Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 53
February 9, 2014
Mengurus Sindrom Pasca Taubat
“Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…” keluh seorang lelaki.
Sedih.
Keluhan yang benar.
Kebenaran yang sukar untuk ditelan.
“Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu” keresahannya berpanjangan.
Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana ‘dunia kebaikan’ yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.
Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.
Mungkin dalam perbualan sehariannya.
Mungkin dalam ceramahnya.
Mungkin dalam penulisan.
NASIHAT SHEIKH ABD AL-QADIR AL-JAILANI
“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.
Tergamam.
Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.
“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak murid itu kepada gurunya.
Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.
“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.
Setiap yang mendengar terkejut.
Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.
Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “mengapakah engkau berkata demikian?”
Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’
Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”
Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.
Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.
“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.
Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”
Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.
Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan Taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.
KISAH PENANGKAP ULAR
credit photo: http://rlv.zcache.com/
Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Di satu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.
Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.
Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.
“Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan” nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.
Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.
Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.
Bersederhanalah dalam membina harapan.
Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” [Aal 'Imraan 3:8]
Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.
Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (214) Pelawat
February 7, 2014
Guru-guruku Dalam Menjejak Imam Birgivi
“Terima kasih Ahmet hocam” saya berjabat tangan.
“Terima kasih kepada anta, kerana sudi hadir” beliau menyambutnya.
Petang itu, dalam kesempitan masa berbaki sebelum meninggalkan Istanbul dan pulang ke tanahair, saya berpeluang mengatur pertemuan dengan Ustaz Ahmet Kaylı. Sebelum ini, saya hanya berutus emel dan berbalas mesej di Facebook. Syukur pada petang ini, kami dipertemukan. Walaupun Ustaz Abdullah Taha Orhan tidak dapat turut serta petang ini, saya kira beliau memang turut serta secara ‘maknawi’ dalam sembang petang kami.
Bukan apa, rezeki daripada Allah, Ustaz Abdullah yang menemukan kami.
Dalam rentetan satu demi satu anugerah Allah yang datang dalam perjalanan saya mengumpul bahan mengenai Imam Birgivi.
Teringat Februari lalu, musim dingin di Istanbul yang sungguh membingungkan saya. Kelam kabut yang memuncak, saya datang ke Istanbul tanpa strategi. Tetapi satu demi satu kemudahan Allah berikan.
Selepas kira-kira setengah jam saya terpinga-pinga di Sahaflar Çarşısı mencari karya Imam Birgivi, saya ditegur oleh seorang lelaki.
“Selam aleyküm, hocam. Boleh saya bantu?” tanya beliau sambil menghulurkan tangan. Beliau berbahasa Inggeris.
“Aleyküm selam hocam. Terima kasih. Sebenarnya saya sedang mencari karya-karya Imam Birgivi” saya memberitahu.
“Oh, sebentar ya. Nama saya Mehmet. Saya pernah tinggal di Kanada. Bolehlah berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Tunggu, saya cuba dapatkan” ujar beliau.
Mehmet bercakap dengan bapanya di dalam kedai dan kemudian beliau meminta bapanya menyelongkar buku-buku yang ada dalam simpanan mereka. Tidak cukup di gerai sendiri, Mehmet pergi ke gerai-gerai yang lain untuk tujuan yang sama. Jika tidak kerana pengalaman sebelum-sebelum ini, mungkin saya akan tahan Mehmet daripada menyusahkan dirinya begitu sekali. Akan tetapi, itulah muslim dan muslimah di Turki. Apabila membantu, mereka membantu sepenuh hati.
Sambil itu, saya membelek buku-buku lain. Berteduh daripada hujan dingin Istanbul yang mengintai salji.
Sahaflar Çarşısı mempunyai sejarah yang panjang, seusia dengan Grand Bazar (Kapalı Çarşı)pada kurun ke-15. Tetapi saya dapat merasakan yang pasar buku antik ini berbeza daripada kunjungan saya pada awal 1990′an. Sekurang-kurangnya pada masa itu masih banyak buku lama dari era Uthmaniyyah yang dijual. Berbeza dengan hari ini, nampaknya banyak buku sekolah, buku terjemahan Dan Brown dan J. K. Rowling.
Oleh kerana di dalam sejarahnya, kedai buku ini membekalkan keperluan medrese, maka lokasinya amat bertepatan di Beyazit itu. Evliya Çelebi, di dalam Seyahatname menceritakan bahawa pada masa tersebut, ada 50 buah kedai buku bersama 300 peniaga buku antik yang berada di situ.
“Ini sahaja yang dapat saya kumpulkan daripada semua kedai yang berada di sini” kata Mehmet.
Berpeluh-peluh beliau datang kepada saya bersama dua tajuk. Satunya adalah İmam-ı Birgivi Vasiyetnamesi dan sebuah lagi adalah syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah iaitu Berika – Tarikat-ı Muhammediyye Şerhi oleh Konyalı Muhammed Mevlana Ebu Said Hadimi sebanyak 5 jilid.
“Alhamdulillah. Ini permulaan yang baik. Terima kasih saya ucapkan” saya berkata.
“Maaf saya ingin bertanya, adakah kamu seorang derviş?” tanya Mehmet.
“Tidak. Saya bukan seorang derviş. Saya orang biasa. Tetapi belajar tentang tasawwuf. Meminatinya dan cuba mengambil manfaat daripadanya” saya tersenyum.
“Jika begitu, mengapa kamu mencari buku-buku Imam Birgivi?” soal beliau.
“Saya seorang murid sejarah. Saya sedang menyiapkan kajian peringkat sarjana berkenaan dengan Imam Birgivi” saya memberitahu.
“Alhamdulillah!!!” beliau memeluk saya.
Tergamam.
“Teringat saya kepada pesanan guru kami. Kepada setiap kaum Muslimin yang tidak bertarekat, sekurang-kurangnya dalam hidup ini, bacalah buku Tariqah Muhammadiyyah oleh Imam Birgivi. Sebagai panduan kehidupan” Mehmet begitu teruja.
“Inshaallah” saya mengiyakan kata-katanya.
Menarik juga. Jarang sekali orang bertarekat, apatah lagi tuan gurunya, memberi pilihan untuk orang tidak bertarekat.
“Tuan dari tarekat mana?” saya bertanya.
“Saya daripada tarekat Helvati Cerrahi” kata Mehmet.
“Alhamdulillah. Saya memang berhajat mencari orang daripada tarekat ini. Allah temukan kita” saya pula yang naik teruja.
“Kami memang membaca kitab Imam Birgivi. Jemputlah datang ke majlis kami pada setiap Khamis malam Jumaat. Bila-bila sahaja kamu mahu menyertainya, datang ke sini sebelum jam 6. Apabila kami tutup kedai, kita pergi sama-sama” Mehmet menawarkan peluang.
“Inshaallah. Saya akan usahakan” saya berterima kasih sekali lagi kepadanya.
Rezeki. Saya memang mahu mencari pengikut tarekat Helvati Cerrahi kerana mahu mengetahui tentang persepsi semasa terhadap Imam Birgivi. Apabila Tosun Bayrak yang menterjemahkan Tariqah Muhammadiyyah kepada The Path of Muhammad, saya mendapat indikasi tentang signifikannya tarekat Helvati Cerrahi kepada kajian mengenai Imam Birgivi.
Kami berpisah, mudah-mudahan berpeluang bertemu kembali, dan menyertai sekurang-kurangnya sekali sesi pengajian kitab Mehmet dan sahabat-sahabatnya.
Itu rezeki pertama saya, dalam kembara menjejak Imam Birgivi.
DR HASAN TUNCAY BAŞOĞLU
“Ahlan wa sahlan! Di mana kamu, Hasrizal?” Dr. Hasan menyambut saya.
Syafiq dan Halim juga bersalam dengannya.
“Saya di sini” saya menjawab.
“Ya, selama ini kamu di mana? Sudah lebih 10 tahun kita tidak berjumpa” ujar beliau.
Dr. Hasan Tuncay Başoğlu juga adalah salah seorang dari ahli rumah kami di Amman dahulu. Beliau bersama Cenksu, Mustafa, Said dan Adnan, kami sentiasa memandang tinggi kepada beliau kerana beliau memang seorang yang tinggi! Dr. Hasan dahulunya belajar sains politik di Universiti Boğaziçi. Kemudian beliau berhijrah ke bidang pengajian Islam apabila menyambung sarjana dan PhD dalam bidang Usul Fiqh di Fakulti Ilahiyat, Universiti Marmara.
Mengingati kembali diri beliau sebagai seorang yang sangat banyak membaca lagi ilmiah pemikirannya, saya yakin beliau boleh berkongsi banyak benda, selain saya sendiri rindu untuk bertemu dengannya. Kali terakhir saya berjumpa, adalah pada tahun 1999 ketika beliau tinggal bersama ibunya yang sudah tua, di sebuah rumah kecil di Bulgurlu Mahallesi.
Tanpa disangka-sangka, rupanya sahabat saya yang ilmiah itu, kini adalah Timbalan Direktor di İslam Araştırmaları Merkezi atau lebih dikenali sebagai İSAM! Dua dalam satu! Bertemu dengan beliau, dan beliau pula adalah Timbalan Direktor Islamic Research Centre yang paling saya hajatkan untuk berkunjung.
Alhamdulillah.
“Saya mahu kamu pos dari Malezya buku-buku kamu untuk dimasukkan ke koleksi İSAM” kata Dr. Hasan.
“Buku saya bukan buku ilmiah. Ia buku populis” saya beralasan. Terasa janggal dengan permintaan beliau.
“Buku Aku Terima Nikahnya yang kamu tulis, mempunyai perspektif baru tentang cara umat Islam melihat isu-isu kekeluargaan. Apa bentuk pakej yang dibuat oleh penerbit, saya tidak ambil kira. Tetapi bagi saya isinya ilmiah. Dan wajar menjadi koleksi İSAM” jelas beliau.
“Baiklah. Tapi saya rasa buku Secangkir Teh Pengubat Letih lebih sesuai” saya memberi cadangan.
Dr. Hasan meminta saya jelaskan tentang isi kandungan travelog kedua saya itu. Politik, sejarah, budaya, isi kandungan buku Secangkir Teh Pengubat Letih itu adalah ibarat Rehlah Ibnu Batutah, pada pendapat beliau.
“Saya tidak mahu ia menjadi seperti Rehlah Ibnu Batutah. Kesilapan fakta tentang Ibnu Taimiyah berkenaan kunjungan beliau ke Dimashq telah menjadi fitnah berlarutan terhadap Ibnu Taimiyah” saya berkata.
“Aha, itu satu sikap mengambil berat yang penting. Kita boleh memilih untuk menulis secara akademik atau populis, tetapi kita tidak berkompromi kesahihan isi kandungannya” sambut Dr. Hasan.
“Topik ini menarik. Saya ada tugasan akademik dari UKM di Malaysia tentang perkembangan novel sejarah Islam” saya memberitahu.
Perbualan kami berlanjutan selama hampir setengah jam. Dr. Hasan juga sangat berbesar hati apabila dapat berkenalan dengan Halim dan Syafiq yang menemani saya. Beliau sempat memberikan beberapa nasihat kepada mereka.
“Apa-apa, buku Secangkir Teh Pengubat Letih juga mesti dipos untuk dimasukkan ke dalam koleksi İSAM” kata Dr. Hasan.
Saya ketawa.
İSAM adalah sebuah pusat kajian ilmiah berkaitan disiplin pengajian Islam di bawah Diyanet Vakfı. Ia lebih dikenali dengan perpustakaannya yang sangat besar dan kaya, menghimpunkan buku-buku rujukan serta jurnal-jurnal ilmiah dari seluruh dunia. İSAM tidak membuka pintunya kepada pelajar pra siswazah. Sebaliknya, ia menyediakan segala kemudahan untuk pelajar sarjana, kedoktoran dan pasca PhD untuk hadir dan memanfaatkan bukan sahaja bahan di perpustakaannya, tetapi juga apartmen kediaman percuma bersama makan minum untuk pelawat-pelawat akademik yang diterima untuk membuat kajian jangka pendek di İSAM. Syaratnya mudah sahaja. Selain menyediakan proposal tentang kajian yang hendak dibuat serta surat-surat sokongan, penyelidik juga dikehendaki membentangkan hasil kajiannya di hujung keberadaan mereka di İSAM.
Paling memeranjatkan saya ialah apabila Dr. Hasan menjelaskan bahawa İSAM asalnya ditubuhkan untuk membangunkan sebuah ensiklopedia! Ia adalah kesinambungan tradisi kesarjanaan Uthmaniyyah yang terkenal dengan penghasilan ensiklopedia seperti Keşf-el-Zunun an Asami al-Kutub wa-al-Funun oleh Kâtip Çelebi (1609-1657). Ensiklopedia yang dimaksudkan itu adalah TDV İslâm Ansiklopedisi yang kini mencecah lebih 40 buah jilid. Setiap satu entri di dalam ensiklopedia itu dipegang oleh seorang penyelidik. Beliau akan mengumpulkan manuskrip, buku, makalah ilmiah, keratan akhbar dan dokumen-dokumen berkaitan entri tersebut, menganalisa dan merumuskannya, kemudian meringkaskannya kepada beberapa perenggan lalu dimasukkan ke dalam ensiklopedia berkenaan selepas mendapat kelulusan.
Allahu Akbar.
Demikian sekali kesungguhan mereka.
Demikian sekali kualiti penghasilan bahan ilmiah mereka.
Dan dengan bahan yang begitu banyak, İSAM kini juga merupakan sebahagian daripada sebuah universiti pengajian tinggi untuk bidang pengajian Islam yang dikenali sebagai İstanbul 29 Mayıs Üniversitesi.
“Assalamualaikum!” tiba-tiba seorang tetamu masuk.
Berwajah tenang dan sambil melemparkan senyuman kepada kami, Dr. Hasan memperkenalkan beliau kepada kami sebagai Ustaz Abdullah Taha Orhan, pembantu beliau. Ustaz Abdullah merupakan seorang pengkaji sepenuh masa di İSAM, dan beliau sedang menyiapkan PhD di bidang Tasawwuf di Universiti Marmara.
“Memnun oldum!” saya menyambut perkenalan.
Selepas kami semua diperkenalkan kepada Direktor İSAM iaitu Prof. Dr. Mehmet Âkif Aydın, Ustaz Abdullah telah diamanahkan oleh Dr. Hasan untuk membawa kami melawat sekitar İSAM sebelum kami bertemu semua untuk makan malam, selepas Maghrib.
“Dan sebelum kita tinggalkan pejabat, ini saya telah muat turun kira-kira 30 dokumen pdf berupa tesis sarjana dan PhD serta artikel dan buku, berkaitan Imam Birgivi” kata Dr. Hasan.
Allahu Rabbi!
Saya rasa sejuk kaki, hilang upaya berdiri, kerana terlalu teruja.
“Segala puji bagi Allah. Dia Maha Baik kepada saya hari ini” saya menyambut thumb drive yang Dr. Hasan hulurkan.
Kami keluar meninggalkan pejabat dan Ustaz Abdullah mengajak saya singgah ke bilik beliau sebentar untuk mengambil jaket.
“Oh perkenalkan, Ustaz Muhammed Enes Topgül!” kata Ustaz Abdullah.
Beliau adalah pengkaji yang bertanggungjawab ke atas akaun Imam Birgivi di dalam ensiklopedia berkenaan, walaupun artikel mengenainya disumbang oleh Prof Emrullah Yüksel.
Subhanallah!
Pelbagai maklumat telah Ustaz Enes kongsikan dengan saya, termasuk membetulkan kesilapan saya yang mahu memandu ke Birgi yang salah keesokan harinya.
