Roslan Jomel's Blog, page 6

February 16, 2012

tanpa hujan tanpa kata


Tanpa Hujan Tanpa Kata


inilah yang kau tidak ingin tahusebaliknya perlu aku simpankanketika kau turundan menghilang dalam kata-kataku.
aku ingin menyentuhkiri kanan pada setiap titisanapa benar airmu basah dan berasa hangat?
sudah sering kau cuma di luar tingkapdengan muka dinginsementara aku menatap putih skrinkomputer ribaku atas meja.
kau bahkan menghalang ayat-ayatku.
inilah yang kau sengaja mendiam dirikecuali aku tidak sampai melepaskanketika kau berhentidan mengabur susunan bahasaku.
bahawa aku ingin menulis tentangmudari mula ke akhir setiap titisanapa benar airmu keruh dan berasa kering?
sering kau berdesir melembab cermin tingkapdengan muka tidak peduliseumpama aku menutup komputer ribaatas meja tinggal kau dan akusegala kata  memadam sendiri.
bahkan kau mengembalikan ayat-ayatku.

roslan jomel      jalan Loke Yew, setahun lepas awal bulan januari.             
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 16, 2012 23:40

February 15, 2012

bayang-bayang huruf

saya terserempak dengan Rahimidin Zahari, sebaik sahaja meninggalkan Rumah PENA pada malam Baca Pusi 3 Februari lepas. di depan pagar, berdiri di dinding simen yang bertulis Rumah GAPENA, saya menunggu Rahimidin Zahari menyerahkan beberapa buah puisi antologi sajak dari but keretanya. selain sinikal, Rahimidn Zahari seorang pemurah. :)
diterangi lampu neon mengoren pada malam yang dingin, ada antologi sajak bersama sahabat dan sebuah buku antologi sajak persendiriannya, iaitu Rawana yang diterbit dalam dwibahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. dan Rahimidn Zahari tidak bermaksud untuk menjualkan buku-buku yang ditunjukkannya pada malam itu, ketika saya dan isteri mengucapkan terima kasih sebelum bergerak balik. bertemu dengan Rahimidin Zahari ketika itu bagaikan menghantar mesej batin.
demikian, sebaik sahaja terbaca puisi-puisi penyair kegemaran saya, Rosli K. Matari turut berada dalam buku pemberiannya, saya bertanya tentang buku antologi sajak persendirian pertama Rosli K. Matari. di dalam e-mel, Rosli K. Matari meminta alamat saya untuk urusan pengeposan buku yang dimaksudkan saya kepada Rahimidn Zahari. "Nun Bulan," tajuk buku itu kata Rahimidin Zahari. dan pada 14 Februari, buku Nun Bulan sampai ke tangan saya. seperti diberitahu Rahimidn Zahari selalu, Rosli K. Matari adalah gurunya dalam pembabitan awal penulisan puisi.
sedangkan saya belajar daripada setiap penulis hanya melalui pembacaan. kelak, setelah membaca puisi-puisi dari buku Nun Bulan, siapa tahu, minat untuk menulis puisi kembali semula.
membaca karya yang baik, tidak dapat tidak, turut mendatangkan ilham untuk menulis karya sebaik mungkin. selalu SN Muhamad Haji Salleh menegaskan sedemikian. akan tetapi ia memang sukar. pekerjaan seni tidak pernah mudah. manakala tawaran daripada pelbagai sayembara, hanya akan menenggelamkan ketulenan karya-karya jika tersalah niat menulis, pesan Latiff Mohiddin. sekarang, siapa yang ambil peduli tentang ketulenan karya?


