Roslan Hamid's Blog, page 60
April 1, 2021
Syaaban 19, 1442: Usah jadi samseng, hidup-mati tersangatlah dekat...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
TIDAK lama dahulu seorang anak buah saya meninggal dunia. Ketika membantu menyempurnakan pengkebumian jenazah, terutama ketika menimbus kuburnya, insaflah saya bahawa keberadaan kita di atas dunia ini dan di bawah sana (dalam bumi) adalah tersangat dekat, jadi mengapa kadang-kala kita (termasuk penulis sendiri) begitu sombong dan samseng dalam menjalani kehidupan.
Sebagaimana sebuah iklan biskut menyebut "kejap ada, kejap tiada" - demikianlah hidup kita di dunia ini terlalu singkat untuk kita berbuat zalim termasuklah dalam berpolitik. Mengapa kita terlalu terkejar-kejar akan matlamat kita hendak mendapat 'segala yang dilihat sebagai keindahan dunia' sedangkan jika direnungkan bersungguh-sungguh dengan hati terbuka, apa yang kita buru itu bukanlah benar-benar kita perlukan.
Saya terpanggil untuk menukilkan kembali kisah yang kerap diulang-ulang ini - perbualan seorang hartawan dengan doktor peribadinya dalam satu sesi rawatan. Bertanyalah si hartawan yang menderita pelbagai penyakit termasuk kencing manis itu, "Boleh saya makan daging?" "Tak," kata si doktor. "Ayam?" "Tak boleh." "Durian?" "Tak boleh." "Burger?" "Tak boleh." "Ketam?" "Tak boleh." "Udang?" "Tak boleh." "Kambing?" "Apa tuan nak..."
"Habis apa boleh saya makan?" laung si hartawan geram. "Tu biskut kering sana," kata sang doktor selamba.
Berlawanan dengan si hartawan, seorang lelaki pokai pula boleh 'baham' apa saja. Ayam, durian, rambutan semuanya boleh 'dirembatnya'. Pantang jumpa, namun masalahnya duitnya tidak sentiasa cukup pula untuk membeli makanan tersebut.
Demikianlah, dunia ini bukanlah kita punya untuk kita berdabik dada bangga termasuk dalam politik sehingga kita membenarkan matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli) termasuklah menggunakan kaedah samseng, almaklum kuasa berada di tangan kita yang berada di puncak.
Kadang-kala ketika duduk sendirian atau memandu kereta termenung panjang saya selepas menghayati lagu 'Terbang Helang' nyanyian Allahyarham Dato' Sharifah Aini yang berkumandang di corong radio; saya berpendapat ia sangat tepat untuk ditujukan kepada orang dan pihak sombong termasuklah diri penulis ini.
Terbang helang
Di angkasa nan luas
Terbang sang helang bebas
Menebarkan sayapnya
Sungguh megah lagaknya
Helang mendabik dada
Membelahi angkasa
Dengan gaya perwira
Bila saja engkau menghampiri
Burung lain terbang lari
Kau merasakan dirimu gagah
Hak yang lain tak kau endah
Mengganas kau di angkasa
Dengan gaya perwira
Terbanglah engkau tinggi
Sampai ke mana lagi
Ingin engkau jelajahi
Sehingga kau terlupa
Yang tinggi jatuh jua
Bila tiba ketika
Kau ke tanah akhirnya
Usah kau lupa diri
Bahawa langit itu tinggi
Nanti lemas sendiri
Nanti lemas sendiri
March 31, 2021
Syaaban 18, 1442: Buat silap, jangan salahkan orang lain...(U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
SERONOK benar saya mendengar celoteh Tuan Guru dalam kuliah maghrib-isyak di sebuah masjid berhampiran rumah saya baharu-baharu ini. Beliau mensyarahkan punca iblis laknatullah binasa dan sebab Nabi Adam a.s. bahagia.
Iblis jatuh celaka kerana dia tidak mengaku sudah berbuat dosa, tak sedih selepas melakukan dosa, tak mencela diri sendiri, tidak ada niat serta azam bertaubat dan putus asa atas rahmat Allah. Ringkasnya iblis sombong dan takabur.
Sebaliknya Nabi Adam a.s. berbahagia sebab mengaku buat silap, segera bertaubat, tidak putus asa, tawaduk lantas menjadi makluk pilihan.
Nabi Adam a.s. tersilap melanggar perintah Tuhan dengan memakan buah kuldi. Baginda bertaubat bersungguh-sungguh. Dia tidak berputus asa, taubatnya bukan setahun dua tetapi puluhan tahun. Akhirnya taubatnya diterima Allah, maka berbahagialah dia dan isterinya Hawa sehingga ‘membenihkan’ zuriat yang kini dinamakan manusia.
Adam a.s. mengaku silap dan memohon keampunan Allah SWT sekalipun baginda seorang Nabi. Berhubung topik Nabi Adam a.s. secara kebetulan seorang lagi tuan guru dalam ruangan Tafsir al-Qurannya tidak lama dahulu mengulas perkara yang sama antara lain menulis: “Qotadah berkata, Adam a.s. merayu kepada Allah SWT: ‘Wahai Tuhanku, apakah pendapat-Mu jika aku bertaubat dan minta ampun dengan-Mu atas keterlanjuran aku lakukan sebelum ini’?”
Allah berfirman: “Kalau begitu Aku akan masukkan engkau ke dalam syurga (semula suatu hari nanti.” Adapun iblis, dia tidak pernah bertaubat kepada Allah SWT selepas insiden perintah sujud hormat kepada Adam a.s. Kerjanya hanya menghasut anak Adam a.s. supaya mereka sesat sebagaimana dirinya sesat.
Nah, jika Adam a.s. mencela diri baginda dan tidak salahkah orang lain; bagaimana pendirian pendirian dan sikap diri kita termasuk pemimpin dalam menangani kesilapan yang sudah kita lakukan? Kebanyakan daripada kita mencari kambing hitam dalam hal yang sepatutnya kita bertanggungjawab atau dipertanggungjawabkan.
Dalam rumah tangga misalnya, si suami asyik menyalahkan si isteri jika anak-anak bermasalah; jarang benar dia mengaku tersilap lantas mencela dirinya sendiri seterusnya bertaubat. Begitu juga dalam negara, pemimpin asyik salahkan pihak lain jika berlaku masalah sedangkan ikhtibar daripada kisah Nabi Adam a.s., baginda tak salahkan sesiapa pun tetapi salahkan diri sendiri lantas bertaubat kepada Allah SWT.
Negara kita kini dilanda masalah sosial tenat – daripada kes pembunuhan yang menjadi-jadi kepada kegiatan samseng parti politik – namun pemimpin tidak melihat apatah lagi mengaku bahawa perkara menyimpang ini puncanya terletak di tangan mereka. Apa yang berlaku dalam masyarakat adalah cerminan kehidupan pemimpin. Jika pemimpin baik, insya-Allah rakyatnya akan baik, begitulah sebaliknya.
Dikatakan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang amat warak, negara begitu aman damai sehinggakan serigala boleh menggembala kambing! Kutipan zakat sukar diagihkan kerana hampir tiada orang berhak menerimanya.
