Roslan Jomel's Blog, page 3

February 8, 2013

pergi tingggalkan zon nyaman dalam rumah

suatu hari, saya berangan-angan berada di New York. sedih sungguh, ini hanyalah imaginasi.

bukan atas urusan akademik atau perniagaan. namun kerana saya ingin merasai suasana di dalam negara yang paling dicemuh oleh kebanyakan. saya tidak ingin hipokrit. saya selesa memakai seluar jeans Levi's. saya penggemar kemeja T buatan Amerika. kasut adidas Nike saya buatan Amerika, bukan buatan Thailand. saya kadang-kadang meniru gaya sinis mereka seperti yang sering dilihat dalam dialog-dialog sitkom televisyen. dulu rambut saya ikut stail Tommy Page.

kemudian saya menulis beberapa buah cerpen berlatarbelakangkan New York. Budi Darma pernah menghasilkan kumpulan cerpen, Orang-orang Bloomington. buku itu sangat bagus, menurut saya. teksi-teksi kuning sentiasa lalu-lalang dalam setiap cerpen saya. dan apabila sampai di tanah air, saya membukukannya sebagai ole-ole sepanjang kembaraan saya di luar negara. demikian khayalan kosong saya.

tawaran ITBM kepada penulis di bawah usia 30 tahun untuk mengembara ke England, tidak dapat tidak, membuatkan saya cemburu dengan kesempatan yang sungguh lumayan itu. saya sudah terlanjur berusia, menetap sementara di Kuala Lumpur yang serba canggih dan urban persekitarannya. dan mengenangkan itu, saya berasa sedikit berada di luar negara kerana meninggalkan negeri kelahiran, Sarawak, nun jauh di seberang Lautan Cina Selatan. di Kuching pun ada Starbuck, kawan.

jika ditanya kepada golongan penulis, saya fikir, hampir kebanyakannya sudah tentu akan memilih untuk mengembara ke mana-mana lokasi dunia. umur masih muda, buat apa duduk terperuk dalam rumah?golongan penulis memang dianjur untuk pergi melihat dunia di sekeliling mereka, buat meluaskan fahaman, meluaskan cara memandang perbezaan pendapat dan jauh lebih mustahak daripada itu, menajamkan mata pena. penulis-penulis besar sekarang mengembara ketika menghasilkan karya hebat mereka. di sini, kita ada penulis Dr. Faisal Tehrani yang jauh pengembaraannya.

sangatlah menyedihkan jika peluang berada di luar negara sebaliknya tidak mengembangkan pemikiran. juga amatlah mendukacitakan dengan bacaan buku-buku karya penulis luar negara tidak juga melebarkan perspektif masing-masing. sekarang, tinggalkan katil empuk dan hidangan makan sedap di atas meja setiap hari.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 08, 2013 01:15

February 5, 2013

ilmu mengajak cerita untuk bersahabat

saya termasuk mereka yang terlewat memiliki buku ini. semasa berkunjung ke Pesta Buku 1Malaysia, selain membeli majalah-majalah terbitan DBP, saya terpandangkan buku ini di gerai buku ilmiah. dan saya sudah pun selesai membacanya.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 05, 2013 18:20

January 30, 2013

2 buah buku baru.

pada hari Sabtu saya memasuki kedai buku Kinokuniya KLCC, akhir tahun lepas jika tidak silap, saya terpandangkan buku Tiada Tuhan Melainkan Allah tulisan Reza Aslan. saya membelek bahagian luar, maklum sahaja, setiap buku kadang-kadang dibungkus dengan plastik, bertujuan menghindari para pembeli membaca secara percuma. bagaimana hati tidak terluka oleh langkah pencegahan sebegini?

tidak disangka, saya bertemu dengan Lutfi Ishak di rak buku falsafah. bersama cadangan dan pujian yang bernas daripada Lutfi, saya segera membeli buku tersebut. namun bukan pada hari itu. sebaliknya pada awal bulan Januari, baharulah saya membeli buku yang direkomen oleh Lutfi. beberapa hari kemudian, sebaik sahaja saya menyelak majalah World Literature Today, ruangan ulasan buku mempromokan buku kumpulan cerpen Apricot Jam tulisan penulis terkemuka Russia, Aleksandr Solzhenitsyn. saya memohon kad diskaun di kaunter kedai buku Kinokuniya KLCC, dan segera mendapatkan buku yang dihajati.

saya berjanji dengan Wan Nor Azriq, namun Fadhli al-Akiti (editor majalah dewan Sastera) yang saya jumpa di kedai minum di tingkat atas kedai buku Kinokuniya KLCC bersama Lutfi.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 30, 2013 20:29

January 28, 2013

sembang buku

"kalau penyair sudah terlanjur dicap dengan gaya tertentu, sebenarnya dia sudah mati. saya tak mau mati dan terjebak dengan stempel tertentu, itu mematikan kreativiti," demikian kata penyair Joko Pinurbo yang saya kutip dari dalam majalah Tempo edisi 7-13 Januari 2013. buku kumpulan sajak Joko Pinurbo, Tahilalat, diangkat sebagai buku karya satera terbaik pilihan majalah Tempo.

