Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 50
April 15, 2014
Tetamu Dataran Syam: Antara Targhib dan Tarhib
“Hmm… sunyi betul. Semua orang tidur balik!” pelajar yang baru sampai kehairanan.
Abang-abangnya (mungkin kakak-kakak pun sama), tidur selepas solat Subuh.
Sesuatu yang pantang benar dibuat di tanah air.
Sempit rezeki, hidup tidak berkat, teringat balik emak menghempas-hempas daun tingkap kalau anak-anak tidur menongkat matahari. Muka apa namanya, nak jadi ‘bapak orang’, ‘mak orang’, kalau ayam di reban ke tanah lebih awal dari kamu!
Pelajar yang baru tiba, menggelengkan kepala. Berazam tidak mahu mencontohi amalan-amalan tidak senonoh senior mereka di bumi Anbiya’ ini. Bumi yang sepatutnya menjadi tempat mereka berjuang menuntut ilmu, mempersiapkan diri, pulang ke tanah air nanti, sebagai Ulama’ Pewaris Nabi!
Manakala sang senior pula, di dalam selimut berbisik-bisik sambil ketawa kecil.
“Tengoklah, berapa lama ‘smurf’ itu bertahan. Awal-awal ini semangatlah mengaji al-Quran selepas Subuh. Nanti, bila doktor-doktor jami’ah (pensyarah universiti) pun rupa-rupanya tidur sama, baru depa tahu. Silap-silap, kita pula yang kena gerak dia bangun pergi kelas!” kata senior kepada senior yang seorang lagi.
Mereka ketawa berdekah-dekah di dalam selimut tebal Made in Korea yang dibeli di Madinah, semasa umrah baru-baru ini.
Demikianlah perihalnya, perjuangan pelajar baru untuk menahan diri daripada terpengaruh dengan budaya-budaya negatif para senior mereka di Bumi Anbiya’. Apabila masuk musim panas, solat subuh jam 3:15 pagi, akhirnya patah semangat pelajar untuk tidak tidur selepas solat. Seluruh alam sepi. Tiada roti. Tiada falafil, tiada apa di luar sana.
Semua tidur.
Arab dan ‘Ajam.
Jika Yahudi Zionist mahu menyerang negara Arab di kelilingnya, ahh… Yahudi pun tidur.
APA YANG LEBIH UTAMA
Tetapi sekurang-kurangnya, saya dan rakan-rakan tetap bersyukur kerana semasa kami pertama kali menjejakkan kaki ke Jordan pada September 1993, para senior kami yang juga tidur selepas Subuh, mereka memperkenalkan kepada kami budaya-budaya yang penting sebagai penuntut ilmu.
Melangkah sahaja ke rumah mereka, kami terkasima dengan deretan kitab yang memenuhi dinding. Kitab itu bukan sekadar hiasan. Ada yang terpampang di atas meja, ada yang berlubang sana sini kerana juzu’-juzu’ tengahnya ada di hujung tilam. Tanda ia dibaca.
Tanyalah mana-mana kitab, para senior akan sudi dan bersungguh memperkenalkannya. Mereka mengajar kami untuk menyemai cinta kepada buku, dan ilmu.
Sayang buku, suka buku, mabuk buku, beli buku, sembang buku, baca buku, bincang buku, kedai buku, tauke buku, buku, buku, buku dan buku, sebelum yang lain-lainnya.
“Tsaqafah al-Da’iyah, karya Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, antara kitab yang antum mesti baca awal-awal ini” pesan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin, antara senior kami.
“Jom, kita ke Dandees” ajakan Ustaz Erfino, senior yang seorang lagi.
Kedai buku paling utama di masa itu, sebelum ke kedai-kedai buku yang lain sekitar Amman, hatta ke al-Zarqa’.
Apabila wang elaun pengajian kami masuk ke akaun, adakalanya ada di antara kami yang menyewa lori pick up kerana buku yang dibeli di kedai-kedai buku perlu dibawa pulang dengan kenderaan berkenaan. Banyaknya buku dibeli!
Takraw, takraw juga.
Bola, bola juga.
Saya yang kaki bangku ini dalam pada mengaji, sempat menghasilkan berpuluh-puluh nasyid yang dirakam dalam tiga album, untuk menghiburkan ustaz-ustazah yang tidak kenal Ekamatra, Butterfingers dan Siti Norhaliza itu.
Masih manusia biasa. Bergelak ketawa, bergurau senda. Namun mengaji, tidak bolehlah dikompromi. Apa-apa aktiviti yang membatalkan tujuan asal datang ke bumi Anbiya’, mesti dihindari.
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. [Al-Furqan 25: 72]
Selain membaca buku, hadir ke kelas-kelas pengajian berbentuk talaqqi, diusahakan sedaya yang ada.
Semasa mengaji, yang kami tahu hanya mengaji.
Ada Tok Guru pakar Mazhab Syafie.
Ada Tok Guru pakar Syarah Ibn ‘Aqil dalam Nahu bahasa Arab.
Ada Tok Guru pakar Tafsir dan Hadith.
Ada juga Tok Guru pakar Asha’irah.
Pergi belaka. Tidak selalu, masih sekali sekala.
Kami tidak peka dengan aliran Tok Guru. Mungkin itu kelemahan kami. Tetapi Tok Guru yang setiap kali kami mengaji beliau akan menyembelih alim ulama lain, menimbulkan pandangan tidak sejahtera terhadap para Sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam, kami tidak tunggu lama. Kami bangun, dan kami tinggalkan dia. Walaupun ilmunya masih banyak yang ingin didamba.
Aliran perkara kedua.
Akhlaq, hanya satu, tiada dua.
Kalau talaqqi meliarkan murid, itu bukan talaqqi.
Tiada masalah untuk mengundurkan diri.
Mencari yang lebih baik dan sejahtera.
Berguru untuk memuliakan ilmu dan kebenaran. Bukan mengagung-agungkan guru.
Menghormatinya adalah adab.
Memujanya adalah silap.
Seperti pesan al-Imam al-Sha’bi (meninggal dunia 105H) tentang petuanya dalam mengaji:
بنفي الاعتماد و السير في البلاد و صبر كصبر الحمار و بكور كبكور الغراب
“(Aku menuntut ilmu) dengan menjauhkan diri dari kebergantungan, dengan bermusafir dari satu tempat ke satu tempat, dengan bersabar seperti sabarnya keldai (menanggung bebanan angkut yang berat) dan dengan bangun awal pagi seawal sang gagak (memulakan hari)”
Apabila ada tamrin, kena buat kertas kerja.
Walaupun tajuknya jemaah dan siasah, asasnya mesti sama. Ilmu, tiada selainnya.
Jika sudah lama tiada tamrin untuk menulis kertas kerja dan membentangkannya, senior ‘mencucuk-cucuk’ junior agar dianjurkan program, yang boleh menyediakan peluang menulis, membentang dan mewacanakan kertas kerja.
Semuanya dibuat secara biasa. Tiada apa yang istimewanya.
Semasa semua ini berlaku, saya tidak rasa ia sesuatu yang pelik. Tidak pula rasa senior cuba menjadikan kami nerd, geek, atau 20 tahun kemudiannya disebut poyo. Ia adalah apa yang sepatutnya. Ia adalah segala-galanya, pada sebab mengapa kami berada jauh di perantauan, di bumi Anbiya’.
Firman Allah yang pertama bukan “berimanlah”. Bukan “sujudlah”. Bukan “solatlah”.
Firman Allah yang pertama ialah “IQRA!”
Bacalah!
Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. [Surah Al-‘Alaq 96: 1-5]
Apakah ada sebab lain untuk kami datang ke bumi Anbiya’ selain mencari ilmu dan mempersiapkan diri dengan keperluanya?
Sejadah-sejadah yang adakalanya dibentang di masjid-masjid di tanah air, untuk membantu biaya pelajar yang keputusan bekalan wang di bumi Anbiya’, nyata sekali jemaah masjid dan surau menderma, kerana bayangan minda mereka di bumi Anbiya’ itu pelajar-pelajar ini siang malamnya dengan mengaji, dengan buku, dengan munaqasyah dan wacana.
