Hasrizal Abdul Jamil's Blog, page 45

October 8, 2014

Fiqh ‘Rebel': Anak Muda Mesti Berdiri

20130117-131309.jpg


Kita tidak perlu menunggu lama untuk berasa segan dan malu dengan apa yang pernah kita tulis. Membaca kembali surat yang saya hantar ke Harakah di ruangan Surat Pembaca bertarikh 29 Januari 1993, saya dapat merasakan jiwa saya ketika itu sangat pesimis, negatif, penuh rasa kecewa dan sentiasa mahu memberontak.


Saya masih lagi mencari, apakah yang membentuk seorang budak seperti saya, jadi begitu.


Atau ia memang fitrah kebanyakan anak muda? Sentiasa tidak berpuas hati.


Surat ini saya tulis, tidak lama selepas saya menjadi Naib Johan di dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Arab peringkat Negeri Perak. Majlis diadakan di Sek Men Raja Permaisuri Bainon.


Sekolah begitu memuji kemenangan saya dan mengumumkannya di Perhimpunan Pagi. Saya tebal muka, antara geram, malu dan rasa menipu lagi tertipu.


Saya dapat tempat kedua sebab dua orang sahaja yang bertanding!


Dan teks syarahan saya disediakan oleh pihak sekolah. Saya hanya menghafal, dan menggayakan penyampaiannya.


Itu kisahnya.


MENYUSAHKAN


Surat saya ini telah menyusahkan pihak sekolah. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meminta pihak sekolah menyiasat.


Saya dipanggil ke bilik Pengetua:


“Kenapa anta tulis di Harakah? Mengapa tidak di Utusan atau Berita Harian?” tanya Pengetua.


“Harakah ialah akhbar kesayangan ana, ustaz. Lagi pun, kalau ana tulis ke Utusan dan Berita Harian, rasanya depa nak ke siarkan isu ni?” saya menjawab.


“Kalau ya pun, gunalah nama samaran. Bukan nama sebenar!” marah Pengetua.


“Ana tak sangka Pejabat Ugama tahu, ada budak nama Hasrizal, sekolah di Izzuddin!” saya menjawab (lagi).


Pengetua menggelengkan kepala.


Gelengen itu hanya sebahagian daripada insiden-insiden besar yang terjadi pada masa tersebut. Sejarah itu sudah lama berlalu. Saya sayangkan Pengetua saya seperti saya sayangkan ayah saya. Semoga Allah merahmati roh al-marhum yang telah kembali ke Rahmatullah baru-baru ini, sebagai insan yang sangat berpengaruh ke atas diri saya.


18_14


Dan Kami kuatkan hati anak-anak muda itu (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka BANGKIT BERDIRI (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [Al-Kahf 18: 14]

BAGAIMANA HENDAK ‘REBEL’?


MURSHID-STPM


Slot forum di dalam Seminar Hala Tuju Lepasan SPM dan STPM anjuran MURSHID baru-baru menjadi slot ‘menghasut’ pelajar agar meninggalkan semua ‘budaya ilmu’ zaman persekolahan dan digantikan dengan iltizam yang mutlak terhadap kebenaran. Muliakan kebenaran, utamakan kebenaran, carilah ilmu untuk kebenaran, mengatasi apa sahaja pertimbangan, selain keutamaan mengutamakan kebenaran.


Ada peserta bertanya, bagaimana caranya untuk ‘rebel’?


Lucu.


Tiada siapa yang saja-saja mahu rebel.


Apa yang sepatutnya ialah komited dengan kebenaran dan tidak mendiamkan diri apabila kebenaran dizalimi pembodohan. Suarakan, jelaskan, kongsikan pandangan, semuanya secara aman dan sudah tentu ia tidak akan berlaku jika pelajar tidak dapat berfikir, yang hanya dengan berfikir kebenaran dapat diyakini sebagai kebenaran.


Golongan anti ilmu yang akan ‘rebel’. Dan jika mereka ‘rebel’ bersama tuduhan tanpa bukti, kita rebel dengan hujah dan dalil.


Dan biar pun sejarah peribadi, serta program berkenaan telah berlalu, mesej yang ingin saya sampaikan ialah, ANAK MUDA MESTI BERDIRI!


HASRIZAL @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (7824) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 08, 2014 22:14

October 1, 2014

Virus Dungu Dalam Budaya Prank dan Shenanigan

Boycriedwolfbarlow


Ilustrasi oleh Francis Barlow di dalam hikayat “The Boy who Cried Wolf”, yang beliau gelar sebagai  DE PASTORIS PUERO ET AGRICOLIS, 1687 [wikipedia]


“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu.


Orang kampung prihatin.


Bergegas mereka memanjat bukit.


Mahu menolong.


Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya.


“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.


Anak muda itu ketawa.


Bergurau katanya.


Menguji iman orang kampung.


Orang kampung geram. Tetapi habis-habis pun, mereka mengurut dada. Seorang dua menunding telunjuk. Budak-budak, memang budak-budak. Tetapi jangan perbudakkan orang tua.


DUA TIGA KALI BULAN MENGAMBANG


Selang dua tiga purnama, anak muda itu ketagih perhatian. Ingin mengulang keinginan.


“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.


Orang kampung terkejut.


Serangan serigala bukan khayalan. Ia pernah berlaku. Tidak mustahil berlaku lagi. Tetapi si anak muda itu pernah membuat onar. Ada atau tidak serigala?


“Jangan main-main. Ini tanggungjawab kita” fikir pihak yang ramai.


Bergegas mereka memanjat bukit.


Mahu menolong.


Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya. Serigala lapar, buruk padahnya.


“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.


Anak muda itu ketawa lagi.


“Senang benar mereka ditipu!” kata hatinya.


Penduduk kampung geram. Baik hati mereka jadi permainan. Dipermain-mainkan.


“Siaplah engkau!” kata mereka.


Mengepal tangan.


Anak muda itu ketawa. Seperti ‘tengin’ tidak belajar apa-apa.


SELANG BEBERAPA PURNAMA


“Hmm, bosan sungguh meneman kambing meragut rumput. Aku pula terasa seperti kambing!” anak muda menguis-nguis daun kering di bawah pokok.


“Grrr!” terdengar dengusan penuh nafsu di balik busut.


Seekor serigala besar sedang memilih mangsa antara kambing gembalaanya.


Benar, ia serigala sebenar. Bukan khayalan. Bukan gurauan. Ia di depan mata. Sedang memilih mangsa.


“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.


Orang kampung terkejut.


Kemudian mereka ketawa.


“Gembala kambing mahu memperbodohkan kita lagi, seperti kambingnya? Lantakkan dia. pedulikan!” ujar orang kampung.


Tidak pernah terlontar satu kejahatan, kecuali ia akan berpatah kembali kepada pelakunya. Anak muda penggembala kambing, menangis di bukit. Habis kambingnya diratah serigala.


Tangisan yang di luar peduli.


Tiada salah siapa, kecuali diri sendiri.


BUDAYA PRANK


Victor_JustForLaughs_trademark


Just for Laughs [sumber wikipedia]


Mengenakan orang dengan amaran-amaran palsu ini bukan perkara baru. Ia sudah lama diungkap di dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala ini merupakan salah satu daripada kisah Aesop’s Fables atau Aesopica merujuk kepada legasi Greece Purba antara tahun 620 and 560 BCE. Ia dikaitkan dengan ajaran Aristotle yang menegaskan bahawa orang yang berbohong mendapat habuan iaitu apabila mereka bercakap benar, mereka tidak akan dianggap benar (tidak dipercayai)” [THE LIVES AND OPINIONS OF EMINENT PHILOSOPHERS]

Budaya ini seiringian dengan mentaliti ‘loyar buruk’ yang semakin meraih keberanian untuk membesar. Ia bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan. Malah 1 April menjadi hari ‘ibadah’ untuk budaya prank ini.


Budaya-budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai suatu hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. Bergurau tidak kena tempat. Jika suatu ketika dahulu ia menjadi bahan ketawa seperti siri America’s Funniest People keluaran Amerika Syarikat sekitar 1990’an, juga Just for Laugh (Juste Pour Rire) terbitan Kanada. Tetapi lama kelamaan ia berubah menjadi versi yang agresif  Jackass menjelang milenia baru.


Dengan jati diri yang rendah, apa sahaja yang datang ke sini dari sana, ditelan, diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya parody, kedua-duanya menjatuhkan harga diri kita.


Biar pun ‘Prank and Parody‘ itu kini menjadi begitu trending dan digilai ramai, tanpa rasa kolot, saya ingin meletakkan satu saranan iaitu pesanan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:


إن مما أدرك الناس من كلام النبوة : إذا لم تستحي فاصنع ما شئت

“Sesuatu yang telah diketahui oleh sekalian manusia sepanjang zaman sebagai sebahagian daripada pesanan-pesanan kenabian ialah: JIKA KAMU TIDAK MALU, BUATLAH APA SAHAJA YANG KAMU MAHU”  [hadith riwayat al-Bukhari nombor 3484]

Parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan perlakuan-perlakuan yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu, ada MALU atau TIDAK ADA RASA MALU. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah memalukan diri sendiri dan mangsa ‘Prank and Parody’, tepuk dada tanya iman.


Manakala prank pula, semakin menjadi fenomena global malah dinanti-nanti bukan hanya di media sosial, bahkan  turut rancak di radio dan televisyen.


Ingatlah pesan Nabi sallallahu alayhi wa sallam:


 المسلمُ من سلِم المسلمون من لسانِه ويدِه ، والمهاجرُ من هجر ما نهى اللهُ عنه

Seorang Muslim itu, seseorang yang kaum muslimin lain terselamat daripada kejahatan lisah dan tangannya. Orang yang berhijrah pula, adalah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripadanya” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 6484]

Islam melarang Muslim berdusta, walaupun sekadar gurauan. Baginda Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam memberi amaran:


ويلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بالحدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القوْمَ فيَكَذِبُ ويلٌ لَهُ ويلٌ لَهُ

“Celakalah seseorang yang berbicara dengan suatu perbicaraan untuk menjadikan orang ramai ketawa sedangkan beliau berdusta. Celakalah dia, celakahlah dia” [Hadith riwayat  al-Tirmidhi]

Apatah lagi jika gurauan itu sifatnya adalah menakut-nakutkan saudaranya:


أنَّهم كانوا يسيرون مع النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فنام رجلٌ منهم فانطلق بعضُهم إلى حبلٍ معه فأخذه ففزِع فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لا يحِلُّ لمسلمٍ أن يُروِّعَ مسلمًا

Pada suatu ketika, mereka bersama-sama dengan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam di dalam sebuah perjalanan. Lalu salah seorang daripada mereka tertidur. Kemudian sebahagian mereka pergi mengambil tali dan mengikat lelaki yang tertidur itu tadi, dan beliau terkejut ketakutan. Lalu Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda, “TIDAK HARUS BAGI SEORANG MUSLIM MENAKUT-NAKUTKAN SEORANG MUSLIM YANG LAIN” [Al-Targheeb wa al-Tarheeb, hadith 3/403]


Budaya Prank dan Shenanigan ini adalah sebuah kegelinciran akhlaq yang mesti diberhentikan segera.


HASRIZAL @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (360) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 01, 2014 15:41

September 22, 2014

S-Fiqh di Kedah: Kertas Kerja Psikologi Dakwah Semasa

promis-01


“Kami mahukan idea-idea segar tentang pemikiran Islam, dakwah, siasah dikongsi bersama warga Utara” jelas person in charge.


Saya amat jarang berpeluang untuk berwacana di sebelah utara Semenanjung. Kali terakhir sebelumnya adalah di UUM, membicarakan tentang Cinta.


Apabila Persatuan Profesional Muda Islam Kedah (PROMIS) menjemput saya berwacana di Kubang Pasu, Kedah, saya menerimanya. Program kali ini dinamakan sebagai Seminar Pemikiran Fiqh Islam Semasa Peringkat Negeri Kedah, atau singkatannya S-Fiqh.


Saya digandingkan bersama-sama pembentang lain yang bakal menyediakan ruang saya belajar daripada mereka.


promis-02


Dr. Maszlee Malik membentangkan tentang Fiqh Siasah. Manakala Ustaz Ramadhan Fitri Elias mengupas berkenaan Fiqh Muamalat Harta. Ustaz Mohd Aizam Mas’od  pula membicarakan tentang Fiqh Aqidah dan disempurnakan juga dengan kupasan Profesor Abdul Aziz Bari tentang Fiqh Perlembagaan. Majlis diserikan dengan tuan guru yang dikasihi, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi yang merasmikan majlis. Saya diamanahkan oleh penganjur untuk membentang kertas kerja berkenaan dengan Fiqh Dakwah dan Tarbiah.


promis-03


Banyak perkara menarik yang saya perolehi sepanjang kurang 24 jam berada di Kedah. Tentu sahaja, perkara yang di luar jangkaan saya adalah kehadiran bekas Pengetua saya di SMAP Labu, iaitu Ustaz Haji Abu Bakar Lebai Mat. Begitu juga dengan kehadiran pakar rujuk sejarah Melayu kita, Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar dan isteri beliau yang turut melontarkan soalan serius tetapi lucu kepada saya dalam sesi soal jawab. Ujarnya, “mengapa ramai ustaz dan penceramah yang apabila berceramah mereka berintonasi tinggi, tegang, marah-marah hingga menyakitkan telinga mereka yang mendengar? Apakah memang perlu begitu?”


