Hilal Asyraf's Blog, page 53
August 10, 2014
Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri
~Pic by coachmarvin.com
Kita hidup di zaman ramai orang semakin hilang rasa kebertanggungjawaban atas dirinya sendiri. Ia sesuatu yang melukakan dan menyedihkan.
Akses kepada ilmu semakin luas, tetapi manusia semakin hilang kesedaran.
Akses kepada kefahaman agama juga menjadi lebih mudah, tetapi kita semakin sedikit dan tidak serius dalam beramal.
Hubungan manusia dengan manusia menjadi lebih dekat dengan wujudnya internet, perkembangan dunia media, namun adab kita semakin menipis, perpecahan pula semakin galak dikumandangkan, kemanusiaan pula kian terhakis.
Maklumat semakin mudah dicapai, tetapi common sense kita makin merenggang dari kehidupan.
Semakin banyak membaca buku, tetapi sikap dan akhlak tidak semakin bertambah baik.
Kita seakan-akan gagal menghubungkan perubahan diri kita sendiri dengan perkembangan serta permasalahan yang berlaku. Kita tahu, tetapi tahu kita seakan-akan tidak mengubah apa-apa pada diri kita, tidak memberi manfaat kepada hidup kita. Tahu kita seakan-akan tidak menyelamatkan manusia lain dari menjadi mangsa amal tangan dan mulut kita. Pengetahuan kita itu melintas di tepi akal kita tanpa akal kita dapat mengunyahnya dengan baik untuk kita terjemahkan semula ke dalam bentuk yang praktikal melalui jalan mengubah cara hidup, cara fikir dan nilai dalam diri kita.
Contoh Mudah
Gaza dan Palestin adalah isu yang tidak pernah selesai sejak berzaman. Bukan sekali dua kita melihat perkembangan isu yang berlaku di Palestin. Bukan sekali dua juga kita mengenal ketabahan dan kekuatan mereka di Gaza.
Melalui ramainya wakil-wakil mereka yang pernah datang ke Malaysia, kita belajar daripada mereka bahawa di dalam dunia sekecil Gaza itu, disekat, ditembak, dibunuh serta pelbagai lagi ancaman yang mereka hadapi bukanlah halangan yang akan menyebabkan mereka berhenti, tetapi ia bahkan menjadi satu peluang pula untuk mereka melahirkan lebih ramai orang-orang hebat.
Al-Qassam, adalah kisah hero realiti mereka yang wujud di zaman ini. Ramai orang berkisah tentang mereka terutamanya di dunia-dunia Islam.
Saya pasti tidak sedikit yang rasa teruja apabila mendengar syarat-syarat kelayakan dipilih sebagai anggota Al-Qassam. Namun, kita tidak harus berhenti pada rasa keterujaan itu semata-mata. Rasa keterujaan semata-mata tidak akan dapat mengubah diri kita.
Ramai orang kagum pada tokoh-tokoh tertentu, kagum pada kehebatan para sahabat Nabi s.a.w., kagum pada tokoh-tokoh di zamannya, namun apakah kekaguman semata-mata memberi manfaat kepada dirinya kalau dia tidak belajar dan mengambil manfaat pun dari tokoh itu?
Sebab itu, kita perlu bertanya kepada diri kita, dengan mengukur realiti diri kita, apakah kesungguhan kita untuk beramal dengan Islam telah diusahakan sehampir kesungguhan yang telah dilakukan oleh HAMAS dan juga Al-Qassam di Gaza? Akhlak kita, adakah telah diusahakan untuk ditambahbaik? Tidak mungkin kita dapat menjadi muslim atau menjadi tentera sebaik mereka tanpa akhlak yang bagus. Untuk menjadi lebih realistik, kita barangkali susah untuk menjadi semisal mereka. Namun, mencontohi kesungguhan mereka dalam beramal dengan Islam dengan cara tidak ambil mudah dengan nikmat Islam yang telah kita perolehi adalah apa yang kita boleh lakukan.
Malangnya, itulah yang akal kita gagal mengunyah dan menghadamnya dengan baik.
Kita dijamu dengan informasi-informasi yang ‘wow’ tentang mereka tetapi kita kemudiannya balik kepada hidup kita seperti asal. Cara ibadah kita masih seperti dahulu, hati kita masih hati yang lama, kecenderungan diri kita masih dikuasai oleh nafsu, sikap kita seakan-akan tidak ada perubahan ke arah lebih baik sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, kita take for granted dalam kesungguhan kita untuk membaiki sikap dan akhlak.
Kita rasakan kita telah ‘Islam’ dengan kita menjadi muslim di awal kelahiran kita, tetapi rupanya masih banyak sisi jahiliah pada diri kita.
Tanyalah pada diri kita soalan-soalan yang ringkas dan mudah saja kalau benar kita mahu menjadi muslim sebaik mereka.
Pukul berapa Subuh kita hari ini?
Hari kita diisi dengan apa? Banyak terisi atau banyak terbuang?
Seteliti apakah kita menjaga disiplin waktu dan sikap dalam hidup?
Sejauh mana pula sensitiviti kita dalam hal melibatkan perintah Allah dalam hidup?
Akhlak dan adab kita, masih sama atau sudah ada pembaikan? Kalau ya ada pembaikan, apa buktinya?
Membebankan Orang Lain
Kembali bertanya di mana diri kita dengan semua perkembangan, isu dan maklumat yang telah kita tahu itu adalah kerana ia persoalan penting yang melibatkan tanggungjawab dan pilihan kita terhadap diri kita sendiri.
Ia bukan persoalan untuk dijawab seperti peperiksaan universiti, tetapi ia adalah persoalan yang benar-benar terjawab dengan melihat apa pilihan tindakan-tindakan kita setelah kita melalui fasa ‘tahu’ itu.
Ia persoalan yang serius kerana kadangkala, kita terkilan apabila sesetengah orang menganggap sesuatu yang asalnya adalah tanggungjawab terhadap dirinya sendiri terutama pada permasalahan sikap bukan lagi sebuah tanggungjawab. Ia akhirnya membebankan orang lain dan masyarakat yang hidup bersamanya.
Semisal persoalan adab dan akhlak seperti tanggungjawab kita terhadap masa, tanggungjawab kita terhadap persoalan kebersihan, tanggungjawab kita terhadap kata-kata kita.
Berapa ramai orang berjanji misalnya bertemu pada masa-masa yang tertentu, tetapi akhirnya janji itu dimungkiri dengan tanpa ada rasa bersalah. Bebannya tertanggung pada orang yang memenuhi janji dan menunggunya pula. Nampak kecil, tetapi impaknya besar pada kredibiliti diri dan kepercayaan orang terhadap kita.
Berapa ramai yang terbiasa membuang sampahnya ke luar kereta ketika memandu, akhirnya sampah itu terbang melayang ke kereta belakang sehingga akhirnya mungkin boleh menyebabkan kemalangan, namun sikap sebegitu tidak pun diubah ketika di waktu yang lain.
Berapa ramai yang sebenarnya mempunyai pilihan untuk mengeluarkan kata-kata yang baik, tetapi lebih cenderung memilih perkataan yang negatif, akhirnya menyebabkan timbulnya perbalahan dan pergaduhan, tetapi kemudiannya, dia pula tidak mahu bertanggungjawab atas kata-kata yang dikeluarkannya.
Ia asalnya adalah tanggungjawab kita, yang mana kita sepatutnya melihat dan membaikinya dalam diri kita. Ia asalnya adalah tanggungjawab kita, yang mana apabila kita menyalahinya, maka kita patut rasa bersalah dalam diri kita lalu melakukan perubahan.
Masalahnya, adalah apabila kita tidak merasakan ia adalah tanggungjawab kita, kita pun tidak rasa bersalah apabila kita menyalahinya, lalu kita pun terus-menerus terbiasa melakukannya tanpa ada sedikit rasa ingin membaikinya. Akhirnya, ia membebankan orang lain yang hidup bermasyarakat bersama kita.
Penutup : Kita Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri
Sebagai muslim, rasa tanggungjawab atas diri sendiri itu adalah cerminan dari percikan iman dalam dirinya.
Kalau ada tanggungjawab sendiri yang tidak dirasakan bersalah apabila menyalahinya, kalau ada tanggungjawab dimungkiri tanpa rasa sesal, ia barangkali bermasalah pada imannya kepada Allah.
Iman kepada Allah adalah sebenar-benar pengawas yang mengawasi sensitiviti seseorang terhadap tanggungjawabnya sendiri, tanggungjawab terhadap sikap dan akhlaknya, yang menyebabkan dia merasai komitmen yang tinggi terhadap peribadinya sendiri.
Muslim itu sepatutnya menjadi seseorang yang dapat menguasai dirinya sendiri, tambah lagi melibatkan aspek tanggungjawab yang berkait rapat dengan dirinya sendiri. Kalau tanggungjawab terhadap sikap dan akhlak sendiri masih banyak kelumpuhannya, barangkali lambat lagi untuk kekuasaan dunia diserahkan kembali kepada muslim.
Kembali kepada Allah s.w.t. dengan melihat lompong-lompong pada diri kita, kemudian perbaikilah ia.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” [Al-A’raf: 201]
The post Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri appeared first on Langit Ilahi.
August 8, 2014
Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2 – Cinta
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Takdir 3 telah berjaya disambung. Kini masuk ke Cheritera 2. Saya telah membuat keputusan untuk meneruskan karya ini dengan menjadikan ‘point of view’ Angkasa sebagai penyampai cerita kepada Angkasa. Memandangkan ini karya terakhir dalam trilogi Takdir, saya mahu perjalanannya lebih mendapat sentuhan peribadi watak utamanya. Di sini juga saya mampu memberikan lebih fokus, berbanding terlalu banyak situasi dalam masa yang sama.
InsyaAllah selepas sekitar sebulan lebih saya tidak menyambung karya ini – isteri saya bersalin selepas saya menyiapkan bab pertama tempoh hari – saya berhajat untuk berdisiplin dan lebih giat menghasilkan karya ini secara bersiri. Target saya, 2 bab seminggu, paling kurang satu bab seminggu. Apa yang penting, saya menetapkan yang Takdir 3 akan mempunyai sekitar 25 buah bab, dan saya akan siarkan secara online sebanyak 15 buah bab.
Harapan saya, sepanjang karya ini berjalan, saya mohon kritikan membina dan teguran daripada rakan-rakan pembaca.
Ini penting agar karya ini dapat menjadi yang terbaik kala ianya dicetak dan disebarkan ke seluruh Malaysia nanti insyaAllah. Mohon doa dan sokongan.
Okay, enjoy!
Melangkah pulang dari medan latihan dengan penuh kepenatan hari ini. End dan Izrayel benar-benar membuatkan aku membanting segala kekuatan yang ada. Pedang warisan bapa menjadi tongkat untuk menyokong tubuhku agar dapat terus melangkah. Peluh masih tidak berhenti mencucur jatuh.
Kedua-dua tuk guruku itu pula menyambung latihan mereka berdua. Hajatnya mahu hingga ke Maghrib. Aku minta izin untuk pulang ke rumah dengan lebih awal selepas latihanku selesai. Kami telah berlatih semenjak pagi lagi. Hanya berhenti ketika sarapan, makan tengahari dan waktu-waktu solat.
Selepas pulang dari peperangan di Madori, aku dikurniakan rumah di Tanah Suci. Tidak jauh dari Masjidil Haram. Bahkan untuk lebih cepat sampai ke rumah dari medan latihan, aku perlu merentas Masjid yang mulia tersebut, melalui hadapan Kaabah, untuk sampai ke rumahku yang hanya berada sekitar 1 kilometer daripadanya.
Semua penduduk Tanah Suci yang aku jumpai sepanjang perjalanan, melemparkan senyuman. Yang jauh, melambai tangan. Aku hanya mampu membalas dengan senyuman. Mereka juga nampak seperti memahami keletihanku, tiada yang menghulurkan tangan untuk bersalaman. Cuma ada beberapa pemuda yang menepuk bahuku, tanda sokongan.
Mereka ini adalah manusia-manusia yang baik.
Bukan malaikat, tetapi mungkin kehidupan di bumi yang sentiasa diancam, membuatkan kebergantungan mereka tinggi dengan Allah SWT. Akhirnya peribadi mereka terbentuk mulia, dan mereka adalah antara manusia paling positif yang pernah aku temui sepanjang kehidupanku.
Aku masuk ke Masjidil Haram. Bergerak melepas tiang-tiang di tingkat bawah hingga kepalaku kembali dimamah mentari, melihat Rumah Hitam yang agung. Tidak pernah bosan aku menatapnya, dan tidak pernah rasa jemu untuk aku berlindung di bawah bayangannya. Aku tahu kiub itu bukan Tuhan, tetapi padanya aku seakan dapat melihat semangatnya Utusan Langit Ibrahim AS yang diarahkan membinanya.
Dari bacaanku, Utusan Langit Ibrahim telah membinanya, dan diperintahkan menyeru orang ramai melawati Kaabah untuk beribadah. Namun ketika itu tempat ini hanya sebuah tanah gersang, dan Ibrahim AS bukannya mempunyai teknologi yang hebat untuk suaranya benar-benar sampai ke seluruh pelusuk dunia.
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” Surah Al-Hajj ayat 27-29.
Namun jika diperhatikan, hingga ke hari ini, walaupun selepas Sang Asura mencengkam dunia, orang masih datang dan memenuhi kawasan ini menunaikan umrah, Haji dan beribadah di sekitarnya. Bermakna Allah SWT yang berkuasa ke atas hasil, sedang manusia perlu berusaha sehabis baik melaksanakan apa yang dipertanggungjawab Allah ke atasnya.
