayang ya. Sebentar lagi matahari tenggelam. Hilang peluang melihat persekitaran” saya mengomel.
“Pemandu tak boleh melihat kiri kanan, ustaz. Hanya pandang ke hadapan melihat jalan” kata Nabhan.
“Betul juga, kan. Anta nak ganti ana?” saya bertanya.
“Hehe” mereka berdua tersengih.
“Kalau banyak masa, hendak juga rasanya ana menyinggah ke Bursa. Kali terakhir ke sana sudah begitu lama. Ramadan, bersama sahabat ana Hamizul. Sempatlah kami bertarawih malam itu di Ulu Cami” saya bercerita.
Teringat kisah lucu semasa di masjid berkenaan, yang saya nukilkan dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih. Semasa selesai Imam membaca al-Fatihah, Hamizul telah mengaminkan bacaan imam secara jahriyyah (kuat) sedangkan umat Islam di Turki mengaminkannya secara sirriyyah (perlahan). Rasanya sampai ada jemaah yang tertoleh kepada kami kerana terkejut.
Mudah-mudahan ada kesempatan lain untuk ke Bursa. Kami mesti meneruskan perjalanan yang masih panjang. Malam ini kami sasarkan untuk ke Balıkesir dan bermalam di sana. Esok kami akan ke Birgi yang saya tidak pasti sejauh manakah ia. Namun saya menjangkakan lusa barulah kami dapat melakukan dokumentasi di kota bersejarah berkenaan.
“Silap sungguh. Sepatutnya pagi tadi ana pergi tukar duit dahulu. Tetapi letih sangat. Semalam terlalu padat. Pergi ke İSAM, kemudian berjumpa rombongan Raudhatussakinah. Kemudian berjumpa rombongan ABIM Mesir. Hampir jam 2 pagi baru sampai ke rumah. Kita kena cari ATM sebab ana nak bayar duit hotel nanti” saya berkata.
“Tak apa, ustaz. Ana pun ada duit tunai. Boleh dahulukan” balas Halim.
“Terima kasih. Kita jadikan itu, pilihan terakhir. Ana tak nak susahkan antum. Malah sepanjang perjalanan ini, antum berada di bawah tanggungjawab ana” saya memberitahu.
Kami berhenti di sebuah pekan kecil bernama Aziziye untuk mencari ATM atau pun Döviz Bürosu bagi menukar wang. Tetapi mustahil di pekan sekecil ini ada tempat menukar wang di tengah malam. Lainlah jika di Istanbul.
Saya singgah di sebuah pusat ATM bersebelahan stesyen minyak.
Cubaan mengeluarkan wang tunai menggunakan kad bank Malaysia sepatutnya tidak menimbulkan apa-apa masalah.
“Allah!” saya tergamam.
Kad bank saya tersangkut di feeder mesin berkenaan. Apabila ditarik keluar, jalur magnetiknya terkoyak sedikit. Berdebar-debar jantung saya dibuatnya. Bimbang jika kad ATM rosak, saya akan menghadapi masalah kewangan selama berada di Turki. Dan saya masih ada dua minggu tempoh sebelum pulang ke tanah air.
“Hmm, rasa berat hati pula nak tanya orang. Teruk kan?” saya mengomel.
“Betullah ustaz. Saya pun sama. Selalu rasa berat hati nak bertanya. Usaha dahulu. Kalau betul-betul tidak boleh selesaikan, barulah tanya” ulas Halim.
“Oh, dalam bab ni, perangai kita sama. Mazmumah ke mahmudah ye?” saya tertarik dengan kenyataan Halim.
Selama ini, saya beranggapan ia adalah sisi karakter saya sebagai seorang yang introvert. Saya tidak suka membuat sesuatu yang menarik perhatian orang. Suka datang senyap-senyap dan beredar tanpa disedari. Tetapi itulah yang hampir hilang dalam kecenderungan peribadi saya apabila entah bagaimana, saya menjadi seorang yang dikenali.
Meminta tolong hanya apabila perlu, ini adalah sesuatu yang telah disentuh oleh Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah. Di dalam Bab ke 20 berkaitan dengan penggunaan lidah, Imam Birgivi menyentuh tentang persoalan “meminta daripada orang”
Katanya:
“…Mungkin waktu yang paling utama bagi kita memerhatikan kelakuan lisan ialah apabila kita mahu meminta sesuatu daripada orang lain. Ia bukan hanya teraplikasi kepada perbuatan meminta wang atau sesuatu yang bersifat material, malah juga semasa meminta pertolongan, nasihat, pendapat dan meminta doa.
Hanya apabila seseorang itu benar-benar tidak dapat melakukannya, fakir dari upaya dan tidak berdaya, sangat sakit atau lemah, tidak mampu membantu dirinya sendiri, demikian juga ahli keluarganya di tahap tidak cukup makan minumnya untuk memperolehi khasiat tenaga bagi satu-satu hari, maka barulah dia itu wajar meminta bantuan orang lain. Perbuatan merayu pertolongan dalam keadaan yang sebenarnya tidak perlu adalah sesuatu yang ditegah oleh agama kita. Celakalah orang yang merayu atau meminta sedekah dengan tujuan untuk menambah apa yang telah dia miliki…”
ما يزال الرجلُ يسألُ الناسَ ، حتى يأتي يومَ القيامةِ وليس في وجهِه مُزعَةُ لحمٍ
“Tidaklah seorang lelaki itu meminta-minta daripada manusia, melainkan pada hari Kiamat dia akan dibangkitkan dalam keadaan wajahnya tiada cebisan daging!” [Hadith riwayat Muslim]
Islam mengajar kita berdikari. Suka membantu. Tetapi tidak suka meminta-minta dibantu tanpa keperluan. Ia bukan sahaja penting untuk memupuk sikap lebih berusaha, malah Allah mahu hamba-Nya menjadi manusia yang memelihara maruah, menjadi orang yang lebih baik. Yang lebih baik itu adalah yang suka membantu, bukan yang suka meminta-minta untuk dibantu.
