Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 54

January 29, 2014

Kembali Semula ke Turki: IBA Summer School

iba-01


“Hasrizal?” tanya dua anak muda itu.


“Ya saya. Terima kasih kerana menyambut saya” saya menghulurkan tangan untuk bersalam.


Iyi bayramlar” saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka berdua.


Türkce biliyormusunuz?” mereka bertanya.


Adakah saya boleh berbahasa Turki?


Yok. O kadar biliyorum” saya menafikannya. Itu sahaja yang sebenarnya saya tahu.


Mereka ketawa.


Alhamdulillah.


Penerbangan Turkish Airlines malam tadi agak mengharukan. Malaysia masih dalam mood Aidilfitri. Tetapi saya pada hari raya ke-3, sudah terpaksa meninggalkan keluarga selama hampir sebulan untuk ke Istanbul.


Saya menerima tawaran untuk menyertai Summer School di Istanbul selama tiga minggu. Ia dianjurkan oleh Istanbul Bilimler Akademisi (IBA) dengan kerjasama Yunus Emre Enstitut serta Istanbul Medeniyet Universitesi.


iba-02


Saya tidak menyangka yang saya boleh terpilih. Program ini hanya menyediakan 20 kerusi penyertaan bersama pembiayaan biasiswa untuk semua perbelanjaan di Turki. Asalnya ia dibuka hanya untuk pelajar Amerika Syarikat. Tetapi tiba-tiba penyertaannya dibesarkan kepada pelajar daripada seluruh dunia. Mungkin kerana rusuhan di Gezi Park menyebabkan penganjur sukar mendapat peserta dari USA.


Saya menghantar permohonan betul-betul pada tarikh akhir penyertaan. Berdoa kepada Allah agar peluang ini berhasil, kerana mahu mengejar khasiatnya yang mungkin datang sekali seumur hidup.


Di dalam kursus ini kami diberi peluang mengikuti kursus secara intensif mempelajari Bahasa Turki Uthmaniah (Osmanlı Türkçesi) iaitu bahasa Turki klasik yang ditulis di dalam huruf Arab, seperti mana yang digunakan oleh Daulah Uthmaniah, sebelum penggugurannya pada tahun 1928. Kursus ini juga akan menyediakan bengkel intensif untuk beberapa tajuk teras bagi kajian Sejarah Uthmaniyyah.


Murid tua.


Terlanjur usia.


Mengapa harus mereka memilih saya?


Tetapi saya beranikan diri memohon, dengan keyakinan kajian di peringkat sarjana saya penting bukan hanya untuk kami di Malaysia yang jauh dari dunia Uthmaniyyah, tetapi untuk Turki juga. Saya masih ingat, penyelia ada memberikan satu perspektif yang valid untuk dipertimbangkan.


“Anta nak jadi pakar Dawlah Uthmaniyyah, di Turki pun sudah berlambak pakar. Ana rasa anta mesti letakkan sasaran untuk menguasai sejarah wilayah kita, mungkin berkaitan dengan Uthmaniyyah, demi memposisikan diri dalam dunia akademik dengan baik” kata Ustaz Ezad semasa saya meminta tanda tangan sokongan beliau.


Betul juga.


Saya akur kepada nasihat itu.


Walaupun begitu, saya melihat kajian tentang sejarah Dawlah Uthmaniyyah di Turki sendiri, ada kekurangannya. Antara aspek yang masih memerlukan banyak penerokaan adalah Sejarah Pemikiran. Mengambil seorang tokoh, lalu dikaji pemikirannya dan dibina pensejarahan berasaskan kepada pemikiran tersebut. Sahabat saya Ahmet Kaylı, di dalam tesis sarjana beliau bertajuk A Critical Study Of Birgivi Mehmed Efendi’s (D.981/1573)Works And Their Dissemination In Manuscript Form, menyatakan bahawa intellectual history masih merupakan cabang pengajian yang asing di jabatan-jabatan sejarah Turki.


Sebab itulah, mengkaji pemikiran Imam Birgivi, bukan hanya penting untuk disertasi saya, malah membantu mengisi kelompangan ilmu di Turki sendiri.


“Kita naik bas ini menuju ke asrama penginapan, ya” jelas wakil IBA yang menyambut saya.


“Ada peserta lain yang perlu diambil hari ini?” saya bertanya.


“Jika di Lapangan Terbang Atatürk, tiada. Ada seorang sudah tiba semalam dari Los Angeles. Beberapa yang lain akan tiba lewat malam ini” jawabnya.


“Inshaallah” saya membalas.


“Inshaallah” beliau tersenyum.


Saya rasa agak kekok. Saya sudah datang ke Istanbul dan Turki sendiri lebih 20 kali. Berdasarkan maklumat penginapan yang telah diberikan, rasanya saya boleh pergi sendiri sambil menikmati udara segara fajar bumi Khilafah ini. Tetapi saya rasa malas. Terasa mahu dimanjakan. Ambil sahaja dari lapangan terbang. Beg saya pun berat!


Selat Bosphorus indah disimbah cahaya mentari keemasan yang baru hadir bersama sebuah hari yang baru. Hari yang penuh kebaikan bagi yang rajin berusaha. Hari yang memendekkan usia bagi yang hanya bersila melambai masa.


Trafik pagi Ahad memang mendamaikan. Tiada banyak kenderaan.


“Apa khabar semua di rumah? Abi doakan Umi dan anak-anak semua dalam keadaan baik. Abang sudah selamat sampai di Istanbul. Sekarang dalam perjalanan menuju ke hotel penginapan”


Saya menghantar sms kepada isteri.


Besar pengorbanannya. Februari lalu beliau melepaskan saya ke Turki untuk mengkaji tentang Imam Birgivi. Kali ini sekali lagi pengorbanan yang sama diberikan. Semoga Allah merahmati isteri saya dan memelihara kami sekeluarga.


Sepatutnya kami menginap di Adile Sultan Kasrı iaitu sebuah istana kurun ke-19 yang didedikasikan untuk Mihrişah Valide Sultan, bonda kepada Sultan Selim III. Tetapi saya dimaklumkan bahawa istana berkenaan telah ditutup untuk renovasi. Maka kami akan menginap di sebuah rumah penginapan guru pelatih di dalam kompaun istana berkenaan iaitu di Validebağ Öğretmenevi.


Saya telah diberikan bilik 405 dan kami juga difahamkan yang kami akan berkongsi bilik dengan seorang lagi peserta program. Satu bilik, dua orang.


Siapa agaknya yang bakal menjadi rakan sebilik saya?


Timbul rasa berdebar kerana ia sebenarnya pengalaman pertama saya menyertai sebuah program yang pesertanya datang dari seluruh dunia, berbilang bangsa dan agama. Tentu sahaja ada cabaran-cabaran sosial yang memerlukan kecekapan dan TAQWA yang tinggi untuk mengendalikannya. Cabaran yang sepatutnya dialami oleh remaja 20′an. Bukan bapa budak anak empat seperti saya ini.


Bilik masih kosong.


Saya dapatkan katil yang dekat dengan sumber elektrik kerana setiap malam rutin saya adalah mengecas beberapa gajet. Macbook, Ipad, telefon, Powerbank, saya penagih elektrik.



Aug 11, 2013 | Keeking from Istanbul. Safely landed. 3 weeks, for Ottoman Culture and History Summer School #istanbul by hasrizalabduljamil on Keek.com


Barang-barang juga saya susun dengan sebaiknya. Saya bercerita kepada isteri bahawa semasa zaman saya bujang-bujang dahulu, bilik saya adalah bilik yang sangat kemas. Saya tidak boleh tidur kalau almari plastik untuk baju saya itu tidak dizip hingga ke atas dengan sempurna. Pen, remote tv dan radio, ketayap, kunci, semuanya ada tempat tetap untuk mereka bermalam.


“Habis tu, kenapa sekarang jadi penyemak?” tanya isteri saya.


“Sebab abang bahagia” saya menjawab.


Mencampak barang di sana sini, memberikan rasa bahagia bagi lelaki middle age seperti saya. Setelah seluruh hidup di pejabat, di jalanraya, di pasaraya, di masjid, semuanya kena patuh dengan pelbagai peraturan, di rumahlah tempat sang suami melepaskan keletihannya. Berehat, tak payah fikir peraturan.


“Teruklah kalau macam tu!” balas isteri saya.


“Sebenarnya tidak semak pun. Kesemua barang abang, dicampak ke tempat-tempat yang spesifik. Ia adalah structured mess!” saya berfalsafah.


Structured mess?” terkejut isteri saya mendengar istilah tersebut.


Tetapi pagi ini, tidak bolehlah semak. Malu saya kepada rakan sebilik nanti. Maka terpaksalah saya kembali menyusun semua barangan dengan teratur. Termasuk toiletries  di bilik air.


iba-00


Wajah isteri dan anak-anak segera menerjah fikiran. Melepaskan mereka di KLIA malam tadi, hati saya berbelah bagi. Inilah susahnya hendak menuntut ilmu dalam keadaan sudah berumahtangga. Kita sayangkan keluarga. Namun rutin belajar tidak dapat menghalang kita daripada bermusafir. Menyelami kesukaran emosi melakukan hal-hal ini, saya selalu berpesan kepada anak muda supaya jangan cepat sangat bernikah, kalau menuntut ilmu diambil bukan sekadar menghabiskan silibus.


Kena mengembara.


Kena meneroka.


Kena tidur di masjid.


Kena tidur dalam bas.


Kita mungkin gagah. Tetapi tidak semestinya buat isteri dan anak-anak.


Dalam merenung hal berkenaan, saya terlelap.


RAKAN SEBILIK TIBA


“Alo!” seseorang memanggil dari luar.


Saya terbangun. Astaghfirullah, lama pula tertidurnya. Jam sudah pukul 12 tengah hari.


“Ya, silakan” saya membuka pintu.


“Hai, saya Eric” seorang anak muda berdiri di hadapan pintu.


“Saya Rizal. Silakan masuk” saya mempersilakan beliau masuk ke bilik kami.


Rakan sebilik saya adalah Eric David Halsey. Beliau adalah warga Amerika Syarikat dan merupakan pemegang biasiswa Fullbright.


“Awak tiba dari USA?” saya bertanya.


“Oh, tidak. Sebenarnya saya kini menetap di Bulgaria. Saya mengajar Bahasa Inggeris sambil menyelesaikan kajian saya di Sofea” kata beliau.


Kami berbual seketika dan saya memberitahu Eric supaya selesakan diri di bilik ini. Nampaknya beliau seorang anak muda yang tertib. Tetapi barangnya sangat banyak. Sulit sekali hendak menyusunnya.


Eric berasal dari Washington DC.


“Oh tidak, saya tertinggal wayar Macbook Pro saya di hotel” Eric merungut.


“Saya juga menggunakan Macbook Pro. Awak boleh pakai sahaja wayar ini” saya menawarkan bantuan.


“Walau macam mana pun, sudahnya saya perlu juga mendapatkan wayat tersebut. Adakah ia masih berada di hotel?” beliau yang berpeluh-peluh dan muka merah seperti udang terbakar mengipas-ngipas diri dengan naskhah surat khabar.


“Pakai telefon saya, dan hubungi hotel berkenaan” saya cuba untuk membantu.


“Terima kasih” Eric menerima pelawaan saya.


Selepas mendapat pengesahan hotel bahawa wayar itu masih ada, Eric mengambil keputusan untuk pergi semula ke Taksim, lokasi hotel berkenaan. Letih juga sebenarnya. Saya juga mengambil kesempatan untuk ke kedai di hadapan rumah penginapan kami, untuk mendapatkan bekalan air minum dan sedikit snek.


iba-03


Malam itu, semua peserta berkumpul untuk makan malam. Buat pertama kalinya kami semua saling berkenalan. Nyata, saya wakil tunggal dari Malaysia. Bersama saya, adalah rakan-rakan peserta daripada Finland, Itali, Jerman, Sepanyol, Bulgaria, Greece, Indonesia, USA, Kanada, United Kingdom, Morocco, Mesir, Pakistan, Algeria dan Ethiopia.


Sungguh mengagumkan, untuk saya melihat para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada anak muda pelbagai latar belakang bangsa, agama dan pendidikan, mempunyai minat yang begitu mendalam kepada Daulah Uthmaniah. Sebahagiannya sudah boleh bertutur di dalam bahasa Arab, mula mempelajari bahasa Turki sebagai ‘bayaran’ untuk mendapat ‘ilmu’.


Buat masa ini, saya menghadkan kajian saya berkenaan Imam Birgivi kepada Tariqah Muhammadiyyah. Ia ditulis di dalam bahasa Arab dan saya tidak mendapat banyak kesulitan untuk memahami teks buku berkenaan. Tetapi untuk kajian lanjutan, kebanyakan syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah adalah di bahasa Turki Uthmaniyyah. Maka mahu tidak mahu, saya mesti memaksa diri mempelajari bahasa Turki moden, dan juga bahasa Turki Uthmaniyyah.


Saya tidak mempunyai kemewahan peluang untuk mempelajarinya secara sepenuh masa di Turki. Kursus tiga minggu inilah pelaburan yang mudah-mudahannya diberkati Allah.


Biar pun program ini, bukan program agama, saya bermohon kepada Allah agar ia menjadi tempat saya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu alat bagi menjayakan sebuah jihad ilmu.


Usai solat Isyak’, kami semua tidur, tidak berlengah lagi.


Menunggu ketibaan hari pertama sekolah!


Bismillah.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 


 


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (42) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2014 08:23

Pelajar ‘Radikal’ Penulis Buku Cinta?

simposium


“Imad, jom kita ke seminar di İLEM” saya mengajak.


Imad agak berdukacita kerana tidak dapat menyertai kembara kami menjejak Imam Birgivi. Beliau, seorang expatriat muda Malaysia di Istanbul, sibuk mengendalikan urusan perniagaannya di bawah jenama Jejak Uthmaniyyah. Baguslah.


Sebelum ini saya hanya ingat kepada nama Izham Istar, anak Malaysia yang akhirnya bermastautin tetap di Turki. Kali pertama saya terserempak dengan beliau adalah di Sultanahmet sekitar tahun 1995 atau 1996. Jika tidak silap saya, beliau juga berasal dari Perak dan kami sempat berbual seketika di tepi tramvay sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Sudah tentu, Jejak Uthmaniyyah boleh membuka ruang yang lebih luas dalam semangat sinergi untuk perkembangan bisnes antara Malaysia dan Turki.


Tetapi, terpaksalah berkorban.


Tambahan pula pada masa ini, kebanyakan universiti bercuti. Saya juga terkejut dengan lambakan mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dari Mesir, Jordan, Rusia, UK, datang berduyun-duyun bercuti ke Turki. Macam-macam karenah mereka. Halim dan Ammar pun serabut.


“Saya pening melayan mereka, ustaz. Marah-marah kita, hendak ini, hendak itu. Takkan dengan bayaran se’choet’ itu pun, mereka sudah jadi bos memperhambakan kami” Halim menyuarakan rasa geramnya.


Beliau penat dengan karenah pelajar Malaysia yang beliau bawa sebagai tourist guide.


“Pelajar Malaysia, memang macam tu, Halim. Ada kamera, kena angin Eropah sejuk-sejuk tu tiup sikit, keluarlah habis gedik ‘gelenyar’ mereka. Sebab itu ana tak suka jalan beramai-ramai ke Turki masa dulu. Itu, belum jadi datin tu. Kalau dah jadi datin, mungkin cermin mekap dia pun anta kena pegangkan” saya mengomel.


“Sabar, ustaz. Sabar” Halim ketawa.


Imad, Halim, Arif, Syafiq dan ramai lagi pelajar Malaysia pergi bersama-sama ke İLEM di Üsküdar. Di sana, sedang berlangsung Uluslararası Medeniyet’i Anlamak Sempozyumu atau International Symposium Between Glorification And Denial Civilization Debate anjuran İstanbul Büyükşehir Belediyesi. Simposium ini diadakan sempena memperingati dua tokoh pemikir di dalam ketamadunan Islam iaitu Roger Garaudy ve Ahmed bin Bella.


KEISTIMEWAAN ISTANBUL


Inilah keistimewaan Istanbul sejak dahulu lagi.


Sepanjang tahun, Istanbul sentiasa dipenuhi dengan wacana-wacana ilmiah seperti ini, mencakupi pelbagai topik dan isu. Seminar ini menjadi rutin mahasiswa mahasiswi prihatin untuk menghadirinya, kerana ia merupakan sumber ilmu pengetahuan dan kemas kini kajian terkini yang amat berguna. Ia bukan seminar yang diadakan sekadar untuk membentang kertas kerja ringkas, bagi mengejar KPI. Ia adalah kegiatan ilmu yang teguh.


Rugi benar jika Sabtu dan Ahad, pelajar kita di Turki berguling-guling di dalam selimut.


Ini adalah kekuatan besar kerajaan Turki semasa. AKP biar pun membawa pendekatan yang berbeza daripada Refah atau Fazilet di era Erbakan, ia masih meneruskan tradisi yang sama iaitu pembudayaan ilmu. Recep Tayyib Erdoğan dikelilingi oleh para intelektual yang pakar dalam bidang masing-masing selaku penasihat untuk memberikan saranan terbaik bagi beliau dan jemaah kabinetnya bekerja.


Saya juga ada satu lagi sebab yang penting mengapa saya mahu hadir ke simposium ini, walaupun hari ini adalah hari penutupnya. Penat pulang dari Birgi dan Ankara pun belum hilang. Selepas memeriksa di internet, saya teruja apabila mendapati seorang lagi ağabey saya yang serumah dengan Cenksu, Said, Adnan dan Hasan, iaitu Mustafa Demirci.


Kini Profesor Dr. Mustafa Demirci.


KISAH DAHULU KALA


Dulu kami kawan bergaduh. Saya selalu bergaduh dengan Abi Mustafa sebab beliau suka bertanya soalan kepada saya, dan baru sahaja saya mahu memberi jawapan, beliau sudah memotong perbualan dan bertanya soalan yang lain atau bertukar topik.


“Kalau tak mahu dengan jawapan, jangan tanya soalan. Marah ni!” saya mengamuk sambil mengunyah kuaci di suatu malam di Amman dulu.


“Hahaha!” kami ketawa.


Marah yang tidak berbaloi.


Semasa di Jordan, Abi Mustafa datang untuk belajar bahasa Arab dan mengumpul bahan kajian untuk tesis PhD beliau. Anak Konya ini menulis tesis Abbasiler Zamanında Toprak Sistemi yakni Sistem Pengurusan Hartanah Era Abbasi. Beliau banyak mengajar saya cara membaca sumber-sumber sejarah bagi Dawlah Abbasiyyah.


Abi Mustafa sangat kuasa semangat Refahnya ketika itu.


Dan kerana itu, perbualan kami sering panas.


Apabila biasiswa saya digantung akibat fitnah yang dimainkan oleh pegawai bertugas pada masa itu, Abi Mustafa berdiri sambil mengepal-ngepal tangannnya kerana geram.


“Tak perlu bergaduh. Hasrizal perlu dibantu dengan wang. Bukan cermin pecah” kata Cenksu.


Pada tahun 1998 juga, saya pernah ke Konya dan menginap di rumah Abi Mustafa. Adik beliau, yang saya juga sudah tidak berapa ingat namanya, melayan kami berjalan-jalan di Konya.


Kini Abi Mustafa sudah bertaraf Profesor. Beliau mengajar di Jabatan Sejarah, Fakulti Kesusasteraan, Universiti Selcuk di Konya. Gembiralah beliau kerana hajatnya yang disebut sejak dahulu, tercapai. Beliau mahu pulang ke kampung. Beliau tidak suka dengan kehidupan di Istanbul.


Semasa tinggal di Istanbul untuk melunaskan PhD beliau, saya masih teringat kepada cerita bagaimana isteri Abi Mustafa, seorang guru, hidup dalam keadaan yang tertekan disebabkan oleh larangan berhijab di premis sekolah. Awal pagi, Abla akan ke sekolah mengikut pagar belakang dan duduk kawasan sekolah hingga lewat petang. Apabila kawasan sekolah sudah tidak ramai manusia, Abi Mustafa akan mengambil isterinya di pagar belakang membawa beliau pulang.


Argh… zaman itu.


Zalim.


Dungu.


Tiada yang lebih dungu daripada sekularis Turki.


“Assalamualaikum!!!” saya memberi salam kepada Prof. Dr. Mustafa Demirci.


“Waalaikum al-Salam. Ohoho… Presiden Parti Islam Malaysia. Mari sini, saya nak peluk kamu!” Abi Mustafa meluru dan memeluk saya.


“Allahu Rabbi, rindunya saya. Lama sungguh kita tak jumpa” saya berkata.


“Benar, sangat lama. Apa khabar PAS? Apa khabar Mahathir? Apa khabar Anwar Ibrahim?” tanya beliau.


Saya hanya ketawa.


Lucu.


Itukah imaginasi beliau dan memorinya tentang saya? Mungkin penggantungan biasiswa saya di Jordan dahulu menyebabkan ramai orang ingat, sayalah hero paling besar dalam perjuangan mahasiswa PAS. Walhal, tiada siapa pun kenal saya. Hanya nak jadi cerita, saya yang ditaqdirkan Allah diuji begitu.


Hari ini pun orang PAS ramai yang tidak suka dengan saya.


Tidak mengapa.


Intima’ dan wala’ kita adalah kepada Allah dan Rasul. Ia menjadikan komitmen kepada adalah kepada kebenaran, mengatasi segala yang lain. Sesekali pendapat kontras yang kita berikan, adalah kerana mengharapkan yang lebih baik untuk semua.


 30_32


Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya [Al-Rum 30: 32]

Kepuakan terjadi, apabila paksi pertimbangan adalah sahsiah dan bukan lagi hujah.


