Hilal Asyraf's Blog
June 30, 2019
Sebelum Kita Bernikah – Bagaimana Mahu Mendapatkan Pasangan Yang Ideal?
Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Kita semua mengimpikan pasangan
yang mampu membahagiakan kita. Mampu menyejukkan hati kita, menggembirakan dan
menyenangkan kita. Kita mengharapkan pasangan yang kuat ibadah, yang amat
memahami kita, mampu bertolak ansur dengan kelemahan kita, yang penyayang dan
amat mengasihi kita, mampu mengingatkan kita pada Allah SWT, dan macam-macam
lagi ciri-ciri yang kita hajatkan.
Kita hajatkan pasangan yang ideal
lagi sempurna.
Namun kita lupa bahawa, tiada
manusia yang sempurna.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak Adam itu sentiasa
melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah
mereka yang sentiasa bertaubat.” Hadith Riwayat Ahmad.
Tiada Jaminan 100%
Sebenarnya
tiada jaminan yang sempurna, 100%, untuk perkara tersebut. Kerana sehebat mana
pun perkenalan kita dengan seseorang, kita memang takkan mampu mengetahui 100%
berkait dirinya.
Begitulah dalam memilih pasangan.
Sebenarnya tiada cara yang ‘absolute’ untuk mendapatkan
pasangan yang sempurna. Kerana hakikat kemanusiaan itu sendiri penuh dengan
kekurangan dan kelemahan.
Kita hanya boleh berusaha yang terbaik, sambil berdoa
kepada Allah SWT agar Allah SWT memberikan kita jodoh yang juga terbaik untuk
kita.
Couple Menyelesaikan Masalah
Pemilihan Pasangan?
Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Ada yang berpendapat, couple/berpasangan sebelum nikah,
dapat menyelesaikan masalah pemilihan ini. Kerana katanya, dengan bercouple,
kita akan dapat lebih mengenali bakal pasangan kita dengan lebih dekat.
Sebenarnya, selain jalan couple atau berpacaran sebelum
bernikah banyak membuka kepada perkara yang dimurkai Allah SWT, ianya juga
hakikatnya tidak mampu memberikan solusi kepada pencarian pasangan ideal.
Mengikut pengalaman sendiri dan juga sembang-sembang
dengan mereka yang telah lama berkahwin, sebenarnya bila telah berkahwin pun,
proses saling kenal mengenal itu akan terus berlaku dan berjalan. Dari masa ke
semasa, akan terdedah sikap dan cara fikir pasangan kita, yang mungkin
sebelumnya tidak kita ketahui.
Antara Usaha Yang Boleh
Dilaksanakan
Justeru
apakah jalan yang wujud untuk kita mendapatkan pasangan yang benar-benar baik
buat kita?
Apa yang kita perlu pastikan
sebelum memulakan apa-apa langkahan adalah, langkahan kita itu adalah di dalam
batasan syara’. Bukan berpandukan hawa nafsu kita, dan bukan menggunakan jalan
yang dilarang oleh Allah SWT.
Bila kita jatuh hati pada
seseorang, antara yang kita boleh usahakan untuk mengenali dirinya serba
sedikit adalah dengan cuba bertanya kepada mereka yang mengenalinya. Mungkin
dia ada keluarga, mungkin dia ada kawan yang kita kenal, rajinkan diri
bertanya.
Zaman sekarang adalah zaman
teknologi, boleh juga kita buat lawatan ke akaun-akaun laman sosialnya, baik di
Twitter, Facebook, Instragram, untuk kita perhatikan dirinya bagaimana, dari
jauh. Tetapi jangan sesekali kita jadi ‘stalker’, mengikut dengan tegar sekali
itu semua dengan niat untuk memuaskan hawa nafsu kita. Itu tidak dibenarkan.
Namun melawat untuk sekadar tahu orangnya bagaimana, itu sebenarnya tidak
menjadi masalah.
Tetapi kalau dah jadi ‘stalker’,
‘copy & paste’ gambar-gambarnya untuk disimpan di dalam telefon atau
komputer kita, nyata kita telah tersasar dan jalan yang sepatutnya.
Setelah kenal serba sedikit, untuk
meneruskan proses taaruf, sebaiknya kita lamar dan jadikan dia tunang kita. Ini
juga membantu kita untuk tidak terlalu lama memendam perasaan, dan kalau
ditolak ketika ini pun, tidaklah kita rasa terlalu payah untuk mencari yang
lain. Bab melamar ini, akan kita kembangkan lagi di bab yang khusus buatnya.
Bila sudah berjaya bertunang, itu tandanya bakal pasangan
pun berhajat untuk lebih mengenali kita. Maka dalam fasa pertunangan, jalankan
proses taaruf. Ini juga detailnya akan kita panjangkan di dalam bab yang lain.
Namun apa yang mahu ditekankan di sini ialah, usaha taaruf
secara ringkas semasa bertunang itulah antara ruang yang ada buat kita untuk
mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat. Bila sudah bertunang, mudahlah ibu
bapa nak saling berziarah, kita pun lebih selesa nak bertaaruf dengan bakal
mertua, membina hubungan dengan keluarganya, sekaligus lebih mengenali bakal
pasangan.
Sebab itu indahnya Islam, pertunangan tidak ada limit
masa. Namun hendak mengelak fitnah, sebaiknya disegerakan perkahwinan.
Memang itu pun takkan 100% memberi jaminan apakah bakal
pasangan kita itulah yang 100% ‘match’ dengan kita, dan bakal memberikan kita
kebahagiaan yang tiada taranya di alam rumahtangga nanti.
Tawakkal Dan Fokus Kepada
Pembinaan Diri
Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT
Di sinilah letaknya kepentingan tawakkal kepada Allah dan
persiapan kematangan diri untuk berumahtangga.
Kadang dalam urusan ini, kita terlupa yang Allah SWT
adalah pemilik ketenangan, pemilik kebahagiaan, pemilik kesenangan dan
sebagainya. Bukan pasangan kita. Maka dalam usaha kita untuk mengenali seseorang,
untuk mendapatkan pasangan yang baik, jangan lupa juga untuk banyakkan berdoa
dan berharap kepada Allah SWT.
