Roslan Jomel's Blog
May 27, 2015
Apokalips Muncul di Depan Pintu dengan Senyuman Tawar

Judul : PascaSejarahPengarang: Fahd RazyPenerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)Tahun Terbit: 2015Jumlah Muka Surat: 174Harga : RM35.00 Sem. Malaysia. RM40.00 Sabah/SarawakNo. Resit : ITBM02002573
“Sooner or later people believe writers rather than the goverment.” – Gabriel Garcia Marquez.
Sasterawan yang bergelut dengan idea dan bakat artistik, memerlukan buku-buku lebih daripada kehendak para pembaca. Bak kata Philiph Roth, “a writer needs his poison. The antidote to his poisons is often a book.” Kejayaan seseorang penulis tidak disandarkan kepada jumlah karya dan buku yang diterbitkan sepanjang menceburi bidang penulisan. Namun sejauh mana kualiti dan pencapaian intelektual memberati bahan penulisannya. Dan di situlah tegaknya dinding dilema yang terpaksa ditentukan oleh seseorang penulis. Adakah seseorang penulis itu harus mengorbankan dirinya demi memenuhi tuntutan pemasaran dan kehendak para pembaca? Sebaliknya seseorang penulis berjiwa besar sedar betapa beratnya beban dan bagasi yang perlu dipikul sebagai pemikir masyarakat konsisten menulis dengan pendekatan tidak popular. Karya sastera bukan lagi sekadar menempel cerita dongeng. Setiap penulis yang menyedari peranan dirinya dalam penulisan, sudah pasti tertanam dalam dirinya sifat pedanticdemi dimanfaatkan bersama-sama dengan masyarakat. Syukur kita memiliki ramai golongan penulis yang bukan sekadar mencoretkan emosi tetek-bengek dalam karya mereka. Golongan inilah penyambung usaha mencerdaskan dan mengingatkan kelekaan bangsanya sebagaimana yang sudah dilakukan oleh sasterawan terbilang terdahulu. Sekarang, mari berhadapan dengan fiksyen distopia garapan anak tempatan yang sungguh impresif dan sarat dengan renungan serius. Sarjana sastera dalam kalangan penulis yang memiliki latar akademik di menara gading dicabar menilai karya-karya kreatif bukan dengan berpaut berdasarkan pandangan tersurat. Luaskanlah jangkauan renungan dengan pelbagai perspektif apabila menerima karya-karya pascamoden yang cenderung menyindir secara reverse psychology. Tidak semata-mata membaca dengan kanta miskrokop yang cetek dan sehala. Buku ini sungguh menggiurkan pandangan apabila pertama kali membacanya. Terbit tepat pada masanya. Negara kita dan dunia sejagat sedang gawat dan semakin bercelaru. Individu yang berani memperjuangkan kebenaran akhirnya diburu oleh pihak Penguasa. Lalu apa yang tinggal ialah golongan hipokrit yang berselindung di sebalik gelaran intelektual dan pakaian mahal. Alangkah sukarnya meyakini kejernihan air dalam bekas yang diperbuat daripada bahan tercemar. Alam sekeliling dirosakkan oleh hasad dengki manusia itu sendiri. Sasterawan merupakan golongan paling sensitif apabila bertembung dengan hal-hal yang tidak munasabah dalam kehidupan. Demikian mustahaknya penerbitan buku PascaSejarah sebagai pintu gerbang untuk para pembaca memasuki naratif distopia yang berkisah perihal sisi hitam ketamadunan sesebuah bangsa. Sudah lama karya mencabar sebegini tidak muncul dalam buku fiskyen kontemporari. Lebih menarik buku ini datang dari seorang penulis berlatar belakangkan dunia perubatan. Sementelah pemilihan buku ini sebagai pemenang pertama dalam sayembara anjuran ITBM-PENA-Berita Harian kali kedua sangat tepat. Ini karya cerdik malah disampaikan dengan penuh sedar oleh penulis yang bimbang dan cemas mengenai masa depan negaranya. Tiada sebab mengapa buku ini harus dilepaskan oleh peminat sastera moden. Lihatlah sekeliling kita, bayangkan betapa kelirunya haluan perjalanan yang dipimpin oleh seorang manusia bergelar nombor satu. Sementara insan-insan cerdik pandai disumbat mulutnya dengan habuan jawatan dan kemewahan agar Penguasa bebas melakukan apa sahaja tanpa dosa. Penguasa bertindak bagaikan pengawal dengan bantuan samseng-samseng upahan. Di bawah sedar, kita sebenarnya terperangkap dalam sebuah kurungan raksasa ciptaan Penguasa. Buku digarap dengan cemerlang ini tampil dengan suatu persoalan asas yang sering dibicarakan dalam sejarah peradaban manusia. Politik, kekuasaan, rasuah, pembunuhan dan penindasan oleh pemerintahan despotik bagaikan rantaian yang sentiasa berputar melingkungi masyarakat. Bukan sahaja buku ini ditulis dengan kaedah yang jarang diterokai oleh para penulis lain, namun lebih bermakna daripada itu, ialah isi dan muatan kompleks sebagai teras kepada pembinaan karya PascaSejarah. Sama ada buku ini menyerupai novel atau pembaharuan struktur kumpulan cerpen, ia tidak penting. Silalah cari isi-isi besar yang membentuk penulisan buku PascaSejarah. Tiada lagi alam flora menghijau sebaliknya apa yang tinggal ialah puing-puing kehancuran oleh tangan manusia itu sendiri. Suram dan penuh dendam. Inilah yang membimbangkan kita. Wujudkah dunia yang sempurna suatu hari nanti? Dan apakah buku yang lebih mustahak ditulis selain tentang jatuh bangun sesebuah negara? Apa istimewanya PascaSejarah? Buku ini hadir mendedahkan tipu daya pihak Penguasa yang hidup sejak zaman-berzaman dan masih juga berkelakuan seperti zaman-berzaman. Disarankan untuk membacanya secara berturutan mengikut susunan babak-babak ceritanya. Dari halaman pertama hingga ke halaman penutupnya, pengarang buku PascaSejarah mengekal suara sinikalnya terutama buat watak yang diberi nama Penguasa. Demi mengekalkan tampuk gelaran dan darjat, Penguasa terdorong melakukan apa sahaja untuk kekal dalam genggaman tangan yang bakal diserahkan kepada warisnya pada kemudian hari. Sebarang kebangkitan rakyat sedaya-upaya bagaikan parasit dan perlu ditekankan dengan kepintaran golongan atasan. Para pembaca akan menemui usaha dan perjuangan daripada rakyat yang tertindas, sebagaimana yang berlaku sekarang. Pada bahagian penghujung buku ini, pengarang seakan-akan berpesan kepada para pembaca, “di empayar tempat asalnya pula, setiap buku dibakar dan kegiatan membaca diharamkan. Cuma beberapa naskhah penting, tentang sejarah dan masa depan empayar yang sempat disimpan. Segala cerita ini tercatat dalam beberapa kitab rahsia keluarga, yang sekarang menjadi milik kau.” Mengapa Penguasa terlalu bimbangkan kebijaksanaan daripada golongan bawahan? Adakah negara hak milik seseorang Penguasa? Kedengaran relevan pada hari ini? Naratif penulisan yang cuba mengajak para pembaca melangkau zaman ke suatu era pasca kehancuran dunia bukan semata-mata diada-adakan demi memenuhi kehendak alam fiksyen. Pengarang ini memiliki visi besar dan berharap dapat diselongkar bersama-sama oleh para pembaca yang pintar membaca perlambangan dan kiasan ceritanya. Kelebihan yang ada pada pengarang fiksyen ialah mereka dibenarkan mencipta dunia baharu dengan janaan imaginasi. Sempadan logik diubah semula sementara pengarang cuba membina naratif di luar kotak fahaman manusia biasa. Ternyata ada sebab dan tujuan tertentu yang mendorong pengarang buku ini menulis cerita-cerita distopianya setelah berasa hampa mengenangkan babak-babak kemusnahan bangsa dan peradaban yang dileburkan oleh tingkah-laku pihak atasan. Ini bukan karya fiksyen sains mahupun gothik yang meminjam pengaruh dari luar negara. Semangat, persoalan dan isu manusianya tetap berpijak dengan permasalahan masyarakat setempat. Demikian apa yang terakam dalam buku PascaSejarah tidak dibina dengan khayalan kosong. Itulah sebabnya buku ini wajib dan berbaloi dibaca oleh peminat sastera. Kaedah konvensional ternyata tidak mencukupi untuk menampungi kritikan-kritikan pedas yang diingini oleh pengarang buku ini. Justeru buku yang mencabar tahap imaginasi dan pemikiran ini wajar ditulis dengan suatu kaedah baharu bersesuaian dengan tema besar kompleks perihal kekuasaan. Tema penting yang membulat dalam buku PascaSejarah ini dibawa dari sebuah babak ke sebuah babak. Emas hitam, perebutan antara sesama manusia dan rasuah yang mengalir bagai air sungai boleh ditemui apabila pembaca mengikuti buku PascaSejarah dengan cermat. Maka peperangan demi peperangan yang membantai dunia ini sering dirujuk dengan obsesif untuk memiliki sumber galian berharga dalam perut bumi. Jangan mudah tertipu dengan slogan-slogan hak kemanusiaan sama rata yang datang dari