Namun begitu jika pemimpin berperangai ‘macam syaitan’, rakyat lagi teruklah keadaannya. Kata pepatah Melayu, bapa borek anak rintik atau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.
Pemimpin mempunyai saham dalam cara hidup negatif ini, jadi usahlah mereka menuding jari kepada pihak lain seperti menuduh pembangkang kerana apabila mereka berbuat begitu, tiga lagi jari menuding ke arah mereka sendiri. Insaflah kuasa kini di tangan awak bukan pembangkang!
Ambil contoh semasa, pemimpinlah yang menyuburkan budaya berhibur dalam masyarakat sehingga seorang pembesar sanggup merendahkan martabatnya untuk menyertai rakyat menyaksikan tarian gangnam (kuda) oleh artis luar Psy dan bagi membolehkan hal ini berlaku jutaan ringgit terpaksa dihabiskan. Tak kiralah siapa membuat pembiayaan, hakikatnya rakyat mahu dilekakan dengan perkara yang jelas tiada kepentingan.
Jika seseorang pemimpin tidak bijak membuat penilaian apa yang baik (menguntungkan) dan tidak baik (tidak menguntungkan) bagi dirinya dan orang dipimpinnya di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengaku kesilapannya dan bertaubat seperti dilakukan oleh Nabi Adam a.s., maka apakah sewajarnya dia terus dimartabatkan sebagai pemimpin?
Perkara ini amat bahaya dan merugikan orang bawahan kerana di akhirat kelak seseorang itu akan dikumpulkan bersama orang dikasihinya termasuk pemimpin. Bertanya dan jawablah secara jujur kepada diri kita sendiri apakah di akhirat nanti kita mahu dikumpulkan dengan pemimpin yang menyemarakkan tarian kuda atau kita mahu menyertai pemimpin yang mengajak kita kepada pengamalan ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan?
March 30, 2021
Syaaban 17, 1442: 'Sebenarnya, saya isteri dia'...(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maka hendaklah engkau hukum di antara mereka, menurut apa-apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka daripada apa-apa yang didatangkan kepada engkau daripada kebenaran..." (Al-Maidah: 48)
HARI Guru secara tradisinya diraikan pada setiap 16 Mei. Memperkatakan tentang guru, secara automatik mengingatkan saya akan sajak Allahyarham Usman Awang bertajuk 'Guru Oh Guru'.
GURU OH GURU
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Guru dan murid adalah satu gandingan; tiada guru tiadalah murid dan tiada murid tiadalah guru. Hari Guru disambut oleh guru dan murid; jarang kita dengar guru menyambut Hari Guru tanpa murid mereka.
Guru pula digandingkan dengan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, maka muncullah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pendeknya, persoalan guru dan murid (pendidikan) menguasai sebahagian besar daripada kehidupan kita.
Kini daripada lima orang anak saya, tinggal seorang saja berada di bangku sekolah.
Baru-baru ini terkejut besar saya mendapati anak gadis sunti ini mula berjinak-jinak membaca sejumlah besar novel 'cintan', yang antara tajuknya seperti 'Sebenarnya saya isteri dia'. Kebanyakan novel ini tebal-tebal berlaka, 500 muka surat adalah biasa bahkan ada yang mencecah 1,000 muka surat!
Seorang abang anak gadis saya apabila menyedari si adik membaca 'Sebenarnya saya isteri dia' membuat heboh satu rumah, menyindirnya dengan melaung: "Oh, adik baca 'Sebenarnya saya isteri dia'...sepatutnya adik bacalah buku 'Sebenarnya, saya calon peperiksaan'. Ini tak, dibacanya buku ini, nak buat apa, dah nak kahwin ke, dah nak jadi isteri ke?"
Demikianlah, bingung saya memikirkan gelagat anak-anak zaman sekarang. Jika anak saya gila membaca novel dan menonton TV, saya perhatikan sejumlah anak-anak saudara saya pula obses dengan gajet elektronik mereka. Mereka seolah-olah berada dalam dunia sendiri, suasana persekitaran tidak dipedulikan - mereka tidak ghairah untuk bertegur sapa dan berbual-bual dengan saudara mara.
Pada kesempatan sebagai guru tuisyen hujung minggu, kadang-kadang saya bertanya anak-anak murid saya, siapa solat subuh pagi itu. Amat mengejutkan hanya seorang dua mengangkat tangan, bakinya tidak solat. Bukan saja solat subuh, tetapi solat waktu lain pun mereka tak tunaikan.
Demikianlah akhlak anak-anak muda termasuk pelajar semakin buruk, kewajipan agama seperti solat semakin terlerai. Ibu bapa, guru dan anak-anak dewasa ini didakwa terlalu mementingkan kejayaan akademik, soal keagamaan terutama dari segi amalannya tidak berapa dititik-beratkan. Kejayaan diukur dengan deretan A dalam peperiksaan awam sedangkan pegangan agama termasuk akhlak ditolak ketepi.
Hakikatnya, dalam mencorak generasi muda, bukan saja ibu bapa dan guru bertanggungjawab tetapi hampir seluruh institusi masyarakat seperti kepimpinan negara, media massa (bahan bacaan dan penyiaran) , masjid (rumah ibadat), keluarga besar (datuk nenek, bapa saudara dan sebagainya) serta persatuan dan pertubuhan setempat termasuklah perkumpulan belia.
Namun apa yang kita perhatikan, kebanyakan daripada institusi ini mulai tempang; anak-anak dipengaruhi dengan elemen buruk menyebabkan kelompok yang terbabit dalam dunia pendidikan seperti guru menjadi bingung; apa yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di luar, malah di sekolah sendiri.
Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, media massa kita sudah menjadi 'kurang ajar' menyebabkan anak-anak juga menjadi 'tak terajar'. Ibu bapa dan guru di sekolah bukan agen tunggal pendidikan; anak-anak juga belajar melalui media massa dan persekitaran. Ada yang belajar melalui filem dan drama Korea, Jepun, Hollywood, Bollywood dan Indonesia. Sinetron dari seberang amat diminati.
Anak-anak juga didedahkan dengan bahan bacaan kurang sesuai termasuklah lambakan novel; jadi tak hairanlah jika anak di sekolah rendah saya turut membaca novel 'Sebenarnya saya isteri dia' sedangkan sepatutnya dia istiqamah dalam menunaikan kewajipan agama di samping menumpukan perhatian kepada pelajaran.
March 29, 2021
Syaaban 16, 1442: Sudah tua, suami terpingin dipanggil 'Abang'...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Bahawasanya manusia itu dijadikan berkeluh kesah, apabila ditimpa kesusahan dia sangat resah gelisah, apabila beroleh kebajikan bersifat kikir dan menahan kebajikan, melainkan orang-orang yang mendirikan solat." (Al-Ma'arij: 19-22)
SAYA kenal rapat sepasang suami isteri. Mereka golongan veteran, sudah berkahwin puluhan tahun. Sekarang tinggal berdua selepas semua anak berkarier dan berumahtangga. Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, si suami memanggil isteri dengan namanya, begitu juga dengan si isteri memanggil suami dengan namanya saja.