Biar pun kunjungan saya ke İSAM tempoh hari sangat berbaloi-baloi, kemuncaknya adalah semasa saya di dalam pesawat penerbangan pulang ke Malaysia. Daripada 30 dokumen pdf yang Dr. Hasan berikan kepada saya, ada sebuah tesis yang menjadi lampu suluh penerang jalan saya di celah rimba maklumat yang sangat rumit. Tesis berkenaan ditulis oleh pelajar Universiti Boğaziçi bernama Ahmet Kaylı. Tesis berbahasa Inggeris itu bertajuk A Critical Study of Birgivi Mehmed Efendi’s (d.981/1573) Works and their Dissemination in Manuscript Form.
Tajuk berkenaan menjadi tiang seri kepada kajian saya di bahagian tinjauan literatur. Ustaz Ahmet telah membuat sebuah penyelidikan tentang penyebaran karya Imam Birgivi dalam bentuk manuskrip. Kuantiti penyebaran berkenaan menjelaskan tentang banyak perkara berkaitan latar belakang sejarah yang mendorong kepada bertambah atau berkurangnya penyalinan dan penyebaran karya-karya Imam Birgivi. Untuk menyempurnakan kajian tersebut, Ustaz Ahmet perlu menyelongkar seluruh perpustakaan yang dikenal pasti ada karya Imam Birgivi, meneliti kesahihan nisbahnya kepada Imam Birgivi dan akhirnya, beliau mendokumentasikan secara muktamad, bibliografi terkini Imam Birgivi. Inilah sumbangan yang sangat besar oleh beliau. Saya tidak pasti berapa lamakah kajian berkenaan dibuat. Jika di Malaysia, ini bukan lagi tesis sarjana, malah boleh menjadi tesis PhD terbaik dengan anugerah dekan.
“Saya rasa sangat bertuah kerana ditemukan oleh Allah dengan tesis Ustaz Ahmet Kaylı. Semoga saya berpeluang untuk bertemu dengannya untuk lebih mengenali Imam Birgivi dan memahami pensejarahannya” saya mengemas kini status di dinding Facebook semasa transit di Dubai.
“Ustaz Hasrizal, Ustaz Ahmet Kaylı adalah rakan sepengajian saya di Universiti Boğaziçi. Saya akan perkenalkan ustaz kepada beliau, Inshaallah” status saya dikomen, sebaik sahaja saya tiba di KLIA.
Allahu Akbar.
Ustaz Ahmet Kaylı rupa-rupanya rakan kepada Ustaz Abdullah Taha Orhan!
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau maha Baik kepadaku. Pertolongan demi pertolongan Engkau berikan tanpaku minta, aku mengambilnya sebagai petanda bahawa Engkau redha dengan kajianku ini. Bimbinglah aku, hindarkan aku daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan maklumat yang tidak tepat” saya berdoa semasa solat Jama’ Ta’khir di Lapangan Terbang.
Semenjak itu saya sering berutus berita dengan Ustaz Ahmet Kaylı. Saya dapat merasakan bahawa beliau adalah seorang yang tekun, dan kukuh komitmennya terhadap kajian beliau. Sejujurnya beliau tidak pasti bagaimana tesisnya boleh berada di dalam database İSAM, tetapi beliau berbesar hati ‘merestui’ naskhah di tangan saya untuk manfaat kajian, asalkan saya tidak menyiar atau membuat salinan. Mungkin beliau mahu membetul dan mengemaskan lagi tesis tersebut.
Saya menghormati permintaan beliau.
Hubungan saya, Ustaz Ahmet dan Ustaz Abdullah menjadi semakin akrab.
Dan hari ini, setelah dipujuk-pujuk kami dapat bertemu!
“Terima kasih, hocam. Dapat meluangkan masa bertemu saya” saya duduk bersama beliau di kerusi rehat bersebelahan İSAM.
“Terima kasih kepada ustaz sebenarnya kerana bersusah payah datang ke İSAM petang ini. Esok sudah mahu pulang ke Malaysia. Maafkan saya sebab tidak dapat berjumpa lebih awal” ujar beliau.
Saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau kepada kajian tentang Imam Birgivi. Sungguh teruja, apabila Ustaz Ahmet memberitahu saya bahawa beliau meluangkan masa selama 2 tahun duduk di dalam perpustakaan demi perpustakaan untuk merekodkan manuskrip berkaitan Imam Birgivi. Usaha sedemikian rupa adalah contoh bagaimana sepatutnya seorang pelajar sarjana menjayakan kajian masing-masing. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Ustaz Ahmet juga menjelaskan kepada saya tentang khilaf tarikh lahir Imam Birgivi yang saya temui di dalam pelbagai kajian, termasuk yang tercatat di batu nesan maqam beliau di Birgi.
“Di dalam Vasiyetname (Risale-i Birgivi), Imam Birgivi sendiri memberikan tarikh lahir beliau sebagai 10 Jamadil Awwal 529H. Berdasarkan kiraan di ttk.gov.tr ia bersamaan dengan 27 Mac 1523″ ujar Ustaz Ahmet.
“Saya menghadapi kesulitan untuk membaca Tariqah Muhammadiyyah sebab naskhah yang ada pada saya masih mentah tanpa struktur bab, fasal dan sebagainya. Adakah naskhah yang saya gunakan ini sesuai?” saya tunjukkan kepada beliau naskhah dalam format pdf yang saya bawa di dalam ipad.
“Ini naskhah yang baik. Tetapi memang sukar membacanya. Ia dicetak di mana ya?” tanya Ustaz Ahmet.
“Ia dicetak di Bombay, India. Tetapi ia adalah salinan semula. Naskhah asalnya dicetak di Turki” saya memberitahu.
Di hujung kitab berkenaan, dicatat bahawa naskhah itu dicetak di Percetakan al-Haj Muharrem Efendi el-Bosnavi dan dicetak pada awal Muharram tahun 1287H iaitu sekitar tahun 1870 semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan.
“Syukurlah, walaupun agak sukar membacanya, ia masih boleh dibaca. Jika manuskrip yang ini, lagilah berpinar mata saya” saya menunjukkan senaskhah manuskrip dalam format pdf kepada beliau.
“Oh, di mana ustaz dapat naskhah ini?” beliau terkejut menatap naskhah yang ada di tangan saya.
“Saya mendapat naskhah ini daripada sebuah perpustakaan di Jepun. Nampaknya ia bertarikh 1659″ saya memberitahu.
“Subhanallah. Bolehlah ustaz berikan saya sesalinan naskhah Tariqah Muhammadiyyah ini?” pinta beliau.
Saya sangat berbesar hati kerana sekurang-kurangnya, ada jugalah suatu kebaikan yang dapat saya kongsikan dengan Ustaz Ahmet, pada mengenangkan besarnya sumbangan beliau kepada kajian saya.
“Saya belum pernah ke Birgi. Ia mesti diusahakan. Tidak masuk akal bagaimana hocam dari jauh pula yang sampai terlebih dahulu” kata Ustaz Ahmet.
“Oh itu perkara biasa. Ada rakan isteri saya di Ireland dulu sudah pernah ke Pulau Langkawi di Malaysia sedangkan kami yang orang Malaysia sendiri belum pernah ke sana lagi” saya ketawa kecil.
Gembira saya dapat memetik senyuman beliau. Ustaz Ahmet orang yang agak serius dan pendiam. Namun butir katanya berisi belaka.
“Semalam, Prof. Dr. İhsan Fazlıoğlu beritahu saya yang beliau pernah membaca sebuah manuskrip menceritakan bahawa ada rombongan dari Kepulauan Melayu datang ke Turki meminta agar Tariqah Muhammadiyyah disyarahkan untuk dimanfaatkan oleh kaum Muslim di tempat kami” saya bercerita.
“Wah, betul? Mengejutkan!” kata Ustaz Ahmet.
“Saya pun terkejut. Dan kata Prof. lagi, ada kemungkinan Perang Padri yang berlaku di Tanah Minang, Sumatera Indonesia, membabitkan idea ‘kaum muda’ yang bukan dari tanah Arab, sebaliknya dari pengaruh gerakan Kadızadeli. Prof. Dr. İhsan Fazlıoğlu menasihatkan saya supaya kekal mengkaji tentang Imam Birgivi kerana pengaruhnya yang begitu luas di luar jangkaan. Malah Dr. Hasan Tuncay pun ada memberitahu tempoh hari, semasa beliau melawat China, ada masjid-masjid di sana masih menggunakan Tariqah Muhammadiyyah untuk tazkirah” saya menyambung kisah.
“Alhamdulillah. Selepas ini bolehlah kita terus bekerjasama. Saya sedang menguasahakan kajian PhD berkenaan dengan syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah. Saya mungkin akan memilih Al-Hadiqah al-Nadiyyah Sharh al-Tariqah al-Muhammadiyyah oleh Abd al-Ghani al-Nablusi. Ia syarah di dalam bahasa Arab” ujar Ustaz Ahmet.
“Subhanallah. Adakah naskhahnya bercetak dan dijual?” saya rasa meluap-luap dada kerana menyambut lambakan hikmah.
“Ada. Tariqah Muhammadiyyah yang bercetak dengan cetakan agak kemas juga ada dijual di kedai yang sama. Ustaz pergi ke Üsküdar. Jalan menuju ke maqam Aziz Mahmud Hüdayi Hazretleri berhampiran Burger King itu, ustaz belok ke kanan. Nanti di sebelah kiri ustaz, ada kedai buku Asitane Yayınevi. Inshaallah ada dijual di situ” Ustaz Ahmet menerangkannya kepada saya.
“Hocam, terima kasih ya. Hanya Allah jua yang membalas jasa hocam” saya rasa sangat terharu.
“Ustaz sudah hubungi Prof. Katharina Ivanyi di New York?” soal Ustaz Ahmet.
“Sudah. Berbesar hati saya menerima balasan daripadanya” saya memberitahu.
Dear Hasrizal,
Thank you so much for your message. It is great to hear that you are working on Imam Birgivi Efendi, too. He is such an important figure and there is so much work to be done on him! Please let me know if there is anything I can help you with. I finished my PhD dissertation on him last year. If you are working on Birgivi’s ideas on islah and tajdid, you probably know that there is a section on Birgivī in ‘Abd al-Muta‘āl al-Ṣa‘īdī, al-Mujaddidūn fi-l-islām min al-qarn al-awwal ilā al-rābi‘ ‘ashar (Cairo: Maktabat al-Ādāb, 1996), pp. 377-8. It’s a fascinating topic.
Katharina Ivanyi
“Demikianlah sikap ilmuwan yang sejahtera. Tidak lokek ilmu. Sentiasa memandu pengkaji lain kepada sumber-sumber yang berguna” ulas Ustaz Ahmet.
“Benar. Walaupun sebenarnya apa yang dicatatkan oleh Sheikh Abd al-Muta‘āl al-Ṣa‘īdī di dalam buku berkenaan agak mengecewakan saya, tetapi ia tetap penting” saya berkongsi.
“Mengapa?” Ustaz Ahmet kehairanan.
“Kata beliau, beliau menyenaraikan Imam Birgivi sebagai mujaddid kerana menghormati pendapat Rashid Ridha yang berpendapat demikian. Ada pun pendapat peribadinya, Imam Birgivi ini tidak mempunyai apa-apa kelebihan” saya memberitahu.
Naskhah buku al-Mujaddidūn fi-l-islām itu pun, saya memperolehinya hasil kebaikan yang Allah limpahkan apabila sahabat saya, Ustaz Zahiruddin Zabidi menemui satu-satunya naskhah tersebut di Malaysia, di Perpustakaan Universiti Malaya.
“Inshaallah ustaz. Sama-sama kita berdoa kepada Allah, agar usaha ini diredhai-Nya dan memudahkan jalan kita untuk ke Syurga” kata Ustaz Ahmet.
“Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap – sayapnya. Karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang menuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim (ulama) dibandingkan seorang ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham. Tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bagian yang banyak.” [Sahih Ibn Hibban]
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (44) Pelawat
February 5, 2014
Pendidikan Uthmaniyyah, ‘Finland’ dan Impian Masa Hadapan
“Saya masih lagi kehairanan, walaupun saya tahu ia tidak mustahil. Bagaimana kamu boleh bertemu dengan Ismail Ankaravi di Helsinki” saya menghirup teh di bawah pohon rendang di Validebağ.
“Ia bukanlah usaha saya di dalam vakum. Rezekinya, saya bertemu dengan seorang tokoh penting bidang pengajian Islam di Finland iaitu Profesor Jaakko Hämeen-Anttila. Beliaulah mentor saya dan mengajar saya tentang banyak perkara mengenai sejarah Islam” jawab Ville.
“Kali pertama saya mendengar namanya. Beliau sudah berumurkah?” saya bertanya.
“Muda lagi. Sekitar awal 50′an. Pada tahun 1995 beliau telah menterjemahkan al-Quran ke bahasa Finnish. Begitu juga, buku beliau Islamin Käsikirja atau The Handbook of Islam memenangi the State Award for Public Information. Ia adalah sumber pengetahuan yang penting tentang Islam kepada orang ramai di Finland” cerita Ville lagi.
“Besar jasa beliau. Terutamanya pada mendidik masyarakat ‘orang Utara’ tentang Islam. Dan sebagai orang tempatan, tentu pengungkapannya lebih menepati pemikiran dan mentaliti orang Finland” saya berpendapat.
“Betul. Dan bertuahnya saya, kerana mendapat peluang belajar dengan beliau. Rasanya pada masa itu, beliau adalah satu-satunya sarjana tentang Islam di Finland” ujar sahabat saya itu.
“Beliau juga bertuah kerana mendapat pelajar bernama Ville Suomalainen. Sarjana in the making. Apa-apa pun, Profesor berkenaan dibentuk oleh sistem pendidikan Finland yang dahulu, manakala awak pula adalah produk sistem pendidikan Finland pasca reformasi. Bukan sahaja pelajar bertuah mendapat pensyarah yang hebat. Pensyarah juga bertuah mendapat pelajar yang cemerlang. Ia perlu bersinergi” saya berkongsi.
“Kadang-kadang saya hairan juga, seluruh dunia bercakap tentang sistem pendidikan Finland. Bagus sangatkah sistem pendidikan di negara kami? Atau teruk sangatkah sistem pendidikan di negara lain?” soal Ville.
“Fuhh… soalan besar itu. Kamu tahu Ville, walaupun jarak umur kita mencecah lebih 10 tahun, saya tidak rasa saya sedang berbual dengan seorang yang berumur 20′an” saya teruja dengan topik yang dibuka.
“27, kalau mahu lebih spesifik, Itu sudah hampir mencecah 30″ balas Ville.
“Haha. Saya antara orang yang tidak berapa tua dan tidak berapa muda, menanggung pelbagai penderitaan berurusan dengan anak muda umur kamu di negara saya. Biar pun belajar di universiti hebat-hebat, tetapi saya pening dengan mentaliti mereka. Yang bagus itu ramai juga. Tetapi yang memeningkan itu paling mendominasi. Sehingga saya mencipta sebuah teori. Nyatanya teori palsu. Tetapi saya sengaja buat-buat mempercayainya untuk menjawab misteri common sense is no longer a common thing yang selalu disebut itu” saya memberitahu.
Ville kehairanan.
Beliau sepertinya mahu saya melanjutkan cerita.
“Bukankah Chernobyl Catastrophe berlaku pada tahun 1986 di Ukraine? Tahun kamu lahir. Radiasinya sungguh dahsyat. Teori saya, radiasi Chernobyl itu telah menyebabkan semua bayi yang lahir pada tahun 1986 ke atas jadi pelik. Perangai pelik-pelik. Dan hanya boleh diselamatkan oleh sistem pendidikan sebagus Finland!” saya ketawa.
Ville ketawa. Beliau baru faham apa yang saya maksudkan.
