Roslan Hamid's Blog, page 56

May 12, 2021

Syawal 1, 1442: Minum 'air lalat' (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN


SUATU tengah hari tidak lama dahulu, saya direzekikan Allah SWT saya menunaikan salah satu daripada hadis Rasulullah s.a.w. Sedang 'syok' makan, seekor lalat terbang menjunam memasuki air minuman saya - segelas ais kosong. Air masak, kata orang Melaka.


Lalat itu masih hidup, menggelepar di atas permukaan air itu. Saya berkira-kira nak buang air itu. Aiii lalat ini, kacau 'stim' betul. Orang tengah syok menikmati makan tengah hari, dia buat hal. Siapa nak minum air yang sudah dimasuki lalat. Eeeee.


Namun, pada detik itu juga saya teringat sebuah hadis, atau lebih tepat lagi Allah mengingatkan saya sebuah hadis...seorang cendekiawan mencatatkan: Selain mengajarkan etika dalam menjalani hidup. Rasulullah s.a.w. pun pernah mengatakan sesuatu yang ada hubungannya dengan sains dan perubatan.


Salah satunya hadis tentang lalat yang masuk ke dalam minuman. Apabila ada seekor lalat yang masuk ke dalam minuman, Rasulullah s.a.w. menganjurkan untuk menyelupkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman, lalu setelah itu lalatnya dibuang, dan kita boleh melanjutkan menikmati minuman itu. Sebab keadannya kembali bersih daripada kuman penyakiti.


Datang ilham kepada saya daripada Allah SWT untuk mempraktikkan hadis Rasulullah s.a.w. Saya pun merendamkan seluruh lalat itu, selepas itu membuang lalat yang masih hidup itu lantas berdoa selepas membaca Surah Al-Fatihah dengan penuh khusyuk: "Ya, Allah, aku mahu mengikuti hadis Rasul-Mu, Kau selamatkan daku daripada api neraka-Mu, dan sembuhkan segala penyakit pada tubuhku...lantas saya minum air itu, setegok demi setegok sampai habis...


Ya, saya telah berusaha membuang segaja kejijikan yang bersarang di hati hanya untuk taat kepada Mu dan Rasul-Mu, ya Allah, oleh itu tolonglah hamba-Mu yang daif ini, yang dalam tubuh ini bersarang penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya apatah lagi penyakit rohani seperti sakit hati, riak, takkabur, sombong, ujub dan sebagainya. Ya, Allah Kau tolonglah hamba-Mu ini...Amin

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 12, 2021 16:14

May 11, 2021

Ramadan 30, 1442: Apa dilihat tidak selalu benar (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')


Betapa dalam hidup, kerap kita tersilap dalam membuat perhitungan. Ada kala mata kita menipu kita. Wikipedia ada mencatatkan hal ini. 


Illusi Muller-Lyer adalah merupakan permainan visual kesan daripada persepsi. Persepsi pula wujud apabila berlaku rangsangan berterusan. Contohnya, garisan(←→) kelihatan lebih panjang daripada garisan (—) walaupun hakikatnya ukuran kedua-dua garisan adalah sama. 


Persepsi bahawa garisan (←→) lebih panjang adalah kerana gangguan tanda sayap (bentuk anak panah) pada hujung garisan. Persepsi itu wujud kerana rangsangan berterusan yang kita terima bahawa (bentuk anak panah)yang menjulur keluar menunjukkan jarak (jauh).


Apa yang kita lihat dan alami tidak selalu benar. Kadang-kadang ia menipu diri kita sendiri. Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam hidup termasuk dalam alam rumah tangga dan kerjaya. Belajarlah melihat dan mendengar sesuatu dengan hati, bukan hanya akal. Betapa banyak rumah tangga musnah kerana hal ini.


Berhubung perkara ini saya teringat kisah petani dan cerpelai yang telah saya baca di sekolah rendah puluhan tahun lalu. 


Ada seorang petani yang isterinya baru melahirkan seorang anak. Setiap hari si suami ke kebun sedangkan isteri menguruskan hal rumah tangga termasuk menjaga bayi. 


Suatu hari kedua-dua suami isteri terpaksa ke kebun dan membiarkan si anak dalam jagaan sang cerpelai. 


Sepeninggalan mereka seekor ular tedung yang besar telah masuk ke rumah mereka, menghampiri bayi di dalam buaian. Sang cerpelai telah membunuh ular. Mulut dan badannya berlumuran darah.


Ketika suami isteri itu bergegas balik, mereka ternampak sang cerpelai yang berlumuran darah 'menyambut' mereka. Menyangka cerpelai sudah membaham anak mereka, sang petani yang tanpa periksa, membunuhnya.


 Apabila naik ke rumah mereka mendapati bayi mereka masih nyenyak dalam buaian manakala di sisinya bangkai seekor ular besar. 


Menyesal tak sudahlah si petani kerana bertindak terburu nafsu...apa yang dilihatnya (cerpelai berlumuran darah) ditafsirkannya si cerpelai sudah membunuh anaknya adalah tidak benar!


Hari ini 30 Ramadan...akhirnya Ramadan penuh barakah pergi, sedihnya. Kepada pembaca disayangi, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada LanH.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 11, 2021 16:21

May 10, 2021

Ramadan 29, 1442: Harta, kuasa tak membahagiakan tetapi mengapa diburu? (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.


KINI saya berkesempatan menatap lambakan buku di rumah saya. Saya tertarik dengan buku-buku karangan Allahyarham Hamka termasuklah Tafsir Al-Azhar daripada Juzuk 1 sampai 30 yang telah saya himpun sejak puluhan tahun lalu.


Apabila mengulang pembacaan kitab karangan Hamka, sedarlah saya bahawa apa ditulis Allahyarham adalah relevan dengan perkembangan semasa termasuklah tribulasi yang terpaksa dilalui rakyat yang berusaha bergerak di jalan lurus seperti perjuangan menegakkan keadilan dalam masyarakat.


