Hilal Asyraf's Blog, page 60
June 15, 2014
Bersangka Baik
June 14, 2014
Zikir Panjang atau Utamakan Orang Solat?
June 13, 2014
Hamba Bola
Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1- Menikmati Kemenangan
Alhamdulillah, saya telah berjaya menyiapkan Bab pertama dalam Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir.
Mungkin ada yang perasan di prolog lalu, bahawa saya telah menggunakan sisi pandang pertama ‘aku’ dari kaca mata Angkasa. Ianya berbeza dengan teknik penyampaian dalam novel-novel Takdir yang lepas, yang mana semuanya disampaikan dari kaca mata ketiga.
Saya sekadar cuba membawa perubahan, dan saya fikir sebagai buku yang terakhir untuk Takdir, saya mahu membawa kita semua lebih mendalam ke dalam diri Angkasa, anak muda yang membawa tanggungjawab besar dalam cerita ini. Saya sarankan anda berikan komen untuk penambah baikan kepada Takdir 3 ini, moga-moga ianya dapat menjadi sebuah novel yang terbaik insyaAllah.
Enjoy bab yang pertama ini, okay?
Pasir di medan ini sedang terhembus naik. Mengabui mataku yang cuba mencari lawan. Aura yang dasyat sedang memenuhi ruang udara, memberikan kesan kepada debu-debu hingga terapung, dan angin pula mula bergerak menampar-nampar wajah menganggu fokus. Namun kuusahakan agar lawan-lawanku tidak terlepas dari perhatian. Walau pandangan sudah mula semakin kabur.
Ya, lawan-lawan.
Ada dua penentang, yang mana kedua-duanya adalah bertaraf lagenda.
Tiba-tiba bilah sumbing pedang milik lawanku menerobos membelah kabus debu, mujur desiran angin yang terhasil dari gerakannya yang pantas tidak terlepas dari dikesani diriku. Lantas aku mengelak dengan berundur selangkah, pedang warisan bapa kuhayun menghentam pedang sumbing itu ke tanah. Tetapi serangan tuan punya senjata tidak berakhir di situ.
Telapak tangan kirinya mara dengan laju untuk menghinggap ke dadaku. Aku mengesampingkan serangan itu dengan gerak siku. Tubuh lawanku itu berputar. Tetapi dia seperti yang aku kenali, tidak pernah mengalah. Dengan daya yang aku hasilkan buatnya tanpa sengaja apabila mengesampingkan serangan tadi, dia berputar 360 darjah bersama-sama sebuah sepakan padu yang amat laju.
Aku hanya sempat mengangkat lenganku, bertahan. Namun tendangan yang bersalut aura yang dasyat telah membuatkan diriku terpelanting, membelah kabus debu yang semakin pekat.
Belum pun sempat aku menjejakkan kaki ke tanah, apatah lagi hendak mengatur pernafasanku semula, datang dari arah hadapan tombak tiga mata. Senjata seorang lagi lawan.
Dengan daya yang tersisa, aku gerakkan kepala ke belakang, mengelak hujaman tombak tiga mata itu dari menyapa wajah. Gerakan itu membuatkan aku berpusing 180 darjah, dan kemudian menekap ke tanah. Serangan tidak terhenti di situ.
Tombak tiga mata kini dihayun ke tempat aku mendarat. Pedang warisan bapa kuangkat ke atas. Bilah dua senjata bertemu. Namun bagi diriku, seakan sebuah tiang gergasi yang sedang jatuh menghempap diri. Dapat aku rasakan kakiku seakan sedikit terbenam ke tanah dek kuatnya hayunan tombak tiga mata tadi.
Ketika inilah juga, pedang sumbing mara dengan kepantasan gerak langkah tuannya, muncul menerjah dari kabus debu nan pekat, dihayun untuk menebas kepalaku saat diri sedang tersekat.
Segera aku salurkan auraku kepada pedang, dan kemudian menolaknya pantas ke atas. Membuatkan tombak tiga mata terangkat sedikit, memberi ruang kepada diriku untuk berguling ke sisi, mengelak pedang sumbing lawan.
Pedang sumbing itu hanya membelah debu-debu. Dan ketika ini, tombak tiga mata telah kembali mencariku. Mereka nyata pahlawan yang bukan calang-calang. Bila aku berjaya mengesampingkan serangan itu, pemilik pedang sumbing sudah menyertai arus serangan itu dengan senjatanya.
Langkahku berterabur dalam menerima semua serangan dari mereka berdua. Pedang warisan bapa pantas meyalani tombak tiga mata dan pedang sumbing yang bertali arus menujah ke arahku. Tetapi aku pastikan tiada langkah yang silap, agar diri ini tidak jatuh sebagai mangsa di medan ini. Bersabar mencari peluang dalam keserabutan yang ada.
Tiba-tiba belakang tubuhku tersentuh sesuatu yang keras.
Penghadang medan!
Pedang sumbing dan tombak tiga mata pantas mengambil peluang dari alpaku nan sesaat. Tujahan yang teramat laju kedua-duanya membuatkan aku hampir sahaja tidak dapat mengelak. Gores luka pada wajah terhasil apabila aku hanya berjaya menjarakkan diriku dengan jarak yang tersangat dekat.
Aku ambil peluang ini untuk mempraktikkan teknik terbaru yang aku perolehi daripada Kiai Api.
Pedang warisan bapa aku lempar ke udara, kedua-dua telapak tangan kusalut dengan aura yang bertumpu hanya padanya, kemudian segera aku menunduk, menghentam kedua-duanya pada permukaan tanah.
Letupan kuat berlaku. Kabus debu terus menghilang, kerana debu-debu pasir telah jatuh. Aku dapat melihat dengan jelas yang kedua-dua lawanku telah tiada berdekatan denganku. Mereka kini berada beberapa depa dariku. Dalam keadaan tertunduk, dan sedang bangkit.
Pedang warisan bapa jatuh terpacak ke tanah.
Aku bangun dan memegang hulunya, menarik dan menghunusnya semula.
Aku dapat lihat pemilik pedang sumbing itu tersengih, dan kemudian tertawa kecil.
“Apa yang kelakarnya?” Aku bertanya.
“Budak, kau dapat mengundurkan kami berdua, itu satu peningkatan.” Ada nada gembira pada suaranya. Namun aku sendiri tidak pasti, apakah itu gembira, atau itu sebenarnya sindiran. Bukan aku tidak tahu perangainya. Suka bergurau. Izrayel, begitulah dia dengan diriku
Pemilik tombak tiga mata seperti yang aku selama ini kenali, diam sahaja. Riak wajahnya juga tidak berubah. End, pemimpin Duarte, semenjak selepas peperangan besar yang lalu, dia akan datang ke Tanah Suci untuk berziarah dan melatihku.
“Kita mahu teruskan lagi?” Aku bertanya. Masih dalam keadaan berjaga-jaga.
“Pastilah.” Izrayel nampak bersemangat. “Maghrib pun belum masuk lagi. Atau engkau sudah kepenatan?” Dia tertawa sinis.
Aku mula mengatur pernafasan. “Aku tak boleh menghampakan hajat guruku!” Melontar semula gurauan Izrayel. End nampak sudah bersedia hendak melangkah mara.
“Apa kata kalian berehat sahaja?” Tiba-tiba satu suara membelah suasana, menghentikan langkahan kami bertiga.
Aku memandang ke arah belakang Izrayel dan End. Suara itu datang dari batang tubuh yang sedang berdiri di tempat ramai tentera berkumpul untuk menyaksikan pertarungan kami. Dari reaksi para tentera tersebut, aku dapat jangkakan yang mereka juga tidak menyedari pemilik suara itu hadir di kalangan mereka.
Izrayel dan End berpaling untuk melihat.
“Tuanku Ruh Faizan.” Aku dapat menangkap suara Izrayel. Terus aku melangkah merapatinya dan End.
“Assalamu’alaikum. Aku terhibur melihat pertarungan kalian. Marilah berehat, dengan minum-minum bersamaku. Tambahan aku perlu mengutamakan tetamu yang mulia di sini, pemimpin Duarte kita.” Ruh Faizan bersuara tenang. Walaupun dia tidak berpakaian laksana seorang raja, kredibilitinya dapat dirasa. Karismanya yang tinggi, membuatkan orang ramai menghormatinya. Aku dapat melihat tentera-tentera spontan bangun untuk menghormati kehadirannya. Tetapi Ruh Faizan meminta mereka duduk dan bertenang seperti biasa.
“Budak ini masih perlu dilatih Tuanku. Agar dia mampu berhadapan dengan Sang Asura nanti.” Izrayel menepuk belakang tubuhku. Sedang mataku pula cuba mencari seseorang. Namun yang kutemui di sisi Tuanku Ruh Faizan hanyalah Tuk Akram, atau lebih dikenali sebagai Kiai Awan.
“Tidak mengapa. Untuk hari ini, marilah meluangkan masa denganku.” Ruh Faizan kekal dengan senyumannya.
