Roslan Jomel's Blog, page 8

October 1, 2011

senangnya jadi penulis.

dalam sebuah artikel yang mungkin tidak menyamankan untuk dibaca oleh sesiapa pun yang ingin menulis dan kemudian bergelar penulis.

artikel tersebut diberi tajuk "Masalah Kriteria Kritikan Sastera Di Malaysia" tulisan SN Muhammad Haji Salleh dalam buku kumpulan eseinya, Menyeberang Sejarah. Tulisan esei tersebut memang panjang, serius, luas perinciannya bahkan tidak mungkin mudah dibaca sekali-lalu.

bukan kerana SN Muhammad Haji Salleh menulis dengan pendekatan abtraks atau bersimpang-siur bahasanya. tetapi tuntutan daripada isi esei tersebut yang menagih kefahaman pembaca. standard kepekaan, daya intelek, keberadaan seseorang dalam bidang penulisan dan masa depan sastera itu sendiri, dikupas dengan tajam demi memaknakan semula kesusasteraan yang semakin hari semakin kabur istilahnya kini.

saya memetik kata-kata dari esei tersebut untuk diletakkan dalam entri blog ini. demikian bunyinya:

"Saya kira sudah sampai masanya kita lebih melihat sastera kita sebagai suatu bidang yang serius dan hanya boleh dimasuki oleh orang yang berbakat dan berkemampuan. Sudah agak lama kita membuatkan sastera sebagai tempat perkongsian orang-orang gagal di bidang lain."

kebenaran kata-kata di atas, melukakan hati saya.

untuk menekankan lagi visi esei ini, SN Muhammad Haji Salleh menulis dengan nada yang lebih menghiris:

"Dunia sastera kita penuh dengan penulis yang tidak pun ada bakat dasar ataupun penulis palsu."

saya menyatakan kepada Wan Nor Azriq di medan selera Pasar Seni, inilah inti untuk esei yang akan saya cuba tuliskan untuk siaran akhbar di Sarawak nanti. kelak, apabila saya menulisnya, isi esei tersebut dituju khas kepada saya. ya, kepada saya sendiri.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 01, 2011 21:07

September 29, 2011

bukan buku sampah

di belakang tempat saya sering menunggu bas ke Ampang Point setiap awal pagi, belasan tahun dahulu, rupa-rupanya ada sebuah kedai buku. bukan kedai buku biasa tetapi benar-benar kedai buku yang menyimpan koleksi luar biasa. betapa tololnya saya kerana di situlah tempat saya sering berada, membelakangi pintu kedai buku, yang tidak disedari. kerana dalam keadaan gelap sekitar pukul 6.30 pagi, mata saya tidak ingin melihat apa-apa kecuali menunggu kedatangan metrobus.

nama kedai buku tersebut ialah Junk book. berlokasi di jalan Tun H S Lee. atau di pinggir kiri di persimpangan 4 jalan di tengah bandaraya KL. lebih senang, saya menyebut jalan Silang. di mana ramai orang dari negara Mynmar membuka premis perniagaan sekarang. bertentangan dengan kedai buku tersebut, bank RHB. dan saya hanya berkesempatan memasuki ke dalam kedai buku tiga tingkat itu pada hari Sabtu lepas, 24 September.

bersama Wan Nor Azriq, Aidil Khalid dan Ainunl Muayanah, saya dipimpin memasuki ke sebuah dunia yang diisi pelbagai jenis buku. mahu sahaja saya menjerit kegembiraan. tentu sahaja saya lebih tertarik pada koleksi kesusasteraan. dan, kebanyakannya mengangkut khazanah fiksyen berbahasa Inggeris. pada hari yang sama juga, kebetulan saya berjanji untuk berjumpa dengan Mohd. Fareez Abdul Karim di mamak CM, lalu saya membawa dia sekali lagi ke kedai buku tersebut. jangan dicari karya-karya sastera dalam bahasa Melayu di dalamnya.

