Mawar Safei's Blog, page 170
October 5, 2012
Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini ...
[image error]
Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini saya hulurkan kepada mahasiswa saya. doa saya agar mereka juga akan banyak dihadiahkan Allah dengan iman dan ilmu. sehingga dengannya mereka akan lebih bersyukur. tulisan saya yang pernah disiarkan dalam Jurnal Pemikir (jan-mac 2011), diangkat sebagai pemenang tunggal kategori kajian sastera dalam HSKU 2011. judulnya ialah Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu. dan yang manis, dalam acara malam tadi, saya duduk bersebelahan dengan novelis kajian saya itu, Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop. saya senang dengan susuk peribadi guru bahasa Inggeris yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam penghasilan novel berbahasa Melayu. tahniah Cikgu Sri!
Published on October 05, 2012 12:29
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu Tradisi dalam No...
[image error]
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu, dihimpunkan dalam antologi Istimewa ini. istimewa merupakan cerpen yang memenangi hadiah utama kategori cerpen. sebuah cerpen yang istimewa garapan Hafizah Iszahanid. begitu juga novel beliau Deru Angin mendapat tempat yang sama untuk kategori novel remaja. hebat! hey, HSKU 2011 dikuasai perempuan. istimewanya!
Published on October 05, 2012 12:09
October 4, 2012
Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms dar...
[image error]
Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms daripada bercakap terus di telefon. mengapa pilih emel daripada berjumpa. boleh sahaja saya menjawab: sejak ada kegemaran berkenalan zaman kanak-kanak, saya sangat suka berutus surat. saya pernah dimarahi abah kerana saya menulis surat kepada guru mengaji, seorang haji yang kami gelar atuk. saya menulis surat kerana tidak berpuas hati cara atuk menyusun giliran kami membaca muqadam/al quran. waktu itu saya berusia lebih kurang lapan atau sembilan tahun. saya mempunyai sahabat pena sejak berumur sepuluh tahun dan kami bertemu kembali di fb selepas puluhan tahun terpisah. anehnya, menulis emel, sms atau pm terasa lebih selesa daripada saya mahu berjumpa dengannya. pada zaman percintaan, (alahai...) saya menulis surat hampir setiap hari dan dalam masa seminggu akan mengirim lebih daripada satu surat dengan kaedah pos ekspres (ya, kepada Zahar). dekad yang belum ada emel apatah lagi sms, pm, ym. dan hingga hari ini, saya lebih suka menulis daripada bercakap berhadapan. tidak semua dapat saya luahkan ketika bertentang mata berbanding duduk dan menulis (ada analisis psikologi?). mungkin sahaja takdir itu saya menjadi penulis. jadi bila tiba-tiba ada sahabat yang selama ini saya hubungi dengan ramah di ruang maya, mempelawa ke kopitiam, tidak semena-mena saya jadi gugup. kalau Alif Matiin tahu kisah mummynya ini, mesti ulasannya berbunyi begini, pelik!
Published on October 04, 2012 22:16
October 2, 2012
Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa ...
[image error] Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa saya. belum pernah rasanya, banyak ingatan saya seharian dengan doa lewat sujud panjang buat mereka. ya Allah kasihanilah mahasiswaku. peliharalah mereka. berilah mereka kekuatan iman, ketaatan kepada-Mu, selalu mencintai-Mu dan Rasulullah. kasihani mereka kerana terlalu besar gelombang dugaan dan godaan yang harus didepani, sedang mereka begitu rapuh. perindahkan mereka dengan ilmu dan fikiran yang jernih, agar ia membawa mereka melihat bahawa reda Allah itulah yang dimahukan dalam seluruh hidup. hanya jika masa muda dapat bercerita tentang masa hadapan! alangkah. begitu Rasulullah dalam kesedihan, Allah memujuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan (dhuha: 7-8). Allahu akhbar! benarkan doa saya ini, ya Allah.
Published on October 02, 2012 13:12
October 1, 2012
Al-Baqarah: 186, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepa...
[image error]
Al-Baqarah: 186, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.Saya tidak pasti sama ada itu mahu memujuk seorang sahabat. saya kirim lewat sms. memang banyak dalam hidup, tidak semua yang dirancang akan menjadi takdir. sedang perancangan Allah itu maha menguasai segala-galanya. sahabat saya itu sendiri pernah memerangkap saya menerusi smsnya, apa yang disukai manusia, tidak semestinya dalam jurus yang sama seperti apa yang Allah kehendaki. lebih kurang begitu bunyinya. saya selalu juga memujuk sesiapa yang dalam kesedihan untuk sabar dan solat. itu saya fikir sebaik-baik jalan kerana Allah itu sahabat.
Published on October 01, 2012 14:00
September 27, 2012
Sedang mengenalpasti surah-surah yang elok dihayati...
[image error]
Sedang mengenalpasti surah-surah yang elok dihayati maknanya setiap jumaat (mengapa jumaat? bukankah jumaat itu istimewa dan banyak barakahnya). sebelum ini saya tuliskan tentang surah al waqi'ah, al kahfi, ad dukhan, yaasiin dan as sajdah. saya juga ingin sekali membaca surah ringkas sebelas ayat, surah al jumu'ah. antaranya surah ini menyatakan kewajipan meninggalkan jual beli saat imam naik ke mimbar dan apabila selesai solat, bertebaranlah mencari kurnia Allah sebanyak-banyaknya untuk keuntungan (ayat 9-10). kemudian saya menyelak surah seterusnya, al munaafiquun yang mengingatkan agar harta benda dan anak tidak sekali-kali melalaikan kita daripada mengingati Allah; supaya kita tidak menjadi orang yang dalam kerugian (ayat 9). Allah! begitulah al Qur'an dengan susun lapis-lapis ingatan buat kita yang selalu lupa!