Kisah ini menjadi penyejuk hatiku. Penguat semangat atas perjuanganku.
Yang juga kelihatan mustahil.
Namun janjiNya tidak termungkir. Itu kepercayaan aku.
Tugas aku adalah berusaha.
Usaha, usaha dan usaha. Hingga sudah tiada ruang lagi untuk aku berusaha. Hingga aku mati. Ketika itulah aku berhenti.
“Baca betul-betul, ulang semula.” Tiba-tiba suara mulus itu kedengaran, seusai aku sempurna merentasi Kaabah yang mulia.
Suara tadi diikuti dengan suara anak kecil membaca Al-Quran. Tersangkut-sangkut, namun dibantu oleh pemilik suara yang lembut tadi, untuk ayat itu dapat dibaca sehingga habis.
Aku menoleh.
Puteri Maisarah, sedang bersandar pada salah satu tiang, dikelilingi anak-anak yang sedang belajar untuk membaca dan memahami Al-Quran bersamanya. Dia tidak perasan dengan kehadiranku. Aku pula seperti terpaku melihat suasana itu.
Dia khusyuk mengajar anak-anak muridnya. Aku memerhati.
Tiba-tiba terkenang pertemuan aku dengannya di alam yang tidak dapat aku pastikan alam apa. Aku tidak tahu apa hubungan kami hingga dipertemukan di alam itu. Dia perempuan muslimah pertama, yang aku temui selepas duduk di bawah didikan bapa.
Dan aku tidak menafikan, hatiku tertarik kepadanya.
Jauh di dalam hatiku, memang ada hajat untuk menjadikannya sebagai isteri.
Tetapi memandangkan peperangan besar yang semakin hampir, dan tiada kepastian akan pengakhiran diriku nanti, aku memendamkan sahaja hajat itu. Walaupun Izrayel, dan Aizan Fahmi sendiri, banyak menyakatku akan hal ini.
Aku dapat perasan, yang Puteri Maisarah juga berkenan dengan diriku. Ah, mungkin juga aku perasan sendiri.
Aku membuat keputusan untuk terus melangkah. Waktu maghrib semakin hampir, aku mahu membersihkan diri.
“Eh, itukan Abang Angkasa!” Suara itu disahut dengan jeritan kegembiraan kanak-kanak. Aku menoleh, rupanya anak-anak murid Puteri Maisarah sedang menghadap ke arahku. Begitu juga dengan guru mereka.
Buat wajahku terasa seperti tersimbah sos. Panas. Namun aku lemparkan senyuman, niat asalnya untuk meraikan anak-anak yang seperti sedang teruja melihat diriku.
Tiba-tiba aku perasan yang Puteri Maisarah menunduk. Ah, apakah dia ingat aku sedang melemparkan senyuman kepadanya? Alahai. Malunya aku!
“Bila kami besar, kami mahu jadi seperti Abang Angkasa!” Salah seorang dari kanak-kanak itu bangun. Bersemangat.
“Aku pun, aku pun!” Kedengaran kanak-kanak yang lain bersuara. Seperti cemburu melihat keberanian kawan mereka yang sedang berdiri. Aku tertawa kecil. Mereka masih kecil, berumur bawah 10 tahun, namun sudah bersemangat begitu sekali.
Generasi baru. Membawa harapan yang besar untuk masa hadapan.
“Kami perempuan, kami nak jadi macam Cikgu Maisarah.” Ada suara halus kedengaran. Pelajar perempuan yang ada pula bersuara.
Aku dapat melihat Puteri Maisarah seperti merah wajahnya. Dia seperti terdiam, dan tidak pula memberikan respon kepada anak-anak muridnya. Dia seperti menanti aku untuk menyatakan sesuatu. Aku perlu bercakapkah?
“Adik-adik yang Abang kasihi, jika mahu jadi macam Abang dan Cikgu kamu ini, kenalah rajin belajar Al-Quran ya. Al-Quran itu suluhan hidup, di dalamnya ada prinsip dan pegangan kita. Dari sanalah kita dapat membina peribadi yang kuat, seterusnya mampu menyumbang untuk Islam, insyaAllah.” Aku melontarkan sedikit kata-kata semangat, sambil cuba memaparkan wajah paling manis menafikan kepenatan diri, agar dapat menginspirasikan anak-anak di hadapanku ini.
Mereka terangguk-angguk.
“Balik rumah?” Puteri Maisarah tiba-tiba bersuara.
Buat aku sedikit tersentak.
Komunikasi kami sangat terhad sebelum-sebelum ini. Agak janggal untuk kami berbicara bersama.
Aku mengangguk.
“Pergi dulu.” Aku mengangkat tangan kiri, melambai sedikit kepada semua.
Puteri Maisarah mengangguk balas. Anak-anak muridnya melambai. Dan aku melangkah, masih dalam keadaan payah, bertongkatkan pedang warisan bapa.
“Cikgu, kesian dengan Abang Angkasa. Berlatih sampai macam gitu. Cikgu kahwinlah dengan dia, boleh tolong.” Kedengaran petah anak murid lelakinya bersuara. Jiwa aku seperti terenjat elektrik apabila cadangan itu lewat ke cuping telingaku.
“Betul, betul.” Anak-anak murid lain bersuara.
Mahu sahaja aku hentikan langkahan, dan menoleh untuk melihat reaksi Puteri Maisarah.
Tetapi aku malu. Aku tidak berpaling.
Bergerak terus pulang ke rumah.
Aku dapat merasai betapa hatiku seperti sedang menari-nari. Mungkin inilah dia cinta. Aku benar-benar suka kepadanya. Dan sebenarnya aku tidak boleh memendam lama agar jiwa aku tidak terganggu. Aku perlu meluahkannya, perlu buat tindakan agar ini semua tidak sekadar menjadi angan-angan yang akhirnya merosakkan perjuangan.
Tetapi akhirnya aku tidak melakukan apa-apa.
Aku risau jika dia menerima aku pun, kalau selepas tiga bulan dia menjadi janda, di manakah bahagianya?
******
Hari ini latihan hanya sampai ke tengahari. Selepas Zuhur, aku menemani Izrayel menghantar End yang akan pulang ke Duarte. Bersamanya, kami bergerak ke sempadan Tanah Suci.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar.” Aku menepuk bahu End. Di belakang kami adalah benteng pertahanan Tanah Suci. Kami sedang berdiri di atas jambatan yang menjadi perantara Tanah Suci dengan tanah di luar sempadannya, yang dipisahkan dengan parit besar.
Dia sekadar tersenyum. End menalakan wajahnya kepada Izrayel. Tanpa suara, Izrayel mengangguk seakan-akan End usai memberitahunya sesuatu. Izrayel menepuk bahuku pula.
“Aku akan jaga budak ini dengan baik, dan meneruskan latihannya.”
Kemudian Izrayel menepuk bahu End. Kami seperti sedang membentuk segi tiga apabila saling bersentuhan begitu.
“Dan engkau sahabatku, akan datang lagi bukan?”
“InsyaAllah.” Sepatah End menjawab.
“Sebagai rakan seperjuangan semenjak zaman menjadi Jeneral Utopia, aku amat gembira dengan kehadiran engkau di sini End. Sebelum peperangan besar, lawatlah lagi ke mari.”
“Kenapa kita tak lawat End?” Aku mencelah.
“Kau kena berlatih lebih banyak budak, bukan melancong.” Izrayel menumbuk lembut dadaku.
Aku mencebik. Sempat lagi menyakat. End tersenyum sahaja. Dia menepuk-nepuk bahu Izrayel, memeluk sahabatnya itu, dan kemudian dia mendakap diriku.
Tanpa bersuara, dia naik ke atas tunggangannya. Dia nampak gagah benar di atas kuda putih miliknya itu. Diiringi empat pengawal yang juga datang bersamanya sebelum ini, End mengangkat tangan sebagai lambaian selamat tinggal.
“Assalamu’alaikum.” Dia bersuara.
“Waalaikumussalam.” Aku dan Izrayel serentak menjawab.
End pun pergi bersama para pengawalnya, dan aku menghantarnya dengan pandangan, hingga dia hilang di balik debu pasir di medan yang amat luas di hadapanku ini.
“Janganlah nangis.” Bahuku ditumbuk Izrayel secara mengejut. Pantas tumbukannya, hingga aku tidak sempat mengelak atau menampannya.
“Aku mana menangis!” Aku menghayunkan penumbukku, namun Izrayel sudah menunduk. Refleksinya tinggi.
“Janganlah berperang di atas jambatan ini. Jika roboh, sukar diganti.” Satu suara menghentikan gurauan kami berdua.
Aku memandang kembali ke arah pintu besar sempadan Tanah Suci yang terbuka. Aizan Fahmi sedang bergerak ke arah kami berdua.
Aku mengukir senyuman lebar. Lama kami tidak bersua muka.
“Apa khabar?” Dia melemparkan soalan dengan wajah yang mesra. Aku tidak sempat menjawabnya, dan tubuh kami sudah berdakapan erat.
“Ah, kau sembanglah dengan adik ipar engkau ni. Aku mahu berehat di kedai makan berdekatan.” Izrayel menepuk belakang tubuh Aizan. Sempat lagi dia menyakat diriku. Ingin aku menjerit geram dengan ulahnya. Namun tidak aku nafikan, hatiku banyak terhibur dengan gelagat Izrayel.
Aizan menggeleng kepala dengan senyuman yang kekal pada bibirnya. Dia memandang Izrayel yang bergerak masuk kembali ke Tanah Suci.
“Kuat betul dia menyakat engkau. Pantang ada peluang.” Aizan tertawa.
“Abaikan dia.” Aku menjawab. Akhirnya tertawa sama.
Kami berjalan bersama-sama. Bertukar cerita. Aizan berkongsi akan rutin kawalannya di sempadan Tanah Suci. Bagaimana berita-berita dari pelbagai wilayah, tiba dengan perkongsian daripada para pedagang dan mereka yang berhijrah ke Tanah Suci. Aizan nampak gembira dengan perkembangan yang kelihatannya positif.
Aku pula berkongsi akan latihanku bersama Izrayel, yang kadangkala dibantu oleh End. Dan bagaimana latihan itu semakin hari semakin berat dan ketat.
“Jadi, apakah engkau telah bersedia?” Aizan bertanya.
Aku mengangkat bahu. “Sejujurnya, aku sendiri tidak pasti. Tetapi bila tiba masanya, aku tidak akan lari. Aku akan berjuang dengan segala kekuatanku.”
“Alhamdulillah. Berhadapan dengan Sang Asura, Long Berk, yang sudah kita maklum kedasyatan kekuatan mereka, sampai bila pun kita akan rasa tidak mampu. Tetapi akhirnya kita akui bahawa kemenangan tidak datang semata-mata daripada usaha kita. Ianya adalah milik Allah SWT. Maka dalam berusaha, jangan putuskan tawakkal kita kepadaNya.” Aizan memberikan peringatan.
Benar.
Akhirnya Allah SWT yang memberikan kemenangan.
Kami duduk di salah satu kedai makan yang terdapat di perbatasan ini. Tempat ini makmur dengan pelbagai perniagaan, kerana orang luar ramai masuk melalui tempat ini. Bukan sahaja dari kalangan manusia, tetapi juga makhluk genetik dan kaum gergasi. Dan namun mereka masih tidak ramai di sini. Mungkin mengambil banyak masa untuk mampu benar-benar hidup bersama dengan manusia.
“Bila engkau akan tamat tugas di perbatasan?” Aku bertanya selepas usai meminta minuman yang dikehendaki. Tidak perasan pula Izrayel ada di kedai ini. Mungkin di kedai lain.
“InsyaAllah hujung bulan ini. Kemudian, Khalid akan menggantikan aku.”
“Kalau ada engkau, seronoklah berlatih.”
Aizan tersenyum. “Kau ni patut kahwinlah. Kenapa tunggu lebih lama?”
Aku diam. Aku memandang Aizan yang kini sudah tersenyum nakal.
“Engkau tahu aku berkenan dengan Maisarah?”
“Hah” Dia menepuk meja. Membuatkan semua pelanggan yang ada menoleh ke arah kami. Suasana jadi diam sebentar. “Aku dah agak dah!” Aizan meninggikan suara, kegembiraan.
Aku tersengih aja, sambil memandang sekeliling, wajah minta maaf kerana seperti telah menganggu orang ramai. Aizan masih fokus kepada diriku.
Aku menghela nafas.
“Tak rasa bermasalahkah kalau aku dan dia bernikah, dan kemudian dia menjadi janda?”
Aizan mengerutkan dahi. “Kenapa kau cakap begitu?”
“Bukankah kita akan bertempur dengan Sang Asura tidak lama lagi.”
“Jadi?”
“Kita tidak tahu apa pengakhiran kita.”
“Tahu pun tak tahu. Jadi kenapa engkau kata dia akan jadi janda?”
“Aku hanya fikirkan yang terburuk, bersedia untuk menghadapinya.”
“Itu adalah cara fikir yang tidak patut!”
Aku diam. Memandang Aizan Fahmi yang entah kenapa agak bersemangat membicarakan hal ini. Seperti dia pula yang mahu berkahwin.
“Kita sepatutnya positif.”
“Aku tahu itu, tetapi aku fikirkan juga keadaan Maisarah.”
