Hilal Asyraf's Blog, page 56

July 15, 2014

30 Hari Mencari Tuhan: Tuhan Pemilik Al-Quran, Tuhan Pemilik Alam Semesta

islam_4_peace_by_larage4peace


 


Jika kita mengkaji berkait alam, kita akan mula nampak keindahannya. Keteraturan yang sangat ‘detail’, dan setiap hidupan punya keterkaitan dengan satu sama lain, membuatkan kita sedar yang alam ini adalah satu makhluk besar, bukannya satu perkara yang terpisah-pisah dan berkecamuk serta berserabut.


Kita melihat Matahari, dia tidak wujud begitu sahaja tanpa tugasnya untuk memberikan manfaat kehidupan di bumi. Dia juga berkhidmat sebagai pengimbang untuk galaksi bima sakti dengan tarikan gravitinya, mengawal laluan planet-planet agar tidak saling bertembung dan kacau.


Kita melihat laut dan kita tahu ianya bukan untuk pemandangan semata-mata. Ia menjadi rumah buat pelbagai hidupan, dan sebahagiannya menjadi makanan buat manusia. Airnya terkitar untuk turun di atas gunung-ganang, membentuk sungai, atau sebagai hujan menyirami tumbuh-tumbuhan.


Lihat sahaja tubuh kita, ianya juga bukan dibentuk oleh kulit sahaja, atau darah sahaja, atau mata sahaja, atau saraf sahaja. Tetapi semuanya itu bergerak dengan sistem yang sudah ditetapkan, lantas beroperasi dan menggerakkan kita sebagai manusia.


Jika mahu dikupas semuanya yang berada di alam ini, pasti tidak cukup dengan beberapa perenggan sebagai mukaddimah. Namun cukuplah ini untuk menggambarkan yang alam ini tercipta dengan sangat teratur sebagai sebuah sistem. Pastilah keteraturan ini takkan muncul dengan tiba-tiba. Pasti ada yang mengaturkannya.


Persoalannya siapa?



Semua Tuhan Mengaku Dia Tuhan Alam Semesta


Saya pernah bersembang dengan seorang rakan, dan menyatakan kepadanya bahawa keteraturan alam ini adalah bukti bahawa Allah SWT adalah Tuhan kita. Dia bertanya, mengapa saya berpendapat begitu?


Saya menjawab dengan dalil di dalam Al-Quran, yang mana Allah SWT sendiri mengaku bahawa Dialah yang menciptakan semua ini.


Rakan saya menjawab, “Semua orang yang berTuhan mengaku Tuhan dia yang mencipta alam ini. Dalam semua kitab agama, menyatakan bahawa Tuhan agama dia yang ciptakan semua ini.”


Itu membuatkan saya berfikir sejenak, bahawa untuk membuktikan yang Allah SWT adalah Tuhan yang sebenar, yang benar-benar menciptakan alam semesta ini dan segala isinya, tidak cukup dengan sekadar meletakkan klaim daripada Allah SWT sendiri untuk hal tersebut.


Bukan kita tidak percaya kepada Allah SWT. Kita beriman kepadaNya. Tetapi ini untuk mereka yang tidak beriman kepadaNya. Bagaimana untuk meyakinkan mereka?


Mereka sudah pasti tidak mahu mempercayai ayat-ayat Al-Quran, yang menyatakan Allah SWT pemilik langit dan bumi. Yang menyatakan bahawa kalau ada Tuhan selain Allah, pastilah berkecamuk alam ini. Yang menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa atas segala-galanya. Ya, pasti mereka tidak mahu menerima jika kita sekadar mengemukakan dalil Al-Quran.


Justeru bagaimana?


 


Kembali kepada kesempurnaan Al-Quran


Dalam hal ini, apabila saya belajar di Jordan dalam bidang usuluddin, saya mendapat idea bahawa kita perlu kembali kepada Al-Quran. Namun bukan untuk mengambil ayat-ayatnya untuk menjadi dalil, yakni dalam isu ini, tetapi melihat kesempurnaan Al-Quran itu sendiri secara menyeluruh.


Apabila saya belajar mata pelajaran I’jaz Al-Quran, atau dalam melayu bermaksud – Mukjizat Al-Quran, saya didedahkan dengan keajaiban-keajaiban yang wujud di dalam Al-Quran.


Secara ringkasnya di dalam artikel ini, saya boleh kongsikan beberapa perkara berkait dengannya.


Jika kita mengkaji Al-Quran, kita akan dapat memerhatikan bahawa Al-Quran sangat teratur penceritaannya. Penceritaan di sini bukan bermaksud ‘cerita’ itu yang teratur, tetapi bermaksud cara penceritaan itu sangat terjaga dan kemas.


Sebagai contoh, di dalam Al-Quran, pemilihan perkataan untuk diletakkan dalam satu-satu ayat adalah sangat ‘detail’. Hingga apabila dinilai, perkataan di dalam Al-Quran itu memang kena pada tempatnya, dan tidak boleh diubah dengan ayat yang lain.


Saya memberikan contoh, kalimah ‘Am dan Sannah. Kedua-dua kalimah ini, kalau kita terjemahkan di dalam bahasa melayu, kita akan menterjemahkannya sebagai ‘tahun’. Namun Al-Quran telah mengajar kita bahawa kedua-dua kalimah ini, walaupun secara asasnya bermaksud ‘tahun’, hakikatnya ianya adalah dua ‘tahun’ yang berbeza.


‘Am bermaksud tahun yang tiada duka


‘Sannah bermaksud tahun yang penuh dengan tribulasi.


Justeru apabila Allah SWT hendak menggambarkan satu jangka masa yang dilalui dengan penuh cabaran, Allah SWT akan menggunakan kalimah ‘sannah’ untuk menggambarkannya.


Contoh terbaik di dalam hal ini adalah ayat yang menceritakan umur dakwah Nabi Nuh.


“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama seribu tahun tolak lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).” Surah Al-Ankabut ayat 14.


Ayat ‘selama seribu tahun’ digunakan perkataan Sannah, tetapi apabila Allah SWT hendak menyatakan ‘kecuali 50 tahun’, Allah SWT menggunakan perkataan ‘Am, yakni hendak menunjukkan umur Nabi Nuh yang habis dengan dalam cabaran berdakwah adalah selama 950 tahun.


Begitu detail sekali Allah SWT dalam pemilihan perkataan.


Perkara yang sama juga dapat kita lihat di tempat-tempat lain di dalam Al-Quran seperti penggunaan ayat Fauq dan ‘Ala(kedua-dua terjemahan mudanya ialah ‘atas), khauf dan khashyah(kedua-dua terjemahan mudahnya ialah ‘takut’), alhamd dan syukr(kedua-dua terjemahan mudahnya ialah ‘berterima kasih’), al-i’to’ dan al-ita’(yang kedua-dua terjemahan mudahnya ialah ‘memberi’), al-qu’ud dan al-julus(yang kedua-duanya bermaksud ‘duduk’), Fi’il dan ‘amal(yang kedua-dua terjemahan mudahnya ialah ‘perbuatan’) dan banyak lagi yang mana perkataan-perkataan ini di mata kita mungkin sama, tetapi Allah menggunakan yang satu hanya pada situasi sekian, yang satu lagi hanya pada situasi sekian, menjadikan Al-Quran benar-benar punya kualiti yang tertinggi dalam penyampaiannya.


Dan perkara ini terjaga dengan konsisten dalam seluruh Al-Quran. Ya, penulis mana yang tidak melakukan kesilapan terhadap buku yang dikarangnya? Melainkan Allah SWT, dan Al-Quran adalah kalam Allah!


Pada contoh yang lain yang saya boleh bawakan, ialah bagaimana Al-Quran secara tepat dan benar merungkai fakta sains, walaupun ianya diturunkan sekitar 1400 tahun yang lalu, yakni pada zaman tiada teknologi.


Allah SWT menyatakan bahawa:


“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” Surah Al-Anbiya’ ayat 30.


Di dalam ayat ini, terdapat dua fakta yang pada era ini diperbahaskan. Pertama ialah teori ‘big bang’ – sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya – dan keduanya adalah fakta bahawa semua hidupan ini berasal daripada air – Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup.


Teori berkait Big Bang hanya mula diutarakan pertama kali pada tahun 1927 oleh Georges Lemaitre, yang kemudiannya dari teorinya berkembang perkara ini dan dikenali sebagai Big Bang Theory.


Manakala berkait Allah menjadikan dari air tiap-tiap perkara yang hidup, Dr Daniel Zainal Abidin ada menyatakan di dalam bukunya Quran Saintifik seperti berikut:


“Mengikut BBC News dalam segmen Science and Nature (Space) bertarikh 27 Mei 2006, pakar-pakar biologi bersepakat air adalah asas kepada kehidupan. Tanpanya, kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud, ia tidak boleh berterusan tanpa air.


Kenyataan bahawa hidupan bermula daripada air mendapat kekuatan tambahan dengan penemuan terbaru yang mendapati hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News Online bertarikh 9 September 1998, di segmen Sci/Tech bawah tajuk Springing To Life Under The Sea, saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia mungkin wujud 9000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di situ para saintis menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal.


Setiap hidupan  terbina daripada sel dan kehidupan sel bergantung kepada protoplasma dan protoplasma memerlukan air untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air, justeru tidak boleh wujud sebarang hidupan tanpa air.”


Ini belum kita kira dengan bagaimana detail dan tepatnya Al-Quran menggambarkan proses embriologi, sedang pada ketika itu bukannya wujud teknologi untuk mengetahuinya.


“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati berasal daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani yang tersimpan dalam tepat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang-tulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.” Surah Mukminun ayat 14.


Al-Quran juga bukan  hanya mempunyai kualiti bahasa dan penyusunan penyampaian yang tertinggi, dan Al-Quran juga bukan sekadar selari dengan fakta-fakta sains serta penemuan hebat era ini, Al-Quran juga didapati selari dengan sejarah.


Kisah Kaum ‘Ad, Thamud, Madyan, Kaum Saba’, Kaum Nuh, kisah Firaun, dan banyak lagi, semuanya dikhabarkan dengan baik, dan kajian-kajian pada selepas turunnya Al-Quran tidak menyangkal kebenaran kisah ini semua.


Maka kita melihat Al-Quran sebagai sebuah kitab yang sempurna. Yang tidak boleh dibuat oleh manusia.


Kita dapat melihat kekuatan Al-Quran ini hingga Allah SWT mengeluarkan beberapa kali cabaran untuk manusia merekacipta sesuatu yang sama kualitinya dengan Al-Quran.


“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” Surah Al-Isra’ ayat 88.


“Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: Dia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?” Surah Hud ayat 13-14.


“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” Surah Al-Baqarah ayat 23.


Apakah ada yang mampu?


 


Keteraturan Alam Dan Keteraturan Al-Quran


Apa yang saya cuba kongsikan baru sedikit. Medan ini ada kajiannya yang lebih mendalam dan luas. Namun cukuplah saya kira untuk sekadar menunjukkan kilauan cahaya kebenaran daripada perkara ini semua.


Al-Quran yang sempurna itu mengingatkan kita kepada sesuatu.


Ya. Kepada alam ini.


Keteraturannya dan keindahannya menyebabkan kita melihat ada persamaan antara Al-Quran dan alam semesta ini. Kedua-duanya kemas dan teratur, indah dan memberikan ketakjuban kepada diri. Dan kedua-duanya adalah satu perkara yang besar, namun isinya tidak berkecamuk dan berserabut. Tersusun dengan sangat detail dan kemas, bukan semberono hingga menimbulkan keributan.


Mungkin semua kitab agama mengakui bahawa Tuhannya lah Tuhan yang sebenar dan menciptakan alam semesta ini, namun Tuhan yang manakah yang membuktikannya? Kitab agama manakah yang teratur dan sesempurna Al-Quran?


Saya jamin kita takkan bertemu tandingannya.


Maka apabila Al-Quran itu kita dapat akui kesempurnaannya, keindahannya, apa yang menghalang kita untuk mengakui bahawa Tuan Punya Al-Quran, adalah Tuan Punya Alam Semesta, dan apa yang Dia maklumkan di dalam Al-Quran itu benar belaka?


