Kurus Atau Gemuk, Bertandinglah Dengan Diri Sendiri
"Ada sahaja orang gemuk yang lebih sihat daripada orang kurus" komen seorang sahabat.
Kenyataan yang 100% benar.
Namun boleh juga menjadi 100% salah.
Membandingkan orang gemuk dengan orang kurus yang sakit, memang sihatlah orang gemuk itu. Akan tetapi mengapa dibandingkan dengan orang kurus yang sakit? Mengapa tidak dibandingkan dengan orang kurus yang sihat?
Gemuk dan kurus semakin berkonotasi 'rupalistik' (berkaitan rupa dan penampilan). Apabila seseorang mahu menguruskan badan, sering dianggap motifnya adalah memperbaiki rupa. Apabila seseorang menjadi gemuk, ada pula pertandingan Ratu Gemuk untuk menyokong psikologi orang obes bahawa mereka juga tidak kurang rupa.
Hakikatnya, semua itu adalah permainan minda. Tipu helah akal kita agar diri tidak ditekan membuat perubahan.
Orang kurus mungkin sihat, mungkin tidak sihat.
Orang gemuk, pasti tidak sihat.
"Eh, saya gemuk tetapi saya sihat!" akal mengeluarkan defence mechanism.
"Awak bandingkan kesihatan awak dengan siapa?" soalan yang perlu ditanya.
"Dengan orang kurus yang lain" jawab minda.
Itulah blind spot minda. Kita selalu membandingkan diri kita dengan orang lain, baik kurus mahu pun gemuk. Bertanding kesihatan dengan orang lain bukanlah caranya. Di dalam hidup ini, untuk berjaya dengan sejahtera, kurangkan bertanding dengan orang lain. Sebaliknya bertandinglah dengan diri sendiri.
Jika gemuk pun sihat, bukankah dengan mengurangkan kegemukan itu kita lebih sihat? Dan bukankah kita berhak menikmati kelebihan itu?
Jangan tertipu dengan akal sendiri.
Bertandinglah dengan diri sendiri.
Selamat mendukung revolusi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Taman Tasik Datuk Keramat, KL
Related posts:Tipu Diri Sendiri
Memerdekakan Diri Daripada Kehendak Sendiri
Membeli Kerana Testimoni Atau Mengkaji?