Manual Diet Demi Deen
Saya mensasarkan Julai sebagai bulan penerbitan buku seterusnya.
DIARI SI BUDAK GEMUK, adalah judul yang saya cadangkan. Walaupun saya bukan lagi budak, perjalanan pengkisahan buku tersebut bermula daripada zaman saya budak-budak. Lagi pun, jika ditulis 'Diari si Ustaz Gemuk', risau pula kumpulan pembaca sasaran saya enggan membacanya.
Jika segalanya berjalan lancar, buku ini bakal diterbitkan di permulaan cycle kedua diet saya. Sudah 20kg berjaya dibuang, saya menuju ke 20kg yang berikutnya.
Mungkin keunikan yang ingin saya terapkan di dalam buku ini ialah melihat proses diet dan revolusi kesihatan daripada perspektif agama. Menyuntik agama ke dalam semangat mahu sihat dan menyuntik kesihatan di dalam cara hidup beragama.
Komen-komen pembaca di kesemua entri saya berkenaan diet sangat bagus. Sama ada yang skeptis (amat sedikit), mahu pun majoriti yang memberi galakan, banyak yang ingin saya petik dan abadikan di dalam buku ini.
Pernah terdetik saya ingin mencari semula beberapa orang 'rakan' di blog dan Facebook yang pernah memaki hamun saya sebagai 'ustaz boroi', 'gemuk makan duit haram', dan sebagainya. Mahu memberitahu mereka, badan buruk sudah diubah. Akhlaq buruk bagaimana?
Tetapi itu hanya sebuah dendam. Perasaan yang sebenarnya sama tidak sihat dengan makan dan minum yang tidak sihat. Malah ia bukan sekadar menggemukkan badan, tetapi menguruskan amal dan kemuliaan di sisi Tuhan.
Saya redha. Cuma berharap kata-kata pahit itu tidak dihambur kepada orang-orang gemuk yang lain. Kena kepada saya, saya mengambilnya sebagai cabaran. Kena kepada orang yang salah, ada yang mungkin mati membunuh diri!
Cita-cita saya, selepas terbitnya buku ini, saya mendapat peluang untuk mengendalikan Kuliah Subuh yang seterusnya diikuti dengan senaman berjemaah di perkarangan surau bersama sarapan yang menyihatkan.
Maklum balas pembaca amat saya alu-alukan.
Abu Saif @ www.saifulislam.com
68000 Taman Tasek Ampang Hiliran
Related posts:Diet Erti Hidup Pada Memberi
Manual Cinta Haraki
Berlalunya Empat Puluh Hari