Hamka atau nama sebenarnya, Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Prof, Dr) sudah lama meninggalkan kita (kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981 di Jakarta), tetapi mutiara ditinggalkannya begitu berkesan di hati. Dalam salah satu bukunya ‘Lembaga Hikmat’ (terbitan Pustaka Dini), antara lain beliau menulis mengenai penderitaan batin orang kaya, besar dan ternama. 


Ternyata kaya, berkuasa dan masyhur itu bukanlah faktor kebahagiaan, persoalannya mengapa perkara ini menjadi buruan orang? Dalam bab ‘Kehidupan Batin Dari Orang Besar’ dalam ‘Lembaga Hikmat’, antara lain Hamka menulis: “Meskipun pada penglihatan orang-orang di luar, raja-raja besar itu hidup dalam kemewahan dan kemegahan, namun pada adatnya, kemewahan dan kemegahan itu hanya nampak dari luar saja. Banyak sekali orang-orang demikian menanggung kesengsaraan dan kesusahan yang tiada terperikan.”


Namun dalam menjalani penghidupan di dunia yang singkat ini (hadis menyatakan tempohnya bagaikan seorang pengembara berteduh di bawah sebatang pokok sebelum meneruskan perjalanan jauh), manusia melakukan pelbagai tipu muslihat untuk menumpuk kekayaan dan menempa kemasyhuran.


Ada penipuan dilakukan secara terang-terangan, seolah-olah sah dari segi undang-undang. Ya, ada pelbagai 'scam' (penipuan) sekarang ini. Demikianlah keghairahan manusia menipu untuk menumpuk kekayaan dan membina kemasyhuran, tetapi hakikatnya untuk apa? Seperti dinyatakan, hidup ini adalah singkat saja sedangkan harta bertimbun dan kemasyhuran tidak mampu membawa manusia ke tingkat kebahagiaan, bahkan membawa kepada kesengsaraan hidup dan kemusnahan semata-mata!


Seorang rakan membawa nasihat menginsafkan bahawa kenikmatan sama ada dari segi kepuasan nafsu makan minum, pemilikan harta benda, seksual dan keperluan duniawi lain hanyalah bersifat sementara yang pada bila-bila masa boleh ditarik Allah SWT dalam sekelip mata.


Katanya, apa guna makanan dan minuman begitu lazat dilambakkan di meja sedangkan awak sudah dihinggap kencing manis atau lebih parah lagi apabila pelbagai penyakit sudah bersarang dalam tubuh? Demikian juga dengan duit bertimbun-timbun dalam akaun bank sedangkan untuk makan seulas durian pun anda tidak boleh?


Selain menipu dan merompak untuk membina kekayaan ada orang bersifat lebih dahsyat iaitu memfitnah orang dalam membina kekuasaan dan kemasyhuran diri yang sudah pasti bagi memuaskan nafsu alat antara lutut dan pusat (tentunya nafsu makan dan seksual).


Berhubung perkara ini Hamka yang telah dipenjarakan selama dua tahun lebih oleh rejim Orde Lama Sukarno, menulis dalam kitabnya, Tafsir Al-Azhar, Juzuk 1: “...manusia-manusia berjiwa kecil, yang menyangka bahawa dengan berbuat dan menyusun fitnah, hasad dengkinya bisa (boleh) dilepaskan, yang merasa diri BESAR kerana pangkat, akan kembali menjadi kepinyuk kecil setelah pangkatnya ditanggalkan daripada dirinya...Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal.”


Maka relevan sungguh apa yang diperkatakan Hamka jika kita amat-amati pelbagai peristiwa mutakhir di negara kita ini. Kita dapat saksikan bagaimana seorang ketua sebuah organisasi keselamatan, terpinga-pinga apabila dilucutkan jawatannya.


Bagi orang perjuangan amat-amati apa ditulis oleh Hamka ini agar mereka sedar sama ada perjuangan masing-masing berada di landasan benar atau tidak. Kata Hamka: “Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengatakan, bahawanya tanda alamat orang yang berjalan atas yang hak ialah apabila dia mati dihantarkan jenazahnya ke pusaranya oleh ribu-ribu manusia, dengan sukarelanya sendiri.”


Tentunya kita tidak tahu bagaimana keadaan masa kita mati nanti, tetapi kita boleh merasakan naluri hati sendiri sama ada ramai orang akan bersedih dengan kematian kita atau mereka tertawa gembira kerana kejahatan kita sudah berakhir dengan kematian kita atau lebih teruk lagi mereka akan kencingkan kubur kita!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2021 16:19

May 9, 2021

Ramadan 28, 1442: ‘Jangan jadi hamba Ramadan’

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan


"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


BERSYUKUR ke atas hadrat Illahi di atas kurnia dan limpah rahmat-Nya maka kita kita berjaya melalui fasa Ramadan dengan jayanya (insya-Allah) dan kita bersama-sama menyambut lebaran, Aidilfitri. Diucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri (Minal aidzin wal faizin), dipohon keampunan bagi segala kesalahan dan kesilapan.


Berlalunya Ramadan bukan bermakna berlalunya segala kebaikan dalamnya. Ramadan adalah sebuah universiti atau madrasah yang mendidik atau melatih dan melengkapkan diri untuk menempuh cabaran dalam penghidupan.


Alangkah ruginya jika kehadiran Ramadan dijadikan jambatan untuk mengaut segala kebaikan dijanjikan tetapi selepas itu, kehidupan kita adalah sama seperti sebelum kedatangan Ramadan.


Tetapi berdasarkan pengalaman lalu, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita, terutama membabitkan orang Melayu. Salah satu kayu pengukur mengenai perkembangan ini adalah berdasarkan kehadiran jemaah di masjid. 


Jika sebelum Ramadan, kehadiran jemaah adalah tersangat kurang sehingga untuk memenuhi saf pertama pada solat waktu pun sukar, kehadiran Ramadan menceriakan masjid tetapi selepas solat sunat Aidilfitri, masjid akan kembali menjadi terlalu sepi; mungkin terpaksa menunggu kebanjiran pengunjung pada Ramadan tahun berikutnya.


Ibadat lain yang menjadi kelaziman ketika Ramadan seperti bertadarus dan membaca al-Quran juga seolah-olah sudah sampai ke penghujung, demikian juga amalan kebaikan lain seperti bersedekah. 