“Lagi pun, bila kita usaha dahulu dan bukan senang-senang meminta tanpa keperluan, kita cari satu dapat tiga” saya mengulas.
Cari dahulu.
Pusing dahulu serba sedikit.
Bukan sekadar bertemu dengan apa yang dicari, tetapi pelbagai manfaat lain yang kita temui.
“Sebab itu ana panas hati apabila tulis sesuatu di Facebook atau Twitter, laju sahaja sesetengah kita berkata ‘sorry tak faham, mohon pencerahan. Rasanya 8 daripada 10 komen begitu adalah komen pemalas. Malas berfikir. Semuanya mahu disuap-suap” saya mengomel.
“Sabar ustaz” kata Nabhan.
Sedar tidak sedar, kami sudah pun tiba di Balıkesir. Tempat kelahiran Imam Birgivi. Kami mengambil keputusan untuk makan, sebelum mencari hotel penginapan. Kalau perut lapar, selalu tersilap membuat keputusan. Emosi tidak stabil, akal pun tidak konsisten.
Pekan Balıkesir, tempat kelahiran Imam Birgivi
“Hocam, minta maaf. Kami tidak merokok!” kata Nabhan.
Pakcik yang sedang melepak di kedai ayam golek itu tersengih-sengih. Beliau memadamkan rokoknya dan mempersilakan kami makan. Saya rasa sangat lucu memikirkan sifat selamba Nabhan menegur pakcik berkenaan. Jika saya yang introvert ini, saya mungkin akan mencari meja yang jauh, atau buat tidak tahu sahaja. Halim juga begitu.
Benarlah, musafir ini mendidik kita untuk lebih kenal mengenal. Apa-apa pun, saya bangga dengan dua anak muda ini. Halim belajar di sekolah yang sama dengan saya iaitu Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh. Manakala Nabhan pula belajar di Sekolah Hira’ yang mana pengetuannya, Ummi Jasmin, adalah sepupu saya.
Selepas makan, kami meninjau-ninjau sekitar pekan Balıkesir untuk mencari hotel. Hotel Basri nampak bagus. Malangnya penuh. Hebat juga pekan ini. Ramai pengunjungnya.
“Dan untuk itu, rasanya inilah hotel terbaik untuk kita malam ini, kan?” saya bertanya pendapat mereka.
Kami berhenti di Hotel Asya yang terletak di tengah-tengah pekan Balıkesir. Perut pun sudah kenyang. Masa untuk berehat.
Esok, kita sama-sama cari Masjid Imam Birgivi.
Cari dahulu.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (92) Pelawat
January 8, 2014
The Secret Life of Walter Mitty: Mencari Intipati Sebuah Kehidupan
Saya rasa ia seperti mimpi.
Sangat teruja.
Sudah lama saya membaca karya Karen Armstrong.
Kini bukan sahaja beliau sedang berucap secara live di hadapan kami semua, saya juga menjadi salah seorang ahli jawatankuasa program berkenaan. Di dalam program Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) sulung ini, Karen Armstrong merupakan salah seorang penceramah jemputan kami.
Selepas sesi berakhir, saya memberanikan diri bertemu dengan beliau untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi atas sumbangannya secara langsung atau tidak langsung kepada dakwah Islam. Rakan saya, Anthony Mooney tertarik kepada al-Quran hingga akhirnya memeluk Islam kerana membaca karya Karen Armstrong.
“Boleh saya dapatkan tandatangan puan?” saya menghulurkan naskhah The Spiral Staircase: My Climb Out of Darkness.
“Sudah tentu. Ini buku baru. Awak sudah membacanya?” beliau menyambut dengan ramah.
“Oh sudah. Saya ada beberapa buah buku lain. Tetapi ini buku puan yang terbaru saya baca. Sangat memberi inspirasi. Saya yakin ramai juga mendapat kekuatan untuk keluar daripada kegelapan hidup dengan membaca buku ini” saya menjawab.
Seram sejuk tangan saya melihat Karen Armstrong menurunkan otografnya ke naskhah tersebut.
“Mahu saya ambilkan foto?” Afiq bertanya kepada saya.
Beliau pun tahu betapa terujanya saya dapat bersemuka dengan Karen Armstrong.
“Oh tidak mengapa. Tidak perlu” saya menolak.
Saya tidak mahu detik itu dirakam di dalam foto. Cukup sekadar tandatangan di buku.
DETIK BERHARGA
Apabila saya kenang-kenangkan kembali, ada beberapa kali saya menolak untuk bergambar, ketika mana itulah detik yang sangat ‘mahal’, dan sentiasa dinanti-nanti untuk diabadikan dalam sebuah foto.
Saya tidak pasti mengapa.
Sehinggalah Sean O’Connell mengungkapkannya kepada Walter Mitty. Saya tersentak dan mencari kembali memori saya bersama Karen Armstrong.
Selepas pelbagai ranjau melanda, dari Greenland dan Iceland membawa ke Yaman dan Afghanistan hingga ke Banjaran Himalaya, Walter Mitty bertemu dengan jurukamera profesional Sean O’Connell yang sedang menunggu detik kemunculan snow leopard. Ia haiwan yang sangat sukar untuk dilihat kelibatnya. Sean sanggup melakukan apa sahaja untuk melihatnya. Dan lensa gergasi yang digunakan oleh Sean akhirnya menemui subjek yang dinanti.
“Cepat, lihat ini” Sean mengajak Walter melihat sama.