KESONGSANGAN BUDAYA
Sehinggalah sampai ke satu ketika, buku bukan lagi agenda pelajar di bumi Anbiya’. Senior mula memberitahu junior bahawa markah peperiksaan tidak punya apa-apa makna. Semester satu mumtaz, semester akhir nanti, Insha-Allah maqbul, macam ‘kami’ dan kebanyakan kita.
Ilmu bukan lagi perkara yang menyibukkan mereka.
Pelajar disibukkan oleh benda-benda lain.
Fitnah hidup bebas, fitnah hidup jauh dari ibu bapa, fitnah rusa masuk kampung!
Entah mengapa, pelajar Malaysia yang Melayu-Melayu itu, apabila berkumpul beramai-ramai, tenang berubah jadi goncang, sihat berubah menjadi tenat, budaya ilmu berubah jadi budaya anti ilmu, pelajar disibukkan dengan semua yang membinasakan ilmu dan keilmuan mereka.
BETULKAH MAHU KE BUMI ANBIYA’?
Di musim pasca keluar keputusan peperiksaan SPM, STPM, STAM dan lain-lain, pelajar-pelajar yang hendak menyambung pelajaran ke bumi Anbiya, ke Mesir, ke Jordan, ke Yaman itu, mereka semua perlu digertak. Ditakut-takutkan. Diancam dengan tanggungjawab yang mereka akan pikul di bahu, sebagai anak muda terpilih yang dihantar menadah ilmu di bumi yang menadah wahyu, bekas tapak-tapak kaki Anbiya’ yang beribu.
Biar ramai yang lemah semangat.
Biar ramai yang berfikir semula.
Agar yang akhirnya nekad untuk tidak gentar dengan gertakan, membulatkan azam untuk terus berkelana, adalah anak muda yang tidak akan menghampakan kita. Yang akan pulang berbakti membantu kita dan anak cucu kita. Kembali sebagai pejuang agama. Yang beriltizam dengan keilmuannya. Bukan merepek dalam ceramah, penuh dengan Qīla ‘ala wazn Gila!
300 pelajar di bumi Anbiya’ yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, lebih utama daripada 3000 yang bergelak ketawa, yang sibuk dengan koleksi kasut dan jaket berjenama hasil ‘menyelam’ mereka di lautan barangan bundle, yang berangan-angan mengaji di negeri orang Putih tatkala pipi disapa salji di celah pohon rhu, malah yang membuat khurafat di kuburan, memuja masyaikh lebih daripada meneladani dan mengaji seperti masyaikh mereka, lebih-lebih lagi yang keluar kelas Hadith, berdua-duaan dengan kekasih sebelum masuk ke kelas Usul al-Fiqh.
Ahh… kita ditipu oleh bilangan mereka.
Sangka kita ramainya mereka, bererti makin terbela agama.
Rupa-rupanya ramainya mereka, adalah bencana kepada keberagamaan kita.
Justeru lepasan SPM, STPM, STAM dan lain-lain, andai benar kamu mahu melangkah ke bumi Anbiya’, bolehkah kalian berjanji kepada kami?
Bahawa Mu’addal Tarakumi (CGPA) kalian, mesti diusahakan setinggi yang boleh?
Bahawa kamu ke sana dengan semangat IQRA’?
Menyambung tugas para Anbiya’?
Meneruskan legasi para Ulama’?
Bukan Firaun dan konco-konconya, yang turut mencemar bumi yang sama!
Jika kalian ada idea lain, ada agenda lain, beritahulah kami, agar kami masyarakat di tanah air membatalkan harapan, dan meneruskan perjalanan.
Kami tiada upaya menunggu kamu.
Foto ihsan al-Fadhil Ustaz Fazdi Harun
TETAMU DATARAN SYAM
Tetamu di Dataran Syam ini,
Harus gagah seperti Abu Ubaidah,
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan
Di celah pohon yang zaitun yang rendang,
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam,
Menanti dan terus menanti,
Hadirnya barisan waris perjuangan.
Medan ini medan yang susah dan payah,
Sesusah medan Mu’tah di puncak sana,
Dan penghuninya juga harus gagah,
Segagah Kota Karak perakam sejarah,
Di sini lah kau akan membina jiwamu,
Jiwa pembela maruah agama,
Berbekalkan ilmu,berpandukan iman,
Islam pasti akan kau merdekakan.
Ketibaanmu adik-adikku,
Ku sambut dengan seribu pengharapan,
Agar kau menjadi insan berilmu,
Dan pembela nasib agamamu.
Hatimu perlu cekal dan tabah,
Sesabar tiga sahabat Rasulullah,
Jiwamu perlu subur dengan iman,
Sesubur Dataran Syam bertuah.
Kita diajar cintakan kematian,
Bagai musuh kita cinta kehidupan,
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya,
Kau mengenal jihad dan perjuangan.
Tetamu DataranSyam, engkaulah harapan,
Untuk ummah melihat masa depan,
Sebagai ulama’ sebagai pejuang,
Islam pasti akan kau merdekakan,
Selamat datang Tetamu Dataran Syam!
Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (191) Pelawat
April 14, 2014
Wal-’Asr: Memerah Sebuah Usia
Demi Masa!
Demikianlah Allah bersumpah dengan masa. Kita sama-sama maklum bahawa, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu di dalam firman-Nya, subjek itu amat penting dan menuntut kita untuk bertadabbur dengan lebih teliti mengenainya.
Di dalam bahasa Arab, ada beberapa perkataan lain yang maksudnya adalah berkaitan dengan masa. Ada Waqt (وقت), Zamān (زمان), Sā’ah (ساعة) dan Dahr (دهر). Tetapi Allah memilih kalimah ‘Asr (عصر) dengan hikmah yang besar.
Perkataan ‘Asr ini secara bahasanya, ia memberi maksud “memerah sehingga keluar susu” [Mu'jam Maqayis al-Lughah by Ibn Faris]. Bersandarkan kata akar yang sama, Allah SWT menyifatkan awan sebagai sesuatu yang mengandungi air, diperah hingga mengeluarkan hujan.
Dan Kami telah menurunkan dari awan (al-mu’sirāt), air (hujan) yang mencurah-curah [Al-Naba' 78: 14]
Apabila Allah bersumpah dengan al-’Asr yakni masa, ia bukan sebarang masa. Ia adalah masa yang digambarkan sebagai sesuatu yang berisi intipati yang berguna, penuh khasiat. Namun untuk memperolehinya, masa itu mesti diperah, seperti kelapa parut yang diperah untuk mengeluarkan santannya, atau kelapa sawit yang perlu diperah untuk mengeluarkan minyaknya. Demikian juga zaitun, sekadar buah yang enak dimakan, tetapi menjanjikan minyak penuh khasiat, andai kita patuh kepada proses utamanya iaitu ia mesti diperah, dengan betul, sepenuh usaha, hingga tidak tersisa.
Allah mengesahkan bahawa setiap manusia kerugian.
Rugi, seperti buah kelapa yang tua, kering, bergelimpangan di tanah dan kemudian menjadi tanah.
Seperti buah zaitun yang begitu banyak khasiatnya, tetapi terbiar gugur di tanah, kembali ke tanah, reput dan sebati hingga hilang dari kewujudannya.
Betapa sia-sianya manusia yang mati tanpa diperah potensinya.
Betapa rugi, dengan serugi-ruginya manusia yang lahir dengan fitrah penuh potensi, namun dek kecuaiannya tidak memanfaatkan peluang masa yang diberi, dia hanya singgah di kehidupan ini bagai melukut di tepi gantang, kemudian mati, bagai bangkai, kembali ke tanah, tanpa sumbangan, dan jasa.
Sesungguhnya setiap manusia yang memahami erti AL-’ASR (masa), akan membina kehidupannya atas empat tiang yang tidak mengenal kompromi.