Sebaliknya, sebalik saja fajar senja Ramadan berlabuh, bermulalah atau bersemaraklah kehidupan melalaikan antara lain program hiburan melampau oleh sesetengah pihak termasuk televisyen.


Cendekiawan Islam antaranya, Abul A’laa Al-Maududi dan Sayid Qutb memberi amaran keras kepada ummah agar mengambil Islam sepenuhnya atau meninggalkan Islam semuanya. 


Ilmuan Islam kontemporari, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi pula mengingatkan janganlah hendaknya umat Islam menjadi hamba Ramadan sebaliknya menjadi hamba Allah SWT. Apa yang dimaksudkan cendekiawan ini, umat Islam perlu mengikuti dan melaksanakan hukum hakam (perintah dan larangan Allah SWT) sepanjang masa dalam kehidupan mereka, bukan hanya beriya-iya pada Ramadan saja.


Tarbiyah Ramadan sewajarnya sudah dapat melengkapkan seseorang atau pihak itu untuk menjalani seluruh kehidupan mereka berdasarkan kehendak Islam. Apa yang dikehendaki Islam itulah diikuti dan patuhi sejajarnya dengan doa dalam solat yang antara lain bermaksud; “Sesungguhnya hidup dan matiku hanya untuk Tuhan seru sekalian alam.”


Apabila perkara ini difahami, kita insaf seluruh tingkah-laku (kehidupan) kita tidak terlepas daripada hukum-hakam Allah SWT. Perkara ini termasuklah kehidupan berpolitik, yang sesetengah pihak masih segan-segan mengaitkannya dengan kehendak agama. 


Mereka berpendapat politik lain, agama lain. Hakikatnya politik itu terletak di bawah kehendak Islam – semuanya sudah ditunjuki oleh penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang telah membawa segala perkhabaran gembira mengenai Ramadan itu.


Jika janji-janji Ramadan seperti ganjaran berlipat ganda ke atas setiap kebaikan dan kehebatan Lailatulqadar yang melebihi 1,000 bulan kita yakini, maka mengapa tidak tunjuk ajar Rasul dalam segala bidang penghidupan seperti berpolitik? Apakah kita masih mahu menganggap politik itu berasingan daripada kehendak agama?


Sehubungan itu, pada masa kita gembira menyambut Aidilfitri, marilah kita bermuhasabah diri apakah kehidupan kita sekarang 100 peratus mengikut acuan Islam, atau kita pandai-pandai mengurangi dan mencukupinya. 


Pergunakanlah baki usia kita untuk berada di jalan-Nya kerana kita cukup takut, jangan-jangan Ramadan yang baharu berlalu itu adalah yang terakhir buat diri kita. Selamat Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 09, 2021 15:55

May 8, 2021

Ramadan 26, 1442: Kekurangan itu kebahagiaan, nikmat…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


RAMADAN 20 tahun lalu saya berada di Pakistan, mengikuti rombongan bantuan di Peshawar. Di tempat-tempat jualan saya perhatikan, penduduk tempatan begitu ghairah menjual kiub-kiub tebu yang menjadi antara jaudah berbuka puasa.


Di Malaysia, di bazar Ramadan antara air minuman laris adalah air tebu, tetapi di Pakistan, air tebu tidak dijual, sebaliknya bungkusan kiub tebu pula jadi buruan. Saya perhatikan penjual meracik (membuang kulit) batang tebu, memotongnya kecil-kecil mengikut ruas, membelahnya seterusnya memasukkannya ke dalam bungkusan untuk dijual.


Sedap juga mengunyah kiub tebu ketika berbuka puasa. Apa kata kita memperkenalkan kaedah baru ‘menikmati’ keenakan tebu cara Pakistan ini di Malaysia? Kehidupan serba kekurangan di Pakistan menjadikan ‘aktiviti’ mengunyah tebu sebagai satu nikmat, satu kebahagiaan kepada penduduknya.


Minuman air tebu adalah baik untuk kesihatan; ia membekalkan glukosa kepada tubuh yang disimpan sebagai ‘glycogen’ dan dibakar otot apabila tenaga diperlukan. Sebenar ada banyak kelebihan ‘mengunyah’ atau minum air tebu; antaranya menyejukkan tubuh, menyihatkan organ, bertindak sebagai pelawas semula jadi dan menguatkan gigi.


Cara orang Pakistan menikmati tebu mengingatkan saya nostalgia mengenai makanan semasa saya kecil-kecil dulu (tahun 70-an), apatah lagi saat  Ramadan sekarang ini. Dulu sama seperti orang Pakistan, saya pun kuat mengunyah tebu. Tapi budak sekarang mana tahu ‘kunyah tebu’, mereka tahu minum air tebu saja.


Pada zaman serba mewah sekarang, kanak-kanak pun tidak beberapa peduli tentang makanan ‘free’ yang disediakan itu pada majlis-majlis tertentu di kampung seperti ketika berbuka puasa, moreh, Maulidurasul, kenduri arwah (biasanya pada bulan Syaaban) dan malam Nifsu Syaaban.


Ketika itu kanak-kanak tidak sabar-sabar menanti majlis berkenaan di mana kanak-kanak juga diberi layanan istimewa dari segi makanan. Mungkin pada zaman sekarang, makanan sudah berlambak di rumah, jadi tiada apa perlu dikejarkan di masjid atau surau.


Saya masih ingat ketika pada suatu majlis Maulidurasul, pihak pentadbiran masjid telah menyediakan sebuah kapal yang berisi telur rebus yang dimasukkan dalam bekas-bekas cantik atau dijadikan bunga telur. Saratlah kapal itu dengan gantungan telur dalam pelbagai bentuk gubahan.


Pada pertengahan majlis, telur-telur diagih-agihkan kepada kanak-kanak yang hadir. Untuk mendapatkannya, kanak-kanak perlu memasuki kawasan masjid dan melangkah keluar melalui pintu gerbang.


