Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 46
July 16, 2014
Palestin: Antara Masa Depan Mereka dan Masa Depan Kita
Isu Palestin adalah isu yang sangat serius.
Jika di Palestin, keseriusan isu berkenaan adalah pada kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda, dan impaknya kepada politik daerah, serantau dan dunia antarabangsa. Tiada konflik yang lebih tragik untuk era ini, melebihi tragedi yang membelenggu bumi Isra’ dan Mi’raj tersebut.
Di tanahair, isu Palestin menguji kita semua pada segenap segi. Ia mencungkil keluar warna-warna sebenar kita.
Mukmin menyerlahkan keimanannya.
Kafir menzahirkan kekafirannya.
Munafiq tidak mampu lagi menyembunyikan kemunafiqannya.
Mazmumah karakter di kalangan umat Islam, terjelma dan mewarnai tindak tanduk kita mengenainya.
Di bumi Palestin, Zionist menjadi antagonis.
Di tanah air, hawa nafsu sendiri jadi seteru. Kegagalan melepaskan diri daripada kehendak nafsu, hingga bertuhankannya, menyebabkan kita berisiko tersesat, biar pun dalam keadaan berilmu pengetahuan lagi sarjana.
Apakah engkau tidak perhatikan (keadaan) orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah dalam keadaan dia itu berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? [al-Jāthiyyah 45: 23]
Kita berbicara di media sosial tentang isu Palestin, perbicaraan kita tidak mengubah apa-apa di Palestin. Sebaliknya yang menang dan kalah, yang terselamat dan terkorban adalah kita dan ahli keluarga kita. Akhlaq kita terkorban, harga diri kita musnah.
Sama ada kita pro boikot, atau tidak pro boikot, wacana kita hina menghina, sindir menyindir, hingga data-data tidak dapat menutup pekung mazmumah. Yang boikot bangga dengan keupayaannya memboikot. Yang tidak memboikot bangga dengan rasional dan kebijakannya yang tersendiri dalam berpendirian.
Mengutip derma oleh NGO, kita sambung lagi perbalahan NGO mana yang lebih asli dalam aktivisme mereka.
Akhirnya, yang kenyang daripada perbalahan kita hanyalah EGO.
Di dalam al-Quran ada tiga lokasi, Allah menjamin krisis Palestin berakhir dengan kemenangan kaum mukminin.
SURAH ĀL ‘IMRĀN
“Mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak akan sekali-kali dapat memudaratkan kamu kecuali dengan sekadar sebuah kesakitan. Dan jika mereka memerangi kamu, mereka nanti akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. [Āl 'Imrān 3: 111]
Permulaan kepada kehancuran mereka ialah apabila mereka mula memerangi orang-orang yang beriman. Palestin adalah kubur mereka yang mereka gali sendiri.
Sudah hampir 120 tahun semenjak Persidangan Pertama Kongres Zionis di Basle, Switzerland.
Sudah hampir 70 tahun semenjak tertegaknya negara Haram ‘Israel’.
Bumi Palestin tidak dapat diyahudikan. Semakin kurang warna hijau pada peta Palestin, semakin hijau Palestin di alam nyata. Hijau dengan semangat Intifadah, menggantikan semangat-semangat lain yang pernah cuba membela Palestin.
SURAH AL-A’RĀF
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan daripada Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar” [al-A'rāf 7: 152]
Penghijrahan Ibrāhīm a.s. ke bumi Palestin, berzuriatkan Ishāq dan kemudiannya Ya’qūb serta anakandanya Yūsuf, berakhir dengan penghijrahan keluarga yang mulia berkenaan ke Mesir atas jemputan Yūsuf, ‘alayhim al-Salām.
Kemudiannya di era Mūsa ‘alayhi al-Salām, kedurhakaan demi kedurhakaan Bani Isrā’īl lakukan terhadap para Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka. Kedurhakaan yang dirakam oleh Allah di dalam kisah lembu betina di dalam ayat 67 hingga 74 surah al-Baqarah. Surah terpanjang di dalam al-Quran, penuh dengan pelbagai subjek besar Islam, tetapi dinamakan sebagai al-Baqarah bersempena kisah lembu betina, yang merekodkan hakikat kaum durhaka yang sentiasa berbantah-bantah dengan perintah Allah itu.
Di dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Hammam Sa’id di Masjid ‘Abd al-Rahmān bin ‘Auf, Sweileh, Jordan kira-kira 20 tahun yang lalu (1994), beliau menegaskan bahawa andai umat Islam alpa daripada hakikat kaum durhaka di dalam kisah lembu betina itu, seluruh isi kandungan surah al-Baqarah akan terlepas daripada tangan umat Islam.
Zaman Mūsa, Yūsha’ bin Nūn, diikuti dengan zaman Dāwūd, Sulaimān hinggalah ke ‘Īsā ‘alayhim al-Salām, mereka mengulangi pelbagai kedurhakaan, malah membunuh para Rasul seperti Zakaria dan Yahya, hingga akhirnya Palestin dikuasai oleh Byzantine, menjadi wilayah bebas Yahudi, dan bertaburanlah mereka dalam kehinaan di era Diaspora menuju era penutup segala Nabi dan Rasul, era Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam.
Orang Yahudi bukan jahat kerana genetik. Setiap bayi Yahudi yang lahir, lahir atas fitrah yang sama dengan semua bayi yang lain. Kerana itu, mereka sama seperti kita, ada kecenderungan kepada kebaikan dan kejahatan. Dan atas dasar itu jugalah mereka terus menerus diberi peluang oleh Allah untuk kesalahan, disusuli dengan taubat. Kerosakan, disusuli dengan islah.
Namun mereka mensesiakannya.
“Dan ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-A'rāf 7: 167]
Ketika Tuhan Maha Pengampun untuk mengampuni kesalahan, ketika Tuhan Maha Pengasih, untuk berbelas ihsan mengurniakan kebaikan, kaum itu terus menerus memilih jenayah dan kedurhakaan, seperti yang dicatat oleh sejarah.
Dan sepanjang sejarah kejahatan mereka jugalah, Allah timpakan mereka dengan pemerintah-pemerintah yang berkeras terhadap mereka.
“Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat)” [al-A'rāf 7: 168]
Selepas zaman ‘Īsā ‘alayhi al-Salām, mereka bertebaran. Sebahagiannya datang ke Hijaz, bermastautin di Yathrib (Madinah).
Yahudi tidak menginsafi catatan semalam mereka.
Yahudi tidak bertangguh. Mereka melakukan kejahatan-kejahatan besar dalam musim kehadiran Rasul akhir zaman, yang masih mereka yakini akan muncul dari kalangan mereka sendiri, seperti sebelum-sebelumnya.
Kerosakan pertama, yang dirakam oleh surah al-Isrā’, sebelum kerosakan kedua yang sedang kita saksikan pada hari ini.
SURAH AL-ISRĀ’
Dan Kami khabarkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [al-Isra' 17: 4]
Kejahatan itu ditamatkan di Madinah oleh kehadiran Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan para sahabat bersama baginda, menumpaskan kaum perosak yang khianat dan melakukan pelbagai konspirasi.
Bani Nadhir, Bani Qaynaqa’ dan Bani Quraydhah, mengkhianati perjanjian kerjasama mereka sebagai warga Madinah. Mereka diusir dari Madinah. Mereka kemudiannya berkumpul di Khaybar.
Dari jauh, Yahudi bermakar. Di musim Perang al-Ahzāb, mereka berada di belakang kabilah-kabilah Arab musyrikin untuk meneruskan konspirasi mereka terhadap Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan umat Islam. Selepas perjanjian Hudaibiyah, mereka diperangi habis-habisan oleh Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan dikalahkan.
Sebahagiannya diizinkan terus tinggal di sekitar daerah itu atas permintaan mereka sendiri dan restu Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam. Manakala sebahagian yang lain berhijrah ke Palestin. Di zaman ‘Umar bin al-Khattāb radhiyallāhu ‘anhu, selepas terbunuhnya seorang Muslim oleh Yahudi, ‘Umar bertindak mengusir keseluruhannya daripada Semenanjung Tanah Arab. Sebahagian berhijrah ke Sinai dan sebahagian menuju Palestin dan bersatu di sana.
Sabda baginda:
لا يجتمعُ في جزيرةِ العربِ دِينانِ
الراوي: – المحدث: ابن باز – المصدر: مجموع فتاوى ابن باز – الصفحة أو الرقم: 285/3
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama”
Dalam misi menumpaskan kuasa Byzantine di Syam, ‘Umar mengatur tentera Islam di bawah kendalian Khālid bin al-Walid, kemudian Abu ‘Ubaydah ‘Amir bin al-Jarrah untuk menguasai Jerusalem. Patriarch Sophronius memutuskan bahawa Abu ‘Ubaydah bukanlah lelaki pembuka Jerusalem yang termaktub di dalam kitab mereka. Peperangan berterusan lagi dan akhirnya, berlaku dialog di antara wakil paderi dengan Abu ‘Ubaydah.
Jerusalem adalah kota suci. Selain tempat Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam dan kiblat pertama umat Islam, di kota itu jugalah hidup dan matinya para Anbiya’ yang membawa risalah Tauhid. Apa yang menghubungkan ummah dengan para Rasul itu bukan keturunan, bangsa atau qabilah. Sebaliknya ajaran yang mereka bawa, merentas faktor-faktor lain. Sesungguhnya umat Islam lebih berhak ke atas para Rasul itu berbanding golongan Nasrani, juga Yahudi, yang menisbahkan diri mereka hanya dengan dakwaan, bukan dengan ajaran dan Tauhid.
Abu ‘Ubaydah menawarkan tiga solusi kepada penduduk Jerusalem:
Menerima Islam
Berdamai dan membayar jizyah
Berperang
Cadangan kedua diterima, secara bersyarat. Mereka hanya bersetuju untuk tunduk kepada kekuasaan Islam, apabila pemimpin yang masuk ke Jerusalem adalah pemimpin yang disebut di dalam kitab mereka, iaitulah Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattāb. Abu ‘Ubaydah menghantar jemputan agar ‘Umar hadir ke Jerusalem.
‘Uthman bin Affan berpendapat agar ‘Umar tidak ke Jerusalem. ‘Ali mencadangkan sebaliknya. ‘Umar mengikut pendapat ‘Ali. Selepas solat empat rakaat di Masjid Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam, beliau menunggang unta bersama seorang pembantu. Mereka bergilir-gilir menaiki kenderaan untuk sebuah perjalanan yang panjang, seumpama perjalanan 10 tahun yang lalu, dalam Isra’ Nabi Muhammad sallallāhu ‘alayhi wa sallam sebagai permulaan kepada proses menyatukan kembali al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa yang terpisah oleh Jahiliah.