1. Beriman, dan mempertahankan keimanannya dalam apa jua keadaan.
2. Beramal soleh, berterusan, beramal, beramal, dan beramal.
3. Berpesan-pesan pula kepada setiap insan yang melintasi dan dilintasi dalam kehidupan ini, dengan kebenaran.
4. Berpesan-pesan dengan kesabaran, selagi hayat dikandung badan.
Duhai sahabat, sudahkah kalian memerah diri untuk mendapatkan hasilnya? Berusahalah agar pada hari matinya kita, yang dikebumikan itu benar-benar hampas yang sudah diperah manfaatnya habis-habisan. Dan dengan kasih sayang Allah, tubuh badan yang tidak bernyawa itu pun, masih punya manfaat andai kita menekuni kaedahnya.
Jangan sia-siakan masa.
Jangan sampai sudah mati, baru meminta dihidupkan semula.
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin” [Al-Sajdah 32: 12]
Andai ada peluh yang melimpah, andai ada air mata yang tumpah, andai ada darah yang membasah, terimalah ia sebagai sebahagian daripada kehendak WAL-’ASR.
Demi memerah masa…
Demi memerah sebuah usia…
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (44) Pelawat
April 10, 2014
Mengadabkan Orang Mengaji
قال يا موسى إني على علم من علم الله علمنيه الله لا تعلمه وأنت على علم من علم الله علمكه الله لا أعلمه
“Wahai Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadaku yang tidak engkau ketahui. Dan engkau pula mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadamu yang tidak aku ketahui!” kata Khidir.
Hamba Allah yang soleh itu disifatkan sebagai seorang yang lebih mengetahui, berbanding Musa.
Musa menempuh perjalanan yang panjang mencarinya.
Khidir, yang bakal mengajarnya sesuatu yang tidak diperolehinya daripada guru yang lain.
Musa amat berkehendakkan bimbingan Khidir.
Tetapi Khidir memposisikan Musa pada tahap yang istimewa. Bukan tinggi atau rendah, tetapi SAMA.
Antara yang mengajar dan yang belajar, bukan antara yang lebih tahu dengan yang kurang tahu. Tetapi kita boleh saling belajar antara satu sama lain.
Ia seperti akhlaq Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar pun Baginda seorang Rasul, murabbi, guru, semulia-mulia insan dan makhluq ciptaan Allah, Baginda membahasakan mereka yang belajar dengannya sebagai SAHABAT.
Bukan murid, bukan orang suruhan, bukan orang bawahan. Jauh sekali untuk mereka itu disuruh mencium tangannya atau memuliakan Baginda, lebih daripada hakikat yang paling Baginda gemari, bahawa dirinya adalah ABDUHU dan RASULUHU.
Hamba-Nya.
Utusan-Nya.
Semasa Khidir dan Musa memulakan perjalanan mereka, Hadith 3220 di dalam Sahih al-Bukhari menyambung kisah.
فلما ركبا في السفينة جاء عصفور فوقع على حرف السفينة فنقر في البحر نقرة أو نقرتين قال له الخضر يا موسى ما نقص علمي وعلمك من علم الله إلا مثل ما نقص هذا العصفور بمنقاره من البحر
Datang seekor burung, hinggap di tepi kapal yang mereka naiki. Burung itu mematuk setitik atau dua titik air laut yang yang luas.
Khidir menarik perhatian Musa.
“Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu mengurangkan apa-apa daripada ilmu Allah seperti titisan air oleh patukan burung itu tadi berbanding air laut yang luas ini” ujar baginda.
Khidir menetapkan asas yang tiada khilaf, bahawa kita semua perlu menginsafi kelemahan diri. Biar bertambah sebanyak mana pun ilmu, kita masih dan kekal hamba-Nya. Jangan lupa merendah diri.
Andai ilmu itu diumpamakan seperti air, maka sudah tentu tanah yang paling rendah, bakal menakung air terbanyak. Rendahkanlah diri, nescaya rahmat Allah akan berpihak. Beroleh kurnia ilmu yang membentuk akhlaq.
TIADA SUBJEK KHUSUS
Apabila kita belajar agama secara formal di universiti-universiti, tidak ada subjek yang khusus mengajar tentang akhlaq, tentang adab. Tiada subjek bernama AKHLAQ 101. Pengajian akan langsung menjurus kepada menghuraikan disiplin-disiplin ilmu serta tidak mensesiakan masa melainkan mesti diguna untuk menguasai ilmu dan faham akan butiran maksudnya.
Jika akhlaq tidak diajar, di manakah pelajar ini boleh belajar tentang akhlaq?
Siapa yang mahu mengadabkan mereka?
Atau dibiarkan sahaja mengaji menjadi pandai, tetapi akhlaq tidak terbeza daripada yang jahil tidak mengaji?
Terkenang saya kepada guru-guru yang pernah mengajar kami. Ramai dari kalangan mereka, dalam mengejar silibus untuk disempurnakan pengajaran dan pembelajaran sebagai amanah, mereka akan mengadabkan kami, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara sedar atau sebaliknya.
Belajar ilmu bukan sekadar belajar ilmu dan mengajarnya pula.
Ilmu mesti beriring dengan Rahmat Allah.
Ilmu penunduk, yang menundukkan mereka yang mempelajarinya agar merendah diri, dan mulia diri sejajar dengan bertambah pengetahuan yang dipelajari.
TANGGUNGJAWAB PENGAJAR
Di dalam masyarakat kita hari ini, para ustaz, pendakwah, pensyarah, guru, ada tanggungjawab bukan hanya pada memandaikan hadirin dengan ilmu yang diajar, tetapi masyarakat mengaji ini perlu kepada adab.
Mereka perlu diadabkan.
Dengan adab seorang guru.
Jangan nanti menjadi kebiasaan, yang lebih mengajinya, kurang beradab pula.
Khidir mengadabkan Musa.
Kita membiadabkan massa.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (5675) Pelawat
April 9, 2014
Gertakan Khidir Terhadap Musa: Dua Kali Sabar Demi Ilmu
“Sesungguhnya engkau tidak mempunyai keupayaan untuk menyabarkan diri supaya bersabar denganku!” kata Khidir alayhi al-Salam.
Dua kali sabar.
Bukan sekadar sabar.
Tetapi menyabarkan diri untuk bersabar.
Demikian ‘ugutan’ Khidir terhadap hasrat Musa ‘alayhi al-Salaam yang mahu mengikutinya bermusafir demi belajar dan mendapat AL-RUSHD! Petunjuk, yang membezakan antara hitam dan putih, betul dan salah, haq dan batil, sebagai matlamat sebuah pembelajaran.
“Dia (Khidir) menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan berupaya untuk bersabar bersamaku” [Al-Kahf 18: 67]
Menimbulkan ancaman atau Tarhib bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan semangat belajar. Dalam kita menggalakkan pembelajaran, ada juga unsur-unsur pemeriksaan realiti yang mesti dilakukan. Sama seperti Luqman, tatkala menasihati anaknya agar mendirikan solat, mengajak manusia kepada makruf dan mencegah mereka daripada mungkar [Luqman 31: 17], Luqman mengingatkan anaknya supaya bersabar dengan apa yang pasti menimpa lanjutan daripada itu.
Sesungguhnya ada sesetengah perkara, ia hanya boleh dilakukan dengan keazaman yang bulat, teguh, tekad!
Bukan hangat-hangat tahi ayam.
GERTAKAN JADI KEPERLUAN
Ada sebab mengapa Khidir menggertak Musa.
Sukar untuk mencari upaya sabar, kerana apa yang bakal dipelajari oleh Musa bukan sesuatu yang biasa di dalam silibus.
Ia berbeza.
“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?” [Al-Kahf 18: 68]
Apa yang bakal Musa pelajari bukan sesuatu yang sudah tersedia di dalam silibus, jelas kelihatan pangkal, tengah dan hujungnya. Terang learning outcomes (hasil pembelajaran) seperti yang sering ditemui dalam proses biasa.