mulut manusia itu sendiri. Pengarang menyimpulkan pengertian objek rebutan negara-negara maju itu sebagai, “Emas ialah cita-cita sejagat. Ketul jirim yang amat karsinogenik. Bermitosis dan beranak dalam hati manusia macam yis. Akhirnya jadi pandemik yang menyeramkan dalam tubuh sebuah peradaban.” Mohon maaf, PascaSejarah bukan untuk bacaan kepada para pembaca yang menginginkan keseronokan. Naratif ini datang dari pengarang yang melihat jauh arah dan haluan negaranya. Manusia-manusia separuh dewa semakin ramai wujud. Adakah benar kronologi kehancuran sesuatu ketamadunan manusia bakal berulang-ulang? Maka buku ini harus direnung lapis demi lapis. Penulis yang memiliki kepintaran bahasa dan kesedaran peranannya sebagai penyumbang kepada kemajuan masyarakatnya amat ditagih ketika ini. Sebuah karya sastera bermanfaat sering dianggap besar dan berharga kerana persoalan-persoalan kemanusiaan yang dibawa dalam penulisan. Jika sekadar menulis tentang patah hati dan ditinggal kekasih, ia langsung tersingkir daripada bahan bacaan yang menjadi pemangkin kepada perkembangan intelektual bangsa. Fahd Razy melalui karya-karyanya sebelum ini terhindar daripada budaya penulisan yang sia-sia. Dia mengemblengkankan bakat kreatif, wawasan dan pengisian serius untuk tujuan penulisan yang lebih berharga daripada buih-buih. Sasterawan yang berfikir dengan bakat artistiknya tetap diperlukan negara selain menara-menara pencakar langit. Sebagaimana kata-kata Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam esei dari buku Menyeberang Sejarah, “saya kira sudah sampai masanya kita lebih melihat sastera kita sebagai suatu bidang yang serius dan hanya boleh dimasuki oleh orang yang berbakat dan berkemampuan. Sudah agak lama kita membuatkan sastera sebagai tempat perkongsian orang-orang yang gagal di bidang lain.” Setiap dua belas babak dalam PascaSejarahsendat dengan metafora yang dikisahkan dengan tangkas dan tajam. Sebagai pengulas, saya tidak mengulang seratus-peratus setiap cerita yang dihimpun dalam buku ini. Memadailah saya membuat gambaran besar tentang kehebatan buku PascaSejarah memenangi hati penilai sayembara berprestij ini. Sudah tentu ada sebab mengapa buku ini diangkat lebih tinggi berbanding buku-buku lain yang bersaing dengannya. Namun apa yang paling menonjol ialah kemantapan cerita, gaya penulisan, teknik dan mutiara yang berharga dalam dasar buku ini. Tiada dialog berjela-jela dan perwatakan setiap watak digambarkan dengan ringkas tidak sebagaimana kelaziman cerita-cerita realisme lain. Segala-galanya berkisar tentang sifat tamak haloba individu berpengaruh yang ditunggangi nafsu melebarkan saiz kekuasaannya. Nada pengucapan PascaSejarah canggih sejajar dengan inti pati tema dan para pembaca harus berhenti sebentar untuk mencari maksud istilah-istilah yang mungkin jarang ditemui dalam karya-karya sastera biasa. Sebuah karya sastera yang berjaya dari sudut penulisannya sering mengganggu hati nurani dan pemikiran seseorang pembaca. Buku kumpulan cerpen PascaSejarah dibentuk menyerupai seminovel karya Fahd Razy ini menelanjangi kehitaman dan sikap narsisisme Penguasa dari dahulu sehingga ke masa depan. Tidak berubah. Barah yang membengkak dalam kesumat manusia ini semakin sukar dikikis. Para penasihat Penguasa majoritinya pengampu, angkuh dan kosong pertimbangan. Bahkan gejala penyakit individu Penguasa itu tidak dirawat dengan bersungguh-sungguh oleh penderitanya. Dari zaman manusia bertarung dengan keris hingga ke zaman manusia bertarung menggunakan laman sosial, kecerdikan yang ada pada anak muda, Hang Nadim, sering menimbulkan hasad dengki kepada golongan dewasa dalam istana Penguasa. Peristiwa sedemikian boleh dikesan dalam babak Cendiakia. Rakyat bawahan tidak dibenarkan berfikiran berbeza dan kritis. Kebijaksanaan yang muncul dari masyarakat kelas marhaen hanya menjadi musuh dan bakal meruntuhkan istana kebesaran yang didiami oleh Penguasa dan warisnya. Demikian Penguasa terdengar bisikan syaitan, ‘Dia masih muda Tuan Penguasa. Terlalu muda. Bayangkan sepuluh tahun mendatang, di mana dia dan di mana Tuan Penguasa. Orang bijak seperti dia tentunya, selalu menyembunyikan helah yang cermat. Jangan terpedaya, Tuan Penguasa.” Akhirnya Penguasa tertelan pujukan syaitan dan Hang Nadim yang muda dan pintar diheret ke penjara. Kebebasan bersuara yang diizinkan selama ini hanyalah sandiwara pihak Penguasa. Sukar bergayut harapan dan kepercayaan kepada para pembesar yang lebih mengutamakan perut dan keturunannya sendiri. Penguasa sentiasa selamanya benar dan kebal dari undang-undang. Rakyat yang tersepit di tengah-tengah nafsu duniawi para pembesar terus menderita dan dibiuskan oleh hiburan-hiburan tajaan pemerintah. Bahkan digula-gulakan dengan sedikit bantuan. Rejim pemerintahan yang dikuasai Penguasa dengan begitu mudah mematahkan setiap kali cubaan rakyat marhaen bangit untuk memberontak. Sebaliknya dalam babak Cerberus, para pembaca disedarkan konflik dan permusuhan dalam kalangan keluarga Penguasa yang ingin mendaki tangga kekuasaan. Inilah realiti sebenar yang berlaku dalam kehidupan nyata di luar sana. Ketika mengejar pangkat dan kedudukan peribadi, peraturan dan batas etika dirempuh sekiranya membataskan cita-cita. Gelanggang politik masa kini bukan lagi untuk manusia berhati putih. Generasi demi generasi melihat kemunafikan golongan atasan melakukankan permainan kotor. Malangnya, Penguasa tidak mungkin beralah ketika berasa besar di piramid kekuasaan. Amanah dan manifesto semasa dianugerahkan gelaran Penguasa hanya tinggal atas kertas. Ia bagaikan sumpahan berkurun lamanya. Sementara manusia yang hidup pada masa kini dan abad-abad mendatang seperti enggan belajar daripada sejarah. Sejarah bagaikan halimunan yang tidak bersahabat dengan manusia.Melalui suara pengarang buku PascaSejarah, ingatan telah disampaikan seawal halaman 13. Buku ini ditulis bukan pada masa kini dan juga bukan pada masa hadapan. Sebaliknya, narator di dalam buku ini bagaikan mesin masa yang menembusi tembok-tembok sejarah kehidupan manusia. Setiap babak dalam buku ini disusun secara kronologi agar menjadi cermin jernih untuk para pembaca merenungi apa yang telah dan bakal berlaku dalam sejarah peradaban bangsa. Malangnya masyarakat manusia mudah alpa dan mabuk kepayang apabila diberi setitis kekayaan dan habuan. Di pihak Penguasa, senjata yang paling ampuh untuk melumpuhkan urat nadi pemikiran masyarakat bawahannya ialah dengan memberikan saluran hiburan secara percuma di televisyen dan jamuan makanan besar-besaran. Hanya dengan racun sedemikianlah baharulah tiada sebarang penentangan terhadap kerajaan sedia ada. Manusia kembali lupa diri dan ini memudahkan Penguasa naik ke dunia awangan dengan segala kenikmatan peribadi. Pengarang buku menegaskan isu ini, “sejarah hanyalah rumus yang berulang-ulang, bukan? Macam buku teks. Macam gerabak keretapi. Perang Dunia Pertama kerana matinya Franz Ferdinand. Itu dulu. Dan kemudiannya China-Rusia-Amerika pula saling menuding dan membidik kepala nuklear demi kematian seorang perempuan – Mei. Homo Sexus. Homo Arrogans – uh! Manusia adalah murid sejarah yang paling tolol.” Tidak mungkin wujudnya impian dunia utopia. Bahkan golongan sasterawan juga tidak memiliki kesaktian untuk menciptanya di alam realiti. Namun ketika keadaan semakin gawat dan kekejaman bermaharajalela, siapakah hero masyarakat datang membela? Sukarnya menduga keikhlasan seseorang pejuang rakyat ketika ini. Apa yang disogok dalam hati dan dompet mereka? Tidak sedikit yang berjuang demi rakyat kemudiannya tersangkut pada gejala membolot kekayaan peribadi. Dalam babak pembukaan buku ini, PascaSejarah 1.0: Apokalips, Fahd Razy sebaliknya mencemuh golongan yang sepatutnya berfikir ke atas permasalahan rakyat, “Agama dikilangkan, dibungkus, dan dipakej secara pukal seperti produk makanan segera – atau menjadi topeng pakai buang yang boleh dipakai sesiapa saja. Free size! Politikus memakainya di podium. Selebriti memakainya untuk menokok rating. Filsuf, sasterawan dan akademikus memakainya sebagai pelaris buku. Junta tentera dan militan memakainya untuk menyembelih pembangkang. Diktator dan oligarkis lagi bijak, mereka