"harga boleh dirundingkan," kata untie yang berkerja di kedai buku tersebut.

dan saya membeli sebuah buku koleksi cerpen The Love A Good Woman karya Alice Munro.

ruang dalamnya sederhana, tampak seperti sudah wujud sekian lama, barangkali sebelum pengisytiharan kemerdekaan negara. malahan diletakkan beberapa buah buku termasuk majalah Pelita Bahasa terbitan lama pada setiap anak tangganya. apabila berada di dalamnya, berdiri di tengah lorong buku, memerhati susunan buku yang disinari cahaya lampu kalimantang dan betapa ingin saya tuliskan sebuah puisi untuk menyatakan keasyikan mistik kerana tersekat oleh koleksi buku, yang membentuk labirin.

saya telah meletakkan beberapa keping ketika mengunjungi kedai buku tersebut di laman facebook. tidakkah anda teruja?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 29, 2011 18:10

September 26, 2011

masalah negara

kawan saya yang seorang ni memang bersemangat untuk menulis. dia juga bersungguh-sungguh untuk menghadiri bengkel penulisan yang diadakan di merata-rata tempat. dia memang bersemangat menjadi seorang penulis berjaya.

balik dari acara bengkel penulisan, dia menemui saya dan menceritakan masalah yang sudah beberapa kali didengari saya. walaupun sudah muak, demi menjaga air muka kawan saya yang seorang ni, saya selalu berpura-pura serius di depannya. mendengar rintihan malang hidupnya.

"kau lainlah. selalu sahaja karya kau disiar dalam media terkenal," katanya sambil menyedut milo ais.

"aku menulis hari-hari. aku terpaksa membaca banyak kali. aku ni tak skolah tinggi. keluarga aku miskin. sebab tu aku kena baca macam-macam buku. supaya macam-macam pengetahuan yang aku tahu." saya menekan kesedihan saya pulak.

disingkatkan cerita.

"kali ni, dah 47 kali bengkel penulisan aku ikut. tapi aku masih gagal menulis," demikian kawan saya yang seorang ni berkata dengan tangan bersedia menggenggam peha ayam goreng.

"jadi, apa yang kau pelajari dari bengkel penulisan yang dah ke-47 kali tu?" soal saya dengan muka masih menaruh harapan.

"oh! ya, aku baru beli beg tangan baru. aku baru tahu ada shopping complex baru. jadi aku beli tudung baru. dan beberapa majalah hiburan untuk dibaca pada waktu senggang. kalau ada lagi bengkel penulisan, aku nak ikut lagi. kalau dibuat di luar negara, lagi bagus. boleh jugak bersiar-siar di negara orang."

"itulah yang aku harapkan. bagus. sekurang-kurangnya kau membaca." saya pergi ke kaunter untuk membayar makanan dan membayar sekali makanan kawan saya yang seorang itu. kawan yang sesungguhnya dirahmati Tuhan.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 26, 2011 20:22

pengunting

jika kamu seorang pembaiki paip, ada segala mak nenek sijil, diploma, phd atau sekurang-kurang memiliki kad kredit, dipersilakan memohon jawatan sebagai pengunting.

bukan pengunting rambut.

jika kamu seorang peniaga yang gagal kerana gangguan kewangan, berpengetahuan dalam mencari kesalahan ayat, memiliki kesedaran moral yang tinggi atau sekurang-kurang suka bergosip di laman facebook, dipersilakan memohon jawatan sebagai pengunting.

bukan pengunting rumput.

tapi pengunting majalah sastera.

siapa tahu, dengan kehadiran individu seperti kamu, bahasa dan sastera bertambah maju.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 26, 2011 08:55

September 22, 2011

amerika

saya dapat merasakan sudah tentu ada kaitan Franz Kafka di sebalik tajuk novel yang sedang saya tuliskan ini.

novel Amerika karya terbaharu Ridhwan Saidi ditulis seperti melawan kesempurnaan novel-novel biasa yang disusun di rak buku, misalnya di kedai buku Popular atau Kinokuniya. naratif sebegini digelar amatur, kata sasterawan tulen. jika pembaca ingin mencari kekukuhan cerita yang berfokus, maka, pengharapan sedemikian mungkin tidak ditemui. Ridhwan Saidi cuba melakukan eksperimen.

malah saya boleh mengatakan bahawa novel ini tidak berasaskan cerita. sebagaimana intro novel ini digerakkan, demikian tanpa sebarang kesan suspen atau kepuasan klimaks, penghujung novel ini diselesaikan dengan bantuan surealime. apakah benar begitu? menurut fahaman klise tentang penulisan karya kreatif, harus ada cerita untuk dikongsikan bersama dengan pembaca. jadi, apakah yang ingin disampaikan oleh pengarangnya melalui novel setebal 242 muka surat ini?