saya menyebut nama Joko Pinurbo ketika sembang buku di kedai kopi coffe bean KL sentral petang Ahad. kemudian penulis Rebeca Ilham menyoal berkaitan pendekatan aliran realisme magis yang dilihatnya wujud dalam cerpen-cerpen saya. jika boleh, saya memang tidak ingin menjelaskan mengapa saya mesti menulis dengan peranti realisme magis. tetapi itulah, kadang-kadang penulis terpaksa tampil untuk memberi sebab-sebab gaya tertentu diaplikasikan dalam kerja penulisan. saya membesar di Sarawak dengan mendengar cerita-cerita magis. kisah buaya Bujang Senang, misalnya.

pertanyaan Rebeca Ilham tidak mengejutkan saya. bahkan dia telah menulis ulasan yang bagus untuk novel Kaing Kaing karya Siti Jasmina Ibrahim dalam akhbar Mingguan Malaysia. menurut Rebeca Ilhamnovel itu dikesan membawa pendekatan realisme magis. mengapa realisme magis tiba-tiba menjadi subjek perbualan pada petang semalam? S.M Zakir menyebut nama penulis Zainal Rashid Ahmad untuk dikaitkan dengan gejala realisme magis di kalngan penulis kontemporari Malaysia. penulis Marsli NO juga dilihat membawa persoalan magis dengan lebih radikal. jangan lupa, teknik realisme magis telah meninggalkan konflik sebelum ini yang melibatkan sasterawan tersohor negara. novel Hujan Pagi karya SN A. Samad Said ditulis dengan penuh ambitious dan menjadi penanda aras kecemerlangan prosa beliau.

duduk di sebelah saya pada petang itu ialah penulis Muhammad Harya Ramdhon. novelis dan cerpenis dari Indonesia yang turut menceritakan perkembangan penulisan di Indonesia. dari dia saya dimaklumkan kepulangan penulis Ratnasari Ibrahim. saya menyenangi cerpen-cerpen tulisan Ratnasari Ibrahim. saya tidak boleh tidak menyebut nama Budi Darma, Kuntowijowo, Seno Gumira, Agus Noor malahan Ugoran Prasad serta Ratih Kumala apabila berbicara tentang cerpen-cerpen Indonesia.

penulis Eka Kurniawan telah menulis novel Cantik Itu Luka. sebuah novel luar biasa yang meminjam kecerdasan naratif Gabriel Garcia Marquez. kepada saya, novel Cantik Itu Luka sangat wajar untuk dibaca jika ingin berbicara tentang teknik realisme magis di sini. saya sempat menyebut nama Etgar Keret. dengan itu, pendekatan dan struktur penulisan magis yang dibawa oleh Gabriel Garcia Marquez telah dipermodenkan oleh Egar Keret. tiada lagi persoalan pasca penjajah atau sesuatu yang melibatkan penjajahan baharu. di dalam cerpen-cerpen Etgar Keret, sesuatu yang biasa tentang rutin harian, telah diangkat dengan peranti realisme magis.

saya sendiri tidak ingin mengulangkan gaya yang sama. dan memang benar kata Joko Pinurbo.
3 likes ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 28, 2013 04:19

January 24, 2013

wawancara

jika anda rajn memaut talian majalah New Yorker, jangan terkejut kerana disediakan ruangan wawancara bersama penulis di mana cerpennya tersiar pada bulan tersebut. begitulah apresiasi barat menghargai para penulis fiksyen mereka. boleh anda bayangkan ruangan sedemikian di dalam majalah seumpama Dewan Sastera? dan apakah bentuk soalan dan jawapannya?

apakah sesi wawancara ini bermanfaat? sesungguhnya bermanfaat. ia memberi "gambaran fiksyen" kepada para pembaca untuk mengetahui bagaimana proses dan idea sesebuah cerpen itu dihasilkan. misalnya apakah yang merangsang Rivka Galchen ketika menyiapkan sesebuah cerpennya? atau dari mana datangnya cerita yang ditulis oleh S. M. Zakir yang tersiar di dalam majalah seumpama Dewan Sastera baharu-baharu ini?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2013 18:35

January 22, 2013

hujan

sajak di bawah ini, sejujurnya dicipta setelah membaca sajak SN Muhamad Haji Salleh. kemudian saya teringatkan sebuah cerpen Haruki Murakami, On Seeing The 100% Perfect Girl One Beautiful April Morning. seperti yang diketahui, cerpen tersebut menjadi asas kepada filem pendek yang diarahkan oleh Naoto Yamakawa pada 1983.