menjadikannya slogan dan manifesto supaya rakyat mencintai perlembagaan negara yang tempang.” Pihak penguasa tebal dengan ego dan tidak mungkin mendengar sebarang rintihan masyarakat marhaen. Bahkan bijak memutarkan kata-kata. Sungguh malang apabila individu yang dianggap cendekiawan masyarakat turut tercelup dengan rasuah dan menjadi pengkhianat kepada makna sebenar peranan intelektual kepada masyarakat. Alam sekeliling menjadi kelabu oleh hipokrasi. Apakah pilihan selain daripada mengadakan demonstrasi seandainya bantahan masyarakat bawahan sekadar dianggap debu di atas lantai? Sedangkan golongan bijak pandai membisu di dalam bilik berhawa dingin kerana lebih memikirkan sumber pendapatan masing-masing. Menurut Edward Said dalam buku Representations of the Intellectual, “pekerjaan intelektual adalah mempertahankan negara dengan kewaspadaan; selalu sedar akan tugasnya untk tidak membiarkan kebenaran diselewengkan atau menerima suatu idea yang dapat menguasai seluruh kehidupan. Selama peranan ini melibatkan pandangan yang realistik dan rasional, serta perjuangan yang rumit guna menyeimbangkan persoalan peribadi dan tuntutan mempublikasikan idea dan berbicara di khayalak umum, maka tugas ini tidak pernah berakhir, tidak pernah selesai dan kurang sempurna.” Tanggungjawab seseorang penulis, pemikir, cendekiawan dan pembela bangsa tidak mungkin kunjung selesai di atas muka bumi. Lebih parah apabila individu-individu yang jujur dan berani membela nasib bangsanya bakal diberkas kerana dituduh menghasut. Siapa raksasa ghaib yang sedang mengawal di sekeliling istana Penguasa?Demikian pembaca boleh mengesan watak-watak rakyat yang tertekan digambarkan sebagai kurus kering, gelandangan dan membesar tanpa khasiat makanan. Apa peduli Penguasa dengan masalah itu? Jelas buku PascaSejarah ini ditulis oleh rakyat kepada pihak atasan. Beban kesengsaraan yang dialami oleh rakyat, secara tradisinya, hanya akan dipedulikan menjelang kempen pilihan raya. Sesudah itu, apa yang terjadi kepada rakyat yang dirayu keluar mengundi pihak Penguasa? Penguasa akan berpesta dalam istana bersama-sama cendekiawan dan agamawan dijemput untuk turut bergembira. Maka tempoh berkuasa dipanjangkan sehingga ke infiniti. Berpegang kepada tema besar tentang kesusahan rakyat, Fahd Razy menulis dari dimensi yang selama ini kurang digemari oleh pihak berwewenang. Selagi belum kering emas hitam di dasar muka bumi, Penguasa tidak mungkin melepaskan jawatannya. Kenyataan pedih ini dapat dikesan dalam babak “Catur” (halaman 137) melalui dialog semasa perlawanan catur antara Penguasa dan seorang pembela rakyat bergelar “Algojo Dua Gerak.” Pembela yang gagah berani dengan lancang menikam emosi Penguasa tanpa berselindung, “empayar dimiliki keluarga Penguasa sudah berbilang generasi, sudah masanya dilepaskan menjadi hak rakyat.” Sebagaimana dimaklumi, Penguasa tidak mungkin bersetuju.Namun dalam babak Hydra, cerita menjadi lebih dramatik dan berakhir dengan dashyat. Para pembaca dipuaskan oleh pengarang apabila nantinya Penguasa menerima hukuman daripada rakyat tertindas. Kemenangan diberikan kepada golongan tertindas. Salah seorang rakyat bawahan terselamat daripada pembakaran beramai-ramai oleh arahan Penguasa, muncul sebagai wira bijak yang berpura-pura mampu membunuh reptilia ganjil berkepala lapan bertoksik. Raksasa semiakuatik bernama Hydra dan raksasa bengis itu disifatkan membesar sebagai nemesis yang mencabar kredibiliti Penguasa dan kedudukan istana mewahnya. Siapakah sebenarnya Hydra ini? Para pembaca diberikan penamat gembira apabila Penguasa disedarkan bahawa kezaliman dan tipu muslihatnya bakal ditewaskan oleh rakyat. Ini babak yang paling menarik selain babak Saliva. Reptilia beracun itu sebenarnya belum dimatikan. Tidak mungkin mati. Apa yang dihapus oleh pihak Penguasa hanyalah fizikal, namun tidak semangat rakyat. Dengan bijak dan mendebarkan, pengarang memusingkan plot cerita dalam babak ini, “Tidak ada racun yang dapat membunuh Hydra kerana seluruh tubuhnya adalah racun. Panahku hanya membius dan melumpuhkan buat seketika. Hydra telah bangkit di tengah-tengah temasya di dewan istana.” Rupa-rupanya Hydra hanyalah kiasan kepada rakyat marhaen yang diperas oleh pihak Penguasa. Siapa yang lebih berkuasa dan siapa memberi kuasa kepada Penguasa? Sebagai pengarang generasi baharu, Fahd Razy telah melakukan kerja cemerlang dalam upaya memperbaharui bahasa untuk diadapatasi dengan persekitaran kesusasteraan pascamoden. Penggunaan bahasa keras dan bercili itu selaras dengan suasana zaman serba pembohongan yang diisi oleh manusia-manusia bermata materialistik kini. Buku PascaSejarah menjanjikan bahawa kualiti penulisan karya sastera negara semakin dipertingkatkan dalam kalangan penulis muda. Khalayak tidak perlu gusar dengan kebanjiran karya-karya popular yang merajai aliran pembelian di pasaran. Karya sastera serius masih memiliki pengikut-pengikutnya dan cabaran para penulis ialah meningkatkan jurus penulisan agar menarik dan relevan demi menyaingi kecerdasan di pihak pembaca. Fahd Razy melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh penulis penting yang terdahulu. Justeru genre cerpen semakin dirumitkan dengan teknik dan persoalan kompleks yang bertitik-tolak dari isu besar kenegaraan, kemanusiaan dan alam sejagat. Sebuah karya eksperimental hanya tinggal eksperimental jika asas penulisannya sekadar tuntutan seni. Sebaliknya karya yang dihasilkan seperti Pascasejarah ini memberi impak kepada pemikiran para pembaca. Karya sastera yang pintar dihasilkan oleh penulis berwawasan jauh bakal menjadi koleksi berharga untuk khazanah persuratan negara. Inilah yang lebih perlu ditambahkan. Setiap agenda manusia dibongkar dan ditelanjangkan dalam PascaSejarah. Ini kerana orang-orang bermuka seribu demikian masih wujud sehingga kini dengan moral palsunya. Bahasa yang manis dan bersalut madu puitis sudah berlalu. Fahd Razy tidak memerlukan bunga-bunga bahasa yang membazir untuk penulisannya. Setiap babak ceritanya bagaikan diangkut oleh gerabak sejarah yang bergerak di atas landasan masa. Ini kerana sentiasa muncul individu-individu kebal yang tidak dikalahkan oleh muncung senjata dan mahkamah. Individu sebegini dijulang dan diampu oleh penasihat, pelabur dan mereka yang inginkan pingat kebesaran disemat pada baju. Justeru peranan penting pengarang sebagai cendekiawan dan pemikir permasalahan bangsanya diteruskan melalui wadah kesusasteraan. Dunia fiksyen yang menampung kata-kata pengarang hanyalah sekadar landasan untuk menyampaikan amanat besar tentang hala tuju sesebuah negara dan peradabannya nanti. PascaSejarahberperanan lebih daripada tukang cerita silam. Buku ini meletakkan standard kumpulan cerpen ke tahap yang semakin tinggi. Membaca dari halaman pertama hingga ke noktah terakhir PascaSejarah segera mengingatkan para pembaca kepada Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Kedua-dua buah buku bagaikan suatu ikatan batin yang dipisahkan oleh fizikal namun tetap mengandungi DNA sama. Masing-masing menyampaikan liku-liku pemburuan kuasa dan sepak terajang politik moden. Menurut kata pengarangnya sendiri, PascaSejarahsengaja disusun secara kronologi untuk membentangkan riwayat kehancuran peradaban dari suatu zaman ke suatu zaman mendatang. Manusia harus diajar dengan sejarah agar kembali waras. Sejarah bagaikan cermin yang jarang digilap dan diperhatikan oleh masyarakat. Masyarakat yang mengabaikan sejarah dan tidak mengambil ikhtibar daripadanya, maka suatu masa nanti sejarah pasti mengajar dengan lebih tragis. Ketika itulah baharulah timbul penyesalan apabila tamadun dan peradaban yang dibina runtuh oleh kealpaan masyarakat itu sendiri. Fahd Razy mengingatkanya dalam pembukaan siri PascaSejarahbertajuk Apokalips, “Tak perlu seorang lagi Nostradamus, kita telah pun tahu. Ia hanya rumus yang berulang.” Dalam gaya tersendiri Fahd Razy, PascaSejarahdikejapkan melalui bahasa yang diminimumkan. Pengarang mahukan suatu cara penyampaian yang padat dengan teknik lebih futuristik. Tegas, tangkas dan mematahkan kebiasaan penceritaan tanpa melebih-lebihkan memberi ruang kepada emosi dan sentimental perwatakan. Lupakan