“Kau fikir kalau Sang Asura menang, akan ada lagi kehidupan selepas itu?” Aizan menajamkan padangannya.
Aku terdiam lagi.
“Aku kongsi dengan engkau satu cerita. Seorang pemuda bernama Handzalah di zaman Utusan Langit Terakhir. Dia menikahi seorang perempuan, dan kemudian selepas bersama isterinya, ada seruan jihad. Dia pergi tanpa sempat mandi junub. Dia syahid di medan itu, dan tubuhnya dimandikan oleh para malaikat.”
“Allahuakbar.” Aku seperti teringat akan kisah itu, terdapat dalam lembaran-lembaran hadith yang disimpan oleh Bapa.
“Zaman itu juga bukan zaman yang amat aman. Rasulullah dan para sahabat baginda berhadapan dengan kemungkinan peperangan dari masa ke semasa. Tetapi mereka tetap bernikah. Tanpa memberikan alasan apakah nanti jika berperang, isteri mereka menjadi janda.” Bersemangat Aizan memberikan penerangan.
Aku terangguk-angguk.
“Adindaku itu menanti dirimu wahai Angkasa. Tidakkah engkau sedar mengapa dia menghadiahkan engkau permata warisan bonda kami berdua?”
Aku sedar. Sebab itu aku menjangka Puteri Maisarah ada perasaan juga terhadapku. Namun, ianya juga boleh digambarkan sebagai hadiah terima kasih kerana membantu menyelamatkan Aizan tidak lama sebelum itu. Aku risau bertepuk sebelah tangan sahaja.
Permata itu pula telah hancur, kerana ia telah menyelamatkan diriku dari ditebas musuh.
“Minuman tuan.” Pemuda yang menjadi pelayan kedai datang bersama talam minuman yang ditempah sebelum ini.
Dalam masa pemuda itu meletakkan cawan minuman kami, aku menatap wajah Aizan, yang setia memakukan pandangannya kepadaku. Seperti menunggu jawapan.
“Aku akan usahakan sesuatu selepas pulang dari perbatasan ini.”
“Alhamdulillah!” Aizan seperti menarik nafas lega. Terus diambilnya air yang ditempahnya, dan minum dengan wajah gembira.
Aku tersengih.
Mungkin telah tiba masanya untuk meninggalkan galau di dalam hati, dan melangkah dengan penuh yakin bersama tawakkal kepada Ilahi.
Tanganku menggapai cawan, dan minum dengan rasa tenang.
Saat diri rasa kelam kabut dengan peperangan yang bakal mendatang, Allah SWT kurniakan aku orang-orang yang positif seperti End, seperti Aizan untuk kekal tenteram.
Alhamdulillah.
*****
“Kenapa tiba-tiba mahu menghadap Tuanku?” Izrayel bertanya.
“Kau tekalah.” Aku menyakatnya. Memang resmi kami berdua suka bergurau senda.
Izrayel mencebik. “Ah, aku sudah tahu.”
“Kiai boleh membaca hati?” Aku menyakatnya lagi.
“Lagi sekali kau sakat aku sebagai Kiai, nampak ni?” Izrayel mengangkat pedang sumbing berbalut kain kasa miliknya.
Aku tertawa. Aku senang bergurau dengannya. Sedikit sebanyak, ia menghilangkan bayangan ‘Pendekar Pendosa’ miliknya yang menjadi titik pertemuan kami berdua. Izrayel kini tidak seperti dahulu. Kemas, rambutnya panjang tetapi terikat, wajahnya tidak lagi comot, suka berpakaian serba putih, dan kini sudah memakai selipar jerami. Walaupun hingga kini dia masih enggan mengasah pedang sumbingnya, atau memilih pedang yang lain.
“Aku tidak mahu mengasah pedang ini, sebenarnya kerana dahulu aku berfikir, jika pedang ini sumbing dan tumpul, ianya tidak akan mampu mencederakan orang lain.”
“Namun auraku sahaja sudah amat tajam. Sumbingnya pedang ini tidak membantu aku, melainkan sekadar tambah mengingatkan kepada diriku betapa ramainya lawan serta orang yang tidak berdosa, tumbang pada bilahnya.”
“Aku sekadar mahu mengingatkan diriku, bahawa aku dahulu seorang yang tersesat dalam kehidupannya. Tahu kebenaran, tetapi tidak mahu pergi kepadanya. Hinggalah aku dibukakan hati apabila datangnya engkau di guaku itu.”
Itu antara apa yang dia luahkan kepadaku. Izrayel kini sudah kuanggap seperti abangku sendiri. Kadangkala bagai seorang ayah, kerana dia juga sudah agak berusia. Aku menghormatinya, dan sentiasa memandang tinggi kepadanya.
Dia terus menerus menafikan dirinya sebagai Kiai, tetapi aku yakin, walaupun para Kiai yang lain tidak pernah memberitahu secara terang dan jelas, Izrayel sebenarnya sudah menjadi sebahagian dari kalangan mereka.
Tetapi menggelarnya sebagai Kiai Izrayel, sudah pasti janggal rasanya.
Aku tertawa sendiri dengan lamunanku itu.
“Hah, gelak sendiri. Apa engkau sudah mereng kerana latihan berat kita berhari-hari?” Izrayel menyiku diriku. Aku memandangnya, dan sisa tawa masih wujud pada wajahku.
“Sekadar terfikir betapa ‘Kiai Izrayel’ amat tidak sesuai untuk disebut.”
Bibir Izrayel pecah dengan tawa kecil secara spontan. Mungkin dia juga terasa itu perkara yang lucu. “Baru kau tahu.” Kami berdua tertawa sama.
“Assalamu’alaikum.” Suara penuh karisma itu kedengaran di belakang kami. Pintu masuk balai menghadap kelihatan sudah terkuak buka. Ruh Faizan sedang melangkah mendekati kami berdua. Aku dapat melihat dia diiringi oleh Puteri Maisarah.
Aku dan Izrayel menjawab serentak salam, sambil hatiku memperbanyakkan selawat dan doa agar Allah SWT menetapkan diriku untuk membuat keputusan yang besar pada malam ini.
“Kamu berdua sudah solat?” Ruh Faizan bertanya lembut, sambil melangkah ke tempat duduknya yang tidak jauh dari kami. Puteri Maisarah duduk sopan di sisi tempat duduk Ayahandanya. Tidaklah boleh dinamakan singgahsana, kerana ianya terlalu sederhana, namun itulah tempatnya Ruh Faizan sebagai pemerintah Tanah Suci duduk jika ada rakyat mahu menghadapnya secara rasmi. Tetapi tidaklah Ruh Faizan ini janggal untuk bertemu rakyat di jalanan. Kami semua mengenalinya sebagai seorang raja yang merendah diri.
“Sudah tuanku. Kami melakukan jama’ taqdim tadi di perbatasan, kemudian bergerak terus ke mari dan sampai ketika rakyat di sini menunaikan Isya’.”
Ruh Faizan terangguk-angguk mendengar jawapan Izrayel.
“Ada hajat apa kamu berdua ingin bertemu denganku pada waktu ini.” Ruh Faizan bertanya lembut dengan senyuman menghiasi bibirnya.
Izrayel menolak tubuhku ke hadapan dengan senjatanya. “Dia yang mahu bertemu Tuanku, saya hanya menemani sahaja.” Aku sempat menoleh wajah Izrayel, yang sudah tersengih. Aku fikir, Aizan telah memberitahu Izrayel akan hajatku sebelum kami bertolak tadi.
Aku memandang Ruh Faizan, kemudian aku talakan pandanganku kepada Puteri Maisarah. Puteri itu terus menundukkan mata. Sempat mata kami bertaut sebentar tadi, tanda dia telah memerhatikanku semenjak tadi. Aku perhatikan keadaan sekeliling, pegawai-pegawai istana yang ada. Sempat pandanganku menjilati jendela, yang memaparkan keadaan luar yang gelap namun berhias bintang.
Aku memandang kembali kepada Ruh Faizan. Menarik nafas yang dalam.
“Tuanku, saya berhajat untuk menikahi anakanda tuanku, Puteri Maisarah.”
Yakin.
The post Takdir 3: JanjiNya Yang Tidak Termungkir – Cheritera 2 – Cinta appeared first on Langit Ilahi.
August 7, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Menjadi Qudwah Hasanah Kepada Pasangan
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi,
Cinta memang digambarkan manis, kadang cerita-cerita berkait dengannya membuatkan kita terawang-awang, angau dan sibuk bermimpi. Puncaknya digambarkan dengan pernikahan dan perkahwinan.
Namun hakikatnya cerita tidak berhenti di situ sahaja. Selepas akad nikah, selepas tamatnya majlis perkahwinan, berlangsunglah kehidupan berumahtangga, yang hakikatnya merupakan medan sebenar untuk membuktikan cinta.
Saya sering bergurau dan berkata:
“Sebelum bernikah, memang semangat kata boleh panjat gunung everest, boleh redah lautan api. Di alam rumahtangga, baru kita tahu Gunung Everest itu tinggi, dan lautan api itu terlalu panas untuk kita redahi.”
Untuk Menjadi Yang Lebih Baik
Jika kita memandang bahawa perkahwinan kita adalah sebuah ibadah, maka rumahtangga adalah medan untuk kita berusaha menjadi yang lebih baik lagi di sisi Allah SWT.
Jika hari ini kita mahukan lebih baik dari semalam, hari esok kita mahukan lebih baik dari hari ini, maka era berumahtangga pastilah kita mahu menjadi lebih baik dari zaman bujang/dara kita.
Makanya berumahtangga bukan semata-mata untuk kita lalai dan leka setelah berjaya mendapatkan pasangan idaman kita. Bukan untuk terus merasa sangat selesa selepas berjaya menikahi seseorang dan tenggelam dalam alam fantasi serta asmara kita.
Rumahtangga hakikatnya adalah sebuah lagi proses tarbiyah, didikan kehidupan, untuk menjadikan kita lebih baik dari yang sebelumnya.
Jika sebelum ini proses kita ke arah kebaikan adalah berseorangan atau bersama teman-teman, kini bersama kita adalah seorang suami/isteri, yang kita berkongsi kehidupan kita dengannya.
Mahu tidak mahu, untuk keluarga kita menjadi lebih harmoni dan bahagia, kita perlu berusaha untuk konsisten mendidik diri, agar dapat menjadi qudwah hasanah kepada pasangan kita.
Penghormatan Tidak Datang Dengan Paksaan
Semasa awal saya bernikah, saya pernah ditegur oleh beberapa orang kerana menggunakan ganti nama ‘saya awak’ dengan isteri saya. Mereka mencadangkan saya membiasakan diri menggunakan ganti nama ‘abang sayang’ dalam rumahtangga saya. Katanya, agar ia dapat membuatkan isteri saya lebih hormat kepada saya.
Saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut, bukan kerana ada masalah dengan ganti nama ‘abang sayang’, tetapi hakikatnya hormat tidak datang dengan paksaan. Saya kekal menggunakan ganti nama ‘saya awak’ dengan isteri saya, sehingga hari ini.
Kami alhamdulillah, harmoni hingga sekarang, dan amat mesra macam geng. Kadang kami bergurau senda dengan menukar ganti nama tersebut kepada ‘gua lu’, ‘ana enta’, ‘aku kau’ dan sebagainya sebagai antara keseronokan dalam berumahtangga.
Hormat, keharmonian, kebahagiaan, tidak datang dengan kita menjadi diktator di dalam keluarga. Ianya tidak hadir dengan kita yang asyik mengharapkan pasangan kita memahami. Ianya tidak akan wujud jika kita mementingkan diri, dan sibuk mengajak pasangan mengikut ‘style’ kita.
Hakikatnya, kita yang perlu menunjukkan contoh kepada pasangan kita.
Rasulullah SAW menunjukkan qudwah kepada keluarganya
Jika kita perhatikan rumahtangga Rasulullah SAW, kita akan dapat melihat bagaimana baginda, walaupun sebagai seorang suami bertaraf Rasul, tetap baginda menunjukkan contoh terbaik kepada ahli keluarga baginda.
Perhatikan hadith-hadith berikut:
Daripada Aisyah RH, beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila masuk ke rumah, kebiasaannya akan melayan keluarganya, tetapi jika panggilan solat tiba beliau segera keluar menuju masjid untuk menunaikan solat berjemaah.” Hadith Riwayat Bukhari.
Daripada Maimunah RH, beliau berkata: “Rasulullah SAW sentiasa menunaikan solat disisiku, padahal ketika itu aku sedang berhaid. kadangkala ketika baginda sujud, pakaiannya terkenaku. Dia berkata (Maimunah), dia solat di atas tikar.” Hadith Riwayat Bukhari.
Situasi yang lebih kurang serupa, diceritakan oleh Aisyah RA: “Satu malam, Aku kehilangan Rasulullah daripada hamparan tidur. Lalu aku meraba-raba, didapati tanganku menyentuh tapak kaki Rasulullah SAW yang sedang menunaikan solat.” Hadith Riwayat Muslim.
Imam Tirmidzi ada meriwayatkan dalam kitabnya Asy-Syamail Muhammadiyah bahawa Aisyah RH berkata: “Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia biasa, Baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya.”
Rasulullah SAW secara ringkasnya dapat kita lihat bahawa baginda menjadi contoh yang terbaik di dalam ahli keluarga baginda. Baik dari segi ibadah, dari segi kasih sayang, dan juga dari sudut meringankan kerja rumah.