Agak saya, ketika itu orang kampung melalui kehidupan zaman susah, jadi seorang kanak-kanak hanya mendapat sebiji telur. Sebiji telur ini amat berharga, ia ditatang oleh seorang kanak-kanak dan selepas puas ‘bermain’ dengannya barulah dikopek kulit dan dimakannya. Jika seorang budak mendapat sebiji telur tetapi adiknya tidak dapat, si abang sanggup membelah telur itu untuk dikongsi bersama si adiknya.


Demikianlah pada zaman itu ‘nilai’ sebiji telur amat tinggi. Saya masih ingat apabila ibu atau ayah pergi ‘rumah orang kahwin’ dan membawa balik telur rebus (dimasukkan dalam kotak kecil yang diperbuat daripada kertas manila atau kotak rokok atau dijadikan bunga telur malah ada yang masukkan dan diikat dalam kertas tisu saja) sebagai buah tangan, telur itu selepas dikopek akan dibahagi lapan (kerana adik beradik saya lapan orang).


Cara membelah telur rebus itu menjadi lapan (atau pecahah lain) adalah unik dan sukar dilihat lagi pada zaman sekarang ini. Telur yang sudah dikopek itu diletakkan dalam telapak tangan; ayah akan memegang satu hujung benang dan salah seorang anaknya akan memegang hujung yang satu lagi. Benang yang ditarik kuat dan dalam keadaan tegang ‘dibenamkan’ di atas telur tadi. Maka dibelahlah telur itu dalam pecahan dikehendaki seperti setengah, satu perempat atau satu perlapan, mengikut bilangan anak dalam sesebuah keluarga.


Bagi saya mendapat satu perlapan daripada satu biji telur sebenarnya tidaklah mencukupi kerana dengan sekali ‘ngap’ saja sudah habis. Tetapi ada cara menikmatinya, makanlah sedikit demi sedikit; kesedapannya hanya diketahui orang yang pernah melaluinya. Kata orang itulah detik bahagia sesebuah keluarga! Namun orang tua kasihan melihat anak-anak yang terpaksa melalui semua itu (kata mereka kasihan tengok budak-budak terkulat-kulat) tetapi apa hendak dikata; itu saja yang mampu mereka lakukan!


Namun ‘cerita telur’ ini tidaklah sesedih cerita ‘daging’ yang pernah saya dengar orang-orang tua membicarakannya. Pada tahun-tahun 1960-an dan 70-an dulu, orang kampung sebenarnya jarang benar makan nasi berlaukkan daging (lembu, kambing atau ayam); mereka mungkin makan daging setahun satu atau dua kali iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.


Keadaan ini agaknya samalah seperti di kampung-kampung orang Kemboja sekarang ini di mana ada satu iklan rayuan menyatakan kanak-kanak di sana makan nasi berlaukkan daging setahun sekali, itu pun jika ada sukarelawan dan dermawan dari Malaysia melakukan korban atau menderma.


Suatu hari seorang budak terlalu benar hendak makan daging. Mengidam agaknya. Hendak tunggu hari raya lambat lagi, jadi apabila ada majlis kahwin di kampung, terbukalah peluang untuk makan daging.


Maka si ibu pun pergi. Masa dulu, jarang (malah pantang) tetamu bawa anak-anak ke majlis kahwin. Malah pasangan suami isteri pun jarang pergi bersama-sama, orang lelaki pergi bersama orang lelaki, orang perempuan sesama orang perempuan.


Pada majlis itu, dapatlah si ibu makan daging lembu. Apabila teringatkan permintaan anaknya, dia pun mengambil seketul daging dan memasukkannya di celah antara gigi dan pipinya. Dia terus ‘menanggung’ daging itu dalam mulutnya; tidak bercakap lagi, hanya mengangguk dan menggeleng-geleng kepala apabila ditanya.


Apabila sampai di rumah, barulah dia mengeluarkan ketulan daging tadi dan memberikan kepada anaknya, Maka termakbullah hajat si anak hendak makan daging!


Zaman penuh nostalgia itu sudah berlaku. Kini apabila saya membawa pulang telur majlis orang kahwin dan meletakkannya di atas meja makan, telur itu tetap 'bergolek' di situ selama beberapa hari tanpa diusik.


Itulah zaman mewah sekarang ini, telur rebus tidak menggerakkan minat anak-anak untuk mengambil apatah lagi memakannya! Itu agaknya buah tangan majlis kahwin sudah berubah, baharu-baharu ini saya diberikan satu paket kecil mengandungi coklat ketika melangkah pulang pada satu majlis perkahwinan. Ertinya nostalgia ‘telur’ sudah terkubur apatah lagi mengunyah tebu seperti apa yang saya lihat di Pakistan


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 08, 2021 03:12

May 6, 2021

Ramadan 25, 1442: Bagaimana Ramadan kita?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


WAHAI Tuhan...ku tak layak ke syurga-Mu...namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu...ampunkan dosaku terimalah taubatku sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...


Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan api neraka itu akhirnya meninggalkan kita. Sedih mengenangkan pemergian Ramadan, dikesempatan ini diucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, semoga Allah SWT memberkati kita semua. Amin.


Persoalannya, bagaimanakah Ramadan kita? Bagaimana pencapaian kita sebagai graduan Universiti Ramadan yang mesti dilalui setiap tahun oleh setiap Muslim yang cukup syaratnya? 


Sebahagian kita mungkin sudah menjadi graduan Universiti Ramadan 20, 30, 40 atau 50 kali; kali ini tanyalah hati kita, adakah kita seronok Ramadan ini berakhir bagi membolehkan kita berhari raya atau kita terharu dan sedih kerana bulan penuh keberkatan itu sudah pergi sedangkan pada tahun depan belum ada ketentuan kita akan menjadi siswa-siswi Universiti Ramadan sekali lagi.


Tiga puluh atau 40 tahun lalu, saya seronok Ramadan pergi kerana dapat berhari raya. Ya, hari raya adalah kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang muda. Pada permulaan celoteh kali ini izinkan saya menyorot ke zaman itu; zaman jahiliah yang malangnya turut 'dikongsi' sesetengah orang dewasa.