Mengimbas kembali pengalaman peribadi, saya berpidato semenjak Tingkatan 1. Itu jika penyertaan di dalam pertandingan bercerita semasa di sekolah rendah tidak diambil kira. Semasa di Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5, setiap kali bercakap di khalayak, ada rasa gemuruh yang menguasai diri di peringkat awalnya. Semasa gemuruh, badan kita keras, nada kita tinggi dan nafas kita pendek. Apabila nafas pendek, tentu sahaja bekalan oksigen ke kepala mengalami gangguan.


“Agaknya sebab itu ramai yang berceramah dengan nada tinggi dan berapi-api, butir katanya sering bermasalah. Ada kewarasan yang terjejas dek kekurangan oksigen di kepala serta adrenaline yang membuak-buak” saya menjawab soalan dengan maksud antara bergurau dan bersungguh.


Asalnya kerana gemuruh.


Lama-lama gemuruh sudah tiada, tetapi berceramah begitu sudah menjadi tabiat.


Jenuh juga saya berusaha membuangnya hingga dapat bercakap dengan nada yang lebih tenang. Tidak lagi berpidato hingga keras-keras perut dan bahu.


Apa pun, ia termasuk di dalam sebahagian daripada kertas kerja yang saya bentangkan. Salinan pdf kepada kertas kerja saya boleh dimuat turun melalui academia. Saya kongsikan di sini teksnya untuk manfaat sahabat semua.


 


Fiqh Semasa – Gaya & Psikologi Penyampaian Dakwah / Tarbiah

Pembentang:


Hasrizal bin Abdul Jamil

www.saifulislam.com


 


ABSTRAK


Islam yang dipelajari di dalam kerangka disiplin Pengajian Islam adalah ‘Meta Islam’ iaitu Islam versi standard yang sepatutnya diamalkan. Islam yang diamalkan, berkemungkinan selari dengan Meta Islam, tetapi sering berbeza daripada Islam yang digariskan oleh dalil-dalil naqli. Jurang di antara Islam yang diamalkan dengan Islam versi yang ‘sepatutnya’ adalah ruang yang menjadi fokus dakwah. Objektif kertas kerja ini adalah untuk mencerakin pendekatan psikologi dan cabang-cabang ilmu kemanusiaan sebagai alatan dakwah yang boleh meningkatkan keberkesanan penyampaian. Penggarapan ilmu kemanusiaan akan dianalisis sebagai kaedah yang boleh menyuburkan pendekatan positif di dalam dakwah. Kertas kerja ini menggunakan kajian kepustakaan dengan merujuk kepada buku-buku, artikel-artikel, makalah-makalah ilmiah dan halaman-halaman web di internet yang berkaitan. Kajian ini mendapati pemanfaatan ilmu-ilmu kemanusiaan mampu memperbaiki mutu penyampaian dakwah sekali gus meningkatkan penerimaan dakwah di dalam masyarakat. Kertas kerja ini diharap dapat mencetuskan galakan di dalam masyarakat untuk meningkatkan kualiti dakwah dengan menerapkan ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi di dalam analisis dan praktis.


PENGENALAN

Allah SWT memerintahkan umat Islam menggalas tugas dakwah sebagai kesinambungan risalah Kenabian yang berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabī’ al-Awwal 11H. Dakwah sebagai mekanisme penyebaran Islam berperanan menyampaikan Islam daripada satu generasi kepada satu generasi hingga ke akhir zaman. Allah memuji orang-orang yang berdakwah, sebagai manusia yang berbicara dengan sebaik-baik perbicaraan.


Firman-Nya:


“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam!” [Fussilat 41: 33]

Walau bagaimanapun, dakwah perlu dilakukan dengan cara yang menepati kriterianya. Dakwah diperintahkan oleh Allah agar dilaksanakan dengan hikmah dan pengajaran-pengajaran yang baik.


Firman-Nya:


“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah serta pengajaran-pengajaran yang baik” [al-Nahl 16: 125]

Hikmah telah diertikan oleh al-Imām al-Rāghib di dalam al-Mufradāt bahawa ha-ka-ma (ح ك م) itu berasal makna sebagai (م ن ع) yakni menghalang untuk kebaikan. Ertinya, apabila sesuatu dilakukan dengan hikmah, ia menghalang kelakuan itu daripada perkara-perkara tidak baik mencemar natijahnya. Hikmah juga diertikan sebagai isābah al-haq bi al-‘ilm wa al-‘aql yakni memperolehi kebenaran dengan jalan ilmu dan aqal. Dr. Salāh ‘Abd al-Fattāh al-Khālidī mengemukan rumusan yang unik berkenaan pengertian hikmah dalam konteks dakwah. Beliau berpendapat bahawa hikmah itu bermaksud:


Perkataan yang sesuai, untuk orang yang sesuai, pada masa yang sesuai, dengan kadar yang sesuai dan menggunakan pendekatan yang sesuai (Al-Khālidī 2007).


Kesesuaian itu, menuntut seorang pendakwah bukan sahaja memahami Islam yang hendak disampaikan, tetapi juga Muslim yang hendak menerima dakwah tersebut. Islam yang disampaikan itu, datangnya daripada Allah dan bersifat Rabbani, manakala Muslim, juga non Muslim, yang hendak mengamalkan Islam itu, adalah manusia ciptaan Allah dan bersifat manusiawi.


Atas alasan ini, Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī di dalam karyanya Tsaqāfah al-Dā’iyah menggariskan bahawa salah satu ilmu yang diperlukan oleh seorang Muslim untuk menyempurnakan peranannya sebagai pendakwah adalah al-tsaqāfah al-insāniyyah atau ilmu-ilmu kemanusian. Beliau menyenaraikan 6 ilmu di bawah kategori ini, iaitu:



‘Ilm al-nafs (psikologi)
‘Ilm al-ijtimā’ (sosiologi)
‘Ilm al-iqtisād (ekonomi)
‘Ilm al-falsafah (falsafah)
‘Ilm al-akhlāq (etika)
‘Ilm al-tārīkh (sejarah)

Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī menegaskan bahawa penguasaan ilmu ini membantu seorang pendakwah memahami manusia (Al-Qaradhāwi 1996). Semasa membicarakan tentang ‘ilm al-nafs (psikologi) dan kepentingannya kepada dakwah dan pendakwah, beliau memperingatkan bahawa psikologi yang dimaksudkan dalam konteks ini, tidaklah perlu tenggelam dalam perbahasan falsafah, sebaliknya lebih tertumpu kepada memanfaatkan kajian-kajian psikologi popular berdasarkan data-data kajian kuantitatif untuk manfaat dakwah.


Ia bersesuaian dengan penerangan yang diberikan oleh Muhammad Abu al-Fath al-Bayānūnī di dalam bukunya al-Madkhal ilā ‘Ilm al-Da’wah. Beliau membahagikan metodologi dakwah kepada tiga iaitu:



al-Manhaj al-‘Ātifī (metodologi emosional)
al-Manhaj al-‘Aqlī (metodologi rasional)
al-Manhaj al-Hissi (metodologi praktikal)

Al-Bayānūnī menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan metodologi emosional itu adalah metodologi dakwah yang memberikan fokus kepada hati, untuk menggerakkan perasaan dan kemahuan (Al-Bayānūnī 1995).


Hamdani Bakrani adz-Dzakiey mengatakan bahawa pesanan-pesanan al-Quran belum terolah menjadi satu disiplin ilmu yang mengembangkan eksistensi diri manusia dalam perspektif Islam (Adz-Dzakiey 2008). Beliau mengusulkan bahawa psikologi Islam harus dibangun di atas beberapa ilmu keislaman sebagai fondisi yang kuat. Agar ia berdiri sebagai psikologi yang boleh diiktiraf sebagai psikologi Islam, fondisi kepadanya mestilah dibina di atas:



al-Quran dan al-Sunnah
ilmu Tauhid dan Aqidah Islam
Ilmu Fiqh Islam
Ilmu Tasawwuf Islam
Ilmu Akhlaq dan Etika Islam

Kebanyakan karya yang mengusulkan pemanfaatan psikologi dalam perlaksanaan dakwah berkesan, menekankan tentang kepentingan cara pengambilan teladan psikologi itu apabila naskhah yang dirujuk adalah karya-karya sarjana Barat. Ini adalah untuk mencegah pendakwah daripada terperangkap di dalam wacana falsafah seperti Steven Blankaart, Sigmund Freude dan Carl Jung yang mendukung pandangan hidup serta epistemologi yang berbeza.


Dalam konteks dakwah, tumpuan mestilah diberi pada aplikasi, atau dalam erti kata yang lain, memanfaatkan kajian-kajian psikologi sedia ada, untuk mencerakin dan menonjolkan intipati sedia ada di dalam warisan pemikiran Islam. Psikologi adalah pemudah cara kepada menghuraikan elemen kemanusiaan di dalam dalil naqli. Sesungguhnya teladan daripada Rasulullah SAW sendiri tentang aspek kemanusiaan dalam menjayakan dakwah, itulah yang hendak kita ketengahkan.


Psikologi itu sendiri bermaksud “kajian mengenai roh” berdasarkan istilah Latin moden, psychologia. Ia mungkin diperkenalkan pada pertengahan kurun ke-16 di Jerman berdasarkan istilah Yunani klasik, psykhe- “nafas, semangat, roh” + logia “kajian mengenai”. Manakala psikologi dengan maksud “kajian terhadap minda” kali pertama direkodkan pada tahun 1748, daripada karya Christian Wolff berjudul “Psychologia empirica” (1732). Seterusnya, kefahaman moden bahawa psikologi itu adalah kajian tingkah laku manusia, bermula pada awal 1890’an (Harper 2014).


APLIKASI PSIKOLOGI DI DALAM DAKWAH

Banyak contoh yang diberikan oleh Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī adalah contoh yang sama dikemukakan oleh Dale Breckenridge Carnegie di dalam adikaryanya How to Win Friends and Influence People.


Misalnya, Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī memberikan saranan kepada pendakwah untuk memanfaatkan kajian Henry C. Link di dalam bukunya The Return to Religion. Melalui kajian kuantitatif psikologi, Henry C. Link membuktikan bahawa “manusia yang beragama, sering berkunjung ke rumah ibadat, menikmati keperibadian yang lebih kuat dan baik berbanding dengan orang yang tidak beragama dan tidak melakukan apa-apa ritual ibadah.” Kenyataan ini merupakan sebuah bukti universal yang berguna bagi pendakwah mengajak mansyarakat kepada kehidupan beragama, tanpa dihukum sebagai bias oleh masyarakat. Sama ada hal ini dipandang dari sudut Islam, mahu pun Sains, ia menatijahkan hasil yang sama, bahawa kehidupan beragama dan melazimkan diri dengan ritual yang diajar oleh agama, manusia menikmati peningkatan kualiti keperibadian yang tinggi.


Aplikasi lain kepada hal ini, turut boleh diteladani melalui contoh-contoh strategi pendidikan yang diolah oleh Sheikh ‘Abd al-Fattāh Abu Ghuddah di dalam bukunya al-Rasūl al-Mu’allim (diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW) . Buku ini mendatangnya banyak contoh berkaitan psikologi pendidikan di dalam pendekatan Rasulullah SAW. Ia membabitkan aspek silibus mengajar, situasi pelajar, kemampuan pelajar, waktu pembelajaran dan elemen gender.


Misalnya, adalah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim tentang kisah Malik bin al-Huwairith radhiyallahu ‘anh:


“Kami (golongan muda yang berumur lebih kurang sebaya) pernah datang kepada Rasulullah SAW dan tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami mendapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Ketika Baginda merasa kami merindui keluarga kami di rumah, Baginda bertanyakan kami tentang siapa orangnya yang telah kami tinggalkan (di rumah). Maka kami pun menceritakannya kepada Baginda. Kemudian Baginda bersabda, “pulanglah kalian kepada keluarga kalian, tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka, anjurkanlah mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaknya yang paling besar (tua) dari kalian bertindak sebagai imam.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Di dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW memaparkan hubungan yang mesra dengan anak-anak muda tersebut. Baginda mengesan kemerosotan komitmen mereka selepas 20 malam berpisah daripada keluarga. Seterusnya Baginda bertanya secara spesifik, soalan yang menampakkan minat Baginda kepada masalah yang dihadapi oleh ‘anak murid’nya dan meminta mereka menceritakannya. Empati yang ditunjukkan oleh Baginda, membolehkan saranan Baginda agar apa yang telah dipelajari, dipraktikkan di rumah masing-masing dengan tatacara yang diajar. Jauh sekali Baginda memperlekeh rasa rindu anak muda itu kepada keluarga mereka!