Izrayel mengangguk. Kemudian dia menepuk pula bahuku. “Selamat kau budak. Bakal bapa mertua tak sampai hati melihat kau dibelasah.” Dan tertawa.
Aku hanya mampu tersengih dengan ulahnya. Suka menyakatku. Aku memandang End yang bergerak bersama Izrayel.
Bibir pemimpin Duarte itu koyak sedikit dengan senyuman. Jarang berlaku. Ia membuatkan aku akhirnya turut tersenyum. Lantas mengikuti mereka berdua.
Dari belakang itu, aku melihat Izrayel petah bersuara kepada End, walaupun End kekal diam.
Mereka berdua adalah dua orang pahlawan terhebat, yang semenjak peperangan besar lepas berakhir, tidak jemu mempertingkatkan kekuatanku. Mereka memang benar-benar sudah kuanggap seperti guru.
Perbincangan panjang selepas tamat peperangan telah membawa kami kepada konklusi yang tidak kecil.
Kami perlu bersedia untuk menggempur Utopia dalam masa setahun.
Dan kini tujuh bulan telah berlalu.
Tiga bulan lagi.
Aku menghela nafas.
Apakah aku telah mampu?
*******
Suasana damai dan tenang. Cuaca di Tanah Suci katanya tidak sepanas dahulu. Katanya, sebelum aku tiba ke mari, tanah ini tandus. Kini yang aku lihat ialah rumput telah menghampari tanah, dan bercucuk tanam adalah sebahagian aktiviti masyarakat di sini. Walaupun wujud beberapa kawasan yang berpasir dan tanah merah, dan kebanyakannya menjadi medan latihan ketenteraan.
Aku, Izrayel dan End duduk bersila di atas hamparan tikar, tidak jauh dari Rumah Lagenda, atau kini orang ramai telah mula menyebut namanya Ka’bah. Bersama kami ialah Ruh Faizan, Kiai Awan, dan menyertai kami sebentar tadi Mughirah Syu’bah, Khalid Al-Walid dan Waqqas. Di hadapan kami adalah hidangan ringkas, minuman teh sahara panas dan roti.
“Di manakah Aizan Fahmi, Tuanku?” Aku bertanya. Sekadar berbasa basi.
“Dia berada di sempadan. Gilirannya bertugas menjaga dan melatih tentera di sana.” Ruh Faizan menjawab dengan ramah. Senyuman tidak pernah lekang dari wajah Raja kepada Tanah Suci ini.
“Aku ingat engkau akan bertanya di manakah Puteri Maisarah.” Izrayel menyampuk. Aku pantas menyikunya. Terasa seperti wajahku terbakar panas. Pantas mataku mengerling ke arah Ruh Faizan.
Dia sekadar tersenyum.
“End, bagaimana Duarte?” Ruh Faizan bertanya.
“Alhamdulillah. Semuanya baik. Kualiti hidup, sebelum ini pun Duarte memang merupakan wilayah termaju, cuma kali ini bertambah baik. Masyarakat juga telah berbondong-bondong menerima Islam sebagai cara hidup mereka.” End mengeluarkan suaranya yang jarang boleh didengar.
“Allahuakbar.” Ruh Faizan bertakbir perlahan, dan takbirnya disahut oleh kami semua.
“Kita pada saat-saat aman sebegini, janganlah sesekali lupa bahawa ianya datang dengan belas dan rahmat kasih daripada Allah SWT. Selama ini kita diuji dengan kesukaran dan kesusahan, memang kita rasa Allah SWT amat dekat dengan kita, tetapi janganlah pula kesenangan dan kemenangan mengubah semuanya.” Ruh Faizan menambah.
Peringatan ringkas yang memberikan sentuhan kepada jiwaku. Ruh Faizan adalah raja yang bukan sahaja amat menjaga hal ehwal material rakyat, tetapi dia juga sangat menitik beratkan hal penjagaan jiwa raga mereka. Saban hari kuliah selepas Subuhnya tidak pernah berhenti. Memberikan peringatan demi peringatan agar rakyatnya kekal menjadi hamba Allah SWT yang sebenar.
“Namun kita juga berterima kasih kepada Duarte, dengan bantuan yang banyak daripada pihakmu End, keadaan di Tanah Suci, Bumi Barakah, dan lain-lain mengalami banyak peningkatan. Alhamdulillah.” Ruh Faizan menyambung.
End sekadar mengangguk sedikit. Riak wajahnya biasa sahaja. Dia memang begitu orangnya.
“Syu’bah, kongsikanlah keadaan kita yang terkini dengan mereka.” Ruh Faizan bersuara hemah.
Mughirah Syu’bah, panglima termuda Tanah Suci, dan merupakan prodigi medan perang. Akhlak dan santunnya setanding dengan Ruh Faizan, amat disegani oleh ramai orang. Walaupun muda, tiada yang memperkecilkannya. Dia kini merupakan ketua strategi bagi Kesatuan Wilayah Islam yang terdiri dari Tanah Suci, Bumi Barakah, Chinmayi, Duarte, Uftzi dan Brynhildur.
Wilayah Midori telah menjadi hak milik Chinmayi, manakala Chinmayi yang lama telah terbakar hangus dek angkara Long Berk durjana. Wilayah Ethan pula telah diserap masuk ke dalam Duarte, maka ianya telah menjadi di bawah tanggungjawab End.
“Kita sudah menggerakkan da’ie-da’ie kita di seluruh dunia, kecuali Amara. Mereka bertindak menyampaikan berita kemenangan kita di seluruh pelusuk dunia, untuk menghapuskan pengaruh Sang Asura, sekaligus mengajak masyarakat kepada Islam, dan mendidik mereka akannya.” Mughirah Syu’bah dengan wajah yang berhias senyum.
“Dengan ketiadaan aktivit daripada pihak Utopia, pergerakan para da’ie kita selama 7 bulan ini tidak mendapat tentangan yang besar. Walaupun masih ada di beberapa kawasan terpencil, yang kita tidak dapat yakinkan mereka untuk meninggalkan penyembahan mereka terhadap Sang Asura.”
“Dunia bukan sempurna.” Khalid Al-Walid mencelah.
Aku mengangguk. “Tetapi kita pun tidak boleh berputus asa dalam menyeru, bukan?”
Yang lain mengangguk dengan lontaranku.
“Pada masa yang sama, Uftzi sedang mempersiapkan teknologi untuk berhadapan dengan Utopia. Latihan ketenteraan sedang giat dijalankan di semua wilayah.”
“Apakah kita memang langsung tidak punya apa-apa maklumat berkait Utopia?” Izrayel bertanya. Kali ini nadanya serius.
Mughirah Syu’bah menghela nafas. Namun ceria wajahnya tidak menghilang.
“Kami telah beberapa kali menghantar pasukan risikan, namun sedikit sahaja yang kembali. Rata-ratanya mati sebelum dapat sampai ke Utopia. Yang dapat sampai pun, akan menerima tentangan dari mekanisme pertahanan di sana.”
“Sang Asura memang telah meningkatkan pertahanan di sana semenjak istananya dipecah masuk oleh para Kiai dahulu.” End menambah tiba-tiba.
Entah kenapa, aku seperti seronok mendengar End bersuara. Mungkin perasaan aku sahaja. Mataku dan End bertaut sebentar. Dia mengangkat kening sedikit, seakan bertanya kepadaku mengapa. Aku mengangkat kepalaku dengan pandangan bermakna. Sengaja. Aku senang bersahabat dengannya. Dia seakan anugerah besar Allah SWT kepada kami.
“Apakah nanti penggempuran kita telah mengambil kira semua itu? Di sana nanti cuacanya terlalu sejuk.” Izrayel memberikan pesan. Pengalamannya sebagai Ketua Jeneral Utopia memberikan banyak kelebihan.
“Ya. Itu semua menjadikan kita lebih teliti dalam persediaan yang sedang kita laksanakan. Para tentera nanti akan dilengkapi dengan pakaian yang boleh memberikan mereka pertahanan dari cuaca yang ekstrim. Senior Izrayel tidak perlu risau.”
Izrayel bermain dengan janggut nipis pada dagunya. Dia seperti berfikir dengan mendalam sekali.
“Mengapa Izrayel?” Kiai Awan bersuara.
“Angkasa akan melaksanakan misinya semasa kita semua menggempur Utopia bukan?” Izrayel memandang kepadaku.
“Misi itu kekal sebagaimana kita bincangkan sebelum ini.” Mughirah Syu’bah memberikan peringatan akan mesyuarat Kesatuan Wilayah Islam yang dilaksanakan sekitar sebulan selepas peperangan yang lalu.
“Kita sebenarnya memerlukan pengetahuan yang lebih mendalam akan keadaan terkini Utopia. Aku risau jika misi Angkasa itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik, jika ada perubahan-perubahan dilakukan oleh Sang Asura. Tambahan, End sendiri telah lebih dari setahun meninggalkan tempat itu.” Izrayel memandang pula kepada End.