Kegembiraan hari raya kanak-kanak pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an adalah hal berkaitan duit, makan dan sedikit hiburan tidak seperti generasi baru sekarang yang asyik mahsyuk dengan tablet masing-masing. Dari segi duit, zaman kecil saya tidaklah mewah. Dapat 10 sen ketika berkunjung ke rumah orang pun sudah dikira cukup baik. 


Dari segi makanan, sekarang baru saya terfikir mengapa orang dulu taksub menyediakan juadah yang 'macam setengah mati' memasaknya seperti dodol sehingga ada yang meninggalkan puasa dan pada malam harinya tak pergi ke surau atau masjid untuk solat waktu dan tarawih. Letih memasak dodol tak terkira kerana tempohnya terlalu lama, mungkin lima atau enam jam.


Bagi sesetengah remaja dan anak muda, hari raya dinanti-nanti kerana boleh menziarahi rumah anak dara yang berkenaan di hati kerana "pada hari raya rumah terbuka dan tiada orang suka untuk marah-marah." Pengalaman saya dan beberapa kawan, pernah melawat ke rumah seorang anak dara jam 12.00 tengah malam, dan "betul, bapaknya tak marah pun!"


Dari segi hiburan, apa yang mengasyikan, adalah bermain 'bom' (seperti meriam buluh, mercun, bunga api) dan terbabit dalam 'peperangan menembak roket' sesama kawan-kawan. Ya apa faedah melakukan perkara-perkara lara ini pada malam-malam bulan Ramadan yang mulia?


Sekarang apabila memasuki 'usia tua', barulah saya tahu bahawa diri ini sudah terlalu banyak membuang masa pada perkara-perkara tidak berfaedah ketika berada di bulan barakah Ramadan dan juga bulan mulia Aidilfitri.


Terasa mahu memutar balik jarum jam supaya saya kembali ke zaman bujang yang penuh 'kesia-siaan' itu bagi menukar haluan hidup. Namun itu tidak mungkin, jadi usia yang berbaki ini (saya ada berbaki kurang 10 kali lagi memasuki Universiti Ramadan jika saya mati mengikut usia Rasulullah s.a.w.) saya cuba-cuba membaiki diri yang selama ini sudah tersasar jauh daripada kehendak agama dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.


Namun, saya tidak salahkan diri saya sepenuhnya, punca saya jadi begitu; sebahagiannya disebabkan pembawaan dan contoh tidak betul oleh anggota masyarakat termasuklah pemimpin kita. 


Jika orang dulu dengan 'kesesatan mereka' apa kurang dengan orang Melayu sekarang. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya. 


Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT, tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan. 


Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini. 


Malang sungguh, mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, sebaliknya meminta orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita tujuh likur, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul termasuklah rancangan hiburan di TV. 


Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad. Apatah lagi sekarang generasi baru gila gadjet elektronik, tanpa mempedulikan persekitaran mereka.


Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya! 


Pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara seperti melepak-lepak di bazar Ramadan, bergaduh, memutuskan silaraturahim apatah lagi melakukan syirik bagi membolehkan kita mendapat Lailaturqadar-Nya, insya-Allah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 06, 2021 16:15

May 5, 2021

Ramadan 24, 1442: Sedikit peringatan menjelang lebaran (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


MENJELANG Aidilfitri saya membaca sejumlah buku-buku agama bagi membantu saya merenung kehidupan. Saya menyiarkan sedikit sebanyak apa yang saya baca itu tanpa membuat komen; terpulanglah kepada pembaca untuk memikir-mikirkannya pada waktu mulia ini.


Antara buku sempat saya baca adalah 'Sifat & Sikap Penghalang Kejayaan Seorang Muslim' karya Abu Sulaiman Ad-Darani (terbitan Jasmin Enterprise); satu daripada babnya menghurai 'Pemimpin Yang Mengelabui Rakyat' ada menyatakan  para pemimpin atau penguasa memikul tanggungjawab yang berat dalam menegakkan ketertiban, keamanan dan keadilan dalam tata hidup masyarakat.


"Namun sebaliknya jika ada pemimpin atau penguasa yang zalim, curang, atau menipu rakyat bererti telah berkhianat atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan membuat kekacauan dan kerosakan di muka bumi. Perbuatan semacam ini termasuk dosa besar yang diancam oleh Allah dengan seksaan yang pedih di akhirat kelak," tulis pengarang.


Bagi menguatkan hujah, penulis memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antara ayat al-Quran: 


1. "Tidak ada jalan melainkan atas orang-orang yang menzalimi manusia, dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar, bagi yang berbuat demikian itu adalah azab yang pedih." (Asy-Syura: 42)


2. "Dan tidak pernah Tuhanmu membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kotanya seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan zalim." (Al-Qashash: 59)


3. "Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa Allah lalai daripada yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan kepada mereka sampai hari di mana mata (mereka) terbelakang." (Ibrahim 42)


Begitu juga Rasulullah s.a.w. mengingatkan ancaman seksa bagi para pemimpin dan penguasa yang zalim dan suka menipu rakyat. Antara hadis itu adalah:


1. Celakalah para penguasa, celakalah para pemangku urusan rakyat dan celakalah orang-orang yang dipercaya mengurusi kepentingan umum, sungguh ramai orang pada hari kiamat nanti berangan-angan kecurangan-kecurangan mereka tergantung di atas bintang Tsurayya. Mereka akan diseksa kerana mereka dahulu tidak mahu melakukan sesuatu yang menjadi amanahnya." (HR Ahmad daripada Abu Hurairah)


2. "Manusia yang paling berat seksanya pada hari kiamat adalah penguasa zalim." (HR Thabrani daripada Abdullah bin Mas'ud)


3. "Akan datang kepada hakim yang adil suatu saat pada hari kiamat nanti ia berangan-angan alangkah baik kalau dahulu (di dunia) tidak pernah memutuskan perkara antara dua orang sekalipun perkara sebutir kurma." (HR Al-Bazar dan Thabrani daripada Abu Hurairah)


4. "Akan muncul penguasa-penguasa derhaka serta zalim. Barangsiapa membenarkan kezaliman mereka dan membantu mereka berbuat zalim, maka aku (Nabi SAW) bukan tergolong dia dan dia pun bukan tergolong umatku, dia tidak akan dimasukkan ke syurga." (HR Ahmad Tirmidzi daripada Ka'ab bin Ajrar)


5. Siapa pun pemimpin yang curang kepada rakyatnya, maka akan masuk neraka." (HR Thabrani)



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2021 10:48

May 4, 2021

Ramadan 23, 1442: 'Who would be the next 'allahyarham'?' (U)

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection

The Declining Day (Al-'Asr)

1. By the declining day,

2. Lo! Man is in a state of loss,

3. Save those who believe and do good works, and exhort

one another to truth and exhort one another to endurance.