Sungguh, di dalam diri Rasulullah SAW terhimpun sifat-sifat terpuji seperti rasa belas kasihan, kasih sayang, berusaha menjauhi kepayahan (kesulitan), menyukai kemudahan, santun kepada orang lain, sentiasa mencari kebaikan, kekuatan iman dan keselamatan serta berusaha mencurahkan ilmu pengetahuan dan kebaikan kepada orang lain dalam setiap kesempatan (Abu Ghuddah 2011).


Al-Bayānūnī menggariskan beberapa situasi untuk pendekatan psikologi di dalam dakwah ini wajar diaplikasi (Al-Bayānūnī 1995). Antara saranan beliau ialah:



Dakwah kepada orang yang jahil. Alasannya, orang yang jahil memerlukan kepada sikap berlemah lembut dan mengambil berat terhadap dirinya, juga mengajarnya secara galakan (targhīb) kepada ilmu pengetahuan, dan menjanjikan untuknya manfaat-manfaat kebaikan yang diperolehi melalui amalannya.
Dakwah kepada orang yang keliru tentang potensi dirinya, sama ada lemah atau kuat keyakinannya. Maka pendakwah berperanan membantu beliau mengenal pasti potensi diri, kelebihan dan kekurangan, untuk pendakwah memilih pendekatan yang terbaik untuknya.
Dakwah kepada golongan yang emosinya rapuh seperti kaum wanita, kanak-kanak, anak yatim, fakir miskin, orang yang ditimpa bencana, orang sakit dan yang seumpama dengan mereka.
Dakwah bapa kepada anak, dakwah anak kepada bapa, dakwah kepada sanak saudara dan rakan karib.
Dakwah dalam kondisi yang lemah, untuk menguatkan semangat mad’u (orang yang menjadi subjek kepada dakwah), dan meredakan emosi penentang, agar dakwah diterima, atau berkurangnya tekanan ke atas dakwah dan pendakwah.

Di dalam situasi sebegini, manusia berada di dalam keadaan emosional yang melebihi rasional. Justeru dakwah yang mengabaikan aspek emosional seperti pemilihan kata yang sesuai, memberikan contoh-contoh yang dekat dengan kefahaman mad’u, akan berisiko tinggi untuk ditolak. Penolakan kepada dakwah itu terjadi, bukan kerana mad’u menolak kebenaran, tetapi kerana dakwah yang menyinggung kondisi emosinya.


Hal ini bersesuaian dengan peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:


Maka dengan sebab rahmat daripada Allah itulah engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Āl ‘Imrān 3: 159]

Semasa mengulas ayat ini, Imam Birgivi (meninggal 1573M) menyatakan bahawa pendekatan yang kasar terhadap salah laku yang terjadi menjadikan dosa berganda dosa (Birgivi 2002). Ia menghilangkan kasih sayang dan empati dalam usaha menghilangkan perkara-perkara yang keji daripada manusia.


Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Abū al-Qāsim (Rasulullah) SAW bersabda:


“Tidak tercabut sifat kasih sayang dan belas (daripada diri seseorang) melainkan daripada orang yang diharamkan daripadanya kebaikan” [HR al-Tirmidhi]
KESAN PENDEKATAN PSIKOLOGI

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, banyak kisah yang dicatatkan tentang pendekatan Rasulullah SAW pada menangani cabaran dakwah.


Antaranya adalah kisah seorang anak muda yang mahu berzina, seperti yang dinukilkan ini:


Abu Umamah r.a. berkata: “Ada seorang pemuda datang menghadap Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Orang-orang yang ada di sekitarnya menghampiri dan memaki, “Celaka engkau, celaka engkau!” Setelah Rasulullah SAW menyuruhnya untuk mendekatinya, pemuda itu pun menghampiri dan duduk mendekati beliau, lalu beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuanmu?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ayahmu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau menjawab, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ibumu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya di dada pemuda itu seraya berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya, dan lindungilah kemaluannya.” Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal- hal yang haram.”


Di dalam kisah ini, banyak iktibar yang kita peroleh pada meneladai dakwah Baginda SAW kepada seorang anak muda yang tergamak meminta kebenaran untuk berzina.


Riwayat ini, menjelaskan ketinggian peribadi dan wawasan Rasulullah SAW berbanding sahabat yang berada di sekeliling Baginda. Bangkangan yang dikemukakan oleh para sahabat itu difahami sebagai sikap yang teguh pada mencegah kemungkaran, apabila melihat anak muda itu berkelakuan melampau meminta kebenaran Rasulullah SAW untuk melakukan zina. Tetapi Rasulullah SAW menampakkan kendali diri yang tinggi, dan membezakan di antara masalah yang kelihatan berbanding dengan masalah yang sebenar. Masalah yang kelihatan, adalah keinginan anak muda itu untuk berzina. Tetapi Baginda SAW menunjukkan bahawa masalah sebenar anak muda itu bukan pada nafsunya, tetapi pada cara berfikir yang salah. Meminta kebenaran untuk berzina itu bukan cetusan nafsu semata, tetapi keinginan yang lahir daripada sikap mementingkan diri sendiri.


Baginda SAW mengatasi masalah itu, tidak secara memberitahu, tetapi melakukan proses soal jawab (coaching) agar akhirnya pemikiran yang salah itu, diakui sendiri oleh anak muda berkenaan.


Pendekatan psikologi ini mencapai kesempurnaannya pada nilai empati tertinggi apabila Rasulullah SAW bukan sahaja menyedarkan anak muda itu akan kesalahannya, tetapi turut menjadikan doa dan pergantungan kepada Allah sebagai sumber kekuatan yang teras.


Di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, pengarang berkongsi beberapa catatan peristiwa dakwah yang efektif kesan daripada memanfaatkan pendekatan psikologi. Misalnya di dalam bab Dyslexia: Andai Diriku Lebih Berusaha, pelajar nakal yang menjadi kemarahan ramai pihak di sekolah tempat pengarang mengajar, akhirnya menatijahkan kesedaran bahawa pelajar berkenaan menghadapi masalah pembelajaran yang dikenali sebagai dyslexia (Hasrizal 2012).


Tanda-tandanya hanya dapat dikenal pasti apabila guru berhenti memarahi pelajar yang nakal dan malas membaca, lalu cuba memahami keadaan itu daripada perspektif pelajar berkenaan.


Untuk memahami bagaimana ilmu-ilmu kemanusiaan berfungsi meningkatkan keberkesanan dakwah, perhatikan ilustrasi berikut:


Dakwah bermula daripada pendakwah memahami Islam. Proses memahami Islam itu merujuk kepada teks-teks sumber, bermula daripada al-Quran dan al-Sunnah, diikuti oleh kupasan-kupasan para Ulama’. Islam yang ditemui di dalam teks ini adalah Islam versi yang sepatutnya diamalkan. Islam yang ideal ini disebut sebagai Meta Islam.


Sekiranya orientasi fikiran pendakwah itu hanya pada melihat teks, beliau akan bertemu dengan realiti yang adakalanya sama dengan apa yang dinyatakan oleh teks, tetapi selalu juga berbeza. Islam yang diamalkan, berbeza daripada Islam yang sepatutnya diamalkan. Jurang di antara Islam yang sepatutnya diamalkan dengan Islam yang diamalkan, adalah jurang yang menjadi ruang dakwah.


Seandainya pendakwah beranggapan bahawa kegagalan mengamalkan Islam yang sepatutnya itu berpunca daripada kejahilan, tidak memahami tuntutan sebenar Islam, maka beliau mengharapkan agar penerangannya tentang ‘hukum’ dapat menyelesaikan keadaan. Akan tetapi di dalam banyak keadaan, mad’u gagal mengamalkan Islam, bukan kerana tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan, tetapi mereka dibelenggu oleh faktor-faktor yang tiada keterangan langsung di dalam teks.


Kegagalan mengiktiraf faktor ini, boleh menyebabkan pendakwah berkeras dalam pendekatan dakwahnya. Namun di sana ada banyak faktor yang berkaitan dengan kemanusiaan manusia, menjadi punca kegagalan mad’u mengamalkan Islam.


Misalnya, selepas pendakwah bertindak menjelaskan kaedah sebenar berkenduri selepas berlakunya kematian, mad’u mungkin masih tidak dapat melakukannya. Perintah Rasulullah SAW agar para sahabat memasak makanan untuk keluarga Ja’far bin Abī Thālib yang terbunuh di dalam Perang Mu’tah, bersama nasihat ulama tentang isu meratap si mati, bahaya secara tidak disedari menggunakan harta si mati yang merupakan harta anak yatim, dan pelbagai penjelasan lain, masih belum mampu mengubah kebiasaan masyarakat.


Apabila pendakwah meneliti aspek psikologi dan sosiologi komuniti para sahabat, di sebalik hukum hakam Syariat Islam, adanya elemen al-ītsār ‘alā al-nafs (mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri) yang disemai oleh Baginda SAW (Mohammed 2008). Elemen ini disebut sebagai altruism dan ia hanya dapat dikenali dan diusahakan di dalam kerja dakwah apabila pendakwah memanfaatkan ilmu kemanusiaan seperti psikologi, dan sosiologi. Semestinya, pendakwah terlebih dahulu merujuk kepada ilmu sejarah (Sirah) bagi mendapat petunjuk berkenaan hal ini.


Dalam suasana semasa, literatur ilmiah di bidang psikologi mungkin sulit untuk dirujuk oleh pendakwah. Sekurang-kurangnya pendakwah boleh memanfaatkan karya psikologi populis bagi mendapatkan asas-asasnya.


Antara karya kontemporari yang boleh pendakwah manfaatkan untuk mengasah kemahiran menggunakan pendekatan psikologi di dalam dakwah ialah The 7 Habits of Highly Effective People karya Stephen Covey. Demikian juga Everyone Communicates, Few Connect: What the Most Effective People Do Differently, karya John C Maxwell. Selain daripada itu, buku How to Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie.


Pengarang juga secara khusus menggalakkan pendakwah memanfaatkan buku tempatan nukilan Fazrul Ismail bertajuk Master P.I.E.S: Lonjakan Potensi Diri.


PENUTUP

Di dalam berinteraksi dengan para sahabat yang melakukan kesalahan, Rasulullah SAW menggunakan berbagai-bagai pendekatan psikologi seperti berlembut, bertegas, menimbulkan perasaan benci kepada maksiat, mengelakkan kemudaratan yang lebih besar dan lain-lain, mengikut tahap kecil atau besar sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Di dalam menghadapi masalah kecil, baginda menggunakan pendekatan berlembut dan di dalam menghadapi masalah besar terutama sekali kesalahan jenayah syariah, baginda mengambil sikap yang tegas apabila terbukti kesalahan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang kukuh. Pendekatan- pendekatan seumpama ini sangat baik untuk dijadikan teladan kepada ketua negara, pemimpin masyarakat, hakim-hakim, guru-guru dan ibu bapa.


Sabda Nabi Muhammad SAW:


“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah ia dengan tangannya. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka hendaklah dia mengubah ia dengan lisannya. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka hendaklah dia mengubah ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman” [HR Ibn Hibban]

Pendakwah yang melihat kemungkaran, diperintah oleh Nabi SAW bukan sekadar bertindak mencegahnya, tetapi bertindak mengubahnya ke arah yang lebih baik. Pendakwah tidak wajar berpegang dengan sikap acuh tidak acuh dan ‘asalkan buat’. Sebaliknya pendakwah mestilah mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat kemungkaran yang terjadi, boleh diubah menjadi kebaikan, melalui pendekatan yang lebih empati, memahami, dan berseni.


Sayyid Qutb ra pernah menyebut bahawa tarbiah adalah seni membentuk manusia.