Dia tidak berlagak sebagai bos atau diktator di rumah. Dia tidak sibuk meminta kehendaknya dipenuhi hingga menyusahkan pasangan atau ahli keluarga yang lain. Di dalam ibadah, baginda pula tidak memaksa-maksa, hingga kita boleh dapati baginda bangun malam sedang isterinya tidur.
Ini membuatkan ahli keluarga baginda menghormati baginda sebagaimana para sahabat menghormati baginda. Rasulullah SAW di dalam rumah adalah sama sebagaimana baginda di luar rumah. Baginda tidak hipokrit dan bermuka-muka di luar, kembali di rumah dengan wajah yang sebenar. Tidak.
Baginda menunjukkan contoh yang baik kepada ahli keluarganya.
Bermula dengan diri baginda sendiri.
Begitulah Kita Bersama Pasangan
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi,
Begitulah kita bersama pasangan kita. Tunjukkan contoh yang baik dengan memulakan terlebih dahulu kebaikan-kebaikan dalam rumahtangga kita.
Kita sendiri menjaga solat, membaca Al-Quran, menyantuni ahli keluarga, banyak meringankan kerja di rumah, insyaAllah rumahtangga kita akan harmoni. Secara tidak langsung, ketika itu, jika kita ada perkara yang hendak disuarakan, suara kita akan lebih mudah didengari dan diikuti.
Pasangan kita pun insyaAllah akan rasa termotivasi untuk menambah kebaikannya, lantas akan mewujudkan pula suasana persaingan sihat antara suami dan isteri dalam beramal dan membina peribadi yang lebih baik.
Apabila kita berusaha menjadi contoh yang terbaik, di sana akan mudahlah urusan lengkap melengkapi antara suami dan isteri. Secara tidak langsung sebenarnya, kita sedang membina peribadi diri dan pasangan, untuk menjadi ibu bapa yang baik pula kepada anak-anak.
Anak-anak akan memerhatikan kita. Melihat suasana ini, insyaAllah, anak-anak kita pun akan berhajat mencontohi kita, dan membesar dengan baik.
Proses Yang Berjalan Sepanjang Hayat
Jika sebelum berkahwin, mungkin seseorang itu boleh berlakon baik kepada pasangannya. Namun selepas berkahwin, hidup 24 jam sehari dengan pasangannya, 7 hari seminggu, 12 bulan setahun, dan sepanjang tahun-tahun dalam usianya, sudah pasti tiada yang dapat bertahan untuk berlakon dalam jangka masa sepanjang itu semua.
Akhirnya yang kita perlukan adalah kejujuran. Sebuah azam dan usaha untuk benar-benar membentuk peribadi diri. Peribadi yang cantik pula tidak akan muncul dengan tiba-tiba. Ianya bukan hadir bila kita kata kita mahu ianya hadir. Berlakon baik, mungkin. Tetapi berlakon baik bukanlah sebuah kebaikan. Ianya hanya sebuah kemunafikan.
Kita bukan jadi baik untuk sekadar nak kagumkan pasangan kita. Kita berusaha menjadi baik hakikatnya adalah untuk selamat di akhirat kelak, saat kita berdiri di hadapan Allah SWT. Dan kita mahu jadi baik, untuk dapat menyelamatkan keluarga kita dari siksa api neraka dengan izin Allah SWT.
Jika kita tidak baik, bagaimana kita mampu hendak membentuk keluarga yang baik?
Semuanya bermula dari diri kita sendiri.
Proses ini perlu berjalan sampai kita mati. Ianya tiada rehat dan tiada cuti.
Muhasabah.
==========================
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Detail dan Pendaftaran: http://goo.gl/GSRY0t
Yuran -
Daftar sebelum 15hb Ogos 2014
*RM30(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih.
*RM35 jika mendaftar seorang diri.
Selepas 15hb Ogos 2014
*RM45(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih
*RM50 jika mendaftar seorang diri.
“Membangun Belia Berwawasan!”
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Menjadi Qudwah Hasanah Kepada Pasangan appeared first on Langit Ilahi.
Syare – Ragam di FB
August 6, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Memilih Pasangan Yang Ideal
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Kita semua mengimpikan pasangan yang mampu membahagiakan kita. Mampu menyejukkan hati kita, menggembirakan dan menyenangkan kita. Kita mengharapkan pasangan yang kuat ibadah, yang amat memahami kita, mampu bertolak ansur dengan kelemahan kita, yang penyayang dan amat mengasihi kita, mampu mengingatkan kita pada Allah SWT, dan macam-macam lagi ciri-ciri yang kita hajatkan.
Kita hajatkan pasangan yang ideal lagi sempurna.
Namun kita lupa bahawa, tiada manusia yang sempurna.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak Adam itu sentiasa melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” Hadith Riwayat Ahmad.
Tiada Jaminan 100%
Sebenarnya tiada jaminan yang sempurna, 100%, untuk perkara tersebut. Kerana sehebat mana pun perkenalan kita dengan seseorang, kita memang takkan mampu mengetahui 100% berkait dirinya.
Begitulah dalam memilih pasangan.
Sebenarnya tiada cara yang ‘absolute’ untuk mendapatkan pasangan yang sempurna. Kerana hakikat kemanusiaan itu sendiri penuh dengan kekurangan dan kelemahan.
Kita hanya boleh berusaha yang terbaik, sambil berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT memberikan kita jodoh yang juga terbaik untuk kita.
Couple Menyelesaikan Masalah Pemilihan Pasangan?
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Ada yang berpendapat, couple/berpasangan sebelum nikah, dapat menyelesaikan masalah pemilihan ini. Kerana katanya, dengan bercouple, kita akan dapat lebih mengenali bakal pasangan kita dengan lebih dekat.
Sebenarnya, selain jalan couple atau berpacaran sebelum bernikah banyak membuka kepada perkara yang dimurkai Allah SWT, ianya juga hakikatnya tidak mampu memberikan solusi kepada pencarian pasangan ideal.
Mengikut pengalaman sendiri dan juga sembang-sembang dengan mereka yang telah lama berkahwin, sebenarnya bila telah berkahwin pun, proses saling kenal mengenal itu akan terus berlaku dan berjalan. Dari masa ke semasa, akan terdedah sikap dan cara fikir pasangan kita, yang mungkin sebelumnya tidak kita ketahui.
Antara Usaha Yang Boleh Dilaksanakan
Justeru apakah jalan yang wujud untuk kita mendapatkan pasangan yang benar-benar baik buat kita?
Apa yang kita perlu pastikan sebelum memulakan apa-apa langkahan adalah, langkahan kita itu adalah di dalam batasan syara’. Bukan berpandukan hawa nafsu kita, dan bukan menggunakan jalan yang dilarang oleh Allah SWT.
Bila kita jatuh hati pada seseorang, antara yang kita boleh usahakan untuk mengenali dirinya serba sedikit adalah dengan cuba bertanya kepada mereka yang mengenalinya. Mungkin dia ada keluarga, mungkin dia ada kawan yang kita kenal, rajinkan diri bertanya.
Zaman sekarang adalah zaman teknologi, boleh juga kita buat lawatan ke akaun-akaun laman sosialnya, baik di Twitter, Facebook, Instragram, untuk kita perhatikan dirinya bagaimana, dari jauh. Tetapi jangan sesekali kita jadi ‘stalker’, mengikut dengan tegar sekali itu semua dengan niat untuk memuaskan hawa nafsu kita. Itu tidak dibenarkan. Namun melawat untuk sekadar tahu orangnya bagaimana, itu sebenarnya tidak menjadi masalah.
Tetapi kalau dah jadi ‘stalker’, ‘copy & paste’ gambar-gambarnya untuk disimpan di dalam telefon atau komputer kita, nyata kita telah tersasar dan jalan yang sepatutnya.
Setelah kenal serba sedikit, untuk meneruskan proses taaruf, sebaiknya kita lamar dan jadikan dia tunang kita. Ini juga membantu kita untuk tidak terlalu lama memendam perasaan, dan kalau ditolak ketika ini pun, tidaklah kita rasa terlalu payah untuk mencari yang lain. Bab melamar ini, akan kita kembangkan lagi di bab yang khusus buatnya.
Bila sudah berjaya bertunang, itu tandanya bakal pasangan pun berhajat untuk lebih mengenali kita. Maka dalam fasa pertunangan, jalankan proses taaruf. Ini juga detailnya akan kita panjangkan di dalam bab yang lain.
Namun apa yang mahu ditekankan di sini ialah, usaha taaruf secara ringkas semasa bertunang itulah antara ruang yang ada buat kita untuk mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat. Bila sudah bertunang, mudahlah ibu bapa nak saling berziarah, kita pun lebih selesa nak bertaaruf dengan bakal mertua, membina hubungan dengan keluarganya, sekaligus lebih mengenali bakal pasangan.
Sebab itu indahnya Islam, pertunangan tidak ada limit masa. Namun hendak mengelak fitnah, sebaiknya disegerakan perkahwinan.
Memang itu pun takkan 100% memberi jaminan apakah bakal pasangan kita itulah yang 100% ‘match’ dengan kita, dan bakal memberikan kita kebahagiaan yang tiada taranya di alam rumahtangga nanti.
Tawakkal Dan Fokus Kepada Pembinaan Diri
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT
Di sinilah letaknya kepentingan tawakkal kepada Allah dan persiapan kematangan diri untuk berumahtangga.
Kadang dalam urusan ini, kita terlupa yang Allah SWT adalah pemilik ketenangan, pemilik kebahagiaan, pemilik kesenangan dan sebagainya. Bukan pasangan kita. Maka dalam usaha kita untuk mengenali seseorang, untuk mendapatkan pasangan yang baik, jangan lupa juga untuk banyakkan berdoa dan berharap kepada Allah SWT.
Dialah yang bakal memberikan kita yang terbaik. Kerana Dialah yang Maha Memberi.
Allah SWT berfirman:
“Dan berkatalah Rabb kalian: Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan.” Surah Ghafir ayat 60.
Pada satu sisi yang lain, kita juga sebenarnnya hendaklah lebih membesarkan fokus kepada pembinaan diri. Terutama diri kita.
Ketahuilah nanti, kerana kita maklum bahawa manusia itu tidak sempurna, semasa mengharungi alam rumahtangga, kita akan perlu sentiasa menghadapi kelemahan-kelemahan pasangan kita, perbezaan pendapat dengannya, dan melatih pula lapang dada serta tolak ansur untuk berhadapan dengannya. Dan kemungkinan juga kitalah nanti yang bermasalah, justeru kena juga persiapkan diri untuk boleh menerima teguran daripada pasangan dan sebagainya.
Bak kata orang, dari sibuk mencari yang terbaik, kita sebenarnya kena sibuk menjadi yang terbaik.
Kerana akhirnya, kalau pasangan kita terbaik sekalipun, tetapi kita tidak terbaik, apakah rumahtangga kita akan tetap bahagia? Pastinya tidak.
Untuk mencapai kehamornian di dalam berumahtangga, kedua-duanya perlu memainkan peranan.
Sebab itu bagus masa bertunang, hadiahnya adalah buku, atau tiket ke seminar baitul muslim, atau apa-apa sahaja yang boleh membina kematangan, pendalaman ilmu untuk membentuk kesatuan minda dan hati antara kita dan pasangan. Jika kedua-duanya memahami dan mampu melihat serius perkara ini, sudah pastilah pelbagai perkara di dalam rumahtangga nanti menjadi mudah insyaAllah.
Namun sebagaimana yang saya nyatakan tadi, fokus utamanya adalah pembinaan diri kita sendiri. Kalau pasangan kita ada kelemahannya pun, jika kita telah usaha menjadikan diri kita yang terbaik, insyaAllah kita boleh menampung kelemahannya.
Memeluk Sempurna?
Akhirnya rakan-rakan pembaca, memang kalau mengharapkan sempurna, kita takkan memperolehinya. Tetapi insyaAllah, orang yang berusaha dengan jalan yang syara’, sentiasa pula mengharapkan kasih dan sayang Allah SWT, maka percayalah bahawa Allah SWT akan mempersiapkan untukNya rahmat dan pertolongan, kemudahan dan kelapangan.
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha.
Kesempurnaan hakikatnya, hanya milik Allah SWT semata-mata.
Kita mengharapkan, dengan kesempurnaanNya itulah, Dia membantu kita sepanjang kehidupan berumahtangga nanti insyaAllah.
==========================
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Detail dan Pendaftaran: http://goo.gl/GSRY0t
Yuran -
Daftar sebelum 15hb Ogos 2014
*RM30(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih.
*RM35 jika mendaftar seorang diri.
Selepas 15hb Ogos 2014
*RM45(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih
*RM50 jika mendaftar seorang diri.
“Membangun Belia Berwawasan!”
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Memilih Pasangan Yang Ideal appeared first on Langit Ilahi.
August 4, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Rumahtangga
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Rumahtangga adalah alam selepas pernikahan. Jika pernikahan dan majlis kahwin panjangnya sekitar sehari dua sahaja, rumahtangga pula tiada limit masanya. Melainkan jika di tengah perjalanan, kita memilih untuk bercerai, na’udzubillah. Kita mengharapkan rumahtangga yang kekal hingga ke syurga sana, dan tidaklah kita mahu pula keluarga kita berkumpul bersama-sama di nerakaNya.
Ramai sebenarnya yang tidak terpandang akan perihal rumahtangga.