Lebih sulit, ia terjadi bukan kerana salah faham, tetapi kerana salah budaya. Benda yang terjadi secara akumulatif kerana meremehkan nasihat-nasihat kecil semasa beras belum menjadi bubur yang punah. Saranan saya terhadap penambah baikan soal Kepimpinan Ulama bukan bermotifkan muktamar atau siapa mahu jadi ketua. Tetapi kebimbangan saya adalah pada kaderirasi.


Apabila anak muda dirosakkan pemikiran mereka bahawa keberkatan hanya datang jika ketua-ketua kita ustaz belaka. Itu yang dicucuk-cucuk ke minda anak muda, oleh agamawan muda semasa.


KONFLIK INSTITUSI AGAMAWAN ABAD KE-16


Teringat saya kepada catatan Dr Mehmet İpşirli yang menjelaskan bahawa sistem pendidikan yang sempurna dengan penubuhan Süleymaniye Medreseleri telah menyaksikan pertambahan jumlah graduan berpendidikan tinggi secara mendadak. Ia menimbulkan masalah pengangguran di kalangan mereka. Süleyman I mencetuskan solusi segera kepada masalah ini dengan memperkenalkan sistem mülazemet iaitu program internship tanpa gaji. Graduan yang terpilih akan bertugas di bawah seliaan tokoh-tokoh penting dan sebahagiannya beroleh peluang untuk bertugas sebagai kadi di mahkamah (kadıasker).


Kepincangan terhadap pengurusan program ini, menjadi simptom kepada konflik dalaman yang tersebar di kalangan ulama dan institusi yang mereka kendalikan. Di dalam suasanalah nilai integriti ulama dan upaya kesarjanaan mereka mengalami kemerosotan seperti yang dirakamkan oleh Taşköprülüzade sebagai pemerhati kontemporari era berkenaan, juga Katib Çelebi yang menulis kira-kira satu kurun selepasnya.


Perkembangan yang menyebabkan Imam Birgivi lantang mengkritik agawan sezamannya.


Apabila pertambahan golongan agamawan tidak berkadar terus antara kuantiti dan kualiti, gerakan Islam menjadi mangsa dan harapan masyarakat disia-sia.


“Saya hanya orang kecil dalam gerakan Islam” saya menyambut pertanyaan Abi Mustafa tadi.


TIDAK TERKEJUT


abimustafa


“Hasrizal, saya tidak terkejut jumpa kamu di sini!” kata Abi Mustafa.


“Hah, mengapa pula begitu?” saya yang terkejut.


“Semalam Cenksu telefon saya memberitahu tentang kunjungan kamu. Saya berharap dapat jumpa kamu sebelum kamu balik. Tetapi saya mohon maaf sebab saya perlu pulang ke Konya petang ini. Jika tidak, boleh kita minum dan gaduh-gaduh macam dahulu” usik beliau.


“Oho, Cenksu sangat laju bertindak” saya ketawa kecil.


“Bagaimana dengan kehidupan? Kerja apa? Sudah selesai PhD?” tanya Abi Mustafa.


“Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Saya seorang penulis. Tetapi sekarang sedang belajar. Saya sedang menyiapkan disertasi sarjana berkenaan dengan Imam Birgivi” saya bercerita.


“Oho, penulis buku cinta, kini mengkaji Imam Birgivi. Bagusnya!” balas Abi Mustafa.


Aduh, berbelit-belit betul minda profesor seorang ini.


“Mana hocam tahu?” saya bertanya.


“Hasrizal, taip sahaja di google. Beribu-ribu nama awak keluar. Dan buku merah gambar bunga itu yang paling banyak. Saya terkejut. Setahu saya kamu semasa pelajar adalah seorang yang radikal. Bagaimana menjadi penulis buku cinta?” tanya Abi Mustafa lagi.


Geramnya!


Saya rasa mahu mencekik-cekik pakcik ini.


Dia tahu sahaja mengadun maklumat untuk melakukan provokasi ke atas saya.


“Mahu tegakkan Islam, pemuda-pemudinya hanyut dalam cinta ala Amerika. Kamu mahu Malaysia jadi begitu?” saya bertanya.


“Hahaha, masih petah berhujah!” kata  Abi Mustafa.


Kami ketawa bersama.


“Hasrizal, sudah lama sungguh kita tak berjumpa. Adik saya juga masih ingatkan kamu. Dia masih berada di Konya. Jika kamu datang sekali lagi, jangan lupa singgah di Konya. Saya sangat suka dengan kajian kamu tentang Imam Birgivi. Sumbangannya banyak, tetapi di Turki sendiri kajian mengenai beliau masih sedikit. Habiskan sarjana kamu segera. Jika mahu buat PhD, datanglah ke Universiti Selcuk” kata Mustafa.


“Inshaallah Abi. Doakan saya” saya berterima kasih atas sokongan beliau.


“Saya perlu beredar ke situ sebab wartawan sedang menunggu untuk menemuramah saya. Kemudian saya perlu segera ke lapangan terbang. Inshaallah kita jumpa lagi” Abi Mustafa memeluk saya dan kami berpisah.


Saya tidak sempat memperkenalkan adik-adik yang belajar di Turki ini dengan beliau. Mereka hanya bersalam dengannya dan kami segera beredar meninggalkan lokasi simposium.


“Ustaz mahu ke mana selepas ini?” tanya Imad.


“Jom kita makan tengah hari. Ana belanja. Kemudian ana nak minta izin ke Eminönü” saya memberitahu.


“Ada apa, ustaz?” tanya Syafiq pula.


“Mahu menyendiri. Tinggal sehari dua sebelum pulang ke Malaysia. Banyak yang hendak ana muhasabah” saya memberitahu.


“Betullah. Dari hari pertama ustaz sampai, sibuk dengan kami dan ramai orang. Ustaz kena ada waktu menyendiri. Macam dulu-dulu” kata Syafiq.


Harapnya semasa termenung di tepi laut nanti, tiadalah kapal selam Singapura melintas.


Macam dulu-dulu…


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (42) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 29, 2014 02:06

January 28, 2014

Nuga: Manisan Itqan Semanis Persaudaraan

nuga01


“Hasrizal, oh Hasrizal. Cepatnya masa berlalu” kata Hamzah.


“Benar. Anas pun sudah jadi anak muda sekarang ini” saya membalas.


Hamzah adalah abang kami semua. Semasa di zaman Ilahiyat Marmara, Hamzah adalah yang paling senior. Beliau dahulunya belajar bukan di bidang agama. Namun kesedaran Islam membawa beliau ke Fakulti Ilahiyat, walaupun usianya lebih daripada yang lain.


“Panggil saya Hamzah, bukan lagi Şenol” arah beliau, lebih sedekad lalu.


Hamzah meninggalkan nama asalnya  Şenol kerana beliau tidak seronok dengan konotasi berkenaan.  Şen – ol adalah nama yang sangat Turki, bermaksud “bergembiralah!” Sebelum Hamzah, saya juga pernah ada seorang lagi sahabat berasal dari Bulgaria dengan nama yang sama. Hamzah telah secara rasmi menukar nama beliau.


Saya selalu membahasakan Hamzah sebagai Abu Anas.


Oleh kerana beliau yang paling senior, beliau juga pada zaman kami bujang trang tang tang, sudah berumahtangga. Maka anak sulung beliau, Anas Talha, adalah baby kami semua. Setiap kali kami berkumpul, Anas akan dikerumuni. Saya masih ingat, semasa kecil, Anas selalu dalam dukungan saya.


“Anas sudah jadi anak muda. Tidak lama lagi akan meninggalkan rumah untuk kehidupannya” kata Hamzah.


Antara gembira dan sedih.


Anas sudah selesai persekolahan menengahnya. Beliau akan menyambung pengajian di bidang Sains Komputer di Universiti Boğaziçi. Dalam masa yang sama beliau akan tinggal di kawasan Fatih kerana mengambil pensijilan dalam pengajian Islam.


“Sijil itu tidak penting masa. Yang utama, saya mahu Anas duduk dalam kumpulan anak muda yang boleh membantu beliau beragama dengan baik. Zaman sekarang di Turki, tidak lagi seperti zaman kita dahulu. Suasana yang kondusif, ekonomi yang baik, menyebabkan kesedaran beragama mudah tergugat. Kamu pun sedar, kan Hasrizal?” cerita Hamzah.


“Boleh tak cakap Arab? Alo… saya ada di sini!” Fatih menyampuk.


Saya ketawa.


Masalah lama kami berulang kembali. Apabila saya, Fatih dan Hamzah berkumpul, saya yang tidak fasih berbahasa Turki lebih selesa berbahasa Inggeris dengan Hamzah, manakala Fatih pula tidak tahu menahu bahasa berkenaan. Hamzah sendiri bertatih di dalam bahasa Arab tetapi lebih lancar berbahasa Inggeris.


“Oh, ingatkan sudah tidak mahu kawan dengan kami. Asyik melayan telefon sahaja” sindir Hamzah.


“Berniaga itu ibadah. Telefon ini wasilahnya” Fatih mempertahankan diri.


Allah maha Pengasih. Cepat sungguh masa berlalu. Kini kami semakin tua. Anak-anak mula meningkat remaja. Zaman Gaye Vakfı sudah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.


“Bagaimana perniagaan ustaz?” saya bertanya.


“Alhamdulillah perniagaan berjalan dengan baik. Bidang yang saya sangat suka” jawab Hamzah.


“Kasih sayang mengalir di dalam semua makan di sini” saya mengusik.


Hamzah kini merupakan pemilik kepada sebuah restoran manisan dengan jenama Nuga. Restoran berkenaan bukan sekadar menjual, malah turut menghasilkan produk mereka sendiri. Ibu pejabat Nuga di Maltepe menjadi tumpuan ramai dan saya dapat merasakan penerimaan yang amat baik di kalangan penduduk tempatan.


nuga02


“Hari itu, ustaz pergi ke Itali, kan?” saya bertanya.


“Benar. Saya dan Bayram pergi ke Itali dalam kembara kami meneliti resepi coklat. Dari Utara hingga ke Selatan, banyak juga idea yang kami perolehi. Termasuk tentang pembungkusan dan cara display produk berkenaan di kedai mereka” cerita Hamzah.


“Hasrizal, bukankah Malaysia juga terkenal dengan penghasilan koko?” tanya Fatih.


“Benar. Jika di Malaysia, setahu saya ia adalah tanaman komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah. Dulu-dulu di kampung ayah saya di utara, pokok koko banyak tumbuh di keliling rumah. Kini, setahu saya antara negeri yang banyak koko ini ialah Johor dan Sarawak” saya berceloteh.


“Untuk pelan jangka panjang, mungkin boleh ditinjau prospek Malaysia” ujar Hamzah.


“Kita mesti ke Malaysia. Betul tak, Hasrizal?” usik Fatih.


“Betullah tu. Saya sudah entah berapa kali datang ke Turki. Kini, kalian sudah banyak wang. Bukan lagi pelajar sengkek macam dulu-dulu. Tentu sahaja datang ke Malaysia bukan suatu masalah” saya mengiyakan saranan Fatih.


“Benar. Wang tu ada, Alhamdulillah. Tapi kini sudah berkeluarga. Bukan mudah nak dapatkan kelulusan menteri!” kata Hamzah.


Kami ketawa.


Win some, loose some, begitulah peraturan hidup di dunia ini.


“Hasrizal tak apa. Mujur dia ada Imam Birgivi!” Fatih mengusik saya.


Beliau maksudkan, mujurlah saya ada sebab yang kukuh untuk datang ke Turki iaitu mengkaji tentang Imam Birgivi. Dengan itu saya mendapat restu isteri untuk hadir ke Turki.


“Sepuluh tahun saya berdoa, Fatih” saya menjawab.


Sehingga ke detik ini, saya masih rasa seperti bermimpi apabila berpeluang datang semula ke Turki. 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke sini, ia memang sudah saya jangka. Sebab itulah apabila kami sekeluarga mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air selepas bertahun-tahun tinggal di Ireland, saya berusaha membawa isteri dan anak ke Istanbul. Lawatan pada musim sejuk 2003 itu, adalah lawatan penutup untuk siri ziarah ke Turki semenjak kali pertama menjejakkan kaki ke sini pada tahun 1995.


Segala pengalaman, pemerhatian, kenangan dan seribu satu kisah saya catatkan di dalam travelog Secangkir Teh Pengubat Letih.


“Kita masyhur di Malaysia, Hamzah!” kata Fatih.


“Banyakkah buku ini terjual di Malaysia?” tanya Hamzah.


“Alhamdulillah banyak juga. Dan tempoh hari, semasa saya berjalan di kawasan berhampiran Sultanahmet, ada rakyat Malaysia menegur. Mereka datang ke Turki kerana membaca buku Secangkir Teh Pengubat Letih ini. Dan mereka tidak menyangka bertemu saya di Turki” saya memberitahu.


“Apakah kekuatan yang ditekankan dalam buku ini?” Hamzah bertanya.


“Hmm… jika mahu dirumuskan, mungkin buku ini menceritakan tentang Turki, apa yang tidak diceritakan oleh orang luar yang datang ke Turki hanya sebagai pelancong. Tentang adat, tentang kebiasaan, tentang ukhuwwah, tentang kita. Contohnya, semasa kita makan di Gaye Vakfı, saya memerhatikan cara kalian makan. Mengutip serpihan roti yang jatuh ke lapik semasa ia dipatahkan, adalah sesuatu yang unik bagi saya. Ia adalah interpretasi semasa kepada hadith Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang memberitahu sahabat agar tidak membazir air semasa berwudhu’, walaupun duduk di sungai” saya menyambung cerita.


“Ya, tetapi hari ini tidak begitu lagi” Hamzah mengeluh.


“Mengapa ya?” saya bertanya.


“Hasrizal, apa yang membentuk sifat sensitif dengan mengutip butiran simit yang bertabur di meja ialah tarbiyah jemaah dan elemen tasawwuf. Generasi muda sekarang pandai. Mereka mampu membaca sendiri. Tetapi tanpa tarbiyah jemaah, benda yang mereka tahu hanya menjadikan mereka pandai berhujah. Tetapi mereka akan minum dengan cawan tangan kiri, pakai baju tidak dahulukan tangan kanan, tidak hormat kepada orang tua… Islam mereka hanya pada kepetahan berhujah. Jika kuat sikit, mereka simpan janggut dan berpakaian tertentu. Akhlaq, bukan akhlaq Islam. Tiada jemaah, tiada latihan, membid’ahkan tarekat hingga membuang tasawwuf” jelas Fatih.


Kata-kata Fatih itu sangat mendalam.


Saya terdiam.


“Mungkin kalian tidak sedar betapa uniknya keadaan di Turki, hingga apa yang sepatutnya dinikmati daripada amalan Tasawwuf malah bertarekat, dapat dinikmati dengan baik di sini. Tetapi tidak di Malaysia” saya memandang ke tingkap.


Maltepe yang berbukit bukau, sibuk dengan kenderaan yang bertali arus.


“Bagaimana itu?” tanya Hamzah.


Jika ini merupakan implikasi sekularisme, maka implikasi yang ini menarik untuk difikirkan.


“Siapa pemain politik Islam di Turki? Agamawan, anak didik agamawan, Sheikh atau bagaimana?” saya melontarkan persoalan.


Di Turki, pemain utama politik dari era Adnan Menderes ke Necmettin Erbakan, Turgut Ozal hingga ke Recep Tayyib Erdogan, hampir tiada yang merupakan seorang ulama’, walaupun insan seperti Erbakan dan Erdoğan pada latar belakangnya di Sekolah Imam Hatip melayakkan dirinya untuk digelar ‘ustaz’ seandainya beliau di Malaysia.


Apa yang berlaku ialah, alim ulama, tuan guru, para masyaikh memegang agenda Tarbiyah. Mereka memimpin jemaah-jemaah Tarbiyah, khususnya yang berorientasikan tasawwuf, tanpa semestinya sebagai sebuah tarekat. Namun ulama’ ini menggalakkan anak muridnya menyertai politik dengan kualiti rujukan akhlaq peribadi yang kukuh dan tinggi.


Antaranya ialah SHEİKH MEHMET ZAHİD KOTKU yang merupakan murabbi kepada Necmettin Erbakan, dan Recep Tayyib Erdoğan. Tarbiyah dilakukan oleh Sheikh M Zahid Kotku, namun yang terjun ke politik adalah Erbakan dan Erdoğan. Lalu mereka berdua lebih bebas dinilai sebagai ahli politik.


murshidzahid


Umat Islam di Turki tidak dibebankan dengan kekeliruan yang mungkin boleh terjadi jika Sheikh M Zahid Kotku sendiri bertanding dan menggerakkan politik Republik, sebagaimana keresahan berkaitan dengan memposisikan Kepimpinan Ulama dalam politik Malaysia yang rencam.


“Dan untuk Fatih Kayacan Datuk Bandar Bolvadin, murabbi beliau adalah Prof Dr Cevat Akşit” gurau Hamzah.


Kami tersenyum.


Alhamdulillah saya telah diberi peluang oleh Allah untuk hadir ke usrah yang dikendalikan oleh Prof Dr Cevat Akşit di rumah beliau, kelmarin. Biar pun tidak dapat memahami kebanyakan diskusi, saya memberi tumpuan kepada cara beliau menyantuni kami. Sheikh menceritakan tentang isi kandungan buku warisan keturunannya yang berusia 300 tahun. Buku itu (manuskrip) adalah di dalam bahasa Arab. Saya dapat membacanya dengan baik kerana tulisannya kemas. Semoga Allah memelihara kesihatan Sheikh yang juga mensyarahkan pemikiran Mehmed Birgivi, tokoh yang saya kaji.


aksit


Adakalanya kerja mengkaji seorang tokoh, susah untuk dinampakkan signifikasinya. Tetapi hanya dengan usaha sebegini, sebuah buku tidak mati di dalam simpanan. Sebaliknya diberi nafas baru untuk dibaca oleh generasi yang seterusnya


Prof Dr Cevat Akşit sudah menjadi murabbi kepada Fatih dan rakan-rakan kami semenjak di Gaye Vakfı lagi.


pasta-nuga


“Ayuh, kita jamah Nugapeşte Franboğazlı ini. Hidangan istimewa, hanya di Nuga” Hamzah mengajak.


“Apa yang menjadikan hidangan Nuga istimewa berbanding tempat lain?” saya bertanya sambil menjamah manisan yang sangat enak itu.


“Kalau coklat, lemak coklat, minyak coklat, semuanya kami buat sendiri. Begitu juga dengan keju dan minyak zaitun, semuanya dibuat sendiri. Biar pun kos penghasilannya agak tinggi dan margin keuntungan kecil sedikit berbanding lain, tetapi jika kita buat kuih yang Allah suka, pasti berkat dan membahagiakan. Semenjak 1969 lagi” kata Hamzah.


“Apa yang kamu cakap ni?” Fatih geram kerana Hamzah bercakap di dalam bahasa Inggeris.


Setelah saya terjemahkan ke bahasa Arab, Fatih segera menyambutnya dengan berkata, “kuih yang Allah suka, ialah kuih yang dibuat secara itqan!”


Buat apa pun, buatlah sebaik mungkin.


“Malaysia berhak untuk menikmati manisan sebaik ini!” saya berkata.


“Inshaallah. Tunggu Hasrizal, saya dan Fatih, mungkin Bayram juga, kami akan datang ke Malaysia! Sungguh” tegas Hamzah.


Hati saya berbunga-bunga. Gembira. Mengharapkan ia menjadi nyata.


Walaupun ada gelisah di hati, jika selama ini mereka melayan saya dengan begitu sempurna setiap kali berkunjung ke Turki, mampukah saya melakukan perkara yang sama jika mereka ke Malaysia nanti?


Saya tinggalkan persoalan itu, kerana mahu menikmati persaudaraan ini, bersama nikmat Nugapeşte Franboğazlı yang tiada tolok bandingnya ini.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (44) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2014 22:07

Kembali ke Istanbul: Dilema Sebuah Persimpangan Diri

IMG_1853


“Ana semakin tidak dapat meneruskan program motivasi” saya mengeluh.


“Kenapa ustaz?” tanya Halim.


“Entahlah… Terasa kosong. Bermain kata dan mempermainkan perasaan. Macam yang ana cerita siang tadi” saya menjawab.


Kereta kami membelah gelap malam. Perjalanan Ankara ke Istanbul sepi membelah kegelapan malam di lebuhraya.


“Ana pun tidak begitu suka dengan motivasi. Tak tahu nak cakap macam mana…” tambah Nabhan.


Saya berfikir panjang.


Sepanjang perjalanan 2000km kami pada menjejak Imam Birgivi.


Semenjak minggu kedua di Turki, saya mengalami kekacauan fikiran dan kali ini kekacauan itu mungkin baik untuk akademik saya, tetapi boleh membunuh identiti semasa.


Pagi tadi, Cenksu berpesan kepada saya, walau apa pun pekerjaan yang saya lakukan, saya mesti menyempurnakan pengajian hingga ke PhD. Dan pengajian itu bukan sekadar untuk kelulusan akademik, tetapi demi membina Malaysia sebagai sebuah masyarakat berteraskan ilmu. Saya juga sempat berbual dengan Prof. Adnan Çevik, teman serumah kami dahulu. Beliau sangat bersetuju dengan fokus kajian saya terhadap Imam Birgivi dan mahu pembelajaran berterusan hingga ke PhD.


Dalam perbualan saya dengan mereka, perkara yang paling susah hendak saya jelaskan adalah persoalan berkenaan kerja.


“Kamu kerja apa, Hasrizal?” tanya mereka.


Agh… susah benar hendak dijelaskan. Perkataan motivasyon di dalam bahasa Turki menjadikan kening ramai rakan saya terangkat.


Saya rasa, ceramah-ceramah motivasi yang saya buat selama ini seperti kosong daripada isi. Ia susah hendak dijustifikasi sebab kesan dan maklum balas peserta memang biasanya baik. Tetapi saya jadi resah melihat iklan-iklan program training, motivasi, tips dll oleh ramai pihak, termasuk yang mengiklankan saya sebagai penyampainya, sebagai sesuatu yang tidak secara sebenar merawat masalah masyarakat.