Hujan di Stesen LRT

di bangku yang sama paling hujung
dengan persalinan terindah
wanita dari sebuah puisi silam menanti lagi.

selendang meriah warna melilit tengkuk
rambut digulung semekar harapan
diharumkan pewangi dari Paris
dan bibir digincu berkilauan hati.

minggu demi tahun
dia duduk di bangku terjauh
biru oleh penantian dan likuan masa.

hujan tengah hari bergemuruh di bumbung
seperti lagu sedih menutup filem.
dia melirik jauh di rel sunyi
LRT berhenti juga berulang-alik.

kekasihnya tidak kunjung muka
untuk menyapu rindu yang berlinangan di mata.
LRT dari utara menurunkannya
dengan persalinan teristimewa
lelaki muncul dari puisi masa depan.

di bangku tempat dijanjikan
wajah bercahaya gemerlapan dunia
di telapak tangan tergenggam sebentuk permata
lebih indah berbanding kata-kata.

hari demi bulan
dia menanti di bangku kali terakhir
sebelum hujan petang berlalu
menghapuskan setiap titik kasih.


18 September 2012.

sajak ini terbit pertama kali di dalam buletin Jendela Sarawak 2012.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2013 01:45

January 11, 2013

warna

jika anda tidak kisah, saya ingin menulis tentang sebuah cerpen. tulisan Etgar Keret yang bertajuk Pick a Colour. cerpen ini dimuat dalam buku Suddenly, A Knock On The Door.

kepada saya, cerpen ini tetap menarik kerana persoalan perbezaan ras dan status pemikiran sesuatu kelompok. idea Etgar Keret memang janggal justeru di situlah kecerdasan cerpen-cerpennya. baiklah, saya mengakui, cerpen yang mungkin agak melampau imaginasinya ini mungkin sahaja menggambarkan betapa biadapnya cara orang barat bersastera.

cerpen ini memilih subjek warna. bukan warna pada kain tirai atau sofa di ruang tamu. namun warna kulit. sesuatu yang sensitif dan selalu tidak menyenangkan kerana melibatkan aspek kaum serta bangsa. warna kulit tubuh saya sawo matang sejak kecil. ada beberapa kawan saya yang berkulit cerah. bayangkan jika dasar aparteid diamalkan dalam negara ini? saya mungkin hanya dibenarkan berkumpul sesama kawan yang berkulit sawo matang. cara kami melihat dunia yang indah atau berkongsi emosi, sudah tentu berlainan dengan mereka yang berkulit cerah. saya akan melalui jalan berwarna sawo matang sementara mereka yang berkulit cerah melalui jalan bersebelahan.

apakah logik, Tuhan dijelmakan di atas muka bumi dan berbicara langsung kepada manusia? ada beberapa buah cerpen Etgar Keret menjelmakan malaikat secara nyata dan berkomunikasi dengan manusia. cerpen Hole in the Wall atau Guava contohnya. pertama kali saya membaca bahawa orang yang sudah mati boleh berhubung dengan manusia, melalui novel One Hundred Years of Solitude. sejak itulah saya jatuh cinta pada sastera magis.

masalah untuk berasimilasi berlaku apabila seorang "kulit hitam" berpindah ke kejiranan yang diduduki oleh mereka berkulit sebaliknya.dia mendiami rumah berwarna hitam. pada setiap pagi, dia duduk di bangku berwarna hitam dan minum kopi hitamnya. pada malam yang gelap pekat, tidak semena-mena dia dipukul oleh seorang jiran berkulit putih hingga mengalir darah, yang juga berwarna hitam.

di hospital berwarna putih malah pagar turut disapu cat putih, lelaki hitam itu menemui cinta daripada seorang jururawat yang memakai pakaian seragam putih. dia dirawat sehingga sembuh dengan penuh kasih sayang oleh jururawat tersebut hingga mendorong perasaan cinta antara mereka berdua. apakah mereka, pasangan tidak sewarna itu, akan berkahwin? ya. mereka melangsungkan hari perkahwinan di sebuah gereja berwarna kuning. lelaki kulit hitam terpaksa menggunakan kerusi roda.

paderi yang melangsungkan perkahwinan pasangan itu berwarna kuning, malah pernah dipukul oleh jiran dari komuniti berkulit putih. ibu bapa pengantin berwarna kuning datang dengan menaiki kapal berwarna kuning. paderi itu, walau bagaimana pun berasa ragu-ragu untuk mengahwini pasangan tersebut. hinggalah suatu hari, lelaki hitam yang baharu sampai ke rumah, mendapati isteri berkulit putihnya tertiarap di atas lantai. isterinya mati kerana dipukul oleh jiran berkulit perang selepas balik dari kedai runcit. empat warna kulit manusia bercantum di dalam cerpen itu.

di gereja, mayat isterinya dibawa ke dalam gereja berwarna kuning bersaksikan paderi berkulit kuning. di situlah menjelmanya tuhan berwarna perak hadir dengan berkerusi roda dan tuhan emas turut hadir sebagai watak sampingan. atas alasan apa rasa permusuhan bersifat "warna" ini berlaku? hitam, putih, merah, hijau atau ungu, soal hati dari dahulu tetap sama. produk yang diberi nama "kemanusiaan" memang suatu zon yang kerap menimbulkan kontorversi berdasarkan perpektif masing-masing.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 11, 2013 01:28