Dialah yang bakal memberikan kita yang terbaik. Kerana
Dialah yang Maha Memberi.
Allah SWT berfirman:
“Dan berkatalah Rabb kalian: Berdoalah kepadaKu, nescaya
Aku akan perkenankan.” Surah Ghafir ayat 60.
Pada satu sisi yang lain, kita
juga sebenarnnya hendaklah lebih membesarkan fokus kepada pembinaan diri.
Terutama diri kita.
Ketahuilah nanti, kerana kita maklum bahawa manusia itu
tidak sempurna, semasa mengharungi alam rumahtangga, kita akan perlu sentiasa
menghadapi kelemahan-kelemahan pasangan kita, perbezaan pendapat dengannya, dan
melatih pula lapang dada serta tolak ansur untuk berhadapan dengannya. Dan
kemungkinan juga kitalah nanti yang bermasalah, justeru kena juga persiapkan
diri untuk boleh menerima teguran daripada pasangan dan sebagainya.
Bak kata orang, dari sibuk mencari yang terbaik, kita
sebenarnya kena sibuk menjadi yang terbaik.
Kerana akhirnya, kalau pasangan kita terbaik sekalipun,
tetapi kita tidak terbaik, apakah rumahtangga kita akan tetap bahagia? Pastinya
tidak.
Untuk mencapai kehamornian di dalam berumahtangga,
kedua-duanya perlu memainkan peranan.
Sebab itu bagus masa bertunang, hadiahnya adalah buku,
atau tiket ke seminar baitul muslim, atau apa-apa sahaja yang boleh membina
kematangan, pendalaman ilmu untuk membentuk kesatuan minda dan hati antara kita
dan pasangan. Jika kedua-duanya memahami dan mampu melihat serius perkara ini,
sudah pastilah pelbagai perkara di dalam rumahtangga nanti menjadi mudah
insyaAllah.
Namun sebagaimana yang saya nyatakan tadi, fokus utamanya
adalah pembinaan diri kita sendiri. Kalau pasangan kita ada kelemahannya pun,
jika kita telah usaha menjadikan diri kita yang terbaik, insyaAllah kita boleh
menampung kelemahannya.
Memeluk Sempurna?
Akhirnya
rakan-rakan pembaca, memang kalau mengharapkan sempurna, kita takkan
memperolehinya. Tetapi insyaAllah, orang yang berusaha dengan jalan yang syara’,
sentiasa pula mengharapkan kasih dan sayang Allah SWT, maka percayalah bahawa
Allah SWT akan mempersiapkan untukNya rahmat dan pertolongan, kemudahan dan
kelapangan.
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah
yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang
itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan
menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Allah SWT tidak akan sesekali
menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha.
Kesempurnaan hakikatnya, hanya
milik Allah SWT semata-mata.
Kita mengharapkan, dengan
kesempurnaanNya itulah, Dia membantu kita sepanjang kehidupan berumahtangga
nanti insyaAllah.
Sebelum Kita Bernikah – Benarkah Dia Jodoh Kita Yang Sebenar?
Rakan-rakan
yang saya kasihi, semoga Allah SWT merahmati,
Setelah kita jatuh cinta, menilai
perasaan kita dengan bersungguh-sungguh dan serius, kemudian menetapkan
keputusan untuk berusaha menjadikan dia sebagai pasangan kita, maka langkah
seterusnya ialah melamar.
Namun sebelum melamar, melakukan
langkah yang sangat serius dan besar ini, kita perlu bertanya lagi kepada diri
kita. Perasaan sudah jelas, kita memang serius, ini bukan main-main dan nak
mengorat memenuhi hawa nafsu sahaja. Tetapi yang kita nak pastikan sekarang,
apakah orang yang kita mahu dapatkan ini, benar-benar merupakan yang terbaik
untuk kita?
Kita sudah tanya kepada diri kita
sebelum ini, apakah kita suka dia kerana dia cantik/kacak?
Apakah kita suka dia kerana dia
berharta?
Apakah kita suka dia kerana dia
pandai?
Apakah kita suka dia kerana dia
soleh/solehah?
Setelah jelas kenapa kita sukakan
dia dan kita telah buat keputusan untuk mendapatkannya, kita perlu tanya –
apakah dia yang sebenar-benarnya layak?
Bagaimana hendak memastikan?
Merisik Khabar
Realistiknya
rakan-rakan pembaca yang saya kasihi, tiadalah kita tahu melainkan kita ambil
tahu. Bukankah begitu?
Maka pastinya kita akan cuba untuk
ambil tahu akan halnya orang yang kita mahu jadikan pasangan hidup kita itu.
Bukan terus-terus melamarnya dek terpana dengan luarannya. Ini adalah orang
yang bakal menjadi peneman hidup kita, yang bakal kita hidup dengannya. Sudah
pastilah kita mahu benar-benar mengetahui keadaannya. Apakah dia sesuai dengan
kita? Apakah dia sesuai menjadi pasangan kita?
Antara usahanya ialah merisik
khabar. Kita cuba untuk mengetahui perihalnya melalui kenalan rapat dan juga
melalui orang-orang tua yang mengenalinya – seperti pensyarah, guru, ketua
usrah dan lain-lain. Boleh juga kita mengikuti laman sosialnya, bukan dengan
tujuan jahat, bukan dengan tujuan untuk memulakan hubungan sebelum bernikah
dengannya, tetapi dengan niat benar-benar hendak melihat keadaan empunya diri
yang bakal kita lamar sebagai pasangan hidup kita.
Jika dia memang sudah merupakan
orang yang rapat dalam hidup kita, sebagai contoh, rakan sekelas, maka
sepatutnya proses ini menjadi lebih mudah. Cabaran besar adalah apabila kita
memang tidak mengenalinya. Maka proses merisik khabar ini amat penting. Namun
walaupun kita sudah rapat, rakan sekelas contohnya tadi, merisik khabar juga
penting untuk memastikan apakah orangnya sudah berpunya atau belum.
Jika kita dapati, dalam risikan
kita tadi, yang empunya badan telah berpunya, sudah menyukai seseorang
contohnya, atau sudah bertunang, maka hentikan sahaja langkahan kita di situ.