Mungkin sebab saya terlalu terpukul dengan perubahan yang saya lihat di Turki. Bangsa mereka boleh bangkit. Keluar daripada belenggu masalah yang amat amat kritikal sedekad sudah. Apabila Fatih bertanya, “kenapa susah sangat Malaysia nak get rid Mahathir?” saya tidak boleh tidur malam dibuatnya. Bukan soal pro atau kontra dengan Tun Mahathir, tetapi kelemahan upaya bertindak individu kita, itu yang meresahkan saya.


Saya terasa seperti tips, teknik-teknik, yang biar pun katanya diekstrak daripada teks agama, seperti ‘menggedikkan’ masyarakat, lembik dan lembab. Dan ini menyebabkan saya rasa diri saya kotor kerana terasa seperti saya turut menyumbang ke arah itu.


Motivasi menjadi seperti makanan ringan. Sedap, namun tidak berkhasiat. Kesan buruknya hadir pada jangka masa panjang.


Walaupun saya tahu, sebenarnya dunia akademik pun belum tentu ada solusi untuknya.


Tapi saya mengalami kehilangan minat untuk menerima jemputan ceramah yang berlambak dalam inbox tu.


Sedangkan saya perlu terus bekerja!


Di Turki tiada sangat motivasi-motivasi ni.


Satu malam, saya dan rakan menonton tv sekitar jam 12 malam, seorang profesor berdebat dengan pengacaranya seorang wanita. Berpakaian daring, dan bertanya soalan bertubi-tubi. Tajuk episod malam tu ialah “Syurga, Neraka, A’raf”


Saya tak faham sepenuhnya butir diskusi mereka, tetapi saya tahu isi yang dikongsi amat tepu dengan ilmu.


Pengacara itu pun asyik tergamam je. Tekun memproses penjelasan.


Saya puas menontonnya. Ia bernas dan kukuh dasar ilmunya.


Ceramah motivasi makin kembali terasa seperti berniaga air liur basi. Ia seperti memanipulasi kelemahan masyarakat yang menagih benda lemah, tanpa berusaha mengukuhkan mereka dalam erti kata yang sebenar. Saya jadi bingung apabila seorang pemidato berpakaian hebat, kacak dan anggun bergaya, mempakejkan modul kemas-kemas dan bercakap penuh karisma sedangkan dalam kepala saya terus-menerus berkata, “apa benda yang kau cakap ni?”


Dunia motivasi yang saya ceburi ini terasa semakin kotor. Membuang duit, masa dan tenaga banyak pihak. Ia diburukkan lagi dengan bercambahnya syarikat baru, trainer yang pantas menggelar dirinya pakar motivasi, malah pakar motivasi sendiri yang saya semakin sulit untuk memposisikan penerimaan saya terhadap apa yang dibawa.


Kosong.


SHAM: KEBEJATAN DUNIA MOTIVASI


20130217-222847.jpg


Mungkin, apa yang paling menepati apa yang saya maksudkan di sini ialah apa yang saya baca dalam buku SHAM: HOW THE SELF-HELP MOVEMENT MADE AMERICA HELPLESS.


Persoalan yang tertulis di belakang buku itu:


“In the age of self-help, why are so many Americans helpless? Why do so many self help gurus, from Dr Phil on down, create followers rather than independent souls?”


Self-help: To millions of Americans it seems like a godsend. To many others it seems like a joke. But as investigative reporter Steve Salerno reveals in this groundbreaking book, it’s neither—in fact it’s much worse than a joke. Going deep inside the Self-Help and Actualization Movement (fittingly, the words form the acronym SHAM), Salerno offers the first serious exposé of this multibillion-dollar industry and the real damage it is doing—not just to its paying customers, but to all of American society.


Based on the author’s extensive reporting—and the inside look at the industry he got while working at a leading “lifestyle” publisher—SHAM shows how thinly credentialed “experts” now dispense advice on everything from mental health to relationships to diet to personal finance to business strategy. Americans spend upward of $8 billion every year on self-help programs and products. And those staggering financial costs are actually the least of our worries.


SHAM demonstrates how the self-help movement’s core philosophies have infected virtually every aspect of American life—the home, the workplace, the schools, and more. And Salerno exposes the downside of being uplifted, showing how the “empowering” message that dominates self-help today proves just as damaging as the blame-shifting rhetoric of self-help’s “Recovery” movement.


SHAM also reveals:


• How self-help gurus conduct extensive market research to reach the same customers over and over—without ever helping them


• The inside story on the most notorious gurus—from Dr. Phil to Dr. Laura, from Tony Robbins to John Gray


• How your company might be wasting money on motivational speakers, “executive coaches,” and other quick fixes that often hurt quality, productivity, and morale


• How the Recovery movement has eradicated notions of personal responsibility by labeling just about anything—from drug abuse to “sex addiction” to shoplifting—a dysfunction or disease


• How Americans blindly accept that twelve-step programs offer the only hope of treating addiction, when in fact these programs can do more harm than good


• How the self-help movement inspired the disastrous emphasis on self-esteem in our schools


• How self-help rhetoric has pushed people away from proven medical treatments by persuading them that they can cure themselves through sheer application of will


As Salerno shows, to describe self-help as a waste of time and money vastly understates its collateral damage. And with SHAM, the self-help industry has finally been called to account for the damage it has done.


MANGSA TEKNIK PEMASARAN


Betapa kritikalnya masyarakat kita ialah, kerana kepakaran pemasaran, sebuah buku ‘bodoh ‘pun boleh dijual ratusan ribu naskhah. Dan kerana imej serta ketepatan teknik , manusia mengerumuni apa yang sebenarnya tidak menawarkan mereka solusi.


Melihat dari jarak luar sedikit, sejujurnya saya rasa rakyat Malaysia seperti dirasuk. Possessed… by something, I dunno. Sangat mudah dimanipulasi. Dan ramai yang memanipulasi. Sebahagiannya bukan dengan niat yang tidak baik, tetapi secara tidak sedar. Mengukur kualiti pada penerimaan dan populariti, sedangkan populariti agama semakin seiringan dengan populariti maksiat dan kemusnahan jati diri.


Sebab itu di dalam ceramah saya, walaupun namanya motivasi, saya amat jarang buat game, bersorak-sorak. Dan jika mahu seronokkan peserta, saya akan berhenti seketika, kisahkan mereka kisah benar yang ada isi tapi menyeronokkan… sebab saya tidak dapat meyakinkan diri sendiri bahawa teknik-teknik ‘latihan’ itu sebagai cara yang betul untuk membina manusia.


Tetapi cara ini menyebabkan saya declassified . Term and Condition sedia ada, tidak dapat saya menghadamnya. T&C sendiri, saya terlalu kerdil untuk memperjuangkannya.


Saya berhajat untuk berundur daripada dunia motivasi. Walaupun jalan akademik masih amat jauh. Hanya satu yang saya pertahankan, iaitu dakwah.


Apa sahaja pilihan, kita adalah umat dakwah sebelum segala-galanya.


Motivasi adalah pilihan. Dakwah adalah kewajipan.


Lebuhraya semakin hiruk pikuk dengan kenderaan yang berpusu menuju masuk ke Istanbul. Hiruk pikuk yang berjangkit hingga ke lubuk kepala.


Tunjukkan diriku jalan yang lurus ya Allah…


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (13021) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2014 04:29

Suleyman Hilmi Tunahan: Pendidikan Adalah Jihad

20130630-100217.jpg


“Apabila Badi’uzzaman Sa’id al-Nursi kata aku berlindung dengan Allah daripada politik, kata-kata itu perlu diletakkan dalam konteksnya” saya berbual tengah hari itu.


“Anta kecewa dengan politik?” tanya sahabat saya.


“Anta rasa?” saya membalas pertanyaan dengan pertanyataan.


“Kebelakangan ini nampaknya begitu” jawab beliau.


Sepi.


Sesekali, ada sahabat menjenguk bertanya khabar. Adakalanya, saya rasa sunyi apabila seorang yang menghubungi saya, berhubung kerana ada hajat. Mahu mengajak menyertai MLM atau sekurang-kurangnya mahu menjemput ceramah.


Tidak salah.


Cuma saya yang jauh di dalam hati tertanya-tanya, “tiadakah sahabat yang bersahabat denganku sebagai seorang sahabat? Tiada hajat, tiada kepentingan. Hanya ukhuwwah”


“Tidak mudah untuk mengunyah hadam celaan kawan kepada kawan. Hajat kita nak kemukakan pandangan demi kebaikan, tetapi apa sahaja yang bercanggah dengan status quo, akan dibelasah habis-habisan” saya mengeluh.


“Facebook, Whatsapp, kemudahan print screen, semua itu menjadi musibah. Sampai gerakan Islam pun tergadai akhlaq amilinnya” kata beliau.


“Ya. Sampai tak kenal lagi who is who. Dilabel sebagai anti kepimpinan ulama atau anti ulama ini, kurang sikit sahaja daripada dilabel ‘murtad’. Hina sangat. Logikkah ana membenci ulama? Hmm…” saya hanyut seketika dalam fikiran.


“Habis, apa perjuangan anta jika politik sudah begitu mengecewakan?” tanya beliau.


Jujur.


“Politik tidaklah mengecewakan. Tetapi politik kepartian yang lelah. Atau lebih tepat, politik orang kita. Orang Melayu” saya menjawab, walaupun tidak berapa menjawab.


“Parti baru?” soal sahabat saya.


“Itu menambah kepeningan yang ada. Tetapi sesuatu yang ana yakin ialah, politik sering mengecewakan. Namun pendidikan tidak pernah. Pendidikan adalah jihad” saya berpendapat.


“Macam Süleyman Hilmi Tunahan?” beliau menduga.


Somehow. Tetapi Süleyman Hilmi Tunahan berjuang untuk zamannya. Bagi kita hari ini, semangatnya sama, caranya mungkin berbeza” saya menambah.


“Tapi anta sudah tidak aktif lagi dengan Khalifah Model School” soal beliau.


“Sekolah rendah, tidak. Tetapi ana adalah anggota BOD Yayasan Pendidikan Khalifah. Dan usik-usik kami beberapa tahun yang lalu untuk membawa Sekolah Mithali Khalifah ke peringkat sekolah menengah, jadi kenyataan. Di luar politik, banyak benda yang dirancang, menjadi. Dalam ‘jemaah’ plan macam-macam, akhirnya hilang begitu sahaja” saya berkata.


“Bukankah sepatutnya anta salurkan semangat Süleyman Hilmi Tunahan ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Bangi itu? Mereka merupakan legasi Süleyman Hilmi Tunahan” kawan saya menyoal.


“Sesekali ana bantu juga MTS. Tetapi Süleyman Hilmi Tunahan sendiri tidak menghadkan mesej perjuangannya hanya kepada satu kumpulan, dan tidak kumpulan yang lain. Wadah pelbagai, matlamat sama. Pendidikan adalah jihad” saya merumus perbualan.


BIODATA SÜLEYMAN HILMI TUNAHAN 


Al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan adalah daripada keluarga sarjana Islam yang terkemuka. Datuknya adalah Kaymak Hâfiz dan keluarganya adalah dari silsilah keturunan İdris Bey yang nasabnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. Di zaman Sultan Muhammad al-Fatih (1444 – 1446 / 1451 – 1481), beliau mencari orang yang mempunyai nasab keturunan Nabi s.a.w. dan apabila İdris Bey ditemui, beliau dikahwinkan dengan saudara perempuan al-Fatih.


İdris Bey kemudiannya dilantik sebagai Amir bagi kawasan Tuna dan diberi gelaran Tuna Hanı atau Tunahan. Beliau bertanggungjawab menguruskan hal cukai dan jawatan serta gelaran Tunahan itu kekal kepada cucu cicitnya hinggalah sampai kepada Osman Bey iaitu ayahanda Süleyman Efendi. Osman Bey merupakan tenaga pengajar di Madrasah Satırlı. Suatu ketika, beliau bermimpi yang sebahagian anggota tubuhnya terkeluar dan terangkat ke langit lalu mengeluarkan cahaya. Mimpi tersebut ditafsirkan bahawa akan lahir daripadanya seorang anak soleh yang akan menyebarkan Islam di serata alam.


Osman Bey kemudiannya berkahwin dan beroleh empat orang anak lelaki iaitu Fehmi, Süleyman Hilmi, İbrahim dan Halil.


Süleyman Hilmi dilahirkan di bandar Ferhatlar yang terletak di wilayah Silistre, (Bulgaria hari ini) pada tahun 1888. Pendidikan awalnya bermula di Madrasah Satırlı bersama-sama dengan adik beradiknya yang lain. Semasa di madrasah inilah, Osman Bey dapat melihat kelebihan Süleyman Hilmi berbanding dengan anak-anaknya yang lain. Süleyman Hilmi diberikan perhatian yang intensif, malah dilayan secara istimewa agar kematangannya meningkat cergas. Osman Bey sering menyebut, “Silakan wahai anakku, wahai Süleyman Efendi!”. Ia menimbulkan rasa segan yang amat sangat pada diri Süleyman Hilmi atas penghormatan yang diberikan oleh ayahandanya walau pun dirinya masih lagi seorang anak kecil.


Selepas menamatkan pengajian di Madrasah Satırlı, beliau dihantar ke Istanbul oleh ayahnya untuk menyambung pengajian. Süleyman Hilmi dibekalkan dengan tiga pesanan:



Agar dirinya berjimat cermat dan tidak membazir
Agar dirinya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai ilmu al-Usul.
Mempelajari ilmu Mantiq (Logik) sebaik mungkin sehingga ilmunya menjadi teguh.

Di Istanbul, beliau menamatkan pengajiannya di Madrasah al-Fatih, dan seterusnya di Dar al-Khilafah al-‘Aliyah pada tahun 1913. Kelulusan di dalam modul kehakiman, telah membawa kepada tawaran perlantikan Süleyman Hilmi sebagai Kadi di Kastamonu. Hal ini diketahui oleh bapanya, lalu beliau menghantar surat kepada Süleyman Hilmi yang berbunyi, “wahai Süleyman, ketahuilah bahawa aku tidak menghantar engkau ke Istanbul agar engkau berada di dalam neraka!” Lalu bapanya mengingatkan Süleyman tentang hadith Nabi s.a.w daripada Buraidah yang menjelaskan tentang tiga Kadi, satu di syurga, dua di neraka. Osman tidak mahu anaknya memegang jawatan Kadi. Süleyman Hilmi menjelaskan bahawa dia tidak meminta jawatan tersebut, tetapi hanya untuk mempelajari aspek-aspek kehakiman agar sempurna penguasaan ilmunya. Osman Bey gembira dengan penjelasan anaknya Süleyman Hilmi.


Süleyman Hilmi membesar di Istanbul di dalam suasana negara yang sedang kacau bilau. Semasa berlakunya rampasan kuasa penggulingan Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1909, Süleyman Hilmi masih lagi di bangku pengajian. Dia menentang sekeras-kerasnya revolusi itu serta sebarang usaha pembaratan yang dilakukan.


Malang sekali, tidak sampai lima tahun Süleyman Hilmi beroleh ijazah pendidikannya, bumi Turki ditimpa musibah. Turkish Grand National Assembly telah dibentuk, Kesultanan dan Institusi Khilafah dimansuhkan, Sultan Mehmed VI Vahîdeddîn (1918 – 1922) digulingkan, Republik Turki diisytiharkan penubuhannya, dan akhir sekali, semua 520 sekolah di Turki telah digabungkan di bawah polisi pendidikan sekular pada tahun 1924.


Polisi ini telah menyebabkan semua pendidik ilmu Syariah di sekolah hilang pekerjaan. Ramailah yang diserapkan ke jawatan-jawatan lain seperti imam dan penceramah di masjid, malah tidak kurang yang mengambil keputusan untuk bersara. Namun Süleyman Hilmi menolak semua itu kerana baginya, perbuatan itu semua akan menyebabkan bangsa Turki buta Islam dan al-Quran


Oleh itu, Süleyman Hilmi bergerak aktif meneruskan aktiviti mengajarnya di Masjid Sultan Ahmet dan Süleymaniye, Yeni Cami, Şahzade Paşa, Kasim Paşa dan beberapa masjid yang lain.


Beliau juga terus menerus memberi peringatan kepada rakan-rakannya agar tidak takut kepada pemerintah, sebaliknya meneruskan usaha mengajar masyarakat ilmu Islam. Katanya, “Wahai saudara-saudaraku para guru sekalian, sesungguhnya kamu hari ini adalah jaminan keselamatan agama di bumi ini dengan jumlah kita yang melebihi 500 orang. Seandainya setiap seorang dari kalangan kamu mengajar 3 orang di rumah masing-masing, kita sudah boleh melahirkan 1500 orang yang memperolehi tarbiah Islam. Dengan jumlah itu, Allah akan memanjangkan umur Islam sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang dan ia adalah usaha untuk satu atau dua generasi.”


Seruan Süleyman Hilmi itu telah menaikkan semangat para guru dan mereka telah menulis surat kepada kerajaan menyatakan kesanggupan mereka untuk mengajar tanpa gaji memandangkan negara yang belum pulih dari menanggung perbelanjaan perang. Surat mereka telah dibalas dengan surat pekeliling kabinet Atatürk yang menyebut, “Telah diputuskan penerimaan polisi penyatuan sekolah. Maka sebarang aktiviti yang bercanggah dengan keputusan ini akan dikenakan tindakan yang sekeras-kerasnya”.


Ini telah mencetuskan bibit-bibit hitam di dalam perjalanan seorang guru yang amat cintakan profesyennya, Süleyman Hilmi Tunahan. Dia telah memulakan aktiviti mengajar anak-anak muridnya secara rahsia kerana merasakan dirinya berdosa di hadapan Allah jika berhenti. Namun tiada siapa yang berani untuk menjadi anak muridnya, bimbang diketahui oleh rejim Atatürk. Süleyman Hilmi tidak berputus asa, sebaliknya beliau memulakan pengajian itu dengan mengajar kedua-dua anak perempuannya di rumah, supaya mereka boleh mengajar suami dan anak masing-masing.


Usaha mendapatkan anak-anak murid bagi Süleyman Hilmi bukanlah suatu usaha yang mudah. Namun dia tetap cekal lantaran kecintaan dan komitmennya yang mendalam terhadap pendidikan. Seandainya ada anak muridnya yang jatuh sakit, Süleyman Hilmi akan membawa sendiri budak itu berjumpa dengan doktor, dan dibayar dengan duit beliau sendiri, agar anak-anak murid terus bersemangat tinggi berkhidmat untuk Islam. Beliau adalah bapa yang penyayang dan guru yang murabbi. Anak-anak muridnya datang dari segenap ceruk kampung Anatolia yang fakir dan miskin tetapi kemudiannya pulang ke kampung masing-masing sebagai seorang insan yang berhemah tinggi.


Strategi Süleyman Hilmi Tunahan di dalam meneruskan profesyen perguruannya adalah seperti berikut:


Sentiasa Bertukar Tempat


Di suatu hari, beliau mengajar anak-anak muridnya di bilik Muazzin di Masjid Şahzade Paşa dan pada hari yang berikutnya beliau mengajar di rumah salah seorang anak muridnya di penjuru Istanbul. Kadang-kadang beliau membawa anak muridnya ke celah-celah bangunan usang, atau di bilik-bilik bawah tanah di bangunan yang ditinggalkan. Pernah beliau berkata kepada anak muridnya, “Apa yang penting ialah dakwah kita berjaya, kerana itulah kita tidak kisah dengan nasib diri masing-masing. Kita menerima sahaja seandainya tempat kita adalah di tempat orang meletak kasut di majsid. Aku mengajar kamu dan aku pindahkan kamu dari satu tempat ke satu tempat seperti kucing yang menggendong anaknya”. Itulah Süleyman Hilmi Tunahan.


Mengambil Upah Bercucuk Tanam


Al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan mengambil upah bercucuk tanam bersama anak muridnya di ladang. Di waktu siang mereka memakai pakaian peladang dan bercucuk tanam. Manakala selepas tenggelam matahari, mereka akan memulakan sesi pengajian secara yang tersembunyi. Apabila kedudukan mereka dikesan oleh pihak polis, mereka akan membawa kitab masing-masing berpindah ke tempat lain, sama ada di ladang-ladang mahu pun di celah pergunungan.


Menghantar Anak Muridnya Ke Merata Tempat Untuk Persediaan Dakwah


Süleyman Hilmi Tunahan sentiasa menggalakkan anak-anak muridnya supaya merantau dan membuka pusat-pusat pengajian al-Quran di sana. Katanya, “pergilah kamu semua ke kampung halaman masing-masing dan bukalah Dar al-Quran serta asrama pelajar di sana. Ajarkan anak-anak umat Muhammad s.a.w. Kitab Allah dan agama-Nya. Jika kamu laksanakan ini semua, aku lepaskan kamu. Seandainya tidak, akan kugenggam leher kalian!”


Pada tahun 1949, kerajaan telah membuka kembali sekolah agama hasil tekanan yang dikenakan oleh umat Islam di Turki. Apabila Parti Demokrat mendapat mandat memerintah pada tahun 1950, aktiviti-aktiviti Islam kembali aktif. Terkabullah pada masa itu impian Süleyman Hilmi dan beliau dapat mengajar semula secara sempurna. Pada masa itu, masjid-masjid sudah tidak berimam, malah jika ada berlaku kematian, jenazah menanti di masjid untuk disembahyangkan. Di zaman derita itulah Süleyman Hilmi terus gigih berbakti.


Sekolah menghafal al-Quran dan pendidikan bermanhajkan metodologi al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1952.


Kehidupan yang penuh derita dan sengsara ketika mengajar dan membesarkan anak-anak muridnya, menjadikan Süleyman Hilmi menderita fizikal badannya. Pada 16 September 1959, al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan pulang kepada Allah ketika merah Maghrib melabuh tirai.