pada usia akhir belasan tahun, saya terpesona oleh sebuah buku antologi sajak bertajuk Qap karya Moectar Awang. oh! ya, saya juga membaca buku antologi sajak Sihir Hujan karya Sapardi Djoko Damono pada masa yang sama. kemudian beberapa tahun kemudian, saya menemui pengucapan yang senada dengan Moecthar Awang, iaitu Rosli K. Matari. puisi-puisi mereka berdua bahkan melanjutkan gaya penulisan Latiff Mohiddin yang selalu membeningkan kata-kata sehingga membangkitkan kesan misteri, absurd malah sangat tinggi tahap artistiknya. bahasa harian yang sederhana tetapi diperah oleh bakat kreatif dan imaginasi, puisi-puisi mereka menganjak perkara-perkara kecil, yang mungkin diabaikan oleh orang biasa, justeru menjadi persoalan besar tentang hakikat kehidupan atau kematian.
awal 90-an, saya diberitahu oleh kenalan MPR, jika tidak silap, Uthaya Sankar SB, bahawa Rahimidin Zahari baru saja memenangi tempat pertama sayembara penulisan sajak. buku antologi sajak Sekepal Tanah segera saya beli untuk mempelajari suatu lagi keindahan pengucapan sajak berbahasa Melayu daripada penulis generasi baharu ketika itu. buku Sekepal Tanah tidak mengecewakan saya. disebabkan itulah, saya amat ternanti-nanti buku pertama daripada gurunya, Nun Bulan yang diterbit sesudah 33 tahun berkecimpung dalam penulisan puisi. bayangkan betapa cerewetnya penyair ini dalam penerbitan karya. bagaimanakah penilaian kualiti dari pandangan Rosli K. Matari?
saya masih mengingati jawapan Rosli K. Matari dalam wawancara, suatu ketika dahulu, dengan wartawan akhbar Berita Harian. "Jangan longgokkan karya sampah dalam kesusasteraan kita," kata Rosli K. Matari. peringatan sebegini amat bermakna untuk melihat agar kesusasteraan kita tidak dicampur-adukkan dengan kebanjiran karya yang amat mentah penciptaannya. apakah maksudnya? Rosli K. Matari tidak mahu kelihatannya ingin mempersembahkan karya-karya murahan kepada khayalak dan khazanah persuratan negara. dengan menerbitkan karya sesegera yang boleh, tanpa proses pengeditan dan perenungan mendalam, jelas menunjukkan betapa si penulisnya ingin segera dikenali sebagai sasterawan. karya-karya yang ditulis baru beberapa minit tadi tidak mungkin bertahan sebagai hasil kesusasteraan penting.
saya ingin memetik kata-kata, saya sudah terlupa siapa, tetapi yang jelas penuturnya datang dari negara Amerika Latin, tujuan kita menulis adalah untuk kesusasteraan itu sendiri, jadi, jagalah kualitinya. saya telah menulis esei ringkas tentang kepenyairan Abizai, yang menurut saya, merupakan penyair terbaik Sarawak ketika ini, ke akhbar di Sarawak. sebagaimana beberapa penyair kegemaran saya, Abizai cenderung memilih untuk bersederhana dalam pengucapan puisi-puisinya. kita memiliki penyair-penyair seperti T. Alias Taib, BahaZain, SN Muhamad Haji Salleh, Zurinah Hassan, Moecthar Awang kemudian seterusnya Rahimidn Zahari dan Abizai yang secara konsisten mengekalkan kualiti dalam setiap karya masing-masing.
buku-buku hasil penulisan mereka, akan kekal di rak kesusasteraan negara. maka, sudah tentu ada beberapa penulis selain mereka, pada masa depan, yang bakal menunjukkan kecemerlangan bakat sedikit masa lagi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 15, 2012 19:43

February 7, 2012

bukan selalu langit warna vanilla



Latiff Mohidin menulis, dalam buku yang diberi tajuk, Catatan, bahawa: bentuk vitalisme dicipta oleh penyair H Marsman (lahir di Belanda pada tahun 1890). bentuk puisi moden ini timbul daripada aliran ekspresionisme Jerman (suatu aliran yang pernah mempengaruhi seluruh cabang seni di Jerman awal kurun ke-20 sehinggalah ke tahun 1930-an). 

