Mawar Safei's Blog, page 169
October 17, 2012
Rupanya banyak yang berlaku dalam hidup tidak...

Published on October 17, 2012 14:25
Rupanya banyak yang berlaku dalam hidup tidak berupaya di...
[image error] Rupanya banyak yang berlaku dalam hidup tidak berupaya dirakam dalam kata. apalagi untuk saya catat di ruang kecil ini. dari kisah angin laut china selatan yang ramah memujuk, sekembali ke kampus saya didatangi mahasiswa yang mahu berhenti daripada pengajian! o Allah. berdayakah saya memujuk hatinya sepertimana gerak si angin laut itu menyelinap masuk di celah keresahan dan kesakitan saya? dalam sedikit masa lagi, saya bakal menyelesaikan tugas rasmi di bahagian pentadbiran. urusan harian mahasiswa yang selama lima tahun ini didepani dengan pelbagai suasana, kali ini saya benar-benar merintih, hasbunallahu wani'mal wakeel! (al Imraan: 173). cukuplah ya Allah bagiku dan Dia sebaik-baik pelindung. kasihanilah masa hadapan pelajar saya itu, ya Allah. Engkaulah sebaik-baik pelindung bagi dia.
Published on October 17, 2012 14:25
October 12, 2012
Enaknya berlari antara pasir pantai dengan riak basah&nbs...
[image error]
Enaknya berlari antara pasir pantai dengan riak basah ombak yang datang berganti-ganti. ramahnya angin pantai laut china selatan bergentayangan membelah rutin yang sekian masa menakluk kesaksamaan waktu yang sepatutnya berdiri di samping. dan saya sekarang begitu rasakan betapa kasihan Allah terhadap saya. maka diturunkan ruang dan kesempatan ini. alhamdulillahi rabbil alamin!
Published on October 12, 2012 06:57
October 10, 2012
Buah pauh buah bacang,Buah pinang di dalam puan;Angkat sa...
Buah pauh buah bacang,Buah pinang di dalam puan;Angkat sauh, lipatlah kajang,Pulau Pinang tinggallah tuan.
Pucuk pauh berulam pauh,Petang-petang kacau inti;Sayang saya berkasih jauh,Petang-petang hancur hati.
[image error] Kuliah yang menarik, memancing mahasiswa saya bercakap tentang kepekaan deria halus manusia Melayu dengan alamnya. bagaimana buah pauh, buah bacang membawakan kenangan dan rindu. aduhai pantun Melayu, cantiknya! begitu juga rapatnya Melayu dengan ragam cuaca atau gerak masa. bagaimana kemudian puisi lama bersahabat dengan sajak rakaman Usman Awang, Firdaus Abdullah mahupun Zaihasra. saya tahu ada mahasiswa yang senyum sinis dengan pensyarahnya yang keliru antara pauh dengan bacang. saudara, tahu? mangga, mempelam, kuini? ini kuliah sastera bandingan. banyak yang kami temukan garis yang serupa dan banyak juga bezanya gaya.
Pucuk pauh berulam pauh,Petang-petang kacau inti;Sayang saya berkasih jauh,Petang-petang hancur hati.
[image error] Kuliah yang menarik, memancing mahasiswa saya bercakap tentang kepekaan deria halus manusia Melayu dengan alamnya. bagaimana buah pauh, buah bacang membawakan kenangan dan rindu. aduhai pantun Melayu, cantiknya! begitu juga rapatnya Melayu dengan ragam cuaca atau gerak masa. bagaimana kemudian puisi lama bersahabat dengan sajak rakaman Usman Awang, Firdaus Abdullah mahupun Zaihasra. saya tahu ada mahasiswa yang senyum sinis dengan pensyarahnya yang keliru antara pauh dengan bacang. saudara, tahu? mangga, mempelam, kuini? ini kuliah sastera bandingan. banyak yang kami temukan garis yang serupa dan banyak juga bezanya gaya.
Published on October 10, 2012 14:05
October 9, 2012
Antara tabiat kejam saya terhadap mahasiswa adalah, saya ...
[image error] Antara tabiat kejam saya terhadap mahasiswa adalah, saya akan mengunci pintu setelah lima belas minit kuliah dimulakan. berdosakah saya? ya Allah ampuni saya jika ia kekhilafan yang sehingga kini saya tidak rasakan. kewajaran yang dijangka, saya hanya mahu mahasiswa saya menghormati ilmu, bijak mengurus masa dan saksama terhadap teman-teman lain dan saya juga ketika kami sedang khusyuk membincangkan mauduk kuliah. pada minggu berikutnya saya perhatikan ruang kuliah sedia penuh seawal saya melangkah masuk. alhamdulillahi rabbil alamin. saya akan bertanya, mengapa lewat minggu lepas. ya, jawapan yang dijangka juga, bangun lewat. Allah! tahukah sdr rata-rata jadual tidur mahasiswa sangat aneh. mereka mula tidur jam 4 pagi atau ada yang mengaku pernah tidak tidur sama sekali pada malam berkenaan. aneh sekali! saya teringat narasi orang-orang yang mendiami gua dan raqim yang merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan (al kahf: 9).