Pengerusi Parlimen pada masa itu, İbrahim Kırazoğlu meminta supaya jenazah Süleyman Hilmi dikebumikan berhampiran makam moyangnya Sultan Muhammad al-Fatih dan cadangan itu mendapat kelulusan Perdana Menteri.


Keesokan harinya orang ramai mula membanjiri perkarangan Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Akan tetapi pihak polis telah mengeluarkan arahan agar jenazah Süleyman Hilmi tidak dikebumikan di Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Pihak polis menggali sendiri kubur di kawasan Karacaahmet dan akhirnya jenazah al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan dikebumikan di situ. Benarlah seperti yang pernah disebutkan oleh beliau pada suatu hari, “mereka akan takutkan kematian kita sama seperti mereka takutkan kehidupan kita”.


Semoga Allah merahmati insan seperti Süleyman Hilmi Tunahan yang memikul amanah mendidik anak bangsa agar sinar Islam terus bercahaya di celah gelombang Riddah Atatürk dan regimnya.


PESANAN IMAM BIRGIVI


Di dalam Tariqah Muhammadiyyah juga, Imam Birgivi pernah berpesan:


“Adalah tidak cukup untuk sekadar kita beramal dengan apa yang kita tahu (walaupun ia merupakan sebuah kewajipan). Di sana juga ada tanggungjawab untuk membantu orang lain. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan ke atas diri kita untuk mengajar orang lain serta menggalakkan mereka melakukan perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang dilarang.


Untuk mencari ilmu, dan beramal dengannya adalah tanggungjawab individu. Ia disebut sebagai fardhu ain. Manakala membimbing orang lain kepada kebenaran, ia adalah tanggungjawab sosial. Ia disebut sebagai fardhu kifayah. Ia merupakan tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh masyarakat sebagai sebuah komuniti”


Benarlah sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:


“Sesungguhnya aku ini diutuskan sebagai seorang mu’allim (pendidik)” [Hadith riwayat Ibn Majah]

Biar pun saya bukan guru di sekolah, saya  berharap agar pendidikan sebagai jihad, terus kekal menjadi agenda hidup sehingga mati.


Pendidikan memberi sinar.


Bahawa umat  masih baik, hanya perlu dibentuk dengan apa yang telah menyelamatkan umat yang terdahulu.


Masyarakat berteraskan ilmu.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (159) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2014 01:04

January 27, 2014

Pedang Ummah di Ambang Jatuhnya Khilafah: Mustafa Sabri

longway-istanbul


“Bagaimana anta melihat diri anta pada masa hadapan?” tanya Nizam.


“Maksud anta?” saya kurang pasti.


“Mudah-mudahan pengajian sarjana anta selesai dan juga PhD. Di masa hadapan, apakah niche anta dalam dunia akademik?” soal Nizam.


“Amin… moga Allah maqbulkan doa dan harapan itu. Takut mahu membayangkannya. Perjalanan masih jauh. Tetapi semenjak di UIA lagi, ana cenderung mengkaji sejarah pemikiran, khususnya bersangkutan dengan Islah dan Tajdid. Reformation studies” saya menjelaskan.


“Luas tu” kata beliau.


“Apabila disebut tentang Islah dan Tajdid, kita selalunya berfikir tentang tokoh-tokoh di dunia Arab.  Tahtawi, Jamaluddin al-Afghani. Tetapi setiap sudut dunia Islam ada perjuangannya. Ana seperti biasa, fokus kepada Alam Turki. Dawlah Uthmaniyyah merupakan kuasa politik, serta komuniti yang berhadapan secara langsung dengan pemodenan dan dominasi Barat. Hajatnya adalah untuk mendalami Islah dan Tajdid di Alam Turki” saya memberitahu.


Jika diluaskan lagi Islah dan Tajdid itu kepada Alam Turki, dan terikat hanya kepada Dawlah Uthmaniyyah, maka pemetaan tokoh dan gerakan akan jadi lebih menarik. Banyak sampel percubaan umat mendepani pelbagai cabaran yang menguji survival Islam, dari semasa ke semasa.


Misalnya jika kita tinjau ke Asia Tengah, wilayah-wilayah bekas jajahan Soviet juga menyaksikan perjuangan yang perlu dihalusi. Kita ada nama-nama seperti ‘Abd al-Nasr Qusravi, Shihab al-Din al-Marjani, Riza al-Din b Fakhr al-Din dan Musa Jar Allah Bigiyev.


Gerakan intelektual dalam reformasi wilayah Kazan Tatar, memerlukan perhatian.


“Jauh tu” ujar Nizam.


“Betul. Buat masa ini, tumpuan ana adalah kepada Imam Birgivi. Dan mengukuhkan kefahaman terhadap tokoh-tokoh yang sedia dikenali. Antaranya ialah Sheikh Mustafa Sabri” saya menjawab.


“Di Malaysia ini, jika sebut Sheikh Mustafa Sabri, yang kita ulang-ulang hanyalah kata-kata beliau bahawa sekularisme adalah jalan pintas menuju riddah. Erdoğan sendiri sudah membawa satu dimensi lain terhadap sekularisme pada hari ini” ulas Nizam.


“Benar. Semua yang dinamik, jadi jumud apabila kaedah sekadar dihafal” saya menokok.




mustafasabri


Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Othmaniyyah sedang merudum runtuh oleh seribu satu sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Sheikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Othmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau


Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Sheikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Sheikh al-Islam. Mustafa Sabri kemudiannya dikenali sebagai Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Othmaniyyah kepada ilmuan agama).


Semasa Perdana Menteri ketika itu melawat Paris bagi menghadiri suatu perhimpunan di sana, Mustafa Sabri telah dilantik sebagai pemangku yang mempengerusikan kerajaan. Semasa inilah pertembungan pendapat dan perbezaan fahaman telah meruncing di antara Mustafa Sabri dengan menteri-menteri yang lain sehingga beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Sheikh al-Islam dan kemudiannya menubuhkan partinya sendiri yang juga dikenali sebagai Parti Hürriyet ve Itilaf tetapi Mu’tadil iaitu yang sederhana dan adil.


Perletakan jawatan beliau inilah yang mengundang hari-hari yang hitam di dalam hidupnya. Sadık Albayrak berkata, “Sheikh al-Islam Mustafa Sabri sentiasa menyeru kepada Syariah serta mahu menempatkan kalimah Allah di dalam pemerintahan dan masyarakat”.


Namun, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri semasa itu menjadi minoriti yang menongkah arus. Beliau berhadapan dengan gelombang proses pembaratan yang amat dahsyat. Perlucutan Islam daripada pemerintahan dan kehidupan masyarakat berlaku dengan begitu drastik .


Realiti di masa itu tidak melemahkan semangat beliau. Mustafa Sabri terus komited menyuarakan Islam di mana-mana sahaja. Sedangkan pada masa itu kebanyakan Ulama sudah lemah upaya untuk berdiri tegak seiring dengan Mustafa Sabri.


Era itu menyaksikan bagaimana kaum wanita diseru untuk keluar dari rumah masih-masing dan bermusafir sebebas-bebasnya. Sheikh al-Islam dengan tegas dan lantang menyuarakan penentangannya terhadap usaha ‘pembebasan’ palsu ini. Ia lebih merupakan usaha pembebasan wanita dari ikatan agama dan mengungkaikan kemuliaan yang dikurniakan Islam kepada wanita selepas mereka terhina di zaman Jahiliyyah.


Pada tahun 1922, Mustafa Sabri telah dibuang negeri. Beliau telah bermusafir ke Yunan (Greece) dan telah mengumpulkan masyarakat Muslim Turki di kawasan Trakia (Thrace) serta menyatukan mereka. Beliau juga telah menerbitkan akhbar berbahasa Turki Othmaniyyah yang menggunakan huruf Arab dan akhbar tersebut diberi nama ‘Yarın’ bermakna ‘Esok’. Akhbar ini penuh memuatkan kritikan terhadap fahaman barat semasa itu terutamanya aliran Kemalisma yang dibawa oleh Atatürk, terutamanya proses menukar keperibadian umat Islam melalui proses pembaratan agresifnya. Majalah Yarın ini menjadi bahan kajian yang sangat penting kepada ahli sejarah yang mahu mengkaji idea-idea penentangan kepada Revolusi Ataturk.


Dari Greece, Mustafa Sabri telah bermusafir ke Mesir untuk menyebar luaskan seruan beliau. Kemudiannya beliau ke Hijaz, seterusnya kembali semula ke Mesir dan bermastautin di ibu kota Kaherah. Semasa di Kaherah, Sheikh al-Islam telah menyeru kepada sekalian umat Islam agar kembali kepada perlaksanaan Syariat Islam dan meninggalkan fahaman sekularisma yang semakin menular di dalam masyarakat. Kehadiran dan seruan Mustafa Sabri telah menggusarkan golongan sekular di Mesir yang pro Revolusi Atatürk.


Mustafa Sabri telah menghasilkan banyak buku di dalam Bahasa Turki dan Arab. Akan tetapi di kalangan hasil tulisan itu, kitabnya yang paling masyhur adalah Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin (Kedudukan Akal, Ilmu dan Alam di Dalam Hubungannya Dengan Rabbul Alamin dan Para Rasul). Ia diterbitkan di Kaherah pada tahun 1950.


foto045


Salah sebuah buku karya beliau adalah buku ini yang bertajuk AL-NAKIR ‘ALA MUNKIRI AL-NI’MAH MIN AL-DIN WA AL-KHILAFAH WA AL-UMMAH (Sanggahan Terhadap Golongan Yang Memungkiri Nikmat Yang Dinikmati Daripada Agama, Khilafah dan Ummah). Buku ini saya beli pada 12 Ogos 2000 di Dar al-Ammar, Amman Jordan, dengan harga JD1.75.


MUSTAFA SABRI DAN MASALAH PEMISAHAN DI ANTARA AGAMA DAN POLITIK


Permasalahan ini adalah di antara permasalahan paling utama yang dibahaskan oleh Mustafa Sabri di dalam kitabnya Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin. Mustafa Sabri memulakan perbahasan dengan menerangkan pandangan beliau tentang tulisan Dr. Haikal Pasha di dalam bukunya Hayat Muhammad. Kata Sheikh al-Islam, “Walaupun Islam di Mesir telah pun dipisahkan daripada negara dan kerajaan dengan membahagikan mahkamah kepada Mahkamah Syariah dan Sivil, serta mengeluarkan Sheikh al-Azhar daripada kabinet menteri dan sebagainya, namun Haikal Pasha mahukan pemisahan itu berlaku di dalam bentuk yang lebih terang iaitu dengan menghapuskan terus Islam daripada kedudukannya sebagai agama rasmi negara sebagaimana yang terjadi kepada Turki Baru (Turki di bawah kuasa Ataturk). Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi menegaskan bahawa seruan seperti itu adalah seruan yang mengeluarkan negara dari pegangan Islam. Sokongan masyarakat dengan mendokong kerajaan seperti ini juga adalah sokongan yang mengeluarkan mereka dari Islam. Dalam erti kata yang lain, seruan sedemikian rupa adalah seruan kepada murtadnya kerajaan dan murtadnya Ummah!


KESIMPULAN FIKRAH YANG DIPERJUANGKANNYA


Di antara isi penting fikrah yang diperjuangan oleh Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi, adalah seperti berikut:



Membangunkan umat Islam untuk bangkit menghapuskan segala anasir sekularisma serta pembaratan tamadun dan akhlak.
Berpegang teguh dengan jalan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Mengembalikan Khilafah Islamiyyah.

Selain kitab Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin,  di antara kitabnya yang juga terkenal adalah Dini Mucedditleri (Mujaddid-mujaddid Agama), Mes‘eletü Tercemet-il-Kur‘an (Masalah-masalah Terjemahan al-Quran), Savm Risâlesi (Risalah Puasa), El-Kavl-ül Fasl (Kata-kata Pemutus) dan lain-lain.


Semenjak sekian lama, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi di mata pendokong Kemalisma, adalah seorang penjenayah yang mengancam negara. Beliau bersama sejumlah besar Ulama’ dan tokoh masyarakat telah dihukum dengan pelbagai peruntukan undang-undang. Ada yang dihukum bunuh, dipenjara dan ada juga yang dibuang negeri seperti Mustafa Sabri. Walau bagaimana pun semasa beliau berada di Mesir, Mustafa Sabri bersama-sama dengan 150 orang  yang lain telah ‘dikurniakan pengampunan’ oleh kerajaan Atatürk


Akan tetapi Mustafa Sabri menolaknya dan enggan pulang ke Turki sehinggalah beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 1954. Sheikh al-Islam Mustafa Sabri telah meninggal dunia selepas perjuangannya yang panjang. Usaha beliau mempertahankan Islam dan berkata TIDAK kepada segenap lapisan masyarakat yang sudah mabuk Kemalisma dan segala yang datang dari Barat.


Semoga Allah merahmati Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi yang menjadikan tulang empat keratnya sebagai tiang penahan rebah Ummah di kala musnahnya Khilafah.


Antara kata-kata Sheikh Mustafa Sabri semasa beliau dipujuk di Mesir agar mengurangkan serangannya terhadap Mustafa Kemal Ataturk:


إنه ليس من وظيفة العلماء محاباة العامة ومجاراة الدهماء

“Sesungguhnya bukanlah peranan ulama untuk menurut apa yang disukai oleh orang ramai atau menyokong kehendak golongan yang dungu!” [AL-NAKIR 'ALA MUNKIRI AL-NI'MAH MIN AL-DIN WA AL-KHILAFAH WA AL-UMMAH]

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (2210) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 27, 2014 17:18

January 26, 2014

Ankara: Murshid, Murabbi, Ukhuwwah dan Mahabbah

Kocatepe_Camii_Ankara


“Pelik betul rekaan dalaman Hotel Murat ini. Macam That 70′s Show” saya mengomel.


Selepas solat subuh, kami bermalas-malasan di bilik. Terasa berat benar hendak bangun. Letih selepas perjalanan panjang bermula zohor semalam hingga ke jam 1 pagi. Puas kami berpusing di sekeliling kawasan Çankaya kerana mahu mencari hotel. Tidak mahu yang mahal-mahal. Tetapi takut pula dengan hotel murah yang banyak kegiatan ‘sampingan’.


Syukur.


Rasanya, Hotel Murat di Esat Caddesi memberi peluang kami tidur dengan tenang. Pada kadar sekitar RM200 semalam bersama sarapan, hotel sederhana di tengah-tengah ibu kota Ankara ini boleh memotong masa untuk kami bertemu dengan rombongan Istanbul sebentar lagi.


“Assalamualaikum” Halim menjawab panggilan telefon.


“Orang Istanbul, kot?” saya bertanya.


Nabhan mengangguk.


Alhamdulillah, ‘Bujang Lapok’ bertiga dari Istanbul sudah sampai. Mereka kini berada di Stesyen Bas Besar Ankara. Ia lebih dikenali sebagai AŞTİ iaitu singkatan kepada Ankara Şehirlerarası Terminal İşletmesi. Mereka mahu bersarapan dahulu sebelum kami bertiga pergi mengambil mereka di sana.


“Jom kita sarapan!” saya mengajak Nabhan dan Halim.


Ada baiknya kami kemas barang dan turun untuk check out terus bagi menjimatkan masa.


20130208_080658_HDR


Sambil mengambil giliran ke bilik air, mata saya memandang lepas ke luar, melihat Ankara disimbah mentari pagi. Kali terakhir saya datang ke Ankara adalah pada tahun 1997. Kali kedua, adalah pada tahun 1995. Saya masih ingat, pada masa tersebut saya datang ke Ankara bersama Munawwar, Arief, Baihaqi, Sabri dan Abdul Rasyid. Kami berpakat untuk mengembara merentas Turki.


Saya tinggal di asrama Milli Gençlik Vakfı di Ankara bersama Hasan Hakikatoğlu, abang kepada sahabat saya Hüseyin. Hasan pada masa itu menuntut di Dil ve Tarih - Coğrafya Fakültesi (Fakulti Bahasa dan Sejarah – Geografi) di Universiti Ankara. Beliau menghadiahkan saya beberapa keping salinan manuskrip era Sultan Süleyman I sebagai pengenalan kepada sumber primer sejarah Dawlah Uthmaniyyah. Fakulti beliau mengajar secara khusus kaedah membaca dokumen-dokumen sejarah seperti manuskrip berkenaan.


Saya sudah lama terputus hubungan dengan Hasan, juga adiknya Hüseyin. Mungkin kini mereka berada di Jerman kerana keluarga mereka tinggal di sana pada masa tersebut.


Di kala itu, kami bermusafir jauh dari Ankara ke Trabzon, Rize, turun ke Antakya dan kemudian naik ke Konya hinggalah ke Istanbul. Kisah perjalanan itu ada saya catatankan dalam travelog lalu, Secangkir Teh Pengubat Letih. Ketika itu kami hanya berbelanja sekitar USD200 untuk keseluruhan perjalanan. Berbeza dengan Turki hari ini. Malam ini sahaja kami membayar hampir USD1o0 untuk hotel!


Biar pun perbelanjaan di Turki kini mahal dan menjadi cabaran buat ‘pelancong’ seperti saya, andai ia menjelaskan tentang meningkatnya taraf hidup rakyat Turki, saya bersyukur. Itulah yang baik buat saudara saya di Turki, petanda kejayaan mereka bangkit daripada gelombang politik radikal era 1990′an yang mengorbankan ekonomi.


Usai bersarapan pagi dan check-out, kami pergi mendapatkan kereta. Kasihan. Si kacak berwarna putih itu kelihatan comot selepas menempuh lebih 1000 kilometer perjalanan. Inshaallah ia bukan comot sebarangan. Jika dahulu kala, itulah barangkali debu-debu yang melekat di kaki kuda jihad di medan perang dan menuntut ilmu.


bab-ilm


Teringat saya kepada kisah yang dibawa oleh Kathir bin Qays sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Birgivi di dalam Bab Fadhilat ilmu bahawa seorang lelaki datang dari Madinah menemui Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu yang ketika itu berada di Dimashq. Beliau bertanya kepada lelaki itu, “apakah yang membawa engkau ke mari?”


Lelaki itu menjawab, “ada sebuah hadith yang telah dimaklumkan kepadaku bahawa tuan meriwayatkannya daripada Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam!”


Abu Darda’ bertanya, “apakah engkau datang untuk hajat (selain itu)?”


Lelaki itu menjawab, “tidak”


Abu Darda’ bertanya lagi, “apakah dengan urusan perniagaan?”


Lelaki itu menjawab lagi, “tidak. Aku tidak datang ke mari kecuali untuk mempelajari hal berkaitan hadith ini”


Abu Darda’ berkata, aku mendengar Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:


مَن سلَك طريقًا يطلُبُ فيه عِلمًا سلَك اللهُ به طريقًا مِن طُرقِ الجنَّةِ والملائكةُ تضَعُ أجنحتَها رضًا لطالبِ العِلمِ وإنَّ العالِمَ يستغفِرُ له مَن في السَّمواتِ ومَن في الأرضِ والحِيتانُ في الماءِ وفَضْلُ العالِمِ على العابِدِ كفضلِ القمرِ ليلةَ البدرِ على سائرِ الكواكبِ إنَّ العلماءَ ورَثةُ الأنبياءِ إنَّ الأنبياءَ لَمْ يُورِثوا دينارًا ولا دِرهمًا وأورَثوا العِلْمَ فمَن أخَذه أخَذ بحظٍّ وافرٍ

“Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap – sayapnya. Karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang menuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim (ulama) dibandingkan seorang ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham. Tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bagian yang banyak.” [Sahih Ibn Hibban]

Janganlah semasa membaca hadith ini, kita membayangkan setting yang terikat dengan bayangan medieval. Ia relevan sepanjang zaman. Biar pun pada masa ini maklumat memang berada di hujung jari, bermusafir untuk meneliti keabsahan ilmu masih diperlukan. Terutamanya di bidang sejarah.


Malah bidang sejarah juga bukanlah bidang yang terasing daripada ilmu-ilmu yang lain.


Andai kita belajar al-Quran, al-Hadith, Fiqh, atau apa sahaja cabang ilmu Islam, ia sampai kepada kita sebagai bahan sejarah. Penelitian bukan hanya kepada huraian, tetapi di belakang minda seorang penuntut ilmu, mesti ada pertanyaan bagaimana ilmu ini sampai kepadanya?


Biar pun hari ini kami memandu Renault Fluence dan bukan lagi kuda atau unta, motifnya masih sama.


Demi ilmu.


Demi memudahkan perjalanan untuk ke Syurga.


“Ustaz, itu dia mereka!” kata Nabhan.


“Ahlan wa sahlan, masuk, masuk!” saya mempersilakan anak muda bertiga itu masuk.


Halim Khayat, Ammar, Saifuddin kelihatan letih dan kusam. Penat menaiki bas barangkali.


“Assalamualaikum ustaz!” Halim Khayat memberi salam.


Ammar dan Saifuddin juga memberi salam. Mereka bertiga menyumbat-nyumbatkan diri ke dalam kereta.


“Apa khabar? Antum sihat semua? Ok ke perjalanan bas malam tadi?” saya meramahkan diri.


“Alhamdulillah. Semuanya lancar” jawab Ammar.


“Itulah, ana ajak ikut sekali ke Birgi, korang sombong. Tak nak ikut” saya mengusik.


Mereka semua tersenyum.


Halim Khayat menuntut bidang Sosiologi. Ahmad Ammar pula belajar di bidang Sejarah. Manakala Saifuddin pula menuntut bidang Sains Politik. Ketiga-tiga mereka belajar di universiti yang sama, Universiti Marmara di Istanbul. Berbunga-bunga hati saya dikelilingi anak muda yang hebat. Di dalam kereta saya ada seorang ustaz cabuk, bersama dua sejarawan, seorang pakar sains hubungan antarabangsa, seorang sosiologis dan seorang saintis politik.


“Ya Allah peliharalah anak-anak muda ini di jalan menuntut ilmu ini” hati saya berbisik dalam kebanggaan.