Kecewa? Ya, mungkin. Tetapi lebih baik kecewa dalam keadaan tidak ditolak,
berbanding kecewa dalam keadaan ditolak bukan? Kita akan bincangkan perihal
ditolak dan tak dapat ini pada bab yang lain.
Mengintai?
Saya
masih teringat ya rakan-rakan pembaca, ketika saya masih remaja, ada sahabat
saya yang bertanya kepada guru kami, berkait mengintai. Apakah boleh kita
mengintai seseorang untuk lebih mengetahui dirinya, jika kita berhajat hendak
berkahwin dengannya?
Guru saya tertawa, dan kemudian
dia berkata: “Boleh, tetapi mengintai dari jauh sahaja, dan bukannya mengintai
aurat.”
Saya faham penyataan itu lebih
kepada memerhatikan dari jauh, dan berkadar seadanya sahaja. Bukannya menjadi
‘creepy stalker’, ikut sampai balik rumah dan sebagainya. Bukan juga mengintai
di tempat-tempat ‘private’ seperti bilik tidur, bilik mandi, dan bukanlah untuk
menyelak auratnya.
Memerhatikan dari jauh ini,
contohnya, kita seuniversiti dan sekelas. Kita boleh memerhatikannya dengan
begitu sahaja, melihat bagaimana dia dengan guru-guru, bagaimana dia dengan
rakan-rakan. Mungkin terserempak di kafe, atau di perpustakaan, dan di sana
kita perhatikan dia untuk melihat keadaan dirinya.
Bukannya mengekori, sembunyi
belakang pokok atau tembok dan sebagainya yang termasuk dalam kategori
‘merimaskan’ atau ‘mencurigakan’.
Hal yang sama ada dibangkitkan
oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman semasa penyampaian beliau di Seminar Baitul
Muslim anjuran OneHeart Creative pada tahun 2013. Namun ustaz membincangkannya
dalam keadaan yang lebih terkini, iaitu boleh atau tidak untuk mengintai
melalui Facebook.
Ustaz Zaharuddin menyatakan tiada
masalah, selagi mana ianya memang bertujuan serius untuk ke arah pernikahan,
dan tidak pula melebih-lebih hingga membawa kepada maksiat dan kemungkaran.
Melebih-lebih hingga membawa
kepada kemungkaran ini adalah seperti kita sibuk mengumpul atau meratah
gambar-gambarnya, cuba untuk mengoratnya, berbual yang tidak penting dengannya
dan sebagainya.
Istikharah
Seiring
proses merisik peribadi orang yang kita sukai, pastikan kita melakukan
istikharah dengan Allah SWT. Istikharah sangat dianjurkan dalam kita hendak
membuat keputusan terhadap sesuatu yang kita tidak pasti akan akibatnya. Sejauh
mana pun kita berusaha untuk cuba mengenalinya, pastilah Allah jua yang paling
mengenalinya. Maka kepada Allah SWT kita meminta.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika salah seorang di antara
kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat
dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu
dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon
kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku
tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau
yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan
ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi
diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam
waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan
mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya.
Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan
dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang
akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya,
serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada.
Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.
Kemudian
hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya.” Hadith Riwayat Bukhari.
Jawapan daripada istikharah tidak
semestinya melalui mimpi. Boleh juga datang dalam bentuk keyakinan untuk
melakukan sesuatu, atau desakan hati yang kuat untuk memilih sesuatu. Bukan
kerana memang kita yang nak, tetapi sebab gerak hati kita yang berat ke
arahnya. Boleh jadi begitu. Tidak semestinya mimpi.
Istikharah juga tidak semestinya
untuk urusan cinta dan perkahwinan, memilih jodoh, bukan dan bukan. Istikharah
adalah untuk semua perkara yang memerlukan kita membuat keputusan atasnya, dan
perkara itu mestilah perkara yang harus. Bukan perkara yang telah ditetapkan
halal haramnya oleh Allah SWT, dan bukan perkara yang telah jelas baik dan
buruknya terhadap diri kita.
Sebagai contoh, kita tak boleh
istikharah untuk berzina atau tidak dengan seseorang. Kerana berzina telah
jelas diharamkan oleh Allah, dan telah jelas keburukannya kepada diri kita.
Hendaklah juga sangat-sangat
diingat bahawa istikharah hanyalah untuk diri kita. Bukannya untuk memutuskan
sesuatu buat orang lain. Sebagai contoh, katalah kita bermimpi atau merasa kuat
untuk memilih sekian orang menjadi pasangan kita, tetapi orang tersebut menolak
dan tidak mahu dengan kita, kita tidak boleh memaksanya dan memberikan alasan
bahawa kita telah bermimpi, menyatakan ianya adalah apa yang Allah nak dan
sebagainya. Tidak boleh kita memaksakan ‘hasil istikharah’ kita kepada orang
lain.
Sebab boleh jadi, ‘petunjuk’ yang
kita perolehi itu bukan petunjuk pun. Kita hanyalah manusia biasa. Bukan wali,
bukan nabi, untuk benar-benar memastikan mimpi kita bukan mainan syaitan,
perasaan kuat kita terhadap sesuatu bukan sekadar tolakan hawa nafsu.
Dan mungkin orang yang kita suka
itu pun telah beristikharah, dan jawapannya berbeza dengan kita. Mungkin
istikharahnya lah yang benar.
Jika berlaku begini, redhalah
dengan pilihan orang lain. Itu tanda mereka menolak kita.
Namun biasanya, jika istikharah
kita benar, insyaAllah urusan ke arahnya akan dipermudahkan Allah SWT. Sebab
mustahil Allah SWT menunjukkan sesuatu yang kemudiannya tidak punya apa-apa
makna kepada kita bukan?
Jika istikharah kita benarlah.
Itu antara kayu ukur yang boleh
kita pakai juga. Yakni jika urusan ke arahnya dipermudahkan banyak, jauh dari
perkara yang Allah murkai, itu boleh jadi petunjuk yang kita perolehi adalah
petunjuk yang benar insyaAllah.
Saya ada bahaskan perihal fitnah
istikharah ini pada buku Sebelum Aku Bernikah yang pertama. Boleh rujuk di
sana.
Istisyarah
Biasa
kita mendengar istikharah ya rakan-rakan pembaca, dan amat jarang kita dengar
perihal istisyarah.