Published on October 09, 2012 21:35
October 8, 2012
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu ada...
[image error]
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (al baqarah: 216). hari ini bermula satu ketentuan. dan saya belajar untuk akur dan selalu akan bersetuju dengan apa yang menjadi kepercayaan saya selama ini. ya benar, tidak semua yang saya suka merupakan apa yang Allah reda, mahupun yang Rasulullah sabdakan. mahukah saya masih bertegas dengan kehendak hati atau tidak jarang saya kononnya menanggap bahawa ia datang dari dasar keimanan saya. ya Allah, semoga keputusan yang ditetapkan ini hanya kerana-Mu, kerana kata-kata Rasul-Mu. juruskan hati dan iman saya untuk jalan ke syurga.
Published on October 08, 2012 14:13
October 5, 2012
Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini ...
[image error]
Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini saya hulurkan kepada mahasiswa saya. doa saya agar mereka juga akan banyak dihadiahkan Allah dengan iman dan ilmu. sehingga dengannya mereka akan lebih bersyukur. tulisan saya yang pernah disiarkan dalam Jurnal Pemikir (jan-mac 2011), diangkat sebagai pemenang tunggal kategori kajian sastera dalam HSKU 2011. judulnya ialah Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu. dan yang manis, dalam acara malam tadi, saya duduk bersebelahan dengan novelis kajian saya itu, Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop. saya senang dengan susuk peribadi guru bahasa Inggeris yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam penghasilan novel berbahasa Melayu. tahniah Cikgu Sri!
Published on October 05, 2012 12:29
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu Tradisi dalam No...
[image error]
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu, dihimpunkan dalam antologi Istimewa ini. istimewa merupakan cerpen yang memenangi hadiah utama kategori cerpen. sebuah cerpen yang istimewa garapan Hafizah Iszahanid. begitu juga novel beliau Deru Angin mendapat tempat yang sama untuk kategori novel remaja. hebat! hey, HSKU 2011 dikuasai perempuan. istimewanya!
Published on October 05, 2012 12:09
October 4, 2012
Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms dar...
[image error]
Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms daripada bercakap terus di telefon. mengapa pilih emel daripada berjumpa. boleh sahaja saya menjawab: sejak ada kegemaran berkenalan zaman kanak-kanak, saya sangat suka berutus surat. saya pernah dimarahi abah kerana saya menulis surat kepada guru mengaji, seorang haji yang kami gelar atuk. saya menulis surat kerana tidak berpuas hati cara atuk menyusun giliran kami membaca muqadam/al quran. waktu itu saya berusia lebih kurang lapan atau sembilan tahun. saya mempunyai sahabat pena sejak berumur sepuluh tahun dan kami bertemu kembali di fb selepas puluhan tahun terpisah. anehnya, menulis emel, sms atau pm terasa lebih selesa daripada saya mahu berjumpa dengannya. pada zaman percintaan, (alahai...) saya menulis surat hampir setiap hari dan dalam masa seminggu akan mengirim lebih daripada satu surat dengan kaedah pos ekspres (ya, kepada Zahar). dekad yang belum ada emel apatah lagi sms, pm, ym. dan hingga hari ini, saya lebih suka menulis daripada bercakap berhadapan. tidak semua dapat saya luahkan ketika bertentang mata berbanding duduk dan menulis (ada analisis psikologi?). mungkin sahaja takdir itu saya menjadi penulis. jadi bila tiba-tiba ada sahabat yang selama ini saya hubungi dengan ramah di ruang maya, mempelawa ke kopitiam, tidak semena-mena saya jadi gugup. kalau Alif Matiin tahu kisah mummynya ini, mesti ulasannya berbunyi begini, pelik!
Published on October 04, 2012 22:16
October 2, 2012
Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa ...
[image error] Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa saya. belum pernah rasanya, banyak ingatan saya seharian dengan doa lewat sujud panjang buat mereka. ya Allah kasihanilah mahasiswaku. peliharalah mereka. berilah mereka kekuatan iman, ketaatan kepada-Mu, selalu mencintai-Mu dan Rasulullah. kasihani mereka kerana terlalu besar gelombang dugaan dan godaan yang harus didepani, sedang mereka begitu rapuh. perindahkan mereka dengan ilmu dan fikiran yang jernih, agar ia membawa mereka melihat bahawa reda Allah itulah yang dimahukan dalam seluruh hidup. hanya jika masa muda dapat bercerita tentang masa hadapan! alangkah. begitu Rasulullah dalam kesedihan, Allah memujuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan (dhuha: 7-8). Allahu akhbar! benarkan doa saya ini, ya Allah.
Published on October 02, 2012 13:12
Mawar Safei's Blog
- Mawar Safei's profile
- 15 followers
Mawar Safei isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