Ridhwan Saidi melalui watak utama sebagai narator, bahkan mengambil kesempatan untuk menulis idea-idea tentang politik, arsitektur, kecetekan intelektual dalam pemikiran para pelajar di universiti dan takrifannya tentang seni sepanjang halaman buku Amerika. dalam novel ini juga, disebut dua buah novel karya Dr. Faisal Tehrani dan dari perenggan yang membicarakan tentang sastera, jelas, Murshid Merican kurang ghairah dengan gaya penulisan para pengarang kreatif tempatan. mungkin disebabkan perbezaan cita rasa atau sekolah pemikiran yang berlainan, ditulis novel Amerika.

lelaki yang datang dari latar arsitektur bernama Murshid Merican berminat pada kerja seni. setelah namanya diperkenalkan dalam bab ke tiga, baharulah kita diberitahu bahawa selain mengagumi jurusan senibina, dia cenderung untuk mendalami dunia perfileman dan penulisan kreatif. Murshid Merican ingin menulis sebuah novel, dan tajuk yang terlintas dalam fikirannya ketika berbual dengan Dahlia ialah, Amerika. Selain Dahlia, Aneeta juga adalah teman wanita Murshid Merican. Tidak lupa, Janice, ibu tunggal muda yang menggoda seksualiti Murshid Merican.

sampai akhir muka surat, saya merasakan ada idea yang menarik dan sureal apabila melihat bagaimana Ridhwan Saidi membentuk naratifnya menjadi cerita di dalam cerita. mengabaikan siapakah sebenarnya Dahlia atau Anneta, sama ada mereka berdua ini kekasih kepada Murshid Merican. kerana di dunia luar sana, amat sulit untuk menemui perempuan semuda Dahlia boleh diajak berbicara tentang isu-isu kompleks. tapi, itulah fiksyen. fiksyen membolehkan perkara yang tidak logik berlaku atas kehendak dalaman pengarang.

lipas raksasa yang muncul ketika muka surat menipis di bahagian belakang, mungkin jelmaan semangat Franz Kafka sebagaimana tajuk untuk novel ini.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 22, 2011 09:04

September 18, 2011

di dalam isu dan di luar isu

turun sekali dengan saya dari tingkat 3 bangunan Annexe CM semalam, Uthaya Sankar SB. kelak akan menyusul Saifullizan Tahir, Saharil Hasrin Sanin, Wan Nor Azriq dan Ainul Muaiyanah.

bersama Uthaya Sankar SB, memang tak bakal habis perbicaraan tentang sastera, politik, sosial dan segala yang jijik mengenai hidup manusia itu sendiri. bersama Uthaya Sankar SB, saya berkesempatan untuk berbicara semua perkara tanpa rasa takut pada apa-apa yang dinamakan zon sensiviti.

mi kue teow goreng dan 3 gelas teh tarik masuk dalam perut ketika telinga dan mulut saya harus menganalisis kata-kata Uthaya Sankar SB. ada, saya rasa, di kalangan penulis yang agak kurang senang kerana hubungan baik saya dengan Uthaya Sankar SB. sebagai orang Melayu Sarawak, saya bergaul dengan pelbagai kaum di sana semasa sekolah rendah lagi. malahan kekasih lama saya berbangsa Cina. hik hik hik.

di luar sana, nama Utahaya Sankar SB sedang menjadi sebutan. dia adalah public figure. profil dan prinsipnya dipalit dengan pelbagai kontroversi yang sedia dimaklum oleh golongan karyawan. bahkan golongan akademik dan budayawan. ini kerana segala usaha dan tindakan yang cuba diusahakan Uthaya Sankar SB seolah-olah layaknya seorang politikus.

saya menimbulkan persoalan demikian. dan saya mahukan Uthaya Sankar SB menjawab dengan jujur. "bagaimana komen kau ada pihak yang mengaitkan kau dengan parti politik. hah! jawab!" desak saya.