“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” Surah Al-Baqarah ayat 29.


Muhasabah.


The post 30 Hari Mencari Tuhan: Tuhan Pemilik Al-Quran, Tuhan Pemilik Alam Semesta appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 15, 2014 23:37

Banyak Bertanya: Antara Larangan dan Tuntutan

Human brain and colorful question mark



Suatu ketika dahulu, saya pernah mengajar di sebuah tadika di ibu kota, sementara menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Dikelilingi kanak-kanak riang yang pelbagai keletahnya, mampu membuat saya senyum sendiri. Mereka tiada dosa. Masih suci. Tetapi adakalanya tercabar juga kesabaran dan naluri yang tidak berapa keibuan ini saat-saat menghadapi kanak-kanak yang sifatnya hyperactive dan banyak tanya. Soalan-soalan yang datang pula macam peluru berpandu, satu soalan masih belum dijawab, datang soalan yang lain pula. “Cikgu, kenapa langit warna biru? Cikgu betul ke malaikat ada kat sebelah kite? Kite tak nampak pun? Cikgu, mana ayah kite? Cikgu, kenapa kakak dengan ibu kite dapat cuti solat?Kite pun nak jugak….


Itu jika dari kanak-kanak. Ya kita memang arif bahawa kanak-kanak sifatnya ingin tahu apatah lagi saat dia sedang belajar dan membesar. Bak kata orang, sel-sel otaknya sedang berhubung. Tetapi lain ceritanya jika yang bersikap sebegini rupa adalah orang dewasa. Pasti boleh menimbulkan kemarahan dan menyebabkan yang ditanya itu hilang kesabaran.


Dalam hal ini, diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu’bah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda:


Allah membenci bagi kalian tiga perkara: Bergosip (qiila wa qaala), menyia-nyiakan harta dan banyak bertanya“.

[Hadis Riwayat Bukhari].


Melalui hadis ini, ulama membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan banyak bertanya yang tidak disukai Allah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari fi Syarh Sahih Bukhari, larangan banyak bertanya ini adalah merujuk kepada pertanyaan-pertanyaan yang tidak membawa manfaat kepada orang yang bertanya. Sebagai contoh, pertanyaan mengenai masa hadapan yang masih berada dalam rahsia Allah, berita-berita atau keadaan manusia (gosip). Di dalam tafsir al-Qurtubi turut menjelaskan bahawa kita juga dilarang untuk terlalu banyak bertanya dalam permasalahan-permasalahan fiqh yang berubah-ubah seperti masalah-masalah yang belum pernah timbul, ditimbulkan dengan sengaja supaya wujudnya masalah-masalah baru yang belum pernah ada sebelum ini. Larangan Allah ini tidak tidak lain tidak bukan adalah untuk memudahkan manusia melaksanakan hukum-hukum dan perintahNya. Namun seringkali manusia menimbulkan masalah-masalah dan persoalan baru dengan sengaja lantas menyukarkan dirinya sendiri.


Contoh yang boleh kita ambil adalah sewaktu turunnya ayat yang memerintahkan kewajipan melaksanakan haji, maka ketika itu ada yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W; Adakah haji itu pada tiap-tiap tahun ya Rasulullah? Rasulullah mendengar pertanyaan itu tetapi tidak diendahkannya, sehingga orang itu mengulang pertanyaannya sebanyak dua kali. Lalu baginda menjawab;


Hampir sahaja aku menjawab ya! Kalau aku berkata ya, tentulah jadi wajib tiap-tiap tahun. Kalau demikian, kamu tiada sanggup mengerjakannya. Maka biarkanlah apa yang aku tinggalkan untuk kalian. Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan (banyaknya) penyelisihan mereka kepada para nabi mereka. Maka apabila aku melarang sesuatu kepada kalian, tinggalkanlah. Dan apabila aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, kerjakanlah semampu kalian

[Muttafaqun ’alaihi]

Kemudian setelah itu, Allah S.W.T menurunkan ayat:


Hai orang beriman! Janganlah kamu bertanya dari sesuatu yang jika dijelaskan kepada kamu, tentu akan menyusahkan kamu

[Al-Ma'idah:101]

Lantaran itu, daripada hadis dan ayat al-Quran di atas, nyatalah bahawa seseorang Muslim itu hendaklah melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang dan jangan membangkitkan sesuatu yang tidak diterangkan atau perkara-perkara yang sulit untuk difahamkan, atau menimbulkan masalah yang menyusahkan. Hadis ini tidaklah bermakna bertanya itu dilarang sama sekali, tetapi bermakna larangan untuk bertanya perkara yang bukan-bukan dan merumitkan diri sendiri.


Banyak Bertanya Untuk Mengejek dan Bermegah-megah dengan Ilmu


Kembali semula kepada hadis kedua yang telah dinyatakan sebelum ini, pada ungkapan “Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan (banyaknya) penyelisihan mereka kepada para nabi mereka“, kenyataan ini merujuk kepada golongan yang sengaja bertanya dengan tujuan untuk mengejek dan menunjukkan kedegilan hatinya sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum kuffar. Mereka telah bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W tentang bilanya datang hari Qiamat dengan tujuan mempersendakan kebenaran wahyu yang dibawa oleh baginda S.A.W sebagaimana yang telah diceritakan di dalam al-Quran, melalui surah al-Qiyamah ayat ke-6 yang bermaksud:


Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?


Malah di dalam al-Quran turut menceritakan bagaimana pertanyaan umat-umat terdahulu kepada nabi mereka yang akhirnya pertanyaan itu telah kembali menyusahkan mereka. Antara kisah yang utama ialah kisah baqarah iaitu sapi betina yang diperintah kepada Bani Israel untuk disembelih atas tujuan tertentu yang telah diperintahkan. Namun mereka tidak mahu melaksanakan perintah itu selagi mana mereka tidak diberikan penjelasan satu persatu sedangkan menurut perintah asal, mereka boleh sahaja menyembelih mana-mana lembu yang mereka kehendaki. Tetapi mereka enggan melaksanakannya begitu sahaja malah ditanya pula tentang ciri-ciri lembu tersebut termasuklah umurnya, warnanya dan keadaannya. Maka lihatlah bagaimana mereka telah menyebabkan urusan tersebut menjadi sukar kerana lembu yang akhirnya dikehendaki (setelah mereka banyak sangat bertanya) tidak mudah didapati melainkan seekor sahaja dan harganya pula terlalu mahal namun terpaksa juga mereka membelinya untuk disembelih demi memenuhi perintah itu.


Termasuk juga dalam larangan “banyak bertanya” ini adalah, segala macam pertanyaan dalam ruang lingkup ilmu pengetahuan yang mana orang yang menganjurkan pertanyaan itu bukanlah untuk menambah ilmunya atau untuk beramal bahkan tetapi untuk bermegah-megah atau bertengkar-tengkar (untuk menunjuk-nunjuk ilmu yang dia miliki). Dan jenis ini menurut Saidina Ali R.A , adalah sejenis fitnah yang akan terjadi pada akhir zaman dan saya rasa kita sendiri sudah banyak melihat situasi-situasi sebegini melanda masyarakat kita pada hari ini. Menurut riwayat, Saidina Umar R.A pernah bertanya kepada Saidina Ali; Bilakah fitnah itu akan berlaku? Maka jawab beliau: “Apabila seseorang belajar bukan kerana agama, bukan kerana amal, dan mencari dunia dengan amal akhirat ” atau dalam erti kata lain, mempergunakan ilmu agama untuk kepentingan duniawi. Hakikatnya, inilah realiti yang kita hadapi pada hari ini.


Pertanyaan-Pertanyaan Yang Dituntut


Adapun tetapi, kita sangat digalakkan oleh Islam untuk bertanyakan perihal sesuatu yang sememangnya kita tidak tahu. Ini termasuklah pertanyaan oleh seseorang yang tidak mengetahui akan kewajipan-kewajipan agama seperti solat, berpuasa, zakat, menutup aurat dan perkara-perkara lain yang tergolong daripada hukum-hukum yang wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan. Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nahl ayat ke 43 yang bermaksud:


Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).”


Islam juga tidak membataskan pertanyaan dari orang-orang yang hendak menambah ilmu dan kefahamannya dalam sesuatu masalah (yang sedia ada) dalam agama sama ada dari hukum ibadat mahupun muamalat dan sebagainya apatah lagi dalam konteks dan situasi kita pada akhir zaman ini, timbulnya banyak masalah-masalah fiqh yang belum pernah ada pada zaman Rasullah dan para sahabat, tabiin serta imam-imam terdahulu lantas sangat penting untuk kita bertanya akan sesuatu yang kita tidak pasti hukum dan ketentuannya pada mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah pelaksanaan kaedah fiqhiah dan fatwa kontemporari, malah sangat penting bagi kita untuk menerima ijtihad dengan berlapang dada setelah mendapat penjelasan mengenainya. Keraguan menyebabkan sesuatu amal itu menjadi makruh dan menjejaskannya, melainkan dalam perkara-perkara yang ghaib dan tidak dicapai oleh pancaindera, hendaklah kita beriman dengan kewujudannya tanpa mempersoalkan bagaimana bentuknya dan zatnya, apa yang berada di sebaliknya dan segala macam lagi pertanyaan yang tidak dapat dijawab dengan akal fikiran.


Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam nukilannya yang berjudul “Iman dan Kehidupan” menyatakan bahawa; “Ilmu pengetahuan itu mempunyai batas-batas yang tidak dapat dilampauinya, iaitu lapangan kebendaan dan hal yang tidak dapat disentuh atau dicapai. Setiap rahsia alam terbuka, tampak jelas pula keseragamannya, keseragaman pertumbuhannya, keseragaman susunannya dan keseragaman urusannya. Kini manusia bertambah taajub dan kian nyaring kedengaran suara hatinya, menanyakan; ‘Siapakah yang mencipta alam ini?’ Kalau ilmu pengetahuan tidak dapat menjawab, maka suara batin dari lubuk hatinya membisikkan: ‘Bahawa Pencipta itu ialah Allah, Tuhan Pemimpin Semesta Alam.


Penutup: Bertanyalah dengan tujuan memberi kebaikan dan mendapat manfaat


Pepatah Melayu, ada berkata: “Malu bertanya, sesat jalan” tetapi, banyak bertanya, semakin sesat juga jalannya sekiranya pertanyaan-pertanyaan itu tidak relevan, tidak membantu, menambahkan keraguan dan menyusahkan diri sendiri. Misal kata kita yang sedang bermusafir ini, bertanyakan jalan kepada si Fulan A. Maka dia memberikan jawapannya. Tetapi kita sendiri yang menyebabkan kesusahan apabila kita bertanya pula, “Betul ke jalan ni? Bukan jalan yang lagi satu tu ke? Saya rasa macam jalan yang lagi satu tu je.. Awak pasti ke??”  Tidak pasal-pasal, semakin sulit jadinya.


Namun, di dalam urusan-urusan keduniaan pula, jangan merasa ragu untuk mempersoalkan sesuatu yang sememangnya patut dipersoalkan seperti perkara-perkara yang melibatkan hak saudara sesama saudara, hak rakyat terhadap pemimpin, hak ahli terhadap organisasi, hak orang miskin ke atas orang yang kaya, hak mereka yang ditindas ke atas mereka yang menindas, dan segala perkara yang melibatkan perjuangan antara kebenaran dan kebatilan, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Kerana diamnya kita dalam hal-hal ini akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar di kemudian hari malah akan dipersoalkan pula di akhirat nanti.


Maka jika mahu bertanya, tanyalah. Tetapi, berfikirlah dahulu sebelum menyuarakannya.Wallahua’lam.