January 8, 2013

Januari datang terlebih sesaat

ada beberapa buah buku yang belum diselak. ada buku yang baharu dibeli, terus dibaca sehingga habis. buku terbaharu dibeli, "There Once Lived A Woman Who Tried To Kill Her Neighbor's Baby" tulisan penulis Russia bernama Ludmilla Petrushevskaya. sudah lama saya mengidamkan buku ini kerana subjek yang digarap oleh penulisnya. jangan memperkecil-kecilkan gaya penulisan fairy tales. 

saya memulakan tahun baharu dengan beberapa buah karya kreatif yang tersiar di media. dua buah cerpen dan sebuah sajak. terbit di media cetak Semenanjung Malaysia dan di negeri kelahiran, Sarawak. apakah suatu hari nanti saya menulis novel? saya belum berani menjawabnya. cerpen masih genre yang belum mampu dikuasai dengan baik, bagaimana saya berdaya untuk menulis novel?

cerpen "Kerusi" baharu sahaja terbit di Mingguan Malaysia sementara cerpen "Kasut" disiar dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa, akhbar Utusan Borneo. saya gembira ada yang tertarik pada cerpen "Kerusi." cerpen itu ditulis selama tiga hari. pembaca tidak perlu bersusah-payah untuk menangkap siratan makna cerpen itu. saya menulisnya dengan sederhana boleh.

sahabat saya, Wan Nor Azriq, yang boleh dianggap sebagai "rak buku antarabangsa bergerak," menyatakan cerpen "Kerusi" sedikit-sebanyak memiliki unsur metafiksyen. saya meyakini pandangan sasteranya yang kompleks dan ruwet, sebagaimana saya tidak berbelah-bahagi menghormati keberanian penulis bernama Aidil Khalid. tiada sastera elit, dan sastera bukan hak milik oleh sekelompok tertentu, demikian kata Aidil Khalid dengan tegas. saya dari dahulu mempercayai sastera tidak mungkin memiliki geografi.

 tajuk-tajuk yang kedengaran naive sengaja dipilih untuk berbeza daripada tajuk-tajuk cerpen saya yang suatu ketika dahulu agak panjang dan effusive. cerpen bertajuk "The Bus Driver Who Wanted To Be God" merupakan karya Etgar Keret yang saya suka. sastera kita sudah terlalu lama kering, maka, saya terpaksa bergegas mencari suatu tempat di mana keindahan artistik dan seni imaginasi dibiarkan tumbuh bebas. dan tempat itu tidak hanya ada di Amerika Selatan mahupun Eropah. saya tidak perlukan penasihat moral di dunia fiksyen.

sajak "Pasir di Beranda" terbit dalam majalah Dewan Sastera isu Januari 2013. sebuah sajak bertajuk "Perempuan di Tingkap Dawai" terbit dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 23 Disember 2012. setelah membaca sebuah sajak karya SN Muhammad Haji Salleh, saya menulis sajak "Hujan di LRT" yang kemudiannya dipilih editor Jendela Sarawak untuk cetakan isu Disember 2012.

dua buah cerpen sebelumnya sudah pun dikirim ke majalah terbitan DBP. saya cuba mengawal penulisan cerpen untuk berhenti pada penghujung halaman ke sepuluh. menulis cerpen sehalaman bukan mudah, menulis novel yang setebal 200 halaman juga tidak kurang menyeksakan. bukan soal panjang atau pendek yang menjadi ukuran. apakah karya yang ditulis akan diikuti oleh pembaca dengan gembira? apabila saya menyelesaikan sebuah cerpen, saya menunjukkan kepada isteri dan meminta pandangannya. saya sangat bimbang jika isteri saya sendiri mengakui tidak faham apa yang saya tuliskan.

"the problem for every writer is credibility. anybody can write anything so long as it's  believed." demikian G.G. Marquez menjawab soalan dalam wawancara untuk majalah Paris Review.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 08, 2013 00:43