Istisyarah membawa maksud
perbincangan, mengumpulkan pendapat, untuk memudahkan kita membuat keputusan
terhadap sesuatu perkara.
Dalam kes ini, hendak membuat
keputusan melamar seseorang yang mahu kita jadikan pasangan hidup. Hendaklah
kita berbincang dengan kenalan yang kita tahu matang, dengan ketua usrah
contohnya, dan paling penting dengan keluarga. Kita bentangkan hajat kita, dan
serba sedikit yang kita telah tahu akan orang yang kita hajati, dan meminta
pendapat untuk memastikan tindakan kita bukan sebuah tindakan yang berpandukan
hawa nafsu semata-mata.
Dalam beristisyarah, elakkan
meminta pandangan kawan-kawan yang tidak matang, yang kita kenal sebagai nakal
dan tidak menjaga syariat. Kerana pandangan dan pendapat mereka mungkin sekadar
menambah kepincangan sahaja dalam keputusan yang bakal kita buat.
Imbangilah istikharah dengan
istisyarah, kerana kita manusia biasa yang memerlukan manusia yang lain juga
dalam membantu membuat keputusan yang terbaik buat kita. Kadang kita terlepas
pandang beberapa perkara, atau aspek-aspek tertentu. Dengan istisyarah, akan
ada pendapat-pendapat yang membantu menampung perkara-perkara tersebut,
mengelakkan diri kita dari terlalu teruja, dan memberikan perspektif yang lebih
luas kepada sisi pandang kita.
Jangan biasakan diri kita membuat
keputusan sendirian, lebih-lebih lagi berkait urusan besar untuk membina
rumahtangga, untuk menyatakan cinta kita kepada seseorang yang kita hajatkan
menjadi peneman hidup kita.
Paling kurang, libatkan keluarga
kita, ibu bapa dan penjaga. Bincanglah bersama mereka.
Istisyarah dan istikharah perlu
saling lengkap melengkapi. Beriringan. Barulah insyaAllah kita berpuas hati
dengan keputusan yang kita buat, seterusnya jika apa-apa berlaku di luar
jangkaan, tidaklah kita rasa berputus asa. Kita akan ada rakan-rakan istisyarah
yang bakal menyokong kita, membantu kita. Kita juga tidak akan kecewa dengan
Allah SWT, kerana jelas kita telah buat yang terbaik, telah memohon dengan
Allah SWT, dan pastilah sekiranya Allah tidak menjadikannya kenyataan, itu
tandanya Allah SWT sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat kita.
InsyaAllah.
Sebelum Kita Bernikah – Bila Hati Ditusuk Cinta
Rakan-rakan
pembaca yang saya doakan moga beroleh rahmat daripada Allah SWT.
Kita pergi kepada apa yang biasa
menjadi mukaddimah kepada segala cerita perihal pernikahan dan rumahtangga.
Itulah dia jatuh cinta. Ya, jatuh cinta, biasa kita gunakan untuk menggambarkan
situasi di mana kita mula menyukai seseorang. Sama ada bersebab, atau tidak
bersebab.
Apa tindakan kita apabila kita
mula jatuh cinta kepada seseorang?
Mula merasakan dialah yang kita
ingin jadikan sebagai pasangan hidup, mula merasakan kita mahukan dia sebagai
kekasih hati kita, mula merasakan dialah yang mampu membahagiakan kita. Apakah
tindakan yang patut kita ambil, apabila kita mula merasakan itu semua, terhadap
seseorang yang berlawanan jantina dengan kita?
Tidak Terlalu Melayan Perasaan
Apa
yang membuatkan seorang manusia itu waras ialah apabila akal dan hatinya dalam
keadaan yang stabil. Dengan kombinasi keduanya, kita akan mampu membuat
keputusan yang terbaik. Begitulah juga di dalam hal ini ya rakan-rakan yang
saya kasihi.
Jangan terlalu kita layani
perasaan jatuh cinta tersebut. Kerana dengan asyik melayaninya, jiwa kita akan
mula tidak tenang dan ia akan meracuni minda, untuk membawa kita kepada
perlakuan-perlakuan yang tidak sepatutnya seperti cuba untuk memulakan
perbualan, mengorat, mula mengumpul gambar-gambarnya, mula asyik berfantasikan
dia, dan apa sahaja perkara yang sebenarnya tidak langsung memberikan manfaat
kepada kita, bahkan mungkin melanggar perintah Allah SWT.
Kawal jiwa dan minda kita.
Kita sedang dalam perjalanan
hendak membina rumahtangga, yang kemudian bakal menjadi kehidupan kita. Tidak
rugi kita tidak terlalu teruja dan terkinja-kinja.
Jemputlah kembali kewarasan akal
dan jiwa.
Nilai benar-benar situasi kita,
sebelum bertindak melakukan apa-apa.
Tekan Butang ‘Pause’
Rakan-rakan
yang saya kasihi kerana Allah SWT.
Tekan butang ‘pause’. Jangan terus
menderu melakukan sesuatu atau membuat keputusan.
Bila kita jatuh cinta terhadap
seseorang, tanyalah kepada diri apakah yang menyebabkan kita jatuh cinta
kepadanya. Apa sebab utama? Dan apakah kita benar-benar serius hendak
mengambilnya sebagai pasangan hidup, atau ini hanya permainan syaitan
semata-mata?
Tidak rugi memberikan kepada diri
kita masa, sebulan dua untuk membuat penilaian semula terhadap apa yang kita
rasa.
Saya jadi teringat ketika saya
mula-mula jatuh cinta kepada isteri saya. Pelbagai persoalan saya ajukan kepada
diri saya, untuk memastikan saya benar-benar mencintainya. Bahkan saya ambil
masa sekitar 6 bulan, sebelum benar-benar berkongsi dengan sesiapa berkait
perasaan saya terhadapnya.
Sepanjang 6 bulan itu, antara yang
saya lakukan ialah berdoa. Memohon kepada Allah SWT agar jika perasaan itu
hanya main-main, saya minta jauhkan dari diri saya.
Dan sehingga ke hari ini saya
bersyukur kerana itulah yang saya lakukan.
“Ala, takut terlepas la tunggu
lama-lama.”