——————————————————————————————————————————————————————–


Rujukan:


Sahih Imam Bukhari, Imam al-Bukhari


Syarah Hadis 40, Imam al-Nawawi


Fath al-Bari fi Syarhi Imam Bukhari, Imam Ibnu Hajr al-Asqalani, Juzuk 5 dan 17


Tafsir al-Qurtubi, Imam al-Qurtubi, Juzuk 6


Iman dan Kehidupan (al-Iman wa al-Hayah), Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi


The post Banyak Bertanya: Antara Larangan dan Tuntutan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 15, 2014 15:01

Ibrah Badar Membangunkan Jiwa yang Sedar

313-badar-war-wallpapers_16445_1024x768


17 Ramadhan. Di Malaysia kebanyakan negara diberikan cuti umum kerana menyambut kemuliaan Al-Quran yang disebutkan oleh sebahagian ulama’ yang mana ia telah turun pada tarikh ini. Walaupun terdapat perbezaan pendapat akannya, tapi yang pasti al-Quran sememangnya diturunkan dalam bulan ramadhan bahkan jelas disebutkan dalam al-Quran itu sendiri. Namun terdapat peristiwa penting yang lain juga yang perlu diberi perhatian.


Badar. Itulah nama peperangan besar yang pertama yang berlaku dalam coretan sejarah Islam. Namanya diambil sempena tempat lakaran sejarah tersebut terjadi. Adapun telah terdapat peperangan kecil antara orang Islam dan Kafir yang telah terukir sorotannya di dalam kitab sirah seperti perang Waddan atau Abwa.


Peperangan Badar atau hari yang disebutkan sebagai hari Furqan (pembeza yang haq dan batil) berlaku dek turunnya wahyu kepada baginda s.a.w melalui mimpi yang benar supaya umat islam bersedia untuk melakukan satu dari dua perkara iaitu merampas harta kafilah Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan yang pulang dari Syam melalui Madinah sebagai ganti rampasan harta yang dilakukan oleh mereka sebelum orang islam berhijrah ataupun berperang dengan kaum Quraisy.


Adapun bagi orang mukmin ketika itu mereka lebih memilih untuk menyekat kafilah tersebut berbanding berperang mengangkat senjata. Namun kehendak Allah melebihi segalanya. Mereka akhirnya perlu memerangi kaum Quraisy dek rasa ketidakpuashatian mereka terhadap orang Islam yang semakin berkembang. Bagi mereka inilah masa untuk menghancur Islam dengan tentera mereka yang ramai.


 


Ibrah Badar yang ditinggalkan


 1.  Kepentingan Musyawarah(bermesyuarat)


Niat asal hanya ingin menyekat perjalanan kafilah bertukar menjadi sebuah pertempuran. Sudah tentu timbul keresahan bagi orang mukmin dek kerana ia merupakan peperangan besar mereka dalam sejarah kehidupan. Tambahan pula, mereka tidak mempunyai kelengkapan senjata dan kenderaan yang baik untuk menempuh peperangan tersebut sedangkan lawan mereka merupakan gerombolan yang besar dan serba lengkap dari sudut persiapan.


Dalam peristiwa ini baginda s.a.w sendiri menimbang keperluan mereka terus mengejar kafilah atau berhenti berbuat demikian agar dapat menghindari risiko bertembung dengan Quraisy dalam keadaan tersebut. Baginda tidak bersendirian. Baginda meminta pendapat Abu Bakr r.a, Umar r.a tentang hal tersebut. Kesemua mereka yang turut berbincang bersetuju untuk meneruskan perjalanan termasuklah seorang muhajirin iaitu al-Miqdad Ibn Amr yang menyatakan ketegasan pendiriannya dan Saad Ibn Muadz sebagai wakil dari kaum ansar.


Hal ini memberi ketenteraman kepada baginda s.a.w kerana mendapat sokongan dari kesemua pihak disebabkan kaum ansar asalnya tidak terlibat dengan pertembungan dengan Quraisy bahkan mereka hanya mematrai janji taat setia untuk mempertahankan madinah bukan diluar kota tersebut. Namun, sikap yang ditunjukkan oleh mereka menggambarkan keimanan mereka yang kuat untuk berusaha membantu agama Allah dan sikap tidak cintakan dunia bahkan mengejar ganjaran akhirat.


Di sini, kita melihat kepentingan perbincangan itu sendiri. Bukan sekadar membawa satu kata putus yang mewakili semua orang yang terlibat dengannya tetapi memberi rasa ketenteraman dan tanggungjawab untuk melakukan perkara yang telah ditetapkan. Oleh itu, perbincangan merupakan salah satu elemen penting dalam sebuah organisasi bagi membentuk perjalanan konkrit.


Selain itu, nabi Muhammad s.a.w tidak menggunakan autoriti baginda sebagai ketua lebih lagi seorang nabi dalam perkara yang tidak melibatkan nas agama seperti kaedah peperangan dalam peristiwa ini. Buktinya baginda menerima pandangan Hubab ibn Munzir untuk bertapak pada kawasan punca air yang kedua kerana menurutnya ia merupakan sumber air yang paling besar dan boleh menyekat kemaraan Quraisy kerana kekurangan sumber air sedangkan nabi memerintah untuk berkhemah pada punca air yang pertama.


Betapa bijaksana Rasulullah dalam mengendali urusan dunia dengan memberi peluang untuk mereka yang mempunyai lebih pengetahuan dalam sesuatu perkara menyuarakan pandangan yang kritis. Justeru, hari ini elemen ini tidak boleh diabaikan. Pemimpin yang baik tidak boleh bersifat autokratik dengan tidak mahu menerima pandangan dan kritikan tetapi mestilah cuba menyalurkan setiap buah fikiran dari orang bawahan dalam menguruskan sesuatu perkara mengikut kesesuaian.


Bukan menafikan kewibawaan pemimpin. Hatta para sahabat tidak hilang rasa hormat pada baginda. Tetapi ia menunjukkan penghormatan baginda s.a.w terhadap kecerdasan manusia di samping mengikat hati mereka untuk terus berani memberi pendapat yang bernas dan berkorban untuk Islam.


2. Bantuan Allah


Setiap perkara yang menjadikan ketetapan-Nya kepada hamba semestinya datang dengan pertolongan. Antara yang dekat dengan kita adalah Ramadhan. Mereka yang bijak tidak melihat ia sebagai bulan biasa. Ia merupakan bulan pertolongan Allah untuk manusia dekat pada-Nya dengan kurniaan pelbagai kelebihan seperti rahmat yang luas, pengampunan dan juga mendekat kepada syurga serta dijauhkan oleh api neraka.


Dalam peristiwa Badar pertolongan Allah datang dengan pelbagai cara. Biasa yang didengari adalah bantuan malaikat yang turut sama membantu umat Islam ketika peperangan tercetus. Namun tentera Allah terdiri dari pelbagai jenis dan sudut. Antara yang disebutkan ketika berlakunya perang badar adalah:


i-  Rasa mengantuk serta hujan yang mendamaikan perasaan


 Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). [al-Anfal:11]




Pada malam sebelum peperangan berlaku baginda s.a.w tidak putus-putus berdoa memohon bantuan daripada Allah s.w.t untuk memenangkan umat Islam kerana ia merupakan satu factor penting untuk memperlihatkan kehebatan islam sebagai penerimaan untuk umat manusia sejagat. Lalu, sebagai rahmat Allah kepada hamba-Nya, Dia menghantar pertolongan berupa rasa mengantuk supaya umat islam dapat berehat secukupnya di samping hujan untuk memenuhi keperluan minum dan membersih diri.


 


ii- .Rasa gerun walaupun pada golongan yang sedikit


Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun. [al-Anfal:12]

Tidak semestinya bilangan yang besar mesti menang ke atas bilangan yang lebih kecil. Tetapi yang pasti mereka yang membantu agama Allah dengan ikhlas tidak kira bagaimana keadaan mereka nescaya bantuan Allah datang dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.


 


Rampasan Perang


Surah Al-Anfal diturunkan disebabkan berlakunya pertembungan antara kaum muda yang pergi berperang di medan dan kaum tua yang menjaga panji-panji di kubu pertahanan tentera islam akan pembahagian harta peperangan. Masing-masing mempertahankan hak mereka ke atas harta tersebut.


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.[al-Anfal:1]


Namun menariknya manhaj al-Quran, Allah s.w.t tidak berterusan mengkhabarkan tentang pembahagian harta-harta perang tersebut. Bahkan disebutkan sifat orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang beriman kepada-Nya untuk mengikis sifat cintakan dunia dalam diri tentera islam. Bermula dari ayat 1 hingga ayat ke 40. Pada ayat ke 41 dan sudah masuk juzu’ seterusnya (ke-10) baru Allah sebut kiraan pembahagian harta perang tersebut.


Kata Dr Majdi Al-Hilali bahawa tabiat al-Quran itu dalam mengubahkan peribadi dan sikap manusia adalah dengan mengembalikan semula manusia kepada mengingati penciptaNya. Seterusnya membentuk peribadi muslim yang sebenar dengan menyatakan sifat-sifatnya seperti sifat taqwa pada ayat ke 29 yang membolehkan manusia membezakan hak dan batil dan akhirnya akan dengan inisiatif sendiri akan meninggalkan dunia dan berlapang dada dengan kehendak Allah.


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. [al-Anfal:2]


Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. [Al-Anfal:29]


Al-Anfal juga menjelaskan berkenaan pertolongan Allah yang boleh datang dari sesuatu yang tidak dijangkakan. Selain daripada pertolongan malaikat, Allah s.w.t juga menjadikan para mukminin rasa tenteram dengan memberikan nikmat mengantuk hingga mereka boleh terlena. Juga Allah turunkan hujan sebagai bekalan mereka menyuci diri dan minum seperti yang disebutkan di atas.


Kita sering beranggapan perotolongan Allah wujud apabila apa yang kita hajatkan dipermudahkan. Namun, kadang-kadang pertolongan itu hadir tanpa kita sedari. Mungkin juga tidak datang secara terus, seperti pertolongan untuk kita sentiasa dekat dengan-Nya dengan berulang kali meminta padaNya, dan ia adalah sebaik-baik pertolongan kerana menjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat.


Lihat betapa indah tarbiyah daripada Allah dengan tidak meletakkan urusan pembahagian sebagai yang dominan tetapi perkara membabitkan hubungan dengan Allah, rasul dan sesama islam adalah lebih utama. Bahkan lebih menarik lagi Allah menerangkan pula ciri-ciri orang yang beriman sesuai dengan tuntutan-Nya.


Begitulah hendaknya kita, dalam melakukan sesuatu perkara, suatu elemen penting yang perlu kita tekankan adalah berkait dengan hubungan dengan Allah s.w.t. Adakah perkara yang ingin dilakukan itu mendapat keredhaan Allah? Adakah ia menepati saranan Rasulullah? Adakah ia menyebabkan sesama Islam regang ukhuwah?


Dengan izin Allah, jika perkara-perkara ini menjadi pertimbangan dalam setiap perbuatan kita, Allah akan kurniakan bersamanya keberkatan dan kejayaan.


 Hubungan Badar dan ramadhan


10527800_805884076096696_1855336728723505341_n


Ayat 124 surah Ali-Imran: Allah menyebutkan bahawa ketika perang Badar, Allah turunkan para malaikat seramai 3000 bilangan.


Ayat 9 surah al-Anfal: Allah sebutkan bilangan malaikat yang diturunkan adalah 1000 bilangan.


Adakah ini bermaksud ada percanggahan dalam al-Quran?


Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa, ketika Badar Allah turunkan seramai 3000 tentera seperti dalam surah Al-Imran. Adapun 1000 tentera dalam surah al-Anfal pula, Allah sebutkan perkataan ( (مردفينyang membawa maksud berturut-turut hingga menjadikan bilangannya 3000 yakni sebanyak 3 kali.


Namun, menariknya Allah sebut bahawa jika kamu bersabar dan bertaqwa maka Allah tambahkan bilangan itu menjadikan ia sebanyak 5000 bilangan.


Kata guru saya, Syeikh Mustafa Syabani hfzh:


Jika kamu membaca seerah melalui kitab seerah maka kamu akan banyak dapati angka peperangan, tarikh peperangan, siapa yang terlibat. Tetapi tidak kamu membaca daripada al-Quran. Ia menyebutkan tentang perkara pokok permasalahan diri manusia dan cara manusia berinteraksi dengan kehidupan.