HASRIZAL BIN ABDUL JAMIL

26 RAJAB 1435H

BANDAR SERI PUTRA


RUJUKAN

Al-Quran al-Karim
Adz-Dzakiey, H. B.   2008.   Psikologi Kenabian.   Yogyakarta: Al-Manar.
Al-Bayānūnī, M. a. a.-F.   1995.   Al-Madkhal Ilā ‘Ilm Al-Da’wah.   Beirut: Muassasah al-Risālah.
Al-Khālidī, S. a. a.-F.   2007.   Ma’a Qasas Al-Sābiqīn Fī Al-Qur’ān.   Damascus: Dār al-Qalam.
Al-Qaradhāwi, Y.   1996.   Tsaqāfah Al-Dā’iyah.   Kaherah: Maktabah Wahbah.
Birgivi, M. B. P. a. a.-B.   2002.   Al-Tharīqah Al-Muhammadiyyah Wa Al-Sīrah Al-Ahmadiyyah.   Aleppo: Dār al-Qalam al-‘Arabī.
Ghuddah, A. F. A.   2011.   40 Strategi Pendidikan Rasulullah Saw.   Selangor: Pelima Media Sdn Bhd.
Harper, D. 2014. Online Etymology Dictionary.
Hasrizal, A. J.   2012.   Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.   Kuala Lumpur: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Mohammed, W.   2008.   Islamic Sociology.   Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.

 


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (17) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 22, 2014 00:33

September 18, 2014

Pendidikan: Pembinaan Masa Depan Yang Tidak Pernah Mengecewakan

kmss-session-malam


Saya tidak pernah merancang untuk menjadi guru, mahu pun menjadi seorang ahli pendidikan (educationist).


Tetapi ke mana sahaja saya pergi, saya tidak dapat lari daripadanya.


Mungkin kerana pendidikan itu menghasilkan buah-buah yang sering saya petik dalam kehidupan, saya sentiasa dekat dengan pohonnya, walaupun buah itu yang menjadi carian.


Semasa menerima tugasan sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre (BIC) lebih sedekad lalu, saya hanya nampak tugasan saya sebagai seorang Imam, bersangkut paut dengan solat, dakwah dan urusan nikah. Saya tidak nampak sekolah, walaupun saya tahu di BIC ada sekolah. Tidak lama selepas memulakan tugasan sebagai Imam, saya diamanahkan menjadi Pengetua kepada Belfast Islamic School.


Ia sekolah yang kecil, tetapi mempunyai peranan yang besar di dalam komuniti Muslim Ireland Utara. Sekolah inilah tempat anak-anak komuniti Muslim yang kebanyakannya belajar di sekolah awam (public school), mendapat pendidikan Islam mereka.


Banyak cabaran baru yang saya temui. Satu subjek berkaitan asas pendidikan, semasa pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda jauh daripada cukup untuk menyediakan saya berdepan dengan tugasan itu. Saya melakukannya dalam keadaan tertekan sebab ketika itu, kegagalan pelajar menerima, menghayati dan mengamalkan ilmu Fardhu Ain yang diajar, saya yakin ia bukan berpunca daripada kenakalan pelajar seperti yang dipercayai ramai. Sebaliknya, proses pengajaran dan pembelajaran tidak dilakukan dengan betul. Ada ilmu yang tiada.


Ilmu tentang pendidikan.


Sama ada oleh saya sebagai Pengetua dan penyelia kepada kurikulum dan silibus, mahu pun guru-guru yang kebanyakannya adalah sukarelawan yang mengajar kerana ingin berbakti.


Politik dalaman masjid dan kegemaran komuniti untuk berkhilaf antara satu sama lain tentang isu-isu pertentangan di antara tradisionalis dan reformis, menyebabkan perbahasan tentang apa yang penting bagi sekolah kami adalah berkaitan memenangkan ‘school of thought’ yang mana, dan menjauhi paksi utamanya iaitu pelajar.


Tanpa dinamakan dengan apa-apa istilah dan falsafah, saya berpegang bahawa pendidikan mestilah berpaksikan pelajar (student-centered education). Pendidikan, adalah untuk membentuk pelajar yang dididik. Ia logik yang spontan. Saya tidak perlu terlebih dahulu mengenal aliran progressiveness, social reconstructionism atau existentialism untuk mempercayai sebuah pendidikan itu mesti berpaksikan pelajar.


MINAT YANG LAIN


Kedahagaan saya untuk menyambung pengajian tertangguh lama oleh kesibukan bekerja. Saya tersepit antara dua bidang. Jiwa dan raga saya sentiasa dengan sejarah, saya mahu menyambung pengajian di bidang sejarah, dan saya mahu bidang sejarah itu menyampaikan saya kepada kajian mengenai Dawlah Uthmaniyyah. Namun, dek pilihan yang amat terbatas di pulau Ireland, saya memilih untuk menyambung pengajian di dalam bidang Sosiologi Agama di The Queen’s University of Belfast. Ia adalah bidang paling hampir untuk saya mendatangi Turki di Ireland, selain Byzantine Studies yang menggerunkan saya pada tuntutan mempelajari bahasa Latin. Proposal saya diterima dan saya ditawarkan menyambung pengajian di QUB berkenaan. Tetapi kekangan kewangan tidak mengizinkan saya meneruskan hasrat ini.


bis-2001


Saya meneruskan kerja seperti biasa. Kedahagaan untuk menyambung pelajaran ditangguhkan seketika.


Selepas berpindah ke Selatan, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar sarjana di dalam program Masters of Education di The Open University, UK dengan fokus kepada curriculum studies. Saya sempat membentangkan draf berkenaan masalah sekolah-sekolah Islam di Ireland yang tidak mempunyai kurikulum, jauh sekali untuk memastikan ia sesuai dengan generasi komuniti Muslim di Ireland. Kebanyakan Islamic School hanya membawa bahan dari negara seperti Mesir, Arab Saudi, Pakistan, India, untuk diguna pakai dalam pendidikan anak-anak Muslim yang lahir dan membesar di Ireland. Banyak konflik yang timbul akibatnya.


Penyelia saya dari Limerick bersetuju dengan idea awal tersebut.


Akan tetapi saya gagal melunaskan pengajian berkenaan. Saya menangguhkan pengajian kerana jatuh sakit dan menjalani rawatan intensif selama 6 bulan. Selepas sembuh sepenuhnya, saya menyambung kembali pengajian, tetapi pulang mengejut ke Malaysia atas permintaan keluarga. Program di OU ditinggalkan sepenuhnya.


KEMBALI KE MALAYSIA


Sekembalinya saya ke Malaysia, saya bekerja dahulu. Meneroka satu demi satu kehidupan di Malaysia, yang sudah 11 tahun saya tinggalkan.


Lama saya mengambil keputusan untuk menyambung belajar.


Dan apabila saya melakukannya, dunia akademik saya sentiasa di bidang sejarah, bukan pendidikan. Ia seperti yang saya hajatkan.


Saya pernah berdilema antara menyambung pelajaran antara bidang sejarah dan pendidikan. Alhamdulillah nasihat demi nasihat diberi, saya diyakinkan bahawa tidak ramai yang boleh menceburi bidang sejarah kerana ia memerlukan minat yang tidak boleh dibuat-buat, serta minda yang sesuai. Ada pun pendidikan, Insha-Allah ramai di dalam masyarakat kita yang berkebolehan untuk menjayakannya.


PERKEMBANGAN TERKINI


Kini saya sedang berada di fasa akhir menyiapkan disertasi sarjana saya di dalam bidang sejarah Islam. Saya hanya ada beberapa bulan terakhir untuk melangsaikan penulisan iaitu bahagian yang paling sukar bagi pelajar sarjana yang mengambil pengajian mode kerja kursus dan disertasi.


Dalam kesibukan itu, saya masih dari semasa ke semasa berwacana tentang pendidikan. Idea-idea pendidikan seperti yang dikemukakan oleh John Taylor Gatto amat mempengaruhi fikiran saya. Idea tentang pendidikan wajib, standard dan selaras, yang dikritik tegas oleh Gatto, terutamanya di dalam buku beliau Weapons of Mass Instruction, amat menjelaskan apa yang terbuku di hati. Demikian juga Neil Postman di dalam bukunya Teaching as a Subversive Activity, menyebabkan saya semakin melihat bahawa masa depan negara bukan ditentukan oleh medan perang atau debat politik, sebaliknya oleh apa yang berlaku di dalam bilik darjah.



Ia menambah sisi-sisi yang telah saya mulakan dengan mengkaji gagasan idea al-Marhum Profesor Muhammad al-Mahdi, pengasas Metode Khalifah dan Law of Learning yang beliau tinggalkan sebagai warisan.  Biar pun anak saya sudah tidak lagi bersekolah di Khalifah Model School, saya masih berwacana dengan warga Khalifah Institute. Akhirnya, saya dilantik sebagai ahli Board of Directors Yayasan Pendidikan Khalifah, untuk menjayakan projek Khalifah Model Secondary School, lanjutan kepada  sekolah rendah sedia ada di Ampang.


Saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Mahu berperanan, mahu melakukan sesuatu, tentang pendidikan.


Tetapi pembabitan saya dalam proses membangunkan Khalifah Model Secondary School masih belum mencapai tahap keberkesanan yang diperlukan. Transformasi yang dihajatkan memerlukan komitmen sepenuh masa. Bermula dari 1 September 2014, saya memulakan tugasan sebagai Academic Director di Khalifah Model School, seiringan dengan Pengetua, Ustaz Muhammad Qayyum Abdul Raof.


KMSS


Saya tidak mahu KMSS menjadi sekadar sebuah lagi sekolah Islam swasta di samping sekolah-sekolah sedia ada. Law of Learning yang ditinggalkan oleh Profesor Muhammad al-Mahdi tidak harus disia-siakan. Selepas ia dilaksanakan di sekolah rendah dan Alhamdulillah menatijahkan manfaat-manfaat yang signifikan, gagasan idea yang sama juga mesti dibawa ke peringkat menengah. Perjalanan saya mengendalikan program sebagai orang ketiga (bukan pihak ibu bapa, mahu pun sekolah dan kerajaan) di pelbagai jenis sekolah, menguatkan lagi keazaman saya untuk menjayakan idea alternatif yang mudah-mudahannya mithali bagi sebuah pendidikan.


Demi memastikan usaha-usaha ini dilakukan dengan fondisi-fondisi ilmu, saya turut mendaftarkan diri menyertai sebuah program pensijilan pendidikan Islam yang dikenalikan oleh Razi Education dengan kerjasama University of Toronto, Kanada. Program yang dijalankan secara sepenuhnya di atas talian, menghimpunkan sekitar 35 pelajar dari seluruh dunia.


Semoga Allah memberkati masa-masa saya dalam kehidupan seharian, untuk diagihkan secara efektif.


Doakan kami.


Hasrizal

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (36) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2014 21:09

August 24, 2014

Seminar Asal Usul Melayu 2014: Catatan Usai Ucap Utama

seminarmelayu2014


Ada kalanya, semangat Islam kita menyebabkan kita tidak menghargai apa-apa yang kita tidak dapat kaitkan dengan Islam. Kita tidak berminat dengan sejarah yang bukan sejarah Islam. Malah kita melihat apa-apa yang non Islamik atau pra Islam, tidak mempunyai apa-apa nilai kebenaran, pelajaran, juga tidak menyumbang apa-apa kepada Islam dan Muslim itu sendiri.

Sedangkan Islam yang luhur, menjadikan seorang sejarawan itu menghargai kebenaran, lebih daripada sempadan agama dan keagamaannya.


Keislaman kita (sekurang-kurangnya saya sendiri), menyebabkan bangsa dijadikan antagonis kepada agama.


Melayu?


Apa itu Melayu?


“Ana Muslim, Alhamdulillah” itu sudah memadai.


Tiada apa maknanya Melayu kepada saya, kerana saya akan mati sebagai Muslim, terbaring di kubur sebagai Muslim, berdiri di Mahsyar sebagai Muslim, dan masuk ke Syurga sebagai Muslim. Apa yang tidak berharga di dalam kubur, tidak berharga di luar kubur.


Itu yang saya kata.


Mungkin itu juga yang ramai percaya.


Terutamanya Islamist seperti saya. Sekurang-kurangnya seperti saya pada suatu ketika.


Tambahan pula kebelakangan ini, tiada banyak perkara menarik yang kita rasa boleh kita kaitkan dengan rasa bangga kepada bangsa kita. Soal bangsa dan kemelayuan kita, sentiasa bergelumang dengan gurauan sinis bahawa apabila Melayu dikritik, kita melarikan diri sebagai Jawa. Apabila Melayu menghiasi statistik, kita segera menyalahkan bangsa yang cuai kepada agama.


Bukan tiada kebenaran dalam gurauan itu. Tetapi gurauan yang berlarutan sejak zaman mumayyiz hingga dewasa itu menyebabkan kefahaman kita tentang bangsa, seperti sesuatu yang tiada ilmunya.


49_13


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujurāt 49: 13]

Ayat ini selalu menjadi titik saya berhenti, untuk bertadabbur.


Sejauh manakah saya telah memenuhi perintah Allah di dalam ayat ini.


Allah yang menyebabkan kita ini ada yang lelaki ada yang perempuan. Tujuan perbezaan itu adalah untuk membangunkan tamadun insan. Sudahkah saya mengilmukan diri saya agar faham tentang keperempuanan perempuan dan kelelakian lelaki? Sebahagian daripada usaha bertaqwa kepada Allah, akan memerlukan ilmu berkaitan dengan hal ini.