Berapa lama tunggu, bukan
ditentukan oleh sesiapa. Ianya ditentukan oleh diri sendiri. Yang penting kita
ambil masa sebentar untuk menilai perasaan kita terhadapnya. Kita tidak mahu
ianya hanya dipandu oleh hawa nafsu, atau pengaruh keadaan sekeliling, atau
desakan rakan-rakan semata.
Kita mahu ianya benar-benar datang
daripada perasaan yang murni, tujuan yang jelas, dan mempunyai kejujuran
bersulamkan keseriusan, untuk membina sebuah hubungan yang suci antara kita dan
dia.
Jangan nanti didorong nafsu,
kemudian menyesal di tengah perjalanan.
Membina Perancangan
Rakan-rakan
yang saya doakan dirahmati Allah SWT, selepas bermuhasabah dan menilai akan
perasaan kita terhadap orang yang kita sukai itu, maka binalah perancangan.
Perancangan untuk menjadikan dia
pasangan kita.
Jangan terus diredah jalan yang
penuh dengan fitnah dan ujian ini semberono sahaja. Persiapkan diri dengan
perancangan agar kita berjaya menghadapinya, baik jika diterima ataupun ditolak
kemudiannya.
“Ditolak pun boleh berjaya?”
Ya. Apabila selepas ditolak itu,
kita tidak hilang kewarasan akal, dan menjadi seperti mayat hidup. Kita berjaya
sebenarnya, dan bersedia pula untuk meneruskan perjalanan hidup, serta kembara
membina rumahtangga yang diredhaiNya insyaAllah.
Maka kita fikir apakah cara
terbaik untuk mendapatkan orang yang kita cintai itu, yang mana cara itu pula
tidak membuatkan kita melanggar syara’, dan tidaklah pula ianya memberikan
mudarat kepada perjalanan hidup kita, menjatuhkan kita dalam penyakit angau,
lalai atau menjebakkan diri kita ke dalam perkara-perkara yang dimurkaiNya.
InsyaAllah kita akan sambung
perihal perancangan mendapatkan pasangan yang kita sukai itu dalam bab yang
seterusnya.
Naiklah Bersama Kami – Ketakutan Kami Istimewa.
Antara fitrah manusia adalah ketakutan. Takut membuatkan
manusia lebih berjaga-jaga.
Takut
gagal periksa, manusia belajar. Takut gemuk, manusia diet. Takut tak sihat,
manusia riadhah. Takut kena langgar kereta, manusia lintas jalan tengok kiri
kanan. Takut anak kena culik, manusia tak lepaskan anak gitu aja.
Dan
begitulah sedikit ‘ketakutan’ yang wujud, dari ribuan ketakutan yang wujud di
dalam kehidupan kita.
Takut
menghasilkan amal. Takut menghasilkan gerak. Takut membuatkan manusia berbuat
sesuatu. Memang lumrah manusia, memerlukan ketakutan sebenarnya.
Dan wujud
di dalam dunia ini satu ketakutan bertaraf istimewa.
Itulah
dia ketakutan kepada Allah SWT.
Takut
menghasilkan defensive system,
Berjaga-jaga adalah hasil dari ketakutan.
Sekiranya
kita meletakkan ketakutan kita pada tempat yang betul, yakni takut kepada Allah
SWT, takut hendak melanggar perintahNya, takut hendak melakukan laranganNya,
maka ketakutan kita akan menghasilkan satu defensive system yang tertinggi di
dalam kehidupan manusia.
Itulah apa yang dinamakan sebagai Taqwa.
Taqwa adalah satu perasaan takut untuk melanggar perintah Allah SWT dan takut
untuk menyentuh laranganNya. Akhirnya, ketakutan yang bernama taqwa ini
membuatkan kehidupan manusia bergerak di atas kebaikan semata-mata. Hal ini
kerana, tiada apa yang disuruh oleh Allah itu melainkan ianya mendatangkan
kebaikan, dan tiada apa yang dilarang oleh Allah SWT itu melainkan ianya
mendatangkan keburukan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah
tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari
amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan):
Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan
segala yang kamu kerjakan.” Surah Al-Hasyr ayat 18.
Akhirnya, ketakutan ini membuatkan kita
bergerak ke arah kebaikan.
Bukan takut yang membungkus kita ke
dalam kelemahan dan kekerdilan. Ia adalah takut yang mengangkat kita tinggi dan
menkecup kegemilangan.
Takut ini takut
yang unik
Antara keunikan takut kepada Allah SWT adalah, takut ini
membuatkan kita semakin hampir kepadaNya. Takut kepada Allah tidak membuatkan
kita jauh dariNya. Bahkan semakin kita takut kepadaNya, semakin kita rasa perlu
mendekatiNya.
Tiada
ketakutan yang mampu menghasilkan hubungan sebegini rupa melainkan takut kepada
Allah semata-mata.
Unik
lagi, ketakutan ini tidak menghasilkan kegelisahan. Bahkan ia menghasilkan
ketenangan dan kebahagiaan. Rasa diri ini terjaga, rasa diri ini berada atas
kebenaran dan terselamat dari perkara yang bukan-bukan. Diri rasa selamat dan
hidup.
Tambah
unik, ketakutan kepada Allah keberanian yang tidak tertanding. Contoh termudah
adalah Rib’i bin Amir, seorang tentera biasa yang telah bergerak berseorangan
menghadap Rustum di istana gilang gemilang.
Rib’i
langsung tidak gentar, tidak pula merasa kerdil.
Dia
bahkan berbicara lantang menyatakan matlamat kehadirannya, dan perjuangan ummat
Islam di hadapan Rustum.
Sedangkan
dia hanya seorang, dan dia sedang berhadapan Raja yang menjadi musuhnya, sedang
raja itu dikelilingi tentera-tenteranya.
Unik
sungguh ketakutan kepada Allah ini. Adakah wujud ketakutan seperti ini pada
ketakutan selain ketakutan kepada Allah?
“Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan
kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan
berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh
kejayaan.” Surah Al-Maidah
ayat 35.
Persoalan
penting: Bagaimana hendak takut?
Maka timbul persoalan, bagaimanakah kita hendak merasai
ketakutan sebegini rupa? Ketakutan yang menjaga kita, ketakutan yang membewa
kita ke arah yang selamat, ketakutan yang memberikan keberanian dan kekuatan
ini?