Memang ramai suami yang memanggil isteri mereka dengan nama masing-masing; misalnya Rosmah, Zuraidah, Kamariah dan lebih ramai yang memanggil dengan kependekannya seperti Ros, Mah, Idah, Zu, Yah dan Kam.
Namun ada yang 'terkeluar daripada kebiasaan' dengan memanggil isteri mereka 'panggilan manja seperti ''Ling' (Darling), 'Sayang', 'Manja', 'Sweetie' dan 'Adik'.
Bagi pasangan Melayu, adalah 'standard' untuk si isteri memanggil suaminya 'Abang' (Bang) atau 'mengandingkannya' dengan nama singkatan, maka menjadilah 'Bang Mat' atau 'Bang Aji'. Malah ada suami yang lebih muda daripada isteri turut dipanggil 'Abang'. Namun ada yang memanggil dengan nama saja, ada juga dengan gelaran manja seperti 'Ling'.
Apabila perkahwinan sudah 'memasuki usia senja', kerap berlaku perubahan negatif dari segi panggilan suami isteri ini, maka wujudlah panggilan kasar dan 'tidak romantik langsung' seperti 'mak kau', 'bapak kau' dan 'ayah kau'; yalah kalau dah veteran nampak kurang sesuai suami memanggil isterinya 'Ling', 'Sayang' dan 'Manja' apatah lagi di depan anak dan cucu.
Al-kisah, si isteri daripada pasangan veteran tadi mengadu kepada penulis suaminya sejak akhir-akhir ini 'komplen' mengapa dia tidak memanggil si suami dengan panggilan 'Abang'!
"Apalah, 'pakcik' kau tu, dah tua-tua teringin pula dipanggil 'Abang', dah puluhan tahun kahwin tak sebut pun perkara tu,sekarang mahu dipanggil 'Abang' pula.
Yalah, kata orang; orang lelaki ini makin tua makin menjadi-jadi dan mengada-ngada; saja nak bermanja dengan isteri sebab itulah dia minta dipanggil 'Abang'. Namun, kepada suami yang 'sudah veteran' baru mahukan isterinya memanggilnya 'Abang', berdasarkan apa diberitahu 'tok-tok guru' pada kelas pengajian yang penulis ikuti, hajatnya untuk dipanggil 'Abang' oleh isteri berkemungkinan besar tidak akan terkabul!
Dalam kelas pengajian, tok guru bertanyakan jemaah (kebanyakannya golongan veteran) apakah isteri mereka hampir menepati watak Atiqah (ada meriwayatkannya sebagai Muti'ah), wanita pertama yang akan memasuki syurga mendahului Sayidatina Fatimah binti Rasulullah s.a.w.
Atiqah dikatakan akan memasuki syurga dulu sebab dia memegang tali unta yang dikenderai oleh Fatimah. Wanita salihah ini dikatakan terlalu taat kepada suaminya. Apabila suaminya balik, dia menyambut dengan muka manis berbekalkan segelas air, kain lap dan rotan. Rotan itu adalah untuk suaminya memukulnya jika khidmatnya kurang memuaskan.
Tanya tok guru, ramai suami termasuk yang veteran (seperti jemaah yang mengikuti pengajian) kurang puas hati di atas layanan isteri masing-masing. Apabila mereka balik rumah, isteri tidak sambut pun, air pun tak ada. Isteri pun buat endah tak endah saja.
Tok guru bertanya, sebahagian besar ini salah siapa? "Ini salah suami sendiri sebab dia tidak didik isterinya sebaik-baiknya dengan ilmu dan amalan agama selepas bernikah, sebaliknya menyoal kenapa isteri tidak berperangai macam Atiqah selepas mereka berkahwin 30, 40, 50 atau 60 tahun."
Dulu masa baru-baru berkahwin, kerana dok terlalu sayangkan isteri, suami tak ajar pun isteri dia buatkan air untuk dia, tak ajar pun isteri untuk sambut di pintu apabila dia balik, apatah lagi sediakan rotan untuk pukul isteri; jadi hasilnya dapatlah isteri begitu.
"Kita pun tak salahkan suami 100 peratus sebab dulu dulu semasa muda (baru berkahwin) mereka jahil agama, tidak tahu pun kisah Atiqah ini, selepas dah tua (apabila mengikuti pengajian agama) barulah mereka mahukan isteri macam Atiqah, tetapi nampaknya sudah terlambat. Isteri sudah 'lawan tauke', mana boleh nak suruh mereka jadi macam Atiqah lagi..."
Berdasarkan apa yang diutarakan tok guru; hajat suami veteran yang 'teringin sangat' isterinya memanggilnya 'Abang' pada usia senja, berkemungkinan besar tidak akan tercapai. Yalah, bukan mudah untuk menyebut 'Abang' selepas berpuluh-puluh tahun memanggil suami dengan namanya saja. Jika 'Abang' susah disebut, apatah lagi 'Sayang' atau 'Darling'...uhhh, rasanya amat teruk sangat untuk menyebutnya apabila usia sudah di penghujung ini!
Kesimpulannya, kata tok guru, "wahai anak-anak muda 'mailah' (marilah) belajar ilmu agama sebelum berkahwin." Ketahuilah kisah Atiqah dan ramai lagi wanita salihah supaya kita dapat didik isteri kita sebaik saja kita menikahi mereka.
Ketika muda 'tang tang tang' tidak menjadi masalah jika kita suruh dia (si isteri) memanggil kita 'Abang', 'Mas' 'Sayang', atau 'Darling' dan suruh mereka tunggu kita di belakang pintu dengan air di tangan kerana 'dia tengah suka dan syokkan kita' tetapi selepas 30, 40, atau 50 tahun berkahwin, baru kita nak suruh dia panggil kita 'Abang', ahh ini satu 'problem' besar!
Namun, 'kalau berani' kahwinlah satu lagi - ambil wanita muda 'tang tang tang', ajarlah dia panggil kita 'Abang' dan tunggu di belakang pintu macam Atiqah...kita doakan kepada suami tua selamat berbahagia kerana akhirnya hajatnya dipanggil 'Abang' tercapai jua!
March 28, 2021
Syaaban 15, 1442: Refleksi 13, usahakan 'ini', tiada siapa dapat rebutnya... (U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w
Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
JIKA mahu hidup tenang, usah direbut kepentingan duniawi seperti pangkat, kedudukan, kemasyhuran dan harta - demikian antara lain pesanan seorang guruku yang meninggal dunia tidak lama dahulu.
“Kamu usahakanlah untuk menjadi ‘hamba Allah’ dalam erti kata sebenarnya,” katanya. “Ini kerana tiada siapa yang dapat merebutnya daripada kamu. Jadi kamu usahakan keras perkara ini.
“Jika kamu mahukan kedudukan, pangkat, kemasyhuran dan harta, orang lain juga idamkan perkara itu. Jadi mereka akan buat apa saja untuk merampas apa yang ada dalam tanganmu itu,” pesan beliau.