kemudian saya bertanya, apakah bentuk pengucapan sedemikian kini sudah boleh dianggap klise? buat apa guna ayat-ayat tinggi, metafora yang jauh di sebalik awan, sedangkan realitinya, dunia tetap begitu juga sementara pembaca semakin geli-geleman pada obsesi seniman yang mabuk dengan bahasa? maklum sahaja, semua penulis ingin menampilkan diri sebagai sasterawan islamik, misalnya. berbanding sajak, saya masih percaya pada pembinaan cerita. bolehkah membayangkan sastera tanpa cerita? cerita yang boleh disampaikan sesederhana mungkin, boleh sahaja dijadikan landasan untuk para sasterawannya membentangkan persoalan ilmiah, falsafah atau menyodorkan mesej kerohanian dengan pendekatan yang sedikit lebih indah. 
kembali kepada buku Catatan: bentuk vitalisme kemudiannya dibawa masuk ke dalam sastera Indonesia melalui puisi-puisi Chairil Anwar pada pertengahan tahun 1940-an. daripada sastera Indonesia, bentuk vitalisme dibawa masuk ke dalam sastera Melayu, terutama oleh Masuri S.N. dan Usman Awang. tetapi hanya untuk seketika (amat ketara dalam beberapa sajak mereka pada awal tahun 1950-an), seolah-olah mahu meminjam gayanya sahaja. lalu di tangan mereka, bentuk vitalisme-ekspresionisme tadi bertukar nama.kini, bentuk itu lebih dikenali sebagai aliran humanisme atau universalisme.
agak berbeza takrifan universalisme yang terdapat dalam setiap cerpen J. L. Borges. Cerpen-cerpen J. L. Borges menghapuskan sempadan geografi kaum dan budaya. karya original, maksud saya, yang memancarkan keupayaan si penulisnya mengarap penceritaan yang mungkin berdasarkan pengalaman peribadinya, Alexander Solzhenitsyn untuk novel monumentalnya, One Day in The Life of Ivan Denisovich atau Joaquim Maria Machado De Asis (dianggap sebagai antara genius sastera oleh Harold Bloom) yang kita maklum telah menulis novel The Posthumous Memoirs of Bras Cubas. bukankan menulis dari sudut personel juga indah?

pada malam Baca Puisi di Rumah PENA, hari Jumaat 3 Februari, saya bersembang seketika dengan penulis/penerbit buku, Sufian Abas di depan kasut dan selipar para hadirin yang berselerak di pintu masuk Rumah PENA. saya tidak berminat mendengar orang membaca puisi, apa lagi untuk mendengar puisi yang "baru saja ditulis beberapa minit tadi." Raihani Mohd Saaid datang menyerahkan minyak pengasih jenama Poco Rabanne yang saya tempah sebelum Tahun Baharu Cina. kemudian, untuk menghabiskan duit dalam poket sendiri, saya terpegang buku terbaru terbitan Sang Freud Press. Buku bertajuk Langit Vanilla, karangan Wani Ardy. saya beli sebuah lagi buku, bertajuk Jiwa Berontak, sebuah karya adaptasi hasil tulisan duet, Ana Bentaleb dan Nabilah Bentaleb.  

saya terkesima oleh beberapa buah sajak yang disampaikan dengan begitu menarik oleh Wani Ardy. menarik? ia subjektif, kan? bukan kerana sajak-sajaknya ditulis dengan cerdas bahkan tidak berkecenderungan untuk menunjukkan si penulisnya banyak membaca (di laman Facebook, ramai orang tampaknya ingin menunjukkan bahawa dialah yang baik dan pandai). segera saya teringat kepada Shaira Amira. untuk sebuah puisi bertajuk, Rojak Berenang, wah! ia sebuah sajak yang sinis dan pintar. dia, Wani Ardy mematahkan basa-basi bahasa puitis yang melemaskan. tidak sia-sia buku Langit Vanilla diterbitkan, selain memberi warna segar dan bahasa yang relevan kepada pembaca biasa, sastera yang sebelum ini sering melekapkan warna biru di langit, harus sesekali dipalit dengan warna berbeza. jika tidak berawan, biarlah seketika disapu vanilla. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 07, 2012 01:01

January 28, 2012

memasuki manuskrip sendiri

ada penulis yang menulis tentang pengalaman mereka sendiri ketika menulis sesebuah karya kreatif, misalnya cerpen. saya bukan maksudkan sebuah kisah autobiografi. apabila saya menulis cerpen Cerita Tentang Penulis Cerita yang terbit dalam majalah Dewan Sastera edisi Ogos 2008, saya sendiri ragu-ragu apakah ia sebuah autobiografi.

baharulah dalam tahun 2011, saya berkesempatan membaca novel Snow yang menggunakan pendekatan narator sebagai pencerita kepada watak utama untuk novelnya di dalam "novel" Snow itu sendiri. kemudian, Wan Nor Azriq menyebut tentang metafiksyen, istilah kesusasteraan yang sebenarnya sudah lama dipraktikkan dalam penulisan luar negara.