Allah juga yang menyebabkan kita ini berbangsa-bangsa. Tujuan perbezaan antara bangsa itu adalah untuk membangunkan tamadun insan. Sudahkah saya mengilmukan diri saya agar faham tentang kemelayuan Melayu, demikian juga dengan bangsa-bangsa yang lain? Sebahagian daripada usaha bertaqwa kepada Allah, akan memerlukan ilmu berkaitan dengan hal ini.


Sudah lama saya hendak belajar tentang Melayu.


Tetapi setiap kali saya mencari ilmu tentang Melayu, saya terganggu oleh pihak-pihak yang memperjuangkan Melayu. Saya sudah lama pening dengan UMNO tatkala berbicara tentang Melayu. Kini kepeningan itu ditambah lagi oleh wacana-wacana tentang Melayu oleh Perkasa, ISMA dan NGO-NGO yang sinonim dengan tema Melayu. Saya cuba membaca wacana-wacana Profesor Naquib al-Attas. Tetapi saya perlu membacanya di dalam diam kerana di keliling Profesor dan gagasan pemikiran, ada pengawal-pengawal yang meresahkan.


Alhamdulillah, Allah rezekikan kepada saya untuk ternampak poster Seminar Asal Usul Melayu 2014.


Meneliti nama pembentang, topik-topik yang dibentang, penyataan masalah yang mencetus seminar, saya yakin ini adalah seminar yang boleh membantu mengilmukan diri saya tentang Melayu. Saya ingin memahami tentang Melayu secara fisiologi, seterusnya Melayu dan alam Melayu, melayu dan agama orang Melayu, sebelum akhirnya Melayu dalam kerangka geopolitik silam dan semasa.


Seminar kali ini membicarakan tentang asal usul Melayu, berdasarkan disiplin Sains, Sejarah dan Arkeologi. Kekuatan setiap disiplin dalam menyokong kajian masing-masing, adalah sesuatu yang dinanti.


Apabila saya cuba membaca kajian-kajian berkaitan dengan hal ini, saya tidak dapat membezakan antara kajian yang ilmiah, kajian yang bersandar kepada pseudo sains malah kajian yang dusta dan hanya bersifat propaganda. Saya kurang mengenal nama-nama yang sepatutnya dirujuk serta kredibiliti dan ketokohan yang perlu diberi pertimbangan.  Alhamdulillah, seminar ini sangat membantu. Belum pernah saya hadir ke sebuah seminar dalam keadaan yang amat letih, tetapi mata segar dari jam 8 pagi hingga ke 5 petang, selama dua hari berturut-turut.


niksafiah


Program dimulakan dengan ucap utama, yang disampaikan oleh Nik Safiah bt. Hj. Abdul Karim, Karyawan Tamu, Universiti Malaya! Nama yang bersahaja di slaid pembentangan, tetapi gagal menyembunyikan siapa sebenarnya tokoh yang berucap itu; seorang tokoh besar! Profesor Emeritus Dato Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, menyampaikan ucap utama beliau bertajuk “Kecemerlangan Tamadun Lampau Asas Pembinaan Masa Depan Negara Malaysia”. Ia nama yang sudah saya kenali semenjak di bangku sekolah, tetapi inilah peluang pertama saya mendengar ucapan beliau secara langsung. Profesor memulakan penyampaian beliau dengan serangkap pantun:


Buat bangsal di Pulau Daik,

Menahan taut sambil mengilau;

Kalau asal benih yang baik,

Jatuh ke laut menjadi pulau.


Selain daripada intipati utama ucapan beliau, pembentangan Profesor Nik Safiah menyedarkan diri saya bahawa membaca teks klasik Melayu bukan lagi menjadi sebahagian daripada tuntutan pembelajaran semasa. Kita sudah tidak lagi membaca karya seperti Sulalatus Salatin yang disusun oleh Tun Seri Lanang. Ia berbeza dengan generasi semasa di Amerika Syarikat dan Britain yang masih membaca karya klasik Shakespeare. Rata-rata, kita membaca bahan bacaan semasa yang tidak menambah perbendaharaan kata, dan terus melupakan banyak perkataan yang diguna pakai sebelum ini. Kekurangan perbendaharaan kata akibat lemahnya proses membaca ini, menyebabkan kita mendapat gambaran yang salah tentang kebolehan bahasa Melayu mengungkapkan ilmu dan pemikiran.


Bermula daripada ahli politik sendiri yang prejudis terhadap bahasa ibundanya, penyakit jati diri ini merebak hingga ke golongan cerdik pandai, sama ada yang berpendidikan luar mahu pun tidak. Lalu lahirkan orang Melayu yang berbahasa Melayu dengan hodoh, bersama bahasa Inggeris yang tidak kurang jeleknya bersama bahasa Arab yang tidak ke mana.


Profesor Nik Safiah membentangkan banyak fakta yang tidak saya ketahui.


Profesor Nik Safiah menegaskan bahawa dalam abad ke-16 dan ke-17 raja-raja Melayu menulis surat kepada semua pihak, termasuk raja-raja dan rakyat negara Barat, dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi. Dua surat diraja yang pertama diketahui adalah surat oleh Sultan Abu Hayat dari Ternate bertarikh 1521M dan surat Sultan Bayan Sirrullah, ayahanda kepada Sultan Abu Hayat. Kedua-dua surat ini ditujukan kepada Raja Portugal dan kini tersimpan di Arkib bandar Lisbon, Portugal. Surat-surat ini ditulis dalam abad ke-16.


Francois Valentijn (1666-1727), seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda telah menulis tentang sejarah Kepulauan Melayu. Tentang kehebatan bahasa Melayu, beliau berkata:


Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur ,sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.


Prof. Syed Naquib al-Attas telah mengusahakan buku yang terawal menggunakan bahasa Melayu untuk telaah kita. Buku tersebut, iaitu Kitab ’Aqaid Al-Nasafi, dikatakan telah ditulis pada 10 Februari 1590M, dalam bahasa Arab dengan terjemahan ke dalam bahasa Melayu secara harfiah. Kata beliau, “yang luar biasa tentang bahasa Melayu terjemahan yang dihasilkan 400 tahun dahulu ialah gaya bahasanya yang kemas, padat dan lancar, serta cara pengungkapan yang amat jelas.”


Profesor Nik Safiah juga mengemukakan beberapa contoh teks klasik Melayu yang mengungkapkan ilmu seni bina, undang-undang, ketenteraan dan pelbagai disiplin lain. Pembentangan beliau ditutup dengan beberapa persoalan yang penting:



Apakah pengguna bahasa Melayu mampu menggunakan bahasa tersebut untuk memperkatakan perkara-perkara terkini, perkara-perkara yang penting dalam abad ke-21?
Tahukah mereka, misalnya, membuat ayat-ayat yang sempurna untuk memperkatakan buah fikiran yang kompleks?
Sudahkah mereka menguasai istilah dan kosa kata bahasa Melayu moden bagi memperkatakan perkara-perkara baharu, atau mereka perlu lari kepada bahasa Inggeris untuk melafazkan sesuatu?
Dapatkah mereka menghayati kelincahan bahasa Melayu kreatif yang tidak dihayati oleh mereka sebelum ini?

Saya kasihan melihat diri sendiri.


Lebih kasihan apabila melihat generasi muda hari ini.


Saya sentiasa berpegang, bahawa kita tidak sepatutnya menilai seseorang semata-mata kerana jantinanya, bangsanya, warna kulitnya, malah agama kepercayaannya. Tetapi saya berpendapat kita memang boleh menilai seseorang pada bahasanya, yakni pada perkataannya, tatabahasanya, ejaannya, cara dia mengungkapkan fikiran dan perasaan, yang kesemua itu mendedahkan kerohanian yang berada di dalam tubuh jasmani yang berdiri.


Bahasa Melayu kita lemah.


Bahasa lain yang kita tuturkan juga lemah.


Kelemahan bahasa, mencerminkan kelemahan pemikiran dan jati diri.


seminarmelayu2014-mix1


Seperkara yang menarik tentang seminar kali ini, setiap pembentang akan mengambil masa sekitar 10 minit untuk menerangkan tentang disiplin kepakaran mereka serta bagaimana mereka bekerja dalam bidang masing-masing. Ia mengajar para hadirin untuk memahami bagaimana KEBENARAN disiasat, dicari dan dibuktikan dengan kaedah yang pelbagai, dengan tujuan yang satu iaitu mengetahui apa yang sebenar.


Demikianlah kegembiraan pertama yang saya rasakan apabila Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar memulakan pembentangannya. Sebagai pakar bahasa, beliau menerangkan kepada kami kaedah-kaedah yang ahli bahasa gunakan untuk menyelidik asal usul bahasa dan seterusnya bangsa. Kami diperkenalkan dengan kaedah leksikostatistik dan etnolinguistik (bertitik tolak dari nama benda-benda budaya, flora, fauna, berdasarkan perkaitan kognat. Demikian juga dengan kaedah arkeolinguistik yang menggabungkan arkeologi dan linguistik.


asmahhajiomar


Saya kagum dengan semangat Prof Asmah yang menampakkan sebati diri beliau dengan bidang kepakarannya hingga pada usia emas, beliau masih terus mengkaji, bertemu dengan kaum-kaum pribumi dan menyiasat bahasa mereka, serta hadir ke persidangan-persidangan antarabangsa untuk memperjuangkan dapatan beliau yang menyanggah teori arus perdana tentang asal usul bahasa Melayu. Beliau menyangkal teori Kern yang dibawa oleh Bellwood, teori Blust dan teori Dyen. Prof Asmah memberi komentar kepada teori yang dikemukakan Stephen Oppenheimer di dalam karya berimpak besarnya, Eden in the East: The Drowned Continent of Souteast Asia (2001) yang menjelaskan bahawa asal usul bangsa dan bahasa Melayu adalah daripada kawasan Kepulauan Melayu itu sendiri. Ia pada suatu ketika di zaman pra ais (pre-ice-age) adalah sebuah benua besar yang disebut sebagai Sundaland!


Kajian Oppenheimer selaras dengan dapatan beliau kerana kadar kepelbagaian di Semenanjung dan Sumatera jauh lebih tinggi berbanding di kawasan yang lebih jauh seperti di Taiwan (Formosa) dan Yunan.


Perjalanan saya di dalam seminar ini berterusan lagi bersama tokoh-tokoh lain yang begitu mencelikkan fikiran seperti Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Prof. Dr. Zilfalil Alwi,  Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, Dr. Shaheerah Lebai Lutfi, Dr Darlina Md Naim, Prof Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Encik Ahmad Hakimi Khairuddin, Dr. Mohd Supian Sabtu, Dr. Khairul Bariah Ahmad Amin Noordin, Encik Mohd Asuad Mat Jelani, dan Cik Padillah Yahya.


Kesemuanya menggabungkan kajian masing-masing membabitkan bidang linguistik, bahasa, arkeologi, sejarah, sains genetik dan DNA, Artificial Intelligent, Numismatik, dan sebagainya.


Insha-Allah saya akan cuba menyambung catatan dalam artikel seterusnya, kerana seminar ini berkesudahan dengan beberapa rumusan besar yang menolak teori-teori arus perdana antarabangsa sedia ada.


HASRIZAL

Kubang Kerian, Kelantan


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (55) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 24, 2014 22:09

July 31, 2014

Membantu Palestin: Selut Desa Dan Asap Kota Sebelum Debu Gaza

viva-palestina


Kehangatan semangat membantu umat Islam di Palestin tidak begitu dirasa di kawasan luar bandar.


Itu yang saya rasa, apabila bercuti sempena Aidilfitri.


Mungkin ia hanya persepsi dan saya mungkin tersalah pada memerhatikan persekitaran. Namun, jika salah sekali pun, saya yakin ia tidak salah sepenuhnya. Ada sesuatu yang boleh dibincangkan, untuk meningkatkan lagi kualiti usaha kita. Kualiti penting kerana Palestin tidak akan merdeka dengan kuantiti harta dan manusia. Ia mementingkan kualiti. Dan kerana kualiti itulah, kita perit memperbaiki diri, tanpa bergantung kepada sejauh mana Zionis disokong atau ditentang. Syarat kemenangan itu berada pada yang berjuang dan yang memerangi. Bukan Zionis yang diperangai.


Mungkin semangat itu kurang dirasa di kawasan luar bandar kerana kempen kita agak berwarna urban.


Berapa sangatlah orang kampung yang makan McD?


Jauh sekalilah Starbucks atau alat solek L’Oréal.


Apatah lagi dengan ulasan-ulasan antarabangsa, berfalsafah, kena pula di dalam bahasa Inggeris.