Saya teringat pesanan tuan guru ini tatkala mendengar dan membaca berita mengenai cakap-cakap orang politik sejurus kematian seorang ahli Parlimen. Bayangkan belum pun jenazah disemadikan, orang politik sudah mencanangkan parti dan tokoh pilihan mereka untuk bertanding pada pilihan raya nanti.
Alangkah sedihnya kehidupan ini, baharu sebentar saja pangkat dan kedudukan terlucut daripada empunya diri, ia sudah menjadi rebutan; masing-masing pihak menyuarakan hati mahu mengisi kekosongan tersebut. Ertinya pangkat dan kedudukan tidak melekat pada diri, ia tidak mampu mengiringi diri memasuki kegelapan kubur (alam barzakh).
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (s.a.w.) bersabda maksudnya: “Yang mengiringi jenazah itu ada tiga: keluarganya, hartanya, dan amalannya. Dua daripada tiga hal tersebut akan kembali dan tinggal satu saja (yang mengiringinya), keluarga dan hartanya akan kembali, dan tinggal amalannya (yang akan mengiringinya).” (Muttafaqun ‘Alaihi)
Ya, harta termasuk segala pangkat, kedudukan dan jawatan meninggalkan kita; semuanya tidak melekat pada diri. Benar orang yang mati tidak membawa sama kedudukan dan jawatannya, tetapi apakah wajar kita yang hidup tidak sabar-sabar mahu ‘mewarisi’ atau mengisi kedudukan orang yang meninggal itu?
Orang yang mati sudah pergi, tidak guna ditangisi sekalipun air mata darah kerana dia tidak akan kembali, tetapi yang hidup perlu bersabar. Bersabarlah pada tempoh yang wajar sebelum membuka cerita baharu, mahu adakan pilihan raya, mahukan calon pilihan dia dan mahukan parti sendiri bertanding.
Hormatilah sedikit perasaan keluarga si mati, jenazah orang dikasihi mereka belum pun bersemadi, sudah diuar-uarkan si polan dan si polan akan bertanding. Nampak sangat betapa gilanya orang sekarang kepada kedudukan dan pangkat, asalkan ada kekosongan, mahu diisinya dengan segera secara rakus pula.
Orang Melayu dulu mempunyai pengamatan tinggi berhubung pemergian orang yang mereka kasihi. Jika seorang lelaki yang baharu kematian isterinya tidak sabar-sabar untuk berkahwin mereka akan berkata; “nantilah dulu, kuburnya masih merah lagi.”
Hakikatnya memang si lelaki tadi boleh berkahwin lagi malah sebelum isterinya mati pun dia boleh menikah lagi, tetapi mengapa pula ditimbulkan soal ‘kubur masih merah lagi’? Inilah namanya kehalusan orang Melayu menangani sesuatu permasalahan itu. Mereka begitu cermat untuk menjaga hati banyak pihak, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak.
Tetapi apa sudah jadi dengan masyarakat moden hari ini, termasuk orang politik. Politikus zaman sekarang nampak sangat tidak sabar, mereka lebih mengutamakan diri sendiri, parti dan kepentingan masing-masing. Tindakan mereka seolah-olah mahu memberitahu dunia; “baguslah dengan kematian ini, terbukalah peluang untuk kami berkuasa, menggantikan kamu.”
Sekarang ini, bertepatan dengan kehendak masyarakat yang mahukan segala-galanya secara ‘segera’, maka timbullah pelbagai ‘perkara segera’ daripada makanan kepada jawatan politik. Orang mahu melantik pengganti secara segera, tidak mahu tunggu-tunggu lagi.
Demikian juga soal pembahagian harta selepas bapa atau ibu meninggal dunia, anak-anak tidak dapat bersabar, mereka tidak menunggu lama, mereka mahukan bahagian mereka dengan kadar segera. Apabila kesabaran tiada, maka mudahlah mereka terbabit dalam perbalahan dan pergaduhan adik beradik sehingga membawa perseteruan berpanjangan.
Apabila berlaku sesuatu kematian, si isteri (balu) mempunyai edah yang perlu dipatuhi. Tempohnya empat bulan 10 hari (mengikut bulan Islam). Balu tadi tidak boleh keluar rumah kecuali urusan penting seperti bekerja untuk menyara hidup. Ertinya di sini ada tempoh bertenang, kenangan bersama si suami masih terpahat di hati isteri.
Tetapi orang lelaki tidak edah. Tiada larangan untuk mereka berkahwin pada hari kematian isterinya, hatta sebelum si isteri meninggal pun. Bagaimanapun orang Melayu yang halus perasaannya telah mencipta kata-kata pedas seperti, “tunggulah dulu, kubur isteri kau masih merah lagi!”
Jika orang kematian isteri boleh bersabar dan menunjukkan kesediaan menjaga hati pihak lain, tidak bolehkah orang berpolitik juga bersabar, menunjukkan mereka turut bersedih dengan kematian rakan seperjuangan atau lawan mereka. Ini tidak, sebaik saja berlaku kematian, mereka terlebih sibuk mendendangkan lagu mahu bertanding pilihan raya.
Jika disorot Sirah Rasul s.a.w., kewafatan baginda telah menyebabkan sahabat-sahabat besar bermesyuarat terus bagi melantik seorang tokoh bagi menggantikannya sehinggakan urusan jenazah lebih banyak terpikul ke beban keluarga baginda yang diketuai menantu dan sepupunya Ali bin Abu Talib.
Khalifah perlu dilantik segera selepas kewafatan Rasul bagi membereskan urusan ummah, demikian juga dengan pemimpin (ketua) negara, tetapi pada pendapat saya yang jahil ini, urusan gopoh gapah untuk menamakan calon pilihan raya adalah tidak perlu kerana proses pemilihan semuanya sudah termaktub dalam undang-undang.
Dalam kes di negara kita, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penting seperti memanggil satu pilihan raya, penamaan calon dan sebagainya, jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan sehingga ada yang bertindak terlebih sudu daripada kuah. Mereka mahu mendahulukan parti dan calon mereka, mereka membuat pelbagai spekulasi yang ternyata akan memanaskan lagi bahang persengketaan.
Hampir semua orang mahu merebut kedudukan, pangkat, kemasyhuran dan harta yang akhirnya membawa kepada huru-hara. Untuk selamat ikutlah pesan guru saya; “jika mahu tenang usahlah direbutkan kedudukan, pangkat dan harta.” Mungkin guru itu bersikap konservatif, tetapi cuba amalkan, insya-Allah ketenangan yang dicari dapat diraih melalui pendekatan ini!
March 27, 2021
Syaaban 14, 1442: Amati adab jika mahu nikah di masjid...(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka apabila disebut Allah, takutlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Surah Al-A'raf: 2)
KETIKA musim kemarau saya amat-amati ada dua jenis pokok yang semakin segar bugar keadaannya. Hal ini berlawanannya dengan sejumlah tumbuhan lain seperti rumput malah lalang yang 'liat' itu pun kebanyakannya sudah bertukar menjadi perang atau coklat, bermakna meniti hari-hari kematian.