“Bila engkau hendak mengambil fotonya?” Walter bertanya.
Beliau hairan dengan Sean yang asyik memerhatikan snow leopard itu, tetapi tidak merakamnya di dalam kamera.
“Adakalanya, aku lebih suka untuk menikmati detik-detik sebegini sendiri. Aku tidak mahu ia diganggu dengan melihatnya menerusi lensa” kata Sean.
Kata-kata itu sungguh bermakna.
Di zaman semua benda hendak dirakam melalui DSLR, kamera telefon pintar dan dikongsi di Instagram, Facebook dan Twitter, kita terlupa kepada kuasa merakam detik di dalam minda sendiri.
Di dalam kisah The Secret Life of Walter Mitty, lensa yang diungkapkan oleh Sean O’Connell itu, bagi saya adalah metafora kepada ‘khayalan’ yang sering menghantui Walter. Dan khayalan itu juga memerangkap kita di alam nyata.
Biar pun foto itu adalah sebuah dokumentasi, sifat keterlaluan merakam segala detik hidup di dalam foto, memindahkan keindahan imaginasi seorang manusia daripada memorinya ke luar kepala.
Bagi saya, ia menghilangkan sebahagian kemanisan sebuah detik penting.
Kebetulannya saya hidup sebagai remaja di zaman filem gulung Kodak dan Fuji, merakam foto bukanlah sesuatu yang mudah seperti hari ini. Justeru banyak detik istimewa tidak terakam di dalam foto. Ia tersemat di dalam memori, dan semasa kamera digital keluar, saya merasakan era 1990′an saya adalah sebuah kekurangan.
Tetapi di dalam kekurangan itu ada kemanisan. Dan kerana kemanisannya sempurna, ia menjadi kenangan yang cukup kuat untuk saya berkarya.
Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih dan Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, adalah tiga buah travelog yang saya hasilkan berbekalkan kemanisan kenangan sebagai sebuah memori di dalam ingatan.
Ibu bapa yang sentiasa memerhatikan kehidupan anaknya melalui kamera telefon…
Para pelancong yang sentiasa menangkap gambar di sana sini hingga tidak melihat sendiri dengan mata pemberian Tuhan…
Pasangan pengantin yang berpenat lelah untuk sesi fotografi dan album cantiknya.
Setiap insan yang kaya dengan koleksi selfie…
Mungkin kita semakin hidup dalam dunia khayalan.
Kita mungkin kehilangan sebuah kemanisan. Atau tidak pernah mengetahui tentang wujudnya ia.
Kemanisan yang diungkapkan di dalam filem The Secret Life of Walter Mitty sebagai QUINTESSENCE OF LIFE.
Intipati sebuah kehidupan.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (145) Pelawat
Kembara Menjejak Imam Birgivi: #1 Mencari Diri
“Apa yang menyebabkan ustaz bersungguh-sungguh mahu mengkaji tentang Imam Birgivi?” tanya Halim.
Kami sedang bersiap-siap sementara menunggu Nabhan pulang daripada kampus. Hari ini dia mendaftar subjek-subjek untuk semester dua yang bakal bermula.
“Hmm… Panjang ceritanya” saya merenung ke luar jendela.
Cuaca tengah hari itu cerah di Istanbul. Permulaan yang baik untuk perjalanan panjang yang bakal kami tempuhi. Kereta juga sudah berada di bawah semenjak awal pagi. Saya amat berterima kasih kepada Azri Izdan kerana mengusahakan kereta berkenaan. Walaupun saya agak berdebar kerana pertama kali akan memandu jauh di sebelah kiri, saya tiada pilihan. Birgi terlalu terpencil. Jika saya mahu ke sana dengan bas, tentu perjalanannya sukar berkali ganda.
Tambahan pula, saya bukan orang muda lagi.
Bukan Hasrizal di Turki tahun 1990′an dulu. Yang boleh ke sana sini dengan lincah seorang diri. Teringat saya kepada catatan Imam Birgivi di dalam al-Tariqah al-Muhammadiyyah, saranan-saranan beliau tentang adab bermusafir. Imam Birgivi memetik hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam:
“Seandainya saja manusia mengetahui apa yang aku ketahui tentang bahaya bersendirian, nescaya tidak ada seorang pun yang mahu berpergian pada malam hari seorang diri.” (HR Bukhari)
“Orang yang bermusafir sendirian adalah (bersama) syaitan. Dan orang yang bemusafir berdua adalah (bersama) dua syaitan. Sedangkan orang yang bermusafir bertiga adalah rombongan musafir (yang tidak dihampiri syaitan).” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi dan Nasa’i)
“Oh terlupa pula ana menjawab soalan anta” saya tersentak dari lamunan.
Halim tersenyum. Beliau masih rancak menyediakan makan tengah hari.
“Ana mencari Imam Birgivi kerana mencari diri” saya memulakan cerita.
Ramadan lalu, dada saya tepu dengan pelbagai persoalan hidup. Saya terlalu penat. Ceramah demi ceramah, kursus demi kursus, tetapi entah mengapa jiwa terasa begitu kosong. Apakah diri ini berada di atas jalan yang benar? Apakah ini jalannya yang menjadi jalan pilihan meniti usia tua? Tersedarnya saya bahawa diri ini tidak lagi muda, semakin mencecah usia 40, menyebabkan jiwa saya meronta-ronta.
Mahu keluar.
Tetapi tidak tahu dari apa kepada apa.
Adakalanya, keinginan kita jelas. Kita tahu apa yang kita mahu. Dan kita boleh berdoa secara khusus dengan jelas. Tetapi ada masanya, kita tidak tahu apa masalah yang sedang melanda, apa penyelesaiannya. Tetapi kita yakin yang kita berada di dalam masalah, kerana jiwa kita sakit, luka yang darahnya bukan memercik ke luar, sebaliknya mengalir perit di celah-celah susuk diri yang mencari.