Tanpa berlengah lagi, kami berenam bergerak menuju ke Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Mahatma Gandhi. Pengalaman memandu di tengah-tengah kota Ankara agar mendebarkan. Biar pun tidak sesibuk dan sepadat Istanbul, jalanraya di Ankara tetap sibuk dengan kenderaan berpusu-pusu ke sana sini. Tambahan pula memandu di sebelah kiri, sesuatu yang asing buat saya.


kedutaanditurki


Di Kedutaan, mereka semua pergi menguruskan pasport masing-masing. Melalui perbualan saya bersama mereka, saya berasa gembira dengan hubungan yang baik antara pegawai-pegawai diplomat Malaysia dengan para pelajar di Turki. Ia adalah hubungan yang penting. Sesuatu yang tidak dapat kami kecapi semasa saya belajar di Jordan. Sentimen politik dan permusuhan yang berbalas-balas antara para pegawai dengan pelajar telah banyak mengundang musibah dan kesusahan kepada kedua belah pihak.


Salah satu sebab mengapa travelog Rindu Bau Pohon Tin saya nipis.


Jordan meninggalkan kenangan yang pahit, sebelum kematangan fikiran memaniskan ibrah daripada semuanya, sedekad kemudian.


Saya tidak masuk ke bangunan Kedutaan kerana menjaga kereta. Kami tidak dapat mencari petak parkir yang amat terhad di sekitar kawasan Kedutaan.


“Ustaz, minta maaf, saya kena buat gambar” kata Halim Bohari.


Kali ini di kereta saya ada dua Halim.


“Oh tak ada masalah. Anta tahu ada kedai gambar dekat-dekat sini?”


“Saya rasa saya tahu. Ada di bawah sana tu” jelas Halim.


Terima kasih Renault. Terima kasih Azri Izdan jurutera budiman di Istanbul. Banyak jasa kereta ini.


Saya membawa Halim pergi ke kedai gambar. Suasana sekitar Kedutaan Malaysia di Çankaya berbukit bukau. Memang agak sukar untuk memandu. Mujur kereta automatik dan bukannya manual. Di Turki juga, kami belajar menguruskan ruang parkir dengan semaksima mungkin. Mesti mahir memasukkan kereta ke kotak. Perlu rapat-rapat, jimatkan masa. Seperti saf solat.


Malah lebih rapat dari saf solat barangkali.


Alhamdulillah urusan di kedai gambar lancar. Urusan di Kedutaan juga bagus dan pantas. Dalam tempoh sekitar sejam, semuanya siap.


“Pasport nanti akan dipos atau kena ambil by hand?” saya bertanya.


“Kena ambil by hand, ustaz” jawab Saifuddin.


“Oh, maknanya kalian kenalah datang ke Ankara lagi nanti, ya?” saya menyoal.


“Tak apa. Bukan selalu ustaz. Kami pun sudah biasa dengan Ankara. TÖMER dulu pun di sini” jawab Halim Khayat.


“Khair Inshaallah. Ok, sekarang ni kita nak ke mana? Bagitahu sahaja, I am all yours!” saya membuat tawaran.


Mereka memandang sesama sendiri, kemudian ketawa.


“Kami nak shopping baju bundle, boleh tak ustaz?” tanya Halim Bohari.


“Haha, di Turki pun kalian menyelam? Ingatkan di Jordan sahaja” saya ketawa.


Di Jordan, memang aktiviti mencari jersi bola, baju jaket, kasut kulit dan jeans mahal-mahal di deretan kedai pakaian terpakai, adalah aktiviti yang amat popular. Istilah yang dipakai ialah ‘menyelam’. Mungkin longgokan pakaian bundle yang luas bagai lautan, menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia berangan-angan seperti mereka itu berenang di perairan Eropah mencari pakaian terpakai berjenama dengan harga yang murah.


Dulu, siapa yang pakai baju berkenaan?


Soalan itu tidak relevan.


Biar second hand, asal bergaya!


“Haha, jom, jom. Antum tunjukkan jalan, ok” saya mula memandu.


Kami menuju ke Ulus.


Cabaran pertama, adalah kesusahan untuk memakir kereta. Setelah berpusing-pusing di sekitar pasar, perkarangan sebuah sekolah telah dibuka untuk tujuan parkir. Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kereta kami di situ. Kunci kereta juga kami tinggalkan seperti yang diminta oleh pengusahanya.


Tawakkal sahaja.


20130209_130003


Kawasan lama untuk membeli belah, lorong-lorong berbecak dengan bau kot yang sangat epic itu, mengingatkan saya kepada novel Adhan Over Anatolia oleh Marian Kazi. Ia adalah novel berformat travelog pertama yang saya baca tentang Turki. Novel berkenaan adalah catatan Marian Kazi seorang wanita Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan mengikut suaminya bekerja di Turki pada tahun 1970′an. Kehidupan di Ankara digambarkan dengan begitu baik di dalam buku berkenaan.


Indahnya sebuah novel berbanding filem, novel memberi kebebasan kepada pembaca untuk membina imaginasi, memilih pelakon sendiri untuk cerita yang dibaca. Lorong-lorong sempit di Ulus ini, sangat menepati imaginasi saya semasa membaca tentang Marian Kazi dan kehidupannya ketika itu.


“Jaket Matrix ada?” tanya Halim Bohari kepada pekedai.


“Wah, Keanu Reeves! Sesuai, sesuai!” saya ketawa.


Seronok saya melihat gelagat mereka. Teringat zaman muda-muda dulu. Oleh kerana baju sejuk di kedai bundle di Jordan murah, memang pelajar sering teruja untuk membelinya. Selepas saya membeli jaket Adidas di Istanbul pada tahun 1996, saya sudah sangat selesa dan bahagia dengannya. Tidak lagi tercari-cari. Dan oleh kerana baju sejuk Adidas itu begitu sinonim dengan saya, anak Vietnam yang menaiki double decker di London semasa saya bekerja di sana pun, memanggil saya sebagai ‘Mr. Adidas’! Nukilan travelog Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.


“Ustaz ada apa-apa hajat di Ankara ini?” Nabhan bertanya.


“Mengikut prioriti, tiada apa-apa. Tetapi jika cukup masa, banyak juga hajatnya” saya menjawab.


“Apa dia?” tanya Nabhan.


“Ana harap kita dapat solat di Masjid Hacı Bayram. Kemudian kalau dapat ana nak melawat Universiti Bilkent. Dan ketiga, ana nak bawa antum bertemu dengan sahabat baik ana, Dr. Cenksu Uçer” saya membentangkan pelan tidak terancang ini.


“Ustaz dah hubungi Dr. Cenksu?” soal Nabhan.


“Ana sudah emel tempoh hari. Dia pesan, apabila sampai di Ankara, telefon dia. Kalau dia tahu kita tidur di hotel malam tadi, mesti dia marah” saya tersenyum.


Nabhan telah membantu saya menelefon Cenksu. Seperti yang dijangka, beliau memang marah dengan perbuatan saya bermalam di hotel. Saya hanya tersengih mendengar perbualan Nabhan dengan Cenksu. Melalui panggilan telefon berkenaan, Cenksu mencadangkan kami singgah di pejabatnya di ibu pejabat Diyanet Vakfı jam 3 petang, kemudian ke kampus Bilkent yang terletak berdekatan dengan pejabat itu dan kemudiannya ke rumah beliau serta bermalam di sana.


Mumtaz!


Pelan yang bagus.


20130209_135157_HDR


Semasa kembali ke kereta, kami terkejut melihat kereta yang disusun bagaikan sardin di dalam tin! Bagaimana hendak dikeluarkan kereta kami sedangkan ia berada jauh di sebelah dalam dan sekurang-kurangnya ada 10 kereta lain yang disusun menghalang jalan keluar?


“Aduh, pening kepala” saya sudah mula tertekan.


Geram dengan sistem yang tidak bersistem itu.


Manakan tidak, boleh pula penjaga parkir itu menyuruh kami pergi menyambung membeli belah dalam sejam dua lagi!


Setelah didesak, akhirnya beliau setuju mengalihkan semua kereta untuk memberi laluan kepada kereta kami keluar. Kecut perut juga saya dibuatnya sebab beliau hanya mengeluarkan kereta saya daripada kotak parkir. Namun saya perlu memandu sendiri secara mengundur kereta berkenaan ke luar daripada kawasan sekolah hingga ke jalanraya.


Aduh!


Teringat kembali kepada kemalangan jalanraya di Jordan dahulu.


Trauma.


Kesemua anak muda tadi menunggu di luar dan membantu memberi isyarat kepada saya. Selepas bersusah payah lebih 10 minit akhirnya kereta berkenaan berjaya dibawa ke luar dan kami bergegas menuju ke Masjid Hacı Bayram.


Biar pun jarak antara Ulus dan Masjid Hacı Bayram itu dekat sahaja, kami perlu berpusing-pusing untuk mencari ruang parkir yang sesuai. Masjid Hacı Bayram terletak tidak jauh dari Hotel Murat di Çankaya.


“Allah, ramainya orang!” saya tergamam melihat jemaah solat Jumaat yang melimpah hingga ke luar perkarangan masjid. Ia adalah masjid paling utama di Ankara, walaupun bukan yang terbesar. Kali terakhir saya hadir ke sini, masjid ini masih dalam saiz asalnya, dikelilingi oleh banyak kedai buku antik. Kini, ia sudah dibesarkan berkali-kali ganda, siap dengan eskalator dan ruang wudhu’ bertingkat.


Kami tiba agak lewat, maka mustahil untuk solat di dalam bangunan masjid.


Saya hanya solat di celah pagar dan bersujud seadanya.


Teringat kenangan semasa bersolat Jumaat dengan Dr. Aziz Hanafi di Malaysia Hall London lama dahulu. Disebabkan oleh hujan lebat dan kami tiba lewat, kami hanya dapat bersolat Jumaat di koridor yang sempit. Bingung saya berfikir bagaimana untuk sujud. Dr. Aziz Hanafi mengingatkan saya kembali tentang apa yang sebenarnya telah saya pelajari di Jordan dahulu.


64_16


“…Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” [Al-Taghabun 64: 16]

Kami hanya rukuk dan sujud ke tahap yang kami termampu.


Rukuk tunduk sedikit.


Sujud, tunduk sebanyak yang termampu, melebihi tunduk rukuk tadi.


hacibayram


ANKARA DAN HACI BAYRAM


Siapakah Hacı Bayram?


Hacı Bayram dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Ankara sekitar tahun 1352. Beliau menukar nama asalnya Nu’man kepada Bayram selepas pertemuannya dengan gurunya, Somuncu Baba yang terjadi semasa Hariraya Aidiladha. Di dalam Bahasa Turki, Aidiladha disebut sebagai Kurban Bayram.


Hacı Bayram merantau dari satu tempat ke satu tempat di wilayah Anatolia untuk menuntut ilmu. Semasa berada di Kayseri beliau bertemu dengan Shāikh Hāmeed Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī, salah seorang daripada murshid kepada Sheikh Khoja Alā ad-Dīn Alī, yang menggerakkan Tarekat Sāfavīyyah.


Hubungan yang akrab antara Tuan Guru, Shāikh Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī dan anak muridnya Hacı Bayram berterusan semasa mereka bermastautin di Bursa. Ketika itulah mereka pergi menunaikan Haji bersama dan di sepanjang perjalanan menuju ke Tanah Suci, Sheikh Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī menyampaikan ajarannya dalam disiplin Tasawwuf kepada Hacı Bayram. Shāikh Hāmeed’ūd-Dīn telah meninggal dunia pada tahun 1412 dan mewariskan kepimpinannya dalam gerakan Tasawwuf kepada Hacı Bayram-ı Veli, Beliau telah kembali ke Ankara dan mengasaskan gerakan yang kemudiannya dikenali sebagai Tarekat Bayramiyyah, iaitu salah satu daripada empat tiang utama Tasawwuf di bumi Anatolia; Şa’ban Veli di Kastamonu, Rumi, Hacı Bektaş dan Hacı Bayram.


Hacı Bayram telah membangunkan pusat pengajian ilmu Islam dan gerakan Dervish di lokasi di mana Masjid Hacı Bayram dan maqamnya berada.


MENUJU PEMBUKAAN CONSTANTINOPLE


Perkembangan gerakan-gerakan sebegini di Anatolia menimbulkan kebimbangan kepada Sultan Murad II di Edirne. Untuk menyiasat pelbagai khabar angin, baginda telah memanggil Hacı Bayram ke Edirne untuk bersoal jawab dengannya.


Hacı Bayram pergi ke Edirne bersama salah seorang anak muridnya yang utama iaitu Akşemseddin. Hasil soal jawab yang berlaku, Sultan Murad berpuas hati dan menganggap khabar-khabar angin tentang gerakan Hacı Bayram di Anatolia itu sebagai tidak benar. Malah Hacı Bayram dan Akşemseddin diberikan ruang untuk mengajar di Edirne untuk beberapa ketika.


Sultan Murad II yang memberikan fokus kepada penawanan Constantinople telah bertanya pendapat Hacı Bayram, “siapakah yang akan menawan kota itu?”


Hacı Bayram menjawab “Tuanku tidak akan melakukannya. Sebaliknya ia akan dilakukan oleh si anak kecil ini. Ketika itu engkau dan aku sudah tiada. Tetapi anak muridku Akşemseddin akan berada bersamanya”


Bayi yang Hacı Bayram maksudkan itu adalah Amir Muhammad, iaitulah Sultan Muhammad al-Fatih, sang penawan kota Constantinople pada tahun 1453, di bawah didikan gurunya, Sheikh Akşemseddin. Hacı Bayram yang meminta daripada Sultan Murad II agar anak muridnya Akşemseddin diterima sebagai guru kepada putera sultan dan ia merupakan sebuah perancangan yang amat berhasil, dengan izin Allah. Hacı Bayram telah beberapa kali melawat Edirne selepas itu sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1429/1430 dan menyerahkan kepimpinan Tarekat Bayramiyyah kepada Akşemseddin.


Pada masa yang sama seorang lagi anak murid kepada Hacı Bayram iaitu Sheykh Lütfullah. Beliau menerima ijazah daripada Hacı Bayram untuk mengembangkan Tarekat Bayramiyyah di Balıkesir. Imam Birgivi, adalah cicit kepada Sheykh Lütfullah dan beliau merupakan anggota kepada Tarekat Bayramiyyah itu juga.


Di situlah saya hubungkan Birgi dengan Ankara, serta Istanbul.


GELAGAT ANAK PERANTAU


Antara kata-kata Hacı Bayram yang penting untuk diingat oleh para pelajar ialah:


Önce ilim tahsil ediniz, sonra helalinden para kazanıp evleniniz.


Tuntulah ilmu terlebih dahulu, kemudian engkau akan berkahwin dengan bekalan wang yang halal.


Saya amat berharap agar anak-anak muda yang meneman saya hari ini bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Saya tidak sama sekali menafikan kepentingan berkahwin untuk kesempurnaan agama. Namun sulit sekali untuk proses menuntut ilmu yang memerlukan seorang lelaki itu membelah bumi Allah, ditunaikan. Belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan pening dengan tekanan gambar-gambar perkahwinan rakan di Malaysia.


“Kita nak makan tengah hari di mana?” saya bertanya kepada mereka.


Saya berhasrat mahu membawa mereka semua makan di tempat makan istimewa di Ankara. Saya tidak tahu apa yang istimewa di Ankara. Dan bagi anak-anak muda ini, mereka bersetuju untuk makan tengah hari di Restoran Cina di Kentpark Shopping Centre yang terletak di Eskişehir Yolu.


“Bagus, bagus. Sebab ana nak belanja antum” saya memberitahu.


Saya masih ingat semasa saya ke Jogjakarta untuk program pelajar di sana. Mereka mahu mahu membelanja saya makanan istimewa di Jogjakarta. Niat yang suci itu membawa kami ke sebuah Restoran Thai dengan hidangan tomyam di Pulau Jawa. Ia nyata amat istimewa untuk pelajar Malaysia yang duduk di Jogjakarta. Namun bagi saya yang datang dari Malaysia beberapa hari yang lalu, makanan Thai bukanlah apa yang akan saya katakan sebagai istimewa.


Sahabat-sahabat saya di Jogjakarta terkejut semasa saya mengusik mereka tentang hal ini. Mereka mahu memberikan yang istimewa kepada saya, apa yang istimewa kepada mereka. Biar pun hasrat mereka gagal (haha), saya sangat gembira melihat mereka bersungguh makan makan Thai malam itu.


Rindukan kampung halaman gayanya.


20130209_151412_HDR


Dan bagi Halim Khayat, Halim Bohari, Nabhan, Saifuddin dan Ammar, makanan Cina yang Halal di Kentpark itu semestinya sesuatu yang istimewa buat mereka, juga buat saya yang sudah berminggu-minggu menjamah kebab!


Alhamdulillah.


BERTEMU CENKSU UÇER


“Hasrizal!!!” Cenksu mendakap saya.


Kami berpelukan melepaskan rasa rindu.


Sudah lebih 10 tahun kami tidak bertemu.


Saya ada banyak kenangan manis bersama Cenksu, ketika menuntut di Jordan. Semasa biasiswa saya digantung, kehidupan yang terumbang ambing membawa saya keluar meninggalkan rumah sewa kami dan berpindah ke rumah Cenksu. Sebuah rumah di atas bukit berhadapan al-Bab al-Ra’isi berhampiran University of Jordan, adalah rumah tempat saya menumpang teduh.


Kami tinggal berlima di rumah itu. Saya bersama Cenksu, Said Bolat, Mustafa Demirci serta Adnan Çevik. Cenksu berkongsi bilik dengan saya, dan paling rapat berbanding rakan yang lain. Beliaulah yang selalu memujuk saya semasa saya menangis seperti budak kecil kerana tertekan dengan masalah hidup yang saya hadapi pada masa itu.


Cenksu berasal dari Bolvadin, sekampung dengan Fatih Kayacan.


Tanpa pengetahuan saya, Cenksu menceritakan keadaan diri saya kepada Fatih dan ia menyebabkan Fatih marah kepada saya kerana menyembunyikan masalah penggantungan biasiswa berkenaan daripada pengetahuan beliau. Melalui Cenksu, Fatih telah mengirim sejumlah wang daripada keluarganya untuk membantu meringankan beban. Semuanya telah saya nukilkan di dalam travelog Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.


Dr. Cenksu kini bertugas di Diyanet Vakfı di Ankara. Beliau menguruskan hal ehwal pelajar. Saya gembira dapat menemukan Cenksu dengan adik-adik ini. Saya tidak pasti apakah bentuk kerjasama yang boleh dihasilkan, namun saya yang tinggal jauh di Malaysia, saya yakin ukhuwwah saya bersama Cenksu lebih bermakna jika ia boleh diperpanjangkan kepada mereka yang tinggal di Turki.


“Anta Hasrizal, kenapa  tidur di hotel semalam? Aib, sungguh mengaibkan!” kata Cenksu antara marah dan ketawa.


“Kami sampai jam 1 pagi dan kami sebenarnya tidak pasti pukul berapa kami akan sampai ke Ankara. Tidak mengapalah malam tadi tidur di hotel. Malam ini kami tidur di rumah anta, boleh?” saya bertanya.


“Bukan boleh, tetapi WAJIB!” kata Cenksu.


Bahasa Turki saya entah ke mana. Tambahan pula ada pelajar-pelajar Malaysia yang fasih berbahasa Turki. Lagilah saya terkelu lidah. Maka saya berbual di dalam bahasa Arab dengan Cenksu, manakala beliau pula berbual rancak dengan yang lain di dalam Bahasa Turki.


Selepas kira-kira satu jam kami berbual, saya meminta izin untuk ke Universiti Bilkent berdekatan dan akan kembali semula ke pejabat Cenksu untuk mengambil beliau menuju ke rumahnya.


“Tamam, kita berjumpa jam enam nanti, ya” Cenksu bersetuju.


Universiti Bilkent terletak tidak jauh daripada Diyanet Vakfı. Saya ke Bilkent benar-benar kerana Halil İnalcık yang mengajar di situ. Saya tidak rasa saya mempunyai peluang untuk bertemu dengannya. Tetapi sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke Bilkent, boleh menyuntik semangat untuk saya meneruskan usaha mengkaji sejarah Dawlah Uthmaniyyah.


“Ada ke pelajar Malaysia di universiti ini?” saya bertanya.


“Setakat yang kami tahu, tiada, ustaz” jawab Halim Khayat.


“Antum pernah datang ke universiti ini?” saya menyoal lagi.


“Tak pernah, semua first time!” jawab Nabhan.


bilkent


Di kampus Universiti Bilkent, kami telah pergi ke kedai buku universiti untuk mendapatkan buku-buku terbitan universiti. Kami hanya punya waktu sejam untuk melawatnya. Ia adalah sebuah universiti swasta dengan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran. Banyak tesis sarjana dan PhD di Universiti Bilkent saya rujuk untuk kajian berkenaan Turki dan Dawlah Uthmaniyyah.


“Eh, ana belum solat Asar. Allahu Rabbi. Tadi semasa di masjid, tak boleh nak solat sebab pergerakan manusia begitu sesak” saya memberitahu.


Usai membeli beberapa buah buku, kami mencari-cari surau.


Susah sekali hendak bertemu dengan tempat solat. Universiti Bilkent sangat berbeza daripada perkembangan Islam di Turki. Di dalam kampus, kita merasakan ia seperti Turki pada tahun 1970′an dahulu. Tetapi ada jugalah beberapa orang mahasiswi bertudung yang berselisih dengan kami.


“Anta tanyalah mereka di mana masjid” saya meminta Halim Bohari bertanya.


Dengan muka merah padam, Halim bertanya. Mereka juga kelihatan teruja bertemu dengan kami orang Malaysia. Tunjuk arah yang mereka berikan agak memeningkan kami. Sedangkan yang belum bersolat hanya saya dan Saifuddin.