kepada cerita kerana ia bukan tulang belakang kepada tujuan PascaSejarah ditulis. Sebaliknya naratif yang menyorong karya menarik ini disokong oleh peristiwa dan kesan sejarah silam. Unsur fiksyennya ditipiskan dengan fakta sebenar yang sememangnya berlaku menghakis sesebuah peradaban negara. Identiti si pencerita dan lokasi kejadian tidak penting kepada penulisan sebegini. Fahd Razy menyampaikan visi yang lebih besar daripada menumpukan emosi setiap wataknya. Apa sebenarnya yang dimahukan oleh manusia separuh dewa bernama Penguasa? Oleh tebalnya kerak ketamakan yang menyaluti jiwa Penguasa, maka wajarlah mengapa pendekatan distopia dan pascaapokalips diterapkan sebagai kiasan terbaik untuk menyorot punca kehancuran sesebuah peradaban, masyarakat dan negara. Tiada siapa pun terlepas menjadi objek kritikan di dalam PascaSejarah.Manusia-manusia yang dipandang hormat, berkot mahal dan jernih pada air mukanya pada pandangan umum, sekadar tayangan di permukaan. Bagaimana jika pada suatu hari nanti, anda diberi kesempatan hidup di atas muka bumi setelah berlaku kejadian malapetaka paling dahsyat? Lebih menakjubkan, anda satu-satunya makhluk spesies manusia yang masih bernyawa ketika kesemua penghuni dunia yang lain, termasuk haiwan terkorban oleh kemusnahan mega. Apa yang anda mula-mula fikirkan? Sesungguhnya dunia belum lagi kiamat seperti yang dijangkakan? Jadi untuk apa prahara ini datang mengganas? Sangkaan anda bahawa bakal tumbuh peradaban dan tamadun baharu yang lebih berakhlak rupa-rupanya sekadar fatarmorgana, penghuni-penghuninya yang dianugerahi akal tetap mengulangi kebejatan kerana ia seperti kanser yang sukar dipulihkan dalam diri manusia. Anda sebenarnya bukan keseorangan ketika prahara demi prahara menimbus dan membangkitkan semula kehidupan masyarakat baharu. Dan lebih malang Penguasa yang mewarisi giliran pemerintahan tetap individu serupa yang menekan golongan bawahan. Buku PascaSejarah menawarkan pengalaman odisi pembacaan yang jarang diperoleh dari karya sastera konvensional lain. Pengarang menterbalikkan hukum biasa penulisan cerpen yang selama ini terlalu patuh dengan formaliti kolotnya. Walaupun Fahd Razy selaku pengarang untuk kumpulan cerpen ini memulakan konflik kemanusiaan melalui perebutan menguasai sumber emas hitam, namun asas kepada percakaran sesama manusia selalunya dirangsang oleh ketamakan dari seketul daging dalam tubuh manusia – hati. Ini dihuraikan sendiri oleh pengarangnya dalam mukadimah buku PascaSejarah, “apabila membongkar sejarah peradaban, akan terlihat pola yang sama ini muncul berkali-kali sekalipun pada zaman dan di tempat yang berbeza. Sebuah empayar gagah rebah kerana pertelingkahan saudara, pengkhianatan, dan gelojoh-haloba manusia.” Sewajarnya para pembaca, terutama generasi baharu yang dahagakan suatu ekspedisi mencabar agar memilih buku ini sebagai proses mematangkan daya imaginasi dan kepekaan kepada isu-isu besar negara. Para pembaca tidak semata-mata berhadapan dengan gambaran besar mengenai permasalahan negara dengan pertukangan cerita yang menarik, malah melalui PascaSejarah, Fahd Razy menyuarakan kebimbangannya melalui perspektif orang muda – Hang Nadim. Bersediakah anda menyelami naratif menarik ini? Inilah bacaan terbaik untuk mereka yang berasakan bahawa ada sesuatu yang janggal dan memusykilkan dilakukan oleh pihak Penguasa. Selamat datang ke dunia kelabu dan mendebarkan. Jika para pembaca telah memegang buku ini, silalah baca berulang-ulang. Hal ini kerana, sejarah tentang jatuh bangun sesebuah ketamadunan bangsa dan negara sentiasa berlaku berkali-kali. Eloklah ulasan ini diakhiri dengan dialog yang dilafazkan pada babak Apokalips bahagian kedua iaitu untuk menutup ulasan kumpulan cerpen PascaSejarah ini. Andai para pembaca ingin mengetahui mengapa buku PascaSejarah dihasilkan (bukan semata-mata untuk tujuan sayembara), “Ia PascaSejarah, tuanku. Suatu ketika dulu ia pernah dipadam oleh emas hitam dan kegelojohan. Lalu sebuah empayar gagah berkuasa. Homo civils. Satu peradaban baharu terbina betul-betul di atas runtuhan yang lama. Malangnya sejarah hanya rumus yang berulang. Seperti buku teks, Cuma watak dan pemeran yang berbeza.” Demikianlah kisah-kisah yang sedang dan akan generasi kita alami bermula dari dahulu hingga ke masa depan sebelum kita terbenam dalam pasir masa dan ketamakan Penguasa demi Penguasa.
“Sebagaimana keadaan dirimu, begitulah keadaan pemimpin yang memerintah kamu.” – perumpamaan Arab, dari buku Kepimpinan Muhammad, John Adair, terbitan ITBM.
Published on May 27, 2015 08:33
June 12, 2014
di dalam mulutnya ada kota

buku kumpulan cerpen terbaharu (keempat) sudah berada di pasaran. terbitan ITBM. sepertinya tahun ini saya ada dua buah buku kumpulan cerpen. buku Serangga Di Dalam Kepala (terbitan ITBM) sebetulnya terbit pada tahun 2013, hanya sahaja baharu dilepaskan ke pasaran pada awal tahun ini.
dan sekarang saya sedang dalam proses menyiapkan manuskrip kumpulan cerpen kelima. apakah saya penulis prolifik? mungkin, ya. kamu perlu mengenali Ruhani Matdarin, seorang penulis dari Sabah yang begitu luar biasa dan gigih menulis. buku-bukunya sentiasa muncul setiap tahun.
ketika ini, semangat dan obsesi saya hanya pada halaman cerita-cerita fiksyen. dari situlah, ransangan untuk sentiasa menulis dipupuk. genius-genius yang menulis cerpen sentiasa menghantui saya agar jangan berhenti menulis. idea-idea sentiasa memberontak untuk meminta agar segera
dituliskan di skrin komputer.
saya sedar diri, tidak popular. ketika buku Di Dalam Mulutnya Ada Kota diperkenalkan di Facebook, hanya tiga buah buku telah dibeli sementara ada lebih enam puluh orang yang menekan LIKE. di Malaysia, hal itu biasa. saya bukan Haruki Murakami yang buku-bukunya terjual melebihi satu juta naskhah dalam masa singkat. hal itu tidak mengganggu. saya hanya perlu berusaha menulis cerita dengan lebih bagus. itu sahaja.
jika salah menjadi penulis prolifik, saya akan berhenti menulis.
Published on June 12, 2014 03:08
March 10, 2014
autobiografi dan hujan pasir
"kalau yang menang pilihan raya tidak menjadi bijaksana, dan yang kalah pula menjadi lebih durjana, ke manakah bangsa kita akan sampai?" - SN Baha Zain.
cerpen terbaharu saya, Autobiografi, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera untk Bil. 3 2004. jika anda melihatnya kembali dalam buku kumpulan cerpen terbaharu saya nanti (Di Dalam Mulutnya Ada Kota), dipersilakan membacanya sekali lagi. saya mendedikasi cerpen itu untuk kawan-kawan sastera saya, yang sudah tentu tidak ramai.
di dalam majalah yang sama, sajak saya, Hujan Pasir, turut disiarkan. sajak yang asalnya dikirim ke majalah lain itu, hampir-hampir saja dilupakan kewujudannya oleh saya sendiri. bagaimanakah menulis sebuah karya kreatif yang sesuai untuk disiarkan di dalam media bertemakan keislaman? haruskah menurunkan ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran? mengenangkan hal itu, saya teringat sajak-sajak Rumi.
sehingga ke detik ini, tiada perkembangan positif dari pesawat MH 370. sebagai orang muslim, marilah kita terus berdoa kepada ALLAH semoga dipermudahkan usaha pencariannya. misteri kehilangannya lebih mengganggu hati nurani.
cerpen terbaharu saya, Autobiografi, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera untk Bil. 3 2004. jika anda melihatnya kembali dalam buku kumpulan cerpen terbaharu saya nanti (Di Dalam Mulutnya Ada Kota), dipersilakan membacanya sekali lagi. saya mendedikasi cerpen itu untuk kawan-kawan sastera saya, yang sudah tentu tidak ramai.
di dalam majalah yang sama, sajak saya, Hujan Pasir, turut disiarkan. sajak yang asalnya dikirim ke majalah lain itu, hampir-hampir saja dilupakan kewujudannya oleh saya sendiri. bagaimanakah menulis sebuah karya kreatif yang sesuai untuk disiarkan di dalam media bertemakan keislaman? haruskah menurunkan ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran? mengenangkan hal itu, saya teringat sajak-sajak Rumi.
sehingga ke detik ini, tiada perkembangan positif dari pesawat MH 370. sebagai orang muslim, marilah kita terus berdoa kepada ALLAH semoga dipermudahkan usaha pencariannya. misteri kehilangannya lebih mengganggu hati nurani.