Etgar Keret menulis cerpen terbaharunya di dalam majalah New Yorker edisi Januari bertajuk Creative Writing. saya suka bagaimana Etgar Keret menulis kemelut penulis yang baharu hendak berkarya. bagaimana hendak menulis cerpen yang menarik dan apakah cara yang lebih mengejutkan untuk menamatkan kisahnya?

demikian dalam cerpen itu, Etgar Keret menceritakan bagaimana Maya, watak protagonisnya  menghadiri kelas penulisan kreatif. Maya menyiapkan beberapa buah cerita kemudian tiga minggu berikutnya, Aviad turut melibatkan diri dalam penulisan kreatif tanpa pengetahuan Maya. pengajar kelas penulisan kreatif menganjurkan kepada para pelajarnya untuk menulis secara automatik. "Write whatever comes into you head," kata pengajar kelas penulisan kreatif dan menambah, "don't think, just write."

tetapi Ali Smith melakukan perkara yang sama. dalam buku kumpulan cerpennya, The First Person, Ali Smith menulis sebuah cerpen bertajuk True Short Story, yang lebih kurang cuba mendefinisikan takrifan cerpen. bahkan dalam cerpen tersebut disebut nama Jorge Luis Borges yang menyatakan bahawa "short stories can be the perfect form for novelist too lazy to write anything longer than fifteen pages."  menulis sebuah cerpen tentang cerpen itu sendiri barangkali suatu pilihan yang menyeronokkan.

di AmcorpMall, saya membeli buku kumpulan cerpen Gabreil Garcia Marquez, Strange Pilgrim yang mengandungi dua belas buah cerpen. untuk bahagian prolog buku tersebut, pengarangnya menjelaskan keanehan kreativiti. dia menyatakan, "now i know: The effort involved in writing a short story is as intense as begining a novel, where everything is defined in the first paragraph: structure, tones, style, rhythm, length, and sometimes even the personality of a character. dan cerita tiada permulaan apalagi pengakhirannya. dari semasa ke semasa, penulis fiksyen akan memasuki ke dalam manuskripnya sendiri. sama ada bertujuan mengejek takrifan kesusasteraan itu sendiri atau sebagai usaha memperbaharui perspektif naratologi.

atas lesen kreatif, konon, saya menulis cerpen Mesej sebagai jalan keluar untuk mentertawakan kesempurnaan makna sesebuah karya kreatif itu sendiri.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2012 03:10

January 24, 2012

beradu kekuatan abstrak

pagi ini aku bangun awal dengan sedikit perasaan kurang berbahagia. malang sungguh perbuatanku ini, kerana, entah apa sebab, terlalu ingin tahu bagaimana struktur mukaku. apakah tidak serupa seperti kelmarin? jadi hampir lima minit aku memeriksa melalui paparan cermin tandas, jika ada sebarang perubahan. tidak ada sebarang perubahan. masih kekal dengan wajah Andy Garcia. maka, tidaklah perlu aku khuatirkan tentang isu kewujudan Hang Tuah pada hari ini di laman facebook.

memandangkan tiada sebarang anasir yang merubah tekstur permukaan wajah, aku bercadang untuk mengarang sebuah puisi. selain senang untuk menciptanya, bahkan puisi juga boleh dijadikan senjata untuk mengupas bawang, misalnya. ini suatu kemajuan metafora dalam dunia kesusasteraan yang penuh dengan pelbagai tawaran sayembara. bila-bila masa sahaja sebilah senjata boleh dibentuk dan dijual di media massa.

namun, untuk mencipta sebuah karya kreatif, seperti puisi, aku perlukan sebatang pensil dan buku nota di samping pemadam getah. baru saja hendak menulis, aku berasa keliru, apakah tema yang hendak aku tumpukan? lebih kurang sepuluh minit aku termenung di depan buku nota yang baru dipadam rangkap pertamanya. diksi yang aku pilih sangat basi, atau agak biasa-biasa sahaja. sebuah puisi yang bagus, wajib ada kata-kata yang tinggi bunyinya. malah tidak  salah kalau ditampalkan beberapa perkataan berbahasa Arab. mengaji Al-Quran pun jarang dalam setahun, bagaimana?