December 10, 2012

gelora





Apakah persamaan antara dua buah cerpen bertajuk Heringkarangan SN Anwar Ridhwan dan Pesta hasil tulisan Awangku Merali Pengiran Mohamed? Apakah yang menyambung benang cerita atau inti persoalannya? Cerpen Pesta dan Hering menarik perhatian saya disebabkan persamaan tema kekuasaan dan pesanan politikalnya. Bahkan kedua-dua pengarang penting ini memiliki pencapaian cemerlang dalam bidang penulisan dengan menghasilkan beberapa cerpen yang dianggap paling terkehadapan dalam teknik penceritaan kontemporari.             Tiada karya asli dalam bidang kreativiti, menurut U-Wei Haji Shaari. Pengarang generasi baharu mendapat inspirasi daripada kehebatan karya silam dengan melakukan beberapa perubahan dan pendekatan sesuai dengan situasi dan pemikiran semasa. Ketika menghasilkan cerpen The Aleph, Jorge Luis Borges mengakui bahawa dia terpengaruh oleh cerpen The Crsytal Egg (1899) karya Herbert George Wells. Justeru Jorge Luis Borges menyetujui pandangan Ralph Waldo Emerson bahawa, “all literary works are one work and that all writers are one impersonal writer.”            Pertama kali saya membaca cerpen Hering ialah ketika ia tersiar di dalam majalah Dewan Sastera awal tahun 2000. Cerpen Hering membawa naratif unik dan menakjubkan kerana jalinan plot cerita serta simbolik-simbolik tertentu yang memperkukuhkan kebijaksanaan khas gaya penulisan SN Anwar Ridhwan. Cerpen Hering kemudian dimuatkan semula untuk Naratif Ogonshoto(terbitan Matahari 2001). Kepada saya, cerpen Hering tampil dengan gaya yang segar, berlapisan makna untuk mencabar daya tafsiran malah kompleks jalinan persoalannya bahkan amat tajam menghantar perutusan.            Sementara cerpen Pesta dibaca pertama kali di penghujung halaman buku kumpulan cerpen Cerita dari Sebuah Taman (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2001). Lihat persamaan tahun penerbitan kedua-dua buku pengarang ini. Saya tidak menemui cerpen tersebut terbit di mana-mana media cetak. Cerpen Pestamerupakan cerpen yang agak pendek berbanding saiz kebiasaan cerpen-cerpen Awangku Merali Pengeran Mohamed. Keisimewaan yang terungkap dalam cerpen Pesta selain disampaikan dengan gaya mengejek, bernuansa parodi komtemporari, malah jelas melukiskan keserakahan kuasa yang dibayangi oleh gelora seks seorang watak bernama Seri Betara Bahlulnegara Walanca Puspa, ketua pemimpin Nagrimanasaja. Pengarang menyorot gaya hidup serba berlebih-lebihan Seri Betara Walanca Puspa dengan mata pena seorang pengkritik sosial.            Jika dibaca secara harfiah, memang terdapat sedikit perbezaan objektiviti penceritaannya. Bagaimana pun, kedua-dua cerpen itu mendedahkan api nafsu kelakian yang tidak pernah kesudahan. Kuasa, seks, wanita sering diburu dan ia dirujuk kepada kemewahan yang diberikan oleh keajaiban bernama politik. Sejak dari zaman kebangsawanan dan kehancuran pemerintahan di Rom atau di mana-mana sahaja pada situasi sekarang ini, kekuasaan dan politik tidak pernah lekang dalam manuskrip sasterawan. Tugas pengarang ialah memindahkannya sebagai renungan untuk generasi masa hadapan.             Hakikatnya, sokongan daripada kekuasaanlah yang paling ampuh menampung imuniti setiap individu dengan politik menjadi penaung magisnya. Sebagaimana kenyataan Carlos Fuentes ketika mentakrifkan novel karangannya, The Eagle Thrown, politics can be dogmatic. The novel can be enigmatic. Maka inilah yang berlegar-legar di dalam fikiran watak protagonis cerpen Hering yang dikenali hanya sebagai “politikus muda” atau “pemburu muda” sepanjang cerpen Heringyang berbelit-belit sehingga ke penghujung. Obsesi kekuasaan yang bergelora dalam kepala “politikus muda” itu digambarkan dengan kalimat seperti berikut:            “Sementara menanti lelaki itu siap, pemburu muda mundar-mandir di halaman, sambil berfikir-fikir. Dia mahu misi pembunuhan dapat dibereskan dengan pantas. Lebih cepat lelaki itu menemui ajal, lebih cepatlah bintangnya bersinar dalam politik Ogonshotosinar yang akan membawa penghormatan dan kekayaan bersama-sama.” (Halaman 149, Naratif Ogonshoto).             Apakah cerpen Pesta semata-mata menceritakan tentang sikap kemiangan dan nafsu syahwat seorang lelaki tua bernama Seri Betara? Cerpen Pesta dimulakan dengan hari pertabalan yang keempat puluh tahun sebagai pemimpin Nagrimanasaja. Tempoh pemerintahan yang lama membayangkan betapa luar biasanya Seri Betara. Manusia memang suka akan gelaran, maka Seri Betara menganugerahkan bintang-bintang kebesaran kepada tokoh yang berjasa. Pada hari itu juga, rakyat yang naif tentang selok-belok dunia kekuasaan dijemput untuk berasak-asak meraikan hari pertabalan Seri Betara dengan menghias kawasan Nagrimanasaja sedemikian cantik. Sesungguhnya Seri Betara merupakan manusia separuh dewa di mata rakyat.            Gila akan kekuasaan inilah yang digambarkan sebagai neokolonialisme, warisan penjajah yang ditelan bulat-bulat oleh warga tempatannya sendiri. Wabak kolonialisme dalaman (internal colonialisme) inilah yang mewujudkan manusia peribumi berjiwa kebaratan, kesan oleh penjajahan negara. Bagaimanakah kita, sebagai pembaca, hendak mengaitkan cerpen tersebut dengan keadaan semasa, di luar alam fiksyen? Saya fikir, pengarangnya ingin menyampaikan sesuatu mesej yang lebih daripada naluri serakah Seri Betara di atas ranjang. Sering benar, apabila seseorang yang dilimpahi oleh kemewahan dan tempoh kekuasaan yang panjang, membutakan hati dan fikirannya. Kehidupan dan penghujung hayatnya digoda oleh tuntutan badaniah, gila kepada hiburan, dipandu oleh kecantikan wanita di mana-mana sahaja mata memandang.             