Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri

Responsibility


 


~Pic by coachmarvin.com


 


Kita hidup di zaman ramai orang semakin hilang rasa kebertanggungjawaban atas dirinya sendiri. Ia sesuatu yang melukakan dan menyedihkan.


Akses kepada ilmu semakin luas, tetapi manusia semakin hilang kesedaran.


Akses kepada kefahaman agama juga menjadi lebih mudah, tetapi kita semakin sedikit dan tidak serius dalam beramal.


Hubungan manusia dengan manusia menjadi lebih dekat dengan wujudnya internet, perkembangan dunia media, namun adab kita semakin menipis, perpecahan pula semakin galak dikumandangkan, kemanusiaan pula kian terhakis.


Maklumat semakin mudah dicapai, tetapi common sense kita makin merenggang dari kehidupan.


Semakin banyak membaca buku, tetapi sikap dan akhlak tidak semakin bertambah baik.


Kita seakan-akan gagal menghubungkan perubahan diri kita sendiri dengan perkembangan serta permasalahan yang berlaku. Kita tahu, tetapi tahu kita seakan-akan tidak mengubah apa-apa pada diri kita, tidak memberi manfaat kepada hidup kita. Tahu kita seakan-akan tidak menyelamatkan manusia lain dari menjadi mangsa amal tangan dan mulut kita. Pengetahuan kita itu melintas di tepi akal kita tanpa akal kita dapat mengunyahnya dengan baik untuk kita terjemahkan semula ke dalam bentuk yang praktikal melalui jalan mengubah cara hidup, cara fikir dan nilai dalam diri kita.


 


Contoh Mudah


Gaza dan Palestin adalah isu yang tidak pernah selesai sejak berzaman. Bukan sekali dua kita melihat perkembangan isu yang berlaku di Palestin. Bukan sekali dua juga kita mengenal ketabahan dan kekuatan mereka di Gaza.


Melalui ramainya wakil-wakil mereka yang pernah datang ke Malaysia, kita belajar daripada mereka bahawa di dalam dunia sekecil Gaza itu, disekat, ditembak, dibunuh serta pelbagai lagi ancaman yang mereka hadapi bukanlah halangan yang akan  menyebabkan mereka berhenti, tetapi ia bahkan menjadi satu peluang pula untuk mereka melahirkan lebih ramai orang-orang hebat.


Al-Qassam, adalah kisah hero realiti mereka yang wujud di zaman ini. Ramai orang berkisah tentang mereka terutamanya di dunia-dunia Islam.


Saya pasti tidak sedikit yang rasa teruja apabila mendengar syarat-syarat kelayakan dipilih sebagai anggota Al-Qassam. Namun, kita tidak harus berhenti pada rasa keterujaan itu semata-mata. Rasa keterujaan semata-mata tidak akan dapat mengubah diri kita.


Ramai orang kagum pada tokoh-tokoh tertentu, kagum pada kehebatan para sahabat Nabi s.a.w., kagum pada tokoh-tokoh di zamannya, namun apakah kekaguman semata-mata memberi manfaat kepada dirinya kalau dia tidak belajar dan mengambil manfaat pun dari tokoh itu?


Sebab itu, kita perlu bertanya kepada diri kita, dengan mengukur realiti diri kita, apakah kesungguhan kita untuk beramal dengan Islam telah diusahakan sehampir kesungguhan yang telah dilakukan oleh HAMAS dan juga Al-Qassam di Gaza? Akhlak kita, adakah telah diusahakan untuk ditambahbaik? Tidak mungkin kita dapat menjadi muslim atau menjadi tentera sebaik mereka tanpa akhlak yang bagus. Untuk menjadi lebih realistik, kita barangkali susah untuk menjadi semisal mereka. Namun, mencontohi kesungguhan mereka dalam beramal dengan Islam dengan cara tidak ambil mudah dengan nikmat Islam yang telah kita perolehi adalah apa yang kita boleh lakukan.


Malangnya, itulah yang akal kita gagal mengunyah dan menghadamnya dengan baik.


Kita dijamu dengan informasi-informasi yang ‘wow’ tentang mereka tetapi kita kemudiannya balik kepada hidup kita seperti asal. Cara ibadah kita masih seperti dahulu, hati kita masih hati yang lama, kecenderungan diri kita masih dikuasai oleh nafsu, sikap kita seakan-akan tidak ada perubahan ke arah lebih baik sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, kita take for granted dalam kesungguhan kita untuk membaiki sikap dan akhlak.


Kita rasakan kita telah ‘Islam’ dengan kita menjadi muslim di awal kelahiran kita, tetapi rupanya masih banyak sisi jahiliah pada diri kita.