Ramai sibuk fokus kepada asmara cinta sebelum bernikah, dan juga kemegahan serta kegemilangan majlis kahwin. Mungkin kerana ramai menganggap bahawa kejayaan cinta adalah apabila seseorang itu berjaya mengahwini siapa yang dicintainya.
Sebenarnya, bukan itu ukuran kejayaan cinta yang sebenar.
Takrif Kejayaan Hakiki
Membicarakan perihal kejayaan, hendaklah kita kembali melihat apa yang Allah SWT sebut berkait kejayaan.
Allah SWT berfirman:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.” Surah Ali-Imran ayat 185.
Apakah kejayaan hakiki?
Diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga.
Maka bagaimanakah rumahtangga yang berjaya?
Rumahtangga yang berjaya adalah apabila kita berjaya membawa diri dan ahli keluarga kita untuk selamat dari neraka, dan mendapat tempat pula di syurga Allah SWT.
Bagaimanakah kita boleh mencapai perkara tersebut?
Pastilah dengan mentaati dan memenuhi perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-laranganNya, sepanjang perjalanan kehidupan kita, termasuklah dalam kehidupan berumahtangga.
Ini Bukan Cerita Fantasi
Jika saya perhatikan secara peribadi, media massa banyak memaparkan dan menghangatkan cinta yang tidak syar’ie sebelum perkahwinan. Hingga kini pun, apabila ‘cinta islamik’ mula mendapat tempat, tetap cinta sebelum bernikah yang dilebih-lebihkan.
Kita akan membincangkan perihal cinta sebelum bernikah dengan lebih detail pada bab yang lain. Namun apabila banyak fokus terlalu diberikan kepada cinta asmara sebelum pernikahan, ia membuatkan ramai melihat bahawa kesempurnaan cinta itu hanya dapat dilihat pada berjaya atau tidak ‘hero’ mengahwini ‘heroin’nya.
Dan ramai yang menghentikan gambaran ‘kejayaan’ cintanya pada titik itu sahaja.
Hakikatnya, kehidupan kita ini bukan fantasi yang terlakar pada novel, drama atau filem, yang mana kebanyakan hero dan heroinnya berjaya bersatu, dan kemudian cerita pun berakhir.
Selepas kita melafazkan akad nikah, selepas berakhirnya majlis kahwin yang dihadiri ramai, yang di dalamnya kita memakai pakaian indah, yang ketika itu wujud pelbagai juadah sedap, yang semasanya orang tersenyum dan gembira dengan kita, yang saat itu orang mahu bergambar dan meraikan kita, selepas itu semua, kita akan hidup dengan pasangan kita, meneruskan kehidupan berumahtangga.
Kehidupan berumahtangga tidak akan sentiasanya indah. Lumrah hidup ini Allah SWT ciptakannya bersama ujian.
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” Surah Al-Milk ayat 2.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Ujian juga boleh muncul dalam bentuk perkara yang kita senangi. Harta benda, isteri dan anak-anak.
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” Surah Al-Anfaal ayat 28
Begitulah nantinya rumahtangga. Akan diuji. Baik secara langsung atau secara tidak langsung, baik ujian jangka pendek juga ujian jangka panjang. Kita sendiri akan perlu menguruskan segala mehnah dan tribulasi sepanjang berumahtangga.
Kita juga akan mempunyai tanggungjawab, melayani suami/isteri, menyara kehidupan, membesarkan anak, menjaga hubungan dengan keluarga sendiri dan keluarga mertua, dan itu semua perlu kita usahakan sambil kita bekerja, bersahabat, bermasyarakat.
Dengan itu semua, kita pula mempunyai tanggungjawab dengan Allah SWT sebagai hambaNya, dan punya tugas untuk membawa diri, keluarga dan orang sekeliling ke syurgaNya.
Pastilah ini semua bukan mudah untuk disempurnakan, dan tidak akan dapat kita lunaskan dengan peribadi yang lemah, yang tidak punya tanggungjawab, tidak ada disiplin dan sebagainya.
Ya. Pada titik ini, kita patut sudah mula dapat membayangkan, mengapa pentingnya kita bersedia dan menambah kefahaman.
Malang bagi orang yang saat bercinta, dia hanya melihat asmara sebelum bernikah dan majlis kahwin nan indah sahaja. Malanglah juga orang yang menyangkakan, kehidupannya akan sempurna dan indah-indah belaka sahaja.
Kita akan jadi tidak bersedia untuk menghadapi, apa yang pasti bakal kita hadapi nantinya.
Kewangan
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Oleh kerana dunia yang kita sedang jalani hari ini adalah dunia serba materialistik, persoalan wang memang mahu tidak mahu akan timbul sepanjang kita berumahtangga. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang berkahwin muda, hal kewangan memang akan menjadi isu yang patut kita ambil berat.
Wang bukan untuk dihabiskan semasa majlis kahwin, dan jangan sesekali jadikan majlis kahwin sebagai salah satu punca anda hidup berhutang.
Selepas berumahtangga, ada pelbagai perkara memerlukan wang.
Bil elektrik, bil air, bil internet, bil telefon, urusan kereta(servis, minyak, minyak hitam, tayar), wang dapur, perabot dan keperluan rumah, dan nanti bila nak dapat anak, ada bayaran bersalin, barang keperluan bayi dan macam-macam lagi.
Dan ini semua bukan sekali bayar, akan habis. Ianya akan berterusan meminta kita untuk mengeluarkan wang kita.
Dalam hal ini, bertawakkal dan berdoa semata-mata tidak mencukupi. Islam menganjurkan kita untuk berusaha, sambil diiringi dengan tawakkal dan berdoa. Bukan berdoa dan berharap sahaja.
“Telah datang kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal? Rasulullah S.A.W. menjawab: Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal.” Hadith Riwayat Tirmidzi.
Kita akan bincangkan hal kewangan ini dengan lebih panjang lebar pada bab yang lain.
Namun apa yang kita patut tahu pada awal-awal ini ialah, pentingnya kita mempunyai perancangan dan kesungguhan usaha dalam hal kewangan. Ramai yang menyatakan bahawa perkahwinan akan membuka pintu rezeki, anak sebagai penambah rezeki dan sebagainya. Saya akui juga, tetapi tanpa perancangan yang baik, bagaimana rezeki mahu terbuka dan sampai kepada kita?
Apakah Allah SWT suka untuk membantu orang yang malas dan tidak berusaha, langsung tidak ambil kisah, membazir dan sebagainya?
Pastilah tidak bukan.
Kejayaan datang dengan usaha, diiringi tawakkal dan pengharapan.
Begitulah juga kejayaan dalam menjemput rezeki.
Suami & Isteri
Teras kepada sebuah rumahtangga ialah suami & isteri. Kemudian jika Allah SWT mengizinkan, akan dikurniakanlah kepada kita anak-anak.
Di sini kita perlu ingat bahawa suami bukanlah raja, isteri bukanlah hamba. Hakikatnya masing-masing ada peranannya, dan perlu saling lengkap melengkapi.
Manusia adalah makhluk emosi, begitulah juga suami & isteri. Hendaklah sama-sama bijak mengawal emosi, tidak mendahulukan ego, dan fokus kepada faham memahami, agar tugas untuk lengkap melengkapi itu dapat disempurnakan dengan baik.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Tawbah ayat 71.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya.” Hadith Riwayat Tirmidzi.
Kita semua maklum bahawa lelaki diberikan tugas untuk memimpin keluarga, namun itu adalah tanggungjawab, bukannya sesuatu yang boleh disalah gunakan.
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” Surah An-Nisa’ ayat 34.
Ianya bukan untuk kita menjadi diktator di dalam rumahtangga. Kerana itu pada wanita, ada hak untuk meminta cerai, sekiranya suami menganiayainya dalam berumahtangga. Kerana itu jugalah hadith Rasulullah SAW tadi, memfokuskan kepada kebaikan suami terhadap isteri, kerana kepimpinan berumahtangga ada pada tangan suami.
Keluarga yang harmoni adalah apabila suami dan isteri boleh bekerjasama untuk membina keluarga yang bahagia. Ianya tidak akan dapat terhasil jika satu pihak sahaja yang berusaha.
Jika kita berkahwin pada awal usia 20-an, dan mati pada usia 70-an, ¾ kehidupan kita adalah dalam alam rumahtangga. Panjang dan bukannya pendek. Untuk kekal harmoni dan bahagia sepanjang masa itu, pastilah memerlukan usaha yang juga gigih.
Ia takkan terbina secara tiba-tiba seperti magik.
Kita perlukan ilmu, kefahaman dan usaha.
InsyaAllah pada bab-bab yang seterusnya, kita akan sedikit demi sedikit mengupas perkara ini dengan lebih luas lagi.
Anak-anak
Rakan-rakan pembaca yang saya muliakan kerana Allah SWT,
Dalam rumahtangga, anak-anak adalah rezeki daripada Allah SWT. Ada rumahtangga yang tidak dikurniakan rezeki ini. Maka bersyukurlah apabila kita dikurniakan anak-anak sebagai penyambung zuriat, dan bagi yang tidak, boleh usaha apa yang patut. Jika tidak dapat juga, ketahuilah bahawa Allah SWT itu adalah yang paling tahu apa yang baik buat hamba-hambaNya.
Anak-anak juga, selain merupakan anugerah dan kegembiraan kita, ada masanya ia menjadi ujian dan dugaan kepada kita. Tanggungjawab kita adalah membesarkan mereka dengan baik. Bukan semata-mata kerana mereka adalah anak kita dan zuriat kita. Tetapi kerana mereka ini akan membesar menjadi sebahagian dari masyarakat. Pastilah kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada benih-benih yang buruk di dalam komuniti kita, bukan?
Di sini hendaklah kita faham bahawa kita bakal menjadi guru yang pertama, contoh ikutan buat anak-anak. Kita akan bincangkan dengan lebih detail perkara ini di bab yang kemudian.
Tetapi apa yang penting setakat ini untuk kita faham ialah, cinta kita kepada pasangan, kepada bakal suami dan bakal isteri kita, hakikatnya bukanlah cerita kegembiraan asmara semata-mata.
Hakikatnya orang yang berhajat untuk mencintai seseorang, dia sepatutnya sudah merancang persediaan buat dirinya sendiri.
Kerana tanggungjawabnya nanti bukan kecil dan sedikit.
Inilah rumahtangga.
Bukan fantasi di dalam cerita-cerita.
Kita akan mengalaminya, dan kita akan perlu menguruskannya sebaik mungkin.
Ianya juga bukan cerita diri kita semata-mata.
==========================
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Detail dan Pendaftaran: http://goo.gl/GSRY0t
Yuran -
Daftar sebelum 15hb Ogos 2014
*RM30(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih.
*RM35 jika mendaftar seorang diri.
Selepas 15hb Ogos 2014
*RM45(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih
*RM50 jika mendaftar seorang diri.
“Membangun Belia Berwawasan!”
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Rumahtangga appeared first on Langit Ilahi.
Perbudakan Di Celah Kemerdekaan
Kita masih ingat, suatu ketika apabila Malaya pernah dijajah oleh Portugis, British dan juga Jepun, tidak kurang ada di kalangan orang-orang Malaya yang pergi menyerahkan diri mereka menjadi para pekerja penjajah.
Di kalangan mereka ada yang mendapat kedudukan istimewa di hati penjajah, namun dibenci masyarakat. Barangkali juga ada yang sehingga menempati posisi kepimpinan, kedudukan-kedudukan yang tinggi di zamannya, dilihat sebagai hero, namun hatinya tidak lebih dapat digambarkan melainkan hanyalah hati seorang budak atau hamba.
Kalau penjajahan sebuah ujian sarat kesusahan dan penderitaan, namun kemerdekaan ternyata ujian lebih berat. Terzahir pada mata sebuah kesenangan, namun tersadur di dalamnya kepayahan sehingga seringkali yang terzahir membuatkan kita lupa, lalai, mengambil mudah.
Kalau penjajahan mungkin menyaksikan beberapa kerat manusia menjadi budak kepada para penjajah sehingga tak segan menjadi tali barut untuk terlibat merosakkan masa depan bangsa dan negaranya, maka kemerdekaan tak kurang menyaksikan lahir lebih ramai budak barangkali.
“Kami boleh bersabar ketika diuji dengan kesusahan,” kata Saidina Umar, “tetapi tidak mampu sabar apabila diuji dengan kesenangan.”
Determinasi Kemerdekaan
Setelah merdeka (mengikut tarikh 31 Ogos 1957) hampir 57 tahun, kita barangkali harus kembali bertanya, merdeka bagaimana yang kita maksudkan?
Sudah pasti, definisi merdeka khusus buat pemuda belia kelahiran abad baru ini sudah tidak harus semisal definisi merdeka generasi para pejuang kita yang lampau.
Kita berterima kasih kepada generasi para pejuang, ibu ayah, datuk nenek kita, atas pengorbanan dan perjuangan mereka, namun kita harus kembali bertanya pada diri kita, perjuangan bagaimana pula yang kita harus mainkan di dalam generasi hari ini?
Generasi lepas telah pun berlalu, mereka dengan perjuangan mereka. Yang menjadi pejuang, dikenali nama mereka sehingga hari ini meski sebahagiannya disembunyikan dan tak tercatat secara jujur di dalam catatan sejarah. Yang menjadi budak pula, tidak begitu diendahkan namanya, dikenali mungkin tetapi dengan warisan catatan yang kekal buruk.
Dengan berubah generasi demi generasi, ditambah lagi perubahan zaman dan perkembangan teknologi semasa, kita harus kembali bertanya kepada diri kita sendiri, kita ini di kalangan mereka yang berjuang juga atau yang menjadi budak di zamannya?