“Anta ada pengalaman solat atas rumput?” saya bertanya.


Saifuddin ketawa kecil.


Ya pun tidak. Tidak pun tidak.


Lucu juga.


Dalam ramai-ramai di kalangan mereka, Saifuddin dan Ammar adalah yang paling pendiam tetapi cermat memerhati.


“Jom kita solat sahaja di bawah pokok ini” saya mengajak beliau bersama.


Di Turki, seperti tiada keperluan untuk solat di rumput sebab masjid berada di mana-mana. Tetapi tidak di Bilkent. Solat di bawah pokok terjadi dan enaknya sujud di rumput, adalah pengalaman lama saya semasa bermastautin di UK dan Ireland, dahulu kala.


Di Turki, sulit sedikit untuk menghayati hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam:


جُعِلَتِ الأرضُ كلُّها مسجِدًا وجُعِل تُربتُها لنا طَهورًا

“Bumi ini dijadikan keseluruhannya sebagai masjid (buat umatku) dan dijadikan tanahnya bagi kita suci lagi menyucikan” [Sahih Ibn Hibban]

Jam 6, kami kembali ke pejabat Cenksu.


Satu pemandangan baru buat saya apabila saya dapati Diyanet Vakfı dan pejabat-pejabat yang lain menyediakan bas untuk mengangkut pekerja dari rumah ke pejabat dan ke rumah semula. Mereka tidak memandu. Krisis bahan api di Turki sangat meruncing. Harganya begitu mahal.


Sebahagian kami menaiki kereta.


Manakala sebahagian yang lain menaiki bas Diyanet Vakfı


Cuaca Maghrib itu sangat sejuk. Mencucuk-cucuk. Saya teringat kembali kepada imej Ankara di dalam memori. Angin sejukkan tidak ubah seperti cuaca di padang pasir Jordan. Kali terakhir saya datang ke Ankara pada tahun 1997, tasik di Gençlik Parkı itu beku dengan suhu -13ºC.


Di rumah, kami disambut oleh ayah mertua Cenksu, isteri serta tiga anaknya yang comel-comel.


cenksu-ev


Ya Allah, kali terakhir berjumpa, kami masih budak bujang. Saya dan Cenksu sibuk menyelesaikan tesis sarjana beliau iaitu tahqiq kepada karya klasik Ali b. Ahmed el-Hittî iaitu Es-Seyfu’l-Bâtır Adlı Eseri ve Mezhepler Tarihindeki Yeri. Setiap hari kami berbincang tentang metodologi Syiah dan perkembangan sejarahnya, terutamanya di luar era Abbasiyyah, iaitu era yang kurang diberi perhatian dalam tumpuan semasa.


“Ya sahabat semua, inilah ukhuwwah. Selepas berbelas tahun tidak berjumpa, persaudaraan jangan dilupa. Walaupun semalam beliau tidur di hotel, dia tetap saudara saya yang saya kasihi!” kata Cenksu kepada kami.


Saya ketawa.


Belum habis lagi beliau mengungkit kesalahan saya tidur di hotel semalam.


“Hasrizal, saya mengikuti serba sedikit perkembangan kamu di Malezya. Dan dahulunya di Irlanda. Tahniah. Buku perkahwinan kamu itu nampak begitu sukses!” ujar Cenksu.


Aduhai, segan pula saya.


“Alhamdulillah. Tetapi saya jauh ketinggalan. Cenksu sudah selesai PhD dan kini bergelar doktor. Saya masih terumbang ambing menyelesaikan kajian di peringkat sarjana” saya menjawab.


“Itu semua bukan keutamaan tertinggi. Apa yang penting ialah kita menyumbang kepada ummah” jawab Cenksu.


Semasa Cenksu berbual dengan Halim Khayat, Halim Bohari, Nabhan, Saifuddin dan Ammar, saya tersenyum kepuasan. Sepatutnya saya cemburu. Tetapi saya terlalu tua untuk berasa cemburu. Perasaan yang melimpah-limpah di dalam hati adalah rasa bangga dan gembira melihat anak muda ini petah berbual dengan Cenksu, yang turut sama teruja apabila mendapat tahu ada anak-anak muda hebat yang belajar di Turki pada masa ini.


Saya tidur dalam perasaan yang nyaman, senyaman salji putih yang mula turun menyelimuti Ankara.


Terima kasih ya Allah atas ukhuwwah ini.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (91) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 26, 2014 22:36

Dari Birgi ke Ankara: Mengelamun Sempena Usia 40 Tahun

map-denizli


“Ustaz masih mampu memandu?” tanya Nabhan.


“Inshaallah. Jangan bimbang. Jika ana terlalu penat, ana akan beritahu. Ana memang suka memandu. Tambahan pula jalan seperti ini. Kalau di Malaysia, semasa duduk di Ampang, adakalanya selepas solat Subuh, ana akan memandu sendirian menuju ke KL, menikmati jalan kosong di hari cuti” saya bercerita.


“Tapi yang ini memang kosong sungguh” usik Halim.


Memang kosong.


Selepas meninggalkan Birgi dan melepasi pekan Ödemiş, jalan kami sedikit demi sedikit meninggalkan kawasan penempatan dan mula membelah hutan belantara berpohon pine yang sunyi dan sepi.


Birgi dan Ödemiş terletak di sebuah lembah di pergunungan. Jika pengembara mahu sampai ke situ mereka perlu mendaki lereng pergunungan dan jika mahu meninggalkannya melalui mana-mana arah sekali pun, mereka perlu mendaki semula puncak banjaran dan turun sedikit demi sedikit ke sebelah sana.


Ada beberapa jalan keluar dari Birgi. Tetapi saya berhajat untuk singgah ke Bolvadin. Biar pun Fatih berada di Istanbul, dan Ahmet gagal saya hubungi kerana mungkin sudah bertukar nombor telefon, dapat melihat kelibat Bolvadin di gelita malam pun jadilah. Bau ‘telur busuk’ atau sebenarnya bau sulfur dari mata air panas yang terdapat di merata tempat di wilayah sekitar Afyon, amat saya rindui.


Walaupun tidaklah pula sampai mahu memberi tajuk buku seterusnya, “Rindu Bau Telur Busuk Bolvadin.”


Walaupun sebenarnya, saya memang rindukan ia.


Kereta Renault Fluence yang sedang saya pandu ini adalah amal jariah seorang sahabat. Beliau bertegas mahu berkongsi saham dalam kajian berkenaan Imam Birgivi, justeru mahu perihal sewaan kereta ini beliau uruskan.  Dua hari yang lalu juga, saya menerima emel daripada seorang sahabat yang berkeras meminta saya berikan kepadanya nombor akaun bank saya kerana beliau mahu menyumbang sama.


Syukur kepada-Mu ya Allah.


Saya datang ke Turki dengan bajet dan persiapan yang amat terbatas. Tetapi satu demi satu kemudahan yang hadir tanpa disangka-sangka. Biar pun perbuatan menolong orang lain, tidak saya lakukan kerana mengharapkan balasan, namun peraturan alam ini, bahawa sesungguhnya Allah tidak pernah mensesiakan kebaikan. Sentiasa kebaikan akan disusuli dengan kebaikan.


Janganlah jemu berbuat baik kepada sesama insan.


Jangan kedekut senyum.


Jangan kedekut kudrat.


Jangan kedekut duit.


Jangan kedekut masa.


Jangan terlalu berkira.


Seperti dunia ini, sedikit benar bahagiannya.


Terlupa kepada rahmat Allah.


tariqah-m


Di dalam bab ke-16 di dalam Tariqah Muhammadiyyah, Imam Birgivi menyebut bahawa sifat kedekut dan terlalu berkira itu, adalah akibat daripada lemahnya keyakinan seseorang kepada Allah. Orang yang kedekut itu bukan sahaja mencetuskan kesusahan kepada dirinya, tetapi juga kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Dia menahan harta yang dimilikinya daripada dibelanjakan untuk keperluan kerana dia berimaginasi tanpa sedar bahawa pada masa hadapan dia kehilangan apa yang sedang dia miliki. Si bakhil ini, disebabkan oleh ketakutannya terhadap kesusahan yang diimaginasi itu, dia mencetuskan kesusahan segera yang semasa.


Si kedekut ini tidak mempunyai iman yang diperlukan untuk dia meyakini bahawa apa yang berada di tangan, bukan miliknya. Dia percaya bahawa masa depannya bergantung kepada usahanya semata. Manusia ini juga hilang kemanusiannya, dan hilang kebijaksanaan fikiran untuk memahami bahawa apa yang diberikan oleh Allah kepadanya adalah untuk disalurkan kepada keperluan diri dan keperluan orang lain di sekelilingnya.


Sifat bakhil itu mematikan kehidupan diri dan tamadun insan.


Ia adalah kebinasaan.


Firman Allah Azza wa Jalla:


2_195


Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperelokkan amalannya. [Al-Baqarah 2: 195]

PERJALANAN YANG SEPI


Halim di sebelah saya sudah lena.


Demikian juga Nabhan di belakang.


Mereka kelihatan begitu letih.


Saya juga mungkin sebenarnya sangat letih. Tetapi adrenaline saya masih kencang. Masih bagai bermimpi untuk berada di Turki, selepas 10 tahun terpisah antara benua. Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada isteri saya yang tanpa saya duga, begitu bersahaja menyetujui hajat saya untuk ke Turki. Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Sebulan saya ke Turki, ertinya sebulanlah isteri saya perlu menguruskan empat anak kami yang bukan calang-calang budak.


Ada banyak kerja yang saya buat dalam hidup ini, isteri saya antara setuju dengan tidak setuju.


Beliau gembira dan menyokong dakwah saya. Tetapi apabila dakwah di Malaysia sedikit demi sedikit berubah daripada perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran kepada ‘blink blink‘, Saya juga hairan! Bagaimanakah dakwah Islam yang dicemuh suatu ketika dahulu, kini menjadi sesuatu yang glamour!


Agamawan menjadi selebriti!


selebriti


Selalu juga kami berbalah tentang isu ini.


“Dakwah, itu dalam circle of influence abang. Ia abang kendalikan dengan taqwa, agar sentiasa sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi glamour, publisiti, semua itu adalah benda yang kita tidak boleh kawal. Apa yang penting ialah, kita sentiasa percaya satu sama lain, dan membutakan mata serta memekakkan telinga terhadap apa sahaja bentuk reaksi masyarakat kepada kita. Mereka puji, mereka keji, mereka nak ambil gambar, mereka nak baling telur busuk, sama sahaja. Kerja kita adalah dakwah” saya bertegas.


Isteri saya gelisah.


Sama ada atas sifat kewanitaannya, atau sebagai orang yang paling mengenali saya, elemen glamour yang menimpa dunia dakwah di Malaysia memang memeningkan. Saya juga membencinya.


Crush on sheikh?


Hodoh sangat bunyinya.


Tetapi itulah yang berlaku. Tambahan pula bagi ustaz-ustaz yang popular dengan topik cinta, rumahtangga dan kekeluargaan. Makin diberi nasihat, makin gemar bergayut dengan ustaz-ustaz, ketagih nasihat. Tidak percaya pada kemampuan sendiri menguruskan konflik domestik.


Argh… semua itu sangat merimaskan.


Saya sudah hilang sabar.


Dulu-dulu saya boleh justifikasikan ia dengan isteri. Kini saya juga tepu. Sebulan di Turki ini, saya mengambil masa yang seluas-luasnya untuk bermuhasabah.


Hajat saya untuk meninggalkan dunia dakwah arus perdana, dan berdikit-dikit merangkak ke dunia akademik, menerima sokongan padu isteri.


“Tempat abang memang di situ. Cuma, elok juga sudah berpengalaman masuk ke dunia glamour. Tidaklah nanti jadi ahli akademik yang kemaruk populariti” kata isteri saya, semasa topik ke Turki ini kami bualkan.


PERJALANAN YANG SUNYI


beydag


Lereng pergunungan Beydağ begitu sunyi.


Di hadapan saya tiada kereta, di belakang saya tiada kenderaan. Tiada manusia di tepi jalan. Hanya hutan tebal berpohon pine seluas mata memandang.


Sesekali saya ternampak ladang buah tin dan buang berangan.


Perjalanan yang sunyi ini mempunyai seribu satu erti. Ia penting untuk membekalkan saya penilaian-penilaian hidup menjelang usia 40. Saya rasa seperti saya akan mati muda. Saya mesti pastikan usia 40 ini hadir dengan diri saya yang lebih baik. Dan tiada yang lebih penting selain mati dengan husn al-khatimah dan masuk ke Syurga.


Saya bukan orang yang kuat ibadah. Tetapi saya suka tolong orang. Terutamanya dengan serba sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada. Sebab itu saya selalu bermonolog sendirian, memohon kepada Allah agar memelihara fikiran saya daripada rosak oleh apa-apa cabaran duniawi. Fikiran itulah tempat wahyu Allah saya hargai. Fikiran itulah tempat pengalaman saya cernakan. Agar yang terbit dari lisan bicara dan tangan berpena, adalah legasi yang membantu manusia, dan kemudiannya membantu diri saya.


Ampunkan saya ya Allah.


Maafkan kekurangan saya.


 Sunyinya perjalanan ini membawa saya mengimbau sunyinya alam barzakh nanti. Sepi tanpa isteri dan anak-anak. Sunyi tanpa keluarga, sanak saudara dan taulan. Hanya amal yang menjadi teman. Andai amal itu amal yang baik, peneman di barzakh itu meriah dalam nikmat kebaikan. Andai amal itu amal yang buruk, maka barzakh itu riuh dengan siksaan dan penderitaan.


Allah… amankan jiwaku.


Kecamuk politik dan kebejatan akhlaq di tanah air sungguh melemaskan. Pergaduhan antara agamawan, caci mencaci, fasad memfasad dan ada yang terpesong hingga ke takfir, terasa terlalu berat untuk dihadap di detik bersulam masa.


Ada masanya terasa sesak dada dan sukar bernafas.


Di Malaysia, jika dilihat pada jaringan sosial terutamanya Facebook dan kemudian Twitter, hampir setiap saat orang Malaysia mencarut dan bercakap hodoh. Apabila orang di Malaysia tidur, orang di UK menyambut carut dan cela. Apabila orang di UK tidur, mereka yang di USA pula menyambung. Mereka tidur, warga Malaysia di Australia pula bangun pagi mencarut-carut. Dan terbit sahaja mentari di Timur negara, rakyat Malaysia mencarut lagi.


Tercabut rahmat Allah.


Hilang ketenangan dan bahagia.


Teringat saya kepada sebuah cerita:


عن زاذانٍ أبي عُمَر عن عُليمٍ قال : كنت مع عبْسِ الغِفَاريّ على سطحٍ له فرأى قوما يتحملونَ من الطاعونِ فقال : يا طاعونُ خذنِي إليكَ ثلاثا يقولها ، فقال له عُليمٌ : لم تقولُ هذا ؟ ألم يقلْ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لا يتمنّى أحدكُم الموتَ فإنه عند انقطاعِ عملهِ ولا يردّ فيستعتبُ ، فقال عَبْسٌ : إني سمعتُ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يقول : بادِرُوا بالموتِ ستا : إمرةُ السفهاءِ وكثرةُ الشّرطِ وبيعُ الحكمِ واستخفافا بالدمِ وقطيعةُ الرحمِ ونَشْوا يتخذونَ القرآنَ مزامِيرَ يقدمونَ الرجلَ ليغنيهِم بالقرآنِ وإن كان أقلهم فقْها


Daripada Zadan Abi Umar daripada ‘Ulaym beliau berkata, pada suatu ketika aku bersama dengan ‘Abis al-Ghifari di atas bumbung rumahnya. Beliau ternampak sekumpulan manusia mengusung jenazah yang meninggal dunia kerana penyakit taun. Lalu beliau berkata, “wahai taun, bawalah daku bersamamu!” Beliau menyebutnya sebanyak tiga kali.


Lalu berkata ‘Ulaym kepadanya, “mengapa engkau berkata begitu? Apakah engkau tidak mendengar Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda: jangan sesekali sesiapa di kalangan kamu meminta mati. Sesungguhnya mati itu menutup peluang beramal dan tiada lagi peluang untuk kembali dan bertaubat.


Lalu ‘Abis berkata, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: apabila enam musibah menimpa manusia, bersegeralah kamu menuju kematian:



Apabila orang-orang bodoh dilantik menjadi ketua kamu
Apabila ramainya polis dan mereka menganiaya kamu
Apabila para hakim menjual keadilan untuk wang dan kepentingan dirinya
Apabila jenayah dan pertumpahan darah menjadi biasa
Apabila berleluasanya perbuatan memutuskan silaturahmi
Apabila Al-Quran dijadikan nyanyian lalu penyanyi berkenaan ditolak ke hadapan untuk (untuk mengimamkan solat) biar pun dialah yang paling sedikit pengetahuannya.

Hadith masyhur riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid ini mengundang rasa sedih dalam diri saya. Tambahan pula ia dipetik oleh Imam Birgivi dalam bab ke-20 pada membicarakan soal penyakit lisan.


Semoga teguh hatiku untuk terus berjuang, oleh badai-badai halus yang berbau Dajjal, memusnahkan manusia dan ketamadunannya seperti api di dalam sekam yang membakar.


Selepas lebih 200km memandu meredah hutan belantara, kami tiba di sebuah pekan kecil bernama Arslanlı yang berhampiran dengan bandar Nazilli.  Ada singakah di pekan ini?


Arslan itu bukankah singa?


Saya mengejutkan Halim dan Nabhan dari tidur mereka. Perut pun sudah berkeroncong.


“Jom kita makan” saya mengajak mereka berdua.


“Aduh, lamanya tidur. Maafkan kami ustaz. Sedapnya tidur. Sudah sampai mana ni?” Nabhan mengeliat di belakang.


arslanli


Kami singgah di sebuah gerai kecil bernama Zafer Pide Salonu milik Hüseyin Usta! Itu yang tertulis di pintunya.


Gerai comel, tuan kedai yang baik hati, pekerja yang bersungguh melayan, kami dihidangkan dengan nasi bersama daging yang dibakar bersama kentang dan terung segar. Seperti biasa, minuman pilihan saya adalah Şalgam yang pedas. Sedap dan menyegarkan, walaupun kebanyakan orang bukan Turki, tidak suka dengannya.


“Ustaz buat apa tadi? Rasanya hampir dua jam kami tertidur” tanya Halim.


“Tak ada apa-apa. Orang tua macam ana ni, beranganlah. Fikir macam-macam” saya tersenyum.


Jika ada rezeki, perjalanan ini boleh dibukukan sebagai travelog seterusnya. Inshaallah di situ nanti bolehlah monolog-monolog saya dikongsi dan dibaca. Menceritakannya, rasa seperti tidak enak. Sedap di hati. Tawar di gusi.


Kami segera meneruskan perjalanan.


Semasa menempuh daerah Denizli yang terkenal dengan Pamukkale, hati saya kembali berbunga semasa melihat pelangi penuh di kaki langit.


pelangi


“Indahnya!” saya menjerit.


Nabhan segera mengambil kamera pintar Samsung saya untuk merakam pelangi itu.


Semua insan inginkan bahagia di hati

Tiada sengketa meluka diri

Bagaimana mungkin hadirnya pelangi

Tanpa hujan menyimbah hari?


“Halim Khayat, Saifuddin dan Ahmad Ammar akan bertolak dengan bas sebentar lagi” kata Halim selepas berbual dengan telefon.


“Kalau mereka sampai awal, boleh kita tinggal di hotel bersama” saya membalas.


“Mereka tidur dalam bas sahaja, ustaz” jawab Halim.


“Kami memang selalu buat begitu” sampuk Nabhan.


“Orang muda, begitulah rentaknya. Mudah ke sana sini. Sebab itu kalau mahu adventerous, jangan kahwin cepat sangat!”  saya membuat rumusan.


Seperti biasa, apabila tajuk kahwin timbul, kereta kami menjadi sepi.


Matahari sudah tenggelam.


“Apa-apa, kita singgah di Afyonkarahisar. Ana sudah kehabisan baju. Dah macam bau gajah mati. Kena beli sehelai dua baju dan seluar nampaknya” saya memberi cadangan.


“Betullah, ustaz. Lari bajet. Kami pun senasib!” kata Halim.


Selepas singgah membeli belah pantas di Afyonkarahisar, kereta kami membelah gelap malam. Hasrat untuk ke Bolvadin juga terpaksa dibatalkan. Kami kesuntukan masa dan semua nombor telefon warga Bolvadin yang saya ada tidak dapat dihubungi.


1300 kilometer selepas meninggalkan Istanbul beberapa hari yang lalu, kami tiba di Ankara. Kali terakhir saya tiba ke bandar bersemadinya Mustafa Kemal Atatürk ini ialah pada tahun 1997. Ankara bukanlah sebuah bandar yang masuk dalam senarai destinasi lawatan, jika masa dan bajet kita terhad. Tidak banyak boleh dilihat di sini.


Namun Kedutaan Besar Malaysia berada di sini.


Saya juga mempunyai sebab yang tersendiri untuk datang semula ke Ankara ini.


Imam Birgivi merupakan seorang tokoh penting dalam Tarekat Bayramiyyah.


Rujukan saya menunjukkan bahawa Tarekat Bayramiyyah diperkenalkan di Balıkesir oleh moyang kepada Imam Birgivi iaitu Sheykh Lütfullah yang bertemu secara peribadi dengan pengasas kepada Tarekat Bayramiyyah ini iaitu Hacı Bayram-ı Velî (meninggal dunia 1429).


Esok Jumaat. Mudah-mudahan kami dapat solat Jumaat di Masjid Hacı Bayram dan menziarahi maqamnya di Ankara.


Selepas check-in di Hotel Murat pada jam 1 pagi, tanpa bertangguh lagi, kami lelap merehatkan diri.