Dalam surah Ali-Imran, Allah menjadikan asbab taqwa dan sabar sebagai tonggak utama diberikan kejayaan dan dikurniakan bantuan. Kehidupan manusia kadang-kadang tidak selari dengan apa yang dirancangkan. Tetapi manusia tidak boleh menolak asbab untuk bantuan Allah sampai dalam permasalahan kehidupan manusia seharian.


Ramadhan menjanjikan sifat taqwa dan mendidik diri untuk bersabar. Jangan merugikan dengan kelalaian dan kealpaan kerana setiap kita ingin kehidupan terbaik, di dunia lebih lagi di akhirat. Justeru itu seharusnya kita mencari kunci bagi pintu kejayaan tersebut.


Kesimpulan: Hubungan Badar, ilmu dan taqwa


Ketika tamat perang Badar tawanan quraisy oleh umat Islam diberikan pembebasan dengan jaminan berbentuk harta. Bagi mereka yang miskin tetapi mempunyai kelebihan membaca, menulis maka jaminan perlepasan adalah berbentuk tunjuk ajar kerana quraisy memang terkenal dengan kebolehan penyair-penyair yang hebat.


Apa yang menarik adalah Rasulullah s.a.w  amat menekan pendidikan yang baik dalam membina sebuah generasi. Al-Quran juga turun pada baginda dengan menggesa untuk membaca.


Membaca adalah tunjang kekuatan akal fikiran bahkan menjadi paksi kepada sebuah kejayaan. Lebih menarik membaca atau umumnya belajar punya kaitan dengan taqwa yang menjadikan pertolongan Allah itu lebih mudah dinikmati.


Dan peliharalah diri(taqwa) kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. [al-Baqarah:281]


Ayat al-Quran yang terakhir turun di atas menekankan tentang taqwa. Ia seolah menggambarkan kejayaan baginda menguasai dunia adalah bermula dengan ilmu, seterusnya menjadikan ia usaha mencapai taqwa untuk peroleh kemenangan hakiki setelah tamat perjalanan dakwah baginda juga sebagai ganjaran di akhirat sana.


Justeru itu, bulan ramadhan yang disebutkan juga bulan taqwa dan bulan kelahiran al-Quran yang mana hanya berbaki beberapa hari lagi buat kita perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana sungguh kehidupan seorang yang mempunyai taqwa itu sangat sinonim dengan al-Quran yang menjadi panduan sempurna dalam kehidupan.


Akhir sekali, bersempena bulan ramadhan bulan jihad ini juga jangan putus mendoakan kepada saudara kita di Gaza yang berjihad di medan peperangan kerana itulah jihad kita. Berdoalah dengan hati yang ikhlas bukan sekadar lidah yang melafaz. Moga Allah beri kekuatan dan bantuan kepada mereka.


Wallahualam~


 





Tafsir Fi Zilal Al-Quran (terjemahan) karya Sayyid Qutb jilid 6


Jejak-jejak Rasulullah, karya Prof Dr Tariq Ramadhan


Tafsir Ibn Kathir


Agar kita tidak merugikan ramadhan, Dr Majdi Al-hilali


Bagaimana al-Quran mengubah ummah? oleh Dr Majdi Al-Hilali


 


The post Ibrah Badar Membangunkan Jiwa yang Sedar appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 15, 2014 07:38

30 Hari Mencari Tuhan: Allah tidak perlu dibela?

__Allah___by_muslimz


 


Ada manusia mempersoalkan mengapa Allah itu perlu dibela. Hal ini kerana, hujah mereka menyatakan bahawa sekirana Allah itu benar Maha Hebat, Maha Berkuasa, Pencipta kepada segalaNya dan menguasai seluruh semesta, maka mengapakah Allah itu perlu dibela?


Mengapa perlu dihukum mereka yang tidak mengikut perintahNya? Dan mengapa pula perlu diperangi manusia yang memerangiNya?


Allah adalah Tuhan, mengapa manusia perlu sibuk mempertahankanNya?


Saya tersenyum. Ya benar, Allah itu tidak perlu dibela sebenarnya.


Tetapi yang tunduk sujud kepada Allah, yang hendak taat kepadaNya, yang beriman kepadaNya itulah yang hakikatnya yang dibela.


Islam wujud untuk memberikan kemaslahatan kepada seluruh alam termasuk manusia.


Maka dengan memerangi Islam, atau cuba menaburkan keraguan pada Islam, samalah dengan menganggu kemaslahatan yang diperlukan oleh alam dan manusia.


Di sinilah alam dan manusia memerlukan pembelaan.


 


Ya, Allah itu Maha Berkuasa, Maha Kaya


Allah Maha Berkuasa. Dia adalah Tuhan. Tidaklah memberikanNya kesukaran walaupun seluruh dunia memerangiNya. Tidaklah juga memberikanNya kerugian walaupun seluruh dunia kufur kepadaNya.


Dia adalah Yang Paling Tinggi, dan Paling Kaya.


“Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha kaya(tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” Surah Ali Imran ayat 97.


“Tetapi jika kamu kafir, maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah kepunyaan Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah An-Nisa’ ayat 131.


 


“Dan Musa berkata: Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah), maka sesungguhnya Allah MahaKaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.


 


Tetapi Dia mewujudkan Islam, sistem hidup insan terunggul adalah untuk kemaslahatan manusia itu sendiri. Dia menyuruh manusia agar beribadah kepadaNya, bergantung kepadaNya, adalah untuk kebahagiaan manusia itu sendiri. Allah SWT menyuruh kita menjaga pantang larangNya, taat kepada perintahNya, kerana semua yang dilarangNya membawa mudarat pada insan dan alam, kerana semua yang disuruhNya bakal memberikan kebaikan dan manfaat kepada insan dan alam.


“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107.


Semuanya adalah untuk manusia dan alam ini juga hakikatnya.


Tiada sesen pun untuk Allah.


Allah tidak meminta daripada kita apa-apa. Jangan kata pembelaan, rezeki pun Dia tidak minta.


Bahkan Dialah yang memberikan.


  “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Surah Toha ayat 132.


 


 


Islam itu untuk manusia dan alam sejagat


Siapakah yang lebih arif berkenaan manusia dan alam selain daripada Allah SWT?


Tiada. Allah SWT adalah pencipta kepada segala-galaNya. Dia adalah Yang Paling Memahami apa yang diperlukan oleh apa yang diciptakanNya.


  “Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” Surah Al-Baqarah ayat 29.


 


Maka diturunkan Islam, satu peraturan, satu cara hidup yang mencakupi seluruh kehidupan manusia serta merangkumi penjagaan kemaslahatan alam seluruhnya. Jika kita kaji dengan lebih mendalam berkenaan Islam, semua perkara wujud di dalamnya. Dan kita akan perhatikan betapa Islam adalah yang terbaik dalam memberikan kebaikan kepada alam semesta.


Dan Kami turunkan (Al Qur’an itu dengan sebenar-benarnya dan Al Qur’an itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.” Surah Al-Israa’ ayat 105


Melanggar aturan Islam, hakikatnya bergerak untuk merosakkan ketenangan hidup manusia dan merosakkan alam itu sendiri. Dan sebarang pergerakan untuk menghapuskan hukum Islam serta merosakkan aqidah yang dibawanya, hakikatnya adalah perlu ditentang bagi menjaga kemaslahatan manusia dan alam semesta.


“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya” Surah Al A’raaf ayat 56


 


Sebab Islam sahaja yang mampu membawa dunia kepada kestabilan.


Tetapi hal ini tidak akan mampu dilihat bagi mereka yang tidak memahami apakah tujuan Islam dicipta oleh Allah SWT, serta pastinya tidak akan langsung mampu disedari oleh mereka yang memandang Islam dengan pandangan yang tidak menyeluruh.


Akhirnya, bagi mereka yang sedar, perjuangan membela Islam adalah sama dengan membela manusia serta alam sejagat itu sendiri. Kita hakikatnya bukan membela Allah SWT.


Allah memang tidak perlukan pembelaan. Tetapi itu tidak boleh menjadi dalil untuk menghentikan perjuangan menegakkan Islam.


 


Sebab itu, kita bangkit berjuang


Memahami hakikat betapa Islam itu membawa kemaslahatan kepada insan dan alam sejagat, dan kehilangan Islam di dalam kehidupan akan membawa kepada kerosakan, sebab itulah wujudnya pembela-pembela yang bergerak menegak dan mempertahankan Islam.


Memang, sesiapa yang hanya melihat Islam itu sekadar di pagar-pagar masjid, memang tidak akan melihat kerelevanan pembelaan ini.


Memang, sesiapa yang melihat Islam hanyalah berkait dengan akhirat dan ketuhanan, bukan dunia dan kemanusiaan, memang tidak akan melihat kenyataan ini.


Tetapi kita, para pejuang yang hendak membela manusia dan alam ini dengan menegakkan Islam, melihat Islam itu secara syumul(menyeluruh). Dari akhlak hinggalah ke ekonomi, Islam wujud mengatur. Dari ketuhanan hinggalah kepada kemanusiaan, dari rumah hinggalah ke seluruh alam, Islam hadir mencakupi semuanya dan semuanya memerlukan Islam bagi bergerak dalam keadaan yang terbaik.


“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab-sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” Surah Ar Ruum ayat 41


Sebab itu kita bangkit berjuang.


 


Matlamat pembelaan bukan untuk Tuhan. Tetapi untuk insan.


Bukanlah Allah itu tidak memerlukan pembelaan, maka tidak perlu wujudnya perjuangan. Jangan dihukum orang yang berzina, jangan diperangi Israel dan Amerika, usah kisah dengan pemerintah yang zalim dan tidak payah la mengajak manusia kepada Allah SWT. Bukan. Bukan dan bukan.


Perjuangan menegakkan Islam, mempertahankannya, hakikatnya adalah untuk membela manusia yang mengambil Islam sebagai cara hidup. Supaya mereka yang hendak mengamalkan Islam, yang hendak membawa kestabilan kepada dunia ini tidak dikacau dan diganggu. Melakukan pembelaan ini, hakikatnya kita sedang membela kemaslahatan diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Bukankah ini satu tugas yang mulia?


Jika kita tidak mahu membela, Allah tidak rugi apa-apa. Yang rugi adalah manusia. Lihatlah hari ini. Jenayah-jenayah yang berlaku, akhirnya siapa yang menjadi mangsa? Kita. Kucar-kacir politik, akhirnya siapa yang menjadi mangsa? Kita. Anasir-anasir kebejatan sosial yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan jatuhnya moral kehidupan, siapakah yang menjadi mangsa? Kita.


Siapakah yang merugi?


Kita.


“(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” Surah Al-Baqarah ayat 27.


 


Allah memang tidak memerlukan pembelaan.


Tetapi kita perlu.


Dan pembelaan yang pertama adalah kita membela diri kita sendiri dengan mengambil Islam sebagai cara hidup dan mempertahankannya.


The post 30 Hari Mencari Tuhan: Allah tidak perlu dibela? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 15, 2014 03:01

July 14, 2014

30 Hari Mencari Tuhan: Allah Itu Esa

cup_of_love_by_robotscansing


 


Allah itu Esa. Allah itu satu. Mungkin pada kita ianya hanya sebuah pengetahuan bertaraf darjah satu atau tadika. Terlalu asas.


Namun kebanyakan kita hanya berhenti pada tahu, tetapi tidak benar-benar hendak mendalami makna sebenar dalam keesaan Allah SWT. Apa yang sebenarnya dikehendaki di sebalik ‘Allah itu Esa’, yang sebenarnya bukan hanya sebuah fakta untuk menambah pengetahuan am kita.


Ianya adalah sebuah kefahaman, yang sepatutnya memandu kehidupan kita, mencorakkan kehidupan kita.



Qul Huallahu Ahad


Allah SWT berfirman:


   “Katakanlah (wahai Muhammad): Dia(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (2)Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk. (3)Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan. (4)Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” Surah Al-Ikhlas ayat 1-4.