Kemerdekaan daripada penjajah, barangkali telah lama kita capai, namun zaman berlalu tak pelak dari melihat kelahiran ramai budak.
Di balik karier dan pencapaian diri yang terlihat hebat di mata orang, kita menjadi budak kepada sistem sehingga telah letih dan lelah jiwa kita menuruti perjalanan ke sana sedangkan jiwa kita kosong dari makna hidup dan ketenangan yang sebenarnya.
Di balik kemajuan teknologi dan kebebasan yang kita nikmati hari ini, segelintir memilih menjadi budak kepada kerosakan dunia dengan mengikuti budaya-budaya yang dianggap maju tetapi ternyata membuatkan kita semakin mundur dan terpenjara di pajak kehinaan. Ternyata kita salah meniru, yang kita tiru itu bukan budaya baik dunia-dunia besar yang maju ke depan, tetapi budaya rosak yang terkesan akibat kekontangan aspek rohani dan hidup bertuhan.
Di balik hawa kemerdekaan yang telah kita hirup ini, ada yang memilih menjadi budak kepada ketidakjujuran dan ketamakan kuasa, menjadi budak kepada korupsi dan pecah amanah. Kerana telah hilang barangkali rasa bertuhan kepada Allah, kita menyangkutkan sendiri belenggu kerosakan, belenggu ketamakan, belenggu korupsi di tengkuk-tengkuk kita sebagai gantinya, dengan bangga pula kita berjalan tanpa merasa sesal dan bersalah.
Memilih Menjadi Budak
Saya masih ingat, Ramadhan lepas di masjid universiti, saya duduk seketika bersebelahan seorang remaja Arab yang sedang membaca Al-Quran, bersandar kepada sebuah rak Al-Quran. Ketika itu, dia memakai baju pasukan bola sepak Perancis yang memang mempunyai logo dan tulisan Perancis.
Ada seorang pak cik, lebih 70 barangkali umurnya, datang untuk mengambil mushaf Al-Quran, terlihat padanya logo Perancis itu, lalu terus menegur budak itu.
“Kenapa kau pakai baju Perancis ini? Kau tak tahu ke dia pernah menjajah kita? Ini berkaitan kemuliaan kita. Nanti kau balik, kau tanggalkanlah logo ini.”
Saya hanya tersenyum.
Barangkali, ia adalah suatu yang tidak ada apa-apa sangat bagi kita, namun untuk pak cik yang berumur setua itu, pengalaman mungkin mengajar dia memilih untuk tidak menjadi budak lagi meskipun hanya pada sebuah logo dan tulisan !
Sayyid Qutb pernah mencatatkan revolusi jiwanya dalam bukunya, Dirasat Islamiah, atas sikap sesetengah Arab (Mesir terutamanya) yang menjadi budak kepada penjajah Perancis sehingga mereka tidak lagi melihat penjajahan itu sebagai suatu yang salah, bahkan diangkat-angkat pula Perancis sebagai ibu kemerdekaan dan kebebasan buat mereka.
Ia tidak banyak berbeza yang kita lihat pada hari ini, ketikamana Amerika terus-terusan menyokong dan memberikan bantuan ketenteraan kepada Israel untuk membantai rakyat Gaza, para pemimpin regim Arab seperti Mesir dan Saudi ternyata tidak memberikan sokongan langsung terhadap rakyat Gaza.
Walaupun penjajah tidak lagi menjadi penguasa di bumi Arab, namun hati dan minda mereka kekal menjadi kawalan penjajah. Mesir tidak membuka pintu Rafahnya yang bersempadan dengan Gaza, Saudi pula baru bersuara seakan-akan baru tersedar dari tidur, itupun suaranya sangat pesimis kepada HAMAS yang berjuang untuk membebaskan Gaza. Teramat pelik sedangkan mereka adalah dari jalur bangsa Arab juga, namun lebih rela bersekongkol dengan Amerika dan Israel untuk menghancurkan bangsa sendiri.
Mereka lebih rela memilih menjadi budak Amerika, memuaskan hati Amerika, membantu Israel berbanding membantu orang-orang di Gaza.
“Kadang-kadang ada orang bertanya kepada anda,” kata Syed Qutb dalam bukunya itu, “iaitu orang yang lemah dan tersembunyi di tengah kita : Apa yang dapat kita lakukan padahal kita orang yang lemah?
Apakah yang akan kita lakukan?”
Jawabnya, “Kalau kita tidak mampu untuk menghancurkan tangan yang menempeleng kita, maka janganlah kita menciumnya. Kita sekarang mencium tangan yang menempeleng kita !”
Penjara Perbudakan Di Celah Kemerdekaan
Kita menjadi budak kepada yang lain kerana kita menanggalkan pakaian perhambaan kita kepada Allah.
“Ketahuilah,” kata Syeikh Abd Qasim Abd Karim Hawazin Al-Qusyairi dalam Risalah Qusyairiahnya, “hakikat kebebasan itu terletak pada kesempurnaan ubudiah (perhambaan). Sekiranya ubudiah seseorang itu benar (jujur) kepada Allah Taala, maka terselamatlah kebebasannya dari menjadi hamba kepada yang lain.”
Masalah kita adalah apabila kita mencium ‘tangan-tangan’ perkembangan budaya dan trend semasa yang telah merosakkan kita, bahkan kita mengagung-agungkannya lagi. Maka akibatnya terpasunglah kaki-kaki kita padanya sehingga kita bukan sekadar mengagungkannya lagi, bahkan telah mengimani dan hidup dengannya.
Kita mencium kesibukan-kesibukan harian kita yang telah menempeleng jiwa kita membuatkan ia kering dari perasaan kemanusiaan, hati kita kering dari mengenal makna baik dan buruk menurut neraca yang dikehendaki Allah.
Kita mencium aroma maksiat-maksiat dan dosa yang memusnahkan masa depan masyarakat kita dengan menganjurkan dan meraikannya, sedangkan kita tahu ia telah bertahun-tahun merosakkan generasi muda mudi, belia kita di malam merdeka, di malam-malam pesta campur lelaki perempuan dihalalkan.
Benarlah sebagaimana kata Syed Qutb, “Budak adalah orang yang merasakan adanya belenggu, bukan di tengkuk, tetapi di dalam jiwa. Mereka yang bukan kulit-kulit mereka menjadi merah kerana cambuk tuannya, tetapi jiwa mereka yang menjadi merah kerana cambuk kehinaan.”
Di celah-celah kemerdekaan, semakin ramai ‘budak’ dilahirkan. Kita menginsafi betapa susahnya mendapatkan kemerdekaan, namun kita saban hari merantai semula kaki kita sendiri menjadi budak, mempertuhankan material, menjadi hamba kepada selain Allah.
Penutup : Belia Berwawasan Belia Merdeka
Kita tidak akan dapat membentuk belia yang berwawasan sekiranya kita menjadi budak yang terpenjara cita-citanya di bawah keinginan hawa nafsu yang terlalu banyak, menjadi budak kepada arus yang sedia ada, memperTuhan selain Allah.
Menjadi belia berwawasan adalah dengan kembali kepada Allah serta membaiki nilai dalam hidup.
Sebagaimana Rib’ie bin Amir, seorang sahabat biasa di zaman Nabi s.a.w., tak begitu dikenali sangat persis sang pedang Allah Khalid Al-Walid atau Saad bin Abi Waqas sang pemanah tepat, namun menjadi begitu masyhur kata-katanya yang penuh ketinggian nilai dan bebas dari penjara perbudakan :
“Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah. Dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Semisal itu, tauhid telah mengubah para sahabat baginda s.a.w. Daripada seorang hamba biasa cuma, menjadi barisan pejuang di hadapan bersama baginda. Daripada seorang sahabat-sahabat biasa cuma, namun memiliki wawasan dunia dan akhirat yang tak kurang hebatnya.
Untuk itu, sebagai penutup, saya sarankan kepada rakan-rakan untuk hadir ke program Seminar Belia Merdeka anjuran LangitIlahi ini. Boleh dapatkan maklumat dan buat pendaftaran melalui link ini (http://goo.gl/GSRY0t)
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Semoga melalui program ini, kita mendapatkan cetusan makna merdeka sebenar serta membebaskan diri dari menjadi budak dan meletakkan semula ukuran kemuliaan hanya melalui ketundukan kepada Allah s.w.t.
The post Perbudakan Di Celah Kemerdekaan appeared first on Langit Ilahi.
August 3, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Pernikahan
Rakan-rakan pembaca yang saya doakan agar dirahmati Allah SWT,
Ringkas telah kita membicarakan cinta, saya berhajat membawa rakan-rakan berbicara seputar pernikahan pula.
Pernikahan itu ibarat gerbang, rumahtangga adalah isinya. Sebenarnya pernikahan hanya mukaddimah kepada alam rumahtangga.
Tetapi ramai yang membesar-besarkan pernikahan dengan kebesaran yang tidak sepatutnya. Ini bukan sahaja membawa masalah dari segi rohani dan jiwa kita. Tetapi juga membawa kepada tanggungan yang berat, perlu ditampung oleh generasi kini.
Kerana ramai mahu ‘menang’ sehari, dan tidak memikirkan hari-hari selepas pernikahan nanti.
Rukun Pernikahan
Sebelum pergi lebih jauh, moleklah kiranya saya ketengahkan terlebih dahulu rukun pernikahan.
Ianya mudah dan ringkas sahaja sebenarnya.
Pernikahan memerlukan perkara-perkara berikut:
Pengantin lelaki (Suami)
Pengantin perempuan (Isteri)
Wali
Dua orang saksi lelaki
Ijab dan kabul (akad nikah)
Setiap satu daripada rukun ini pula, ada syarat-syarat sahnya. Contoh syarat sah pengantin lelaki, syarat sah pengantin perempuan, dan seterusnya. Tetapi saya tidak akan paparkan di sini kerana akan melewahkan artikel. Saya sarankan untuk lebih lanjut, bolehlah rakan-rakan pembaca membuka buku fekah berkait hal syarat sah nikah, atau pun boleh google untuk mendapatkan maklumatnya.
Apa yang saya mahu paparkan di sini ialah, pernikahan asasnya adalah apa yang telah disenaraikan itu.
Kenduri kendara bukanlah perkara wajib di dalam pernikahan. Kerana itu ianya tidak ada dalam senarai di atas. Namun begitu, kenduri adalah digalakkan di sisi syara’ sebagai tanda kesyukuran dan juga untuk mengwar-warkan pernikahan.
“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi SAW menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab bin Jahsy), beliau mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” Hadith Riwayat Bukhari.
Rasulullah SAW juga pernah berpesan kepada ‘Abdurrahman bin Auf RA: “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” Hadith Riwayat Bukhari.
Anas bin Malik RA juga pernah meriwayatkan: “Ketika Rasulullah SAW menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” Hadith Riwayat Bukhari.
Kenduri, selain fungsinya adalah sebagai petanda kesyukuran, ianya juga adalah instrumen untuk mengwar-warkan bahawa Si Fulan telah berkahwin dengan Si Fulanah, agar apabila mereka keluar bersama-sama, tidaklah terjadinya fitnah. Sebab itu disunatkan agar perkahwinan itu dihebahkan.
Oleh kerana kenduri bukan kewajipan, tidak menjadi masalah bagi mereka yang belum berkemampuan, untuk sekadar bernikah sahaja, dan menunda kenduri pada waktu-waktu lain. Atau cukuplah buat jamuan kecil-kecilan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat. Namun begitu, walaupun tanpa majlis kahwin atau majlis kahwin yang sangat kecil-kecilan, war-warkanlah juga makluman bahawa diri itu telah berkahwin dengan sekian fulanah/sekian fulan, untuk memudahkan urusan kehidupan akan datang.
Majlis Kahwin Itu Hanya Sehari
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi,
Lumrahnya majlis kahwin hanya sehari, atau paling kuat pun dua hari(rumah lelaki & rumah perempuan) itupun pada dua hari yang biasanya berselang agak lama. Kalau saya, masa saya kahwin dahulu, berselang seminggu.
Namun masyarakat kita hari ini telah memberat-beratkan sehari-dua majlis perkahwinan ini, sehingga seakan-akan sehari-dua inilah yang menjadi matlamat kepada sebuah percintaan.
Majlis kahwin yang asalnya digalakkan sebagai petanda kesyukuran, sebagai instrumen mengwar-warkan perkahwinan, telah menjadi medan persaingan.
Majlis tak nak kalah dengan orang lain, majlis kena ‘trend’ terkini, mesti nak jemput ramai orang, pakaian dan perhiasan pengantin yang mahal dan belum lagi dikira dengan solekan-solekan, hiburan serta adat istiadat yang berlanggar dengan syariat. Fotografer pun nak yang paling mahal.
Jangan kata majlis kahwin, majlis pertunangan mengikut ‘trend’ hari ini pun sudah mahukan tukang solek, pelamin, dan kenduri yang tak kurang besarnya. Itu belum dikira dengan ‘demand’ wang hantaran yang kadang entah apa-apa. Nilai ikut sijil katanya, lagi tinggi pendidikan, lagi tinggi wang hantarannya.
Tanpa disedari(sebenarnya semua sedar), semua itu sebenarnya memerlukan wang. Secara langsung, ianya membebankan bakal pengantin.