“Kita tidak boleh risikokan keadaan tersebut. Setakat ini, calon utama yang boleh memberikan cabaran kepada Sang Asura hanyalah Senior Izrayel dan Senior End. Kalau hendak pergi memeriksa keadaan Utopia, hanya senior berdua yang mampu melakukannya. Tetapi pastilah ia tidak akan berlaku dengan mudah, dan kita risau jika apa-apa berlaku kepada senior berdua, justeru merosakkan perancangan utama kita.”
Suasana tempat rehat itu diam sebentar selepas penjelasan Mughirah Syu’bah. Ruh Faizan, Kiai Awan, Khalid dan Waqqas nampak seperti sedang memikirkan apa yang sedang dibangkitkan oleh Izrayel, bersama jawapan Syu’bah. Mungkin, kerana aku sendiri sedang begitu.
Aku memandang kepada End, dan sebagaimana jangkaanku, riyak wajahnya sedikit pun tidak berkocak.
“Kita sekadar perlu bersedia sebaik mungkin. Peluang hanya sekali sahaja.” End bersuara.
Izrayel melepaskan keluhan. Dia seperti kurang berpuas hati. Namun nampaknya Izrayel pun menerima keadaan kami.
“Eh, minumlah, dan jamahlah roti yang dihidang. Sibuk berbincang, hingga terlupa bahawa tujuan kita adalah untuk berehat sebentar.” Ruh Faizan memberikan kesantaian kepada suasana yang menjadi hangat dek perbincangan tadi.
Masing-masing kembali dengan keadaan santai, mengambil cawan dan menguyah roti. Namun semuanya diam. Mungkin masih memikirkan perbincangan tadi.
Aku pula melepaskan pandangan ke Ka’bah. Bangunan yang tidak berjaya diruntuhkan Abrahah, saat tiada seorang pun manusia yang melindunginya. Namun sejarah mengkhabarkan kepadaku bahawa ia pernah runtuh disebabkan oleh tangan orang Islam sendiri.
Dalam konflik aku dengan Sang Asura, kadang aku bertanya apakah mungkin wujud sebuah solusi di mana kita tidak perlu berperang dengannya?
Aku dapat melihat, apa yang berlaku hakikatnya adalah sebuah salah faham yang besar, dek kedangkalan sikap orang-orang Islam sendiri.
Ah. Entahlah.
Pastilah jalan keamanan yang paling kami dambakan.
Persoalannya, apakah itu realistik dengan keadaan hari ini?
Betapa benarlah kalam Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Rum ayat 41.
Sekarang manusia telah mula sedar dan kembali kepada Allah SWT. Manusia ini jugalah yang sedang berusaha memperbaiki keadaan yang rosak disebabkan tangannya sebelum ini. Walaupun bukan tangan aku, bukan tangan Ruh Faizan, dan bukan tangan sesiapa yang berjuang pada hari ini, kesilapan generasi lalu benar-benar menghantui hingga ke generasi hari ini.
Kami yang perlu menggalas tanggungjawab untuk memperbaikinya.
“Bercakap fasal Puteri Maisarah.” Tiba-tiba suara Ruh Faizan memecahkan lamunanku.
“Dia sekarang sibuk mengajar Al-Quran saban petang kepada anak-anak perempuan di Tanah Suci.” Dan Raja Tanah Suci itu senyum penuh bermakna kepadaku.
Kembali wajahku terasa panas. Dan aku dapat dengar Izrayel tertawa nakal.
******
Kuturunkan tubuhku. Dahi mencium tanah. Menghadap Ka’bah. Di tengah malam nan pekat.
Kemudian bangun, duduk antara dua sujud. Sujud semula. Pada sujud ini, kuadukan segala kekuranganku, dan meminta kekuatan daripada Pemilik Kekuatan. Sengaja kupanjangkan sujud yang akhir ini, meluahkan segala apa yang mungkin tidak mampu aku luahkan kepada manusia. Kerana aku dididik oleh Bapa, bahawa hanya Allah SWT sahaja hakikatnya tempat kita bergantung harap yang sebenarnya.
Setelah lama begitu, aku bangun kembali di posisi bernama tahiyyat akhir. Selepas usai bacaan selawat dan doa kepada Utusan Langit Ibrahim dan Utusan Langit terakhir, Muhammad SAW, aku lemparkan salam ke kanan dan kiri sebagai penamat buat solat tahajjudku di malam hari.
Aku tidak berseorangan di lapangan Ka’bah walaupun waktu sekarang ialah sepertiga malam. Lapangan ini tidak pernah sunyi dari orang yang bertawaf dan beribadah. Walaupun pada waktu sebegini, tidaklah seramai seperti waktu lainnya.
Aku mendapat ketenangan bila bangun malam dan mengadukan kelemahanku kepada Tuan Punya Ka’bah. Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, aku tahu Dia sebenarnya sedang memberikan uji dan duga kepada hamba-hambaNya.
Namun di celah semua itu, Dia kurniakan juga waktu-waktu aman dan tenang. Bahkan di celah-celah cabaran pun, tidak pernah Dia lupa menyisipkan kepada para hambaNya kebahagiaan dan kekuatan.
Sebagaimana firmanNya yang sering aku ulang sebagai penguat diri:
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” Surah Al-Insyirah ayat 5-6.
“Tenang sungguh di sini ya.” Suara itu menyapa. Aku toleh ke kanan, arah suara itu datang.
End. Bersila di sisiku. Amat pelik apabila dia tiba-tiba membuka bicara kepadaku. Aku tersenyum.
“Apakah engkau gentar, Angkasa?” End bertanya. Memang amat jarang mendengar End bersuara berturut-turut sebegini. Riyak wajahnya yang beku dari segala perasaan itu, menambah tekanan kepada soalannya.
Aku menghela nafas. Mengalih wajahku dari memandang bekas Jeneral Utopia itu. Tunduk.
“Aku tipu kalau aku kata aku langsung tidak ada rasa takut.” Aku bersuara. Kemudian perlahan, aku mengangkat kepala, memandang Ka’bah di hadapanku.
“Tetapi aku juga tipu kalau aku kata takutku membuatkan aku gentar untuk berhadapan dengan Sang Asura.” Aku memegang pedang warisan Bapa yang kemas di sisiku bersama sarungnya.
“Fathi Auni telah mendidikmu dengan baik.” End memuji, sambil menepuk bahuku. Mesra. Tindakan yang amat amat amat jarang, atau hampir tidak pernah dia lakukan kepadaku.
Aku seperti terpana.
“Kau tahu, aku juga dalam konflik saat hendak meninggalkan Sang Asura. Orang-orang Islam selama ini telah menyakiti kami. Tetapi kala bertemu dengan Ruh Faizan di medan perang, aku mula memisahkan antara Islam dan orang-orangnya, lantas aku cuba menerima kebenaran.” End membuka cerita.
Selain kisah yang dibukanya semasa kami bersama-sama dalam perut paus, aku memang tidak pernah melalui keadaan di mana End bersembang panjang, walaupun selama 7 bulan ini kami banyak kali bertemu.
“Kadangkala, kita memang akan punya perasaan takut dan gusar dalam membuat keputusan. Apatah lagi bila keputusan itu bukan sahaja memberikan impak kepada diri kita, bahkan kepada orang-orang di bawah jagaan kita, yang bergantung kepada kita.”
Aku terangguk-angguk, mengakui.
“Menentang Asura, yang sudah seperti abangku sendiri, bukanlah sebuah keputusan yang mudah. Tambah pula aku mengetahui akan beza kekuatannya dengan kekuatanku. Tetapi ada satu perkara yang tidak membuatkan aku rasa rugi dengan keputusan yang aku ambil.”
“Apa dia?” Aku mencelah tanya.
“Ini.” End menunjuk kepada sekeliling.
Mataku menebar kepada orang-orang yang sedang bertawaf, dan juga kepada orang-orang yang sedang beribadah, baik dengan solat, atau membaca Al-Quran.
“Ketenangan. Aku tenang dengan keputusan ini.”
“Bagaimana pula aku?” Aku bertanya untuk kepastian, bagaimana ceritanya boleh membawa manfaat kepada situasiku.
Kerana jika aku gagal, ramai nyawa akan terbunuh. Kegagalan aku bakal membawa kepada gagalnya perjuangan ini.
Ketika ini, tangan End memegang bahuku. Seakan cuba menenangkan semarak jiwaku. Matanya tepat memandang mataku.
“Jika kita tewas dan terbunuh pun, kita ke syurga Allah SWT. Maka mengapakah itu tidak memberikan ketenangan buat kita?”
Jawapan End menyentak jiwaku.
Aku benar-benar terpana.
Perlahan aku dapat rasakan mataku basah, dan air mata mengalir pada pipiku. Terus aku mendakap End di hadapan Ka’bah. Aku menangis teresak-esak dengan apa yang dilontarkannya. Seakan dalam masa End memberikan jawapannya, dan persoalan yang bersama dilontarkannya, aku mempersoalkan keimanan aku selama ini. End yang Islamnya masih baru, membuatkan aku tambah terhantuk dengan apa yang disampaikannya.