Tanyalah pada diri kita soalan-soalan yang ringkas dan mudah saja kalau benar kita mahu menjadi muslim sebaik mereka.


Pukul berapa Subuh kita hari ini?


Hari kita diisi dengan apa? Banyak terisi atau banyak terbuang?


Seteliti apakah kita menjaga disiplin waktu dan sikap dalam hidup?


Sejauh mana pula sensitiviti kita dalam hal melibatkan perintah Allah dalam hidup?


Akhlak dan adab kita, masih sama atau sudah ada pembaikan? Kalau ya ada pembaikan, apa buktinya?


trium_group_on_responsibility


 


Membebankan Orang Lain


Kembali bertanya di mana diri kita dengan semua perkembangan, isu dan maklumat yang telah kita tahu itu adalah kerana ia persoalan penting yang melibatkan tanggungjawab dan pilihan kita terhadap diri kita sendiri.


Ia bukan persoalan untuk dijawab seperti peperiksaan universiti, tetapi ia adalah persoalan yang benar-benar terjawab dengan melihat apa pilihan tindakan-tindakan kita setelah kita melalui fasa ‘tahu’ itu.


Ia persoalan yang serius kerana kadangkala, kita terkilan apabila sesetengah orang menganggap sesuatu yang asalnya adalah tanggungjawab terhadap dirinya sendiri terutama pada permasalahan sikap bukan lagi sebuah tanggungjawab. Ia akhirnya membebankan orang lain dan masyarakat yang hidup bersamanya.


Semisal persoalan adab dan akhlak seperti tanggungjawab kita terhadap masa, tanggungjawab kita terhadap persoalan kebersihan, tanggungjawab kita terhadap kata-kata kita.


Berapa ramai orang berjanji misalnya bertemu pada masa-masa yang tertentu, tetapi akhirnya janji itu dimungkiri dengan tanpa ada rasa bersalah. Bebannya tertanggung pada orang yang memenuhi janji dan menunggunya pula. Nampak kecil, tetapi impaknya besar pada kredibiliti diri dan kepercayaan orang terhadap kita.


Berapa ramai yang terbiasa membuang sampahnya ke luar kereta ketika memandu, akhirnya sampah itu terbang melayang ke kereta belakang sehingga akhirnya mungkin boleh menyebabkan kemalangan, namun sikap sebegitu tidak pun diubah ketika di waktu yang lain.


Berapa ramai yang sebenarnya mempunyai pilihan untuk mengeluarkan kata-kata yang baik, tetapi lebih cenderung memilih perkataan yang negatif, akhirnya menyebabkan timbulnya perbalahan dan pergaduhan, tetapi kemudiannya, dia pula tidak mahu bertanggungjawab atas kata-kata yang dikeluarkannya.


Ia asalnya adalah tanggungjawab kita, yang mana kita sepatutnya melihat dan membaikinya dalam diri kita. Ia asalnya adalah tanggungjawab kita, yang mana apabila kita menyalahinya, maka kita patut rasa bersalah dalam diri kita lalu melakukan perubahan.


Masalahnya, adalah apabila kita tidak merasakan ia adalah tanggungjawab kita, kita pun tidak rasa bersalah apabila kita menyalahinya, lalu kita pun terus-menerus terbiasa melakukannya tanpa ada sedikit rasa ingin membaikinya. Akhirnya, ia membebankan orang lain yang hidup bermasyarakat bersama kita.


 


Penutup : Kita Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri


Sebagai muslim, rasa tanggungjawab atas diri sendiri itu adalah cerminan dari percikan iman dalam dirinya.


Kalau ada tanggungjawab sendiri yang tidak dirasakan bersalah apabila menyalahinya, kalau ada tanggungjawab dimungkiri tanpa rasa sesal, ia barangkali bermasalah pada imannya kepada Allah.


Iman kepada Allah adalah sebenar-benar pengawas yang mengawasi sensitiviti seseorang terhadap tanggungjawabnya sendiri, tanggungjawab terhadap sikap dan akhlaknya, yang menyebabkan dia merasai komitmen yang tinggi terhadap peribadinya sendiri.


Muslim itu sepatutnya menjadi seseorang yang dapat menguasai dirinya sendiri, tambah lagi melibatkan aspek tanggungjawab yang berkait rapat dengan dirinya sendiri. Kalau tanggungjawab terhadap sikap dan akhlak sendiri masih banyak kelumpuhannya, barangkali lambat lagi untuk kekuasaan dunia diserahkan kembali kepada muslim.


Kembali kepada Allah s.w.t. dengan melihat lompong-lompong pada diri kita, kemudian perbaikilah ia.


“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” [Al-A’raf: 201]

 


The post Bertanggungjawab Atas Diri Sendiri appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 10, 2014 04:20
No comments have been added yet.