Saya ada seorang kenalan. Dia berkahwin selepas bekerja sekitar tiga tahun. Oleh kerana ibunya berhajat mahu lebih ramai orang datang ke majlis kahwinnya yang sehari cuma itu, dia terpaksa berhutang dengan bank sekitar RM30,000. Gajinya taklah sebanyak mana, hendak memulakan rumahtangga, perlu berhutang pula. Semata-mata majlis kahwin?
Bukankah bagus jika majlis kahwinnya sederhana sahaja, ajak mana yang mampu(tidak membebankannya untuk membiayai majlis kahwin), agar dia tidak perlu berhutang, dan gajinya dapat dinikmati dengan baik untuk perkara yang mendatang, untuk pengembangan keluarganya?
Kenapa digadaikan untuk majlis yang durasinya sehari cuma?
Ini tidak patut sebenarnya.
Saya akan kembali membahaskan hal ini pada bab akan datang. Namun sekadar untuk di sini, saya simpulkan betapa perlunya kita keluar dari mengikuti ‘trend’. Kita tidak mahu menyukarkan perkahwinan. Menyukarkan perkahwinan bermakna kita memudahkan maksiat, memudahkan penzinaan.
Taat Semasa Nikah, Derhaka Semasa Majlis Perkahwinan?
Pernikahan dan majlis perkahwinan adalah gerbang kepada alam rumahtangga. Pada permulaan alam rumahtangga kita, sepatutnya kita usahakan agar ianya dapat menjemput rahmat dan barokah daripada Allah SWT.
Sebab itu jika kita perhatikan, semasa bernikah, semasa majlis kahwin, biasanya akan ada doa. Doa hakikatnya adalah instrumen pergantungan kita dengan Allah SWT. Tanda kita berharap kepada Allah SWT. Apakah pantas bagi seseorang itu untuk meminta kepada Allah SWT sesuatu, kemudian semasa memintanya, dia menderhaka kepada Allah SWT?
Kita biasa melihat majlis-majlis pernikahan, yang biasanya pengantin lelaki dan pengantin perempuan kemas berbusana yang menutup aurat, mematuhi syariat. Ada pula yang berhajatkan lebih keberkatan, buat di masjid.
Namun apabila sampai majlis perkahwinan, ianya penuh dengan perkara yang tidak syara’. Pengantin perempuan mula berpakaian mendedahkan aurat serta ketat, solekan yang tebal dan perhiasan yang berlebihan. Manakala majlis pula dihiasi dengan hiburan-hiburan yang tidak syar’ie dan melalaikan. Belum dicampur dengan adat istiadat yang melanggar syariat Islam. Dan kadang apa yang lebih menyedihkan, dalam keadaan itu semua, tiba-tiba ada majlis berdoa, ada majlis selawat, kononnya untuk menyerikan lagi majlis dengan harapan Allah SWT merahmatinya.
Ini sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.
Jika mahu pertolongan Allah SWT, berharapkan Dia membuka rezeki kepada rumahtangga kita, mengharapkan Allah SWT memberikan rumahtangga kita kebahagiaan, maka taatilah Dia. Usaha patuhi syariat. Jangan kata semasa majlis perkahwinan, hatta semasa sebelum bernikah lagi.
Ada pula yang berduit lebih, sebelum nikah lagi dah upah fotografer yang mahal harga bayarannya, untuk buat album ‘pre-wedding’. Tangkap gambar peluk pegang sana sini, sedangkan belum bernikah.
Jangan kita pandang enteng, dan menganggap pematuhan syariat itu hanya sebahagian dari adat istiadat juga. Kita mematuhi syariat semasa bernikah, kerana itu kebiasan kita. Sebab itu kita tak rasa bersalah buat majlis yang tidak syara’, kerana begitulah juga kebiasaan kita. Ini tidak patut.
Jemputlah rahmat dan barokah daripada Allah SWT, dengan mentaatiNya. Di awal perkahwinan ini, bukankah baik ianya dimulakan dengan permulaan yang cantik di sisi Allah SWT?
Bukankah baik jika perjalanan rumahtangga kita, bermula dengan keredhaan Allah SWT?
Berderhana Semasa Pernikahan, Pandang Jauh Untuk Rumahtangga
Majlis nikah, majlis kahwin, sekejap sahaja. Tetapi rumahtangga, kita semua mengharapkannya kekal hingga ke syurga.
Untuk kekal itu, perlukan kefahaman dan persediaan. Saya akan sentuh perihal rumahtangga pada bab seterusnya.
Bersederhanalah dengan majlis pernikahan dan majlis kahwin kita. Bukanlah tak perlu buat langsung. Ianya adalah sunnah yang digalakkan. Jika ada kemampuan, walaupun sedikit, usahakan.
Nilai ‘sederhana’ itu bukanlah dilihat dari majlis itu datangnya sikit orang, pilihan makanannya mestilah sedikit sahaja, pengantinya langsung tidak berbaju indah. Tidak dan tidak. Ia bukan dinilai dengan zahirnya.
Mahu jemput ramai orang, mahu sediakan juadah yang pelbagai, mahu berpakaian indah, tiada masalah jika mampu. Saya ulang, jika mampu. Jika ianya tidak jatuh dalam pembaziran. Jika kita memang ada duit, dan apabila kita buat majlis kahwin itu, tidaklah sampai perlu berhutang, tidaklah sampai perlu membebankan kehidupan berumahtangga.
Setiap orang ada kemampuan berbeza.
Definisi sederhana pada saya adalah apabila kita buat apa yang termampu, tetapi yang kita buat itu tidaklah pula melanggar syariat, dan tidaklah juga membebankan diri kita.
Yang menjadi masalah, adalah apabila kita semua rasa kita patut persembahkan kemegahan, kemewahan, dan berhabis-habisan pada majlis kahwin, sampai sanggup berhutang, sanggup tanggung beban semasa berumahtangga.
Dan katalah kita mampu sekalipun, kalau ianya berakhir dengan pembaziran, dilakukan kerana rasa nak menunjuk kekayaan, rasa nak tunjuk kemewahan dan kemegahan, maka ianya jadi tidak patut juga.
Bagi yang tidak punya banyak wang, utamakanlah wang untuk rumahtangga.
Bagi yang banyak wang, kahwin ini sehari cuma, tetap tidak patut sebenarnya kita berlebih-lebihan hingga ke tahap membazir untuknya. Wang yang banyak(sebab kaya sangat) boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat seperti sedekah, infaq, membantu perjuangan Islam dan sebagainya.
Janganlah kita menggadaikan rumahtangga kita dengan majlis perkahwinan.
Ianya hanya gerbang sahaja.
Ibarat menang membeli pintu termahal dan terindah, tetapi rumahnya rapuh dan tidak senang diduduk, maka di manakah maknanya?
=======================================
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Detail dan Pendaftaran: http://goo.gl/GSRY0t
Yuran -
Daftar sebelum 15hb Ogos 2014
*RM30(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih.
*RM35 jika mendaftar seorang diri.
Selepas 15hb Ogos 2014
*RM45(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih
*RM50 jika mendaftar seorang diri.
“Membangun Belia Berwawasan!”
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Pernikahan appeared first on Langit Ilahi.
August 2, 2014
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Cinta
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Cinta adalah isu yang akan sentiasa segar dan hangat, serta terus dibincangkan zaman berzaman. Kerana cinta adalah fitrah. Berputiknya cinta di syurga, semenjak bapa kita Adam AS, mula punya perasaan kasih dan sayang kepada ibu kita Hawwa, bersatu dengannya dan melahirkan generasi manusia.
Cinta secara dasarnya adalah perasaan. Perasaan ini akan membuatkan kita bertindak terhadapnya, berdasarkan definsi kita akan hakikatnya.
Jika kita memahami cinta dengan definisi A, maka kita akan bergerak dalam kembara cinta ini dengan cara A.
Jika kita memahami cinta dengan definisi B, maka kita akan bergerak dalam kembara cinta ini dengan cara B.
Pentingnya Mendefinisikan Cinta
Selepas saya bernikah, saya sering dijemput ke program-program berkait cinta, pernikahan dan rumahtangga. Saya sering mengajak audiens untuk bersama-sama menggambarkan satu situasi.
Katalah kita ini semenjak kecil, diberitahu bahawa ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah, bila menonton televisyen pun, diiklankan bahawa ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah, bila Ayah nak ajar kita bawa kereta pun dikatanya ‘gear’ 1 adalah kanan dan ke bawah, maka apakah ada kemungkinan bahawa saat untuk pertama kalinya kita hendak masukkan sendiri ‘gear’ 1, kita akan gerakkanya ke kiri dan ke atas?
Pastilah tidak. Automatik, kita akan mengikuti apa yang telah ditanam ke dalam diri kita. Sebab kita selama ini faham, ‘gear’ 1 adalah ke kanan dan ke bawah. Mustahil kita akan tiba-tiba sengaja mahu gerakkan ‘gear’ ke kiri dan ke atas.
Apa akan terjadi kalau kita gerakkan gear ke kanan dan ke bawah? Itu ‘reverse gear’, maka kereta kita akan ke belakang, bukan ke hadapan. Hasilnya tidak akan sama.
Begitulah pentingnya kita mendefinisikan cinta kita. Kerana definisi yang salah, akan membawa kita ke jalan yang salah.
Sebab itu saya secara peribadi, menekankan bahawa, hal cinta dan perkahwinan, adalah hal yang penting untuk dididik kepada anak-anak, bukan hanya kepada mereka yang hendak berkahwin atau yang dikatakan ‘cukup umur’ sahaja.
Kerana sedar atau tidak, ada pihak yang cuba mendefinisikan cinta dengan acuan mereka yang tersendiri, dan didikan mereka ini sampai kepada anak-anak kita melalui televisyen, internet, ikon dan selebriti.
Jika kita tidak mengambil langkah awal untuk mendefinisikan cinta kepada anak-anak kita, sudah pastilah mereka akan terlebih dahulu diracuni dengan definisi lain, yang sampai kepada mereka dengan lebih pantas dek kerana hebatnya teknologi maklumat masa kini.
Dunia Mendefinisikan Cinta
Dunia hari ini telah mendefinisikan cinta dengan pelbagai acuan. Namun yang paling penting, kepelbagaian acuan ini sebenarnya membawa kepada satu konklusi. Yakni kemurkaan Allah SWT.
Cinta digambarkan penuh dengan igauan, angau, pembaziran, hingga ke tahap pergaulan bebas, berpacaran dan kesanggupan untuk berzina. Semuanya pula digambarkan sebelum berlakunya pernikahan.
Selebriti-selebriti dan ikon-ikon telah digunakan untuk mempopularkan perkara ini. Begitu juga karya-karya seperti novel, lagu, drama dan filem. Jangan kata barat, sebenarnya di Malaysia sendiri pun, cinta digambarkan dengan gambaran yang tidak tepat.
Ianya digambarkan dengan gambaran penuh hawa nafsu. Seakan-akan cinta ini hanya bermakna, kalau kita benar-benar mengikuti perasaan kita semata-mata. Mengenepikan yang lain-lain, termasuk Allah SWT.
Kemudian semua tindakan ini digambarkan dengan gambaran yang indah-indah, manis-manis, dan kelihatan sempurna amat. Menerawangkan jiwa-jiwa, membuai hati-hati, hingga terasa itulah dia namanya cinta. Itulah dia yang perlu kita lakukan kalau hati dipagut cinta. Itulah dia yang perlu kita buat kalau kita nak bercinta.
Dan akhirnya inilah yang membentuk generasi kini dalam bercinta.
Jangan anggap perkara ini remeh. Kerana cinta biasanya adalah mukaddimah kepada pernikahan, kepada pembinaan rumahtangga. Jika asas kepada rumahtangga itu sendiri sudah dipenuhi dengan penderhakaan kepada Allah SWT, secara logiknya bagaimana rumahtangga itu boleh menjadi rumahtangga yang Allah SWT redhai, rumahtangga yang menghasilkan manusia-manusia yang soleh, rumahtangga yang bermanfaat untuk perjuangan Islam?
Cinta Yang Hakiki
Rakan-rakan pembaca yang saya doakan agar dirahmati Allah SWT,
Saya berpendapat, dan pendapat ini telah saya catatkan di dalam Buku Sebelum Aku Bernikah: Berusaha Mencapai Mampu, bahawa cinta yang sebenar adalah apabila kita berhajat untuk membawa orang yang kita cintai itu ke syurga Allah SWT.
Justeru apa-apa sahaja yang membawa ke neraka Allah SWT, itu tidak boleh kita namakannya sebagai cinta yang sebenar. Kita mungkin boleh menamakannya sebagai cinta hawa nafsu, cinta buta, cinta palsu atau apa-apa sahaja yang tidak menggambarkan ia sebagai jalan yang betul dan benar.
Saya nyatakan demikian kerana, cinta, atau kasih sayang, hanya dapat dibuktikan dengan tindakan dan bukannya kata-kata. Saya bawa analogi, jika saya katakan saya cinta kepada isteri saya contohnya, kemudian saya tendang dia jatuh ke dalam api yang marak, apakah bermakna kata-kata cinta saya kepadanya? Tidak bukan. Sebab akhirnya saya tendang dia ke dalam api.
Begitulah tidak bermaknanya segala asmara kita, kejiwangan kita, kemanisan kita dalam bercinta, apabila akhirnya ia sekadar mengundang kemurkaan Allah SWT dan melemparkan diri kita serta orang yang kononnya kita cintai itu ke nerakaNya.