Published on March 10, 2014 20:33
February 17, 2014
Pengampu
Di ruang legar lobi hotel lima bintang, seorang lelaki paling dibenci masyarakat sedang duduk di kerusi. Seluar, kemeja, topi malah kasut serta stoking serba putih. Pada hari tertentu sahaja lelaki itu memastikan penampilannya istimewa. Ia seumpama kod yang memudahkan dia dikenali. Tiada sesiapa yang duduk di sebelahnya. Pekerja hotel meletakkan dirinya jauh terasing dari pandangan orang ramai. Pemilik hotel dimaklumkan kehadirannya melalui interkom. Maka dia harus mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Tempat untuk lelaki itu terhad di mana-mana sahaja dia berada. Dia menjalani hidupnya di dalam jalur sosial tersendiri. Ini lokasi yang dipilihnya selain di dalam pejabat atau di kafe berkelas tinggi. Tidak sesekali di dalam kelab malam. Dia bukan penggemar minuman beralkohol atau kaki perempuan. Maka, penampilan luaran menjadi cerminan tahap profesionalisme. Tiada seorang pun penduduk di kota metropolitan beridentiti sedemikian termasuk penjilat yang lebih gemar berpakaian kasual. Kedudukannya lebih tinggi berbanding batu api atau pengadu domba. Kadang-kadang dia kelihatan seperti cendekiawan. Dia membaca akhbar dan sekejap-sekejap matanya melilau. Ternyata lelaki itu mencari seseorang atau mungkin menunggu peluang. Segelas jus tomato tinggal separuh di meja. Kesabaran amat penting kerana ia menentukan paras kematangan. Walaupun sedikit berusia, dia tetap kelihatan muda. Tanpa misai dan janggut. Malah tekstur wajah lelaki itu tegang dan berseri-seri di balik kebencian masyarakat kepadanya. Namanya Pengampu. Bergerak secara bebas hampir dua puluh tahun. Tiada alamat syarikat. Tidak sebagaimana agen 007, dia melakukan tugasan secara alamiah. Kepandaian yang ditempa melalui pengalaman yang panjang dan tidak mudah. Tiada sebarang alat teknologi pintar dibekalkan di dalam mana-mana poket pakaiannya. Dia tidak perlu melakukan penyamaran. Tidak menjadi kemestiannya untuk turut terlibat dalam politik di negara asing. Untung sabut, timbul. Untung batu, dia bakal terbenam. Pengampu membina reputasi dengan kaedah bersistematik. Semua lapisan masyarakat menganggapnya sebagai ciptaan Tuhan yang menjijikkan. Lebih berbahaya berbanding penyamun wang rakyat dan penipu yang sering bertalam dua muka. Kewujudannya tidak ubah seperti kuman di balik makanan. Jika dia dilihat berada di dalam monorel, semua penumpang memilih untuk keluar. Jika dia datang dalam suatu majlis keraian, hadirin segera beredar dengan muka masam. Sebagai manusia biasa, dia berasa tersinggung dengan persepsi masyarakat. Pekerjaan tetapnya justeru mengampu tokoh-tokoh dalam kalangan elit yang berpotensi memulangkan limpahan material kepadanya. Dia tidak menerima elaun atau gaji bulanan. Semua orang maklum maklumat awam sebegitu. Zaman telah berubah, maka dia juga harus menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Adaptasi. Tiada lagi dialog lama seperti: “Wah! Cantiknya baju yang Tuan pakai.” Percayalah, ucapan sedemikian hanya menjadi bahan tertawa orang lain. Tidak mungkin dia memperoleh ganjaran seperti seutas jam tangan mahal atau gelaran kenamaan. Status pekerjaan dipilihnya tidak mudah diceburi. Tiada borang untuk diisi. Ia bukan seperti yang ditayangkan dalam drama-drama di televisyen. Minat untuk mengampu datang kepadanya secara semula jadi. Tiada sesiapa yang memaksa. Bahkan tidak dipengaruhi oleh apa-apa kecenderungan. Dia melakukan aktiviti demikian kerana menyahut tuntutan dalaman. Sebagaimana seorang seniman yang mesti berkarya untuk kepuasan seni. Sebaliknya masyarakat terlalu mudah menghukumnya hanya kerana berbeza perspektif. Setiap manusia memiliki keinginan masing-masing. Tidak ramai manusia sanggup mengampu namun lebih ramai manusia yang inginkan pujian. Namun dia sedar. Mengamalkan pendekatan lama pada masa sekarang, tidak mungkin menjamin kejayaan. Teknologi dan sistem moden telah mengubah landskap pemikiran sesebuah bangsa. Dia menimba segala jenis pengetahuan melalui pembacaan. Duduk berjam-jam lamanya di perpustakaan. Setiap hari dia menemui manusia-manusia yang berbeza fahaman. Dia harus memiliki senjata ampuh di dalam setiap tindakan. Sekurang-kurangnya memiliki kemahiran dalam jurusan linguistik atau ilmu psikologi. Ia menggantikan ilmu penunduk yang biasa diamalkan oleh golongan pengampu suatu ketika dahulu. Muslihatnya mesti berada jauh di atas daripada fikiran si mangsa. Sambil duduk menunggu, lelaki itu memesan secawan lagi coklat panas. Lihatlah kedudukannya sekarang. Dia mengecap nikmat kesenangan hasil daripada pekerjaan yang tidak ingin dilakukan oleh manusia biasa. Dia boleh meruntuhkan pegangan seorang melalui kata-kata manis. Itulah jarum ajaib yang akan ditusuk perlahan-lahan di dalam hati tokoh elit. Semakin tinggi iman seseorang itu, semakin rumitlah usahanya. Tetapi dia yakin, manusia sentiasa lemah mengikut fitrah semula jadi. Jika tidak seminit, dia tetap sabar menunggu sehingga setahun. Perjalanan awal yang dilaluinya sebagai pengampu amat memeritkan. Jarang dia berjaya dalam setiap misi. Dia terpenjara. Iklan tentang keburukan golongan sepertinya dipasangkan secara meluas ke pengetahuan awam. Hidupnya melarat menanggung hutang. Modal digunakan lebur tanpa sebarang hasil. Dia dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang memalukan. Dia didakwa menggoda isteri orang. Sering dihitamkan sebagai perosak akhlak generasi muda. Malah dikutuk sebagai pengkhianat negara. Kemudianlah baharulah dia terfikir untuk mengubah penampilan diri. Salah satu cara yang paling berbaloi ialah memantapkan isi kepala dengan ilmu. Ya, melalui ilmulah manusia dipandang tinggi. Dia boleh menilai apa yang sedang berada dalam setiap fikiran orang lain. Dan dia tahu, siapakah mangsa yang bakal dikejar. Setelah lama terbenam di bawah label musuh nombor satu masyarakat, lelaki itu kini bangkit perlahan-lahan seperti fajar pagi. Dia menghirup coklat panas yang baharu sampai. Dia mengerling pada jam tangan. Jenama Omega. Bukan dari pemberian menteri atau hasil dari siri mengampu. Namun hadiah daripada seseorang yang ingin menuntut ilmu daripadanya. Dia menerimanya dengan senang hati. Kelak, suatu masa nanti, pada hari-hari persaraan, dia bakal menubuhkan sebuah institusi yang serba lengkap tentang pengajian dalam bidang mengampu. Seminar pemikiran, pembentangan kertas kerja, teori dan amali serta siri-siri dialog akan diusahakan. Besarlah harapannya agar aktiviti mengampu diakui sebagai lambang ketinggian tamadun bangsa. Jika sesebuah negara boleh menerima golongan perasuah, penyamun dana kerajaan atau pemimpin kuku besi, maka, tidak salahnya aktivis pengampu diberi kedudukan yang setara. Sambil tersenyum sendirian, lelaki itu menghirup sisa coklat. Sudah hampir sejam dia duduk di situ. Bak menunggu individu yang turun dari lapisan langit. Tidak mengapa. Dia sudah berpengalaman menghadapi kerenah golongan atasan. Apabila masyarakat boleh menerima kewujudan orang sepertinya dengan tangan terbuka, sudah tentu ia melambangkan kemajuan cara berfikir. Dia akan memudahkan segala liku-liku birokrasi yang pernah dialami dahulu. Tiada lagi caci maki dan sumpah seranah ke atas orang seperti dirinya. Diberi kerusi yang diletakkan bersama-sama dengan masyarakat. Malahan memiliki kad perniagaan untuk diberi kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat. Sikap berbelah-bahagi pihak awam untuk menerima golongan pengampu tidak seiring dengan perkembangan dunia mutakhir. Tetapi harapan sedemikian masih suatu fantasi. Kenyataannya masyarakat lebih senang bergaul bersama-sama penjilat, hipokrit dan penyangak dalam kehidupan harian. Menjadi pengampu secara terang-terangan masih gagal meyakini orang ramai. Prosedur-prosedur yang terpaksa dilaluinya amat berat dan kompleks. Tidak semua orang boleh menerimanya sebagai sahabat. Bahkan dia sendiri dipulaukan oleh keluarga dan saudara-mara. Memperkenalkan diri sebagai pengampu juga tidak ubah seperti mengaku sebagai pesalah tanpa sebab. Di dalam negara sedang membangun, dia belum lagi diterima sebagai sebahagian daripada budaya norma. Sebagaimana sebahagian negara menolak LGBT atau pluralisme agama. Masyarakat memang bijak berlagak suci di balik topeng. Walaupun demikian, dia juga dikehendaki oleh sebilangan kecil tokoh tersohor. Seimbang. Kemunculannya, tetap relevan ketika para penjilat, penyamun dan talam dua muka gagal menjalankan misi mereka. Selamat datang ke dunia sebenar. Itulah keistimewaan eksklusif yang tidak mungkin dinikmati oleh orang kebanyakan. Dia boleh minum petang bersama-sama dengan individu kehormat negara. Menerima surat undangan sebagai tetamu dalam acara rasmi dalam istana dan duduk di kerusi di sebelah para pembesar menteri. Bukan seumpama lintah yang tidak tahu malu terus menghisap darah, dia melakukan pekerjaannya perlahan demi perlahan tanpa meninggalkan sebarang kesan. “Sabar,” katanya selalu mengingatkan diri. Semua manusia mempunyai darjah egonya masing-masing. Apa yang perlu dipupuk ialah kesefahaman antara kedua-dua pihak. Dan ia