Perkara
pertama yang perlu diperhatikan adalah keimanan. Apakah keimanan kepada Allah
itu wujud di dalam jiwa kita? Apakah kita percaya bahawa Allah itu Maha
Perkasa? Adakah kita percaya bahawa Allah itulah Yang Maha Berkuasa Atas
Segala-galanya? Apakah kita yakin betapa tiada yang akan mampu memudaratkan
kita melainkan Dia? Adakah kita yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar, Maha
Melihat dan Maha Mengetahui segala apa yang kita lakukan?
Keyakinan
inilah yang membuatkan ketakutan itu muncul.
Bayangkan,
anda sedang berzina dan anda merasakan bahawa Allah sedang melihat anda
berzina. Apakah perasaan anda?
Bayangkan,
anda sedang mencuri dan anda merasakan bahawa Allah sedang melihat anda
mencuri. Apakah perasaan anda?
Bayangkan,
anda sedang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran, dan anda merasakan bahawa
Allah sedang melihat anda melakukan semua iu. Apakah perasaan anda?
Allah
Yang Maha Perkasa itu. Allah Yang Menciptakan segala-galanya itu. Allah Yang
Berkuasa Atas Segala-galanya itu. Allah Yang Mempunyai Neraka Yang Sangat
Dasyat itu. Allah itulah yang sedang memerhati dan menilai kita.
“Dan hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan
seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).” Surah Al-Baqarah ayat 196.
“Hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan
kepadanya.” Surah Al-Baqarah
ayat 203.
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah,
sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” Surah Al-Baqarah ayat 233.
Apakah
kita hendak buat bodoh sahaja dan terus melakukan kerosakan?
Dan
bayangkan, dengan perasaan yang sama, apakah akan muncul ketakutan terhadap
yang lain?
Semestinya
tidak.
Menambah
lagi ke’lazat’an ketakutan ini, bacalah apa yang Allah janjikan sebagai
balasan-balasan manusia yang ingkar kepadaNya. Bacalah juga bagaimana Allah
menceritakan kekuatan dan kehebatanNya.
Penutup:
Terbanglah dengan sayap takut dan pengharapan
Manusia ini ibarat burung. Terbang dengan dua sayap.
Manusia hidup dengan takut dan pengharapan.
Jika kita
tidak takut kepada Allah SWT, kita akan takut kepada perkara yang lain.
Dan
ketakutan kita itu akan menghasilkan pengharapan kita terhadap apa yang kita
takuti.
Tetapi
apakah berbaloi takut dan berharap kepada selain Allah SWT?
Siapakah
yang lebih kuat daripada Allah? Siapakah yang lebih kaya daripada Allah SWT?
Siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah SWT?
Maka kita
sepatutnya melihat kembali dan menilai semula. Kepada siapakah selama ini kita
letakkan ketakutan dan pengharapan kita?
“Oleh itu bertaqwalah
kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya)” Surah At-Taghabun ayat 16.
Mari
takut dengan ketakutan yang istimewa.
Takut
yang menghasilkan kekuatan.
Terbanglah
dengannya.
Dan ia
akan menghasilkan pengharapan yang pastinya tidak akan mengecewakan.
Naiklah Bersama Kami – Ilahi. Itu dasar Motivasi Kami.
Kami penumpang bahtera memahami bahawa kehidupan di dunia
ini, tidak dapat tidak akan wujud dugaan dan cabaran. Ibarat menongkah di tengah lautan, yang
gelombangnya tidak dapat dijangka atau diterka.
Maka
sebagai pelayar samudera yang penghujungnya tak terlihat ini,kami semestinya
memerlukan bekalan semangat dan kekuatan untuk mengharungi badai cabaran dan
dugaan.
Akhirnya
kami tidak nampak, apa motivasi yang terbaik dalam samudera kehidupan ini,
selain merapat kepada Ilahi.
Pada kami
penumpang bahtera, itulah dia motivasi kehidupan yang hakiki.
Tiada yang memahami, Dia ada
Ada manusia diuji dengan ujian mental. Dia buat baik, dia
buat itu dan ini, tiada siapa pun mahu menghargainya. Dia senyum, orang tak
balas balik senyumannya. Pendek kata, dia terasing sendiri dalam kehidupannya
tanpa sesiapa memahaminya.
Dan kalau
dia lakukan sedikit kesilapan, seluruh dunia mencacinya.
Kami
mengetahui perkara ini berlaku di dalam realiti.
Tapi
untuk manusia yang sebegini, sekiranya dia merapat kepada Ilahi, Ilahi sentiasa
ada. Ilahi mendengar aduannya. Kalau dia membuka Al-Quran, Ilahi seakan
berbicara dengannya secara terus. Dan janji-janji daripada Ilahi membuatkan dia
kekal berusaha, kekal melakukan kebaikan, tanpa kisah akan penghargaan orang
lain.
Padanya,
nilaian manusia menjadi terlalu kecil, apabila dia melihat nilaian yang Ilahi
ingin berikan.
Merapat
kepada Ilahi, tertingkat kekuatan mentaliti. Sebab itu, orang yang benar-benar
beriman kepada Allah SWT, tiada yang mengalami sakit mental. Pernahkah kita
mendengar sahabat Rasulullah, para tabi’in, da’ie-da’ie yang hebat kena sakit
mental?
Walau
diuji, walau diseksa, walau dibuang ke hujung dunia, walau seluruh alam tidak
menerima mereka, mereka tetap hamba Allah yang utuh pemikiran dan jiwanya.
Inilah
keyakinan kami. Penumpang bahtera.
Rasulullah
SAW bersabda:
“…sekiranya
mereka itu berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka itu tidak
akan mampu memudaratkan kamu walau dengan apa pun kecuali dengan apa yang telah
ditetapkanNya ke atas kamu” Hadith riwayat Tirmidzi, hadith ke 19 di
dalam hadith 40 An-Nawawi.
Kerana
itu kami sentiasa yakin, Dia itu ada, dan tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Ilahi memahami kami. Tidak pernah bosan mendengar aduan kami. Sentiasa
memerhatikan, dan sentiasa mengira apa yang kami lakukan.