Ketika itu, kita memerlukan rahmat Allah.
Sesuatu yang hanya boleh datang dari Allah.
Namun bagaimana rahmat itu hendak datang, kita serahkan kepada kebijaksanaan Allah. Kita menyambutnya dalam apa sahaja bentuk yang tiba. Itulah yang Surah al-Kahf ajarkan kepada kita:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan anak muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami” [al-Kahf 18: 10]
“Pemuda itu menerima rahmat daripada Allah dengan Allah menidurkan mereka. Siapa sangka tidur itu menjadi tentera Allah yang melindung dan membela?” saya berceloteh.
Syafiq yang bersama di dapur juga asyik mendengar perbualan kami.
Saya masih ingat Ramadan itu, saya beriktikaf di Masjid Besi. Setiap malam saya menangis meminta bantuan daripada Allah. Memohon agar segala kegilaan jadual kerja ini berhenti. Saya mahu berhenti seketika. Mahu melihat diri. Mahu memuhasabah diri. Mahu membaca peta sebelum meneruskan perjalanan yang kali ini, bukan lagi usia mencuba-cuba.
“Oh ya, ustaz. Sudah periksa peta? Jelaskah Birgi mana yang kita hendak pergi ini?” Halim mengingatkan saya kembali.
“Tu la. Mujurlah Anas semalam bercerita. Katanya di Birgi itu hanya ada satu kedai kebab. Gayanya macam kecil sungguh pekan yang kita hendak pergi ini. Itu yang ana terfikir. Betulkah Birgi yang hendak dituju. Selepas ana semak, ya Allah ana tersilap. Semenjak dari Malaysia, ana membayangkan Birgi Urla. Rupa-rupanya Birgi yang kita sepatutnya pergi ialah Birgi Ödemiş. Satu ke Barat, satu lagi ke selatan, walaupun dua-duanya di Izmir” saya menjawab.
“Assalamualaikum!” Nabhan memberi salam.
“Waalaikum al-Salam wa Rahmatullah” kami sama-sama menjawab.
Alhamdulillah, Nabhan juga sudah pulang dari kampus. Kami sudah cukup korum untuk bertolak. Jika boleh saya ingin memenuhkan kereta. Tetapi semua orang ada komitmen masing-masing. Hanya Halim Bohari dan Nabhan Zainal sahaja yang berkelapangan. Syukur, rezeki saya untuk mereka berdua temankan.
Kami sama-sama makan tengah hari.
Sambil makan, saya berkongsi kisah tentang Imam Birgivi.
“Pada usia 28 tahun, Imam Birgivi memegang jawatan yang tinggi. Beliau bertugas sebagai Kassâm-ı Askerî di Edirne sekitar tahun 1551. Sepatutnya, dengan pangkat yang begitu, Birgivi selesa dengan hidupnya. Tetapi tidak untuk anak muda berkenaan. Hatinya gelisah. Beliau resah melihat masyarakat yang walaupun kehidupan mereka semakin baik, tetapi Birgivi mengesan tanda-tanda kejatuhan. Mungkin sukar untuk dipercayai oleh sesiapa ketika itu. Namun Birgivi percaya kepada gerak hatinya. Ada sesuatu yang tidak kena” saya bercerita.
Bertuahnya Birgivi, beliau ada guru yang membimbing.
Birgivi mengadu akan keresahan hatinya kepada Sheikh Abdullah el-Karamânî. Dan Sheikh inilah yang menasihatkan Birgivi untuk meninggalkan jawatan rasminya. Malah bukan sekadar melepaskan jawatan, Birgivi juga memulangkan seluruh gaji yang diterimanya selama bertugas di Edirne itu.
“Ana mengkaji Birgivi hanya sebagai seorang tokoh islah. Ana tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya begitu” saya mengulas.
Kami sudah selesai makan tengah hari. Solat zohor juga sudah selesai.
“Ana tidaklah sepopular nama-nama besar di kalangan agamawan di Malaysia. Tetapi populariti yang ada pada masa ini, terasa begitu beracun. Seketika, kita boleh mendamaikan jiwa dengan menganggap ia sebagai petanda dakwah kita diterima baik oleh masyarakat. Namun pada satu ketika yang lain, kita amat terasa ada sesuatu yang tidak kena. Sangat tidak kena. Ana datang ke Turki kerana mahu lari seketika daripada rutin yang membunuh itu. Mudah-mudahan bertemu jawapannya” saya menyambung cerita.
“Inshaallah” jawab Syafiq.
“Dan jawapan tidak akan ditemui selagi kita belum memulakan perjalanan. Kena cepat ni. Kita kena keluar dari Istanbul sebelum waktu pejabat habis. Ana takut dengan trafik di Istanbul” saya bangun dan mengangkat beg galas.
“Jom, jom. Bismillah!” ujar Nabhan.
Tengah hari itu, perjalanan kami bermula.
Kembara mencari Imam Birgivi.
Mencari diri.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (64) Pelawat
January 7, 2014
Anthony Mencari Muhammad Amin
“�Mr. Imam, bolehkah awak bacakan saya mana-mana kenyataan al-Quran yang bercakap tentang Mary?”� Anthony bertanya kepada saya.
“Boleh. Sebentar ya. Saya ambilkan terjemahan al-Quran di situ”� saya menyambut permintaannya.
Pagi itu saya menerima kunjungan Anthony, seorang pemuda Katholik. Beliau menyatakan minatnya untuk mendalami Islam. Saya berbesar hati menerimanya, apatah lagi Anthony bermazhab Katholik. Amat sukar untuk bertemu dengan seorang Katholik yang memeluk Islam di Belfast.