“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” Surah Al-Baqarah ayat 154. Aku bacakan ayat itu dalam dakapan End.
“Allahuakbar. Indah.” End menepuk-nepuk belakang tubuhku.
“Terima kasih End.” Aku menjarakkan diri. Memandang End kemudian merehatkan pandanganku pada pedang warisan Bapa.
Apa yang perlu digusarkan?
The post Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 1- Menikmati Kemenangan appeared first on Langit Ilahi.
June 12, 2014
Rejuvenasi Hati: Cari Tuhan Hanya Kala Susah?

Gambar merupakan ihsan Google
Allah SWT adalah Tuhan yang tidak mengantuk dan tidur. Allah SWT juga bukan yang wujudnya bermusim. Allah SWT sentiasa ada, dan tidak pernah hilang meninggalkan kita.
Allah SWT adalah Tuhan di kala kita susah, Dialah juga Tuhan di kala kita senang. Allah SWT adalah Tuhan kala kita ditimpa musibah, dan Dia jugalah Tuhan kala kita mendapat pelbagai anugerah.
Allah SWT berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Namun kebanyakan kita hanya mencari Tuhan di kala susah. Kala musibah menimpa, barulah kita teraba-raba mencari Yang Maha Esa.
Mengapa?
Keadaan Masyarakat
Jika kita ambil keadaan di Malaysia contohnya, apabila ada musibah yang menimpa negara, atau kematian orang besar-besar, secara automatik negara akan berada dalam ‘mode’ bertuhan.
Rancangan hiburan dikurangkan. Baik di televisyen atau radio. Acara-acara yang liar dan tidak patuh syariah akan dipandang pelik ketika itu dan dianggap tidak menghormati suasana. Penyampai berita pun akan tiba-tiba bertudung, berbaju labuh dan sebagainya.
Di peringkat bawahan pun, kita biasa melihat masyarakat melaksanakan majlis solat hajat, bacaan yasin dan sebagainya apabila mendekati musim peperiksaan.
Saya yakin kita semua sedar akan keadaan ini.
Persoalannya, apakah Allah SWT itu wujud hanya kala susah? Hanya kala musibah datang?
Rasulullah SAW
Rasulullah SAW telah mempersembahkan kepada kita contoh yang terbaik.
Baginda ketika peperangan Badar, sebelum peperangan bermula, telah berdoa dengan penuh hiba sekali. Diriwayatkan bahawa baginda mengangkat tangan tinggi, hingga boleh kelihatan ketiak baginda yang putih, dan rida’ yang bagi pakai terjatuh dari bahu baginda. Hingga Abu Bakr RA yang melihat keadaan itu, menenangkan Rasulullah SAW.
Namun baginda juga, adalah yang istiqomah bangun saban malam, beribadah hingga bengkak kaki baginda. Hingga apabila isteri baginda bertanya mengapakah baginda beribadah sedemikian rupa sedang Allah SWT telah menjanjikan kebaikan buat baginda, baginda menjawab: “Apakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita akan bagaimana sebenarnya seorang hamba perlu merasakan kewujudan Allah SWT setiap masa. Bukan sahaja di kala susah atau saat cabaran datang. Tetapi juga di kala senang dan mendapat anugerah.
Tuhan Kita Bukan Musibah Dan Kemalangan
Kita tidak menyembah musibah dan kemalangan, dan sepatutnya kita tidak menjadikan dugaan dan kecelakaan sebagai sebab untuk kita pulang kepada Allah SWT.
Kita perlu melatih diri kita, untuk beriman dengan Allah SWT adalah kerana Dia merupakan Tuhan, dan kita adalah hamba kepadaNya.
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu? Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).” Surah Al-A’raf ayat 172-174.
Memahami realiti bahawa kita adalah hamba kepada Allah SWT, akan menyedarkan kita betapa perlunya kita menundukkan diri kepada perintahNya sepanjang masa. Betapa perlunya kita menjadikan Allah SWT sebagai tempat pergantungan kita sentiasa. Kerana itu kita menuruti perintahNya dan meninggalkan apa yang dilaranganNya dalam apa jua keadaan.
Kita tidak menjadi seorang yang hipokrit. Saat musibah datang baru hendak tunduk kepadaNya.
Jika kita mahu ditimpa musibah baru hendak pulang kepada Allah SWT, maka apakah kita suka Allah SWT sentiasa menurunkan musibah demi musibah kepada kita?
Pastilah tidak.
Maka mengapa bila ditimpa musibah, baru hendak pulang kepada Allah SWT?
Keimanan Yang Sebenar – Musibah Menambah Keimanan
Generasi para sahabat adalah generasi contoh buat kita. Mereka adalah yang hidup bersama Rasulullah SAW, dan mereka berjuang bersama baginda.
Mereka bukanlah manusia yang bila ditimpa musibah, baru hendak beriman. Mereka adalah manusia yang bila ditimpakan kepada mereka cabaran dan dugaan, iman mereka bertambah-tambah!
Amat berbeza dengan kita. Kadangkala kita, ditimpa kecelakaan pun belum tentu akan beriman kepada Allah SWT, ada yang tersungkur dan terus derhaka, kerana merasakan Allah sedang berlaku tidak adil dengan menimpakan bencana kepadanya.
Allah SWT hingga mencatatkan realiti para sahabat ini di dalam firmanNya:
“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab(seramai 10,000 orang dan orang beriman hanya seramai 3000 orang), berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” Surah Al-Ahzab ayat 22.
Ramai yang mencari-cari makna ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar. Ramai percaya bahawa ketenangan dan kebahagiaan itu adalah hidup tanpa ada cabaran, kedukaan, kesedihan, musibah dan sebagainya.
Namun dunia ini tidak begitu. Cabaran dan dugaan akan sentiasa menyapa. Bencana tiada siapa yang merancangannya dan boleh menimpa sesiapa sahaja.
Dengan keimanan yang benarlah, kita akan sentiasa tenang dan bahagia. Cabaran dan dugaan tidak memberikan kita apa-apa melainkan ianya menambah keimanan kita, meningkatkan kekentalan kita, memperkasakan kecekalan kita.
Membuatkan kita terus mampu mengharungi kehidupan ini dengan cemerlang dan berjaya!
Beriman Hanya Kala Bencana Membuatkan Kita Lemah
Iman adalah perkara yang tidak akan muncul dengan tiba-tiba.
Ianya adalah sistem percaya yang memerlukan proses. Perlu sentiasa hidup, untuk ia kekal menjalani proses tersebut. Apakah proses itu?
Itulah dia tarbiyah, proses didikan, yang mampu memperkasakan keimanan.
Tidaklah tarbiyah ini kala susah sahaja, tetapi juga kala senang. Mendidik diri untuk bersyukur, dan mengembalikan segala anugerah yang kita perolehi itu kepada Allah hakikatnya adalah sebuah proses yang besar dalam mendidik keimanan.
Kita mungkin mudah berkata bila ditimpa musibah: “Ini semua daripada Allah, pasti ada hikmahNya.”
Tetapi kita mungkin sukar hendak berkata begini bila anugerah datang: “Ini semua daripada Allah SWT, saya hanya berusaha apa yang saya mampu.”
Namun apabila kita berjaya menundukkan diri kita saat kesenangan datang, di waktu kita gembira dan mendapat anugerah, keimanan kita akan terlatih untuk bertambah saat dugaan datang menjengah.
Ya, kita mungkin bersedih, kita mungkin akan merungut, kerana kita manusia biasa saat ditimpa ujian dan duka. Tetapi dengan keimanan yang telah terlatih tadi, kita takkan hilang arah dan terus menjadi lemah. Kita akan melihat semua ini daripada Allah, dan Allah sedang menguji kita. Kita akan mula melihat ujian tersebut sama ada sebagai pencucian kepada dosa-dosa kita, atau sebenarnya Allah SWT sedang hendak menaik taraf keimanan kita!
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Namun bila lemah baru mencari Tuhan, kita akan menjadi terlalu rapuh. Saat senang, kita akan lupakan Allah SWT. Dan kita akan meninggalkanNya.
Allah SWT berfirman akan keadaan ini:
“Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).” Surah Al-Israa’ ayat 67.
Adakah kita begitu?
Moga-moganya tidak.
The post Rejuvenasi Hati: Cari Tuhan Hanya Kala Susah? appeared first on Langit Ilahi.
‘Khasiat’ Ramadhan
June 10, 2014
Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Prolog – Percaya!
InsyaAllah bermulalah episod bersiri Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir di LangitIlahi.Com
Saya menjangkakan novel ini siap dengan sempurna pada penghujung Ogos 2014.
Saya mohon sokongan dan doa rakan-rakan pembaca agar saya berjaya menyempurnakannya.
Enjoy prolog.
Dan nantikan episod-episod yang seterusnya.
Apakah perasaannya?
Menjadi yang ‘terpilih’?