POLEMIK PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Saya kongsikan bersama beliau tentang kerumitan sistem pendidikan yang berlaku di Malaysia. Ada yang mahu mengajar bahasa Inggeris melalui pengajaran matematik dan sains. Ada yang mahu mengajar kalimah Sīrah di dalam bahasa Arab itu berasal dari kalimah Sāra kepada murid tahun 1! Dan terkini, kerajaan memperkenalkan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang berniat murni mahu menghapuskan kiasu dalam pendidikan, keterlaluan dalam orientasi peperiksaan, tetapi bebanan Lembaga Peperiksaan Malaysia, dipindahkan ke bahu guru-guru yang nisbah murid dan kelasnya mencecah satu kelas 50 pelajar. Memang memeningkan.
Tambahan pula server komputer induk untuk merekodkan taksiran berkenaan tidak mampu menampung akses guru-guru hingga ada yang terpaksa mengupah anak berjaga malam menanti waktu guru lain ‘pengsan’ di jam 4 pagi, agar akses ke komputer kementerian menjadi lebih berkemungkinan.
“Bagaimana dengan sistem pendidikan di Finland. Boleh kongsikan pengalaman kamu?” saya bertanya.
“Hmm… saya tidak pasti hendak memulakannya dari mana” ujar Ville.
“Beginilah… bagi saya, sebuah pendidikan itu baik apabila muridnya seronok belajar, gembira ke sekolah. Adakah kamu seorang murid yang gembira semasa di sekolah?” saya menyoal.
Ville menggaru-garu dagunya berfikir.
“Saya tidak pasti adakah saya gembira atau tidak. Tetapi saya tidak ada pengalaman yang menyedihkan semasa bersekolah. Bergaduh-gaduh dengan kawan itu sesekali memang ada. Tetapi jika saya fikir tentang guru-guru, mereka tidak menentukan apa yang boleh dan tidak boleh. Mereka cuma menyelia perbuatan kami. Dan jika ada konflik, somehow, kami diajar datang meminta bantuan mereka. Dan bukan mereka campur tangan dalam masalah sesama kami, budak-budak di sekolah” cerita Ville.
“Itu permulaan yang bagus untuk cerita kita. Bagi saya, itu sudah cukup untuk memenuhi maksud perkataan ‘gembira’ dalam soalan saya tadi” saya gembira mendengarnya.
“Saya rasa, untuk topik ini, kamu patut manfaatkan karya Stefan Collini, What are Universities For? Ia sebuah buku yang bagus pada menungkapkan transformasi pendidikan secara holistik, khususnya di peringkat universiti” cadang Ville.
“Bukankah beliau juga pengarang sebuah lagi buku yang kamu sebutkan semalam. Buku tentang cadangan kerangka teori mengkaji Imam Birgivi sebagai public moralist?” saya cuba mengingati perbualan di dalam bas, semalam.
“Benar. Itulah tajuk bukunya pun. Public Moralists: Political Thought and Intellectual Life in Britain. Ia mengkaji antaranya tentang Jon Stuart Mill sebagai public moralist. Cara Stefan Collini mengkaji J.S. Mill mungkin sesuai untuk melandasi kajian kamu tentang Birgivi” ujar Ville.
Oh, sebuah lagi buku. Seorang lagi tokoh. Jika Zacky hadir bersama dalam perbualan ini tentu lebih menyeronokkan sebab hanya kami bertiga di dalam IBA Summer School ini yang berada di dalam bidang Intellectual History.
Zacky pergi melawat rakan-rakan Indonesianya di Istanbul sebelah Eropah.
“Menariknya, semasa rombongan kerajaan Amerika Syarikat datang ke Finland untuk mengkaji tentang sistem pendidikan di negara kami, mereka menamatkan lawatan dengan soalan, bagaimana peperiksaan di Finland. Bagaimana pelajar dimerit. Ertinya sepanjang lawatan berkenaan mereka tidak get the point. Bahawa peperiksaan dan memeritkan pelajar itulah yang dihapuskan. Bukan hapus sepenuhnya. Tetapi sehingga habis pendidikan wajib di sekolah dan untuk menyambung pelajaran di universiti, barulah adalah peperiksaan matrikulasi yang disebut sebagai kaksoistutkinto” cerita Ville.
“Macam mana nak sebut?” saya gagal menangkap perkataan yang beliau sebutkan.
“Haha.. Lupakan sahaja. Memang susah hendak menyebutnya” Ville ketawa.
“Pendidikan di Malaysia sangat berorientasikan peperiksaan. Pada pandangan saya bukan peperiksaan itu yang menjadi masalah utama, tetapi keghairahan untuk mengred-gredkan pelajar, semacam tidak percaya bahawa pelajar itu manusia, dan setiap insan adalah unik. Berhak untuk membesar menjadi manusia yang unik dan tersendiri. Bukannya diseragamkan” saya menegaskan pendapat.
“Kamu berulang-ulang kali menekankan tentang rasa tidak setuju kepada penyeragaman. Adakah itu punca utama kemerosotan pendidikan di Malaysia?” tanya Ville.
“Bagi saya, ia punca kemerosotan pendidikan di seluruh dunia, yang menyeragamkan silibus, merit. Ia adalah senjata ahli politik untuk memudahkan kawalan ke atas rakyat. Menjadikan mereka sejenis” saya berkata.
“Bagaimana dengan Dawlah Uthmaniyyah? Kamu ada apa-apa komen tentang syarahan Profesor Tuncay Zorlu tempoh hari?” Ville memanjangkan perbualan kami dengan soalan.
Saya menyemak kembali buku nota di dalam beg.
SEJARAH PENDIDIKAN DAWLAH UTHMANIYYAH
Di dalam sejarah pendidikan Dawlah Uthmaniyyah, menjadi seorang yang berilmu pengetahuan tinggi (ulama)adalah sangat dimuliakan oleh masyarakat dengan motif budaya dan agama. Seseorang yang mempunyai lebih pengetahuan dalam satu-satu bidang dianggap lebih berotoriti dan dihormati berbanding yang kurang pengetahuannya. Pendidikan Dawlah Uthmaniyyah juga berlangsung selama beberapa ratus tahun melalui dua saluran iaitu pendidikan rasmi dan tidak rasmi.
Bagi pendidikan formal, ada empat kategori institusi iaitu Sibyan Mektebi (sekolah rendah), Medrese, Enderun Mektebi (Sekolah di Istana) dan pendidikan teknik.
Manakala pendidikan tidak formal pula, berjalan di masjid-masjid, perpustakaan dan konak, iaitu kediaman golongan hartawan di dalam kerajaan atau pun ulamanya. Demikian juga pendidikan tidak formal berjalan di tekke dan zaviye yang dibangunkan oleh golongan sufi.
Di dalam sejarah, kanak-kanak yang mencecah usia 5 tahun akan memulakan persekolahan mereka di institusi Sibyan Mektebi itu tadi. Ia akan dimulakan dengan upacara meriah meraikan permulaan persekolahan mereka dan majlis itu dikenali sebagai amin alayı atau bed’-i besmele. Semua kanak-kanak daripada keluarga Muslim mempunyai hak untuk belajar di sekolah ini. Guru-guru di Sibyan Mektebi ini dipilih dari kalangan individu yang telah mendapat pendidikan medrese, atau dari kalangan mereka yang berilmu, khususnya dalam ilmu agama.
Di peringkat ini, tujukan pendidikan adalah untuk mengajar anak-anak ini membaca dan menulis, mengenal asas pendidikan Islam juga al-Quran secara khusus.
Untuk mencapai objektif ini, pendidikan di Sibyan Mektebi akan mengajar kanak-kanak mengenal huruf, mula membaca al-Quran dan menghafal surah-surah daripadanya, belajar asas-asas al-Quran, serta kemahiran menulisnya. Murid-murid juga akan belajar empat asas arithmetik yang dikenali sebagai kara cümle.
Murid di Sibyan Mektebi juga akan belajar membaca syair-syair asas di dalam bahasa Arab dan Parsi sebagai sokongan kepada pembelajaran mereka. Walaupun tiada had umur yang ditetapkan untuk pembelajaran di peringkat ini, murid-murid dikehendaki sekurang-kurangnya khatam membaca al-Quran dari kulit ke kulit sekurang-kurangnya sekali.
Itu dari segi silibusnya.
Ada pun pentadbiran, Sibyan Mektebi yang juga dikenali sebagai daruttalim, darulhuffaz, taş mektep atau sekadar mektep ini, biasanya dibiayai oleh golongan pegawai tinggi atau baginda Sultan sendiri. Ia lazimnya wujud di dalam kompleks masjid (külliye). Oleh kerana pembiayaan institusi ini tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi, ia berhasil diwujudkan di semua perkampungan, kejiranan dan daerah.
Ada sesetengahnya, mempunyai bangunan yang berasingan untuk murid-murid lelaki dan perempuan.
“Di Finland, pendidikan rendah bermula pada usia berapa tahun, Ville?” saya bertanya.
“Pendidikan wajib bermula pada usia 7 tahun. Tetapi pendidikan pra sekolah dimanfaatkan oleh kebanyakan penduduk.
Pendidikan pra sekolah ini menjadikan idea pendidikan melalui permainan. Jadi, kanak-kanak tidak diajar, sebaliknya mereka belajar.
“Bagus begitu. Alhamdulillah, di Malaysia sudah ada banyak pusat pendidikan pra sekolah yang bersetuju dengan idea ini. Mungkin sebab pendidikan pra sekolah ini swasta dan tidak diseragamkan, maka ia boleh dikembangkan, dan ibu bapa diberi peluang untuk memilih mana yang sesuai dengan kehendak mereka. Bagi yang kurang bernasib baik, mereka mungkin akan pilih tadika yang beri 20 mukasurat kerja rumah sampai anak jadi robot pada usia 5 tahun. Pengalaman saya di Belfast dulu pula, ada ibu bapa hantar anak ke Sunday School sebagai tempat buang anak. Mereka tidak peduli dengan apa yang anak mereka belajar di sekolah. Yang mereka tahu, tinggalkan anak pukul 8:30 dan ambil semula 1. Jika ada minggu yang tiada Sunday School, memgamuklah mereka kerana mengganggu rutin ‘kebebasan tanpa anak’ yang mereka kecapi” saya berceloteh.
Ville ketawa.
Mungkin kerana sekali lagi saya suarakan obsesi saya kepada desentralisasi pendidikan. Memberi kuasa otonomi kepada sekolah untuk membangunkan modul dan model mereka. Kemudian, memberi kebebasan kepada ibu bapa untuk memilih apa yang mereka rasakan terbaik untuk anak-anak.
“Di Finland, adakah ibu-ibu ada menerima elaun jika mereka berhenti kerja kerana mahu mendidik anak-anak?” saya menyoal.
“Ya, ada. Di Ireland juga ada, bukan?” tanya Ville.
“Semasa saya di sana dahulu, memang ada. Tetapi sekarang saya tidak pasti. Selepas Ireland bankrap, banyak perubahan terjadi.1996.
MEDRESE
Institusi pendidikan paling penting di dalam sejarah pendidikan Dawlah Uthmaniyyah adalah Medrese.. Ia berlanjutan sebagai kesinambungan kepada era pra Uthmaniyyah , Selcuk, dan terus wujud hingga ke suku pertama kurun ke-20. Pembinaan masjid juga lazimnya bersama dengan institusi Medrese ini.
Di peringkat ini, medrese menyediakan pendidikan bagi membina pandangan hidup yang dikongsi bersama di kalangan rakyat yang terbentuk oleh berbilang etnik. Pendidikan ini secara strukturnya adalah sebahagian daripada sistem waqf, memiliki kuasa kewangan yang autonomus dengan aktiviti-aktivitinya dipantau oleh pemerintah.
Medrese Uthmaniyyah yang pertama, telah diasaskan di İznik (Nicaea)oleh Sultan Orhan Gazi (1330-1331). Untuk memastikan kewangan medrese ini dapat berjalan dengan lancar, Sultan Orhan Gazi telah mengatur waqf yang menyokong medrese ini dengan secukupnya. Baginda melantik Mevlana Davud al-Kayseri sebagai guru dan pemegang amanah, berbekalkan pendidikan yang diperolehinya di Mesir. Antara tahun 1331-1451, Dawlah Uthmaniyyah yang sedang berkembang sebagai sebuah kuaa pemerintah, mempunyai 82 medrese di seluruh wilayahnya.
Selepas penawanan kota Constantiniple, Sultan Muhammad al-Fatih (Mehmed II) telah menggerakkan kempen perancangan bandar Istanbul kepada karakter yang baru. Baginda telah membina sebuah komplek masjid (külliye). Di kompleks ini baginda telah membina medrese yang boleh difahami sebagai simbol kepada polisi sentralisasinya, serta polisi berkaitan kesarjanaan dan pendidikan.
Sekolah yang dikenali sebagai Semaniye Medrese ini terdiri daripada 8 medrese tinggi yang berada di sekitar Masjid Fatih dan di belakangnya pula terdapat 8 lagi sekolah untuk peringkat yang lebih rendah, dikenali sebagai Tetimme. Secara keseluruhannya, ada 16 medrese di kedua-dua belah masjid.
Di Fatih Medrese ini, buat pertama kali tenaga pengajar yang bertugas di sini disyaratkan menguasai kedua-dua ilmu agama dan sains meliputi logik, falsafah dan matematik. Ia menjadikan Fatih Medrese berbeza daripada medrese sebelumnya yang hanya menekankan kepada ilmu agama.
“Summer School kita tidak ada peruntukan masa untuk melawat Masjid Fatih. Sayang juga. Mungkin sebab bangunan masjid yang ada pada masa ini bukan binaan asal. Ia binaan semula selepas gempa bumi pada tahun 1766 yang meruntuhkan keseluruhan binaan” saya rasa terkilan.
“Untuk saya, yang penting kita pergi melawat maqam Ismail Ankaravi di Galata. Mereka sudah bersetuju. Tetapi, entahlah. Lagi pun, saya sahaja yang berminat. Tak wajar juga mengajak orang lain bersama” ujar Ville.
“Tetapi lawatan ke Süleymaniye hari ini, bagus. Saya suka dengan kawasan berkenaan. Sebab Imam Birgivi hidup di zaman Sultan Süleyman” saya mengusik.
“Untunglah kamu” sambut Ville.
SÜLEYMANİYE MEDRESE
Selepas era Mehmed II, Beyazid II dan Selim I, Istanbul berada di kedudukan terbaiknya, termasuk daripada aspek pendidikan.
Süleymaniye Medrese (1550-1557) telah dibina bangunannya oleh Mimar Sinan di era pemerintahan baginda. Di sini, medrese sebelum-sebelumnya telah dirombak dan diatur semula. Terdapat juga tambahan kepada institusi medrese ini. Antaranya ialah Darulhadis (sekolah untuk pengajian Hadith) dan Daruttib (sekolah pengajian perubatan.
Komplek medrese itu juga disertakan bersamanya Bimarhane / Daruşşifa (hospital), Daruzziyafe (dapur / kafetaria), Tabhane (pusat rehabilitasi) dan Darulakakir (farmasi).
Selepas rombakan, pendidikan era Süleymaniye Medrese ini terbentuk pada 12 peringkat, iaitu:
Ibtida-i Haric
Hareket-i Haric
Ibtida-i dahil
Hareket-i Dahil
Musila-i Sahn
Sahn-i Seman
Ibtida-i Atmisli
Hareket-i Atmisli
Musila-i Suleymaniye
Hamise-i Suleymaniye
Suleymaniye
Darulhadis
Subjek-subjek yang diajar pula merangkumi morfologi(sarf), syntax (nahiv), logik (mantik), Hadith, Tafsir, seni Orator (adab-ı bahs), seni berkhutbah (va’az), retorik (balaghah), ilmu kalam dan falsafah (hikmet). Demikian juga dengan ilmu Fiqh, Faraidh, Aqidah, Usul Fiqh, arithmetik, geometri (hendese), algebra (cebir), astronomi (ilm-i hey’et) dan sains tabii.