Kali ini, Musa bakal belajar sesuatu tanpa big picture. Semasa belajar, tidak diketahui apakah makna benda yang dipelajari. Sesuatu yang tidak boleh difahami secara pantas. Ia bagai kepingan-kepingan puzzle yang memerlukan kepingan itu dihimpun lengkap, dicantumkan dengan betul untuk mendapat kefahaman mengenai apa yang dipelajari.
Mungkin matlamat akhirnya bukan apa yang dipelajari.
Tetapi proses belajar itu sendiri.
Bahawa dalam usaha menuntut ilmu, ada sesetengah perkara yang kita perlu belajar tanpa memahami apakah tujuannya benda itu diajar. Belajar dahulu. Biar pun jemu, kabur, menimbulkan keliru.
KHABAR DAN KHUBR
Apatah lagi, subjek yang dipelajari bukan KHABAR tetapi KHUBR.
Khabar adalah maklumat yang diketahui melalui pengajaran dan pembelajaran manusia.
Khubr adalah sesuatu yang hanya diketahui hakikatnya daripada Allah, sama ada melalui wahyu, atau melalui proses memahami hikmah yang jauh dan tersembunyi.
Yang kesemua itu diatasi dengan komitmen kepada satu sahaja, yakni matlamat akhir belajar iaitu beroleh al-Rushd.
“Nabi Musa berkata kepadanya (Khidir): Bolehkah aku mengikutmu, supaya dengannya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” [Al-Kahf 18: 66]
Bukan mudah untuk belajar sesuatu yang kita tidak jelas apa tujuan ia datang sebagai pelajaran kepada hidup kita.
Sebahagian besar hal seperti ini hadir di luar buku, di luar kelas.
Semasa belajar, kita jatuh sakit. Terkunci di dalam rumah dan tidak boleh ke dewan peperiksaan, bencana alam, pensyarah mengajar falsafah Islam sambil meletakkan kakinya di atas meja, benda-benda yang menimbulkan kemarahan, kekecewaan, tanda tanya, rasa ingin membantah, tetapi akhirnya kita diuji untuk menterjemahkan semua itu dengan sesuatu yang akhirnya membantu kita beroleh AL-RUSHD.
Membezakan kebenaran daripada kebatilan.
Kemahiran, hasil daripada misteri yang datang dalam bentuk yang tidak disilibuskan ia kepada kita. Tetapi hadir dalam kejadian yang menguji diri untuk bersabar mencari hikmah, bukan melatah membatalkan hasanah.
Sungguh.
Al-Rushd itu mahal.
Sulit sekali upaya sabar.
Musa harus bersedia.
Khidir tanpa berselindung mengandaikan kebarangkaliannya.
Dan Khidir bukan mempertikaikan Musa sama ada beliau seorang penyabar atau tidak. Khidir hanya menegaskan bahawa Musa mungkin mengalami masalah untuk bersabar ketika bersama dengannya. Itu sahaja.
MENGALAH ATAU MENYAHUTNYA
Dan ancaman itu tidak menjadikan Musa goyah tekad dan berundur sebelum melangkah.
Musa mengambilnya sebagai cabaran.
“Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insha Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu” [Al-Kahf 18: 69]
Mereka yang bercita-cita mahu menjadi ustaz, ulama’, pewaris Anbiya’.
Mereka yang bercita-cita mahu menjadi doktor, membantu umat manusia.
Mereka yang bercita-cita mahu menjadi bapa mithali, pemimpin keluarga bertaqwa menuju Syurga.
Dalam galakan ada ancaman.
Bahawa kejayaan bukan murah boleh dijual beli, pinjam pulang, ambil tinggal sesuka hati.
Ia memerlukan komitmen.
Tekad.
Yang adakalanya lebih perlahan daripada sambungan internet dial-up.
Yang generasi Y tidak berpeluang merasai kesabaran menggunakannya.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (14870) Pelawat
April 8, 2014
Keghairahan Menjadi Selebriti Agamawan (Yang Membinasakan)
Alhamdulillah, Allah menjadikan proses melarikan diri daripada lensa itu mudah buat saya. Dia yang memudahkan. Mungkin kerana saya sendiri, juga masih kelam-kelam di pinggiran disimbah cahaya studio dan gemerlapan pentas. Belum jadi bintang. Belum jadi purnama.
Keberagamaan hari ini amat membingungkan.
Bagi mahasiswa dan mahasiswi sarjana muda Pengajian Islam semasa, jauhkanlah diri daripada menjadi selebriti sebelum habis mengaji. Jangan sekali-kali mencita-citakannya. Lebih baik, hindari lensa, hindari publisiti sebelum usia mencecah 30′an. Sibukkan diri dengan mengaji.
Menjadi selebriti itu bererti, di alam realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti. Jarang kerana hujah dan ilmu. Maka, kukuhkan dulu ilmu dan pengalaman, sebelum engkau menyerah leher kepada kehidupan yang berisiko tinggi itu. Hakikat menjadi selebriti agamawan, kesilapanmu dipertahankan peminat, kebenaranmu dicemburui lawan. Selamatkah dirimu, tanpa ilmu yg jitu?
Justeru, dalam banyak keadaan, rebutlah kelebihan menjadi insan bertaqwa yang tidak dikenali. Viral, trend, populariti, ia adalah ujian yg berat. Mengapa engkau dengan sengaja menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari berbaloi.
Setiap kali berpendapat, engkau boleh melapikkan ‘fatwa’mu dengan permohonan maaf dan meminta nasihat jua teguran. Tetapi agama mengkehendaki kita tawadhu’ dengan ilmu mendahului tawadhu’ dengan mad’u. Tawadhu’ dengan ilmu bererti kita membataskan diri daripada berkata-kata pada perkara yang kita tiada pengetahuan mengenainya.
Pengetahuan ialah apa yang kita pelajari, kita dalami, kita fahami. Bukan apa yang kita dengar, tidak sekali-kali sekadar meminjam apa yang orang kata. Jika salah, salah yang berkata, bukan salah kita yang meminjamnya.
Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:
من تكلم في الدين بلا علم كان كاذب، وإن كان لا يتعمد الكذب
‘Barangsiapa yang berbicara tentang hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira berdusta sekali pun dia tidak berniat untuk berdusta.’
Dek kerana bahayanya perbuatan memetik buah sebelum ranum, rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya. Jika dalam dunia masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui rancangan realiti masakan, kita pula risaukan ulama segera yang dihasilkan oleh rancangan realiti di kaca televisyen. Mendengar ceramah-ceramah alumni program realiti televisyen yang banyak itu, sungguh dukacita hati saya dibuatnya. Demikianlah akibat mensesiakan usia muda yang sepatutnya diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun berdakwah masih fardhu ain dalam rutin seharian masing-masing.
Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:
إِذَا تَصَدَّرَ الْحَدَث فَاتَهُ عِلْم كَثِير
“Apabila seseorang yang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh), maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak”
Mengapa tergesa-gesa beraksi di lensa, sebelum ilmu secara amanah disemat di dada? Lidah tidak bercabang, lancar berkata-kata, tidak selancar mata membaca dan akal memikirkannya. Jika televisyen mensyaratkan ada ASAS agama, maka ASAS itulah racunnya, kerana pada usia yang begitu muda, kalian sudah sibuk ke sana sini mengajar (kalau boleh dikatakan mengajar), bila masanya yang ASAS itu hendak ditambah, diperbaiki dan ditingkatkan?
Jika zaman belajar tidak rancak belajar, mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar. Kecuali ada penyakit yang direstui penyebarannya.
Dek besarnya bebanan berkata-kata di pentas ceramah, apatah lagi di depan lensa, saya sendiri lebih tenang menulis berbanding berceramah. Sebelum menulis, saya kena membaca dan punya ruang berfikir sebelum menyebarkannya.
Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku.
Semoga Allah ampunkan saya, bekas orang muda yang banyak bercakap, bakal orang tua yang kurang beramal. Sekadar berkongsi nasihat buat yang sudi.
(Dan amaran buat yang enggan bermuhasabah diri)
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (388) Pelawat
April 3, 2014
Pengkhianatan Ilmu di Pentas Ceramah
“Penceramah berceramah sesuka hati. Tidak berhati-hati dengan kesan percakapannya!” keluh Prof di dalam kelas. Saya termenung. Banyak kebenarannya. Saya sendiri sedang ada dua kaki, sebelah di dalam gelanggang akademik, sebelah lagi di gelanggang ceramah. Gelanggang yang sering menjadi sasaran kritikan para ahli akademik di universiti. Mungkin sikap kita yang kurang menghormati kebenaran, hingga kita cuai dalam meneliti butir percakapan. Prof Wan Kamal menegur sikap penceramah yang mengungkapkan makna Jahiliah pra perutusan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Wa’d al-Banaat (menanam mati anak perempuan), sejauh manakah ia menguasai imej zaman Jahiliah itu? Banyakkah? Hingga jadi fenomena massa. Demikian juga soal kejahilan masyarakat Arab Jahiliah, tidak berilmu, tidak bertamadun, yang kesemuanya bercanggah dengan apa yang dipaparkan oleh perincian sejarah. Saya menginsafi nasihat Prof. Dalam usaha keras saya untuk tidak terjebak dalam gejala tersebut, sekali sekala saya terbabas juga. Kemalangan orang banyak bercakap. ISU JUAL BELI TANAH PALESTIN
Teringat saya kepada satu contoh yang diberikan oleh Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab di dalam bukunya Fi Usul Tarikh al-Arab al-Islami (1993) berkenaan hal ini. Ia berkaitan dengan kedudukan bumi Arab di Palestin. Sheikh Shurrab menjelaskan isu tanah di Palestin mempunyai dua krisis, satu yang lama, kedua yang baru. Ada pun yang lama, adalah dakwaan Zionis bahawa Arab yang menduduki bumi Palestin hari ini adalah keturunan Arab yang ‘menawan’ Palestin dalam al-Fath al-Islami di era Umar al-Khattab. Tujuannya adalah untuk membuktikan bahawa Arab tidak berhak ke atas tanah Palestin kerana sebelum al-Fath al-Islami, kaum Yahudi sudah menduduki tanah itu sebagai penduduk asal. Manakala krisis baru pula, merujuk kepada propaganda yang disebarkan oleh Zionis sendiri pada tahun 1948 bahawa orang Arab di Palestin telah menjual tanah mereka kepada Yahudi dan sudah pun mendapat bayaran mereka. Tujuannya adalah untuk menyelitkan unsur mengaku salah kerana menceroboh di peringkat awal, tetapi kemudiannya sudah membeli tanah Palestin secara sah dan kerelaan. Ertinya orang Arab di Palestin itu berhijrah bukan daripada tanah milik mereka lagi sebagai MANGSA, kerana pertukaran hak milik sudah berlaku secara sah dan kerelaan hati. Fitnah di sebalik dakwaan ini adalah untuk menimbulkan permusuhan sesama orang Palestin dan di kalangan Palestin di kaca mata Arab dan Muslim lain, bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah hasil kesilapan dan kecuaian mereka sendiri. Mengaibkan saudara sendiri! Saya bermuhasabah. Saya juga pernah memetik kisah ini. Tentang jualan limau yang merosot. Penduduk Palestin kerugian. Mereka menjual tanah, mengabaikan larangan alim ulama. Dan bermulalah segala bencana di bumi Isra’ itu. Allah Allah! Ia dramatik. Sedap didengar. Namun sejauh mana kebenarannya? Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab menjelaskan kaedah disiplin Sejarah dalam melakukan sintesis ke atas isu yang tersebar luas ini. Saya fokuskan kepada krisis kedua. KAEDAH EMPIRIKAL Beliau menegaskan bahawa propaganda ini disuntik masuk oleh perisik Zionis dan tersebar melalui lisan kaum bijak pandai dan ahli fikir Arab sendiri, yang termakan racunnya. Dakwaan ini perlu dibuktikan secara empirikal dan rujukan adalah kepada dokumen-dokumen rasmi berkaitan urusan jual beli tanah Palestin yang wujud untuk dikaji. Hasilnya:
Jumlah keluasan tanah Palestin adalah sekitar 27 juta ekar
Jumlah tanah yang dimiliki oleh Yahudi hingga ke era Mandat British adalah 1,588,365 ekar iaitu sekitar 6.5% daripada jumlah keseluruhan Palestin
Jumlah tanah yang berpindah milik daripada orang Palestin kepada Yahudi tidak mencecah kadar suku juta ekar iaitu 1/8 daripada apa yang berjaya diperolehi oleh Yahudi
Adapun 7/8 bahagian berbaki yang berjaya dimiliki oleh Yahudi, ia terhasil melalui tiga sumber iaitu pemerintah Turki, Kerajaan Mandat British serta peniaga hartanah asing yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah atau kekeluargaan dengan penduduk Palestin. Kebanyakan mereka adalah golongan aristokrat Syria dan Lebanon.
Tanah-tanah lain yang jatuh ke tangan Zionis adalah rentetan pertumpahan darah antara penduduk Palestin, yang tidak sama sekali dengan sewenang-wenangnya membiarkan tanah air yang mulia itu dijual secara mudah. KEINSAFAN
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujuraat 49: 6]
Hal ini menginsafkan saya betapa rendahnya amanah ilmu semasa kita yang begitu mudah menerima atau menolak, tanpa memikirkan risiko ‘gebang’ kita dalam ceramah. Penceramah berceramah dengan sesedap bicara, tanpa meneliti kesahihan fakta, yang bukan hanya penting pada apa yang mahu disabitkan kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, tetapi terhadap apa sahaja yang namanya KEBENARAN! Itu FAKTA! FENOMENA ZAMAN BERZAMAN Seawal 1540’an, tokoh ensiklopedialist Muslim, Taşköprülüzâde Ahmet Efendi telah menyuarakan kegusaran beliau tentang kemerosotan nilai kesarjanaan di kalangan ilmuwan Dawlah Uthmaniyyah. Golongan agamawan tidak lagi berdamping dengan buku-buku teras, sebaliknya mengangkat diri mereka sebagai ulama’ hanya dengan selesai membaca kitab-kitab ringan dan sampingan. Mereka lebih cenderung kepada aktiviti-aktiviti populis seperti bersajak dan bersyair, berceramah dan bercerita. Malah kegiatan itu juga tidak lebih daripada sekadar mengejar habuan duniawi. Sedikit sebanyak pemerhatian Taşköprülüzâde itu juga terpalit kepada Imam Birgivi apabila beliau melihat Imam Birgivi sebagai seorang yang tidak kukuh kesarjanaannya. Masakan tidak, andaikata seruan Imam Birgivi kepada mematuhi al-Quran dan al-Sunnah serta menjauhi bid’ah itu menjadikan beliau terkait dengan tokoh seperti Ibn Taimiyyah, Imam Birgivi tidak membicarakan secara falsafah tentang idea-idea yang diseru. Beliau lebih tertumpu kepada mengemukakan saranan nasihat dan teguran kepada aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan oleh anggota masyarakat. Pemerhatian Taşköprülüzâde itu juga mempengaruhi pandangan Halil İnalcık tentang Imam Birgivi dan legasinya. Syukur Alhamdulillah, pembacaan lanjutan dan kajian terkini oleh ramai pihak memperlihatkan sebaliknya. Biar pun Imam Birgivi meninggalkan dunia kerjaya dan pusat akademik di Istanbul, lalu berhijrah ke Birgi sebagai pendakwah, seruan-seruan beliau di masjid-masjid tidak menggadai komitmen terhadap amanah ilmu. Imam Birgivi berada di lingkungan awam, bukan kerana menjauhi tuntutan kesarjanaan, tetapi mahu memposisikan dirinya sebagai da’i yang dekat dengan masyarakat, menyeru kepada yang ma’ruf dan menjauhkan ummah daripada kemungkaran yang membinasakan. Demikian juga Edward Said telah menyatakan di dalam karyanya Representations of the Intellectual tentang erti menjadi seorang sarjana. Golongan intelektual mestinya menyampaikan pemikiran tentang sesuatu perkara bukan hanya untuk sekadar ia dibentangkan, tetapi dapat digarap dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru golongan intelektual mestilah memposisikan dirinya secara merdeka daripada kecenderungan pemerintah atau mana-mana pihak yang berkepentingan. Justeru itu, saya bertekad untuk kembali ke kerusi pengajian. Mahu kembali memurnikan diri agar masyarakat tidak dimangsakan oleh keenakan bicara tentang agama yang semakin laku di sana sini. Saya cuba untuk tidak bersikap terlalu pesimis. Namun sikap saya mesti bersandarkan usaha. Doakan saya. Ampunkan saya ya Allah. Maafkan saya duhai umat semua. HASRIZAL 43000 BSPArtikel Ini Telah Dibaca Oleh (7437) Pelawat
April 2, 2014
Abi Memandu Mesin Teroka Masa Sempena Cuti Sekolah
“Abi, akak teringin sangat nak tengok, macam mana orang dulu-dulu kerja” kata Naurah.