Dengan nama-Mu ya Allah aku mati dan aku hidup. Bismillah…


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (68) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 26, 2014 07:57

January 25, 2014

Birgi: Menyingkap Cerita di Lipatan Masa

sarapan-birgi


“Lena tidur malam tadi?” saya bertanya.


Dua anak muda itu tersenyum.


Pagi ini rasa begitu damai. Jauh dari hiruk pikuk kota. Kami tergesa-gesa menghabiskan sarapan pagi kerana tidak sabar untuk keluar ke taman dan melihat rupa paras Birgi. Kami tiba ketika matahari telah tenggelam dengan sedikit cahaya yang tersisa. Tidak sempat menatap Birgi yang disebut-sebut semenjak dari Bangi.


“Dari Bangi ke Birgi!” saya mengomel.


Sedap juga disebut begitu. Teringat filem Dari Jemapoh ke Manchester pada tahun 1996 dahulu. Sungguh saya juga tidak menyangka, boleh sampai ke sini.


Dalam cuaca pagi yang nyaman, kami bertiga duduk di pinggir Sungai Sarıyar yang membelah Birgi kepada dua. Biar pun sungai itu menjadikan Birgi terbahagi antara kiri dan kanan, pembahagian pekan ini lebih dikenali sebagai Upper Birgi dan Lower Birgi. Jika di kampung saya, Birgi ini mungkin disebut Birgi Darat dan Birgi Baruh, istilah yang tenggelam daripada pengetahuan generasi muda hari ini.


lanskapbirgi


Indah!


Subhanallah!


Dari sungai, kami dapat melihat beberapa lapisan  binaan yang menampakkan sejarah perkembangan Birgi dari zaman awalnya hingga ke hari ini, menempuh satu tamadun demi satu tamadun. Rumah-rumahnya adalah rumah Uthmaniyyah yang awal, dengan beberapa unit yang menampakkan interaksi dengan pemodenan. Ada senibina Selcuk yang ketara pada beberapa bangunan lama yang belum saya kenali dan sayup-sayup di belakang sana, kelihatan Banjaran Bozdağ  yang putih diliputi salji.


“Ustaz, apa plan kita hari ini?” tanya Nabhan.


“Hmm. Masa kita tidak panjang. Kita hanya ada setengah hari di sini sebab perjalanan ke Ankara sangat jauh. Ana tengok di peta, hampir 600km. Itu sudah seperti Johor Bharu ke Sungai Petani” saya menyemak ipad di tangan.


“Maafkan kami ustaz. Menyusahkan ustaz pula dengan urusan di Ankara” kata Halim.


“Eh, takde apa-apa. Jangan begitu. Antum dah banyak tolong ana. Di Istanbul, dan kemudian meneman perjalanan ini. Tidak terbalas rasanya. Bawakan antum ke Ankara untuk urusan pasport, moga ana boleh menumpang pahala. Siapa yang confirm akan ke Ankara?” saya bertanya.


“Halim Khayat, Ammar, Saifuddin. Inshaallah mereka akan naik bas malam ini ke Ankara” jelas Nabhan.


“Inshaallah pagi esok kita jumpa mereka. Baiklah, di Birgi ini, keutamaan tertinggi kita ialah Makam Imam Birgivi, kemudian Madrasah Imam Birgivi. Selebihnya, kita tengok pada masa. Lepas subuh tadi, ana tengok di internet, tarikan utama di Birgi ini ialah Çakırağa Mansion. Tak pasti di mana. Ana rasa, kita check out sekarang, kemudian kita pergi ke Belediye untuk cuba dapatkan peta serta maklumat-maklumat berkaitan” saya mengemukakan cadangan.


Saya, Halim dan Nabhan masuk ke dalam dan berkemas. Alhamdulillah sarapan juga sudah selesai. Kami akan memulakan misi yang sudah dirancang sejak sekian lama. Sesungguhnya kita merancang, namun Allah jualah yang menjayakannya.


Alhamdulillah.


Usai meninggalkan hotel, kami memandu perlahan-lahan menuju ke bangunan Birgi Belediyesi. Seronok juga apabila pakcik-pakcik pencen yang duduk minum teh di tepi jalan memerhatikan kami. Saya sengaja membuka tingkap kereta kerana mahu menikmati udara pagi yang segar. Berselang-seli pula dengan bau asap kayu dari serombong rumah-rumah di sepanjang jalan Sultan Muhammad al-Fatih yang comel ini.


Orientasi otak saya mengatakan Birgi pada hari ini berbentuk U. Jalanraya di Birgi tidak bertar, sebaliknya ia berturap dengan batu. Ini sesuai untuk kawasan yang menerima empat musim yang agresif. Lagi pun, jalan di sepanjang Birgi yang curam, lebih selamat berbatu begini.


Di Belediye, seorang pegawai menyambut kami. Beliau bermurah hati memberi kepada kami goodie bag yang terkandung di dalamnya VCD tentang Birgi, beberapa buah buku dan leaflet berbahasa Inggeris dan Turki serta peta untuk rujukan.


DERVİŞ AĞA CAMİ / DARUL HADİS


dervisagacamii-cllg


Destinasi pertama kami adalah masjid paling hampir dengan bangunan Belediye iaitu Derviş Ağa Camii. Sebuah masjid yang kelihatan tidak jauh berbeza daripada kebanyakan masjid Uthmaniyyah. Masjid ini dibina pada kurun ke-17 sebagai pelengkap kepada sebuah komplek yang berada tidak jauh daripadanya iaitu Derviş Ağa Darul Hadis, sebuah pusat pengajian Hadith yang penting bagi di Anatolia pada masa tersebut.


“Anta tahu masjid ini dibina pada tahun berapa?” saya bertanya kepada Nabhan dan Halim.


“Di dalam buku ini, dinyatakan 1663″ Nabhan menunjukkan kepada saya buku panduan yang Belediye berikan.


“Kalau buku ini tidak ada, bagaimana hendak tahu?” saya menduga.


“Macam mana?” soal Halim.


Saya juga sebenarnya tidak tahu. Tetapi semasa kamera pintar Samsung saya zoom ke menara masjid, saya ternampak ukiran di puncak menara, bertulis ١٦٦٣ (1663). Ia saya tunjukkan kepada mereka dan kami bersetuju bahawa untuk menjadi sejarawan yang sukses, mata mesti tajam seperti burung helang mencari maklumat.


AYDINOĞLU MEHMET BEY CAMİ (ULU CAMİ)


ulucami-birgi


Kami meneruskan perjalanan melawat bangunan utama di tengah-tengah pekan Birgi iaitu Aydınoğlu Mehmet Bey Cami yang juga dikenali sebagai Ulu Cami. Masjid ini dibina oleh Aydınoğlu Mehmet Bey pada tahun 1312. Beliau merupakan


“Allah, kunci pula!” saya berasa sedih kerana tidak dapat masuk ke masjid ini.


Pastinya kami tidak boleh menunggu sehingga waktu zohor kerana perlu bergerak segera.


Dari luar, Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey yang berusia 700 tahun ini memperlihatkan kepada kita seni bina Selcuk dan Uthmaniyyah yang awal. Pada pandangan kasar, masjid tersebut tidak ada apa-apa keunikan yang berbeza daripada masjid lain di Anatolia. Tetapi apabila mata kita mengamati dengan teliti, seni bina masjid ini mempunyai 1001 cerita untuk dikisahkan mewakili perjalanan masa.


Batu batan yang diguna pakai untuk membina masjid ini adalah batu batan yang diambil daripada runtuhan Prygium Rom yang telah sampai ajalnya. Ia memperlihatkan sikap teliti dalam memanfaatkan sumber, serta mencegah pembaziran. Bukan itu sahaja, di bucu luar masjid tersebut ada seketul batu yang berbentuk seekor singa dilekatkan bersama binaan masjid tersebut. Ia menceritakan sesuatu.


“Anta nampak tak singa tu?” saya memanggil Halim dan Nabhan.


“Ye lah, pelik kan” kata mereka.


“Ana pun tidak tahu apa kisahnya. Tetapi ukiran singa seperti ini ada dalam pelbagai tamadun. Eropah, Asia, Afrika, di al-Hambra. Yang ini pula, apa?” saya sendiri tidak pasti.


Pembacaan lanjutan saya memberikan pemahaman bahawa ukiran singa itu juga adalah sebahagian daripada runtuhan binaan tamadun sebelumnya, sebagaimana binaan masjid itu sendiri yang menggunakan Roman columns. Aydınoğlu Mehmet Bey meletakkan patung singa itu di bucu luar masjid sebagai simbol kekuasaannya membina tamadun Islam di atas runtuhan tamadun sebelumnya.


Tetapi mempunyai patung singa di masjid, memang menghairankan.


Akan tetapi, Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey ini menyimpan khazanah paling berharganya di bahagian dalam. Mentaliti pelancongan, boleh menjadikan mimbar masjid ini sebagai satu-satunya sebab yang cukup berbaloi untuk orang datang ke Birgi.


Mimbar Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey dibuat daripada kayu pohon walnut (juglans) dengan ukiran halus berbentuk poligon serta dibina tanpa menggunakan paku atau gam pelekat. Teknik ini di dalam sejarah senibina Turki dikenali sebagai teknik Kündekâri. Mimbar yang dihasilkan oleh Sheikh Muzafferadin bin Abdülvahid pada tahun 1323 di masjid ini, adalah yang paling sempurna dan cantik di seluruh Anatolia.


KES KECURIAN PINTU MIMBAR


Birgi juga pernah menjadi tajuk utama berita pada tahun 1993.


door-pulpit


Pintu mimbar tersebut telah hilang secara misteri pada bulan Mei tahun 1993.  Ia mustahil dapat diangkat oleh seorang. Bagaimana ia hilang, masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.


Namun, siasatan besar-besaran telah dilakukan. Kehilangannya telah diwar-warkan oleh Interpol ke seluruh dunia kerana mimbar itu dipercayai menjadi mangsa penyeludupan barang-barang antik yang begitu berleluasa di Turki.


Rezekinya pada masa itu, mimbar ini telah banyak dirakam dalam bentuk foto serta didokumentasikan dengan baik pemilikannya kepada Masjid. Gambar pintu mimbar berkenaan telah disebarkan ke lokasi-lokasi lelongan dan akhirnya  seorang pekerja di pusat lelongan barangan antik Christie’s mengecamnya, melalui foto yang tersebar. Pintu itu berada di dalam gudang Christie’s selama 2 tahun dan hampir dilupakan sehinggalah pekerja berkenaan terserempak dengannya.


Pihak polis Turki dan Scotland Yard UK telah dimaklumkan berkenaan dengan penemuan pintu mimbar berusia 700 tahun itu pada 15 Mei 1995. Mereka mendapati pintu mimbar berkenaan telah diseludup keluar dengan penerbangan kargo British Airwars dari Istanbul ke Sofia, ibu negara Bulgaria. Ia kemudiannya diterbangkan ke kota London.


Selepas pelbagai masalah birokrasi, akhirnya pintu mimbar Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey yang dihasilkan oleh Sheikh Muzafferadin bin Abdülvahid itu kembali ke lokasinya di Birgi pada 9 November 1995.


Alhamdulillah.


Perbuatan mencuri artifak sejarah seperti ini merosakkan sumber ilmu pengetahuan.


Kami menjenguk seketika maqam Aydınoğlu Mehmet Bey yang berada di perkarangan masjid dan mendoakan beliau maghfirah serta rahmah. Pemimpin yang berjuang pada masanya, dan kita menjadi mata rantai menyambung misi yang sama, hari ini.


İMAMI BİRGİVİ MEDRESESİ


medrese-birgivi


“Inikah Madrasah Imam Birgivi?” saya bertanya kepada Halim.


“Mungkin, ustaz. Nanti saya tanyakan” Halim bertanya kepada beberapa orang peniaga yang berada di luar bangunan empat segi di sebelah masjid tadi.


Saya tidak begitu pasti buat masa ini, apakah faktor yang mendorong Imam Birgivi memilih Birgi sebagai lokasi bermastautin beliau selepas berhijrah meninggalkan Edirne dan Istanbul. Mengapa tidak pulang sahaja ke Balıkesir. Tetapi apa yang saya pasti ialah, apabila Kanuni Sultan Suleyman mangkat dan pemerintahan Dawlah Uthmaniyyah digantikan oleh anak baginda iaitu Sultan Selim II, murabbi kepada Sultan Selim II ini adalah Sheikh Ataullah Efendi, yang berasal dari Birgi.


Mungkin melalui persahabatan beliau dengan Sheikh Ataullah Efendi, Birgi menjadi pilihan untuk beliau berhijrah. Sheikh Ataullah Efendi telah mengemukakan saranan beliau untuk Imam Birgivi memimpin sebuah institusi pengajian tinggi yang ingin beliau bangunkan di Birgi. Imam Birgivi telah menyambut saranan ini dan Dârul-Hadîs telah beroperasi sebagai pusat pengajian yang rancak pada masa tersebut. Imam Birgivi diberi gaji sebanyak 60 akçes, iaitu jumlah yang agak tinggi untuk jawatan sepertinya pada era berkenaan.


Imam Birgivi berhijrah ke Birgi tidak lewat daripada tahun 1562 atau 1563.


“Ustaz, bukan rezeki kita nampaknya. Komiti yang mengendalikan bangunan madrasah ini berada di Izmir. Mereka sedang mengendalikan program di sana. Jadi, bangunan ini berkunci. Tak dapatlah kita nak masuk meninjau” Nabhan dan Halim memaklumkan saya mengenainya.


“Sayang” sedih juga.


Kami datang dari jauh. Masjid berkunci. Madrasah atau sebenarnya Universiti itu, juga berkunci.


“Tetapi kata pakcik itu tadi, di kawasan maqam Imam Birgivi ada sebuah kompleks baru yang dibina betul-betul sebagai salinan kepada bangunan Madrasah ini. Boleh kita tengok” ujar Halim.


“Inshaallah. Ayuh kita ke sana. Jam pun sudah hampir pukul 10″ saya masuk ke dalam kereta.


around-birgi


Kami tinggalkan kawasan Meydan di hadapan Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey. Sungguh banyak mata yang memerhatikan kami. Bukan sahaja kawasan ini agak terpencil, malah mungkin ‘spesis’ seperti kami juga tidak pernah mereka temui. Mungkin.


Di tepi kedai kopi, ada lorong yang selari dengan Sungai Sarıyar . Itulah lorong untuk ke maqam Imam Birgivi yang terletak kira-kira 1km daripada masjid sebentar tadi. Saya sejujurnya sangat takjub dengan keindahan pemandangan di Birgi. Pemandangan sekeliling sangat klasik dan memudahkan kita membayangkan bagaimanakah kehidupan di era Dawlah Uthmaniyyah suatu ketika dahulu.


DI MAQAM IMAM BIRGIVI


Orang Turki mengenang beliau sebagai Sufi.


Pengkaji Barat melabel beliau sebagai Salafi, antagonis Sufi.


Bagaimanakah rupa maqam Imam Birgivi? Macam-macam cerita yang saya dengar. Ada yang kata kuburnya dipenuhi khurafat, yang sudah semestinya amat bercanggah dengan apa yang Imam Birgivi serukan semasa hayatnya.


Kini saya sudah berada di lokasi.


Kawasan itu adalah kawasan perkuburan untuk penduduk Birgi. Ganjil juga apabila hendak masuk ke kompleks berkenaan, kita perlu membayar TL1.5 untuk tiket masuk. Tetapi mungkin duit itu berguna untuk menjaga kompleks berkenaan. Mungkin pengecualian diberikan kepada penduduk tempatan yang menziarahi pusara ahli keluarga dan saudara mereka di situ.


turbe-birgivi


“Alhamdulillah” saya terharu dan bersyukur.


Lega melihat maqam Imam Birgivi begitu sederhana, di pangkal sebatang pokok yang besar, tiada binaan-binaan dibina, tiada unsur pemujaan atau sembahan. Hanya pagar kecil untuk menjaga kawasan berkenaan. Bersebelahan maqam Imam Birgivi adalah maqam anakanda beliau yang juga seorang alim penyambung legasinya, Sheikh Fazlullah Efendi yang menurut catatan di batu nesan, lahir pada tahun 1560 dan meninggal dunia pada tahun 1622.


“Assalamualaikum penduduk negeri kaum yang beriman. Sesungguhnya kami akan menyusuli kalian” saya memberi salam, seperti yang diajar oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam.


Hati saya menjadi sayu.


Terima kasih Allah kerana menemukan saya dengan Imam Birgivi, yang hilang dari lipatan pengetahuan generasi semasa.


Seorang alim yang berpegang dengan kalimah La Ilaha Illallah, menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Di kemuncak kerjaya dan kemasyhuran, Imam Birgivi tidak mengabaikan bisikan hatinya yang memberitahu beliau betapa ada sesuatu yang tidak kena. Bukan sebarangan untuk seseorang itu meninggalkan jawatan dan kemasyhuran, memulangkan seluruh gaji yang diterima selama dalam perkhidmatan, demi mempertahankan erti menjadi hamba Allah yang tidak sujud kecuali kepada-Nya.


Imam Birgivi datang ke lembah di celah pergunungan ini.


Beliau mengajar, mendidik anak murid yang datang dari seluruh pelusuk negeri dan mengarang puluhan kitab sebagai panduan untuk umat.


Semasa meneliti beberapa risalah kecil yang beliau karang, seperti Jilâu al-Qulûb dan Inqâzi al-hâlikîn, Imam Birgivi sebagai insan biasa meluahkan keperitan hidupnya kepada Ataullah Efendi. Hidup dalam kemiskinan, dan pandangan mata yang semakin kabur, Imam Birgivi menempuh hujung usianya dalam keadaan yang agak dhaif. Teringat saya kepada Ibn Khaldun yang sangat terkenal, namun juga seorang yang ‘gagal’ dalam kerjaya, dihimpit kemiskinan dan kesusahan.


Biar pun telah berhijrah ke lembah Birgi ini, Imam Birgivi masih berulang alik ke istana di Istanbul, bertemu dengan Sadr al-A’zam Sokullu Mehmed Paşa untuk menyampaikan pendapatnya tentang kepincangan pentadbiran semasa.  Ramai pengkaji semasa skeptis dengan menganggap keberadaan beliau di luar sistem menyebabkan pandangannya jumud, tidak seperti Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi yang berada di dalam sistem. Saya perlu lebih mengkaji, namun boleh memuktamadkan motif Imam Birgivi yang tulus pada menyampaikan kebenaran.


Pada 21 September 1573 (Jumada al-Ula 981H), kira-kira dua tahun selepas sahabatnya Sheikh Ataullah Efendi meninggal dunia, Imam Birgivi menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan menuju ke Istanbul buat kesekian kalinya. Pada usia sekitar 50 tahun, Imam Birgivi kembali ke rahmatullah akibat penyakit taun yang banyak berlaku pada masa tersebut.


muderrisler


Tidak jauh dari maqam Imam Birgivi, bersemadi juga beberapa tokoh penting di Birgi ini. Antaranya ialah Ibrahim Efendi (1310 – 1370), Karslı Kara Davud (1663 – 1771), Seyfullah Efendi (1660 – 1717) dan Kara Davud Oğlu Omer Efendi (1696 – 1757).


“Ya Allah, rahmatilah Sheikh Mehmed Efendi ini. Jadikan pengalaman hidupnya sebagai pedoman diriku yang berada di persimpangan diri ini. Pada usiaku menjelang 40, rasa gementar menyelubungiku kerana tertanya-tanya apakah pilihan hidupku untuk usia yang berbaki” saya larut dalam muhasabah di sisi maqam Imam Birgivi.


Rasanya mahu lebih lama lagi di situ.


Bukanlah maqam itu yang mendamaikan.


Tetapi fikiran saya yang berkecamuk. Datang ke satu sudut tersembunyi di Anatolia ini, Allah memakbulkan  doa saya untuk mendapat waktu bertenang, berhenti dari kesibukan kerja dan rutin kehidupan yang mencengkam.


kulliyesi


Usai melawat maqam, saya bersama Nabhan dan Halim menjenguk İmam Birgivi Külliyesi. Ia merupakan sebuah komplek pengajian dan tekke yang dibina pada tahun 1998 sebagai replika kepada Madrasah Imam Birgivi. Hari ini ia digunakan sebagai pusat pengajian agama. Saya tidak bertemu dengan sesiapa untuk bertanya. Namun kesempatan yang ada, saya gunakan dengan menjenguk serta meneliti bahan bacaan seperti buku dan nota-nota kelas yang kedapatan.


Selain rekabentuk bangunannya menebus kesedihan saya tidak dapat masuk ke Madrasah Imam Birgivi, saya juga tertarik apabila mendapati antara buku yang ada di dalam bilik-bilik pengajian Tarekat di situ adalah kitab Tafhim al-Quran oleh Abu al-A’la al-Mawdudi.


“Sufi mana pulalah ya yang mengaji kitab Mawdudi ini? Pelik sungguh” saya menunjukkan kitab berkenaan kepada Halim dan Nabhan.


Teringat saya kepada perbualan bersama anggota Tarekat Helvati Jarrari di Istanbul minggu lalu. Beliau mengatakan bahawa gurunya berpesan “bagi mereka yang tidak bertarekat, sekurang-kurangnya bacalah kitab Tariqah Muhammadiyyah oleh Imam Birgivi”


Jarang sekali guru Tarekat memberi option untuk orang tidak bertarekat. Biasanya mereka akan menegaskan tentang peri pentingnya setiap Muslim bertarekat. Tetapi pembawaan golongan Sufi kumpulan Helvati Jarrahi yang mendalami karya Birgivi, seperti lebih terbuka, berbanding dengan kumpulan-kumpulan lain yang pernah saya temui.


Sayang sekali, saya tidak sempat hadir ke majlis zikir dan pengajian kumpulan berkenaan yang berlangsung secara mingguan pada hari Khamis malam Jumaat. Moga ada rezekinya suatu hari nanti, Inshaaallah.


CAKIRAĞA MANSION


Maqam Imam Birgivi jarang menjadi sebab membawa pelancong ke Birgi.