Kempen Palestin buat masa ini adalah kempen urban, stylo, gaya orang bandar. Berpendidikan tinggi. Sangat menjiwai debu dan pasir Gaza, tetapi tidak dengan selut kampung dan semak ladang getah tempatan. Mungkin terlepas pandang. Ia bukan sarcasm dan saya tidak sama sekali bermaksud begitu. Ia adalah pandangan telus demi memperjuangkan ‘hak’ orang kampung untuk mereka juga dapat menjiwai semangat menyokong saudara di Palestin, yang buat masa ini begitu urban.


Dan bersama dalam perjuangan ini.


Kita perlukan beberapa penambah baikan.


Kita perlu meneliti beberapa perkara asas, tentang mengapa ada orang peduli, ada orang tidak peduli.


KENAPA ADA MANUSIA TIDAK PEDULI?


Sama ada orang kampung, atau orang kota, orang berpendidikan tinggi, atau orang berpendidikan rendah dan sederhana, kita punya mata, telinga, mulut, akal fikiran dan potensi yang sama. Namun, ada golongan yang bertelinga, telinganya tidak mendengar. Ada mata, matanya tidak nampak. Ada akal, akalnya tidak berfikir. Golongan ini mungkin ada di bandar, boleh juga ada di kampung. Persamaan mereka adalah apabila mereka tergolongan dalam perumpamaan yang Allah berikan di dalam al-Quran:


7_179


“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [al-A'rāf 7: 179]

Manusia yang pancainderanya lumpuh dan lalai, diumpamakan oleh Allah seperti binatang ternak. Binatang ternak bukan harimau, kerana harimau sekurang-kurangnya ada kemegahan sebagai raja rimba. Binatang ternak bukan buaya, kerana buaya ada kemegahan sebagai raja sungai. Tetapi binatang ternak adalah serendah-rendah perumpamaan.


Lembu, kambing, pernahkah lembu dan kambing bangun pagi dengan azam untuk menjadi lembu dan kambing yang lebih baik dari hari sebelumnya?


Tiada!


Apa yang lembu dan kambing fikirkan setiap pagi adalah apa makannya, apa minumnya, siapa bininya!


Dan, berapa ramaikah manusia bertali leher bergaya profesional, juga manusia ke bendang dan ke kilang, dengan falsafah hidup yang sama?


Lihat sahaja kambing korban yang tertambat di pohon kelapa surau. Semasa kita mengasah pisau hendak menyembelihnya, apakah kambing itu melihat pisau, atau ia melihat rumput?


Kambing lihat rumput!


Hijaunya, enaknya, sedapnya!


Hingga dia tidak sedar, tidak faham, tidak nampak, bahawa seseorang sedang mengasah pisau untuk menyembelihnya.


Seorang manusia yang hidupnya makan, minum, tidur, rehat, kahwin (seks), tidak usahlah kita bercerita tentang Palestin, tentang Syria, tentang Arakan, hatta tentang GST atau isu pendidikan dan kesihatan negara. Apa yang dia peduli?


Yang penting semua rukun hidup itu tadi tertunai.


ternakan


Justeru, kempen untuk mendapatkan sokongan masyarakat kepada tragedi di Palestin, khususnya Gaza, memerlukan masyarakat dikeluarkan daripada alam haiwan ternak. Sebagai manusia, bukan bukan lagi sekadar seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat. Setelah diberi akal, masih hidup seperti haiwan ternak.


Maka usaha menyedarkan itu mesti ada yang bernada kota, mesti ada yang bernada desa.


Orang kota banyak menikmati limpahan maklumat mengenai apa yang berlaku di Gaza.


Tetapi orang desa tidak begitu. Orang kota balik ke desa pun, susah hendak menjelaskan dalam bahasa desa, mengapa mereka perlu peduli kepada isu Palestin.


Maymunah radhiyallāhu ‘anha pada suatu ketika bertanya kepada Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam:


minyak-al-aqsa“Aku berkata, wahai utusan Allah, nyatakan kepada kami perihal Bayt al-Qudus (al-Quds). Jawab baginda: pergilah kepadanya dan solatlah kamu di dalamnya. Katanya lagi, “bagaimana jika ia ketika itu dikuasai oleh Rom? Jawab baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam: andai kamu tidak berkemampuan untuk menunaikannya, maka hantarkanlah minyak agar boleh dinyalahkan pelita di dalamnya!”


[لراوي: ميمونة مولاة النبي صلى الله عليه وسلم المحدث: السخاوي - المصدر: البلدانيات - الصفحة أو الرقم: 64

خلاصة حكم المحدث: حس]

Pakcik makcik di kampung perlu diberikan keyakinan tentang signifikannya sumbangan mereka.


Mereka perlu menjiwai petua yang diberikan oleh Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam kepada Maymunah untuk mereka menjadi sebahagian daripada al-Quds dan kemuliaannya. Agar mereka tidak rasa terpinggir, tidak rasa tersisih, jauh dari Palestin, dek penyerunya yang tidak dapat menjiwai potensi kesedaran di desa tempatan yang perlu sama bangkit memainkan peranan.


Peranan menghantar minyak pelita ke bumi Palestin, biar pun kualiti periwayatannya agak sederhana, ia jauh lebih baik daripada kekarutan kisah burung menitis air dalam cubaan memadam api pembakar Ibrahim ‘alayhi al-salam yang tiada asal usulnya.


Jika di Palestin, pertempurannya adalah bom dan peluru.


Namun di tanah air, pertempurannya bermula dalam konteks kita menyedari semua potensi yang ada di depan mata, dan digiatkan sepenuhnya. Melepaskan diri daripada kebinatangan diri, kepada kemanusiaan yang tulus dalam menzahirkan sebuah kepedulian.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP




Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (47) Pelawat

2 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 31, 2014 06:31

July 26, 2014

Khutbah: Aidilfitri Meraikan Kemerdekaan Diri

birgicami


 


Sidang Jamaah Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan dirimu Muslim kepada-Nya.


Hadirin sekalian, rahimakumullah,


Hari ini adalah hari perayaan. Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan, hari yang ditegah oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam daripada berpuasa padanya. Hari keraian, Hari meraikan.


Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?


Apakah asbab gembira kita? Apakah signifikasi Aidilfitri hingga diharamkan kita berpuasa pada hari ini?


Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang menc ipta duka.


Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya. 31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah hari kemerdekaan.


Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.


Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.


Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.


Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?


Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat,


Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?


Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.


Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.


Penjajah pertama adalah Syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.


15_39


“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]

Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.


Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.


Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?


Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.


Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:


59_16


59_17


“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]

Muslimin dan Muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah,


Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.


Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.


Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:


45_23


Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]

Itulah sebesar-besar penjajah.


Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.


Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Mereka menjadi bodoh biar pun memegang segulung ijazah ilmu. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Mata yang celik gagal melihat. Telinga yang baik menjadi tuli. Hati menjadi buta dan mati, itulah penangan nafsu.


Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?


Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?


Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?


Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.


Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.


Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?


Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?


Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.


Firman Allah:


91_7


91_8


91_9


91_10


Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).[al-Syams 91: 7-10]

Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.


Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,


Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan kita. Ia adalah perayaan yang dirasmikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai perayaan kaum Muslim.


 عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bertanya: dua hari apakah ini? Jawab mereka: kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman Jahiliah. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:


“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” [Hadith riwayat Abu Dawud 1134]

Kita diberikan perayaan Aidilfitri ini agar kita tersendiri. Muslim harus punya jati diri. Muslim bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Kita berbeza. Justeru perayaan kita juga berbeza.


Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.


Kita dibenarkan berhibur. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah menegur perbuatan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq radhiyallaahu ‘anhu mendenda dua perempuan yang menyanyi-nyanyi di hari Eid dengan kata baginda:


 يا أبا بَكرٍ إنَّ لِكلِّ قومٍ عيدًا وَهذا عيدُنا
“Wahai Abu Bakr! Setiap kaum itu ada hari rayanya. Dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita!” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.


Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan versi Yahudi dan versi Nasrani, bernama HEDONISMA.


Ketagihan manusia kepada dadah hiburan bernama hedonisma ini sangat menakutkan. Bukan tidak tahu akan mudaratnya, namun dek ketagihan, manusia yang bertaubat darinya dengan mudah kembali semula menjamah hiburan melampau ini. Hatta di Aidilfitri …


Hindarilah dadah ini. Ingatlah kembali kepada pesanan Baginda:


 لتتبعُنَّ سَنَنَ من كان قبلَكم ، شبرًا بشبرٍ وذراعًا بذراعٍ ، حتى لو دخلوا جُحْرَ ضبٍّ تبعتُمُوهم ) . قلنا : يا رسولَ اللهِ ، اليهودُ والنصارى ؟ قال : فمَنْ

“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)]

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


Laa Ilaaha Illallaah!


Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!


KHUTBAH KEDUA

Sidang Jamaah,


Setelah berakhirnya Ramadhan, pertahankanlah kejayaan perubahan diri yang telah dicapai.


Masjid jangan dibiar sepi. Solat-solat yang wajib lebih utama untuk dijamaahkan berbanding Tarawih. Puasa 6 hari di bulan Syawwal dan puasa-puasa sunat yang lain jangan dilupakan.


Anak-anak yatim jangan dibiarkan yatim 11 bulan.


Amal ibadah dan kebajikan mesti diteruskan.


Sesungguhnya, usia mati kita lebih lama daripada usia hidup. Bekerjalah semasa hidup untuk membolehkan kita berehat semasa mati. Janganlah banyak berehat semasa hidup hingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!


Daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]

=========================

Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP



Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (114) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 26, 2014 09:23

July 25, 2014

Rantaian Kefasikan ‘Print Screen’ yang Membinasakan

printscreen-meme


Ramadan adalah bulan mengejar kebaikan. Kita pula berperasaan tidak tentu hala tuju kerana pelbagai tragedi menguji semua. Di lautan, di udara, di daratan, sangat banyak darah yang tumpah, air mata yang membasah dan peluh yang dikerah. Isunya besar-besar. Tragedi di Gaza, pesawat MH17 yang terhempas, hingga ke keresahan politik negeri Selangor.


Terasa aib untuk menulis sesuatu yang kecil.


Namun tidak kecil, andai ia berselerakan memusnahkan tata susila kita, kalau pun tidak dari kaca mata agama, sekurang-kurangnya Rukun Negara kelima; Kesopanan dan Kesusilaan. Ia adalah rukun interaksi sosial, pada membentuk keharmonian hidup, sebagai sasaran besar yang dimahukan oleh setiap anak bangsa.


Kisahnya adalah tentang Print Screen.


Sudah banyak kali saya terkena bahana Print Screen.


Dan saya yakin, saya tidak bersendirian.


Ramai lagi yang menjadi mangsa.


Ia bukan terjadi di Halaman Facebook yang umum. Saya sudah menutupnya semenjak Disember atas sebab yang pelbagai. Antaranya ialah untuk menghentikan petikan “Ustaz Hasrizal kata…” . Sebaliknya ia terjadi di akaun Facebook peribadi. Saya sudah mengurangkan jumlah ‘rakan’ di Facebook daripada 5 ribu kepada 90 orang! Saya mengambil masa tiga minggu ke sebulan untuk melakukannya.


90 orang itu pula, kira-kira 60 ke 70 orang bukan orang Melayu, bukan orang Malaysia. Mereka adalah rakan saya di pelbagai negara dan Facebook menjadi satu-satunya medium untuk kami kekal berhubung. Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menambah sedikit demi sedikit dan kini ia berjumlah hanya 200 orang. Setiap seorangnya saya kenal secara peribadi. Sebahagiannya pula adalah ahli keluarga terdekat. Apabila saya menulis sesuatu, biasanya saya akan berbincang dengan beberapa orang yang sama, atas dasar percaya mempercayai, dan tinggi upaya berbaik sangka andai ada salah faham terjadi. Sangat mudah untuk diperbaiki dan komunikasi berlangsung dengan sejahtera.


Akan tetapi Facebook mengubah setting privasinya dari semasa ke semasa. Apa yang ada pada masa ini ialah perbualan antara dua pihak hatta ‘like’ juga, boleh dibaca oleh pihak ketiga. Misalnya A berbual dengan B, manakala C adalah kawan B, maka C boleh membaca apa yang A tulis. Ini menjadikan privasi di Facebook menghampiri kosong.


Kita tidak boleh mengawal apa yang Facebook lakukan kepada peranti tersebut.


Tetapi kita boleh memilih, untuk menundukkan pandangan daripada apa yang tidak berkenaan dengan kita.


Kata Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam:


tarkuhu-ma-la-yaknihi “Sebahagian daripada eloknya keislaman seseorang itu ialah pada dia meninggalkan hal ehwal yang tidak berkaitan dengan dirinya”


Banyak catatan A yang dibaca oleh B, adalah aurat kepada C.


mengintai


A sudah tentukan setting ia bahawa tulisannya hanya boleh dikomunikasikan di antara A dan B. Akan tetapi setting Facebook menyebabkan tulisan A boleh dibaca oleh C kerana C berkawan dengan B. Di sinilah keislaman C diuji, sama ada dia memberitahu dirinya bahawa ia tidak berkenaan dengan dirinya itu, atau pun jika timbul kemusykilan, C bertanya kepada kawannya B tentang apa yang beliau terbaca daripada tulisan A.