Di persinggahan akhir sebelum memasuki Jerusalem, tentera Islam mencadangkan agar ‘Umar menukar pakaiannya yang compang camping dengan pakaian yang lebih baik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi umat Islam. Unta ‘Umar juga digantikan dengan seekor kuda yang pernah menjadi milik Byzantine. Zubayr ibn ‘Awwām menganggarkan baju putih yang ‘Umar pakai itu berasal dari Mesir dan berharga kira-kira 15 dirham.
Apabila ‘Umar yang telah bersalin pakaian itu cuba menunggang kuda kelabu berkenaan, kuda itu meronta dan ‘Umar terjatuh ke tanah!
Kejadian itu mengejutkan ‘Umar.
Pakaian dan kuda itu hampir-hampir mencemar niat ‘Umar. Beliau membacakan hadith Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam:
“Tidak masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada walau sebesar zarah sifat ego membangga diri” [HR Muslim]
‘Umar kembali memakai bajunya yang penuh tampal itu, bersama unta tunggangan semenjak awal perjalanan.
Sifat tawadhu’ ‘Umar bin al-Khattāb pada mencontohi Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam itulah yang menjadi pengesahan Patriarch Sophronius di Jerusalem, bahawa beliau adalah pembantu Muhammad, pembuka kota Jerusalem seperti yang termaktub di dalam kitab mereka. Beliau masuk dengan berjalan kaki, pembantunya menunggang unta, kedua kakinya bersalut lumpur dan bajunya bertampal-tampal.
Pintu Jerusalem dibuka, kunci al-Quds diberikan kepada ‘Umar. Beliau masuk dengan ucapan beliau yang dinukilkan oleh Ibn Rahwih dan al-Baihaqi daripada `Abbad ibn `Abdullah ibn al-Zubair:
“Aku di sini ya Allah, kerana-Mu”
Akhirnya, sempurnalah proses Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam hingga ke ‘Umar radhiyallāhu ‘anh menggabungkan al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa seperti zaman Ibrāhīm, seperti zaman Sulaiman dan Saba’ tatkala menerima seruan Tauhid. Dan tersebarnya Tauhid di Semenanjung Tanah Arab hingga ke Palestin itu, menamatkan kerosakan zaman berzaman Yahudi sebagai antagonis besar dunia.
Sungguh teliti, halus dan tepat, deskripsi al-Quran, sebagai lanjutan deskripsi kitab-kitab sebelumnya, tentang hamba-hamba Allah yang memiliki kualiti tertinggi pada akhlaq mereka, yang gagah perkasa, yang bergerak ke seluruh ceruk rantau, untuk akhirnya merealisasikan janji Tuhan.
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.[al-Isrā' 17: 5]
ZAMAN KEROSAKAN KEDUA
Allah memilih kita untuk hidup di zaman Yahudi dikembalikan kekuasaan kepada mereka.
Seperti hari ini.
Dan di zaman Yahudi melakukan kerosakan kedua mereka ini (kerosakan terakhir?), Allah meletakkan karakter yang tepat tentang sosio politik dan ekonomi regim Penjajah yang menguasai Palestin itu.
Mereka berkuasa di Palestin, tetapi kekuatan mereka bukan di Palestin.
Kekuatan mereka datang dari luar.
Dari sokongan Amerika Syarikat yang membelanjakan USD8.4 juta sehari pada tahun kewangan 2013 pada membiayai regim Yahudi di Palestin. Dan kewangan itu juga hadir melalui jaringan perniagaan antarabangsa, sama ada oleh syarikat Amerika Syarikat yang pro Zionis, mahu pun oleh eksport Yahudi sendiri dengan produk-produk West Bank di seluruh dunia.
Asas ini menjadi dasar penting mengapa gerakan melumpuhkan ekonomi ‘luar ke dalam’ Yahudi masa kini, melalui tindakan boikot mikro dan makro, perlu dijayakan.
Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [al-Isra' 17: 6]
Namun, untuk menumpaskan keangkuhan Yahudi di Palestin, bukan hanya mengambil kira kepada faktor tekanan ekonomi dan ketenteraan.
Sebagaimana telitinya karakter orang yang layak menerima kemenangan pertama di zaman ‘Umar bin al-Khattāb dahulu, demikianlah syarat kemenangan pada pusingan kedua ini.
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan durhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [al-Isra' 17: 7]
Kehancuran kuasa Yahudi di Palestin itu pasti.
Kemenangan orang-orang yang beriman itu pasti.
KUALITI GOLONGAN MENANG
Tetapi di tangan siapa?
Di tangan mereka yang kualitinya adalah sama seperti kualiti ‘Umar dan para sahabat yang memimpin kemenangan pada tahun 16 hijriyyah dahulu. Masuk ke Jerusalem dengan hati yang bersih daripada kemegahan, kesombongan, bahkan apa sahaja tujuan, selain “ya Allah, hamba-Mu di sini!”
Justeru, ujian bagi umat Islam di Palestin adalah ujian besar-besaran Allah kepada mereka.
Pakaian mereka sudah tidak seperti pakaian.
Rumah mereka sudah tidak dapat ditampal.
Hidup mereka sudah tidak seperti kehidupan sesiapa di dunia hari ini.
Dan yang terkorban, beratur menyambut Syahid dan kurniaan Allah berupa Jannah.
Manakala bagi kita yang menuju Syurga yang sama, selagi usaha kita bercampur aduk dengan pertandingan di Facebook dan Twitter, siapa komennya yang lebih bernas, siapa yang pendirian boikot atau tidak boikotnya lebih bijaksana, siapa yang lebih pantas memberi maklumat terkini, siapa yang lebih ada hubungan dengan Palestin, selfie, poster-poster wajah penderma dengan lambang peace di tangan, semua itu hanya pertandingan untuk memenangkan ego.
Bukan untuk membebaskan al-Masjid al-Aqsa.
Dengan sikap sebegini, bukan sahaja kita tidak dapat menyertai masa depan Palestin yang pasti menang itu, pertanyaan yang juga besar ialah, bagaimana dengan masa depan kita sendiri?
Moga kita semua terjatuh dari kuda kemegahan.
Moga baju putih 15 Dirham dari Mesir kita berganti baju koyak bertampal persis baju ‘Umar.
Dan akhirnya kita masuk ke al-Masjid al-Aqsa, membebaskan Palestin, dengan hati ahli Syurga.
Bukan ahli Dunia.
Bukan ahli Neraka.
Bertaubatlah, pada 10 hari terakhir Ramadan ini, demi redha-Nya!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
_______________
Suwaidan, Tareq M. Palestine: yesterday, today and tomorrow. Egedsa, 2006.
خالدي، صلاح عبد الفتاح. حقائق قرآنية حول القضية الفلسطينية. Vol. 22. منشورات الفرقان،, 1995.
Kathir, Ibn, and Ismail ibnUmar. “al-Bidayah wa al-Nihayah.” Riyadh: Maktabat al-Nasr (1966).
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (108) Pelawat
July 15, 2014
‘Kemuliaan’ Seorang Peragu Kebenaran
“Ustaz, sekejap ustaz. Saya nak tanya soalan” seorang anak muda menahan saya.
Beliau adalah salah seorang peserta dalam sebuah program Pre Departure yang saya kendalikan baru-baru ini.
“Tadi ustaz ada sebut tentang kita tidak boleh ragu dengan al-Quran. Macam mana ya? Saya selalu juga ragu-ragu. Adakah salah?” tanya beliau.
Pertanyaan yang sangat ikhlas, dan saya tidak memuji sesiapa melebihi penilaian Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“Oh, yang kita bincang tadi itu. Apa yang ustaz sebutkan tadi bukan begitu. Anta sudah tercampur aduk beberapa steps dalam perbincangan kita tadi” saya menyambut pertanyaan beliau.
Di dalam sesi Kompas Kehidupan, saya sentuh tentang peri pentingnya kita menilai pertalian diri kita dengan al-Quran. Allah menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran itu adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa (al-Baqarah 2: 2). Tetapi sebelum al-Quran boleh berfungsi sebagai petunjuk, ada pra syaratnya yang mesti ditunaikan.
“Itulah al-Kitāb (al-Qur’ān), tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” [al-Baqarah 2: 2]
ANALOGI
Seorang pengunjung, tiba buat pertama kalinya ke Kota London. Hanya dimaklumkan, agar berkumpul dengan anggota pasukan yang lain di Stesyen Keretapi Victoria. Perkara pertama yang dilakukannya adalah pergi ke kedai, untuk membeli peta. Ada banyak peta. Pelbagai jenis kertas, pelbagai warna, pelbagai harga. Akhirnya, setelah puas membelek, beliau memilih untuk membeli senaskhah peta Kota London yang berwarna warna, jelas ilustrasinya, elok jenis kertasnya dan murah harganya.
Peta ini bakal menjadi petunjuk, membantu beliau menelusi sistem pengangkutan Kota London yang bersimpang siur.
Tetapi matanya terpaku. Melihat di belakang peta berkenaan:
Printed in 1975
Printed in Calcutta, India
Ini tahun 2014! Peta ini peta hampir 40 tahun yang lalu. Masakan sama London 1975 dengan London 2014!
Cetakannya pula di Calcutta India. Orang Kolkata yang membuat peta ini pernahkah datang ke London?
Peta berkenaan tidak akan memainkan peranannya sebagai petunjuk, biar pun diberi percuma kepada beliau.
Beliau kehilangan asas utama kepada sebuah peta. Beliau meragui kebenaran isi kandungannya!
Demikian juga dengan al-Quran.
Diturunkan pada tahun 610M!
Diturunkan di Arab Saudi!
Relevankah lagi sebuah buku yang berusia lebih 1400 tahun dan terhasil di Arab Saudi dengan Malaysia 2014?
Sebelum al-Quran berperanan menjadi petunjuk, memandu kita dalam perjalanan hidup, menentukan arah dan tujuan, al-Quran itu mesti terlebih dahulu, bagi kita, kita tidak meraguinya.
MERAGUI KEBENARAN
Saya tidak bermaksud mahu mengheret perbincangan kita kepada wacana falsafah antara methodological skepticism (keraguan Cartesian) dan philosophical skepticism. Saya bukan ahlinya. Rujuklah mereka yang arif dengan perbahasan ini. Namun saya berpendapat hakikat perbualan saya dengan anak muda yang bertanya itu tadi, tidak jauh daripada wacana berkenaan.
Ketepikan seketika al-Quran itu sebagai sesuatu yang mutlaq, tiada keraguan, malah ia adalah firman Allah. Terima seketika bahawa semua itu adalah dakwaan seseorang kepada kita. Dia mungkin Cikgu KAFA kita, mungkin ustaz kita, mungkin buku yang kita baca. Tetapi kita sendiri, perlu bertanya kepada diri sendiri, di atas asas apa kita meyakini kebenaran al-Quran?