apabila puisi sudah siap, diberi tajuk, Kain Pelikat Cinta. aku jadi keliru akan tarikh masa sebenar penciptaannya. kadang-kadang aku berfikir masa silam dan selalunya aku tidak memikirkan pun tentang masa di depan walau dalam seminit. tidak mengapa, aku dibenarkan menipu dalam penulisan kreatif sebagaimana orang kerap menipu di laman facebook tentang kearifannya dalam banyak hal kehidupan. puisi aku sudah siap, struktur wajahku pun tetap kekal sediakala, tibalah masa untuk menyerahkan karya kreatif aku itu ke sayembara. menurut laporan di akhbar, hadiah-hadiah yang disediakan amat lumayan. handsome payment.

pagi ini aku mendapat perkhabaran yang kurang menyeronokkan. puisi aku tewas dalam kategori heavyweight. sia-sia aku berlatih tumbukan padu dan cedukan maut. otot-otot puisi aku masih lemah, kurang stamina, bahkan kurang berpenampilan. menurut laporan panel penilai, sesebuah puisi itu harus berpakaian kemas, kuku panjang tidak dibenarkan dan berwajah manis. itulah syarat-syarat fizikal yang aku tiada. dan aku berasa sudah cukup tua, berperut buncit, kerana menanggung kegagalan beradu kekuatan abstrak. 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2012 20:08

January 16, 2012

mempermudahkan penulisan puisi

penulis itu baru saja menyiapkan puisi terbaharunya, beberapa minit yang lalu. kemudian, dia menuju ke pentas untuk mendeklamasikan karya segeranya itu untuk diperdengarkan oleh para audien. maka, apalah susahnya pekerjaan mengarang puisi?

demikian kata-kata sinis yang disuarakan oleh penyair Rahimidin Zahari dalam acara Borak Buku di Coffee Bean KL Sentral pada hari Ahad, 16 Januari. beliau memperkatakan keunikan dan keistimewaan kepenyairan Latiff Mohidin. tanpa berselindung, Rahimidin Zahari turut mengakui pernah terpengaruh oleh gaya pengucapan Latiff Mohidin dalam penulisan puisi awalnya.

saya bertanya apakah ciri menarik yang dimiliki puisi-puisi karya Latiff Mohidin, Rahimidin Zahari menjelaskan:

Latiff Mohidin memiliki kelasnya tersendiri dalam penciptaan puisi. sebagai pelukis, Latiff Mohidin secara tidak langsung, memindahkan kemahiran visualnya ke dalam puisi. dengan demikian, puisi-puisi Latiff Mohidin bagaikan disimbah pelbagai jenis warna, terang, suram dan berwarna-warni. dan apabila puisi-puisi Latiff Mohidin sering tampil dengan kata-kata yang begitu ekonomi, ia juga secara tidak langsung memperlihatkan karekter Latiff Mohidin sebagai penyair yang cuba memperbaharu gaya pengucapan puisi yang sebelum itu agak berlebih-lebihan.

tidak ramai penulis generasi baharu berpeluang bersemuka dengan Latiff Mohidin secara personel, termasuk saya. membaca karya-karya Latiff Mohidin sekurang-kurangnya memberi laluan mistik kepada pembaca untuk cuba memahami bagaimana cara dan sikap Latiff Mohidin menggambarkan dunia di hujung berus puisinya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 16, 2012 18:33

January 13, 2012

titik sentuhan

hujung tahun lepas, kampung kami dinaiki air pasang. berita banjir dari Sarawak pun dilaporkan di skrin tv pada setiap petang melalui Berita Wilayah. fenomena ini tidak mengejutkan kepada saya. mujur saja insiden ini tak teruk sebagaimana yang melanda di beberapa tempat rendah di Malaysia.

masih ingat kejadian jerebu suatu ketika dahulu?

semasa kanak-kanak, saya dan beberapa rakan sebaya, mengambil kesempatan ketika air pasang untuk bermandi-manda. oh! ya, dulu kampung kami ada jambatan sebagai laluan penghubung dari sebuah kampung ke sebuah kampung lain. sayangnya, saya tidak memiliki sebarang foto berlatar belakangkan jambatan yang diperbuat daripada kayu jenis belian itu.

kini dibina jalan beraspal, justeru hilanglah suatu view yang sangat asli dan cantik yang terdapat dalam kampung saya. demikianlah setiap halaman rumah, ada beberapa kenderaan. kereta atau motor berbaris di luar pagar. tidak kelihatan lagi pokok-pokok Pedada berbuah masam yang sering dipanjat. malah untuk melihat ikan tembakul pun amat sukar kerana kanak-kanak sekarang barangkali tidak mengenali bagaimana rupa bentuk binatang yang sering berjemur atas lumpur sepanjang tebing sungai.