Sebuah surah pendek, yang biasanya dihafal oleh kebanyakan orang Islam. Sebuah surah yang dikatakan sebagai dalil kepada keesaan Allah SWT.


Kita perlu pergi lebih dalam, dari sekadar menganggap ianya hanya semata-mata dalil kepada keesaan Allah SWT. Ianya sebenarnya adalah panduan buat kehidupan kita.


Kita sebenarnya digesa untuk mencorakkan kehidupan kita dengan menjadikan ayat-ayat ini sebagai antara berusnya.


 


Keesaan Allah, Pembentukan Manhaj(Sistem) Hidup


Bila Allah SWT memaklumkan bahawa dirinya Esa, bahawa Dialah tumpuan buat sekalian makhluk, bahawa Dia itu tidak ada apa-apa yang setara denganNya – sebab itu dinyatakan Allah tidak beranak dan diperanakkan, bermakna tak ada satu pun yang sama bahkan tiada satu pun yang hampir sama denganNya – maka hakikatnya Allah SWT mahu kita sebagai manusia menghapuskan segala pemujaan dan pergantungan kita terhadap perkara-perkara yang lainnya.


Dan ianya sebenarnya lebih dari itu. Mengakui Keesaan Allah SWT sebenarnya membentuk sebuah sistem dalam kehidupan kita.


Kefahaman ini memandu kita untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata, dan tidaklah kita tunduk selain daripadaNya. Menjadikan kita yakin bahawa segala sesuatu itu hanya terjadi apabila diizinkanNya, maka Dialah sahaja tempat terbaik untuk kita menyangkutkan pergantungan kita, dalam susah, dalam duka, dalam derita. Dialah juga sahaja yang menciptakan kebaikan dan kebahagiaan, kegembiraan dan kemenangan, maka hanya kepada Dia sahajalah kita meminta semua itu, hanya kepadaNya sahajalah kita berharap akan semua itu. Dialah juga sahaja pemegang syurga dan neraka, maka redhaNya menjadi keutamaan yang terutama dalam kehidupan kita.


Kefahaman inilah yang menggerakkan kita untuk menerima kebenaran itu hanya daripada Allah SWT sahaja, dan bukannya daripada selainNya. Kita menerima aqidah, pandangan hidup, nilai, dan syariat, hanya daripada Allah SWT. Dan itulah yang terulung buat kita, manakala segala yang datang selain daripada Allah SWT hakikatnya tidak kekal dan boleh berubah mengikut keadaan.


Kefahaman inilah yang menyebabkan kita bergerak dan beramal hanya kerana Allah SWT semata-mata. Kita benar-benar memfokuskan tindakan dan gerak kerja kita dengan niat hanya keranaNya, kerana Dialah sahaja yang mampu memberikan balasan dan penilaian yang sebenar kepada apa yang kita kerjakan.


Ya. Ini bukan sekadar untuk kita menjawab soalan:


“Ada berapa Tuhan?”


“Tuhan ada satu. Allah Yang Esa.”


Bukan. Bukan untuk itu.


Tetapi hakikatnya ianya adalah sesuatu untuk difahami, sekaligus kemudiannya dari kefahaman itu akan berbuahnya amal dan tindakan.


 


Keesaan Allah SWT Untuk Kita Hayati


Keesaan Allah SWT bukan sekadar maklumat. Ianya adalah sesuatu yang perlu kita hayati. Untuk kita sedar bahawa seluruh kehidupan kita ini hakikatnya hanya ada Allah untuk kita bergantung harap. Allah SWT cuba menyedarkan kepada kita bahawa selainNya, kita takkan mampu menyempurnakan fitrah kita untuk bergantung harap kepada ‘Tuhan’. Kerana hanya Dialah sahaja Tuhan yang ada.


Berulang kali di dalam Al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa segalanya yang berlaku itu hanyalah berlaku jika Dia mengizinkanNya.


“Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan terbunuhnya mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Anfal ayat 17.


“Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” Surah At-Takwir ayat 29.


“Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al-Anfal ayat 10.


“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” Surah An-Najm ayat 43.


Tidak akan ada perkara yang boleh menghalang kehendak Allah SWT. Jika Allah SWT murka, tiada apa yang boleh menyelamatkan kita. Jika Allah SWT hendak membantu kita, tiada apa yang boleh merosakkannya.


Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : “Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW ( di atas binatang tunggangannya ), lalu sabda baginda : Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah ( perintah ) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah ( kehormatan ) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu manfaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudarat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan.” Hadith Riwayat Tirmidzi.


Justeru memahami keesaan Allah SWT itu adalah antara perkara yang paling penting sebenarnya buat kita sebagai seorang muslim dan mukmin.


Apakah kita telah mendalaminya, dan memandang bahawa tinggal lah Allah SWT sahaja, satu-satunya tempat pergantungan, satu-satunya destinasi untuk mencari keredhaan, dan Dialah sahaja satu-satunya tempat kita kembali selepas mati nanti?


Muhasabah.


 


The post 30 Hari Mencari Tuhan: Allah Itu Esa appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 14, 2014 09:08

July 13, 2014

30 Hari Mencari Tuhan: Bacalah Dengan Nama Tuhanmu Yang Menciptakan

to_pray_by_azurit


 


Untuk diri saya, apa yang paling indah di dalam Islam adalah bagaimana agama ini dimulakan dengan ayat: “Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan.” Yakni ayat pertama dalam Surah Al-‘Alaq, yang merupakan wahyu pertama turun kepada Rasulullah SAW.


Allah SWT tidak memulakan agama ini dengan seruan agar manusia mesti beriman kepadaNya, dan Dia sendiri tidak menamakan dirinya dalam ayat tersebut. Ya, tiada nama Allah, Ar-Rahman, atau nama-nama Allah yang lain di dalam ayat tersebut. Yang ada ialah “bismirabbik al-ladzhi kholaq” bermaksud “dengan nama tuhanmu yang menciptakan”.



Wahyu Yang Pertama Turun


Wahyu yang pertama turun adalah dari Surah Al-‘Alaq ayat 1-3.


“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan sesungguhnya Tuhanmu itu adalah yang paling mulia!”


Ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan di dalam Sohih Bukhari, dalam bab “Mula-mula Turunnya Wahyu.”


Turunnya ketika Rasulullah SAW beruzlah di Gua Hira’, disampaikan oleh Jibril.


 


Seruan Untuk Mencari


Seruan pertama yang datang daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW bukanlah seruan untuk beriman, bukan juga seruan untuk memaksakan keimanan terhadap orang lain. Tetapi seruan untuk mencari.


Maka diletakkan di dalam ayat tersebut arahan untuk membaca. Pembacaan amat sinonim dengan pencarian. Kita membaca untuk mencari faham, untuk mengetahui sesuatu, untuk mendapatkan info. Kemudian diseru agar pembacaan itu adalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Di sana jelas bahawa Allah SWT mahu kita mencari, siapakah Tuhan yang menciptakan itu?


Allah tidak terus menjenamakan diriNya, sebagai Allah pada ayat ini, seakan-akan Allah SWT tidak mahu memaksakan realiti itu kepada kita. Tetapi Allah SWT mahu kita mencariNya, hingga benar-benar kita menerima bahawa Allah itulah Tuhan kita.


 


Tuhanmu


Allah SWT juga konsisten dengan ayat ‘Tuhanmu’ dalam wahyu pertama yang diturunkan ini. Kita dapat lihat pada ayat pertama dan ayat ke-3, Allah SWT tetap tidak menjenamakan dirinya sebagai Allah, atau apa sahaja nama yang spesifik untuk memperkenalkannya.


Di sini Allah SWT seperti mahu menyatakan bahawa, Tuhan yang sebenar-benar Tuhan itu, ada satu sahaja. Dialah Tuhan kepada sekalian alam, kepada seluruh manusia. Kepada anda, kepada saya. Kerana itu Dia meletakkan batu asas kepada pencarian – ‘baca’ – dan dalam pembacaan itu apa yang kita hendak cari? Mencari Tuhan kita.


Allah SWT sedikit pun tidak rasa kekurangan apabila tidak menyebut namaNya dengan terang dan jelas di sini. Seakan-akan Allah SWT mahu menyatakan bahawa, jika kita adalah orang yang terus berusaha mencari, kita akan bertemu dengan ‘Tuhanmu’ yang sebenar itu, yakni Allah SWT.


Pada ayat ke-3, Allah menyatakan sekali lagi agar kita membaca, dan di sini Dia menegaskan bahawa ‘Tuhanmu’ itu adalah yang paling mulia. Bermakna tiada tandingannya, tiada yang lebih hebat dan lebih mulia daripadaNya.


Sepertinya Allah SWT hendak menyatakan tiada rugi sedikit pun Dia jika manusia selepas mencari, tetap tidak mahu beriman kepadaNya. Apatah lagi jika langsung tidak mencari, Allah SWT lagi tidak berkenan kepada mereka.


 


Al-Quran Itu Akhirnya Perlu Dibedah


Maha Suci Allah SWT, yang menyusun Al-Quran sebagai Al-Kitab, yakni bahan bacaan. Dan Dia telah meninggalkan Al-Quran sebagai panduan kepada kita.


“Kitab ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 2.


Al-Quran inilah antara bacaan terpenting, untuk mencari ‘Tuhanmu’ tadi. Untuk lebih memahami apa yang ‘Tuhanmu’ aturkan, sampaikan, mahukan, perintahkan, dan apa yang Dia larang, murka serta benci.


“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” Surah An-Nisa’ ayat 82.


Al-Quran bukan kitab ilmu, tetapi ia adalah kitab petunjuk. Memberikan kita kunci kefahaman, dan memandu kita ke jalan yang benar. Menarik semula kita kepada kefahaman dalam beragama, dan bukan beragama dengan semberono sahaja.


Justeru Al-Quran tidak boleh sekadar kita baca, tetapi perlu dibaca dengan pembedahan, yakni dengan kita melaksanakan tadabbur, membaca tafsir, membuat penilaian, membuat perbandingan. Namun hari ini membaca Al-Quran itu sahaja sudah menjadi sesuatu yang ‘besar’ buat kita, kerana hendak membacanya sahaja sudah payah. Apatah lagi mahu membaca terjemahannya, mahu membedah tafsirnya, mahu membandingkannya dengan kitab-kitab agama lain?


“Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup?” Surah Muhammad ayat 24.


Bukankah kita patut rasa malu?


Tidak hairanlah kita terus terperangkap dalam kekeliruan.


Kita perlu keluar dan membebaskan diri, mula bergerak mencari faham.


 


Beriman Dengan Kefahaman


Di sini terpancar sebenarnya peri penting untuk beriman dengan kefahaman. Bukan beriman secara warisan. Selain jelas kepada kita Allah SWT pun tidak mahu seseorang itu beriman dengan keterpaksaan, justeru kita tidak boleh memaksa orang lain untuk beriman, melainkan kita perlu berusaha menyebarkan kefahaman.


Jika kita solat sekadar kerana ibu bapa kita solat, masyarakat kita solat, maka hikmah di sebalik solat takkan dapat kita kecapi dan hayati. Lantas solat itu akhirnya akan menjadi ritual kosong dalam kehidupan kita.


Jika kita puasa sekadar kerana ibu bapa kita berpuasa, masyarakat kita berpuasa, maka hikmah di sebalik puasa itu takkan dapat kita kecapi dan hayati. Lantas puasa itu akhirnya menjadi ritual kosong dalam kehidupan kita.


Jika kita membaca Al-Quran sekadar kerana ibu bapa kita membaca Al-Quran, masyarakat kita membaca Al-Quran, maka hikmah di sebalik pembacaan Al-Quran itu takkan dapat kita kecapi dan hayati. Lantas pembacaan Al-Quran sekadar menjadi ritual kosong dalam kehidupan kita.


Begitulah dengan menjadi seorang muslim, seorang yang menyatakan dirinya beriman kepada Allah, jikalah ini semua sekadar kerana ibu bapa kita sedemikian, dan masyarakat kita sedemikian, maka kita hanya akan menjadi penambah angka sahaja, tetapi bukan penambah kepada kualiti ummat ini.