TIME flies very fast; by the time readers are reading this article three weeks had past since we started 'puasa' (fasting) in the holy month of Ramadan. Recently an old mate posted in our e-group a list of our batch in secondary school some 40 years ago and what impressed me he managed to tick names of friends who had passed away - eight out of about 120 mates - had been called by Allah SWT.


My friends and I are now in the late fifties - it meant that the friends who were called by the Lord were very young - many of us are now climbing the ladder to top positions in public and corporate sectors. Almost all of us graduated with first degrees at the age of 23, and now with some 30 years of experience working and some having masters and PhD degrees, many of us are holding key posts in various working identities.


Several years ago when my school batch were celebrating 'our half a century (50 years) existence on earth'  in a comeback gathering, I distributed photocopies of my writing entitled ' Our critical last 10 years'.


In the article, among others I mentioned that if were to follow 'Sunnah' (follow the life span of Prophet Muhammad s.a.w. who died at 63) we have about a few years years 'to check ourselves' before we would be called by the Lord. Our existence in this world is getting shorter and shorter by each day.


I remember writing: "Time is running short. Our batch who turned 50 this year would only have a balance of a few years to do our best in life including the most important - our preparation for life in the Hereafter which is forever.


"Beloved friends, if our past 50 years were wasted that easy, imagine how are going to benefit the last few years left? Yes, how are we going to use that short span of time to save ourselves from Hellfire. If we were to think hard (I mean moving in the straight path), then we would panic and tremble, the time left is so short yet we have drifted too far to catch back the time that was lost when we filled it with aimless activities what’s more with ‘haram’ (forbidden) ones.


"After 50, are we still after those worldly pleasures; for example if we have already owned a bangalow, are we all out to renovate it into an ‘istana’? Or are we chasing after a Lamborghini after having being blessed with a fleet of five cars including a Mercedes, a Bugati and Ferrari?


"Or are we still chasing after women (girls to be exact) to make them Mrs. No 2, 3 or 4? Or are we madly working to make our money (or to be exact RM figures) in our bank accounts with more 0 digits behind; for example if we were having RM100,000; would we like to add another one 0 to make it RM1,000,000 (one million ringgit) or three 0s to make it RM100,000,000 (one hundred million ringgit). Wow, that’s a lot of money!


"Ooh friends, remember at 50, we have finished using 5/6 of our lives. We have another 1/6 of it to go with; so dear brothers, enough is enough, with the balance of about 10 years, please make the best of it to work hard so that we would not be dumped into the furthest part of hell. Allah SWT says in the Quran: “O! You who believe, save yourself and your families from Hell-fire, whose fuel are humans and stones (idols)…” (At-Tahrim 66: 6)


"If we were to enter a race of 600 meters and we have only another 100 meters to pass the finishing line, would we still be dazzling away with all that worldly wonders that would be of no help to us in the Hereafter or are we putting all our energy and resources to reach the finishing line?


"Scholars have reminded us again and again that RM, dollars, pounds, rupees and yen would of no use in the Hereafter. The much sought items there were ‘iman’ (faith) and good deeds; unfortunately the Hereafter is not a place to do good deeds but a place to reaped ‘our best crop’ grown on earth!"


Well dear readers, 'alhamdulillah' (all praise to Allah) we are blessed again to observe Ramadan; it is timely for us to do some reflections - we do not know if this is our last Ramadan - as in 'my batch schoolmates case' - eight of them had been called by Allah SWT.


An hour before writing this article, I heard an 'ustaz' (religious teacher) had beautifully explained the above situation - living in this world is like us lining in a row to have our throat being slaughtered, just like chickens in a slaughter house where they were put into a cage and then picked up one after another to be slaughtered. Sorry if this harsh word offended some readers and to my dear old school mates, I was sacred scared and my heart trembled upon writing this sentence - 'who wound be No 9?'...'who would the next 'allahyarham' (the late?).


'Ya Allah' (O Allah), I am very very afraid. I am not ready for death. The problem is whether we are ready or not, death is inevitable. It would surely 'knock our doors', only time would tell. Death would be upon us whether are afraid or not afraid of it - one sure thing every living things would come to end one day!


To readers especially friends (I included) who are still 'chasing worldly pleasures like mad' and forgetting our future in the Hereafter, please stop it because who knows 'we are the next chicken in the cage to be picked up and then been slaughtered' (die-lah).


After death, nothing could help us - only our 'iman' and 'amal' would determine our being in the Hereafter and the saddest part of it there is no way to be back on earth 'to do corrections' for example to repent and do good deeds. There is no point to regret because death and beyond is a one way ticket journey - everything we left on earth would of no use except for there - that are our 'sadaqah jariah' (long term charity such as building a masjid), the good knowledge that we impart and pious children who would 'du'a' (do supplication) for us.


Why must we be crazy for 'worldly pleasures' because 'they are only temporary satisfactions'. Scholars have reminded us that our priorities in life keep on changing as the years pass; for example when we are young, many of us were are after wealth and a sound and peaceful married life, then as we grow older we realize that it is health, then it is love (bondness among families members) and then when we lay on our death bed, only then we realize that we long for good deeds done.


At this critical moment only do we realize that our ‘amal’ are not enough to take us to the Hereafter; but it is already too late. The son of man grows and with him grows two things – the love of wealth and love of long life. But what about good deeds?