beberapa buah rumah dimasuki air hingga ke paras peha orang dewasa. ada sebatang pokok besar tidak jauh dari rumah saya. api-api nama pokok tersebut, jika saya tak silap. akar-akar dari pokok tua tersebut yang terbenam jauh ke dalam lumpur, bahkan menguatkan cengkaman ekologi pada tebing sungai kampung saya. segala habitat ekosistemnya, beransur-ansur punah oleh pencemaran dari semasa ke semasa.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 13, 2012 00:53

January 8, 2012

ada baca MESEJ?

idea awal untuk cerpen MESEJ pernah saya ceritakan kepada Wan Nor Azriq, pada suatu petang hari Sabtu dalam sebuah restoran, Bilal, tepi Jalan TAR. begitu saya selesai menulis cerpen KASUT untuk dimuatkan oleh Suffian Abas dalam zine AGEN PERISIK CINTA, saya terfikir tentang MESEJ. sana-sini masyarakat sibuk tentang MESEJ. mengalahkan fenomena 901 esok.

MESEJ tidak menyerupai sekeping cermin malah tidak berperisa. benda alah, yang, sayangnya tidak berbentuk, untuk disisipkan dalam sesebuah karya. di atas meja, akhirnya saya tidak menulisnya dengan nuansa serius, konon sedang menulis sebuah karya santai. saya teringat akan cerpen Haruki Murakami, The Rise and Fall of Sharpie Cakes.kemudian, saya mencipta seorang watak bernama Encik MESEJ yang kelaknya akan diketahui berniaga MESEJ.

bukan sedikit dan tidak bakal kunjung selesai, MESEJ ditiup ke dalam sesebuah manuskrip fiksyen agar kehadirannya dirasai oleh pihak pembaca. sangat rumit kerjanya. sebagai peminat dunia fiksyen, saya terlalu ingin untuk berjumpa dengan MESEJ secara fizikal. supaya kelak saya akan memvisualkannya, dari atas ke bawah, ke dalam sesebuah karya kreatif nanti. tetapi apakan daya, saya sekadar membina sebuah kotak yang diberitahu oleh Encik MESEJ, konon di dalamnya tersimpan apa yang dinamakan MESEJ.

pergelutan kesusasteraan kontemporari kebelakangan ini mula menekankan peranan pengarang-pengarangnya supaya jangan menulis yang tidak benar. lebih jauh daripada itu, jangan lupa dikepilkan sekali, benda alah yang dipanggil MESEJ itu. selesai menghabiskan bacaan novel Penyeberang Sempadan, karya SN Anwar Ridhwan, aneh, saya gagal menemui MESEJ. barangkali mata batin saya berselaput. harus dipastikan saya tidak berkiblatkan barat ketika berfiksyen nanti. bukankah begitu?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2012 03:13

December 28, 2011

beli buku atau beli beras?

dua sahabat baik saya, Raihani Mohd. Saaid dan Mohamad Farez Abdul Karim sudah pun memiliki buku terbaharu masing-masing. sementara Raihani Mohd. Saaid menghasilkan buku kumpulan puisi pertamanya yang bertajuk Terminus A Quo secara solo, bahkan menggunakan duit sendiri. saya sangat berbesar hati kerana diberi ruang untuk menulis di ruangan rangsang sari buku tersebut.

pada Perhimpunan Penulis-Penulis Muda yang berlangsung baru-baru ini (di mana saya tidak menghadirkan diri) dikhabarkan bahawa buku tersebut laris dibeli oleh para penulis. sekarang, penulis yang menulis dengan bahasa penuh bermetafora itu sedang mengumpul modal (atau duit dalam bahasa mudah) demi mencetak buku kumpulan puisi tersebut untuk edisi ke dua. sudahkah anda memiliki buku kumpulan cerpen sulungnya, Badrul Bambi?

ketika rakyat Malaysia sedang sibuk mengisi borang untuk mendapatkan wang pemberian kerajaan sebanyak RM500, para penulis mudanya terpaksa berfikir lebih daripada lima kali untuk menerbitkan sesebuah buku sastera. menulis sastera serius atau separuh serius? sedangkan di luar sana, kemahuan pembaca generasi baharu lebih cenderung memilih novel-novel bernuansa "Cintamu Cintaku Jua."