Siapakah yang memilih? Mengapa aku yang dipilih? Mendapat ‘kuasa’ untuk membuat sebuah keputusan yang besar, yang mengubah sebuah tatacara hidup, menyempurnakan sebuah ‘ramalan’, yang mungkin membawa kemusnahan atau apa yang diharapkan – kemenangan.
Satu perasaan yang berkecamuk.
Hendak sampai ke sini sahaja sudah satu perkara yang memeritkan. Bagaimana nanti kala keputusan perlu dibuat dan tindakan perlu disempurnakan? Apakah aku mampu?
“Angkasa, Jangan hilang perhatianmu!” Suara itu mencecah gegendang telinga, membuatkan aku menoleh ke belakang.
Aizan Fahmi, sedang bertarung dengan binatang yang selama sejarah manusia wujud, hanya mitos semata-mata. Naga. Menyembur api dari mulutnya ke arah sahabat seperjuanganku itu.
Namun Aizan betah mengambil risiko. Semata-mata untuk memberikan aku peluang menjayakan misi yang wujud pada pundakku.
Aku berlari sepantas mungkin. Destinasi yang dituju tidaklah sejauh mana. Aku sudah dapat melihatnya dari sini. Semakin lama semakin hampir.
Tiba-tiba bunyi dentuman yang kuat membuatkan telingaku berdesing hebat. Aku sendiri terpelanting ke belakang. Berguling, sebelum aku dapat menstabilkan keadaan diri, melutut dan memandang ke hadapan. Apakah?
“Apa kalian fikir, Sang Asura terlalu bodoh untuk tidak melihat perancangan ini?” Suara dingin lagi menusuk itu kedengaran. Dengan aura yang menekan, dia yang terkenal hebat sedang berdiri gagah bersama lembing hitamnya. Mantel merahnya berkibar, menutupi destinasiku. Seakan gerhana yang menutup cahaya mentari.
Long Berk. Pahlawan yang digeruni ramai. Di hadapanku kini.
Namun aku tidak takut kepadanya.
Tetapi aku juga tidak bodoh untuk menafikan kehebatannya.
“Jangan ingat engkau akan dapat menghalang.” Aku tekad. Pedang warisan bapa terhunus dengan sendirinya, melayang dan terpacak di hadapanku. Aku pegang hulunya, bangkit dan melibasnya.
Aku tidak dapat menjangka dengan pasti, apakah riak wajah yang sedang dipamerkan Long Berk. Namun dari gerak kepalanya, aku jangka dia sedang tersengih. Merendahkan semangatku.
Seakan dia dapat meneka, yang aku sendiri kurang pasti apakah dia mampu untuk aku tumbangkan.
“Anak Fathi Auni, engkau seperti sedang mengacah langit.” Long Berk bersuara angkuh. Ketika ini, turun daripada langit sekumpulan makhluk yang belum pernah kulihat sebelum ini. Kurus kering, bersayap seperti kelawar, bertanduk seperti kerbau, bertaring, dan kaki seperti kambing. Memegang tombak yang bilahnya berpusar.
10 ekor. Aku yakin mereka bertaraf binatang. Makhluk genetik yang tidak punya akal. Namun mereka mempunyai aura yang tersendiri. Tekanan aura Long Berk, bertambah dengan aura 10 binatang ini.
“Hari ini, engkau boleh memarahi Tuhanmu, kerana mungkir dengan kemenangan yang dijanjikanNya.” Long Berk menghunus lembing hitamnya. 10 binatang yang bersamanya mengeluarkan bunyi aneh, seakan mentertawakanku.
Saat ini, terasa bahang yang tersangat hangat di belakang tubuhku. Aku toleh seketika.
Aizan Fahmi sedang bermandikan hembusan api. Dia bertahan dengan salutan aura yang mempertahankan dirinya.
Kami tersepit.
Sedang masa semakin sedikit.
Di luar sana, tentera utama kami sedang bertempur dengan tentera yang dipimpin sendiri oleh Sang Asura. Sang Asura yang mampu menghapuskan seluruh tentera Chinmayi seorang diri.
Bagaimana?
Hulu pedang warisan bapa kupegang erat.
“Ada kata-kata terakhir, wahai Angkasa Sakti?” Long Berk bertanya, sambil auranya dipertingkatkan. Aku dapat merasakannya, Long Berk mahu benar-benar memusnahkan aku dengan segera.
“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka, sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas.” Aku membaca ayat tersebut.
Long Berk seperti terdiam.
“Surah Ibrahim ayat 46-47. Dan aku memilih untuk membuktikannya.” Aku menyambung.
“Kalau begitu, matilah engkau dengan kepercayaan itu hari ini.” Long Berk menggerakkan lembingnya. 10 binatang tadi meluru laju ke arahku.
Aku tingkatkan auraku.
Percaya.
Sesungguhnya Allah itu tidak akan sesekali memungkiri janjiNya!
The post Novel Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Prolog – Percaya! appeared first on Langit Ilahi.
June 9, 2014
Poster: Antara world cup dan ramadan..
World cup world cup juga… jangan lupa persiapan Ramadan ya….
The post Poster: Antara world cup dan ramadan.. appeared first on Langit Ilahi.
Gelatin Babi dan Konsep Istihalah dalam Fiqh
Baru-baru ini Malaysia digempar dengan isu DNA khinzir yang terdapat dalam coklat Cadbury. Namun setelah dibuat kajian dengan lebih teliti pihak berkewajipan JAKIM telah mengesahkan bahawa ia halal dimakan. Seterusnya lebih mengejutkan masyarakat apabila sebahagian sarjana dalam bidang agama di Malaysia mengemukan pandangan ulama’-ulama’ besar semisal Dr Yusuf Qardawi tentang gelatin khinzir yang halal digunakan.
Mungkin kerana tidak biasa dengan perkara khilaf natijahnya tidak sedikit yang mencaci dan mengkeji mereka yang mengemukan pandangan tersebut walhal hanya menyatakan pandangan ulama’ yang terkini. Ada yang bertindak lebih agresif dengan menanggalkan pakaian adab dalam berbicara dengan mengatakan ulama’-ulama’ besar ini juga ulama’ yang dibayar untuk mengeluarkan fatwa seumpama ini. Bahkan ada sebahagian ilmuan agama yang lain bertindak untuk menolak terus pandangan tersebut sedangkan ia pada asalnya merupakan perbezaan pandangan para ilmuan. Adapun dada perbincangan fiqh sepatutnya dilihat dalam konteks yang luas bukan terikat pada sesuatu pendapat sahaja.
Namun, tidak menafikan ada sebahagian masyarakat yang tidak terburu-buru dalam menilai dan tidak pula meletakkan emosi sebagai akar perbincangan sesuatu masalah, bertindak untuk mengkaji dengan lebih mendalam perihal isu ini dengan bertanyakan kepada mereka yang lebih arif akan isu ini tentang kesahihan berita mahupun penjelasan lanjut berkenaan fatwa yang telah dikeluarkan. Hal ini patut dipuji.
Hakikat Perbezaan dalam Berpendapat
Imam Hassan Al-Banna ada panduan yang menarik dalam hal perbezaan pendapat ini. Kata beliau[i]:
“Perselisihan fiqh dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan.”
Hal ini kerana terdapat dua bentuk perbezaan:
i- Khilaf yang dilarang yakni khilaf yang boleh memecahkan ummah seperti khilaf antara pecahan-pecahan daripada islam yang bersangkutan dengan perkara usul aqidah. Juga kebiasaan perbezaan ini adalah berdasarkan emosi dan kurang senang dengan pihak yang lain.
ii- Khilaf yang dibenarkan pula adalah khilaf dalam perkara cabang amalan dan juga ibadah yang mana ia spatutnya tidak menyempitkan dada dan tidak menyakiti sesiapa. Adapun khilaf ini berlaku adalah disebabkan berbeza cara dan tahap kefahaman, keluasan ilmu dan suasana.
“Bagi setiap mujtahid (orang yang berijtihad) ada pahalanya.”
Perbezaan yang dibenarkan boleh membawa rahmat kepada manusia jika dilihat dengan skop keluasan islam dalam kehidupan. Sebaliknya membawa bencana jika diuliti perbezaan dengan taasub kepada sesuatu pandangan dan menafikan hak pandangan yang lain walhal ia perkara yang boleh berbeza akannya.
Bagi mereka yang berijtihad dan mengikut pandangan ulama’ atau mazhab terdahulu dengan kekuatan dalil yang digunakan maka bagi mereka pahala samada ia menghampiri kebenaran atau tidak kerana hakikat kebenaran adalah pada sisi Allah. Nabi s.a.w bersabda:
Jika seorang hakim mengeluarkan hukum, dan berijtihad, dan benar pendapatnya maka baginya dua pahala, jika dia berhukum dan berijtihad dan tersalah pendapatnya maka baginya satu pahala. ( HR Muslim)[ii]
“Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan tahqiq(penilaian) ilmu, penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih sayang kerana Allah SWT, serta kerjasama dalam mencari seterusnya menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.”