Pohon bunga kertas mengeluarkan bunga aneka warna - oren, merah, putih, kuning dan sebagainya yang begitu lebat. Bermaya sungguh melihat kecantikan alam melalui bunga kertas pada musim kering, mungkin tanaman ini sesuai dengan cuaca panas kerana pada musim hujan saya perhatian bunga kertas kelihatan tidak bermaya dengan warnanya tidaklah 'garang' seperti sekarang.
Hampir semua pokok mangga dan sejenisnya seperti bacang dan pauh saya temui mengeluarkan bunga yang sungguh lebat; pemandangannya sungguh mendamaikan. Untaian bunganya terbuai-buai ditiup angin kering, kedapatan serangga kecil berterbangan dari bunga ke bunga. Ooh, ini satu 'temasya', membayangkan akan berlakulah pendebungaan...ya bagi manusia ia dinamakan 'musim kahwin', maklumlah bukankah cuti sekolah sudah dekat?
Menyebut mengenai kahwin, tidak lama dulu seorang saudara bau-bau bacang (pokok bacang sedang berbunga lebat sekarang ini) mengajak saya dan isteri menyertai rombongan pengantin lelaki ke majlis pernikahan yang dilangsungkan di sebuah masjid. Inilah kali pertama saya menghadiri majlis pernikahan di masjid.
Akad nikah dijadualkan selepas solat asar. Sebelum azan asar, bakal pengantin dan anggota rombongan sudah ada di kawasan masjid. Ramai yang 'bersidai' di luar masjid, sebahagian kecil memasuki masjid untuk solat sunat tahiyatul masjid seterusnya beriktikaf - menunggu waktu asar masuk.
Mereka yang 'bersidai' di luar masjid terdiri daripada lelaki dan perempuan. Orang perempuan yang tak mahu masuk masjid mungkin mereka 'uzur syarie' tetapi lelaki yang enggan masuk masjid tidak pula saya tahu sebabnya.
Selepas mengambil tempat di bahagian depan ruang solat masjid, saya tidak tahu perkembangan selanjutnya; sehingga selesai solat asar berjemaah barulah saya kembali ke belakang, menunggu majlis nikah dijalankan.
Saya ingatkan majlis itu dilangsungkan di kawasan luar daripada ruang solat utama tetapi tidak; ia diadakan tidak jauh dari mimbar. Jika sebelum waktu solat ramai wanita 'bersidai' di luar tetapi apabila majlis pernikahan mahu dilangsungkan hampir semua wanita yang hadir berada di ruang solat.
Ketika berbual-bual dengan isteri selepas majlis itu, beliau berkata ketika solat jemaah asar hanya beberapa wanita menunaikannya; yang peliknya mengapa ketika majlis nikah, hampir semua wanita memasuki ruang solat.
Orang perempuan jika mereka tidak dilihat solat, mungkin mereka uzur. Wanita uzur tidak boleh memasuki masjid tetapi persoalannya mengapa ramai sungguh wanita menghadap majlis nikah tetapi tidak pula bersolat.
Ya, bersangka baiklah, mungkin wanita-wanita yang tidak uzur solat asar mereka kemudiankan - mereka tunaikannya di rumah. Maklumkan perempuan apabila sudah mengenakan mekap, tidak betah untuk mereka mengambil wuduk, nanti habislah hiasan muka mereka!
Namun terasa juga pelik di hati. Majlis nikah bukan berlangsung cepat. Banyak atur cara dan adat istiadatnya. Waktu asar pun hampir luput, tetapi wanita-wanita itu terus setia di situ. Bagaimana mereka mahu solat di rumah sedangkan mereka adalah anggota rombongan yang datang dari jauh?
Jadi ada dua kemungkinan saja - wanita-wanita itu memang tidak solat dan jika tidak solat kerana uzur telah membuat kesalahan besar pula kerana telah memasuki masjid, malah berada di ruang solat utama pula!
Waduh, pakaian pengantin perempuan pula mengancam sungguh, ada assessori lip, lap. Mekapnya pun hebat. Untuk menata-hias pengantin seumpama ini memerlukan masa yang lama. Agak-agaknya sempat tak pengantin ini solat asar, dan jika dia tak solat kerana uzur, bagaimana dia boleh memasuki ruang solat utama masjid?
Demikianlah, mengadakan majlis nikah di masjid adalah bagus kerana banyak kelebihannya namun pihak yang mengadakannya perlu berilmu dan membuat kerja tambahan seperti memberi taklimat kepada anggota rombongan.
Mereka perlu memberi nasihat terutama kepada wanita mengenai peraturan dari segi penampilan dan pakaian dan hukum-hakam wanita memasuki masjid. Bukan semua orang boleh sesuka hati memasuki masjid - mereka yang berhadas besar diharamkan berbuat demikian, apatah lagi duduk di ruang solat utama.
Seorang ustaz dalam satu majlis ceramah yang saya hadiri baru-baru ini meminta iman dan ahli jawatankuasa masjid peka dengan majlis nikah yang diadakan dalam masjid mereka. Jika ada AJK yang 'bengis' kepada jemaah Tabligh yang mahu beriktikaf di masjid mereka, mengapa mereka 'berlembut' pula membiarkan wanita berpakaian kurang sopan memasuki masjid?
"Nikah di masjid bagus," katanya, "kerana orang tak kenal masjid akan kenal masjid tetapi kenalah kita menjaga adab-adabnya. Jika tidak dapat menjaga kesucian rumah Allah, lebih baik nikah di rumah saja. Itulah yang lebih baik."
March 26, 2021
Syaaban 13, 1442: Kisah tahi cicak dan kahwin bidadari...(U)
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
AL-QURAN ada menyebut sejumlah binatang seperti labah-labah, semut dan lebah untuk dijadikan iktibar. Ada kisah menyatakan Namrud iaitu Raja Babylonia pada zaman Nabi Ibrahim a.s. mati selepas seekor nyamuk memasuki otaknya.
Kemudian ada kisah burung ababil yang memusnahkan tentera bergajah pimpinan Abrahah yang bercita-cita memusnahkan Kaabah. Kisah ini dirakamkan dalam Surah Al-Fil.
Berceloteh mengenai binatang ini, saya tertarik membicarakan hal cicak yang biasa kita temui di persekitaran masjid. Suatu malam ketika kuliah antara waktu maghrib-isyak di sebuah masjid saya duduk di beranda (disebabkan hal tertentu), bukan di dewan solat.
Ketika mengikuti butir-butir perkataan dituturkan sang ustaz, saya memandang ke siling dan dinding masjid; terlihatlah saya seakan-akan satu 'pesta' sekurang-kurangnya 10 ekor cicak yang sedang 'mencari makan'.
Terpegun saya memerhatikan ketangkasan cicak-cicak itu memburu mangsanya. Cicak 'terlekap' di siling dan dinding tetapi sungguh menakjubkan bagaimana binatang yang tidak bersayap ini boleh menangkap mangsanya yang kebanyakannya berkepak seperti kelkatu. Subhanallah, binatang tak bersayap boleh makan haiwan bersayap. Fikir-fikirkanlah!