Langkah buruknya ialah PRINT SCREEN.


Bertanya tidak, apa pun tidak, apa yang dilihat, terlupa ia aurat. Setelah Print Screen ia disebarkan. Tidak cukup sebarannya di Facebook, musibah besar yang terjadi ialah ia disebarkan di Whatsapp, iaitu aplikasi yang paling tidak menjaga asal usul sesebuah info. Dari satu orang ke satu orang. Dari satu orang ke satu kumpulan. Dari satu kumpulan kepada 20 kumpulan, berganda-gandalah akibat sebaran itu.


Jika baik, berganda pahalanya.


Jika fitnah, jahat, berganda-gandalah fasadnya.


POLEMIK POLITIK MENGGANTIKAN MB SELANGOR


Saya sama seperti rakyat Selangor yang lain, tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku di negeri mastautin saya ini. Ramadan disambut dengan keazaman membaca al-Quran, dan menjauhkan diri daripada banyak membaca laporan-laporan berita yang melukakan iman di akhbar bercetak, mahu pun di atas talian. Akibatnya, saya kebingungan.


print-screen-selangor


Saya menulis sebuah status di Facebook peribadi, yang saya hilang harapan dengan survival politik Pakatan Rakyat di Selangor. Saya yakin saya tidak bersendirian. Lalu ada di kalangan sahabat saya yang cuba menerangkan kepada saya maklumat-maklumat yang beliau tahu tentang polemik tiga segi antara Menteri Besar semasa, PKR, DAP dan PAS. Penjelasannya yang panjang, saya rumuskan di dalam ruangan komen. Tertulis beberapa nama seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Zaharuddin Muhammad berdasarkan rumusan itu tadi.


Ia bukanlah pendirian saya. Ia adalah rumusan.


Dan seterusnya, saya kongsikan penjelasan berbentuk penafian oleh Ustaz Zaharuddin Muhammad terhadap ‘tuduhan yang dikenakan ke atas beliau’.


Seperti biasa, apabila saya tidak sedap hati, saya padam status berkenaan dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.


Tanpa diduga, komen saya pada merumuskan info-info panas yang sampai kepada saya itu, telah di’print screen’ dan tersebar ke dalam banyak kumpulan Whatsapp. Saya cuba berfikir sebagai orang ketiga, apabila membaca print screen tersebut, sungguh jahat Hasrizal Abdul Jamil itu! Sedangkan panjang lagi diskusi di bahagian bawahnya dan natijah akhirnya bukan seperti yang tertulis pada print screen yang tersebar itu.


2_156


(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.[al-Baqarah 2: 156]


Memahami akan keupayaan Facebook dan Whatsapp membuat salinan kepada apa sahaja yang masuk ke gelanggangnya, saya tahu ia bukan lagi berada di bawah kawalan saya. Justeru, saya berpandangan, eloklah saya catatkan di sini sebagai penjernih keadaan dan memberitahu bahawa, si fasiq pembawa naba’ yang Allah sebut di dalam surah al-Hujūrāt itu, bukan hanya menyebarkan gossip artis atau wanita muda menyerang pakcik tua yang terlanggar kereta barunya. Yang tersebar itu juga adalah bahan-bahan untuk menegakkan negara Islam.


Bertaqwalah kepada Allah duhai saya, dan sahabat semua.


Pengadu domba tidak selamat dunia akhirat.


Sahabat,


Dalam rantaian kefasiqan print screen, matikanlah perjalanan bahan-bahan pemecah belah ukhuwwah itu di tangan anda.


Jangan bicara tentang Hudud, kalau tangan sendiri liar tidak bertaqwa kepada Allah.


Demi Allah!


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (40) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2014 21:27

Istiqamah Pasca Ramadan Demi Setia Dengan Kebenaran

consistency


“Hmm, buang masa sahaja kursus-kursus ni. Sedarnya seminggu dua sahaja, lepas itu balik jadi macam dulu-dulu juga!” keluh seorang pekerja yang pesimis dengan kursus yang dihadirinya.


Dia tidak sedar, bukan hanya kursus buatan manusia itu sahaja yang berdepan dengan masalah pi mai pi mai tang tu ini. Hatta yang pergi Haji, sejauh mana dia mampu mengekalkan status ‘seperti bayi yang baru dilahirkan ibu’ kesan Hajinya itu hingga ke mati?


Juga bagaimanakah pula dengan kursus intensif Ramadan buatan Allah ini? Tidakkah isu yang sama juga muncul? Soalnya bukan kursus buatan Allah atau kursus buatan manusia. Tetapi memang watak manusia itu, ada pasang dan ada surutnya. Justeru persoalan bagaimana diri selepas kursus, memang bukan calang-calang soalan!


APA SELEPAS RAMADAN?


“Apa selepas Ramadhan?” persoalan berat yang mengulang datang.


“Kembali kepada diri sebelumnya?” kebarangkalian yang amat meletihkan.


Timbul bibit sesal.


“Mampukah untuk terus berlaku baik dan terus menerus menambah baik?” pertanyaan yang berat di pertimbangan. Segalanya menjadi bahan renungan pada malam-malam akhir melepaskan Ramadan. Menggamit Syawwal dengan seribu satu persoalan, yang kesemuanya adalah tentang ISTIQAMAH. Itulah persoalannya. Istiqamah, konsistensi untuk kekal baik dan lebih baik.


KEPELIKAN


Memang pelik, manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT Tarawih di Masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDHU yang WAJIB sepanjang masa.


Pelik benar Ramadan diisi dengan al-Quran, 11 bulan yang lain, al-Quran ditinggalkan.


Janggal benar, Ramadan menutup aurat, bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan… justeru asing sekali, puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum-belum juga!


Semua itu adalah sebahagian daripada kepelikan kita.


Keganjilan yang terbit daripada berlainannya watak dan pembawaan kita di dalam bulan Ramadan dan bukan Ramadan. Itulah kusutnya persoalan istiqamah.


BEBAN ISTIQAMAH


hadith-uban-hud“Abu Bakr berkata: wahai Rasulullah, aku melihat engkau telah beruban? Jawab baginda: aku telah diubankan oleh Surah Hūd, al-Wāqi’ah, al-Mursalãt dan ‘Amma Yatasā’alūn”


لراوي: عبدالله بن عباس المحدث: ابن دقيق العيد – المصدر: الاقتراح – الصفحة أو الرقم: 105

خلاصة حكم المحدث: صحيح


Seriusnya baginda berfikir tentang makna, fizikalnya terkesan sama. Jika surah Hud yang kita berikan tumpuan, ia menjadi salah satu pencetus uban baginda. Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.


Bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujung, khawatim yang hasanah?


RUKUN ISTIQAMAH


Tiada andaian-andaian yang bisa membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya yang dibentangkan Allah di dalam surah Hud.


Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 112 hingga 115:


hud_112-115


(112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.


(113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.


(114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.


(115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.


RUKUN PERTAMA: JANGAN MELAMPAU DALAM BERAGAMA


11_112_i


“Janganlah kamu melampau”


Biasa sekali kita ketemu orang yang cenderung kepada perbuatan melampau dalam beragama. Tidak perlu kepada contoh-contoh yang ekstrim. Cukup sekadar melampau itu diertikan sebagai melakukan sesuatu melebihi apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, dengan sangkaan bahawa memberat-beratkan diri dengan melampaui perintah Allah itu petanda kepada TAQWA.


Uniknya, Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam mengingatkan kita sesuatu tentang amalan bersahur dan melewatkannya, serta amalan menyegerakan berbuka puasa.


“Bawa bertenang, kalau tak bersahur pun bukannya tak boleh. Jom makan siap-siap. Ini pun dah jam 12 malam” kata seorang anak muda kepada rakannya.


Allah memerintahkan dia memulakan puasa pada jam 5:45 pagi waktu Malaysia. Dia berpuasa seawal jam 1 pagi. Melampau.


“Alahai, aku agak dah. Jalan mesti sibuk punya. Tak apalah, bukannya mati berbuka lewat setengah jam” kata seorang lelaki yang terperangkap di tengah-tengah lautan kereta.


Allah memerintahkan dia berpuasa cukup sehingga jam 7:30 petang waktu Malaysia. Dia berpuas sehingga jam 8 malam. Melampau.


Bukan tanggungan fizikal itu yang menjadi persoalan. Tetapi perlatihan spiritual pada beragama mengikut dos Tuhan yang mensyariatkannya. Sikap mengabaikan amalan bersahur dan membiarkan kejadian terlewat berbuka puasa kerana terperangkap di dalam traffic jam yang sudah dijangka, adalah menyanggahi peringatan Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam.


Daripada ‘Amr bin al-’Aas radhiyallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:


hadith-sahur


“Pemisah di antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah (kita ini) makan sahur” [Hadith Riwayat Muslim (1096)]

hadith-segera-berbuka


“Agama kita akan teguh nyata selama mana orang ramai menyegerakan berbuka puasa kerana sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani itu melewatkannya”


Begitu signifikan sekali perintah menjamah sahur serta menyegerakan berbuka puasa, hingga kedua-duanya dikaitkan dengan soal jati diri, pembeda di antara Muslim dengan Yahudi dan Nasrani, tinggi atau rendahnya agama. Dalam erti kata yang lain, Baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam menggambarkan kepada kita bahawa berpuasa lebih awal daripada yang sepatutnya, dan lebih panjang daripada yang telah ditetapkan, menyerupai pemikiran dan kecenderungan Ahli Kitab, Yahudi dan Nasrani.


Kecenderungan apakah itu?


Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah kecenderungan kepada perbuatan melampau dalam beragama.


Kemusnahan ajaran Yahudi dan Nasrani banyak berlegar di sekitar perbuatan melampau dalam beragama. Lihat sahaja kepada idea berpuasa mengikut bulan syamsiyyah dan mengharamkan perkahwinan semata-mata kerana mahu mendampingi Tuhan. Lihat sahaja pemujaan Nasrani ke atas Nabi Isa ‘alayhi al-salām yang mengangkat baginda ke maqam Tuhan… dan banyak lagi contoh betapa penafsiran dan pemahaman terpesong yang melampaui ketetapan Allah SWT amat mengundang binasa.


Justeru di bulan Ramadan, perbaikilah kecenderungan diri kita yang sering menganggap perkara-perkara yang berat dan susah itu sebagai jalan menuju TAQWA.


Sesungguhnya sifat melampau dengan mengabaikan penangguhan sahur ke hujung malam serta kesegeraan Iftar ketika sampai masa berbuka, juga memberat-beratkan ibadah puasa hingga berpuasa di sepanjang Rajab, Sya’ban dan Ramadan, apatah lagi puasa di sepanjang tahun… perbuatan melampaui perintah Allah itu mencabar upaya konsistensi.


Justeru amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaiknya. Juga sebaik-baik amalan adalah mematuhi had minimum serta had maksimumnya kerana “sesungguhnya berlebihan dan berkurangan adalah adik beradik,” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas ketika menyentuh isu ini (Al-Khumāsiyyat al-Mukhtārah fi Tahdhīb al-Nafs al-Ammārah)


Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut dan tughyan) itu dirujukkan kepada kaum ‘Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah yang mengundang kerosakan dan kebencanaan.


Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam.


Jangan melampau dalam beragama. Pada amalan, juga pada prinsip, pemikiran dan perasaan.


Masyhur tercatat, sahabat yang kepingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar dan beribadah tanpa nikah, ditegur oleh Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam kerana bukan  itu caranya manusia berTuhan.


Semua harus seimbang.


Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan juga masa untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku” kata Nabi  sallallāh ‘alayhi wa sallam .


burnout


RUKUN KEDUA: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM


Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim.

Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim. Orang zalim itu jelas. Orang yang cenderung kepada si zalim, adalah kekuatan-kekuatan tersembunyi si zalim meneruskan kezalimannya.


11_113


“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”


Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”


Cenderung yang bagaimana?


“Cenderung pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan” kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam bukunya al-Khumāsiyyāt al-Mukhtārah itu tadi.


Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi puncanya.


Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya ialah manusia yang bergantung kepada si zalim.


Bergantung kepadanya untuk makan minum.


Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.


Dan si zalim pula bersandar kepada orang-orang yang bersandar dengannya. Golongan yang cenderung kepada si zalim itulah yang memberi ‘nyawa’ kepada kezaliman si zalim, yang bernafas pada meratah seribu kezaliman, kemudian bersedekah satu kepada perukun-perukun yang bergantung kepadanya.