Watak Seri Betara seperti sengaja dizahirkan dalam keadaan uzur tidak sebagaimana watak “politkus muda” dalam cerpen Hering yang baharu sahaja berkeinginan menceburi wilayah kekuasaan. Seri Betara bukan sahaja didatangi oleh gejala kenyanyukan, malah pentadbirannya mula menjadi bertambah goyah. Bagaimana sesuatu negara itu akan bertahan jika pemimpinnya tidak mampu lagi berfikir secara waras dalam kehidupan peribadi sendiri? Lihatlah dengan mata pena runcing dan sinis, pengarang menggambarkan secara fizikal dan mental Seri Betara di hujung cerita.                    “Dia tidak ingat, berapa orang isterinya yang sebenar. Kenanga, Melur, Kuntum, Melati, dan eh berapa? Dia mengeluh. Kemudian dia menggelengkan kepalanya. Dia duduk semula perlahan-lahan. Dia memandang perutnya yang memboyot serta lengannya yang berkedut. Sudah tua. Dia sudah tua dan pelupa. Dia senyum. Andalas tetap cantik. Isterinya atau bukan, Andalas tetap cantik.” (Halaman 320, Cerita dari Sebuah Taman, 2001).            Namun apabila diselami struktur yang menjadi tulang belakang kedua-dua cerpen tersebut, jelas kelihatan terdapatnya paralelisme bersangkut-paut dengan nilai kekuasaan. Kekuasaan adalah perkataan lain untuk menyatakan magis dan kesaktian yang hanya dimiliki oleh individu tertentu dan melonjakkan nasib lebih baik berbanding manusia biasa. Kekuasaan mencipta jambatan ghaib yang menaikkan darjat seseorang ke puncak kekayaan sedemikian sukar untuk dilihat apatah lagi digapai oleh tangan manusia biasa. Salah satu cara termudah untuk mendapat kehebatan magis dalam kehidupan melalui kekuasaan ialah melibatkan diri dalam politik. Dan itulah fatamorgana yang bersinar di dalam mata “politikus muda” bahkan sedang dihirup serba nikmat oleh Seri Betara.             SN Anwar Ridhwan dan Awangku Merali Pengiran Mohamed memimpin energi generasi penulis era 80-an sehingga ke masa kini dengan meninggikan paras kepiawaian dalam bidang cerpen. Keseriusan tema yang dilagangkan melalui hasil cerpen mereka malah menjadi bahan kajian para sarjana. Keberkesanan persoalan dan nilai-nilai intelektual yang bermanfaat kepada masyarakat pembaca justeru memberi kualiti kepada kerja penulisan kedua-dua pengarang tersebut. Tugas terbesar seorang sasterawan ialah menyedarkan pembaca dengan pesanan kemasyarakatan dan nasib bangsanya. Kesusasteraan bukan tempat murahan untuk meluahkan sentimen remeh-temeh kosong.            SN Anwar Ridhwan menulis, “jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka hanya namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika seorang penulis muda mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih bestari.” (Berita Harian 17 September 2012).            SN Anwar Ridhwan dan Awangku Merali Pengiran Mohamed memiliki sikap yang hampir sama berdasarkan jumlah hasil penulisan. Sedikit tetapi bernilai sepanjang zaman. Cerpen Hering dan Pesta menjadi gambaran luas betapa kekuasaan dan masa depan negara akan binasa jika individu yang berada di wilayahnya merupakan individu-individu yang hanya diisi oleh ketamakan dan nafsu kebendaan di dalam dada. Kepintaran helah yang dimainkan oleh “politikus muda” untuk meraih tangga kekuasaan tidak ada bezanya dengan habuan nikmat yang berlinangan dalam aliran nafsu Seri Betara yang digambarkan sudah tua malah lupa bilangan isteri sendiri. Gambaran cerita dari dua buah cerpen itu memperlihatkan kiasan yang sungguh tepat untuk situasi pada masa kini dan tiada kesaktian lain untuk menafikan kebenarannya.             Puncak prestasi seseorang pengarang kreatif tidak berlaku secara mudah malah tiada jalan pintas untuk mencapainya. Sebagaimana yang dihuraikan oleh SN Shahnon Ahmad ketika merujuk kematangan dalam menghasilkan karya, bahawa salah satu ciri utama dalam penilaian karya sastera adalah faktor kematangan, iaitu kematangan karya dalam segala persoalan komposisinya termasuk pemikirannya, olahan jalan ceritanya, pemilihan diksinya, peleraian krisis pada peringkat klimaksnya, lantunan kisahnya, perwatakannya, personifikasinya, tautannya, pemilihan simbolnya dan anjakan paradigma yang cuba hendak dilagangkan dan sebagainya. (Pabila Hujan Turun, Dewan Sastera September 2012).            Menurut SN Muhammad Haji Salleh ketika menulis tentang kepengarangan SN Anwar Ridhwan (Dewan Sastera Oktober 2009): Berbanding dengan pengarang yang lainnya di Malaysia: Anwar tidak besar jumlah hasil karyanya (melainkan esei yang banyak ditulisnya hingga kini). Setelah hampir 40 tahun menulis, beliau hanya menerbitkan empat buah novel, empat buah kumpulan cerpen, empat buah drama, sebuah kumpulan sajak dan tiga buah buku esei. Bukan jumlah yang dicarikan sastera Malaysia kini, tetapi bakat dan kekuatan kepengarangan yang lebih kekal untuk direnung, dicontohi oleh generasinya dan juga yang datang setelahnya.            Sedemikian juga Awangku Merali Pengiran Mohamed yang diketahui amat sedikit hasil karya penulisannya. Awangku Merali Pengeran Mohamed bukan penulis produktif dalam penghasilan karya sastera, namun setiap karyanya sering mendatangkan kejutan terbaharu. Penghasilan cerpen seperti Pesta walaupun pendek, gema ejekan yang menutup cerita tersebut berdesing ke dalam telinga khalayak sastera sehingga kini kerana ketepatan gambarannya. Hampir setiap cerpen yang menjadi buah tangannya, sentiasa menjadi khazanah kesusasteraan negeri Sarawak yang bakal dihidupkan semula oleh para pengkajinya nanti. Lantaran setiap kerja penulisannya sering memberi impak dan aura kepada para pembacanya di Sarawak mahu pun di peringkat kebangsaan.              