“Cikgu KAFA cakap!”
“Ustaz cakap!”
“Buku itu kata!”
Semua itu bukan hujah. Keraguan itu terjadi di dalam diri. Mana mungkin ia sembuh oleh sesuatu yang berada di luar diri, bukan diri. Jika kira ragu, ragulah! Marilah cikgu atau alim atau buku sehebat mana pun, jika kita ragu, kita ragu.
Terkenal sekali perbahasan, bisakah agama bermula dengan sebuah keraguan, sebagaimana ilmu? Apa sahaja jawapan yang hendak ditawarkan berkenaan persoalan itu, di peringkat manusia biasa seperti kita, jika kita ragu, ragulah kita. Seperti anak muda yang bertanya tempoh hari.
Oleh itu, kita mesti menyelesaikan keraguan tersebut.
Atas asas apakah kita meyakini al-Quran itu wahyu Allah, benar, mutlaq dan sumber al-Haq?
PROSES ANTARA RAGU DAN YAKIN
Jika kita belajar agama secara formal, kita akan belajar tentang al-Quran mengikut turutan topik. Pembelajaran secara sistematik sebagai legasi ‘Ulum al-Qur’an zaman berzaman itu, ada di dalamnya pengalaman ummah yang kaya. Maka tersusunnya ia sedemikian rupa adalah dengan hikmah yang besar, hasil pengalaman ilmuwan kita.
Ini berbeza daripada belajar agama secara tidak formal.
Tambahan pula mempelajarinya dari internet.
Bukan kerana internet itu tidak sahih. Tetapi carian Google selalunya akan memberi kepada kita apa yang kita mahu. Tetapi ia sukar memberi kepada kita apa yang kita perlu. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang kita perlu tahu.
Natijahnya, kita terjun ke perbahasan-perbahasan yang advance tetapi kita tidak menyelesaikan beberapa persoalan dasar yang lebih awal. Antaranya, benarkah al-Quran itu wahyu dan seterusnya bagaimanakah al-Quran itu menjadi hujah?
Pembelajaran Islam secara formal akan meletakkan topik-topik awal mengenai al-Quran adalah berkenaan Hujjiyyah al-Qur’ān yakni kedudukan al-Quran sebagai hujah. Topik ini adalah topik akal. Akal dikehendaki bekerja mencari asas-asas bagaimana terbuktinya al-Quran itu Wahyu.
Mungkin dengan meneliti konsistensi bahasanya.
Mungkin dengan melihat hikmah di sebalik tergantungnya jawapan kepada pertanyaan Musyrikin Mekah dalam kisah Ashāb al-Kahf, dan fitnah golongan Munafiq terhadap Umm al-Mu’minīn ‘Āishah r.a.
Mungkin dengan teori kebarangkalian pada fakta-fakta sains di dalam al-Quran.
Apa yang penting, meyakini al-Quran sebagai Wahyu dan Benar, adalah kerja setiap individu Muslim. Sulit menerima kebenaran al-Quran atas sebuah taqlid. Ia mestilah dicari.
Cari sampai dapat.
Sampai yakin.
MEMERLUKAN PENCARI
Dan untuk mencari, kita memerlukan pencari!
“Bagi ustaz, orang yang ragu seperti anta, adalah orang yang SETIA DENGAN KEBENARAN. Kerana kesetiaan anta kepada kebenaran, al-Quran itu pun anta persoalkan. ‘Hati kecil’ di dalam diri itu tahu, kebenaran itu wujud. Kebenaran itu boleh dirasa. Ia seperti gula yang mesti manis, garam yang mesti masin. Kebenaran mesti memuaskan ‘hati kecil’ yang berfikir di benak itu” saya menyambung perbualan.
Anak muda itu termenung. Saya nampak pada matanya, masih ada banyak yang bergelora di fikirannya.
“Bagi orang yang sudah berumur mencecah 40 tahun ini, izinkan ustaz untuk berkata bahawa anta yang berumur 20 tahun, masih muda. Tidak mengapa munculnya keraguan-keraguan di usia ini. Ustaz sendiri pada usia tua sebegini masih bertanya, mempersoalkan, mencari, meragui” saya cuba menyedapkan fikirannya.
“Apa yang perlu saya buat, ustaz?” beliau bertanya.
KEMBALI KE ASAS BERAGAMA
“Kembali kepada asas beragama. Perintah pertama dalam agama kita ialah BACA. Dapatkan ilmu. Keraguan anta adalah kerana anta belum memperolehi ilmu yang tepat dengan dos yang betul, untuk menggantikan keraguan dengan keyakinan. Betapa baiknya Tuhan yang menyuruh anta baca. Dia menyuruh anta baca, dan baca pula dengan nama Tuhan. Bukan nama Allah, walaupun Allah itu nama Dia. Kalau sebut Allah, ia sudah berpihak. Tetapi yang diperintahkan ialah baca, dengan nama Tuhan. Tuhan yang mana? Tuhan yang Mencipta. Ketepikan dahulu Tuhan itu Mencipta Flora dan Fauna. Tumpukan kepada Tuhan itu Mencipta sesuatu yang anta tiada keraguan tentang penciptaannya iaitu diri anta sendiri” saya menjelaskan satu persatu, perlahan-lahan, aturan mencari kebenaran yang Allah letakkan di dalam firman Iqra’.
“Jadi, tidak salahlah saya ragu-ragu?” beliau meminta pengesahan.
“Ya akhi. Ada orang selesa dengan al-Quran, hari-hari baca al-Quran, dalam sangkaan dia beriman dengan al-Quran. Tetapi apabila datang satu ujian, dia terus tinggalkan al-Quran. Dia tidak setia dengan al-Quran. Datang nikmat dunia, dia tinggalkan pesanan al-Quran. Sebab apa pendamping al-Quran tinggalkan al-Quran? Sebab dia tidak pernah mempersoalkan al-Quran. Tidak pernah ragu-ragu. Tidak pernah berfikir. Tidak pernah melakukan pemeriksaan terhadap hubungannya dengan al-Quran. Tetapi anta yang meragui al-Quran… anta mahukan kebenaran. Dan percayalah, jika anta terus setia dengan kebenaran, anta satu hari nanti akan bersimpul mati dengan al-Quran” saya cuba meletakkan persoalan beliau dalam konteks penilaian.
Ketika al-Quran dan kita sudah bersimpul mati, kita jadi macam kucing di atas tikar. Makin ditarik ekor, makin kuat kita menggenggam tikar.
“Namun, pastikanlah keraguan itu kerana natijah anta berfikir dengan fikiran yang sihat. Fikiran yang tidak sihat itu mungkin sudah jatuh ke lembah OCD. Penyakit kronik was-was yang membabitkan aktiviti otak yang tidak normal. Sudah sampai pejabat, balik ke rumah semula kerana sebab was-was sama ada pintu rumah sudah dikunci atau tidak. Anta basuh tangan sampai luka tangan, kerana was-was dengan kebersihan. Keraguan yang ini bukan lagi keraguan mencari kebenaran, tetapi penyakit mental yang memerlukan rawatan perubatan, doa kesembuhan serta doa perlindungan Allah daripada Syaitan penimbul was-was” saya menyudahkan perbualan.
Dan… bersabar apabila dimarahi, dilabel, dikecam, dipulau… bukan semua penyebar kebenaran suka kebenaran dipersoalkan! Adakalanya mereka cuba menjadikan kebenaran itu milik mereka, sedangkan kebenaran sentiasa hak eksklusif antara setiap insan dengan Tuhannya.
Nampak beliau sudah manis senyumnya.
Mudah-mudahan sudah jelas apa yang perlu beliau lakukan.
Saya hanya mampu mendoakan.
‘Terima kasih kepada Enlightenment‘ pada mewariskan skepticism sebagai legasi besar dalam pendidikan. Dalam kejamnya sistem pendidikan kita yang memandulkan proses berfikir, rahmat Allah masih gerimis membasah akal budi beberapa anak muda yang kaya pertanyaan.
Mereka mencari kebenaran.
Mereka setia dengan kebenaran.
Moga istiqamah hingga ke titik akhir sebuah kehidupan, garisan penamat sebuah pencarian.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (59) Pelawat
Belfast Tidak Pernah Melupakan Palestin
Mural Pro Palestin di Belfast [foto: ifimages.com]
“�Imam tahu tak apa yang terjadi di Masjid Dublin siang tadi?�” Bilal bertanya kepada saya.
�”Hah, kenapa? Apa yang berlaku?�” saya menyoal.
“�Di Masjid South Circular Road, masa Imam sedang menyampaikan khutbah, berlaku pergaduhan di depan minbar” Bilal memulakan ceritanya.
“�Astaghfirullah al-Adheem. Tak adakah tempat dan masa yang lain untuk bergaduh? Macam mana boleh jadi begitu?�” saya terkejut mendengar cerita Bilal.
�”Ya, Imam. Bukan setakat itu, malah pergaduhan itu sebenarnya berlaku antara seorang jemaah dengan Khatib yang sedang berkhutbah!�” Bilal bersungguh-sungguh bercerita kepada saya sampai merah mukanya menahan marah.
�”Allahu Akbar. Ini sudah mendesak kiamat cepat. Apa isunya?�” saya kehairanan.
�”Lelaki itu tidak berpuas hati dengan Khatib. Katanya, dia jemu mendengar khutbah tentang Palestin. Asyik-asyik Palestin. Tak ada isu lainkah? Bagaimana dengan Kashmir, Afghanistan dan lain-lain. Itu rungutannya” jawab Bilal.
�”Oh begitu. Kalau tak puas hati sekali pun, tak bolehkah tunggu sampai lepas solat Jumaat. Ini, tengah khutbah pun boleh bergaduh. Melampau betul” saya masih terkejut dengan cerita itu.
Saya memang hairan, mengapakah umat Islam begitu mudah bertelagah. Terutamanya di Britain dan Ireland. Akibat suka bergaduh inilah, maka saya membuat kesimpulan bahawa ia menjadi punca utama mengapa umat Islam di Britain dan Ireland jauh ketinggalan berbanding dengan ikhwah di Amerika Syarikat yang sudah maju ke hadapan.
Tambah menghairankan saya, apabila isu Palestin disanggah sedemikian rupa.
Semenjak kebangkitan semula di Palestin, kami di Britain dan Ireland sudah terasa bahang panasnya. Saban hari, ada sahaja demonstrasi yang diadakan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Malah khutbah Jumaat juga memang banyak memberikan penekanan kepada membangkitkan kesedaran umat Islam di Britain dan Ireland tentang peri pentingnya isu Palestin diberi perhatian yang sewajarnya.