Kefahaman menjadi seseorang itu bermakna. Menyebabkan dia bukan sekadar tahu, tetapi dia mengerti mengapa dia perlu melakukan ini, mengapa dia perlu melaksanakan itu. Pendek kata, tidak membuta tuli, bukan semata-mata mengikut emosi dan perasaan.


Akhirnya, dengan kefahamanlah, kita mampu menjadi muslim mukmin yang sebenar.


Kerana kita faham, justeru kita bakal mengangkat mesej Islam yang sebenar. Bukan kita sekadar ikut-ikut apa orang buat, apa yang media kata, apa yang masyarakat tunjuk kepada kita.


      “Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?” Surah Al-An’am ayat 122.


 


The post 30 Hari Mencari Tuhan: Bacalah Dengan Nama Tuhanmu Yang Menciptakan appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 13, 2014 22:54

July 12, 2014

Umum: Program-program Yang Telah Dilaksanakan LangitIlahi

859917_778476865520479_1376828055540361631_o


 


Alhamdulillah, dengan segala kasih sayang dan izin daripada Allah SWT, LangitIlahi telah berkembang jauh dari sekadar seorang pelajar sekolah menengah berblog. Bagi yang setia mengikuti LangitIlahi semenjak tahun 2008, pasti akan dapat menyaksikan bagaimana jenama LangitIlahi ini berkembang dari tahun demi tahun.


Kini antara apa yang LangitIlahi telah berjaya ceburi adalah penganjuran seminar-seminar.


Mungkin pada sebahagian orang, ianya sekadar ‘sebuah lagi bisnes Hilal Asyraf’. Ada juga yang memandangnya sebagai ‘buat duit dengan memperdagangkan ilmu’. Saya fikir, masing-masing ada pandangan dan sebab tersendiri untuk melontarkan tuduhan-tuduhan tersebut.


Manakala untuk diri saya, insyaAllah saya yakin bahawa apa yang sedang saya usahakan bersama LangitIlahi ini bukan bisnes peribadi, dan bukan sebuah perdagangan, walaupun atas hitam putihnya, berlaku transaksi jual beli dan ianya digerakkan di bawah syarikat perniagaan berdaftar milik saya sendiri.


Pada ruangan ini, saya ingin kongsikan apa yang telah LangitIlahi usahakan semenjak mula menceburi ruangan penganjuran program ini.



Permulaan


LangitIlahi mula menceburkan diri dalam bidang penganjuran program adalah pada Jun 2013, ketika pertama kali LangitIlahi menganjurkan program bernama Teen Awards, Convention & Exhibition(TeenACE) 2013. Itu pertama kali LangitIlahi menganjurkan program.


[image error]


TeenACE 2013, walaupun mempunyai banyak kelemahan, tetapi telah berjaya menarik 1000 orang peserta dari seluruh negara, bahkan ada peserta datang dari Brunei. Barisan penyampai juga tidak kurang hebatnya, dengan kami membawakan Amin Idris(Pengacara TV Al-Hijrah), Zul Fikri Zamir(TFTN), Fatih Seferagic, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Imam Muda Asyraf, Aisyah Syakirah, Anwar Hadi, Adibah Awang dan juga barisan penyampai dari LangitIlahi termasuk saya sendiri.


IMG_0393


Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami perolehi ketika penganjuran program yang pertama itu. Namun sedikit sebanyak, penganjuran program tersebut memberikan impak yang besar, sekaligus mencorak target saya dalam perjalanan LangitIlahi ini.


Mula menggaji sahabat karib saya – Ameen Misran – sebagai pekerja tetap di LangitIlahi, kami berdua mula fokus untuk menganjurkan program-program sendiri.


 


Seminar Bagaimana Menyentuh Hati 2013


Selepas TeenACE 2013, kami menggerakkan pula Seminar Bagaimana Menyentuh Hati 2013. Seminar sederhana, dengan target seramai 500 orang peserta. Dilangsungkan di Auditorium KAED, UIA, Gombak. Program ini dilaksanakan dengan Journalism Club, UIA, Gombak.


6


Seminar ini berfokuskan uslub dakwah, dengan memberikan perhatian penting kepada seni-seni penawanan hati, yang hakikatnya banyak bermula dengan pembentukan diri sendiri.


Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang baik. Kami telah mendapat penyertaan yang penuh, 500 orang peserta, dengan satu bas datang daripada Johor untuk menyertai program ini.


4


Penyampai-penyampai yang kami bawakan untuk program ini ialah Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Md Juoi, dan Cikgu Azmi Bahari, termasuk saya sendiri.


 


Seminar Untuk Kita Pendosa 2013


Kemudian, pada penghujung tahun 2013, kami menganjurkan Seminar Untuk Kita Pendosa. Seminar yang memberikan fokus kepada dosa dan taubat.  Kami mensasarkan peserta seramai 500 orang, namun alhamdulillah yang mendaftar adalah seramai 600 orang. Program ini berlangsung di Auditorium Utama, UIA, Gombak.


xxx


Peserta hadir dari sekitar KL juga dari luar KL. Ada yang datang daripada Perak, saya masih ingat kerana dia menyapa saya.


Barisan penyampai yang kami kemukakan pada program ini ialah Diana Amir, Ustaz Fawwaz Fadzil, Sir Rosdi Baharom, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan dan diri saya sendiri.


xxxx


Seminar Pengurusan Cinta 2014


Menjengah ke tahun 2014, kami menganjurkan Seminar Pengurusan Cinta. Fokus utamanya adalah membincangkan perihal cinta lelaki dan perempuan, ke arah pembinaan rumahtangga yang diredhai Allah SWT. Program ini berlangsung di Auditorium KAED, UIA, Gombak.


IMG_0645


Program ini mensasarkan 500 orang peserta, namun yang hadir adalah seramai 600 orang peserta, dewan penuh hingga kami perlu menambah kerusi.


IMG_0708


Barisan penyampai yang diketengahkan ialah Ustazah Fatimah Syarha bersama suaminya Dr Farhan Hadi, Ustaz Pahrol Md Juoi, Ustaz Nur Muhammad Jamil, Bro Syarief dan saya sendiri. Ameen Misran of LangitIlahi turut membuat penampilan istimewa apabila mempersembahkan kreativiti beliau dengan ‘spoken words’ bertajuk “Are We In Love?”



 


YouthACE 2014


Jika tahun 2013 kami bermula dengan TeenACE 2013, tahun 2014 menyaksikan yang program itu dijenamakan semula sebagai Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE) 2014. Kami mengubahnya kerana kami berpendapat bahawa ‘Youth’ itu lebih menyeluruh kepada sasaran utama kami, yakni generasi belia. Bila disebut Youth, mereka yang berumur 25 ke atas pun akan terpanggil untuk hadir.


10 5


Tema YouthACE 2104 adalah “Pemuda & Perubahan”.


Program ini adalah program terbesar yang berjaya kami usahakan. Kehadiran seramai 1500 orang peserta, dan pesertanya ada yang datang dari Perlis, dari Johor, dari Sabah dan dari Sarawak. Bahkan ada juga peserta yang datang dari Brunei dan Singapura. Rata-rata peserta adalah belia yang berusia 20 tahun ke atas. Pun begitu, ada juga pelajar sekolah menengah yang hadir, tak terkecuali mereka yang bertaraf ibu bapa. Bahkan kami mendapat makluman bahawa ada peserta yang merupakan pensyarah di universiti. MasyaAllah.



 


 


7 8


Barisan penyampai yang kami utarakan ialah saya sendiri, Dr Baharuddin Suri, Ustaz Syaari Rahman, Dr Maszlee Malik, Dr Azizan Ahmad, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Aiman Azlan dan Rusni Tajari. Membuat penampilan istimewa dengan vlog khas di YouthACE 2014 ialah Qawiem Khairi, Anwar Hadi, Aisyah Syakirah, dan Ulwan Mokhtar. Datang melaksanakan persembahan mantap bagi menghiburkan para peserta YouthACE 2014 pula ialah Kumpulan Mirwana dan Mr Bie.


1 3


Program ini mendapat respon yang sangat positif, dan telah trending selama 2 hari di  Twitter Malaysia.


Dengarkan respon daripada para peserta:



 


 


Apa Yang Akan LangitIlahi Usahakan Seterusnya?


Selain kepada meneruskan penganjuran seminar, terutama YouthACE yang kini kami putuskan bakal diadakan setahun sekali insyaAllah, kami juga akan mula melebarkan fokus terhadap perkara-perkara berikut:


-          Tim Volunteers LangitIlahi


Dengan kegencaran penganjuran seminar dan program, kami telah menubuhkan Tim Volunteers LangitIlahi. Tim ini sebenarnya telah bergerak secara tidak rasmi semenjak Seminar Untuk Kita Pendosa lagi, namun ditubuhkan secara rasmi selepas YouthACE 2014.


10272512_885862994763308_7029944788778551807_o


Tim ini ditubuhkan adalah untuk memberikan ruang kepada anak-anak muda untuk menggerakkan program-program LangitIlahi. Kami juga bakal memperkasakannya dengan menyusun perjumpaan bulanan, dan kursus-kursus, serta program-program silaturrahim seperti rehlah tarbawi.


Harapan kami ialah, agar Tim ini bakal dapat menggerakkan sendiri program dengan tangan mereka, dengan idea mereka.


-          Memperkasakan LangitIlahi Community.


Sebelum ini LangitIlahi Community telah ditubuhkan dan dilancarkan di TeenACE 2013. Namun selepas itu oleh kerana tidak dapat terlalu memberikan fokus, maka ianya agak terbengkalai. Tetapi LangitIlahi Community itu sendiri adalah sebuah cita-cita, justeru kami komited hendak merealisasikannya.


li comu


LangitIlahi ingin menghidupkan semula LangitIlahi Community dan memperkasakannya dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Keahlian akan diambil bermula daripada Tim LangitIlahi dan Tim Volunteers LangitIlahi itu sendiri. Kemudian insyaAllah kami akan membukanya kepada orang awam.


Antara hajat saya, LangitIlahi Community ini bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti kebajikan kepada masyarakat, tetapi juga dapat membuka kelas-kelas percuma untuk mereka yang dahagakan ilmu serta pada masa yang sama dapat membina hubungan erat sesama ahlinya sendiri.


-          Akademi LangitIlahi


LangitIlahi juga bakal menubuhkan LangitIlahi Academy, sebuah cabang yang memberi fokus kepada pembinaan potensi-potensi baru. Cadangannya awal-awal ini, kami akan fokus pada medan penulisan dan lukisan. Kami akan mengambil 10 pelajar pada setiap medan kebolehan. Cadangannya untuk bermula pada September 2014.


Mereka ini akan menjadi pelajar LangitIlahi Academy selama setahun, kemudian selepas menjalani sesi-sesi pembelajaran dan latihan secara online, mereka akan diminta menyiapkan manuskrip masing-masing untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan. Jika berjaya, mereka dikira sebagai pelajar cemerlang.


li academy


Paling tidak pun, jika tidak berjaya diterbitkan, sekurang-kurangnya setahun itu para pelajar sudah dilengkapkan dengan pengalaman dan latihan yang cukup untuk terus mengembangkan potensi masing-masing.


Itu adalah antara apa yang LangitIlahi akan usahakan ke hadapan ini insyaAllah. Selain itu, kami komited untuk terus menganjurkan seminar, dan sebolehnya kami berusaha untuk mengurangkan yuran seminar kami, memandangkan kehidupan sudah semakin mahal, agar masyarakat tidak merasa sukar dan sesak untuk menuntut ilmu.


 


LangitIlahi Akan Terus Berkembang


Mungkin ada orang yang melihat ini semua sekadar sebuah bisnes kewangan. Saya pula memang memandang ini semua sebagai bisnes. Kerana Allah SWT menyatakan bahawa Dia ingin berbisnes dengan hamba-hambaNya.


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” Surah As-Sof ayat 10-11.