Kata Syeikh Waliyullah Ad-Dahlawi:
“ sesungguhnya taasub kepada mazhab ini merupakan faktor utama yang menyebabkan umat islam terbelakang dalam banyak aspek (disebabkan berlaku perbezaan yang tidak terurus), sedangkan imam-imam mazhab sendiri tidak membenarkan pengikutnya taasub pada mazhab mereka mahupun mazhab selainya seperti tercatat dalam tulisan-tulisan mereka sendiri.”[iii]
Pengertian Istihalah dan Syaratnya
Istihalah dalam bahasa arab ada dua maksud iaitu tidak boleh yakni mustahil, juga bermaksud berubah sesuatu daripada tabiatnya dengan berubahnya zat, sifat dan nama bagi.
Dari sudut pengertian istilahnya, istihalah merupakan perubahan sesuatu dan bertukarnya ia dari sifatnya iaitu suatu benda yang najis menjadi suci seperti darah kijang menjadi kasturi, arak menjadi cuka dan lemak najis menjadi sabun yang mana ianya berubah daripada zatnya dan sifatnya secara tabi’e ataupun melalui perantaraan pemeraman atau pembakaran atau bercampur dengan sesuatu yang suci.[iv]
Daripada maksud isithalah ini dapat diketahui bahawa kaedah penyucian ini mesti menepati syaratnya iaitu berubah secara hakikat sesuatu itu dan bertukar ia menjadi sesuatu yang lain yang berbeza dengan asalnya dari sudut namanya, atau zatnya atau ciri-cirinya atau sifatnya. Sebagainya contoh najis yang dijadikan baja bagi anak pokok. Kemudian tumbuh dari anak pokok itu pohon yang berbuah. Buah itu suci kerana ia berlaku proses perubahan kepada suatu bahan yang lain bersama hilangnya sifat asal bahan tersebut seperti dalam syarat yang telah disebutkan.
Pandangan Mazhab-mazhab berkenaan konsep istihalah
Majoriti ulama’ menerima konsep istihalah ini. Namun berbeza tahap capaian peenggunaan istihalah dalam kehidupan. Ada sebahagian mazhab yang menggunakan secara meluas aeperti mazhab Hanafi dan Maliki dan ada juga mengecilkan skop ini seperti mazhab Syafie dan Hanbali. Terdapat juga permaslahan yang disepakati berlakunya padanya prose istihalah dan terdapat juga permasalahan yang tidak disepakati akannya berlaku proses tersebut.
Antara perkara yang diisepkati berlakunya proses istihalah adalah arak bertukar menjadi cuka secara tabi’e. Kata Dr Wahbah Zuhaili[v]:
Fuqaha’ bersepakat bahawa arak yang bertukar menjadi cuka secara tabie tanpa proses pemeraman atau tambahan sumber asing dari luar atau mengubah kedudukan arak itu dari tempat yang gelap kepada sinaran cahaya atau sebaliknya, maka ia adalah suci dan boleh dimakan dan digunakannya. Ini berdasarkan hadis nabi s.a.w daripada Aisyah r.a:
Hidangan yang paling baik adalah cuka. (HR Muslim)[vi]
Adapun perkara yang berbeza ulama’ tentang aplikasi konsep ini adalah berkenaan bertukarnya arak melalui proses tertentu seperti pemeraman dan juga pertukaran sesuatu bahan yang tidak terdapat nas tentangnya.
i- Arak bertukar melalui proses
Mazhab Hanafi, Maliki, Zahiri bersependapat bahawa ia adalah suci dan boleh digunakan sama ada melalui proses ataupun secara tabie. Hal ini dikuatkan dengan perbuatan sebahgaian para sahabat seperti Saidina Ali r.a dan juga Ibn Umar r.a. dengan menggunakan ‘qias’ sucinya kulit binatang dengan samak kerana hilangnya najis pada cuka tersebut yang menyebabkan mabuk.
Mazhab Syafie, Hanbali berpendapat bahawa arak tidak menjadi suci jika melalui proses yang tertentu, hanya secara tabie sahaja menjadikan ia suci (seperti masalah di atas) berdasarkan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya nabi s.a.w telah ditanyakan tentang adakah arak diambil selepas diproses (pemeraman). Jawab baginda : “Tidak” (HR Muslim)[vii]
ii- Perkara yang tidak terdapat dapat dalam nas akan aplikasi istihalah ke atasnya seperti darah kijang menjadi kasturi, lemak najis menjadi sabun, tahi menjadi baja selepas dibakar, najis yang ditanam dalam tanah dan hilang kesannya, ubat-ubatan yang bercampur asalnya najis menjadi suci selepas proses kimia dan sebagainya.
Jumhur ulama’ mazhab hanafi,maliki zahiri, ibn taimiyah, ibn qayyim, assyaukani mengatakan perkara-perkara ini menjadi suci dengan proses istihalah[viii] berdasarkan dalil penukaran arak menjadi cuka adalah suci (seperti di atas) juga berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas bahawa nabi s.a.w bersabda:
Mana-mana kulit binatang yang disamak maka ia suci. (HR Tidmidzi)[ix]
Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa sesuatu yang asalnya najis menjadi suci apabila berlaku proses-proses yang tertentu hingga hilang sifatnyanya, ciri-cirinya dan bertukar namanya.
Manakala mazhab syafie dan hanbali berpendapat perkara-perkara ini tidak menjadikan ia suci dengan istihalah[x]. Hali ini kerana najis seperti khinzir dan anjing itu adalah najis dari sudut zatnya sendiri dan ia tidak boleh disucikan melalui istihalah.
Adapun pendapat mazhab syafie dan hanbali ini boleh dikonklusikan dalam penyataan[xi]:
Mazhab Syafie: Tidak menjadi suci daripada bahan yang mempunyai najis itu dengan istihalah kecuali dalam tiga keadaan:
i) arak yang menjadi cuka dengan secara tabie
ii) kulit binatang yang mati (selain dari anjing dan babi) apabila disamak
iii) sesuatu yang berubah menjadi binatang, seperti bangkai yang bertukar menjadi ulat, kerana wujudnya hidupan
Mazhab Hanbali: Tidak menjadi suci sesuatu yang najis dengan istihalah kerana nabi s.a.w melarang untuk memakan sesuatu perkara yang najis, walaupun diaplikasikan proses penukaran (istihalah) berdasarkan hadis daripada Ibn Umar r.a:
Rasulullah s.a.w melarang untuk memakan binatang yang memakan najis (al-jallalah) dan susunya. (HR Tirmidzi)[xii]
Rumusan pendapat Mazhab dan aplikasi konsep Istihalah masa kini
Dewasa ini perindustrian makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan harian telah banyak bercampur dengan bahan-bahan haram atau najis khususnya unsur dari khinzir dari segi lemaknya, darah, tulang dan lain-lain.
Jika dinilai semula kepada produk-produk yang dihasilkan tersebut, secara zahirnya ia tidak lagi mempunyai sifat-sifat atau unsur babi. Bahan- bahan dari babi seperti gelatin, lemak, darah, tulang dan organ-organ lain telah melalui pelbagai proses secara kimia dan menghasilkan bahan yang tidak lagi mempunyai sifat najis babi berkenaan pada pandangan mata kasar. Apabila dicampurkan dalam bahan makanan atau ubat-ubatan untuk tujuan pengawetan dan seumpamanya maka ia telah bercampur dengan bahan lain yang lebih dominan dan ia tidak lagi menjadi satu bahan yang kelihatan najis pada zahirnya.
Dalam menjawab persoalan ini dengan menggunakan kayu ukur kaedah istihalah, kita dapati bahawa jika berasaskan kepada mazhab Hanafi, Maliki, Ibn Hazm (zahiri) dan mereka yang sependapat dengannya, kaedah istihalah ini boleh diaplikasi dan menjadikan ia bahan yang suci dan halal dimakan atau digunakan. Ini kerana bagi mereka setiap bahan najis yang telah bertukar sifat dan ciri-cirinya tidak lagi dinamakan dengan nama najis itu tetapi telah bertukar menjadi satu bahan lain yang mempunyai sifat dan ciri-ciri baru dan nama baru. Contohnya tulang babi yang asalnya najis dan haram, tetapi apabila diproses menjadi gelatin, sifat najis tulang babi tersebut telah hilang kerana perubahan pada sifat dan namanya. Kemudian apabila gelatin itu dicampurkan dalam bahan makanan dan menjadi salah satu dari ingredientnya, sifatnya telah menjadi semakin jauh berubah dan ia tidak lagi dikenali sebagai bahan tersebut, walaupun fungsinya tetap ada. Jika ia dimasukkan dalam gula-gula, produk akhir itu dikenali sebagai gula-gula, bukannya gelatin.