Published on September 27, 2012 11:44
September 26, 2012
Saya mengagumi manusia yang berjiwa besar. mereka&nb...
[image error]
Saya mengagumi manusia yang berjiwa besar. mereka tidak jarang menularkan semangat itu kepada kita yang berada di samping. ia menjadi seperti pancaran matahari yang cantik pagi ini setelah beberapa hari hujan dan mendung. Alif Matiin sempat membuat ulasan sewaktu melihat langit dari tingkap kereta, awan yang cantik, mummy. namun manusia berjiwa besar begitu sangat jarang saya jumpa. yang saya temui adalah (anak muda) yang banyak mengalah sebelum mencuba. perlu berteman di mana-mana. selalu bertapi dan berkalau. mahu semua sebelum berusaha. mahu segalanya datang dengan tidak perlu bersusah payah. aduhai. begitulah saya didatangi mahasiswa baru yang begitu risau kerana tidak punya teman untuk ke kuliah. benar, saya tidak berdusta! ia mengembalikan zaman mahasiswa kami; saya lebih suka sendiri kerana jika sebaliknya, saya akan selalu harus menunggu! kepada mahasiswa itu saya beritahu, ayuh berkawan dengan saya, akan saya berbahagi banyak cerita tentang mereka yang berjiwa besar! kebetulan saja saya membaca ad dukhaan: 6 - sebagai rahmat dari Tuhanmu, sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. antara tafsirannya, rahmat itu ialah apabila Allah menjadi sahabat!
Published on September 26, 2012 21:20
September 23, 2012
Kerja rumah Alif Matiin saya minta lakukan antaranya dala...
[image error]
Kerja rumah Alif Matiin saya minta lakukan antaranya dalam bentuk menyalin semula apa yang dibacanya dari buku. membaca, menulis dan membaca kembali. saya melihat ia adalah latihan selain daripada memfasihkan bacaan dan merapikan tulisan (aduhai rupa tulisan anak saya!), adalah amalan menumpukan perhatian, mengeja, memahami apa yang dibaca dan mula mengarang kisah sendiri. kemudiannya saya menyedari bahawa kerja menyalin semula, memindah kata, diikuti mengarang kembali, menggubah, mengurang, menambah, menyimpang atau menyesuaikan, adalah tanggapan Muhammad Haji Salleh tentang dasar teori kepengarangan Melayu (Puitika Sastera Melayu, 2000: 166-175). saya tidak pasti kaedah saya ini bagus dari sisi pedagogi. ini antara penelitian yang saya jadikan kerja rumah pelajar sarjana saya.
Published on September 23, 2012 18:54
September 21, 2012
kecintaankuYa Allah jadikan kami hamba-Mu yang mencintai ...
[image error]
kecintaanku
Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang mencintai al Quran. seikhlasnya! apa makna ikhlas itu? kecintaan tersebut hanya untuk Allah. jauhkan kami daripada keangkuhan, sedang kami hanya debu yang berterbangan (al waqi'ah: 6). beberapa waktu ini, saya diberitahu ada beberapa surah yang molek diamalkan pada hari jumaat seperti al waqi'ah dan al kahfi. malah di surau kecil kami, setiap subuh akan cuba saya hayati makna 30 ayat yang dibaca imam dari surah as sajdah. dan menjadi tabiat kebanyakan kita membaca surah yaasiin pada malam jumaat. sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan sedang mereka tidak menyombong diri (as sajdah: 15). Allah!
Published on September 21, 2012 02:38
September 19, 2012
beg sandang Musim haji lagi. haji kian menjadi...
[image error]
beg sandang Musim haji lagi. haji kian menjadi subjek yang mengesankan secara peribadi buat kami. banyak peristiwa haji 2011 yang akan diingati semula; sejak awal persiapan, perjalanan dan hingga kembali ke pintu rumah. persediaan awal: saya hanya membawa beg tarik yang relatifnya kecil berbanding kepunyaan Zahar (antaranya faktor penyimpanan kain ihram). dengan empat helai telekung (hanya bahagian tudungnya dan tidak membawa kainnya), empat helai jubah dan celana panjang. itu sahaja pakaian utama saya sepanjang empat puluh hari. selainnya ruang beg adalah untuk keperluan peribadi. satu beg saya sandang antaranya dimuat dengan al Quran terjemahan, sebuah buku catatan dan telefon tangan. banyak petua yang dapat dibaca dari pengalaman orang lain dan buku-buku. kami mahu berbahagi pengalaman ini: satu doa yang sering diingat-ingatkan Zahar setahun sebelum ke Tanah Suci adalah mendapat teman-teman sebilik yang sabar dan bertolak ansur. doa yang sama untuk diri sendiri. Allahu akhbar! doa itu dimakbulkan Allah. masya Allah! di Mekah kami seramai lapan orang sebilik, hampir dua puluh orang dalam lot kemah di Mina kemudian berlima di Medinah, ternyata Allah memudahkan khususnya urusan hati kami. Maha Suci Allah!
Published on September 19, 2012 13:38
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