Bila orang tanya apa bisnes LangitIlahi? Saya sentiasa akan menjawab, bahawa bisnes sebenar LangitIlahi ialah ‘mencetak manusia’. Dari kosong kepada sesuatu, daripada tak punya apa-apa kepada mempunyai sesuatu untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Itu fokus saya, itu fokus kami.


li logo


LangitIlahi ini akan terus berkembang insyaAllah.


Dengan doa dan sokongan anda semua, dengan izin dan rahmat daripada Allah, insyaAllah, LangitIlahi ini akan terus berkembang.


Mohon doa.


Mari Menjadi Hamba!


 


 


The post Umum: Program-program Yang Telah Dilaksanakan LangitIlahi appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 12, 2014 22:25

Harta tidak mampu diberikan, bersedekahlah dengan…

sedekah


Bulan Ramadhan juga bulan yang didalamnya kita digalakkan untuk bersedekah. Sedekah yang biasa difahami oleh masyarakat adalah terbatas dengan memberi wang kepada mereka yang meminta atau yang memerlukan. Namun konsep sedekah sebenarnya lebih luas daripada apa yang digambarkan. Maksud dari segi bahasa sedekah adalah benar. Manakala pemberian sesuatu (yang baik) untuk memenuhi permintaan orang lain dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah  adalah makna istilahnya. Keluasan sedekah dapat dilihat melalui hadis nabi daripada Abu Hurairah:


“Tiap-tiap anggota daripada manusia sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Kamu berlaku adil antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, dan kamu menolong seseorang menaiki kenderaanya atau menolong mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalaah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah dan pada tiap-tiap langkah yang kamu membuang bahaya dari jalan juga merupakan sedekah”. (HR Bukhari & Muslim)


 


Pembahagian sedekah


1. sedekah untuk diri sendiri


Daripada hadis di atas dapat difahami manusia sebenarnya boleh bersedekah untuk diri sendiri bermaksud manfaat dan ganjaran ke atas pelaku. Namun ia lebih daripada pahala yang diperolehi dengan memberi sedekah (wang). Bahkan, jika  kita menggunakan anggota tubuh badan kita kearah kebaikan dengan beribadah, bersenam,bekerja,belajar pada setiap hari juga merupakan suatu sedekah kepada diri sendiri. Mengapa? Ini adalah kerana setiap perkara yang dilakukakan dengan niat yang baik dan hanya kerana-Nya maka mendapat ganjaran pahala.


2. sedekah untuk orang lain


Perbuatan ini bermaksud kita membantu orang lain dengan meringankan bebanannya melalui pelbagai sumber, manfaatnya pada orang lain tetapi ganjararan ke atas diri kita. Seringkali situasi ini berlaku dalam kehidupan kita kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk tidak dapat lari daripada sikap saling membantu sesama kita tidak kira apa jua bentuk pertolongan ke arah kebaikan.


 


Peluang?;Sedekah dalam Ramadhan.


a) kata-kata yang baik


Lidah tidak bertulang. Mudah saja bagi manusia untuk berkata-kata. Namun ketahuilah setiap perkataan yang zahir di atas lisan kita adalah perkara yang kita fikir dan datangnya dari jantung hati. Jika baik maka baiklah perkataan kita jika tidak maka sebaliknya.


“Ketahuilah di dalam tubuh manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah keseleruhannya, apabila ia rosak maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang disebutkan jantung hati”. (HR Bukhari & Muslim)


Jadi setiap kata yang terucap sebenarnya terpandu oleh naluri jantung hati. Demikian, adalah lebih baik bagi seseorang manusia untuk memenjarakan lidahnya daripada berkata perkara nista, mencarut dan juga yang tidak membawa faedah kerana sesungguhnya perbuatan tersebut menandakan orang itu beriman seperti hadis nabi s.a.w:


“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata sesuatu yang baik atau hendaklah dia berdiam diri” (HR Bukhari & Muslim)


Termasuk kata-kata yang baik juga adalah berdoa akan kesejahteraan dan kebaikan kepada orang lain.


Menjaga lisan dan anggota ketika berpuasa


Lebih-lebih lagilah perlu dijaga keduanya (lisan dan anggota) pada bulan ramadhan yang mulia ini kerana dengan demikian kita akan memperoleh ganjaran pahala dan kesempurnaan dalam berpuasa. Hadis nabi menggambarkan larangan untuk berkata jelek atau berdusta seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah keduanya:


“Jika seseorang dari kamu berpuasa maka hendaklah dia tidak berkata keji dan marah-marah. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau menyakitinya, maka hendaklah dia berkata: ‘sesungguhnya aku berpuasa’. (HR Bukhari & Muslim)


Dan hadis ini:


“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta,maka Allah tidak mengambil kira perbuatannya meninggalkan makan dan minumnya(berpuasa)”. (HR Bukhari)


Justeru, tidakkah sia-sia penat lelah kita berpuasa ditambahkan dengan amalan-amalan lain namun akhirnya menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa dikira usaha kita.


b) menjaga silaturrahim


Hubungan persaudaraan (silaturrahim) adalah perkara yang amat dituntut di dalam islam. Baik  sesama akidah (muslim)  ataupun sesama saudara yang ada pertalian darah. Perkara  ini disebutkan di dalam al-Quran bahawa setiap muslim itu bersaudara. Persaudaraan atas dasar aqidah sebenarnya lebih utama berbanding yang lain. Di bulan mulia ini, kebanyakan masyarakat melazimi suatu adat yang baik seperti bertukar-tukar juadah sebelum berbuka. Perbuatan ini amat-amat digalakkan selain mengeratkan hubungan dapat juga pahala memberi orang lain berbuka. Adapun memberi makan orang berbuka besar ganjarannya seperti hadis nabi s.a.w:


“Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya adalah pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun”. (HR Tirmidzi – hadis hasan sahih)


c) bersungguh melaksanakan tanggungjawab


Termasuklah dalam bersedekah itu adalah kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Pelajar berkewajiban belajar. Pekerja bekerja dan memberi perkhidmatan terbaik. Ramadhan tidak sepatutnya melemahkan daya kita dalam melunaskan tanggungjawab ini bahkan memberi kekuatan rohani kepada kita kerana ia merupakan suatu nilai sedekah yang akan diganjarkan pahala yang bertambah.


d) sedekah harta


Melihat kepada realiti, mengikut apa yang saya perhati setelah hampir separuh ramadhan, masyarakat masih tidak lokek untuk menderma. Satu pujian. Namun biarlah amalan ini berkekalan hingga terbawa-bawa ke luar ramadhan kerana perlu kita ketahui bahawa sesungguhnya apa yang kita berikan itu sebenarnya ‘harta’ kita berbanding yang ada ditangan. Allah berfirman:


Sebenarnya apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Dan sesungguhnya kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan. (An-Nahl:96)


Justeru, seharusnya kita mengekalkan momentum amal ibadah kita dengan melebih-lebihkan lagi sedekah kita supaya kita menjadi ‘orang kaya’ di akhirat kelak. Perlulah diketahui juga bahawa setiap benda yang kita infakkan dan belanjakan untuk Allah maka pasti akan diganti semula oleh Allah berdasarkan firman-Nya:


Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya,dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki. (Saba’:39)


 


Sedekah dan keutamaan


Sedekah asasnya adalah memberikan kebaikan kepada orang lain dan semuanya adalah baik, namun antara sedekah itu berbeda keutamaan dan nilainya bergantung kepada niat pemberi, kondisi orang yang bersedekah atau sasaran sedekah atau waktu bersedekah. Antara sedekah yang utama menurut Islam adalah:


1.  Sedekah secara terang-terang vs tersembunyi


Sedekah selalu dikaitkan secara tersembunyi bagi menutup sifat riya’ dalam diri. Itu adalah yang utama. Walaubagaimanapun sedekah secara juga perlu pada ketika tertentu untuk memberi pelajaran dan memberi ransangan untuk orang lain turut bersedekah. Sebab itu, konsep sedekah itu kembali semula kepada niat si pemberi. Adapun tidak dinafikan secara tersembunyi itu lebih selamat dari keburukan riya’. Allah s.w.t berfirman:


Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. (al-Baqarah:271)


2.  Sedekah Ketika Kondisi Sihat


Abu Hurairah meriwayatkan bahwa ada seorang lelaki yang datang kepada Nabi s.a.w bertanya, “Wahai Rasulullah, sedekah apa yang paling utama?” Beliau menjawab:


“Engkau bersedekah ketika sihat dan berat mengeluarkannya, dalam kondisi kamu khuwatir miskin dan mengharap kaya. Maka janganlah kamu tunda, sehingga ruh sampai di kerongkongan, ketika itu kamu mengatakan, “Untuk fulan sekian, untuk fulan sekian, dan untuk fulan sekian.” Padahal telah menjadi milik si fulan.” (HR. Bukhari dan Muslim)


3.  Sedekah setelah cukup keperluan


Allah s.w.t berfirman:


dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).  (Al Baqarah: 219)


Rasulullah s.a.w bersabda:


“Sedekah yang terbaik adalah yang dikeluarkan selebih keperluan, dan mulailah dari orang yang kamu tanggung.” (HR. Bukhari)


4. Menafkahi anak, isteri


Rasulullah s.a.w bersabda:


“Ada dinar yang kamu infakkan di jalan Allah, dinar yang kamu infakkan untuk memerdekakan budak dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin. Namun dinar yang kamu keluarkan untuk keluargamu (anak-isteri) lebih besar pahalanya.” (HR. Muslim)


5.  Bersedekah kepada kaum kerabat dan jiran tetangga


dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. [An-Nisaa’:36]

Rasulullah s.a.w juga bersabda:


“Bersedekah kepada orang miskin adalah satu sedekah, dan kepada kerabat ada dua (kebaikan); sedekah dan silaturrahim.” (HR Tirmidzi)


Rasulullah s.a.w juga bersabda kepada Abu Dzar:


“Wahai Abu Dzar! Jika kamu memasak makanan berkuah, maka perbanyaklah kuahnya, lalu bagilah sebagiannya kepada tetanggamu.” (HR. Muslim)


6. Sedekah Jariyah


Sedekah jariyah adalah sedekah yang pahalanya terus mengalir meskipun pemberi itu sudah meninggal. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Apabila cucu Adam meninggal, maka terputuslah seluruh amalnya kecuali tiga; sedekah jariyah, ilmu yang dimanfa’atkan atau anak soleh yang mendoakan (orang tua)nya.” (HR. Muslim)


Termasuk sedekah jariyah adalah waqaf, pembangunan masjid, membangunkan sekolah dan projek-peojek yang digunakan manfaatnya secara berterusan.


7. Bersedekah Untuk Jihad fii Sabilillah


“Barang siapa mempersiapkan (membekali) orang yang berperang, maka sungguh ia telah berperang. Barang siapa yang menanggung keluarga orang yang berperang, maka sungguh ia telah berperang.” (HR. Bukhari dan Muslim)


Justeru itu bagi mereka yang berkemampuan untuk membantu terutamanya saudara seislam kita di Gaza yang sekarang ini menghadapi kesullitan, namun sedang bangun untuk berjuang demi menegakkan agama Allah s.w.t, maka salurkanlah bantuan kepada mereka. Moga dengan sedikit usaha kita, meskipun tidak mampu berjuang seperti mereka tetapi kita ganjari pahala yang sama atas keikhlasan kita membantu mereka. Jika yang kurang berkemampuan maka bantulah dengan untaian doa kerana ia juga sedekah dan senjata terutama bagi orang islam.


15391_711447675581030_4536329040982390693_n


 


The post Harta tidak mampu diberikan, bersedekahlah dengan… appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 12, 2014 06:37

July 11, 2014

30 Hari Mencari Tuhan: Mengapa Allah Menciptakan Kita Untuk Ujian?

_with_freedom_comes_wings_by_lithp


 


Kehidupan adalah ujian. Kita biasa mendengar ungkapan ini. Ujian hanya terhenti ketika kita mati, dan kita hanya akan menggapai kebahagiaan sejati apabila kita dimasukkan ke syurga nanti.


Berkait hal ini, saya sering teringat dengan sembang-sembang saya bersama seorang remaja, kala dia datang ke booth PTS semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013. Dia menyapa saya dan meminta izin untuk bertanyakan soalan.