Cicak-cicak ini sentiasa 'bersedia' - menunggu mangsanya 'membuat sedikit kesilapan' atau 'lalai'. Apabila kelkatu bergerak 'terkonteng-konteng' di dinding, sepantas kilat sang cicak menerkam - hasilnya kenyanglah perutnya. Seekor dua cicak bertindak lebih berani dengan bergerak di lantai bagi mengejar kelkatu yang jatuh.
Daripada 'hal cicak' ini, pakar motivasi kerap mengingatkan kita - jika sang cicak yang tak bersayap itu pun boleh 'menikmati' daging binatang bersayap; apakah kita (manusia) yang dijadikan khalifah di dunia oleh Allah SWT tidak mampu membina kekuatan diri...hai takkan nak mengeluh saja...berusaha kuatlah bagi memenuhi impian diri...kalau nak ke syurga pun 'kena berusaha keras', tidak boleh berpeluk tubuh.
Saya perhatikan cicak-cicak yang banyak itu, 'menjatuhkan' najis yang banyak juga di lantai. Tahi-tahi cicak amat jelas kelihatan kerana lantai di beranda masjid itu adalah daripada jenis kayu parquet.
Sambil duduk-duduk itu timbullah ilham di kepala saya. Tahi cicak adalah najis dan mengotorkan masjid...jadi tidak mahukah saya mengambil 'tugas' untuk 'mengutip' tahi-tahi cicak untuk dibuang!
Wah ini satu peluang keemasan; terfikir di otak saya untuk melakukan 'pekerjaan' ini secara tetap...terngiang-ngiang di telinga saya ada ustaz dalam ceramah mereka menyatakan membersihkan kotoran seperti membuang tahi cicak ibarat 'mas kahwin' (mahar) kita kepada bidadari di syurga nanti...aiii, awak tak nak 'kahwin' dengan bidadari ke?
Dulu masa kecil, selalu juga saya dengar 'orang' bercerita jika kita bunuh cicak terutama pada malam Jumaat, kita dapat pahala. Betulke? Ketika itu saya pun sudah jadi 'pembunuh cicak' dengan 'melastiknya' dengan 'lastik getah mainan'.
Apabila menginjak dewasa, saya semak hadis - memang betul ada hadis menyebutkan perkara itu. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada sahabat Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa membunuh cicak dalam sekali pukul, maka ditulis untuknya 100 kebaikan, dan dalam dua kali pukulan kurang daripada itu (100 kebaikan), dan dalam tiga kali pukulan, kurang daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis lain riwayat Imam Muslim menyatakan: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam memerintahkan untuk membunuh cicak, dan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menamainya dengan nama Fawaisiqo (binatang jahat).”
Sejak melihat cicak banyak di beranda masjid itu bermulalah 'tugas' saya 'mengutip' tahi-tahi cicak di beranda masjid terutama pada waktu subuh kerana faham-fahamlah ketika itu tahi cicak agak banyak selepas cicak-cicak itu 'berpesta' sepanjang malam.
Mula-mula saya gunakan berus dan bekas yang disediakan pihak masjid. Tetapi peralatan ini kerap tiada daripada ada. Al-maklumlah berus dan bekas ini 'sentiasa bergerak'...kejap berada di dalam ruang solat, kemudian di beranda, kemudian di tepi masjid, kemudian ghaib terus.
Akhirnya terfikirlah saya untuk membawa peralatan sendiri yang disimpan dalam kenderaan saya. Keadaan ini lebih menyenangkan. Sampai saja ke masjid, saya boleh memulakan 'tugas'. Kutip tahi cicak sebelum jemaah terpijak...kalau dah terpijak apa nak dikata...
Yalah, mula-mula 'cerita kahwin dengan bidadari' mengujakan kita untuk 'bekerja' membuang kotoran dari masjid. Kata orang ia 'bagai satu inspirasi'. Tetapi lama kelamaan, kita tak peduli lagi 'cerita bidadari itu'.
Kita buat 'kerja' semata-mata kerana Allah Taala. Jika masa budak-budak kita boleh 'lastik' (bunuh) cicak sekarang ni apabila 'dah pencen' tak laratlah nak 'kejar' dan bunuh cicak, nanti cicak 'tertawakan' kita...jadi sekarang ini 'angkat' tahi cicak pun jadilah!
Ada pula sebuah hadis, menyatakan Nabi s.a.w. kurang senang apabila kematian seorang wanita pembersih masjid tidak dikhabarkan kepada baginda s.a.w. Lantas sahabat menunjukkan kubur si pembersih masjid dan Nabi s.a.w ke sana untuk memberi penghormatan kepadanya...demikianlah hebat balasan kepada pembersih masjid...jadi moh kita sama-sama tolong membersihkan masjid kita termasuk daripada kotoran cicak...
March 25, 2021
Syaaban 12, 1442: Kebajikan rakyat: Henti cari alasan...(U)
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
DAHULU saya seronok mendengar ceramah tokoh-tokoh pembangkang...antara lain mereka mengkisahkan tokoh-tokoh masyhur yang begitu prihatin nasib rakyat, antaranya Umar Abdul Aziz, seorang Khalifah Bani Umaiyah (memerintah 717-719 Masihi) yang kerap dianggap sebagai Khalifah Al-Rasyidin kelima selepas Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.
Daripada percakapan mereka, seolah-olah mereka 'mahu menjadi' Umar Abdul Aziz atau setidak-tidak mencontohinya. Mungkin ada yang sudah lupa, jadi 'diputarkan' kembali sedikit sebanyak kisah Umar Abdul Aziz (hidup 682-719 Masihi). Ya, Umar Abdul Aziz hidup lebih kurang 37 tahun dan memerintah dua (2) tahun saja tetapi dapat menjadikan kebajikan rakyatnya yang terbaik pada zaman itu.
Umar Abdul Aziz masyhur dengan 'kisah lampunya' (integriti). Dia memadam lampu kerajaan tatkala melayan anaknya...dialah yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.
Khalifah berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu."
Sungguh Umar Abdul Aziz telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia pada usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan Khalifah Al-Rasyidin yang empat.
Umar diiktiraf di peringkat antarabangsa. Wikipedia mencatatkan: The short rule of Hazrat Umar Abdul Aziz (717-719 AD) was like an oasis in a vast desert -- a benevolent rain which had fallen on an arid soil. It was the brightest period in the 91-year Caliphate of the Umayyads, which, though short lived, had transformed the outlook of the State and had released such powerful democratic forces that after his death the attempts for the restoration of autocracy under Hishaam failed miserably and ultimately culminated in the fall of the Umayyads at the hands of the Abbasids.
Kehebatan dan keadilan Umar Abdul Aziz Bagi juga tersebar di Alam Melayu. Pada tahun 718 Masihi, Raja Srivijaya (empayar terbesar ketika itu), Sri Indravarman mengutus surat dengan hadiah-hadiah kepada Khalifah memohon dihantar wakil ke Palembang untuk diajar Islam kepada baginda dan rakyatnya.
Nah, kisah Umar Abdul Aziz yang menjadi 'basahan mulut' pihak tertentu suatu ketika dulu, sekarang ini perlu disemarakkan terus di kalangan pemimpin (yang sudah berkuasa) sekarang. Apabila mengingati Umar Abdul Aziz, sedarlah kita bahawa tokoh ini 'tidak diwariskan kebagusan' ketika mengambil alih pemerintahan.