SIAPA SI ZALIM ITU


Oleh kerana ia disebut secara umum, maka Sheikh Fadhl Hasan Abbas memilih untuk mengekalkan konteks umumnya. Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah yang ada. Maka konsistensi seorang mukmin amat penting pada mengelakkan diri dari kecenderungan kepada golongan ini.


Manusia zalim itu adalah manusia mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan menindas hak sesama manusia.


Mungkin dalam konteks kehidupan semasa, bagi kita yang telah berhasil membuat perubahan kepada kebaikan, peliharalah rukun kedua ini tatkala berada bersama dengan lingkungan kenalan lama yang masih mengajak kepada clubbing, main golf hingga mengabaikan solat dan berkompromi tentang aurat. Jangan pula perubahan kita terus membawa kita kepada memencilkan diri dan meninggalkan mereka. Mana tahu, perubahan kita itu boleh menjadi asbab untuk Allah memercikkan hidayah kesedaran yang sama kepada mereka. Tetapi dalam pada kita meneruskan persahabatan dengan mereka, hati jangan cenderung kepada kezaliman, yakni maksiat-maksiat mereka. Jangan kerana mahu menjaga hati, kita terpaksa mengikut kehendak mereka. Andai berlaku perkara sebegini, hilanglah daya diri untuk istiqamah dalam mengekalkan perubahan yang telah dijana.


Mereka perlu didampingi demi dakwah. Tetapi dampingan itu bukan dengan kecenderungan prinsip untuk mengiyakan perlakuannya. Soal pendekatan, itu pelbagai. Tetapi pada melihat kemungkaran dan kezaliman itu sebagai kemungkaran dan kezaliman, ia harus jelas di dalam pegangan diri.


Manusia zalim itu adalah manusia penindas.


Manusia zalim juga adalah manusia menduakan Tuhan.


Manusia zalim itu manusia yang berprinsip salah, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.


KISAH TUKANG JAHIT


Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”


Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”


Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.


Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Seumpama seorang yang meniti di atas jambatan lurus yang kritikal. Sepenuh konsentrasi harus tertuju pada upaya untuk mengimbangkan diri. Jambatan itu terus lurus, namun kegagalan kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita terjerumus.


11_113_full


Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.


Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah. Semua itu terjadi kerana ketiadaan upaya ingkar hatinya terhadap kesalahan berlaku zalim, sesuatu yang Allah sendiri haramkan ke atas Diri-Nya. Neraka membakar orang zalim, Neraka menyambar orang yang memberi nyawa kepada kezaliman orang zalim.


Justeru tiada pembantu di Akhirat, selepas terhina di dunia kerana tiada pembantu selepas Allah berlepas Diri daripadanya.


Semoga pelaziman ke masjid di sepanjang Ramadan menemu dan membiasakan kita dengan manusia-manusia yang baik, sebagai kenalan kehidupan menuju husnul khatimah.


RUKUN TIGA: DIRIKAN SOLAT


11_114


Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.


Istiqamah bersandar kepada Solat. Solat itu menjadikan kita terus menerus berhubung dengan Allah SWT. Pada bahagian siang dan bahagian malam, Solat berfungsi menjadikan seseorang itu sedar akan hidupnya yang berTuhan. Sentiasa berhubung dengan Allah SWT.


Ramadan datang dengan pakej Qiyam Ramadan sebagai perlatihan ke atas diri secara tubi agar solat menjadi kebiasaan. Bukan sekadar suatu pengabdian, malah menjadi kerehatan.


Berehat dengan bersolat? Janggal benar bunyinya.


Janggal, hanya jika kita terlupa bahawa dengan solat itulah setiap kita bercakap dengan Yang Maha Pengasih. Soalnya, adakah kita kekasih yang mengasihi Sang Maha Pengasih itu? Itulah jawapan, sama ada solat menjadi kerehatan buat diri atau sebaliknya.


Orang yang berkasih boleh berbual telefon berjam-jam lamanya. Tidak jemu bercakap dan tidak jemu mendengar percakapan. Kuasa kasih, menjadikan kesusahan hilang keberatan, jadi kenikmatan juga kerehatan.


Jika terbeban dengan solat, tandanya kita tidak mengasihi Kekasih yang Maha Pengasih itu…


Lantas, mampukah kita konsisten, beristiqamah dengan kehendak-kehendak-Nya, tanpa kasih kepada Dia?


Peringatan juga buat kita semua, khuatir sekali jika sepanjang hayat kita bersolat, tetapi lima hari terakhir sebelum mati kita tidak bersolat kerana uzur, walhal selagi masih sedar, selagi itulah kita mukallaf terhadap kewajipan solat itu. Mampukah kita pastikan solat kita hingga ke waktu solat terakhir sebelum berangkat mati?


Allah! Allah!


solat


RUKUN EMPAT: BERSABARLAH


11_115


Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.


Sabar itu sudah saya kupas dengan panjang lebar di sepanjang Ramadan, bahawa ia saya fahamkan sebagai keupayaan mengawal diri dan tindakan.


Bersabarlah wahai sekalian kita dalam beribadah, dalam belajar untuk jadi terpelajar.


Bersabarlah wahai sekalian kita dalam berdakwah, agar penolakan yang berlaku tidak mendorong kita mencari jalan pintas yang mengugat Istiqamah.


Sabar menjadikan kita terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat melampau. Sabar menghindarkan diri kita dari ghurur dengan ilmu yang kita perolehi kerana sesungguhnya ilmu dan harta adalah dua subjek panas tatkala masuk ke genggaman seseorang. Sabarlah… agar ilmu datang dengan ketundukan, hartamu datang diiringi kesyukuran.


Jangan dengan ilmu itu kamu melampau.


Jangan dengan harta itu kamu melampau.


Sebagaimana jangan dengan kuasa itu, kamu melampau.


Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan melazimkan diri bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah.


Berat sungguh pengucapan Istiqamah ini.


Tidak hairanlah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam naik beruban kerana memikirkannya.


Demi setia dengan kebenaran.


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Kullu ‘Ām wa Antum bi Alf al-Khayr…


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (38) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 25, 2014 18:00

July 23, 2014

Mendidik Anak-anak Tentang Isu Palestin

20140723-170641-61601186.jpg


“Abi betul ke coklat Toblerone ada babi sebab kat gunung dia tu ada gambar babi?” tanya anak perempuan saya.


Tersirap darah saya mendengar soalan begitu, tambah pula tengah-tengah puasa dan suhu di luar 37 darjah celcius.


“Sesiapa yang cakap tu, bagitahu dia jangan main ambil sahaja maklumat di internet! Tanya dia, mana dia tahu maklumat tu betul atau tidak. Lambang cokelat Toblerone itu gambar beruang di gunung. Cokelat tu berasal dari sebuah bandar yang lambang bandar itu ialah beruang. Babi mana yang jalan-jalan di gunung?!” saya menjawab.


Menahan marah.


Saya tidak ingat nama bandar berkenaan semasa berbual di dalam kereta sebentar tadi. Ia merujuk kepada bandar Berne di Switzerland, tempat di mana produk berkenaan dihasilkan.


“Fitnah produk, sama berdosa dengan fitnah orang. Cuba fikir, cokelat dibuat di mana?” saya tanya.


“Di kilang” jawab mereka.


“Siapa yang kerja di kilang itu?” saya menyoal lagi.


“Pekerja kilang itu” jawab mereka.


“Jadi, apabila kita fitnah cokelat Toblerone itu, kita bukan fitnah beruang atau babi. Kita fitnah orang. Dan ramai, bukan seorang. Jika memang salah, tak apa lagi. Tapi kalau maklumat tak betul, kita zalim” saya berleter di dalam kereta.


“Abi bukan marahkan ‘korang’. Abi marah dengan orang-orang yang suka cerita benda yang bukan-bukan seperti ini” saya tersedar yang suasana di dalam kereta menjadi tegang dengan nada saya tadi.


Di musim kita begitu sensitif dengan perkembangan yang berlaku di Palestin pada masa ini, rasa sedih, marah dan kecewa tidak harus menjadikan kita buta kepada peranan mendidik anak dan anak murid. Apa yang sepatutnya kita tekankan dalam mendidik mereka?


Tambahan pula apabila ia berkaitan dengan isu Palestin.


Perkara paling utama, jangan pula disaji anak-anak itu dengan imej dewasa dan budak kepala hancur, putus kaki, terburai sana sini. Jangan pula kita bertindak dungu mahu memindahkan penderitaan saudara kita di Palestin ke minda dan jiwa anak-anak kita dengan cara yang begitu. Penderitaan mengundang prihatin, dan membantu. Bukannya mengimport penderitaan berkenaan hingga mencetus jiwa kacau di hati mereka.



Saya tidak fikir, memberikan senarai produk untuk diboikot kepada anak-anak di sekolah sebagai prioriti utamanya. Bukan anak-anak yang membeli barang di rumah. Tetapi ibu bapa mereka. Jika sekolah mahu menjadikan anak-anak sebagai pressure group yang mendesak ibu bapa mereka agar memboikot produk, ia bukanlah pendekatan yang baik. Bahkan jika mahu dibuat, ia mesti dilakukan secara berhemah. Anak-anak perlu difahamkan, apa yang berlaku di Palestin. Mengapa Yahudi Zionists itu menyerang orang Palestin? Adakah mangsa itu Palestin, Arab, Muslim, Kristian, atau manusia? Identiti mana yang kita mahu gunakan dalam mengungkap konflik tersebut?


Guru-guru di sekolah boleh menjadikan isu Palestin ini sebagai satu subjek pendidikan yang amat berguna. Ia boleh menjadikan subjek sejarah dan geografi menarik. Ia boleh menjadikan subjek bahasa berguna. Ia boleh meningkatkan keyakinan dan penghargaan anak murid kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ia berguna pada mendidik soal etika, soal akhlaq. Soal kemanusiaan dan pemikiran.


Jelaskan kepada anak murid tentang sejarah purba kota Jericho dan tanah Palestin itu sendiri. Tentang kaum Kan’an, Amori, Yabusi dan Balistini. Nampakkan kembali hijrah Ibrāhīm dan Lūt ke bumi berkenaan. Ibrāhīm beranakkan Ishāq. Ishāq beranakkan Ya’qūb. Nama lain bagi Ya’qūb adalah Isrā’īl. Anak-anak Ya’qūb disebut sebagai Bani Israel. Antara anak Ya’qūb adalah Yūsuf dan kemudian adik beradiknya. Mereka kemudiannya berhijrah ke Mesir atas jemputan Yūsuf yang terlantik sebagai pemimpin Mesir.


Kemudian datang era Mūsā, Yūsha’ bin Nūn, seterusnya era Dāwūd, Sulaymān, hinggalah Palestin dijajah Assyrian dari Mesopotamia, membawa ke zaman ‘Īsā dan akhirnya zaman Rasulullah Muhammad, ‘alayhim al-solāh wa al-salām.


Sejarahkan.


sejarahpalestin


Timbulkan kembali Sirah Nabawiyyah. Isrā’ dan Mi’rāj, pengkhianatan Bani Quraydzah, Bani Nadhir dan Bani Qaynuqa’. Ingatkan kembali Perang Khaybar, jelaskan semula kejadian baginda sallallāh ‘alayhi wa sallam hampir termakan makanan beracun dalam peristiwa tersebut. Ingatkan tentang pembukaan Jerusalem oleh ‘Umar radhiyallāh ‘anh. Teruskan ke era Bani Umayyah, Abbasiyyah, Salāhuddīn al-Ayyūbi, sampailah ke era Dawlah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II, hingg ke sejarah era moden bagi wilayah bergolak itu.



Sangat banyak yang boleh dikongsi. Cuma kena membaca sedikit, buat persediaan sedikit, dan keletihan membuat persediaan itu, jika boleh disebut sebagai keletihan, niatkan ia sebagai jihad kita sebagai warga pendidik.


Kemudian, jika isu boikot hendak ditimbulkan, bolehlah ditimbulkan. Beritahu dengan nada mendidik, agar anak-anak boleh berperanan mencadangkan komitmen boikot kepada ibu bapa. Namun ada 1001 cara yang kreatif boleh disarankan untuk anak-anak ini menzahirkan keprihatinan mereka terhadap musibah yang menimpa saudara mereka di bumi Palestin.



Yahudi mendidik anak mereka jadi Yahudi.


Nasrani mendidik anak mereka jadi Nasrani.


Majusi mendidik anak mereka jadi Majusi.


Muslimlah yang paling mudah kerana mereka hanya perlu mendidik anak mereka menjadi Muslim, yakni fitrah sedia ada.


Suburkan dengan kebenaran.


Jauhi fitnah, kepalsuan dan kebatilan.


Sama-sama kita berusaha.


Hasrizal @ www.saifulislam.com

43000 BSP


 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (65) Pelawat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 23, 2014 02:08