Awal pagi tersebut, Anthony muncul buat kali pertama. Beliau memperkenalkan diri kepada saya dan memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai seorang kaki tangan kerajaan yang bertugas di Stormont, iaitu parlimen Ireland Utara. Seperti Westminster di England.
“�Baiklah Anthony, saya bacakan awak beberapa petikan dari surah Maryam ya”� saya memberitahu beliau.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Peduli Lagi Maha Mengasihi Hamba-Nya
“�… Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur (16)
Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.(17)
Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.(18)
Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”. (19).
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?” (20)
Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)
Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.(22)
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata: Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! (23)
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.(24)
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.(26)
Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! (27)
“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (28)
Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” (29)
Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (30)
Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.(31)
“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang Yang sombong takbur atau derhaka. (32)
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula”. (33)
Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya (34)
KASIH MARYAM
Habis ayat-ayat itu saya bacakan, Anthony menangis. Matanya merenung saya dan berkata “�Imam, kalaulah yang bercakap tentang Mary ini seorang manusia, nescaya saya akan sembah manusia itu. Inilah ungkapan paling indah tentang Mary yang pernah saya dengar.”�
Saya sendiri jadi hiba dengan kenyataan Anthony. Saya tahu, Maryam merupakan seorang insan yang amat istimewa di hati orang Kristian. Dalam masyarakat yang mengalami keretakan institusi keluarga, ramai yang berdamping dengan kisah-kisah Maryam, demi mencari kasih sayang dan sumber kekuatan diri. Tetapi keindahan sebutan tentang Maryam, lebih terserlah di dalam al-Quran buat Anthony, berbanding Bible yang sudah dibacanya semenjak kecil.
Pertemuan saya dengan Anthony tidak berakhir di situ. Beliau sering datang melawat masjid dan masa pilihannya ialah sebelum Zohor. Waktu itu saya agak lapang dan Anthony mempunyai banyak ruang untuk berbual dengan saya.
CUBA SOLAT
Zohor itu, Anthony duduk bersandar di dinding belakang dewan Solat. Dia seperti tenggelam mendengar keasyikan Mohd Nor melaungkan azan. Mohd Nor adalah sahabat saya, seorang akauntan dari Malaysia yang datang menemani isterinya menyiapkan PhD di Belfast. Suara merdu Mohd Nor, atau lebih mesra dengan panggilan Abu Muaz, memukau Anthony sehingga matanya seperti tidak berkelip menghayati bait-bait azan yang membesarkan Allah di masjid kami.
“Imam, saya ada satu permintaan. Bolehkah kalau saya sertai sembahyang kamu semua? Saya berdiri di belakang pun tak apa”� Anthony nampak bersungguh-sungguh dengan permintaannya.
“Boleh. Malah kamu bukan orang pertama berbuat begitu. Kamu masih ingat dengan Jonathan yang saya ceritakan tempoh hari? Sebelum dia memeluk Islam pun, dia pernah meminta perkara yang sama”� saya memberitahu.
“Oh, Jonathan tu. Dia di Coleraine, kan?”� Anthony bertanya.
“Ya. Sesekali dia datang ke Belfast bertanyakan hal-hal agama dengan saya. Apa-apa pun, kamu berdirilah di saf belakang ya. Dan pastikan pakaian kamu bersih”� saya menepuk bahu Anthony sambil melangkah ke mihrab untuk mengimamkan Solat Zohor tengah hari itu.
“Allahu Akbar!”� saya mengangkat takbir dan segala puji buat-Mu ya Allah.
Selepas Zohor, saya masuk semula ke bilik pejabat. Anthony mengekori saya dan menyambung perbualan.
“Saya nak tahu, Imam. Di tempat kerja saya tiada tempat Solat. Bagaimanakah saya hendak bersolat? Saya tidak mahu selepas memeluk Islam, saya ada meninggalkan Solat.”� beliau bertanya.
“Oh, begitu. Allah menjadikan semua tempat yang bersih, boleh digunakan untuk kita berSolat. Kamu ada bilik sendiri?”� saya cuba mendapatkan kepastian.
“Tak ada. Saya hanya mempunyai cubicle sendiri”� jawabnya.
“Kalau begitu, kamu bentangkan sahaja sehelai kain untuk kebersihan. Kalau mahu, saya boleh berikan sejadah ini. Saya pinjamkan kompas untuk kamu cari arah kiblat di pejabat kamu, ya” ujar saya.
MENABUR BERKAT ?
“Oh, semudah itukah? Apakah tidak perlu kepada kamu datang ke tempat saya untuk menabur berkat?”� Anthony bertanya. Galak matanya mencari penjelasan.
“Hah hah, kamu biar betul Anthony. Di dalam Islam tiada istilah menabur berkat seperti itu. Imam hanya bertugas memimpin dan menyelaraskan Solat. Sebab Solat bukan hanya ibadah, ia juga latihan dari Allah agar umat Islam tersusun dalam kehidupannya”� saya ketawa mendengar soalan Anthony.
“Jadi maknanya dalam Solat tadi, kamu berdiri di hadapan bukan sebagai perantara kami dengan Tuhan?”� beliau menyoal.
“Tidak. Semua orang bercakap secara langsung dengan Allah, berhubung secara direct dengan-Nya. Islam tidak memerlukan priest untuk menghubungkan manusia dengan Penciptanya”� saya cuba menghilangkan kekeliruan Anthony.
“Maknanya, Imam adalah Muslim Protestant lah ya?”� Anthony bertanya lagi.
“Hahaha…”� saya ketawa dan saya tahu Anthony juga bergurau sebenarnya.