Selain Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey dan legasinya, daya tarikan utama  di Birgi ini adalah sebuah mansion yang dibina pada tahun 1761 oleh Şerif Ali Ağa. Beliau adalah seorang peniaga barangan kulit dan hartanah. Bangunan yang berwarna warni ini menceritakan kepada kita kesan budaya Eropah kepada seni bina dan hiasan dalam kerana corak yang ditemui menyerupai bangunan-bangunan yang kita pernah lihat di Paris dan Venice.


cakiragamansion


Rumah agam ini terus berfungsi sebagai lokasi kediaman turun temurun sehingga ke tahun 1950′an dan pada tahun 1975 ia dipindah milik kepada pihak kerajaan untuk tujuan pemuliharaan. Dua puluh tahun kemudian, bangunan ini dibuka sebagai sebuah muzium.


Apa yang paling menarik, selain seni arkitekturnya, adalah lukisan gambar Izmir dan Istanbul di dalam dua bilik tidur utama.


Şerif Ali Ağa mempunyai dua orang isteri. Seorang berasal dari Izmir dan seorang lagi berasal dari Istanbul. Untuk mengubat kerinduan para isterinya terhadap kampung halaman masing-masing, di bilik jelitawan Izmir itu dilukis gambar pemandangan Izmir manakala rupawan Istanbul itu pula, biliknya berhias dengan lukisan pemandangan di Istanbul.


MENINGGALKAN BIRGI


Biar pun masih terlalu banyak yang ingin saya terokai di Birgi, kami tidak memiliki peluang berkenaan pada hari itu.


Saya bersama Nabhan dan Halim perlu segera bertolak ke Ankara yang jaraknya kira-kira 600km.


“Inshaallah, ana akan sampai ke sini lagi” saya mengepal azam.


Sesungguhnya Imam Birgivi termasuk di kalangan ulama yang meninggal dunia pada usia muda. Seperti Imam Nawawi dan ramai yang seperti mereka. Akan tetapi keberkatan ada pada usia pendek mereka, hingga kematian tidak mematikan mereka.


Teringat saya kepada pesanan Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah pada bab yang ke-10 berkaitan dengan Angan-angan.


“Berangan-angan adalah penyakit hati yang berakar umbi daripada keinginan untuk hidup lebih lama, dengan mengabaikan hakikat kematian. Manusia yang ditimpa penyakit ini tidak mempunyai sebarang keinginan untuk memperbaiki kerohaniannya dan tidak memikirkan tentang bencana yang bakal menimpa diri.


Bencana itu ada empat:


Pertamanya, orang itu akan mensesiakan masa dan kehidupannya dengan mengumpul bahagian dunia. Semasa melakukan itu, dia terlupa kepada hakikat kehidupan yang menanti di Akhirat sana.


Keduanya, dia akan mengabaikan sepenuhnya kematian dan kehidupan selepas kematian. Ini akan mengeraskan hatinya, hingga tiada rasa ingin berlaku ihsan kepada orang lain di sekelilingnya.


Ketiganya, beliau akan menangguh-nangguhkan kewajipan. Walaupun dia sedar perbuatannya salah dan dia perlu bertaubat, segala itu akan ditangguh hingga hilang daripada kesempatan apabila penghujung hayatnya tiba.


Keempat, dia akan meninggalkan solat serta perintah agama yang lain. Biar pun dia berkudrat melakukannya, manusia yang berangan-angan ini tidak dapat menghayati kepentingannya.


Orang yang berangan-angan dengan kehidupan ini menyangka dia akan hidup selama-lamanya…”


Kucing-kucing comel di Birgi itu saya tinggalkan.


Jika pada kurun ke-17 dahulu Evliya Çelebi singgah di Birgi dan mencatat banyak perkara penting sebagai rujukan umat mendatang, saya bermohon kepada Allah agar persinggahan Hasrizal Çelebi pada Februari 2013 ini, membantu umat Islam di tanah airnya mengambil manfaat daripada mutiara hikmah dan panduan hidup yang diwariskan oleh Mehmed Efendi, anak Balıkesir  bersemadi menuju negeri Abadi di Birgi, lalu dikenali sebagai Imam Birgivi, rahimahullah rahmatan wasi’an.


6_32


Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? [Al-An'am 6: 32]

Teringat saya kepada mimpi bertemu al-marhum abah tidak lama selepas beliau meninggal dunia pada 13 April 1993. Biar pun ia sekadar mimpi, pesanan di dalam mimpi tersebut sungguh melekat di hati.


Kata abah di dalam mimpi itu, “sesungguhnya kubur itu gelap. Hidup ini, jangan main-main”


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (37) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 25, 2014 03:24

January 21, 2014

Birgivi: Terfitnah Oleh Umat Yang Culas Merujuk

 birgicami


Malam itu sungguh sepi.


Saya mengintai ke luar melalui tingkap pansiyon.


Perkampungan Birgi tenang diselimuti kegelapan malam. Gelap yang membantu saya mendekati bayangan tentang suasana di sudut ini sekitar 500 tahun yang lalu.


“Siapa sebenarnya Imam Birgivi ini?” saya bertanya kepada diri.


Di Turki, beliau dikenali sebagai seorang Imam Sufi.


Pengkaji-pengkaji Barat melabel beliau sebagai seorang ideologue radikal. Dan selalunya, tanpa perincian yang panjang, Birgivi dilabel sebagai orang yang memberi idea radikal agama kepada Mehmed Kadızade, pengasas kepada gerakan Kadızadeli. Saya juga terperangkap dalam imej itu. Imej Birgivi yang saya kenali melalui tokoh paling berwibawa dalam kajian sejarah Dawlah Uthmaniyyah, Halil İnalcık.


ottomanempire-halilinalcik


Di dalam karya klasik beliau, The Ottoman Empire (pertama kali diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1973), Halil İnalcık memperuntukkan sebuah bab bertajuk “The Triumph of Fanaticism”. Di dalam bab ini, İnalcık telah menjelaskan bagaimana gerakan intelektual dan peradaban Daulah Uthmaniah yang begitu pesat berlaku pada kurun ke 15 dan ke 16 mengalami kemerosotan sehingga ke hujung hayat Dawlah Uthmaniyyah disebabkan oleh kemunculan gerakan agama yang radikal. İnalcık meletakkan punca utama kepada kemunduran itu ke atas gerakan Kadızadeli  yang diasaskan oleh Mehmed Kadızade yang meninggal dunia pada tahun 1635. Gerakan Kadızadeli ini menurut  İnalcık, mengambil inspirasi Imam Birgivi.


Gerakan fanatik dan ganas ini telah menyapu bersih tradisi awal masyarakat Daulah Uthmaniah yang pro kepada sains rasional seperti falsafah dan astronomi. Kemunduran intelektual ini telah membawa kepada kegagalan Daulah Uthmaniah bertindak balas secara positif kepada perkembangan Sains dan falsafah  kemajuan yang sedang berkembang ketika itu di era Pencerahan Eropah.


Saya masih teringat, pada 4 Februari 2006, saya telah membentangkan sebuah kertas kerja bertajuk ”Sumbangan Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Memelihara Kemurnian Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran buat Ummah�.” Kertas kerja itu dibentangkan di UIA.


Di sekitar tahun-tahun berkenaan, gerakan Salafi di Malaysia dengan mencanak naik di kampus-kampus dan ke tengah masyarakat. Dalam masa yang sama, timbul desas desus yang kuat mengatakan bahawa sahabat saya, Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) akan dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis.


Secara peribadi, saya ketika itu berasa tidak selesa dengan perkembangan semasa. Pendekatan berdamping dengan pemerintah oleh kumpulan Salafi di Malaysia pada masa tersebut mengingatkan saya kepada tragedi yang menimpa gerakan Kadızadeli. Gerakan islah sepatutnya berada di mana-mana kerana islah yang dilakukannya adalah islah kepada manhaj (metode) dan ia adalah sesuatu yang perlu berada di semua kumpulan. Tetapi apabila kumpulan Salafi berdamping dengan pemerintah dan berasa kuat dengan ‘kelebihan’ berkenaan, ia sedang menempa jalan yang pernah ditempa oleh kumpulan-kumpulan yang sama sebelumnya.


Dan ibrah daripada tragedi gerakan Kadızadeli mesti diteladani.


Pendekatan Imam Birgivi mesti dihindarkan!


Itu rumusan saya yang naif pada masa tersebut.


Penyataan tersebut dalam keterbatasan maklumat saya, telah menjadi fitnah ke atas Imam Birgivi. Fitnah yang berakar umbi pada kajian-kajian yang dianggap berkredibiliti kerana dihasilkan oleh orang yang bukan sebarangan. Biar pun kebanyakan contoh fanatisme adalah pada tragedi-tragedi membabitkan gerakan Kadızadeli, hati saya kuat terdorong untuk menyiasat dengan lebih mendalam tentang Imam Birgivi.


Benarkah Imam Birgivi radikal?


Apa sebenarnya yang beliau sampaikan?


Benarkah Mehmed Kadızade anak murid Birgivi?


Sejauh manakah agresifnya gerakan Kadızadeli adalah kerana ajaran Birgivi?


Dan lanjutan daripada itu, benarkah gerakan Kadızadeli yang menjadi punca kemerosotan sains dan teknologi Dawlah Uthmaniyyah?


HAKIKAT SEJARAH


turbeler-birgi


Apabila soalan-soalan yang ‘hidup’ ini membabitkan orang yang telah mati, hakikatnya kita tidak tahu apa-apa. Ia perkara ghaib. Kita mustahil mengetahui apa-apa mengenainya, kecuali dengan pemberitahuan oleh sumber.


Maka untuk mencari maklumat, saya perlu berdamping dengan sumber.


Dari mana saya mengetahui tentang Birgivi?


Jika saya mengetahuinya melalui Halil İnalcık, daripada manakah Halil İnalcık mengetahui tentang Birgivi? Sumber manakah yang beliau rujuk?


HALANGAN TAASUB


Sebelum menjawab soalan ini, ada satu isu penting yang perlu diselesaikan.


Isu taasub.


Sesungguhnya Islam tertegak di atas hujah, bukan sahsiah. Menyelidik sumber rujukan Halil İnalcık boleh disalah tanggap sebagai menghina kesarjanaan beliau.


“Engkau siapa mahu mempersoalkan Halil İnalcık?” soalan yang boleh timbul rentetan isu ini.


Sebagai lepasan bidang Shariah, saya akur bahawa permasalahan taasub ini sangat mudah membelenggu murid-murid seperti kami. Sedikit sebanyak, sudah tentu guru-guru kami di Universiti Mu’tah banyak membantu kami menetapkan sikap yang sejahtera dalam menghalusi kepelbagaian pendapat dan maklumat. Mereka dahulu menyediakan banyak ruang untuk kami bersoal jawab, membenarkan kami tersilap, mengajar kami memuliakan kebenaran, mengatasi insan.


Seperti kata-kata Imam Malik rahimahullah, “kalam setiap orang boleh diterima dan ditolak, kecuali tuan yang berada di maqam ini (yakni Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam).


Demikian juga dalam disiplin sejarah, kekuatan hujah adalah sangat bergantung kepada bukti-bukti sebagai sandaran, dan penafsiran bukti berbekalkan garis panduan yang sistematik dalam kajian kuantitatif juga kualitatif. Taasub, akan awal-awal lagi mengkucar-kacirkan sebuah kajian.


KAJIAN MEMBUKA MATA


birgi-gece-2


Antara kajian paling utama yang telah membuka mata saya terhadap isu ini adalah sebuah makalah ilmiah bertajuk  The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” (Mitos “Kemenangan Fanatisme Pada Kurun ke-17 Empayar Uthmaniah”) . Ia dihasilkan oleh Khaled El-Rouayheb dan disiarkan di jurnal Die welt des Islams 48 (2008) 196-221.


Khaled El-Rouayheb melihat kewibawaan yang ada pada Halil İnalcık telah menyebabkan pendapatnya itu menjadi sandaran kepada pengkaji-pengkaji lain untuk turut berpendapat dengan pendapat yang sama, seperti yang dilakukan oleh Marshall Hodgson di dalam karya besar tiga jilidnya yang bertajuk The Venture of Islam.


Apa yang menimbulkan rasa kesal pada Khaled El-Rouayheb ialah kewibawaan Halil İnalcık dan Marshall Hodgson telah menyebabkan pandangan yang sedemikian rupa diterima seakan muktamad oleh pengkaji-pengkaji yang lain.


Khaled El-Rouayheb telah membuktikan bahawa pendapat Halil İnalcık itu adalah tidak benar. Kecacatan pada pendapat Halil İnalcık itu menurut El-Rouayheb, adalah berpunca daripada rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh sejarawan Uthmaniah,  Ahmed Taşköprüzade (meninggal dunia 1560) dan tokoh bibliografi Uthmaniah, Kâtip Çelebi (meninggal dunia 1657). Ia membataskan pemahaman Halil İnalcık tentang realiti sebenar, terutamanya perkembangan-perkembangan di luar Istanbul yang tidak diberi perhatian oleh sumber itu tadi.


Gerakan Kadızadeli, menurut Khaled El-Rouayheb, telah digambarkan oleh Halil İnalcık  lebih besar daripada realiti yang sebenar. Kemunculan gerakan itu tidak memberikan impak yang cukup besar untuk mencetuskan kemerosotan minat masyarakat ketika itu kepada sains. El-Rouayheb menjelaskan, fokus utama gerakan Kadızadeli  adalah pada memerangi idea dan ritual golongan sufi. Seandainya gerakan Kadizadeli begitu berpengaruh, sudah tentu ‘mangsa’ utamanya adalah perkembangan kelompok sufi ini.


Namun catatan sumber tidak menunjukkan demikian.


Kemunculan gerakan mistik oleh Ismail Rusukhi Ankaravi (meninggal dunia 1631), gerakana Sari Abdullah Efendi (meninggal dunia 1661), gerakan Abdullah Bosnavi (meninggal dunia 1644) dan seterusnya gerakan Hakki Bursevi (meninggal dunia 1724) adalah di antara gerakan-gerakan mistik kelompok sufi yang begitu luas penyebarannya di era sezaman dan lokasi setempat dengan gerakan Kadızadeli. Seandainya gerakan Kadızadeli tidak berhasil pada menundukkan sasaran utamanya, bagaimana mungkin kita gambarkan keupayaan gerakan tersebut untuk mencetuskan keadaan yang menyebabkan kehilangan minat masyarakat kepada ilmu Sains, yang bukan merupakan sasaran utama serangan gerakan radikal Kadizadeli?


Malah, penghujahan Halil Inalcik turut dipersoalkan oleh Khaled El-Rouayheb kerana Mehmed Kadızade merupakan anak murid kepada Imam Birgivi, seorang tokoh yang secara jelas menyatakan sokongan dan galakan beliau kepada usaha mempelajari cabang-cabang ilmu sains seperti logik, dialektik, matematik dan astronomi. Ini dinyatakan oleh Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah:


maths


“… manakala ilmu matematik, ia diperlukan di dalam banyak permasalahan, misalnya hal-hal pewarisan harta (faraid), justeru kerana itulah mereka (alim ulama) berpendapat bahawa matematik itu adalah satu perempat ilmu dan satu perdua daripada ilmu faraid. Dengan itu tidak sulit untuk diterima bahawa matematik itu adalah fardhu kifayah, sebagaimana yang telah dinayatakan secara jelas oleh al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din…”


Mehmed Kadızadeli yang menjadikan Tariqah Muhammadiyyah sebagai rujukan utama misinya, tidak dapat digambarkan mengambil sikap menentang pembelajaran ilmu Sains, yang sangat bertentangan dengan mesej yang terkandung di dalam buku itu.


Manakala kenyataan Mehmed Kadızade di dalam sebuah khutbah seperti yang direkodkan oleh Kâtip Çelebi menyebut, “siapakah yang hendak menitiskan air matanya apabila seorang ahli kalam mati!” telah dihujahkan oleh Halil Inalcik sebagai bukti sikap anti Sains beliau.  Khaled El-Rouayheb berpendapat, penghujahan itu bersifat agak ‘membesar-besarkan’.


Tindakan gerakan Kadızadeli mendesak Ketua Mufti agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan pada tahun 1580 sebagai hujah sikap anti Sains mereka juga perlu diteliti semula.


taqiuddin-obs


kredit foto www.aip.org


Sebagaimana yang telah diketahui, tujuan asal pembinaan Balai Cerap Uthmaniah di bawah seliaan ketuanya, Taqi al-Din Muhammad ibn Ma’ruf (meninggal dunia 1585) adalah untuk perkembangan ilmu astronomi (falak). Tetapi Taqi al-Din telah membuat ramalan berpandukan peristiwa terhempasnya tahi bintang pada tahun 1577 bahawa Dawlah Uthmaniah akan berjaya mengalahkan Safavid di dalam peperangan. Ia dianggap oleh gerakan Kadızadeli sebagai satu bentuk penyelewengan motif kerana astronomi sebagai satu cabang ilmu sains Islam telah bertukar kepada astrologi yang bercanggah dengan ajaran Islam. Inilah alasan utama mengapa gerakan Kadızadeli mendesak Ketua Mufti ketika itu agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan.


Khaled El-Rouayheb mempersoalkan Halil Inalcik , apakah anti Sains yang didakwa olehnya itu, merujuk kepada astroloji? Malah Khaled El-Rouayheb melihat, pendapat Halil Inalcik  yang sedemikian rupa banyak berpunca daripada kebergantungan beliau kepada kenyataan-kenyataan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang tidak mencerminkan keseluruhan situasi pada masa tersebut.


Seandainya rujukan dibuat kepada sumber-sumber yang lebih luas, kita akan melihat, apa yang berlaku di era itu adalah sebaliknya. Ilmu sains telah berkembang dengan pesat, terutamanya melalui penelitian yang dibuat oleh sejarawan pada era yang sedikit terkehadapan, apabila mereka dapat melihat dengan lebih jelas tentang corak tersebut, berbanding dengan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang melihatnya dari dalam.


Misalnya Muhammad Ali b Allan al-Siddiqi (meninggal dunia 1648), Mehmed Saçaklızade Mar’aşı (meninggal dunia 1732-3) memperlihatkan perkembangan pesat yang berlaku kepada ilmu mantiq cabang-cabang sains yang lain pada kurun yang berikutnya. Penghujahan Saçaklızade kukuh pada merumuskan bahawa minat kepada falsafah telah berkembang pesat pada kurun ke-17 dan ke-18 di Daulah Uthmaniah. Kemunculan tokoh-tokoh falsafah Parsi Sunni, Azeri dan Kurdi turut menyumbang kepada perkembangan ini.


Khaled El-Rouayheb telah menyenaraikan ramai tokoh berkenaan di dalam penulisan beliau dan ini juga sejajar dengan pertambahan jumlah sekolah di dalam Daulah Uthmaniah, ketika mana antara subjek teras yang diajar di sekolah-sekolah itu adalah ilmu sains sendiri. Khaled El-Rouayheb telah membuat kesimpulan, pembuktian-pembuktian yang cuba menyokong idea kemerosotan minat kepada ilmu Sains di Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17 adalah suatu mitos. Pendapat-pendapat yang menjadi sandaran, adalah bersifat serpihan dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Penghujahan juga telah membesar-besarkan beberapa insiden seperti kemunculan gerakan Kadızadeli serta perobohan Balai Cerap Uthmaniah. Malah apa yang berjaya dibuktikan oleh Khaled El-Rouayheb adalah sebaliknya, iaitu kurun yang ke-17 Uthmaniah adalah kurun yang menyaksikan kesuburan minat masyarakat kepada bidang sains itu sendiri.


SEBELUM MELELAPKAN MATA


pansiyon


Kredit foto: Birgi Çınaraltı Pansiyon


Halim dan Nabhan sudah nyenyak tidur.


Saya masih menatap ipad dalam kegelapan malam, melayan fikiran yang ligat berputar.


Saya yakin, kajian terhadap Imam Birgivi, bukanlah sekadar memenuhi sebuah disertasi akademi pengajian Sarjana saya. Tetapi rezeki daripada Allah, tokoh yang saya kaji ini banyak mendidik saya untuk menjadi insan yang lebih baik.


Saya yakin, Imam Birgivi bukan radikal atau pelampau.


Ketegasannya bukan pencetus kekacauan.


Sebaliknya sejarah perlu dihalusi.


Bukan hanya untuk Imam Birgivi, tetapi ramai lagi tokoh islah dan tajdid yang terfitnah oleh umat Islam yang kepetahannya mencemuh lebih pantas berbanding kecergasannya meninjau sumber, dengan jiwa yang bersih daripada ketaksuban yang memusnahkan diri.


Tersentuh saya membaca catatan Imam Birgivi di dalam Bab al-’Ilm:


“Sungguh! Terdapat sebahagian alim ulama dan guru yang mengajar kebenaran di dalam agama dengan cara yang kasar. Mereka menyalahkan para pendengar dengan dosa-dosa yang mungkin mereka tidak lakukan. Malah turut mengugut pendengar dengan bencana seksaan daripada Allah. Mereka yang seperti ini, menjadi punca kepada kemarahan. Sedangkan rumah Allah (masjid) bukan tempat untuk kemarahan. Mereka yang mengapi-apikan hal ini, tidak lain dan tidak bukan adalah golongan munafiq, sombong, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Sekali pun apa yang mereka sebutkan itu adalah benar, namun dengan nada ucapan yang sedemikian rupa, ucapan itu sesungguhnya menjadi kata-kata mereka semata, dan bukan lagi kalam dari Allah. Mereka kemudiannya bukan mencegah manusia daripada melakukan dosa, sebaliknya telah menyebabkan orang ramai jadi berdosa kerana dihasut dengan kemarahan”


Semoga sembuh rakyat di tanah airku daripada meja-meja kuliah di masjid dan surau yang berapi-api dengan kebencian dan kemarahan.


Amin.


Hasrizal@ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (0) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2014 06:54