bergantung sebesar mana saiz ganjaran yang disasarkan. Jika berkehendakkan sekadar sebuah tapak warung jualan di tepi jalan, jelas itu bukan standardnya ketika ini. Dia seorang pengampu yang beretika. Tidak semua tokoh elit ingin didampinginya. Dia pemilih yang menolak untuk bersikap tamak. Jangan tunjukkan kepada masyarakat betapa terdesaknya golongan pengampu. Sangat jarang menemui mana-mana pengampu beradab seperti dia. Selain tahu menjaga imej sendiri. Bahkan mempunyai beberapa sijil, diploma, ijazah kedoktoran (dengan kepujian) serta lesen yang melayakkan aktivitinya. Tidak sebagaimana pandangan umum, dia tidaklah sejahat yang disangka. Dia muncul dalam kempen anti Zionis dan lain-lain kempen tentang kesedaran hak asasi manusia. Dia sentiasa berada di depan penderitaan masyarakat. Masyarakat memang mudah terangsang emosi apabila berhadapan dengan isu-isu sensasi mainan media massa. Di situlah dia kerap mencelah diri. Bukan berniat menyombongkan diri, dia kecewa dengan beberapa pengampu generasi baharu yang langsung tidak berkelulusan. Ingin segera kaya. Tidak menghormati orang-orang yang lebih tua. Gelojoh dan mengekori tokoh-tokoh elit seperti langau. Jika boleh, mereka ingin terus duduk di atas kerusi di sebelah para pembesar dan menteri. Dan tetap menganggap kerja mengampu dari sorotan negatif. Perspektif sebegitu salah. Di samping tidak menjaga kebersihan diri. Nafas berbau busuk dan pakaian tanpa diseterika. Tiada sesiapa dari kalangan tokoh elit sanggup bertahan dengan pengampu-pengampu amatur sebegitu. Tiada sivik. Kosong mentaliti. Mengampu bukan semata-mata untuk mendapatkan pangkat, tender, kedudukan dalam parti atau projek. Menurutnya, cabaran ditempuhi sepanjang mengampu lebih hebat berbanding mendapatkan mata kemenangan untuk pingat Olimpik. Ia menggabungkan seni, taktikal, sains, ketepatan masa dan sasaran. Tiada kerahan tenaga kudrat. Jauh daripada itu, pengampu harus menyucikan dirinya daripada sanjungan peribadi. Jangan diikut resmi para penjilat dan perompak wang rakyat. Mereka sentiasa ingin dianugerahi segala bintang kebesaran. Percayalah, tiada sesiapa yang bakal mengalungkan rantai bunga ke leher si pengampu. Sehingga kini dia tidak pernah diberikan ucapan terima kasih. Dia bukan seorang artis. Dia tidak meminta segala pujian kosong sebegitu. Harga diri amat penting buat pengampu. Dia meletakkan kad namanya di depan kemeja sebagai pengenalan diri. Pada setiap kali urusan bermula, maka tokoh elit yang cuba dipengaruhi berasa yakin dengan agenda lelaki itu. Hidup di dalam masyarakat yang berpura-pura, dia tahu perbuatannya itu dituduh sekadar menunjuk-nunjuk. Sebagai pengampu berpengalaman, dia tahu bagaimana mencairkan hati tokoh elit secara matang dan perlahan-lahan. Bermula dengan secawan kopi dan sehiris kek di dalam sebuah kafe. Tidak perlu bertindak bodoh atau tergesa-gesa dengan menggunakan pendekatan klise. Tindakan sedemikian hanya merendahkan martabat. Tokoh-tokoh elit kontemporari tidak sukakan pujian yang mengada-ada. Disebabkan itu pentingnya pengetahuan awam yang luas. Cukup panjang untuk disenaraikan siri kejayaannya. Anda tidak mungkin berpeluang melihatnya di mana-mana media konvensional atau di internet. Lelaki berwawasan besar seperti dia tahu bagaimana hendak menghilangkan diri sesudah selesai menakluki hati tokoh-tokoh elit. Tidak mungkin dia mengampu kepada tokoh elit yang sama buat kali kedua. Itu merupakan petuanya. Disebabkan itu dia segera memencilkan diri. Dia tidak akan mendedahkannya di kedai kopi. Sebaliknya berbaring dengan selesa di tepian pantai di seluruh dunia dan menikmati keindahan alam. Mengampu suatu pekerjaan tertua sebagaimana pelacuran. Lelaki itu bangkit dari kerusi. Dia menuju ke bilik air. Individu yang ditunggu-tunggunya masih belum menampakkan diri. Hampir empat jam dia melekat di kerusi dan menghabiskan tiga jenis minuman. Kesabarannya kekal seperti batu di dalam hati. Ramai manusia gagal dalam hidup kerana tidak berupaya menangani kerenah orang lain. Dia memang jarang membuat temu janji terlebih dahulu. Urusan sedemikian hanya merosakkan suasana santai yang menjadi kebiasaannya ketika mengampu. Dia pernah menunggu sehari suntuk dan pulang tanpa sebarang pertemuan. Keesokan hari dia datang semula dan tidak juga bertemu tokoh elit yang bakal ditawan. Itu merupakan asam garam. Setiap orang ingin menjadi seperti dirinya. Terutamanya orang-orang muda yang ingin hidup dalam kelompok kelas menengah. Memperoleh pendapatan berjuta-juta. Memiliki rumah besar dan terlindung di bawah imuniti khas. Namun ia sangat sukar untuk dicontohi. Orang-orang muda yang berdarah panas, tahunya marah dan memberontak sepanjang masa. Disebabkan itu, dia belum bersedia menubuhkan institusi yang khusus kepada bidang mengampu. Di samping mengenali secara personel dengan mangsa sasaran, setiap calon pengampu mesti sanggup mengorbankan wang ringgit. Belajar, mengikuti kuliah-kuliah di universiti dan rajin membaca. Ia menjana ilmu dan integriti diri. Sebaliknya orang-orang muda lebih suka akan hiburan dan telefon pintar. Dia pernah mengadakan siri temu duga buat bakal pelajar-pelajar yang bakal diserapkan ke dalam institusi nanti. Sayangnya, calon pengampu amatlah pemalas untuk menghadiri diskusi ilmiah. Soalan-soalan yang mudah gagal dijawab. Ada di kalangan calon-calon temu duga tidak mengenali individu-individu terpenting negara. Tidak suka mengorbankan diri dengan segala cabaran. Menolak untuk berbicara tentang buku namun sering benar berlagak serba pandai di laman sosial. Bagaimana mereka hendak mempengaruhi sasaran mangsa yang jauh lebih bermaklumat? Dia bimbang andai aktiviti mengampu yang dilakukan selama ini hanya tinggal sejarah tanpa pewaris yang berkebolehan. Bayangkan sebuah negara tanpa pengampu. Sudah tentu akan berlaku perkara yang tidak seimbang. Umpama bangunan tanpa bekalan elektrik. Lelaki itu menyedari akan kepupusan golongan pengampu yang berkaliber. Pernah dia membincangkan hal itu dalam pertemuan dengan para pengampu di peringkat tempatan dan antarabangsa. Apa harus dilakukan untuk mengekalkan tradisi itu? Sudah tiba saatnya mengampu mesti diiktiraf sebagai sebahagian daripada teras budaya. Dia menyampaikan ucapan dalam seminar. Menulis beberapa artikel dan menerbitkannya dalam bentuk buku. Namun kesemua tulisannya dibakar oleh pihak perpustakaan. Ia dianggap penyesat fikiran manusia. Para pengampu lain pula terdiri daripada mereka yang telah lanjut usia. Berfikiran konvensional dan amat primitif dalam segala hal. Pada usia yang sebegini, dia masih tekal menjalankan aktiviti demi kelangsungan warisan mengampu itu. Bukan kerana dihambat nafsu atau dipaksa oleh pihak lain. Dia tinggal di sebuah pangsapuri yang serba moden. Itu sudah memadai kepadanya. Dia tidak perlukan kediaman menyerupai istana, sebuah pulau persendirian atau beberapa almari pakaian dan kasut. Dia kurang berminat dengan mentaliti menunjuk-nunjuk di kalangan para penjilat, penyamun dan batu api. Mereka semua aktor yang boleh membawa pelbagai watak. Namun dia tidak. Dia rela memperkenalkan diri sebagai pengampu melalui kad yang disematkan di depan kemeja. Dengan pendekatan sedemikian, dia tahu, sasaran mangsa akan menerimanya dengan layan kelas pertama. Lelaki itu merenung cawan kosong di atas meja. Apa yang perlu diputuskan sekarang. Terus menunggu atau pulang ke rumah dan kembali semula ke sini pada keesokan hari? Petang tinggal sisa di luar hotel. Dia tidak memiliki kenderaan. Setiap kali berurusan, dia menggunakan pengangkutan awam. Memang benar, tokoh-tokoh elit tidak akan ditemui berada di dalam monorel, kereta api, bas atau teksi. Tidak sebagaimana di negara-negara asing. Namun di tempat sedemikianlah dia mencanai ilham dan taktikal baharu. Di tempat orang ramai berada, dia memerhati tingkah laku manusia. Dari dahulu sehingga sekarang, manusia tidak pernah berubah. Sudah tiba masa mengupah seorang penulis untuk membuat biografi tentang perjalanan hidupnya. Barangkali ini misi terakhirnya. Dia ingin melakukannya dengan penuh bergaya. Jika dia berjaya menakluki fikiran beberapa tokoh pembesar dan menteri, sudah tentu tidak menjadi kesukaran kepadanya untuk menawan hati seorang wanita yang ditunggu-tunggu di ruang legar hotel. Ya, seorang wanita. Seorang wanita biasa dan bukan siapa-siapa di dalam pandangan masyarakat. Bukan seorang artis namun hanya pekerja hotel yang pertama kali mencairkan hati lelakinya. Bahkan tidak memiliki harta semewah ahli-ahli perniagaan yang datang dari rancangan kronisme. Misinya pada kali ini ternyata berbeza. Tidak serupa dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ni. Ia lebih menjurus kepada kehendak naluri kelakiannya. Wanita yang mungkin suatu masa nanti, bakal memberikan cinta. Suatu pulangan batin yang tidak pernah diraih dan itulah paling menyukarkan sekali. Jika berjaya memperoleh apa yang dihajati itu, maka, segala aktiviti mengampu, akan ditutup buat selama-lamanya. Tuhan, semoga dipermudahkan.
Published on February 17, 2014 01:00
January 30, 2014
perenggan demi perenggan.