Akhirnya, sistem medrese yang membekalkan pengajian tinggi, mula mengalami kemerosotan pada kurun ke-17
Semua medrese di Istanbul telah disatukan menjadi Daru’l Hilafeti’l Aliyye Medresesi pada tahun 1914. Dan seluruh sistem medrese dimansuhkan sepenuhnya pada 3 Mac 1924 melalui penguakuasaan Tavhid-i Tedrisat Kanunu (Unified Education Code).
SEKOLAH ISTANA (ENDERUN MEKTEBİ)
Institusi pendidikan dalam kategori ini bermatlamatkan melatih individu bagi mengisi posisi-posisi elit di dalam pentadbiran istana Uthmaniyyah. Oleh sebab itu, ia mesti diambil kira sebagai satu lagi institusi pendidikan utama Dawlah Uthmaniyyah selepas institusi medrese.
Kanak-kanak dipilih daripada keluarga Kristian yang tinggal di dalam Dawlah Uthmaniyyah. Mereka dibesarkan oleh keluarga Muslim dan kemudian budak-budak kerahan ini (acemi oğlanlar) disekolahkan di dalam istana dan kem tentera. Mereka kemudiannya dihantar melalui sistem agihan yang dikenali sebagai çıkma ke pelbagai cabang ketenteraan. Bagi mereka yang menampakkan bakat dan kelebihan akan diterima belajar di Sekolah Istana ini untuk latihan lanjutan.
Subjek yang diajar di Enderun Mektebi ini tidak banyak berbeza dengan apa yang diajar di Medrese. Apa yang menjadikan ia unik adalah penekanan khusus diberikan kepada hal-hal ketenteraan dan pentadbiran. Dalam erti kata yang lain, pendidikan di Enderun Mektebi ini mengutamakan aplikasi kepada kemahiran-kemahiran, kesenian, urus tadbir dan pengajian politik. Di bahagian inilah para pelajar akan diberi penilaian khusus terhadap pencapaian mereka.
Pendidikan ini berlangsung di seksyen ketiga Istana Topkapı yang terletak selepas Babussaade. Untuk meningkat naik di dalam pendidikan di Sekolah Istana ini, pelajarnya mesti cemerlang. Mereka yang gagal atau dikenakan tindakan disiplin akan dilantik bertugas di daerah-daerah kecil Pendidikan di Sekolah Istana ini memainkan peranan yang penting dalam kaderisasi pegawai istana hingga ke usia akhir Dawlah Uthmaniyyah.
Semenjak awal kurun ke-19 pendidikan ini mula diambil alih oleh model yang lebih mengambil contoh Barat.
Antara seksyen yang ada dalam Sekolah Istana ini ialah:
HAS ODA (Private Chamber)
HAZINE ODASI (Chamber of Treasury)
KILER ODASI (lARDER)
SEFERLI ODASI (Chamber of Campainers)
DOGANCI ODASI (Chamber of Falconeers)
BUYUK VE KUCUK ODA (Big and Small Chambers)
BAGAIMANA TURKI HARI INI
“Adakah sistem pendidikan di Turki sekarang lebih baik daripada apa yang wujud di era Dawlah Uthmaniyyah?” Ville bertanya.
“Saya tidak pasti” saya menjawab.
“Tetapi Turki bagi saya adalah contoh sebuah negara Muslim yang maju dari aspek pendidikan universitinya. Kerancakan membudayakan ilmu begitu hebat. Saya tidak nampak negara lain mempunyai kesungguhan yang sama untuk berbuat demikian” ujar Ville.
“Ingat tak hari itu, Prof Tuncay Zorlu kata ada 40 saintis yang berjaya menyelamatkan diri dari serangan Nazi di Jerman, telah datang ke Turki dan menyertai Universiti Istanbul?”
“Prof tak ada sebut. Tapi ada dalam nota kita” kata Ville.
“Oh, betul” saya menggaru-garu kepala.
Terasa sudah beransur tua. Memori tidak setajam dahulu lagi.
Masih banyak catatan tentang sistem pendidikan tidak formal Dawlah Uthmaniyyah yang hendak diulangkaji. Biar pun Summer School ini tiada peperiksaan, setiap hari kami rasa sangat teruja belajar benda baru, belajar topik yang kami sama-sama suka dan mendedikasikan diri untuknya.
Imam Birgivi juga merupakan seorang tokoh penting dalam perkembangan sistem pendidikan Dawlah Uthmaniyyah. Ada banyak observasi beliau yang mesti diambil kira, kerana era Imam Birgivi adalah era transisi daripada Dawlah Uthmaniyyah sebagai kekuatan militari yang kuat kepada kemerosotan. Ia mempengaruhi banyak perkara, terutamanya apabila pendidikan agama dilihat lebih berprospek untuk isu bread and butter berbanding kerjaya yang lain.
“Saya masih memikirkan tentang pendidikan di negara kami. Di negara kamu, tiada jurang binasa antara pelajar pintar dan pelajar lemah, kurikulum pendidikan pula nampaknya seperti sekadar garis panduan. Kerajaan membiayai persekolahan, dan sekolah pula menikmati kuasa autonomi. Saya sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Pendidikan Khalifah kami, masih berusaha mencari ruang transformasi dalam peluang-peluang yang amat terbatas” saya berceloteh.
Semakin perlahan.
Keletihan.
“Saya belum sampai ke umur itu. Tetapi perkongsian kamu membuka banyak perspektif baru kepada fikiran saya. Terima kasih, Hasrizal” ujar Ville.
“Rumusan saya ialah, kejayaan sebuah pendidikan ialah berhasilnya kita melahirkan pencinta ilmu, paling tidak pun seperti kamu, Ville. Berbeza agama, tetapi mempunyai minat mendalam kepada sejarah umat Islam. Bukan aspek tentera, bukan senibina, bukan politik, tetapi pemikiran. Sesuatu yang halus, yang diminati hanya oleh pencinta ilmu” saya mengemas meja.
“Ayuh kita makan malam. Kawan-kawan pun sudah bergerak ke sana” ajak Ville.
“Ayuh kita” saya bangun, selepas lama bersembang petang itu. Setiap hari pada jam 7 petang kami peserta Summer School akan makan malam bersama.
Sambil melangkah dan melayan gelak ketawa rakan-rakan, kepala saya masih ligat berfikir tentang pendidikan di Malaysia.
Menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR di tanah air, sepatutnya menghasilkan satu suasana yang menggalakkan pelajar cintakan ilmu. Tetapi saya khuatir kerana yang terbit adalah pelajar yang hilang motif belajar. Jadi malas dan cunning, mencari lubang melepaskan diri daripada pendidikan.
Ibu bapa pula sebagai klien utama sistem pendidikan, yang membuat keputusan untuk anak-anak, tidak secara efisyen diberi kefahaman baru tentang erti pendidikan. Berapa gred, mahu kerja kerajaan, masuk hospital percuma, dan ada pencen sampai mati, masih menjadi mentaliti umum yang menurun dari kemuncak menara gading, hingga ke kerusi warna warni tadika si anak.
Apa solusinya?
Saya harap dengan sedikit ilmu pengetahuan dan pengalaman, posisi saya sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Pendidikan Khalifah, serta tenaga pengajar sukarelawan di Sekolah Menengah Mithali Khalifah dapat merealisasikan idea-idea sebuah pendidikan yang memanusiakan manusia.
Yang cintakan ilmu.
Yang berupaya mengendalikan hidup.
Yang menjunjung hakikat dirinya sebagai hamba, dan khalifah Allah.
Ameen.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (44) Pelawat
February 4, 2014
Mencari ‘Sokongan Sejarah’ Terhadap Kesudahan Sunni – Syiah
Taburan Muslim Sunni dan Syiah di Seluruh Dunia – sumber: Wikipedia
“Jika topik Syiah hendak diperkatakan dari perspektif Aqidah atau Fiqh, perbezaan manhajnya dengan Sunni adalah jelas. Tetapi jika perkara ini didatangi dari sudut sejarah, timbullah banyak masalah” saya bercerita.
“Ustaz ada pengalaman berkaitan?” tanya Imad.
“Pengalaman tidak banyak. Cuma ana teringat kepada pengalaman semasa di UK dahulu. Para pelajar, semasa sama-sama saling mentarbiah antara senior dan junior, menggunakan Sirah untuk mengajak kepada perjuangan. Khususnya Sirah al-Khulafa’ al-Rashidin. Tetapi apabila ana dengar, pada penceramah hendak membela sesetengah sahabat, mereka menghina sahabat yang lain. Jika sesekali, ia mungkin kejahilan. Tetapi jika konsisten dan ada pattern, ia menjadi indikasi sesuatu?” saya berkongsi.
Teringat saya semasa di Jordan dahulu.
Semasa saya keluar 3 hari bersama jemaah tabligh, kami berkampung di Madinah al-Hujjaj, Zarqa’. Pada satu waktu dhuha, saya mendengar bayan yang disampaikan oleh tuan rumah. Kisahnya begini:
“Pada suatu ketika, Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu semasa menjawat jawatan khalifah telah memerintahkan seorang utusan untuk ke Syam bagi menyiasat kezuhudan Abu Ubaydah al-Jarrah radhiyallahu ‘anhu selepas beliau dilantik menjadi gabenor di Syam.
Kata Umar, “jika Abu Ubaydah masih zuhud, maka hadiahkanlah beliau seuncang emas ini”
Apabila utusan berkenaan tiba di Syam, beliau masuk ke rumah Abu Ubaydah selepas mendapat keizinan. Beliau tidak dapat melunjurkan kaki dan tidak juga mampu berdiri dek kecilnya rumah Abu Ubaydah. Nyatalah gabenor Syam itu masih zuhud. Lalu, lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya kepada Abu Ubaydah bahawa beliau adalah utusan Umar dan beliau diamanahkan menyampaikan uncang emas berkenaan sebagai hadiah tanda penghargaan Umar atas zuhudnya Abu Ubaydah.
Abu Ubaydah tersentak.
Kata beliau, “jika Abu Ubaydah masih zuhud, bagaimana pula dengan Umar? Dari manakah beliau mendapat uncang emas ini?”
Abu Ubaydah telah ke Madinah dan menangis di maqam Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam. Kata beliau, “ya Rasulullah, engkau telah berusaha untuk membuang dunia dari hatiku. Tetapi Umar mahu memasukkannya kembali”
Kebetulan Umar ketika itu berada di belakang Abu Ubaydah. Beliau menangis dan memohon ampun kepada Allah atas keterlanjurannya”
Saya yang mendengar kisah berkenaan terkasima. Saya tidak dapat mendiamkan diri. Pantas sahaja saya mengangkat tangan dan bertanya kepada si pemberi tazkirah, “sahihkah cerita ini?”
Beliau bertanya kembali kepada saya, “kamu ada masalahkah dengan cerita tadi?”
Saya menjawab, “sudah tentulah. Semasa tuan menceritakan kezuhudan Abu Ubaydah untuk kami teladani, tuan memburuk-burukkan Umar bin al-Khattab. Sebab itu saya bertanya, sahihkah cerita ini?”
Pertanyaan tersebut terbang begitu sahaja.
Mahu tidak mahu, apabila sesuatu kisah berkaitan para sahabat hendak disampaikan, ia mesti dipelihara sumbernya. Biarlah kelemahan ilmu kita menjadikan kita hanya mampu mengulang beberapa cerita yang sama. Itu lebih baik daripada mendatangkan cerita-cerita sensasi yang orang tidak pernah dengar, dan kita pun tidak pasti di mana sumbernya. Itu sahaja pesanan yang saya ulang-ulang berkaitan sahabat di dalam jemaah Tabligh sebab saya sangat sayangkan keikhlasan serta kesabaran mereka dalam berdakwah. Saya jauh tertinggal di belakang. Cuma, keikhlasan mestilah disertakan juga dengan asas ilmu yang betul.
Bukanlah yang berat-berat sangat.
Asalkan, apa sahaja yang kita hendak cakap, kita tahu sumbernya.
Itu ajaran agama kita.
Dan itu juga disiplin paling asas dalam bidang sejarah.
“Tetapi contoh tadi itu, pada pendapat ana, ia adalah kerana kesilapan. Mungkin selama ini tidak perasan tentang betapa pentingnya kita berhati-hati dalam hal-hal Sirah ini. Ia bukan dengan niat yang tidak baik. Tetapi kes di UK dahulu berbeza. Penceramah yang asyik mengkritik sahabat Rasulullah sallalahu alayhi wa sallam itu sendiri akhirnya meninggalkan jemaahnya dan menjadi Syiah yang sempurna” saya menyelak kembali memori silam di bumi Inggeris sana.
Adalah sukar untuk dicari kesepakatan terhadap penentuan tarikh mula munculnya gerakan Syiah. Ia berpunca daripada perbezaan pandangan pelbagai pihak di dalam menentukan pengasas atau pencetus kepada gerakan itu sendiri. Kontroversi yang membabitkan Syiah terus diperbaharui zaman berzaman dan ia berlanjutan hingga kepada era pasca Revolusi Iran yang menjadi suatu lagi batu tanda di sepanjang lebuh perjalanan sejarah Syiah. Apakah sebenarnya status hubungan masyarakat dunia dengan Syiah? Persoalan ini tidak hanya membabitkan keperluan semasa, malah penting untuk menjadi asas kepada ramalan terhadap masa depan tamadun insan, khususnya di persekitaran Timur Tengah sebagai ‘pusat dunia’.
Justeru itu, wajarlah persoalan ini digarap dengan bekalan sejarah kerana di situlah akan terserlah skrip sebenar kepada realiti pertembungan di antara Syiah dan Ahli Sunnah wa al-Jamaah.
ERA ABDULLAH BIN SABA’
Abdullah bin Saba’ atau juga dikenali sebagai Ibn Sawda’ adalah seorang Yahudi dari San’a di Yaman yang telah menzahirkan keislamannya di zaman Uthman bin Affan RA. Beliau adalah watak yang paling utama memainkan peranan menimbulkan kehuru-haraan di Madinah, Iraq, Syam dan Mesir secara khusus. Dakyah yang berlaku di dalam bentuk penyebaran pendapat siasah bahkan aqidah yang menyimpang, telah mencetuskan fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman RA pada 18 Dzulhijjah 35H.
Ibn Sawda’ telah menyebarkan pelbagai idea yang kontroversi di kalangan umat Islam khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan-penyelewengan yang dinisbahkan kepada Uthman bin Affan. Gerakannya telah mencetuskan pemberontakan di empat penjuru tanah air umat Islam.
Beliau juga telah mempopularkan idea kelayakan Saidina Ali RA sebagai pengisi jawatan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan apa yang diistilahkan sebagai wasiat Rasulullah SAW. Abdullah bin Saba’ juga menjadi orang pertama yang secara terang-terangan mencela Abu Bakr, Umar, Uthman dan sekalian sahabat. Hal ini diakui sendiri oleh ilmuan Syiah seperti Saad bin Abdullah al-Qummi di dalam al-Maqalaat wa al-Firaq. Tidak terhenti setakat itu, kepercayaan karut tentang kebangkitan semula Rasulullah SAW dan pelbagai fahaman yang kemudiannya menjadi usul teras golongan Syiah, telah dipelopori oleh Abdullah bin Saba’.
Inilah puncanya mengapa ramai pihak yang sudah tidak lagi mampu untuk menyembunyikan kecelaan sejarah Abdullah bin Saba’, cuba untuk menanamkan prasangka bahawa beliau tidak wujud secara pasti di dalam sejarah. Idea yang tidak berasas ini didokong oleh sekumpulan Orientalis dan pengkaji Arab serta ramai dari kalangan Syiah semasa [Dr. Muhammad Amahzun, Tahqiq Mawaqif as-Sahabah fi al-Fitnah min Riwaayaat al-Imam at-Thabari wa al-Muhadditheen, Maktabah al-Kauthar, Riyadh, 1994].