Bagaimanapun, jika dinilai dari perspektif mazhab Syafie dan Hanbali yang agak ketat penerimaan mereka terhadap konsep istihalah ini, proses perubahan bahan najis dari babi seperti yang dinyatakan di atas kepada bahan lain seperti gelatin dan serum, tidak semestinya sifat kenajisannya itu telah hilang, sebaliknya ia mungkin kekal bersama nama baru yang diberikan kepadanya. Ini kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku kerana perubahan yang berlaku mungkin tidak sepenuhnya dan sifat-sifatnya kenajisannya mungkin kekal dan tidak mengalami sebarang perubahan. Jika setiap perubahan nama itu boleh dikatakan telah berlaku istihalah sudah tentulah bahanbahan dari babi yang tidak begitu jelas kenajisannya iaitu selain dari daging, tulang, kulit, bulu dan organ-organ lain itu boleh digunakan secara meluas tanpa perlu dibimbangi kenajisannya. Ini membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan babi secara berleluasa dan akan menjerumuskan umat Islam kepada penggunaan sesuatu yang najis dan haram.[xiii]
Berdasarkan kajian ini, kita dapati bahawa sarjana feqah terdahulu berbeza pendapat dalam mengaplikasikan konsep istihalah ini dalam kehidupan. Justeru itu, sebagai mana luasnya dada fiqh dalam masalah ini, perlu juga bagi kita terutama masyarakat awam untuk berlapang dada dalam menguruskan perbezaan ini.
Tidaklah pula dikeji ingin meringan-ringankan agama bagi mereka yang menerima pendapat yang membenarkan yang mana selari dengan pendapat ulama’-ulama’ kontemporari, dan tidak pula dianggap jumud (tertutup) bagi mereka menerima sebaliknya kerana mungkin ia jalan terbaik bagi sesetengah pihak untuk menghilangkan perasaan sangka-sangka dan jauhi perkara yang dianggap syubhah.
Adapun bagi masyarakat awam yang menerima pendapat yang membenarkan tidak perlu meneliti secara mendalam sesuatu bahan itu sama ada ia telah boleh digunakan (selepas proses istihalah) atau tidak. Cukup sekadar keyakinan dan kepercayaan yang disandarkan kepada badan yang berwajib untuk meniliti dan memeriksa kandungan bahan-bahan tersebut kerana asal kepada sesuatu makanan itu adalah halal kecuali ada bukti pengharamannya.
Dr Yusuf Qardawi dan fatwa halal gelatin babi
Berdasarkan penerangan di atas dapat kita simpulkan, bahawa fatwa ini tidak menyanggahi sebahagian pendapat ulama’-ulama’ yang terdahulu. Fatwa ini juga dipersetujui oleh para sarjana terkini seperti Dr Wahbah Zuhaili dan Majlis Fatwa Eropah. Bahkan ada beberapa perkara lain yang menarik yang lain yang boleh di kongsikan bersama.
Dalam resolusi Nadhwah yang ke-8 bertajukkan “Pengurusan Islam dalam Permasalahan Perubatan” yang dinaungi oleh Dr Yusuf Qardawi turut dihadiri oleh ilmuan daripada Al-Azhar, Pertubuhan Fiqh Islami Jeddah, Maktab Iklimi dalam Pengurusan Kesihatan Iskandariah, Kementerian Kesihatan Kuwait yang berlangsung di Kuwait bertarikh 22-24 Zulhijjah 1415 bersamaan 22-24 Mei 1995[xiv], diputuskan beberapa solusi:
1- Produk-produk makanan yang mengandungi lemak babi dalam bahan-bahannya TANPA proses istihalah terhadapnya diharamkan secara mutlak
2- Insulin daripada khinzir untuk tujuan perubatan dibolehkan disebabkan darurat, namun mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan syara’.
3. Istihalah iaitu perubahan bentuk najis itu kepada suatu bentuk yang lain yang mana berubah sifat najisnya yang asal kepada suatu yang suci seperti:
i.Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
ii. Sabun yng dibuat melalui proses istihalah dari lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah suci dan harus digunakan.
iii.Keju atau susu yang dihasilkan daripada proses abomasum[xv]/rennet[xvi] (إنفحة )[xvii]daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah suci dan halal dimakan.
iv. Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
Kesimpulan: Berlapang dada dan ubah yang lebih utama!
Kita dapat lihat bahawa isu ini adalah isu perbezaan pendapat sarjana dalam menilai dalil dan nas agama berdasarkan kemahiran dan kepakaran melalui ijtihad masing-masing. Justeru itu, apabila ia suatu bentuk perbezaan yang bukan membawa penyelewengan dan tidak berasas, sepatutnya kita berusaha untuk menerima perbezaan tersebut dengan lapang dada dan mengikut pandangan yang kita rasa sesuai dengan kita tanpa menyalahkan pihak yang lain atas pegangan mereka kerana hakikat panduan islam dalam kehidupan itu amat luas melebihi jangkauan pandangan sesetengah kita.
Adapun yang lebih utama adalah untuk kita berusaha mencegah atau meninggalkan perkara yang sedia haram yang jelas nampak di hadapan mata kita sama ada dalam bentuk produk seperti rokok ataupun dalam bentuk sistem seperti riba (sekadar kemampuan). Bukan bermaksud tidak cakna kepada produk makanan ini, bahkan perlu ambil berat kerana makanan boleh memberi kesan pada kehidupan seharian kita sama ada dari sudut kesihatan mahupun roh kita, tetapi perkara-perkara ini kita bisa bergantung kepada pihak berwajib untuk menentukannya sedangkan hal-hal di atas (rokok,riba) kita punyai pilihan dan alternative lain.
Wallahualam~
[i] الطحان, مصطفى محمد, الفكر السلامي الوسط, 55-60
[ii] مسلم, مسلم بن حجاج, صحيح مسلم, كتاب الأقضية, باب بين أجر الحاكم…,رقم3232
[iii] الدهلوي,ولي الله, انصاف في بيان اسباب الإختلاف, 5
[iv] الذحيلي, وهبة, موسوعة الفقه الإسلامي والقضيا المعاصرة, 12/822-823
[v] مصدر السابق,12/827
[vi] مسلم, مسلم بن حجاج, صحيح مسلم,كتاب الأشربة, باب فضيلة الخل والتأدم به, رقم 3802
[vii] مصدر السابق, باب تحريم تخليل الخمر, رقم 3648
[viii] /82912الذحيلي, وهبة, موسوعة الفقه الإسلامي والقضيا المعاصرة,
[ix] الترميذي, محمد بن عيسى, سنن الترميذي, كتاب الإستئذان و الأداب, باب مناقب أسامة بن زيد, رقم 3494
[x] الذحيلي, وهبة, موسوعة الفقه الإسلامي والقضيا المعاصرة,12/830
[xi] الذحيلي, وهبة, موسوعة الفقه الإسلامي والقضيا المعاصرة, 12/834
[xii] الترميذي, محمد بن عيسى, سنن الترميذي, كتاب الطهارة, بابا في كراهية البول في المغتسل, رقم 54
[xiii] Kertas Kerja Pendekatan Istihalah Dalam Produk yang Berunsurkan Babi, Oleh Dr Saadan Man, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
[xiv] الذحيلي, وهبة, موسوعة الفقه الإسلامي والقضيا المعاصرة, 9/826-830
[xv] Kamus Dewan bahasa dan Pustaka Online: Abomasum ialah bahagian keempat dan terakhir perut haiwan ruminan yg merupakan ruang pencernaan sebenar.
[xvi] Kamus Dewan bahasa dan Pustaka Online: Rennet adalah proses pengumpalan.
The post Gelatin Babi dan Konsep Istihalah dalam Fiqh appeared first on Langit Ilahi.
Belia Naungan Al-Quran : Sabar Di Setiap Posisi Hidup (1)
Tidak mudah untuk sabar. Disebabkan tidak mudah itulah, Allah menjanjikan ganjaran yang besar, iaitu Dia sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.
Banyaklah kebaikannya apabila Allah bersama dengan kita.
Yang susah terasa tenang dihadapi, yang berat terasa lapang dada untuk diselesaikan, yang sukar terasa mudah melaluinya. Yang senang pula dirasakan penuh barakah dalam kehidupan.
Demikianlah tidak mudahnya sabar, maka Dr Yusuf Al-Qaradawi mengatakan bahawa perkataan sabar itu adalah perkataan akhlak terbanyak di dalam Al-Quran.
Al-Quran Berbicara Tentang Sabar
Sabar itu menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Dengan sabar, Allah s.w.t. memberikan petunjuk ke jalan yang benar. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman :
“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka sabar. Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami.”
Dalam ayat yang lain pula, Allah menempatkan posisi sabar itu sebagai kedudukan yang lebih baik untuk Rasul-Nya ketikamana baginda berada di medan Uhud, dan diuji dengan menghadapi kematian bapa saudara kesayangannya, Hamzah dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Ketika itu, baginda bersumpah untuk membalas tindakan musyrik itu serta turunlah ayat ini :
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada kamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik orang yang sabar. Dan bersabarlah (Muhammad) dan tidaklah kesabaranmu itu melainkan dengan (pertolongan) Allah dan jangan engkau engkau bersedih hati atas (kekafiran) mereka dan jangan engkau menjadi sesak (dada) terhadap tipu daya mereka.”