Umar mewarisi sebuah pemerintahan yang korup, boros, bermewah-mewahan dengan sesetengah khalifah, pemimpin tertinggi termasuk gabenornya amat zalim. Mereka termasuklah Yazid bin Muawiyah dan Al-Hajjaj Ibn Yusuf Al-Thaqafi yang didakwa membunuh ribuan rakyat.
Jadi kepada mereka yang 'menjadikan Umar Abdul Aziz' sebagai rujukan masa lalu, adalah 'tidak bagus' untuk menyalahkan rejim lama yang banyak berhutang atau menjadikan pemimpin lama yang korup dan perasuah sebagai alasan untuk melambat-lambatkan atau tidak langsung menunaikan 'janji-janji bagus' kepada rakyat. Mereka tidak boleh mendiamkan diri daripada 'bercakap' untuk mencontohi Umar Abdul Aziz.
Mereka juga tidak boleh menjadikan alasan tempoh pemerintahan masih awal atau singkat kerana tokoh yang mereka uar-uarkan dulu (Umar Abdul Aziz) dalam tempoh dua tahun sudah memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Ya, kebajikan rakyat adalah keutamaan pemimin. Kisah Khalifah Harun Al-Rasyid (memerintah 786-803 Masihi) daripada bani Abasiyah ini wajar dijadikan teladan. Baginda bukan hanya terkenal gagah berani, namun sangat mencintai para ulama. Khalifah sering kali menziarahi para ulama untuk mendengar nasihat dan fatwa mereka.
Ketika menunaikan haji, baginda berjumpa Abdul Aziz Al-'Umari. Beliau adalah seorang ulama alim dan zuhud, Khalifah segera menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan nasihat daripadanya.
Abdul Aziz bertanya: "Wahai Khalifah, adakah tuan melihat kumpulan manusia yang berkumpul di Baitulllah?"
"Ya," jawab Khalifah. "Berapa jumlah mereka?" "Mereka sangat ramai. Bilangan mereka tak terhitung." Al-'Umari berkata: "Ketahuilah wahai Khalifah, setiap orang daripada mereka pada hari kiamat nanti akan ditanya tentang diri mereka sendiri. Akan tetapi engkau akan ditanyakan tentang setiap orang daripada mereka semua."
Mendengar ucapan ini, Khalifah hampir pengsan. Baginda menangis membayangkan betapa beratnya hisab di akhirat bagi sesiapa yang menjadi pemimpin di dunia. Harun Al-Rasyid menangis tetapi bagaimana pemimpin kita termasuk diri ini sebagai pemimpin kecil (seperti mengepali rumah tangga)?
March 24, 2021
Syaaban 11, 1442: To be fair give your boy, girl a songkok each...'(U)
In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.
Reflection
The Declining Day (Al-'Asr)
1. By the declining day,
2. Lo! Man is in a state of loss,
3. Save those who believe and do good works, and exhort
one another to truth and exhort one another to endurance.
DURING an 'ustaz' (religious teacher) 'tazkirah' (lessons) on 'nafkah' (livelihood allocation) at a 'masjid' near my house recently, he asked his audience what did they understood about fairness.
He then recalled a P Ramlee movie in which there was a scene where two thieves divided their shares on their loot - 'satu untuk engkau', satu untuk aku' (one for you, one for me) which made his audience burst into laughter.
"If you believe that the concept 'one for you, one for me' is fair, then think about this - you as a father when you go home after this 'tazkirah', stop at a store and buy a songkok each for your Ahmad and Aminah. Both get a songkok, that's fair isn't it?
"That's not fair. It is 'bangang' (foolish)," said the 'ustaz'. "For Ahmad it is great for him to have a songkok, but for Aminah, a 'tudung' (head covering) might please her.
"So what's the meaning of 'fairness'? It is to place something at a right (suitable) place and time," said the 'ustaz'. "If you agreed that buying a songkok each for Ahmad and Aminah was not a fair action but to be fair is to give him a songkok and her a 'tudung', let's us continue our discussion...
Regarding 'nafkah', the ustaz said a man has a very heavy responsibility towards his wife and family, his parents, his siblings and those under his care. Muslim man has been given the position of 'qawwaam' (protector and maintainer) over women.
It is because of the characteristics which Islam instills in him, the qualification it has given him and the conditions and limits it has imposed on him. Allah SWT says in the Qur'an with the meaning: "Men are 'qawwaam' of women, because of Allah has given the one more (strength) than the other, and because they support them from their means..." (Qur'an 4:34)
Thus, regarding women's right of inheritance, Allah SWT, stated in the Glorious Qur'an, with the meaning: "Allah commands you as regards to your children's (inheritance); to the male, a portion equal to that of two females." (Qur'an 4:11)
Why two parts to the males an one part to the females? This is NOT FAIR shouted many women liberation movement. They wanted the concept of 'one for you, one for me'. For them that is fair, said the 'ustaz'.
Yes, to those who misunderstand Islam claim that Islam does injustice to women in terms of inheritance. They are in the opinion that it is unfair to grant the male a double to that of the female even though they are children of the same parents. Allah SWT, offered a full and detailed method of women's inheritance in the Qur'an and Sunnah.
Allah has determined all the shares of all the relatives in respect to their relationship to the deceased. As He the Most Wise said: "There is a share for men and a share for women from what is left by parents and those nearest related, whether the property is small or large, an obligatory share." (Qur'an 4:7)
The 'ustaz' explained that the responsibilities of men and women are different. A husband 'wajib' (must) provide 'nafkhah' to his wife and family members. If he failed to do so he would be 'berdosa' (being sinful) and would be punished not only in the Hereafter but also in the world such as loosing 'barakah' (blessing) in his life and he would be called by the 'Pejabat Agama' (Religion Department).
The husband must (wajib) provide for the necessities of his wife and family such as a place to shelter (house), clothing, food and needs for example living in this modern world, education for his children, medical expenses, transportation and so on, said the 'ustaz'.
"But a wife is not required to give 'nafkah'. If she owned some monies and properties or has an income, those are her's and her husband has no right to 'touch' them. What is required from her is to be obedience to her husband and she is 'in charge' of everything inside her husband's house," he said.
The 'ustaz' said in our society nowadays many husbands failed to provide for the 'nafkah' - some took it lightly, they thought it was right to share the responsibilities with the wives especially those who had jobs.
"If a husband failed to provide for the 'nafkah', a wife could even 'steal' from her husband," warned the 'ustaz' who cited the case of Hindun, the wife of Abu Suffian. Such as the case of Hindun during the time of the Prophet s.a.w. complained to the Prophet that her husband refused to give adequate maintenance to her and her child. The Prophet instructed to take of her husband’s property "what is sufficient for yourself and your child according to custom."
According to the 'ustaz', other than 'nafkah' for well-being of a family, a husband must also provide for a special 'nafkah' for his wife - for her to buy her personal necessities items such as toiletries and makeup, Many 'modern' husbands failed to do so, especially if their wives had their own incomes.