dan dia menjawab hingga saya menemui kejernihan dari kata-kata dan hujahnya. saya selalu cuba untuk bersangka baik dengan manusia. untuk selama-lamanya. dan saya sedar, dunia dan manusianya tidak mungkin seratus-peratus boleh dipercayai sebab begitulah resam kehidupan. ramai yang tidak sedar bahawa cahaya matahari bukan berwarna putih. tapi kuning. dari warna kuning yang cerah itulah kita melihat apa yang terlindung di sebalik tengkuk sahabat-sahabat kita.

saya yang selalunya berada jauh dari isu-isu tidak terlalu ingin bersungguh-sungguh memandaikan diri. menulis di status FB tentang kesedaran sosial melalui kata-kata, sebenarnya juga menakutkan saya. jadi, perlahan-lahan saya menghayati penulisan yang dihasilkan oleh penulis-penulis yang memiliki kedalaman intelektual. saya sudah muak dengan isu rasis. ironisnya, itulah isu yang tidak pernah turun nilai ketika berkempen.

membaca liputan berita, artikel dan segala tulisan dari media maya, adalah satu cara saya mengikuti isu-isu semasa dari belakang. Mat Sabu dengan Mat Indera. profesor-profesor yang bertelagah mengenai status kemerdekaan negara. bahkan kutipan zakat, pemeriksaan di gereja atau bagaimanakah status sejenis mentega yang selama ini digunakan untuk membuat kek lapis di Sarawak.

hampir sejam saya berbual dengan Uthaya Sankar SB. hanya untuk memahami isu novel Interlok. dan mengusik serba ringkas tentang isu pembayaran royalti penulis-penulis tek KOMSAS.

selepas itu, barulah muncul Saharil Hasrin Sanin, Saifullizan Tahir, Wan Nor Azriq dan Ainul Muaiyanah. duduk di sebelah saya pada petang kelmarin, ialah isteri saya. kawan baik yang selalu menemani saya ke mana-mana. hehe.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2011 02:04

September 13, 2011

mesej itu dari mana dan apa mahunya?

saya sedang menulis cerpen. mesej tajuknya. sulit jadinya kerana dari mula hingga akhir nanti, langsung saya meniadakan sebarang mesej pada cerpen itu nanti.

tanpa mengangkut sekali mesej pada cerita, saya risau apa yang akan diperkataan oleh pengkritik. "kau tidak adil," barangkali demikian kata pengkritik.

mengapa mesej harus ada dan mengapa dia tidak duduk diam sahaja di luar manuskrip? jika mesej membaca entri di blog ini, saya berharap sungguh agar dia boleh menulis di ruangan komen.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2011 08:36

August 25, 2011

Bergambar Dengan Penjudi



Petang 23 Ogos, saya dan Wan Nor Azriq ke Bangsar Baharu. Sufian Abas hendak merakam gambar kami dan Saifullizan Tahir dalam kedai buku Silverfish di Jalan Telawi. Pada mulanya, saya agak keberatan. Mengada-ngada betul Sufian Abas hendak bergambar pula! Selesai bergambar mengikut gaya dan kemahuan Sufian Abas, baharulah saya tahu, rupa-rupanya saya kini sedang menjadi artis. Hehe.



Majalah SFP yang diusahakan oleh Sufian Abas bakal menemui pembaca dalam sedikit masa lagi. Mungkin selepas perut kita diisi oleh kuah kari, kerisik rendang dan santan lemang dan ketupat semasa Hari Raya. Saya telah mengirimkan sebuah cerpen dan seperti yang diberitahu oleh Sufian Abas, majalah itu bukan sahaja memuatkan tulisan-tulisan kreatif, bahkan, turut dimuatkan ruangan fesyen. Namun, apa yang saya tahu, penampilan Sufian Abas tidaklah urban dan hip langsung! Hehe.



Saya selesai menghabiskan bacaan novel KASINO dalam masa dua hari. Ceritanya mudah dan ditulis dengan pendekatan straight forward. Saya tidak ingin mengulas isi novel itu kerana Fadli Al-Akiti sudah pun mengulasnya dalam blog beliau. Sementara Wan Nor Azriq diminta oleh Sufian Abas untuk membuat rebiu novel tersebut yang nantinya akan dimuatkan dalam majalah SFP. Tetapi saya ingin mengesyorkan. Novel KASINO wajib dibaca. Ia sebuah novel yang bercita-rasa New American Wave.