Dalam sebuah kajian bertajuk “Awangku Merali: Mengembalikan Timur Kepada Timur tulisan Dr. Mohamamad Saleeh Rahamad, dituliskan bahawa Awangku Merali Pengiran Mohamed muncul secara berdikit  tetapi pantas mencapai kedudukan sebagai penulis penting di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya. Awangku Merali Pengeran juga terkenal kerana cerpen-cerpennya sering sinonim dengan tentang pensejarahan baharu, pencarian jati diri, dekolonisasi, menyampaikan suara golongan subaltern dari kawasan pedalaman dan kuasa hegemoni yang menyalahgunakan kekuasaan untuk menghalalkan segala kemahuan mereka. Kemenangan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam penulisan menjadi testimonial kepengarangan Awangku Merali Pengeran Mohamed            Cerpen Pesta dan Hering ialah sebahagian daripada beberapa cerpen mereka yang sangat penting kepada kesusasteraan nasional. Tema yang menjadi teras kepada pembinaan kedua-dua cerpen tersebut berkisar kepada simpang-siur kekuasaan yang ditagih oleh setiap manusia bernafsu besar. Obsesi kepada kekuasaan atau ditenggelami oleh nikmat kekuasaan menjadi subjek paling dominan yang dibawa oleh kedua-dua watak antagonis, di dalam cerpen Hering dan Pesta. Hasrat tersembunyi watak “politikus muda’ untuk keluar berburu rusa bersama-sama lelaki dari Runakita, yang memiliki anak perawan idaman “poltikus muda” hanya semata-mata alasan atau helah untuk mencari jalan membunuh lelaki tersebut di dalam hutan tanpa diketahui oleh pihak awam. Kegemerlapan ganjaran yang bakal dimiliki nanti dalam bidang politik, memandu hawa serakahnya untuk berbuat apa sahaja, hatta dengan cara tidak bermaruah.            Cerpen Hering dan Pesta bercerita dengan gaya berbeza tetapi utusan yang terselindung secara tersurat dan tersirat, membawa nada yang tidak jauh berbeza – tentang kekuasaan dan malapetaka yang bakal dihadapi. Sama ada berusaha untuk mengekalkan tampuk kekuasaan atau pemburuan untuk meletakkan diri sebagai sebahagian daripada orang yang akan diberi kekuasaan. Latar belakang dalam cerpen Pesta  memang kelihatannya dari zaman lampau, tetapi lihatlah kesan dan akibat pada masa kini apabila tembok kekuasaan di atas singgahsana apabila diterajui oleh manusia yang tidak lagi bertunjangkan kebijaksanaan akal fikiran dan kewarasan akhlak. Wilayah kekuasaan dan politik seakan-akan menjadi individu tersebut lebih mulia berbanding manusia biasa. Segala-galanya boleh dilihat melalui kedua-dua buah cerpen tersebut secara mendalam.            Di penghujung cerita Hering, watak utamanya mati tanpa sempat meniduri anak perawan idaman. Namun, insiden alat sulitnya yang masih tegak berdiri menyampaikan maksud berlapisan tentang ilusi kekuasaan. Tanpa berbasa-basi, SN Anwar Ridhwan melukiskan perenggan sebegini untuk mencerminkan betapa gelora “politikus muda” untuk menikmati tampuk kekuasaan sepenuhnya tidak terlaksana, malah patah di tengah jalan yang baharu bermula sebagai menteri muda Ogonshoto;            “Memang, anunya masih menegak, hingga kawasan antara pusat dan lutut mayat itu terangkat seperti khemah.” (halaman 172, Naratifogonshoto).            Anak perawan kepada lelaki yang mati dibunuh dengan batang pendayung oleh “politikus muda” akhirnya mengesyaki bahawa pemuda yang berburu rusa bersama-sama ayahnya, merupakan pembunuh, seperti yang difikirkan berulang-ulang ketika melihat abu mayat ayahnya dalam porselin. Serangan jantung menyebabkan punca kematian mengejut “politikus muda,” anak perawan sanggup menyerahkan mahkota kedaraannya demi menunaikan permintaan “politikus muda” yang sudah pun mati hanya untuk menikmati gelora seksnya. Bahkan dengan perlambangan yang begitu tragis, anak perawan membawa alat sulit milik “politikus muda” yang kemudian diserahkan untuk disantap oleh burung hering di atas perahu yang menjadi tempat mayat ayahnya dibawa ke daratan. Apakah makna dari perlambangan sebegini?              Dalam cerpen Pesta, Awangku Merali Pengeran Mohamed memilih untuk tidak mematikan watak Seri Betara. Watak yang dikagumi oleh semua rakyat Nagrimanasaja ini begitu mulia kedudukannya. Kepada rakyat, dapat melihat merkah bibir Seri Betara itu sudah memadai. Selain Allah, Seri Betara punya kuasa dan hak terhadap nyawa rakyatnya. Gambaran hiperbola ini mengingatkan saya kepada cerpen Big Mama’s Funeral hasil tulisan Gabriel Garcia Marquez. Kemudian, untuk menceritakan gejolak nafsu Seri Betara, maka diciptakan seorang penari pompa sempena meraikan hari pertabalan keempat puluh Seri Betara sebagai ketua pemimpin Nagrimanasaja. Seorang wanita mempesona yang menari untuk hiburan Seri Betara mendedahkan kepada Seri Betara di atas ranjang, bahawa dia sebahagian daripada gundik Seri Betara. Secara sengaja Awangku Merali Pengeran Mohamed menekan kesan sinikal untuk cerpen Pesta. Cerpen Pesta dengan perlambangan kreatif, membiarkan sahaja Seri Betara terus melayari hawa nafsunya di dalam usia yang sudah pun uzur. Gelora kekuasaan dan kecintaannya kepada liuk-tubuh wanita tiada berkesudahan. Demikian ganjaran dan keajaiban yang disediakan oleh kekuasaan dan politik kepada individu-individu terpilih.            Karya kesusasteraan yang bersifat serius tidak pernah memutuskan hubungan dengan kemanusiaan sejagat. Setiap kisah dan perlambangannya mewakili pemikiran semasa pengarang untuk manfaat kepada pembaca malahan bangsanya. Cerpen Heringtidak dapat tidak, memberi gambaran sebenar melalui perlambangan alat sulit milik “politikus muda,’ betapa dahsyatnya tarikan kekuasaan kepada sesiapa sahaja. Di bawah anjuran Presiden Ogonshoto, “politikus muda’ diarahkan dalam misi khas, iaitu menamatkan riwayat lelaki dari Runakita.              Cerpen Hering yang kompleks dan berliku-liku alur ceritanya, memilih kematian sebagai peleraian konflik. Manakala dalam cerpen Pesta, mengambil pendekatan yang lebih sinis dengan mengandaikan para pembaca mencari jawapan sendiri untuk mengagak siapakah Seri Betara pada masa kini. Atau di manakah terletaknya Ogonshoto dan Nagrimanasaja pada zaman dahulu mahu pun sekarang? Sekiranya Gabriel Garcia Marques mencipta wilayah Macondo, maka pilihan alternatif SN Anwar Ridhwan dan Awangku Merali Pengeran Mohamed membina latar fantasi untuk kerja penulisan, maka ia dinamakan lesen kreatif untuk mereka memparodikan peristiwa politikal menurut kaca mata dan daya imaginasi masing-masing.          


