beradu kekuatan abstrak

pagi ini aku bangun awal dengan sedikit perasaan kurang berbahagia. malang sungguh perbuatanku ini, kerana, entah apa sebab, terlalu ingin tahu bagaimana struktur mukaku. apakah tidak serupa seperti kelmarin? jadi hampir lima minit aku memeriksa melalui paparan cermin tandas, jika ada sebarang perubahan. tidak ada sebarang perubahan. masih kekal dengan wajah Andy Garcia. maka, tidaklah perlu aku khuatirkan tentang isu kewujudan Hang Tuah pada hari ini di laman facebook.

memandangkan tiada sebarang anasir yang merubah tekstur permukaan wajah, aku bercadang untuk mengarang sebuah puisi. selain senang untuk menciptanya, bahkan puisi juga boleh dijadikan senjata untuk mengupas bawang, misalnya. ini suatu kemajuan metafora dalam dunia kesusasteraan yang penuh dengan pelbagai tawaran sayembara. bila-bila masa sahaja sebilah senjata boleh dibentuk dan dijual di media massa.

namun, untuk mencipta sebuah karya kreatif, seperti puisi, aku perlukan sebatang pensil dan buku nota di samping pemadam getah. baru saja hendak menulis, aku berasa keliru, apakah tema yang hendak aku tumpukan? lebih kurang sepuluh minit aku termenung di depan buku nota yang baru dipadam rangkap pertamanya. diksi yang aku pilih sangat basi, atau agak biasa-biasa sahaja. sebuah puisi yang bagus, wajib ada kata-kata yang tinggi bunyinya. malah tidak  salah kalau ditampalkan beberapa perkataan berbahasa Arab. mengaji Al-Quran pun jarang dalam setahun, bagaimana?

apabila puisi sudah siap, diberi tajuk, Kain Pelikat Cinta. aku jadi keliru akan tarikh masa sebenar penciptaannya. kadang-kadang aku berfikir masa silam dan selalunya aku tidak memikirkan pun tentang masa di depan walau dalam seminit. tidak mengapa, aku dibenarkan menipu dalam penulisan kreatif sebagaimana orang kerap menipu di laman facebook tentang kearifannya dalam banyak hal kehidupan. puisi aku sudah siap, struktur wajahku pun tetap kekal sediakala, tibalah masa untuk menyerahkan karya kreatif aku itu ke sayembara. menurut laporan di akhbar, hadiah-hadiah yang disediakan amat lumayan. handsome payment.

pagi ini aku mendapat perkhabaran yang kurang menyeronokkan. puisi aku tewas dalam kategori heavyweight. sia-sia aku berlatih tumbukan padu dan cedukan maut. otot-otot puisi aku masih lemah, kurang stamina, bahkan kurang berpenampilan. menurut laporan panel penilai, sesebuah puisi itu harus berpakaian kemas, kuku panjang tidak dibenarkan dan berwajah manis. itulah syarat-syarat fizikal yang aku tiada. dan aku berasa sudah cukup tua, berperut buncit, kerana menanggung kegagalan beradu kekuatan abstrak. 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2012 20:08
No comments have been added yet.


Roslan Jomel's Blog

Roslan Jomel
Roslan Jomel isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Roslan Jomel's blog with rss.