kemudian, sebaik sahaja PM kita menyediakan dana sebanyak RM5juta demi menyuburkan penerbitan buku dalam kalangan penulis muda, bahkan RM1juta diperuntukkan kepada PENA, harapan penulis-penulis muda kian menyala-nyala untuk berkarya ataupun bermimpi. sudah tentu pemberian dana dengan jumlah yang banyak itu dapat merealisasikan penulis muda yang menjadi ahli PENA untuk melihat karya-karya terbaik mereka dibukukan.

manakala Mohamad Farez Abdul Karem menerbitkan kumpulan buku puisi tidak secara solo, tapi berkumpulan. dua sahabat penulis yang bersama-sama dengan Mohamad Farez berkongsi dalam satu buku itu ialah Mawar Marzuki dan Raja Syahrul Helmi. mereka bertiga sudah tentu maklum akan selera pembaca masyarakat Malaysia. penghargaan kita kepada sastera masih jauh ketinggalan dan sepertinya statik pada peringkat majlis penyampaian hadiah sayembara penulisan mahupun pada bulan Oktober yang diraikan selama sebulan.

sekarang, siapa sahaja yang memiliki duit, sekurang-kurangnya RM3K, sudah boleh menerbitkan buku (atau membeli kasut sneakers jenama Nike). tulislah apa sahaja kemudian bukukan atas konsep asal ada buku, maka layaklah seseorang itu bergelar penulis. saya tidak bersetuju dengan pendekatan sedemikian. saya pemilih bahan bacaan. cerewet seperti mak mentua yang mencari calon menantu. dan semakin banyak yang ingin saya perbaiki dalam kerja penulisan, semakin kurang pula buku yang sesuai untuk dibeli. maka, haruslah saya membeli buku karya penulis yang saya yakini kehebatan skill kepengarangan mereka.

ewah!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 28, 2011 20:47

December 12, 2011

tokoh

saya pernah menulis artikel tentang penganugerahan seseorang tokoh dengan nada skeptikal.

barangkali artikel tersebut tidak sesuai, maka tidak mungkin saya dapat melihatnya diterbitkan. justeru, pandangan dan perspektif saya diabaikan atas dasar etika sesebuah penerbitan. kemudian saya jadi curiga, apakah pula kelayakan saya untuk memberi perbezaan pendapat ke sebuah penerbitan.

apabila seseorang individu dianugerahkan gelaran yang berhubung kait dengan dunia intelektual, penulisan, kesusasteraan malah kebudayaan, sudah tentu penganugerahan tersebut melepasi merit yang mengangkat atau melayakkan tokoh tersebut di mata masyarakat. sebagai generasi terkemudian, saya akan berdiri di ruang awam untuk mengukur dan mencari apakah keistimewaan tokoh tersebut supaya saya benar-benar berpuas hati kerana sumbangan besarnya kepada bidang yang diceburi itu sentiasa relevan dengan persekitaran terkini.

jika penganugerahan kepada seseorang individu hanya berdasarkan atas sumbangan yang amat sederhana kerana menjadi perintis kepada bidang yang diceburinya itu, ia belum memadai kepada saya dan generasi selepas saya. lebih-lebih lagi jika individu tersebut ditokohkan dalam bidang yang berkaitan dengan aspek keintelektualan, penulisan, kesusasteraan malah kebudayaan. sumbangan pada masa lalu tokoh tersebut tidak begitu ampuh untuk dibawa kepada masa terkini. jadi, atas dasar apa yang mencadangkan tokoh sesederhana itu dianugerahkan?

apakah sumbangan terkini tokoh tersebut yang menjelaskan sikap dan keluasan ilmunya pada masyarakat generasi Ipad? apakah tokoh tersebut berupaya menulis dengan konsisten dan sejauh mana tingkat kemaskini pemikirannya? dan apakah kita sekadar menganugerahkan gelaran tokoh semata-mata ritual tahunan atau kerana kriteria-kriteria tertentu yang membolehkan tokoh tersebut dianugerah? ataukah didesak atas penilaian kerana sumbangan terawalnya dalam aspek kebudayaan?

dengan berbuat demikian, untuk apa ukuran kualiti diletakkan? ia tidak lebih seperti hamparan kain merah menuju ke pentas podium.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2011 20:31

Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.