“Kerja yang macam mana akak maksudkan?” saya bertanya.
Kereta kami bergerak perlahan-lahan dalam kesesakan jalan raya menuju tol Putra Mahkota.
“Ye lah, macam cerita Mr. Peabody and Sherman hari tu. Akak nak tengok macam mana orang dulu-dulu hantar mesej guna kain, kibas-kibas dekat asap. Kalau setakat dalam buku, tak fun rasanya” jelas beliau.
“Oh, macam itu. Ada. Abi yakin dekat Youtube mesti ada banyak dokumentari yang tunjukkan kerja-kerja macam yang akak cakap itu. Nanti abi carikan, Insha-Allah” saya menjawab.
“Itulah, kalau buka iPad, tengoklah Youtube. Google. Asyik main Minecraft sahaja!” dua jejaka menyampuk dari belakang.
Saya hanya ketawa. Tidak mahu menambah rencah.
Sudah lama saya tidak menulis di blog tentang hal-hal kekeluargaan. Tidak banyak yang mampu saya ceritakan.
Semasa cuti sekolah baru-baru ini, saya membawa keluarga bercuti ke Desaru. Tiada sebab yang spesifik mengenai Desaru, kecuali saya mahu mengambil peluang mengenal negeri Johor. Saya tiada saudara mara orang Johor. Hanya kenalan yang pada peringkat umur sekarang, sudah masuk ke peringkat no news is a good news.
Sesudah tiba di Desaru, barulah saya dan isteri melayari internet mencari maklumat untuk mengetahui daya tarikan utama di sekitar kawasan berdekatan. Sibuk dengan pelbagai tugasan, hingga tidak sempat buat homework. Banyak juga lokasi yang kami lawati seperti Ladang Burung Kasawari (Ostrich) di Sungai Rengit, Pengerang juga Taman Buaya di Teluk Sengat. Kedua-dua lokasi ini adalah yang terbesar dalam kategorinya di negara kita, namun kurang mendapat liputan. Kemudahan yang disediakan di sini juga bagus, pada menyertakan elemen pendidikan kepada anak-anak (dan ibu bapa mereka).
KOTA JOHOR LAMA
Namun, lawatan ke Desaru secara spesifiknya menjadi peluang yang saya ambil untuk melawat Kota Johor Lama, tidak jauh dari Taman Buaya di Teluk Sengat.
Kompleks Sejarah Kota Johor Lama yang kami lawati ini terletak di bawah penyelenggaraan Jabatan Muzium Malaysia semenjak tahun 1970. Sejujurnya, saya juga tidak tahu akan kewujudan kompleks ini. Papan tanda yang diletakkan di persimpangan tol Lebuhraya Senai – Desaru itu yang memberitahu kami akan kewujudannya. Keletihan oleh cuaca yang panas, hampir-hampir menyebabkan kami membatalkan hasrat, kerana saya tidak seronok masuk ke komplek sendirian, andai keluarga memilih untuk duduk sahaja di dalam kereta.
Tetapi isteri saya bersemangat mengajak.
Anak-anak juga mahu melawat.
Saya jadi teruja, dan kami langsung menuju ke kompleks berkenaan dalam gerimis hujan yang seperti turun untuk menyejukkan kepanasan sepanjang pagi.
Kota Johor Lama yang kami lawati ini terletak di tebing kiri Sungai Johor.
Saya sendiri sebagai murid sejarah, fokus kepada Dawlah Uthmaniyyah menyebabkan saya kurang arif, jauh sekali mahir, dengan sejarah tempatan. Kota Johor Lama ini signifikan, untuk memahami sejarah negara kita pasca kejatuhan Melaka 1511.
SEJARAHNYA
Sejarahnya bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. Baginda mendirikan kota ini, dan kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.
Paulo de Lima Pareira melaporkan bahawa dalam serangan yang dilakukan ke atas kota ini, Portugis memusnahkan langsung pusat pemerintahan Kota Johor Lama lalu dibakar dan Kota Batunya dimusnahkan. 800 pucuk meriam gangsa, emas, perak, dan lebih seribu buah perahu besar dan kecil dirampas. Menurutnya kapal yang membawa rampasan perang ini telah karam di perairan Indonesia. Sejak dari tarikh itu pusat pemerintahan di Tanjung Batu dengan Kota Batunya yang gagah tidak lagi dijadikan ibu negeri oleh sultan-sultan Johor yang berikutnya.
Kota Johor Lama terbiar buat seketika hinggalah zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1677-1685). Pada tahun 1678, Laksamana Tun Abdul Jamil Paduka Raja (bapa mertua Sultan Ibrahim) telah datang ke Johor Lama dari Siak dan membunuh Temenggong. Sultan Ibrahim telah cuba membina semula Johor Lama dan memindahkan pusat pemerintahan ke sana tetapi tidak tercapai kerana mangkat di Riau pada 16 Februari 1685. Kota Batu Johor Lama menjadi tempat bersemayan sementara Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Pada ketika itu pusat pemerintahan baginda terletak di Pasir Raja, Kota Tinggi (Kampung Makam sekarang). Selepas baginda mangkat, Kota Johor Lama tidak digunakan lagi.
Kegemilangan Kota Johor Lama di dalam sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Johor tidak boleh dipandang ringan. Ia pernah menjadi ibu negeri sebanyak dua kali iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah selama 24 tahun (1540-1564), dan pada zaman kemuncak kegemilangan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II selama 13 tahun (1574-1587).
Pada ketika ini yang wujud hanyalah tinggalan kota yang dipulihara berterusan. Kemakmuran dan kemegahan dan kemegahan kesultanan Melayu di Kota Batu (Johor Lama) musnah ditelan zaman. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perkampungan yang sunyi, tenang dan damai. [rujukan: http://www.jmm.gov.my/ms/kompleks-sejarah-kota-johor-lama]
KHUSYUK MENONTON
Isteri dan anak-anak saya khusyuk menonton video dokumentari yang disiarkan di dalam muzium di komplek berkenaan. Saya tidak tahu sejauh mana momentum ini boleh terus subur, namun saya benar-benar berharap agar sekurang-kurangnya ada seorang anak kami yang berminat dengan bidang sejarah, menjadi teman berdiskusi dengan saya di usia tua, agar tercegah dari nyanyuk dan berhabuknya perpustakaan rumah kami.