If we knew that we need to gather lots of good deeds in this world for ‘stock’ in the Hereafter where RM, dollars and pounds were useless, we would be after them when we were still young; unfortunately many of us realize it when death is upon us.


The Holy Prophet s.a.w. warned us when he said: “On the day of Judgment, one will not be able to move away before Allah until he has accounted for his life, how it was spent; on knowledge, to what use it was put; regarding wealth, how it was acquired and spent; and on body, how it is utilized?


All things related to this world would not satisfy human beings, for example regarding richness (wealth) the Holy Prophet said: “Even if there were for a man two valleys full of wealth he would aspire for a third one, and nothing would fill man’s belly but dust, and Allah turns him who turns to Allah.


So, it is timely during this Ramadan to remind myself, friends and readers that our priority in life should be expanding our stock of ‘amal’ before our ‘Big Day’ (death) catches up on us. Don’t gamble with our lives, thinking that death is still far away from us; who knows this Ramadan would be our last!


As for this Ramadan, pray and work hard to please Allah; we should 'be greedy' to stock up our 'pahala' (good rewards). In our 'greediness' for 'pahala', please hope and hope and 'du'a' that we would get Lailatulqadar (Night of Power) this Ramadan.


In Surah Al-Qadr, Allah SWT says: “Lo! We revealed it on the Night of Power; Ah, what will convey unto thee what the Night of Power is!; The Night of Power is better than a thousand months; The angels and Spirit (Jibril, Gabriel) descend therein, by permissions of their Lord, with all decrees; (That night is) Peace until the rising of the dawn.”


When one performs his obligations and good deeds during ‘Lailatulqadar’, then he/she would be rewarded for his/her deeds for that night better than a thousand months (1 night = 83 years 4 months!). 


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 04, 2021 16:03

May 3, 2021

Ramadan 22, 1442: Ramadan yang akan kita tinggalkan...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhahnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Al-Qadar, Kemuliaan, Ayat 1-5)


RAMADAN akan pergi jua. Aidilfitri juga akan datang dan pergi. Bulan dan musim silih berganti. Manusia pun begitu. Seorang sepupu saya meninggal 21 Ramadan lalu. 


Ya, sepupu saya itu sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kita juga akan menyusul. Mungkinkah ini Ramadan kita yang terakhir? Pertanyaan inilah yang mengusarkan hati. Bayangan hari kematian diri sendiri sudah bermain-main di mata. Bagaimana diri ini terkapar di ruang tamu rumah, kemudian dimandi, kafan seterusnya dipikul ke masjid untuk disembahyangkan dan kemudian ke kubur untuk disemadikan. Dalamnya kubur, enam kaki diri ini dimasukkan ke dalam bumi. Kemudian diri ini dikambus, orang di atas memijak dan menginjak tanah; maka gelap, pekat dan hitamlah suasana menyelubungi diri ini.


Siapa yang dapat menyelamatkan diri ini? Tiada siapa. Hanya Yang Maha Kuasa. Jadi cahayakanlah pekat kegelapan kubur itu dengan memohon kepada-Nya.Bertahajud, bertaubat, bertasbihlah, menangis dan merintih pada-Nya ketika kegelapan malam terutama 10 hari terakhir Ramadan ini, moga-moga ada belas kasihan-Nya, adalah cahaya untuk diri ini di alam abadi nanti. Bunyinya mudah, tetapi hakikatnya tidak begitu. Mengapa diri ini tidak mudah untuk mengalirkan air mata apatah lagi merintih teresak-esak memohon keampunan-Nya?


Mungkin seorang anak saya ketika berusia enam tahun dan dalam tadika Pasti lama dahulu, mempunyai sebahagian jawapannya apabila berulang-ulang kali memberitahu saya dan anggota keluarga yang lain: "Ayah, banyak makan dan tidur hati menjadi keras." Itulah modal yang kerap diucapkannya ketika saya atau anggota keluarga lain tidur pada siang hari atau makan dengan banyak ketika berada di meja makan. Mungkin cikgu di Pastinya sering mengingatkan begitu, jadi dilakonkannya semula sketsa itu di rumah.


Betulkah hati ini sudah jadi keras? Usah cari alasan, mengakulah saja. Ya,. benar hati ini sudah keras kerana terlalu mementingkan hal ehwal keduniaan dan keseronokannya seperti makan dan tidur itu. Mengaku lebih baik kerana ia jalan mudah bagi memuhasabah diri. Apabila sudah sedar diri ini tidak betul maka carilah ubatnya. Ubatnya bukan di tangan doktor tetapi mulakan langkah 'mewakafkan' diri di masjid. Renung dan tenunglah diri di dewan solat masjid yang luas tanpa perabot dan TV yang menyesak dada dan memekakkan telinga seperti di rumah itu. Malah TV mengundang panahan syaitan ke biji mata, lantas 'mana bisa' kita boleh mengkoreksi diri dalam suasana begitu jika kita mahu berterusan 'enak-enak' di rumah.


Apabila ada majlis ilmu, dengar baik-baik apa yang ustaz-ustaz itu cakapkan. Ikutilah juga majlis 'bayan' budak-budak tabligh. Mereka mungkin mengulang-ulang pengajian ini. Dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika baik anggota itu baiklah manusia itu. Ketahuilah, itulah hati. Kenapa hati kebanyakan orang sudah jadi gelap dan hitam? Ini adalah kerana dosa-dosa yang dilakukan. Dosa-dosa ini akan menumpuk, membentuk titik-titik hitam di hati, lama kelamaan keseluruhan hati akan menjadi hitam, tiada cahaya.


Jadi sedarlah diri kita sendiri bahawa hati kita sudah hitam legam. Dengan adanya kesedaran, ia sudah cukup bagus, tetapi bagaimana mahu membersihkan kembali hati itu yang asalnya memang suci kerana seseorang itu lahir (bayi) dengan keadaan fitrah? Ada ustaz mengumpamakan hati hitam itu sebagai periuk yang sudah hitam keterlaluan yang memerlukan berus khas. Lagi hitam lagilah 'power' berus yang diperlukan. Barulah dapat dihilangkan jelaga dan kekotorannya. Itu pun secara beransur-ansur dan memerlukan tenaga yang banyak.