Hal ini mustahil dapat diterima akal kerana penyebutan kisah Abdullah bin Saba’ bukan hanya terdapat di dalam satu atau dua karangan ilmuan Ahli Sunnah wa al-Jamaah seperti Tarikh al-Imam at-Thabari malah ia turut disebut secara meluas di dalam sejumlah besar tulisan ulama pelbagai zaman, sama ada oleh Ahli Sunnah mahu pun Syiah sendiri. Tegasnya, Abdullah bin Saba’ adalah merupakan pelopor dan pengasas kepada timbulnya krisis di antara pengikut ajaran Islam sebenar dengan kumpulan Syiah yang berlarutan hingga ke hari ini.
Kerugian yang menimpa umat Islam di dalam Peperangan Jamal dan Siffin, pembunuhan Ali RA, anakandanya Husain RA dan pelbagai lagi siri perang dalaman yang tercetus semenjak kematian Uthman bin Affan RA, adalah hasil suntikan fitnah yang dimulakan oleh seorang penjenayah bernama Abdullah bin Saba’.
ERA KHILAFAH BANI UMAYYAH
Muawiyah bin Abi Sufyan RA telah mengambil alih kepimpinan Islam selepas pembunuhan Ali RA dan berundurnya Hasan RA dari memangku jawatan yang ditinggalkan oleh ayahandanya. Kesatuan umat Islam telah dapat dihasilkan, namun kewujudan kelompok yang mendukung idea Ibn Saba’ terus wujud dan sentiasa menjadi api di dalam sekam. Sikap keras lagi tegas Muawiyah dan para Khalifah Bani Umayyah terhadap golongan Syiah ini menjadikan mereka terpinggir dari arus perdana untuk beberapa ketika.
Analisa terhadap punca yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Bani Umayyah memperlihatkan sekurang-kurang empat kelompok musuh. Mereka adalah penduduk Arab berketurunan Yaman yang tinggal di Khurasan, golongan Mawali (bukan Arab) yang juga berpusat di sekitar Khurasan, kelompok Syiah yang sentiasa berdendam dengan Bani Umayyah, dan golongan keempat adalah terdiri daripada mereka yang menzahirkan diri sebagai Muslim tetapi masih berdendam terhadap Islam serta terus berpegang dengan fahaman pra Islam seperti Rawandiyyah dan sebagainya.
Namun, penglibatan Syiah di dalam propaganda Revolusi Abbasiyyah adalah faktor terpenting ke arah tumbangnya Khilafah Bani Umayyah.
Muhammad bin Ali telah mewarisi gerakan Revolusi Abbasiyyah yang diasaskan oleh Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abd al-Muttalib. Muhammad bin Ali menyokong perjuangan Abu Hasyim bin Muhammad bin Ali al-Hanafiah yang merupakan seorang Imam Syiah. Ketika Abu Hasyim di ambang kematiannya, beliau telah mewasiatkan supaya Muhammad bin Ali mengambil alih tempatnya sebagai Imam dan semenjak itulah beliau mengepalai gerakan Hasyimiah atau Abbasiyyah.
Selepas kematian Imam Muhammad bin Ali pada tahun 125H, berlaku peralihan kepimpinan Revolusi Abbasiyyah hinggalah ke tangan Abu Muslim al-Khurasani yang melancarkan Revolusi Abbasiyyah secara terbuka. Pada masa itu nama Imam Ibrahim yang menggantikan tempat ayahandanya Imam Muhammad bin Ali masih dirahsiakan. Apabila rahsia ini terdedah, Imam Ibrahim telah ditangkap dan dibunuh di Harran (132H) dan beliau telah mewasiatkan supaya saudaranya Abu al-Abbas as-Saffah menggantikan tempatnya sebagai Imam. Walaupun mendapat tentangan daripada Abu Salamah al-Khallal, akhirnya calon yang disokong oleh keluarga Abbas dan Syiah iaitu Abu al-Abbas as-Saffah telah terpilih. Berhasillah kehendak Syiah di masa itu dan akhirnya kepimpinan ummah beralih daripada Bani Umayyah kepada Abu al-Abbas as-Saffah yang mengasaskan Kerajaan Abbasiyyah (132H).
ERA KERAJAAN ABBASIYYAH
Walaupun kerajaan Abbasiyyah itu tertegak atas kehendak dan maslahah golongan Syiah, mereka masih mengekalkan sikap oportunis dan hanya berpihak kepada kuasa yang boleh memenuhi kemahuan mereka semata-mata.
Perpecahan yang serius di antara bangsa-bangsa Muslim mengundang kelemahan yang membunuh kerajaan Abbasiyyah. Namun, kemunculan Hulagu, cucu kepada Genghiz Khan ke Baghdad adalah peristiwa yang paling bersejarah. Di zaman Bani Buwaih, mazhab Khilafah Abbasiyyah adalah Syiah. Namun selepas berpindah kepada Seljuk, mazhab kerajaan kembali kepada Sunni. Akan tetapi, para khalifah di era penghabisan kerajaan Abbasiyyah masih terus percaya kepada tokoh-tokoh Syiah, seperti Mu’ayyid ad-Deen bin al-Alqami. Atas perbalahan yang berlaku di antara Sunni dan Syiah, Mu’ayyid telah menjemput Hulagu mengisi cita-citanya menawan Baghdad. Beliau yang sepatutnya menjalankan tugas mewakili Khalifah untuk berbincang dengan Hulagu, telah berpaling tadah dan seterusnya membuka laluan kepada Hulagu menyerang Baghdad hingga ke akar umbi pada tahun 656H. Ibn Kathir meriwayatkan bahawa, 1,800,000 penduduk Baghdad telah terbunuh di tangan Hulagu dan tenteranya. Suatu insiden yang hitam di dalam sejarah kemanusiaan.
ERA PRA FATIMIYYAH DAN AYYUBIYYAH
Kerajaan Fatimiyyah yang bermazhab Syiah merupakan kerajaan kecil pertama yang mengisytiharkan ketuanya sebagai Khalifah yang bebas merdeka daripada pemerintahan Abbasiyyah. Walaupun kerajaan Fatimiyyah mempunyai sumbangannya yang banyak terutamanya kepada aspek pembangunan tamadun material Islam, namun era tersebutlah yang menyaksikan berleluasanya penyebaran fahaman dan amalan syiah yang khurafat, sehinggalah ia ditamatkan dengan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi memimpin Mesir dan membawanya kembali kepada mazhab Sunni di bawah kepimpinan Kerajaan Abbasiyyah (567H).
ERA OTHMANIYYAH
Selepas kejatuhan Baghdad pada tahun 656H / 1258M, kepimpinan umat Islam telah diambil alih oleh Khilafah Turki Othmaniyyah yang diasaskan pada tahun 1299M. Ketika pemerintahan Othmaniyyah berada di kemuncak kegemilangan mereka, wilayah Parsi telah menyaksikan kemunculan kerajaan Syiah Safavid yang diasaskan oleh Shah Ismail I pada tahun 1500. Buat kali pertamanya, tanah air Parsi telah diisytiharkan secara rasmi menganut fahaman Syiah sebagai mazhab rasmi.
Sejarah telah memperlihatkan sekali lagi sikap Syiah yang sentiasa memusuhi Ahli Sunnah. Kerajaan Safavid telah melancarkan propaganda menghasut penduduk wilayah Othmaniyyah di timur supaya bangkit memberontak. Malah mereka juga bekerjasama dengan Hapsburgs dari Austria untuk menentang Kerajaan Othmaniyyah. Dalam pada itu, Mesir yang ditadbir oleh kerajaan kecil Mamluki yang mengambil alih pemerintahan dari Ayyubiyyin, turut bekerjasama dengan Safavid menentang Othmaniyyah.
Sesungguhnya krisis ratusan tahun di antara Safavid Syiah di Iran terhadap Kerajaan Othmaniyyah telah banyak memberikan implikasi negatif kepada perkembangan kuasa Othmaniyyah yang mewakili Ahli Sunnah itu. Sultan Abdul Hamid II (Khalifah Daulah Othmaniyyah 1876 – 1908) pernah berkata, “Sesungguhnya permusuhan di antara Kerajaan Safavid (Syiah) dan Othmaniyyah (Sunni) tidaklah untuk kepentingan umat Islam bahkan untuk kemaslahatan kufur dan kaumnya”
ERA PASCA OTHMANIYYAH
Di ambang kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, perjuangan Imam Syamil di Daghistan menentang Russia turut menghadapi konspirasi golongan Syiah yang sentiasa menjadi gunting di dalam lipatan. Mereka akan sentiasa berpihak kepada kuasa yang dirasakan boleh menang dan menjamin kepentingan Syiah.
Hal ini menjadi lebih kronik selepas perjanjian Sykes-Picot ditandatangani pada 16 Mei 1916. Tanah air umat Islam yang dirampas dari Khilafah Othmaniyyah telah di’faraidh’kan oleh Britain dan Perancis mengikut kehendak mereka. Peta-peta sempadan negara baru dilukis dengan mengambil kira strategi yang diyakini boleh mengekalkan kelemahan umat Islam. Bangsa Kurdi sinonim dengan Salahuddin al-Ayyubi berserta rekod bersih mereka terus setia bersama kerajaan Othmaniyyah, telah ditempatkan sebagai kaum minoriti di semua negara. Sykes-Picot telah melukis peta secara bengkang bengkok supaya bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di Turki, Syria, Iraq, Iran dan Armenia. Ini akan melemahkan mereka dan membolehkan pengaruh mereka dibunuh.
Malah sejumlah besar penganut Syiah menjadi penduduk Iraq yang Sunni dan begitu juga, Ahli Sunnah menjadi warga Iran yang didominasi oleh Syiah. Semuanya bertujuan untuk melemahkan umat Islam sedunia.
Namun Syiah terus berkembang dengan sikap pragmatik mereka, turut memainkan peranan yang penting sehingga tercetusnya peperangan Pakistan Barat dan Pakistan Timur pada tahun 1971.
ERA REVOLUSI IRAN
Tahun 1978 / 1979 telah menyaksikan kebangkitan besar-besaran pengaruh Syiah di bawah kepimpinan Ayatullah Khomeini menjatuhkan kepimpinan diktator Shah Iran, Muhammad Reza Pahlavi. Pengisytiharan Khomeini terhadap penubuhan Republik Islam Iran bagi menggantikan kerajaan Shah Iran, dilihat oleh dunia sebagai pencetusan suatu momentum besar terhadap kebangkitan semula kuasa Islam di dunia.
Namun, penelitian yang dibuat terhadap Republik Islam Iran telah memperlihatkan realiti yang berbeza. Ia adalah sebuah kebangkitan yang amat khusus mewakili kelompok Syiah Imamiah semata-mata tanpa sebarang perkongsian visi dan misi dengan Sunni.
Al-Marhum Sa’id Hawwa yang memimpin gerakan Islam di Syria telah berkunjung ke Iran untuk bertemu sendiri dengan Khomeini dan meneliti sejauh mana Khomeini serius di dalam usahanya membebaskan bumi Palestin yang terjajah. Akan tetapi, hakikatnya adalah sangat mengejutkan. Bagi Sa’id Hawwa, Khomeini dan Revolusinya itu, hanyalah lanjutan kepada makar Syiah yang dusta. Sekembalinya beliau dari Iran, Sa’id Hawwa telah menulis sebuah makalah bertajuk al-Khomeiniyyah : Syudzuz fi Al-’Aqaid wa Al-Mawaqif (Khomeinisma: Keganjilan Pada Aqidah dan Pendirian Politik). Khomeini telah melanjutkan celaan Syiah terhadap para Sahabat malah peminggiran secara berpelembagaan terhadap ajaran Ahli Sunnah dan identiti selain Syiah telah dilakukan secara terang-terangan.
Sa’id Hawwa telah menghuraikan dengan terpeinci segala perkembangan semasa golongan Syiah pasca Revolusi Iran di tanah air umat Islam. Hakikat Hizbullah dan Harakah Al-Amal, perkembangan di Lubnan, Syria, Turki, Pakistan dan India, pemisahan Pakistan Timur (Bangladesh), bahkan mengunjur hingga ke Afrika, semuanya menggambarkan siapakah sebenarnya pendukung Khomeinisma dan apakah hakikat mereka. Catatan paling hitam peperangan Iran- Iraq telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kekuatan umat di rantau berkenaan.
Beliau juga menjelaskan tentang kerjasama-kerjasama sulit Iran dengan negara-negara seperti Libya, Lubnan, bahkan dengan Israel dan Soviet Union. Sa’id Hawwa menekankan tentang lawatan berterusan wakil-wakil kerajaan Soviet Union ke Iran yang mana semua itu bercanggah sama sekali dengan laungan-laungan Khomeini di era Revolusi Iran yang diperjuangkannya.
Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk menghadapi gejala ini, bahkan kebangkitan Umat Islam juga mengalami kerugian akibat penglibatan Syiah di dalam gelanggang kebangkitan umat. Anasir-anasir kekuatan umat Islam banyak dipengaruhi Syiah lantas kelebihan itu tersalur ke arah yang bukan membawa kepada matlamat sebenar perjuangan umat, bahkan ke arah kepentingan Syiah semata-mata. Penampilan proses perlaksanaan Islam yang salah berlaku di Iran, apabila perlembagaan Iran mengaktakan mazhab sebagai dasar negara.
Jika sebahagian Syiah bersikap melampau di dalam prinsip taqiyyah (berpura-pura) mereka, kini di era Khomeini dan Revolusi Iran, taqiyyah itu menjangkau kepada penglibatan senjata api. Di suatu masa, Khomeini melaungkan penentangannya terhadap penguasaan Yahudi di Palestin tetapi di dalam masa yang sama, mengadakan kerjasama sulit dengan pihak musuh itu dan memberikan kemaslahatan kepada mereka.
PERTEMBUNGAN DI MASA HADAPAN
Sikap luar biasa Syiah yang memperlihatkan kecurigaan di sepanjang zaman tidak memungkinkan kita untuk meletakkan sebarang harapan dan simpati. Malah perkembangan di Iraq pasca serangan Bush dan penggantungan Saddam, mendedahkan kepada kita betapa lunaknya Syiah dengan sebarang peluang yang membolehkan mereka berkuasa, walaupun di atas kebinasaan orang lain.
Hal ini bakal menyulitkan lagi usaha untuk tidak mengaitkan Iran dengan fitnah umat Islam di akhir zaman kerana hadith ke 2944 di dalam Sahih Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Dajjal itu akan keluar dengan diikuti bersamanya Yahudi dari Esfahan (sebuah wilayah di Iran) seramai 70 ribu, mereka itu memakai Tayalisah (jubah-jubah yang besar)”�.
Apakah kesudahan pengkhianatan Syiah terhadap Ahli Sunnah? Semuanya di dalam pengetahuan Allah. Namun, untuk melihat mereka sebagai sandaran harap, tiada catatan sejarah yang menyokong, malah apa yang berlaku adalah sentiasa sebaliknya.
Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada kekeliruan di zaman yang serba mencabar ini.
“Mohon ramaikan pelajar di Jabatan Sejarah” itu konklusi akhir sembang panjang tentang Syiah ini.
ABU SAIF
28 Februari 2007
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (9817) Pelawat
Imaginasi Karyawan Yang Memfitnah Sejarah Orang Beriman
“Benarkah Imam Birgivi yang ana bentangkan di dalam disertasi nanti, adalah Imam Birgivi yang sebenarnya? Itu yang merisaukan ana” saya meluahkan rasa gelisah.