Sementara saya, Wan Nor Azriq dan Sufian Abas duduk dengan muka menahan puasa, sepuluh atau lima minit kemudian novelis KASINO pun datang. Saya agak impress dengan penampilan penulis tersebut. Dengan kot warna hitam dan bertali leher juga warna hitam serta kasut juga sewarna, saya fikir, inilah wajah dan citra penulis kelas menengah. Jika anda sudah membaca novel KASINO, anda akan memngesani betapa teliti dan tajamnya penelitian Saifullizan Tahir ke atas barangan dan jenama yang dipakai oleh para wataknya.



Kepada individu selekeh seperti saya, jenama-jenama perapian diri yang terdapat dalam novel KASINO memang asing di pendengaran saya. Maklumlah, orang kampung. Dan apabila memerhati etika pemakaian yang membalut tubuh tinggi penulis novel KASINO, rasa terpesona saya berganda. Jarang saya menemui penulis (seniman) yang mengetahui produk-produk perhiasan diri sebegini sofistikated. Oh! Ya, Saifullizan Tahir juga berwajah kacak sebagaimana watak utamanya dalam novel KASINO.



Selain baharu merasakan diri saya menjadi artis pada petang di kawasan Bangsar Baharu, saya juga berkesempatan berbual-bual dengan seorang penjudi dan kemudian bergambar bersama dalam gambar kenangan. Terima kasih Saifullizan Tahir kerana memberi novel KASINO dengan percuma. Hehe.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 25, 2011 21:35

August 17, 2011

Serangga Di Dalam Kepala

Pada suatu hari, seorang penulis yang menggunakan nama samaran mengirim e-mel kepada saya. Berhasrat untuk bergabung menulis himpunan cerpen dalam sebuah buku. Saya yang tidak biasa dengan penulis bertopengkan nama samaran ingin bertanya siapakah identiti dia sebenarnya.



Apakah mungkin dia seorang wanita cantik laksana Aleeza Kassim?



Saya membalas e-mel dan dia membalas e-mel seterusnya. Dia enggan mendedahkan siapakah dirinya tetapi jika saya bersetuju dengan idea menulis cerpen dalam sebuah buku antologi bersama, maka, lambat-laun saya akan diberitahu identitinya. Hebat sungguh dia. Dan sudah tentu kerja penulisannya lebih baik berbanding apa yang saya rakan-rakan penulis hasilkan setakat ini, fikir saya. Dengan demikian, saya menolak jemputan dari penulis yang mengaku belum pernah membaca karya-karya saya yang lain.



Saya tahu siapakah dia penulis yang menggunakan nama seperti Sufian Abas, Amir Muhammad, Marsli No, SM Zakir, Rosli K Matari atau Ridhwan Saidi. Dibantu oleh liputan media, individu-individu penulis seperti yang saya sebut di atas sudah pun dimaklumi akan identiti mereka. Oleh itu, kepada penulis yang berhasrat menulis secara berkolaborasi dengan penulis lain, maka, apalah salahnya meninjau hasil penulisan penulis yang ingin diajak berkerjasama itu terlebih dahulu. Ini zaman google. Belajarlah bersikap merendah diri.



Dalam pada itu juga, kebelakangan ini, saya turut dipelawa untuk menulis. Ada yang mengajak menulis cerpen secara berduet dan yang mengajaknya kenalan FB dari Indonesia. Saya mengenali nama dan kerja penulisannya secara ringkas melalui FB beliau dan berasa amat berterima kasih atas penghormatan tersebut. Tetapi, selagi manuskrip antologi cerpen kedua saya yang masih terbengkalai belum dicetak menjadi buku, maka, saya terpaksa menangguhkan dulu ajakan kenalan FB dari Indonesia. Insya-Allah saya memang mahu menulis bersama dengan beliau. Biarkanlah saya merahsiakan namanya di sini dulu.



Bahkan saya dipelawa untuk mengirimkan manuskrip novel dari rumah penerbitan tersohor negara. Sehingga ke hari ini, untuk menulis atau menyediakan manuskrip ratusan halaman muka surat sebuah novel masih sebuah pekerjaan yang amat berat kepada saya. Saya lebih suka menulis cerpen yang berhalaman hampir 20 dan pernah menulis sebuah cerpen hampir 56 muka surat di samping menulis status di FB dengan ayat-ayat yang mengalahkan akademik seseorang Prof. Tidak ada masalah rupanya. Tetapi, menulis novel, masih menjadi kepayahan.