Akan tetapi, filem Mr. Peabody and Sherman yang kami tonton bersama, memberikan satu suntikan penting. Selain isu kebapaan oleh pemenang anugerah nobel hebat iaitu Mr. Peabody dengan anak angkatnya Sherman, filem animasi ini mengenengahkan latar belakang sejarah yang panjang dan menarik hingga anak-anak saya jadi teruja dengan bidang sejarah.
Selepas filem animasi Free Birds pada tahun 2013 yang memaparkan pembetulan zaman semasa adalah dengan ‘membetulkan kejadian sejarah’ yang agak konseptual untuk anak-anak, filem Mr. Peabody and Sherman ini memperkenalkan kepada kita King Tutankhamun di era Ancient Egypt. Bukan sahaja Penny, musuh (rakan) Sherman tercampak masuk ke era itu dan mahu mengahwini ‘King Tut’, beberapa maklumat sejarah tentang ritual serta kepercayaan di zaman itu turut diselitkan sama.
Kami juga mengembara menyertai Perang Trojan War menentang City of Troy, singgah ke era Renaissance Eropah di Florence bersama Leonardo da Vinci dan Monalisa. Perjalanan diteruskan lagi ke era Revolusi Perancis hingga ke zaman Reign of Terror dengan kelucuan-kelucuan bersama Maximilien de Robespierre yang dalam kehidupan sebenar, adalah seorang yang menggerunkan. Turut serta adalah sejarah American sendiri bersama Petersons, George Washington, Abraham Lincoln dan Bill Clinton.
PROGRAM SEKOLAH
Saya juga beberapa kali cuba memenuhi undangan beberapa pihak untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar sekolah menengah dengan topik khusus berkaitan sejarah. Sehari sebelum bertolak ke Desaru tempoh hari, saya telah menyampaikan sebuah ceramah di Sekolah Menengah Sains Banting dengan tajuk “Sejarah: Pengembaraan Sains Forensik Masa”.
Saya cuba untuk memperlihatkan kepada pelajar sains, bahawa sejarah sebenarnya adalah sebuah sains. Saya gunakan istilah forensik masa kerana sejarah itulah adalah sebuah sains yang menyiasat serta menganalisa maklumat lepas. Ia saya sampaikan dalam bentuk sebuah pengembaraan agar elemen adrenaline boleh dicetuskan serba sedikitnya.
Teringat saya kepada anak-anak, apabila ditanya “ayah awak kerja apa”, mereka menjawab, “Abi kerja Indiana Jones.”
Dalam tekanan saya menyiapkan disertasi, kepala turut ligat menyusun idea, untuk memperkenalkan Mu’arrikhūn Club, sebagai Kelab Sejarah untuk aktiviti ko-kurikulum di Khalifah Model Secondary School.
Kemenangan sahabat saya, Fatih Kayacan dalam pilihanraya kerajaan tempatan di Bolvadin baru-baru ini juga, membuka jalan kepada perancangan kami, menggerakkan program kerjasama antara Bolvadin dengan Malaysia. Antaranya adalah program pertukaran pelajar antarabangsa antara pelajar Khalifah Model Secondary School dengan pelajar di sekolah-sekolah sekitar Bolvadin dan Afyon.
Moga ia impian dan perancangan, bukan sekadar angan.angan.
Masih banyak usaha yang diperlukan untuk membumikan ilmu sejarah.
Nampaknya, mahu bercerita tentang keluarga pun, akhirnya jadi artikel sejarah juga.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (64) Pelawat
Merawat Sebuah ‘Tidak Faham’
Pengalaman saya sebagai murid, apabila saya tidak faham sesuatu, saya akan perhatikan keliling saya, adakah saya seorang yang tidak faham, atau kebanyakannya tidak faham belaka. Jika saya dapati ada yang mampu memahami apa yang sedang diajar, saya akan cari jalan supaya saya boleh faham ia. Adakalanya sesuatu yang saya hendak faham itu, memerlukan saya faham banyak benda lain terlebih dahulu.
Misalnya, saya pernah belajar tentang sekularisme di dalam silibus usrah dan buku-buku karangan tokoh gerakan Islam. Tetapi apabila buku The Prince karya Niccolò Machiavelli yang ‘disembelih’ di dalam usrah itu saya baca, saya sukar memahaminya. Apabila membaca buku Islam and Secularism oleh Syed Muhammad al Naquib al-Attas, saya tidak memahaminya.
Saya tidak mengecam al-Attas mahu pun Machiavelli kerana menulis sesuatu yang saya tidak faham, jauh sekali meremehnya sebagai karya ‘syok sendiri’.
Saya menyambung pelajaran, masuk ke bidang sains sosial, belajar sejarah Eropah. Ambil tahu, asalnya bagaimanakah latar belakang sejarahnya hingga muncul buku Niccolò Machiavelli, kemudian menelusinya melalui buku yang pro dan kontra sebelum sampai kepada berusaha memahami kembali karya al-Attas. Kini saya tidaklah faham sepenuh-penuhnya, tetapi saya sudah tahu bagaimana hendak mengungkaikan apa yang saya tidak faham.
Saya peruntukkan masa beberapa tahun untuk menyelesaikan apa yang saya tidak faham, tidak tergesa-gesa tetapi tidaklah pula bersantai-santai.
Biar pun contoh yang saya kongsikan di atas berbeza-beza madah bagi setiap kita, jalannya tetap sama. Apabila kita tidak faham sesuatu, jangan kita ambil jalan mudah dengan meminta kita difahamkan di kerusi sandar.
Sebaliknya kita tanyalah diri kita mengapa kita tidak faham? Apa yang kita belum tahu hingga kita sukar hendak faham. Maka soalan yang bernas ialah, “bagaimana untuk saya memahami topik ini?” dan bukannya secara spontan segera berkata “maaf saya tidak faham. Tolong jelaskan!”
“Dunia hari ini berhadapan dengan masalah dalaman manusia lebih dari masalah luarannya” kata seorang warga Twitter.
“Maaf, saya tidak faham. Tolong explain” balas seorang lagi warga Twitter, kurang 5 saat daripada Tweet di atas dipos.
Soalan kita banyak menampakkan adakah kita sedang cari makan, atau sedang makan bersuap.
Dalam banyak keadaan, kita sering menjadi mangsa sebuah KEMALASAN.
FIKIR itu adalah ‘jurang sepi’ antara soalan dengan respon. Jika dengar soalan terus respon, tandanya tiada proses berfikir yang dijalankan.
Malas berfikir adalah dosa.
Bencana tabiat inpulsif dalam dunia semasa.
HASRIZAL @ 43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (9853) Pelawat
March 27, 2014
Jenayah Akademik Aktivis Dakwah Kampus
Petikan buku Tak Kenal Maka Tak Cinta, terbitan PTS (pembelian, klik di sini)
“Insha-Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita” kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.
Jika kamu tolong Allah, Allah tolong kamu… adalah inti pati janji Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [Muhammad 47:7]
Namun, mengimplimentasikan janji dalam sebuah medan tempur pedang, panah, nyawa dan darah, ke medan tempur buku, nota, pena dan laptop, boleh menjerat diri.
DULU-DULU
Dulu-dulu saya pernah membaca sebuah majalah yang al-Arqam di Jordan terbitkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama Abuya, murshid jemaah beliau, lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!
Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.
Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.
Ini baru betul intima’ dan wala’ namanya.
Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.
Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an, membawa ke awal 90′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.
HARI INI
Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.
Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terdedah untuk terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.
Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?
Tentu sahaja tidak.
Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, Facebook, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!
Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.
‘ESCAPISM’
Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?
Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.
Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.
Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.
Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.
Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.
ALASAN
Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!” kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.
Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.
MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’
Sebagai analogi, kita bayangkan tuntutan akademik itu seperti ayam masak merah dalam cerita berikut:
Ayam masak merah. Kredit foto: cateringexpert.com.my
“Abang nak makan ayam masak merah” kata seorang suami kepada isterinya.
Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.
“Nah, makan” kata sang isteri.
Terkulat-kulat suami mengunyah.
Dalam satu kejadian yang lain, lelaki yang sama memanggil pembantu rumahnya, “Supriani, bapak mahu makan ayam masak merah!”