Namun, saya akur bahawa semasa saya menyampaikan hampir 50 khutbah setahun (saya Imam tunggal di Masjid Belfast, berkhutbah setiap minggu), saya perlu mengimbangkan fokus khutbah agar turut mengambil kira keadaan jemaah di masjid saya. Sentimen Arab dan Pakistan yang saling bermusuhan, sangat dominan dan ia menjadi alasan paling utama mengapa saya dilantik sebagai Imam.
�”Baguslah kalau kamu boleh menjadi Imam di sini. Tidak Arab dan tidak Pakistan. Maka mudah untuk mendamaikan kami semua�” kata Jamal, Presiden Belfast Islamic Centre kepada saya semasa saya mula bertugas.
Maka, isu-isu di Afghanistan, Kashmir, India, malah Iraq dan Chechnya dan sebagainya, turut menjadi subjek yang saya perlu sentuh semasa berkhutbah. Namun, usul tentang Palestin tetap menjadi keutamaan.
Semenjak di Jordan, saya sering berbual bersama rakan-rakan tentang peri pentingnya kami yang belajar di Jordan mengenengahkan maklumat tentang Palestin kepada masyarakat di Malaysia. Zaman tiada internet.
�Kita mesti buat apa yang tidak mampu dibuat oleh orang lain. Kita yang paling banyak maklumat tentang Palestin, maka biarlah kita yang melaksanakan peranan ini., itu yang pernah saya suarakan kepada Ghazali, Sabri, Najmuddin, Baihaqi, Basri dan ramai lagi warga Darul Ulum, Sweileh, tempat kami berkumpul setiap hujung minggu.
Di Jordan, bahang Palestin memang amat dirasakan. Akhbar al-Sabīl, Majalah Palestin al-Muslimah, malah televisyen �Israel� menjadikan Jordan sebagai tempat paling tepat untuk kami beroleh maklumat tentang Palestin. Kerana itulah, pelajar Malaysia di Jordan merupakan kumpulan pembekal maklumat paling efisien untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Malah, pelajar Malaysia yang mengambil jurusan Sastera Arab, diwajibkan belajar bahasa Hebrew. Maka ini menjadi satu lagi kekuatan untuk pelajar Malaysia di Jordan berperanan.
Syukur, sedikit-sebanyak peranan tersebut telah dimainkan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik hari ini di Malaysia. Beliau telah melaksanakan amanah itu dengan baik.
Sedikit sebanyak maklumat yang saya perolehi semasa belajar di Jordan, memudahkan saya untuk membawa isu Palestin kepada massa di Belfast, tempat saya bertugas. Suntikan semangat membantu umat Islam di Palestin sentiasa menjadi agenda besar pemimpin masyarakat umat Islam di komuniti masing-masing dan hasilnya cukup baik.
Saya masih ingat, Ramadhan 1422 Hijrah, banyak masjid di UK dan Ireland yang memotong bajet iftar Ramadhan kerana segala wang yang terkumpul di masjid, dihantar ke Palestin untuk membantu umat Islam di sana.
Lazimnya di UK dan Ireland, setiap kali menjelang Ramadhan, masjid-masjid akan rancak menyediakan masakan untuk berbuka. Kami memang lebih banyak berbuka di masjid berbanding dengan rumah sendiri. Malah mereka yang sudah berkeluarga sekali pun, lebih selesa berbuka di masjid. Cuma, untuk tahun itu, masjid-masjid mengambil keputusan untuk memberikan keutamaan kepada apa yang lebih banyak mendatangkan pahala dan lebih signifikan dalam amal kebajikan, iaitu menyalurkan wang terkumpul di masjid, kepada umat Islam di Palestin.
Sokongan dan perhatian kepada isu Palestin juga, tidak hanya mendapat sambutan di kalangan umat Islam, malah penduduk tempatan juga banyak membantu. Kami di Belfast Islamic Centre amat kerap melakukan kerjasama dengan Ireland Palestine Solidarity Committy (http://www.ipsc.ie) bagi menjalankan kempen kesedaran masyarakat terhadap penindasan yang dilakukan oleh kesatuan pelbagai pihak terhadap umat Islam di Palestin.
Sokongan penduduk Belfast dan Dublin kepada perjuangan Palestin [foto kredit: indymedia.ie]
Akan tetapi, Belfast mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di dalam isu Palestin. Golongan Kristian Katholik di Belfast mempunyai sentimen yang amat kuat di dalam memberikan sokongan kepada kami umat Islam di sana, serta isu Palestin secara khusus. Manakala Golongan Protestant pula memberikan sokongan yang amat kuat kepada Yahudi di Palestin sehingga seorang paderi Katholik memberitahu saya, �puak Protestant di Belfast ini mengasihi Yahudi lebih daripada kasih Yahudi kepada Yahudi sendiri!�.
Ya, saya boleh bersetuju dengan kenyataan itu sebab di lorong-lorong yang menjadi kawasan kediaman puak Protestant yang juga pro Britain itu, mereka mengibarkan bendera �Israel� di sepanjang jalan dan rumah masing-masing. Sebagai tindak balas, puak Katholik mengibarkan bendera Palestin di seluruh kawasan kediaman mereka. Ia suatu pemandangan luar biasa di Belfast yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Pemandangan itu turut menarik perhatian pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Banyak analisa yang dibuat, namun kebanyakannya mengatakan bahawa, sokongan puak Katholik kepada Palestin banyak dipengaruhi oleh kebencian mereka kepada Britain. Pada anggapan puak Katholik, umat Islam dan Arab di Palestin menjadi mangsa percaturan politik Britain, sebagaimana mereka yang juga diseksa, ditindas dan dijajah oleh Britain.
�”Kita serupa!�” kata jurucakap IPSC kepada saya semasa kami mengadakan demonstrasi di hadapan Belfast City Hall.
Penduduk Derry di Utara Belfast Turut Tidak Ketinggalan [foto: lightgaza.org]
MAKAR MEDIA BRITAIN
Media juga tidak melepaskan peluang untuk mengheret saya kepada percaturan isu Palestin ini. Seperti biasa, tugas saya sebagai Imam menuntut saya untuk berhadapan dengan media yang berkunjung ke masjid dengan pelbagai maksud. Seandainya mereka menghubungi saya atau Mr. Jamal yang merupakan Presiden Belfast Islamic Centre, dan mahu mengadakan wawancara, maka itu bukanlah permintaan tetapi paksaan secara sopan.
Jangan sekali-kali mengambil sikap reaktif dan melarikan diri dari media kerana nantinya mereka akan membuat spekulasi yang akan lebih menimbulkan pelbagai kesulitan.
“�Kami cuba mendapatkan komen Imam di Belfast Islamic Centre namun beliau gagal dihubungi!�”
Hah, janganlah dibiarkan kenyataan seumpama itu muncul di media, kerana ia akan membuka kepada pelbagai tafsiran. Jadi, mahu tidak mahu, apabila media menghubungi kami, maka kami harus bersedia untuk bertemu.
Saya masih ingat dengan temuramah BBC Radio yang mahu berbincang tentang isu Palestin. Saya sudah dapat mengagak dari awal, apakah bentuk soalan yang bakal diutarakan kepada saya.
�”Apa pandangan Imam tentang suicide bombing di Palestin?�” tanya wartawan itu kepada saya.
Huh, inilah soalan cepumas yang mesti ditanya. Saya perlu menjawabnya dengan teliti kerana jika saya tersalah menjawabnya, maka saya dan pihak masjid akan ditimpa musibah di bawah pemantauan kerajaan Britain.
Apakah yang patut saya jawab? Jika saya menafikan persetujuan saya terhadap suicide bomber di Palestin, ia menyalahi apa yang saya pegang selama ini. Saya membantah tindakan pengebom berani mati yang bertindak meletupkan diri di kawasan awam seperti Istanbul, London, hatta New York sekali pun. Namun, keadaan di Palestin berbeza. Kehidupan di Palestin hanya satu antara dua. Sama ada kamu mengebom, atau kamu mati dibom. Suicide bomber itu ada justifikasi mereka.
Akan tetapi jika saya menyatakan persetujuan saya terhadap suicide bombing di Palestin, ia bererti saya mengundang padah. Pastinya saya akan diheret ke Balai Polis untuk soal siasat jika mereka menghidu sokongan saya kepada sebarang anasir yang berbau HAMAS, apatah lagi pengebom berani mati mereka.
Wartawan itu nampak semacam puas kerana dapat memerangkap saya dengan soalan tersebut. Saya mesti berani, dan saya tidak boleh menari mengikut rentak wartawan itu.
�”Saya rasa saudara sudah bertanya soalan itu kepada orang yang salah” saya menjawab.
�”Apa maksud awak, Imam?�” tanya wartawan itu.
�”Ya. Saudara dan saya, kita sama-sama duduk di Belfast. Kita mempunyai makanan, minuman, tempat tinggal dan segala keperluan hidup yang mewah dan cukup. Tiba-tiba saya diminta memberi komen tentang apa yang orang Palestin patut buat dan tidak patut buat. Sedangkan mereka menderita di sana, dan kita tidak tahu sejauh mana penderitaan mereka itu. Saya rasa saya tidak bermaruah untuk menjawab soalan itu. Jika saudara mahu tahu tentang kewajaran suicide bombing di Palestin, saudara patut bertanya kepada orang Palestin di Palestin sendiri!” saya menjawab, tanpa memberi ruang beliau mencelah.
“Dan saya kira, untuk kita bercakap tentang keganasan, kita juga mesti bercakap tentang PENINDASAN yang menjadi punca keganasan�!” saya cuba bertegas sebaik mungkin di hadapan wartawan BBC Radio itu.
Beliau terdiam.
Temuramahnya dengan saya petang itu tidak disiarkan di mana-mana media BBC.
Syukur Alhamdulillah.
KELUARGA EL-ASTAL DARI KHAN YUNUS
Namun, dalam kepedihan saya mengikuti perkembangan di Palestin hari demi hari, saya tidak akan lupa kepada rakan karib saya, Dr. Ali Hamed el-Astal, seorang pakar Fizik yang bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di The Queen�s University of Belfast. Anak-anaknya adalah di antara pelajar kesayangan saya kerana kecerdikan mereka di dalam hafalan al-Quran dan keceriaan mereka di dalam kelas yang saya bimbing. Saya tidak ingat nama kesemua anaknya yang saya ajar kecuali Mustafa.
Dr. Ali sudah lama tinggal di Belfast dan beliau menjadi ahli jemaah di masjid Belfast yang sangat komited. Beliau banyak memberi kata perangsang kepada saya dalam soal memimpin Belfast Islamic School kerana dia tahu yang saya sentiasa berada dalam keadaan tertekan.