Menulis boleh dipraktikkan secara mandiri, kata Eka Kurniawan. Autodidact.



 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 17, 2011 00:23

August 9, 2011

Eksperimentalis Menurut Pandangan SN Shahnon Ahmad

Akhirnya majalah Dewan Sastera isu Julai berjaya diterbitkan. Kesemua golongan penulis berasa sedikit cemas apabila majalah kesayangan ramai ini teramat luar biasa jarak kelambatannya menemui para pembaca. Sementara penulis yang mendapat bayaran honorarium atas penyiaran karya di dalam majalah tersebut, ganjaran duitnya sudah lama "habis licin" - bak kata penyair Raihani Mohd Saaid. Tidak terkecuali saya.



Selain cerpen dan puisi saya turut dimuatkan dalam majalah sastera bulanan tersebut, tulisan SN Shahnon Ahmad dalam kolum Pabila Hujan Turun, semestinya wajib dibaca berkali-kali. Calon penulis sama ada mantan MPR atau tidak, kolum yang membawa pemikiran dan sikap SN Shahnon Ahmad tentang dunia kesusasteraan, wajar dijadikan bahan bacaan untuk mengembangkan wawasan penulisan masing-masing. Ewah.



Saya tidak pernah bersua muka dengan beliau, sedihnya, sementara orang rumah saya pernah. Suatu perkara yang sering saya fikirkan, mengapa sehingga ke usia sebegini, SN Shahnon Ahmad masih lagi ghairah berbicara tentang usaha eksperimental dalam pengkaryaan? Malah beliau sentiasa menekankan betapa perlunya penulis melakukan usaha "penyimpangan" dalam kerja atau pertukangan karya.



Menulis pada kadar biasa-biasa sahaja tidak menarik? Dan apakah pandangan SN Shahnon Ahmad mengenai seseorang eksperimentalis? Beliau menulis pandangannya dalam perenggan ke lima:



"Untuk menjadi seorang sasterawan yang besar, seseorang sasterawan perlu juga menjadi seorang eksperimentalis yang berilmu. Ilmu apakah yang diperlukan oleh seorang eksperimentalis? Banyak. Memang terlalu banyak dan tidak akan habis-habis."



Untuk menjelaskan maksud ilmu dan kepentingannya kepada seseorang eksperimentalis, SN Shahnon Ahmad menghuraikan beberapa pandangan dan sokongan hujahnya di perenggan yang seterusnya. Membuat sesuatu perkara tanpa ilmu, memang tidak mendatangkan sebarang hasil. Membeli lauk-pauk di pasar ramadan sebagai juadah untuk berbuka pun harus memerlukan "ilmu kewangan." Syaitan memang suka menambah kenalan FB-nya yang membazir semasa bulan berpuasa. Ewah.



Namun, menurut SN Shahnon Ahmad, ekperimentalis tidak akan memilih andai kata "sasterawan itu (masih) leka berprosa atau berpuisi dengan olahan-olahan konvensi yang itu sahaja." Maka, "kalau sasterawan tidak berani menjadi seorang eksperimentalis, lebih-lebih bagi eksperimentalis yang revolusiner dan radikal, maka sasterawan itu boleh juga mengasah bakatnya dengan gaya yang lama dan dengan ilmu yang tidak berubah-ubah."



Jika melalui tulisan-tulisan SN Muhammad Haji Salleh, para penulis diseru supaya sentiasa mengamalkan sikap kerendahan hati, jangan sesekali berlagak angkuh atau bersikap kasar sesama penulis yang berbeza fahaman, manakala SN Shahnon Ahmad secara tekal menuntut agar seseorang penulis itu harus keluar dari kepompong zon konvensi dan menulis sebuah karya yang lebih mencabar struktur penulisan biasa.



Kedua-dua pandangan ini sentiasa saya cuba tertanam di dalam sanubari. Sedangkan penulis seperti Haruki Murakami ketika menjawab soalan dari salah satu wawancara, dengan penuh sikap rendah diri menjawab, bahawa bakat kepenulisannya, tidak lain dan tidak bukan, adalah datang dari Tuhan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 09, 2011 21:28

Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.