Allah s.w.t. juga menjanjikan ganjaran tanpa batas kepada mereka yang bersabar :
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman ! Bertaqwalah kepada Tuhanmu.’ Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala tanpa batas.”
Menempatkan Sabar Dalam Setiap Posisi Hidup
Sabar itu harus menempati semua posisi hidup kita. Kehilangan sikap sabar menyebabkan kita terburu-buru berkeputusan, tidak tenang dalam berfikir, tidak rasional dalam bertindak serta banyak dipengaruhi oleh unsur emosi. Kehilangan sabar juga membuatkan kita cepat menuruti hawa nafsu kita dalam perkara-perkara maksiat dan ingkar kepada Allah.
Justeru, Ibn Qudamah membahagikan posisi kita harus bersabar itu pada 2 tempat yang utama iaitu :
1) Sabar pada perkara yang mengikuti hawa nafsu kita
2) Sabar pada perkara yang bercanggahan dengan hawa nafsu kita
Bagaimana bersabar pada 2 tempat ini dan apakah contoh-contohnya?
(1) Sabar Pada Perkara Yang Mengikuti Hawa Nafsu
Dengan adanya hawa nafsu, kita mempunyai keinginan untuk makan minum, hidup berpasangan, tidur, berhibur dan sebagainya. Semua keinginan ini tidak mungkin akan wujud sekiranya kita tidak memiliki nafsu. Sebab itulah malaikat diciptakan tanpa hawa nafsu menjadikan mereka tetap tunduk dan taat kepada Allah s.w.t. tanpa pernah ada perasaan berbelah bagi dalam diri mereka.
Berbeza dengan kita yang diciptakan dengan memiliki hawa nafsu dan juga akal, menyebabkan kita diberi pilihan sama ada untuk beriman atau kufur kepada Allah s.w.t. Unsur hawa nafsu ini jika kita tidak bersabar menghadapi keinginan-keinginannya dan kita sentiasa pula mahu memuaskan keinginannya, nescaya ia pasti akan merosakkan kita dan menjerumuskan kita ke dalam kebinasaan.
Harta, keinginan kepada wanita, kelazatan hidup, anak-anak, pangkat, kekuatan kepemudaan, semua itu adalah kenikmatan-kenikmatan yang membuatkan keinginan-keinginan hawa nafsu itu mudah dicapai.
“Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu adalah ujian. Dan di sisi Allah pahala yang besar.”
Kenikmatan-kenikmatan ini semuanya adalah ujian untuk insan sebagaimana firman Allah s.w.t :
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan.”
Demikianlah, bukan hanya kesusahan saja menjadi ujian untuk insan, bahkan kesenangan itu sebenarnya juga adalah ujian, yang kadangkala lebih susah untuk dihadapi oleh insan dengan penuh kesabaran.
Kenikmatan masa muda misalnya, kepemudaan adalah zaman yang penuh bertenaga dan bersemangat tinggi, namun pemuda yang tidak bersabar menguruskan dan mendisiplinkan dirinya menghadapi keghairahan dan keinginan zaman mudanya, akan mudah sekali cenderung kepada perkara-perkara yang merosakkan zaman mudanya.
Begitu juga kenikmatan-kenikmatan yang lain.
Tidak bersabar dengan ujian kesenangan, dalam kata lain adalah kita sangat mudah melupai dan melalaikan ketaatan kita kepada Allah di kala kita senang. Di kala kita senang, kita menjadi lupa bahawa segala nikmat adalah anugerah Allah, kita lupa yang kita ini perlu tunduk dan sujud kepada-Nya, kita lupa bahawa nanti kita akan kembali kepada-Nya, kita lupa bahawa dengan segala kenikmatan yang diberikan, kita akan dihisab lebih banyak di hadapan Allah s.w.t.
(2) Sabar Pada Perkara Yang Bercanggahan Dengan Hawa Nafsu
Hawa nafsu cenderung kepada apa perkara-perkara yang senang dan selesa. Apa-apa yang bercanggahan dengan rasa selesa dan mudah itu, menyebabkan kadangkala timbul rasa berat dan malas dalam diri untuk melakukan seperti taat kepada Allah s.w.t., meninggalkan kemaksiatan serta bersabar di saat musibah yang menimpa bukan atas pilihan kita.
a) Sabar dalam mentaati Allah s.w.t. itu bercanggahan dengan keinginan hawa nafsu. Allah perintahkan kita untuk solat 5 waktu sehari, untuk berpuasa, untuk mengeluarkan zakat dari harta kita, untuk menunaikan haji, namun hawa nafsu memberat-beratkan jiwa kita untuk lebih cenderung berehat dan meninggalkan semua amalan itu.
Allah perintahkan kita untuk bersujud kepada-Nya, namun hawa nafsu selalu merantai jiwa kita untuk malas melakukannya, dan kalau dilakukan sekalipun, hawa nafsu masih tetap terus mempengaruhi kita agar sujud itu dilakukan dalam keadaan yang lalai dan malas.
Sebab itulah Allah perintahkan kita agar bersabar dalam bersujud dan mentaati-Nya kerana itu adalah satu yang tidak mudah :
“(Dialah) Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan bersabarlah (berteguh hati) dalam beribadah kepada-Nya.”
b) Sabar dalam meninggalkan dan menahan diri dari kemaksiatan membuatkan hawa nafsu kita lebih memberontak. Kemaksiatan itu dilihat senang, mudah, selesa dan itu sangat bertepatan dengan keinginan hawa nafsu sedangkan meninggalkannya adalah sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan keinginannya.
c) Sabar terhadap musibah yang bukanlah atas pilihan diri kita. Sentiasalah kita ini akan diuji dengan kesusahan dan pelbagai ujian, maka pada waktu itu, akan dilihat kebenaran iman kita, keyakinan kita kepada Allah, sangka baik kita kepada-Nya.
Jika kita memilih untuk bersabar, maka itulah yang sebaik-baiknya dan Allah s.w.t. bersama orang-orang yang sabar.
Bersabar bukanlah bermaksud duduk menerima penuh kepasrahan begitu saja tanpa melakukan apa-apa, tetapi bersabar adalah kita menerima dengan redha, positifkan diri serta bergerak terus ke depan dengan penuh sangka baik di dalam jiwa kita terhadap aturan Allah s.w.t.
Sebab itu, sikap sabar ini mendidik kita untuk bertindak pada waktu yang sesuai dengan tindakan dan kata-kata yang diperlukan tanpa menanggalkan ketinggian akhlak pada diri kita.
Musibah. Semua orang menghadapinya. Orang mungkin melihat beza besar kecilnya musibah pada jenis musibah yang dihadapi, tetapi sebenarnya besar kecil jiwalah yang menentukan siapa kita di depan musibah yang kita sedang hadapi.
Penutup : Sabar Tidak Pernah Merugikan Kita
Sesetengah orang melihat bersabar merugikannya. Sebenarnya sabar tidak pernah merugikan kita.
Memang, sebagaimana kata Ibnul Jauzi :
“Tidak ada perkara yang lebih susah dari sabar, sama ada terhadap apa yang dicintai atau apa yang dibenci, tambah lagi jika berpanjangan tempohnya, ataupun berlaku keputus asaan dari kesenangan.”
Namun, tetaplah bersabar menempuh ujian di dalam kehidupan.
Melalui sabar, kita sedang membina sikap positif dan sangka baik kita terhadap aturan Allah.
Melalui sabar juga, kita belajar berkeputusan dalam keadaan tenang dan rasional.
Belajar bersabar adalah dengan jangan cepat mahu merespon terhadap apapun yang menimpa kita, tetapi selalu duduk beristighar, akrab dengan Allah, berdoa memohon pertolongan Allah, selalu berfikir panjang, berbincang dengan orang dan belajar membuat keputusan-keputusan hidup dengan lebih baik.
Bersabarlah kerana ia tidak pernah merugikan kita.
Isbiru, wasabiru, warabitu !
Al-Qaradawi, Yusuf, As-Sabr Fil Quran, 1989, Kaherah, Maktabah Wahbah, hlmn 7
As-Sajdah : 24
An-Nahl : 126-127
Az-Zumar : 10
Ibn Qudamah Al-Maqdisi, Al-Imam Ahmad bin Abd Rahman, Mukhtasar Minhaj Qasidin, 2005, Kaherah, Darul Hadis, hlmn 289
At-Taghabun : 15
Al-Anbiya’ : 35
Maryam : 65
Ibnul Jauzi Al-Baghdadi, Imam Jamaluddin Abil Faraj Abd Rahman, (w. 597H), Soidul Khotir, 2005, Kaherah, Darul Hadis
The post Belia Naungan Al-Quran : Sabar Di Setiap Posisi Hidup (1) appeared first on Langit Ilahi.