Soalan yang ditanya sangat menarik dan mendalam.


“Sekiranya kita ada kemungkinan untuk masuk neraka, mengapa Allah menciptakan kita?”


Jika sekadar hendak menguji, buat apa Allah ciptakan kita?


Mungkin kita akan bertanya soalan itu. Kerana kita tidak meminta untuk diuji. Alih-alih, kita diletakkan di dalam ujian, dan kemudian jika gagal, kita akan diberikan pula pembalasan yang dasyat. Pastinya kita mempersoalkan, yang pertama sekali, mengapa menciptakan kita dengan tujuan ini?



Jawapan Kepada Sang Remaja


Saya menjawab kepada remaja tersebut.


“Allah menciptakan kita untuk memberikan kita peluang masuk ke syurgaNya.”


Ya. Bila kita diciptakan, kita memang ada kemungkinan untuk masuk ke neraka Allah SWT. Tambahan, kehidupan ini memang penuh dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Ada godaan dan tarikannya.


Tetapi dari satu sisi yang lain, tanpa kehidupan, kita langsung tidak wujud, dan langsung tidak mempunyai peluang untuk mengejar syurga Allah SWT. Bukankah itu sepatutnya menjadi kerugian yang sangat besar?


Kehidupan yang abadi, penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan, sebagaimana yang telah Allah SWT gambarkan sendiri dalam pelbagai tempat di dalam Al-Quran. Bukankah rugi terlepas peluang untuk mendapatkan semua itu?


Dengan mempunyai kehidupan, justeru kita mempunyai peluang untuk mencapai syurga Allah SWT.


Mengapa tidak dilihat dari sisi ini?


 


Ujian Yang Terlalu Banyak ‘Talian Hayat’


Dalam kita merungut kononnya Allah SWT menciptakan kita untuk melemparkan kita ke nerakaNya, kita tidak sedar bahawa apabila kita meneliti firman-firman Allah SWT, Dia bukannya tidak tahu yang Dia telah menciptakan diri kita dengan kelemahan-kelemahan tersendiri.


Kerana itu walaupun dunia ini adalah lapangan ujian, ujian di atas muka bumi ini hakikatnya telah diberikan pula banyak bantuan daripada Allah SWT.


Bila kita berdosa, Allah SWT memberikan ruang untuk bertaubat. Bahkan Allah SWT mengwar-warkan pula bahawa Dia amat mencintai orang yang sering bertaubat.


“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang yang sering bertaubat dan mereka yang membersihkan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.


Pada masa kita dicabar dengan pelbagai godaan dan tarikan yang merosakkan, Allah SWT pula menyatakan bahawa amal kebaikan akan memadamkan amal keburukan.


“Sesungguhnya kebaikan-kebaikan, akan memadamkan keburukan-keburukan.” Surah Hud ayat 114.


Pada saat kita perlu bertarung antara kebaikan dan keburukan, Allah SWT memberikan gandaan pahala yang banyak pada amal-amal kebaikan, manakala penilaian terhadap keburukan tidak pula sedemikian gayanya.


Contohnya, bila kita berniat untuk melakukan kebaikan, itu sahaja sudah mendapat pahala. Manakala keburukan, hanya dikira apabila kita melaksanakannya. Contoh lain, setiap kebaikan ada gandaan pahalanya, manakala keburukan-keburukan dikira satu sahaja.


  “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” Surah Al-An’am ayat 160.


Dan kemudian kita merungut apabila diberikan peluang ini?


“Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” Surah Al-Mulk ayat 23.


Astaghfirullah.


 


Sesuatu Yang Mahal, Pasti Ada Harganya


Syurga dan neraka wujud memang sebenar-benar wujud. Bukan sekadar motivasi kosong untuk kita hidup dengan ilusi. Bukan sekadar pancingan untuk kita melaksanakan kebaikan. Tetapi ianya sebuah realiti, sebuah kebenaran, dan kita perlu menyelamatkan diri kita dari tempat pengakhiran yang buruk.


Pastilah berbeza orang yang hendak memasuki syurga, dengan orang yang hendak memasuki neraka.


Allah SWT tidak memaksa kita dalam membuat pilihan ini. Dia memberikan kepada kita keterangan akan akibat dan kesan terhadap kedua-dua pilihan hidup ini. Kitalah yang memilihnya.


Tidak sedikit yang memilih untuk tidak teruji di atas muka bumi. Maka dia hidup seakan dunia ini adalah syurganya. Maka syurganya telah diawalkan, dan di akhirat kelak dia tidak mendapat apa-apa melainkan keburukan.


Namun kita mahu apa?


Kita mahu menjual dunia ini, dan membeli akhirat. Justeru dunia ini perlu kita korbankan. Itupun Maha Besar Allah SWT, kasih sayangNya tidak bertepi. Seringkali apabila hamba-hambaNya mengejar akhirat, mereka mendapat juga kenikmatan dunia ini. MasyaAllah, di manakah ruginya? Memanglah ada perkara kita korbankan, orang lain malas solat, kita rajin solat. Orang lain boleh bazir masa, kita menjaga masa. Orang lain hidup boleh buat sesuka hati, kita ada halal haram dan batasannya.


Tetapi itu semua akan diganti dengan syurga yang kekal abadi dan nikmatnya tidak bertepi.


Maka di manakah ruginya?


Hidup ini sekadar medan ujian, untuk kita memilih sebenarnya. Mahu mengejar syurga, atau sebenarnya kita mahu pulang ke neraka Allah SWT.


The post 30 Hari Mencari Tuhan: Mengapa Allah Menciptakan Kita Untuk Ujian? appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 11, 2014 05:48

July 10, 2014

Rejuvenasi Hati: Allah Tidak Menciptakan Kita Untuk Sia-sia

the_door_by_machiavellicro-d606f1w


 


Kita berada di atas muka bumi ini hakikatnya dengan misi.


Allah SWT bukan menciptakan kita semata-mata untuk makan dan minum, bermain dan tidur, bernafas dan kemudian mati begitu sahaja.


Namun ramai dari kalangan kita tidak menyedari hakikat ini, lantas kehidupannya disia-siakan begitu sahaja. Masa dibiarkan berlalu, dan kemudian dia mati dengan kematian yang sia-sia. Hidupnya kosong, dan bila dia dikumpulkan dengan ramai orang lain sepertinya, mereka hanya seperti buih-buih di lautan, tidak perlu disentuh pun, akan pecah dan balik ke laut sendiri.


Kita mahukah kehidupan yang sebegitu?


Tidak hairanlah kebanyakan kita seperti hilang hala tuju dan cepat mengalah. Senang terpesong dan jatuh ke lembah penderhakaan. Kerana kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya ada misi yang perlu diselesaikan.


Kita tidak sedar, bahawa Allah SWT bukan menciptakan kita dengan sia-sia.


 


Allah Sendiri Menyatakannya


Allah SWT sendiri, membuat pengakuan bahawa Dia bukan menciptakan manusia itu untuk bermain-main. Allah SWT terus memasakkan kepada manusia akan pertemuan denganNya di akhirat kelak, sebagai satu titik untuk manusia berfikir, yang kehidupannya ini bermisi.


Allah SWT berfirman:


  “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mu’minun ayat 115.


Allah SWT menegaskan lagi perkara yang sama di dalam ayat yang lain:


“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.” Surah Al-Anbiya’ ayat 19.


Maka apakah tujuan hidup kita? Apakah misi yang sepatutnya kita perlu selesaikan?


 


Misi Kita Di Atas Muka Bumi


Kita perhatikan bahawa kala Allah SWT menciptakan manusia, Allah SWT mengkhabarkannya kepada para malaikat. Ketika Dia mengkhabarkan perkara tersebut, Allah SWT tidak menyatakan bahawa Dia hendak menciptakan satu makhluk bernama manusia. Tetapi apa yang Allah SWT nyatakan ialah Dia hendak menciptakan khalifah atau ‘pentadbir’ di atas muka bumi ini.


Ya, itulah misi kita. Dan besarnya misi itu, sehingga Allah SWT menyebutnya secara jelas saat Dia hendak menciptakan manusia.


Firman Allah SWT:


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah.” Surah Al-Baqarah ayat 30.


Mentadbir bumi ke arah apa?


Ke arah yang Allah SWT redhai, yakni dengan menjadi rahmat kepada alam ini, memakmurkannya, menjaganya dengan baik, dan semua itu akan mampu dicapai dengan tunduk serta patuh kepada Allah SWT. Makanya antara tugasan besar khalifah ialah membawa manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, yang juga telah Allah nyatakan bahawa itu merupakan antara tujuan manusia diciptakan.


“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mengabdikan diri.” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.


Kita juga sedar bahawa khalifah itu tidak semestinya kita semua perlu berjawatan. Sebuah negara hanya memerlukan seorang perdana menteri, dan barisan kabinet menteri pun ada bilangan yang terhad. Maka mustahil untuk kita semua memegang jawatan sebagai pemimpin.


Kerana itu khalifah yang dimaksudkan ini tidak terhad kepada jawatan kepimpinan. Tetapi juga merangkumi tanggungjawab memimpin diri, keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling semampu kita. Apa yang penting, apa pun yang kita boleh pimpin, di sana tergalas tanggungjawab untuk membawanya kepada keredhaan Allah SWT tadi.


Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan dia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka. Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya. Ingatlah! setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.” Hadith Riwayat Muslim.


 


Merancang dan Merangka Strategi Melunaskan Misi


Misi takkan tercapai dan selesai tanpa perancangan yang baik. Kita sebenarnya telah melakukan langkahan yang pertama dengan menyedari apakah misi kita. Justeru seterusnya adalah merancang bagaimana hendak mencapai misi tersebut.


Di sinilah perlunya kita melihat kepada diri kita sendiri.


Apa tanggungjawab yang ada pada diri kita.


Bagaimana hendak menyelesaikannya?


Bagaimana hendak berjaya menggapainya?


Kita sepatutnya bergerak di atas kehidupan ini dengan kesedaran tersebut. Sentiasa cakna dan sensitif dalam menyelesaikan misi kita. Jika terlupa, kita mengingatkan diri kita semula. Kita juga akan berusaha mencari rakan-rakan yang juga faham akan misi ini dan bersama mereka untuk menggapainya.


Jika kita memahami bahawa hidup ini ada misi yang perlu kita selesaikan, ada destinasi yang perlu kita capai, sudah pastilah kita tidak memandang yang kehidupan ini merupakan satu perkara yang sia-sia, dan boleh dibazirkan begitu sahaja.


Namun kebanyakan kita tidak sedar. Lantas diri mereka dipermainkan oleh dunia hingga terlupa misi ini. Akhirnya mereka terperangkap di dalam ‘kitaran kebodohan’, hidup seperti robot mengekori sistem yang yang merosakkan. Ummat akhirnya tidak berjaya menggapai kekuatan dan lemah kerana telah terlena dengan pelbagai siulan dan lawak jenaka yang mengalihkan perhatian kita dari tugas kita yang sebenar.


“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah Al-An’am ayat 32.


“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” Surah Al-An’kabut ayat 64.


 


Bagaimana Jika Kita Terus Mempersiakan Kehidupan Ini?


Bagaimana jika kita memilih untuk mengabaikan segala peringatan ini?


Bagaimana jika kita terus melayan kehidupan ini dengan mensia-siakan dan mengabaikan misi kita yang sebenar?


Ketahuilah bahawa jika kita mengabaikannya, Allah SWT itu tidak sedikit pun rugi. Tetapi sedarlah bahawa kita telah diperingatkan.


Dan dengarkanlah dari kalam orang-orang yang telah mengabaikan hal ini, yang telah Allah pertontonkan kepada kita dalam firmanNya:


  “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” Surah As-Sajdah ayat 12.


Dan pada ketika itu keyakinan kita tidak lagi bermakna.


Muhasabah. Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia.


The post Rejuvenasi Hati: Allah Tidak Menciptakan Kita Untuk Sia-sia appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 10, 2014 22:17