“Ya, Islam lebih dekat di hati saya. Saya dan Imam, kita sama-sama makhluk ciptaan-Nya. Kita sama-sama diuji oleh Tuhan. Siapa yang patuh akan selamat. Siapa yang engkar akan dihukum”� Anthony seperti berbicara kepada dirinya sendiri. Dia merenung lantai dan sepi seketika.
“Anthony, apakah kamu sudah bersedia untuk kembali kepada Allah?”� saya bertanya perlahan-lahan.
Anthony mengangkat kepalanya dan tersenyum kepada saya “Ramadhan ini saya akan lafazkan Syahadah. Saya mahu memulakan Islam saya pada bulan Islam bermula.”�
“Insya Allah. Cuma kamu tahu yang kamu boleh melafazkan Syahadah pada bila-bila masa sahaja, kan?”� saya mahu mendapatkan kepastian.
“Ya, saya faham Imam. Doalah kepada Allah untuk saya. Saya sedang mengumpul kekuatan diri”� Anthony bersalam dengan saya di pintu masjid. Kami sedang sibuk mengecat masjid dan membersihkan halaman kerana Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Jika Anthony memeluk Islam, beliau adalah saudara baru ke-18 yang berSyahadah di hadapan saya. Namun tidak ramai Irish yang bermazhab Katholik memeluk Islam. Setakat ini hanya dua dan mungkin Anthony menjadi yang ketiga. Selebihnya adalah Protestant. Tetapi setiap seorang Katholik yang memeluk Islam, ternyata mereka menjadi sangat dinamik. Seorang yang terbaik di masa jahiliah akan juga menjadi yang terbaik semasa Islam, jika sikap positif dan ‘kuat mengaji’ itu dikekalkan.
RAMADHAN ITU
Ramadhan 1424 menjelma. Masjid kembali meriah. Setiap malam, iftar disediakan dan anak-anak muda semakin gemar berkumpul malah tidur di masjid sahaja. Saya membiarkan sahaja, asalkan mereka menjaga kebersihan dan mengemas masjid sebelum jemaah subuh tiba.
Jumaat pertama Ramadhan itu, Anthony datang ke masjid selepas Asar.
“Salam to you Imam. May Allah bless you. How is everybody in the mosque?”� Anthony menghulurkan tangan bersalaman dengan saya.
“Salam to all those who seek His guidance”� saya menjawab sambil tersenyum.
“Imam, hari ini saya berpuasa. Pastikan makanan berbuka puasa nanti cukup. Saya kelaparan yang amat sangat”� Anthony ketawa kecil.
“Rumah dibina di atas tapak yang telah dipasak. Puasa kamu adalah sebahagian dari rumah itu. Bagaimana dengan tapaknya?”� saya cuba beranalogi.
“Malam ini Insya Allah. Harap Imam dapat membantu”� Anthony merenung tepat ke mata saya. Padanya ada keyakinan yang tinggi dan saya tahu ini adalah hari yang dinantikan.
“Pastinya Anthony. Jika tengah malam sekali pun kamu gerakkan saya untuk ini, saya akan bangun dan membantu”� saya menjawab.
Selepas solat Maghrib, jemaah sibuk mengambil tempat masing-masing sebelum nasi minyak dan ayam tandoori diedarkan. Ketika semua orang sibuk makan, saya bangun dan membuat pengumuman.
“Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Brothers and sisters, malam ini kita berasa sangat bertuah kerana kita akan menerima seorang lagi saudara baru. Brother Anthony mahu melafazkan syahadahnya sebentar lagi. Kepada sesiapa yang berkelapangan, anda dijemput untuk bersama”�
Jemaah di masjid bertakbir. Ramai yang terpinga-pinga bangun mencari siapakah Brother Anthony yang saya maksudkan. Makanan segera diselesaikan.
“Brother Anthony, malam ini kamu telah membuat kesaksian dengan penuh kerelaan hati kami bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Tiada sesiapa yang memaksa kamu?”� saya bertanya.
Anthony mengeleng-ngelengkan kepalanya sambil tersenyum.
“Kamu juga telah memahami asas-asas Islam dan tahu di mana titik perbezaan antara Islam dengan Catholicism yang kamu anuti?”� saya menyoal lagi.
“Terima kasih kepada Imam kerana telah membantu saya memahami Islam. Islamlah agama yang benar dan saya mahu hidup serta mati bersama Islam”� Anthony menjawab dengan penuh yakin.
“Baiklah, ada sebarang persoalan terakhir sebelum kamu melafazkan Syahadah?”� saya memberikan ruang kepada Anthony untuk menyelesaikan sebarang hal yang masih belum jelas baginya.
“Ya, selepas saya memeluk Islam, saya harap sekalian yang hadir dapat membantu dan membimbing saya mengenal Islam”�, Anthony mengangkat kepalanya kepada hadirin yang mengelilingi kami.
Seluruh jemaah tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya menggenggam tangan Anthony sebagai tanda ‘bersama’nya saya di dalam permintaan itu.
“Awak ikut sebutan Syahadah saya satu persatu. Kita akan lafazkan ia di dalam Bahasa Arab dan kemudiannya Bahasa Inggeris.”� saya memberitahu.
Anthony mengangguk.
LAHIRNYA SEMULA SEORANG HAMBA
Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlah … Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah
I bear witness that there is no God but Allah … And I bear witness that Muhammad is the messenger of Allah
“Alhamdulillah. Segala puji buat-Mu ya Allah. Oh Tuhan, kau bimbinglah Anthony ke jalan keredhaan-Mu, kau lapangkan jiwanya dengan Islam. Kau kuatkan keazaman dan semangatnya. Kau hidupkanlah dan matikanlah kami semua di dalam Islam”� saya berdoa.
Anthony bangun dengan air mata bercucuran membasahi pipinya. Malam itu dia lahir semula. Tangisannya seperti anak kecil yang mencari pelukan kasih.