Dugaan hebat, cabaran yang memenatkan,
Dia ada.
Ada manusia diuji dengan kesukaran. Hingga diri rasa
terhimpit ke hujung alam. Ada pula yang hidupnya tidak habis-habis diduga.
Selepas satu, satu lagi dugaan tiba. Mungkin kalau orang biasa, mereka akan
kelelahan, dan rasa hendak tenggelam dalam kelemahan. Kerana tiada tempat
berpaut yang utuh.
Tetapi
bagi yang merapat dengan Ilahi, segala
dugaan adalah kecil. Malah dugaan dan cabaran itu sendiri kadangkala menjadi
kegembiraan untuknya. Tanda Allah SWT tidak meninggalkannya dalam kesenangan
yang menipu daya. Bila susah, baru mudah mengingatkan dirinya kepada Dia.
Sebab
orang yang merapat dengan Ilahi, yakin bahawa Dia ada. Wujud memerhatikan
mereka, mengira segenap kesusahan mereka. Bahkan mereka yakin bahawa Ilahi lah
yang menurunkan segala dugaan dan cabaran, lantas mereka berkata: “Semua ini
ada hikmahnya, dan kami tidak
mengetahui.” Keimanan kepada qada’ dan qadar yang kuat itu membantu.
Kerana
itulah kami penumpang bahtera terus menjalankan tanggungjawab kami. Yakni hidup
sebagai manusia tanpa putus asa. Berusaha, berusaha dan berusaha.
Tanpa
kecewa.
Masa senang, Dia ada
Ada pula yang terlalai dengan ujian kesenangan.
Kesenangan
yang menipu daya, ibarat udara sahaja gayanya. Dihirup tanpa sedar. Namun ianya
udara beracun yang merosakkan jika dihirup dengan kadar tidak terkawal. Virus
ini akan membiakkan riak, takabbur, ujub, dan segala macam sifat mazmumah yang menghancurkan.
Namun
bagi yang merapati Ilahi, mereka tidak akan tenggelam dalam hal ini.
Kerana
mereka yakin Dia ada. Melihat dan memerhati.
Justeru,
kami tidak akan sesekali melangkah ke tanah laranganNya. Segala kejayaan,
kesenangan, semuanya dikembalikan kepadaNya. Kerana yang merapati Ilahi yakin
bahawa, semua itu hanyalah pinjamanNya sahaja.
Kami
percaya, inilah yang akan melahirkan peribadi yang ajaib.
Bila
susah kami bersabar. Bila senang kami bersyukur. Hanya yang merapati Ilahi
mampu menjadikan ianya realiti.
Penutup: Ini motivasi tidak teruntuh,
tidak bermusim
Merapati Ilahi, adalah dasar kepada segala motivasi. Kami
penumpang bahtera mempercayai yang ini. Motivasi ini tidak teruntuh, melainkan
dengan menjauhnya kita daripada Ilahi. Motivasi ini juga tidak bermusim. Kerana
sifatnya sepanjang masa, setiap masa, pada semua detik dan ketika.
Jelas
kerana, Allah SWT itu tidak mati, dan tidak pula tidur.
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya
mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang
dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang
mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,
sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah
melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah
(ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi
keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha
Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)” Surah
Al-Baqarah ayat 255.
Inilah
kekuatan utama untuk pendayung kehidupan penuh pancaroba. Kerna, walau tersesat
di tengah lautan tak berpenghujung, tanpa manusia di sisi, Ilahi tetap ada
memerhati.
Ilahi
tidak tidur. Tidak mengantuk. Tidak penat. Tidak terlalai. Tidak melemah.
Sedetik
pun Dia tidak meninggalkan kita. Memerhati dan mengira, membantu dan memberikan
tenaga.
Merugilah
orang-orang yang tidak melihat motivasi ini dan mengambilnya.
Inilah
dia motivasi terulung, rahsia kepada kejayaan orang-orang beriman sebelum kita.
Kami
bergerak dengannya.
Ayuh naik
bersama kami!
Naiklah Bersama Kami – Kami Bersyukur Allah Itu Tuhan Kami.
Pernahkah anda membaca buku Amr Khalid, bertajuk Ibadah
Sepenuh Hati? Satu buku yang kami penumpang bahtera syorkan agar anda
membacanya. Amr Khalid adalah motivator berasal daripada Mesir dan sangat
popular hari ini di Timur Tengah terutamanya.
Antara
salah satu isinya adalah, dia menceritakan bagaimana dia duduk dengan beberapa
orang pemuda dan bersembang berkenaan nikmat terbesar dalam dunia ini. Amr
Khalid mendengar banyak jawapan yang memuaskan, antaranya nikmat kehidupan,
iman dan Islam. Tetapi Amr Khalid berkata, dia tertarik dengan satu jawapan
yang tidak pernah lagi diberikan orang apabila dilontarkan jawapan tersebut.
“Nikmat
kita yang terbesar adalah, Allah sebagai Rabb, Ilah kita.”
Ya,
jawapan itu membuatkan seorang yang hebat dan masyhur seperti Amr Khalid juga
tertarik.
Siapa
pernah bersyukur, bahawa dirinya mempunyai Tuan, Tuhan, Pengatur, Pencipta,
seperti Allah SWT?
Kami
penumpang bahtera, yang destinasinya adalah Allah, redhaNya dan SyurgaNya bersyukur!
Dia adalah yang mencipta alam ini
Allah SWT adalah Pencipta kepada segala-galanya. Dia
berkuasa atas semuanya. Dan Dia Maha Bijaksana, hikmah-Nya amat halus, serta
kekuatan-Nya tiada tandingan selama-lamanya.
Siapakah
yang pernah mengkaji kehebatan Allah SWT?
Kalau
kita melihat kajian-kajian yang dilakukan berkenaan alam ini, pasti kita akan
menemui satu keajaiban yang sangat menakjubkan, mendahului keajaiban-keajaiban
yang lain. Apakah dia? Yakni kesempurnaan aturan dunia.