“Jangan fikir berat-berat sangat, ustaz. Sarjana ini, hanya persinggahan. Disertasi ustaz hanya 80 ke 100 muka surat sahaja” nasihat sahabat dan guru saya, Adib.
“Apabila Dr. Azmul lontarkan soalan mudah di awal semester tempoh hari, ana terlarut dalam mencari jawapannya. Dr. Azmul tanya, jika Birgivi memberikan reaksi kepada ketidak stabilan sosio politik dan sosio ekonomi Dawlah Uthmaniyyah, maka apakah ketidak stabilan yang dimaksudkan. Soalannya mudah. Tetapi untuk mencari jawapannya, berbulan ana membaca hingga sesat dalam undang-undang masa” saya bercerita.
Apabila kita menyiapkan milieu sesebuah topik, kita bertanggungjawab untuk memastikan apa yang dicatat itu sehampir mungkin kepada kebenaran. Menjauhi khayalan.
Khayalan yang tidak disedari.
Bayangkan di zaman fitnah seperti ini, ada agamawan boleh berpendapat “jika semua tentang Sirah itu perlu sahih, maka berlubang-lubanglah Sirah itu. Tidak dapat dihayati kerana tidak lengkap!”
Sesungguhnya ia pendapat yang merosakkan sistem ilmu kita.
Tanpa sedar, cinta kepada Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam memabukkan sesetengah kita apabila kita bukan mahu mengenal baginda sebagaimana baginda, tetapi mahu baginda memenuhi imaginasi kita. Hingga sahih atau tidak sahihnya maklumat, bukan lagi keutamaan.
Sebelum ini saya ada melontarkan kritikan, bahawa novel-novel sejarah yang menggunakan secubit fakta, dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang, boleh menyebabkan sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dirasakan sebagai orang Melayu.
Dialog yang dileret-leret, menyebabkan apa yang terdaftar di minda pembaca adalah imaginasi novelis, dan bukannya hakikat sebenar.
Inilah kebejatan yang dibentuk oleh novel berinspirasikan sejarah, disangka sedang berbakti untuk sejarah tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran, al-haq yang dimuliakan Allah.
Imaginasi yang sama jugalah yang menjadi punca tamadun Islam difitnah melalui sumber-sumber yang dianggap berotoriti. Karya-karya oleh sejarawan Barat yang mengungkapkan tamadun Islam sangat terdedah kepada penafsiran yang sebenarnya bukan sebuah penafsiran, tetapi imaginasi mereka, kesan sumber yang terbatas serta pandangan alam yang berbeza.
HAREM DAULAH UTHMANIAH
Sudah tentu, contoh terbaik adalah catatan-catatan tentang institusi Harem di dalam Daulah Uthmaniah.
Sultan yang diselubungi hawa nafsu bersama wanita-wanita bertelanjang dan mandi susu, gundik-gundik yang tidak terbilang, sebahagiannya dipaparkan melalui lukisan-lukisan erotik tergantung di Istana hari ini dan buku-buku rujukan sejarah. Benarkah Harem dan kehidupan di dalamnya begitu?
Persoalan ini memerlukan perbahasan yang khusus. Institusi Harem adalah lambang kecermatan dan kemuliaan para Sultan memelihara batas-batas hubungan, tetapi menerima bayangan yang 180 darjah terbalik daripada apa yang sebenarnya.
Çağatay Uluçay di dalam kitabnya Padişahların Kadınları ve Kızları (Gadis dan Wanita Para Sultan) membuat catatan berikut:
”Hakikatnya, kebanyakan pengembara yang melawat Turki tidak boleh berbahasa Turki, dan mereka menghabiskan masa bersama kaum minoriti yang kebanyakannya adalah Kristian. Pengembara ini tidak mengesahkan maklumat yang diceritakan kepada mereka, yang dalam banyak keadaan adalah tidak tepat, dan membawa pengembara itu (dalam penulisan mereka) melakukan kesalahan-kesalahan yang jelek. Seseorang itu boleh mengagak setakat manakah benarnya tinjauan-tinjauan itu yang sampai kepada kita melalui pengembara asing dan artis-artis mereka. Demikian juga lukisan-lukisan yang mereka lukiskan, serta buku-buku yang mereka karang, ketika mana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan lelaki Turki, apatah lagi wanita Turki! Kita serahkan kepada pembaca untuk berfikir dan membuat keputusan.
Tidakkah ini sudah cukup untuk memaksa kita bertanya, adakah potret Hurram Sultan dan anak perempuannya Mihrimah Sultan, serta Gulnur Sultan di galeri lukisan Istana Topkapi itu adalah lukisan yang tulen?”
Yang sedap dipandang mata, yang enak didengar telinga, yang lazat menjadi santapan baca, belum tentu ia mewakili apa yang benar. Tanyalah kepala kita semua, apakah gambaran kita tentang saudara-saudara kita yang terdahulu? Apakah sumber gambaran itu? Khayalan novelis? Pemandu pelancong?
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu” [al-Hashr 59:10]
Lukisan-lukisan haram yang terdapat di dalam buku-buku berkenaan dengan Harem yang dihasilkan di era Republik, yang sebahagiannya menjadi ilustrasi muka depan buku mereka, adalah hasil karya imaginasi artis Barat. Misalnya, gambar wanita bertelanjang di muka depan buku Osmanli’da Harem karya Meral Altindal, adalah lukisan Karl Bruillov, manakala gambar di muka depan buku Osmanli’da Kadin karya penulis yang sama, adalah lukisan oleh Camille Rogier.
Potret Gabriel Joseph de Froment, Baron de Castille dan Hermine Aline Dorothee de Rohan serta keluarga mereka
Pengarang-pengarang Barat ini menggambarkan Sultan Uthmaniah, dengan bayangan mereka terhadap Maharaja-maharaja Eropah yang memerintah dalam budaya hidup yang menjelekkan. Demikian juga semasa membicarakan tentang golongan sida (eunuch) yang menjadi pengawal Harem, penulis-penulis Barat mengabaikan sumber-sumber Uthmaniah pada menjelaskan tatacara golongan ini dipilih untuk bekerja di Istana. Sebaliknya mereka kelihatannya menanggap golongan sida di dalam Istana Uthmaniah, sama seperti eunuch di dalam istana Maharaja Cina yang dikembiri (dikasi) malah secara yang amat kejam.
Akibatnya, bukan sahaja para Sultan terfitnah, malah yang terfitnah adalah ajaran Islam itu sendiri.
Biarlah yang fiksyen itu dilabel sebagai fiksyen. Apabila hakikat sejarah bercampur aduk dengan fiksyen, khuatir nanti semua itu menjadi penyesalan novelis dan pembaca novel di dalam kubur masing-masing.
Bertaqwalah kepada Allah, kita semua.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (156) Pelawat
February 3, 2014
Diktatorkah Yang Mangkat di Beylerbeyi Sarayi Itu?
“Sudah lama saya mahu ziarah istana ini. Tetapi selalunya ia hilang keutamaan” saya teruja.
Tengah hari ini selepas kelas kami di Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi selesai, kami semua dibawa melawat Beylerbeyi Sarayı. Istana berkenaan merupakan salah satu istana utama di Istanbul, selain Topkapı, Dolmabahce dan Yıldız. Istana yang dibina pada tahun 1860′an ini berdiri semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz (1830–1876).
Istana berkenaan dibina oleh Sarkis Balyan. Keluarga Balyan adalah keluarga arkitek yang sangat terkenal di dalam sejarah senibina Dawlah Uthmaniyyah. Keluarga berbangsa Armenia ini memainkan peranan yang penting pada kurun ke-18 dan 19 dalam membawa arus baru kepada senibina Dawlah Uthmaniyyah yang semakin cenderung kepada seni Eropah.
Tetapi yang menyebabkan saya teruja dengan Istana Beylerbeyi ini bukanlah seni binanya semata, walaupun Prof. Selim Karahasanoğlu rancak menerangkan kepada kami mengenainya. Fikiran saya melayang kepada kejadian yang berlaku di dalam istana tersebut.
Tragedi yang perlu diingat iktibarnya oleh umat sepanjang zaman.
“Lokasi ini, pasti penting buat kamu, Abdelwahab. Sultan Abdul Hamid II mangkat di sini” saya berbisik kepada rakan dari Mesir. Pengkhususannya adalah Sultan Abdul Hamid II.
Ya, di salah sebuah bilik di istana inilah, Sultan Abdul Hamid II yang hidup dalam kurungan, menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada tanggal 10 Februari 1918, Sultan yang berusaha keras untuk menyelamatkan Dawlah Uthmaniyyah daripada runtuh oleh pelbagai asbab yang akumulatif, direhatkan oleh Allah daripada hiruk pikuk hayat terakhir kerajaannya.
“Selain isu Palestin dan Theodor Herzl, apakah signifikasi Sultan Abdul Hamid II kepada kamu, atau mungkin juga kepada umat Islam?” tanya Ville.
“Sultan Abdul Hamid II adalah sampel penting untuk menguji pelajar seperti kita, Ville. Yang mengkaji sejarah pemikiran. Tindakan-tindakan Sultan Abdul Hamid II semasa hayatnya adalah tindakan yang kontroversi menurut perspektif kontemporari. Bagaimana dengan konteks masa ini, dan sampel yang dirujuk oleh baginda sendiri?” saya berkongsi.
Tambahan pula ketika Mesir sedang bergelut dengan pelbagai masalah, dan Morsi bertindak dengan pelbagai tindakan yang tidak popular, bagaimana kita memahaminya? Jika kita bandingkan Morsi, Sultan Abdul Hamid II atau mungkin juga Erdoğan, dengan teori politik semasa, kita juga perlu mengambil kira model-model yang dirujuk oleh mereka, untuk memahami rasional tindakan kontroversi berkenaan.
Antara pemimpin dan demokratik dan diktator, bagaimana kita memahaminya?
SIASAH SULTAN ABDUL HAMID II
Sultan Abdul Hamid II semasa berhadapan dengan rombongan yang membawa watikah pemecatan beliau daripada jawatan khalifah (1909M)
Selepas menaiki takhta pada tahun 1876, Sultan Abdul Hamid II, telah melakukan pelbagai transformasi khususnya perundangan.
Baginda telah memperkenalkan Perlembagaan Baru dengan format Parlimen yang lebih tersusun dan semasa (First Constitution Era 1876-1877M). Krisis antara baginda dan Midhat Pasha selaku Perdana Menteri ‘durjana’ yang sangat berkuasa, hutang negara yang begitu membebankan serta pelbagai masalah tempatan, ‘regional‘ dan antarabangsa meletakkan Sultan Abdul Hamid II dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniah.
Namun kebijakan beliau mendapatkan kerjasama Midhat Pasha, golongan Uthmaniah Muda (Young Ottoman) serta mengusir campur tangan Barat secara yang sangat diplomatik tetapi tegas, baginda berhasil menggerakkan momentum yang diperlukan.
Akan tetapi, peperangan yang tercetus antara Daulah Uthmaniah dan Rusia telah memaksa Sultan Abdul Hamid II tunduk dan menandatangani perjanjian San Stefano (Yesilkoy) pada tahun 1878.
Situasi ini telah memburukkan keadaan.
Rusia memperolehi banyak wilayah di timur Anatolia, juga penyerahan daerah-daerah Aegean kepada Bulgaria, kuasa otonomi buat Bosnia Herzegovina dan terlepasnya Serbia daripada wilayah Uthmaniah, baginda berada dalam keadaan yang amat tertekan.
Pada masa itulah Sultan Abdul Hamid II telah bertindak menggantung Parlimen, dengan tujuan meningkatkan efisyensi ‘chain of command‘ yang sangat sukar dicapai melalui persidangan yang caca merba. Tindakan baginda menggantung Parlimen itulah titik penting yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II difitnah sebagai DIKTATOR, SULTAN MERAH, OTOKRATIS dan pelbagai gelaran yang seumpama dengannya.
Benarkah beliau seorang diktator?
Sultan Abdul Hamid II berlapang dada dengan kecaman itu. Baginda seperti memekakkan telinga terhadapnya.
Sultan Abdul Hamid II bertegas melakukan satu demi satu transformasi dengan melancarkan kempen Pan Islamism ke seluruh dunia Islam, menjayakan projek keretapi Hijaz serta berusaha menyelamatkan Palestin daripada konspirasi Zionis dan pelbagai tindakan yang kelihatannya seperti ‘one man show‘.
Di keliling Sultan Abdul Hamid II ada ramai pengkhianat termasuk Midhat Pasha sendiri. Kerana itu Sultan Abdul Hamid II banyak bertindak berpandukan maklumat-maklumat keselamatan peribadi yang tidak diketahui umum. Tetapi Sultan Abdul Hamid II masih berterusan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang diyakininya boleh membantu.
Pembacaan secara menyeluruh terhadap sikap Sultan Abdul Hamid II akan memahamkan kepada kita bahawa Baginda bukan seorang diktator, apatah lagi dengan berulang kali pendakwa hanya berhujah pada tindakan menggantung Parlimen itu tadi.
Selama berpuluh tahun selepas mangkatnya baginda, masyarakat menerima bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap Sultan Abdul Hamid II hingga buku-buku sejarah di negara kita juga turut memetik baginda sebagai seorang diktator. Hanya selepas diari beliau (Muzakkirat) ditemui, dikaji bersama surat menyurat antara beliau semasa dalam buangan di Salonika dengan murabbinya, dan analisis dokumen lanjutan yang dibuat terhadap polisi-polisi Sultan Abdul Hamid II, kita menginsafi betapa ada kalanya seorang pemimpin terpaksa bertindak seperti tindakan Sultan Abdul Hamid II.
Jika kita hanya ada satu pengertian terhadap diktator dan otokratik, bagaimana kita menafsirkan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kesemuanya berada di tangan baginda? Adakah Muhammad itu seorang diktator?
“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku”�, Sultan Abdul Hamid II menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.
SAMPEL DARI GOLDEN AGE
“Apabila kita merujuk kepada golden age masing-masing, kita mempunyai sampel yang sempurna di dalam kepala. Bagi masyarakat Eropah juga, mereka ada golden age mereka sendiri. Persoalannya, sempurnakan model era keemasan itu? Atau ia sebuah retorik?” soal Ville kepada saya.
“Mungkin kita jadi skeptis dengan golden age sebab kita membayangkan ia sebagai sebuah era mithali yang tiada cacat celanya. Semua sempurna. Tetapi golden age di dalam Islam tidak begitu. Ia adalah sebaik-baik kurun bukan kerana ia maksum.Tetapi ia adalah kurun yang jujur. Salah dan betulnya, diteladani dengan adil” saya berpendapat.
Di dalam Islam, golden age kita berdiri pada paksi sebaik-baik kurun yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sendiri bahawa sebaik-baik kurun adalah kurun baginda, kemudian kurun yang menyusulinya, dan kemudian kurun yang menyusulinya. Sejarawan dalam konteks yang lebih longgar, meletakkan zaman keemasan Islam hingga ke tahun 1258 iaitu pada tahun gugurnya Baghdad.
Namun dalam literatur Eropah, golden age mereka berubah daripada satu pengungkapan masa kepada metafor. Ia menjadi seperti sebuah khayalan. Utopia.
Maka menyeru kepada meneladani zaman keemasan, mendukung konotasi yang berbeza. Dan apabila Imam Birgivi menghasilkan Tariqah Muhammadiyyah, pada membentangkan sebuah masyarat mithali yang mencontohi sampel era Kenabian, bagaimana pengkaji Barat menggarapnya?
Ville tersenyum.