Lalu si Supriani pergi ke dapur, digorengnya ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.
Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Supriani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.
Sifirnya mudah.
Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan yang Latīf, memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik.
Optimum.
Itqan.
Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada hablun min Allah!
Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.
Lupakah kita kepada firman Allah SWT:
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.[Al-Qasas 28 : 26]
Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.
Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.
KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA
Setuju.
Saya setuju 100%.
Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.
Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.
Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan, Insha-Allah.
Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!
Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!
Lebih membimbangkan, kelemahan penguasaan ilmu, dan upaya pemikiran kritis yang rendah, boleh menjadikan seorang penceramah bebas itu seorang Ruwaybidhah, sang safih yang dungu dan tidak malu mempamerkan kedunguannya dalam mengatur urusan ramai.
AKIBAT LEMAH AKADEMIK
Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.
Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.
Syariatullah…
Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.
“Ustaz, apa hukumnya zakat tabungan KWSP?” tanya seorang jemaah di surau.
“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.
“Err… saya rasa tak payah kot!” jawab si ustaz ala-ala mujtahid.
Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tidak buat homework, bila berceramah pun tidak buat homework.
Itu jenayah terhadap Syariatullah.
Sunnatullah…
“Err, pesakit diabetik ini nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.
Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.
Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.
Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?
Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.
Mencetus mudarat..
Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!
Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?
ALLAH MESTI TOLONG
Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.
Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.
“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!” yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.
Cuba perhatikan firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]
Allah SWT berjanji akan membantu.
Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.
TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIK (komited dengan Syariatullah) malah SAINTIFIK (komited dengan Sunnatullah).
Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!”
Tidak sama sekali.
Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda sallallahu alayhi wa sallam sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.
Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda sallallahu alayhi wa sallam telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.
Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda sallallahu alayhi wa sallam tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.
Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.
Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.
BERLATIH MENGURUSKAN REALITI
Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.
Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.
Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.
Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.
Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.
Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.
TAMRIN DISIPLIN
Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.
TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN.
Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.
“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]
Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.
Berdisiplinlah!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (119) Pelawat
March 13, 2014
Apabila Ada Jawapan Untuk Semua Soalan
Dalam program di Masjid Tengku Kelana Petra semalam, saya menyampaikan rumusan buku Tsaqafah al-Da’iyah karya Sheikh Yusuf al-Qaradhawi. Di dalam sesi soal jawab ada beberapa isu menarik yang timbul. Antaranya ialah:
Keluhan tentang kuliah-kuliah maghrib yang kosong, penceramah bercakap kosong dan tiada ‘learning outcome‘ yang jelas daripadanya.
Artis-artis berhijrah bercakap tanpa asas ilmu.
Saya cuba berkongsi beberapa pendapat berkenaan persoalan yang ditimbulkan itu.
KULIAH MAGHRIB BUANG MASA
Cuba patuhi peraturan supply and demand. Jemaah gunakan kuasa demand untuk memberi tekanan kepada penceramah agar bercakap secara lebih berhemah dan berisi. Jawatankuasa masjid, spesifikkan skop. Ada surau yang untuk tazkirah Ramadan, mereka menetapkan tajuk yang diminta agar ustaz mengupasnya. Jika tidak dispesifikkan, 20 malam, 20 penceramah menghuraikan ayat 183 Surah al-Baqarah secara sama isinya, atau sama-sama tidak berisi.
Di Singapura ada masjid yang dikelas-kelaskan theme dengan fokus kepada subjek tertentu sebagai . Justeru kebanyakan ceramah dan aktiviti di masjid berkenaan akan mengikut theme yang telah ditetapkan. Masyarakat pun tahu, jika mereka mahu mencari pengisian tentang subjek tertentu, masjid manakah yang mereka hendak tuju.
Pada masa yang sama, para penceramah perlu lebih ada akauntabiliti di hadapan Allah agar tidak mensesiakan masa dan komitmen masyarakat. Buat homework, jangan mereka-reka pengisian hanya semasa dalam perjalanan menuju ke surau. Kalaulah penceramah tahu, apa yang diumpatkan oleh masyarakat tentang merepeknya pengisian mereka, tentu masing-masing akan berusaha mengelakkan diri daripada menjadi maksud hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam, “jika sudah tiada malu, buat sahajalah apa yang kamu mahu”!
BERCAKAP TIDAK BERASASKAN ILMU
Hakikatnya bukan artis sahaja yang bercakap begitu.
Kita semua begitu.
Ia adalah perangai yang rata-rata wujud dalam masyarakat.
Semua benda nak cakap, semua benda nak komen.
Jika semua orang membataskan diri, bercakap hanya berkenaan perkara yang ia ada ilmu mengenainya, tentu lebih aman, lebih senyap dan lebih mendekatkan kita kepada Syurga Allah. Cuma artis lebih kelihatan sebab mereka public figure.
Untuk memanfaatkan pengalaman hijrah artis, tanpa terbabas dalam keterbatasan, Kerajaan Kelantan semasa menganjurkan Bicara Selebriti, mensyaratkan sekurang-kurangnya seorang panelis mesti agamawan.
Saya juga sedang melatih diri dalam konteks ini. Jemputan-jemputan media, atau badan korporat yang meminta saya berbicara tentang satu topik yang saya tiada ilmu mengenainya, saya tolak secara baik dan memaklumkan apakah skop topik yang boleh saya usahakan.
Ada beberapa tajuk lain yang keluar tetapi saya tidak ingat.
KISAH TOK GURU DENGAN BUDAK MUDA
Pengerusi Masjid, semasa mempengerusikan sesi telah berkongsi cerita menarik.
Katanya ada seorang budak muda mahu mengaji dengan seorang Tok Guru. Tok Guru itu mengajak budak berkenaan berjalan-jalan dengannya.
Semasa lalu di ladang anggur, Tok Guru itu bertanya, “buah apa tu?”
Kata budak muda, “buang anggur.”
Tok Guru berkenaan bertanya lagi, “tuan dia bolehkah makan buah anggur tersebut?”
Budak muda menjawab, “tentulah boleh. Jika tidak, masakan dia tanam pokok anggur tiu”
Kemudian mereka melintasi keramaian yang sedang menguruskan kematian. Tok Guru bertanya, “ada apa itu?”
Budak muda itu menjawab, “ada kematian”.
Tok Guru berkenaan menyoal, “mayat tu hidup atau mati?”
Dengan perasaan jengkel terhadap soalan mengarut ‘orang tua’ ini, budak muda tersebut menjawab, “tentulah dia sudah mati!”
Kata Tok Guru berkenaan, “baliklah. Pergilah belajar dengan orang lain. Aku tidak boleh mengajar kamu. Kamu tidak boleh belajar dengan aku!”
Budak muda itu terkejut.
Mengapakah reaksi Tok Guru berkenaan begitu?
Kata Tok Guru, “apakah engkau ingat aku bodoh bertanyakan engkau tentang anggur itu? Yang aku maksudkan, adakah peladang anggur itu pernah meminjam wang untuk membuka ladang, adakah dia sudah membayar hutang, membayar zakat? Jika dia belum menyelesaikan semua itu, dia tidak boleh makan anggur tersebut”
Katanya lagi, “apakah engkau ingat aku ini bodoh, bertanyakan mayat itu hidup atau mati? Maksudku, jika mayat itu ada anak soleh, mayat itu akan hidup kerana amal yang ditinggalkannya, melalui anaknya yang soleh itu”
Sesungguhnya…
Apabila engkau hai anak muda, ada jawapan untuk semua soalan, engkau tidak cukup syarat untuk menjadi penuntut ilmu. Engkau tidak cukup telinga, untuk mendengar sebelum berkata. Tanda dunia ini dibelenggu kebodohan, apabila hidup kita dibingitkan oleh pendapat dan komen semua orang dalam semua perkara.
Bawa-bawalah diam.
Banyak-banyakkan berfikir, berzikir, membaca dan memahami.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (31) Pelawat