Kami berpelukan. Ahli jemaah masjid berjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada Anthony.
“Selamat kembali ke fitrah asalmu Anthony. Kami adalah saudaramu, sehidup semati”� As’ad, iaitu salah seorang jemaah di masjid kami memeluk Anthony dan bersalaman dengannya.
Saya membawa Anthony ke bilik dan memberikan sedikit taklimat berkenaan beberapa perkara yang perlu Anthony lakukan. Dia yang sudah sedia datang ke masjid dengan persalinan, menuju ke bilik air untuk mandi, seumpama membasuh jahiliah yang telah ditinggalkan buat selamanya dan datang kepada Allah sebagai hamba yang suci dan bersih.
Malam itu Anthony berbaris bersama jemaah yang lain untuk solat Isyak dan Tarawih. Kali ini bukan hanya untuk merasa pengalaman, tetapi sebagai sujud pertama seorang insan yang pulang ke pangkuan Tuhan, diiringi keindahan bintang dan bulan kecil hiasan malam Ramadhan, di celah awan yang menurunkan gerimis iman, buat seorang teman bernama Anthony.
Kini, Anthony sudah berhijrah ke London. Beliau mendaftarkan diri membuat Diploma Pengajian Islam di sebuah kolej di London dan sms terakhirnya kepada saya, Muhammad Amin sudah beristerikan seorang Muslimah dari Tunisia.
Salam rindu saya buat Muhammad Amin Mooney, semoga engkau terus beristiqamah dengan Islam, yang telah mempersaudarakan kita.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
13 Ogos 2006
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (99) Pelawat
January 5, 2014
Azam 2014: Menikmati Pilihan-pilihan ‘Kekampungan’
Biasa mendengar pengakuan mangsa?
Ini pengakuan seorang mangsa.
Mangsa Facebook.
Bertahun-tahun menafikannya, mangsa mula jadi pemangsa, untuk mangsa seterusnya yang menjadi mangsa secara sukarela.
Hanya taqwa benteng penyelamat. Taqwa yang menyedarkan diri tentang satu-satu situasi yang kita berada di dalamnya, atau sudah menjadi sebahagian daripadanya.
Resah melihat Facebook mengubah tabiat tokoh-tokoh yang bergiat menggunakannya hingga nama-nama besar pun jadi gedik, baran, merepek, merapu, juga ‘terpaksa’ membuat justifikasi demi justifikasi terhadap pelbagai perkara.
Jawab menjawab.
Balah berbalah.
Entah bagaimana hendak mengungkapkannya, tabiat aplikasi Facebook itu sendiri menyebabkan apabila alim berbahas dengan jahil, ia akan berakhir dengan binasanya si alim, dan semakin menebal kejahilan para juhala’.
kredit foto technabob.com
Dalam konteks proses ilmu, mendidik dan mengajar atau berdakwah di Facebook adalah seperti memberi mi segera kepada orang yang lapar kebuluran. Mula-mula rasa berjasa. Lama kelamaan ia berubah menjadi pembunuhan.
Dalam dunia Facebook, perkembangan ilmu tidak selari dengan perkembangan akhlaq, lalu menimbulkan tanda-tanya bagaimana sebenarnya kita hendak menilai hasil hidup beragama.
2014, saya sekali lagi berusaha. Buat kali entah ke berapa. Dan entah berapa lama bertahannya.
Akaun peribadi saya kecilkan kepada kurang 100 teman, yang benar-benar Facebook itu satu-satunya medium saya kekal berhubung dengan mereka. Halaman ‘peminat’ (fan page) peribadi saya tutup.
Tinggal Mu’arrikhūn, halaman kecil yang fokus kepada catatan-cacatan berkaitan pembelajaran sejarah, untuk membawa pembaca kepada ilmu dan majlis ilmu.
Ia hanya pandangan peribadi saya untuk menjelaskan beberapa keputusan peribadi. Ada pun pengguna yang lain, teruskan menurut pilihan masing-masing. Pilihan yang bukan untuk dibanding-banding sesama insan, tetapi untuk dibekal dalam perbicaraan di hadapan Tuhan.
“Apalah punya sempit pemikiran ustaz ini!” seorang pengguna Facebook mencemuh semasa saya memaklumkan penutupan halaman peribadi akhir tahun lalu.
Antara urban dan ‘kekampungan’, sering saya temui bahawa kekampungan itu yang banyak mendamaikan.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (51) Pelawat
January 2, 2014
Cuaca Dan Ajal Sebuah Tamadun Manusia
“Filem The Day After Tomorrow tu, boleh betul-betul terjadi ke?” anak saya bertanya.
Amerika Syarikat dilanda cuaca beku yang memusnahkan kehidupan. Filem fiksyen nukilan Roland Emmerich itu diterbitkan pada tahun 2004. Oleh kerana ia filem fiksyen, mudah sahaja untuk relevannya ia diketepikan.
Tetapi semalam, ia mengundang pertanyaan kepada diri saya.
Tahun 2013 menyaksikan keganasan bencana alam yang banyak berkaitan dengan air, suhu, tekanan udara dan angin. Mungkin Taufan Haiyan tidak mencetus kematian seramai Tsunami 2004 dan tidak melanda kawasan-kawasan pelancongan terkenal, maka kehadirannya kurang diberi perhatian massa. Ramai sahaja yang tidak tahu menahu mengenainya. Taufan paling dahsyat pernah melanda planet Bumi, dalam pengetahuan manusia setakat ini!