Demikian juga dengan hati. Hati perlu diberus supaya bersih. Bukan sekali, tetapi secara berkekalan (istiqamah). Masa terbaik melakukannya adalah pada Ramadan. Inilah masanya Allah turunkan rahmat, pengampunan dan menyediakan kesempatan terbaik untuk seseorang bebas daripada api neraka. Iblis syaitan juga diikat, jadi terbukalah peluang terbaik untuk membersihkan atau menyental (bagi hati yang sudah terlalu hitam) bagi mengembalikannya kepada fitrah.


Namun apa hendak dikata, Ramadan kali ini sudah beransur pergi, meratap air mata sekalipun ia tak akan kembali. Jika kita sudah bermanfaatkan sepenuhnya Ramadan kali ini bersyukurlah, tetapi percayalah manusia tetap menyesal di atas perlakuan masa lalu mereka sehingga orang yang gugur syahid pun ingin kembali ke dunia untuk mati syahid sekali lagi.


Ramadan saya, dan Ramadan pembaca juga sudah pergi, tiada siapa tahu mungkin Ramadan ini adalah yang terakhir, kita menangisi pemergiannya, berdoalah kita agar sampai ke Ramadan berikutnya. Akhir kalam, SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI, HARAP DIMAAF dan DIAMPUNI SEGALA KESILAPAN dan KESALAHAN, Amin Ya Rabbalalamin.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 03, 2021 16:23

May 2, 2021

Ramadan 21, 1442: Merdekakan diri, keluarga, negara daripada neraka…(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan
"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) 

RENUNGKANLAH maksud ayat al-Quran ini: “Allah yang menciptakan kamu dalam keadaan lemah, kemudian dijadikan-Nya kamu kuat sesudah lemah, kemudian dijadikan kamu lemah dan tua bangka sesudah kuat. Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya, sedang Dia Maha Mengetahui lagi Berkuasa." (Ar-Rum:54)

Ya, insaflah dulu kita (saya) bahkan negara kita lemah bagaikan bayi, sekarang dalam usia lebih 60 tahun (termasuk saya)  mungkin sudah matang dan kuat…dan selepas itu apa? Hakikatnya setiap yang kuat itu akan menuju kelemahan dan mati…namun jika kena caranya terutama memohon kebarakahan Illahi, proses ‘ketuaan’ itu boleh dilambatkan bagi membolehkan anak bangsa terus menikmati rahmat-Nya di bumi bertuah ini.

Dulu Malaysia tiada, ia hanya wujud pada 16 September 1963. Namun sebelum itu asasnya sudah ada iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Tarikh keramat ini dianggap sebagai Hari Merdeka dan sekarang untuk mengharmonikan sambutan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tempoh Ogos sehingga 16 September dinamakan bulan kemerdekaan negera.

Bersyukur ke hadrat Illahi, kita masih diberi peluang oleh-Nya menyambut Ramadan. Ya, pada Ramadan, Allah menjanjikan rahmat pada permulaannya, pengampunan dosa pada pertengahan dan pengakhirannya bebas atau merdeka daripada api neraka. Maka sayogialah kita berebut-rebut peluang ini, meningkatkan amalan untuk akhirnya melayakkan diri kita menjadi insan bertakwa kerana inilah produk (hasil) yang diharapkan melalui universiti Ramadan dan ibadat haji.

Namun sebahagian umat Islam terlepas pandang atau masih diseliputi kejahilan, terlupa akan hakikat pada Islam itu merangkumi segala bidang kehidupan, tidak terikat kepada amalan khusus saja seperti solat, puasa, zakat dan haji. Apabila ini berlaku, akan lahirlah insan yang tidak seimbang amalannya, dia berpuasa tetapi tidak bersolat, dia bersolat tetapi di luar solat mendedahkan sebahagian besar auratnya, dan dia berhaji tetapi menyanjung kehidupan sekular.

Pemisahan politik daripada agama adalah antara penyelewengan itu. Apabila politik tidak terikat dengan agama, penyelewengan begitu berleluasa kerana matlamat menghalalkan cara. Matlamat utama adalah untuk terus berkuasa, jadi akan diusahakan perkara itu sekalipun tindak tanduk adalah berlawanan dengan ajaran agama. Berdasarkan slogan untuk berkuasa dulu, kini dan selamanya, tindakan halal dan batil bercampur-aduk, sedangkan kehidupan seseorang Muslim itu hendaklah berdasarkan hukum-hakam halal haram yang termaktub dalam ajaran agama.

Sekarang ini, sesetengah pihak menyemarakkan politik perkauman dan membela maksiat dalam usaha mengekalkan kuasa. Perkembangan ini begitu membimbangkan kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat termasuk diri kita sendiri. Amat bahaya jika setiap pemimpin bangsa mengapi-apikan kepentingan dan sentimen kaum masing-masing sedangkan perkara ini ditentang keras oleh Islam dan Rasulullah s.a.w. yang kedatangannya adalah untuk membawa rahmat kepada sekian alam, sekali gus mematikan semangat asabiyah jahiliah.

Amat-amatilah apabila pemimpin hidup bermaksiat termasuk berleluasanya amalan rasuah dan penindasan (jauh daripada landasan agama), maka Allah Taala menurunkan bala yang turut menimpa rakyat. Kehidupan rakyat tidak aman; jenayah seperti pembunuhan, perompakan, perzinaan dan buang bayi menjadi-jadi, menggambarkan institusi keluarga dan masyarakat serta negara sedang menuju kehancuran. Inilah neraka dunia, petanda kehidupan buruk akhirat nanti.

Imam (pemimpin) adalah contoh ikutan, jadi bersempena Ramadan ini, marilah kita mengorak langkah permulaan bagi menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita daripada neraka dunia, juga api neraka Allah SWT dengan tidak membiarkan diri kita terus bergelumang dalam kemaksiatan!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 02, 2021 16:24

Roslan Hamid's Blog

Roslan Hamid
Roslan Hamid isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Hamid's blog with rss.