Roslan Jomel's Blog, page 10

June 19, 2011

Karya Skema dan Karya Indie.

Etgar Keret ketika diwawancara dalam majalah World Literature Today, isu berapa, saya terlupa, menjawab, bahawa dia tidak berminat dengan gaya cerpen yang terbit dalam majalah seumpama New Yorker. Sebagaimana dia tidak mengambil penulis seperti Paul Auster sebagai pengarang yang diminatinya. Franz Kafka adalah penulis yang memberi inpirasi kepadanya. Demikianlah cerpen-cerpennya selalu pendek dan tidak biasa.

Saya berasa senang dengan cerpen-cerpen yang ditulis oleh Anwar Ridhwan dalam buku Naratif Ogonshoto. Dia berusaha melakukan percubaan untuk merumit dan menekan isi makna politikal pada setiap cerpen. Hering merupakan cerpen terbaik dia yang saya minat. Bahkan sesudah buku itu, beberapa cerpen kompleksnya yang terbit dalam majalah Dewan Sastera menunjukkan tenaga eksperimental ketika berkarya. Dalam sebuah wawancara di akhbar Berita Harian, tarikh berapa, seperti biasa, saya memang lupa, menyebut nama Mario Varghas Losa sebagai penulis yang dikaguminya.

Bagaimana kita, sebagai pembaca, meletakkan gaya karya Etgar Keret di Malaysia? Haruki Murakami sekadar menyulitkan fahaman pembaca melalui plot bersilangnya. Subjek cerita-ceritanya, masih tentang manusia. Dan apakah cerpen-cerpen yang dianggap bergaya indie disampaikan dengan bahasa bercampur-aduk? Apakah ia protes kepada bahasa Ibunda? Sekejap berbahasa Melayu dan sekejap berbahasa Inggeris? Bukankah gaya Etgar Keret dianggap melepasi gaya penulisan skema? Benar, penulis seperti Anwar Ridhwan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu yang tiada bezanya dengan gaya berbahasa penulis-penulis di penerbitan DBP.

Nah. Skema itu bergaya apa pula? Ada caci-maki? Anjing kurap, busty, horny, uolls, fucking shit dan segala datok nenek slanga hip? Wah! Tak fasal-fasal saya turut meraban. Konon gaya skema itu menjadi pilihan penulis yang tidak pernah memakai kemeja T bulat dan seluar slack bersterika tajam. Konon jugak, gaya skema itu ditulis dalam bahasa Melayu standard tinggi sementara karya indie sebaliknya? Dan apabila balik ke rumah, makan juga nasi dengan sambal petai.

Menulis sebuah cerita selain ditentukankan oleh standard pertukangannya, bahasa yang digunakan juga menunjukkan alir fikiran. Cerpen Dunia Badang yang ditulis Saharil, hebat kerana teknik penceritaannya. Ditulis dalam bahasa Melayu standard tinggi. :)Sama ada seseorang penulis itu cuba berlagak atau tidak dengan cita rasa kebandarannya, bahasa Inggeris menjadi mangsa fesyen karya indie. Alamak! Apakah juga penulis-penulis luar, misalnya, Ali Smith, sebab dia terang-terang mengaku gay, tidak bersifat urban kerana bahasa dalam ceritanya tidak bercampur-baur?

Menulis sesebuah cerita urban, tiada kena-mengena dengan bahasa Inggeris yang kononnya melambangkan bahawa penulisnya berada di bandar. KL, misalnya. Tidak jatuh martabat sesebuah penulisan, baik cerita yang berunsur seks, jenayah psikologi, sumbang mahram atau percintaan sesama jenis dengan menggunakan satu sahaja bahasa. Gunakanlah bahasa Sepanyol jika memang mahir dengan bahasa Marquez itu.

Apa kurangnya bahasa Melayu malah tidak salah menggunakan bahasa Inggeris ketika berkarya. Contohnya seperti penyair Cecil Rejendra atau Tash Aw. Skema dan indie, hanyalah label dan begitu juga istilah underground yang semakin hari semakin metroseksual penampilannya. Senang cerita, ikutlah gaya masing-masing. Rambut sama hitam, jenama shampoo lain-lain. Karya skema atau gaya indie, penentu pencapaian IMalaysia.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2011 01:47

June 13, 2011

Apakah Yang Akan Anda Jawab Jika Karya Kreatif Anda Muncul Dalam Media Parti Politik?

Tiga buah puisi saya diterbitkan dalam laman jalantelawi.com. Pun demikian, ketiga-tiga buah puisi yang mewakili nama penuh saya, rupa-rupanya sekadar bercerita tentang hal-hal biasa. Apalah yang boleh dibuat dari sebuah puisi tentang kenangan di kampung untuk mengganggu-gugat ketenteraman negara?

Sesiapa sahaja maklum kandungan dalam laman jalantelawi.com memuatkan bahan-bahan tulisan yang serius dan mencabar status pemikiran pembaca. Sama ada artikel membincangkan hala tuju politik, falsafah atau seni. Sementara segelintir pembaca berasa kecewa apabila membeli akhbar-akhbar bercetak kerana semakin kering bahan tulisan yang menarik. Malah gambar artis pun semakin kurang seksi.

Kemudian saya mengirimkan pula cerpen dan puisi ke akhbar seumpama Harakah. Begitu karya kreatif saya tersiar dalam akhbar tersebut, apakah saya cenderung menyukai parti PAS? Saya turut mengirim karya kreatif ke laman RoketKini. Sebagaimana saya mengirim kerja penulisan ke akhbar seperti Mingguan Malaysia atau ke majalah Dewan Sastera. Apakah penulis kreatif sedemikian penting seperti Dato' Nicol An David?

Di manakah ketetapan politik saya? Apakah saya duduk menggoyang kaki depan televisyen ketika demontrasi rakyat menuntut harga minyak diturunkan, misalnya? Atau lebih asyik dengan siri SpongeBob Square Pants daripada mengambil tahu dunia politik atau siapa pemain bolasepak yang disangka mendapat wang rasuah?

Sudah tentu saya hanya ingin melihat karya saya terbit di media. Ruang menulis karya kreatif di media jika pun ada, tidak salah rasanya berkarya di media siber. E-Sastera misalnya. Demokrasi memberi hak kepada golongan seni berkarya. Ruangan seni yang dibuka di sesebuah media, secara tidak langsung menawarkan harapan kepada penulis menzahirkan karya mereka. Memberikan kononnya sedikit hiburan dan melembutkan sesuatu isu panas di media.

Sedemikian juga jika anda menghantar karya kreatif ke media-media arus utama yang sedia ada. Apakah anda perlu mengatakan bahawa BN adalah parti yang anda undi pada kertas undi menjelang PRU13 nanti? Dan menolak kebaikan dasar 1Malaysia kerana memikirkan bahawa dasar itu menyerupai dasar Israel? Sementara anda membawa balik tiga kampit beras pemberian YB dalam sebuah majlis mendekati rakyat.

Saya mempunyai hak untuk menulis di mana-mana media.

Tidak timbul persoalan dianggap pengkhianat Melayu atau penentang dasar kerajaan. Dalam demokrasi, kerja sastera berhak mendapatkan hak kreatifnya. Dan hidup akan lebih mudah kerana ada ruang untuk bersikap neutral dan diberi kuasa untuk merahsiakan wakil calon yang akan dipangkah pada kertas undi. Sebagaimana seseorang memarahi Yahudi sedangkan dia leka bermain FB hasil ciptaan kaum tersebut.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2011 03:40

Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.