Saya ambil contoh mudah. Tempat letak bumi. Bayangkan, kedudukan Bumi, jarak Bumi di dalam Bima Sakti, pada orbitnya, adalah kedudukan yang paling sesuai dalam dunia untuk hidupan. Andai bumi ini jaraknya tidak seperti sekarang, sebagai contoh, lebih dekat lagi dengan matahari, pasti akan kepanasan teramat sangat penduduknya dan kehidupan tidak akan mampu hidup di dalamnya. Demikian jika bumi ini jauh kedudukan sekarang, ia akan tidak mendapat kepanasan yang cukup lantas menjadikan Bumi tidak sesuai untuk kehidupan.
Contoh lain paling mudah, oksigen. Kita maklum bahawa oksigen di dalam bumi adalah pada kadarnya yang sepatutnya. Kajian menyatakan bahawa, jika terlalu kurang dari sekarang, maka penghuni Bumi akan menghadapi masalah pernafasan dan pelbagai cabaran akan timbul untuk kehidupan terus berlangsung. Manakala jika ia bertambah terlalu lebih dari keadaan sekarang, maka akan rosaklah bumi ini dengan kebakaran di sana sini.
Itu belum
dikira lagi dengan kenapa jari kita dicipta seperti apa yang kita nampak
sekarang, kenapa ada haiwan matanya di tepi, ada yang matanya di tengah macam
kita, kenapa ada pokok daunnya sebegini, kenapa ada pohon yang berduri dan itu
dan ini.
Kalau
dikaji dan dikaji, semua ada hikmahnya, semua ada keperluannya. Bentuk, rupa,
kedudukan, semuanya ada makna.
Paling pelik, bagaimana agaknya planet-planet dan bintang-bintang di dalam dunia ini, tidak pula berlanggaran sesama sendiri? Semuanya berjalan dengan begitu baik dan teratur.
Benarlah
firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada)
pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan
membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air
hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari
berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan
yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi;
sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan
Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang
(mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.
Pada
sesiapa yang tidak mengenali Allah, ketahuilah bahawa Tuhan kita, yang patut
kita tundukkan jiwa kita kepada-Nya, yang patut kita serahkan ketaatan
kepada-Nya sepenuhnya adalah yang menciptakan semua itu.
Tidakkah
anda berasa beruntung dijaga oleh Yang Maha Hebat sedemikian rupa?
Apakah
yang telah anda lakukan untuk-Nya?
Bagaimanakah
arahan-arahan-Nya kepada anda? Adakah anda melaksanakannya?
Yang Maha Sempurna itu, adalah Yang Maha
Besar Kasih Sayang-Nya.
Allah mempunyai kekuatan yang teramat hebat, sampai mampu
mengatur alam ini sesempurna itu. Mengetahui segala perkara sehingga mampu
menjaga keseimbangan dunia ini sehingga mencapai tahap sempurna. Sehebat-hebat
makhluk di muka bumi ini, tidak akan ada yang mampu menandingi-Nya.
Tetapi,
Yang Maha Sempurna ini, Yang Maha Kuat ini, Dialah juga Yang Maha Pengasih,
Yang Maha Penyayang, Yang Maha Pengampun. Dia tidak pernah meninggalkan
hamba-hamba-Nya, malah sentiasa membuka peluang kepada hamba-hamba-Nya,
walaupun Dia tahu hamba-hamba-Nya banyak berdosa kepada-Nya dan melakukan
kesilapan.
Allah SWT
berfirman: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau
bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari
perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah
memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuraa ayat
32.
Dia amat
dekat dan membuka pula peluang untuk permintaan.
“Dan
Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada
beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Surah Al-Ghafir ayat 60.
Malah,
Dia berjanji pula menambahkan nikmat untuk sesiapa yang taat.
“Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,” Surah Ibrahim
ayat 7.
Sedangkan,
nikmat-Nya yang telah ada sekarang pun tidak terhitung.
“Sekiranya
kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu”
Surah Ibrahim ayat 34.
Tidakkah
kita rasa bersyukur bahawa Tuhan kita adalah Allah SWT?
Tidakkah
kita rasa lega untuk menundukkan jiwa kepada-Nya?
Maka di
manakah bukti kesyukuran kita?
Apakah Belum Tiba Masanya?
Allah SWT itu, Maha Hebat, Maha Berkuasa. Dia Lebih Besar
dari segala-galanya. Kita di hadapan-Nya sangat kerdil, kecil, tidak berkuasa
lagi tidak mempunyai apa-apa.
Kita
bermaksiat saban hari, endah tidak endah dengan perintah-Nya, buat tidak tahu
dengan ajaran-Nya. Tetapi Dia masih lagi menghidupkan kita hari ini. Anda, yang
membaca artikel saya masih diberikan peluang untuk hidup sekarang ini.
Sedangkan
jika Dia mahu, Dia boleh mematikan kita semalam.
Tetapi
Allah tidak pernah membenci hamba-hamba-Nya. Kehidupan ini tanda
kasih-sayang-Nya.
Maka
apakah belum tiba masanya kita tunduk pada Allah SWT ini?
“Belum
sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka
mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran)
yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti
orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu
melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di
antaranya orang-orang yang fasik – derhaka” Surah Al-Hadid ayat 16.
Kalau
kita masih ada rasa ego, ingkar untuk tunduk, hidup dengan arahan-Nya, dalam
ketaatan kepada-Nya, tidakkah kita ini hamba-Nya yang tidak bersyukur?
Penutup: Allah Tidak Rugi Jika Kita
Semua Berpaling.
Dia tidak akan meninggalkan kita. Tetapi, kitalah yang
meninggalkan-Nya.
Dia tidak
rugi kalau kita meninggalkan-Nya. Tetapi yang rugi-Nya adalah kita.
Dan hanya
yang tunduk menjadi hamba sahaja, akan merasai keindahan-Nya.
“Dan
perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah
engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu,
(bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang
baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
Kami
tidak meminta rezeki kepadamu. Malah Kamilah yang memberikan rezeki kepadamu.
Dan
kesudahan yang baik, hanya untuk orang-orang yang bertaqwa.
Dan
kesudahan yang baik, hanya untuk orang-orang yang bertaqwa.
Kami
penumpang bahtera mengajak anda untuk mempunyai hubungan yang baik kepada Allah
SWT. Apakah yang anda tunggu lagi?
“Naiklah
bersama kami!”