"If you try to write like Nabokov, there will always be at least one person (whose name is Nabokov} who'll do it better than you. But when it comes to writing the way you do, you'll always be the world champion at being yourself." - Etgar Keret.
ada 10 "petua" untuk penulis berkarya yang disebut Etgar Keret. di atas petua yang ke 7.
saya berasakan ia sesuatu yang berfaedah. saya menyalinkannya untuk diletakkan di dinding. kadang-kadang saya mengikuti salah satu daripada "petua-petua" yang dipesankan oleh Etgar Keret. kadang-kadang saya mencipta "petua" sendiri.
pengkritik akan berkata itu ini. dan penulis harus menulis terus. penulis mesti berkarya untuk membuktikan kewujudannya. pengkritik akan berkata itu ini.
penulis seperti Haruki Murakami akan sentiasa menulis dengan mengangkat subjek yang kerap berulang-ulang di dalam karyanya. hal-hal biasa berhubung emosi manusia. dari dahulu sehingga sekarang. dan itulah tulang belakang kekuatan naratifnya.
saya pernah bersembang tentang hal ini ketika minum bersama dengan Sufian Abas dan Wan Nor Azriq di KLCC. apa lagi yang hendak ditulis di dalam karya kreatif jika bukan untuk bacaan manusia? Paul Auster akan menulis tentang dunia kelam mengenai manusia. demikian juga Etgar Keret. kedua-duanya hebat kepada saya. naratif kedua-duanya pedas dan terkini.
jika anda ingin menarik perhatian pembaca, tulislah sesuatu yang baharu. sesuatu yang baharu itu, bagaimana bentuknya?
ada 10 "petua" untuk penulis berkarya yang disebut Etgar Keret. di atas petua yang ke 7.
saya berasakan ia sesuatu yang berfaedah. saya menyalinkannya untuk diletakkan di dinding. kadang-kadang saya mengikuti salah satu daripada "petua-petua" yang dipesankan oleh Etgar Keret. kadang-kadang saya mencipta "petua" sendiri.
pengkritik akan berkata itu ini. dan penulis harus menulis terus. penulis mesti berkarya untuk membuktikan kewujudannya. pengkritik akan berkata itu ini.
penulis seperti Haruki Murakami akan sentiasa menulis dengan mengangkat subjek yang kerap berulang-ulang di dalam karyanya. hal-hal biasa berhubung emosi manusia. dari dahulu sehingga sekarang. dan itulah tulang belakang kekuatan naratifnya.
saya pernah bersembang tentang hal ini ketika minum bersama dengan Sufian Abas dan Wan Nor Azriq di KLCC. apa lagi yang hendak ditulis di dalam karya kreatif jika bukan untuk bacaan manusia? Paul Auster akan menulis tentang dunia kelam mengenai manusia. demikian juga Etgar Keret. kedua-duanya hebat kepada saya. naratif kedua-duanya pedas dan terkini.
jika anda ingin menarik perhatian pembaca, tulislah sesuatu yang baharu. sesuatu yang baharu itu, bagaimana bentuknya?

Published on January 30, 2014 02:11
January 27, 2014
sekuel
jika tidak silap, ia berlaku ketika saya minum teh tarik di mamak Pasar Seni. hari Sabtu, sebaik sahaja keluar dari kedai gunting rambut Stylo depan Kota Raya.
suatu hari, entah bagaimana, saya terfikir untuk menggunakan tajuk Selamat Datang Kembali Ke Malaywood sebagai tajuk untuk projek antologi cerpen seterusnya. terus-terang, saya terpikat dengan konsep Naratif Ogonshoto. kepada saya, SN Anwar Ridhwan seorang penulis prosa terbaik di Malaysia.
ya, ia sebuah sekuel. kedengaran begitu. ada pesan penulis ternama agar tidak menceritakan projek penulisan seterusnya. bimbang-bimbang jika ia terbengkalai. seperti kata Hanif Kureshi, jangan ikut petua-petua penulisan yang diajar di bengkel penulisan. langgar sahaja.
namun saya anggap ia sebagai cabaran. mendesak diri sendiri untuk menulis setiap hari, suatu cara untuk tidak terus hanyut dalam laman sosial yang kian menyulitkan untuk dipisahkan kini. oh! ya, baharu-baharu ini saya sudah ada Twitter. nampak benar saya ketinggalan zaman.
ada 10 buah cerpen yang dirancang. setiap cerpen 30 muka surat. sekarang baharu siap 3 buah cerpen. bulan Februari akan muncul tiga empat hari lagi. saya harap berjaya menyelesaikan projek yang (menjerat diri sendiri) ini. nama Malaywood benar-benar mengganggu saya. namun ia hanyalah dunia fiksyen.
di medan selera Pasar Seni, saya minum kopi ais. menulis catatan di atas buku nota. menulis di atasnya bahawa saya menggunakan tajuk Selamat Datang Kembali Ke Malaywood. buku This Is How You Lose Her, Junot Diaz, dibaca sepintas lalu.
menulis cerpen 30 muka surat suatu risiko. majalah Dewan Sastera tidak akan menerimanya. akhbar di Sarawak juga sudah tentu menolaknya. akhbar hanya menghadkan 7-8 halaman. apa boleh buat. dan saya tidak sabar menunggu buku antologi cerpen terbaharu tahun ini. ia memberi bonus tambahan kepada saya. terus bersemangat.
suatu hari, entah bagaimana, saya terfikir untuk menggunakan tajuk Selamat Datang Kembali Ke Malaywood sebagai tajuk untuk projek antologi cerpen seterusnya. terus-terang, saya terpikat dengan konsep Naratif Ogonshoto. kepada saya, SN Anwar Ridhwan seorang penulis prosa terbaik di Malaysia.
ya, ia sebuah sekuel. kedengaran begitu. ada pesan penulis ternama agar tidak menceritakan projek penulisan seterusnya. bimbang-bimbang jika ia terbengkalai. seperti kata Hanif Kureshi, jangan ikut petua-petua penulisan yang diajar di bengkel penulisan. langgar sahaja.
namun saya anggap ia sebagai cabaran. mendesak diri sendiri untuk menulis setiap hari, suatu cara untuk tidak terus hanyut dalam laman sosial yang kian menyulitkan untuk dipisahkan kini. oh! ya, baharu-baharu ini saya sudah ada Twitter. nampak benar saya ketinggalan zaman.
ada 10 buah cerpen yang dirancang. setiap cerpen 30 muka surat. sekarang baharu siap 3 buah cerpen. bulan Februari akan muncul tiga empat hari lagi. saya harap berjaya menyelesaikan projek yang (menjerat diri sendiri) ini. nama Malaywood benar-benar mengganggu saya. namun ia hanyalah dunia fiksyen.
di medan selera Pasar Seni, saya minum kopi ais. menulis catatan di atas buku nota. menulis di atasnya bahawa saya menggunakan tajuk Selamat Datang Kembali Ke Malaywood. buku This Is How You Lose Her, Junot Diaz, dibaca sepintas lalu.
menulis cerpen 30 muka surat suatu risiko. majalah Dewan Sastera tidak akan menerimanya. akhbar di Sarawak juga sudah tentu menolaknya. akhbar hanya menghadkan 7-8 halaman. apa boleh buat. dan saya tidak sabar menunggu buku antologi cerpen terbaharu tahun ini. ia memberi bonus tambahan kepada saya. terus bersemangat.
Published on January 27, 2014 19:33
January 19, 2014
serangga di dalam kepala
Published on January 19, 2014 22:58
November 14, 2013
Malaywood
jika kelak pada 27 November, seorang lelaki dengan wajah dan lagak serba canggung, hadir untuk menerima hadiah kerana buku kumpulan cerpen Selamat Datang Ke Malaywood, di dalam kepalanya masih berfikir tentang fiksyen. sesungguhnya dia masih tidak percaya dan tidak juga terlalu gembira. dia juga akan terkenang perjalanan manuskripnya itu dahulu sebelum dibukukan.
secara peribadi, saya sering berfikir, bilakah akan wujudnya sebuah media, katakan majalah, terhasil setelah berkali-kali diadakan, misalnya Dialog Borneo? kertas kerja demi kertas kerja tinggal menjadi kertas di dalam laci meja. bayangkan sebuah majalah menghimpunkan karya sasterawan Sarawak, Sabah, Wilayah Labuan dan Kalimantan. bayangkan juga majalah sedemikian mampu diterbitkan sebulan sekali dan diharap berkekalan hendaknya.
di negeri Sarawak yang luas, saya juga sering ternanti-nanti, munculnya komuniti penulis pasca moden yang mengubah tema penulisan yang sering dihubungkan dengan karya-karya dari penulis Sarawak. terlalu banyak isu yang boleh ditulis tentang negeri Sarawak yang perlahan-lahan ingin memajukan kemudahan infrastrukturnya. di mana suara anak mudanya yang menentang arus utama? terlalu banyak isu kompleks muktahir yang boleh ditulis tentang negeri Sarawak selain cerita-cerita Rajah Brooke atau Rentap.
jika kelak pada 27 November, seorang lelaki dengan tubuh berbau lumpur dan rambutnya ditiup angin masin dari sungai, hadir untuk menerima hadiah kerana buku kumpulan cerpen Selamat datang Ke Malaywood dipilih sebagai pemenang, di dalam kepalanya masih berfikir tentang ketidaksempurnaan fiksyen. sesungguhnya dia maklum, dunia bukan sebuah kediaman yang serba indah dan kerana itu manusia terus menulis tentang apa sahaja berkaitan kehidupan.
secara peribadi, saya sering berfikir, bilakah akan wujudnya sebuah media, katakan majalah, terhasil setelah berkali-kali diadakan, misalnya Dialog Borneo? kertas kerja demi kertas kerja tinggal menjadi kertas di dalam laci meja. bayangkan sebuah majalah menghimpunkan karya sasterawan Sarawak, Sabah, Wilayah Labuan dan Kalimantan. bayangkan juga majalah sedemikian mampu diterbitkan sebulan sekali dan diharap berkekalan hendaknya.
di negeri Sarawak yang luas, saya juga sering ternanti-nanti, munculnya komuniti penulis pasca moden yang mengubah tema penulisan yang sering dihubungkan dengan karya-karya dari penulis Sarawak. terlalu banyak isu yang boleh ditulis tentang negeri Sarawak yang perlahan-lahan ingin memajukan kemudahan infrastrukturnya. di mana suara anak mudanya yang menentang arus utama? terlalu banyak isu kompleks muktahir yang boleh ditulis tentang negeri Sarawak selain cerita-cerita Rajah Brooke atau Rentap.
jika kelak pada 27 November, seorang lelaki dengan tubuh berbau lumpur dan rambutnya ditiup angin masin dari sungai, hadir untuk menerima hadiah kerana buku kumpulan cerpen Selamat datang Ke Malaywood dipilih sebagai pemenang, di dalam kepalanya masih berfikir tentang ketidaksempurnaan fiksyen. sesungguhnya dia maklum, dunia bukan sebuah kediaman yang serba indah dan kerana itu manusia terus menulis tentang apa sahaja berkaitan kehidupan.