Jawapan saya bukan sahaja tidak memuaskan hatinya, malah hati saya juga. Sulit untuk menjelaskan sesuatu yang bergantung besar kepada Weltanschauung dan dengan pandangan hidup yang berbeza antara saya dan beliau, saya perlu meneroka cara lain untuk menjelaskannya. Dan sebab itulah Muslim mesti bersungguh terbabit dalam membangunkan sejarah mereka. Pandangan hidup yang berbeza oleh seorang sejarawan non Muslim, menjadi cabaran yang rumit apabila penafsiran sejarah perlu dilakukan.
Rahmat Allah ke atas Sultan Abdul Hamid II. Dan semoga Allah membantu pemimpin-pemimpin kita yang dimomok sebagai ‘diktator’.
Presiden sah Mesir, Dr. Muhammad al-Morsi.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan.
Kedua-duanya sedang berjuang di medan yang amat tegang, semoga Allah menyelamatkan lidah kita daripada kecelaan lisan yang jahil dan tergesa-gesa.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (235) Pelawat
February 2, 2014
FB vs BLOG: Antara Tulisan dan Penulisan
Kita sudah terbiasa melihat LIKE, komen-komen yang berderetan.
Semuanya itu menjadi penerang kepada maklum balas sama ada apa yang ditulis itu diterima atau pun tidak. Kita tidak menulis dalam kegelapan, yang menjadikan kita kabur apakah tulisan kita itu baik, mahu pun sebaliknya. Tanpa sedar, komen-komen dan LIKE itu menjadikan kita impulsif. Kita sentiasa mahu tahu, sejauh manakah tulisan kita dibaca. Sekejap-sekejap, kita akan meninjau, untuk mengira maklum balas.
Jika zaman dahulu kala, pemilik website atau kemudiannya dikenali sebagai blog, perlu meletakkan visitor counter, dan berbangga dengan kiraan tinggi satu-satu halaman, atau di suatu ketika memanjat ranking, semuanya mencapai kemuncak, maklum balas datang seperti simbahanhujan mengiringi populariti penulisan.
Ia menjadi penyakit, ia menjadi ketagihan, bukan lagi motivasi mendorong kita lebih menulis lagi, kerana kita sudah hilang upaya menulis.
Hanya menulis status.
Yang hakikatnya adalah tulisan, bukan penulisan.
Penulisan lengkap komponennya. Ada persoalan, ada objektif, ada dapatan dan ada saranan lanjutan. Lazimnya ia panjang, sedap dibaca, mengenyangkan minda, dan Inshaallah menjadikan si pembaca insan yang lebih baik. Semuanya menjadi hasanah buat sang penulis.
Tulisan adalah contengan.
Berbekalkan kepala lutut pun, manusia boleh menghasilkan tulisan.
Lagha.
Berita penuh, baca di GUARDIAN
Februari 2014, Facebook menyambut ulangtahunnya yang ke-10.
Blog saifulislam.com pada tahun ini berusia 17 tahun.
Abang mesti lebih matang.
Abang berani mengaku salah. Abang boleh kembali kembali ke pangkal jalan. Dan abang yang matang tidak memaksa-maksa adiknya untuk mengambil langkah yang sama sebelum memahami.
Abang sentiasa ada di sisi adik, memberi sokongan ketika adik memerlukannya.
Jika masih ada naluri manusia yang mencari damai, ketenangan dan bahagia, mereka pasti akan sampai ke titik enough is enough. Mereka akan tinggalkan kegilaan putaran status-komen-like-status tersebut. Dan ketika mereka meninggalkannya, dan tercari-cari kembali penulisan, bukan sekadar tulisan, moga blog-blog yang sepi itu kembali makmur.
Makmur dengan pencari ilmu.
Makmur dengan manusia yang menghormati ilmu.
Makmur dengan manusia yang berkata yang baik-baik, atau diam.
Inshaallah hari itu akan tiba.
Dunia atas talian akan kembali tenang.
Inshaallah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (49) Pelawat
February 1, 2014
Tafakkur di Masjid Yavuz Sultan Selim: Nilai Sejarawan
“Okay, kita jumpa nanti ya” saya berjabat tangan dengan Ville.
Ville Suomalainen.
Rakan dari Finland yang duduk di sebelah saya di dalam kelas, adalah antara teman yang akrab sepanjang Summer School berlangsung. Selain daripada fokus kajiannya adalah di dalam cabang sejarah pemikiran seperti saya (yang menjadikan kami minoriti), sifatnya yang merendah diri, gemar mengetahui perkara yang baru, membolehkan banyak perkongsian berlaku dalam perbualan harian kami.
Beliau adalah pelajar sarjana di dalam pengajian Islam di Universiti Helsinki, Finland. Tumpuan kajiannya adalah pemikiran Ismail Ankaravi yang terkenal sebagai ilmuwan yang mensyarahkan Mesnevi Jalaluddin al-Rumi.
“Baik. Maklumkan kepada rakan-rakan saya tidak makan malam di Validebağ, ya” saya berpesan.
“Jumpa lagi” Ville menaiki bas bersama rakan-rakan yang lain pulang ke rumah penginapan kami.
Saya ingin menyendiri petang ini. Menyendiri ke lokasi yang semua warga Istanbul nampak, tetapi sedikit yang mendekatinya.
Saya mahu ke Masjid Sultan Selim.
Yavuz Selim Camii itu adalah masjid kedua tertua di Istanbul. Ia dibina oleh Kanuni Sultan Suleyman pada tahun 1527 atau 1528 bagi memperingati ayahanda yang dikasihinya, Sultan Selim. Baginda meninggal dunia pada tahun 1520 selepas menyertai siri peperangan panjang terutamanya di bumi Syam dan Mesir.
Senibina masjid ini agak sederhana.
Arkiteknya adalah Alaüddin (Acem Alisi).
Lokasi masjid ini yang terletak di atas bukit ke-5 di Istanbul, tersembunyi sedikit daripada masjid-masjid utama seperti Suleymaniye dan Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Kita perlu berjalan kaki kira-kira 2km menelusi kawasan ikhwah dan akhawat kita di perkampungan Tarekat Naqshabandiyyah menghampiri Draman.
Masjid ini sedikit jemaahnya jika dibandingkan dengan masjid-masjid besar yang lain. Berada di dalamnya memberikan rasa ketenangan yang mendalam pada diri saya, terutamanya semasa duduk melunjurkan kaki di atas kuda-kuda di pinggir tembok, mengadap Galata yang sayup di seberang Halic.
Sebuah masjid yang dibina oleh anak sempena memperingati bapanya. Satu lagi nilai tambah yang menjadikan saya bermelankolik setiap kali mengunjunginya.
Usai solat Asar, saya termenung sendirian. Seekor kucing yang keletihan, saya usap buatnya berdengkur kerehatan.
“Bisakah diriku menjadi seorang sejarawan?” saya menyoal diri.
Trauma dengan pengajian di UIA yang gagal dilunaskan, hati saya berdebar menyambut kehidupan sebagai pelajar sarjana UKM, pasca langsai kerja kursus.
Pada masa itu, saya membuka ipad dan membaca nota dari kelas Dr. Azmul. Jamal Mahmud Hajar dan ‘Adel Hasan Ghanim di dalam kitab mereka Fi Manhaj al-Bahts al-Tarikhi telah menukilkan 10 noktah penting tentang ciri-ciri yang mesti ada pada seorang sejarawan.
Inilah ciri sejarawan, yang saya perlu ada. Saya perlu usahakan.
MELANGSAIKAN PEMBACAAN UTAMA
Seorang sejarawan itu mesti mengenal, membaca, memahami dan menguasai karya-karya utama di dalam bidang sejarah, bermula daripada karya umum seperti naskhah oleh Herodotus, diikuti dengan maha karya ilmuwan Islam seperti Tarikh al-Rusul wa al-Muluk wa Akhbaruhum oleh al-Tabari. Demikian juga dengan al-’Ibar dan khususnya al-Muqaddimah kepadanya karya Ibn Khaldun. Termasuk juga karya-karya yang membentuk disiplin sejarah moden seperti Arnold Joseph Toynbee dengan karyanya A Study of History.
PEMIKIRAN YANG SISTEMATIK
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang pemikirannya sistematik, mampu menyusun, menyelaras dan seterusnya mengambil manfaat daripada bahan-bahan sejarah yang berada di hadapannya. Beliau juga mampu untuk melakarkan garis sempadan kepada idea agar menjadi sebuah topik untuk diberikan fokus kepadanya, dan bukan semata-mata tenggelam dalam lautan maklumat serta perincian hingga ke masalah-masalah cabang dan sisi.
BAKAT MENGANALISA DAN MENGKRITIK
Seorang sejarawan itu juga perlu memiliki bakat dalam menganalisa dan mengkritik. Dia mampu membuat pemeriksaan, melakukan perbandingan dan kaji selidik dan seterusnya memahami hubungan yang mengaitkan beberapa perkara yang dilihat secara kasarnya sebagai saling bertentangan. Beliau juga tidak secara mudah untuk terus mempercayai apa sahaja yang dibaca atau didengar, malah menelitinya dengan terpeinci, menggunakan seluruh upaya akalnya untuk menjernihkan keabsahan mana-mana naskhah yang dirujuk, dan seterusnya mencapai dapatan yang sewajarnya.
SABAR DAN TENANG
Seorang sejarawan itu juga mestilah memiliki sifat sabar, tenang dan tidak tergesa-gesa pada menatijahkan hukum atau penilaian dirinya. Beliau mesti memberikan masa yang cukup untuk kajiannya dibincangkan, dibuat perbandingan dan dihuraikan. Dia tidak perlu membebankan diri menjelaskan segala fakta yang ditemui di dalam topik yang dikaji, sebaliknya tertumpu dan menghadkan diri hanya kepada fakta-fakta yang menyampaikan dirinya kepada natijah yang dikehendaki. Sejarawan itu juga perlu menyediakan ruang untuk fakta-fakta yang tidak mampu beliau jelaskan itu, disambut oleh pengkaji lain untuk mengkajinya pada masa-masa yang menyusul.
BEKERJA KERAS
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang bekerja keras, untuk mendapatkan, dan kemudian memanfaatkan semua sumber kajian yang diperlukan untuk menjayakan kajiannya. Beliau juga tidak harus mengalah dengan apa-apa kesusahan hidup serta bebanan yang terpaksa ditanggung sebagai pengorbanan untuknya. Sejarawan tidak boleh meletakkan pergantungan kepada sebahagian sumber rujukan ketika mana dia tahu ada rujukan lain yang perlu dirujuk ke arah mengukuhkan kefahamannya tentang tajuk yang dikaji, atau yang mungkin boleh mengubah pandangannya terhadap topik yang dikaji. Lihat sahajalah Abu al-Faraj al-Asfahani, meluangkan masa selama lima puluh tahun untuk menyempurnakan kitabnya.
OBJEKTIF DAN ADIL
Seorang sejarawan itu mestilah bersifat adil, objektif dan neutral, tidak terpengaruh oleh kecenderungan peribadi terhadap kajiannya. Dia tidak sepatutnya menjadikan pendapat peribadi, akidahnya dalam beragama, kecenderungannya di dalam politik, mempengaruhi kajian hingga mengubah hakikat kebenaran. Dia juga tidak boleh mengkaji sesuatu dalam keadaan kesimpulan akhir sudah pun dimuktamadkan sebelum kajian hendak dibuat. Teladanilah Abd al-Rahman al-Jabarti, yang telah menempuh pelbagai cabaran di zaman Muhammad Ali Pasha. Walaupun beliau meyakini bahawa orang-orang Muhammad Ali Pasha telah membunuhnya anaknya, tatkala al-Jabarti menulis tentang Muhammad Ali, beliau memberikan hak kebenaran dengan menulis apa yang baik sebagai baik, berkenaan Muhammad Ali. Keadilan yang ditunjukkan oleh al-Jabarti itu menjadi teladan yang sungguh luar biasa untuk eranya.
BERANI DAN TEGAS
Seorang sejarawan itu juga mestilah berani pada mengemukakan pendapatnya, pada menyatakan kebenaran yang sampai kepada pengetahuannya. Beliau mestilah menjauhkan diri daripada sifat bermuka-muka, nifaq, menyembunyikan apa-apa kebenaran yang diketahuinya serta komited meletakkan matlamat kajiannya adalah pada memberikan khidmat untuk kebenaran. Kita boleh meneladani peristiwa ketika mana Muhammad Syafiq Gharbal berdepan dengan Revolusi 1952 di Mesir semasa hendak menerbitkan bukunya. Rakan-rakan beliau menasihatinya agar menarik balik isi penting bukunya daripada penerbitan dan menyemak kembali apa yang telah dicatat kerana beliau telah memberikan kredit yang positif kepada beberapa usaha pemerintahan keluarga Muhammad Ali Pasha, yang sudah tentu akan menimbulkan kemarahan kepada pejuang Revolusi. Gharbal menolak saranan tersebut dan mengambil risiko mendepani apa sahaja tindakan yang bakal dikenakan, tanpa berganjak daripada apa yang diyakininya sebagai benar.
BERUPAYA MEMAHAMI KEPELBAGAIAN KONTEKS
Seorang sejarawan itu juga mesti berupaya untuk membayangkan secara lengkap persekitaran yang melingkungi topik yang dikaji. Beliau mampu memahami perkara-perkara sampingan yang wujud di sekitar tokoh yang dikaji, atau peristiwa yang diteliti mahu pun idea yang dihalusi kerana semua yang wujud di sekitar subjek kajiannya, mempengaruhi apa yang dikaji.
SENSITIF DAN PEKA PANCAINDERA
Seorang sejarawan itu juga mestilah seorang yang peka pancainderanya, kuat dorongan emosinya, dan mendalam keinsanan pandangannya. Kepekaan itu akan membantu beliau menyelami pemikiran, perasaan dan perkara-perkara yang mungkin tidak nyata pada apa yang dikaji, namun amat mempengaruhi hakikat kebenaran yang dicari.
MENCINTAI PERANAN
Seorang sejarawan itu juga mestilah sentiasa bersemangat dengan apa yang dilakukannya, mencintai peranan yang dimainkannya demi memelihara kebenaran, tanpa cenderung kepada motif-motif lain seperti mengambil manfaat daripada pemerintah, mendapat pangkat atau memperalatkan sejarah untuk kepentingan siasah.
Semakin banyak seorang sejarawan itu memiliki sifat-sifat yang dikemukakan di atas, semakin tinggilah peluang kejayaannya untuk menemui kebenaran.
Sesungguhnya mengkaji sejarah, adalah sebuah perjalanan mencari dan mengenal KEBENARAN, demi Allah Tuhan yang AL-HAQ itu.
BERANSUR PULANG
Hari sudah lewat petang. Masjid ini pernah menjadi tempat berkhutbahnya Imam Birgivi, anaknya Fadlullah Efendi, juga tokoh kontroversi berinspirasikan Birgivi, Mehmed Kadızade.
“Okay ‘Kedi’, saya pulang dahulu.
Si comel yang hampir lena itu bangun kembali.
Moga dia dan seluruh haiwan di darat dan di lautan, mendoakan diriku dan murid-murid ilmu yang lain, agar diampunkan oleh Allah dosa-dosa mereka, dan dibantu mencapai cita-cita, demi berbakti kepada ummah.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3973) Pelawat
Lima Tiang Pensejarahan Dakwah Muhammad Ibn Abd al-Wahhab
“Salah satu isu besar di Malaysia yang memerlukan khidmat sejarawan adalah isu Wahhabi” saya berkata.
Ammar, Syafiq, Imad, Halim, juga Maher yang berkunjung dari Mesir, bersantai-santai selepas kami makan malam.
“Isu Wahhabi disokong dan dibantah sebagai isu aqidah. Sedangkan pada masa yang sama, ia adalah sesuatu yang berlaku pada masa silam. Ia adalah sejarah. Dan mungkin topik Wahhabi jadi kucar kacir kerana bahagian sejarahnya tidak menerima perhatian yang wajar. Sejarawan pun enggan berperanan. Kalau berperanan pun, tidak sampai ke arus perdana” saya menambah lagi.