Rakan-rakan Facebook saya berada di lokasi yang pelbagai. Ada di Kanada, Amerika Syarikat, Finland, Jerman, Itali membawa ke negara Arab hinggalah ke Afrika Selatan dan Australia. Mereka sesekali berkongsi catatan tentang kepelikan cuaca di lokasi masing-masing. Ia tidak mengundang sebarang reaksi kepada saya. Namun memori mengenainya terakam di minda.
Soalan anak saya semalam, menyebabkan saya terfikir, apakah kaitan cuaca dengan sejarah?
CUACA DAN SEJARAH KETAMADUNAN MANUSIA
Di zaman purba, kita sedia maklum tentang kemusnahan tamadun manusia disebabkan oleh cuaca. Banyak catatan berbentuk lagenda, namun banyak juga yang dibuktikan secara empirikal. Sudah tentu kita tidak lupa kepada Pompeii dan Herculaneum di Itali yang musnah dalam malapetaka letusan gunung berapi Vesuvius pada tahun 79M.
Tetapi bagaimana pula dengan era sejarah yang lebih terkini?
Dawlah Uthmaniyyah?
Saya meraba-raba beberapa sumber untuk mencari kajian mengenainya. Di kepala saya hanya teringatkan satu peristiwa iaitu pembunuhan Janissaries ke atas Sultan Osman II pada 20 Mac 1622. Bersama tragedi itu, tercatat juga bahawa Selat Bosphorus membeku pada tahun 1621 sebelumnya (Mikhail, Alan, ed. Water on Sand: Environmental Histories of the Middle East and North Africa. Oxford University Press, 2013.)
Bacaan lanjut menemukan saya kepada artikel jurnal oleh Yavuz, Vural, Naki Akcar, dan Christian Schlüchter yang bertajuk “The Frozen Bosphorus and its Paleoclimatic Implications Based on a Summary of the Historical Data.” Ia disiarkan dalam buku The Black Sea Flood Question: Changes in Coastline, Climate, and Human Settlement, pp. 633-649. Springer Netherlands terbitan 2007.
Adalah rumit untuk orang seperti saya yang tidak mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam sains persekitaran, membaca kajian berkenaan. Tambahan pula untuk meneliti fenomena Little Ice Age yang dibicarakan, terhadap sosio politik era berkenaan.
Bacaan tambahan menemukan saya dengan kertas kerja Sam A. White daripada Universiti Columbia (White, Sam A. “CLIMATE CHANGE AND CRISIS IN OTTOMAN TURKEY AND THE BALKANS.”). Beliau telah memanfaatkan data-data yang berselerakan di dalam dokumen sejarah untuk membentuk pemahaman yang jelas tentang keadaan cuaca di kurun ke-16 dan 17 Dawlah Uthmāniyyah. Penjelasan beliau tentang Little Ice Age (LIA) yang begitu ekstrim hingga menjadikan laut yakni Selat Bosphorus serta sungai dan tasik membeku bersama angin sejuk kering yang menghembus hingga Itali, telah memberi kesan yang besar kepada penempatan, pertanian, kesihatan, pekerjaan, dan seluruh aspek kehidupan manusia.
Sejauh manakah perubahan cuaca drastik yang berlaku selepas era Kanuni Sultan Suleyman dan Imam Birgivi yang menjadi subjek kajian saya, mempengaruhi perkembangan Dawlah Uthmaniyyah? Ia persoalan yang memerlukan kajian lanjutan.
Semua latar belakang yang berkaitan dengan cuaca ini, di dalam catatan-catatan sejarah, tertumpu kepada mencatat akibat akhirnya sahaja iaitu aspek politik dan ekonomi. Hingga kita terlupa bagaimana ada sesuatu yang berlaku kepada alam sekitar, yang sebenarnya mengubah segala-gala. Alam sekitar yang merupakan ‘tentera Allah’ yang bekerja di luar perhatian manusia.
DAN KITA
kredit foto: kenwooi.com
Negara kita juga demam.
Ketika alam sekitarnya demam, peri buminya demam lebih kritikal lagi.
Apa sahaja isu, segalanya dipandang dari sudut sempit politik dan kepentingan.
Dalam keghairahan masyarakat di Malaysia hari ini yang saban hari bercakaran, mencarut dan memaki hamun tentang politik dan ekonomi, sepertinya kita terlepas pandang yang ‘tentera Allah’ sedang merobek generasi durhaka ini.
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum : 41]
“Takut ke?” saya bertanya kembali kepada anak yang masih menonton.
“Takut juga” kata beliau.
“Antara Kiamat dengan mati, mana yang lagi senang berlaku?” saya mengajak beliau berfikir.
“Mati lagi senang” jawabnya perlahan.
“Oleh kerana mati itu lebih senang terjadi berbanding Kiamat, kita serahkan urusan Kiamat kepada Allah dan kita sebagai manusia, oleh kerana mati itu boleh terjadi bila-bila masa dan mudah sekali, kita kenalah menghargai hidup ini dengan sentiasa berbuat baik dan beriman kepada-Nya” saya membuat rumusan.
Beliau mengangguk. Saya tidak mahu fikiran negatif menguasai anak kami. Dalam masa yang sama saya juga tidak boleh menyembunyikan pengetahuan tentang perubahan cuaca yang sedang terjadi. Namun anak-anak kami perlu kekal optimis kerana ia adalah nadi harapan mereka. Sekurang-kurangnya untuk mereka dan masa depan mereka nanti.
“Dan jangan lupa senyum!” saya menyiku beliau.
Anak saya ketawa.
Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Da memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta ditangguhkan walau pun sesaat dan tidak pula mereka akan dapat meminta dipercepatkan. [Al-Nahl 16: 61]
Bapa di sebelahnya menarik nafas dalam-dalam kerana benak hatinya masih berkata, “Bumi ini tidak akan lagi kembali kepada keadaan sebelumnya.”
Rahmati kami ya Allah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (33) Pelawat