Published on November 14, 2013 20:47
September 19, 2013
seminar dan minum kopi
dua hari lepas saya telah mengirim manuskrip kumpulan cerpen terbaru ke rumah penerbitan terkenal. awal tahun ini, saya memang sudah merancang mengumpul bahan-bahannya. Murakami sudah pun menerbitkan novel terbaharu. tidakkah anda cemburu melihat lelaki berusia 60an itu kekal berperut papan? saya tidak produktif, tetapi kalau tidak menulis, hidup saya yang membosankan akan semakin membosankan. hari-hari tonton televisyen, hari-hari baca status fb orang, hari-hari tekan LIKE di akaun instagram kawan.
saya percaya, menerbitkan buku itu lebih utama berbanding aktiviti-aktivi lain. karya sastera perlukan metafora baharu. kerja penulisan yang baharu. tanpa buku, tiada gunanya puluhan aktiviti kesusasteraan di sana sini. tanpa menerbitkan buku, usah bercakap tentang kelestarian sastera. khayalak sastera kita masih amat menyedihkan. jika sesiapa rajin bertandang pada hari raya, berapa buah rumah memiliki rak buku yang penuh di ruang tamunya selain sofa baru dan bunga-bunga plastik?
adat penulis, mereka tidak akan berpuas hati dengan apa yang sudah ditulis dalam buku sebelumnya. mengapa cerita yang tulis sebelumnya belum cukup mantap? mengapa watak utamanya kurang terseksa? mengapa Roberto Bolano menulis lebih bagus daripada saya? mereka akan menulis lagi tanpa mempedulikan benarkah Korea Selatan mengalahkan Malaysia dalam sukan sepak takraw. mereka tidak mempedulikan siapakah yang membentang kertas kerja dalam seminar di dewan, pertemuan di hotel, simposium di tepi laut, yang seperti dimaklumi - hanya tinggal kertas. selebih itu, ialah minum kopi dan bergambar.
saya percaya, menerbitkan buku itu lebih utama berbanding aktiviti-aktivi lain. karya sastera perlukan metafora baharu. kerja penulisan yang baharu. tanpa buku, tiada gunanya puluhan aktiviti kesusasteraan di sana sini. tanpa menerbitkan buku, usah bercakap tentang kelestarian sastera. khayalak sastera kita masih amat menyedihkan. jika sesiapa rajin bertandang pada hari raya, berapa buah rumah memiliki rak buku yang penuh di ruang tamunya selain sofa baru dan bunga-bunga plastik?
adat penulis, mereka tidak akan berpuas hati dengan apa yang sudah ditulis dalam buku sebelumnya. mengapa cerita yang tulis sebelumnya belum cukup mantap? mengapa watak utamanya kurang terseksa? mengapa Roberto Bolano menulis lebih bagus daripada saya? mereka akan menulis lagi tanpa mempedulikan benarkah Korea Selatan mengalahkan Malaysia dalam sukan sepak takraw. mereka tidak mempedulikan siapakah yang membentang kertas kerja dalam seminar di dewan, pertemuan di hotel, simposium di tepi laut, yang seperti dimaklumi - hanya tinggal kertas. selebih itu, ialah minum kopi dan bergambar.
Published on September 19, 2013 20:55
August 21, 2013
metafora buat-buatan
"metafora yang berlebih-lebihan, sepertinya dibuat-buat." - Marsli NO.
duduk semeja dengan penulis berkarakter seperti Marsli NO masa majlis hari terbuka ITBM Isnin lalu, sentiasa saja perbicaraan lebih menjurus kepada dunia sastera - penulisan kreatif. hanya itu isu pembukaan bicara yang barangkali menyenangkan jika disembangkan sesama penulis. dia mengeluarkan manuskrip yang bakal dijadikan buku sedikit masa lagi. tenaga kreativitinya sentiasa menaik dari tahun ke tahun. sementara beberapa penulis seusianya mula memudar untuk bereksperimen.
dia menyebut nama Chairil Anwar yang dirasakan beberapa sajak terkuatnya tidak terlalu menekankan penggunaan kata-kata puitis apatah lagi metafora yang tidak perlu. sajak AKU dijadikan epitome. saya setuju dengan pandangan Marsli NO. T Alias Taib, SN Baha Zain dan SN Muhammad Haji Salleh membina reputasi dalam genre persajakan dengan keutuhan bahasa tersendiri. sangat jarang saya melihat beberapa sajak mereka yang mendayu-dayu nadanya. sinis malahan.
apakah metafora perlu dilebih-lebihkan agar karya bertambah berkualiti? dengan kepesatan perkembangan sastera semasa, sesiapa sahaja pasti tidak lagi berasa kagum dengan kata-kata seperti " kolam penderitaanku semakin penuh" atau " pagar kesabaranku kian mereput." ia kedengaran ketinggalan zaman atau terlalu mengada-ada pada pendengaran masa kini.
lihat bagaimana sajak Tukang Pistol karya T Alias Taib yang sangat magical kepada saya. apakah sajak itu dibina dengan bahasa bersolek metafora? demikian sajak Pencuri yang tajam dan mengusik imaginasi kita. penyair berpengalaman seperti T Alias Taib mengundang ketakjuban pembaca dengan kata-kata jernih yang sangat dekat kepada fahaman umum.penyair muda berhutang kepada kecerdikan T Alias Taib mencipta sudut baharu dalam teknik penulisan sajak.
metafora yang dibuat-buat menggambarkan percubaan si penulis untuk menarik perhatian akan kehebatan permainan bahasanya. saya fikir metafora ada had dan jika diletakkan di tempat yang tepat, ia menjelaskan kematangan si penulis itu. kata-kata dalam sajak kedengaran mengelirukan kerana penggunaan metafora yang tidak terkawal. zaman moden ini, siapa lagi yang tertarik dengan bahasa yang berbunga-bunga? bahasa yang kedengaran sering diucapkan seharian, seperti terdapat dalam sajak-sajak Latif Mohidin, bahkan lebih mendalam dan misterius penyampaiannya.
"sajak-sajak hipokrit," tambah Marsli NO.
duduk semeja dengan penulis berkarakter seperti Marsli NO masa majlis hari terbuka ITBM Isnin lalu, sentiasa saja perbicaraan lebih menjurus kepada dunia sastera - penulisan kreatif. hanya itu isu pembukaan bicara yang barangkali menyenangkan jika disembangkan sesama penulis. dia mengeluarkan manuskrip yang bakal dijadikan buku sedikit masa lagi. tenaga kreativitinya sentiasa menaik dari tahun ke tahun. sementara beberapa penulis seusianya mula memudar untuk bereksperimen.
dia menyebut nama Chairil Anwar yang dirasakan beberapa sajak terkuatnya tidak terlalu menekankan penggunaan kata-kata puitis apatah lagi metafora yang tidak perlu. sajak AKU dijadikan epitome. saya setuju dengan pandangan Marsli NO. T Alias Taib, SN Baha Zain dan SN Muhammad Haji Salleh membina reputasi dalam genre persajakan dengan keutuhan bahasa tersendiri. sangat jarang saya melihat beberapa sajak mereka yang mendayu-dayu nadanya. sinis malahan.
apakah metafora perlu dilebih-lebihkan agar karya bertambah berkualiti? dengan kepesatan perkembangan sastera semasa, sesiapa sahaja pasti tidak lagi berasa kagum dengan kata-kata seperti " kolam penderitaanku semakin penuh" atau " pagar kesabaranku kian mereput." ia kedengaran ketinggalan zaman atau terlalu mengada-ada pada pendengaran masa kini.
lihat bagaimana sajak Tukang Pistol karya T Alias Taib yang sangat magical kepada saya. apakah sajak itu dibina dengan bahasa bersolek metafora? demikian sajak Pencuri yang tajam dan mengusik imaginasi kita. penyair berpengalaman seperti T Alias Taib mengundang ketakjuban pembaca dengan kata-kata jernih yang sangat dekat kepada fahaman umum.penyair muda berhutang kepada kecerdikan T Alias Taib mencipta sudut baharu dalam teknik penulisan sajak.
metafora yang dibuat-buat menggambarkan percubaan si penulis untuk menarik perhatian akan kehebatan permainan bahasanya. saya fikir metafora ada had dan jika diletakkan di tempat yang tepat, ia menjelaskan kematangan si penulis itu. kata-kata dalam sajak kedengaran mengelirukan kerana penggunaan metafora yang tidak terkawal. zaman moden ini, siapa lagi yang tertarik dengan bahasa yang berbunga-bunga? bahasa yang kedengaran sering diucapkan seharian, seperti terdapat dalam sajak-sajak Latif Mohidin, bahkan lebih mendalam dan misterius penyampaiannya.
"sajak-sajak hipokrit," tambah Marsli NO.
Published on August 21, 2013 18:50
Roslan Jomel's Blog
- Roslan Jomel's profile
- 25 followers
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