-diterbitkan pertama kali di akhbar Utusan Borneo, dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 10, 2012 22:37

November 10, 2012

Keretesque



Etgar Keret, penulis Yahudi. saya tidak ambil peduli apa fahaman politiknya. sekarang, dia merupakan penulis yang paling saya suka. Haruki Murakami dan Gabriel Garcia Marquez, saya fikir sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada Etgar Keret.

cerpen mikro bukan suatu idea yang baharu. Wan Nor Aziq, kawan saya, lebih mengetahui kedudukannya di peringkat antarabangsa. Dewan Sastera keluaran Januari 1996 pernah menerbitkan sebuah cerpen terjemahan yang paling pendek.

tajuknya, Mengkarung. The Chameleon. ditulis oleh pengarang dari Panama. Claudio de Castro namanya.

Etgar Keret menurut saya, telah memberi stuktur lebih moden, segar dan sealiran dengan situasi semasa. dia memendekkan saiz prosa ke dalam bentuk yang padu. itulah kelebihannya. bagaimana jika dia menulis dengan lebih panjang? apakah ceritanya menjadi longgar?

fantasi, imaginasi liar, realisme magis, sentimen kemanusiaan dan sentuhan absurd mahu pun komikal. percayalah, tiada yang baharu dengan elemen-elemen itu.

kita telah menemuinya terlebih dahulu dalam Kisah Seribu Satu Malam.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 10, 2012 05:28

Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.