Jika Imam Birgivi seorang sufi, namun dalam masa yang sama menentang bid’ah seperti ‘golongan Salafi’, saya ingin menumpang ironi yang sama bahawa saya mencintai Dawlah Uthmaniyyah tetapi saya tidak mencaci Wahhabi.
Saya bukan Wahhabi.
Saya hampir tidak pernah memetik pendapat Muhammad bin Abd al-Wahhab di dalam mana-mana tulisan saya. Pada masa yang sama, saya tidak dapat berbuat apa-apa kepada mereka yang menuduh saya Wahhabi sama ada dari jauh mahu pun dekat. Tetapi sebagaimana Atatürk tidak boleh difitnah sesuka hati biar pun sejarah kerasnya terhadap kaum Muslimin, demikian juga, Muhammad bin Abd al-Wahhab itu mesti diperkatakan (bagi yang mahu memperkatakannya) secara adil, mengekang lisan daripada âfât yang ditekankan oleh guru-guru yang murshid.
“Ustaz ada apa-apa buku cadangan untuk meneliti tentang Wahhabi ini?” tanya Syafiq.
“Rumit juga. Kalau ada sebuah buku yang boleh menyelesaikan polemik ini, tandanya isu berkenaan sudah selesai. Tapi bagi antum sebagai pelajar Malaysia di Turki, mungkin buku Al’Uthmâniyyûn fî al-Târîkh wa al-Hadhârah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb boleh dipertimbangkan sebagai pemula” saya memberikan cadangan.
DAWLAH UTHMANIYYAH DAN GERAKAN ‘WAHHABI’
Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!” jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab “inilah dia syeikh aku, yang duduk di dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang sudah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Sehingga ke era pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1908) sentimen menyalahkan gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai punca keruntuhan Khilafah Othmaniyyah, tidak berlaku.
Manuskrip ini hanyalah salah satu daripada rujukan-rujukan yang perlu dilunaskan dalam memenuhi tuntutan pensejarahan berkaitan Daulah Uthmaniah dan gerakan Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Semasa kita pantas menggunakan istilah Wahhabi, apakah latar belakang sejarah istilah itu? Dari mana asal usulnya?
LIMA TIANG PENSEJARAHAN 'WAHHABI'
Sama seperti mana-mana topik sejarah yang lain, isu gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab ini juga sepatutnya dikaji dengan sempurna tinjauan literatur berkaitan , sebagaimana yang dicadangkan oleh Natana DeLong-Bas ini:
Karya-karya Muhammad ibn Abd al-Wahhab sendiri.
Antara koleksi yang mudah diperolehi, adalah karya terkumpul berjumlah 5 jilid di bawah tajuk Muallafât al-Shaykh al-Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab terbitan Jami'ah al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1978-1979.
Manakala versi terjemahan pula adalah Three Essays on Tauhid yang diterjemahkan oleh Ismail Raji al-Faruqi, terbitan Islamic Publications International, Teaneck New Jearsey bertarikh 1979.
Demikian juga penterjemah yang sama, menghasilkan Kitab al-Tawhid, diterbitkan oleh al-Faisal Printing, Kuwait, bertarikh 1986.
Karya pewaris keturunan dan sejarawan rasmi.
Antara karya yang boleh dimanfaatkan adalah 'Unwân al-Majd fî Târîkh Najd tulisan Uthman ibn Bishr, diedit oleh Abd al-Rahman bin Abd al-Latif bin Abd Allah Âl al-Shaykh. Karya 2 jilid ini diterbitkan oleh Dârât al-Malik Abd al-Aziz, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1982-1983.
Begitu juga dengan Târîkh Najd karya Husayn Ibn Ghannam, 2 jilid terbitan Dar al-Shuruq, Lebanon, bertarikh 1994.
Karya penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab.
Bagi karya oleh penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab pula, kita perlu memanfaatkan karya Sheikh Ahmad ibn Zayni Dahlan bertajuk al-Durar al-Saniyah fi al-Radd 'ala al-Wahhâbiyyah, terbitan Dar Jawami' al-Kalam, Kaherah, Mesir, bertarikh 1986.
Demikian juga karya Sulayman ibn Abd Allah ibn Muhammad ibn Abd al-Wahhab bertajuk Taysir al-Aziz al-Hamid fi Sharh Kitab al-Tawhid, terbitan al-Maktab al-Islami, Beirut, Lebanon, bertarikh 1983 (1402AH).
Karya pengalaman langsung oleh pemerhati dari luar.
Ali Bey, ada menulis karyanya yang diterbitakan dengan tajuk Travel of Ali Bey in Morocco, Tripoli, Cyprus, Egypt, Arabia, Syria and Turkey Between the Years 1803 and 1807. Karya 2 jilid ini diterbitkan di London pada tahun 1816 oleh Longman, Hurst, Rees, Orme and Brown.
Seorang sejarawan Mesir yang sangat terkemuka iaitu Abd al-Rahman al-Jabarti ada menghasilkan Târîkh al-Jabarti yang diterbitakn dengan tajuk Abd al-Rahman al-Jabarti's History of Egypt, diedit oleh Thomas Philipp and Moshe Perimann. Dia diterbitkan dalam 4 jilid oleh Franz Steiner Veriag di Stuttgart, Jerman, bertarikh 1994.
Karya oleh pengembara Eropah dan pegawai-pegawai tentera mereka.
Sir Harford Jones Brydges ada menulis sebuah karya bertajuk An Account of the Transactions of His Majesty's Mission to the Court of Persia in the Years 1807-11, to Which is Appended, a Brief History of the Wahauby. Ia diterbitkan dalam dua jils di London oleh Henry Colburn dan Richard Bentley bertarikh 1831.
Demikian juga, Louis-Alexandre Corancez ada menulis Histoire des Wahabis, depuis leur origine jusqu'a la fine de 1809. Ia diterbitakan di Paris oleh Chez Crapart bertarikh 1810.
Jean Baptiste Louis Jacques Rousseau menulis Description du Pachalik de Bagdad, suivie d'une Notice sur les Wahabis, et de quelques autres pieces historiques relatives a l'historie et a la litterature de l'Orient. Ia diterbitkan juga di Paris oleh Treuttel et Wurtz bertarikh 1809.
TOPIK SEJARAH, SEBELUM AQIDAH DAN FIQH
Sebelum isi kandungan buku, kitab, manuskrip, makalah, dibahaskan dalam topik Aqidah dan Fiqh, kesemua sumber rujukan itu adalah bahan rujukan sejarah. Sebelum bahan rujukan sejarah dipakai sebagai sumber maklumat sejarah, bahan-bahan itu perlu berhadapan dengan kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan berkenaan meliputi fizikal bahan rujukan, dakwat yang dipakai, kesesuaiannya dengan tarikh bahan tersebut, siapa penulisnya, adakah ia tulisan asal atau salinan kepada tulisan asal dan banyak lagi isu, semata-mata untuk menjelaskan: adakah bahan ini valid untuk dirujuk.
Setelah bahagian pertama ini selesai, maka kritikan dilakukan terhadap isi kandungan sumber tersebut, yakni fakta-fakta yang terkandung di dalamnya.
Topik Muhammad Ibn Abd al-Wahhab dan gerakannya bukan terbatas kepada topik Aqidah dan Fiqh, untuk langsung kita secara pantas membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahhabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, dari mana asal usulnya istilah tersebut dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahhabi itu sendiri. Sesungguhnya topik ini terlebih dahulu adalah topik Sejarah.
Jika seorang tuan guru alim di dalam Aqidah dan Fiqh, tetapi tidak menyempurnakan tuntutan pensejarahan yang berada di belakang sesebuah topik, tidak mustahil keadaan ini boleh memerangkap seorang alim dalam memperkatakan perkara yang beliau separuh tahu.
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [Al-Ma'idah 5:8]
Mungkin dengan kajian yang adil tentang Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, tidak mengurangkan pendirian kita membantahnya. Namun sekurang-kuranglah, tidaklah sampai mengkafir-kafirkan sesama Muslim, menasihati jemaah umrah dan haji agar solat di bilik atau jika di masjid bermufaraqah dari Imam, serta lain-lain tindakan yang memporak perandakan ummah, ratusan tahun selepas matinya insan yang dibantah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (125) Pelawat
January 30, 2014
Yavuz Sultan Selim: Antagonis Alevi Dipotretkan Alevi
“Sekarang ini, nama Sultan Selim hangat kembali. Alevi di Turki marah sebab kerajaan mahu menamakan jambatan ketiga menyeberangi Bosphorus itu sebagai Jambatan Sultan Selim” cerita Zacky.
“Sultan Selim memang berhak untuk dikenang dengan memori yang besar. Sebesar peranan beliau menyatukan dunia Turki dan Arab, menyertakan ketiga-tiga Tanah Suci di bawah sebuah pemerintahan” saya menambah.
Kami sedang berbual-bual di dalam bas Summer School yang baru selesai membawa kami bersantai-santai di Yeniköy.
Teringat saya kepada Cenksu di Ankara. Semasa melawat beliau Februari lalu, Cenksu berkongsi serba sedikit berkenaan dengan kajian PhD beliau mengenai pemikiran, kebudayaan dan kepercayaan golongan Alevi di Tokat. Ia sudah pun diterbitkan dalam bentuk buku di bawah tajuk Tokat Yöresinde Geleneksel Alevilik.
Golongan Alevi ini sering menyebabkan kita terkeliru antara mereka dengan Alawi(ʿAlawīyyah) di dunia Arab. Golongan Alawi ini kurang mengelirukan kita dengan Alevi di Turki, jika Alawi itu dirujuk sebagai Nusayri, sempena nama pengasasnya Abu Shu’ayb Muhammad ibn Nusayr atau lebih dikenali sebagai Ibn Nusair pada kurun ke-8 dahulu, imam ke-10 dalam tradisi Syiah Itsna Ashariyyah. Inilah keluarga Bashar al-Assad yang sedang bermaharajalela membunuh rakyatnya sendiri sekarang ini. Semoga Allah binasakan mereka sebagaimana Ababil dan tenteranya menjadi daun kering yang dimakan ulat!
Tetapi Alevi di Turki ini, di dalam sejarah mereka lebih dikenali sebagai golongan Kızılbaş. Mereka mempunyai sejarah yang panjang pada mencetuskan pelbagai masalah di kurun ke-16 dan 17 Dawlah Uthmaniyyah. Biar pun Alevi dipandang sebagai Syiah di Turki, tetapi sebenarnya tidak begitu. Di Turki, kaum Syiah berimamkan Imam Jaafar maka mereka dikenali sebagai Syiah Ja’fari. Ada pun Alevi ini, mereka mempunyai akar umbi yang jauh ke kumpulan Kaysaniyyah dan Khurramiyyah, yang turut memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan Safavid. Alevi ini adalah dari kelompok Syiah Ghulat.
Disebabkan oleh pelbagai kehuru haraan mereka cetuskan di peringkat masyarakat untuk mengganggu pemerintahan Uthmaniyyah di Istanbul, dalam perjalanan Sultan Selim untuk menundukkan mereka, seramai 40 ribu Alevi telah terkorban dalam serangan pada tahun 1514. Inilah yang menjadikan golongan Alevi sangat berdendam dengan Sultan Selim.
Menyedari akan ancaman mereka, Sultan Selim memang meletakkan kata putus hitam putihnya tidak membenarkan sebarang urusniaga atau kerjasama dengan kerajaan Safavid, sehinggalah sekatan ini dimansuhkan oleh anakandanya Sultan Süleyman al-Qanuni kerana kondisi politik yang dibaca oleh Süleyman sebagai kondusif dan mengizinkan.
Ironi sekali.
Sultan Selim merupakan antagonis kepada Alevi atau Kızılbaş. Tetapi lain pula kisahnya dengan potret baginda.
Hampir kesemua bahan bacaan yang sampai kepada kita berkenaan Yavuz Sultan Selim (1465–1520), jika disertakan dengan imej baginda, maka potret yang terpampang adalah seorang lelaki yang memakai anting-anting di telinga kirinya, manakala serbannya pula berwarna merah.
Benarkah itu potret Sultan Selim?
Saya sendiri menemui kenyataan ini di dalam buku-buku yang saya anggap baik penulisannya, bahawa itu adalah potret Sultan Selim. Anting-anting itu pula dipakai, kerana Sultan Selim mahu mengingatkan dirinya bahawa beliau masih seorang hamba, kepada Allah. Walaupun kerajaannya ketika itu terbesar di dunia.
Jika ia sebuah ‘fakta’, maka ia adalah fakta yang mengujakan kita.
Namun, sebagai mematuhi disiplin asas dalam sejarah, kita perlu sering bertanya:
من آين لك هذا؟
“Dari mana kamu perolehi perkara ini?”
Membaca lebih lanjut berkenaan baginda daripada sumber-sumber yang baik, memperlihatkan kepada kita bahawa Sultan Selim adalah seorang yang berkeperibadian teguh serta kuat pegangannya kepada Syariat Islam. Dalam siri sultan-sultan Uthmaniah, Sultan Selim dan Sultan Muhammad al-Fatih, ada dua orang sultan yang disebut-sebut sebagai seorang mujaddid, oleh sejarawan Uthmaniah seperti Lütfi Paşa di dalam Tawārīkh Āl Uthmān.
Ketegasan baginda pada menjauhi elemen-elemen perhiasan diri yang mencemar syara’ serta menghilangkan sifat kewibawaan seorang lelaki dan pemimpin, boleh dilihat dalam teguran baginda kepada anaknya Süleyman, sekembalinya baginda beliau daripada misi menguasai Mesir. Kata baginda, “wahai Süleyman, jika engkau memakai pakaian seperti ini, apa yang ibumu hendak pakai nanti?”
KISAH SANG POTRET
Potret yang sering kita lihat itu, adalah potret Sultan Selim bersaiz 70sm x 65sm, didaftarkan dengan nombor 17/66 di Department of Potrait di Istana Topkapı. Ia memaparkan Sultan Selim memakai anting-anting. Potret-potret ini dilukis oleh pelukis Eropah berdasarkan imaginasi mereka. Bukan setakat anting-anting itu, malah kelihatan juga pada potret berkenaan Sultan Selim memakai rantai mutiara di leher, mahkota di kepala. Gambar itu menyanggahi maklumat-maklumat yang jelas tentang tatacara pemakaian rasmi para Sultan Uthmaniah.
Ahmed Akgündüz dan Said Öztürk menyatakan bahawa potret itu dibawa dari istana Dolmabahçe pada tahun 1926 dan tidak diketahui dari mana asal usulnya semasa diletakkan di istana berkenaan. Mereka juga menegaskan bahawa foto itu sebenarnya adalah foto Shah Ismail pemerintah kerajaan Syiah Safavid. Serban merah (kızıl börk) itu hanya dipakai oleh penganut Syiah di zaman tersebut. Tambahan pula di dalam Fiqh Syiah ketika itu, pemakaian anting-anting lelaki difatwakan sebagai harus, secara spesifik.
Kritikan yang dikenakan ke atas potret itu, bersangkutan dengan keabsahannya pada mencerminkan realiti, tidak memungkinkan kita untuk menerima ia sebagai wajah Sultan Selim.
Biar pun kedudukan Sultan Selim sudah tentu bentuknya di sisi Allah, tidak bertambah atau berkurang dengan pendapat kita mengenai baginda, namun usaha kita untuk memahami kisah yang sebenar, mengajar kita yang hidup lebih 500 tahun selepas zaman berkenaan, agar memuliakan kebenaran.
Yang menjadi inti pati hakikat diri sebagai seorang Muslim.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (144) Pelawat