Namun, apabila keadaan di Palestin menjadi terlalu bergolak di sekitar awal 2002, Dr. Ali telah mengejutkan kami dengan keputusannya. Beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk meninggalkan Belfast dan pulang ke kampung halamannya di Khan Yunus, Palestin untuk memberikan sokongan kepada intifadhah.
�”Saya tidak kesal dengan keputusan ini. Saya lebih rela meninggalkan keselesaan hidup di Belfast demi tanah air saya yang sedang musnah itu. Malah Imam, sebenarnya hati saya dan anak-anak saya lebih tenang dan bahagia di Khan Yunus, walaupun mungkin hidup kami lebih selesa di sini�” Dr. Ali memaklumkan hal ini kepada saya selepas kami selesai menunaikan solat Isyak malam itu.
Saya dan rakan-rakan memeluk Dr. Ali dengan linangan air mata kerana malam itu adalah malam perpisahan kami. Kepala Mustafa saya usap dengan rasa sebak di dada. Andainya engkau syahid wahai anak muridku, lambaikan tanganmu kepada kami di sini.
Perpisahan saya dengan Dr. Ali dan anaknya Mustafa malam itu saya iringkan dengan ucapan syair:
Janganlah kamu katakan Wadaa�an (selamat tinggal),
Bahkan sebutlah �hingga kita bertemu lagi�
Seandainya tidak di bumi Tuhan
Mudah-mudahan di syurga-Nya nanti
Semoga setiap ringgit yang kita derma, sampai ke tangan Dr. Ali, Mustafa dan sekalian anak watan bumi Isra� yang hidupnya untuk Maha Hidup. Salam perjuangan buat kalian!
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (22) Pelawat
July 13, 2014
Yatim Sebelas Bulan: Muhasabah Sedekah di Bulan Ramadan
“Program sudah nak habis. Seronok tak program kali ini?” saya bertanya kepada salah seorang peserta.
“Seronok. Ustaz datanglah selalu ke sini” katanya.
“Sedih apabila ibu bapa terpaksa meninggalkan kalian di rumah anak yatim ini… begitulah juga adakalanya anak-anak ustaz rasa apabila mereka ditinggalkan di rumah kalau ustaz selalu datang ke sini” saya memusing idea.
Mereka tersenyum.
“Nanti ustaz kirim salam dekat anak-anak ustaz ye. Seronok tengok gambar” kata peserta yang ramah tamah itu tadi. Mereka beriya-iya meminta saya menunjukkan gambar keluarga saya yang ada di dalam laptop.
“Insya Allah… Hah, tak lama lagi Ramadhan. Apa macam?” saya menyambung perbualan.
“Seronok dan tak seronok” balas salah seorang mereka.
“Macam mana tu?” saya tertarik untuk mengorek lagi.
“Seronok sebab bulan puasa nanti ada banyak majlis. Jemputan di hotel, di pejabat cantik-cantik” ujarnya.
SERONOK ANAK YATIM
Ramadhan memang bulan yang sibuk bagi banyak rumah anak yatim. Jadual Ramadhan mereka adakalanya penuh seawal bulan Rejab. Pelbagai syarikat korporat dan hartawan tampil menghulurkan bantuan mereka di bulan Ramadhan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.
Bukan sahaja badan korporat, malah artis-artis pun turun sama.
Ada kalanya saya kasihan melihat anak-anak yatim itu yang mengeluh kerana mereka tidak sempat membaca al-Quran kerana diangkut ke sana sini memenuhi undangan.
“Kami menderita kekenyangan ustaz!” kata salah seorang anak yatim yang menyertai program motivasi saya itu. Kata-katanya disambut gelak ketawa kami semua.
SEDIH ANAK YATIM
Kalau kita pandai mengorek, macam-macam cerita yang boleh kita perolehi dari anak-anak yatim ini. Mereka orang yang ‘menyimpan’ kerana selalunya kekurangan rasa kepercayaan kepada orang luar, tetapi jika kepercayaan itu boleh dihasilkan, berhamburan pula cerita berselang air mata.
Tentu sahaja dalam keseronokan melayan undangan di sepanjang Ramadhan, terselit rasa sedih yang tiada ubatnya. Mampukah si anak yatim ini makan sedap-sedap tatkala sesetengahnya terkenangkan ibu atau ayah di kampung yang entah nasinya berlauk atau pun tidak, atau mungkin sahaja berbukanya tanpa nasi. Pasti sahaja kesedihan itu tampil kerana Ramadhan adalah bulan kita makan bersama, dan anak-anak yatim kehilangan segala yang itu.
“Itukah yang kamu maksudkan dengan tak seronoknya di bulan Ramadhan?” saya bertanya.
“Bukan itu ustaz. Yang itu saya faham. Saya tak boleh nak buat apa sebab itu ujian Allah ke atas saya sebagai anak yatim” katanya, petah menyusun kata.
Terdiam saya seketika.
“Yang tidak seronoknya ialah, kami ‘beribu bapa’ sebulan, dan terbiar yatim 11 bulan!” simpul anak muda di depan saya ini.
Allah…
ISLAM DAN TUJUAN
Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengajar kita untuk peka dengan sense of purpose. Ia agama yang mengajar kita hidup bertujuan, justeru perbuatan-perbuatan seharian juga harus dengan kepekaan yang sama. Mengabaikan tujuan, bererti kita menghilangkan makna pada perbuatan, maka bertaburanlah hikmah dan faedah menjadi tidak tentu arah atas perbuatan yang kita lakukan.
Bulan Ramadhan adalah bulan perlatihan.
Segala ibadah bukan sekadar mengisi musim ibadah, tetapi untuk mencetus momentum yang perlu bagi bulan-bulan yang seterusnya. Ramadhan itulah kursus motivasi, ia jugalah kursus kemahiran, ia jugalah kursus peningkatan agar cergas iman dan tubuh badan. Justeru apa sahaja perlakuan kita di bulan Ramadhan, bukan sekadar mengejar pahala yang dijanjikan, tetapi ia memberhentikan kebiasaan yang buruk lalu digantikan dengan perlatihan untuk mencetuskan kebiasaan yang baik.
Sebesar-besar kebaikan adalah memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
Apakah ia sekadar soal pahala?
Saya tetap melihatnya sebagai perlatihan.
BULAN ATAU INSAN?
Ada banyak riwayat yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah di bulan Ramadan, biar pun kebanyakannya adalah riwayat yang lemah. Namun riwayat yang menjelaskan tentang pemurahnya Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam di bulan Ramadan adalah riwayat yang sahih. Bisakah kita memahami, bahawa baginda itu begitu pemurah di bulan Ramadan, kerana ramai yang berhajat di bulan Ramadan, dan bukanlah semata-mata mengejar kelebihan makna sebuah bulan, hingga mengenepikan maksud asas bersedekah, iaitu menunaikan hajat?
Agar agama kita tidak kaku. Memenangkan bulan, membelakangkan insan.
Maka bulan Ramadhan adalah bulan melatih kita untuk peka kepada orang susah, anak yatim, ibu tunggal, saudara baru dan sekalian yang mendamba bantuan. Justeru apakah ertinya jika badan-badan korporat menjadikan Ramadan sebagai bulan menunaikan corporate social responsibility (CSR) mereka, hingga anak yatim menderita kekenyangan, tetapi kemudiannya anak yatim ini tidak diendahkan pada bulan-bulan yang seterusnya?
Jika kita mahu bercakap tentang pahala, maka saya berasakan bahawa jika keadaan ini terus dibiarkan, ada kemungkinan membantu anak yatim di bulan Syaaban, Safar atau Rabi’ul Awwal, lebih berpahala berbanding dengan derma dermawan di bulan Ramadhan. Mengadakan jamuan berbuka puasa untuk anak yatim sudah berubah dari kebajikan dan ibadat kepada adat. Adat yang buta tujuan!
Semua orang buat, kita kena buat. Tetapi pada waktu anak-anak yatim itu benar-benar memerlukan bantuan, mereka sepi ditinggalkan.
Agama ialah perlatihan HIDUP DENGAN TUJUAN. Dengan mengabaikan soal BERTUJUAN DALAM PERBUATAN, agama bertukar menjadi permainan dan perlakuan yang bersifat sendaan ke atas kemanusiaan.
Yatim 11 bulan, malang sekali nasib kalian.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Versi asal artikel ini adalah petikan buku Transformasi Ramadan.
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (25) Pelawat
July 10, 2014
Palestin Memanggil Muslim Kembali Kepada Islam
Semua yang hadir di kehidupan dunia ini, hadir dengan realiti, bersama ilusi.
Biar pun kedua-duanya di pandangan mata nampak serupa, hakikatnya amat berbeza.
Insan sebenar itu realiti.
Fotonya hanya ilusi.
Realiti ada bau, ada rasa, ada makna.
Ilusi hanya boleh dipandang, tidak boleh dipegang, jauh sekali hendak memegang.
Bandingkan sahaja buah-buahan sebenar dengan buah plastik. Buah sebenar walaupun tidak sempurna rupanya seperti yang ditakrifkan sempurna oleh mata manusia, ia ada bau, ada rasa, boleh dijamah dan penuh makna. Buah plastik biar pun cantik, hanya jamuan mata, perhiasan semata.
Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara realiti dan ilusi, realiti sentiasa lebih bermakna berbanding ilusi.
ILUSI SEMASA UNTUK REALITI SEMALAM
Seorang tokoh agung yang dipuja lagi disanjung, mati apabila tiba ajalnya. Kerana kasih pengikut kepadanya, sebuah patung diukir indah. Patung yang rupa parasnya tidak ubah seperti tokoh yang asal. Patung itu dimuliakan, diletakkan di sebuah taman yang indah, menzahirkan rasa megah dan bangga terhadap tokoh itu semasa hayatnya. Patung yang mengekalkan rasa bangga dengan semalam.
Tiba-tiba datang seekor burung kecil, terbang petang seperti burung kecil yang lain. Burung yang penat singgah berehat, bertenggek di atas hidung ‘tokoh’ yang agung itu tadi.
Tanpa ada yang menghalang, si burung kecil melepaskan najisnya!
Betul-betul di hidung, di muka tokoh yang agung itu.
Si burung terbang menyambung perjalanan petang.
Tokoh tadi masih megah dengan sejarah semalam, semasa wajahnya berlumuran najis!
Tokoh itu tokoh yang agung. Namun dia hanya sebuah patung. Sebuah ilusi. Burung itu biar pun kecil, dia hidup, dia realiti.
Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara ilusi dan realiti, kemenangan sentiasa berpihak kepada realiti, biar sekecil mana pun realiti itu, dan sebesar mana pun sebuah ilusi.