Bila kita mempunyai kefahaman cinta yang sebegini, ia akan membuat kita mendahulukan Allah SWT, berbanding kehendak dan hawa nafsu kita sendiri. Jika kita mahu membawa seseorang ke syurga Allah SWT, apakah kita akan mengajaknya kepada apa yang dimurkai olehNya? Pastilah tidak. Jika kita mahu membawa seseorang ke syurga Allah SWT, apakah kita akan membiarkan diri kita tidak punya apa-apa peningkatan, sekadar menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia? Sudah pastilah tidak.
Allah SWT telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Cinta, Fitrah Yang Perlukan Pimpinan
Kita semua maklum bahawa cinta ialah fitrah. Hendak berteman itu ialah fitrah. Dan Islam tidak turun untuk mengharamkan fitrah. Islam turun untuk memimpin fitrah manusia ke jalan yang tidak memberikan mudarat kepada kita.
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” Surah Ali Imran ayat 14.
Kerana itu Allah SWT tidak mengharamkan perasaan cinta, namun memberikan pesan dan tunjuk ajar kepada kita akan halnya.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Ar-Rum ayat 21.
Allah tidak lupa menyelitkan ke dalam Al-Quran akan kisah orang yang mabuk dalam percintaan hingga melanggar kesantunan dan syariat, sebagai pengajaran buat kita.
“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.” Surah Yusuf ayat 30.
Dan Allah SWT mengurniakan kepada kita Rasulullah SAW, yang merupakan seorang manusia seperti kita, dan dia juga punya perasaan cinta, dia berkahwin dan berumahtangga. Justeru Rasulullah SAW adalah contoh terbaik, yang banyak memberikan didikan berkait hal ini.
“Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Kita akan cuba mengupas perihal Rasulullah SAW dan rumahtangganya pada bab yang lain.
Namun di sini jelas bahawa cinta bukan sesuatu yang diharamkan secara asasnya. Tetapi bagaimana kita bercinta adalah apa yang akan menjadikannya halal atau haram. Cinta yang berteraskan semata-mata kepada hawa nafsu dan syahwat, akan membawa kita kepada kerosakan.
Manakala cinta yang berteraskan petunjuk daripada Allah SWT dan RasulNya, itulah dia cinta yang hakiki, cinta yang akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.
Kita mesti berusaha untuk belajar memimpin cinta kita.
Dengan cinta yang terpimpin, kita akan mencorakkan pernikahan dan rumahtangga kita, dengan corak yang diredhai oleh Allah SWT.
=======================================
Program – Seminar Belia Merdeka.
Tema – Belia Berwawasan
Tarikh – 23hb Ogos 2014
Masa – 08.00am-07.00pm
Tempat – Main Auditorium, UIA, Gombak.
Detail dan Pendaftaran: http://goo.gl/GSRY0t
Yuran -
Daftar sebelum 15hb Ogos 2014
*RM30(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih.
*RM35 jika mendaftar seorang diri.
Selepas 15hb Ogos 2014
*RM45(seorang) jika mendaftar bersama-sama 3 orang atau lebih
*RM50 jika mendaftar seorang diri.
“Membangun Belia Berwawasan!”
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Cinta appeared first on Langit Ilahi.
Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Kenapa Kita Bercinta dan Bernikah?
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi, semoga berada dalam rahmat Allah SWT.
Orang yang tak tahu hendak ke mana, takkan tahu apa yang perlu dipersiapkan untuk sampai ke destinasi, dan dia takkan sampai ke destinasinya yang sebenar. Kerana pada titik permulaan lagi, dia tidak tahu hendak ke mana. Justeru dia tidak tahu bekalan apa yang perlu dia bawa, apa yang tidak penting agar dia dapat sisihkan supaya tidak menyukarkan perjalanan. Dia juga tak tahu di mana letaknya destinasinya, kerana dia tidak tahu hendak ke mana, lantas dia akan tersesat dan teraba-raba.
Begitulah juga dalam hal cinta, pernikahan dan rumahtangga. Bila kita tidak tahu kenapa kita jatuh cinta, kenapa kita bernikah dan mendirikan rumahtangga, kita tidak akan tahu bagaimana cara yang sebenarnya untuk menangani semua perkara tersebut, apa yang boleh dan apa yang tak boleh berkait dengannya, dan kita akan tersasar dari jalan mencapai kecemerlangan yang sebenar di dalamnya.
Adalah penting kita bertanya kepada diri kita.
Kenapa aku jatuh cinta?
Kenapa aku bernikah dan mendirikan rumahtangga?
Kerana soalan-soalan ini akan mencorakkan diri kita yang ingin mengembara ke alam percintaan, pernikahan dan rumahtangga.
Hadith Niat Yang Perlu Menjadi Peringatan
Rakan-rakan yang saya cintai kerana Allah SWT,
Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dinilai dengan apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan pergi kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia untuk kemewahannya, atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya akan pergi kepada apa yang dituju olehnya.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadith ini merupakan hadith yang sangat penting, dan perlulah sentiasa menjadi peringatan buat diri kita. Semasa kita hendak membuat satu-satu keputusan atau tindakan, kita perhatikan hadith ini dan bertanya, “Sebenarnya kenapa aku buat begini?”
Kerana niat itu membentuk rupa tindakan kita.
Jika kita berniat kerana Allah SWT, kita akan membentuk tindakan kita itu di bawah petunjuk Allah SWT. Dan kita tidak akan melencong ke arah lain, melainkan arah yang diredhai oleh Allah SWT. Kerana niat kita adalah untuk Allah SWT, relevanlah Allah SWT menjadi kata tertinggi dalam setiap gerak langkah kita dalam satu-satu perkara. Justeru jika ada jalan yang tidak diredhai oleh Allah SWT, walaupun jalan itu nampak memberikan kita sesuatu yang lumayan dari segi duniawinya, kita akan tinggalkan. Kerana niat kita adalah untuk Allah SWT.
Tetapi jika keduniaan yang menjadi niat kita, sudah pastilah kita akan suka untuk mengenepikan syariat Allah SWT, asalkan kita berjaya mendapatkan kemewahan yang dijanjikan oleh dunia.
Kita akan pergi kepada apa yang diniatkan oleh kita.
Begitulah juga cinta dan pernikahan.
Jika kita niatkan kerana Allah SWT, kita akan mencorakkan percintaan dan pernikahan kita atas apa yang Allah SWT redha. Kita akan meninggalkan apa sahaja yang Allah SWT larang, dalam melayari bahtera percintaan dan pernikahan. Walaupun mungkin, apa yang Allah SWT larang itu, adalah apa yang nafsu kita mahukan, adalah apa yang mungkin menjadi ‘trend’ masa kini dan dilakukan pula oleh kebanyakan rakan-rakan. Kita tidak rasa cacat mengorbankan semua itu, kerana niat kita jelas bercinta dan bernikah kerana Allah SWT. Lantas kita akan bergerak kepada Allah SWT.
Jika niat kita bercinta dan bernikah hanya kerana hawa nafsu semata-mata, hanya kerana ikut-ikut kawan contohnya, ini akan membuatkan kita banyak mengabaikan perintah dan larangan Allah SWT. Kita akan tidak segan silu mengambil jalan penderhakaan terhadap Allah SWT saat melayari bahtera cinta dan pernikahan. Kita akan pergi kepada apa yang kita hajatkan.
Kita akan dapat apa yang kita hajatkan.
Itu janji Allah SWT.
Namun perbandingan orang-orang yang mendapatkan redha Allah SWT, yang mana Allah SWT inia dalah pemilik syurga, pemilik ketenangan, pemilik rezeki, pemilik segala-galanya, bukankah itu yang lebih bermakna?
Berbanding mendapatkan dunia yang fana serba sementara ini sambil menjemput kemurkaan Allah SWT.
Maka lihatlah semula niat kita.
Kenapa kita jatuh cinta dan mahu bernikah?
Misi Sebagai Manusia Di Atas Muka Bumi
Kita perlu melihat semula akan tujuan Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini. Allah SWT itu tidak sesekali suka kepada perkara yang sia-sia. Dia tidak akan melakukan sesuatu tanpa ada kepentingan dan kerjanya. Allah SWT telah menyatakan hal ini di dalam firmanNya:
“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.” Surah Al-Anbiya’ ayat 19.
Dan Allah SWT mengingatkan kita bahawa penciptaan kita juga bukanlah sebuah penciptaan yang sia-sia:
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mu’minun ayat 115.
Apakah misi kita?
Kita perhatikan bahawa kala Allah SWT menciptakan manusia, Allah SWT mengkhabarkannya kepada para malaikat. Ketika Dia mengkhabarkan perkara tersebut, Allah SWT tidak menyatakan bahawa Dia hendak menciptakan satu makhluk bernama manusia. Tetapi apa yang Allah SWT nyatakan ialah Dia hendak menciptakan khalifah atau ‘pentadbir’ di atas muka bumi ini.
Ya, itulah misi kita. Dan besarnya misi itu, sehingga Allah SWT menyebutnya secara jelas saat Dia hendak menciptakan manusia.
Firman Allah SWT:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah.” Surah Al-Baqarah ayat 30.
Mentadbir bumi ke arah apa?
Ke arah yang Allah SWT redhai, yakni dengan menjadi rahmat kepada alam ini, memakmurkannya, menjaganya dengan baik, dan semua itu akan mampu dicapai dengan tunduk serta patuh kepada Allah SWT. Makanya antara tugasan besar khalifah ialah membawa manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, yang juga telah Allah nyatakan bahawa itu merupakan antara tujuan manusia diciptakan.
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mengabdikan diri.” Surah Adz-Dzariyat ayat 56.
Kita juga sedar bahawa khalifah itu tidak semestinya kita semua perlu berjawatan. Sebuah negara hanya memerlukan seorang perdana menteri, dan barisan kabinet menteri pun ada bilangan yang terhad. Maka mustahil untuk kita semua memegang jawatan sebagai pemimpin.
Kerana itu khalifah yang dimaksudkan ini tidak terhad kepada jawatan kepimpinan. Tetapi juga merangkumi tanggungjawab memimpin diri, keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling semampu kita. Apa yang penting, apa pun yang kita boleh pimpin, di sana tergalas tanggungjawab untuk membawanya kepada keredhaan Allah SWT tadi.
Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan dia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka. Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya. Ingatlah! setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.” Hadith Riwayat Muslim.
Dua misi besar ini perlu kita fahami, kerana di sinilah kita melihat apa tugas kita dalam percintaan dan rumahtangga.
Ya, kita ada tanggungjawab sebenarnya.
Cinta dan perkahwinan bukan untuk seronok-seronok kosong. Bukan semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu.
Tanggungjawab Dalam Keluarga
Memahami tugas sebagai khalifah yang berperanan untuk membawa manusia ke arah pengabdian kepada Allah SWT, dan memahami bahawa tugas tersebut tidak semestinya berjalan bersama jawatan rasmi, kita mula melihat bahawa dalam percintaan dan kekeluargaan juga kita bakal punya ‘kerja’ untuk dilaksanakan.
Iaitu membawa diri kita dan orang yang kita cintai, kepada tujuan yang sama, yakni pengabdian diri kepada Allah SWT. Kemudian bersama-sama membina sebuah keluarga, juga dengan tujuan agar keluarga itu berkembang sebagai sebuah keluarga yang mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Kita perlu lihat yang kita memegang sebuah peranan yang tidak kecil di dalam hal ini.
Kerana dari keluarga kita akan lahir manusia-manusia yang kemudiannya apabila digabungkan dengan keluarga-keluarga lain, membentuk masyarakat. Apakah kita mahu menyumbang ahli-ahli yang buruk kepada masyarakat kita? Sudah semestinya tidak. Kita semua mengimpikan masyarakat yang baik, maka hendaklah kita semua berperanan membentuk ahli-ahlinya yang baik, dan itu adalah tanggungjawab kita di dalam keluarga kita.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari siksa api neraka.” Surah At-Tahrim ayat 6.
Inilah dia tanggungjawab kita.
Bila Niat Kita Benar
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi,
Membawa kita semua jauh kepada misi di atas muka bumi dan tanggungjawab dalam keluarga, hakikatnya adalah untuk kita sama-sama melihat pentingnya niat yang jelas.
Ya, kita ada tanggungjawab sebenarnya. Ada kerja yang perlu dilakukan. Ada misi yang perlu disempurnakan.
Niat kita kena jelas, barulah tanggungjawab dan misi ini dapat diusahakan. Barulah kita tahu apa yang perlu kita laksanakan. Niat yang benar akan membuatkan kita membentuk perjalanan cinta, pernikahan dan rumahtangga kita untuk menyempurnakan tanggungjawab dan misi tadi.
Manakala niat yang batil, akan sekadar membawa kita kepada kesia-siaan dan jalan yang tidak Allah SWT redhai. Tanggungjawab sebenar akan terabai, seterusnya memberikan impak negatif bukan sahaja kepada diri kita, tetapi juga kepada masyarakat.
Hendaklah kita sentiasa jujur dan bertanya kepada diri sendiri.
Kenapa aku bercinta?
Kenapa aku bernikah?
Apakah kerana Allah SWT, atau hawa nafsu semata-mata?
Jika kerana Allah SWT, kita ada kerja untuk diusahakan, ada misi untuk disempurnakan. Dan kerja serta misi ini, tidak akan dapat dilunaskan dengan baik, tanpa persediaan.
The post Sebelum Aku Bernikah: Memeluk Sempurna – Kenapa Kita Bercinta dan Bernikah? appeared first on Langit Ilahi.