"The correct way for a husband to excuse himself from providing the personal 'nafkah' to his 'rich wife' is by asking her to 'halal' (forgive or to consider as settled)," said the 'ustaz'. "If she agrees than it is okay, but if she insists, the husband must pay the 'nafkah' to her."
Other than providing for his wife and family, a man is also entrusted to look after the welfare of his parents and siblings. A husband (man) responsibilities are too heavy, thus, demanding a 'fair', 'just' or 'equal' share of inheritance for both male and female Muslims, who do not have equal financial obligations and responsibilities, is an unfair and unjust demand.
It is only fair and just to give preference to a male heir, in light of his financial responsibilities, over the female heir from the inheritance of the father, mother or others. Considering all this, the fact that a female is still entitled by the Islamic law to a half share of the portion of inheritance received by the male, and sometimes an equal share, is indeed fair, just, and generous.
Islam views men and women to be equal in their humanity. The Holy Qur'an did not address men alone, when treating general issues in life; but meant both for men and women to hold due responsibilities in this regard. Thus, the Qur'an values the roles of male and female believers alike, for Allah says: “It is not fitting for a Believer, man or woman, when a matter has been decided by Allah and His Messenger to have any option about their decision: if any one disobeys Allah and His Messenger, he is indeed on a clearly wrong Path.”(Qur'an 33:36)
Men are men and women are women. Hence, both men and women, go along side by side practicing their duties before Allah, in accordance with His Messenger’s teachings, so that one’s life would be a portray of one’s sound actions… All that includes men and women; thus, male and female believers ought to abide by Allah’s holy decisive speech.
Yes men are men and women are women and to those who choose to equal men and women in every aspects of life; think why in sporting events even at the Olympics men and women are separated based on the sexes. Why not have men and women compete among themselves say in the 100 meter dash because they are equals...and that is 'fair' according to some of us!
March 23, 2021
Syaaban 10, 1442: Siapa Napoleon Kecil, Napoleon Besar? (U)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)
ADA pihak heboh dengan istilah 'Little Napoleon' (Napoleon Kecil). Saya hanya tahu dua Napoleon. Satu Napoleon Bonaparte yang kisahnya saya baca dalam buku Tawarikh (kini Sejarah) sekolah rendah dan satu lagi watak Napoleon (babi) dalam Animal Farm karya George Orwell.
Bonaparte seorang askar yang akhirnya melantik dirinya Maharaja Perancis pada kurun ke-19. Napoleon (babi) pula ialah salah seorang ketua revolusi binatang yang berjaya menumpaskan pemilik Ladang Manor, Mr Jones (manusia).
Napoleon (babi) dalam persaingannya menjadi ketua mutlak, menggunakan taktik penuh licik menumpaskan pesaingnya seperti Snowball (juga seekor babi).
Apabila Snowball kecundang, Napoleon bermaharajela sekalipun terus menguar-uarkan slogan dan propaganda muluk seperti 'all animals are equal' (semua binatang adalah sama).
Kedua-dua Napoleon ini, sama ada si manusia atau sang babi adalah penipu besar. Berdasarkan senario ini, saya terfikir-fikir apakah yang dimaksudkan 'Napoleon Kecil' itu.
Mungkinkah Napoleon Kecil itu mereka yang mempunyai sedikit kuasa tetapi berperangai seperti Napoleon Bonaparte atau Napoleon (babi) dalam Animal Farm.
Siapa Napoleon Kecil ini sukar dijawab. Tetapi tidak salah rasanya mengutarakan permasalahan orang kebanyakan yang kini bergelut untuk meneruskan kesinambungan hidup yang mungkin ada kaitannya dengan lagak Si Napoleon Kecil ini.
Misalnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sekali lagi diuar-uarkan bumiputera akan mencapai pemilikan ekuiti ekonomi sebanyak 30 peratus pada sekian-sekian tahun.
Berdasarkan sumber sama (tokoh perancang, menteri dan sebagainya), yang gagal merealisasikan sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera pada akhir Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990), dikhuatiri kegagalan akan terus berulang.
Tentulah antara sebabnya kerana wujud Napoleon Kecil di sana sini. Napoleon ini ada di mana-mana - daripada di kampung nun jauh di pedalaman sehinggalah di ibu kota.
Napoleon Kecil ini dan lebih malang lagi Napoleon Besar menjadi pengkhianat bangsa, tanah air dan agama. Bagaimanapun, di dunia kebanyakannya disanjung, terselindung segala kejahatan mereka disebabkan mereka berkuasa, berpangkat, berkedudukan dan sebagainya.
Napoleon Kecil dan Napoleon Besar inilah yang menjual tanah airnya. Berhubung hal ini, saya tertarik benar dengan pendedahan Abdullah Hukum (tokoh perintis Kuala Lumpur) yang disiarkan oleh Warta Ahad (diterbitkan mulai 5 Mei 1935) mengenai betapa hebatnya peniaga Melayu yang menguasai perniagaan di Melaka dan Kuala Lumpur. Tetapi semuanya tinggal kenangan, mungkin disebabkan jenayah menjual tanah air oleh Napoleon Kecil dan Napoleon Besar.
Dalam buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum kepada Warta Ahad, ada ditulis:
"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850.
"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.
"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabuk Batu Tiga. Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.
"Perniagaan masa itu banyak di tangan orang Melayu; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."
Mengenai Kuala Lumpur pula ditulis: "Kuala Lumpur pada masa itu sibuk cara zaman dahulu. Ada dua lorong sahaja; iaitu Java Street dan Market Street sekarang manakala Ampang Street (Lorong Ceti) yang ramai sekarang ini masih kolam ikan dipunyai oleh Almarhum Sutan Puasa.
"Rumah-rumah kedai masa itu atap bertam dinding pelupuh (buluh) dan orang yang berniaga di situ seperti menjual kain-kain dan makanan semuanya orang Melayu, iaitu bangsa Rawa dan Mendahiling dan ketuaan masa itu ialah Sutan Puasa dan Raja Bilah.
"Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Adapun cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul)."
Berdasarkan pengkisahan Abdullah Hukum, tahulah kita bahawa orang Melayu menguasai perniagaan di bandar seperti Melaka dan Kuala Lumpur. Itu adalah pada tahun 1850 dan negeri-negeri Melayu sudah berada di tangan Inggeris atau di ambang untuk jatuh ke tangan mereka.
Kini lebih 60 tahun selepas merdeka, peniaga Melayu hanya bersisa di kota seperti Melaka atau Kuala Lumpur. Tentulah sepanjang lebih 150 tahun itu (1850 sehingga sekarang - 2021), ada ramai Napoleon Kecil dan Napoleon Besar yang tangan ganas mereka berperanan menjual dan menjadi pengkhianat kepada anak bangsanya.
Satu persoalan di sini siapakah Napoleon Kecil dan Napoleon Besar ini? Untuk tidak menyalahkan sesiapa eloklah dipegang kepada peribahasa - siapa makan cili, dialah terasa pedasnya. Jawablah di akhirat nanti.
Roslan Hamid's Blog
- Roslan Hamid's profile
- 2 followers