ILA AL-ISLAM MIN JADID (KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM)
Ini adalah sebahagian daripada analogi yang dirumuskan oleh Sheikh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam min Jadid (Kembali Semula Kepada Islam), tentang hakikat yang perlu diberikan perhatian umat Islam terhadap akar umbi permasalahan hidup mereka.
Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Yahudi. Dan Yahudi di Palestin benar-benar seperti yang diceritakan. Yahudi di Palestin adalah Yahudi tulen. Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Nasrani. Dan Nasrani di Amerika Syarikat dan blok Barat benar-benar seperti yang diceritakan. Nasrani itu adalah Nasrani tulen.
Al-Quran yang sama memperincikan tentang ciri-ciri Muslim.
Samakah Muslim seperti yang digambarkan oleh al-Quran?
Samakah kita seperti apa yang al-Quran gambarkan tentang kita?
Berapakah jarak di antara diri idaman kita dengan diri yang sebenar?
SYARAT KEMENANGAN
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.[Al-Isra' 17: 7]
Dalam pusingan kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan oleh Yahudi kali ini, fasad mereka tidak kekal selamanya. Mereka akan tumpas, mereka akan tewas. Mereka akan kalah dengan kehinaan dan kemuraman wajah, dan yakinilah bahawa mereka juga mengetahui akan hakikat ini.
Namun kemenangan pemenang pada menumpaskan Yahudi di bumi Palestin adalah bersyarat.
Mereka memasuki Palestin seperti kemasukan mereka kali pertama dahulu.
Dengan kualiti yang sama.
Hanya Muslim tulen yang berhak menuntut kemenangan yang dijanjikan Tuhan.
Palestin menunggu Muslim kembali kepada Islam.
Yahudi tulen, Nasrani tulen, ‘menunggu’ kehadiran Muslim tulen.
Pertempuran antara dua realiti, memenangkan kebenaran atas kebatilan.
Pertempuran antara realiti vs ilusi, kita menipu diri sendiri!
وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا
“Jika kamu kembali, Kami kembali” [al-Isrā' 17: 8]
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (8867) Pelawat
July 9, 2014
Dunia Islam Daripada Jendela Nasyid 1990′an
Ia bukan situasi baru.
Sudah lama.
Oleh kerana saya lahir pada tahun 1970′an, maka memori saya berkata semenjak 1970′an itu lagi umat Islam sudah ditimpa dengan konflik demi konflik.
Soviet Union menawan Afghanistan pada tahun 1979.
Peperangan Iran – Iraq pada tahun 1980.
Peperangan Lebanon pertama pada tahun 1982.
Pengeboman Libya oleh Amerika Syarikat pada tahun 1986.
Senarai itu berterusan ke tahun 1990′an apabila Iraq menyerang Kuwait pada tahun 1990, lalu Iraq dibalas serangan pada tahun 1991.
Bosnia Herzegovina bermandi darah pada tahun 1992.
Pembunuhan beramai-ramai ekoran perobohan Masjid Babri di Ayodhya pada tahun 1992
Perang di Chechnya tercetus pada 1994.
Tidak dilupakan kebuluran di Somalia yang memuncak pada awal 1990′an, pertembungan berdarah di Mindanao, Patani, Arakan, segala-galanya bertimpa-timpa. Dan di sepanjang malapetaka demi malapetaka ini, bumi yang tidak pernah surut daripada konflik, peperangan, pembunuhan, kemusnahan, kematian dan segalanya, adalah PALESTIN.
Keberadaan saya dan rakan-rakan di Jordan, ketika seluruh dunia bergolak di keliling kami, tanpa media yang pantas untuk melaporkannya seperti 20 tahun kemudian, kami masih sesak nafas. Tidak cukup masa untuk memahami apa yang berlaku, tambahan pula memikirkan tindakan yang perlu untuk membantu. Paling tidak pun memberitahu.
Setiap orang ada cara tersendiri untuk berekspresi.
Biar pun kami sama-sama disatukan oleh akhbar al-Sabīl, majalah al-Mujtama’ dan ceramah serta khutbah di masjid-masjid seperti Masjid ‘Abd al-Rahmān bin ‘Auf di Sweileh, maklumat yang diperolehi diluahkan dengan cara masing-masing.
Sebagaimana rakan Usrah al-Wadi di Mesir, dan Suara Tajdid di UK, kami anggota kumpulan nasyid Usrah al-Firdaus di Jordan menceritakan tragedi-tragedi ini melalui nasyid yang dicipta. Lihat sahaja Usrah al-Wadi di Mesir, nasyid era 1990′an itu persis laporan akhbar al-Jazeera!
Pulanglah Natrah, Memoir Kashmir, Untukmu Somalia, Tragedi Babri, Panji Afghanistan dan senarai itu berterusan.
Secara kecil-kecilan, saya turun terkesan. Emosi yang begitu tersentuh oleh satu demi satu musibah yang menimpah, adalah emosi yang aktif untuk menatijahkan karya-karya nasyid sebagai medium ekspresi. Antara yang sempat dinukilkan adalah nasyid ‘Merah Senja”. Nasyid ini terkenal di kalangan pelajar Malaysia di Jordan sebagai nasyid panjang! Ia saya dendangkan pada tahun 1994 atau 1995, tetapi kemudiannya dirakam di dalam album Bingkisan Aidilfitri dengan Ustaz Mohd Erfino Johari sebagai penasyidnya.
MERAH SENJA
Merah senja dan camar yang pulang
Sayu mengiring pemergianmu
Ramadhan kami kau tinggalkan
Terbelenggu dalam kedukaan
Perkhabaran yang menceritakan
Bulan ini satu perjuangan
Harapan yang belum ditunaikan
Impian yang dipusakakan
Langit Palestin semakin merah
Taman insan berlumuran darah
Gerimis senja mengiring airmata
Mereka itu tidak terbela
Perjanjian damai dan siri persidangan
diri mereka diperdagangkan
Palestin kau masih begitu
Bumi Rohingya (lirik asal menyebut Bosnia) medan gurau senda
Darah dibayar dengan senyuman
Sungai air mata dan segunung rangka
Perhiasan mereka semua
Tika mereka itu menjadi hidangan
Saudara tersenyum kekenyangan
Rohingya kau tetap begitu
Somalia mati kelaparan
Tika hidangan penuh dimeja
Babri yang mereka rakus meruntuhkan
Tika masjid kita kesunyian
Apakah saudara masih lagi terleka
Tinggalkan Islam menderita
Saudara hitunglah dirimu
Hari Badar di bulan Ramadhan
Sanggupkah engkau mengulanginya
Kota Makkah itu telah dimerdekakan
Al Quds sanggupkah kau kembalikan
Cukuplah sampai di sini saudaraku
Dunia Islam memerlukanmu
Saudara mulakan langkahmu
Versi dendangan sahabat saya, Ustaz Erfino Johari juga boleh dinikmati di http://www.youtube.com/watch?v=NBpLUPuGSvg
Hari ini, nasyid-nasyid yang bercerita sedemikian rupa semakin hilang. Atau pun mungkin memang sudah tiada. Semoga coretan 20 tahun silam ini, ada manfaat yang boleh dikongsi bersama.
Buat generasi hari ini, lakukanlah apa sahaja untuk berperanan. Pilihlah tindakan yang benar-benar membantu. Yang panjang manfaatnya. Yang sesuai menjadi legasi.
Catatan-catatan kita di Facebook, Twitter dan Instagram adalah untuk menjustifikasikan peranan kita sebagai seorang Muslim dan manusia. Ia bukan pertandingan siapa lebih hebat memberi komen dan berkongsi maklumat.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (33) Pelawat
July 5, 2014
‘Melupakan’ Sharifah Aini Sebagai Biduanita Negara
Besarnya kuasa Allah, mengampun kesalahan hamba-Nya, walau sebesar gunung seluas lautan. Andai dosa itu antara kita dengan-Nya. Namun, ketika dosa kita jatuh ke tangan manusia, kita sebagai manusia terlalu lemah untuk menebusnya. Kita perlu kembali kepada Allah, yang memegang hati-hati manusia, untuk menggerakkan hati mereka agar melepaskan kita daripada dosa silam.
Semasa kecil, saya ‘dikutuk’ abang-abang saya kerana menjadi peminat Sharifah Aini. Saya akui saya amat meminati lagu-lagunya. Semasa kecil, apabila mendengar lagu Sharifah Aini, ada kalanya saya akan menutup mata dan berimaginasi tentang keindahan yang terungkap pada irama, kemudian lirik, yang ada dalam lagu-lagunya, terutamanya lagu asli Melayu Deli. Lagu Sharifah Aini adalah lagu yang memegang amanah memelihara takrif keindahan.
Sungguh nasibmu si bunga tanjung
Bagai cahaya ditutup mendung
Tiadalah tangan menyunting kamu
Menunggu gugur di angin lalu
Malang dudukmu di dahan tinggi
Kini bertabur di atas bumi
Saya masih ingat, saya bersama emak duduk di pentas persembahan Medan Kidd Ipoh pada suatu malam, kami menonton konsert Sharifah Aini hingga ke hujung acara. Kemudian abah ambil kami berdua sebab abah memang tidak suka apa-apa muzik. Abang-abang saya pula zaman itu sudah berada di alam Scorpion, Iron Maiden dan petikan gitar Michael Schenker.
Ini kisah akhir 1970′an dan awal 1980′an.
Zaman Sharifah Aini.
Tetapi apabila anak Sharifah Aini, Aliff Omar masuk sekolah tahfiz, saya jadi segan memikirkan minat saya kepada Sharifah Aini. Saya sendiri ketika itu menjadi pelajar sekolah agama. Sama ada kepada Aliff atau kepada Sharifah Aini, saya rasa saya perlu menghormati keluarga dua beranak itu. Tambahan lagi apabila Aliff menyambung pelajaran ke Madinah. Saya fikirkan Sharifah Aini sangat serius merancang kebaikan untuk hidupnya.
Capaian di Youtube: http://youtu.be/U1i_c95GloQ
Versi penuh di Youtube: http://www.youtube.com/watch?v=aMkEqm1risQ
Sebab itu, apabila Sharifah Aini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 7 Ramadan 1435H, di sisi Aliff sebagai anak yang soleh, di samping semua perancangannya untuk ‘mereka bentuk’ sebuah husn al-khatimah, pesanan Sharifah Aini di dalam program bersama Prof Muhaya ini, amat menyentuh hati. Moga Allah menggerakkan hati lebih ramai pihak untuk membantu Sharifah Aini, menutup kesalahan silamnya yang berada di tangan kita semua.
Sungguh menginsafkan…
Sempat bertaubat, berhijrah, berislah, beramal jariah…
Anakanda sendiri mengimamkan solat jenazahnya…
Jenazah diuruskan dengan memelihara aurat dan kehormatan diri…
Jenazah dikebumikan dengan baik, dan terpelihara daripada khurafat dan bid’ah…
Dan privasi pasca perkebumian yang diminta oleh Ustaz Aliff Omar, memeliharanya lagi daripada amalan-amalan yang tidak menepati ajaran Islam berkaitan dengan kematian…
Sesungguhnya amal itu terkira berdasarkan penghujungnya…
Amanlah Sharifah Aini di alam barzakh…
Lupakan dia sebagai Biduanita Negara. Ingati beliau sebagai hamba Allah yang mewasiatkan hajat besar kepada kita…
Amankan beliau daripada dosa silamnya, yang kini menjadi dosa kita, andai kita tidak mengendahkannya. Pelihara auratnya, dan aurat kita semua.
اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها…
Memikirkan hembusan akhir nafas seorang hamba, hancur segala ego, dan kemegahan hidup yang fana ini.
Apa yang tidak berharga di dalam kubur, tidak berharga di luar kubur.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (432) Pelawat
Melupakan Sharifah Aini Sebagai Biduanita Negara
Besarnya kuasa Allah, mengampun kesalahan hamba-Nya, walau sebesar gunung seluas lautan. Andai dosa itu antara kita dengan-Nya. Namun, ketika dosa kita jatuh ke tangan manusia, kita sebagai manusia terlalu lemah untuk menebusnya. Kita perlu kembali kepada Allah, yang memegang hati-hati manusia, untuk menggerakkan hati mereka agar melepaskan kita daripada dosa silam.
Semasa kecil, saya ‘dikutuk’ abang-abang saya kerana menjadi peminat Sharifah Aini. Saya akui saya amat meminati lagu-lagunya. Semasa kecil, apabila mendengar lagu Sharifah Aini, ada kalanya saya akan menutup mata dan mengimaginasi keindahan yang terungkap pada irama, kemudian lirik, yang ada dalam lagu-lagunya, terutamanya lagu asli. Lagu Sharifah Aini adalah lagu yang memegang amanah memelihara takrif keindahan.
Sungguh nasibmu si bunga tanjung
Bagai cahaya ditutup mendung
Tiadalah tangan menyunting kamu
Menunggu gugur di angin lalu
Malang dudukmu di dahan tinggi
Kini bertabur di atas bumi
Saya masih ingat, saya bersama emak duduk di Medan Kidd Ipoh pada suatu malam, kami menonton konsert Sharifah Aini hingga ke hujung acara. Kemudian abah ambil kami berdua sebab abah memang tidak suka apa-apa muzik. Abang-abang saya pula zaman itu sudah berada di alam Scorpion, Iron Maiden dan petikan gitar Michael Shanker.
Ini kisah akhir 1970′an dan awal 1980′an. Zaman Sharifah Aini.
Tetapi apabila anak Sharifah Aini, Alif masuk sekolah tahfiz, saya jadi segan memikirkan minat saya kepada Sharifah Aini. Sama ada kepada Alif atau kepada Sharifah Aini, saya rasa saya perlu menghormati keluarga dua beranak itu. Tambahan lagi apabila Alif menyambung pelajaran ke Madinah. Saya fikirkan Sharifah Aini sangat serius merancang kebaikan untuk hidupnya.
Sebab itu, apabila Sharifah Aini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 7 Ramadan 1435H, di sisi Alif sebagai anak yang soleh, di samping semua perancangannya untuk mereka bentuk sebuah husn al-khatimah, pesanan Sharifah Aini di dalam program bersama Prof Muhaya ini, amat menyentuh hati. Moga Allah menggerakkan hati lebih ramai pihak untuk membantu Sharifah Aini, menutup kesalahan silamnya yang berada di tangan kita semua.
Sungguh menginsafkan…
Sempat bertaubat, berhijrah, berislah, beramal jariah…
Anakanda sendiri mengimamkan solat jenazahnya…
Jenazah diuruskan dengan memelihara aurat dan kehormatan diri…
Jenazah dikebumikan dengan baik, dan terpelihara daripada khurafat dan bid’ah…
Dan privasi pasca perkebumian yang diminta oleh Ustaz Alif, memeliharanya lagi daripada amalan-amalan yang tidak menepati ajaran Islam berkaitan dengan kematian…
Sesungguhnya amal itu terkira berdasarkan penghujungnya…
Amanlah Sharifah Aini di alam barzakh…
Lupakan dia sebagai Biduanita Negara. Ingati beliau sebagai hamba Allah yang mewasiatkan hajat besar kepada kita…
Amankan beliau daripada dosa silamnya, yang kini menjadi dosa kita, andai kita tidak mengendahkannya. Pelihara auratnya, dan aurat kita semua.
اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها…Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (3) Pelawat
July 1, 2014
Seruan Prihatin Palestin Tanpa Sindiran
Pemandangan ironi yang menimbulkan keinsafan, bukan peperangan mulut yang memandang
Semalam, masjid yang saya singgah untuk bertarawih menghadirkan Imam dari Tulkarm, sebuah daerah bergolak di bumi Palestin. Wakil Aman Palestin menterjemahkan tazkirah ringkas beliau. Dalam lambakan maklumat tentang Palestin di sana sini, memperingatkan kembali bahawa isu Palestin tidak harus tenggelam dalam lambakan isu, nasihat sebegini memang perlu.
Syabas kepada Aman Palestin.
Konsisten berusaha dan berusaha.
Ia menyedarkan kita, bahawa yang mengalami, yang mengetahui, yang tidak mengetahui, semuanya sedang diuji.
Mati atau hidup, dua-dua adalah ujian.
Itu kenyataan Allah di dalam surah al-Mulk ayat 2:
“Dialah yang telah mencipta mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [al-Mulk 67:2]
Apabila mati dan hidup mengekalkan kita dalam mood diuji, maknanya kita sentiasa diuji. Apabila ada sahaja kejadian yang dirasakan sebagai ujian, mesti kita lihat sisi sebaliknya, siapa lagi yang teruji selain daripada yang zahirnya kelihatan sedang diuji itu.
Apabila mangsa kemalangan jalanraya cedera parah dibawa ke hospital, zahirnya pesakit itu sedang diuji. Namun, doktor, jururawat, pembantu perubatan dan sekalian pasukan perawat, juga sedang diuji.
Aqidah diuji pada melihat qadha’ dan qadar.
Pandangan hidup diuji pada melihat rawatan yang diberi biar secemas dan seberat mana pun tekanan, adalah ibadah kepada Allah.
Sistem nilai sedang diuji pada menentukan mana yang lebih utama daripada yang lain.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah, keikhlasan diuji, kesungguhan diuji, kompetensi diuji, akhlaq diuji, serba serbi sedang diuji. Pesakit dan perawat sama-sama sedang diuji, dalam gelanggang yang sama.
UJIAN DI PALESTIN
Peluru.
Bom.
Darah.
Kematian.
Saudara kita di Palestin telah dan sedang malah terus menerus diuji. Ujian yang menyakitkan. Yang menyeksa jiwa. Ujian ke atas mereka seperti sudah tidak tergambar oleh kata. Malah ujian yang terlalu berat itu menyebabkan kajian oleh pakar psikologi Palestin terhadap kanak-kanak memperlihatkan betapa kanak-kanak Palestin hilang keinginan dan semangat untuk hidup!
Terlalu trauma.
Jika mereka sedang diuji, siapa lagi yang sedang diuji.
Bahu memikul sedang diuji.
Mata memandang juga sedang diuji.
Itulah KITA.
Ujian ke atas kita bukan hanya kepada kita terhadap mereka.
Malah ujiannya juga adalah kita terhadap sesama kita.
MENYINDIR UNTUK MENYERU PRIHATIN
Kita hidup dalam budaya penuh kecelaan lisan. Dalam kebaikan pun, kita bersulam āfāt lisān.
Hingga hendak mengajak kepada kebaikan pun kita menyindir.
Sarcasm.
Kita sudah tidak percaya kepada ajakan secara direct. Kita anggap direct itu terlalu sukar lagi melukakan. Kita gerun dengan jari yang luka di tangan, tetapi kita tidak gerun dengan kanser yang membunuh dari dalam. Teguran direct mungkin agak melukakan seperti lukanya jari. Tetapi sindiran membenihkan dendam yang membunuh dari dalam.
Foto-foto yang ditambah dengan kata-kata menggunakan aplikasi Phonto, meme, hatta status Facebook, kita terbiasa dengan ayat-ayat “bawa-bawalah bersyukur”, “tidak terfikirkah mereka di sana menderita”, “masalah besar, sebab kuih kegemaran habis? Lihat Palestin!” dan yang seumpama dengannya.
Menggunakan pendekatan MENYINDIR tidak akan menjadikan rakyat Malaysia lebih prihatin kepada isu di Gaza dan Palestin. Malah ia mungkin menimbulkan rasa menyampah dengan golongan pejuang isu Palestin.
Ajaklah.
“Saya sudah puas mengajak secara direct. Tidak berkesan pun!” hujah kita sesama kita.
Kita mungkin terlepas pandang bahawa Nabi Nuh alayhi al-salaam mengajak, memujuk, mendidik, malah mengancam, selama 950 tahun. Tidak pula Baginda beralih kepada kaedah sindiran kerana sudah puas mengajak secara direct.
Allah itu Tuhan yang hari-hari didurhakai hamba-Nya, jarang sekali Allah memujuk dengan sindiran. Dan jika Allah yang menyindir dengan sinis, ia sindiran ALLAH kepada hamba-Nya. Layak sungguh. Mana mungkin kita sebagai hamba mahu menyindir sesama hamba.
Sarcasm, menegur secara sindiran berironi ini ditegah oleh ALLAH di dalam firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Al-Hujuraat 49:11]
Al-Imam al-Tabari rahimahullah semasa mengulas ayat ini, menyatakan bahawa Allah meletakkan hukum mengharamkan perbuatan menyindir sinis (sarcasm) yang disebut sebagai al-sukhriyyah di dalam ayat ini, ke atas semua keadaan dalam semua makna. Maka tidak halal bagi seorang mukmin untuk menyindir seorang mukmin yang lain, sama ada kerana kemiskinannya, malah dosa yang dilakukannya atau apa sebab sekali pun, untuk menjustifikasikan sindiran.
Jangan rasa bagus sangat apabila prihatin dengan isu Gaza. Rasa bagus itulah sifat yang menjadikan Yahudi terlaknat.
Pujuk, jangan kutuk.
Bina jambatan, bukan tembok.
Ajak, bukan ajar.
Jadi da’i, bukan mufti!
Kita mahu meramaikan mereka yang prihatin.
Bukan menambah kebencian sesama kita.
Kita boikot barangan Yahudi, sinis berbahasa memecah belahkan sesama kita tanpa Yahudi campur tangan.
Self destructive!
Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami di Palestin, ya Mujib al-Du’a!
Sesungguhnya kami sedang sangat diuji.
HASRIZAL
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (10868) Pelawat
June 30, 2014
Takutilah Fitnah Ilmu dan Tahu
Metode siapa yang lebih berilmu dan berhikmah?
Metode Salaf, atau Khalaf?
Perdebatan tentang hal ini berlarutan, menimbulkan kegelisahan malah perbalahan dan pergaduhan zaman berzaman. Ia tidak pernah selesai. Kendur satu pusingan, muncul pula generasi seterusnya untuk menyalakan api, mengipas dan membakar hangus persaudaraan, atas dua kumpulan yang berbalah pada mencari ketepatan dan mengimani Allah sebagai Tuhan, yang tiada sedikit pun ruang untuk dibandingkan dengan makhluq yang Dia cipta.
Dalam banding membandingkan di antara cara siapa yang handal ilmunya, siapa lebih berilmu (A’LAM) dan siapa lebih berhikmah (AHKAM), terselit istilah ketiga yang sepatutnya lebih direnung oleh setiap insan yang berakal.
ASLAM.
Yang lebih selamat.
Ketepikan seketika siapa Taqî ad-Dîn Aḥmad ibn Taymiyyah (1263-1328) dan aliran mana yang beliau wakili.
Dalam perdebatan tentang metode mana yang lebih berilmu dan berhikmah, beliau menekankan kepentingan hakikat ketiga, iaitu metode mana yang lebih menyelamatkan. Apa gunanya berilmu tinggi, berhikmah luas, andai semua itu tidak menyelamatkan. Semasa di ambang hujung perjalanan antara Syurga dan Neraka, manakah yang mahu diberi keutamaan oleh kita hamba-Nya?
Ilmu?
Hikmah?
Keselamatan?
Dalam keghairahan kita menuntut ilmu, adakalanya kita terlupa kepada matlamat berilmu. Adakah kita berilmu untuk tahu, berlazat-lazat menjadi manusia yang tahu, dan meneruskan lagi usaha menambah tahu? Apa ertinya sebuah tahu, kalau ia sekadar tahu? Tidak hairanlah ada guru pondok yang menghalau anak muridnya keluar dari pondok kerana si murid berlama-lama di pondok demi menikmati proses menambah tahu.
Sudah bertahun belajar, bila mahu mengajar?
Renung ke pinggir desa, pandang kehidupan orang biasa, dan hisablah diri, berapa ramaikah manusia menyembah Allah pada tahu yang sangat asas, hidupnya sangat sederhana namun bahagia dan berkesudahan dengan kesudahan yang sejahtera, TANPA MENGETAHUI APA YANG KITA TAHU?
Justeru, apa pentingnya untuk kita mencari ilmu dan menambah tahu?
TUJUAN BERILMU
Ada manusia yang tidak mempunyai rezeki untuk menjawab soalan itu. Sama ada rezeki bahasa, rezeki wang, rezeki logistik, rezeki zaman… mereka tidak mempunyai titik-titik persinggahan hidup untuk membolehkan mereka terfikir akan soalan ini dan kemudian menjawabnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, ada hamba-Nya yang masuk ke Syurga hanya dengan perkara-perkara asas itu.
Daripada Abī ‘Abd Allāh Jābir bin ‘Abd Allāh al-Ansārī RA: Sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, beliau berkata: Apakah pada pandanganmu jika aku tunaikan solat yang fardhu, aku berpuasa Ramadan, aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, tanpa menambah apa-apa lagi atas semua itu, aku akan masuk Syurga? Jawab baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam: YA! [HR Muslim]
Justeru dalam ketinggian kita memanjat tangga kesarjanaan, jangan kita lupa kepada asas kehidupan kita, bahawa apa sahaja yang kita miliki, semuanya adalah beban, sehingga ia dimanfaatkan.
Sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:
“Orang mukmin itu bersikap ramah dan disenangi dalam pergaulan dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah serta tidak disenangi dalam pergaulan. Dan sebaik-baik mukmin itu adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” [HR. Thabrani dan Daruquthni]
Ilmu yang dipelajari, mesti dipelajari untuk menatijahkan kebaikan daripadanya. Untuk diri, dan manusia seluruhnya.
Apa sahaja ilmu yang dipelajari, sama ada ilmu asas pada membetulkan skru yang longgar di pintu hingga kepada ilmu falsafah yang mena’kul alam dan kehidupan, kesemuanya berakhir dengan natijah yang sama.
Jika itu menatijahkan manfaat dan menyelamatkan, ia mahmudah.
Jika ia tidak menatijahkan apa-apa, ia lagha.
Jika menjadikan kita jengkel, ia mazmumah.
Sheikh Fadhl Hasan ‘Abbās (meninggal dunia 9 Februari 2011) di dalam Khumāsiyyāt Mukhtārah fī Tahdzīb al-Nafs al-Ammārah menyatakan bahawa ilmu yang terpisah daripada iman, menjadi sebab seseorang itu bersikap angkuh dan melampau. Ilmu yang sepatutnya menyuluh manusia kepada kebaikan, menjadi penghalang daripada menerima petunjuk Tuhan.
Firman Allah SWT:
“Maka pada masa mereka didatangi oleh para Rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ilmu yang ada pada mereka dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu.” [Ghāfir 40: 83]
Pada zaman ini, bahkan pada setiap zaman, banyak sekali kita temui contoh golongan yang melampau disebabkan oleh ilmu. Berpada untuk kita mengambil iktibar akan hal ini dengan merenung firman Allah:
“Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu; (tetapi berlakunya perbalahan dan perpecahan yang demikian)kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.” [al-Jātsiyah 45: 17]
Berhati-hatilah mengendalikan ilmu dan tahu.
FITNAH AKHLAQ DALAM BERILMU
Imam Birgivi (meninggal dunia 1573) menjelaskan di dalam al-Tarīqah al-Muhammadiyyah bahawa sifat ego itu disebabkan oleh tujuh faktor; ilmu, ibadah, nasab, keelokan paras rupa, kekuatan, harta dan pengikut. Akan tetapi EGO yang berpunca daripada ILMU adalah yang paling berbahaya dan sukar dirawat. Masakan tidak, ilmu itu mulia kedudukannya di sisi Allah, menolak untuk berilmu kerana bimbangkan ego bukanlah sikap yang betul.
Untuk merawat sifat ego disebabkan oleh ilmu, Imam Birgivi menjelaskan bahawa dalam proses belajar, perlulah seseorang itu ingat, bahawa kemuliaan ilmu itu bukanlah pada sekadar mengetahuinya. Tetapi ia mestilah disertakan dengan niat yang baik, beramal dengannya dan menyebarkannya Lillāhi Ta’ālā. Jangan sekali-kali ada rasa tamak menginginkan habuan yang berada di tangan manusia, atau cuba memperolehi harta kekayaan dengan ilmu itu. Seandainya hal ini tidak dijaga, maka ilmu itu akan bertelangkup menimpanya, lalu jadilah dia lebih buruk kedudukannya daripada orang yang jahil. Malah dia akan diazab dengan lebih berat menutut pendapat yang paling absah.
Jika seseorang itu sedar akan hakikat ini, mana mungkin dengan ilmu dia mampu menjadi ego?
Justeru ilmu mesti diguna untuk mencari kebenaran dan menyampaikan kebenaran.
Bukan untuk kemegahan diri atau bermain-main jargon yang merendahkan orang awam.
Bukan seperti veteran tentera USA saat bertemu dengan Edward Said pada pertengahan 1960-an. Beliau membahasakan tugasnya di dalam tentera udara sebagai ‘target acquisition‘ agar berbunyi profesional. Hakikatnya kerja beliau adalah untuk mengebom!
Ilmu bukan untuk dibanggakan.
Ilmu adalah alat untuk berkhidmat.
Dalam bahasa seorang pemikir, Edward Said menyebut di dalam Representations of the Intellectual tentang peranan golongan sarjana bercakap benar di hadapan pihak berkuasa bahawa cara untuk mengekalkan kemerdekaan intelektual adalah dengan memiliki sikap para amatur dan bukannya profesional. Amatur dalam erti kata, mengutamakan peranan yang boleh dimainkan di dalam masyarakat dan bukan berselindung di sebalik pengkhususan untuk bercakap secara selektif di dalam majlis dan wacana yang sesuai dengan kepentingan semata.
Orang tua-tua kita, berpesan dalam bahasa tafakkur orang biasa-biasa kepada alam persekitarannya. Kata mereka, jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin jegang. Jangan makin berilmu makin sombong meninggi diri. Sebaliknya bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.
Abu Nasr berkata, telah sampai kepadaku bahawa Hammād bin Abi Hanifah pada suatu ketika berbicara tentang ilmu kalam. Lalu perbuatannya itu ditegah oleh Abu Hanifah. Lalu anaknya itu berkata kepada bapanya, “anakanda pernah melihat ayahanda berbicara tentang ilmu kalam yang sama, apa justifikasinya ayahanda menghalangku daripada melakukannya?”
Jawab Abu Hanifah, “wahai anak kesayanganku. Dahulunya semasa kami berbicara tentang ilmu kalam, setiap seorang daripada kami berasa seperti ada burung terbang di atas kepala dan bila-bila masa sahaja akan jatuh menimpa (yakni dengan hati-hati dan merendah diri). Namun kalian pada hari ini membicarakan tentang ilmu ini, dalam keadaan setiap seorang mahu menghina saudaranya. Dan sesiapa yang mahu menghina saudaranya (dalam hal ini), dia itu sebenarnya mahu saudaranya itu menjadi kufur. Barangsiapa yang mahu menjadikan saudaranya itu kufur, maka dia telah menjadi kufur sebelum kufurnya saudara dia.”
Kisah ini dipetik oleh Imam Birgivi di dalam karyanya al-Tarīqah al-Muhammadiyyah daripada kitab al-Nawāzil oleh Abū al-Layts al-Samarqandī pada membicarakan tentang bahaya mempelajari ilmu kalam. Kata beliau, “daripada contoh-contoh yang kuberikan itu tadi, ia menjelaskan bahawa ilmu kalam itu adalah fardhu kifayah. Tetapi tidak harus ilmu itu dipelajari kecuali oleh seorang yang:
Pintar
Kuat beragamanya
Bersungguh-sungguh dalam berusaha
Sesungguhnya setinggi-tinggi falsafah dan pemikiran, adalah pada membawa kepala seorang hamba sujud di atas tanah menyerah diri kepada Tuhan.
Takutilah fitnah ilmu dan tahu.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (32) Pelawat